Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Harga Toyota Sienta 2016 diumumkan – dari RM93k

    Toyota_Sienta-2

    Setelah dipamerkan di My Auto Fest 2016 dua minggu lalu, UMW Toyota kini secara rasmi mengumumkan harga dan spesifikasi untuk MPV Toyota Sienta 2016. Dua varian ditawarkan iaitu varian asas Spec G dijual pada harga RM92,900 dan varian tertinggi Spec V berharga RM99,900. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Enam warna ditawarkan iaitu Orange Metallic, Quartz Brown Metallic, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black dan Super White II.

    Kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

    Spec G dan Spec V dibezakan hanya dengan ciri-ciri dan aksesori yang dilengkapkan. Untuk varian asas G, ia dipadankan dengan lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi auto on/off, lampu belakang LED biasa, penggilap cermin tanpa fungsi pemasa, pintu gelangsar dengan motor elektrik hanya untuk sebelah kiri, roda aloi berdiameter 15-inci, balutan fabrik berwarna hitam, unit pemain audio utama 2-DIN tanpa skrin sesentuh (dengan pemain CD, MP3, sambungan USB serta Bluetooth) dan paparan meter kombinasi biasa dengan paparan MID mono.

    2916-Toyota-Sienta-Price-List_BM

    Toyota turut menawarkan pilihan opsyen untuk varian G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40.

    Varian tertinggi V pula hadir dengan lampu hadapan projektor Bi-LED dengan fungsi auto on/off, lampu belakang dengan lampu penunjuk LED, penggilap cermin dengan fungsi pemasa, kedua-dua pintu gelangsar dengan motor elektrik, roda aloi berdiameter 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik (hanya manual untuk Spec G), balutan fabrik berwarna perang, perakam video digital, sistem hiburan dilengkapi skrin sesentuh 6.8-inci (dengan fungsi pemain DVD, MP3, kawalan menggunakan suara, sambungan USB serta Bluetooth), paparan meter kombinasi Optitron dengan paparan MID TFT berwarna, roda stereng tiga jejari pelbagai fungsi dengan balutan kulit, kamera undur dan filem penapis haba keselamatan premium. Sistem DVD-AVN dilengkapi sistem navigasi dan kamera undur (RM3,169) turut ditawarkan sebagai pilihan opsyen untuk varian V.

    Sementara itu, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, liang penghawa dingin belakang, tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh lipat 50:50 dan enam unit pembesar suara dibekalkan secara standard untuk kedua-dua varian.

    Begitu juga dengan sistem keselamatan, Toyota tidak berkompromi untuk membekalkan kedua-dua varian Sienta dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC) serta dua cagak ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

     
     
  • Volvo XC90 T8 Twin Engine dilancarkan di M’sia – RM403,888 untuk unit pemasangan tempatan

    Volvo XC90 CKD 6

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah melancarkan versi pemasangan tempatan (CKD) bagi Volvo XC90. Daripada segi spesifikasinya, SUV plug-in hybrid ini tidak berbeza dengan versi yang diimport. Walau bagaimana, apa yang menariknya, harganya telah diturunkan sedikit kerana ia adalah pemasangan tempatan.

    Jika versi import dijual pada harga RM453,888, untuk XC90 CKD ini pula berharga RM403,888 (harga atas jalan tanpa insurans) iaitu kurang RM50,000. Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun, tanpa perbatuan terhad dan bantuan tepi jalan Volvo On Call percuma selama lima-tahun.

    XC90 ini tampil dengan barisan rekaan Inscription dari varian tertinggi T8 Twin Engine. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan lampu nyalaan siang “Thor’s Hammer” LED yang menjadi signatur Volvo selain lampu utamanya dan juga LED Active Bending Lights dan Active High Beam Control.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda 10-jejari berwarna perak potongan-berlian bersaiz 20-inci yang dibaluti tayar 275/45, lampu brek adaptif LED, tip ekzos berkembar dan pintu tailgate berkuasa dengan operasi bebas-tangan.

    Volvo XC90 CKD 5

    Tidak seperti yang ditawarkan bagi versi CBU dengan pilihan sebanyak 11 warna, bagi XC90 CKD ini hanya menampilkan lima pilihan warna iaitu Ice White, Onyx Black, Saville Grey, Twilight Bronze dan Bright Silver.

    Memasuki ruang dalamannya, ia dipadankan dengan tempat duduk upholstery balutan kulit Nappa dengan skim warna hitam (putih bagi CBU), roda stereng tiga-jejari pelbagai-fungsi, tombol gear kristal oleh pembuat kristal terkemuka Sweden Orrefors, butang penghidup enjin potongan-berlian dan tombol kawalan suara.

    Pada papan pemukanya juga ditampilkan paparan skrin sentuhan sembilan-inci yang disambungkan pada sistem audio Sensus Connect High terkini Volvo. Sistem kawalan ini menampilkan hampir kesemua ciri di dalam kenderaan termasuk sistem kawalan suhu empat-zon, navigasi, WiFi hotspot, panel instrumen Paparan Digital Adaptif dan kamera pandangan-sekeliling.

