Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Proton diberi tempoh lima tahun pulihkan kewangan

    Proton_Iriz_Review_-019

    Kerajaan memberikan tempoh masa selama lima tahun bagi Proton untuk melengkapkan rancangan pemulihannya dan meletakkan keutamaan bagi syarikat pengeluar kereta nasional itu untuk melindungi rakan strategiknya, menurut The Star.

    Akhbar berbahasa Inggeris terbabit melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion kepada Proton dengan dividen sebanyak 4% setahun selama lima tahun. “Proton perlu mencari rakan strategiknya dan mengimplementasikan pelan pemulihan ini dengan dipantau oleh pasukan petugas khas,” ujarnya.

    Minggu lalu, Kerajaan telah menghulurkan bantuan tunai kepada Proton bernilai RM1.25 bilion menerusi Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (RCCPS) di mana Kerajaan memegang kepentingan sebanyak 79.28% menerusi GovCo Holdings.

    Mustapa berkata Kerajaan memilih untuk perkongsian ini sebagai cara terpantas untuk Proton menyelesaikan masalah kewangannya.

    Mustapa

    Proses ini pastinya mengambil masa yang agak lama, disebabkan penangguhan bantuan untuk Proton menyelesaikan krisis bersama para pembekalnya. “Syarikat ini amat memerlukan aliran tunai bagi membayar pembekalnya,” ujar Mustapa sambil menambah Proton telah meminjam sejumlah RM847 juta sejak 31 Mac 2015.

    Sehubungan itu, Mustapa berkata perjanjian semasa ini adalah disertakan dengan terma dan syarat. Di mana Proton telah bersetuju untuk menukarkan pinjaman kepada saham dengan kadar 87 sen per saham dan kerajaan menerima 87 sen per saha,. Ia adalah 46% di bawah saham semasa Proton iaitu RM1.86 per saham.

    Walau bagaimana pun, Kerajaan tiada sebarang niat dengan struktur pemulihan Proton ini untuk mengambil alih pengurusan, sebaliknya mahu membantu syarikat ini sahaja. “Kerajaan setuju dengan pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion untuk Proton kekal sebagai pengeluar kereta nasional, yang memberikan pekerjaan kepada 12,000 pekerja dan 50,000 pekerjaan dalam rangkaian pembekalan automotif tempatan,” jelasnya lagi.

    Proton-Suzuki-MOU_-010

    Mengenai rakan kerjasama strategik, sebelum ini Proton pernah mengadakan pembincangan dengan beberapa syarikat termasuk Volkswafgen dan General Motor, namun tiada sebarang kata putus diambil. Proton dilaporkan mahu memeterai perjanjian dengan Volkswagen pada tahun 2007, namun Kabinet tidak meluluskan sebarang keputusan yang dibuat pada saat akhir.

    Selepas menjalinkan kerjasama dengan Mitsubishi dan Honda, Proton memeterai perjanjian dengan Suzuki bagi penghasilan model kenderaan, perkongsian platform, penjana kuasa dan teknologi automotif, di mana syarikat Jepun terbabit akan menyalurkan bantuan teknikal bagi produk dan skop terpilih.

    Baru-baru ini pula, The Edge melaporkan Proton telah mengadakan perbincangan bersama PSA Group dan Renault. Di mana perbincangan tersebit dilakukan bersama syarikat induk Proton, DRB-Hicom.

     
     
  • Lexus ES 250 tampil dengan dua warna baharu bagi model edisi terhad – 50 unit, harga dari RM293,900

    Lexus Malaysia, telah mengumumkan pengenalan bagi model edisi terhad Lexus ES 250 dengan dua warna pilihan iaitu Deep Blue Mica dan Sleek Ecru Metallic. Kedua-dua warna ini hanya untuk 50 unit model edisi terhad tersebut iaitu 25 unit bagi satu warna.

    Model edisi terhad Lexus ES 250 ini turut didatangkan dengan kekemasan dalaman Bamboo bersama ciri kayuan bagi menambahkan lagi kualiti dan pembuatannya. Malah kekemasan Bamboo ini juga padanan yang cukup ideal untuk skim warna dalaman Topaz Brown, eksklusif bagi model edisi terhad ini.

    Dijanakan oleh enjin 2AR-FE 2.5 liter dengan Dual VVT-I empat0silinder ACIS-III, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 181 hp pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm.

    Walau pun tampil dengan dua warna baharu ini, namun tiada kos tambahan dikenakan, sebaliknya ia masih mengekalkan harganya iaitu dari RM293,900. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad. Tempahannya juga sudah mula dibuka sekarang.

     
     
  • Honda CR-Z Alpha Final Label – tanda selamat tinggal

    Honda-CR-Z-Alpha-Final-Label-01

    Selepas enam tahun di bilik pameran, Honda CR-Z akhirnya menuju garisan penamat. Honda telah pun memperkenalkan model CR-Z Alpha Final Label di Jepun, sebagai ucapan selamat tinggal pada jentera sport hybrid tersebut.

    Dibangunkan berdasarkan model naik taraf (facelift) 2015, CR-Z Alpha Final Label ini muncul dengan kekemasan Alpha, bersama plak metal “Final Label” di antara brek parkir elektronik dan tuil gear. Perkataan “CR-Z Final Label” juga disulam pada bahagian penyandar tempat duduk. Manakala roda 17-inci pula sama seperti model facelift 2015.

    Tiada perubahan daripada sudut mekanikal, masih mengekalkan enjin kombinasi 1.5 liter i-TEC dan Integrated Motor Assist (IMA) yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 136 PS dan tork 190 NM (12 PS/16 Nm lebih berbanding model asal CR-Z). Motor elektrik pula dijanakan oleh 144-volt bateri lithium-ion berkuasa 18.8 kW. CR-Z Final Label dijual pada harga 2.8 juta yen (RM106,196) di Jepun.

