Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Imej Proton Perdana 2016 didedahkan hampir sepenuhnya di akaun Instagram Proton sendiri

    Proton-Perdana-Instagram_BM

    Menjelang pelancarannya esok, akaun Instagram rasmi Proton telah mendedahkan imej keseluruhan sedan segmen-D nasional tersebut, tetapi dipecahkan dalam bentuk kolaj.

    Pelawat yang melayari laman instagram tersebut dapat melihat bahagian penuh tiga perempat Perdana serba baharu berkenaan. Walau bagaimanapun, ini bukanlah pertama kali imejnya dapat dilihat berikutan kebocoran imej sedan segmen-D ini bocor di internet bermula dari imej dengan pelekat penyamaran ketika diuji sehingga imej ianya dihantar ke pengedar.

    Seperti yang boleh dilihat dengan jelas, Perdana merupakan model yang direka semula berasaskan Honda Accord generasi kelapan. Terdapat beberapa perubahan kecil juga dilakukan pada bahagian dalaman termasuk tema warna baharu dan juga sistem infotaimen yang terkini.

    Perdana masih lagi dikuasakan dengan dua pilihan enjin yang sama seperti Accord iaitu enjin 2.0 liter R20A3 berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z 2.4 liter DOHC i-VTEC berkuasa 178 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan dengan penukar gear.

    Proton Perdana 2016 bakal dilancarkan esok. Anda juga boleh menyaksikan pelancaran tersebut secara langsung dengan mengikuti laman kami tetapi perlu pastikan anda mempunyai akses internet dan YouTube. Seperti biasa, laporan pelancaran tersebut turut akan kami sediakan termasuk galeri lengkap Proton Perdana 2016.

     
     
  • Subaru perkenal BRZ Series.Yellow edisi terhad – hanya 500 unit, pilihan transmisi manual sahaja

    17BRZ_Series.Yellow-exterior-e1465789352350_BM

    Subaru Amerika telah mendedahkan Subaru BRZ Series.Yellow 2017 edisi terhad, dihasilkan dari versi facelift kereta sport dua pintu berkenaan yang baharu sahaja diperkenalkan sebelum ini. Hanya 500 unit diproduksi, yang kesemuanya diasaskan dari model Limited versi transmisi manual.

    Sesuai dengan namanya, Series.Yellow menerima warna badan keseluruhan kuning cerah digandingkan bersama lencana Subaru dan BRZ serta cermin sisi berwarna hitam. Ia turut dipadankan dengan roda aloi 17-inci kemasan hitam. Performance Package yang disertakan bersama model Limited turut diberikan kepada Series.Yellow sebagai ciri standard.

    Bahagian dalaman BRZ Series.Yellow pula menerima upholstery balutan Alcantara pada beberapa bahagian termasuk pada tempat duduk. Seperti juga pada bahagian luaran, ia turut menerima gandingan warna kuning pada serlahan jahitan benang, kemasan pada tempat duduk dan juga sulaman logo BRZ pada perehat belakang tempat duduk.

    17BRZ_Series.Yellow-interior_BM

    Pakej tersebut terdiri dari tingkat-taraf pada sistem brek BRZ ini dengan menampilkan angkup brek hadapan empat silinder beserta cakera brek dari Brembo dan angkup brek dua silinder pada bahagian belakang. Penyerap hentak berprestasi tinggi dari Sachs turut dipadankan untuk memberikan pengendalian dan kestabilan yang lebih baik.

    Selain dari itu, sistem mekanikal lain pada BRZ masih lagi kekal tanpa apa-apa perubahan. Ia masih dijana oleh enjin 2.0 liter boxer empat silinder tanpa induksi paksaan dengan sistem pancitan bahan api terus D-4S berkuasa 205 hp/214 Nm. Kesemua kuasa dialirkan ke gandar belakang yang dilengkapi LSD dari jenis Torsen menerusi kotak gear enam-kelajuan manual.

     
     
  • Grab bakal lancar perkhidmatan perkongsian kenderaan bagi laluan Singapura-Johor Bahru

    Grab rebranding Singapore-3

    Bagi memudahkan lagi perjalanan rakyat Singapura dan Malaysia (Johor Bahru) yang berulang-alik ke dua negara berkenaan dengan kos yang lebih berpatutan, Grab telah melancarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan untuk kedua-dua hala seperti mana yang diumumkan hari ini.