    Selain itu, bagi pemain audio, XC90 menerima sistem bunyi 10-speaker 330-watt, sambungan Bluetooth, USB, atau AUX. Di samping turut menampilkan mod yang lebih terkini termasuk Android dan Apple.

    Volvo XC90 CKD 32

    Menampilkan keselesaan yang optimum, Volvo turut memadankan tempat duduk yang lebih langsing bagi menawarkan perlindungan tulang belakang yang lebih baik sekiranya berlaku kemalangan. Manakala barisan kedua pula boleh dikehadapan dan kebelakang bagi memberikan ruang kaki dan kapasiti ruang kargo yang lebih. Malah turut menampilkan kusyen peninggi bagi kanak-kanak di bahagian tengah.

    Bagi barisan ketiga, ia juga dikatakan sesuai untuk penumpang dewasa setinggi 170sm serta mampu dikonfigurasi mengikut posisi. XC90 ini menampilkan 436 liter bagi ruang bonet dan sekiranya barisan ketiga dibaringkan, ia boleh meningkat sehingga 1,183 liter. Dan jika barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, ruang kargo mampu mencapai sehingga 2,426 liter.

    SUV plug-in hybrid ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter T8 Twin Engine empat-silinder dan pengecas turbo Drive-E serta motor elektrik. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Enjin pembakaran ini mampu menjanakan kuasa sehingga 320 hp dan tork 400 Nm, dengan kuasa yang disalurkan pada roda hadapan.

    Sementara motor elektrik (87 hp/240 Nm) pula menyalurkan kuasa ke roda belakang. Jumlah keseluruhan kuasa yang dihamburkan mencecah 407 hp dan tork 640 Nm dan, kedua-dua unit pacuan tersebut adalah sistem pacuan semua-roda.

    Bagi prestasinya, penjana kuasa plug-in hybrid ini memacukan SUV seberat 2,343 kg dari 0-100 km/j hanya 5.6 saat, manakala kelajuan maksimum yang boleh dicatatkan ialah 230 km/j. Gabungan penggunaan bahan apinya didakya hanya 2.1 liter bagi setiap 100 km (47.6 km per liter) dan jika kenderaan dipacu dengan kuasa elektrik sepenuhnya, ia mampu mencapai sejauh 43 km (mengikut ujian European NEDC).

    Menggunakan pacuan elektrik sepenuhnya, ia juga menampilkan mod pemanduan menerusi sistem kawalan Sensus. Mod lain pula ialah hibrid, mod kuasa dan AWD.

    Kuasa yang disalurkan untuk motor elektrik didatangkan dari bateri lithium-ion 9.2 kWh. Bateri ini boleh dicas dengan menggunakan soket biasa di rumah, dan hanya mengambil masa selama 3.5 jam untuk penuh (dengan punca kuasa standard di Malaysia, 240 V, 13 amps). Kuasa juga boleh dicas apabila kenderaan dibrek.

    XC90 merupakan model pertama berasaskan Scalable Product Architecture (SPA) terbaharu dari Volvo, di mana baterinya dipasang di antara terowong tengah untuk meminimakan keupayaannya jika terlibat dengan kemalangan. Selain itu, ia turut menampilkan sistem Four-C Active Chassis (suspensi udara empat-sudut) sebagai standard.

    Volvo XC90 CKD 56

    Bagi aspek keselematannya, ia didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kelajuan Adaptif, Keselamatan Bandar dengan Amaran Pelanggaran Hadapan dan Pengesan Penunggang Basikal dan Pejalan Kaki dengan Brek Auto Sepenuhnya, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Kestabilan Olengan dan Bantuan Mendaki Bukit.

    Teknologi keselamatan bertaraf dunia ini turut menampilkan pakej perlindungan off-road, sistem Bantuan Parkir dan juga sistem bunyi yang boleh mengesan sekiranya kenderaan anda ditunda atau dijek.

    Paling membanggakan, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang memproduksikan XC90 di luar Sweden, iaitu di kilang Volvo yang terletak di Shah Alam. Malah teknologi terkini plug-in hybrid bagi SUV ini dibangunkan di Malaysia.

     
     
  • Paris larang kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 masuk ke bandar tersebut bermula 1 Julai ini

    Zoe-n-Leaf-in-Paris

    Dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran dalam bandar semasa minggu bekerja, Bandar Paris telah mengeluarkan larangan untuk kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 dan motosikal yang dibuat sebelum tahun 1999 untuk memasuki bandar tersebut dari hari Isnin hingga Jumaat. Langkah ini sebenarnya merupakan langkah susulan pada Julai 2015 sebelum ini yang melarang kenderaan yang menghasilkan pencemaran berat seperti bas, koc dan kenderaan berat didaftarkan sebelum tahun 2001 dari masuk ke bandar tersebut.

    Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Le Monde, larangan tersebut diumumkan menerusi Datuk Bandar Paris dan Groupement des autorités responsables de transport (GART) yang mewakili pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Kementerian Persekitaran Perancis dan bakal dikuatkuasakan 1 Julai ini.

    Selain dari melarang kenderaan lama masuk ke jalan-jalan di bandar, kenderaan-kenderaan lain turut perlu menggunakan sistem pengkelasan dengan melekatkan pelekat di cermin hadapan menunjukkan tahap pencemaran kenderaan tersebut. Enam pelekat kelas akan dikeluarkan untuk membolehkan sesebuah kenderaan tersebut memasuki bandar Paris, manakala kenderaan yang diklasifikasikan sebagai dilarang masuk tidak akan memperolehi apa-apa pelekat.

    Kenderaan yang dilarang masuk ke bandar tetapi dikesan melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan bermula 1 Oktober nanti dengan saman yang bernilai 35 euro (RM162) untuk peringkat permulaan, dan meningkat kepada 68 euro (RM314) untuk kenderaan penumpang dan 135 euro (RM624) untuk trak bermula tahun 2017 kelak.

    Walaupun langkah tersebut bertujuan untuk mengurangkan tahap pencemaran dalam pusat bandar Paris, sebahagian pengguna jalan raya tidak bersetuju dengan langkah tersebut, kerana ia bakal memberikan kesan kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli kereta baharu tetapi masih memerlukan kenderaan untuk bekerja.

     
     
  • Proton Preve dilancarkan di Chile dalam tiga varian

    Proton-Preve-Chile-Launch_BM

    Sebelum ini kami melaporkan Proton akan kembali semula ke pasaran Chile dengan eksport permulaan dimulakan oleh Preve. Sekarang, sedan segmen-C tersebut secara rasminya telah dilancarkan di negara Amerika Selatan berkenaan oleh Andes Motor, subsidiari oleh Kaufmann Group.

    Tiga varian Preve versi pemanduan sebelah kiri ditawarkan untuk pasaran Chile iaitu Standard, Executive dan Premium. Varian Standard dan Executive dibekalkan dengan enjin Campro 1.6 liter IAFM+ berkuasa 107 hp dan tork 150 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Varian Premium pula dijana oleh enjin Campro CFE 1.6 liter Turbo berkuasa 138 hp dan tork 205 Nm, dipadankan bersama kotak gear CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya. Proton dan Andes mendakwa, “DNA Lotus” adalah jelas dalam dinamik pemanduan Preve.

    “Dengan Andes Motor, pengedar bas, trak dan kereta mewah terbesar di Chile, bersama jaringan pengedar yang besar menyediakan jualan dan servis selepas jualan sebagai rakan kongsi kami, kami optimistik dengan kemasukan semula ke pasaran Chile akan berjaya,” kata Datuk Ahmad Fuaad Kenali, CEO baharu Proton.

    proton-showroom-chile_BM

    “Kami teruja untuk menerima kereta Proton kembali ke pasaran Chile selepas eksport terakhirnya ke negara kami pada tahun 1998 yang lalu. Kami percaya kerjasama ini akan lebih kukuh untuk kedua-dua jenama, membolehkan Andes Motor mula bertapak untuk menembusi pasaran kereta penumpang biasa dan membolehkan Proton meneroka pasaran yang besar. Langkah yang dimulakan dengan pengenalan Proton Preve melambangkan permulaan yang bagus untuk kedua-dua syarikat,” kata Alexander Kohler, CEO Anded Motor.

    “Preve merupakan salah satu sedan Proton yang dinamik menawarkan produk dilengkapi prestasi, keselesaan, penggayaan, kualiti pembinaan dan memudahkan dengan penarafan standard keselamatan lima-bintang. Sebagai tambahan, kami juga memandang kehadapan ketibaan Proton Exora dan Proton Saga ke Chile pada masa terdekat,” tambah Kohler.

    Pernah dilaporkan sebelum ini Proton bercadang untuk memasuki pasaran tersebut sejak perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani antara Malaysia dan Chile pada Februari 2012, memberikan syarikat tersebut pengecualian duti import sebanyak 6%. Proton telah menghantar sejumlah 50 unit Preve ke San Antonio Mac lalu, di mana kumpulan pertama dari 1,000 unit yang diharapkan akan terjual di Chile tahun ini.

     
     
  • Biodiesel B10 kini menggantikan diesel B7 di semua stesen minyak seluruh negara bermula hari ini

    biodiesel1

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengumumkan peralihan penggunaan diesel B7 kepada biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum), bermula Jun ini di semua stesen minyak seluruh negara.

    Kementerian tersebut berkata kerajaan telah berhubung dengan badan perwakilan seperti Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA), Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bersama syarikat petroleum dan pengeluar biodiesel sebelum ianya diimplementasikan. Walau bagaimanapun, ia tidak menyatakan bagaimana badan-badan tersebut meluluskan program ini.