    GALERI: Honda CR-Z facelift di IIMS 2016

     
     
  • Volkswagen tawar “duit raya” sempena Aidilfitri

    Beetle

    Volkswagen Malaysia menawarkan rebat “Duit Raya” sebanyak RM2,000 untuk semua model Volkswagen yang terpilih mulai sekarang hingga 31 Julai 2016.

    Model-model seperti Golf, Beetle dan Volkswagen CC akan menikmati rebat tunai tambahan, selain daripada promosi “Duit Raya” ini. Tawaran ini adalah sementara stok masih ada. Rebat tunai juga berbeza dan bergantung kepada model.

    Vento yang dilancarkan baru-baru ini turut menikmati Promosi Raya. Volkswagen akan membayar bayaran bulanan anda sehingga akhir tahun untuk kereta yang ditempah dalam tempoh promosi ini.

    Untuk layak menerima promosi ini, semua tempahan mestilah dibuat dalam tempoh promosi. Ia tertakluk kepada terma dan syarat, sehingga stok masih ada.

     
     
  • Proton sangkal dakwaan model kenderaannya akan rosak jika menggunakan ‘jump-start’

    Bagaimana untuk bantu mula kenderaan anda - BM

    Akibat penyebaran notis (gambar di atas) yang kononnya dari sebuah pusat servis kenderaan di laman media sosial baru-baru ini, Proton telah mengeluarkan kenyataan balas mengenai perkara ini.

    Menurut Proton, imej yang tersebar ini, yang mengesyorkan pengguna Proton untuk tidak melakukan sebarang tindakan bantu mula pada model-model Proton yang tertentu kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada Unit Kawalan Transmisi (TCU), adalah tidak benar sama sekali. Sekali gus menegaskan, semua kereta boleh melalui tindakan bantu mula atau jump-start.

    Walau bagaimanapun, seperti OEM yang lain, kereta-kereta Proton telah dilengkapi dengan sistem elektronik yang sensitif kepada lonjakan kuasa. Justeru, syarikat pengeluar kenderaan nasional ini
    ingin memberi panduan yang lebih tepat mengenai perkara ini dan untuk memberi jaminan kepada pemilik Proton bahawa penggunaan kabel jump-start adalah selamat untuk menghidupkan enjin selagi berpandukan langkah-langkah yang betul, seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan Pemilik Proton.

    Prosedur yang betul untuk melakukan jump-start kereta adalah dengan menyambungkan terminal (+) bateri dari kereta yang membantu kepada terminal (+) bateri kereta yang terjejas. Akan tetapi, terminal (-) dari kereta yang membantu mesti disambungkan ke badan kereta yang terjejas, dan BUKAN di terminal (-) kereta terjejas tersebut.

    13393994_1209390239111537_2822324668011549919_n

    Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan apabila menggunakan kabel jumper yang disambungkan kepada bateri dari kenderaan lain :

    • Kenderaan mestilah dirapatkan supaya kabel jumper boleh disambungkan, tetapi pastikan kenderaan tidak menyentuh satu sama lain. Sekiranya bersentuhan, ia boleh menyebabkan sambungan bumi yang tidak diingini. Kenderaan mungkin tidak akan dapat dihidupkan dan pembumian tidak diingini boleh merosakkan sistem elektrik (Unit Kawalan Transmisi, TCU).
    • Kenderaan yang membantu mestilah mempunyai bateri 12-volt dan keupayaan (Ah) bateri penggalak tidak boleh lebih rendah berbanding bateri yang tidak boleh digunakan, ini adalah untuk mengelakkan kerosakan litar pintas pada kedua-dua kenderaan.
    • Gunakan hanya kabel jumper dengan pengapit bateri berpenebat.
    • Kenderaan mestilah berada dalam keadaan “P” (PARK) untuk transmisi automatik dan “N” (NEUTRAL) untuk transmisi manual.
    • Matikan pencucuhan pada kedua-dua kenderaan terlebih dahulu.
    • Apabila menyambungkan kabel penggalak, jangan sambungkan positif (+) kabel ke negatif (-) terminal atau ia akan menyebabkan percikan api dan bateri boleh meletup.
    • Kabel jumper negatif (hitam) tidak boleh dikapitkan ke saluran bahan api dengan sarung logam atau ke penapis bahan api atau garisan brek kerana ini boleh menyebabkan kebakaran.
    • Hidupkan enjin kenderaan yang mempunyai bateri penggalak, biarkan enjin hidup untuk beberapa minit dan kemudian hidupkan enjin kenderaan yang terjejas.
    • Selepas enjin dihidupkan, buka sambungan kabel mengikut urutan terbalik.

    Untuk panduan yang lebih terperinci, pemilik kereta Proton dinasihatkan untuk merujuk kepada buku panduan kenderaan mereka sebelum melakukan apa-apa bantu mula kecemasan kepada bateri. Proton sekali lagi menegaskan, syarikatnya sentiasa memastikan kereta-keretanya dikeluarkan mengikut piawaian keselamatan yang tinggi dan tidak menjejaskan keselamatan pelanggan.

    Untuk sebarang pertanyaan dan bantuan, bolehlah terus hubungi Talian Khidmat Pelanggan Proton di 1800 888 398 atau emel kepada [email protected].

     
     
  • Digalakkan pasang webcam dalam kenderaan bagi merakamkan insiden di jalan raya – KPPJSM

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 108

    Ekoran pelbagai insiden di jalan raya termasuk kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, kes buli dan pelbagai lagi kesalahan, Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) menyarankan agar pemandu kenderaan memasang alat perakam video (webcam) kereta.

    Menurut presidennya, Hamzah Masri, pemasangan webcam ini memudahkan para pemandu merakam sebarang kesalahan jalan raya yang disaksikan sebagai bukti, laporan Bernama.

    Selain itu, webcam juga dapat mengelakkan pemandu menggunakan telefon pintar untuk merakam gambar semasa memandu.

