Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 25-31 Jan – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 25-31 Jan – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa untuk minggu terakhir Januari 2024 iaitu 25 hingga 31 Januari tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Projek garisan jalan ‘glow in the dark’ kini dilaksanakan di Jalan Bukit Kucing, Gelang Patah

    Selepas persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih di Selangor dan Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap di Kedah, kini tiba pula giliran Johor untuk ‘menerima’ garisan jalan ‘glow in the dark’. Memilih Jalan Bukit Kucing di Gelang Patah, garisan jalan ‘glow in the dark’ di daerah ini menggunakan pemanasan.

    Walau bagaimana pun, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor tidak mendedahkan perincian lanjut mengenai projek rintis berkenaan termasuk jarak garisan jalan terbabit. Jika mengikut projek rintis garisan jalan ‘glow in the dark’ di Kedah, ia menggunakan elemen additive glass beads yang berfungsi sebagai pemantul (reflector).

    Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi ‘glow in the dark’ sebelum hujung tahun ini kerana bajet sebanyak RM1 juta yang diperuntukan adalah dalam Belanjawan Johor 2024.

    Tambahnya, jalan yang akan dinaik taraf menggunakan teknologi itu akan ditumpukan di kawasan yang tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh-selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan.

    Beliau turut berkata, teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan yang biasa.

    Pada pertengahan November tahun lalu, JKR Daerah Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis pemasangan cat garisan jalan ‘glow in the dark’ di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi pemasangan cat jalan ‘glow in the dark’ yang pertama seumpamanya di Malaysia. Di mana ia melibatkan laluan sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter. Ia didapati sesuai untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan dan salah satu alternatif melibatkan penggunaan ‘road stud/mata kucing’.

     
     
  • Skandal keselamatan Daihatsu: 322,740 unit Toyota Pixis Joy dan Daihatsu Cast dipanggil semula di Jepun

    Skandal keselamatan Daihatsu: 322,740 unit Toyota Pixis Joy dan Daihatsu Cast dipanggil semula di Jepun

    Beberapa hari selepas menerima arahan pembetulan dari kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun berkenaan skandal penyelewengan ujian keselamatan yang dikesan, Daihatsu kini telah pun mengeluarkan notis panggilan semula untuk dua model pasaran Jepun iaitu Kei-Car Daihatsu Cast dan kembarnya, Toyota Pixis Joy.

    Kedua-dua model tersebut sebelum ini telah diumumkan akan disiasat, dan hasil yang ditemui menunjukkan ia mempunyai masalah pada bahagian kunci bantuan kuasa. Dalam laman web rasmi Daihatsu dan Toyota menyatakan unit kunci bantuan kuasa tersebut mungkin akan diaktifkan selepas berlakunya pelanggaran sisi kerana ia tidak berupaya untuk mengesahkan operasi kunci tersebut. Akibatnya, operasi menyelamatkan penumpang dalam kenderaan mungkin akan menjadi lambat.

    Bagi memperbaiki masalah tersebut, ke semua unit kunci bantuan kuasa bahagian pemandu model terlibat akan ditukarkan dengan unit kunci baharu yang telah dikemaskini, dan kaedah operasi kunci yang dinyatakan dalam buku manual pemilik juga akan dibetulkan semula.

    “Memandangkan ia akan mengambil masa untuk membekalkan komponen yang telah diperbaharui, langkah sementara akan dijalankan bagi pelanggan yang mahu untuk mengelakkan pintu daripada terkunci semasa perlanggaran. Langkah-langkah ini akan menyebabkan kunci fizikal tidak boleh digunakan untuk mengunci pintu dan ia hanya boleh dibuat menggunakan alat kawalan jauh sahaja. Pelanggan kemudiannya akan dimaklumkan apabila komponen yang telah diperbaharui tersebut tersedia untuk penggantian,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

    Untuk Daihatsu Cast, sebanyak 288,156 unit model ini yang terlibat dalam panggilan semula tersebut, yang diproduksi antara 31 Ogos 2015 sehingga 9 Jun 2023. Manakala untuk Toyota Pixis Joy pula sebanyak 34,594 unit yang terlibat, yang diproduksi bermula 31 Ogos 2016 sehingga 9 Jun 2023.

