Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sultan Ibrahim Iskandar berangkat keluar dari Istana Bukit Serene dengan menaiki Rolls-Royce Phantom VI

    Sultan Ibrahim Iskandar berangkat keluar dari Istana Bukit Serene dengan menaiki Rolls-Royce Phantom VI

    Hari ini merupakan satu lagi hari penuh bersejarah buat Malaysia di mana kita mendapat Yang DiPertuan Agong yang baharu. Kini giliran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. Upacara Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 dilangsungkan di Istana Negara pagi ini.

    Seawal jam 8 pagi, kelihatan Sultan Ibrahim berangkat keluar dari pintu utama Istana Bukit Serene, Johor Bahru, bersama konvoi Diraja ke Hangar DiRaja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), sebelum menaiki pesawat khas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

    Hasil rakaman lensa Bernama yang disiarkan menerusi laman media X, menariknya, Sultan Ibrahim memilih untuk menaiki limosin klasik Rolls-Royce Phantom VI berwarna biru gelap sebelum menaiki pesawat khas tersebut. Umum mengetahui, Sultan Ibrahim memang pencinta kenderaan termasuklah memiliki Mack truck.

    Merupakan model terdahulu bagi Rolls-Royce Phantom masa kini, Phantom VI dikeluarkan dari tahun 1968 hingga 1990, dan hanya sebanyak 374 unit sahaja yang dihasilkan sepanjang tempoh itu. Kemasan kerja bagi limosin klasik ini direka oleh Mulliner Park Ward, dan Phantom VI merupakan model terakhir Rolls-Royce yang menggunakan casis yang berasingan. Limosin klasik ini juga dipadankan dengan enjin 6.2 liter twin-carb V8, digandingan bersama kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Sultan Ibrahim Iskandar berangkat keluar dari Istana Bukit Serene dengan menaiki Rolls-Royce Phantom VI

    Pada tahun 1979, Phantom VI telah diberikan enjin yang lebih besar berkuasa 6,750 cc dan transmisi automatik tiga-kelajuan dengan torque converter, serta unit pendingin hawa hadapan dan belakang.

    Phanton VI sebenarnya banyak digunakan oleh orang kenamaan termasuk kerabat diRaja. Menurut Wikipedia, mendiang Ratu Elizaberh II juga mempunyai dua uni jentera ini, manakala Sultan Brunei, yang juga merupakan pencinta kenderaan turut memilikinya. Bagi keluarga kerabat Johor pula, memiliki dua unit Phanton VI, yang boleh disaksikan menerusi video ini di mana terdapat sebuat lagi Phanton VI menelusuri laluan yang sama di belakang kenderaan yang dinaiki oleh Sultan Ibrahim. Diikuti dengan kereta pengiring yang lain termasuk SUV QMC dan Audi A8.

    Sultan Ibrahim bersama rombongan telah pun selamat tiba di Pangkalan TUDM Subang sekitar jam 9.45 pagi, dan penulis yang berada kurang lima kilometer dari TUDM turut terdengar beberapa pesawat pejuang TUDM yang membuat penerbangan khas sejurus ketibaan YDPA baharu kita di sini. Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam. Daulat Tuanku!

     
     
  • Kerajaan tidak patut mansuhkan tol – Menteri KKR

    Kerajaan tidak patut mansuhkan tol – Menteri KKR

    Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan Malaysia tidak sepatutnya memansuhkan kutipan tol di lebuh raya. Beliau berkata demikian dalam petikan wawancara yang disiarkan oleh BFM Radio di laman media sosial X.

    “Terdapat beberapa pandangan di luar sana yang mengatakan “kita patut hapuskan tol”. Tetapi saya tidak fikir kita harus memansuhkan tol. Saya harap ia dapat difahami. Saya tidak mengatakan [kerajaan] tidak cukup mengambil berat kepada rakyat dengan (tidak) memberi penggunaan percuma lebuh raya. Ia bukan seperti itu,” kata Nanta sambil menambah kerajaan perlu menghasilkan berbilion ringgit dalam penyelenggaraan setiap tahun.

    Katanya lagi, “Jika kita menghapuskan tol, kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan untuk menyelenggara lebuh raya tersebut yang pernah ada tol, yang sebelum ini menggunakan peruntukan sendiri (bagi syarikat konsesi) dalam penyelenggaraan. Dan kemudian kerajaan mengambil alih tanggungjawab tersebut, mungkin ada rakyat Malaysia yang tidak menggunakannya (lebuh raya) berpendapat peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk mereka.”

