Sudah pun berusia lapan tahun sejak kelahiran model sulungnya, Ford Fiesta kini dijangka akan memperkenalkan model terbaharunya tidak lama lagi. Foto spyshot dari Eropah ini seakan mengesahkan kehadirannya.
Bagi model baharu ini, Ford mensasarkan paras rupa yang lebih matang dan sofistikated berbanding model sedia ada, namun masih membawakan signatur jenama ini. Padanan lampu utama besar, lampu belakang melintang yang menggantikan unit menegak dan garisan tingkap yang lebih nipis antara elemen yang ditampilkan.
Fiesta baharu ini juga kelihatan sedikit besar berbanding model sedia ada, sekali gus memberikan ruang dalaman yang lebih luas. Bagi model prototaip ini, ia dipadankan dengan rim aloi 17-inci dari Fiesta ST, yang kelihatan lebih agresif berbanding model sedia ada.
Tidak banyak perincian yang boleh diteka, namun pastinya Fiesta 2017 ini akan dipertingkatkan soal kekemasan, elemen, kualiti dan mungkin juga melibatkan perubahan harga.
Bukan sahaja material yang lebih berkualiti, kemungkinan besar ia juga bakal dilengkapi dengan skrin sentuh lapan-inci bagi sistem hiburan SYNC 3 yang terkini yang telah pun diperkenalkan bagi model semasa di Amerika Syarikat.
Rekaan dalamannya juga mengalami evolusi tersendiri bagi menandakan perkembangan yang pesat terhadap model ini. Malahan ia juga akan dilengkapi dengan beberapa elemen terkini senada dengan impian Ford untuk menjadikan barisan model baharunya yang memiliki teknologi terbaik.
Elemen lain yang dijangka turut ditampilkan termasuklah sistem bantuan pemanduan seperti pengesan pejalan kaki, amaran penukaran lorong, paparan titik buta dan pengesan tanda trafik.
Di bawah hudnya, dijangka enjin 1.0 liter EcoBoost turbo tiga-silinder dengan 1.5 liter TDCI empat-silinder turbodiesel, bakal dijadikan pilihan. Manakala enjin 1.25 liter, 1.5 liter dan 1.6 liter yang ketiga-tiganya naturally-aspirated akan disingkirkan secara berperingkat-peringkat.
Spy-Shots of Cars
This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Spy-Shots of Cars
This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Spy-Shots of Cars
This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Spy-Shots of Cars
This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Spy-Shots of Cars
This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Spy-Shots of Cars
This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Spy-Shots of Cars
This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Syarikat Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (Prolintas) yang juga pemegang konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) membuka laluan alternatif arah timur ke Ampang dari jam 4 petang hingga 7 malam sepanjang bulan Ramadan ini.
Menurut kenyataan yag dikeluarkan oleh AKLEH, laluan alternatif tersebut dibuka kepada pengguna lebuhraya tersebut bagi kelancaran trafik pada waktu puncak di plaza tol bermula hari pertama puasa.
Di mana usaha pembukaan laluan alternatif ini adalah sebahagian daripada langkah penambahbaikan pengurusan trafik bagi keselesaan pengguna.
Toyota Corolla 2017 yang dipertingkatkan dijadualkan akan melakukan penampilan perdana di Turki pada hujung bulan ini. Susulan pendedahan itu, Toyota telah mengedarkan beberapa imej baharu bagi sedan segmen-C yang menerima suntikan lebih segar ini, termasuk sedikit perinciannya.
Tidak seperti versi Amerika Utara yang didedahkan pada Mac lalu, Corolla yang akan ditampilkan di Turki ini tidak menerima perubahan kosmetik yang lebih besar. Model yang dipertingkatkan ini mengikut gaya rekaan “Keen Look” dan “Under Priority”, termasuk bahagian hadapan yang bersifat kontemporari, dengan lampu hadapan LED seperti model C-HR (dengan jaluran lampu nyalaan siang LED) dan gril atas yang lebih kecil.
Sedikit sentuhan yang agak agresif dapat dilihat menerusi sudut pada bampar, di samping lampu kabus berbentuk bulat dan gril radiator yang lebih luas. Pada bahagian belakang, kelihatan kepingan krom nipis yang disambungkan pada lampu LED dengan grafik baharu.
Untuk bahagian kabinnya, bentangan papan pemuka lebih kurang sama dengan model sedia ada, namun terdapat sedikit perubahan. Di mana rak tengahnya direka semula dengan sistem hiburan Toyota Touch 2 yang kini dipasang di antara perumah baharu menampakkan imej yang lebih segar.
