Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Pemenang “Man United for Life” Chevrolet diumumkan

    Chevrolet-Manchester-United-for-Life-winner-01_BM

    Pemenang hadiah utama untuk peraduan “Manchester United for Life – Spend and Win 2016” telah pun diumumkan oleh Chevrolet Malaysia. Syed Ahmad Faiz Bin Syed Yusoff Fadzil, yang layak untuk menyertai peraduan tersebut setelah membeli sebuah Chevrolet Colorado baharu di Johor Bahru telah dipilih sebagai pemenang bertuah.

    Syed Ahmad Faiz telah memenangi perjalanan yang ditanggung sepenuhnya untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Manchester United menentang Everton secara langsung di Old Trafford pada 3 April 2016 untuk dua orang. Selain itu, dia juga turut diberikan tiket pergi-balik dan penginapan lima hari tiga malam untuk dua orang.

    Sementara itu, Chevrolet turut mengumumkan kempen “Chevrolet Sustence” masih lagi diteruskan di semua pengedar sah Chevrolet. Hadiah rebat tunai sehingga RM12,500 disediakan untuk model Orlando, RM11,000 untuk Cruze dan RM3,000 untuk Colorado.

    Juga, dengan program ‘Family & Friends Referral’, pemilik Chevrolet sedia ada berpeluang untuk mendapatkan sehingga RM1,000 jika mereka berjaya membuatkan rakan dan keluarga membeli kereta Chevrolet baharu.

     
     
  • BMW 520d M Sport, 520i M Sport, 528i M Sport 2016 – pelbagai ciri ditambah, harga kekal bermula RM355k

    BMW 520i M Sport.

    BMW 5 Series F10 LCI di Malaysia telah menerima tingkat taraf untuk versi tahun 2016. Beberapa bahagian luaran, dalaman dan ciri-ciri teknologi ditambah pada ketiga-tiga varian tanpa melibatkan penambahan harga.

    Sebelum ini dikenali sebagai BMW 520i, 520i M Sport baharu dilengkapi peralatan dan tingkat taraf M Sport sepenuhnya. Pada bahagian luaran, ia disertakan dengan kit badan M Sport yang lebih agresif, lencana M Sport dan set roda aloi Style 613M 18-inci (sebelum ini dengan roda aloi bukan dari M-Sport).

    Bahagian dalaman turut didominasi dengan ‘semangat’ M Sport bermula dengan roda stereng M Sport dilengkapi penukar gear, tempat duduk hadapan M Sport, balutan bumbung hitam dan beberapa kemasan aluminium. Kereta ini kelihatan seperti model 528i M Sport sedia ada. Sistem IDrive yang dilengkapi kini turut dikemaskini dengan sistem ConnectedDrive dengan Concierge Service. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM329,800.

    BMW 528i M Sport.

    Sementara itu untuk BMW 528i M Sport, ia dilengkapi dengan set roda Style 351M lebih besar bersaiz 19-inci berbanding sebelum ini yang hanya dilengkapi roda aloi bersaiz 18-inci. Peralatan baharu lain yang dilengkapi pada model ini termasuklah spoiler belakang, bumbung suria, dan juga sistem iDrive yang di kemaskini dengan tambahan sistem ConnectedDrive dan Concierge Service. Harga juga masih kekal untuk model ini yang dijual pada RM378,800 (harga atas jalan tanpa insuran).

    Walaupun tanpa gambar, BMW Malaysia telah mengesahkan 520d tahun lalu juga telah dikemaskini untuk model tahun 2016. Kini dikenali sebagai BMW 520d M Sport dan dijual pada RM317,800, ia juga dilengkapi dengan kit luaran lengkap dari M Sport serta set roda Style 613M 18-inci. Bahagian dalamannya dikatakan sama dengan 520i M Sport, tetapi dengan kemasan hitam berkilat menggantikan kemasan aluminium.

    Untuk hal berkaitan jualan dan pandu uji, anda bolehlah menghubungi Penasihat Jualan yang disahkan di pautan di bawah:

    BMW, all models – CarBase.my Verified Sales Advisors

    GALERI: 2016 F10 BMW 520i M Sport


    GALERI: 2016 F10 BMW 528i M Sport

    GALERI: 2013-2015 F10 BMW 528i M Sport

     
     
  • GALERI: Mazda 2 kini dilengkapi lampu hadapan LED

    2016-Mazda-2-Malaysia-5_BM

    Berikutan pengenalan Mazda 2 2016 di Malaysia, kami membawakan kepada anda gambar-gambar kereta segmen-B yang menerima sedikit tingkat taraf tersebut dari bilik pameran Mazda Setia Alam.

