Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • #ShellSelamatSampai – Komitmen Shell untuk terus mendidik masyarakat tentang keselamatan jalan raya

    2016-MV-Agusta-Stradale-800-2-1_BM

    Sejak Merdeka, Shell Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjalankan latihan keselamatan jalan raya di peringkat sekolah, dengan “Shell Traffic Games” yang diadakan secara tahunan di peringkat sekolah sejak enam dekad yang lalu. Kini, Shell bersama Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah melancarkan program #ShellSelamatSampai yang direka untuk memupuk orang ramai mengamalkan keselamatan jalan raya di dalam tiga persekitaran yang strategik iaitu, sekolah menengah, universiti, dan juga komuniti.

    Bermula pada peringkat sekolah menengah, #ShellSelamatSampai akan menyediakan pengetahuan dan latihan praktikal sebagai sebahagian program ko-kurikulum tambahan rasmi. Modul pembelajaran tersebut dibina dengan kerjasama JKJR, dan Shell menyediakan bantuan kewangan untuk pelajar terpilih mendapatkan lesen motorsikal mereka setelah menamatkan latihan tersebut dengan jayanya.

    Pada peringkat universiti dan kolej pula, “Kem Keselamatan Jalan Raya” akan diadakan untuk mengajar pelajar berkenaan pemanduan defensif, dan motorsikal mereka akan diperiksa oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).Shell turut akan bekerja sama dengan komuniti di mana sekolah, kolej dan universiti berdekatan untuk mewujudkan Zon Keselamatan Shell, membolehkan pelajar ke sekolah atau kolej kemudian pulang semula ke rumah dengan selamat.

    2016-MV-Agusta-Stradale-800-5-1_BM

    Di dalam ucapannya, Datuk Seri Saripuddin Kasim, ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan menyatakan negara terpaksa menanggung kehilangan sejumlah RM9 billion setahun kerana kemalangan jalan raya dan kehilangan produktiviti, tidak termasuk kos buruh. “Kaji selidik yang dilakukan pihak MIROS menunjukkan golongan yang selalunya terbabit dengan kemalangan jalan raya adalah mereka yang berumur antara 18 hingga 25 tahun,” kata Saripuddin.

    Shell juga turut mengumumkan kerjasama mereka dengan pihak MIROS untuk meningkatkan keselamatan jalan raya melalui Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (IRAP). Program tersebut akan menyediakan penilaian yang komprehensif terhadap jalan raya di Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan keadaan dan keselamatannya.

     
     
  • Aplikasi Uber tidak akan diharamkan: SPAD

    Malaysia-Taxi-03

    Kerajaan tidak akan mengharamkan aplikasi Uber menurut laporan The Sun Daily. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, aplikasi tersebut tidak akan diharamkan tetapi akan dikawal selia bagi memastikan ia tidak akan menjejaskan industri teksi sedia ada.

    “Uber perlu berada di dalam sistem kami, selepas itu barulah kami boleh mengawal selia aplikasi tersebut,” jelas Syed Hamid kepada wartawan selepas pelancaran bendera Gemilang dan Kelab Pemilik TEKS1M di Johor Bahru.

    Setelah mesyuarat bersama SPAD dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tempoh hari, persetujuan dicapai untuk tidak mengharamkan aplikasi mudah alih tersebut.

    Tambah Syed Hamid lagi, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian oleh SPAD, 85% penumpang teksi memilih untuk menggunakan Uber.

    KL06_181115_PEMANDU_TEKSI

    “Untuk lebih kompetitif, ada beberapa persatuan teksi atau kelab kini telah membuat aplikasi mereka sendiri untuk menawarkan servis yang lebih baik. Kita semua perlu tahu bahawa teknologi boleh membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Tetapi berlainan dengan Uber. Masalah utama Uber ialah kereta mereka tidak mempunya lesen dari SPAD dan pihak berkuasa lain yang berkenaan,” jelas beliau lagi.

    Walau bagaimanapun, Syed Hamid berkata mereka perlukan masa untuk mengkaji bagaimana untuk mengawal selia kereta-kereta Uber tetapi tidak mahu mengulas lanjut berkenaannya.

    “Orang awam perlu tahu yang Uber tidak semestinya lebih murah dari teksi biasa,” tambah beliau lagi.

    Sementara itu Syed Hamid menyatakan yang beliau terkejut kerana hanya 20,000 rakyat Malaysia yang menggunakan aplikasi “Meter-on”. Justeru, beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengembangkan aplikasi yang digunakan oleh 76,000 teksi dari pelbagai servis tersebut.

     
     
  • GALERI: Pra-tonton Toyota Hilux 2.8G 4×4 A/T 2016

    2016-Toyota-Hilux-preview

    Nampak gayanya sudah tidak lama lagi Toyota Hilux 2016 bakal dilancarkan di Malaysia. Model terkini Hilux ini telah pun dipertontonkan di siri jelajah Toyota WOW 3, di Setia City Convention Centre hujung minggu lalu. Di mana model yang dipamerkan ialah varian 2.8G 4×4 auto, yang berada dalam senarai barisan Hilux 2016 selain single cab 2.4 4×2 manual dan double cab 2.4 4×2 manual, 2.4 Standard 4×4 manual, 2.4G 4×4 manual dan 2.4G 4×4 auto.

    Dengan harga jangkaan RM135,000, kelainan berbanding varian lain yang ditonjolkan ialah lampu utama projektor LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED (standard reflektor halogen), gril krom, lampu kabus dan rim aloi 18-inci (rim keluli 16-inci pada standard, rim aloi 17-inci bagi 2.4G).

    2016-Toyota-Hilux-preview-2

    Pada bahagian dalamnya pula, kelihatan kluster instrumen Optitron dengan paparan LCD berwarna 4.2-inci seperti Camry, roda stereng balutan kulit, tempat duduk pemandu dengan larasan elektronik lapan-cara, kulit upholstery, kamera undur dan pengesan. Sebagai tambahan, Hilux turut ditawarkan dengan beberapa pilihan, termasuk pakej palang sport bernilai RM1,574 dan navigasi DVD-AVN berharga RM3,169.

    Bagi kit keselamatan standard, ia termasuk tiga beg udara (termasuk satu pada bahagian lutut pemandu) dan ABS bersama EBD. Hanya varian 2.4G dan 2.8G auto menerima Kewalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) dan Kawalan Mula Mendaki (HAC). Manakala hanya varian 2.8G sahaja menerima beg udara ekstra iaitu di bahagian sisi dan tirai menjadikan keseluruhannya sejumlah tujuh unit.

    2016-Toyota-Hilux-preview-25

    Lebih menarik lagi, Hilux 2016 dijanakan oleh enjin dan transmisi baharu. Pilihannya sama ada enjin 2.4 liter 150 PS/400 Nm (343 Nm untuk model manual) atau 2.8 liter GD turbodiesel (177 PS/450 Nm), yang dipadankan bersama transmisi manual enam-kelajuan (dengan fungsi rev-matching bagi penurunan gear) dan automatik.

