Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Trak pikap elektrik, Maxus T90 yang sebelum ini pernah dipertontonkan sekali dengan pelancaran Maxus MIFA 9 kini sudah mula berada di atas jalan Malaysia. Bagaimanapun, ia belum lagi dijual kepada awam, tetapi digunakan oleh Tenaga Nasional sebagai sebahagian daripada projek perintis awal.

    Jumlah kesebenar T90 yang digunakan oleh Tenaga Nasional tidak diketahui tetapi melihat kepada gambar, sekurang-kurangnya ada 25 unit yang sudah lengkap dengan grafik khas syarikat utiliti elektrik tersebut.

    Untuk pasaran awam, sebelum ini pernah didedahkan bahawa pelancaran trak pikap elektrik ini akan dibuat pada hujung tahun 2023, ataupun suku pertama 2024. Ini membawa makna, ia akan berlaku tidak lama lagi.

    Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Harga juga masih tidak diketahui, tetapi jangkaan awal menyatakan ia akan berada dalam sekitar RM220k ke RM260k. Untuk varian pula, setakat yang kami tahu, hanya satu akan ditawarkan di negara kita, dengan spesifikasi hampir seperti yang dipasarkan di Australia (dikenali sebagai LDV eT60) dan United Kingdom.

    Melihat kepada rekaan, T90 EV ini sama sahaja seperti T90 dengan enjin diesel, tetapi penggeraknya ditukar kepada motor elektrik terletak di belakang, dengan kuasa 174 hp (177 PS, atau 130 kW) dan tork 310 Nm. Bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 88.55 kWh pada trak ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 330 km (WLTP).

    Untuk pengecasan, trak pikap tersebut boleh menerima input AC sehingga 11 kW, dengan kadar bateri naik 5-100% dalam masa sembilan jam (three-phase) atau 13 jam (single-phase). Menggunakan pengecas pantas DC 80 kW pula akan menaikkan tahap bateri dari 20 ke 80% dalam masa cuma 45 minit.

    Maxus T90 EV mula digunakan oleh Tenaga Nasional – pelancaran untuk pasaran dijangka tidak lama lagi

    Kelengkapan di bahagian luar yang ada pada trak pikap ini adalah termasuk lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, lampu kabus belakang dan rim 17 inci, manakala di dalam pula terdapat sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci, skrin informasi tambahan di antara meter digital di panel instrumen serta pemilih gear jenis tombol.

    Turut diberi adalah tempat duduk dibalut kulit tiruan, pengawal pendingin hawa manual, brek tangan biasa, pemilih mod pemanduan (Power dan Eco) serta soket AC tiga pin 220-volt/150-watt. Berkenaan sistem keselamatan dan bantuan pemandu, T90 EV datang dengan kamera undur, enam beg udara, pengesan jarak belakang, ESP, kawalan cengkaman, pengawal dinamik kenderaan, Electronic Brake Assist, Hill Descent Control dan Hill Start Assist. Spesifikasi penuhnya akan diketahui sewaktu pelancaran nanti.

    GALERI: Maxus T90 EV yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Putrajaya uji sistem tram tanpa litar mulai 1 Februari ini – projek rintis bakal berjalan hingga Disember 2024

    Putrajaya uji sistem tram tanpa litar mulai 1 Februari ini – projek rintis bakal berjalan hingga Disember 2024

    Sistem tram tanpa litar, atau turut dikenali sebagai sistem transit aliran automatik (ART) akan mula diuji di Putrajaya pada bulan hadapan. Perkara ini diumumkan oleh Perbadanan Putrajaya menerusi laman Facebook rasminya.

    Perbadanan Putrajaya berkata sistem ART itu akan memulakan ujian rintis pada 1 Februari ini, sempena dengan Hari terbuka Putrajaya yang akan diadakan pada 1 hingga 4 Februari 2024. Menerusi acara berkenaan, orang ramai berpeluang menaiki tram terbabit secara percuma. Turut diumumkan ialah sistem ART ini akan terus diuji sehingga Disember 2024.

    Buat setakat ini, tiada perincian mengenai ART, termasuk laluan yang bakal digunakan. Sebelum ini sistem ART pernah diuji di Cyberjaya selama tiga bulan pada tahun 2022, dan mengendalikan tram tanpa litar dengan kapasiti 307 penumpang dan boleh mencecah kelajuan hingga 70 km/j.

    Putrajaya uji sistem tram tanpa litar mulai 1 Februari ini – projek rintis bakal berjalan hingga Disember 2024

    Projek menguji ART di Putrajaya ini adalah susulan pelaksanaan yang sama di Sarawak. Pada Ogos tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah mengumumkan bahawa pihaknya mengendalikan ujian kejuruteraan untuk sistem tram tanpa litar tiga-gerabak janaan hidrogen pada September dan November.

    Di mana kerajaan negeri merancang untuk menjadikan ART sebagai tulang belakang kepada Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan laluan sejauh 70 km meliputi tiga laluan rel dan 31 stesen untuk fasa pertama. Ia dijangka akan beroperasi mengikut fasa seawal suku keempat tahun 2025, bermula dengan Laluan Biru (Line 1) dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchance di pusat bandar Kuching.

     
     
  • Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Awal minggu ini Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru sahaja melancarkan Mitsubishi Triton AT Premium dalam versi yang dipertingkat untuk tahun 2024. Seperti namanya, model ini diasaskan dari Triton dalam varian AT Premium sedia ada, diberikan beberapa peningkatan dari segi kit penggayaan, dan dihasilkan dalam jumlah terhad.

    Tiada majlis pelancaran dibuat untuk model ini, jadi kami telahpun menerjah bilik pameran Mitsubishi bagi melihat rupa sebenar trak pikap tersebut dan menyediakan galeri lengkap untuk anda.