    “Sekiranya pemandu yang menyaksikan kemalangan atau kesalahan jalan raya yang dilakukan pemandu lain merakamkan insiden tersebut dengan menggunakan telefon sambil memandu, ia sudah mengundang bahaya yang lain pula,” ujarnya lagi.

    Ternyata saranan yang dikemukakan ini agak bernas dan kebanyakan webcam di pasaran juga ditawarkan dengan harga mampu milik, berbaloi untuk dibeli. Bagaimana komen anda semua? Kongsikan bersama kami.

     
     
  • Ferrari memanggil semula 359 unit kereta keluarannya di Australia, berhubung masalah beg udara Takata

    Ferrari 458 Spider

    Sejumlah 359 unit Ferrari yang dibuat antara 2009 hingga 2011 telah dipanggil semula di Australia kerana berkemungkinan mempunyai masalah dengan beg udara Takata yang telah dipasang pada kereta-kereta berkenaan, lapor CarAdvice.

    Australian Competition and Consumer Commission (ACCC) mengesahkan di laman web mereka dengan menyiarkan notis rasmi panggilan semula tersebut. Berdasarkan notis itu, Ferrari Australiasia menyenaraikan 458 Italia, 458 Spider, California dan FF sebagai model yang terlibat.

    “Berkemungkinan komponen yang diambil dari luar pada beg udara sebelah penumpang tidak mematuhi piawaian. Jika kereta tersebut terlibat dalam kemalangan yang akan menyebabkan beg udara meletup, ketidakpatuhan tersebut mungkin akan menyebabkan kegagalan pada unit inflator dan letupan beg udara yang tidak betul pada sebelah penumpang, meningkatkan risiko berlakunya kecederaan,” menurut notis berkenaan.

    Sebelum ini Ferrari memanggil semula sekitar 2,600 model diseluruh dunia pada Julai 2015, di mana 11 daripadanya direka untuk pasaran Malaysia. paultan.org akan cuba untuk mendapatkan informasi dari pihak-pihak yang berkenaan untuk mengesahkan adakah model Ferrari di Malaysia turut terlibat dengan panggilan semula terbaharu ini.

    Sebagai peringatan, terdapat pelbagai jenama dalam pasaran Malaysia yang terlibat dengan panggilan semula berikutan masalah beg udara Takata ini. Jika kenderaan anda terlibat, segeralah ke pusat servis bertauliah berhampiran untuk memperbaiki masalah tersebut.

     
     
  • Mercedes-Benz tawar skim pembiayaan beserta insuran komprehensif tahun pertama untuk E-Class

    W213 Mercedes-Benz E300 AMG 1

    Mercedes-Benz Services memperkenalkan skim pembiayaan istimewa untuk pelanggan yang membeli model E-Class generasi terbaharu – dengan menyertakan sekali insuran kenderaan bermotor komprehensif tahun pertama bersama skim pembiayaan tersebut.

    “Di Mercedes-Benz Services, kami berbangga untuk melangkah seiring pelanggan kami, menyediakan pengalaman pembiayaan yang fleksibel, tanpa gangguan dan menyenangkan. Pembiayaan E-Class baru dengan Insurans Kenderaan Komprehensif ialah pelan yang dirangka dengan teliti dan bijak dimana pilihan pembiayaan boleh disesuaikan Pembiayaan Agility dengan penyelesaian insurans semua dalam satu pelan yang komprehensif. Ini bermakna pelanggan kami akan dapat menikmati ketenangan fikiran sambil memandu E-Class baru,” kata Pengarah Urusan Mercedes-Benz Services, Hilke Janssen.

    Pembiayaan Agility memberi pelanggan jaminan kewangan menerusi ciri Nilai Masa Depan Terjamin (GFV). Skim nilai dipersetujui ini yang dicipta khas oleh Mercedes-Benz Services memastikan risiko susut nilai yang lebih rendah sepanjang tempoh pemilikan E-Class.

    Dengan matlamat memperkasakan pelanggan dari segi kewangan, pelan pembiayaan menawarkan pemilik E-Class baru aliran tunai fleksibel dan pilihan pada akhir perjanjian, serta ansuran bulanan lebih rendah. Ini termasuk pilihan untuk menjelaskan atau melanjutkan perjanjian pembiayaan, atau mengembalikan kenderaan dan menaik taraf kepada model lebih baru pada akhir perjanjian.

    Insurans Kenderaan Komprehensif bagi E-Class baru yang disertakan bersama membolehkan pelanggan menikmati perlindungan insurans dengan ketenangan fikiran tambahan pada tahun pertama. Perlindungan ini termasuk perkhidmatan tunda bernilai sehingga RM400 untuk kerosakan mekanikal, perlindungan cermin depan sehingga RM 8,000, Gantian Kenderan Satu untuk Satu dan kelulusan tuntutan yang pantas.

    Sebagai contoh, pelanggan yang membuat keputusan untuk membiayai E 200 Avantgarde Line selama tiga tahun dengan pelan jarak perjalanan 20,000 km setahun menerusi Pembiayaan Agility akan membayar ansuran bulanan rendah RM 3,842 sebulan. Tambahan lagi, pelanggan hanya perlu menambah sebanyak RM 246 sebulan untuk mendapatkan Insurans Kenderaan Komprehensif tahun pertama yang menjadikan jumlah ansuran bulanan RM 4,088 sebulan (berasaskan NCD 0% dan termasuk lanjutan cermin depan, LLP dan LLOP) sahaja.Ini bermakna pelanggan menikmati penjimatan RM 3,692 sepanjang tempoh pembiayaan tiga tahun di bawah kemudahan Pembiayaan E-Class dengan Insurans Kenderaan Komprehensif berbanding Pembiayaan Agility biasa tanpa insurans.

