Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Norway cadang mengenakan larangan kenderaan diesel, petrol menjelang 2025 di jalan rayanya

    Norway-fuel-car-ban-e1465203962622

    Selepas Perancis mengambil keputusan untuk mengenakan larangan terhadap kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 di atas jalan rayanya, Norway turut mengambil langkah yang sama. Menurut laporan akhbar Dagens Næringsliv, empat parti politik utama negara berkenaan sudah sebulat suara untuk menghentikan jualan bagi kenderaan yang dikuasakan oleh petrol dan diesel menjelang tahun 2025.

    Malah kerajaan Denmark, juga sedang mempertimbangkan larangan yang sama, di mana Netherlands memiliki 10% perkongsian pasaran bagi kenderaan plug-in. Sementara India pula merancang untuk memastikan semua kenderaan di atas jalan rayanya adalah janaan kuasa elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030.

    Screen Shot 2016-06-07 at 4.27.18 AM

    Walau sebelum ia dikuatkuasakan, cadangan ini turut diwar-warkan oleh Elon Musk, ketua eksekutif di Tesla Motors. Musk telah memuat naik status di Twitter dengan berkata, ““just heard that Norway will ban new sales of fuel cars in 2025. What an amazingly awesome country. You guys rock!!”

    Norway telah pun memiliki perkongsian pasaran bagi kenderaan elektrik iaitu sebanyak 24%, dan 99% daripada punca elektrik Norway dijanakan oleh kuasa hidro. Bagi perancangan untuk menghentikan jualan bagi kenderaan sedemikian dalam tempoh sembilan tahun ini, Norway turut mengusulkan pelan perancangan untuk pengangkutannya termasuk melarang semua kenderaan persendirian daripada memasuki bandar Oslo menjelang tahun 2019.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic 1.0 litre VTEC Turbo di China

    2016-Honda-Civic-180Turbo-China-1

    Honda Civic generasi ke-10 juga telah pun diperkenalkan di China, namun ia menawarkan empat varian 220Turbo yang kesemuanya dijanakan oleh enjin 1.5 liter VTEC. Malah dikhabarkan, enjin berkapasiti kecil juga akan ditawarkan di sana, menurut spyshot dari PC Auto.

    Dipanggil Civic 180Turbo, ia dikuasakan oleh enjin 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder VTEC. Penjana kuasa ini dikatakan belum dipakai oleh mana-mana model Civic di dunia ini, tetapi peringkat awalnya disahkan untuk Civic pasaran Eropah, yang akan dilancarkan pada tahun 2017.

    Civic 180Turbo ini secara efektifnya akan menjadi model asas baharu bagi barisan Civic untuk pasaran China, yang diposisikan di bawah 220Turbo. Kedua-dua varian ini akan diproduksikan sebagai sebahagian daripada usaha sama domestik antara Honda dan Dongfeng Motors.

    Mengenai kuasanya, turbo tiga-silinder ini mampu menghasilkan 129 PS dan 200 Nm bagi model prototaip (pada Civic hatch di Europah), iaitu kurang 12 PS tetapi lebih 26 Nm berbanding enjin R18Z1 1. liter naturally-aspirated. Berbanding enjin 1.5 liter VTEC Turbo, penjana kuasa yang lebih kecil ini kurang 44 PS dan 20 Nm daripadanya.

    Sebagai model asas baharu, Civic 180Turbo akan ‘hilang’ beberapa elemen. Bagi luaran, lampu utama LED digantikan dengan unit halogen, dan rim aloi dua-tona pula digantikan dengan lebih kecil bersama satu warna sahaja.

    Kabinnya turut didedahkan dengan roda stereng pelbagai-fungsi yang tiada butang kawalan pada bahagian kanan. Selain itu, unit hiburan skrin sentuh juga tiada dan tempat duduk hanya balutan fabrik. Kelihatan juga penukar gear manual, jika dibandingkan untuk CVT bagi Civic 220Turbo.

    Di China, Civic 220Turbo didatangkan dengan empat varian, dan harganya dari 129,900 yuan hingga 169,900 yuan (RM81,100 hingga RM106,073). Manakala Civic 180Turbo akan datang pastinya dengan harga yang lebih murah. Setakat ini, tidak diketahui berapa varian bagi model 1.0L bakal ditawarkan.

    GALERI: Honda Civic 220Turbo (pasaran China)

     
     
  • Renault Malaysia anjur kempen ‘Renault – Motorsports Is in Our DNA’; Fluence ditawar rebat tunai RM15k

    'Renault - Motorsports Is In Our DNA ' Campaign_BM

    TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia hari ini mengumumkan kempen ‘Renault – Motorsports Is in Our DNA’ untuk meraikan kesungguhan jenama itu dalam sukan bermotor selama lebih 155 tahun dan penyertaan kembali dalam perlumbaan Formula dengan sebuah pasukan yang lengkap.