    Harga untuk Mazda 2 sedan dan hatchback ini bermula dari RM90,766.30, menyaksikan kenaikan lebih RM5,300 berbanding sebelum ini (RM85,466.30). Pilihan warna adalah terdiri dari Putih Mutiara Snowflake, Aluminium Metalik, Kelabu Metropolitan, dan warna signatur jenama Mazda iaitu Merah Soul yang mana untuk warna tersebut memerlukan pembeli menambah RM530. Produksi kereta ini kekal di Thailand, bermaksud ia masih dibekalkan secara CBU ke Malaysia.

    Seperti yang dapat disaksikan pada Mazda 2 hatchback ini, ia dilengkapi dengan lampu hadapan LED berserta lampu nyalaan siang LED, menggantikan lampu halogen pada model sebelum ini. Kini kesemua barisan model termasuk CX-3, CX-5 dan Mazda 6 dilengkapi lampu dengan teknologi LED.

    Tiada lagi perubahan lain pada bahagian luaran model ini selain daripada lampu hadapan. Begitu juga dengan roda di mana roda aloi 16-inci (dengan tayar 185/60R16) yang sama masih digunakan pada model ini serta lampu belakang yang menggunakan mentol biasa masih lagi dikekalkan.

    2016-Mazda-2-Malaysia-1_BM

    Model yang dipamerkan ini dilengkapi dengan kit badan sport terdiri dari lips pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, dan spoiler belakang. Untuk model sedan, kit yang ditampilkan ini berharga RM2,300 manakala untuk hatchback pula ia berharga RM2,370.

    Begitu juga dengan bahagian dalaman yang mana ia kelihatan sama seperti model sebelum ini. Oleh kerana lampu hadapan LED baharu menampilkan fungsi pelarasan automatik, terdapat pelaras manual untuk lampu tersebut diletakkan berdekatan butang Kawalan Cengkaman dan butang i-Stop.

    Skrin sesentuh sistem infotaimen MZD bersaiz tujuh-inci masih lagi kekal, dihubungkan pada unit Comamander Control. Balutan kulit juga masih sama seperti sebelum ini menyaluti beberapa bahagian kemasan bersama fabrik pada tempat duduk larasan manual. Turut masih dilengkapi ialah paparan ‘head-up‘, penghawa dingin zon tunggal, dan penukar gear.

    Ciri keselamatan masih kekal sama dengan dua beg udara dibekalkan, serta sistem ABS dilengkapi EBD, BA dan Kawalan Stabilti Dinamik (DSC). Cagak Isofix untuk kerusi kanak-kanak juga dibekalkan secara standard.

    Anda boleh berkunjung ke bilik pameran Mazda Setia Alam untuk melihat kereta ini dengan lebih dekat. Pihak Bermaz juga akan mengadakan karnival Mazda Zoom Zoom bermula 30 Mac ini hingga 3 April hadapan di Oval Concourse, New Wing, 1Utama, di mana kereta ini akan dipamerkan bersama Mazda CX-5 facelift CKD.

     
     
  • Pemandu teksi menutup Jalan Bukit Bintang dan cetus kesesakan trafik, protes aplikasi Uber dan GrabCar

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Sebagai menunjukkan protes menentang servis aplikasi pengangkutan seperti Uber dan GrabCar, sekumpulan pemandu teksi berkumpul dan memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang. Kejadian lewat pagi tadi tersebut menyebabkan akses ke jalan berkenaan terhalang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

    Setakat ini tiada lagi organisasi teksi yang mengaku bertanggungjawab mengadakan protes yang menyebabkan kesulitan tersebut. Walau bagaimanapun, insiden tersebut mungkin disebabkan keputusan terkini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk tidak mengharamkan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut.

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-1-850x637_BM

    Kejadian yang sama telah berlaku di Indonesia sebelum ini di mana pemandu teksi di Jakarta melakukan protes serupa tidak berapa lama dahulu, menuntut kerajaan mengharamkan Uber dan GrabCar. Respons dari insiden tersebut, kerajaan Indonesia menyatakan kedua-dua syarikat pengendali aplikasi terbabit perlu bekerjasama dengan pengendali perniagaan pengangkutan tempatan dan mendaftar kenderaan mereka sebelum penghujung Mei jika mahu terus beroperasi.

    Kami akan terus membawakan berita terkini berkenaan isu ini dari semasa ke semasa. Apa pendapat anda berkenaan isu ini? Adakah persengketaan antara penyedia aplikasi dan pemandu teksi akan berterusan? Atau akhirnya nanti menyaksikan satu pihak yang akan kekal? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen di bawah.

     
     
  • BMW terbakar di plaza tol, melibatkan kehilangan nyawa – identiti mangsa masih belum dikenalpasti

    bmw-6-series-fire_BM

    Sebuah BMW 6 Series dilaporkan terbakar awal pagi ini dan menyebabkan pemandunya mati terbakar semasa beliau tidur di dalam kereta tersebut, lapor New Straits Times. Kejadian pada pukul empat pagi tadi itu berlaku di Plaza Tol B Lebuhraya Sprint.

