Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW X5 xDrive50e M Sport 2024 di Malaysia – 489 hp, gerak elektrik 110 km, RM528k OTR tanpa insurans

    BMW X5 xDrive50e M Sport 2024 di Malaysia – 489 hp,  gerak elektrik 110 km, RM528k OTR tanpa insurans

    BMW Malaysia telah mengumumkan harga rasmi bagi BMW X5 xDrive50e M Sport G05 2024 di Malaysia, dan SUV plug-in hybrid ini ditawarkan pada harga asas RM486,800, dengan BMW Service & Repair Inclusive termasuk waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis dengan kos tambahan RM41,300 dan menjadikan keseluruhannya RM528,100 atas jalan (OTR) tanpa insurans.

    Sebagai perbandingan, model semasa X5 xDrive45e M Sport berharga dari RM456,620 (RM497,920 dengan waranti lanjutan dan pakej servis) setakat Januari 2024. Dipertontonkan di Malaysia baru-baru ini, varian tunggal xDrive50e M Sport, telah pun berada di pasaran, dengan penjana kuasa petrol-elektrik plug-in hybrid yang dipertingkatkan.

    SUV plug-in hybrid ini dikuasakan oleh enjin petrol 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 308 hp pada 5,000 rpm dan tork 450 Nm pada 1,750 rpm. Ia jua digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 194 hp dan tork 280 Nm yang dijanakan bateri lithium-ion berkapasiti 25.7 kWh. Bersama dengan sistem output mencecah 489 hp rpm iaitu 96 hp lebih tinggi berbanding model terdahulu, juga dengan tork yang lebih tinggi kini berjumlah 700 Nm.

    Sekaligus ia mampu dipecut dalam masa 4.8 saat bagi 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 250 km/j. Ia turut dibekalkan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda (AWD).

    Dengan motor elektrik yang dinaiktaraf, X5 xDrive50e M baharu ini mampu bergerak dengan pacuan elektrik sejauh 110 km (mengikut kitaran WLTP). Di samping penambahbaikan sebanyak 7.4 kW bagi aspek pengecasan, jentera ini hanya mengambil masa sekitar 4.5 jam untuk mencecah status 0-100% dengan menggunakan pengecas AC Type 2.

    BMW X5 xDrive50e M baharu ini yang didatangkan dengan pakej M Sport secara standard, turut menerima kemaskini gril kidney dengan pencahayaan BMW Iconic Glow LED bersama rekaan baharu lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) bersama rekaan X yang bergaya. Melengkapkan lagi gayanya, ia juga diberikan roda aloi ringan V-Spoke 915 M Bi-colour bersaiz 21-inci.

    Untuk bahagian kabinnya, BMW X5 xDrive50e M Sport 2024 ditampilkan dengan BMW Curved Display 14.9-inci bersama kluster paparan digital penuh yang sedia untuk diakses oleh pemandu, kini turut memuatkan BMW Operating System 8.5. Ia termasuk BMW Live Cockpit Professional dan panel instrumen BMW yang menyokong pelbagai kaedah interaksi di antara pengguna dan kenderaan ini, iaitu melalui iDrive Controller, suara, sentuhan atau dengan menggunakan Gesture Control.

    Selain itu, ia juga diberikan Light Bar dengan struktur permukaan berhablur, serta sistem bunyi keliling Harman Kardon yang turut didatangkan secara standard. Konsol sentral di dalam BMW X5 xDrive50e M Sport baharu juga kini menampilkan tata atur baharu serta butang fungsi sentuh tambahan, dan penukaran gear kini dibuat dengan suis jumpelang (rocker switch).

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan meliputi BMW Comfort Access, Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional. Ciri keselamatan lain termasuk lapan beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan, sistem info titik buta, Isofix, sistem brek kecemasan, bantuan kekal lorong, dan amaran pelanggaran.

    Untuk warna luarannya, BMW X5 xDrive50e M Sport hadir dengan pilihan Black Sapphire, Manhattan Green, Mineral White, dan Skyscraper Grey. Manakala pilihan bagi upholsteri dalaman dengan pilihan kulit Merino warna hitam dan Tartufo.

    Sekali lagi, BMW X5 xDrive50e M Sport baharu ditawarkan dengan harga atas jalan RM486,800, bersama BMW Service & Repair Inclusive termasuk waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis dengan kos tambahan RM41,300 dan menjadikan keseluruhannya RM528,100 atas jalan (OTR) tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan Bantuan Tepi Jalan dan Talian Kemalangan oleh BMW .