    Sah sehingga 31 Ogos 2016, kempen promosi itu memberikan tawaran menarik ke atas kenderaan terpilih Renault. Di samping peluang untuk memenangi hadiah eksklusif Renault Sport Formula One™ Team seperti pas-pas Grandstand dan satu Lawatan Garaj Renault pada acara perlumbaan Malaysian Grand Prix 2016.

    Pelanggan yang membeli mana-mana model Renault sepanjang kempen ini layak untuk menyertai peraduan eksklusif Renault Sport Formula One™ Team. Tiga orang pemenang bertuah akan menerima dua pas Grandstand dan Lawatan Garaj Renault setiap seorang dalam acara Malaysian Grand Prix 2016 pada Oktober depan. Bukan itu sahaja, setiap peserta peraduan juga akan menerima Pek Barangan Renault Sport Formula One™ Team sewaktu penghantaran kereta baharu mereka.

    Malah, sepanjang kempen ‘Renault – Motorsports Is in Our DNA’, mereka yang memandu uji kenderaan Renault di mana-mana bilik pameran Renault akan menerima hadiah serta-merta. Mereka juga bakal menjadi salah seorang daripada 30 orang pemenang bertuah yang membawa pulang model maniatur Renault Sport Formula One™ Team.

    pandu-uji-renault-captur-24

    Sepanjang tempoh kempen ini, pelanggan yang membeli crossover urban Renault Captur akan menikmati bayaran bulanan serendah RM888 sebulan menerusi Pelan Pemilikan Mudah Renault1. Mereka juga akan menerima manfat daripada pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 60,000km (mana-mana tiba dahulu).

    TCEC turut menawarkan rebat sebanyak RM15,000 ke atas varian sedan Renault Fluence terpilih sebagai tambahan kepada bayaran bulanan rendah bermula RM788 dengan Pelan Pemilikan Mudah Renault1.

    Renault Captur yang bergaya dan versatil ditawarkan pada harga RM117,200 seunit. Sementara harga Renault Fluence yang sofistikated dan boleh dipercayai ialah RM108,888. Semua harga itu adalah di atas jalan termasuk GST, tanpa insurans untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia sahaja.

    Renault Captur dan Fluence hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun dan perbatuan tanpa had. Jaminan ini disokong sepenuhnya oleh Renault dan tidak dikendalikan oleh mana-mana syarikat insurans. Maka terma dan syarat serta alat ganti yang dilindungi adalah konsisten dari tahun pertama pemilikan sehinggalah tempoh jaminan tamat.

    FluenceFL_Ext_01

    Dengan jaminan penuh daripada pengeluar, pelanggan dijamin tidak dikenalan caj tambahan atau sebahagian alat ganti terpilih dikeluarkan daripada jaminan, selagi jaminan itu masih sah.

    Pelanggan juga boleh menjimatkan masa dan menikmati lebih kemudahan kerana tuntutan jaminan tidak memerlukan pengesahan daripada pihak insurans. Jadi, tindakan serta-merta boleh diambil untuk pembaikan dan servis yang berkaitan. Jaminan selama lima tahun itu juga boleh dipindah kepada pemilik baharu sepanjang tempoh tersebut.

    Selain itu, para pelanggan Renault Fluence boleh menikmati lebih banyak penjimatan dan pengalaman yang menyenangkan melalui pakej ‘5inFluence’. Selain daripada jaminan pengeluar selama lima tahun, tawaran ‘5inFluence’ turut merangkumi penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau perbatuan sejauh 100,000km mana-mana tiba dahulu.

    Bukan itu sahaja, ia turut disertakan dengan jaminan alat ganti tulen selama setahun, perkhidmatan ambil untuk setiap servis berjadual secara percuma dan penyelesaian Mobiliti 24 jam yang menawarkan sebuah kereta gantian apabila Fluence anda terpaksa berada di pusat servis lebih dari 48 jam.

     
     
  • Kit Lego Technic Porsche 911 GT3 RS – 2,704 komponen dengan buku manual 578 muka surat

    Lego-Technic-Porsche-911-GT3-RS-1-e1465191703203_BM

    Jika anda peminat kereta dan juga Lego, terutamanya dari siri kejuruteraan Technic, anda tentu suka kit Porsche 911 GT3 RS yang baharu sahaja dilancarkan ini. Kit tersebut hadir dalam lima kotak berketebalan 25 mm beserta buku manual setebal 578 muka surat.

    Buku manual yang agak tebal tersebut menunjukkan setiap langkah untuk memasang kit dengan 2,704 komponen yang menggabungkan model yang boleh berfungsi terdiri dari enjin boxer enam-silinder, kotak gear PDK serta sistem stereng. Binaan tersebut memerlukan sejumlah 856 langkah, dan mengambil masa kira-kira enam jam untuk disiapkan sepenuhnya.