    Jangkaan harga bagi lain-lain varian adalah RM93,000 untuk single cab 2.4 4×2 manual, RM95,000 untuk double cab 2.4 4×2 manual, RM105,000 untuk double cab 2.4 Standard 4×4 manual, RM115,000 untuk double cab 2.4G 4×4 manual dan RM125,000 bagi double cab 2.4G 4×4 auto. Sila klik untuk senarai elemen penuh bagi semua varian ini.

     
     
  • Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditubuhkan khas untuk penguatkuasaan trafik dan menangani kes kemalangan jalan raya

    12901512_1148878545122451_4937180801751572668_o

    Memandang serius di atas jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini, baru-baru ini jabatan baharu diwujudkan dalam PDRM iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menggantikan Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik berkuat kuasa 25 Mac lalu. Ia adalah khas untuk penguatkuasaan trafik dan menangani kes kemalangan jalan raya.

    Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sambutan Hari Polis ke-209 baru-baru ini, laporan Bernama.

    Menurut Perdana Menteri, “Berdasarkan statistik PDRM, jumlah kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2015 mencatatkan jumlah yang amat tinggi, iaitu sebanyak 489,606 kes manakala jumlah kematian mencatat 6,706 kes daripada 6,193 jumlah kemalangan maut yang direkodkan,” katanya.

    Dengan adanya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), penguatkuasaan trafik akan diperketatkan secara menyeluruh di seluruh negara. Malah pelbagai perkara berkaitan akan disusun dan dilaksana bagi tujuan tersebut. Diharap dengan penubuhan jabatan baharu ini, jumlah kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan pemanduan yang lebih berhemah serta mengikut undang-undang yang telah termaktub bagi kesejahteraan semua pihak.

     
     
  • GALERI: Mitsubishi Triton 2016 dipertingkatkan di Thai

    Mitsubishi_Triton_Plus-1

    Ternyata pasaran trak pikap begitu kompetitif dan bagi bersaing dengan model pesaingnya secara lebih sihat dan terbuka, Mitsubishi turut melakukan peningkatan bagi model Triton di Thailand (dilancarkan di Thai akhir 2014, manakala di Malaysia pula Mei 2015), seperti mana yang dipamerkan di Bangkok Motor Show 2016 ini.

    Terdapat sedikit perubahan dan rekaan semula termasuk pelarasan bagi roda stereng teleskopik untuk semua model, dan menambah soket 12 V kedua untuk semua Mega Cab dan varian Double Cab empat-pintu.

    Perubahan terbesar pula dilakukan pada varian tertinggi, GLS LTD, yang sebelum ini diperkenalkan sebagai Double Cab 4×4, kini dikenali sebagai model Mega Cab dan Double Cab Plus 4×2, menggantikan model GLS terdahulu. Kini GLS LTD turut ditampilkan dengan roda stereng empat-jejari pelbagai fungsi yang diadaptasi dari model Pajero Sport.

    Sebagai tambahan, varian Double Cab 4×4 GLS LTD 5AT telah menukar sistem Easy Select 4WD ke Super Select 4WD II seperti pada Pajero Sport. Sistem ini turut menambah mod AWD sepenuh masa dengan viscous coupling centre differential yang boleh menukar kuasa antara gandar hadapan dan belakang. Bagi mod 4HLc dan 4LLc bagi kunci perbezaan, berbanding mod 4H dan 4L pada model terdahulu. Manakala mod 2H 2WD dikekalkan bagi penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    Turut ditambah pada model spesifikasi tertinggi ialah beg udara sisi dan tirai menjadikannya sejumlah tujuh unit. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan Kestabilan Aktif dan Kawalan Cengkaman. Bukan itu sahaja, buat pertama kali bagi model trak pikap, monitor bumbung pada tempat duduk penumpang belakang telah diaplikasikan dan tempat duduk pemandu juga hadir dengan lapan-cara pelarasan. Foto pada galeri ini adalah Triton Plus Special Edition yang dibaluti warna baharu Impulse Blue dengan padanan rim 17-inci.

    Bagi pasaran Thai, Triton ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel dengan kuasa 181 hp dan tork 430 Nm. Untuk pasaran Malaysia pula, dikuasakan dengan enjin 2.5 liter VGT (178 PS/400 Nm), iaitu versi penambahbaikan dari motor DI-D 178 PS/350 Nm kerana enjin 2.4L tidak mencapai kualiti bahan api di negara kita.

     
     
  • Ford Mustang 2016 baharu dijumpai di Malaysia

    Ford-Mustang-Malaysia-6_BM

    Ford Mustang 2016 baharu kini telah dijumpai di Malaysia, menepati ramalan sebelum ini setelah laman facebook Ford Malaysia menayangkan video berkenaan ‘Muscle Car‘ asli dari Amerika tersebut. Kedua-dua varian iaitu 2.3 liter EcoBoost (310 hp dan 433 Nm) dan juga 5.0 liter V8 NA (435 hp dan 541 Nm) dilihat bersama di dalam gambar tersebut yang disiarkan di laman facebook Malaysia Exotic Car Spotters.

    Perbezaan antara kedua buah varian tersebut dapat dikenal pasti melalui beberapa ciri. Untuk model varian tertinggi 5.0 liter V8, ia dilengkapi dengan lencana ‘5.0’ dan ‘GT’ pada bahagian sisi dan belakang kereta seperti yang terdapat pada Mustang berwarna kuning didalam gambar, justeru mengesahkan ianya adalah dari varian tersebut. Kereta tersebut juga dilengkapi dengan roda aloi 19-inci sepuluh jejari berkembar berwarna hitam Ebony menandakan ia datang dengan pakej GT Performance.

    Pakej GT Performance juga hadir bersama unit LSD jenis Torsen Helical Gear dengan nisbah akhir 3.71:1, angkup brek hadapan enam silinder beserta cakera berliang bersaiz 380×34 mm, Gauge Pack, splitter hadapan, spring hadapan baharu dan talaan casis unik.

    Ford-Mustang-Malaysia-1_BM

    Mustang 2.3 liter EcoBoost pula (berwarna merah race, putih Oxford dan kelabu Magnetic), tidak mempunyai lencana ‘5.0’ pada bahagian sisi dan ‘GT’ pada bahagian belakang, tetapi digantikan dengan logo klasik kuda Mustang. Model ini juga disaksikan dilengkapi dengan pakej Ecoboost Performance melalui pemadanan splitter hadapan dan juga roda aloi 19-inci lima jejari berkembar berwarna hitam Ebony.