     
     
  • Honda Civic 2016 dilancarkan di M’sia – 1.8L dan 1.5L VTEC Turbo; tiga varian dan harga bermula RM111k

    Civic-Malaysia-Launch

    Setelah beberapa ketika menantikan detik penuh debaran, maka hari ini penantian berakhir. Selepas melancarkan Honda Civic generasi ke-sembilan pada 2012, empat tahun selepas itu Civic generasi ke-10 pula mengambil tempatnya di Malaysia.

    Jika dibandingkan dengan negara jiran terhampir iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura, ternyata Malaysia paling terakhir menerima kehadirannya. Walau bagaimana pun, keterujaan menantikan kehadirannya memang berbaloi kerana Civic 2016 ini tampil dengan banyak kelainan dan pembaharuan berbanding model sebelum ini.

    Bagi pasaran Malaysia, Honda Malaysia menawarkan tiga varian iaitu model asas 1.8S, spesifikasi pertengahan 1.5 Turbocharged (TC) dan spesifikasi tertinggi 1.5 Turbocharged Premium (TC-P). Dengan harga atas jalan yang kompetitif, pastinya Civic 2016 ini berupaya memberikan saingan yang hebat di bawah segmen-C.

    Bagi varian asas 1.8S, ia ditawarkan pada harga RM110,426.51. Manakala varian spesifikasi pertengahan 1.5TC pula berharga RM124,076.29 dan RM131,883.37 untuk 1.5TC-P. Semua harga yang diumumkan adalah harga atas jalan bersama GST dan tanpa insurans.

    Semua varian turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan servis berkala 10,000 km, dengan lima kali berselang servis buruh percuma.

    2016 Honda Civic 1.5T Premium 3

    Bagi varian 1.8S, enjinnya dikekalkan iaitu 1.8 liter i-VTEC SOHC naturally-aspirated empat-silinder, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 174 Nm pada takat 4,300 rpm.

    Manakala varian 1.5 Turbo pula yang pertama kali diperkenalkan bagi model Civic dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo dengan hamburan kuasa sehingga 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork puncak 220 Nm antara 1,700 hingga 5,500 rpm.

    Walau bagaimana pun, turbo yang digunakan bagi Civic ini bukanlah seperti turbo konvensional, dan jangan mengharapkan ia ada ‘turbo kick’ seperti mana kebanyakan jentera turbo yang lain. Biar pun ia hanya turbo berkapasiti kecil, namun terjahan kuasanya mampu menyamai enjin 2.4 liter. Itulah yang dinyatakan oleh Osamu Takezawa selaku Assistant-Large Project Leader (A-LPL) bagi Civic 2016 dalam sesi temubual eksklusif semalam.

    Menurut Takezawa-san lagi, bagi 1.5 Turbo ini, selain kuasanya telah diperhebatkan, enjin ini turut disokong oleh sistem Dual-VTC yang membantu meminimakan sisa gas di dalam silinder. Selain itu, turbin berdiameter kecil juga turut membantu meningkatkan lagi responsif enjin.

    Kedua-dua varian enjin pastinya diperhebatkan dengan teknologi Earth Dream ciptaan Honda sendiri.

    2016 Honda Civic 1.5T Premium 4

    Membantu memperhebatkan lagi prestasi enjin, kedua-dua varian enjin ini turut dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT), berbanding kotak gear konvensional automatik (AT) seperti pada generasi terdahulu. Menurut Takezawa-san, pemilihan CVT dibuat kerana ia bukan sekadar mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien, bahkan berupaya membantu mengurangkan ‘turbo-lag’. Selain itu, ia turut membuatkan enjin lebih lancar, sekali gus melonjakkan lagi prestasinya.

    Mengenai penggunaan bahan apinya, bagi varian 1.8, ia dikatakan mampu memberikan penjimatan sehingga 6.3 liter bagi setiap 100 km dan 1.5 Turbo pula lebih menjimatkan iaitu sekitar 5.8 liter bagi setiap 100 km.

    Menurut Honda Malaysia, CVT bagi Civic 2016 ini telah disemak semula dan menjadikan ia lebih baik, berbanding yang digunakan pada model HR-V yang terdapat sedikit kelemahannya iaitu nisbah permulaannya sedikit perlahan dan mendatar.

    Bagi Civic 2016 ini, ternyata ia lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm). Malah kapasiti ruang kargonya juga dipertingkatkan menjadi 519 liter berbanding 440 liter pada generasi sebelumnya.

    Dengan pertambahan dimensi luaran ini, sekali gus memberikan kelebihan buat bahagian kabin. Malah ia juga memberikan lebih ruang kaki dan ruang kepala di bahagian kabin.

    2016 Honda Civic 1.5T Premium 6

    Malah rekaan semula bagi tiang-A yang lebih nipis juga bagi menawarkan sisi pandangan yang lebih bagus untuk pemandu. Bukan itu sahaja, ruang kaki di tempat duduk belakang juga lebih lebar dan dipertingkatkan sebanyak 23 mm berbanding model sedia ada.

    Civic gen-10 ini juga 22kg lebih ringan iaitu hanya 1,203 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

    Ia turut menampilkan suspensi MacPherson di hadapan dan Multilink di belakang bagi memberikan lagi keselesaan dan kestabilan pengendaliannya. Bagi menambahkan lagi keselesaan pemanduan, Civic 2016 juga telah dimantapkan pengendaliannya. Selain sistem suspensi, ia turut ditampilkan dengan roda stereng kuasa elektrik, sistem brek parkir elektrik dan fungsi penahan brek. Malah varian 1.5 Turbo dipadankan dengan tayar 215/50R17, dan 215/55R16 pula untuk varian 1.8.

    Malah bagi mengurangkan NVH ketika di atas jalan raya, sistem kalis bunyi telah diaplikasikan, ini termasuk melindungi bahagian bawah kerangka serta pemasangan sistem penebat pada pintu.