    Keseluruhan pengeluar automotif di Malaysia sebaliknya tidak bersetuju dengan langkah ini. Mercedes-Benz Malaysia sebelum ini mempersoalkan kesesuaian biodiesel B10 untuk kenderaan keluaran mereka, tetapi selepas itu menyatakan biodiesel B10 tidak menimbulkan sebarang masalah pada enjin-enjin mereka. BMW, Toyota, Isuzu dan Volkswagen secara tegas tidak bersetuju dengan implementasi B10 tersebut.

    Sejak Disember 2014, adunan biodiesel di Malaysia terdiri dari 7% minyak kelapa sawit metil ester dan 93% diesel petroleum atau B7. Biodiesel B10 akan dibekalkan oleh Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), yang dianggotai oleh 22 ahli seluruh negara.

    Menurut KPPK, implementasi program B10 untuk sektor pengangkutan dan program B7 untuk sektor industri dijangka akan menyumbang penggunaan tahunan 709,000 tan minyak kelapa sawit mentah dalam negara.

     
     
  • Diesel Shell FuelSave Euro 5 – kini di 85 lokasi

    Shell-Euro-5-diesel-850x501_BM

    Shell Malaysia telah mengumumkan diesel FuelSave Euro 5 mereka kini boleh didapati di lebih 85 stesen mereka di seluruh semenanjung Malaysia. Selepas diesel tersebut boleh didapati luar dari negeri Johor pada Disember tahun lalu, apabila lima stesen di luar negeri tersebut mula menawarkan diesel yang sama, senarai lokasi yang menawarkan FuelSave Euro 5 kini semakin bertambah.

    Syarikat berkenaan mengatakan langkah yang diambil ini adalah sebahagian dari pelan pengembangan pasaran diesel FuelSave Euro 5 ini kepada sekurang-kurangnya 100 stesen di seluruh negara. Pelan tersebut juga turut merangkumi untuk menawarkan diesel Euro 5 ini agar ia boleh didapati di jalan-jalan yang menghubungkan Johor ke Pulau Pinang dan juga ke Pantai Timur di Terengganu.

    Shell mengatakan diesel FuelSave Euro 5 ini menawarkan ciri Ramuan Kecekapan Aktif, yang direka untuk meningkatkan kecekapan enjin dan ekonomi penggunaan bahan api. Ia juga turut mengandungi detergen khas yang direka untuk menjaga keadaan enjin dengan menolong mengelakkan terbinanya deposit di bahagian pemancit bahan api. Seperti diesel Euro 5 yang lain, ia mengandungi kandungan sulfur yang kurang iaitu hanya 10 bahagian untuk setiap juta (ppm) berbanding 500 ppm pada diesel Euro 2M sedia ada.

    Untuk senarai penuh stesen yang sekarang ini menawarkan diesel Shell FuelSave Euro 5 di seluruh semenanjung Malaysia, sila lawati www.shell.com.my/dieseleuro5.

     
     
  • Apollo Tyres secara rasminya beroperasi di Malaysia

    Apollo Tyres Malaysia 1

    Selepas bertapak di Thailand dan Indonesia, Apollo Tyres mengumumkan pembukaan pejabat operasinya di Malaysia. Setelah hab jualan dan pengedarannya dibuka di Bangkok untuk rantau ASEAN, pembuat tayar berkenaan kini memfokuskan untuk melebarkan pasarannya ke rantau tersebut.

    Jenama tayar dari India ini mensasarkan bahagian pasaran lebih besar dalam pasaran tayar gantian di Malaysia yang kapasiti tahunannya dicatatkan pada 580,000 unit untuk radial trak dan bas serta 9.5 juta unit untuk tayar kereta penumpang biasa. Apollo kini sedang membina pasukan lengkap jualan dan servisnya untuk pelanggan di Malaysia.

    Apollo hadir dengan siri Endurance yang dibuat khas untuk kegunaan trak dan bas yang menurut syarikat berkenaan telah pun diterima dengan baik oleh pelanggan di Malaysia. Begitu juga dengan siri tayar untuk kereta penumpang biasa yang mampu untuk memenuhi permintaan hampir 90% pasaran tayar dalam Malaysia, dimana setakat ini ia adalah salah satu pasaran terbesar dalam rantau ASEAN.

    “Dengan kewujudan pejabat urusan kami di sini, dan sebagai sebuah entiti yang sah, dalam masa yang sama untuk memacu perkembangan keuntungan dalam pasaran ini, ia juga akan mendekatkan kami kepada pelanggan di Malaysia dan membantu kami memenuhi permintaan mereka kepada semua spektrum penggunaan,” kata Presiden Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Apollo Tyres Ltd, Satish Sharma.

