Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Porsche Macan GTS dilancarkan di Malaysia – RM710k

    2016-Porsche-Macan-GTS-25-e1466136326737

    Sempena pelancaran model Porsche 911 Carrera baharu pagi tadi, Sime Darby Auto Performance turut memperkenalkan varian terkini bagi model Macan. Porsche Macan GTS kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM710,000, tanpa pendaftaran dan insurans.

    Memberikan sedikit penampilan berbeza, Macan GTS menerima roda RS Spyder hitam pekat 20-inci, selain beberapa elemen luaran lain termasuklah standard bagi pakej Sport Design dengan warna spesifik GTS. begitu juga dengan lampu utama LED yang dinamik.

    Bahagian dalamnya, tempat duduk sport GTS balutan Alcantara dan kulit menjadi daya tarikan utama. Selain itu, ia turut menampilkan beberapa kepingan kekemasan gentian karbon bagi melahirkan ciri dalaman lebih sporty. Manakala sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) adalah standard bagi varian ini, bersama paparan skrin sentuh tujuh-inci, sambungan Apple CarPlay dan fungsi navigasi.

    Berbanding model standard Macan, GTS ini 15 mm lebih rendah, hasil semakan yang lebih sporty bagi casis Porsche Active Suspension Management (PASM).

    5D3_7462

    Di bawah hudnya, Macan GTS dijanakan oleh versi enjin petrol yang dipertingkatkan iaitu 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang mampu menghasilkan kuasa hingga 360 hp dan tork 500 Nm (dari 340 hp/460 Nm).

    Kuasa yang disalurkan ke semua roda ini menerusi transmisi PDK klac-berkembar yang membantu Macan GTS ini boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.2 saat, dan 5.2 saat dengan Sport Chrono Package. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dihamburkan mencecah 256 km/j.

    Dengan harga RM710,000 (tanpa kos harga atas jalan), Macan GTS ini turut ditawarkan dengan waranti empat-tahun termasuk empat-tahun pakej servis, alat ganti dan penyelenggaran percuma.

     
     
  • Ducati bakal memperkenalkan dua model baharu di World Ducati Week edisi kesembilan bulan hadapan

    1-World Ducati Week

    Pada edisi kesembilan World Ducati Week (WDW) yang akan diadakan bermula 1 hingga 3 Julai nanti di Riviera Romagnola, Itali, Ducati mengumumkan akan memperkenalkan dua model baharu.

    Semasa perhimpunan yang mengumpulkan pemilik Ducati dari seluruh dunia yang berlangsung di Misano World Circuit Marco Simoncelli ini, Ducati akan memperkenalkan motosikal khas edisi terhad “Ulangtahun ke-90” dan sebuah lagi model untuk tahun 2017.

    Berbagai spekulasi muncul berhubung dua model baharu ini. Antaranya kemungkinan Ducati akan memperkenalkan siri Scrambler baharu dan juga siri Monster yang begitu cemerlang pada generasi sebelum ini.

    Kemungkinan lain yang mungkin ialah, Ducati mungkin akan memperkenalkan semula siri Streetfighter tetapi dalam versi 1299. Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Streetfighter 848 kini masih lagi dijual dan disenaraikan dalam katalog Ducati.

    Di Malaysia, Ducati masih lagi belum melancarkan tiga model Hypermotard serta model 959 Panigale dan Xdiavel, dimana kesemuanya dijadualkan akan berlangsung lewat tahun ini.

    GALERI: 2016 Ducati Hypermotard 939


    GALERI: 2016 Ducati 959 Panigale

     
     
  • Porsche 911 baharu dilancarkan di Malaysia – enjin turbo 3.0L baharu, tiga varian, harga dari RM870,000

    2016 Porsche 911 facelift launch 1

    Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengimport rasmi bagi Porsche di Malaysia, telah melancarkan model 911 baharu, sempena dengan perlumbaan mingguan Le Mans. Ia didatangkan dengan tiga varian iaitu 911 Carrera, 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S.

    Dijanakan oleh enjin 3.0 liter pengecas turbo generasi baharu yang mampu memberikan hamburan kuasa yang lebih padu iaitu 370 hp bagi 911 Carrera dan 420 hp untuk 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S. Ini bermakna, dengan enjin baharu ini, ia meningkatkan lebih 20 hp kuasa bagi ketiga-tiga varian berbanding model sebelum ini. Malah ledakan kuasa bagi 911 Carrera S lebih ketara dengan pemampatnya yang telah dimodifikasi, selain sistem ekzos yang lebih spesifik dan pengurusan enjinnya yang yang ditala semula.

    Dnegan enjin baharu yang lebih berkarakteristik, puncak tork bagi 911 Carrera mampu mencecah 450 Nm dan 500 Nm bagi 911 Carrera S dari takat terendah 1,700 rpm hingga 5,000 rpm bagi memberikan prestasi pemanduan yang terbaik.