    Civic 2016 ini juga menerima sentuhan rekaan yang diperbaharui dan lebih segar, malah ia umpama kembali ke karakter asal Civic. Jika Civic generasi ke-sembilan mempertaruhkan elemen yang elegan dan lari dari imej sporty tidak seperti Civic generasi sebelumnya terutamanya yang ke-lapan, bagi Civic generasi ke-10 ini, ia seakan kombinasi antara elegan dan sporty.

    Permukaan badannya yang solid dan rekaan kabin yang lebih tegap merupakan simbol utama kekuatan karakternya. Malah ia turut menampilkan bahagian hud yang lebih panjang, juntaian hadapan yang lebih sporty, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya yang lebih agresif. Malah ia umpama sebuah jentera coupe lima-pintu, dengan garisan bumbung yang lebih landai mengunjur ke belakang.

    Dan buat pertama kalinya di Malaysia, Civic 2016 akan muncul dengan lampu utama dan lampu kabus hadapan LED untuk spesifikasi tertinggi 1.5TC-P. Manakala varian 1.8S dan 1.5TC dipadankan dengan lampu utama projektor halogen dan lampu kabus hadapan halogen. Namun ketiga-tiganya menerima lampu nyalaan siang LED. Selain itu, pemegang pintu luaran dengan warna yang sama dengan badan bagi varian 1.8S dan 1.5TC, krom untuk 1.5TC-P.

    Lampu belakang berbentuk-boomerang (umpama sepit ketam) pula membuatkan Civic 2016 ini kelihatan garang dan lebih menyengat.

    Jika varian 1.5 Turbo RS di Thailand dipadankan dengan dengan beberapa ciri unik seperti gril hadapan hitam berkilat, spoiler belakang penuh dan lencana RS, tetapi ia tidak akan ditawarkan di Malaysia. Walau bagaimana pun, Honda Malaysia akan menawarkan kit-kit badan pilihan dari Modulo untuk menyerlahkan lagi gaya Civic 2016 menjadi berlipat kali ganda sporty.

    Menambahkan lagi sisi istimewa bagi Civic 2016, kesemua varian turut dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock di mana ia boleh mengesan kunci bergerak sejauh 2.5 meter dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik. Malah ia juga ditampilkan dengan Kawalan Menghidup Enjin di mana enjin boleh dihidupkan dengan menggunakan butang kawalan pada kunci yang sekali gus akan menghidupkan penghawa dingin dan enjin. Teknologi ini juga ada pada model Accord facelift.

    Menjengah bahagian kabinnya, pastinya varian 1.5TC-P lebih menarik perhatian kerana ciri premium menjalari segenap ruang. Malah tempat duduk balutan kulit upholstery dengan tona hitam juga menambahkan keselesaan. Ia turut menampilkan skrin bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan serta penghawa dingin dua-zon.

    2016 Honda Civic 1.5T Premium 17

    Kedua-dua varian Turbo juga dilengkapi dengan pedal penukar gear. Manakala tempat duduk fabrik berwarna hitam, penghawa dingin zon-tunggal, dan skrin audio bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi kamera undur dan sistem hiburan bagi varian 1.8S dan 1.5TC.

    Bukan itu sahaja, sama seperti HR-V, terdapat bahagian ala ‘terowong’ tersorok di bawah centre stack yang menempatkan punca kuasa, port bagi USB dan HDMI. Selain itu, kotak konsol tengah juga agak dalam dan tidak ada masalah untuk menyembunyikan beg dompet mahu pun telefon pintar anda. Malah ia juga terdapat dua pemegang cawan yang terletak di antara dua bahagian tersebut, satu boleh dialihkan dan satu lagi tidak.

    Antara elemen standard yang ditampilkan pada kabin kesemua varian ialah kawalan kelajuan, butang ECON, meter LCD berwarna sepenuhnya, kawalan penghawa dingin panel sentuh, corong penghawa dingin belakang, roda stereng balutan kulit tiga-jejari, MP3/iPod, dua port USB/HDMI, kit bebas tangan bagi telefon bimbit dengan pengesan suara, lapan-speaker dan tempat duduk pemandu dengan lapan-cara larasan kuasa.

    Selain itu, ia turut menampilkan sambungan bagi telefon pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Civic 2016 ini juga amat mementingkan keselesaan tempat duduknya. Malah Honda turut mengetengahkan reka bentuk tempat duduk hadapan yang lebar di bawah tetapi mengecil di bahagian atas, secara tidak langsung turut memberikan pandangan hadapan yang lebih optimum buat penumpang di belakang.

    Keselesaan yang ditampilkan bukan setakat ketika mengendalikannya, bahkan sebagai penumpang sama ada di hadapan atau duduk di belakang. Malah ruang meletak kaki di bawah tempat duduk hadapan (bagi penumpang belakang) juga sedikit luas kerana kedudukan tempat duduk hadapan ditinggikan sedikit. Malahan lantai dalaman juga lebih rendah tetapi masih tidak sukar untuk urusan keluar-masuk.

    Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX.

    Honda Civic 2016 ditampilkan dengan lima pilihan warna iaitu White Orchid Pearl, Crystal Black, Lunar Silver, Modern Steel dan Dark Ruby Red (sama seperti warna yang ditawarkan seperti pada Honda City dan HR-V).

    Baca ulasan pandu uji Honda Civic 2016 spesifikasi Thailand DI SINI.

    GALERI: Honda Civic 1.5TC-P

    GALERI: Honda Civic 1.5TC

    GALERI: Honda Civic 1.8S

    GALERI: Honda Civic Modulo 2016

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class W213 dilancarkan di Malaysia – CBU, empat varian, harga bermula RM395k

    W213-Mercedes-Benz-E-Class-launch-2_BM

    Mercedes-Benz Malaysia secara rasminya melancarkan sedan yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat jenama mewah dari Jerman ini iaitu Mercedes-Benz E-Class W213 serba baharu.