    Jualan bagi kedua-dua model ini telah ditangguhkan sementara di Jepun. Buat masa sekarang tiada lagi model Perodua yang diasaskan dari Daihatsu terlibat dalam panggilan semula terbaharu ini.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8.5 facelift diperkenal – perubahan gaya dan kemasan dalam, GTE dan GTI tambah kuasa

    Volkswagen Golf Mk8.5 facelift diperkenal – perubahan gaya dan kemasan dalam, GTE dan GTI tambah kuasa

    Volkswagen baru sahaja memperkenalkan Golf Mk8.5 facelift, dan ia dianggap istimewa kerana 2024 adalah ulang tahun ke-50 nama Golf. Seperti biasa, ia menerima beberapa perubahan dan masih ditawarkan dalam versi hatchback dan juga wagon (Variant).

    Berkenaan gaya, perubahan paling jelas adalah lampu utama, yang lebih nipis dan mempunyai DRL bersegi di bahagian tepi. Lampu utama ini datang dalam tiga jenis, iaitu LED standard, diikuti pilihan prestasi yang datang dengan lencana menyala dan jalur LED di tengah, serta IQ.Light LED matrix. Lampu belakang juga mendapat rekaan pencahayaan baru dan mempunyai kesan 3D apabila mengambil pilihan IQ.Light.

    Bampar kini mempunyai lebih banyak lekuk, dengan bukaan udara panjang yang menggunakan kemasan jalur mendatar bagi varian biasa, dan diubah menjadi lebih garang dengan rekaan seperti taring dan kemasan honeycomb pada GTE dan GTI. Pilihan warna ada 11 termasuk bumbung warna hitam untuk R-Line, GTE dan GTI, manakala pilihan rim tersedia sehingga unit 19 inci.

    Seperti yang pernah ditunjuk dalam teaser, bahagian dalamnya melihatkan penggunaan kembali butang biasa pada stereng menggantikan panel sesentuh. Walaupun begitu, pengawal pendingin hawa masih menggunakan panel seperti itu, tetapi ia telah diletakkan lampu supaya mudah dilihat.

    Sistem infotainmen modular generasi keempat (MIB4) Volkswagen kini digunakan pada Golf dan disediakan dalam dua versi. Pilihan asas Ready 2 Discover datang skrin sesentuh 10.4 inci di tengah, manakala versi lebih tinggi, Discover datang dengan skrin 12.9 inci.

    Kemudiannya di hadapan pemandu terdapat panel instrumen Digital Cockpit Pro 10.2 inci, yang diberikan secara standard untuk semua varian Golf, dengan informasi profail khas setiap bagi setiap varian. Head-up display yang dipantulkan pada cermin hadapan pula datang sebagai pilihan tambahan pada kedua-dua versi hatchback dan wagon.

    Volkswagen Golf Mk8.5 facelift diperkenal – perubahan gaya dan kemasan dalam, GTE dan GTI tambah kuasa

    Sistem bantuan pemandu turut menerima peningkatan, dengan Golf kini menerima fungsi Park Assist Pro, yang membolehkan kenderaan dikawal untuk masuk dan keluar dari petak parkir menggunakan telefon. Turut disediakan adalah Area View, yang memberikan pandangan 360 darjah keliling kereta hasil daripada empat kamera, dan dipaparkan pada skrin tengah.

    Menurut Volkswagen, Golf facelift ini akan ditawarkan dengan pilihan empat enjin petrol turbo (TSI), dua enjin diesel turbo (TDI), dua enjin petrol turbo dengan sistem hibrid ringkas 48 volt (eTSI) serta dua enjin petrol plug-in hybrid (eHybrid dan GTE). Pada separuh tahun kedua 2024, Golf GTI Clubsport, Golf R dan Golf Variant R pula akan diperkenalkan, kemudiannya diikuti versi pacuan semua roda dengan enjin TSI pada tahun 2025.