    Walaupun ia tidak berskala tepat dengan model sebenar, sistem mekanikal pada kit ini, terutamanya penukar gear PDK, dan sistem kotak gear klac berkembar PDK berfungsi sepenuhnya dengan konsep yang sama seperti kotak gear PDK sebenar Porsche 911 GT3 RS.

    Kit ini menampilkan warna badan kereta keseluruhan berwarna oren dengan angkup brek berwarna kuning seperti model sebenar, dan turut disertakan pelekat-pelekat yang sepatutnya termasuk dua pelekat pada skrin GPS – satu untuk mod di mana sistem tersebut dimatikan, memaparkan logo Porsche, manakala satu lagi menampilkan imej litar ujian Weissach Porsche.

    Seperti dijangka, harga untuk kit ini bukanlah murah. Laman web Lego memaparkan kit lengkap ini dijual pada harga USD 299.99 (RM1,225). Lego juga ketiadaan stok ketika ini, berdasarkan pada senarai yang diberikan pada laman web tersebut, tempahan sedang diambil dan penghantaran ke pelanggan mengambil masa 30 hari. Tempahan juga dihadkan hanya kepada dua unit sahaja untuk setiap pelanggan.

     
     
  • Toyota Estima facelift didedah secara rasmi di Jepun

    esth1606_13_01-e1465190913801_BM

    Setelah imejnya bocor dan tersebar diinternet, Toyota Estima facelift 2016 kini secara rasminya telah didedahkan di Jepun. Secara visualnya, Estima kini menerima rekaan yang lebih agresif bagi membolehkan model yang telah lebih sepuluh tahun dalam pasaran ini menampilkan rupa yang lebih segar.

    MPV ini menerima bampar hadapan baharu, yang menempatkan gril atas bersambung dengan gril bawah dengan bar hitam serta bentuk keseluruhan seksyen tersebut berbentuk trapezoid, seakan motif rekaan pada Vios terkini. Lampu nyalaan siang LED direka secara menegak pada setiap sisi bampar dan disambungkan pada sepasang lampu hadapan LED yang direka lebih nipis, dihubungkan dengan jalur kemasan krom yang menempatkan logo Estima pada bahagian tengah. Pilihan warna dua ton juga ditawarkan kepada pembeli.

    Profil sisi menyaksikan badan MPV ini dilengkapi dengan skirt sisi baharu bersama roda aloi baharu. Bahagian belakang Estima ini pula kelihatan hampir sama dengan model sebelumnya kerana kurangnya pembaharuan dilakukakan pada bahagian tersebut. Jika diteliti, dapat dilihat bampar belakang kini menerima sedikit sentuhan semula. Lampu belakang LED baharu dan sirip “aero stabiliser” juga turut ditampilkan.

    esth1606_19-e1465190614684_BM

    Pada bahagian kabin pula, papan pemuka masih mengekalkan bentangan yang sama, tetapi telah dirombak, menampilkan bahagian tengah yang telah dipisahkan. Ciri-ciri baharu yang dilengkapi termasuk stereng pelbagai fungsi tiga-jejari, kawalan sesentuh untuk sistem penghawa dingin, liang penghawa dingin yang telah direka semula, balutan upholstery dan kemasan yang lebih premium serta paparan pelbagai info TFT berwarna 2.6-inci. Pelbagai konfigurasi tempat duduk juga ditawarkan untuk pilihan pembeli dengan kapasiti sehingga lapan orang, dan sistem sokongan untuk penumpang kurang upaya.

    Untuk pasaran Jepun, Estima ditawarkan dalam versi petrol dan hibrid. Enjin petrol 3.5 liter V6 pada model sedia ada tidak lagi digunakan dan digantikan dengan enjin 2.4 liter 2AZ-FE empat silinder (170 PS/224 Nm) digandingkan dengan kotak gear Super CVT-I automatik memacu roda hadapan.

    Untuk versi hibrid pula, ia menggunakan enjin 2.4 liter 2AZ-FXE (150 PS/190 Nm) digabungkan dengan dua motor elektrik, menjadikan Estima Hybrid sebuah MPV pacuan semua roda. Menurut Toyota, penggunaan bahan api Estima versi petrol mencatatkan bacaan 11.4 km untuk setiap liter petrol dibawah kitaran ujian JC08. Versi hibrid pula mencatatkan bacaan lebih baik iaitu 18 km untuk setiap kilometer.

    esth1606_15_BM

    Ciri keselamatan juga turut menerima peningkatan, dengan pakej Toyota Safety Sense C yang dilengkapkan pada semua varian sebagai standard. Kombinasi dari radar leser dan kamera membantu untuk mewujudkan sistem seperti sistem pra-pelanggaran, Amaran Keluar Laluan dan lampu beam tinggi automatik. Toyota turut memadankan penyerap hentak berprestasi tinggi pada bahagian hadapan bagi menyerap gegaran semasa memandu, dan turut memberikan pengendalian yang lebih bagus.