    Menurut pekerja di plaza tol berkenaan yang menyaksikan insiden itu, lelaki tersebut yang dipercayai mabuk, dikatakan memberhentikan keretanya di pondok tol, kemudian tidur di tempat duduk penumpang hadapan dengan enjin yang masih hidup.

    Pekerja terbabit cuba untuk membangunkan lelaki tersebut dengan mengetuk cermin tingkap, tetapi gagal untuk menyedarkan lelaki itu. Sejam kemudian, kereta tersebut terbakar dan lelaki yang identitinya masih belum diketahui tersebut terkorban akibat kebakaran tersebut. Dua pondok tol turut dilaporkan terbakar sepenunhnya. Pihak berkuasa masih lagi menyiasat identiti sebenar mangsa kebakaran tersebut.

    Sementara itu, BMW Malaysia telah mengeluarkan kenyataan ringkas berhubung insiden ini. Kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Pengurusan dan CEO Han Sang Yun tersebut adalah seperti berikut:

    “Kami di BMW Group Malaysia mengetahui insiden pagi ini di mana sebuah BMW generasi sebelum ini telah terbakar di Plaza Tol Lebuhraya Sprint dan menyebabkan kehilangan nyawa.

    Ia merupakan insiden yang sangat malang dan kami bersedih atas apa yang berlaku. Kami bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dalam insiden tersebut.

    Kami difahamkan pada saat ini, penyebab kebakaran tersebut masih lagi belum diketahui dan kami di BMW Group Malaysia menawarkan kepakaran kami, kerjasama dan pertolongan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan juga kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat insiden ini dengan teliti.”

     
     
  • Pergolakan politik mungkin menambah pergelutan masalah Proton, lapor The Straits Times of Singapore

    Mahathir-Najib

    Pergolakan politik antara Tun Dr Mahathir Mohamed dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin akan menjejaskan pembuat kereta nasional – Proton, dalam usaha mereka mendapatkan dana RM1.5 biliion segera dari kerajaan, lapor The Straits Times of Singapore.

    Proton yang bergelut dengan kerugian lebih dari RM2.5 billion dalam masa empat tahun sebelum ini, dilaporkan memohon suntikan dana dari kerajaan persekutuan. Dana tersebut mungkin tidak akan diterima berikutan pergolakan potilik dan Proton merupakan projek yang dibangunkan oleh Tun Mahathir.

    Tun Mahathir percaya Proton akan mempunyai masa depan dan dana kerajaan untuk menampung R&D enjin baharu akan menjadikan syarikat berkenaan bernafas semula, tetapi ramai termasuk pegawai kerajaan tidak yakin dengan agenda tersebut.

    “Walaupun Proton menerima dana itu, ia tidak akan menyelesaikan masalah syarikat tersebut,” jelas konsultan kewangan yang biasa dengan Proton dan pentadbiran persekutuan memberitahu ST.

    Press Conference with YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad and Dato' Abdul Harith Abdullah

    Para pekerja bakal kehilangan pekerjaan, begitu juga dengan pembekal alat ganti yang bakal bergelut dengan masalah ekoran konflik yang dihadapi oleh Proton, menjadikan mereka mangsa pergolakan politik yang berlaku, tambah laporan tersebut.

    “Mereka (pekerja) dan vendor akan ditanya untuk memilih sama ada Tun Mahathir atau kerajaan,” esekutif senior Proton yang namanya tidak mahu disiarkan memberitahu ST.

    Proton mempunyai 10,000 orang pekerja serta jaringan vendor dan pembekal yang mempunyai 30,000 orang lagi pekerja. Walaupun ada rasa hormat yang besar kepada Tun Mahathir, “Ada perasaan yang semakin membesar merasakan beliau sekarang merupakan liabiliti,” tambah esekutif itu.

    Kerajaan telah menggugurkan Tun Mahathir sebagai penasihat Petronas dua minggu lalu kerana pergolakan politik tersebut. Pentadbiran kerajaan tidak boleh memecat Tun Mahathir dari Proton kerana Proton sekarang dimiliki oleh DRB-Hicom.

    proton-mahathir

    Walau bagaimanapun, ketika Proton memerlukan sokongan dari kerajaan dan DRB-Hicom juga bergantung pada perniagaan dari kerajaan, kehadiran Tun M dalam organisasi tersebut mungkin mendatangkan lebih kesan negatif berbanding positif.