    Pada hari pelancaran ini, generasi ke-10 E-Class ditawarkan dengan varian petrol E 200 Avantgarde dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM395,888. Varian lebih tinggi E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive akan mula memasuki pasaran pada September ini manakala E 300 AMG Line pula akan menyusul pada November nanti. Harga untuk ketiga-tiga varian juga akan diumumkan kemudian. Buat permulaan juga, E-Class diimport sepenuhnya (CBU) bagi membolehkan ia masuk lebih awal ke pasaran Malaysia. Program pemasangan tempatan (CKD) akan menyusul selepas ini.

    Rekaan keseluruhan E-Class adalah selaras dengan model-model terkini Mercedes-Benz seperti C-Class dan S-Class. Varian Avantgarde dan AMG Line menampilkan gril hadapan sport dengan bintang Mercedes yang besar pada bahagian tengah diapit oleh sepasang lampu hadapan Multibeam dengan 84-LED.

    Bahagian sisi E-Class ini juga menampilkan bayangan garis badan yang seiras dengan C-Class dan E-Class terkini. Untuk varian E 200 Avantgarde ini, ia dilengkapi dengan roda aloi lima jejari berdiameter 18-inci.

    W213 Mercedes-Benz E300 AMG 2

    Pada bahagian belakang pula, E-Class dilengkapi sepasang lampu belakang single-piece (tanpa lampu tambahan pada penutup but) menampilkan rekaan dua bar optic kristal dan mempunyai bentuk seakan lampu belakang S-Class.

    Pembinaan E-Class generasi terbaharu ini diasaskan dari platform Modular Rear Architecture (MRA) iaitu platform yang sama dengan C-Class generasi terkini. Berbanding model terdahulu, jarak roda keseluruhan E-Class terbaharu ini telah dipanjangkan lebih 65 mm iaitu diukur sepanjang 2,939 mm. Manakala panjang keseluruhan model ini diukur sepanjang 4,923 mm, 43 lebih panjang dari model sebelum ini.

    Lebar keseluruhan model ini juga telah bertambah sebanyak 20 mm (1620 mm) pada bahagian hadapan dan 7 mm (1626 mm) pada bahagian belakang.

    Badan model baharu ini dibina lebih teguh dengan pengunaan meluas aluminum (bertambah 11%) dan kepingan logam berketagaran tinggi (bertambah 3%) berbanding model sebelum ini. Fender hadapan, bonet, penutup but belakang dan sebahagian besar bahagian belakang dan hadapan dibina dari kepingan aluminum tuang. Rekaan bentuk badan keseluruhan menghasilkan pekali geseran berkadar 0.23, yang merupakan catatan terbaik dalam kelasnya. Ini membolehkan E-Class W213 mencapai penggunaa bahan api yang lebih cekap dan pengedalian yang lebih mantap.

    Bahagian dalaman E-Class terbaharu ini menampilkan rekaan yang seiras dengan S-Class terdiri dari liang penghawa dingin bulat, kemasan-kemasan yang dibalut dengan kulit dan motif kayu, pad sesentuh pada roda stereng, dan pilihan opsyen dua skrin besar bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen COMAND.

    Pemandu boleh memilih tema yang bersesuaian dengan mereka pada paparan instrument digital sepenuhnya tersebut yang terdiri dari “Classic”, “Sport” dan “Progresive”.

    Unit infotaimen juga disertakan dengan unit kawalan Touchpad pada konsol tengah yang boleh dikawal dengan tulisan tangan dan kawalan menggunakan suara LINGUATRONIC.

    Pencahayaan dalam kabin E-Class menggunakan teknologi LED menampilkan 64 warna. LED ini diletakkan pada bahagian seperti pada bahagian kemasan, paparan pada bahagian tengah, bahagian storan pada konsol tengah, pemegang pintu , poket pintu, ruang kaki bahagian hadapan dan belakang, konsol bumbung dan bahagian-bahagian lain.

    E-Class E 250 dan E 300 turut menawarkan sistem hubungan dari telefon pintar ke kereta tanpa wayar menggunakan sistem NFC. Sistem tersebut bukan sahaja menghubungkan telefon pintar dengan sistem infotaimen, malah turut boleh mengecas semula telefon pintar anda tanpa menggunakan sebarang wayar. Anda hanya perlu meletekkan telefon pintar anda pada ruang storan yang disediakan yang terletak di bahagian konsol tengah hadapan.

    Untuk model E 300, ia akan dilengkapi dengan paparan head-up serta sistem audio surround Burmester, yang dihubungkan dengan 13 unit pembesar suara dan amplifkasi sembilan saluran.

    Tempat duduk E-Class juga direka dengan begitu versatil menampilkan perehat belakang yang dipisahkan kepada tiga bahagian dengan nisbah 40% – 20% – 40%.

    Mercedes-Benz E 200 dikuasakan dengan enjin M 274 DE AL 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 181 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,200 rpm hingga 4,000 rpm. Varian lebih tinggi bakal dijana oleh enjin yang sama tetapi berlainan talaan dimana enjin E 250 mampu menjana 21 hp/300 Nm manakala untuk E 300 ia berkuasa 245 hp/370 Nm. Kesemua varian akan dipadankan dengan kotak gear automatik Sembilan kelajuan 9G-Tronic Mercedes.

    Dengan gabungan tersebut, sedan ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.7 saat dan penggunaan bahan api didakwa mencatatkan penggunaan 5.9 liter petrol untuk 100 km perjalanan.

    W213 Mercedes-Benz E250 Exclusive 18

    E-Class baharu dilengkapi sistem suspensi yang disertakan dengan sistem Kawalan Ketangkasan, membolehkan pemandu tahap serapan hentakan dan kerendahan kereta. Ini akan memastikan pemanduan yang selesa dan seimbang pada apa jua bentuk permukaan jalan.

    Empat mod pemanduan disediakan yang akan menala semula karekter pemanduan dipilih menerusi butang Dynamic Select dengan pilihan mod Comfort, Eco, Sport dan Sport+. Mod Individual turut disertakan untuk pemandu melaras sendiri konfigurasi talaan mengikut gaya mereka yang tersendiri.