    Toyota Estima facelift dijual pada harga bermula 3,473,000 yen (RM133,069) untuk varian asas dan mencapai sehingga 4,987,000 yen (RM191,079) untuk model varian tertinggi.

     
     
  • Honda R&D Innovation Lab Tokyo dibuka pada Sept ini

    Honda-Asimo-Jet

    Honda R&D Co Ltd, pusat penyelidikan dan pembangunan Honda, baru saja mengumumkan pelan untuk melancarkan Honda R&D Innovation Lab Tokyo (makmal inovasi R&D) pada September ini. Makmal baharu yang terletak di Akasaka, Jepun, ini akan menjadi pusat “penciptaan bersama”, di mana Honda akan mencari kerjasama dengan pakar luar dan institut kajian lain.

    Pada 2003, Honda R&D telah membangunkan Institut Penyelidikan Honda (HRI) dengan tujuan untuk penyelidikan pintar yang lebih canggih bagi mengeksplorasi lapangan baharu melebihi kejuruteraan mekanikal, termasuk pengesan visual/pendengaran dan kajian otak.

    HRI telah bekerjasama dengan beberapa pihak lain bagi kajian projek untuk memperluaskan rangkaian di peringkat global dalam kajian sains teknologi terkini di pusat operasinya di Frankfurt, Jerman, Lembah Silicon dan Columbus di USA dan Wako-City di Jepun.

    Dengan menambah Honda R&D Innovation Lab Tokyo dalam rangkaian, Honda juga bersedia mencari tarikan dan bakat baharu dari luar untuk menembusi pasaran global secara lebih meluas. Malah syarikat ini juga mengaplikasikan praktikaliti berhubung teknologi menerusi kerjasama dengan pakar luar dan institut kajian lain.

    Dalam masa yang sama, Honda juga akan memperkukuhkan dan memperluaskan lagi kajian dalam lapangan teknologi pintar, sambungan dan robotik. Serta mengaplikasikan teknologi pintar ini dalam bidang mobiliti.

     
     
  • DBKL lantik pakar periksa 100,000 batang pokok di tepi jalan sekitar bandaraya Kuala Lumpur

    fallen-trees_BM

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik pakar untuk memeriksa pokok-pokok di sepanjang jalan Bandaraya tersebut, lapor The News Starits Times.

    Datuk Bandar Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihaknya telah melantik ahli arbor yang akan ditugaskan dalam 16 pasukan kontraktor penyelenggara pokok, untuk memeriksa keadaan pokok-pokok tersebut sebelum langkah seterusnya diambil.

    “Jumlah pokok yang diperolehi setakat ini hanyalah pokok-pokok yang dikenalpasti di tepi-tepi jalan. Proses untuk mengemaskini inventori pokok kami kini sedang berjalan. Angin yang sangat kencang bertiup pada petang Jumaat lalu merupakan kebimbangan utama pengguna jalan raya terutamanya ketika ia bertiup, walaupun DBKL telah menjaga dengan rapi, pokok-pokok tersebut tumbang kerana angin yang terlalu kencang.” kata Datuk Bandar itu dan turut menambah ahli arbor yang ditugaskan sudahpun memulakan tugas mereka sejak tahun lalu.

    DBKL turut mengatakan pokok tumbang dilaporkan pada 39 lokasi ketika ribut petir berlaku Jumaat lalu, yang merosakkan kenderaan-kenderaan dan rumah-rumah di beberapa bahagian bandar di Jalan Klang Lama. Hujan lebat turut menyebabkan banjir kilat seterusnya membawa kepada sesesakan lalu lintas kerana kenderaan-kenderaan yang terkandas di Jalan Kemuja (berhampiran Jalan Bangsar), Jalan Duta, Jalan Semantan dan Batu Caves.

     
     
  • SPYSHOTS: Honda Civic 2016 dikesan di atas trailer di M’sia, dilancarkan 9 Jun, di bilik pameran mulai 11 Jun

    2016-Honda-Civic-spotted-trailer-2-e1465185480163

    Honda Malaysia bakal melancarkan model generasi ke-10 Civic di Malaysia pada 9 Jun ini. Baru-baru ini, ia mula kelihatan sedang diangkut oleh trailer untuk diedarkan ke bilik pamerannya. Terima kasih kepada pembaca paultan.org Norazalan Kasim dan Ken Lim kerana mengirimkan foto ini.

    Sama dengan foto spyshot yang pernah disiarkan sebelum ini, unit yang dibawa oleh trailer ini adalah bagi varian asas 1.8L dan Turbo. Ia jelas kelihatan daripada rekaan roda dengan gaya shuriken (sama seperti Civic 1.8 EL spesifikasi Thai) dan juga warna Modern Steel Metallic, bagi model 1.8L. Foto yang lebih dekat itu juga menampakkan pemegang pintu dengan warna yang sama dengan badannya.