    Triton AT Premium merupakan varian pertengahan yang ditawarkan oleh MMM untuk pasaran Malaysia, berada satu anak tangga di bawah varian paling mahal iaitu Triton Athlete. Jadi ia TIDAK didatangkan dengan perincian seperti lampu bi-LED, lampu nyalaan siang LED, tempat duduk pemandu larasan kuasa, sistem bantuan pemanduan, dan beberapa perincian lain.

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Bagi model AT Premium yang dipertingkat ini, ia hanya ditawarkan dengan warna badan White Diamond, bersama grafik badan merah-perak-hitam ala livery perlumbaan Ralliart bermula pada pintu belakang, bed dan sehingga ke pintu tailgate. Ia juga diberikan beberapa perincian tambahan termasuk, bampar hadapan, sports bar, visor pintu, overfender pada setiap ruang roda berwarna hitam yang sama seperti model edisi terhad Triton Phantom Plus.

    Rupa luaran Triton istimewa ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi istimewa 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar Yokohama Geolander A/T G015, juga sama seperti Triton Phantom Plus yang dilancarkan tahun lalu. Manakala pada bahagian dalaman, model ini ditambah dengan scuff plate bernyala pada bendul pintu dan juga sulaman grafik pada perehat kepala tempat duduk hadapan yang sama seperti grafik badan sebelah luar.

    Tiada tingkat taraf mekanikal pada model edisi terhad ini, dan ia masih dijana oleh enjin 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem pacuam empat roda Easy Select 4WD.

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

    Perincian standard AT Premium biasa turut dibawa pada model tingkat taraf ini, termasuk lampu hadapan projektor halogen, lampu nyalaan siang bersama lampu kabus hadapan dan belakang halogen, kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama dengan skrin sesentuh sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara, pendingin hawa automatik, cruise control dan upholsteri leatherette.

    Manakala untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Aktif, traction control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, Bantuan Kestabilan Treler. Kamera perakam video digital turut dipadankan pada model ini.

    Walaupun diberikan pelbagai perincian tingkat taraf, apa yang menarik Mitsubishi Triton AT Premium versi yang dipertingkat masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM135,900, sama seperti Triton AT Premium biasa. Jadi ia masih sekitar RM20,000 lebih murah berbanding Triton Athlete yang dijual pada harga RM155,900.

    Setiap pembelian trak pikap ini disertakan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Walaupun MMM menyatakan Triton AT Premium dipertingkat ini hanya ditawarkan dalam jumlah terhad, ia tidak menyatakan berapa jumlah sebenar yang akan dihasilkan.

     
     
  • Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    SUV mewah Jaecoo J7 yang sebelum ini pernah dipertontonkan di Malaysia sekarang dibawa ke Pusat Latihan dan Pengalaman 4WD Malaysia (M4TREC) di Semenyih Selangor. Menurut Jaecoo Malaysia, SUV tersebut berjaya “menawan segala ujian dengan mudah.”

    Semasa dipertontonkan awal bulan lalu, dua varian J7 ini dibawa, iaitu versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda. Kedua-duanya menggunakan enjin petrol empat silinder 1.6 liter turbo dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

    Antara ujian yang dilalui di M4TREC melibatkan tanjakan licin, ujian artikulasi, mendaki dan menuruni bukit curam serta beberapa lagi Turut diuji adalah kemampuan SUV itu untuk berhadapan keadaan jalan mencabar dan menerima impak kuat.

    Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    “Kemampuan offroad luar biasa J7 membuat kami terkejut, dan ia ditunjukkan dengan navigasi lancar melalui jalan yang mencabar di M4TREC,” Jaecoo memetik ayat daripada salah seorang pelatih M4TREC.

    Mencatat ukuran badan 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2,672 mm, J7 mempunyai saiz seperti Toyota Corolla Cross, tetapi lebih kecil berbanding Mazda CX-5. Melihat kepada spesifikasi, ia mencatat jarak kelegaan dari tanah 200 mm, boleh meredah air berkedalaman 600 mm serta sudut condong 21 darjah hadapan dan 29 darjah di belakang.

    Sistem keselamatan pada J7 dikatakan terdiri daripada 21 fungsi pemanduan pintar, dan antaranya adalah Automatic Emergency Braking (AEB), Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Emergency Lane Keeping, Intelligent Evasion System, Curve Speed Assistance, Lead Car Departure Notification, kamera 360 darjah serta Park Assist.

    Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC

    Turut diberi adalah Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Rear Cross Traffic Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Change Assist, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist. Sebelum ini Jaecoo Malaysia memberitahu, J7 akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.

    Selain J7, Jaecoo Malaysia juga sudah menunjukkan J8, yang merupakan SUV tiga baris tempat duduk dengan enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 249 PS dan 385 Nm. Ia adalah SUV yang lebih besar, dengan ukuran badan 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak roda 2,820 mm.

    Jenama Jaecoo ini sebenarnya berada di bawah Chery (seperti Omoda) dan ia dibuat khas untuk pasaran luar selain China.

     
     
  • Proton M70 dalam lukisan digital – adakah patut Proton keluarkan MPV lebih kecil berbanding Exora?

    Proton M70 dalam lukisan digital – adakah patut Proton keluarkan MPV lebih kecil berbanding Exora?

    Katakanlah apabila Exora sudah tidak dijual nanti, Proton akan mengeluarkan MPV baru sebagai pengganti. Bagaimana rupanya? Itulah yang ditanya oleh Theophilus Chin, dan memandangkan beliau mempunyai kemahiran dalam lukisan digital, satu bayangan dibuat.

    Exora telah menjadi satu pilihan yang popular dalam pasaran MPV segmen C agak lama, tetapi pengeluarannya sudah dihentikan dan berakhir Oktober lalu. Ada yang menganggap X90 sebagai pengganti terus Exora, jadi sekarang ada ruang untuk MPV yang lebih kecil, mungkin seperti pesaing kepada Perodua Alza.