Juga di bawahnya terdapat butang baharu untuk sistem penghawa dingin, dengan konsol tengah yang disemak semula. Toyota berkata material bahagian kabinnya juga telah dipertingkatkan. Kluster instrumen dengan skrin paparan pelbagai-info 4.2-inci turut ditampilkan.
Selain itu, Toyota turut mempertingkatkan kualiti pengendaliannya termasuk penambahbaikan pada suspensi dengan peredam yang lebih lembut dan alat pegas yang baharu. Ia turut menampilkan roda stereng kuasa elektrik bagi respons yang lebih optimum. Penebat kabin juga dipertingkatkan bagi mengurangkan bunyi bising ketika jentera dipacu.
Bagi keselamatannya, ia juga telah dipertingkatkan. Elemen standard untuk spesifikasi tinggi bagi pasaran Australia termasuklah sistem pra-pelanggaran (PCS), amaran penukaran lorong (LDA) dan lampu tinggi auto (AHB).
Walau bagaimana pun tiada perincian tentang enjin dan kotak gear bagi Corolla 2017 ini. Di Malaysia, Corolla Altis ditawarkan dengan enjin 2ZR-FE 1.8 liter dengan 139 PS dan tork 173 Nm, dan 3ZR-FE 2.0 liter pula bersama 145 PS dan 187 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT.
Bagi pasaran Asia, ia akan menerima versi Corolla yang lain berbanding model Amerika Utara. Walau bagaimana pun, belum diketahui tentang versi yang bakal pasaran Asia terima dan begitu juga tidak dapat dipastikan bila ia bakal tiba ke Malaysia.
BMW telah pun mendedahkan 3 Series Gran Turismo yang dipertingkatkan bagi model tahun 2017. Perubahan terbesar yang diperkenalkan ialah ia ditampilkan dengan enjin terkini empat-silinder dan enam-silinder, berserta beberapa penambahbaikan bagi elemen dan imejnya.
Bagi 3 Series GT untuk model 2017, BMW telah menawarkan 18 pilihan penjana kuasa bagi seantero global, namun di Amerika Syarikat, ia didatangkan dengan dua enjin sahaja. Bagi menggantikan model 328i Gran Turismo ialah 330i baharu, yang dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp (berbanding hanya 240 hp pada model sebelum ini) dan tork setinggi 350 Nm (terdahulu 346 Nm).
Manakala model 335i pula digantikan dengan 340i baharu bersama enjin 3.0 liter turbo enam-silinder bersama terjahan kuasa sehingga 326 hp dan tork sehingga 450 Nm (berbanding 300 hp dan 406 Nm pada model terdahulu). Kedua-dua model ini turut didatangkan dengan pacuan semua-roda xDrive dan transmisi automatik lapan-kelajuan seperti sebelum ini.
Model 340i yang dipadankan dengan enjin baharu juga sama dengan model 3 sedan yang dilancarkan pada tahun lalu. Sementara enjin 330i dan empat-silinder belum pernah dipadankan pada mana-mana model sedan mahu pun wagon (atau pun dari model 4 Series).
Sebagai tambahan, 3 Series GT 2017 ini juga menerima suntikan baharu bagi imejnya, termasuk menampilkan lampu utama, lampu belakang, lampu nyalaan siang dan lampu kabus yang kesemuanya dari unit LED baharu. Di samping itu, ia juga diterapkan dengan kekemasan krom sebagai standard dan juga padanan rekaan bampar belakang baharu.
Bagi kabinnya, ia juga diserikan dengan kekemasan krom dan direka dengan imej yang lebih mewah. Kedua-dua model juga menerima sistem hiburan iDrive 5.0 terkini termasuk pilihan navigasi.
Pembeli juga bakal ditawarkan dengan pilihan pakej termasuk Luxury, M Sport, Lighting dan Cold Weather.
Kerajaan Korea Selatan inginkan kenderaan yang lebih bersih dan tidak mengundang pencemaran di negara berkenaan. Malahan negara itu juga sedang meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di jalan raya mereka dan mensasarkan penambahan 30% atas jualannya menjelang akhir dekad ini.