    Bagi varian Turbo, ia dipadankan dengan rim aloi lima-jejari 17-inci dan pemegang pintu krom. Malah turut menampilkan lampu utama LED penuh dan lampu kabus hadapan LED.

    Malah Honda Malaysia juga telah memulakan ‘count down’ sebagai kemuncak menantikan debaran pelancaran Civic 2016. Semalam, Honda Malaysia telah memuat naik foto terbaharu di Facebook rasmi mereka dengan memaparkan fungsi penahan brek bersama kapsyen, “the dream ride arrives in 4 days.”

    Sebelum ini, foto fungsi alat kawalan penghidup enjin, enjin 1.5 liter VTEC Turbo, fungsi kunci automatik ‘walk-away’ dan panel instrumen digital turut dimuat naikkan. Civic baharu ini juga akan mula berada di semua bilik pameran Honda di seluruh Malaysia pada 11 Jun ini.

    Semakin tidak sabarkan? Sementara menantikan 9 Jun ini, sila baca ulasan pandu uji Civic 2016 yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini. Pastinya ia bakal menambahkan keterujaan anda menantikan model ini dan mungkin pilihan terbaik untuk anda memilikinya.

    Debaran kemuncak pelancaran Honda Civic 2016

     
     
  • Promosi Raya oleh Volkswagen – diskaun dari RM15k hingga RM70k untuk model CBU tahun 2015

    Screen-Shot-2016-06-06-at-9.13.27-AM_BM

    Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, Volkswagen mengumumkan promosi baharu yang memberikan pembeli penjimatan yang agak besar untuk model 2015 diimport sepenuhnya (CBU), serta rebat tunai RM2,000 tambahan.

    Volkswagen Golf 1.4 TSI kini RM13,000 lebih murah. Setelah ditolak dengan rebat yang diberikan, harga atas jalan tanpa insuran model tersebut kini hanya RM149,608. Walau bagaimanapun, Golf 2016 kini turut hadir dengan varian Comfortline yang lebih murah iaitu RM1,027 lebih dari harga model CBU 2015 tetapi kurang dari segi ciri-ciri yang dilengkapi seperti lampu hadapan halogen, tiada kawalan kelajuan, tiada cermin pandang belakang anti-silau automatik dan penghawa dingin dua zon.

    Model lain yang turut ditawarkan dalam promosi ini termasuk model Beetle 1.2 TSI yang menerima diskaun RM14,000 – memberikan pejimatan keseluruhan RM16,000 – manakala untuk model CC 1.8 TSI pula menerima diskaun sebesar RM70,000 (diskaun RM68,000 dengan rebat tunai RM2,000). Golf GTI turut ditawarkan diskaun bernilai RM34,000, dan menjadikan ia menerima penjimatan keseluruhan RM36,000. Kesemua model Volkswagen dilindungi dengan waranti lima-tahun dengan kadar perbatuan tanpa had.

     
     
  • Hyundai anjur kempen keselamatan jalan raya, pemeriksaan percuma untuk semua keretanya

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive-030

    Bulan Ramadan telah pun bermula dan sebulan lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pula. Ini bermakna pastinya ramai yang telah dan sedang merancang untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut kehadiran Syawal bersama keluarga dan sanak saudara.

    Sempena perayaan yang bakal tiba itu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mula menganjurkan kempen keselamatan jalan raya dengan menawarkan pemeriksaan 12-mata percuma bagi semua kenderaannya. Ia berlangsung di stesen Shell terpilih.

    Kempen yang berlangsung mulai 29 Mei hingga 17 Julai ini, akan menempatkan juruteknik bertauliah Hyundai di stesen Shell tersebut dari jam 10 pagi hingga 5 petang untul mengendalikan sesi pemeriksaan kenderaan dan memberikan khidmat nasihat kepada para pelanggan berhubung isu atau komponen mana yang perlu digantikan. Malah pemilik kenderaan juga akan dididik mengenai tahap keselamatan dan penyelenggaran kenderaan yang betul.

    “Kami berharap dengan usaha yang dilakukan ini mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya di lebuhraya. Kemalangan jalan raja berpunca dari banyak faktor termasuk kecuaian manusia dan pemanduan yang tidak berhemah, serta kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik. Ini termasuk pad brek dan tayar yang sudah tidak selamat untuk digunakan lagi,” ujar Lau Yit Mun, Pengarah Urusan HSDM.