    Pakej EcoBoost Performance ini pula menyaksikan LSD EcoBoost auto asal dengan nisbah akhir 3.15 ditukar kepada unit dengan nisbah akhir 3.55, Gauge Pack, cakera brek berliang hadapan berukuran 352 x 32 mm (dengan angkup aluminium empat-omboh 46 mm) dan cakera brek berliang belakang (dengan angkup brek besi omboh tunggal 45 mm).

    Kedua-dua model ini kemungkinan besar adalah berdasarkan spesifikasi pasaran Australia iaitu dari varian Premium, di mana ia turut dilengkapi dengan suis penukar mod pemanduan (Normal, Sport+, Track dan Snow/Wet). Tetapi tanpa gambar bahagian dalaman agak sukar untuk dipastikan buat masa sekarang.

    Ford-Mustang-Malaysia-4_BM

    Model pasaran Malaysia juga mungkin dari versi automatik, didatangkan dengan kotak gear 6R80 enam-kelajuan SelectShift, dengan penukar gear. Semasa pertama kali di prebiu di Malaysia setahun lalu, tidak dinyatakan model manual yang dilengkapi kotak gear Ford/Getrag MT-82 akan dibawa, tetapi kita akan mengetahuinya sedikit masa lagi.

    Ford Mustang ini sepatutnya membuat penampilan di Malaysia pada Disember tahun lalu selepas prebiu awalannya yang dilakukan di Publika, dengan harga bermula RM435k hingga RM450k untuk model 2.3 EcoBoost dan RM550k hingga RM565k untuk model 5.0 liter V8. Sime Darby Auto Conexxion dikatakan akan membawa masuk kedua-dua bentuk badan Fastback coupe dan Convertible, tetapi setakat ini hanya model Fastback sahaja yang kelihatan.

     
     
  • Toyota Corolla 2017 facelift diperkenalkan di USA

    Toyota_Corolla_XSE_2017_1

    Toyota Corolla 2017 facelift telah tiba di pasaran Amerika Syarikat (USA) dengan membawakan beberapa perubahan kosmestik dan juga pertambahan kit keselamatan standard.

    Kini varian L, LE dan LE Eco menerima elemen tambahan standard termasuk kamera belakang dan lampu utama bi-LED. Bagi varian SE, XSE dan XLE pula dipadankan dengan lampu utama LED terkini serta rekaan kabin yang dipertingkatkan dan juga sistem bunyi yang lebih baik.

    Dua warna luaran baharu juga telah ditambah pada barisan Corolla 2017 ini dan gril hadapannya juga kelihatan lebih agresif. Varian XSE pula ditampilkan dengan rim yang lebih sporty, lampu belakang yang agak gelap dan spoiler belakang agak halus.

    Corolla 2017 spesifikasi USA ini juga bakal menerima Toyota Safety Sense-P dengan kit keselamatan standard termasuk lampu tinggi automatik, kawalan kelajuan radar dinamik, amaran lencongan lorong (dengan bantuan stereng) dan sistem pra-pelanggaran bagi fungsi

    Untuk hiburan pula, model facelift ini menerima Entune Audio dan Bluetooth versi USA. Malah ia turut menerima skrin bersaiz tujuh-inci (berbanding 6.1-inci pada model terdahulu) bagi pilihan Entune Audio Plus dan Entune Premium Audio System.

    Namun difahamkan, tiada sebarang perubahan mekanikal pada bahagian bawah hud, ia masih mengekalkan enjin 1.8 liter empat-silinder dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan dan dengan automatik empat-kelajuan.

    Bagi meraikan ulang tahun ke-50 di sana, Toyota turut menghadirkan varian istimewa bagi Corolla iaitu Corolla 50th Anniversary Edition, yang berdasarkan model Corolla SE 2017. Hanya 8,000 unit sahaja akan diproduksi.

    Ia menerima sedikit sentuhan yang berlainan dan istimewa. Ini termasuklah padanan rim aloi bersaiz 17-inci dengan kekemasan kelabu gelap, lampu utama LED yang diolah semula, logo 50th Anniversary dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Perubahan lebih ketara terbentang pada bahagian kabinnya termasuk panel papan pemuka dan panel pintu dengan sentuhan warna Black Cherry, karpet lantai yang unik dan jahitan kontras Black Cherry.

    Varian istimewa ini turut didatangkan dengan skrin pelbagai-informasi untuk pemandu bersaiz 4.2-inci dan paparan skrin sesentuh tujuh-inci untuk hiburan dengan audio Entune dan sistem navigasi. Toyota turut menawarkan bumbung panoramik dengan kos tambahan.

    Corolla 50th Anniversary Edition ditawarkan dengan pilihan warna Blizzard Pearl, Classic Silver, dan Black Cherry. Ia bakal mula dipasarkan di negara berkenaan pada musim luruh ini.

    Toyota Corolla XSE 2017

    Toyota Corolla Edisi Ulangtahun ke-50

     
     
  • Chevrolet Camaro versi pemanduan sebelah kanan dilapor mungkin akan dibina untuk pasaran Australia

    2016 Chevrolet Camaro RS

    Chevrolet Camaro versi pemanduan sebelah kanan kini sedang dipertimbangkan untuk pembinaan bagi memenuhi permintaan pasaran, termasuk Australia, di mana ia mungkin akan dipasarkan dibawah jenama Holden, lapor CarAdvice. Kenyataan tersebut telah disuarakan oleh Al Oppenheiser, ketua jurutera Chevrolet Camaro.

    Kejayaan Ford Mustang, yang mempunyai senarai menunggu yang panjang di Australia, telah menarik minat syarikat tersebut. Ini bermaksud, pengenalan Camaro adalah perlu berdasarkan permintaan pasaran terhadap ‘Muscle Car‘ ikonik itu, untuk memastikan pengenalannya pada pasaran Australia dan pasaran lain. Keputusan akhir akan menyaksikan ia akan dibina sebagai sebuah unit yang boleh dipandu, menurut Oppenheiser.

    Menekankan syarikat tersebut adalah sangat serius berkenaan hal ini, “Adakah (Australia dan UK) boleh untuk mengekalkannya? Kami sedang membuat kajian tentangnya,” kata beliau. “Saya memberitahu anda, kami sedang mengkaji pesaing kami (Ford) dan apa yang mereka lakukan: adakah mereka mencapai kejayaan? atau pun tidak?” tambah beliau lagi.

    “Kami tahu apa yang perlu dibuat untuk melakukannya, kami sudahpun menghasilkan Cadillac versi pemanduan sebelah kanan, jadi ia tidak mustahil. Tetapi keputusan masih lagi belum dibuat,” Ujar Oppenheiser. Satu lagi kebimbangan yang diperhatikan syarikat tersebut adalah permintaan untuk Camaro pemanduan sebelah kanan boleh bertahan selama bertahun-tahun dan tidak hanya setahun.