    Sedan mewah generasi baharu ini turut dilengkapi dengan pelbagai fungsi bantuan pemanduan. Ini termasuk sistem Parking Pilot yang membantu pemandu kereta mencari petak parkir seterusnya memarkir kereta tersebut pada petak parkir sama ada secara selari atau menegak, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Tukar Laluan Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif, Pre-Safe Plus dan pelbagai lagi.

    Sistem Pre-Safe pada model ini juga telah dipertingkatkan dengan sistem Impulse side baharu (menggunakan peninggi tempat duduk untuk menolak penumpang menjauhi bahagian sisi yang dilanggar untuk memberikan ruang selamat yang lebih baik) dan sistem Sound (memberikan bunyi prima pada telinga penumpang menggunakan isyarat gangguan pendek sekiranya ia mengesan pelanggaran dengan bunyi dentuman yang kuat akan berlaku).

    GALERI: Mercedes-Benz E 200 Avantgarde

    GALERI: Mercedes-Benz E 250 Exclusive

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 AMG Line

     
     
  • Pengerusi Suzuki lepaskan jawatan CEO kerana skandal ujian penggunaan bahan api

    2016-maruti-suzuki-vitara-brezza- 004

    CEO dan Pengerusi Suzuki Motor Corp Osamu Suzuki akan melepaskan jawatan CEO yang disandangnya berikutan ujian penggunaan bahan api yang tidak tepat didedahkan bulan lalu, lapor Automotive News.

    Walau bagaimanapun, syarikat tersebut mengumumkan Suzuki masih lagi kekal sebagai Pengerusi dan turut menambah Timbalan Presiden Eksekutif Osamu Honda akan bersara. Keputusan untuk menggantikan kedua-dua jawatan tersebut juga masih belum lagi dibuat.

    Pengeluar automotif keempat terbesar di Jepun itu dikatakan menggunakan ujian yang tidak tepat untuk mengira jarak perbatuan untuk model keluaran tahun 2010, dengan memberikan hasil ujian dari ujian makmal berbanding ujian pada kenderaan sebenar.

    Pegawai penyiasat di Jepun menyerbu ibu pejabat syarikat berkenaan minggu lalu kerana kesalahan ujian yang tidak tepat tersebut.

    Suzuki turut mengatakan perubahan pada tugas pengerusi dan persaraan Timbalan Presiden Eksekutif syarikat tersebut akan berkuatkuasa 29 Jun ini, dan perkara tersebut akan disahkan oleh pemegang saham pada mesyurat tahunan mereka.

    Bayaran pampasan bulanan Osamu Suzuki akan ditolak sebanyak 40% untuk enam bulan selepas Julai ini, manakala anak beliau iaitu Presiden Toshihiro Suzuki turut akan ditolak sebanyak 30% dalam tempoh masa yang sama.Bonus tahun 2015 untuk para pengarah tidak akan diberi, manakala bonus untuk pengarah urusan senior dan pengarah urusan akan dipotong separuh.

    Syarikat berkenaan juga dikatakan sedang merancang untuk memperkenal langkah pemulihan termasuk menyediakan latihan yang lebih untuk jurutera dan memperkukuhkan sistem ujian perbatuan mereka.

     
     
  • Sistem VEP bakal dilaksana mulai 16 Julai ini

    johor causeway jam bernama pix

    Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing dari Singapura yang memasuki negara ini sedang diuji dalam tempoh percubaan sejak 1 Jun lalu dan buat setakat ini ia berjalan lancar.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, setakat ini tiada halangan atau kekangan yang boleh menjejas pelaksanaan dan penguatkuasaan penuh sistem tersebut, laporan Berita Harian.

    “Tempoh percubaan ini ternyata berjalan lancar, kita tidak nampak sebarang halangan untuk melaksanakannya mulai 16 Julai ini, seperti yang dijadualkan. Malah kita menerima kerjasama baik dari pemandu negara jiran dan mengikut prosedur,” ujar Hasni.

    Katanya lagi, penangguhan pelaksanaannya sebelum ini dibuat bagi memastikan sistem dan kaedah bayaran yang dilaksanakan berjalan lancar dengan pangkalan data yang lengkap.

    VEP menyediakan sistem yang menggunakan kaedah imbasan yang lebih praktikal, selain memudahkan urusan pemeriksaan kenderaan yang melalui Tambak Johor. Katanya, setakat ini lebih 120,000 kenderaan sudah berdaftar dengan sistem VEP.

     
     
  • Laluan KM P2.3 di Lingkaran Putrajaya dibuka semula

    13418450_1149141405125374_1814606587044535688_o

    Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa laluan di KM P2.3 di Lingkaran Putrajaya berhampiran Plaza Tol Putrajaya telah dibuka semula kepada semua lalu lintas sejak 3 Jun lalu.

    Dengan pembukaan laluan ini, orang ramai dari lebuh raya ELITE menghala ke Putrajaya/Cyberjaya boleh meneruskan perjalanan mereka tanpa perlu melalui lencongan jalan sebelum ini.

    Walau bagaimanapun, kenderaan ringan dari Putrajaya/Cyberjaya/Taman Sains Selangor 2 yang ingin ke Taman Aman Putra dinasihatkan supaya membuat pusingan-U di KM P1.3 di Plaza Tol Putrajaya.

    Manakala, kenderaan ringan dari Aman Putra yang menghala ke Taman Sains Selangor 2 atau Plaza Tol Putrajaya dinasihatkan supaya membuat pusingan-U di Persimpangan Bertingkat Eco Glades di KM P4.0 atau menerusi KM P8.8 melalui Lingkaran Putrajaya.

    Kenderaan-kenderaan berat dari Cyberjaya/Taman Sains Selangor 2 yang ingin ke Taman Aman Putra dinasihatkan supaya menggunakan laluan Cyberjaya-Pulau Meranti.