    Proton telah memfailkan penyata kewangan terbaru mereka, tetapi analisa mendapati Proton kerugian hampir RM25 juta setiap bulan kerana bayaran bunga pada pinjaman dan beban kewangan yang semakin meningkat berikutan stok kereta yang tidak terjual semakin banyak.

    Dianggarkan sebanyak 30,000 unit kereta yang tidak terjual, atau secara kasarnya inventori selama tiga bulan, berdasarkan jualan tahun lalu sebanyak 102,175 unit.

     
     
  • Institut memandu perlu guna sistem pendaftaran dalam talian untuk elak manipulasi harga oleh ejen

    1621930_729785283725324_4998449407029119539_n

    Menjelang tahun 2018, semua institut memandu di seluruh negara perlu mengguna pakai sistem pendaftaran secara dalam talian bagi pendaftaran awal mendapatkan lesen memandu.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ab Aziz kaprawi, perkara ini perlu dilakukan bagi memastikan setiap institut memandu menyediakan secara terus harga pakej untuk mengambil lesen memandu dan mengelak manipulasi harga oleh ejen, laporan Berita Harian.

    Katanya, pendaftaran atas talian ini bertujuan mengelakkan manipulasi harga, selain institusi memandu perlu memuat naik harga yang dikenakan tanpa caj tersembunyi.

    “Sebelum ini, ada aduan diterima mengenai caj dikenakan melebihi daripada apa yang ditetapkan Contohnya, ada yang dikenakan bayaran sehingga RM2,000 untuk mengambil lesen memandu kereta sedangkan bayaran untuk lesen yang ditetapkan hanya RM1,150 untuk transmisi manual manakala RM1,250 bagi lesen memandu kereta transmisi automatik,” katanya.

    Setakat ini terdapat 210 institusi memandu berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 57 daripadanya sudah melaksanakan pendaftaran awal lesen memandu secara atas talian.

     
     
  • Vincent Series ‘C’ White Shadow berwarna merah dilelong pada harga RM1.75 juta di Las Vegas

    Vincent-White-Shadow-Series-C-1-e1459154255201_BM

    Ketika kereta Jaguar XK120 merupakan kereta produksi terpantas di dunia dengan mencapai kelajuan maksima 193 km/j, motosikal Vincent Black Shadow mampu untuk mencatatkan kelajuan maksimum 201 km/j, dengan brek dram dan sepit udang jenis galang. Vincent Series ‘C’ 1,000 cc V-twin Black Shadow hanya dikeluarkan 1,507 unit, menjadikan ia sebuah motosikal yang sangat mahal dan sukar untuk diperoleh.

    Lebih sukar untuk dijumpai berbanding Black Shadow, ialah White Shadow yang secara asasnya ialah sebuah Black Shadow dengan blok enjin yang dibina dengan bahan yang sama digunakan untuk enjin pesawat pejuang Supermarine Spitfire dan digilap sehingga berkilat.

    Hanya 15 unit White Shadows dibina antara 1949 hingga 1951, dan kebanyakkannya telah hilang ditelan sejarah. Sebuah unit Vincent White Shadow muncul untuk dilelong di Bonham’s Auction House pada 2009, tetapi hanya sedikit maklumat yang diperoleh berkenaan motosikal keluaran Vincent yang paling ‘rare‘ ini.

    Mengikut laporan autoevolution, sebuah Vincent White Shadow muncul lagi dalam senarai lelongan di Bonham untuk pertunjukan motosikal di Las Vegas Januari lalu. Apa yang menarik lagi berkenaan motosikal tersebut, ia tidak dicat dengan warna hitam atau putih seperti unit yang lain dalam sirinya, sebaliknya hadir dengan warna merah.

    Hanya motosikal touring Vincent Rapide yang hadir dengan warna merah Chinese asli dari kilang, dan bagaimana White Shadow ini dicat dengan warna tersebut masih kekal misteri. Warna tersebut terserlah ketika pemiliknya ingin melakukan proses restorasi dan menjumpai bahagian celah sepit udang galangnya dicat dengan warna merah.

    Sistem pencucuhan motorsikal ini telah ditingkat taraf dengan penggunaan sistem pencucuhan elektronik, begitu juga dengan penggunaan karburator Amal Mk II, nilai keaslian Vincent White Shadow Series ‘C’ ini telah disahkan oleh Kelab Pemilik Vincent. Lelongan di Las Vegas pada Januari lalu itu juga menyaksikan motosikal ini dijual pada harga USD434,000 (RM1,750,000).

     
     
  • Kia Sorento generasi ketiga akan tiba di M’sia Mei ini

    Kia-Sorento-Drive-Jordan-21

    Setelah sekian lama menantikan ketibaannya, akhirnya Kia Sorento generasi ketiga dikhabarkan bakal tiba di pasaran Malaysia pada Mei 2016. Sumber dari Kia Malaysia memberitahu, SUV tujuh-tempat duduk ini akan didatangkan dengan dua pilihan iaitu diesel 2.2L dan petrol 2.4L, dengan jumlah tiga varian kesemuanya.