    Kerajaan tidak patut mansuhkan tol – Menteri KKR

    Tambahnya, pengurangan pembiayaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat di bahagian Malaysia Timur, tetapi juga rakyat Malaysia di negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu yang tidak mempunyai lebuh raya bertol, tidak seperti di bahagian barat Semenanjung Malaysia.

    “Rakan-rakan kita di Kelantan, Terengganu, dan di mana-mana sahaja yang tidak perlu menggunakan lebuh raya bertol, mungkin menerima pengurangan pembiayaan kerajaan untuk membangunkan tempat mereka. Jadi, pada saya, tol perlu dikutip.

    “Oleh kerana pemaju (lebuh raya) ini tidak perlu lagi membayar balik pinjaman mereka, jadi mereka patut berbuat demikian (kurangkan kutipan). (Mereka sepatutnya) mengaut keuntungan, supaya mereka boleh meneruskan penyelenggaraan, tetapi pada kadar yang dikurangkan supaya rakyat dapat menikmati kadar tol yang lebih murah. Itulah caranya,” kata menteri itu.

     
     
  • Kes ‘paw’ pelancong asing RM100 di Jalan Simpang Pulai – tiga pegawai polis trafik Perak sudah ditahan

    Kes ‘paw’ pelancong asing RM100 di Jalan Simpang Pulai – tiga pegawai polis trafik Perak sudah ditahan

    Susulan video yang dimuatnaik oleh pasangan dari United Kingdom yang memaparkan seorang anggota polis trafik Malaysia kelihatan ‘menawarkan diskaun saman’ selepas mereka ditahan kerana melebihi had laju baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telahpun mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan bahawa tiga anggota polis trafik telah ditahan berhubung kes berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Perak Dato Sri Mohd Yusri Bin Haji Hassan Basri, tiga anggota trafik tersebut adalah dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak masing-masing berumur 37 hingga 42 tahun.

    Kesemua mereka dipercayai terlibat bagi membantu siasatan lanjut kes yang disiasat di bawah seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta SPRM serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 tersebut. Menerusi tangkapan ini ketiga-tiga anggota berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini, 30 Januari 2024 sehingga 1 Februari 2024 bagi tujuan siasatan lanjut.

    Mohd Yusri turut menyatakan bahawa kertas siasatan kes ini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalaman apabila siasatan sudah dilengkapkan. Malah siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga turut akan dijalankan, tambahnya lagi.

    Dalam video yang tular semalam, kelihatan seorang anggota trafik mendakwa pasangan terbabit memandu selaju 80 km/j sementara had laju di laluan berkenaan hanyalah 60 km/j lalu mengeluarkan saman. Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 sahaja jika dibayar secara terus kepada dirinya tanpa perlu ke balai polis.

    Selepas ‘membayar’ saman terbabit, kelihatan pasangan UK berkenaan agak keliru dengan ‘tindakan memandu melebihi had laju’ berkenaan. Walau bagaimanapun, mereka berpendapat mungkin dengan ‘membayar saman secara terus’ dengan anggota terbabit adalah salah satu opsyen yang ditawarkan dan ia turut menawarkan kadar saman lebih rendah berbanding jika dibayar di balai polis.

    Segala yang berlaku dimuat naik di saluran Youtube Tread the Globe milik pasangan dari UK tersebut, di mana mereka sedang menjelajah Malaysia dengan camper van, dan pengalaman itu di dokumentasikan menerusi video yang dimuat naik di saluran Youtube berkenaan.

    Polis mengesahkan kejadian ini berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland. Dalam kenyataan yang sama dikeluarkan hari ini, polis turut meminta agar pasangan tersebut tampil memberikan kerjasama agar siasatan dapat dilengkapkan dengan cepat.

     
     
  • Harga BMW 2024 – naik sehingga RM29k dengan jaminan lanjutan, 3 Series naik RM10k, iX naik RM15k

    Harga BMW 2024 – naik sehingga RM29k dengan jaminan lanjutan, 3 Series naik RM10k, iX naik RM15k

    Memasuki tahun baru ini, BMW malaysia telah mengeluarkan senarai harga kenderaan mereka, yang melihatkan peningkatan hampir pada kesemuanya dan kebanyakan kenaikan harga ini adalah disebabkan oleh pakej jaminan lima tahun dan servis yang ditawarkan.