    Theo memanggil bayangan MPV kompak Proton ini sebagai M70, dan ia menggabungkan badang Volkswagen Touran generasi ketiga dengan elemen rekaan serta permukaan daripada sedan S70. Apa pendapat anda dengan lukisan ini? Adakah ia nampak menarik?

    Proton M70 dalam lukisan digital – adakah patut Proton keluarkan MPV lebih kecil berbanding Exora?

    Exora mempunyai ukuran badan 4,615 mm panjang dan 1,809 mm lebar, menjadikannya lebih besar berbanding Touran yang mencatat 4,527 mm dan 1,829 mm. Perlu dinyatakan juga, kedua-duanya adalah MPV yang lebih besar berbanding Alza sekarang yang mencatat 4,425 mm dan 1,730 mm.

    Proton masih tidak membuat sebarang pengesahan sama ada Exora akan disambung untuk generasi seterusnya ataupun tida. Sebelum ini pernah keluar khabar angin Geely Jiaji akan menjadi asas untuk Exora baru, tetapi tiada berita baru sehingga kini. Adakah patut sebenarnya Proton letak sahaja Exora di tepi dan perkenalkan MPV yang lebih kecil? Anda rasa?

     
     
  • Skandal ujian keselamatan: Produksi kilang Daihatsu di Jepun terus dihenti hingga pertengahan Februari

    Skandal ujian keselamatan: Produksi kilang Daihatsu di Jepun terus dihenti hingga pertengahan Februari

    Daihatsu mengumumkan tempoh penghentian sementara operasi produksi kilangnya di Jepun kerana skandal penyelewengan ujian keselamatan yang sepatutnya berakhir pada hujung bulan ini, nampaknya dipanjangkan lagi sehingga pertengahan Februari.

    Menurut syarikat itu, operasi tiga dari kilangnya di Jepun iaitu Kilang Shiga (Ryuo) No.2, Kilang Oita Daihatsu Kyushu No.1/No.2 dan Kilang Copen Ikeda akan terus dihentikan sepenuhnya sehingga bulan Februari. Manakala beberapa bahagian produksi untuk Kilang Oyamazaki di Kyoto kini sedang dipertimbangkan untuk beroperasi semula.

    Walaupun pengeluaran Daihatsu Thor, Toyota Roomy dan Subaru Justy di kilang itu tidak akan disambung semula sehingga sekurang-kurangnya 16 Februari, Daihatsu menyatakan bahawa produksi untuk Toyota Probox dan Mazda Familia Van sedang dipertimbangkan, tetapi ia masih akan mengambil kira maklum balas pelanggan, status kesediaan pembekal dan faktor lain yang berkaitan sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu dibuat.

    Skandal ujian keselamatan: Produksi kilang Daihatsu di Jepun terus dihenti hingga pertengahan Februari

    Sebelum ini Daihatsu dilaporkan akan mengalami kerugian sehingga lebih dari 100 bilion yen (RM3.2 bilion) kerana operasi produksi yang terpaksa dihentikan sehingga akhir Januari ini, dan juga kos yang perlu ditanggung untuk memberikan pampasan kepada pembekal yang terlibat. Dengan pemanjangan tempoh penghentian sementara operasi produksi ini mungkin akan menyebabkan kerugian tersebut akan terus meningkat.

    Minggu lalu kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun telah menarik semula sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi trak pikap Daihatsu Gran Max serta kembarnya Toyota Town Ace dan Mazda Bongo yang dijual di pasaran Jepun, serta memanggil semula sejumlah 322,740 unit kembar K-Car Daihatsu Cast dan Toyota Pixis Joy berhubung skandal ini.

    MLIT yang mengendalikan siasatan kes itu juga telah mengeluarkan arahan pembetulan yang menggesa Daihatsu agar membuat pembaharuan asas kepada struktur korporat yang terlibat dalam penyelewengan prosedur tersebut. Ini bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berlaku lagi.

     
     
  • Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan secara percuma hingga 8 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    Sempena dengan Tahun Baharu Cina 2024, Puspakom sedang menganjurkan kempen ‘Huat Periksa’, di mana ia menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma (VVI) mulai hari ini hingga 8 Februari. Kempen ini berlangsung di semua cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali Taman Bukit Maluri (Kepong), Shah Alam dan Pasir Gudang.

    Untuk menyertai kempen ini, pelanggan tidak perlu membuat sebarang temujanji, namun hanya untuk kenderaan persendirian sahaja. Puspakom berkata, untuk setiap pemeriksaan, sebanyak RM1.88 akan didermakan kepada badan kebajikan terpilih, jadi memeriksa kenderaan sambil beramal.

    Selain cawangan Puspakom, trak pemeriksaan bergerak juga akan berada di beberapa lokasi terpilih di sekitar Lembah Klang dan lain-lain. Lokasi terbabit termasuklah Lotus Bukit Puchong (Sabtu,27 Jan), MMU Cyberjaya (Rabu, 31 Jan), Lotus Ara Damansara (Khamis, 1 Feb) dan MMU Melaka (Khamis, 8 Feb). Waktu bagi perkhidmatan bergerak ini adalah dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Akhir sekali, jika anda menyertai pemeriksaan percuma VVI dan membeli insurans menerusi Puspakom, anda berpeluang memenangi boucar bernilai RM100.

    Sama ada anda menyertai pemeriksaan kenderaan di Puspakom, mahu pun tidak, pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi sempena cuti Tahun Baharu Cina ini. Sila selenggara kenderaan anda bila tiba masanya dan jangan lupa untuk periksan sekali keadaan tayar dan brek.