    Menurut laporan Today Online, GrabHitch JB-SG bakal dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun ini, akan membenarkan pemandu menyediakan ruang kosong bagi mengambil penumpang yang mahu menyeberang Tambak Johor bagi kedua-dua arah. Dengan perkhidmatan ini, para penumpang hanya dikenakan bayaran tambang yang cukup berpatutan, di samping lebih selamat dan selesa berbanding menggunakan pengangkutan awam lain.

    Penumpang boleh membuat pra-tempahan dalam tempoh tujuh hari atau selewat-lewatnya 30 minit sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah ditetapkan mengikut Grab iaitu melibatkan destinasi yang popular.

    Tambang sehala dan destinasi perkhidmatan ini adalah seperti berikut:
    Screen Shot 2016-06-13 at 1.41.28 PM

     
     
  • JPJ sita hampir 2,000 kenderaan klon di seluruh negara, 28 kes telah diselesaikan di mahkamah

    Cloned-cars-1

    Daripada hampir 2,000 kenderaan klon yang berjaya disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebanyak 28 kes berkaitannya telah pun diselesaikan di mahkamah, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad, pihaknya sangat komited dan konsisten bagi menjejaji sindiket kenderaan klon ini. Dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pelbagai operasi bersepadu telah dijalankan dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa.

    “Kebanyakan kenderaan klon yang dikesan di negara ini adalah dari Singapura dan usaha bagi mengekang kegiatan itu sedang dipertingkatkan,” ujarnya.

    Baru-baru ini JPJ turut mengakui mungkin terdapat ‘pihak’ yang mengambil kesempatan ke atas sistem mereka bagi membolehkan sindiket kenderaan klon mempunyai akses terhadap nombor-nombor pendaftaran kenderaan negara yang tidak aktif digunakan.

    Walau bagaimanapun, JPJ tidak pasti sama ada ‘pihak’ tersebut melibatkan orang dalaman JPJ ataupun sebaliknya.

     
     
  • Honda RS150R 2016 dilancarkan di Malaysia – tampil dengan dua varian, harga dari RM8,213

    2016-Honda-RS150R-launch-4

    Pengedar rasmi motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda, telah pun melancarkan model kapchai RS150R sebentar tadi. Ia dilancarkan oleh Pengarah Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jin dan turut dihadiri oleh pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi, yang memenangi Moto3 GP di Argentina pada April lalu.

    Honda RS150R 2016 pemasangan tempatan ini dijanakan oleh enjin 149.7 cc penyejuk-cecair, empat-injap DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 15.6 hp pada 9,000 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

    Selain itu, ia turut menampilkan struktur bingkai perimeter-berkembar, sepit-udang teleskopik tanpa-pelarasan di hadapan, penyerap hentak tunggal di belakang serta cakera hidraulik hadapan dan belakang, dengan ukuran 296 mm dan 190 mm, yang disabungkan pada roda aloi.

    Model kapchai ini hanya seberat 122 kg, dan ketinggian tempat duduknya hanya 764 mm. Ia juga dipadankan dengan lampu utama LED, dan kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.5 liter.

    Selepas diperkenalkan di Indonesia dan Vietnam, Boon Siew Honda mensasarkan jualan sebanyak 24,000 unit dalam tempoh 12 bulan akan datang.

    Ia turut menawarkan empat pilihan warna bagi dua varian ini iaitu Merah Metalik dan Repsol, serta biru dan hitam sebagai standard. Ditawarkan pada harga (termasuk GST) RM8,213.94 bagi varian standard dan RM8,377/94 untuk Advance, Honda RS150R 2016 boleh didapati di semua pengedar Honda di seluruh negara mulai Ogos ini.

     
     
  • Polis, JPJ tidak kisah dengan info semasa Waze dan Twitter, bukan halangan banteras jenayah – laporan

    Waze police

    Sama ada polis mahu pun Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ), tidak mengambil kisah dengan informasi dalam aplikasi seperti Waze dan Twitter, di mana para pengguna jalan raya boleh memberikan amaran kepada orang ramai tentang lokasi dan penguatkuasaan yang dijalankan, menurut The Sun.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, walau pun informasi dalam aplikasi dalam talian tersebut adakalanya ‘mengganggu’ operasi yang dijalankan oleh polis, ia tidak menghalang pihak berkuasa untuk membanteras jenayah.