    Enjin TSI yang disediakan terus bermula dari pelancaran adalah unit 1.5 liter dengan kuasa sama ada 113 hp atau 148 hp, digabungkan bersama transmisi manual enam kelajuan yang menghantar kuasa kepada roda hadapan. Versi hibrid ringkas bagi enjin ini juga ada (1.5 eTSI) disediakan, dengan kuasa yang sama, tetapi cuma datang dengan transmisi DSG tujuh kelajuan. Pilihan di atasnya adalah 2.0 liter TSI dengan kuasa 201 hp dan transmisi DSG tujuh kelajuan.

    Mereka yang mahukan enjin diesel mendapat pilihan unit 2.0 TDI 113 hp manual enam kelajuan atau 148 hp DSG tujuh kelajuan – kedua-duanya menggunakan pacuan roda hadapan. Pergi kepada versi plug-in hybrid, eHybrid datang dengan enjin 1.5 liter TSI, motor elektrik, DSG enam kelajuan, kuasa 201 hp, pacuan roda hadapan dan bateri lithium ion 19.7 kWh.

    Dengan kapasiti bateri yang telah meningkat, jarak gerak elektrik juga berganda menjadi 100 km dan sekarang boleh dicas dengan menggunakan kuasa AC sehingga 11 kW (sebelum ini cuma 3.6 kW) dan boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 50 kW – 10-80% dalam masa 25 minit. Volkswagen mendakwa, tetapan eHybrid ini boleh dibawa sehingga 1,000 km sebelum minyak perlu diisi semula.

    Versi prestasi bagi tetapan eHybrid digunakan pada GTE, yang mempunyai kuasa keseluruhan 268 hp – 27 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini. Varian GTI juga menyaksikan peningkatan kuasa sebanyak 20 hp, menjadi 261 hp, tetapi tidak lagi ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan, sebaliknya cuma DSG tujuh kelajuan.

    GALERI: Volkswagen Golf Mk8.5 facelift 2024

    GALERI: Volkswagen Golf Mk8.5 GTE facelift 2024

    GALERI: Volkswagen Golf Mk8.5 GTI facelift 2024

    GALERI: Volkswagen Golf Mk8.5 Variant facelift 2024

     
     
  • Honda WR-V terjual 7,800 unit di Malaysia sepanjang 2023, jualan model hibrid RS e:HEV pula naik 87%

    Honda WR-V terjual 7,800 unit di Malaysia sepanjang 2023, jualan model hibrid RS e:HEV pula naik 87%

    Dalam pengumuman prestasi jualannya untuk 2023 yang dikeluarkan hari ini, Honda Malaysia turut menyebut bahawa SUV segmen-B Honda WR-V yang baru dilancarkan tahun lalu sudah pun terjual sebanyak 7,800 unit sehingga akhir Disember 2023.

    Angka berkenaan dilihat agak memberangsangkan kerana model yang lebih kecil dari HR-V tersebut baru sahaja dilancarkan pada bulan Julai 2023, bermaksud ia dicapai tidak sampai enam bulan selepas rasmi masuk ke pasaran tempatan.

    Menurut Honda Malaysia lagi pelanggan tempatan sangat menggemari varian paling sporty dan paling mahal yang ditawarkan iaitu varian RS, di mana ia mewakili 60% jualan dari jumlah keseluruhan WR-V yang dijual di sini tahun lalu.

    Honda WR-V ditawarkan dalam empat varian di Malaysia, bermula dengan varian paling asas 1.5 S ia dijual pada harga RM89,900, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM95,900, 1.5 V berharga RM99,900, manakala varian dengan spesifikasi tertinggi 1.5 RS pula dijual pada harga RM107,900.