     
     
  • Volkswagen Golf R Mk8 facelift 2024 mula ditunjuk

    Volkswagen Golf R Mk8 facelift 2024 mula ditunjuk

    Seminggu selepas model generasi kelapan Volkswagen Golf diperkenalkan, varia paling tinggi R pula didedahkan ketika acara Zell am See di Austria, dengan visual luaran ’50 Years of Golf’.

    Bakal membuat penampilan rasmi sulung pada pertengahan 2024 nanti, varian ini akan menyertai varian R-Line, GTI dan GTE yang telah dipertontonkan ketika pengenalan barisan model facelift yang ditandai sebagai Mk8.5 sebelum ini. Golf R Mk8.5 akan turut menampilkan lampu utama LED matrix generasi baru (pilihan untuk varian lain) serta lencana Volkswagen bercahaya.

    Di dalam, Golf R facelift ini dijangka akan mengikuti jejal varian yang lain itu, yang telah menerima naik taraf dengan menampilkan butang fizikal di stereng dan bukan lagi butang sentuhan seperti model sebelumnya. Sistem infotainmen modular generasi keempat yang kini melengkapi Golf turut akan disediakan untuk Golf R Mk8.5.

    Spesifikasi teknikal model ini masih belum didedahkan, tetapi boleh dijangkakan yang varian R ini akan menerima enjin 2.0 liter turbocas petril empat-silinder baru yang kini hadir dengan kerahan kuasa 261 hp untuk GTI (naik daripada 245 hp) dan 370 Nm seperti yang digunakan pada model Mk8 sebelumnya.

    Untuk R, janaan tersebut dijangka akan dipertingkat daripada 320 PS dan 420 Nm seperti yang pernah ditawarkan untuk model R Mk9 (400 Nm untuk pasaran Malaysia), dengan sistem pacuan semua roda dan juga transmisi DSG seperti lazimnya.

    Dengan model akan datang sudah ditunjukkan dalam rekaaan hatchback lima-pintu, versi estate juga pernah dilihat untuk varian Golf R ini. Barisan model ini akan menjadi versi Golf R terakhir dengan janaan enjin petrol, sebelum pengeluarnya beralih kepada versi elektrik untuk model R menjelang 2030.

     
     
  • Penunggang p-hailing serah memorandum kepada UMNO, desak Grab pertimbang potongan kadar asas

    Penunggang p-hailing serah memorandum kepada UMNO, desak Grab pertimbang potongan kadar asas

    Awal bulan ini, Grab dengan mengumumkan penstrukturan semula bagi bonus dan kadar bayaran asas untuk penunggang p-hailing termasuk penghantar makanan dan barangan. Walau pun syarikat terbabit berkata, perubahan tersebut adalah adil, namun kebanyakan penunggang p-hailing tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana ia disifatkan boleh menjejaskan mata pencarian mereka kerana kadar asas dikurangkan.

    Susulan dengan protes yang dilakukan oleh penunggang p-hailing selepas pengumuman tersebut dibuat, persatuan penunggang p-hailing Malaysia telah menyerahkan memorandum mepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahir Hamidi, yang mendesak supaya Grab Malaysia mempertimbangkan semula kadar penghantaran makanan dan barangan, laporan Malay Mail.

    Timbalan presiden persatuan terbabit, Abdul Hakim Abdul Rani melahirkan kebimbangan mengenai pengurangan kadar asas baru-baru ini, dengan mengatakan ia akan memberi kesan terutamanya kepada penunggang perkhidmatan penghantaran makanan.

    Penunggang p-hailing serah memorandum kepada UMNO, desak Grab pertimbang potongan kadar asas

    “Ini telah menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan penghantaran Grab Food Malaysia kerana syarikat itu telah beralih daripada skim kadar tetap kepada sistem insentif dan bonus mingguan. Sebelum ini di Lembah Klang, bayaran perkhidmatan asas pengambilan dan penghantaran makanan ialah RM5, tetapi kini diturunkan kepada RM4,” katanya.

    Tambahnya, penunggang p-hailing tidak lagi mempercayai insentif dan bonus kerana syarikat melihatnya sebagai faedah sementara yang mungkin dipotong, meletakkan penunggang dalam situasi yang sukar. Katanya lagi, terdapat harapan tinggi dalam kalangan rakan penghantaran Grab Food bahawa keputusan untuk mengurangkan kadar asas tidak akan dilaksanakan.

    Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno, di mana Timbalan Menteri akan membuat penelitian tentangnya.

     
     
  • Modenas Ninja ZX-25R SE ditawarkan dalam warna baru – kelengkapan masih sama, harga RM33,900

    Modenas Ninja ZX-25R SE ditawarkan dalam warna baru – kelengkapan masih sama, harga RM33,900

    Modenas Ninja ZX-25R SE yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan September tahun lepas kini ditawarkan dalam warna baru Metallic Phantom Silver X Ebony (Stormcloud Blue). Ia adalah sebagai pengganti kepada warna hitam matte sebelum ini, sementara warna hijau masih dikekalkan. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Modenas adalah RM33,900 tidak termasuk insurans.

    Selain warna, bahagian lain motosikal ini tidak berubah. ZX-25R SE dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 249.8 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan quickshifter, dan ia mampu menghasilkan kuasa 46 hp pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm.

    Versi SE yang tiba di pasaran Malaysia ini sebenarnya mempunyai senarai kelengkapan yang istimewa berbanding pasaran lain, di mana ia mendapat beberapa barang daripada versi RR iaitu fork Showa SFF-BP 37 mm dengan pelarasan pra beban serta pilihan warna hijau KRT. Di pasaran lain, dua perkara ini hanya disediakan untuk versi RR yang lebih tinggi.

    Modenas Ninja ZX-25R SE ditawarkan dalam warna baru – kelengkapan masih sama, harga RM33,900

    Membezakan versi SE pasaran Malaysia dengan versi RR cuma adalah monoshock belakang, di mana RR mendapat monoshock Showa BFRC yang bukan setakat boleh dilaras untuk pra beban, tetapi juga mampatan. Kemudiannya, RR juga datang dengan soket pengecas USB.

    Brek menggunakan unit cakera tunggal floating 310 mm berserta angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup dua piston di belakang. Turut disediakan adalah pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Berat keseluruhannya adalah 182 kg manakala tangki bahan api mempunyai kapasiti 15 liter.

    GALERI: Modenas Ninja ZX-25R SE

     
     
  • Polestar rancang kurangkan 15% tenaga kerja di seluruh dunia – gagal capai sasaran jualan tahun 2023

    Polestar rancang kurangkan 15% tenaga kerja di seluruh dunia – gagal capai sasaran jualan tahun 2023

    Pengeluar kenderaan elektrik, Polestar nampaknya berada dalam keadaan yang tidak berapa baik sekarang. Awal bulan ini, ia memberitahu tidak dapat mencapai sasaran jualan tahun 2023 disebabkan inflasi, permintaan rendah serta perang harga yang dicetuskan oleh Tesla dan pengeluar China seperti BYD.

    Sekarang, jenama yang dijadikan oleh Volvo dan Geely sebagai sebuah entiti berasingan pada tahun 2017 ini mengumumkan rancangan untuk mengurangkan sekitar 450 tenaga kerja sedunia – lapor Reuters. Pengurangan sehingga 15% tenaga kerja keseluruhan mereka ini dikatakan berlaku akibat “keadaan pasaran yang mencabar.”

    Pada tahun 2023, Polestar berjaya menyerahkan 54,600 kenderaan kepada pelanggan dan ini adalah peningkatan 6% berbanding tahun 2022. Walaubagaimanapun, pada tahun sebelum itu (2021), mereka menikmati peningkatan yang jauh lebih tinggi, iaitu 84%. Apa yang lebih penting, sasaran jualan 60,000 (dikurangkan daripada 80,000 asalnya) yang ditetapkan untuk tahun 2023 juga gagal dicapai.

    Polestar rancang kurangkan 15% tenaga kerja di seluruh dunia – gagal capai sasaran jualan tahun 2023

    November lalu, jenama dari Sweden ini membentangkan rancangan perniagaan yang dirombak semula, meletakkan sasaran untuk menyuntik dana US$1.3 bilion (RM6.15 bilion) supaya dapat pulang modal pada tahun 2025 dan mengurangkan kebergantungan kepada Volvo.

    “Sebagai sebahagian daripada rancangan ini, kami perlu melaras semula saiz operasi dan perniagaan secara keseluruhan. Ini melibatkan pengurangan perbelanjaan serta malangnya, juga jumlah pekerja,” lapor Reuters yang memetik kata-kata daripada salah seorang wakil Polestar.