    5D3_7627

    Walau pun memiliki ledakan prestasi luar biasa, namun ia masih memberikan penjimatan bahan api. Di mana ia berkurang sebanyak satu liter bagi setiap 100 km iaitu 911 Carrera mampu mencapai sekitar 7.4 liter bagi setiap 100 km (pengurangan 0.8 liter per 100 km) dan 911 Carrera S pula dianggarkan 7.7 liter bagi setiap 100 km (kurang 0.1 liter per 100 km) dan 911 Carrera 4S pula 7.9 liter per 100 km (kurang 1.2 liter per 100 km).

    Prestasi penuh mengagumkan ini turut membenarkan 911 Carrera yang dilengkapi dengan transmisi tujuh-kelajuan Porsche- Doppelkupplung (PDK) dan Sport Chrono Package boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat. Manakala 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S yang dilengkapi dengan PDK dan Sport Chrono Package pula boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat dan 3.8 saat.

    Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicatatkan ialah 393 km/j (meningkat 6 km/j) bagi 911 Carrera, 306 km/j (meningkat 4 km/j) untuk 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S pula 303 km/j (meningkat 6 km/j).

    Dengan pilihan Sport Chrono Package bagi 911 Carrera, kini ia didatangkan dengan butang mod pada roda stereng iaitu menampilkan mod pemanduan “Normal”, “Sport”, “Sport Plus” dan “Individual”. Digabungkan dengan transmisi PDK, butang mod memiliki butang tambahan iaitu “Sport Response Button”. Apabila butang ini ditekan, pendikitan maksimum boleh dicapai dalam 20 saat. Secara tidak langsung, ia dapat memberikan respons yang lebih optimum.

    911 Carrera baharu ini ditampilkan dengan rekaan yang lebih bergaya dan agresif. Malah ia turut mengutamakan ciri-ciri aerodinamik yang lebih padu. Diinspirasikan dari sayap pesawat, bentuk yang lebih berprofil diserlahkan dengan spoiler hadapan yang diperkembangkan ke seluruh badan jentera ini. Bentuk tiga dimensi dari spoiler hadapan juga memberikan ciri aerodinamik yang lebih sporty.

    Selain itu, penampilan lampu utama bi-xenon bersama lampu nyalaan siang LED merupakan signatur tipikal bagi Porsche. Lampu indikator juga didatangkan dengan unit LED. Bagi menampakkan kelainan, pintu jentera ini tidak didatangkan dengan pemegang pintu, sebaliknya ia menampilkan panel pintu luaran dengan sambungan pemegang yang lebih sepadu.

    Lampu belakang baharu juga ditampilkan dengan aura tersendiri. Tiga garisan laser bersama konduktor cahaya dan reflektor menyerlahkan lagi penampilannya. Apron belakang juga tampil dengan gaya sporty bersama reflektor yang memberikan pandangan tiga dimensi. Selain itu, panel peresap juga ditampilkan dengan struktur yang lebih utuh. Manakala corong ekzosnya diposisikan sedikit bawah.

    Tidak banyak perubahan dalaman yang dilakukan bagi 911 Carrera baharu ini. Melainkan memiliki roda stereng baharu dan menampilkan sistem infotaimen Porsche Communication Management (PCM) . Bagi PCM ini, ia disambungkan dengan skrin paparan sentuh tujuh-inci dan menampilkan sambungan Apple CarPlay dan fungsi navigasi.

    911 Carrera baharu ini ditawarkan pada harga dari RM870,000, Carrera S pula RM970,000 dan RM1,040,000 bagi Carrera 4S. Semuanya adalah harga atas jalan (tanpa insurans) dan termasuk waranti empat-tahun termasuk empat-tahun percuma bagi servis, penyelenggaran dan alat ganti.

    Porsche 911 Carrera 4S

    Porsche 911 Carrera S

     
     
  • Kontroversi biodiesel B10 di Malaysia – MAA gusar akan merosakkan enjin, MBA sangkal dakwaan

    biodiesel1

    Penjualan biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) menggantikan biodiesel B7 bermula awal bulan ini menjadi agak kontroversi kerana kesesuaian penggunaannya pada enjin diesel terkini, terutamanya pada enjin-enjin yang direka untuk beroperasi dengan diesel rendah sulfur seperti Euro 5 dipersoal.

    Penjualan biodiesel B10 ini adalah hasil program biodiesel Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) selari dengan polisi Dasar Bahan Api Bio Negara.

    Sebagai tindak balas implementasi biodiesel B10 ini pada sektor pengangkutan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menghantar surat kepada Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak pelincir, seterusnya menyebabkan minyak pelincir tersebut menipis dan berkemungkinan besar menghasilkan enap cemar (sludge) di dalam enjin.

    Surat dari MAA tersebut turut menyatakan majoriti ahlinya telah dinasihatkan oleh prinsipal mereka bahawa waranti enjin tidak akan diberikan kepada kenderaan yang menggunakan adunan biodiesel lebih tinggi dari B7. Pengeluar komponen sistem pancitan bahan api diesel yang terdiri dari Robert Bosch, Denso Corporation, Delphi Diesel System dan Continental Automotive turut menyatakan sistem pancitan bahan api mereka direka untuk beroperasi menggunakan biodiesel B7 menurut standard EN14214:2009.