     
     
  • Ferrari 458 MM Speciale didedahkan – lebih ekstrem

    Ferrari-458-MM-Speciale-2-e1464760638834

    Ferrari telah pun mendedahkan kehadiran Ferrari 458 MM Speciale di dalam barisan modelnya. Ia merupakan penciptaan ‘One-Off’ terkini oleh jabatan rekaan dalaman Ferrari Styling Centre.

    Berasaskan model Ferrari 458 Speciale, 458 MM Speciale ini menggunakan casis dan gear 458 yang hardcore, malah turut menampilkan garisan sporty yang lebih ekstrem dan kesan ‘visor’ dengan tiang-A yang dicat dengan warna hitam, umpama model Ferrari GTO 1984. Ia juga mempunyai garisan bumbung yang lebih landai dan mengoptimakan kesan aerodinamik dengan tiang-C yang melunjur ke belakang.

    Selain itu, ia juga menampilkan jaluran hijau dan merah pada permukaan kerangka berwarna putih, umpama bendera Itali. Malah turut menampilkan bampar hadapan dan belakang dengan material gentian karbon.

    458 MM Speciale ini turut memiliki sauk udara baharu dan spoiler belakang, yang merupakan salah satu daripada elemen terpentingnya bagi pakej aerodinamik. Manakala lampu belakangnya mirip dengan model 488 GTB.

    Kerangka baharu ini turut menerima pelarasan baharu bagi penyejuk radiator. Ia turut menampilkan roda yang lebih unik, menyerlahkan lagi imejnya yang bersifat ekstrem.

    Pada bahagian dalamnya, turut menampilkan kekemasan kulit upholstery Cioccolato menjadi pilihan bersama jahitan putih, lingkaran sutera putih pada kawalan corong dan sistem audio yang dipertingkatkan.

    Walau bagaimana pun, Ferrari tidak mendedahkan perincian prestasinya. Namun memandangkan 458 MM Speciale berasaskan 458 Speciale, kemungkinan besar ia dijanakan oleh enjin 4.5 liter naturally-aspirated V8.

    Ia mampu menghamburkan output sehingga 605 PS dan tork puncak pada 540 Nm dengan kuasa yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi dua-klac tujuh-kelajuan. Sekali gus mampu mendorong jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 3.0 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan sehingga 325 km/j.

     
     
  • JPJ memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC)

    JPJ_VOC

    Mulai 1 Jun 2016, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC). Di mana ia dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa.

    Menurut JPJ, pengenalan VOC masih lagi merupakan suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengandungi butiran pemilik dan kenderaan. Walau bagaimana pun, bagi memudahkan urusan dengan JPJ, VOC yang diperkenalkan ini tidak lagi digunakan sebagai dokumen atau instrumen bagi urusan seperti Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan), Tukar Hak Milik atau Pindaan Maklumat.

    Di mana VOC tidak mengandungi cetakan rekod urusniaga seperti mana yang terdapat dalam RC. Justeru, semakan data hanya boleh dilakukan secara terus menerusi pangkalan data JPJ atau MySikap.

    Terdapat tiga fasa yang akan dilaksanakan, selain pengenalan VOC yang membabitkan Fasa 1 iaitu ia dikeluarkan kepada pemilik pendaftaran kenderaan dan pemilik baharu bagi proses tukar hak milik kenderaan.

    Manakala Fasa 2 yang bakal diimplementasi mulai 1 September 2016 iaitu VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang membuat pembaharuan cukai jalan dan pemilik yang membuat pindaan atau pembetulan maklumat kenderaan.

    Bagi Fasa 3 pula, ia bakal dilaksanakan mulai 1 Januari 2017, di mana VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang hadir ke JPJ (secara sukarela) bagi menggantikan Kad pendaftaran Kenderaan (RC).

    Dengan pelaksanaan VOC ini, JPJ mensasarkan, menjelang 1 Januari 2020 semua pemilik kenderaan berdaftar telah melaksanakan penggantian RC kepada VOC. Dalam masa yang sama, sistem penyampaian perkhidmatan melalui transaksi atas talian juga bakal diperluaskan serta dilaksanakan dengan lebih mudah dan pantas.

     
     
  • Sistem VEP bersedia untuk beroperasi – tempoh percubaan dari 1 Jun hingga 15 Julai ini

    johor causeway jam bernama pix

    Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang masuk ke negara ini melalui Singapura akan bermula dengan tempoh percubaan mulai hari ini sehingga 15 Julai depan. Ujian percubaan ini akan dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan sistem VEP ini berjalan lancar, laporan Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad berkata mulai tengah malam ini (1 Jun), kadar bagi caj VEP ditetapkan sebanyak RM20 mulai 16 Julai ini. Beliau menambah pendaftaran bagi VEP ini akan berlanjutan sehingga hujung tahun ini. Setakat ini, sebanyak 12,000 kenderaan Singapura telah mendaftar di bawah sistem VEP ini.