    Sepanjang beberapa tahun lepas, banyak pengeluar kenderaan mengeluarkan amaran bahawa pertumbuhan yang dijangkakan untuk kenderaan elektrik (EV) adalah perlahan akibat permintaan rendah, potongan harga, subsidi rendah serta masalah rangkaian bekalan.

     
     
  • Toyota ramal EV hanya akan mencapai 30% jualan automotif global, Jepun tak boleh ikut telunjuk Barat

    Toyota ramal EV hanya akan mencapai 30% jualan automotif global, Jepun tak boleh ikut telunjuk Barat

    Ketika kebanyakkan pengeluar automotif mensasarkan untuk menjadi jenama yang hanya menjual kenderaan elektrik penuh (EV) menjelang tahun 2030, selari dengan usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penjualan kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman pada 2035, gergasi automotif Jepun iaitu Toyota pula meramalkan bahawa jualan EV hanya akan mencapai 30% dari keseluruhan jualan automotif global.

    Perkara ini disebutkan oleh pengerusi Toyota, Akio Toyoda dalam ucapannya kepada 200 orang pengurus korporat dan eksekutif syarikatnya di Jepun yang menghadiri mesyuarat agong ke-40 Institut Pengurusan Sistem Produksi Baharu (NPS) Toyota yang berlangsung pada 13 Januari lalu.

    Akio yang juga merupakan cucu kepada pengasas Toyota Motor Corporation serta pernah memegang jawatan presiden dan CEO Toyota sebelum ini menyatakan bahawa beliau percaya teknologi seperti hibrid, sel bahan api hidrogen dan juga enjin pembakaran dalaman yang menggunakan hidrogen akan mengusai 70% selebihnya pasaran itu.

    Menurutnya lagi bukan setiap negara akan melihat EV sebagai satu-satunya cara untuk mencapai neutraliti karbon, dan ia akan bergantung kepada situasi penghasilan tenaga negara tersebut.

    Toyota ramal EV hanya akan mencapai 30% jualan automotif global, Jepun tak boleh ikut telunjuk Barat

    “Walau bagaimanapun, satu bilion orang di seluruh dunia tinggal di kawasan tanpa bekalan elektrik. Dalam kes Toyota, kami turut membekalkan kenderaan kepada kawasan-kawasan ini, jadi [kenderaan elektrik bateri] tidak boleh dijadikan satu-satunya pilihan pengangkutan untuk semua orang. Sebab itulah saya akan menawarkan pelbagai pilihan dalam barisan model Toyota.

    “Tidak kira berapa banyak kemajuan yang dicapai oleh [kenderaan elektrik bateri], saya rasa ia hanya akan mempunyai bahagian pasaran sebanyak 30%. Manakala 70% selebihnya adalah [kenderaan hibrid-elektrik], [kenderaan sel bahan api], dan enjin hidrogen. Saya rasa kereta dengan [enjin pembakaran dalaman] akan kekal,” kata Akio.

    Dalam ucapan yang disiarkan oleh Toyota Times itu, Akio turut menyatakan bahawa beliau percaya perkara ini akan ditentukan oleh pengguna, dan bukan “nilai kawal selia atau kuasa politik”.

    “Jepun mempunyai caranya tersendiri untuk melakukan sesuatu perkara. Saya tak rasa jawapan yang betul adalah meniru apa yang Barat buat dalam semua perkara. Saya percaya jika kita terus dipilih oleh pasaran dan pengguna, masa hadapan sudah pastinya akan berubah,” tegas Akio Toyoda.

     
     
  • Beberapa jalan di KL ditutup pada 30 Jan sempena Istiadat Keberangkatan Balik YDP Agong ke-16

    Beberapa jalan di KL ditutup pada 30 Jan sempena Istiadat Keberangkatan Balik YDP Agong ke-16

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengumumkan sebanyak tujuh laluan di sekitar ibu negara akan terbabit dengan penutupan penuh manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat esok (30 Januari 2024) sempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah JSPT Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, jalan yang terbabit dengan penutupan penuh akan bermula pada jam 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama) dan Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen.

    Ia juga melibatkan Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching ke arah Bulatan Dato’ Onn, Jalan Salahudin ke arah Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching/Jalan Sultan Ismail ke arah Bulatan Dato’ Onn dan Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato’ Onn.