     
     
  • Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition – ada ‘Seb Mode’ & ‘Morizo Mode’, spoiler CFRP, hanya 100 unit

    Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition – ada ‘Seb Mode’ & ‘Morizo Mode’, spoiler CFRP, hanya 100 unit

    Selain dari GR Yaris Kalle Rovanperä Edition, Toyota turut mendedahkan satu lagi model edisi terhad hot-hatch berkenaan menggunakan nama juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang memandu untuk pasukannya di Rally Monte Carlo 2024 semalam – ini dia, Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition!

    Berbeza dari model konsepnya yang didedahkan pada Tokyo Auto Salon 2023 yang masih menggunakan versi pre-facelift, versi produksi sebenar Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition ini diasaskan dari GR Yaris facelift yang baru sahaja muncul pada awal tahun ini, dalam varian RZ High Performance.

    Model edisi terhad sempena juara WRC Toyota untuk tahun 2021 ini tidak diberikan sebarang peningkatan kuasa, namun tampil dengan kit aero dan penggayaan luaran serta dalaman yang lebih unik, serta mod sistem pacuan GR Four yang dihasilkan khas hanya untuk versi edisi terhad ini.

    Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition – ada ‘Seb Mode’ & ‘Morizo Mode’, spoiler CFRP, hanya 100 unit

    Jadi ia masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Toyota tidak menyatakan adakah model ini menerima kotak gear automatik 8AT GR DAT atau tidak, dan dalam gambar yang disiarkan ia hanya menampilkan tombol kotak gear manual enam-kelajuan.

    Bagi sistem sistem pacuan semua roda GR Four, model edisi terhad Sébastien Ogier Edition ini diberikan dua mod istimewa iaitu mod ‘Morizo’ dan mod ‘Seb’ bagi menggantikan mod Gravel dan Track pada versi biasa. Untuk mod Morizo, ia dihasilkan bagi mendapatkan tahap cengkaman dan prestasi membelok yang tinggi dengan membuat larasan semula pada gandar hadapan dan belakang.

    Menurut Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan, mod ini dinamakan sempena nama pengerusi Toyota yang juga “Toyota Master Driver”, Akio Toyota (juga dikenali dengan nama alter ego pelumbanya, Morizo), di mana Sebastien Ogier gemarkan agihan tork yang dihasilkan menerusi ujian berterusan yang dibuat sendiri oleh Morizo ini.

    Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition – ada ‘Seb Mode’ & ‘Morizo Mode’, spoiler CFRP, hanya 100 unit

    Manakala untuk mod Seb, ia akan memberikan prestasi membelok untuk kedua-dua roda hadapan, dan membolehkan kereta ini dikawal menerusi tork yang diagihkan lebih kepada pada gandar belakang. “Ini bukan sahaja akan memberikan rasa ‘bersatu dengan kereta’, tetapi dengan membolehkan kereta dikawal pada kelajuan tinggi, ia turut akan menyumbang kepada catatan masa perlumbaan yang lebih pantas”, kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada sebelah luar GR Yaris Sébastien Ogier Edition ini menerima spoiler belakang istimewa yang diperbuat dari bahan plastik diperkuat gentian karbon (CFRP), seiras dengan spoiler model edisi terhad Yaris GRMN. Ia tidak diberikan grafik badan menyeluruh seperti edisi Kalle Rovanperä, sebaliknya kelihatan lebih matang dengan warna badan Matte Stealth Gray, serta diberikan angkup brek hadapan dalam kemasan biru.

    Selain itu ia juga diberikan dekorasi bendera negara asal Sebastien Ogier iaitu Perancis pada gril hadapan, rim aloi 18-inci dari BBS yang diberikan logo Toyota Gazoo Racing serta bendera Perancis, pelekat memperingati kemenangan Ogier dalam WRC pada kedua-dua fender hadapan, pelekat Toyota Gazoo Racing pada kedua-dua pintu, serta emblem khas Sebastien Ogier Edition pada pintu hatch belakang.

    Pada bahagian kabin pula, dapat dilihat pilihan mod GR Four diberikan posisi mod ‘Morizo’ dan ‘Seb’ turut terpapar pada skrin instrumen digital GR Yaris ini. Ia juga menerima jahitan benang biru, kelabu, dan merah (juga sempena warna bendera Perancis) pada roda stereng, sarung kulit tuil gear dan tuil brek tangan, serta pada tempat duduk. Sementara lencana khas memperingati kejayaan Sebastien Ogier dalam WRC dilekat pada papan pemuka sebelah penumpang.

    Menurut Toyota kedua-dua model Sebastien Ogier dan Kalle Rovanperä ini dibangunkan atas keinginan Akio Toyoda bagi “melahirkan rasa hormat dan syukur terhadap pemandu-pemandu yang ‘membelasah’ dan membangunkan kereta-kereta Toyota dalam rali, kepada semua ahli pasukan yang membuka peluang seperti ini, dan kepada penganjur rali serta semua yang terlibat, dan juga untuk semua peminat.”

    Toyota GR Yaris edisi terhad Sébastien Ogier dan Kalle Rovanperä ini hanya dihasilkan 100 unit untuk setiap satu model, pembangunannya diselia sendiri oleh kedua-dua juara dunia berkenaan dan ia hanya dijual untuk pasaran Jepun. Bagi memastikan semua orang mempunyai peluang sama bagi membeli kereta ini, Toyota akan membuat sesi cabutan loteri bagi memilih 200 pembeli yang mahu mendapatkan kereta tersebut.

    Sebelum cabutan loteri itu dibuat, kedua-dua model berkenaan akan dipamerkan terlebih dahulu di JR Gate Tower, stesen tren Nagoya bermula 15 hingga 18 Februari ini. Toyota turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pemilik yang berjaya membeli kedua-dua model ini, antaranya nama-nama mereka akan dipaparkan pada kereta WRC Rally1 Toyota pada pusingan-pusingan tertentu WRC.