    Selain itu Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa model-model hibrid di pasaran tempatan yang dijual dengan lencana e:HEV turut mencatatkan pertumbuhan jualan yang pesat. Sepanjang 2023 lebih dari 7,700 unit model hibrid e:HEV berjaya dijual oleh Honda Malaysia, naik 87% berbanding lebih 4,100 unit yang dicatatkan pada 2022.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa jumlah berkenaan mewakili 28% jualan model-model hibrid di Malaysia tahun lalu, secara tidak langsung telah berjaya menyumbang kepada kenaikan jualan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi di Malaysia secara keseluruhan, serta membuktikan bahawa teknolologi e:HEV ini diterima dengan baik oleh pelanggan tempatan.

    Buat masa sekarang Honda Malaysia mempunyai lima model e:HEV yang boleh di beli menerusi jaringan pengedarnya di seluruh negara, bermula dengan Honda City Hatchback RS e:HEV berharga RM109,800, Honda City RS e:HEV berharga RM111,900, Honda HR-V RS e:HEV berharga RM141,900, Honda Civic RS e:HEV berharga RM166,500, dan Honda CR-V RS e:HEV berharga RM195,900

     
     
  • Honda Malaysia kekal jenama bukan nasional segmen kenderaan penumpang paling laris untuk tahun ke-10

    Honda Malaysia kekal jenama bukan nasional segmen kenderaan penumpang paling laris untuk tahun ke-10

    Honda Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya mencapai sasaran jualannya untuk tahun 2023 dengan menjual lebih dari 80,000 unit kenderaan tahun lalu. Menurut syarikat itu, rekod berkenaan membolehkan ia kekal sebagai jenama bukan nasional paling laris di Malaysia dalam segmen kenderaan penumpang buat tahun ke-10 berturut-turut sejak 2014.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa kejayaan ini dipacu menerusi empat model baharu yang berjaya dilancarkan pada separa kedua tahun lalu iaitu SUV segmen-B Honda WR-V, sedan segmen-B Honda City facelift, hot-hatch Honda Civic Type R FL5 dan juga model generasi baharu Honda CR-V.

    Tiga model paling laris yang dijual Honda Malaysia sepanjang 2023 pula adalah Honda City, HR-V, dan City Hatchback, di mana ketiga-tiganya masing-masing menyumbangkan sebanyak 30%, 25% dan 13% dari jumlah jualan keseluruhan syarikat itu.

    Malah bagi Honda WR-V, HR-V, CR-V dan Civic, kesemua model ini merupakan model yang paling laris dalam kelasnya, kata syarikat itu lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “2023 terbukti sebagai tahun yang mencabar di mana kami berhadpan pasaran yang kompetitif. Walau bagaimanapun, Honda Malaysia berjaya mengatasi dan mencapai sasaran jualan kami pada 2023 dengan sokongan padu daripada pengedar kami dan Kerajaan Malaysia,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

    “Selain itu, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan Honda yang telah memainkan peranan penting dalam pencapaian ini melalui sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap jenama Honda,” tambahnya lagi.

     
     
  • Peugeot e-2008 EV muncul dalam teaser untuk M’sia

    Peugeot e-2008 EV muncul dalam teaser untuk M’sia

    Pada bulan November tahun lalu, Stellantis mengumumkan mereka akan mengambil alih bahagian jualan dan pengedaran kenderaan Peugeot dari Bermaz, sambil menyatakan penubuhan syarikat jualan nasional baru di Malaysia untuk mengendalikan jenama tersebut (serta beberapa jenama lain di bawahnya) bermula suku pertama tahun ini.

    Sebahagian daripada langkah yang terlibat adalah pengenalan lebih banyak model Peugeot yang dipasang dalam negara (CKD), dengan antara yang telah diberitahu adalah seperti 408 PHEV, e-2008 dan Landtrek. Salah satu daripadanya semakin hampir dengan pelancaran apabila Peugeot Malaysia mula menyiarkan teaser di laman media sosial, iaitu Peugeot e-2008.