    “Kami sedar dengan sebaran informasi dari orang awam di Waze dan lain-lain aplikasi dari semasa ke semasa tentang penguatkuasaan yang dijalankan termasuk operasi kami di jalan raya atau pun ketika kereta peronda kami menahan suspek atau pun pesalah trafik. Tetapi kami tahu tindakan yang perlu kami lakukan,” tegasnya.

    Mohmad turut menambah beliau turut sedar tentang penyebaran maklumat dalam talian yang lebih cepat ini namun katanya polis mempunyai strategi tersendiri bagi memberkas penjenayah. Beliau bercakap kepada pihak media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada polis, JPJ dan kakitangan media yang terlibat dalam operasi khas membenteras samseng-samseng “Tonto’ baru-baru ini.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad pula berkata operasi berkenaan dianggap berjaya, dan ia akan diperluaskan di lain-lain negeri tidak lama lagi. “Buat masa ini, kami hanya memfokuskan pada tiga negeri terlebih dahulu iaitu Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Kami sudah bersedia untuk menyertai operasi bersama pihak polis dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

     
     
  • Kadar tol naik di lapan lebuhraya tidak lama lagi

    TOL PLUS

    Tahun lalu sebanyak 18 buah plaza tol telah terlibat dengan kenaikan kadar dan kebanyakannya adalah secara drastik. Bagi tahun ini pula, kerajaan dikatakan bakal membuat keputusan untuk menaikkan kadar tol bagi lapan lagi syarikat konsesi, menurut The Sun.

    Akhbar berbahasa Inggeris itu turut memetik dari Sin Chew Daily, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika ingin mengekalkan kadar tol yang sama pada harga kini, kerajaan perlu membayar pampasan kepada pihak konsesi dalam jumlah yang sangat besar dan ini membebankan kerajaan dalam hutang jangka masa panjang.

    Beliau turut menambah, kerajaan telah berhadapan dengan kesukaran untuk membuat keputusan berhubung perkara ini. Namun hanya ada dua pilihan di bawah rancangan penstrukturan semula tol iaitu membenarkan kenaikan kadar tol dan pengguna perlu membayar lebih untuk menggunakan lebuh raya, atau menanggung beban kos pampasan tersebut.

    Fadillah berkata syarikat konsesi yang dibenarkan untuk menaikkan kadar tol di lapan buah lebuhraya iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Hubungan Kedua (Linkedua), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) pada 1 Januari tahun ini, menurut persetujuan yang telah ditandatangani sebelum ini. LDP juga telah pun menaikkan kadar tol pada tahun lalu.

    NKVE_KM15

    Jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan kadar tol ini, jumlah pampasan yang perlu dipayar adalah sebanyak RM539 juta. “Jika kerajaan menangguhkan kelulusan kenaikan kadar tol, jumlah tersebut (pampasan), akan meningkat setiap tahun. Dalam erti kata lain, ia boleh menyebabkan hutang dalam jangka masa panjang untuk kerajaan,” ujar Fadillah.

    Menteri tersebut turut menambah, antara tahun 2008 dan 2014, kerajaan telah menolak permohonan untuk menaikkan kadar tol oleh syarikat konsesi lebuhraya, dan ia menyebabkan lebih dari RM2.2 bilion pampasan terpaksa dibayar.

    Fadillah juga enggan mendedahkan sebarang butiran mengenai kadar tol tersebut, sambil menambah jawatankuasa kerja telah berunding untuk mengemukakan laporannya kepada kabinet bagi menentukan keputusan hasil perbincangan bersama pemegang konsesi lebuh raya tersebut berakhir kelak.

    Tahun lalu, sejumlah 18 buah lebuhraya di seluruh Malaysia terlibat dengan kenaikan tol, dalam tarikh yang sama iaitu 15 Oktober. Ini termasuklah AKLEH, Besraya, DUKE, Grand Saga, Lebuhraya Guthrie, Kajang SILK, Karak, LATAR, LEKAS, LKSA, MEX, NPE, terowong SMART, Lebuhraya Senai-Desaru, SKVE, Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Sprint dan LDP.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz 540 K Special Roadster milik Sultan Johor dan model-model klasik lain dipamerkan

    540-K-Special-Roadster-1939-2_BM

    Sempena pelancaran Mercedes-Benz E Class W213 minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mempamerkan model-model ikonik terdahulu Mercedes-Benz termasuk salah sebuah dari dua varian 540 K Special Roadster dari Koleksi Automobil Diraja Johor.