    “Adakah permintaan tersebut kerana semua orang mahu membelinya pada tahun pertama? Adakah mereka akan menjualnya semula dalam masa setahun dua? Kamu tidak tahu apa yang perlu dilakukan bukan?” tegas beliau.

    “Kami telah mengalaminya dengan beberapa model pemanduan sebelah kiri di beberapa negara. Terutamanya pada Camaro generasi kelima, selepas filem Transformers ditayangkan, beberapa buah negara membawa 1000 unit dan menjual 1000 unit dalam masa seminggu. Kami menghantar lagi 1000 unit kemudian tetapi ia tidak dapat dijual dalam masa tiga tahun.” kata Oppenheiser.

    Seperti juga permintaan untuk Camaro dengan enjin V8, “perkara sama juga seperti keputusan untuk membuat Camaro pemanduan sebelah kanan, adakah ia akan kekal dengan jumlah tertentu setiap tahun? jika ya, kami akan membuatnya,” kata beliau. “Anda perlu memastikan, kami di dalam perniagaan yang membuat keuntungan dan jika ia peluang perniagaan yang baik, kami akan lakukan,” simpul beliau.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga 2016 kelihatan dipandu uji bersebelahan Honda Brio Amaze

    12595982_10154053115948910_1366197726_n

    Satu lagi spyshot Proton Saga 2016 yang diterima, kali ini datangnya dari pembaca Sean Yeoh. Malah, ia kelihatan tidak sendirian kerana seakan ‘ditemani’ Honda Brio Amaze, model sedan bajet dari Honda yang terlebih dahulu memacu pasaran global.

    Seperti mana yang pernah diceritakan dalam artikel sebelum ini, pada bahagian hadapannya kelihatan gril hadapan dua-bar, serta lampu utama yang dibentuk semula menampakkan lebih tiga-dimensi. Rekaan bampar juga kelihatan lebih agresif, dengan lampu kabus dan spoiler dagu seperti mana yang ada pada model baharu Proton yang lain (dari model Preve ke atas).

    Malah garisan bumbung kelihatan lebih condong dari belakang menurun ke hadapan menampakkan pandangan yang lebih dinamik. Malah pemegang pintu baharu (dari Iriz) turut ditampilkan. Ia turut menggunakan tiang-C yang seakan membentukkan pintu belakang. Pada bahagian belakang juga nampak seperti diolah semula termasuk lampu tiga-dimensi dan kepingan plat nombor baharu.

    Buat setakat ini, masih tiada perkhabaran rasmi mengenai perincian teknikal, namun Saga mungkin akan menggunakan enjin Iriz iaitu 1.3 liter VVT dan pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan atau CVT. Malah Proton telah mengumumkan enjin 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder mungkin ditampilkan bagi model akan datang iaitu menjelang akhir 2017. Malah enjin 1.0 liter pengecas turbo juga mungkin ditampilkan.

    Selain Saga, Proton Perdana 2016 baharu juga makin ligat diuji memandangkan tarikh pelancarannya makin menghampiri. Malah ia juga telah mula dibuka tempahan sejak pertengahan Februari lalu. CEO baharu Proton telah pun diumumkan, agaknya bilalah Perdana 2016 ini dilancarkan?

     
     
  • PANDU UJI: Ferrari California T mudah dikendali

    CaliforniaT_Ext_05

    Mendengar jenamanya sahaja sudah menjadi kegusaran bagi sesetengah orang untuk memandu jenama ini. Kegusaran tersebut bukan sahaja datang dari angka kuasa kuda yang dihasilkan dan harganya yang boleh membuatkan mata terbeliak setelah diberitahu, ia juga datang dari cerita dari mulut ke mulut yang biasanya berbunyi “kau kena pergi Itali dulu berlatih pandu kereta ni, baru boleh beli”, membayangkan betapa liarnya kereta ini untuk dikendali.

    Untuk membuktikan bukan semua Ferrari bersifat liar, kami mengujinya bagi mengubah persepsi skeptikal orang ramai terhadap jenama tersebut. Ikuti ulasan ini untuk mengetahui soal prestasi dan pengendaliannya.

    Ferrari membina kereta mereka dengan dua rangka asas iaitu casis Sports sebenar menampilkan kedudukan enjin di bahagian tengah, dan juga casis Grand Touring (GT) yang biasanya menempatkan enjin di bahagian hadapan. Malah ia direka seimbang untuk kegunaan harian dan juga pemanduan berprestasi tinggi jika diperlukan.

    California T dihasilkan menerusi konsep GT convertible 2+2. Ia sebenarnya versi tingkat taraf Ferrari California terdahulu di mana abjad T pada model baharu ini bermaksud Turbo (California terdahulu dijana enjin NA 4.3 liter). Pada bahagian hadapan California T menampilkan gril hadapan yang lebih besar, lampu hadapan seiras dengan Ferrari 458, liang udara berkembar pada bonet hadapan dan liang pada fender yang direka semula.

    Di bahagian belakang pula, lampu belakang berbentuk bulat tunggal direka dengan lebih kemas. Bampar belakang turut dilengkapi diffuser yang dibahagi dengan tiga pemisah serta tip ekzos berkembar yang diletakkan di setiap sisi bampar menjadikan empat tip secara keseluruhan.

    Sistem convertible pada California T ini membolehkan ia bertukar dari bentuk hard top kepada bentuk roadster dalam masa 14 saat dengan hanya menekan satu butang sahaja. Walau bagaimana pun, untuk tujuan keselamatan, transformasi tersebut hanya boleh dilakukan semasa kereta ini berhenti sahaja.

    Pada bahagian dalaman, California T menampilkan rekaan tipikal Ferrari terkini. Paparan takometer analog yang besar diletakkan pada bahagian tengah panel instrumen disertakan dengan penunjuk posisi gear. Meter kelajuan pula diletakan di sebelah kanan, manakala di sebalah kiri ditempatkan paparan skrin TFT yang memberi maklumat mod pemanduan, suhu air, suhu minyak pelincir, bacaan jumlah petrol di dalam tangki, meter kelajuan digital dan juga meter trip.

    Tiada sebarang tuil dapat disaksikan didalam kabin California T ini. Pemilihan gear hanya dilakukan dengan pedal penukar gear yang terletak di belakang stereng dan mod gear automatik dan gear undur boleh dipilih dengan menekan butang yang terletak di konsol tengah yang mana turut menempatkan butang “Launch Control”. Tuil suis lampu, penggilap cermin dan isyarat membelok juga digantikan dengan suis-suis yang ditempatkan pada roda stereng.