    Beberapa jalan di KL ditutup pada 30 Jan sempena Istiadat Keberangkatan Balik YDP Agong ke-16

    Manakala jalan yang terbabit dengan penutupan sementara mulai jam 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Damansara, Jalan Travers ke arah Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara), Jalan Sultan Hishamuddin ke arah Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin), Jalan Tun Sambathan ke arah Jalan Damansara, Jalan Syed Putra ke arah Jalan Istana, Jalan Dewan Bahasa ke arah Jalan Istana, Jalan Sungai Besi ke arah KL-Seremban Expressway, Lingkaran Tengah/ Jalan Connaught dari arah Lebuhraya Syed Putra.

    Selain itu, New Pantai Expressway (NPE) dari arah Pantai Dalam, Maju Expressway dari arah Tol Salak South, KESAS Highway dari arah Sungai Besi, KESAS Highway dari arah KL/Seremban Expressway dan SUKOM Interchange ke arah KESAS Highway juga akan terlibat dengan penutupan sementara ini.

    “Susulan itu, JSPT Kuala Lumpur akan menempatkan 91 kekuatan yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis pada hari berkenaan bagi mengawal lalu lintas agar istiadat dapat berlangsung dengan jayanya.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui laluan yang terbabit dengan penutupan penuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi,” katanya.

     
     
  • Polis siasat kes anggota trafik ‘tawar diskaun saman’ di lokasi dari pasangan UK yang jelajah Malaysia

    Polis siasat kes anggota trafik ‘tawar diskaun saman’ di lokasi dari pasangan UK yang jelajah Malaysia

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan kenyataan berhubung satu video viral yang memaparkan seorang anggota polis trafik kelihatan ‘menawarkan diskaun saman’ terhadap pasangan dari United Kingdom yang ditahan atas kesalahan memandu melebihi had laju.

    Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular menerusi platform Youtube Tread the Globe mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun bayaran saman di lokasi kejadian ke atas pasangan berkenaan yang sedang jelalah Malaysia dengan menggunakan camper van.

    “Pihak JSPT sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi dengan sebarang tingkahlaku oleh mana-mana anggota dan pegawai terlibat. JSPT turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat dan kepada sesiapa yang mempunyai info mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” kata Mohd Azman menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Polis siasat kes anggota trafik ‘tawar diskaun saman’ di lokasi dari pasangan UK yang jelajah Malaysia

    Menerusi video tular berkenaan, kelihatan seorang anggota trafik mendakwa pasangan terbabit memandu selaju 80 km/j sementara had laju di laluan berkenaan hanyalah 60 km/j lalu mengeluarkan saman. Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 sahaja jika dibayar secara terus kepada dirinya tanpa perlu ke balai polis.

    Selepas ‘membayar’ saman terbabit, kelihatan pasangan UK berkenaan agak keliru dengan ‘tindakan memandu melebihi had laju berkenaan. Walau bagaimana pun, mereka berpendapat mungkin dengan ‘membayar saman secara terus’ dengan anggota terbabit, kadar saman lebih rendah berbanding jika dibayar di balai polis. “Great option,” kata mereka.

    Apa pun, biarlah pihak JSPT yang melakukan siasatan dan menentukan sebarang tindakan. Tetapi dengan adanya kamera papan pemuka atau dashcam di dalam kenderaan kini amat penting kerana ia juga boleh dijadikan bahan bukti untuk apa jua kejadian.

     
     
  • Ducati Streetfighter V4 Lamborghini – dua unit model edisi terhad tiba di Malaysia, harga jualan RM460,900

    Ducati Streetfighter V4 Lamborghini – dua unit model edisi terhad tiba di Malaysia, harga jualan RM460,900

    Model istimewa keluaran terhad, Ducati Streetfighter V4 Lamborghini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan dijual pada harga RM460,900 tidak termasuk insurans. Daripada 693 unit (630 biasa dan 63 Speciale Clienti) yang dikeluarkan untuk seluruh dunia, dua unit tiba di Malaysia, dengan satu daripadanya sudah diserahkan kepada pelanggan pertama.

    Menjadikan model ini istimewa adalah ia menggunakan konsep rekaan inspirasi daripada Lamborghini Huracan STO, dan boleh dilihat bermula daripada grafik serta warna, dan juga panel badan termasuk pada fender hadapan, panel belakang, tepi dan juga atas tangki. Malahan, gentian karbon yang digunakan pada beberapa bahagian juga mengikuti corak gentian pada supercar itu.