    Isu lain yang dibangkitkan termasuk pembentukkan deposit pada pemancit, pancitan yang tidak varian dan pengurangan kestabilan kitaran melahu. Kadar air yang lebih tinggi juga bakal terbentuk dalam bahan api dan seterusnya akan menyebabkan pengaratan dalam sistem penghantaran bahan api.

    biodiesel 1

    Satu lagi masalah yang turut merisaukan MAA ialah metil ester minyak sawit (PME), iaitu salah satu komponen binaan dalam minyak sawit yang mempunyai kecenderungan menjadi mendakan pada suhu rendah, bergantung pada jumlah monogliserid di dalam PME.

    Biodiesel B7 telah diperkenalkan di Malaysia pada Disember 2014, dan dipasarkan di seluruh negara sepenuhnya pada Disember 2015. MAA mendakwa masih belum dapat dipastikan kesan sebenar penggunaan dalam jangka masa panjang biodiesel pada kenderaan tempatan. MAA turut memohon untuk menjadikan B7 sebagai alternatif selain B10 di stesen-stesen minyak, dan mengatakan ahlinya mungkin tidak boleh memperkenalkan enjin diesel Euro 4 dan Euro 5 yang lebih bersih.

    MAA turut mengatakan pengeluar kenderaan mengesyorkan penggunaan Minyak Sayuran Rawatan Hidro (HVO) iaitu campuran hidrokarbon berparafin, bebas dari sulfur dan bau, serta nombor setana yang lebih tinggi, untuk adunan biodiesel lebih dari B7. HVO turut menawarkan lebih banyak kelebihan berbanding FAME seperti pengurangan pencemaran NOx, penyimpanan yang lebih stabil serta bentuk yang lebih baik pada suhu sejuk.

    Menyanggah dakwaan-dakwaan tersebut, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) berkata, tiada masalah pada enjin untuk kenderaan yang menggunakan biodiesel dengan adunan lebih tinggi dari 7%. Kenyataan tersebut dibuat selepas kebimbangan yang dinyatakan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan berhubung implementasi biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan di Malaysia.

    2016 Malaysian Bio-diesel Camerons drive - 2

    Antara penjelasan yang dibuat adalah biodiesel boleh digunakan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana cold filter plugging point (CFPP) biodiesel B10 dicatatkan di bawah 12 darjah selsius iaitu suhu paling rendah dicatatkan di Cameron Highlands, dan mendakan pada PME adalah lebih dibimbangi dalam kawasan beriklim sederhana berbanding negara bercuaca tropika seperti di Malaysia.

    Menurut MBA lagi, penggunaan biodiesel B10 mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pelinciran pada diesel Euro 5 yang mempunyai kandungan sulfur lebih rendah. Difahamkan pengecualian akan diberikan pada stesen minyak di kawasan tanah tinggi iaitu di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah, untuk penjualan biodiesel B10 ini.

    Kesan jangka masa panjang penggunaan biodiesel B10 ini masih belum jelas, walaupun pihak MBA telah menguji kenderaan yang menggunakannya untuk menyangkal kegusaran yang dibangkitkan. Apa yang pasti, Malaysia sudahpun mengimplementasikan penjualan diesel B10 di stesen minyak seluruh negara.

    Antara negara lain yang telah menggunakan biodiesel dengan gred lebih tinggi dari B10 adalah Indonesia (B20), Colombia dan Argentina (B10), serta Brazil dan Perancis (B8), manakala beberapa negeri di Amerika Syarikat telah menjual biodiesel dengan gred sehingga B10.

     
     
  • Volvo V40 T5 Drive-E diperkenalkan di Malaysia – 2.0 liter turbo, 8-kelajuan auto, 245 hp/350 Nm, RM193k

    V40 Price wide shot_HR

    Setelah melancarkan S60 T6 Drive-E bulan lalu, kini Volvo Cars Malaysia melancarkan sebuah lagi jentera menggunakan janakuasa Drive-E, iaitu V40 T5 Drive-E. Varian baharu ini menggantikan varian V40 T5 dan T4 terdahulu dan merupakan satunya-satunya varian V40 dalam pasaran buat masa sekarang, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM192,888.

    Selain dari varian T4 dan T5 sebelum ini, Volvo Car Malaysia turut menjual V40 T4 Drive-E tetapi dalam jumlah unit yang terhad pada Februari lalu. Berbanding enjin turbo 2.0 liter T4 Drive-E yang hanya berkuasa 190 hp/300 Nm, varian baharu menggunakan enjin turbo 2.0 liter T5 Drive-E ini mampu menghasilkan kuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm bermula 1,500 hingga 4,800 rpm. Kuasa berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan torque converter dari Aisin.

    Gabungan tersebut membolehkan V40 T5 Drive-E memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 240 km/j. Walaupun kuasanya kini 32 hp/50 Nm lebih berkuasa dari varian T5 terdahulu, Volvo mendakwa varian baharu ini hanya menggunakan 6.1 liter petrol untuk 100 km perjalanan atau 16.4 km/l.