    Manakala ketika berlangsungnya pusingan ke-13 WRC musim ini iaitu Rally Japan 2024, pemilik-pemilik tersebut akan diraikan dengan diberikan pelaung untuk berinteraksi dengan pelumba-pelumba WRC Toyota serta ahli pasukan yang lain, di bawa untuk melihat kereta WRC dan pit pasukan tersebut, menyaksikan perlumbaan WRC di SS serta bakal diberikan pelbagai cenderamata WRC isitimewa.

     
     
  • Toyota GR Yaris Kalle Rovanperä Edition didedahkan – hanya 100 unit, ada ‘Donut Mode’, kit aero CFRP!

    Toyota GR Yaris Kalle Rovanperä Edition didedahkan – hanya 100 unit, ada ‘Donut Mode’, kit aero CFRP!

    Model edisi terhad Toyota GR Yaris Kalle Rovanperä Edition telah pun didedahkan secara rasmi ketika pembukaan pusingan pertama Kejohanan Rali Dunia (WRC) tahun ini iaitu Rally Monte Carlo 2024 yang berlangsung semalam. Seperti namanya, ini merupakan model istimewa yang dihasilkan menggunakan nama pemandu WRC pasukan Toyota Gazoo Racing dari Finland, Kalle Rovanperä yang merupakan juara dunia dua kali berturut-turut iaitu untuk musim 2022 dan 2023.

    Versi produksi sebenar ini diasaskan dari GR Yaris facelift 2024 dalam varian RZ High Performance pasaran Jepun yang didedahkan di Tokyo Auto Salon pada awal bulan ini, berbeza dari model konsepnya yang didedahkan setahun sebelum itu yang masih menggunakan GR Yaris pre-facelift. Ia tidak diberikan sebarang peningkatan kuasa, namun tampil dengan kit aero dan penggayaan luaran serta dalaman yang lebih unik, serta mod sistem pacuan GR Four yang dihasilkan khas hanya untuk versi edisi terhad ini.

    Jadi ia masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Toyota tidak menyatakan adakah model ini menerima kotak gear automatik 8AT GR DAT atau tidak, dan dalam gambar yang disiarkan ia hanya menampilkan tombol kotak gear manual enam-kelajuan.

    Toyota GR Yaris Kalle Rovanperä Edition didedahkan – hanya 100 unit, ada ‘Donut Mode’, kit aero CFRP!

    Model istimewa ini menerima LSD jenis constant-velocity pada gandar belakang, manakala sistem pacuan semua roda GR Four pula diberikan dua mod istimewa iaitu mod ‘Donut’ dan mod ‘Kalle’ bagi menggantikan mod Gravel dan Track pada versi biasa.

    Bagi mod ‘Donut’, ia dihasilkan bagi memudahkan pemandu membuat aksi donut dan drift dengan membuat larasan semula pada gandar hadapan dan belakang. Menurut Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan, mod ini dihasilkan sempena peristiwa di mana Rovanperä yang sememangnya bagus dalam aksi donut, pernah memberikan donut sebenar kepada pengerusi Toyota yang juga “Toyota Master Driver”, Akio Toyota (juga dikenali dengan nama alter ego pelumbanya, Morizo).

    Toyota GR Yaris Kalle Rovanperä Edition didedahkan – hanya 100 unit, ada ‘Donut Mode’, kit aero CFRP!

    Satu lagi mod GR Four yang diberikan digelar sebagai mod Kalle. Menurut Toyota, mod ini akan memaksimakan LSD constant velocity yang dipasangkan pada gandar belakang, membolehkan bahagian ekor kereta ini melibas secara agresif apabila masuk ke selekoh dan memberikan cengkaman yang lebih pada roda hadapan ketika memecut keluar dari selekoh, bagi menghasilkan catatan masa ketika berlumba yang lebih pantas.

    Pada sebelah luar GR Yaris Kalle Rovanperä Edition ini menerima spoiler belakang istimewa yang diperbuat dari bahan plastik diperkuat gentian karbon (CFRP), seiras dengan spoiler model edisi terhad Yaris GRMN. Spoiler berkenaan bukan sahaja lebih besar dari versi standard, malah sudut sayapnya turut boleh dilaras menerusi pemegang ‘leher angsa’ yang dipasang pada sebelah atas.

    Model yang dihasilkan dengan nama juara WRC paling muda dalam sejarah ini juga menerima rim aloi 18-inci dari BBS yang diberikan logo Toyota Gazoo Racing, grafik badan khas tiga tona (putih-merah-hitam) bersama nombor perlumbaan ’69’ Rovanperä, pelekat memperingati kemenangan Rovanperä dalam WRC pada kedua-dua fender hadapan, pelekat Toyota Gazoo Racing pada kedua-dua pintu, serta emblem khas Rovanperä Edition pada pintu hatch belakang.

    Pada bahagian kabin pula, dapat dilihat pilihan mod GR Four diberikan posisi mod ‘Donut’ dan ‘Kalle’ turut terpapar pada skrin instrumen digital GR Yaris ini. Ia juga menerima jahitan benang biru dan kelabu (sempena warna bendera Finland) pada roda stereng, sarung kulit tuil gear dan tuil brek tangan, serta pada tempat duduk. Sementara lencana khas memperingati kejayaan Kalle Rovanperä dalam WRC dilekat pada papan pemuka sebelah penumpang.

    Serentak dengan pelancaran edisi Kalle Rovanperä ini, Toyota turut melancarkan sekali edisi khas GR Yaris untuk seorang lagi juara WRC pasukannya iaitu pelumba lagenda Perancis, Sébastien Ogier. Menurut Toyota kedua-dua model ini dibangunkan atas keinginan Akio Toyoda bagi “melahirkan rasa hormat dan syukur terhadap pemandu-pemandu yang ‘membelasah’ dan membangunkan kereta-kereta Toyota dalam rali, kepada semua ahli pasukan yang membuka peluang seperti ini, dan kepada penganjur rali serta semua yang terlibat, dan juga untuk semua peminat.”