    Kedudukan suis-suis tersebut disusun dengan cukup ergonomik menjadikan penggunaan dan capaiannya lebih mudah berbanding tuil konvensional. Paparan skrin 6.5-inci untuk sistem infotainmen diletakkan di bahagian tengah papan pemuka, sementara di bahagian atas pula diletakkan unit Turbo Performance Engineer (TPE) iaitu sebuah unit meter yang memberi bacaan boost dan pretasi pengecas turbo California T, yang diapit oleh liang penghawa dingin tengah.

    Agak menarik, tempat duduk belakang California T ini walaupun bersaiz agak kecil, ia turut dilengkapi dengan cagak Isofix bagi memenuhi syarat sebahagian pasaran terutamanya di Eropah. Untuk kemasan trim dan balutan pula, bakal pembeli boleh memilih sendiri material, saiz benang sulaman, dan warna semasa proses tempahan kereta ini.

    Enjin V8 3.9 liter turbo berkembar diletakkan di bahagian hadapan kereta ini. Ini merupakan enjin dengan pendesak turbo pertama Ferrari setelah kali terakhir teknologi tersebut digunakan 29 tahun lalu pada Ferrari F40. Enjin ini mampu menghasilkan output 552 hp pada takat 7,500 rpm dan tork gergasi 775 Nm pada takat 4,750 rpm.

    Kuasa dari enjin ini dihantar ke permukaan jalan menerusi kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan automatik dan dialirkan terus ke gandar dan roda belakang. Gabungan tersebut membolehkan Califronia T memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dengan “G-force” yang cukup membuatkan anda melekat di tempat duduk tanpa boleh berbuat apa-apa. Kereta ini juga mampu mencapai kelajuan maksimum 316 km/j.

    CaliforniaT_Ext_29

    Walaupun California T dijana dengan enjin bantuan pendesak turbo, Ferrari telah menala penjana kuasa tersebut agar ia mempunyai karekteristik seperti sebuah enjin tanpa induksi paksaan yang mempunyai sesaran yang lebih besar. Unit turbin twin-scroll yang dilengkapi perisian tekanan boost turbo bervariasi membuatkan “turbo lag” pada enjin ini hampir tidak terasa serta kuasa maksima yang dicapai pada rpm tinggi iaitu 7,500 rpm menghasilkan respon enjin seperti enjin berkapasiti besar tanpa induksi paksaan sebenar.

    Kuasa yang dihasilkan adalah linear dan mengikut tujahan yang diberikan pada pedal pendikit oleh pemandu dan tiada kuasa liar yang datang secara tiba-tiba seketika selepas pedal pendikit ditekan dengan lebih agresif.

    Terdapat dua mod pemanduan yang boleh dipilih semasa memandu kereta ini iaitu mod Sport dan Comfort. Dalam mod Sport, enjin ditala untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada pemandu. Kotak gear juga turut memberikan penukaran gear yang sangat agresif, di mana sensasi penukaran gear ini bukan hanya disumbang oleh penukaran gear yang sangat pantas oleh kotak gear itu sahaja. Malah rekaan penukar gear itu sendiri yang memberikan capaian dan respons yang sangat baik seolah-olah sentiasa memanggil-manggil untuk menggunakannya berbanding hanya menggunakan mod auto.

    Mod Sport ini juga memberikan talaan suspensi yang lebih keras bagi membolehkan pemandu meredah selekoh dengan kelajuan tinggi. Apa yang menarik, terdapat lagi satu butang talaan suspensi di roda stereng. Butang yang ditandakan dengan imej penyerap hentak tersebut akan menala semula sistem suspensi dalam mod Sport menjadikan kereta ini kekal melekat pada permukaan jalan yang tidak rata dan beralun dalam kelajuan tinggi tanpa melembutkan suspensi tersebut – diuji sangat efektif pada permukaan jalan raya Malaysia.

    CaliforniaT_Ext_38

    Mod Comfort juga telah memberikan impak pada penulis. Dalam mod ini, kuasa enjin masih lagi dalam keadaan sangat berkuasa jika pedal pendikit ditekan sepenuhnya. Tetapi jika kereta ini dipandu santai, penukaran gear ditala untuk menjadi sangat selesa tanpa terasa langsung kejutan ketika gear ditukar secara automatik. Talaan suspensi juga memberikan perasaan seolah-olah anda sedang memandu sedan mewah.

    Penulis turut menguji kereta ini meredah kesesakan jalan raya di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun mempunyai bekalan kuasa lebih dari 500 hp di hujung kaki, kereta ini amat mudah dipandu dalam keadaan ‘merangkak’ di tengah kesesakan jalan raya – lebih mudah dari memandu sebuah Kancil 660 manual. Kepada mereka yang berkemampuan dan berhajat untuk menggunakan sebuah Ferrari sebagai kenderaan harian atau dihadiahkan kepada ahli keluarga wanita hanya untuk menunjukkan status, California T adalah jawapannya.

    Jadi benarkah dakwaan semua Ferrari itu susah dipandu dan memerlukan anda terbang ke Itali terlebih dahulu untuk dilatih memandu jentera ini? Naib Presiden Bersekutu 2 Naza Italia, Ethan Woo memberitahu, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar. Menurut beliau lagi, memang ada kursus yang disertai oleh pemilik Ferrari untuk dilatih oleh pemandu profesional bertauliah dari Ferrari di Itali, tetapi ia bukanlah wajib untuk setiap pemilik sebaliknya ia adalah pakej tambahan untuk keseronokan pemilik Ferrari itu sendiri.

    California T dijual pada harga bermula RM888,800 sebelum cukai. Setiap pembelian kereta ini adalah standard bersama program penyelenggaraan berjadual tujuh tahun dengan jarak antara servis 20,000 km atau setahun sekali. Dengan pembelian menerusi pengedar rasmi ini juga, California T masih lagi boleh dilindungi menerusi pakej waranti Ferrari Power setelah ia dijual kepada pemilik lain kelak.

    Pendapat Izwaashura Sadali (sebagai pemandu wanita) yang turut memandu uji Ferrari California T

    Ini kali pertama saya berpeluang memandu uji Ferrari, jentera idaman sejak sekian lama (saya terjebak jadi wartawan automotif pun kerana minat saya terhadap jenama ini). Keterujaan yang dirasai sampai tak tidur malam dibuatnya. Bukan sebab tak pernah memandu jentera berprestasi tinggi sebelum ini, tapi kerana Ferrari! Ok jangan muntah hijau dengan statement ‘syok sendiri’ saya ini ya.

    Bila Naib Presiden Bersekutu 2 Naza Italia, Ethan Woo, memberitahu Ferrari California T ini paling sesuai untuk wanita dan juga sesiapa yang baru pertama kali mahu membeli model Ferrari, keterujaan untuk mengujinya kian meledak. Namun menurut Ethan, ini bukan bermakna California T model yang paling rendah dalam barisan model Ferrari. Katanya, California T mempunyai sifat yang lebih mudah dikendalikan (walau pun masih memiliki ledakan kuasa luar biasa), malah ia juga sesuai untuk kegunaan harian. Jadi bagi sesiapa yang ingin memiliki model Ferrari buat pertama kali, California T ini cukup sesuai. Malah ia juga sesuai untuk pemandu wanita.