    Nampak gayanya ia menjadi berita yang memberangsangkan, memandangkan generasi sebelum ini iaitu Sorento XM hanya ditawarkan dengan satu varian enjin petrol sahaja di Malaysia, iaitu 2.2 liter ‘R’ diesel.

    Bagi varian terbaharu ini, dengan dua pilihan enjin dan tiga varian yang bakal ditawarkan, kami jangka ia adalah spesifikasi standard petrol, spesifikasi tinggi petrol dan spesifikasi tinggi diesel bagi pasaran Malaysia.

    Sorento UM telah diperkenalkan di peringkat domestik pada Ogos 2014. Wakil Paultan.org telah pun memandu ujinya di Jordan. Dan pastinya varian 2.4L petrol menjadi pilihan, tetapi jika ia dikaitkan dengan soal harga, mungkin ia agak tinggi sedikit.

    Dan jika Sorento nampak begitu besar seperti dalam gambar ini, ya ia memang besar. Jika bagi kami model semasa Santa Fe cukup besar berbanding kesemua SUV dalam segmen-C, nampak gayanya ia bakal ditewaskan oleh Sorento ini jika membabitkan saiz ukurannya. Nantikan perincian lanjut dari kami dari masa ke masa.

     
     
  • Pembinaan trak pikap Mercedes-Benz fokuskan gabungan kegunaan untuk bekerja dan bermain

    mercedes-benz-pickup_BM

    Trak pikap Mercedez-Benz (diasaskan dari Nissan Navara NP300) yang bakal dikenali dengan nama X-Class atau Z-Class, akan hadir dengan bentuk yang memfokuskan penggunaan untuk tujuan kerja dan gaya hidup, lapor CarAdvice.

    “Ia akan hadir dengan versi yang lebih kepada penggunaan komersil dan versi yang lebih kepada penggunaan individu seperti kereta penumpang,” kata Ola Kallenius, ahli lembaga pengurusan Daimler AG, pemasaran dan jualan Mercedes-Benz Cars. Tambah beliau, “anda akan mendapat versi yang lebih berorientasikan kenderaan komersil daripadanya, kepada sesuatu yang lebih bersifat individual.”

    Trak pikap ini akan dibina oleh pihak divisi van Mercedes-Benz tetapi untuk pasaran seperti Australia, ia akan dijual melalui pengedar kereta penumpang, menurut Kallenius. Ia akan dilengkapi dengan ciri-ciri menarik sebuah Merc, termasuk kemasan mewah dan berkualiti tinggi, di mana AMG line mungkin akan hadir bersama.

    CEO Mercedes-AMG, Tobias Moers sebelum ini berkata, “setakat ini kami telah berbincang berkenaan pakej iaitu pakej roda, pakej ‘line’ dan kosmetik. Selepas itu kami berbincang dengan lebih terperinci untuk membuat versi AMG terhadap kereta berkenaan. Sehingga sekarang masih lagi tiada perancangan untuk melakukannya”

    Ini bermaksud versi AMG sama ada 43 Sport atau 63 AMG dengan enjin V8 adalah tidak mungkin, kerana tiada potensi dalam pasaran. “Saya rasa potensi pasaran tiada disitu. Dan juga dengan kesukaran, dan struktur projek yang mencabar, bersama Nissan dan yang lain – tidak. Tidak mengatakan ia tidak, tetapi buat masa sekarang, tidak,” jelas Moers.

    Sementara itu, Kallenius turut menambah, “Saya tidak mengatakan ia berada diatas senarai untuk AMG, kerana segmen trak pikap tidak perlu dikaitkan dengan kereta berprestasi tinggi untuk kegunaan litar. Ia adalah tidak mungkin.”

    Untuk pasaran, Mercedes-Benz akan menghantar trak tersebut ke Amerika Selatan, Afrika, Australia dan sebahagian dari Eropah. Ia tidak akan diperkenalkan ke pasaran Amerika Syarikat kerana bersaiz agak kecil untuk pasaran tersebut. Kallenius enggan untuk memberikan perincian yang lebih dalam berkenaan trak tersebut, tetapi beliau menjelaskan model tersebut akan menerapkan falsafah Mercedes-Benz dalam soal keselamatan.

    “Jika anda berbicara berkenaan SUV, sememangnya SUV ini mempunyai standard yang sama seperti kereta penumpang kami,” kata beliau. Pengenalan rasmi trak ini adalah dijangkakan pada 2019, tetapi sebelum itu, imej awalan mungkin boleh dilihat dalam masa 12-18 bulan akan datang.