    Mercedes-Benz 540K tersebut dibeli oleh Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor dari 1895 hingga 1959. Kaiser of Prussia yang rapat dengan Sultan Ibrahim ketika itu mempelawa baginda untuk membeli dua unit terakhir 540K yang dibina hanya 25 unit oleh Mercedes-Benz, dimana unit yang dipamerkan ini dipercayai hanya satu-satunya unit pemanduan sebelah kanan di dunia.

    Roadster ini juga telah dipandu oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (yang ketika itu sebagai Tunku Mahkota Johor) pada Johor Grand Prix 1940, menjuarai perlumbaan tersebut menewaskan 15 peserta lain dari seluruh Malaya.

    Turut dipamerkan pada acara tersebut termasuk 190 SL 1955, roadster dua pintu yang ketika zamannya menjadi alternatif lebih mampu milik berbanding ‘abangnya’ 300 SL Gullwing. Kereta-kereta open-top klasik Mercedes-benz juga dipamerkan yang terdiri dari model dua-pintu 220 S Ponton Cabriolet 1956 dan model empat pintu, empat tempat duduk 320 Cabriolet D 1937.

    Model lain yang turut dipamerkan ialah 280 E 3.5 Coupe Edisi Terhad 1972 (dibina dengan tangan berdasarkan kerangka model W111 unibody) dan model dua tempat duduk 280 SL W113 Pagoda 1963.

     
     
  • 50 unit Ferrari di Malaysia terlibat dalam panggilan semula berhubung masalah beg udara Takata

    ferrari 458 italia

    Minggu lalu, dilaporkan sebanyak 359 unit Ferrari yang dibina antara 2009 hingga 2011 dipanggil semula di Australia berhubung beg udara keluaran Takata yang dipasang berkemungkinan bermasalah.

    Komponen yang diambil dari luar pada beg udara sebelah penumpang berkemungkinan tidak mematuhi piawaian. Jika kereta tersebut terlibat dalam kemalangan yang akan menyebabkan beg udara meletup, ketidakpatuhan tersebut mungkin akan menyebabkan kegagalan pada unit inflator dan letupan beg udara yang tidak betul pada sebelah penumpang, meningkatkan risiko berlakunya kecederaan.

    Australian Competition and Consumer Commission (ACCC) mengesahkan di laman web mereka dengan menyiarkan notis rasmi panggilan semula tersebut dan Ferrari Australiasia menyenaraikan 458 Italia, 458 Spider, California dan FF sebagai model yang terlibat.

    Untuk kemaskini isu ini dari sudut perspektif di Malaysia, Pejabat Ferrari Timur Jauh telah mengesahkan dengan paultan.org bahawa 50 unit Ferrari terlibat dengan panggilan semula berhubung isu yang sama. Model yang terlibat termasuk 458 Italia, California dan FF. Alat ganti akan ditukar pada kereta-kereta yang terlibat tanpa sebarang kos yang perlu dikeluarkan oleh pemilik.

    Sebelum ini Ferrari memanggil semula sekitar 2,600 model diseluruh dunia pada Julai 2015 berhubung masalah beg udara Takata sebelah pemandu, di mana 11 daripadanya yang terdiri dari model 458 Italia, FF, 458 Spider, 458 Speciale/Speciale A, California T, F12 Berlinetta and LaFerrari direka untuk pasaran Malaysia.

     
     
  • Plat nombor ‘F1’ dijangka dibida melebihi RM1j – JPJ

    W1A

    Tidak lama lagi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menerima nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk kenderaan yang didaftarkan pada Jun dan Julai ini. Di mana Timbalan Menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata abjad-abjad awalan tersebut telah dipilih selepas menerima permohonan dari Perbadanan Putrajaya.