    “Tetapi untuk individu yang berketinggian di bawah 150 cm, mungkin perlukan kusyen ekstra untuk melapik punggung dan belakang badan,” seloroh Ethan yang membuatkan saya sedikit terkedu, bimbang kaki tak sampai nak memijak pedal pendikit/brek dan tak nampak pula pandangan hadapan. Jadi perkara pertama yang saya laku, test dahulu (untuk buat sedar diri!) adakah kaki dapat memijak pedal pendikit/brek dan dapat lihat pandangan hadapan. Ya, nasib baik ngam-ngam ho kerana mujur juga tempat duduk pemandu boleh dilaraskan hadapan belakang dan ketinggiannya (tetapi cukup minimum untuk membuatkan saya nampak hadapan).

    California T ini mungkin kelihatan besar jika dilihat dari luar, tetapi bila masuk ke dalam kabinnya, ia seperti sedan premium lain. Mungkin dalam 10 ke 15 minit untuk menyesuaikan diri mengendalikannya, kemudian ia pantas ‘masuk’ untuk sama-sama bergandingan ‘membelah’ jalan raya. Seperti yang Farid ulaskan di atas, kuasa lebih 500 hp memang berada di hujung jari kaki, terasa mahu sentiasa memecutnya. Tetapi bila meredah laluan di kawasan bandar mahu pun lebuh raya yang sentiasa sibuk (dan sesak) seperti Lebuhraya Persekutuan, memadailah ikut saja keadaan.

    Bila sampai di laluan yang bersesuaian untuk menguji jentera ini (pastinya di lebuhraya yang kurang sesak), California T dapat dilenjan sepuasnya. Deruman bunyinya memang mencabar, lantas tekanan lebih pada pedal pendikit memuntahkan kuasanya tanpa teragak-agak. Melepasi plaza tol, pedal pendikit sengaja ditekan secara maksimum. Ledakan turbonya kian terasa, memberikan kuasa G-Force yang mampu membuatkan penumpang di sebelah ‘melekat’ di tempat duduknya. Walau pun bimbang jentera mungkin akan ‘meliar’ namun kegusaran itu dapat disingkirkan kerana Califirnia T memang mudah dikawal.

    Tetapi bila melalui jalan berselokoh, kaki sudah bersedia di pedal brek dan tekanan di pedal pendikit dilepaskan, membiarkan jentera meluncur dengan lebihan kuasa yang ada. Tetapi dengan adanya elemen tambahan termasuk F1-Trac Traction Control, dengan program kestabilan dan cengkaman elektronik yang telah dipertingkatkan, hamburan tork terbaik mudah diperoleh dan dalam masa yang sama jentera masih stabil dikawal. Malah ia turut meningkatkan 8.5% kuasa pacuan jentera ketika dipacu di selekoh sekitar.

    CaliforniaT_Ext_41

    Ada masanya ketika jentera sedang dipecut laju, tiba-tiba ada halangan di hadapan, sistem brek memang memberikan respons yang pantas ketika ditagih. Seperti mana model Ferrari yang lain, California T turut digandingkan dengan sistem brek karbon-seramik Brembo sebagai standard. Ia turut menampilkan material pad baharu yang mampu memberikan kesan cengkaman lebih padu tidak kira apa jua keadaan jalan.

    Sistem brek ini juga dikatakan memiliki jangka hayat yang lebih panjang (atau boleh digunakan sepanjang hayat jentera terbabit). Ia juga telah dipertingkatkan dengan versi ABS ESP 8.0 Premium, dan mampu memberhentikan kenderaan dalam jarak yang terpendek iaitu dari 100 ke 0 km/j dalam jarak 34 meter. Walau pun mempunyai sistem brek yang boleh dikatakan sebagai terbaik, pemanduan tetap perlu berhati-hati.

    Malah California T juga didatangkan dengan sistem peredam (damper) baharu iaitu Magnetorheological SCM3 iaitu evolusi terkini bagi memodifikasi kuasa magnetik pada peredam. Manakala bagi kawalan yang lebih efisien, batang omboh (piston rod) baharu turut ditampilkan bagi mengurangkan daya geseran ketika pemanduan.

    Dengan adanya sistem sebegini, olengan badan juga dapat diminimakan terutamanya ketika jentera dipecut atau pun melakui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata. Ia juga adalah hasil kerjasama sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang yang kedua-duanya turut hadir dengan coil spring, gas peredam dan palang anti olengan, sekali gus membantu menambahkan kestabilan jentera.

    Satu lagi sifat yang mengagumkan bagi jentera hebat ini ialah jejari pusingannya terutamanya ketika mahu membuat pusingan-U atau ketika memarkir. Dengan ukuran kerangka 1,380 mm tinggi, 4,563 mm panjang, 1,902 mm lebar dengan jarak roda 2,670 mm, tidaklah sukar untuk mengendalikan jentera ini biar pun ia kelihatan besar pada pandangan mata kasar.

    Tetapi kalau senang nak cerita, ia mengikut meter dan kawalan stereng bagi menentukan kedudukan maksimum jentera bagi menentukan jejari pusingannya. Saya sempat cuba membuat pusingan U di satu kawasan perumahan dengan lebar jalan yang standard, mudah. Tidak perlu mengundurkan jentera selepas membelok dan tidak risau terlanggar pembahagi jalan. Seperti membawa Perodua Myvi pula, setakat nak buat pusingan-U…no problema!

    CaliforniaT_01 copy

    Bagi penggunaan bahan apinya pula, mengikut risalah tercatat anggaran sekitar 10.5 liter bagi setiap 100 km. Dan model ini boleh diisi dengan bahan api RON 95 (sekurang-kurangnya), tetapi jika inginkan prestasi yang lebih mengagumkan sudah pasti bahan api RON 97 atau lebih tinggi dari itu, lebih bersesuaian.

    Konklusi, California T ini bukan setakat sesuai sebagai jentera pengangkutan seharian, tetapi kalau hendak pergi bercuti atau pun membeli-belah, ia juga sesuai kerana mempunyai ruangan but berkapasiti 340 liter (tetapi tak bolehlah hendak membawa barang banyak-banyak, kalau ada anak kecil, tak boleh nak memuatkan stroller). Jadi, kalau rasa-rasa berkemampuan, bolehlah mendapatkan California T sebagai Ferrari pertama dimiliki. Amacam? Ada berani? (Saya tak…belum mampu!)