    Tiada perubahan dilihat pada rupa keseluruhan varian baharu ini dan ia kekal sama sepenuhnya seperti model V40 pra-facelift. Lima warna badan tawarkan iaitu Ice White, Ember Black, Raw Copper, Bright Silver dan Osmium Grey (warna biru seperti dalam gambar tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia). Begitu juga pada roda aloi, ia masih menggunakan roda aloi yang sama tetapi ia kini berwarna kelabu berbanding perak pada model sebelum ini.

    V40 Panoramic Glass roof wide shot_HR

    V40 kini dibekalkan dengan penukar gear pada roda stereng. Ciri lain seperti tempat duduk larasan berkuasa pada bahagian hadapan (dengan fungsi memori untuk pemandu), sistem penghawa dingin automatik,paparan instrumen Adaptive Digital Display lapan-inci serta sistem audio premium dengan skrin berwarna tujuh-inci masih dibekalkan secara standard.

    Untuk keselamatan, V40 T5 Drive-E masih dilengkapi dengan Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), Amaran Trafik Melintas, City Safety (brek automatik yang berfungsi pada kelajuan bawah 50 km/j), Kawalan Dinamik Stabiliti dan Cengkaman, Torque Vectoring, Active Bending Lights, serta tujuh beg udara.

    Setiap pembelian V40 T5 Drive-E disertakan dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta bantuan tepi jalan Volvo On Call juga selama lima tahun.

     
     
  • Jerman mahu semua kenderaan pendaftaran baharu bebas emisi menjelang tahun 2030 – laporan

    BMW_i3_service_repair_06

    Industri automotif Jerman pastinya harus melakukan anjakan paradigma selepas kerajaannya mahukan semua kenderaan baharu yang didaftarkan di negara berkenaan harus bebas emisi menjelang tahun 2030.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Bloomberg, Jerman sedang berusaha untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dioksida di antara 80% hingga 95% menjelang 2050. Timbalan Menteri Ekonomi Rainer Baake berkata, kenderaan biasanya memiliki jangka hayat lebih kurang 20 tahun, justeru, penggunaan bahan api petrol dan diesel patut dikurangkan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

    Susulan perkara ini, ada juga yang mencadangkan untuk memperluaskan lagi penggunaan kenderaan elektrik (EV). Namun pihak kerajaan Jerman memiliki perancangan yang tersendiri termasuk mengumumkan pelan pemberian subsidi bagi penjualan kenderaan hibrid dan juga EV bermula akhir tahun ini. Malah dengan adanya insentif tersebut, sebanyak 500,000 unit EV mampu dijual menjelang tahun 2020.

    Jadi, adakah pengeluar kenderaan Jerman mampu memenuhi permintaan kerajaan negara meraka dengan menghentikan pengeluaran kenderaan berenjin petrol dan diesel menjelang 2030? Lebih-lebih lagi apabila Kementerian Persekitaran negara berkenaan berpendapat emisi yang disumbangkan oleh sektor pengangkutan adalah sebanyak satu per lima daripada keseluruhan jumlah pencemaran karbon dioksida di Jerman. Dengan itu, Jerman berazam untuk mengurangkan emisi tersebut sebanyak 40% menjelang tahun 2020 dan seterusnya bebas 100% pada 10 tahun kemudiannya.

     
     
  • Continental Tyre Malaysia umum kempen pemeriksaan keselamatan tayar dari 9 Jun – 4 Julai di Tesco Extra

    Continental-Tyre-Malaysia-1-850x445

    Continental Tyres Malaysia (CTM) telah mengumumkan kempen pemeriksaan keselamatan tayar yang akan diadakan bermula 9 Jun hingga 4 Julai di empat Pasaraya Tesco Extra terpilih sekitar semenanjung Malaysia. Kempen berkenaan adalah bersempena musim perayaan akan datang, yang pastinya menyaksikan orang ramai akan pulang ke kampung halaman.

    Kempen pemeriksaan keselamatan tayar ini bertujuan untuk mendidik orang ramai berkenaan kepentingan penyelenggaraan tayar yang betul untuk memastikan keselamatan di jalan raya ketika dalam perjalanan semasa musim perayaan ini. “Kami percaya dengan mengambil langkah mengadakan kempen pemeriksaan keselamatan tayar ini merupakan peranan kami dalam memberikan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan membuat perubahan,” kata Cameron Wilson, Pengarah Urusan CTM.

    “Adalah penting untuk terus mendidik pengguna jalan raya bahawa tekanan tayar yang betul dan kedalaman bunga tayar yang mencukupi adalah perlu untuk memastikan perjalanan yang selamat. Tanpa perkiraan-perkiraan ini, jarak ketika membrek kecemasan akan menjadi lebih jauh, bermaksud kemalangan dengan impak kelajuan tinggi akan menjadi lebih banyak. Jadi jelas, dengan tekanan angin tayar dan kedalaman bunga tayar yang mencukupi, serta pemilihan tayar yang berkualiti akan memberikan perbezaan antara hidup dan mati,” tambah beliau.