    Satu-satunya model yang masih lagi mengekalkan harga sama adalah i5 (gambar di atas), yang dilancarkan pada November tahun lepas. Varian elektrik bagi 5 Series G60 ini masih dijual pada harga RM399,500, atau RM419,800 dengan pakej servis serta jaminan lanjutan.

    Semua model lain menyaksikan peningkatan harga, bermula dengan 218i Gran Coupé yang kini RM1,480 lebih mahal, atau RM3,600 lebih dengan jaminan lanjutan. Untuk 5 Series G30 dan Gran Turismo 630i pula, anda sekarang perlu membayar RM680 lebih, atau RM3,900 dengan jaminan lanjutan, sementara model 3 Series pula naik RM5,200, atau RM10,200 dengan jaminan lanjutan.

    Harga BMW 2024 – naik sehingga RM29k dengan jaminan lanjutan, 3 Series naik RM10k, iX naik RM15k

    Pergi kepada model lebih tinggi 7 Series, harganya naik RM7,100, atau Rm13,600 dengan jaminan lanjutan. Melihat kepada SUV, anda perlu membayar tambahan RM5,900 untuk X1, sehingga RM4,240 lebih (RM5,800 dengan jaminan lanjutan) untuk X3, RM2,240 lebih (RM3,700 dengan jaminan lanjutan) untuk X4 xDrive30i, RM7,180 lebih (RM13,300 dengan jaminan lanjutan) untuk X6 xDrive40i dan RM8,340 lebih (RM13,200 dengan jaminan lanjutan) untuk X7.

    Untuk X5 model generasi keempat G05 versi facelift LCI, harga rasminya baru sahaja didedahkan semalam, dengan satu-satunya varian iaitu xDrive50e M Sport plug-in hybrid dijual pada harga RM30,180 lebih berbanding xDrive45e sebelum ini, atau RM36,300 lebih dengan jaminan lanjutan. Walaubagaimanapun, model ini menerima pelbagai peningkatan termasuk bateri yang lebih besar.

    Meskipun terdapat model yang harga asasnya tidak naik, anda masih perlu membayar lebih lagi untuk mendapatkan pakej jaminan lanjutan yang harganya sudah naik. Ia berada antara RM2,120 (untuk M135i) sehinggalah RM13,350 (untuk XM Label Red).

    Harga BMW 2024 – naik sehingga RM29k dengan jaminan lanjutan, 3 Series naik RM10k, iX naik RM15k

    Melihat kepada model elektrik iX. Harga asas untuk semua varian masih sama seperti tahun lepas, tetapi jika anda mahukan jaminan lima tahun, anda perlu mengeluarkan bayaran RM14,830 sebagai tambahan kepada RM18,370 yang sudah dibayar.

    Peningkatan paling besar adalah pada model M – RM6,760 lebih (RM18,400 lebih dengan jaminan lanjutan) untuk M2, RM8,810 lebih (RM25,800 lebih dengan jaminan lanjutan) untuk M3, RM13,350 lebih (RM26,700 dengan jaminan lanjutan) untuk XM bukan Label Red dan RM11,810 lebih (RM28,800 lebih dengan jaminan lanjutan) untuk M4.

     
     
  • Proton Commerce berikan 27,288 pinjaman pada 2023 — rekod tertinggi bagi perniagaan pembiayaan Proton

    Proton Commerce berikan 27,288 pinjaman pada 2023 — rekod tertinggi bagi perniagaan pembiayaan Proton

    Tahun lalu, Proton mencapai rekod jualan terbaiknya sejak 2012 dengan 154,611 unit, yang juga merupakan peningkatan bagi lima tahun berturut-turut. Untuk itu juga, Proton Commerce (PC) selaku sayap pembiayaannya turut turut merekodkan jumlah pinjaman yang diberikan yang paling tinggi setakat ini.