    Ketibaan SUV elektrik yang mula diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2019 ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sejak tahun 2021 ia telah diberitahu dan pra tonton juga sudah dibuat oleh Bermaz pada bulan Mei tahun lepas. Sekarang kita cuma perlu menunggu tarikh sebenar ia akan dilancarkan.

    Peugeot e-2008 ini nampak seperti sama sahaja dengan 2008 biasa, tetapi ia digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 134 hp (136 PS atau 100 kW) dan tork 260 Nm yang terletak di hadapan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 10 saat, manakala laju maksimum adalah 150 km/j.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion berkapasiti 50 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 320 km (WLTP). Ia boleh dicas menggunakan sumber DC dengan sambungan CCS2 pada kadar sehingga 100 kW, dan bateri boleh naik 10-80% dalam masa cuma 30 minit. Apabila menggunakan AC dengan sambungan Type 2 (sehingga 11 kW), 4.5 jam diperlukan untuk memenuhkan baterinya.

    Model yang dipertonton tahun lepas adalah daripada varian GT, yang mendapat antaranya rim 18 inci serta kemasan berwarna sama seperti badan pada gril. Walaubagaimanapun kita masih belum mengetahui sama ada model yang akan dilancarkan nanti adalah daripada varian dan spesifikasi yang sama ataupun tidak. Bersama kita nantikan maklumat selanjutnya.

     
     
  • Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Ora Good Cat sememangnya sebuah EV yang comel kerana tampil dengan rekaan seperti sebuah Volkswagen Beetle klasik. Dan sudah tentu, pengaruh rekaan tersebut tidak boleh lari dari menerima bayangan imej sebuah Porsche. Jadi ini dia, kit badan untuk Ora Good Cat dari Lumga Bodykit Thailand yang boleh mengubah Ora Good Cat menjadi sebuah Porsche 911 dalam versi yang nampak lebih comel!

    Kit badan ini menampilkan bampar hadapan dengan rekaan seperti bampar Porsche 911 GT3 generasi 991 lengkap dengan ‘senyuman’ pada bahaguan sebelah atas, yang nampak begitu sesuai dengan rekaan lampu hadapan dan juga penutup bonet depan asal Ora Good Cat ini.

    Komponen lain yang turut dibekalkan dalam kit tersebut termasuk skrit sisi, tambahan kemasan diffuser untuk bampar belakang, sepasang sirip sisi palsu untuk kedua-dua fender hadapan, spoiler bumbung belakang dan juga tambahan satu lagi spoiler yang dipasang pada bahagian bawah cermin belakang.

    Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Secara keseluruhan, kit ini dijual pada harga 42,000.00 Baht, atau sekitar RM5,600 tidak termasuk kos pemasangan. Anda tidak perlu membawa kereta anda ke Thailand untuk memasang kit badan ini kerana Lumga Bodykit menyediakan khidmat jualan atas talian menerusi laman web rasmi mereka, dan ia boleh dihantar ke seluruh dunia.

    Ora Good Cat sudah lebih setahun berada di pasaran Malaysia selepas ia dilancarkan secara rasmi pada November 2022. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 400 Pro dengan pek bateri LFP 47.8 kWh untuk jarak gerak 400 km (mengikut kitaran NEDC) dan 500 Ultra dengan bateri lithium 63.1 kWh untuk jarak gerak 500 km. Kedua-dua varian ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 143 PS dan tork maksima 210 Nm. Ia dijual pada harga RM139,800 untuk model 400 Pro dan RM169,800 untuk 500 Ultra.

     
     
  • Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Rapid Bus bakal menawarkan perkhidmatan bas perantara secara percuma untuk perjalanan ke/dari dua kuil sempena dengan sambutan Thaipusam ini, laporan Bernama. Dua kuil terbabit ialah Kuil Sri Subramaniar Samy di Batu Caves, Selangor, dan kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga di Pulau Pinang.