    GALERI: Spyshot Mercedes-Benz X Class

     
     
  • GALERI: Suzuki Ertiga Dreza kini dijual di Thailand

    Suzuki_Ertiga_Dreza-2

    Suzuki Ertiga facelift telah pun dilancarkan di Thailand bulan lalu, yang turut menampilkan varian Dreza. Malah ia turut dipamerkan dalam Bangkok Motor Show 2016 baru-baru ini.

    Secara mekanikalnya, Dreza ada persamaan dengan Ertiga biasa, tetapi ia tampil dengan imej sedikit berbeza tetapi bahagian hadapannya tidak begitu kontra dengan Ertiga standard. Lampu utama besarnya tidak berubah, tetapi Dreza juga turut ditampilkan dengan gril besar dan corong udara yang lebar di bahagian bawah, kedua-duanya dilingkari kekemasan krom dan berbentuk-U. Ia juga ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED.

    Pada bahagian belakangnya pula, Dreza ditampilkan dengan bampar dan wing yang unik, serta rim yang mempunyai rekaan lebih rugged. Malah badan Dreza juga disaluti warna eksklusif Pearl Twilight Violet.

    Suzuki_Ertiga_Dreza-12

    Diimport dari Indonesia, Ertiga dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan 92 PS dan tork 130 Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan – tiada manual untuk Thailand.

    Kit tambahan bagi Dreza termasuklah butang kawalan audio pada roda stereng, dua speaker ekstra (tweeter), tempat duduk dua-tona (kuning langsat-kelabu berbanding sepenuhnya kuning langsat), pelarasan ketinggian untuk tempat duduk pemandu, kekemasan kayuan, pemegang pintu krom, meter suhu luar dan cermin sisi boleh laras dengan indikator isyarat.

    Dua beg udara sebagai standard, dengan ABS dan EBD untuk Dreza, ia dijual pada harga 715,000 baht (RM81,150) di Thailand, 60,000 baht (RM6,809) lebih mahal berbanding Ertiga GL.

    Suzuki_Ertiga_Dreza-19

    Ertiga juga akan dilancarkan di Malaysia pada tahun ini dengan lambang Proton, iaitu hasil kerjasama antara Proton dan Suzuki. Proton telah mengumumkan model kerjasama pertama Proton-Suzuki akan memasuki produksi sebelum akhir 2016.

    Pada Januari lalu, telah disahkan Ertiga bakal dieksport ke Malaysia dari Indonesia, dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016. Produksi bagi pemasangan ini pula akan bermula pada Mei ini dengan jumlah sasaran sebanyak 1,500 unit sebulan. Di Indonesia, Suzuki turut rebadged Ertiga untuk Mazda yang dipanggil VX-1.

    Baca artikel penuh “Proton Ertiga” di sini.

    GALERI : Suzuki Ertiga Facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Nissan hanya tumpu pada pengeluaran GT-R dan Z, tiada produksi ‘Datsun 510 SSS’ generasi baharu

    nissan-idx-concept

    Kereta konsep Nissan IDx Freeflow dan Nissan IDx Nismo yang direka berinspirasikan Datsun Bluebird 510 SSS merupakan kereta konsep yang sangat mengujakan. Kereta yang direka dengan pacuan roda belakang dan dijana dengan enjin berkuasa turbo tersebut sememangnya dinantikan oleh peminat lagenda Datsun untuk keluar sebagai versi produksi dan bersaing dengan Toyota 86 serta Mazda MX-5 selepas kemunculan sulungnya di Tokyo 2013.

    Tetapi nampaknya impian tersebut tidak akan terlaksana. Pihak atasan Nissan memberitahu Auto Express di New York International Auto Show (NYIAS) 2016, Nissan akan terus memproduksi supercar GT-R dan kereta Sport Fairlady Z berikutan ramai pelanggan tetap untuk dua model ini, tetapi rancangan untuk membawa kereta sport yang lebih kecil dalam barisan kereta berprestasi tinggi Nissan telah pun ditamatkan buat masa sekarang.

    Naib Presiden senior dan ketua pegawai kreatif Nissan, Shiro Nakamura berkata, dinding penghalang terbesar untuk menjalankan projek tersebut adalah berkenaan kos berkaitan pembangunan platfom baharu. “Anda memerlukan platform yang betul-betul bagus, kerana ia perlulah ringan, kecil dan mampu milik. Realitinya ia tidak mudah untuk dicari. Ia juga perlu pacuan roda belakang – jika kami membinanya dengan pacuan roda hadapan, itu adalah penipuan. Ia mahal dan kami sedang bergelut,” kata beliau.