    Merupakan kerjasama antara Proton Edar dan CIMB Bank, Proton Commerce menyediakan penyelesaian pembiayaan bagi pembeli Proton. Pada 2023, PC memberikan sebanyak 27,288 pinjaman, jumlah tertinggi sejak penubuhannnya. Lapan daripada 12 bulan tahun lalu menyaksikan lebih daripada 2,000 pinjaman — dengan Mac mencatat 2,934 pinjaman, yang paling tinggi dan didorong oleh tempoh Penjana SST ketika itu.

    “Melihat kepada landskap perniagaan pembiayaan Proton, kadar perkongsian pasaran tahunan kami telah menunjukkan corak meningkat, dari 9% pada 2018 kepada 18% pada penghujung 2023, menjadikannya pencapaian tertinggi yang pernah kami perolehi setakat ini. Pada Januari dan Mac 2023, kedudukan pasaran kami memberangsangkan, dengan menjadi entiti kedua terbesar dari sudut perkongsian pasaran bagi tempoh berkenaan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang.

    Proton Commerce berikan 27,288 pinjaman pada 2023 — rekod tertinggi bagi perniagaan pembiayaan Proton

    PC menjadi pembiaya utama bagi model Saga, model terlaris bagi Proton. Sejak suku keempat 2024, PC telah menjadi pendahulu segmen kenderaan berkenaan, dan pada 2023, sebanyak 61% daripada semua loan yang dikeluarkan adalah untuk model sedan tersebut.

    Tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 PC dan syarikat itu mensasarkan untuk menjadi pembiaya utama bagi Proton. “Selain menepati kadar faedah semasa yang diberikan ketika pinjaman diluluskan, kami juga akan menawarkan pakej pembiayaan untuk model terkini Proton seperti X90 dan S70, dan turut melebarkannya kepada pelanggan EV yang berminat untuk membeli smart #1,” ujar Mooi.

    “Dengan pembiayaan kadar tetap kami, pelanggan akan menikmati bayaran ansuran bulanan yang konsisten, memudahkan mereka yang menunggu kenderaan Proton dan membolehkan pengurusan perbelanjaan yang lebih baik kepada pelanggan,” tambahnya.

     
     
  • MyPLUS-TTA dilancar – cadangan waktu perjalanan dalam aplikasi PLUS, bantu kelancaran trafik

    MyPLUS-TTA dilancar – cadangan waktu perjalanan dalam aplikasi PLUS, bantu kelancaran trafik

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini melancarkan satu ciri baru dalam aplikasi PLUS, iaitu MyPLUS-TTA. Ia boleh dianggap sebagai satu peralihan yang lebih cekap kerana sebelum ini Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) cuma dikeluarkan secara manual.

    Melalui ciri MyPLUS-TTA ini, pengguna boleh merancang perjalanan sewaktu musim perayaan dengan lebih baik bagi mengelakkan kesesakan atas jalan raya meningkatkan keselesaan perjalanan.

    Hadir semasa majlis pelancaran ini, menteri kerja raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ““Inisiatif MyPLUS-TTA menunjukkan kepentingan integrasi teknologi di dalam pengurusan lebuh raya negara. Inisiatif ini bukan sekadar akan memanfaatkan pengguna-pengguna lebuh raya, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian infrastruktur lebuh raya negara dengan mengagihkan trafik pada musim perayaan, meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna, dan mengurangkan risiko kesesakan.”

    Apabila masuk ke dalam aplikasi PLUS dan pergi ke ciri MyPLUS-TTA, pengguna boleh memasukkan lokasi permulaan perjalanan serta destinasi mereka, kemudiannya melihat keadaan trafik mengikut waktu. Dari situ, mereka boleh memilih waktu yang bersesuaian dan keadaan trafik yang lebih baik.

    Alexander turut memberitahu bahawa Kementerian Kerja Raya menyokong penuh inisiatif pendigitalan PLUS ini, dan akan turut mengintegrasikan ciri MyPLUS-TTA ini ke dalam aplikasi MyJalan di bawah KKR.

    MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store (bagi peranti Android) dan App Store (bagi pengguna iPhone).