    Pasukan HSDM akan ditempatkan di stesen Shell berikut:
    Shell NKVE (Lebuhraya Utara Selatan, KM15.8) – 29 Mei
    Shell Sinaran Tuah Selatan (Batu 11, Lebuhraya Pontian-Johor Bahru) – 5 Jun
    Shell Isfa Filling Station (Lebuhraya Sg Petani-Juru, KM141.8) – 12 Jun
    Shell Merdeka Jayabumi Enterprise (Arah KL PLUS Mukim KM28.7 – near Jalan Duta Toll) – 17 Julai

     
     
  • Proton Perdana 2016 dilihat tiba di pengedar

    2016-Proton-Perdana-undisguised-1-850x478_BM

    Proton Perdana 2016 dilihat telah tiba di pengedar Proton. Imej dan video yang kami terima ini adalah dari pembaca paultan.org, Lim Tsu Shyang, dan model yang dilihat tersebut merupakan varian tertinggi 2.4 liter.

    Seperti yang anda boleh lihat, rekaan luaran Perdana 2016 ini jauh berbeza dari Honda Accord generasi kelapan iaitu model asas sedan segmen-D nasional ini. Pada bahagian hadapan, ia dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan projektor xenon dengan lampu nyalaan siang LED, dihubungkan dengan dua bar krom pada gril hadapan yang turut menampilkan logo 3D terbaharu Proton. Apron bahagian bawah turut dilengkapi dengan trim krom dan lip yang besar.

    Bahagian sisi pula menampilkan roda 17-inci rekaan baharu, yang belum lagi kelihatan dipadankan pada mana-mana model Proton sebelum ini. Pintu belakang Perdana ini turut direka semula menampilkan tiang-C yang lebih besar dan curam serta dilengkapi cermin tambahan. Sedan ini juga kelihatan sangat panjang, kerana panjang keseluruhannya diukur melebihi lima meter, lebih panjang dari Accord, Toyota Camry dan juga Mazda 6.

    Bahagian belakang menyaksikan tiada sebarang perubahan berbanding dengan model yang dipamerkan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) bulan lalu. Sepasang lampu belakang berbentuk-C dihubungkan dengan trim krom pada penutup but, lampu kabus belakang, reflektor dan kemasan tip ekzos berkembar ‘palsu’ merupakan antara ciri-ciri yang dipadankan.

    Bahagian dalaman menampilkan kabin yang hampir menyerupai Accord dengan sedikit perubahan. Sistem infotaimen dilihat mempunyai dua skrin iaitu skrin sesentuh pada bahagian bawah serta skrin pelbagai informasi diletakkan pada bahagian atas. Keseluruhan bahagian dalaman menerima tema warna beige dan kesemua tempat duduk dilihat menerima balutan kulit.

    Untuk varian 2.4 liter ini, Perdana dilengkapi enjin K24Z2 DOHC i-VTEC berkuasa 177 hp/222 Nm dan dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan automatik. Sama seperti barisan model lain, Perdana turut akan menerima enjin baharu Proton setelah program pembangunan enjin tersebut lengkap dan mula memasuki produksi pada penghujung 2017. Perdana dijangka dipadankan dengan enjin turbo NE01 2.0 liter empat-silinder yang diperolehi daripada Petronas pada tahun 2012 dan juga enjin turbo 1.5 liter pancitan bahan-api terus (TGDI) yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 180 hp/250 Nm. Kedua-dua enjin ini bakal dipadankan dengan kotak gear CVT torque converter automatik baharu.

     
     
  • JLR kemuka saman penciplak Range Rover Evoque

    evoque-comparo-1-1

    Jika memiliki sedikit persamaan bagi rekaan imej, mungkin tidak begitu seserius mahu mengemukakan saman. Bagi Jaguar Land Rover (JLR), tindakan Jiangling Motor yang secara terang-terangan meniru rekaan model Range Rover Evoque dengan menghasilkan LandWind X7 adalah suatu perkara yang dianggap melampau.

    Sehubungan itu, JLR telah mengambil keputusan untuk mengemukakan saman terhadap pengeluar kenderaan dari China itu, laporan agensi berita Reuters. Dalam kes yang dikemukakan di mahkamah Beijing, JLR mendakwa Jiangling Motor telah mencipta rekaannya dengan melanggar isu hak cipta.

    “Tindakan Jiangliang Motort yang melanggar hak cipta kami dengan meniru rekaan Range Rover Evoque dianggap sebagai satu persaingan yang tidak adil,” ujar jurucakap JLR.

    evoque-comparo-1a-1

    Malah jika dilihat daripada pelbagai sudut, ternyata LandWind X7 memang cukup mirip dengan Range Rover Evoque. Bahagian hud, logo, lampu utama, cermin, gril sisi dan bampar belakang ternyata memang menyamai dengan Range Rover Evoque itu.

    Tindakan JLR dalam mengemukakan saman ini dilihat memberikan inspirasi buat syarikat pengeluar kenderaan lain termasuk Ford, Volkswagen, Cadillac, BMW/Mini dan banyak lagi untuk melakukan tindakan yang sama terhadap pengeluar kenderaan China yang kerap meniru rekaan ini.