Menurut agensi berita Yonhap, Korea Selatan juga mahu mengurangkan penggunaan kenderaan dengan enjin diesel. Malah tidak lama lagi, negara berkenaan bakal mengenakan larangan terhadap kenderaan lama berenjin diesel daripada memasuki kota metropolitan Seoul dan akan menghentikan pemberian subsidi terhadap bahan api tersebut. Dalam masa yang sama, pengangkutan awam termasuk bas pula akan diwajibkan menggunakan bahan api gas pemampatan asli (CNG) bagi mengurangkan pencemaran udara di kota berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Korea Selatan juga dijangka akan mendenda Nissan sebanyak $280,000 atas kesalahan menggunakan “peranti palsu” dalam ujian emisi bagi kenderaan crossover Qashqai, yang dibuat di UK dan dipasarkan di Korea Selatan. Namun setakat ini, Nissan masih enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu terletak di Kilometer 181.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), 5.9 km ke arah selatan dari Persimpangan Bandar Baharu dan 12.4 km ke arah utara Persimpangan Bukit Merah, bakal dibuka sepenuhnya jam 10 malam ini. Kutipan tol di laluan berkenaan juga bermula pada waktu yang sama.
Majlis perasmiannya telah disempurnakan hari ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, laporan Berita Harian.
Turut hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob, Pengerusi PLUS (M) Bhd, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata persimpangan bertingkat ini mampu mengurangkan masa dari 45 minit kepada 10 minit untuk ke Alor Pongsu, Bagai Serai dan Selama, malah jarak pula dipendekkan hingga 20 hingga 30 km untuk perjalanan dari arah Utara dan Selatan.
“Dalam masa yang sama, persimpangan bertingkat ini juga bakal menjadi laluan alternatif di sepanjang Jalan Persekutuan 147, iaitu Jalan Bagan Serai-Selama ke Lebuhraya Utara-Selatan. Dianggarkan sebanyak 10,000 aliran trafik akan menggunakan laluan ini dalam sehari,” katanya
Menurut Dr Zambry pula, lebih 500,000 pengguna lebuhraya tersebut dijangka akan menerima manfaat sepenuhnya daripada persimpangan ini. Dibangunkan dengan kos pembinaan kira-kira RM100 juta, persimpangan ini menghubungkan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama, Perak ke lebuhraya berkenaan.
“Dengan adanya persimpangan ini, ia juga dapat mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan. Malah ia juga mampu menjana pertumbuhan kawasan sekitar dengan lebih pantas,” ujar Dr Zambry.
Volvo S90 dan V90 versi talaan Polestar dikhabarkan akan berkuasa 600 hp, lapor Motor Trend. Polestar bakal menggunakan unit janakuasa asal T8 Twin Engine Plug-in Hybrid pada kedua-dua model tersebut untuk mengekstrak kuasa sejumlah 600 hp berkenaan.
Menurut Timbalan Presiden Senior dalam Penyelidikan dan Pembangunan Volvo Dr Peter Mertens, enjin 2.0 liter Drive-E empat silinder berkenaan mampu menghasilkan kuasa sejumlah 450 hp menggunakan sebuah supercharger dan dua buah pengecas turbo elektrik.
Kuasa yang dinyatakan tersebut agak besar jika dibandingkan pada versi Twin Engine (dan model T6 tanpa kelengkapan hibrid), yang menghasilkan 320 hp menggunakan sebuah supercharger dan sebuah pengecas turbo. Volvo juga dilapor akan menggantikan motor elektrik Twin Engine bahagian belakang yang menjana 87 hp kepada unit yang lebih berkuasa.
Secara keseluruhan, angka 600 hp yang 200 hp lebih tinggi dari kuasa yang dihasilkan unit T8 Twin Engine (407 hp/400 Nm) membolehkan S90 dan V90 Polestar bersaing dengan sedan dan wagon paling berkuasa dalam kelasnya, termasuk BMW M5 F90 yang akan datang dan Mercedes-AMG E63 W213.
Toyota Malaysia telah menyiarkan video temu ramah bersama Ketua Jurutera Esekutif Toyota Hilux 2016 baharu, Hiroki Nakajima. Video tersebut dipecahkan kepada tiga bahagian, menerangkan dengan mendalam ciri-ciri utama pada trak pikap berkenaan, yang mementingkan aspek prestasi enjin, keselesaan dan keselamatan.
Video pertama, Nakajima berbicara tentang enjin baharu 2.4 liter dan 2.8 liter GD turbodiesel. Enjin-enjin ini mempunyai kapasiti yang lebih kecil berbanding enjin sebelum ini, tetapi menghasilkan lebih kuasa dan tork. Menurut Nakajima, enjin tersebut membolehkan Hilux lebih senang dipandu pada kelajuan rpm enjin rendah, dan turut menawarkan penggunaan bahan api yang rendah. Toyota juga berusaha keras untuk mengurangkan bunyi dan gegaran, dengan mengimplementasi pelbagai teknologi baharu.