    Galeri: Ferrari California T di Phuket, Thailand

     
     
  • Toyota mempertaruhkan jentera TS050 Hybrid baharu harungi kejuaraan WEC dan Le Mans musim 2016

    01_TMG_TS050_BM

    Toyota menghadapi musim yang sukar dalam Kejuaraan Endurance Dunia tahun lalu apabila gagal mempertahankan kedua-dua gelaran pemandu dan pengeluar, menghabiskan musim dengan kedudukan kelima dan ketiga. Pengeluar automotif terbesar dunia itu kini kembali dengan jentera LMP1 baharu, Toyota TS050 Hybrid untuk musim 2016.

    Selepas empat musim bertanding menggunakan enjin V8 tanpa induksi paksaan, pasukan Toyota kini menggugurkan penggunaan enjin tersebut bagi memberi laluan kepada enjin turbo 2.4 liter V6 dengan pancitan petrol terus. Toyota mengatakan penukaran unit janakuasa tersebut adalah perlu untuk memenuhi undang-undang baharu kejuaraan yang mengehadkan jumlah kemasukan bahan api ke dalam enjin, dan ini juga merupakan peluang untuk meneruskan perpindahan teknologi dan pengetahuan dari kereta lumba ke kereta produksi biasa, di mana enjin sedemikian semakin banyak dibina untuk kereta produksi biasa.

    Penggunaan kapasitor super yang menjana motor elektrik berkembar pada jentera TS040 tahun lalu juga digugurkan, digantikan dengan bateri lithium-ion. Ini membolehkan pasukan itu bertukar kepada sistem hibrid lapan megajoule, spesifikasi tertinggi yang dibenarkan dibawah undang-undang baharu perlumbaan. Tiada lagi angka jumlah kuasa kuda yang dihasilkan oleh jentera ini diumumkan, tetapi dijangkakan TS050 bakal menjana sejumlah 1000 hp seperti jentera sebelum ini.

    09_TMG_TS050_BM

    Sistem penyejukkan yang berbeza diperlukan untuk unit janakuasa baharu tersebut, termasuk sistem transmisi yang turut ditingkattaraf untuk mengawal tork tambahan yang bakal dihasilkan oleh enjin baharu itu. Pakej aerodinamik turut direka semula, dengan motor hadapan diubah posisinya untuk memberikan aliran udara dibahagian lantai yang lebih baik, seterusnya memperbaiki prestasi keseluruhan kereta ini. Talaan semula pada bahagian kinematik suspensi turut dilakukan untuk penggunaan tayar yang lebih optima.

    TS050 yang tampil dengan ‘livery‘ merah-putih tradisi Toyota sejak generasi pertama Toyota GT-One TS020 telah diuji lebih dari 22,000 km dalam aspek prestasi dan ketahanan dengan hasil ujian yang positif. Ujian berikutnya akan dilakukan di litar Paul Ricard hujung minggu ini. Musim WEC tahun ini akan bermula 17 April hadapan dengan perlumbaan enam jam di litar Silverstone, UK.

     
     
  • Mazda MX-5 ND dinobatkan sebagai “World Car of the Year 2016” tewaskan Audi A4 dan Mercedes-Benz GLC

    Mazda MX-5 2.0 Review 9

    Mazda MX-5 telah dinobatkan sebagai “World Car of the Year 2016” di New York International Auto Show (NYIAS) yang sedang berlangsung sekarang. MX-5 ND generasi terbaharu tersebut menewaskan dua pesaingnya dari Jerman iaitu Audi A4 B9 dan Mercedes-Benz GLC ditempat kedua dan ketiga. Keseluruhan 23 buah kereta dicalonkan untuk anugerah tersebut sebelum disenaraipendekkan menjadi sepuluh buah sahaja.

    Generasi keempat MX-5 ini menyertai senarai pemenang tahun sebelum ini yang terdiri dari Mercedes-Benz C-Class W205 (2015), Audi A3 (2014), Volkswagen Golf (2013), Volkswagen Up! (2012), Nissan Leaf (2011), Volkswagen Polo (2010), Volkswagen Golf (2009), Mazda 2 (2008), Lexus LS460 (2007), BMW 3-Series (2006) dan Audi A6 (2005).

    Mazda MX-5 2.0 Review 4

    Roadster yang juga kini hadir dengan versi targa-top, juga memenangi anugerah “World Car Design of the Year” mengalahkan Mazda CX-3 dan Jaguar XE. Anugerah kereta mewah pula dimenangi oleh BMW 7 Series G11 menewaskan Audi Q7 dan Volvo XC90. Dalam kategori kereta hijau pula, 73 orang juri yang terdiri dari jurnalis automotif memilih Toyota Mirai yang dikuasakan oleh hidrogen, menewaskan dua kereta hibrid iaitu Toyota Prius baharu dan Chevrolet Volt generasi kedua.

    “Memandangkan produksi roadster ikonik MX-5 kami mencecah satu juta unit, anugerah ini membuktikan ia adalah sebuah kereta yang muda, vibrant, seronok dan releven seperti sebelum ini. Selain saya menerima anugerah ini bagi pihak syarikat, saya juga mewakili setiap kakitangan Mazda, rakan kongsi dan pelanggan seluruh dunia yang menikmati pemanduan sebenar sebuah roadster. Kami mengatakan ‘Driving Matters‘ dalam iklan kami, dan kami membuktikannya pada kereta kami,” kata Masahiro Moro, presiden dan CEO Operasi Mazda Amerika Utara.

     
     
  • Honda dalam usaha lengkapkan jentera dua roda mereka dengan transmisi klac berkembar (DCT)

    2009 Erion Racing Honda CPeris.

    2009 Erion Racing Honda CPeris.

    Volkswagen Group merupakan pengeluar pertama menggunakan kotak gear klac berkembar (DCT) untuk kereta produksi mereka, manakala Volvo pula merupakan pengeluar pertama menggunakan transmisi tersebut untuk produksi trak mereka. Kini, transmisi dengan penukaran gear paling pantas tersebut bakal dipasang pula pada motorsikal sport yang sedang dibangunkan oleh Honda

    Laporan mengatakan Honda kini dalam peringkat pertengahan membina transmisi DCT yang sesuai digunakan untuk motorsikal sport. Menurut laporan visordown, Jurutera DCT Honda Kosaku Takahashi berkata usaha pembangunan teknologi DCT untuk digunakan pada motorsikal berprestasi tinggi kini sedang berjalan.

    Beberapa motorsikal dalam barisan jentera dua roda keluaran Honda bakal dilengkapi kotak gear tersebut sebagai ciri standard ataupun opsyen termasuk siri NC, CT, VFR, NM4 Vultus dan juga skuter-super Integra. Honda CRF1000L Africa yang sebelum ini di prebiu dalam bentuk adventure turut dilengkapi transmisi DCT tersebut.