    Toyota GR Yaris edisi terhad Kalle Rovanperä dan Sébastien Ogier ini hanya dihasilkan 100 unit untuk setiap satu model, pembangunannya diselia sendiri oleh kedua-dua juara dunia berkenaan dan ia hanya dijual untuk pasaran Jepun. Bagi memastikan semua orang mempunyai peluang sama bagi membeli kereta ini, Toyota akan membuat sesi cabutan loteri bagi memilih 200 pembeli yang mahu mendapatkan kereta tersebut.

    Sebelum cabutan loteri itu dibuat, kedua-dua model berkenaan akan dipamerkan terlebih dahulu di JR Gate Tower, stesen tren Nagoya bermula 15 hingga 18 Februari ini. Toyota turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pemilik yang berjaya membeli kedua-dua model ini, antaranya nama-nama mereka akan dipaparkan pada kereta WRC Rally1 Toyota pada pusingan-pusingan tertentu WRC.

    Manakala ketika berlangsungnya pusingan ke-13 WRC musim ini iaitu Rally Japan 2024, pemilik-pemilik tersebut akan diraikan dengan diberikan pelaung untuk berinteraksi dengan pelumba-pelumba WRC Toyota serta ahli pasukan yang lain, di bawa untuk melihat kereta WRC dan pit pasukan tersebut, menyaksikan perlumbaan WRC di SS serta bakal diberikan pelbagai cenderamata WRC isitimewa.

     
     
  • Mitsubishi Xpander HEV, Xpander Cross HEV 2024 akan tampil di pasaran Thailand pada 1 Februari ini

    Mitsubishi Xpander HEV, Xpander Cross HEV 2024 akan tampil di pasaran Thailand pada 1 Februari ini

    Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross HEV (hibrid) dijangka akan membuat penampilan pertama di Thailand, seperti yang dikongsikan di laman Facebook Mitsubishi Motors Thailand.

    Perincian berkaitan sistem janaan kuasa model hibrid belum didedahkan secara rasmi, walaupun lencana HEV yang digunakan untuk model ini seperti yang dilihat dalam iklan teaser tersebut adalah berbeza daripada lencana Plug-in Hybrid EV yang pernah digunakan sebelum ini, misalnya untuk model Outlander PHEV 2022.

    Dari profil yang kelihatan, Xpander dan Xpander Cross hibrid kelihatan mengenakan perincian kemasan biru untuk bahagian badannya, mencadangkan yang ia adalah model elektrifikasi. Xpander Cross HEV juga mungkin akan menawarkan penampilan luaran yang lebih garang, dan varian enjin petrol biasa hadir dengan rekaan gril yang berbeza, begitu juga dengan rekaan bampar dan cladding badan.

    Xpander dan Xpander Cross facelift masing-masing telah diperkenalkan pertama kali pada November 2021 dan Ogos 2022, dengan gandingan enjin 4A91 1.5 liter NA yang menghasilkan 105 PS dan 141 Nm tork, digandingkan dengan transmisi Eco-Dynamic CVT.

    Di Thailand, Xpander facelift dilancarkan dengan harga 799,000 baht (RM104,388) untuk varian paling asas GLS-LTD, sehinggalah mencecah 895,000 baht (RM116,930) untuk varian GT. Xpander Cross facelift pula diperkenalkan di sana dalam satu varian sahaja, dengan harga 946,000 baht (RM123,565).

     
     
  • 254 lokasi cerun merbahaya dikenal pasti di M’sia, risiko tanah runtuh — kerja mitigasi dijalankan

    254 lokasi cerun merbahaya dikenal pasti di M’sia, risiko tanah runtuh — kerja mitigasi dijalankan

    Menurut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), terdapat 254 lokasi cerun kritikal di Malaysia yang telah dikenal pasti sebagai berisiko terhadap tanah runtuh. Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli berkata, 104 lokasi dikelaskan sebagai berisiko tinggi, 97 berisiko sederhana dan 53 risiko rendah, lapor The Star.

    Sabah mencatatkan angka cerun kritikal tertinggi dengan 36 lokasi. Ini diikuti oleh Johor, Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu dengan 25 lokasi setiap negeri, Sarawak dan Selangor dengan 21 lokasi, Negeri Sembilan (19), Pulau Pinang (13), Kedah (8), Melaka (6), Perlis (4) dan Kuala Lumpur (1).

    “Pengkelasan dan pemantauan cerun-cerun yang dinyatakan ini dilakukan secara berperingkat, dengan laporannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan serta agensi atau jabatan teknikal terlibat untuk membantu dan menggerakkan langkah penyelenggaraan atau penghindaran. Maklumat sama turut diberikan kepada agensi penyelamat sebagai persediaan mereka dalam berhadapan dengan situasi geologikal,” ujar Zamri.

    Beliau menambah, kerja-kerja penghindaran sudah selesai di 37 daripada 254 lokasi berkenaan. Sementara itu, 15 kawasan lagi sedang menjalaninya, dan baki 202 lokasi sedang dipantau untuk tindakan selanjutnya.