    Kempen ini sudah pun dimulakan, dengan persinggahan pertama di Tesco Extra Alma, Bukit Mertajam beberapa hari lalu. Persinggahan seterusnya akan diadakan di Tesco Extra Mutiara Damansara dari 16 hingga 19 Jun, diikuti Tesco Extra Tebrau (23 hingga 26 Jun) dan lokasi terakhir dijadualkan di Tesco Extra Bukit Puchong (30 Jun hingga 3 Julai).

    Disetiap lokasi, kempen ini akan berjalan bermula 10 pagi hingga 10 malam. Brosur berkenaan tips penyelenggaraan tayar dan barangan Continental akan diedarkan ketika kempen berjalan. Sebagai penaja rasmi kejohanan UEFA Euro 2016, CTM turut mengadakan roadshow UEFA Euro 2016 disetiap lokasi kempen di mana orang ramai turut boleh menyertai aktiviti yang dijalankan dan berpeluang untuk memenangi barangan edisi terhad UEFA Euro 2016.

     
     
  • Bank Rakyat beri pinjaman penuh bagi Proton Perdana 2016 – terbuka untuk staf kerajaan dan swasta

    Proton_Perdana_24_Red_Ext_04

    Bank Rakyat telah mengumumkan pembiayaan kewangan penuh (100%) bagi pembelian model kenderaan Proton termasuk Proton Perdana 2016. Kempen ini adalah kerjasama dengan pihak Proton sendiri, laporan Bernama.

    Menurut Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal, tawaran itu terbuka kepada semua penjawat awam dan swasta yang menepati syarat-syarat pinjaman dan tempoh tawaran itu terbuka sepanjang masa.

    “Bank Rakyat sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan dan sebagai inisiatif membantu rakyat memiliki produk tempatan, kami tampil dengan tawaran ini,” katanya.

    Pada 14 Jun lalu, Perdana 2016 telah pun dilancarkan secara rasmi. Ia hadir dengan dua varian iaitu 2.0 dan 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Perdana 2016 ini masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm.

    Begitu juga dengan varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

    GALLERY: Proton Perdana 2.4


    GALLERY: Proton Perdana 2.0

     
     
  • Mercedes-Benz bakal memperkenalkan enjin petrol V6 sistem pancitan bahan api berstrata yang lebih cekap

    2017-mercedes-amg-c43-coupe-v6-engine

    Dalam usaha mencapai kecekapan bahan api lebih baik khususnya untuk mendapatkan bacaan emisi dan ekonomi bahan api yang lebih bagus, Mercedes-Benz akan memperkenalkan enjin petrol V6 dengan sistem pancitan bahan api terus berstrata pada model-model kemaskininya hujung tahun ini.

    Berbanding dengan sistem pancitan bahan api biasa yang memancitkan bahan api ke kebuk pembakaran ketika berlakunya lejang kemasukan, sistem pancitan bahan api berstrata ini membenarkan pancitan bahan api dilakukan semasa lejang mampatan. Menurut Mercedes-Benz, ini akan memberikan campuran udara-bahan api yang lebih lean pada situasi beban rendah, seterusnya mencapai penggunaan bahan api yang lebih ekonomi dengan “secara asasnya tiada pengorbanan pada kuasa,” kata Bart Herring, Pengurus Besar Mercedes-Benz USA untuk pembangunan produk.

    Masalah utama jika menggunakan enjin dengan campuran udara-bahan api yang sangat lean adalah, ia akan meningkatkan pencemaran nitrogen oksida (NOx), yang merupakan ancaman pencemaran paling teruk. Sistem pancitan bahan api berstrata Mercedes-Benz akan dilengkapi dengan perangkap khas NOx, dan menurut syarikat berkenaan lagi sebahagian enjin petrol mereka akan dilengkapi dengan penapis sedemikian bermula 2017. Untuk sistem baharu ini, tiada perubahan dilihat berbanding sistem penghantaran bahan api sedia ada melainkan perisian baharu dan unit pemancit bahan api yang unik.

    Kualiti bahan api yang dibekalkan merupakan sebab utama membolehkan teknologi sistem pancitan bahan api berstrata ini berfungsi. Menurut Herring lagi, di Amerika Syarikat, semua petrol yang dijual perlulah mengandungi kandungan sulfur lebih rendah dari sebelum ini – dari 30 ppm kepada 10 ppm – yang merupakan sebab utama sistem pancitan bahan api baharu yang lebih tepat ini diperkenalkan.

    Petrol dengan kandungan sulfur ditahap 10 ppm adalah bersamaan dengan petrol berstandard Euro 5. Sementara itu di Malaysia, petrol Euro 5 hanya akan tiba pada tahun 2025, dan diesel Euro 5 akan tiba pada tahun 2020. Petrol Euro 4 RON 97 yang sedia ada dalam negara buat masa ini mengandungi sulfur pada tahap 50 ppm.