    Ekoran itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan nombor pendaftaran ‘F1’ bagi Putrajaya mampu dibida hingga melebihi RM1 juta, laporan Bernama. Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, jumlah bidaan bagi nombor pendaftaran itu tidak ditetapkan dan terbuka untuk mana-mana pihak yang berminat.

    “Nombor pendaftaran yang paling mahal setakat ini dibeli pihak tertentu adalah W1N pada harga RM746,000 dan bagi nombor plat ‘F1’ pula dijangka lebih RM1 juta,” katanya.

    Bagaimanapun, Ismail enggan mendedahkan identiti individu yang membuat permohonan membida nombor pendaftaran ‘F1’ itu berikutan tempoh pembukaan tender masih berbaki dua hari lagi.

    Sebelum ini, dilaporkan jutawan perusahaan kosmetik terkenal Datuk Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida turut menyampaikan hasratnya untuk membida nombor berkenaan. Di mana beliau telah bersedia ‘meletakkan harga yang cukup menarik’ bagi bidaan tersebut.

     
     
  • Sila gunakan kerusi khas kanak-kanak ketika pulang ke kampung sempena Hari Raya 2016 – pinjamkannya secara PERCUMA dari paultan.org

    IK-CAR-SEAT

    Kepada para pembaca dan ibubapa, sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba dan pastinya ramai antara kita akan melalui perjalanan yang panjang dan sukar untuk pulang ke kampung halaman.

    Namun begitu, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa kadar kemalangan sering berlaku semasa tempoh ini. Di mana risiko kemalangan jauh lebih tinggi apabila banyak kenderaan di jalan raya, dengan masing-masing bergegas pulang ke rumah sebelum menjelang lebaran tiba.

    Kini, apa yang kita semua boleh lakukan secara terbaik ialah menjaga keluarga kita sendiri dengan lebih selamat, supaya kita tidak mengubah suasana yang sepatutnya gembira itu menjadi kedukaan. Pada ketika ini, kami ingin sekali mengingatkan semua tentang kepentingan penggunaan kerusi khas kanak-kanak ini. Wahai ibu bapa, jika anda sedang mencari masa yang sesuai untuk menggunakannya, inilah ruang yang terbaik untuk melakukannya.

    Namun salah satu alasan yang sering kali diberikan oleh ibu bapa di Malaysia ini mengapa tidak menggunakan kerusi khas kanak-kanak ini adalah kerana ia terlalu mahal untuk dibeli. Berdasarkan kajian kami sendiri, didapati, kerusi khas kanak-kanak yang disahkan oleh ECE R44 kini boleh didapati pada sekitar RM400.

    Memang ia bukanlah nilai yang kecil buat semua, namun jika anda menghabiskan wang ringgit hanya untuk membeli kit badan, rim aloi yang lebih cantik dan sebagainya, adalah lebih baik anda membeli kerusi khas kanak-kanak yang sangat diperlukan
    ini.

    Kerusi khas kanak-kanak untuk dipinjamkan secara PERCUMA – perkhidmatan komuniti oleh paultan.org, tajaan Mercedes-Benz Malaysia

    Mercedes-Benz-Malaysia-Future-of-the-Nation--e1464339091784

    Jika anda tidak mahu menggunakan kerusi khas kanak-kanak ini setiap hari, sekurang-kurangnya gunakanlah ia sepanjang Raya ini. Kami di paultan.org, tajaan Mercedes-Benz Malaysia, membuat keputusan untuk membuat sesuatu kelainan sempena Raya ini.

    Kami telah membeli 185 unit kerusi khas kanak-kanak yang mematuhi piawaian ECE R44 (35 tanpa Isofix dan 100 kerusi Isofix tajaan Mercedes-Benz Malaysia) dan kami ingin menawarkan kepada 185 keluarga di Malaysia ini untuk meminjam secara PERCUMA kerusi khas kanak-kanak ini bagi digunakan sepanjang Hari Raya ini.

    Terdapat empat jenis tempat duduk kanak-kanak ditawarkan untuk tahun ini. Pertama, tempat duduk kanak-kanak Koopers Jive, di mana ia boleh untuk kedudukan menghadap di belakang (0-13 kg) atau -ke hadapan (9-18 kg). Ia boleh dipasang dengan menggunakan Isofix dan tali pinggang keledar, dengan alat bantuan sokongan bagi mengehadkan pergerakannya kerusi ini.