     
     
  • Nombor pendaftaran istimewa GOLD dibuka bidaan 1-5 Feb; sempena Hari Wilayah Persekutuan ke-50

    Nombor pendaftaran istimewa GOLD dibuka bidaan 1-5 Feb; sempena Hari Wilayah Persekutuan ke-50

    Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) yang boleh dibida menerusi platform dalam talian JPJ eBid. Di mana NPI tersebut adalah siri GOLD yang melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

    Orang ramai boleh membida siri GOLD ini mulai 1 Februari 2024 jam 12 tengahmalam dan bidaam dibuka selama lima hari. Bidaan akan berakhir jam 10 malam pada 5 Februari dan keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaannya ditutup iaitu pada 6 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Untuk membidanya, JPJ telah menetapkan harga minima bagi setiap kategori iaitu RM20,000 untuk Nombor Bernilai Utama (Golden), RM3,000 untuk Nombor Menarik (Attractive), RM800 bagi Nombor Popular dan Nombor Biasa pula RM300. Bermakna, tak kisahlah sekiranya pembida sanggup membida hingga RM1 juta sekali pun untuk mendapatkan mana-mana nombor yang dihajati bagi siri GOLD ini.

    Nombor pendaftaran istimewa GOLD dibuka bidaan 1-5 Feb; sempena Hari Wilayah Persekutuan ke-50

    Menurut JPJ, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi yang dikeluarkan.

    Menteri MOT, Anthony Loke berkata, penawaran NPI siri GOLD ini adalah usaha kementeriannya untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.

     
     
  • Caltex Rewards Pam & Menang — menangi minyak percuma bernilai RM2,500, baucar barangan RM1,000

    Caltex Rewards Pam & Menang — menangi minyak percuma bernilai RM2,500, baucar barangan RM1,000

    Isi minyak kereta membolehkan anda ke pelbagai tempat, dan kini ia menjadi lebih menarik dengan adanya ganjaran. Caltex Malaysia kini menawarkan peluang kepada anda untu memenangi hadiah dalam promosi Pam & Menang Caltex Rewards. Ingin tahu bagaimana untuk memenangi minyak percuma bernilai RM2,500 dan baucar barangan keperluan bernilai RM1,000?

    Begini caranya untuk berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan, dengan jumlah keseluruhannya lebih daripada RM300,000. Jika anda warga negara Malaysia dan berumur lebih 18 tahun, apa yang perlu dilakukan hanyalah memuat turun aplikasi CaltexGO, daftar sebagai ahli bagi Caltex Rewards dan isi minyak dengan nilai minimum RM40 bagi petrol RON 95 atau RON 97 — itu saja!

    Setiap RM40 yang diisi akan dikira sebagai satu penyertaan. Ini bermakna, pelanggan secara automatik akan menyertainya sebaik saja mereka berbelanja RM40 untuk isian minyak. Setiap pelanggan boleh menyertai maksimum 10 penyertaan dan dihadkan kepada RM400 dalam sebulan, untuk meningkatkan peluang menang. Promosi ini akan menyaksikan seramai 30 pemenang pada setiap bulan selama tiga bulan dengan setiap seorang menerima isian semula minyak secara percuma dengan had nilai RM2,500 melalui mata ganjaran Caltex Rewards, serta baucar barangan keperluan sebanyak RM1,000.*

    Promosi ini berlangsung sekarang hingga 29 Februari 2024. Tetapi, lebih cepat anda menyertainya, lebih baik kerana peluang untuk menang lebih besar memandangkan akan ada 30 pemenang diumumkan setiap bulan. Ini tawaran yang cukup menarik, kan? Jadi, jangan lepaskan peluang. Muat turun aplikasi CaltexGO dan daftarkan akaun Caltex Rewards anda sekarang. Ketahui lebih lanjut berkaitan kempen ini, di sini.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Bekas CEO MARii didakwa tuduhan tipu RM6.4j

    Bekas CEO MARii didakwa tuduhan tipu RM6.4j

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari sekali lagi didakwa di mahkamah, kali ini atas pertuduhan menipu Lembaga Pengarah MARii bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif bernilai RM6.4 juta, lima tahun lalu.

    Madani, 57, didakwa menipu lembaga pengarah MARii dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa harga ditawarkan oleh syarikat LPS Learning Platform adalah RM6.4 juta sedangkan harga sebenar ditawarkan hanya RM2.3 juta.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik mesyuarat di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral Dua, di sini, antara jam 10.50 pagi hingga 3.35 petang, 14 Disember 2019, laporan Bernama.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Walau bagaimana pun, Madani mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat di mahkamah sesyen Kuala Lumpur semalam.

    Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai wang jaminan RM300,000 seperti yang dimohon oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How. Rozina turut menetapkan 29 Februari ini untuk sebutan kes. Law berkata pihaknya memohon untuk memindahkan kes di mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen.

    Pada 14 April 2023, Mohamad Madani didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta. Dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen pada 8 Mei tahun lalu atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja.

     
     
  • Toyota Malaysia panggil semula Vios baharu dan Veloz; nat penyerap hentak perlu diketatkan semula

    Toyota Malaysia panggil semula Vios baharu dan Veloz; nat penyerap hentak perlu diketatkan semula

    Seorang pengguna laman Facebook yang tidak mahu dikenali telah pun memuatnaik satu surat di Toyota Vios 3rd & 4th Gen Community Facebook Page, yang menyatakan bahawa Toyota Vios miliknya terlibat dalam satu “Kempen Servis Istimewa”.

    Dalam surat tersebut tidak dinyatakan tahun produksi Toyota Vios yang terlibat dalam kempen ini, namun ada pengguna lain yang memberikan komen bahawa dia juga menerima surat yang sama dan memiliki sebuah Toyota Vios yang diterima pada bulan Julai 2023. Oleh itu, panggilan semula ini adalah melibatkan Toyota Vios generasi terkini yang dilancarkan pada Mac 2023.

    Kami turut membuat semakan dengan sumber di UMW Toyota Motor, dan dapat disahkan kempen ini bukan hanya untuk Vios, malah ia turut melibatkan Toyota Veloz. Walau bagaimanapun, masih belum ada perincian lanjut berkenaan panggilan semula ini buat masa sekarang.

    Dalam surat yang dimuat naik berkenaan dapat dilihat Toyota menyatakan bahawa kempen ini bertujuan untuk memanggil semula pemilik kenderaan, agar menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah Toyota untuk mengetatkan semula nat pemasangan penyerap hentak hadapan. Ini kerana nat tersebut mungkin tidak diikat dengan kadar tork secukupnya.

    “Jika kenderaan terus digunakan dalam keadaan ini nat berkenaan mungkin akan longgar, menyebabkan bunyi yang tidak normal terhasil, dan nat tersebut mungkin tercabut, menyebabkan kenderaan hilang kestabilan. Oleh itu kami menjalankan kempen servis istimewa ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan,” tulis surat tersebut.

    Surat itu turut menyebut proses untuk mengetatkan nat berkenaan mengambil masa sekitar 0.5 jam, dan segala kos pembaikan berkenaan akan ditanggung oleh Toyota Malaysia.

     
     
  • Lorong di MRR2 ditutup berperingkat di KM22.2-KM21.5 Ampang-Gombak-Ampang hingga 31 Jan

    Klik untuk besarkan

    Pengendali Leburaya East Klang Valley Expressway (EKVE), EKVE Sdn Bhd telah memaklumkan terdapat penutupan lorong secara berperingkat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sedang dijalankan mulai semalam sehingga 31 Januari 2024. Ia melibatkan laluan di KM22.2 – KM21.5 di kedua-dua belah arah iaitu Gombak ke Ampang dan Ampang ke Gombak.

    Penutupan lorong berkenaan adalah untuk kelancaran kerja-kerja penukaran “Expension Joint” serta kerja berkaitan akan dilaksanakan pada tarikh berkenaan, setiap jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Justeru, pengguna MRR2 dinasihat untuk lebih berhati-hati dan mematuhi papan mematuhi papan tanda serta pengawal lalulintas sepanjang tempoh perlaksanaan Pelan Pengurusan Trafik dijalankan.

    Lorong di MRR2 ditutup berperingkat di KM22.2-KM21.5 Ampang-Gombak-Ampang hingga 31 Jan

    EKVE merupakan lebuhraya baharu di Lembah Klang yang sedang dalam pembinaan. Ia memiliki jajaran laluan sepanjang 39.5 km yang menghubungkan Ukay Perdana di Ampang dengan Bandar Sungai Long di Kajang. Lebuhraya ini juga adalah sebahagian daripada Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR).

    Fasa pertama projek ini yang meliputi laluan sepanjang 24.1 km dan bermula dari Lebuhraya MRR2 di Ukay Perdana melalui Ampang, Hulu Langat, Bandar Mahkota Cheras dan berakhir di Lebuhraya SILK, Kajang (selatan).