    254 lokasi cerun merbahaya dikenal pasti di M’sia, risiko tanah runtuh — kerja mitigasi dijalankan

    Zamri juga menyatakan 31 kawasan berisiko tinggi tanah runtuh telah dikenal pasti, termasuk lokasi di sepanjang lebih raya seperti di Lebuhraya Lingkaran Timur-Barat, laluan Tapan-Cameron Highlands, Seremban-Simpang Pertang, Rembau-Johol dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

    Lain-lain lokasi berisiko adalah di Sungai Buloh, Bukit Antarabangsa, Genting Peras, sementara di Sabah dan Sarawak pula melibatkan Kota Kinabalu, Kundasang, Sandakan, Miri, Kapit dan Bau. Lokasi titik panas ini melibatkan 6,431 kejadian tanah runtuh dan 602 kematian dari 11 Mei 1961 hingga 17 Disember 2023 — denga kemaskini titik panas tanah runtuh ini dilakukan dari semasa ke semasa.

    Zamri juga menekankan yang Lata Iskandar Forest Ecopark di Perak, Sungai Tua Forest Ecopark di Selangor, Jeram Toi Forest Ecopark di Negeri Sembilan, Chamang Forest Ecopark di Pahang serta Lata Payung, Chemerong dan Air Menderu Forest Ecoparks di Terengganu juga berpotensi mengalami aliran serpihan dan sisa tanah runtuh.

    Mereka yang tinggal berdekatan kawasan cerun atau lokasi dengan sejarah kejadian tanah runtuh dinasihatkan memberi perhatian kepada persekitaran mereka, seperti pergerakan cerun, rekahan tanah, dinding, tiang serta jalan, dan melaporkan secepatnya kepada JMG atau pihak berkuasa tempatan jika terdapat sebarang keraguan.

     
     
  • Pemandu Toyota Camry halang laluan ambulan di MRR2 dijejaki polis – boleh kena denda atau penjara

    Pemandu Toyota Camry halang laluan ambulan di MRR2 dijejaki polis – boleh kena denda atau penjara

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan pihaknya sedang menjejaki pemandu Toyota Camry dengan nombor pendaftaran VKQ 8538 yang menghalang laluan ambulans di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) petang semalam. Walau bagaimana pun, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian.

    “Bagaimanapun pemilik atau pemandu kereta akan dikesan untuk tindakan lanjut,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

    Lewat petang semalam, tular video di laman media sosial dengan rakaman berdurasi 40 saat yang memaparkan sebuah Toyota Camry itu dilihat enggan memberi laluan kepada ambulans walaupun diarahkan berbuat demikian.

    Walaupun siren kecemasan dibunyikan ketika kejadian, pemandu Camry terbabit tetap memandu laju di lorong kanan enggan memberi laluan kepada kenderaan berkenaan. Dan apabila pemandu ambulans mengubah laluan ke lorong kiri, Camry terbabit juga beralih ke lorong yang sama, seakan ‘acah-acah’ tak nak juga bagi laluan.

    Menurut polis, pemandu yang tidak memberi laluan kepada ambulans boleh dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas LN165/59 iaitu Kanun Lebuhraya ada menyatakan Peraturan 24 LN165/59. Apabila menghampiri apa-apa kenderaan kecemasan seperti polis, bomba atau ambulans, bunyi siren atau loceng, tatacara pemanduan mestilah masuk ke sebelah kiri atau kanan dan berhenti untuk memudahkan laluan kenderaan kecemasan.

     
     
  • Nissan dan GAC 2024 — Serena C28, Almera facelift, GAC GS3, Aion S Plus EV bakal diperkenal di M’sia?

    Nissan dan GAC 2024  — Serena C28, Almera <em>facelift</em>, GAC GS3, Aion S Plus EV bakal diperkenal di M’sia?

    Tahun lalu, Nissan memperkenalkan beberapa model baru untuk pasaran Malaysia, antaranya Leaf facelift pada bulan Mac. Begitu juga dengan beberapa edisi untuk Serena dan Navara, serta tiga kenderaan yang dibikin dan tunjuk ketika Tokyo Auto Salon KL.

    Tiada pengenalan model serba baru bagi Nissan untuk tahun lalu. Bagaimana dengan 2024? Berikut barisan model yang boleh dijangka akan diperkenalkan oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) di sini, tahun ini. Antaranya ialah model Serena generasi keenam (C28) yang sudah dilihat diuji di sini. MPV berkenaan bakal menampilkan rekaan yang lebih segar dan moden, terutama untuk bahagian gril V-motion serta lampu utama bertingkat.

    Bentuk berkotak masih kekal, dengan rekaan lampu belakang lebih tirus dan ruang dalaman dengan rekaan baru. Serena baru ini nanti akan menggunakan kluster instrumen digital dan skrin sentuh untuk sistem infotainmen di papan pemuka, berserta corong pendingin yang terselindung dengan suis kawalannya, pemilih gear (tiada lagi tuil gear) dan butang untuk fungsi lain.

    Nissan dan GAC 2024  — Serena C28, Almera <em>facelift</em>, GAC GS3, Aion S Plus EV bakal diperkenal di M’sia?

    Untuk janaan kuasa, Serena ini menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter NA empat-silinder sebaris petrol, yang menghasilkan 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 200 Nm untuk model C27 ketika ini. Enjin ini turut dilengkapi motor elektrik kecil yang menyediakan 2.6 PS (2.4 hp atau 1.8 kW) dan 48 Nm untuk lonjakan pecutan bila perlu, dengan sistem pacuan roda depan melalui transmisi Xtronic CVT.

    Selain itu, jenama Guangzhou Automobile Group (GAC) yang turut dikendalikan di bawah anak syarikat ETCM juga dijangka akan memperkenalkan model baru. Selepas GS3 generasi pertama yang tiba pada Disember 2021, pengedarnya Warisan Tan Chong Automotif (WTCA), model generasi kedua GS3 pula di jangka akan diperkenalkan di sini, dan melalui pemasangan CKD di kilang Tan Chong Segambut. Pengeluarannya dijangka bermula pada April 2024, dan kilang berkenaan juga sudah disuntik dengan pelaburan RM60 juta untuk naik taraf bagi tujuan tersebut.