    2014 Honda CTX Technology.

    2014 Honda CTX Technology.

    Kotak gear DCT sebelum ini tidak dipadankan pada motorsikal sport dan perlumbaan kerana saiznya yang besar. Dengan penggunaan dua unit klac juga menyebabkan berat keseluruhan sesebuah motorsikal tersebut juga bertambah lebih kurang 10 kg.

    Motorsikal Honda yang dipadankan dengan kotak gear DCT akan mempunyai tiga mod transmisi, yang boleh dipilih menggunakan suis pada pod bar hendal. Mod ‘D’ akan berfungsi seperti mod ‘D’ transmisi automatik kereta, pilih mod tersebut dan terus pulas pendikit, penukaran gear akan berlaku secara automatik.

    Mod ‘S’ pula akan memendekan masa penukaran antara nisbah gear, membuatkan motorsikal tersebut beraksi lebih lincah. Dengan memilih mod ‘M’ pula membolehkan penunggang menukar gear secara manual dengan sepasang suis penukar gear yang diletakkan di pod bar hendal sebelah kiri.

    Walaupun sesetengah pendapat yang mengatakan dengan kotak gear DCT ini menjadikan sesebuah motorsikal itu bersifat seperti sebuah skuter, Honda nampaknya mempunyai pendapat yang berbeza, terutamanya dari sudut prestasi. Takahashi menjelaskan jika dua buah motorsikal dengan berat yang sama berlumba – sebuah dengan kotak gear tradisional dan sebuah lagi dilengkapi dengan DCT, motorsikal yang dilengkapi dengan kotak gear DCT akan lebih laju kerana penukaran gear yang lebih lancar dan transmisi dengan kuasa yang berterusan dibekalkan pada unit janakuasa.

    Ini akan menjadikan proses penukaran gear sama ada menaik atau menurun menjadi lebih lancar, dan menghilangkan ‘jerk‘ yang dihasilkan oleh operasi klac dan penukaran gear pada kotak gear biasa. Motorsikal Honda yang menggunakan DCT ini juga turut menawarkan opsyen penukar gear kaki pada posisi standard, membolehkan penunggang menukar gear secara manual dengan cara biasa.

    Takahashi agak keberatan untuk memberitahu berapa lama lagi tempoh yang akan diambil Honda untuk membina motorsikal sport yang dilengkapi DCT, atau bila jentera seumpanya akan berada dalam pasaran, di mana buat masa sekarang penunggang hanya cenderung kepada kuasa kuda semata-mata berbanding bagaimana kuasa kuda tersebut dapat dikawal dan digunakan sepenuhnya.

     
     
  • Kia Rio Sedan X dilancarkan – bodykit, skrin 7″, RM78k

    Kia-Rio-Sedan-X-Front-e1458808719407

    Minggu lalu telah dikhabarkan tempahan bagi Kia Rio Sedan X telah pun mula dibuka. Dan secara rasminya Kia Malaysia baru memaklumkan varian baharu ini telah dilancarkan secara rasminya di pasaran tempatan. Ia adalah susulan pelancaran model baharu bagi Rio Sedan yang dilancarkan pada Januari lalu.

    Varian X ini ditawarkan pada harga atas jalan RM77,888 dengan insurans iaitu lebih RM5,000 berbanding sedan standard (yang mendapat rebat sebanyak RM2,000 untuk tempoh waktu terhad) dan hanya kurang RM1,000 berbanding model hatch. Ia juga termasuk dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Apa yang menariknya pada varian X ini ialah padanan bodykit yang lebih menarik termasuklah dengan spoiler lid pada but yang sedikit kecil. Selain itu, kitnya masih sama dengan sebelum ini, termasuk lampu utama halogen reflektor dengan lampu nyalaan siang jenis-mentol, lampu kabus hadapan dan belakang serta rim aloi 15-inci.

    Perubahan di bahagian dalam termasuklah unit utama aftermarket yang baharu dengan skrin sesentuh tujuh-inci, sambungan USB, AUX, Bluetooth dan MirrorLink serta kamera pandang belakang bersama tempat duduk balutan kulit dengan jahitan sulaman logo “K2”. Selain itu, sama seperti sebelum ini, tidak seperti yang ada pada varian hatch termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda stereng balutan kulit, pedal aloi dan paparan pelbagai-info Supervision.

    Walau bagaimana pun, Rio Sedan X mengekalkan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, cagak ISOFIX, sistem pemantauan tekanan tayar dan brek cakera, semuanya sebagai standard.

    Ia juga masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.4 liter yang mampu memberikan kuasa sehingga 109 PS pada 6,300 rpm dan puncak tork 137 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

    GALERI: Kia Rio Sedan di Malaysia

     
     
  • SDAC anjur promosi hebat bagi Ford Fiesta dan EcoSport – rebat tunai dan bayaran bulanan rendah

    Pengedar Ford, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) sedang menawarkan rebat tunai menarik sehingga RM6,000 serta bayaran bulanan lebih rendah untuk varian Fiesta dan EcoSport di seluruh negara, mulai sekarang hingga 30 April.

    Pelanggan yang membeli Ford Fiesta 1.5L Titanium akan menerima rebat tunai sehingga RM6,000. Sementara mereka yang memilih Ford Fiesta 1.5L Sport pula boleh menikmati rebat tunai sebanyak RM4,000. Bayaran bulanan juga rendah iaitu hanya RM588 untuk kedua-dua varian Fiesta tersebut.

    Pelanggan yang membeli Ford EcoSport 1.5L Titanium akan menerima rebat tunai sehingga RM5,000, sebagai tambahan kepada bayaran bulanan sebanyak RM718.

    EcoSport dijanakan oleh enjin petrol 1.5 liter Twin Independent Variable Camshaft Timing (Ti-VCT) empat-silinder. Ia mampu menjana kuasa sehingga 110PS dan tork puncak mencecah 142Nm. Malah ia juga dipadankan dengan transmisi automatik PowerShift enam-kelajuan yang ultra efisien dengan ciri Select Shift.

    Manakala Fiesta 1.5L pula dikuasakan oleh enjin 1.5 liter Durated Ti-VCT empat-silinder dengan output 112 PS pada 6,300 rpm dan tork 140 Nm pada 4,400 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi PowerShuft enam kelajuan.

    Untuk ketenangan minda, pelanggan yang membeli mena-mana daripada tiga varian ini boleh menikmati jaminan pengilang selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km. Di samping jaminan tambahan selama dua tahun atau 100,000km menerusi Program Jaminan Lanjutan SDAC tanpa kos ekstra.

    “Menyediakan pengalaman pemilikan yang hebat bermula dengan alu-aluan yang mesra. Apa yang pasti, gabungan tawaran rebat, bayaran bulanan rendah dan jaminan lanjutan SDAC secara percuma ini merupakan satu cara terbaik untuk mengalu-alukan kedatangan pelanggan baharu ke dalam keluarga Ford,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025