    Jenis kedua pula ialah Koopers Mambo, kerusi khas kanak-kanak jenis-Isofix, yang boleh digunakan untuk arah hadapan-belakang (0-10kg) atau arah-hadapan (10-18 kg). Ia turut didatangkan dengan alat bantuan penyokong untuk mengehadkan pergerakan kerusi terbabit.

    Arah jam dari kiri: Koopers Jive, SNSKIDZ Pro dan Koopers Mambo. SNSKIDZ Star seperti foto di bawah

    Selain itu, kami juga memiliki SNSKIDZ Star iaitu tempat duduk yang boleh ditukar posisinya, sama ada menghadap arah-belakang (0-10 kg) atau arah-hadapan (10-25 kg), dan juga SNSKIDZ Pro, pengalas (booster) kerusi khas kanak-kanak menghadap hadapan (15-36 kg). Kerusi khas ini hanya menggunakan tali pinggang keledar untuk pemasangannya.

    Terima kasih yang tidak terhingga buat Safe ‘n Sound dan Koopers kerana menawarkan kerusi khas ini kepada kami dengan harga istimewa.

    Jika anda tidak memerlukan bantuan program ini dan ingin membelinya sendiri, layari SNSKIDZ Star untuk pembelian.

    Pemasangan menghadap ke belakang

    Child-car-seats-paultan.org-011

    Jika anak anda seberat 10 kg dan ke bawah, anda disarankan untuk memasang kerusi khas ini secara menghadap ke belakang. Kerusi khas yang sama boleh dipasang dengan menghadap ke belakang, cuma gunakan arah pemasangan yang berbeza bagi tali pinggang keselamatan. Apabila anda ingin mengambil kerusi khas yang dipinjamkan ini di The School, Jaya One, kami akan memasangkannya untuk anda dan sekali gus melatih anda memasangnya secara betul.

    Sebenarnya, adalah lebih baik untuk memastikan penumpang dewasa di belakang bersama kanak-kanak terbabit memiliki ruang yang lebih luas. Malah apabila memasang kerusi ini dengan cara sebegitu, ia turut memberikan ruang yang lebih pada bahagian bahu. Malah anda juga boleh berkomunikasi dengan anak anda secara lebih baik. Kami menggunakan Perodua Myvi untuk demo ini.

    Pemasangan menghadap ke hadapan

    Child-car-seats-paultan.org-007

    Cara ini sesuai untuk kanak-kanak yang memiliki berat antara 18 hingga 25 kg. Kami juga akan memasangkan kerusi khas ini untuk anda dan akan melatih anda bagaimana caranya memasang kerusi khas ini di dalam kereta anda.

    Seperti dalam foto di atas, kerusi khas ini bersifat kompak dan sesuai untuk kereta yang kecil, kerana ia tidak memerlukan ruang yang agak besar. Kami menggunakan Perodua Myvi untuk demo ini.

    Pemasangan Isofix
    paultan.org_free_child_seat_rental_-005

    Tempat duduk jenis Kooper Jive dan Mambo pula, lebih mudah untuk dipasang berbanding menggunakan tali pinggang keledar. Tapi kami tetap akan melatih anda untuk memasangnya supaya ia boleh dipasang secara betul dengan elemen Isofix yang ada dalam kenderaan anda.

    Kedua-duanya didatangkan dengan alat bantuan sokongan, di mana ia membantu mengurangkan pergerakan tempat duduk ini sekiranya berlaku kemalangan.

    paultan.org_free_child_seat_rental_-003

    Gunakan kerusi khas kanak-kanak setiap hari!

    Kami bersetuju, tetapi ini untuk mereka yang berkeyakinan. Ini kerana masih ramai di luar sana yang tidak menggunakan kerusi khas kanak-kanak kerana tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya.

    Selain itu, ada keluarga yang mungkin tidak mampu untuk membelinya. Jadi, dengan cara menyewa secara percuma ini dapat menangani faktor kemampuan dalam tempoh kritikal yang meningkatkan kadar kemalangan.

    Selepas tempoh sewa telah berakhir, kita akan melihat jika keluarga terbabit membuat keputusan untuk menggunakannya secara berterusan, kami akan membantu untuk membelinya dengn cara yang lebih mudah daripada kerusi yang disewa itu.