    Hasni turut menambah, JPJ akan menyediakan kaunter operasi 24 jam dalam tiga shif bagi memastikan sistem VEP berjalan lancar. Mana-mana pengguna yang memerlukan bantuan atau pun maklumat tambahan, boleh ke kaunter JPJ berkenaan.

    “Kami menjangkakan akan berlaku kesesakan pada masa hadapan cuma tidak akan seteruk sekarang. Dari maklumbalas yang kami peroleh, pengguna kenderaan dari Singapura tidak mempersoalkan VEP ini tetapi lebih bimbang mengenai kesesakan dan implementasinya sahaja,” ujarnya.

    VEP ini juga mampu mengesan kenderaan pendaftaran Singapuran yang menerima saman di negara ini tetapi belum menjelaskannya. Ini kerana jumlah kenderaan Singapura yang masih memiliki saman tertunggak berada pada kadar yang agak tinggi.

     
     
  • Perodua dan Petronas Lubricants baharui kontrak sefahaman – perlaburan RM355j, minyak enjin Perodua dipasarkan secara lebih meluas mulai Sept 2016

    EMY_0221

    Perodua Sales Sdn Bhd dan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM) telah memperbaharui kontrak sefahaman sebentar tadi, di Perodua Sentral Petaling Jaya. Ia turut melibatkan penjanjian sefahaman bernilai RM355 juta, di mana Petronas akan terus membekalkan sejumlah 17 juta liter minyak enjin kepada Perodua dalam jangka masa lima tahun.

    Ia melibatkan peningkatan bekalan sebanyak 21% berbanding kontrak sebelum ini yang termeterai sejak tahun 2003.

    Selain memperbaharui kontrak ini, Perodua turut memperkenalkan minyak enjin yang dibekalkan oleh Petronas yang disasarkan untuk pasaran selepas jualan. Di mana sebelum ini, minyak enjin Perodua hanya boleh dibeli secara terus dari pusat servis Perodua bertauliah sahaja. Namun, mulai September 2016 ini, para pemilik kenderaan Perodua juga boleh membeli minyak enjin ini di mana-mana bengkel atau kiosk yang menjualnya, selain di pusat servis Perodua sendiri.

    Perodua_engine_oil

    “Minyak enjin ini adalah sama seperti mana yang dijual di pusat servis kami. Apa yang membezakannya adalah warna botolnya sahaja iaitu warna keemasan bagi yang dijual di pusat servis kami, manakala biru bagi yang dijual di luar pusat servis.

    “Memandangkan ramai pemilik kenderaan Perodua terutamanya yang sudah tamat waranti sering kali menghantar kenderaan untuk diselenggara di bengkel lain selain pusat servis kami, maka kami mengambil keputusan untuk memperluaskan pasaran bagi minyak enjin ini,” ujar Dr.Zahari Husin selaku Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd.

    Katanya lagi, minyak enjin semi sintetik yang dijual di pasaran terbuka ini adalah sama gred dengan yang dijual di pusat servis bertauliah Perodua. Walau bagaimana pun, harganya akan ada sedikit perbezaan dan ia akan diumumkan menjelang September ini.

    Beliau turut berkata, bagi tahun ini, Perodua mensasarkan sebanyak dua juta kenderaannya akan ke 189 pusat servis bertauliahnya di seluruh negara. Iaitu peningkatan sebanyak 40,000 daripada 1.96 juta kenderaan yang direkodkan pada tahun lalu.

    “Minyak enjin ini memang diformulasi khas bagi kenderaan Perodua dan ia juga mampu meningkatkan prestasi enjin, malahan memiliki perlindungan yang lebih optimum. Petronas telah membekalkan minyak enjin ini sejak 2003 mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan oleh Daihatsu. Dan ia tidak akan dijual untuk jenama lain, memang khas bagi Perodua sahaja,” ujar CEO PLMM Zubair Abdul Razak pula.

     
     
  • Peugeot 408 e-THP secara rasminya dilancarkan – CKD, hanya satu varian, 167 PS/245 Nm, RM143,888

    Peugeot-408-1

    Setelah dipamerkan buat pertama kali untuk tatapan orang ramai di pusat membeli belah Publika pada pertengahan April lalu, Nasim Sdn Bhd hari ini secara rasminya melancarkan Peugeot 408 e-THP untuk pasaran Malaysia.

    Malaysia merupakan pasaran kedua dalam dunia menerima model sedan ini, yang sebelum ini hanya dijual secara ekslusif untuk pasaran China dan 408 pasaran Malaysia merupakan model pertama di dunia yang dibuat dengan spesifikasi yang berlainan dari 408 pasaran China.

    Hanya satu varian tunggal ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu dan dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran bermula RM143,888. Setiap pembelian 408 e-THP disertakan sekali dengan waranti pengeluar tiga tahun tanpa had perbatuan dan di tambah dengan dua tahun waranti tambahan. Enam warna ditawarkan untuk pembeli iaitu Alpine White, Aluminium, Premium Black, Aster Grey, Bourrasque Blue dan Lucifier Red.