     
     
  • Mercedes Benz W213 E200 Avantgarde unit kumpulan terawal – RM386k, senarai ciri-ciri diubahsuai

    W213 Mercedes-Benz E200 Avantgarde 1

    Setelah dilancarkan minggu lalu dengan empat varian CBU, Mercedes-Benz Malaysia hari ini mengumumkan kumpulan pertama E 200 Avantgarde akan dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM386,888, atau RM10,000 kurang dari harga yang diumumkan semasa pelancarannya (RM395,888).

    Perbezaan harga ini kerana beberapa ciri yang pada senarai awal kini diubahsuai pada unit kumpulan terawal E 200. MBM menyatakan unit kumpulan terawal E 200 ini merupakan unit versi awalan, dan tidak mewakili sepenuhnya unit untuk pasaran besar-besaran, yang akan dilengkapi dengan semua ciri disenaraikan pada pelancarannya.

    Pada bahagian dalaman, skrin lebar untuk kokpit tidak dilengkapi. Pada E 200 standard, dua skrin paparan bersaiz 12.3-inci – dengan resolusi 1,920 x 720 piksel – disatukan pada satu kluster instrumen.

    Oleh itu, unit kumpulan terawal ini akan menerima paparan instrumen analog konvensional (seperti gambar diatas), dengan skrin berwarna 7-inci pada bahagian tengah papan pemuka. Unit infotainmen Audio 20 USB dengan kawalan pad sesentuh dan Garmin Map Pilot dihubungkan pada skrin tersebut.

    Walaupun paparan skrin lebar tiada pada unit awalan ini, kamera 360-darjah telah ditambah. Ciri ini tiada pada model pasaran besar, di mana ia hanya akan dilengkapi dengan kamera undur standard.

    Ciri lain kekal tidak berubah. Mercedes-Benz E 200 dikuasakan dengan enjin M 274 DE AL 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 181 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,200 rpm hingga 4,000 rpm dan dipadankan dengan kotak gear automatik Sembilan kelajuan 9G-Tronic Mercedes beserta penukar gear.


    Klik untuk besarkan

    Antara ciri yang turut dibekalkan pada E 200 Avantgarde termasuk fungsi ECO start/stop, Dynamic Select dengan empat mod dan suspensi Agility Control dengan serapan hentakan boleh laras serta kerendahan 15 mm.

    Bahagian luaran model ini pula dilengkapi dengan pakej penggayaan Avantgarde menampilkan gril dua bar, roda aloi lima jejari 18-inci (dengan tayar run-flat) dan lampu berprestasi tinggi LED. Pakej tersebut juga turut melibatkan bahagian dalaman yang menampilkan stereng pelbagai fungsi dibalut dengan kulit Nappa serta sistem penghawa dingin automatik.

    GALERI: Mercedes-Benz E 200 Avantgarde

     
     
  • Peugeot 3008 baharu bakal menerima versi diesel

    PEUGEOT_3008_1605PC_125

    Mei lalu, Peugeot telah pun memperkenalkan model crossover kompak generasi kedua 3008 dan semalam pengeluar kenderaan terkemuka Perancis ini telah mengesahkan ia juga bakal menampilkan versi diesel.

    Peugeot 3008 baharu versi diesel atau 3008 GT ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbodiesel empat-silinder yang mampu menghamburkan output sehingga 180 hp dengan kuasa yang disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam-kelajuan. Malah model ini juga menerima imej yang sedikit agresif dengan menampilkan roda bersaiz 19-inci.

    Peugeot turut berkata, model ini akan didatangkan dengan lampu utama LED standard dengan indikator, bersama gril hadapan yang lebih sporty dan gril radiator krom berpetak. Bagi menampakkan kelainannya, versi diesel ini akan ditampilkan dengan bumbung dua-tona warna.

    Bagi kekemasan dalamannya pula, ia didatangkan dengan material TEP/Alcantara yang boleh ditukarkan dengan kulit Nappa Mistral. Malah 3008 GT yang menerima padanan warna tembaha untuk paparan digital yang anda tidak akan temui dalam varian lain.

    Semua barisan model 3008 baharu termasuk versi diesel bakal ditampilkan di Paris Motor Show yang dijadualkan berlangsung pada awal Oktober ini. Jadi nantikan perkembangan selanjutnya mengenai model ini.

    Peugeot 3008 GT

     
     
  • Imej render Proton Perdana Coupé, amacam?

    Proton_Perdana_Coupe_render_01

    Proton Perdana 2016 menampilkan rekaan yang agak menarik tetapi agak sarat pada berberapa bahagian. Namun, pernah anda terfikir bagaimana jika sedan ini dibuang pintu belakang dan dipendekkan sedikit dimensinya? Untuk menyerlahkan bayangan tersebut, pakar Photoshop residen kami Theophilus Chin hadir dengan imej render Perdana Coupe seperti yang anda lihat ini.