    Berminat? Kami harapkan YA!

    Hanya isi borang yang dilampirkan di bawah dan kami akan menghubungi keluarga yang terpilih secepat mungkin.

    Anda juga perlu memberikan deposit (RM150 bagi kerusi tanpa-Isofix, RM300 untuk kerusi Isofix) ketika mengambil kerusi khas ini dari kami di The School, Jaya One. Dan deposit tersebut akan dipulangkan sepenuhnya ketika anda memulakan kerusi khas ini kepada kami pada 31 Julai 2016. Kami hanya menawarkan nilai deposit yang cukup rendah (lebih rendah berbanding kos bagi kerusi khas berkenaan) jadi ia tidaklah menjejaskan perbelanjaan anda sekeluarga pada Raya ini.

    Para pembaca, jika mungkin keluarga anda tidak memerlukannya, apa kata anda membantu kami mewar-warkan perkara ini kepada kenalan lain. Kongsikannya menerusi Facebook dan Twitter anda dan marilah kita bersama-sama menjadi pengguna jalan raya yang berhemah untuk anak-anak kita.

    Jangka masa sewaan secara PERCUMA ini berlangsung sehingga 31 Julai 2016.

     
     
  • Pemandu kenderaan guna lorong kecemasan bakal diseret ke mahkamah berkuatkuasa serta-merta – JPJ

    AppleMark

    Tiada lagi saman, bakal diheret ke mahkamah! Itulah amaran keras oleh Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) kepada para pengguna jalan raya yang masih berdegil menggunakan lorong kecemasan. JPJ tidak akan berkompromi lagi mengenai perkara ini dan bersedia mendakwa individu yang melakukannya ke mahkamah berkuatkuasa serta-merta, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad, pemandu yang masih berdegil menggunakan lorong itu akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.

    “Kita tidak lagi kemukakan saman sebanyak RM300 atas kesalahan berkenaan kerana kita lihat jumlah saman itu agak rendah dan ia tidak memberikan kesedaran kepada mereka. Maka, tindakan mendakwa mereka ke mahkamah dilihat lebih wajar,” tegasnya.

    Dalam insiden 22 Mei lalu, seorang penunggang motosikal telah melanggar sebuah kereta yang diletakkan di lorong kecemasan KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara-Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya menyebabkan sebuah lori berpusing kerana mengelak dari melanggar penunggang tersebut. Pasukan kecemasan pertama sepatutnya tiba ke tempat kejadian dalam masa 20 minit tetapi hanya tiba sejam selepas itu akibat kesesakan trafik termasuk dilorong kecemasan.

     
     
  • Pusat 3S Proton di Chile dibuka secara rasmi

    showroom chile

    Pusat 3S Proton di Chile dibuka secara rasmi sejak 28 Mei lalu. Ini merupakan bilik pameran 3S pertamanya bersama Andes Motor, pengedar eksklusif Proton di Chile. Pusat 3S yang bertempat di Irarrazaval, Santiago, 15 minit dari pusat bandar ini telah dirasmikan oleh Mohd Khalid Yusof, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa PROTON, bersama Jorge Greene Diaz, Pengurus Besar Andes Motor dan Maximilliano Sfeir, Pengurus Perniagaan PROTON; disaksikan oleh Dato’ Dr. Mohamad Rameez, Duta Malaysia ke Chile.

    Pusat 3S ini diuruskan oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, pengedar utama bas, lori dan kereta mewah di Chile yang mempunyai rangkaian luas dalam memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

    “Pusat 3S ini adalah penting untuk menyediakan jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan kami. Terdapat 3 ruangan servis di belakang bilik pameran yang boleh diperluaskan lagi, sekiranya perlu. Secara keseluruhan, kawasan sebesar 350 meter persegi ini boleh memuatkan tiga sehinga empat buah kereta untuk diservis pada satu masa, dengan empat ruang letak kereta khusus untuk pelanggan,” kata Khalid.