    Tidak terhenti di situ, rim forged pada model ini juga menggunakan rekaan khas inspirasi daripada Lamborghini Huracan STO, dan ia kemudiannya dipertingkat dengan nat tayar belakang titanium. Tempat duduk dibalut dengan kulit Alcantara.

    Di atas tangki bahan api motosikal ini terdapat satu plat khas yang menunjukkan nombor keluarannya, dan ia juga terukir pada kunci serta terpapar pada skrin TFT bersama animasi khas jenama Ducati dan Lamborghini apabila motosikal dihidupkan.

    Tiada peningkatan ketara pada enjin empat silinder V Stradale 1,103 cc Streetfighter V4 Lamborghini ini, dan ia masih menghasilkan 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm, tetapi datang terus dengan klac kering dan ekzos titanium Akrapovic.


    GALERI: Ducati Streetfighter V4 Lamborghini

     
     
  • Pemandu Toyota Camry halang Ambulans sudah ditahan polis; ada masalah mental, dirawat di HKL

    Pemandu Toyota Camry halang Ambulans sudah ditahan polis; ada masalah mental, dirawat di HKL

    Susulan video tular sebuah Toyota Camry yang menghalang perjalanan sebuah Ambulans di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru sahaja mengumumkan bahawa pemandu kereta tersebut telah pun di tahan.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, selepas pemandu Ambulans membuat laporan polis, pihaknya sudah pun mengesan pemandu Toyota Camry tersebut yang merupakan seorang wanita berumur 41 tahun serta disahkan mengalami masalah psiakitri.

    Beliau juga menyatakan bahawa pemandu Camry berkenaan sudahpun dibawa ke Balai Polis Trafik bagi tujuan siasatan. Namun selepas itu dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan rawatan serta mendapatkan laporan perubatan selepas didapati menghadapi masalah psikiatri.

    Dalam kenyataan yang sama Sarifudin turut memperincikan kejadian tersebut yang sebenarnya berlaku pada jam 5.35 petang, 25 Januari 2024 di Jalan Lingkaran Tengah II ( MRR2 ) dari arah Lotus Ampang menghala ke Hotel Flamingo.

    Ambulan berkenaan datang dari arah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menghala ke Ulu Kelang memasang siren untuk penugasan kecemasan kerana sedang membawa pesakit, sebelum tiba-tiba di halang oleh Toyota Camry tersebut.

    Sarifudin menjelaskan bahawa kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis berhampiran.

     
     
  • Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Trak pikap elektrik, Maxus T90 yang sebelum ini pernah dipertontonkan sekali dengan pelancaran Maxus MIFA 9 kini sudah mula berada di atas jalan Malaysia. Bagaimanapun, ia belum lagi dijual kepada awam, tetapi digunakan oleh Tenaga Nasional sebagai sebahagian daripada projek perintis awal.

    Jumlah kesebenar T90 yang digunakan oleh Tenaga Nasional tidak diketahui tetapi melihat kepada gambar, sekurang-kurangnya ada 25 unit yang sudah lengkap dengan grafik khas syarikat utiliti elektrik tersebut.

    Untuk pasaran awam, sebelum ini pernah didedahkan bahawa pelancaran trak pikap elektrik ini akan dibuat pada hujung tahun 2023, ataupun suku pertama 2024. Ini membawa makna, ia akan berlaku tidak lama lagi.

    Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Harga juga masih tidak diketahui, tetapi jangkaan awal menyatakan ia akan berada dalam sekitar RM220k ke RM260k. Untuk varian pula, setakat yang kami tahu, hanya satu akan ditawarkan di negara kita, dengan spesifikasi hampir seperti yang dipasarkan di Australia (dikenali sebagai LDV eT60) dan United Kingdom.

    Melihat kepada rekaan, T90 EV ini sama sahaja seperti T90 dengan enjin diesel, tetapi penggeraknya ditukar kepada motor elektrik terletak di belakang, dengan kuasa 174 hp (177 PS, atau 130 kW) dan tork 310 Nm. Bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 88.55 kWh pada trak ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 330 km (WLTP).

    Untuk pengecasan, trak pikap tersebut boleh menerima input AC sehingga 11 kW, dengan kadar bateri naik 5-100% dalam masa sembilan jam (three-phase) atau 13 jam (single-phase). Menggunakan pengecas pantas DC 80 kW pula akan menaikkan tahap bateri dari 20 ke 80% dalam masa cuma 45 minit.

    Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Kelengkapan di bahagian luar yang ada pada trak pikap ini adalah termasuk lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, lampu kabus belakang dan rim 17 inci, manakala di dalam pula terdapat sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci, skrin informasi tambahan di antara meter digital di panel instrumen serta pemilih gear jenis tombol.

    Turut diberi adalah tempat duduk dibalut kulit tiruan, pengawal pendingin hawa manual, brek tangan biasa, pemilih mod pemanduan (Power dan Eco) serta soket AC tiga pin 220-volt/150-watt. Berkenaan sistem keselamatan dan bantuan pemandu, T90 EV datang dengan kamera undur, enam beg udara, pengesan jarak belakang, ESP, kawalan cengkaman, pengawal dinamik kenderaan, Electronic Brake Assist, Hill Descent Control dan Hill Start Assist. Spesifikasi penuhnya akan diketahui sewaktu pelancaran nanti.

    GALERI: Maxus T90 EV yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Putrajaya uji sistem tram tanpa litar mulai 1 Februari ini – projek rintis bakal berjalan hingga Disember 2024

    Putrajaya uji sistem tram tanpa litar mulai 1 Februari ini – projek rintis bakal berjalan hingga Disember 2024

    Sistem tram tanpa litar, atau turut dikenali sebagai sistem transit aliran automatik (ART) akan mula diuji di Putrajaya pada bulan hadapan. Perkara ini diumumkan oleh Perbadanan Putrajaya menerusi laman Facebook rasminya.

    Perbadanan Putrajaya berkata sistem ART itu akan memulakan ujian rintis pada 1 Februari ini, sempena dengan Hari terbuka Putrajaya yang akan diadakan pada 1 hingga 4 Februari 2024. Menerusi acara berkenaan, orang ramai berpeluang menaiki tram terbabit secara percuma. Turut diumumkan ialah sistem ART ini akan terus diuji sehingga Disember 2024.

    Buat setakat ini, tiada perincian mengenai ART, termasuk laluan yang bakal digunakan. Sebelum ini sistem ART pernah diuji di Cyberjaya selama tiga bulan pada tahun 2022, dan mengendalikan tram tanpa litar dengan kapasiti 307 penumpang dan boleh mencecah kelajuan hingga 70 km/j.

    Putrajaya uji sistem tram tanpa litar mulai 1 Februari ini – projek rintis bakal berjalan hingga Disember 2024

    Projek menguji ART di Putrajaya ini adalah susulan pelaksanaan yang sama di Sarawak. Pada Ogos tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah mengumumkan bahawa pihaknya mengendalikan ujian kejuruteraan untuk sistem tram tanpa litar tiga-gerabak janaan hidrogen pada September dan November.

    Di mana kerajaan negeri merancang untuk menjadikan ART sebagai tulang belakang kepada Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan laluan sejauh 70 km meliputi tiga laluan rel dan 31 stesen untuk fasa pertama. Ia dijangka akan beroperasi mengikut fasa seawal suku keempat tahun 2025, bermula dengan Laluan Biru (Line 1) dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchance di pusat bandar Kuching.

     
     
  • Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Awal minggu ini Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru sahaja melancarkan Mitsubishi Triton AT Premium dalam versi yang dipertingkat untuk tahun 2024. Seperti namanya, model ini diasaskan dari Triton dalam varian AT Premium sedia ada, diberikan beberapa peningkatan dari segi kit penggayaan, dan dihasilkan dalam jumlah terhad.

    Tiada majlis pelancaran dibuat untuk model ini, jadi kami telahpun menerjah bilik pameran Mitsubishi bagi melihat rupa sebenar trak pikap tersebut dan menyediakan galeri lengkap untuk anda.

    Triton AT Premium merupakan varian pertengahan yang ditawarkan oleh MMM untuk pasaran Malaysia, berada satu anak tangga di bawah varian paling mahal iaitu Triton Athlete. Jadi ia TIDAK didatangkan dengan perincian seperti lampu bi-LED, lampu nyalaan siang LED, tempat duduk pemandu larasan kuasa, sistem bantuan pemanduan, dan beberapa perincian lain.