Seterusnya, Nakajima beralih kepada langkah yang diambil untuk meningkatkan keselesaan trak pikap ini, dengan sasaran menjadikan ia selesa seperti sebuah SUV. Selain dari mengurangkan bunyi bising dari enjin diesel, jurutera Toyota turut mengambil langkah untuk meningkatkan tebatan bunyi pada bahagian kabin, seperti memadankan material baharu untuk tebatan pada papan pemuka.
Hilux juga kini menggunakan bahagian bersilang yang lebih besar pada kerangka ladder frame, walaupun menggunakan kerangka yang sama dari model generasi terdahulu. Ini bermaksud, trak pikap tersebut kini lebih teguh dan mampu mengelakkan getaran berfrekuensi tinggi dari dari masuk ke kabin.
Akhir sekali, Nakajima menyorot beberapa ciri keselamatan baharu yang dilengkapkan pada Hilux serba baharu ini termasuk tujuh unit beg udara pada varian tertinggi 2.8G, dan juga sistem kawalan cengkaman aktif (A-TRC) baharu yang membrek roda yang kehilangan cengkaman untuk memindahkan tork kepada roda yang mempunyai cengkaman.
Kerangka ladder frame trak pikap ini turut diteguhkan untuk meningkatkan prestasi keselamatan ketika pelanggaran, dengan sasaran untuk mencapai markah tertinggi dalam Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) peringkat global seperti Euro NCAP. Hasilnya, Hilux kini lebih berat dari sebelum ini, tetapi ia ditampung dengan enjin baharu yang lebih cekap menggunakan bahan api.
Enam bulan selepas sedan E-Class generasi baharu W213 didedahkan, Mercedes-Benz kini secara rasmi mendedahkan pula versi wagon model tersebut, iaitu S213 Mercedes-Benz E-Class Estate. Menurut Mercedes, wagon generasi baharu ini menawarkan ruang terbaik dalam kelasnya, walaupun mempunyai garis bumbung yang lebih rendah.
Garis bumbung tersebut ‘ditarik’ terus hingga ke bahagian belakang yang hampir menyerupai model C-Class Estate, dengan sepasang lampu belakang LED yang terbahagi dua, direka secara melintang. Perbezaan yang dapat dilihat adalah pada bar krom yang merentangi pintu tailgate belakang, kini dipanjangkan meliputi sepenuhnya lampu belakang.
Bahagian dalaman yang seiras dengan S-Class masih lagi dikekalkan yang terdiri dari liang penghawa dingin bulat, kemasan-kemasan yang dibalut dengan kulit dan motif kayu, pad sesentuh pada roda stereng, dan pilihan opsyen dua skrin besar bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen COMAND. Sistem Plug & Play untuk iPAD bersepadu pada tempat duduk belakang juga ditawarkan.
Sebagai sebuah wagon, tentu sekali bahagian yang paling penting adalah pada ruang kargo belakang, di mana S213 ini menawarkan kapasiti 670 liter, dan ruang kargo keseluruhan 1,820 liter jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya dengan nisbah 40:20:40. Walau bagaimanapun, angka tersebut sebenarnya telah berkurangan 25 dan 130 liter jika dibandingkan dengan model generasi terdahulu. Namun perehat badan untuk tempat duduk belakang kini boleh dicondongkan 10 darjah untuk memberikan lebih 30 liter kapasiti kargo, dengan masih mengekalkan penggunaan lima tempat duduk.
Pintu tailgate berkuasa Easy-Pack dilengkapkan secara standard. Jika dipadankan dengan sistem opsyenal Keyless-Go dengan fungsi akses Hands-Free, anda boleh membuka pintu tailgate tersebut hanya dengan ‘menendang’ bahagian bawah bampar belakang. Turut ditawarkan ialah ciri opsyenal penyambung treler yang mempunyai rak basikal pertama dalam dunia berupaya menahan beban sehingga 100 kg dan empat buah basikal. Pintu tailgate ini masih boleh dibuka dengan gerakan menendang walaupun ia telah dipasang dengan penyambung treler opsyenal.
Opsyen lain yang turut ditawarkan termasuk tempat duduk barisan ketiga menghadap ke belakang untuk kanak-kanak seperti yang terdapat pada model generasi sebelum ini bersama kit keselamatan bebanan Easy-Pack. Sistem suspensi udara pada bahagian belakang larasan-sendiri turut ditawarkan secara standard seperti sebelum ini, sementara sistem keseluruhan Air Body Control ditawarkan sebagai ciri opsyenal.
Badan wagon ini turut dilengkapi dengan pelbagai ciri untuk mengurangkan bunyi yang terhasil dari resonan-resonan pada badan besar kereta ini. Lantai utama dan bahagian hadapan badan kereta ini dilengkapi dengan pelbagai topang untuk menaikkan kadar keteguhan badan dan mengurangkan pemindahan bunyi. Bahan penebat khas turut dipasang pada badan kereta bersama penyerap bunyi pada bahagian bawah tempat duduk belakang dan pada kesemua ruang roda.