    Bagi bas perantara percuma di Kuala Lumpur ke Batu Caves, ia telah mula beroperasi sejak 5 pagi tadi hingga tengahmalam pada 26 Januari ini, dengan kekerapan operasi antara 10 hingga 15 minit. Perjalanan akan meliputi laluan BC02, iaitu dari Hab Bas Pasar Seni (platform A8) ke BC03 Batu Caves, dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves, dan BC04 dari stesen MRT Kampung Batu ke Batu Caves.

    Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Manakala untuk perkhidmatan bas perantara di Pulau Pinang pula, ia telah pun mula beroperasi sejak tengahmalam tadi sehingga jam 2 pagi pada 26 Januari, dengan kekerapan operasi antara 20 hingga 30 minit, dan dari jam 1 pagi hingga 5 pagi. Ia akan meliputi laluan ST01, dari Jeti ke Adventist melalui kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga.

    Selain Rapid Bus, KTM Berhad turut menyediakan perkhidmatan KTM Komuter secara percuma terus ke Batu Caves yang beroperasi 24 jam sejak 23 Januari lalu sehingga 26 Januari ini.

     
     
  • Polis bakal tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 1-4 Feb 2024 sempena Putrajaya Open Day 2024

    Polis bakal tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 1-4 Feb 2024 sempena Putrajaya Open Day 2024

    Sempena dengan Putrajaya Open Day 2024 (POD2024), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% untuk pembayaran saman trafik terpilih selama empat hari iaitu pada 1 hingga 4 Februari 2024, dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Di mana kaunter pembayaran trafik tersebut akan dibuka di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, memberikan peluang kepada orang ramai untuk membayar saman trafik dengan diskaun yang ditawarkan itu.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Puttrajaya atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Kecuaian pemandu dan penunggang motosikal dikatakan menjadi faktor penyebab bagi hampir 90% kemalangan jalan raya di Pahang. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud, data itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan.

    Menurut Kamarulzaman, antara faktor kecuaian termasuklah sikap gopoh dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas antaranya memotong di garisan berkembar dan selekoh.

    “Kebanyakan penunggang motosikal menunggang laju kemudian keluar masuk simpang serta menukar arah lorong tanpa mengambil kira keberadaan kenderaan lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Selain itu,katanya, faktor cuaca dan keadaan permukaan jalan yang beralun turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negeri ini.

    “Pahang negeri yang luas dan keadaan bentuk muka buminya yang kebanyakan berbukit antaranya di Bentong, Cameron Highlands, Raub, Kuala Lipis malah kita di Pantai Timur kerap menerima hujan dan dalam keadaan hujan lebat sekalipun, terdapat pengguna masih memandu laju,” jelasnya.

    Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Beliau turut memaklumkan jumlah kemalangan jalan raya di Pahang pada 2023 mencatatkan peningkatan 4.8% kepada 23,591 kes berbanding 22,511 kes tahun sebelumnya, dengan Kuantan merekodkan kes tertinggi diikuti Bentong, Temerloh, Maran dan Rompin.

    “Kemalangan jalan raya di Pahang turut meragut nyawa 492 individu pada tahun lepas berbanding 447 individu pada 2022, iaitu meningkat sebanyak 10.1%. Ia membabitkan kereta mencatatkan angka sebanyak 16,989 kes manakala motosikal 3,355 kes dengan selebihnya lain-lain kenderaan.

    “Antara kawasan hotspot kemalangan dikenal pasti antaranya di laluan bypass di Kuantan, Rompin ke Muadzam Shah, Rompin ke Pekan, Kuala Lumpur-Karak dan Kuala Lipis,” katanya.

    Beliau turutmenambah sebanyak 153,369 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2023. Manakala lebih RM5 juta kutipan kompaun dan bayaran denda mahkamah berkaitan kesalahan trafik telah diperoleh pada tahun lepas.