    Handover of Proton Exora-2

    Di Santiago juga terdapat lima buah pusat 1S lain yang terletak di dalam Plaza membeli-belah Oeste, Ayr, Technocid, Technosur dan Antivero. Selain daripada Santiago, pusat-pusat pameran lain turut berada di Sucursal Pajaritos, Las Parcelas, Quilicura, San Bernado dan Vespucio. Rangkaian ini dijangka akan berkembang dengan penambahan model pemanduan sebelah kiri Exora dan Saga dalam masa terdekat.

    Selari dengan pembukaan bilik pameran iaitu pada hari yang sama, Proton Prevé turut dilancarkan di Plaza Oeste, salah satu pusat membeli-belah terkenal di Santiago. Sambutan yang menggalakkan pada majlis pelancaran itu telah menyaksikan seramai 1,000 orang berkumpul untuk menyaksikan acara cabutan bertuah yang memberi peluang kepada seorang pemenang membawa pulang Proton Prevé baharu daripada 2,000 penyertaan yang diterima.

    Prevé 1

    Teruja untuk melihat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, Maximilliano berkata, “Kami amat yakin dengan Proton Prevé. Para media di sini telah memandu uji kereta ini dan memberikan maklum balas yang positif. Pemasaran di sini menjadi lebih kuat sekiranya kereta ini mampu mempengaruhi pasaran dengan mudah.”

    Seperti yang dilaporkan pada Mac 2016, PROTON mengumumkan bahawa permulaan jualan bagi Prevé di Chile disasarkan pada Mei 2016 diikuti dengan Exora dan Saga pada bulan November 2016. Pada masa ini, model yang akan disediakan untuk pasaran Chile adalah Prevé 1.6 MT Standard, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT.

    Selaras dengan usaha untuk mempromosikan produk-produk Proton di Chile, PROTON turut menyerahkan sebuah Proton Exora kepada Kedutaan Malaysia bagi mempromosikan Malaysia di negara Amerika Latin ini. Dato’ Dr Mohamad Rameez berbesar hati menerima MPV ini bagi pihak Kedutaan di bilik pameran Irarrazaval selepas perasmian pembukaan itu.

     
     
  • Terowong Genting Sempah hala Timur ditutup sementara dari 13 hingga 17 Jun ini

    HondaJazz1

    ANIH Berhad menerusi kenyataan medianya memaklumkan bahawa Terowong Genting Sempah hala Timur akan ditutup kepada lalu lintas bermula jam 8 pagi, 13 Jun hingga 12 tengah malam, 17 Jun 2016. Penutupan ini adalah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan sistem dan pembaikan jalan di dalam terowong.

    Susulan itu, ANIH Berhad mengambil langkah alternatif dengan mengaktifkan satu laluan kontra di Terowong Genting Sempah hala Barat bagi memudahkan pengguna lebuh raya hala timur menuju ke Kuantan. Kerja-kerja penyelenggaraan ini merupakan penyelenggaraan secara berkala dan telah mendapat kelulusan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    Pengguna LPT disarankan mengikuti laman sosial rasmi iaitu Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter @LPTTrafik atau menghubungi talian LPT-Line di 09-5947 111 bagi mengetahui sebarang perkembangan terkini di LPT.

    tunnel-closure

     
     
  • Perodua sumbang RM21,000 kepada tujuh surau di Selangor sempena bulan Ramadan ini

    DSC_5035

    Ingin memperoleh keberkatan bulan Ramadan, Perodua melalui program Ihya Ramadan telah menyumbang wang tunai sebanyak RM21,000 kepada tujuh buah surau di Selangor untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan di sepanjang bulan puasa.

    “Kami percaya melalui program sebegini, kita dapat membantu institusi badan agama Islam ini menampung program-program yang akan mereka jalankan di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini. Usaha sebegini akan dilakukan berterusan dalam mengukuhkan persaudaraan dan seterusnya membina masyarakat ke arah yang lebih baik,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Program Ihya Ramadan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Perodua dalam usaha untuk mendekati masyarakat, khususnya melalui surau-surau yang berdekatan.

    Surau-surau terpilih yang menerima sumbangan ialah Surau An-Nur, Bukit Beruntung, Surau Kampung Padang, Sg. Choh, Surau Hidayatul Mustaqim, Serendah, Surau Al-Ikhlas, Sg. Buaya, Surau Al-Rashidin, Bukit Beruntung, Surau As Soodiqin, Bukit Beruntung dan Surau Al-Ittihadiah, Shah Alam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025