    Program CKD ini akan disokong oleh rangkaian pengedar, dengan yang pertama yang akan menempatkan bilik pameran flagship di Petaling Jaya pada suku ketiga tahun ini. Selain GS3, model Emkoo juga dijangka akan dipasang di sini pada masa hadapan.

    Nissan dan GAC 2024  — Serena C28, Almera <em>facelift</em>, GAC GS3, Aion S Plus EV bakal diperkenal di M’sia?

    Emkoo pertama kali dipertonton pada April 2022 dan mula dijual di China pada Ogos tahun yang sama, dengan dua pilihan enjin — turbocas dan petrol hibrid. Mempunyai dimensi 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi, SUV ini hampir sama saiznya dengan Honda CR-V, walaupun mempunyai jarak antara roda yang lebih panjang dengan 2,750 mm (+49 mm).

    Beberapa hari lalu juga telah disahkan bahawa WTCA telah dilantik sebagai pengedar tunggal eksklusif bagi barisan EV Aion oleh GAC. Aion S Plus mungkin jadi model pertama yang diperkenalkan di sini. Sedan berkenaan, dalam saiz seperti Toyota Camry, telah diperkenalkan di China pada Jun 2021 dan memberikan jarak hingga 602 km (NEDC).

    Ada model yang menarik minat anda daripada Nissan dan GAC tahun ini?

     
     
  • GTV Motor – jenama automotif pertama Kemboja; produksi kilang bermula tahun ini, 35k unit setahun

    GTV Motor – jenama automotif pertama Kemboja; produksi kilang bermula tahun ini, 35k unit setahun

    Selepas Vietnam yang muncul dengan jenama Vinfast, satu lagi negara ASEAN iaitu Kemboja nampaknya turut bakal memperkenalkan jenama automotifnya sendiri menerusi syarikat yang dikenali sebagai GTV Motor. Menurut laporan Khmer Times, jenama tersebut bakal memulakan operasi pemasangannya tahun ini dengan lima model yang didakwa akan dijual pada harga yang mampu milik.

    Kilang berkenaan terletak di Daerah Kandal Steung, Wilayah Kandal dengan keluasan 100,000 meter persegi, dan dirancang bakal mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 35,000 unit kenderaan. Dalam laporan akhbar tersebut, GTV Motor turut menyatakan bahawa kilang itu akan dirasmikan dan memulakan produksinya pada “awal 2024”.

    Menurut Khmer Times lagi, kilang produksi yang bernilai US$15.6 juta (RM73.8 juta) itu telah mendapat kelulusan awal dari majlis pembangunan Kemboja pada Jun 2022, dan didakwa telah mewujudkan sebanyak 738 pekerjaan. GTV Motor menyatakan bahawa unit-unit yang dipasang di kilang tersebut disasarkan untuk pasaran tempatan dan bukan untuk dieksport memandangkan permintaan dalam negara yang kini sedang meningkat naik.

    Kilang tersebut juga akan menumpukan usaha pembangunan kenderaan jenama Kemboja sendiri, dan “bakal memberikan sumbangan bagi menyokong industri berat Kemboja, selari dengan pelan hala tuju Kerajaan Diraja untuk pembangunan sektor automotif dan elektronik di Kemboja,” kata CFO dan timbalan pengurus besar GTV Motor, Soy Benlyly.

    Menerusi sumber yang diambil dari laman Facebook GTV Motor Cambodia, jenama tersebut bakal menampilkan barisan model yang terdiri dari beberapa model SUV, dan juga MPV serta trak pikap.

    Model-model berkenaan adalah SUV Soben 1.5L dijual pada harga bermula US$19,999 (RM94,695), diikuti SUV Ceasar 1.5T berharga US$26,999 (RM127,840), trak pikap Krusar 2.0T berharga US$27,999 (RM132,575), MPV Soben-P berharga US$33,950 (RM160,753), SUV Kain 1.5T berharga US$34,950 (RM165,488) dan SUV Kain 2.0T berharga US$37,950 (RM179,693).

    Dengan carian lebih lanjut di internet, ke semua model-model berkenaan adalah versi rebadge dari pelbagai model yang dikeluarkan oleh pelbagai jenama automotif China. SUV GTV Kain 1.5T dan Kain 2.0T misalnya, ia diasaskan dari SUV Kaiyi Kunlun (Kaiyi merupakan sub-jenama dari Chery yang mensasarkan pasaran golongan lebih muda), manakala trak pikap Krusar pula diasaskan dari VGV VX7 (VGV adalah sub-jenama dari pembuat trak China iaitu Sinotruk).

    Laporan Khmer Times juga menyebut GTV Motor telah membuat pelaburan dalam pembangunan sumber manusia untuk sektor produksi automotif Kemboja, dengan mewujudkan Institut Penyelidikan Elektronik Automotif GTV (GTV AERI) di negara berkenaan sejak syarikat itu didaftarkan pada 2022.

    Institut tersebut mempunyai pejabat-pejabat bersekutu di Jerman, China, Jepun dan Singapura, serta berhubung dengan Institut Politeknik Kebangsaan Kemboja untuk menyediakan latihan lanjutan bagi membangunkan golongan profesional dalam industri automotif Kemboja.

    Pada Mac 2023, Khmer Times melaporkan bahawa GTV Motor merupakan salah satu daripada sembilan kilang pemasangan kenderaan yang diluluskan di Kemboja, dengan tiga daripadanya telah beroperasi iaitu kilang Hyundai di Koh Kong dan Daehan di Bavet City, serta Ford di wilayah Pursat. Syarikat lain yang turut telah diluluskan termasuk HGB Motor Assembly, EM Automotive, Toyota, dan China Matrix Technology Group.

    GALERI: SUV GTV Kain

    GALERI: Trak pikap Double Cab Krusar

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025