    Asas imej render ini ialah Honda Accord generasi ke-lapan, iaitu model asas binaan Perdana, tetapi dari versi Coupe yang hanya dijual dalam pasaran Amerika Syarikat.

    Bentuk muka Perdana yang lebih bulat berbanding Accord nampaknya lebih sesuai untuk bentuk badan Coupe ini. Begitu juga bentuk fastback pada Accord Coupe tersebut, kebetulan agak menyerupai bentuk fastback pada Perdana sedan.

    Proton_Perdana_Coupe_render_02

    Theo turut menyadur terus lampu belakang berbentuk-L Perdana pada badan Coupe tersebut, lengkap dengan bar krom serta logo Proton dan kemasan ala-diffuser pada bampar belakang, menjadikan Perdana Coupe ini lebih sporty dari Accord Coupe. Pemegang pintu, skirt sisi dan roda aloi yang besar turut disertakan bagi melengkapkan rupa parasnya.

    Splitter hadapan, kemasan pada skirt sisi serta diffuser belakang kini diwarnakan dengan warna hitam (berbanding warna badan pada Perdana sebenar) dan perumah tip ekzos palsu juga menerima salutan krom untuk memperkemaskan rupa keseluruhannya.

    GALERI: Proton Perdana Sedan 2.4L

     
     
  • DBKL akan salurkan maklumat banjir kilat di FB

    Malaysia-Flash-Flood-2016

    Banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan utama di sekitar ibukota pada bulan lalu hingga menyebabkan kerosakan lebih dari 100 buah kenderaan menjadi iktibar buat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menyalurkan maklumat dengan segera kepada orang ramai.

    Menurut Pengarah DBKL Mustafa Mohd Nor, DBKL akan mewujudkan satu akaun laman sosial Facebook bagi memudahkan penyaluran informasi serta-merta kepada pengguna jalan raya, laporan Bernama. Malah maklumat tersebut juga boleh disalurkan oleh orang ramai untuk hebahan semua warga kota.

    Katanya, menerusi perkongsian informasi oleh orang ramai melalui media sosial itu akan dapat membantu pengguna jalan raya mengelakkan diri daripada terperangkap dalam banjir kilat selain memudahkan mereka untuk merancang perjalanan ketika hujan lebat.

    “Dengan cara ini, ia boleh membantu mencegah sebarang kemungkinan yang tidak diingini daripada berlaku. Sekali gus membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan mereka sewaktu bencana alam ini,” ujarnya.

    Semalam, media melaporkan Kerajaan dan DBKL menegaskan sekali lagi tidak akan memberikan sebarang pampasan kepada mangsa banjir kilat bulan lalu. Ini kerana banjir tersebut merupakan “bencana alam”.

    Dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Lembah Klang pertengahan bulan lalu menyaksikan sekitar 100 buah kenderaan terperangkap dalam paras air yang naik secara mendadak pada beberapa jalan utama, termasuk Jalan Pantai Baru dan Jalan Tuanku Abdul Halim. Banyak kereta dilaporkan tenggelam di dalam air dengan kedalaman sekitar tiga hingga empat kaki, menyebabkan pemilik terpaksa meninggalkan kenderaan mereka.

    Sistem perparitan yang kurang efisien dan hujan lebat faktor penyebab banjir kilat. Pembentungan yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah besar air dan ia menyebabkan limpahan. Malah Sungai Klang juga tidak mengalir dengan sempurna.

     
     
  • Korea Selatan sedang dalam perbincangan dengan Malaysia berhubung projek HSR KL-Singapura

    hitachi-bullet-train

    Korea Selatan telah menyatakan minat mereka yang semakin bertambah terhadap cadangan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Menurut laporan The Sun Daily, Republik tersebut kini sedang berbincang dengan Malaysia berkenaan projek tersebut.

    Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan Kang Hoin baru-baru ini telah bertemu dengan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk membincangkan beberapa perkara, termasuk Projek HSR KL-Singapura.

    “Ya, kami telah berbincang tentang projek tersebut. Liow mengalu-alukan penglibatan Korea Selatan,” kata Kang. Walau bagaimanapun, masih lagi belum diketahui siapa yang akan memenangi bidaan untuk membina landasan sejauh 350 km yang bermula dari Bandar Malaysia di Sungai Besi dan berakhir di Jurong East, Singapura tersebut.

    “Anda buat jangkaan. Perjalanan masih lagi panjang,” komen Kang. Korea Selatan menyatakan minat mereka untuk membida projek berkenaan sejak tahun lalu. Dalam perkara berasingan, Republik berkenaan turut sanggup berkongsi kepakaran mereka dalam sistem Pengangkutan Pintar Metropolitan (ITS) dengan Malaysia untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan sistem trafik di sini.

    Beberapa negara lain turut sedang melobi untuk menyertai projek HSR ini termasuk Jepun, Perancis, Jerman, Korea Selatan dan China, tetapi laporan sebelum ini menunjukkan China sedang mendahului bidaan projek tersebut. Projek HSR ini dijangka akan siap menjelang 2022, dengan MoU untuk projek tersebut dijangka akan ditandatangani oleh pihak Malaysia dan Singapura Julai ini.