    Malahan tindakan meniru ini juga antara sebab jenama kenderaan di luar China sukar untuk menawan pasaran negara berkenaan. Ini kerana syarikat pengeluar kenderaan China telah menghasilkan rekaan ‘ciplak’ dengan harga yang ditawarkan pula jauh lebih murah tetapi pastinya kualiti yang lebih rendah.

    GALERI: Range Rover Evoque

    GALERI: LandWind X7

     
     
  • Mark Higgins pecah rekod baharu untuk kategori kereta di Isle of Man dengan WRX STI yang diubahsuai

    PACEMAKER, BELFAST, 4/6/2016: Mark Higgins on Glencrutchery Road for the Subaru practice lap. PICTURE BY TONY GOLDSMITH

    PACEMAKER, BELFAST, 4/6/2016: Mark Higgins on Glencrutchery Road for the Subaru practice lap.
    PICTURE BY TONY GOLDSMITH

    Setelah dua kali memperbaharui rekod lap terpantas di litar jalan raya Isle of Man dengan Subaru WRX yang hampir standard, Juara Rali British tiga kali, Mark Hinggins memecahkan sekali lagi rekod peribadi beliau di litar tersebut dengan WRX STI yang diubahsuai sepenuhnya oleh Prodrive, menurut laporan autocar UK.

    Hinggins melengkapkan litar sejauh 37.73 batu (60.72 km) tersebut dalam masa 17 minit 49.75 saat dengan kelajuan purata 126.971 bsj (204.34 kmj), menggunakan tayar slick Dunlop Sport Maxx kompaun sederhana yang diambil terus dari jentera Kejohanan Touring Car British (BTCC). Beliau memecahkan rekod yang dicatatkan oleh dirinya sendiri pada tahun 2014 dengan masa 19 minit 15.88 saat dengan kelajuan purata 117.51 bsj (189.11 kmj) menggunakan tayar radial jalanan biasa.

    Sejurus selepas mencatatkan rekod baharu tersebut, Higgins memeberitahu Manx Radio ” Saya fikir 125 bsj hanyalah mimpi sebelum memulakannya. Saya hanya melakukan sekali latihan jadi saya sangat gembira kerana dapat mencatatkan rekod sedemikan pada lap kedua dan ia pastinya akan diperbaiki lagi kerana saya sentiasa belajar setiap kali saya menghabiskan satu lap litar ini – begitu juga dengan kereta, ia pastinya dapat melakukan lebih lagi.”

    “Keadaan litar sangat baik – satu-satunya masalah yang saya hadapi adalah pada lima atau enam batu sebelum garis penamat apabila penglihatan saya kurang jelas pada cermin hadapan. Ini membuatkan ia agak sukar pada sektor terakhir, tetapi saya sebenarnya tidak boleh mengeluh kerana penunggang yang menunggang disini mengalami masalah yang sama pada visor mereka setiap masa,” tambah Higgins.

    subaru_wrx_sti_003_0

    Prodrive adalah sebuah pasukan yang sangat memahami WRX STI. Hubungan antara STI dan Prodrive telah wujud seawal 1990 apabila kerjasama mereka bermula dengan pembinaan jentera Subaru Legacy untuk kejohanan rali dunia. Kerjasama tersebut terus terjalin dengan pembinaan jentera WRC Subaru Impreza WRX generasi pertama dan seterusnya, sehingga Subaru mengundurkan diri dari WRC pada tahun 2008. Dalam tempoh tersebut Impreza berjaya menggondol gelaran juara bagi kategori pemandu dan pengeluar beberapa kali, dan Prodrive juga turut bertanggungjawab mengeluarkan beberapa versi edisi terhad Impreza WRX seperti Impreza P1.

    Tiada lagi data mekanikal yang didedahkan. Tetapi dengan rupa paras agresif dan saiz roda perlumbaan sebenar yang lebih besar, pastinya enjin boxer STI 2.5 liter turbo berkuasa 296 hp dan tork 407 Nm memacu kesemua roda melalui kotak gear enam kelajuan asal serta sistem suspensinya telah diubahsuai secara ekstensif, tipikal jentera-jentera binaan Prodrive sebelum ini.

    Higgins mencatatkan rekod 19 minit 26 saat di litar jalan raya Isle of Man TT (terkenal sebagai litar jalan raya untuk perlumbaan motorsikal Manx Grand Prix), memecahkan rekod 19 minit 56.7 saat yang juga dibuat oleh beliau sendiri pada tahun 2011. Kedua-dua rekod tersebut dilakukan Higgins menggunakan jentera WRX STI yang hampir standard, dengan ubahsuai hanya dilakukan pada bahagian suspensi yang ditala untuk laluan beralun dan melompat pada kelajuan tinggi serta kelengkapan keselamatan perlumbaan seperti roll cage, tali keledar keselamatan perlumbaan, alat pencegah kebakaran, dan juga sistem ekzos terus berdesibel tinggi untuk keselamatan penonton.