    Peugeot-408-2

    Sedan 408 adalah dibina berasaskan model hatchback 308, oleh itu, untuk model pasaran Malaysia yang diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Naza Gurun, Kedah (sama seperti model 308), spesifikasi uniknya adalah dihasilkan melalui gabungan kerangka sedan 408 dan ciri-ciri serta teknologi yang ada pada model 308.

    Jika dilihat dari bahagian hadapan, imej 308 jelas mendominasi sedan 408 ini dengan lampu hadapan ‘bertaring’ LED penuh dan bampar hadapan yang diambil terus dari 308. Perbezaan antara kedua-dua buah model tersebut adalah pada rekaan gril hadapan, dimana gril bersalut krom dengan motif jaluran melintang menempatkan sekali logo singa Peugeot berbanding 308 di mana logo singa tersebut terletak pada bonet hadapan.

    Pada bahagian sisi menyaksikan 408 dilengkapi dengan roda aloi “Rubis” dengan motif corak turbin bersaiz 17-inci, sama seperti yang terdapat pada varian asas 308 THP Active, berbeza dengan 408 spesifikasi China yang dilengkapi dengan roda aloi pelbagai jejari. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan yang seiras dengan 408 China, dilengkapi dengan lampu belakang LED berbentuk-C dan dua tip ekzos berbentuk-trapezoid.

    Perbezaan terbesar antara 408 spesifikasi China dan Malaysia dapat dilihat pada bahagian dalaman. Peugeot 408 pasaran Malaysia berkongsi rekaan papan pemuka dengan model 308 avant-garde, berbanding 408 China yang mempunyai rekaannya yang tersendiri. Sedan ini turut dilengkapi dengan paparan instrumen i-cockpit. Skrin paparan yang berukuran 9.7 inci diapit oleh dua liang penghawa dingin tengah. Berbanding 308, roda stereng 408 mempunyai diameter yang lebih kecil.

    Kabin sedan ini juga dilengkapi dengan sistem penghawa dingin automatik dua zon serta liang penghawa dingin untuk bahagian belakang.

    Keseluruhan tempat duduk 408 dibalut dengan kulit berbanding varian tertinggi 308 THP menerima balutan Alcantara dibahagian tengah dan hanya balutan fabrik pada varian Active. Selain itu turut kelihatan, kereta ini dilengkapi dengan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin, sistem Smart Park Assist II yang membantu pemandu untuk memarkir serta brek parkir elektronik.

    Peugeot 408 dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Turbo High Pressure (THP) empat-silinder dengan sistem pancitan bahan api terus. Walaupun menggunakan enjin yang sama dengan 308, enjin yang dipadankan pada 408 mampu menjana kuasa lebih besar iaitu 167 PS pada takat 6000 rpm dan tork maksima 245 Nm bermula seawal 1400 rpm hingga 4000 rpm (berbanding 308 yang berkuasa 150 hp/240 Nm), dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan beserta teknologi Quikshift. Abjad “e” pada nama model ini (408 e-THP) merujuk kepada sistem start-stop automatik pada enjin yang buat pertama kalinya dilengkapi pada model Peugeot pasaran Malaysia.

    Gabungan enjin dan kotak gear tersebut membolehkan sedan ini memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 8.2 saat dan kelajuan maksima dicatatkan pada 215 km/j. Menurut Peugeot, kadar penggunaan bahan api 408 e-THP ini mencatatkan penggunaan 6.5 liter petrol untuk 100 km perjalanan pada kitaran pemanduan gabungan NEDC Eropah.

    Untuk ciri keselamatan, 408 dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman dan Sistem Informasi Titik Buta (BLIS). Walau bagaimanapun, 408 tidak dilengkapi pakej Driver Assistance seperti 308 THP yang terdiri dari Kawalan Kelajuan Dinamik, Amaran Pelanggaran Kecemasan dan juga Brek Kecemasan Automatik.

     
     
  • Kutipan tol di LPT2 ditangguhkan sehingga Aidilfitri

    LPT2_PTBM

    Mengambil kira kepentingan masyarakat terutamanya yang bakal pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang hari lebaran tidak lama lagi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersetuju untuk menangguhkan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang sepatutnya bermula Jun ini.

    “Penangguhan itu akan berkuat kuasa sehingga Hari Raya Aidilfitri ini,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Rosli Othman, menerusi laporan Astro Awani.

    Katanya lagi, kerajaan negeri Terengganu telah memohon penangguhan tersebut bagi meringankan beban rakyat dan memberi peluang kepada pengguna untuk menikmati tol percuma dalam tempoh berkenaan.

    Malah ia juga dianggap sebagai hadiah kepada rakyat Terengganu serta Kelantan yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sekolah, dan perayaan Aidilfitri.