    Beliau yang bakal bersara wajib pada 27 Januari ini selepas 38 tahun menabur bakti dalam pasukan polis turut menitipkan pesanan buat pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan antaranya jangan terburu-buru ketika berada persimpangan lampu isyarat dan laluan berselekoh.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

    PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

    Jika kita sebut tentang jentera rali jalan raya Toyota, sudah tentu apa yang terpacul di minda adalah Toyota GR Yaris bukan? Projek GR Yaris ini hanya diketahui sekitar bulan April 2019 selepas Toyota dilihat menguji prototaip ujian menggunakan kerangka badan Yaris generasi ketiga, dan model produksi sebenar membuat kemunculan sulung pada Januari 2020 semasa berlangsungnya Tokyo Auto Salon tahun itu.

    Namun sedarkah anda, sebelum GR Yaris kecoh diperkatakan, idea untuk penghasilan GR Corolla sebenarnya telah berlegar terlebih dahulu. Naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley telah menyebut ura-ura Toyota bakal membangunkan hot-hatch ini pada April 2018, iaitu hanya selepas sebulan Corolla generasi ke-12 dalam versi hatchback diperkenalkan buat kali pertama.

    Ini kerana kerangka Corolla yang diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) tersebut begitu berpotensi untuk dihasilkan dalam versi prestasi tinggi kerana ia begitu tegar, menampilkan pusat graviti yang rendah, serta menggunakan sistem suspensi jenis double wishbone yang jitu pada bahagian belakang.

    Perkara yang sama turut disebut beberapa eksekutif Toyota selepas itu sehinggalah pada Februari 2019, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei mengesahkan Corolla hatchback lebih berkuasa dengan lencana Gazoo Racing akan dibina dan ia akan disumbat dengan enjin 1.6 liter turbo digandingkan bersama sistem pacuan semua roda.

    Ketika Kanei memberitahu perkara tersebut, dunia masih belum mengetahui apa-apa berkenaan enjin G16E-GTS yang akhirnya menjadi enjin produksi 1.6 liter tiga-silinder turbo paling berkuasa di dunia dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four yang dibangunkan oleh Toyota, sehingga kedua-dua gandingan itu didedahkan menerusi GR Yaris pada Januari 2020. Nampak tak? Toyota dah lama rancang, tapi kita yang lalai.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur, terutamanya di pusat bandar bukanlah masalah baru. Namun, kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan masalah itu dan sedang terlibat dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mencari jalan bagi mengatasinya.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa, jalan penyelesaian terhadap masalah ini sedang diteliti oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Begitu juga dengan jawatankuasa kabinet untuk kesesakan lalulintas yang telah juga menyerahkan beberapa cadangan berkaitan masalah ini, lapor Bernama.

    Dengan kira-kira 1.3 juta hingga 1.5 juta kenderaan direkodkan memasuki ibu negara setiap hari, beliau menambah masalah berkenaan boleh diatas sekiranya lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam untuk masuk ke pusat bandar.

    “Kesesakan berlaku ketika waktu puncak dari 6 pagi dan juga ketika waktu pulang kerja. Kami juga tahu yang menjadi punca pada kebiasaannya melibatkan mereka yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tujuan kerja. Jadi, saya menggesa agar lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan tersebut,” ujarnya.

    Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Tahap kesesakan di Kuala Lumpur juga pernah direkodkan. Tahun lalu, Indeks Trafik TomTom memberi petunjuk bahawa pada 2022, pemandu di KL menghabiskan masa selama 159 jam di atas jalan ketika waktu puncak di pusat bandar, 75 jam daripadanya disebabkan kesesakan. Ia juga menganggarkan pemandu membelanjakan RM1,023 untuk minyak (RM221 kerana kesesakan) dan mengeluarkan 833 kg CO2 (180 kg disebabkan kesesakan).

    Pada Mei 2022, DBKL memaklumkan pihaknya telah menjalankan kajian terperinci tentang bagaimana untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di KL dan menjelaskan perhatian akan diberi kepada beberapa aspek tertentu termasuk koordinasi lampu isyarat dan sistem pengurusan parkir, yang mengganggu aliran trafik.