Talaan kinematik pada cesi, gandar dan stereng diberi sentuhan semula untuk mengurangkan ganguan yang disebabkan oleh permukaan jalan, tayar yang hilang keseimbangan dan ketika membrek. Cagak enjin dan transmisi telah dioptimakan dari segi bunyi, di mana beberapa model menerima cagak enjin boleh-ubah. Kedapan turut diapliaksikan pada pemegang pintu dan penghubung pintu, dan geometri pada kedapan tingkap sisi dan komponen dalam rel bahagian dalaman turut ditingkatkan untuk mengurangkan lagi bunyi.
Kedapan pada struktur bumbung dan bumbung matahari juga ditingkatkan, manakala bumbung matahari panaromik gelangsar menerima pelbagai ciri untuk mengurangkan bunyi angin (pemesong angin, ditambah dengan pelindung dan kedapan yang lebih baik) untuk memastikan S213 kekal senyap seperti model sebelum ini walaupun dengan lebih banyak bahagian yang boleh dibuka. Jika anda rasa ia tidak cukup senyap, model ini turut dilengkapi dengan pakej Acoustic Comfort yang menampilkan penambahan cermin hadapan akustik, tingkap yang menyerap inframerah dan lebih kedapan bunyi pada ruang kaki belakang dan terowong tengah.
S213 turut membawa ciri bantuan pemanduan advance dari model W213 termasuk Bantuan Brek Aktif dengan pengesan lintasan trafik opsyenal, Bantuan Stereng ketika mengelak, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Tukar Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Pre-Safe Plus.
Varian yang ditawarkan semasa dilancarkan termasuk E 200 dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 184 hp pada takat 5,550 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,200 rpm hingga 4,000 rpm, dan juga varian E 250 berkuasa 211 hp dan 350 Nm. Turut ditawarkan, varian diesel tunggal E 220 d dijana enjin diesel 2.0 liter turbo baharu berkuasa 194 hp pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm.
Barisan model akan ditambah lagi pada suku keempat tahun ini dengan E200 d berkuasa 150 hp/360 Nm, E 350 d dengan enjin 3.0 liter V6 turbodiesel berkuasa 258 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 620 Nm dari 1,600 hingga 2,400 rpm, serta E 400 yang dijana enjin petrol 3.0 liter V6 turbo berkuasa 333 hp dan tork maksima 480 Nm. Kesemua model dipadankan dengan kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic secara standard.
Turut tersenarai dalam barisan varian wagon ini ialah Mercedes-AMG E 43. Model berprestasi tinggi sebenar ini dijana oleh enjin V6 dari E 400 tetapi dengan dua buah pengecas turbo, berkuasa 410 hp pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 520 Nm bermula 2,500 hingga 5,500 rpm. Kesemua kuasa tersebut dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic, membolehkan wagon ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat dan mencatatkan kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j.
Renault kian agresif dalam memperkenalkan model-model idaman ramai. Selepas Clio RS 200 dengan transmisi dua-klac, kali ini Renault Sport membawakan pula Twingo GT. Menariknya ia didatangkan dengan kotak gear manual yang pasti mampu menerjahkan prestasi yang lebih mengagumkan.
Jika Twingo biasa dengan enjin 898 cc TCe Turbo tiga-silinder mampu menghasilkan kuasa sehingga 90 hp dan tork 135 Nm, bagi Twingo GT pula dengan sistem pengambilan udara yang disemak semula dan pemetaan enjin yang dimodifikasi, ia mampu meledakkan kuasa sehingga 110 hp dan 170 Nm.
Semua kuasanya disalurkan ke roda-belakang menerusi kotak gear manual lima-kelajuan, dengan menambah bagi kuasa pendikitnya. Bukan itu sahaja, sistem suspensinya juga ditala semula, sementara sistem kawalan kestabilan juga dimantapkan bagi memberikan kesan keunikan pada GT ini.
Apa yang membezakan antara GT dengan varian standard ialah ia dipadankan dengan roda yang lebih ranggi bersaiz 17-inci diinspirasikan dari Twin’Run Concept, corong pengambilan udara sisi, ekzos berkembar dan warna unik Piment Orange. Bagi jaluran yang bergaya, ia diinspirasikan dari saluran udara NACA, ketinggian kenderaan yang lebih rendah, kekemasan dalaman berwarna jingga, logo Renault Sport pada ambang pintu, pedal aluminium dan tombol gear zamak.
Sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba, Proton telah mengumumkan promosi Hari Raya dan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma untuk pemilik kereta Proton di semua pusat servis yang sah di seluruh negara.
Promosi perayaan ini termasuk penjimatan-penjimatan menarik bagi setiap pembelian oleh semua pelanggan dan juga pemilik Proton. Pelanggan yang berminat untuk membeli kereta-kereta baharu terutamanya pada musim perayaan ini akan menikmati penjimatan sehingga RM3,000 bagi model-model 2016 yang terpilih, dengan ansuran bulanan serendah RM367 untuk sebuah Proton Saga.
Menurut Rohime Shafie, CEO PROTON Edar, “Kami telah menjalankan pemeriksaan keselamatan ini selama tiga tahun terturut-turut dan ini adalah kerana PROTON sentiasa mengutamakan keselamatan terutamanya semasa musim-musim perayaan dan percutian.
“Pemeriksaan keselamatan ini merangkumi pemeriksaan sistem brek, suspensi, tayar, bateri, bilah pengelap cermin, tali sawat, lampu dan paras cecair seperti minyak enjin, bendalir brek, bahan pendingin dan pencuci bilah. Di samping itu, kami juga menawarkan pelbagai diskaun ke atas alat-alat ganti terpilih seperti penyerap hentak, brek, klac dan tali sawat pemasaan.”
Selain daripada diskaun yang ditawarkan bagi alat-alat ganti yang tertentu, syarikat ini juga akan menawarkan diskaun khas ke atas kos pekerja untuk pelanggan yang menghantar kereta mereka ke pusat servis Proton. Kempen ini bermula dari 1 Jun hingga 31 Julai 2016 di semua cawangan Proton di seluruh negara.
Bagi warga kota yang tidak berkesempatan untuk menghantar kereta mereka bagi menjalani pemeriksaan, Proton juga akan berada di beberapa lokasi stesen minyak di seluruh negara seminggu sebelum menjelang Hari Raya agar pelanggan boleh mendapatkan pemeriksaan bagi kereta mereka sewaktu dalam perjalanan ke destinasi. Lokasi bagi stesen-stesen minyak tersebut akan diumumkan kemudian.
Malah Proton turut menyediakan kemudahan kepada pelanggannya, perkhidmatan ‘Ambil dan Hantar’ juga disediakan kepada mereka yang tidak berpeluang menghantar kereta mereka sebelum cuti perayaan terutama di kawasan Lembah Klang seperti Mutiara Damansara, Setapak, Bukit Maluri dan Seksyen 13, Petaling Jaya. Ini adalah untuk menggalakkan pelanggan dalam kawasan 5km daripada pusat servis untuk kereta mereka diambil dan diservis pusat servis berkenaan. Keutamaan akan diberikan kepada pelanggan yang telah membuat temujanji dahulu.
Selepas Honda Civic 2016 dikesan diangkut oleh trailer untuk diedarkan di bilik pameran, kini ia telah pun mula diterima oleh pengedarnya.
Seperti mana yang pernah diwar-warkan sebelum ini, Malaysia menerima tiga varian bagi Civic 2016 ini iaitu model asas 1.8, spesifikasi pertengahan 1.5 Turbo dan spesifikasi tertinggi 1.5 Turbo Premium. Bagi foto di atas, kereta dengan warna White Orchid Pearl ini merupakan varian 1.5 Turbo Premium. Ia didatangkan dengan lampu utama LED penuh (dengan lampu nyalaan siang LED), lampu kabus LED dan pemegang pintu krom.
Di tengahnya, yang berwarna Dark Red Ruby Pearl ini pula varian spesifikasi pertengahan 1.5 Turbo. Ia berkongsi rim lima-jejari 17-inci yang sama, aloi dua-tona seperti Premium, namun varian ini menerima lampu utama projektor halogen berbanding unit LED dan pemegang pintu sama dengan warna badan. Kedua-dua model Turbo ini dijanakan oleh enjin baharu 1.5 liter VTEC Turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 173 PS pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm, dipadankan dengan CVT.
Manakala Civic yang berada di kanan sekali, dengan warna Modern Steel Metallic merupakan varian asas dengan enjin 1.8 liter i-VTEC naturally-aspirated empat-silinder bersama kuasa 141 PS pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,200 rpm, juga dipadankan dengan CVT. Ia turut dipadankan dengan lampu utama projektor halogen seperti 1.5 Turbo spesifikasi pertengahan, tetapi memilih roda gaya-shuriken untuk digayakan.