    Dalam masa yang sama, LLM juga telah memastikan Hentian Rehat dan Rawat yang sebelum ini kosong, sudah mula beroperasi sepenuhnya bagi kemudahan orang ramai.

     
     
  • Ford Malaysia umum promosi khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini

    ford-hari-raya-2016_BM

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar Ford di Malaysia hari ini mengumumkan beberapa promosi istimewa buat pemilik-pemilik Ford sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang. Pelanggan boleh menikmati rebat tunai dan bayaran bulanan yang menarik untuk model- model terpilih di seluruh negara serendah RM588 bagi Fiesta, RM908 untuk EcoSport dan RM1,258 untuk Kuga mulai sekarang hingga 15 Julai depan.

    Sebagai tambahan, pelanggan yang menempah mana-mana model Ford mulai hari ini hingga 30 Jun layak mengambil bahagian dalam peraduan Cabutan Bertuah Ramadhan Raya. Lima orang pemenang bertuah bakal membawa pulang 10g emas. Manakala 50 orang pemenang pula akan dihadiahkan dengan unit navigasi Garmin GPS.

    Untuk menyertainya, mereka hanya perlu melengkapkan borang peraduan dan hantarkan ke mana-mana pengedar sah Ford di seluruh negara. Bagi semua pemilik kenderaan Ford pula, mereka boleh mengambil kesempatan atas promosi selepas jualan Ford Riang Ria’ dari sekarang hingga 9 Julai 2016.

    ford-riang-ria_BM

    Di bawah promosi ini, pelanggan yang berbelanja RM350 keatas untuk penyelenggaraan atau menukar alat ganti di pusat servis sah Ford akan menerima barangan Ford secara percuma. Mereka juga layak menyertai satu cabutan bertuah serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti sebuah Apple iPhone 6, iPad Mini 2 dan iPod Shuffle. Pelanggan hanya perlu melengkapkan borang peraduan dan menghantarnya bersama invois asal atau salinan yang telah disahkan.

    Ford turut menawarkan diskaun sehingga 20% ke atas alat-alat ganti terpilih seperti pakej brek dan tali sawat pemasaan (timing belt). Diskaun 10 peratus diberikan ke atas minyak pelincir, brek dan pakej tali sawat pemasaan. Sementara mereka yang memilih “Pakej Penjimatan Bahan Api” pula akan menikmati diskaun sebanyak 10% ke atas penapis minyak.

    Pemilik Ford juga ditawarkan pemeriksaan 27 poin untuk kenderaan mereka yang dikendalikan oleh juruteknik bertauliah Ford. “Kami tahu semua orang akan melalui jarak perjalanan yang jauh sepanjang musim perayaan kerana masing-masing ingin pulang ke kampung halaman dan menghabiskan masa bersama ahli keluarga. “Kami berbesar hati untuk menawarkan musim cuti yang indah melalui pelbagai promosi dan diskaun servis seperti ini. Ia merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan para pelanggan dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat dan menikmati musim perayaan ini sepenuhnya,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    Pelanggan yang membeli dan mendaftarkan sebuah Ranger 2.2L XLT atau 3.2L XLT sehingga 30 Jun akan menikmati jaminan lanjutan selama dua tahun atau jarak perbatuan sejauh 100,000km di bawah Program Jaminan Lanjutan SDAC. Ini adalah tambahan kepada jaminan pengeluar standard iaitu selama tiga tahun yang kini dinikmati oleh semua pelanggan Ford.

     
     
  • Pikap Peugeot berasaskan Toyota Hilux – lakaran imaginasi disebarkan dengan imej yang cukup bergaya

    peugeot-hilux-truck-render

    Awal bulan lalu, dilaporkan PSA Peugeot Citroen (atau kini dikenali sebagai PSA Groupe) telah mempunyai perancangan untuk memperkenalkan trak pikap di dalam barisan modelnya dalam tempoh perancangan lima tahun akan datang, seperti mana yang didedahkan dalam pelan rancangan “Push to Pass”. Malah trak tersebut juga dikatakan akan berasaskan model Toyota Hilux generasi ke-lapan.

    Pakar Photoshop Theophilus Chin telah pun menghasilkan lakaran imaginasi bagi model ini, dengan meletakkan Peugeot Traveller pada kerangka Hilux.

    Buat setakat ini, tiada perincian lanjut mengenai trak pikap PSA ini, termasuklah ia akan menggunakan logo Peugeot atau/dan Citroen, atau adakah ia juga akan menggunakan enjin diesel GD yang baharu dari Toyota.

    Perkongsian platform bukan suatu yang tidak biasa dilakukan di antara pengeluar kenderaan, terutamanya yang ingin mengurangkan kos dalam pembangunan kenderaan. Sebagai contoh, Toyota ProAce, Citroen SpaceTourer dan Peugeot Traveller menggunakan platform yang sama, tetapi menampilkan gaya yang tersendiri.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025