     
     
  • RaceChip tawar modul talaan untuk Honda Civic 1.5L VTEC Turbo – tingkat kuasa sehingga 225 PS/285 Nm

    HONDA CIVIC FC (Gen.X) 1.5 VTEC TURBO with RaceChip Chiptuning

    RaceChip / HONDA CIVIC FC 1.5 VTEC TURBO – Tested & Proven

    Stock : 173PS | 220Nm
    RaceChip Optimization : 215PS | 275Nm

    GREAT NEWS, Honda Civic fans in Malaysia. You can now own yourself a brand new turbocharged Civic. The greater news will be, the world's #1 chip tuner, RaceChip has specially developed a Plug N Drive Engine Performance Equipment, the PRO2 and ULTIMATE, upgrading the All-New HONDA CIVIC FC 1.5 VTEC TURBO to the next level.
    Do you need to upgrade your driving pleasure? Now's the time to pounce!
    MORE POWER MORE TORQUE MORE MILEAGE

    Follow the links for more info. Thanks & Enjoy.

    https://www.facebook.com/racechipchiptuningMY/photos/pcb.1299281456753773/1299281333420452/?type=3&theater

    https://www.facebook.com/racechipchiptuningMY/photos/pcb.1299281456753773/1299281356753783/?type=3&theater

    https://www.facebook.com/racechipchiptuningMY/photos/pcb.1299281456753773/1299281370087115/?type=3&theater

    https://www.facebook.com/racechipchiptuningMY/photos/pcb.1299281456753773/1299281400087112/?type=3&theater

    https://www.facebook.com/racechipchiptuningMY/photos/pcb.1299281456753773/1299281433420442/?type=3&theater

    Thanks to our partner Jock RaceChip Thailand for the nice video.

    Posted by RaceChip Chiptuning Malaysia on Tuesday, 14 June 2016

    Penantian untuk Honda Civic generasi ke-10 menembusi pasaran Malaysia sudah pun berakhir dengan pelancarannya yang diadakan minggu lalu. Civic, seperti generasi-generasi sebelum ini, amat sinonim dengan ‘kaki modified’. Tambahan pula, Honda nampaknya kini telah mengembalikan imej sporty pada Civic dengan pemadanan enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada model generasi terbaharu ini.

    Jadi, untuk ‘kaki modified’ yang telah pun menempah atau sudah pun memperolehi Civic VTEC Turbo mereka dari pengedar Honda, syarikat tempatan – RaceChip Malaysia – menawarkan produk ‘plug and play‘ untuk meningkatkan kuasa kuda asal Civic iaitu 173 PS dan tork 220 Nm.

    RaceChip mendakwa, modul tambahan RaceChip Ultimate mereka yang dipasang pada penyambung FCI Civic akan menala semula pemetaan ECU asal bagi mengekstrak kuasa keseluruhan 225 PS dan tork maksima 285 Nm, iaitu tambahan kuasa kuda 52 PS dan tork 65 Nm.

    Bagi mereka yang mahukan kuasa kuda tambahan tidak sebesar yang ditawarkan oleh RaceChip Ultimate, RaceChip turut menawarkan RaceChip Pro2 yang meningkatkan kuasa kuda asal kepada 215 PS dan tork 275 Nm. Menurut RaceChip lagi, kedua-dua produk mereka ini turut memberikan penjimatan bahan api satu liter setiap 100 km berbanding asal.

    RaceChip-screencap_BM

    RaceChip Ultimate dijual pada harga RM3,999, manakala Pro2 pula dijual pada harga RM2,999. Laman web syarikat tersebut ada menyatakan pemasangan RaceChip bukan sahaja akan menjejaskan perlindungan insuran kereta anda, ia juga akan menyebabkan perlindungan waranti terbatal. Honda Malaysia juga turut mengesahkan ubahsuai ini akan menjejaskan waranti pengeluar.

    Satu perkara lagi yang perlu diambil kira, adakah kotak gear CVT asal Civic ini mampu menahan lebihan kuasa dan tork yang dihasilkan dari enjin? Jadi, mereka yang berminat untuk melakukan ubahsuai tersebut turut perlu mengambil kira risiko kerosakan yang perlu ditanggung jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kelak.

    Walau bagaimanapun, RaceChip turut menyatakan talaan menggunakan modul yang disambungkan melalui penyambung FCI ini mempunyai kelebihannya tersendiri berbanding talaan piggyback menerusi penyambung OBD. Pertama, modul ini menala semula pemetaan ECU enjin berdasarkan had toleransi yang ditetapkan oleh pengeluar, tanpa mengubah apa-apa talaan kilang pada kotak komputer asal. Kedua, kerana kaedah pemasangan ‘plug and play’ yang kemas menggunakan penyambung, tanpa melibatkan apa-apa pomotongan wayar asal, kereta masih boleh dibawa ke pusat servis pengedar sah tanpa masalah dengan membuka semula modul berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025