Bagi dalamannya, foto untuk 1.5 Turbo Premium sahaja yang ada. Ia menampilkan penghawa dingin dua-zon, butang ‘Climate’ di bawah skrin sentuh tujuh-inci dan kekemasan material yang lebih baik. Selain itu, ia juga menampilkan roda stereng pelbagai-fungsi, panel instrumen digital, butang penghidup enjin, brek pakrir elektronik (dengan penahan brek auto) dan butang Eco.
Honda Civic 2016 akan dilancarkan pada 9 Jun ini dan kami akan memaparkan lebih banyak perinciannya termasuk mewar-warkan harga pasarannya sekali. Teruja menantikannya? Baca ulasan pandu uji Civic 2016 versi Thailand DI SINI sementara menantikan pelancarannya yang bakal berlangsung lusa.
Pihak Kerajaan akan menyalurkan dana kepada Proton Holdings Berhad (PHB) bernilai RM1.25 bilion dengan menerbitkan sehingga 1.25 bilion Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (RCCPS). Tersenarai dalam Bursa Malaysia, DRB-Hicom berkata Proton telah bersetuju untuk menjual saham berharga RM1 sesaham kepada Govco Holdings Bhd. Di mana Govco adalah 99.99% dimiliki oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
DRB-Hicom berkata jumlah langganan sebanyak RM1.25 bilion akan digunakan bagi tujuan pembayaran baki hutang tertunggak kepada pemiutang, vendor dan pembekal Proton.
Govco akan menukarkan nilai 1.25 bilion RCCPS ke dalam Proton dengan mengistiharkan dividen belum berbayar untuk RCCPS (keseluruhan bernilai RM574 juta) kepada saham baharu 2.1 juta Proton pada akhir tempoh 15 tahun. Di mana saham milik DRB-Hicom di dalam PHB akan dicairkan dari 100% menjadi 20.72%, manakala Govco akan memegang kepentingan dalam Proton sebanyak 79.28%.
“Cadangan pengeluaran RCCPS akan membolehkan PHB mengesahkan aliran tunainya dan menyelesaikan baki yang belum dijelaskan untuk membayar pelbagai pemiutang tempatan dan antarabangsa, vendor dan pembekal. Ini juga akan membantu membina semula keyakinan vendor/pembekal dalam kumpulan PHB,” seperti yang dinyatakan dalam pemfailan.
Langganan RCCPS juga tertakluk kepada pelbagai syarat, salah satunya ialah rancangan penyusunan semula yang akan dipantau oleh sebuah pasukan petugas diketuai oleh CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala. Pasukan petugas juga akan bertanggungjawab dalam merangka satu pelan bagi menempatkan semula pengeluaran Shah Alam Proton ke Tanjung Malim, tambahan kepada pelan pengembangan perniagaan strategik untuk pasaran antarabangsa dan tempatan.
“PHB Group telah mengalami jualan kenderaan mendukacitakan dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan ia memberikan kesan terhadap aliran tunai syarikat. PHB Group memainkan peranan penting dalam industri automotif nasional di mana terdapat lebih kurang 12,000 orang pekerja secara terus di bawah PHB Group manakala kira-kira 50,000 diambil bekerja di bawah pelbagai syarikat vendor. Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu PHB RCCPS menyediakan sokongan kewangan kepada PHB.”
Jika Proton tidak dapat memenuhi syarat-syarat tersebut, kedua-dua pihak akan duduk berbincang untuk penyelesaian alternatif atau pilihan ke arah mencapai satu objektif serupa.
Dalam hal lain, sepatutnya perubahan haluan Proton mampu berjaya, di mana ia mempunyai pilihan menukar sebahagian atau seluruh mana-mana PHB RCCPS yang cemerlang ke dalam saham-saham PHB pada bila-bila masa selepah tempoh lima tahun. Harga pertukaran yang disenaraikan dalam sebut harga ialah 87 sen setiap saham PHB daripada nisbah penukaran satu kepada 1.152 saham baharu PHB.
Pada April lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan Kerajaan telah meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion.
Walau bagaimana pun, terdapat beberapa syarat dikenakan kepada Proton untuk memulihkan perniagaan, antaranya, syarikat itu perlu meyakinkan kerajaan mengenai model perniagaan baharunya supaya perniagaan berdaya maju dan berdaya saing,
Selain itu, Proton perlu mewujudkan pelan penstrukturan semula syarikat itu serta menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.
Ia juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Jabatan Kenderaan Prestasi Hyundai memberitahu Car and Driver, mereka akan mengeluarkan sekurang-kurangnya lagi dua model N tidak lama lagi. Model pertama dijangka diperkenalkan selepas enam bulan model i30 N dilancarkan akhir 2017. Menurut ketua jabatan Hyundai N Albert Biermann, dua model N ini disasarkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan China.