     
     
  • Bumblebee Chevrolet Camaro baharu didedahkan

    bumblebee-chevrolet-camaro-from-transformers-the-last-knight_100555510_l

    Filem Transformer ke-lima yang berjudul “Transformers: The Last Knight” dijangka akan menerjah pawagam seluruh dunia pada 23 Jun 2017 ini. Pengarahnya Michael Bay turut mendedahkan filem tersebut akan menampilkan Bumblebee Chevrolet Camaro generasi ke-enam.

    Menurut Bay, Bumblebee ini bukan sekadar Camaro biasa. Ya, ia masih mengekalkan warna signatur iaitu kuning-hitam, tetapi Bumblebee baharu ini bakal tampil dengan kit badan baharu dengan spoiler yang lebih agresif. Malah turut menampilkan kit aerodinamik baharu termasuk pemisah (splitter) hadapan yang lebih dalam, skirt sisi dan “wing” belakang yang lebih besar.

    Logo Autobot masih kekal di sisi badannya. Bukan itu sahaja, profilnya lebih rendah berbanding Bumblebee sebelum ini. Rekaan bagi corong bawah juga telah dimodifikasi serta turut menampilkan roda unik dengan imej baharu.

    Walau bagaimana pun, perincian mengenai penjana kuasanya masih belum didedahkan. Namun dijangka menerima padanan enjin 6.2 liter LT1 V8 dari Camaro ZL1.

     
     
  • Mercedes-Benz G350d Professional – untuk ‘purist’

    Mercedes-Benz-G350d-Professional-04_BM

    Setelah menerima facelift setahun yang lalu, Mercedes-Benz mengumumkan varian baharu dalam barisan G-Class mereka iaitu Mercedes-Benz G 350 d Prodessional yang akan dilancarkan September ini. Varian ini dibina untuk mereka yang benar-benar “purist” dan hadir dengan pakej Off-Road, menurut Mercedes ia ideal untuk penggunaan off-road kelas profesional.

    Seperti model G-Class yang lain, G 350 d Professional dibina berasaskan kerangka badan ladder-type, sistem pacuan semua roda (AWD) sepenuh masa dengan nisbah gear untuk off-road dengan tiga pilihan yang boleh dipilih secara elektrik serta pengunci differential 100%. Ia dijana oleh enjin V6 3.0 liter turbodiesel berkuasa 245 hp yang menjana 33% lebih kuasa berbanding model G 300 CDI Pro sebelum ini. Kuasa dari enjin dialirkan ke kotak gear 7G-Tronic tujuh-kelajuan automatik Mercedes, serta mempunyai penggunaan bahan api 9.9 liter untuk 100 km perjalanan dalam kitaran NEDC, 15.4% lebih baik dari sebelum ini.

    Varian Pro ini dilengkapi dengan gril hadapan kemasan hitam matte dan roda aloi 16-inci lima jejari kemasan hitam, dibalut dengan tayar all-terrain bersaiz 265/70R16. Ia juga turut dilengkapi dengan suspensi yang ditala semula, yang menampilkan kelegaan tanah 10 mm tambahan (245 mm) dan sudut pendekatan/perlepasan yang lebih baik iaitu 36 dan 39 darjah (30/30 darjah pada G 350 d biasa). Ia juga berupaya membawa beban 592 kg dan keupayaan kapasiti menunda melebihi 3,200 kg.

    Mercedes-Benz-G350d-Professional-03_BM

    Bahagian dalaman menerima balutan sepenuhnya pada setiap bahagian. Papan pemuka 350 Pro diambil dari model W463, dan tidak mempunyai fungsi yang lebih banyak seperti papan pemuka W461. Ia juga dilengkapi dengan roda stereng pelbagai fungsi, kolum stereng elektrik dan tempat duduk hadapan yang boleh dilaras sebahagiannya berkuasa eletrik sebagai ciri standard. Lantai kabin dibina dengan permukaan anti-gelincir serta terdapat lubang membuang air untuk memudahkan bahagian tersebut dicuci dan dibersihkan.

    Mercedes-Benz menawarkan beberapa ciri opsyenal yang terdiri dari bampar hadapan besi dengan cagak untuk sistem winch, gril pelindung untuk lampu hadapan bi-xenon serta cermin gelap untuk cermin sisi dan cermin belakang. Pakej ini juga menawarkan kemasan kayu pada kompartmen belakang dan peralatan untuk sistem hands-free. Pelanggan juga boleh memilih untuk memadankan para bumbung dengan tangga serta running board pada bahagian sisi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025