    “Kami perlu memperbaharui strategi semua platform dalam syarikat. Jika kami menjumpai cara untuk mengeluarkan sesuatu yang mampu milik dan ringan, kami boleh membawanya kembali. Industri hari ini adalah berkenaan strategi platform – pada masa lalu ia tidak sebegini,” tambah beliau.

    Apabila ditanya berkenaan platform kereta sport Renault Alpine akan datang, Nakamura menolak idea tersebut. “Kami bukan pengeluar kereta berenjin tengah – kami tidak mempunyai warisan yang sama seperti Alpine,” kata beliau.

    Walau bagaimanapun, nama “GT-R” dan “Z” adalah kekal “selamanya” dalam produksi kereta sport Nissan. Naib Presiden korporat untuk strategi produk Nissan, Keno Kato memberitahu Auto Express, ketika syarikat sedang memfokuskan untuk menerajui teknologi kenderaan elektrik, ia masih perlu menghasilkan kereta sport seperti GT-R (yang keluar dengan versi facelift di NYIAS 2016) dan 370Z dalam barisan produksi – seperti juga Porsche dan Chevrolet yang masih lagi menghasilkan 911 dan Corvette walaupun kedua-dua jenama tersebut mendapat pulangan yang besar dalam penghasilan SUV.

     
     
  • Toyota Sienta MPV 2016 – spesifikasi Indonesia bocor

    Toyota-Sienta-1-e1456204801483

    Spesifikasi untuk Toyota Sienta 2016 pemasangan Indonesia telah pun bocor dan disiarkan menerusi portal AutonetMagz, sebelum ia dipamerkan di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016 minggu hadapan. Ada perkhabaran turut mengatakan model pemasangan Indonesia ini adalah bagi pasaran Asia kerana ia memiliki perbezaan komponen berbanding dengan versi pasaran Jepun.

    Sienta memiliki empat varian iaitu E, G, V dan Q. Kesemua model menerima padanan enjin baharu 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i (sama seperti Avanza facelift) yang mampu memberikan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Ia berbeza berbanding model JDM, yang dipadankan dengan enjin 2NR-FKE 1.5 liter VVT-iE Atkinson-cycle dengan kuasa 109 hp/136 Nm, dan juga pilihan varian hibrid dengan enjin 1NZ-FXE 1.5 liter Atkinson-cycle (74 hp/111 Nm).

    Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual atau Transmisi boleh laras berterusan (CVT). Namun model asas E hanya dipadankan dengan kotak gear manual sahaja, manakala varian spesifikasi tertinggi iaitu Q eksklusif hanya CVT.

    IMG_20160326_150154

    Sebagai standard, Sienta turut didatangkan dengan lampu utama projektor halogen dan roda keluli 15-inci dengan penutup plastik, pintu gelongsor manual, penghawa dingin manual, unit utama double-DIN dengan sambungan USB, AUX-in dan pemain CD/MP3, skim warna dalaman putih dan kuning cair di bahagian dalam kabin.

    Namun bagi varian G, ia turut didatangkan dengan lampu kabus, rim aloi, pintu gelongsor elektrik, pengesan parkir, immobiliser dan sistem hiburan skrin sesentuh 5.6-inci dengan Bluetooth, Miracast dan Air Gesture. Manakala bagi varian V pula, ia dipadankan dengan sistem penghawa dingin digital dengan corong di tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan pintu gelongsor elektrik.

    Varian paling mahal iaitu Q pula dipadankan dengan lampu utama bi-LED larasan sendiri, aloi dua-tona, paparan pelbagai-info TFT 4.2-inci dan tempat duduk berwarna coklat gelap. Dan dijangka Sienta 1.5Q adalah lebih mahal berbanding Innova Q di Indonesia.

    Bagi aspek keselamatan, ia didatangkan dengan dua beg udara dan ABS dengan EBD serta bantuan brek untuk semua varian. Tidak seperti model JDM, varian Indonesia tidak disertakan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA), juga tiada beg udara sisi dan tirai. Malah varian Indonesia juga tidak didatangkan dengan pilihan bantuan pemanduan Safety Sense C yang mengandungi sistem Brek Pra-pelanggaran, Kepekaan Pelencongan Jalan (Lane Departure Alert) dan Lampu Tinggi Automatik.

    Toyota Sienta akan dipadang di kilang baharu PT Toyota Motor Manufacturing, Factory II di Karawang, Jawa Barat untuk pasaran Asia. Dianggarkan sebanyak 25,000 unit bakal dipasang dan 80% daripadanya adalah untuk pasaran domestik dan selebihnya bagi eksport. Toyota Sienta juga dikhabarkan akan dilancarkan di Malaysia pada Ogos ini dan iklan jualan yang dipaparkan dalam talian menyebut harganya bermula sekitar RM90,000.