Buat setakat ini, tiada perincian lanjut yang didedahkan, namun kemungkinan enjin yang sama pada i30 N iaitu 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris akan digunakan. Dengan kuasa 250 hp yang dihasilkan, mampu menjadikan model-model baharu N ini meledak di pasaran.
Biermann turut memberitahu, setakat ini tiada perancangan untuk mengeluarkan model SUV bagi barisan famili N.
“Kami sudah pun memiliki model SUV namun prestasinya sederhana sahaja. Dan kami memerlukan jentera dengan pemanduan yang lebih menyeronokkan, jadi yang bersesuaian cuma hatch, sedan mahu pun coupe,” ujarnya.
Model konsep Hyundai RM16 N
Tidak lama lagi, Hyundai bakal memperkenalkan model konsep RM16 N di Busan Motor Show, iaitu jentera hatch yang dipadankan dengan enjin 2.0 liter bersama electric supercharger yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 300 hp, dengan pacuan roda-belakang dan transmisi manual enam-kelajuan.
Biermann juga berkata, jabatannya tidak boleh membangunkan jentera kecil dengan prestasi yang ekstrem seperti Ford Focus RS.
“Kami melihat masa yang depan yang lebih cerah jika kami membangunkan jentera prestasi tinggi bagi segmen-C. Dan semestinya, kami memerlukan AWD,” sambungnya lagi.
Awal tahun ini, timbalan pengerusi Hyundai Woong-Chul Yang memberitahu pihak media, tiga model N dalam pembikinan, termasuk “Genesis bersaiz kecil dengan pacuan semua-roda”.
Toyota dilihat telah mendaftarkan tanda dagangan ‘Supra’ di Eropah. Perkara ini ditemui oleh ahli di laman SupraMKV.com di mana tanda dagangan tersebut difailkan di Pejabat Harta Intelek EU pada 3 Jun lalu. Pendaftaran ini disusuli selepas pendaftaran yang dilakukan Toyota di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat lebih dua tahun lalu.
Perkembangan terbaharu ini mungkin boleh menjadi petunjuk kereta sport utama dari pengeluar automotif terbesar dunia tersebut sedang dalam pembinaan, dan keinginan mereka untuk mencipta semula Supra baharu masih lagi wujud. Ia mungkin juga Toyota sedang memilih nama untuk kereta sport masa hadapan mereka. Mungkin juga ia tidak bermaksud apa-apa buat masa sekarang.
Apa yang pasti buat masa sekarang, Toyota sedang bekerjasama dengan BMW untuk membina kereta sport dan kerjasama berkenaan telah diumumkan pada 2012. Hasil kerjasama tersebut dikhabarkan akan dijelmakan sebagai ‘Z5’ untuk versi BMW, model gantian untuk Z4 sedia ada. Manakala untuk versi Toyota, ia hadir dalam bentuk FT-1 Concept yang didedahkan pada Detroit Motor Show 2014.
Desas-desus dalam industri automotif seperti yang dikongsikan oleh Motor1.com, mengatakan produksi kedua-dua buah kereta sport akan bermula pada tahun 2018 di kilang Magna Steyr yang terletak di Graz, Austria, dengan jumlah 60,000 unit setahun. Kedua-dua buah kereta akan menggunakan enjin BMW, tetapi varian hibrid model ini akan menggunakan unit janakuasa dari Toyota. Imej Spyshot Z5 menunjukkan kereta tersebut dibuat dalam bentuk soft top, tetapi versi coupenya turut dikatakan sedang dibina. Platform yang sama, tetapi berlainan rekaan luaran dan dalaman.
“Abang besar akan mempunyai prestasi yang menakjubkan,” kata Tetsuya Tada, ketua jurutera Bahagian Pengurusan Kenderaan Sport Toyota, tahun lalu berhubung pelan TMC yang bakal mewujudkan ‘tiga adik-beradik’dalam keluarga kereta sport mereka. Toyota 86 merupakan model pertengahan, manakala ‘Supra’ sebagai abang sulung dan coupe kecil S-FR yang muncul pada Tokyo Motor Show 2015 sebagai adik paling kecil.
Jika khabar angin yang mengatakan produksi akan bermula pada 2018 tersebut benar, pendedahan rasmi berhubung kereta sport yang paling ditunggu-tunggu ini mungkin akan diumumkan dalam masa terdekat. Toyota telah mendaftarkan nama ‘S-FR’ di Amerika Syarikat tahun lalu, jadi model tersebut sah tidak akan digelar sebagai Supra.