    Manakala, semua kenderaan berat dari Taman Aman Putra yang menghala ke Taman Sains Selangor 2 atau Plaza Tol Putrajaya dinasihatkan supaya membuat pusingan-U di KM P 8.8 melalui Lingkaran Putrajaya.

    Sehubungan dengan itu, PLUS menasihatkan orang ramai yang menggunakan laluan tersebut supaya berhati-hati dan mematuhi semua papantanda serta arahan yang dikeluarkan di kawasan terbabit.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia tawar pelbagai promosi istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri

    image005

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar sah jenama Mitsubishi di Malaysia, kini menawarkan rebat menarik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Pelanggan yang menempah Mitsubishi baharu bermula hari ini hingga 31 Julai akan menikmati rebat tunai sehingga RM8,000 dan program waranti tambahan sehingga lima tahun.

    Untuk pelanggan yang membeli SUV Mitsubishi ASX baharu semua varian, mereka akan ditawarkan rebat tunai berjumlah RM8,000 serta pelindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan. Mitsubishi ASX dijual pada harga 105,744.31 untuk varian 2WD-GL, RM 115,468.71 untuk varian 2WD dan RM 129,010.43 untuk varian 4WD.

    Bagi pelanggan yang memilih untuk membeli Triton VGT Adventure (berharga RM116, 053) pula, mereka ditawarkan dengan rebat tunai bernilai RM7,500, program servis berkala percuma selama setahun serta pakej waranti selama lima tahun atau 100,000 km.

    Setiap pembelian Mitsubishi Outlander (berharga RM168, 600) pula ditawarkan dengan pekej servis percuma selama setahun serta perlindungan waranti selama lima tahun atau 100,000 km.

    image006

    Pakej servis berkala percuma adalah termasuk minyak enjin, penapis minyak enjin, penapis bahan api, penapis udara, minyak brek, cecair penyejuk, minyak differential, minyak transmisi serta kos buruh (berdasarkan jadual servis yang disyorkan).

    Pelanggan yang menggunakan pembiayaan dari Maybank untuk membeli model Mitsubishi terpilih juga akan menikmati kadar bunga istimewa serendah 1.8% dan bayaran ansuran bulanan serendah RM561.

    Mitsubishi juga tidak melupakan pelanggan mereka sedia ada menerusi kempen Servis Raya Sama-Sama Ceria. Pelanggan yang menservis kenderaan Mitsubishi mereka dengan invois bernilai RM400 dan keatas di pusat servis Mitsubishi bertauliah akan menikmati caj buruh percuma.

    Setiap pelanggan yang menghantar kenderaan mereka untuk diservis pula akan menerima kotak tisu yang turut berfungsi sebagai kotak syiling berbentuk tong dram minyak Mitsubishi (sah bermula 15 Jun hingga 31 Julai, sehingga kehabisan stok).

    Sempena kempen Hari Raya ini juga, Mitsubishi turut mengadakan hentian eksklusif di Bazaar Ramadhan terpilih bermula 6 Jun hingga 31 Julai. Setiap hentian tersebut akan diadakan edaran buah kurma secara percuma serta peluang untuk orang ramai memenangi barangan Mitsubishi. Klik pautan untuk mengetahui senarai Bazaar Ramadhan yang akan disinggahi oleh skuad Mitsubishi Triton tersebut.

     
     
  • Toyota akan bekerjasama dengan KDDI untuk membina platform komunikasi global kenderaannya

    Toyota-KDDI-Comms-Platform_BM

    Toyota dan KDDI Corporation bekerjasama untuk mewujudkan platform komunikasi global. Platform tersebut akan membolehkan operasi jaringan komunikasi seluruh dunia menyokong hubungan pada kenderaan.

    Toyota mensasarkan untuk membawa hubungan yang lebih luas kepada kenderaan-kenderaan keluarannya.
    Untuk tujuan tersebut, platform komunikasi yang meluas dan kuat serta penggunaan modul data komunikasi (DCM) yang seragam adalah sangat diperlukan. Toyota akan membina DCM yang seragam sedemikian menjelang 2019 dan ia akan menjadi ciri standard pada “hampir semua kenderaan Toyota dan Lexus baharu yang dijual di Jepun dan Amerika Syarikat menjelang 2020,” sebelum “dipasang pada kenderaan untuk pasaran utama lain secara beransur-ansur.”

    Untuk mencapai sasaran tersebut, dan untuk menyokong komunikasi antara DCM dan servis cloud, TMC dan KDDI akan bersama-sama merancang dan merekabentuk platform komunikasi global yang kemudiannya akan dibina dan dijalankan oleh Toyota.

    2016_Toyota_Fuel_Cell_Vehicle_013

    Toyota mengatakan dengan platform ini, DCM yang diseragamkan di peringkat global akan dihubungkan secara automatik dengan syarikat telco diberlainan negara. Berikutan perubahan pada sistem pembawa, DCM akan dihubungkan tanpa memerlukan servis roaming global. Status dan kualiti telekomunikasi berkenaan akan dipantau, dalam masa yang sama turut mematuhi undang-undang.

    “Teknologi komunikasi diperlukan untuk hubungan pada kenderaan dan Toyota telah melakukan usaha dalam lapangan tersebut selama bertahun-tahun. Platform komunikasi global yang diwujudkan bersama KDDI ini akan membantu kami untuk menawarkan servis hubungan yang lebih stabil dan berkualiti untuk pelanggan di serata dunia,” kata Shigeki Tomoyama, pengarah urusan senior di TMC.

    Dalam tempoh lebih 60 tahun, KDDI telah membina hubungan dengan lebih 600 syarikat telco di seluruh dunia. Berdasarkan hubungan sedemikian, Toyota dan KDDI akan bersama untuk memilih dan menambah baik jaringan di setiap negara untuk disepadukan kedalam platform tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025