     
     
  • Tanda dagangan Honda UR-V didaftarkan di China

    2016-honda-concept-d-ur-v-trademark-1_BM

    Honda telah mendaftarkan tanda dagangan untuk nama “UR-V” di China. Menurut laporan autohome, tanda dagangan tersebut adalah untuk SUV terulung dalam barisan SUV Honda, dibina khas untuk pasaran China oleh kerjasama Guangzhou-Honda.

    Laporan tersebut juga mendakwa Honda UR-V akan mula dijual seawal suku keempat tahun 2016, selepas SUV ini membuat penampilan sulung di Beijing Auto Show kelak. Model ini dikatakan diasaskan dari SUV Concept D yang dipamerkan di Shanghai Auto Show tahun lalu.

    Tetapi dengan ‘spyshot‘ Honda URV ini yang dijumpai di Sepanyol, nampaknya versi produksi SUV tersebut tidak membawa rekaan radikal yang ditampilkan pada Concept D. Honda UR-V bakal dilengkapi dengan tiga barisan tempat duduk dan juga ciri-ciri terkini dari Honda seperti sistem Honda Sensing untuk sistem keselematan aktif SUV ini.

    honda-concept-d-e1429519713492_BM

    SUV ini juga dilaporkan akan dikuasakan dengan enjin petrol 2.0 liter dan 2.4 liter, dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik memacu roda hadapan. Spesifikasi tertinggi mungkin akan dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda. Autohome juga melaporkan UR-V bakal dijual dengan harga bermula 250,000 yuan (RM155k) hingga 425,000 yuan (RM263k).

    Terdapat dua lagi nama yang disenaraikan oleh Honda untuk didaftarkan tanda dagangannya iaitu WR-V dan CD-X. WR-V adalah sebuah crossover yang dibina dari platform Jazz tetapi berbeza dari HR-V yang diasaskan dari platform yang sama. Sementara CD-X pula ialah crossover Acura yang disadur terus dari HR-V, dikhabarkan akan menjengah pasaran pada tahun 2017 atau 2018.

    Galeri: Spyshot Honda UR-V di Sepanyol

    GALERI: Honda Concept D SUV

     
     
  • Polis Trafik KL nekad hapuskan aktiviti mat rempit

    2015-mat-rempit-3-e1444095369383_BM

    Polis Trafik Kuala Lumpur berazam untuk menghapuskan aktiviti mat rempit hingga ke akar umbi. Menurut Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ASP Mohd Nadzri Hussain, pihaknya akan melaksanakan pelbagai strategi termasuk penubuhan pasukan pengawasan khas, “Unit 42” yang dilancarkan untuk menjamin kesejahteraan orang awam di jalan raya, laporan theSun.

    “Mat Rempit bukanlah perkara yang baharu. Sebelum ini aktiviti mereka cuma lumba haram, tapi kini makin ramai di antara mereka yang terlibat dengan jenayah lain termasuk pecah cermin kereta.

    “Dengan adanya “Unit 42” yang ditubuhkan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemanduan berbahaya dan melulu, mereka yang ditahan atas kesalahan ini akan dipastikan menerima hukuman yang setimpal, ujar Mohd Nadzri.

    Beliau turut berkata, pasukan itu disertai 20 orang pakar dari unit khas polis trafik untuk menjejaki samseng jalanan ini.

    “Pasukan ini akan berpakaian biasa dan melakukan pemantauan di jalan raya dan akan melakukan tigas-tugas penyamaran bagi mendapatkan informasi.

    PG01_040114_MAT REMPIT

    “Sesetengah Mat Rempit datangnya dari daerah seperti Kajang, Serdang dan banyak lagi dan mereka akan berkumpul pada malam minggu dan cuti umum untuk melakukan aktiviti mereka. Kami tahu di mana lokasi mereka berkumpul dan akan menggempur kawasan terbabit,” tambahnya lagi.

    Menurut Mohd Nadzri, Mat Rempit merujuk pada individu yang sering menunggang motosikal secara berbahaya di jalan raya tetapi tidak semuanya terbabit dengan jenayah. Walau bagaimana pun, beliau tidak menolak kemungkinan, segelintir Mat Rempit apabila berkumpul, boleh mendorong mereka melakukan jenayah termasuk kes ragut.

    Mengikut rekod, pada tahun 2015, seramai 222 penunggang motosikal telah ditahan di sekitar kawasan bandar dan didakwa di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya. Manakala 223 penunggang ditahan di bawah akta yang sama pada tahun 2014 dan 220 pada tahun 2013.

    “Pada tahun 2015 sahaja, Polis Trafik KL telah mengeluarkan sebanyak 21,719 saman trafik untuk penunggang motosikal dalam 351 operasi. Di mana 222 penunggang motosikal telah ditahan atas kesalahan menunggang secara berbahaya,” ujar Mohd Nadzri.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025