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Bagi model AT Premium yang dipertingkat ini, ia hanya ditawarkan dengan warna badan White Diamond, bersama grafik badan merah-perak-hitam ala livery perlumbaan Ralliart bermula pada pintu belakang, bed dan sehingga ke pintu tailgate. Ia juga diberikan beberapa perincian tambahan termasuk, bampar hadapan, sports bar, visor pintu, overfender pada setiap ruang roda berwarna hitam yang sama seperti model edisi terhad Triton Phantom Plus.

    Rupa luaran Triton istimewa ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi istimewa 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar Yokohama Geolander A/T G015, juga sama seperti Triton Phantom Plus yang dilancarkan tahun lalu. Manakala pada bahagian dalaman, model ini ditambah dengan scuff plate bernyala pada bendul pintu dan juga sulaman grafik pada perehat kepala tempat duduk hadapan yang sama seperti grafik badan sebelah luar.

    Tiada tingkat taraf mekanikal pada model edisi terhad ini, dan ia masih dijana oleh enjin 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem pacuam empat roda Easy Select 4WD.

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Perincian standard AT Premium biasa turut dibawa pada model tingkat taraf ini, termasuk lampu hadapan projektor halogen, lampu nyalaan siang bersama lampu kabus hadapan dan belakang halogen, kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama dengan skrin sesentuh sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara, pendingin hawa automatik, cruise control dan upholsteri leatherette.

    Manakala untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Aktif, traction control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, Bantuan Kestabilan Treler. Kamera perakam video digital turut dipadankan pada model ini.

    Walaupun diberikan pelbagai perincian tingkat taraf, apa yang menarik Mitsubishi Triton AT Premium versi yang dipertingkat masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM135,900, sama seperti Triton AT Premium biasa. Jadi ia masih sekitar RM20,000 lebih murah berbanding Triton Athlete yang dijual pada harga RM155,900.

    Setiap pembelian trak pikap ini disertakan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Walaupun MMM menyatakan Triton AT Premium dipertingkat ini hanya ditawarkan dalam jumlah terhad, ia tidak menyatakan berapa jumlah sebenar yang akan dihasilkan.

     
     
  • Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    SUV mewah Jaecoo J7 yang sebelum ini pernah dipertontonkan di Malaysia sekarang dibawa ke Pusat Latihan dan Pengalaman 4WD Malaysia (M4TREC) di Semenyih Selangor. Menurut Jaecoo Malaysia, SUV tersebut berjaya “menawan segala ujian dengan mudah.”

    Semasa dipertontonkan awal bulan lalu, dua varian J7 ini dibawa, iaitu versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda. Kedua-duanya menggunakan enjin petrol empat silinder 1.6 liter turbo dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

    Antara ujian yang dilalui di M4TREC melibatkan tanjakan licin, ujian artikulasi, mendaki dan menuruni bukit curam serta beberapa lagi Turut diuji adalah kemampuan SUV itu untuk berhadapan keadaan jalan mencabar dan menerima impak kuat.

    Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    “Kemampuan offroad luar biasa J7 membuat kami terkejut, dan ia ditunjukkan dengan navigasi lancar melalui jalan yang mencabar di M4TREC,” Jaecoo memetik ayat daripada salah seorang pelatih M4TREC.

    Mencatat ukuran badan 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2,672 mm, J7 mempunyai saiz seperti Toyota Corolla Cross, tetapi lebih kecil berbanding Mazda CX-5. Melihat kepada spesifikasi, ia mencatat jarak kelegaan dari tanah 200 mm, boleh meredah air berkedalaman 600 mm serta sudut condong 21 darjah hadapan dan 29 darjah di belakang.

    Sistem keselamatan pada J7 dikatakan terdiri daripada 21 fungsi pemanduan pintar, dan antaranya adalah Automatic Emergency Braking (AEB), Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Emergency Lane Keeping, Intelligent Evasion System, Curve Speed Assistance, Lead Car Departure Notification, kamera 360 darjah serta Park Assist.

    Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    Turut diberi adalah Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Rear Cross Traffic Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Change Assist, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist. Sebelum ini Jaecoo Malaysia memberitahu, J7 akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.

    Selain J7, Jaecoo Malaysia juga sudah menunjukkan J8, yang merupakan SUV tiga baris tempat duduk dengan enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 249 PS dan 385 Nm. Ia adalah SUV yang lebih besar, dengan ukuran badan 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak roda 2,820 mm.

    Jenama Jaecoo ini sebenarnya berada di bawah Chery (seperti Omoda) dan ia dibuat khas untuk pasaran luar selain China.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025