    Satu lagi penyelesaian adalah dengan mengenakan caj kesesakan, tetapi ini masih jauh untuk dapat dilaksanakan, kerana dikhabarkan hanya akan dikenakan selepas MRT3 siap dibina pada 2030. Struktur yuran untuk dikenakan kepada kenderaan yang memasuki ibu kota juga akan dinilai selepas projek pengangkutan awam itu selesai sepenuhnya.

     
     
  • Vespa 946 Dragon diperkenal – model kedua konsep kalendar China, hanya 1,888 unit dikeluarkan

    Vespa 946 Dragon diperkenal – model kedua konsep kalendar China, hanya 1,888 unit dikeluarkan

    Vespa sekali lagi memperkenalkan versi istimewa untuk model 946, dan kali ini dipanggil sebagai 946 Dragon. Ia sebenarnya adalah model 946 kedua yang dikeluarkan oleh Vespa mengikut konsep tahun kalendar China, dan yang pertama adalah 946 10 Anniversario (RM100k di Malaysia) dengan motif arnab pada tahun lepas.

    Mengikut kalendar China itu, tahun ini adalah tahun naga, dan 946 yang dikeluarkan mengikut konsep tersebut dengan terdapat pelekat naga warna hijau bertekstur yang ditampal dari hadapan hingga ke belakang badan motosikal berwarna emas cair.

    Menjadikan edisi kali ini lebih istimewa, Vespa turut mengeluarkan beberapa aksesori yang menggunakan konsep sama, bermula untuk motosikal, terdapat beg barangan buatan Itali yang boleh diletakkan di rak belakang, serta helmet open face.

    Satu lagi adalah barangan fesyen, iaitu jaket varsity, yang juga menggunakan konsep warna dan grafik naga yang sama, dibuat atas jaket yang menggunakan kain gabungan kulit Nappa, kapas serta bebulu (wool).

    Hanya 1,888 unit Vespa Dragon ini akan dikeluarkan untuk seluruh dunia, dan bahagian mekanikalnya tidak berubah dengan masih dipacu oleh enjin empat strok satu silinder 150 cc, dan diberikan dengan kelengkapan seperti panel paparan LCD, lampu depan dan belakang LED serta rim 12 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Ora 07 lancar di Malaysia Q1 2024 – tetapan satu dan dua motor, kuasa sehingga 408 PS, jarak gerak 640 km

    Ora 07 lancar di Malaysia Q1 2024 – tetapan satu dan dua motor, kuasa sehingga 408 PS, jarak gerak 640 km

    Great Wall Motor Malaysia (GWM) telah membuat pengesahan bahawa Ora 07 akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2024. Sebelum ini, kenderaan elektrik itu cuma ditunjuk dalam teaser, tanpa sebarang perincian lain.

    Selain daripada itu, GWM Malaysia juga memberitahu, Ora 07 akan tiba dalam dua versi, iaitu yang menggunakan tetapan satu motor elektrik dengan jarak gerak 640 km dan juga yang menggunakan dua motor elektrik dengan pacuan semua roda dan jarak gerak 550 km.

    Jarak gerak (NEDC) ini menyamai dua varian yang dijual di Thailand, yang mana kedua-duanya menggunakan bateri ternary lithium 83.5-kWh. Di Thailand, pilihan variannya bermula dengan Long Range yang mempunyai motor elektrik hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, kemudiannya diikuti varian Performance dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 680 Nm.

    Tiada sebarang maklumat disiarkan berkenaan dengan harga buat masa ini, tetapi jika melihat kepada pasaran Thaland, Ora 07 dijual antara 1.299-1.499 juta baht (RM172k-RM199k). Apabila dilancarkan nanti, Ora 07 akan menjadi EV kedua jenama itu di Malaysia, mengikuti langkah Good Cat.

    “Kami teruja untuk membawa Ora 07 ke Malaysia, menguatkan lagi komitmen kami untuk menyediakan kepada pelanggan pilihan pengangkutan yang terbaik dan mesra alam,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Cui Angi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025