    Projek pembinaan EKVE dikendalikan oleh EKVE Sdn Bhd dan mula dibina sejak 1 September 2015. Ia menelan belanja sebanyak RM1.55 bilion. Apabila siap kelak dan mula beroperasi, ia dijangka mampu dimanfaatkan oleh lebih 140,000 pengguna jalan raya setiap hari.

     
     
  • Mazda CX-5 Facelift 2024 dilancarkan di Malaysia – enjin 2.0, 2.5, 2.5T, 2.2D; dari RM144k hingga RM192k

    Mazda CX-5 Facelift 2024 dilancarkan di Malaysia – enjin 2.0, 2.5, 2.5T, 2.2D; dari RM144k hingga RM192k

    Bermaz Auto telah pun melancarkan Mazda CX-5 2024 yang dipertingkat di Malaysia. dan pasaran kita masih terus menerima pilihan enjin petrol dan diesel, merangkumi lima varian.

    Barisan CX-5 2024 bermula dengan varian 2.0G 2WD Mid, berharga dari RM144,469.20, diikuti dengan 2.0G 2WD High dari RM161,169.20. Ia turut disertai varian enjin yang lebih besar iaitu 2.5G 2WD High, dari RM174,960.40. Satu-satunya versi turbodiesel pula dengan 2.2D 2WD High, dari RM180,322.80, varian varian tertinggi 2.5G AWD High yang berharga dari RM188,760.40.

    Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dengan kemasan warna metalik, dan jika pembeli mahukan tempat duduk kulit pula, ia dikenakan kos tambahan sebanyak RM2,900. Untuk warna luaran premium pula, dikenakan kos tambahan sebanyak RM3,300.

    Bagi aspek peningkatannya, CX-5 2024 ini menerima penggayaan bahagian hadapan yang dinaiktaraf, termasuk rekaan gril yang disemak semula. Manakala bampar hadapannya kini menerima corong pengambilan udara tengah yang lebih kecil. Bagi varian 2.0G 2WD Mid pula menerima kemasukan tanpa kunci termaju, sementara varian 2.0G 2WD High dan ke atas pula ditampilkan dengan pedal penukar gear di belakang stereng dan juga lampu utama LED signitur.

    CX-5 2024 ini diberikan roda aloi 17-aloi dengan tayar berukuran 225/65R17 untuk varian 2.0G 2WD Mid and High. Manakala tiga varian teratas iaitu 2.5G 2WD High, 2.2D 2WD High dan 2.5T 4WD High menerima roda aloi 19-inci.

    Untuk varian 2.5G 2WD High dan ke atas, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan menerima ciri pengudaraan. Selain itu, ia juga diberikan paparan instrumen pelbagai-info TFT LCD tujuh-inci di mana dua varian 2.0G pula sekadar paparan 4.6-inci; dengan varian Mid asas hanya paparan standard, serta High menerima paparan pelbagai-info dengan dimensi yang sama.

    Senarai harga untuk Semenanjung Malaysia, risalah spesifikasi setiap varian – Klik untuk besarkan

    Selain itu, tempat hadapan hadapan bagi 2.0G 2WD Mid dibaluti fabrik dan hanya larasan secara manual (enam-cara untuk pemandu, empat-cara untuk penumpang hadapan), sementara varian 2.0G High dan ke atas pula menerima tempat duduk kulit dengan 10-cara larasan kuasa bersama dua memori posisi untuk pemandu, dan enam-cara larasan kuasa untuk penumpang hadapan.

    Berkenaan dengan infotainmen, ciri yang diterima oleh kesemua varian agak sama iaitu skrin sesentuh kapasitif lapan-inci, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, empat port USB, pengecas peranti tanpa wayar dan varian 2.0G 2WD High ke atas menerima ciri tambahan sistem kamera 360-darjah (varian asas 2.0G 2WD Mid sekadar menerima kamera undur).

    Bagi aspek keselamatan pula, varian 2.0G 2WD High dan ke atas menerima kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju, yang merangkumi pencahayaan hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, kepekaan perhatian pemandu, sokongan brek bandar pintar, sokongan brek pintar, kawalan kelajuan radar serta sokongan pelayaran dan trafik.

    Untuk warna luarannya, Mazda CX-5 facelift 2024 di Malaysia ditawarkan dengan pilihan Jet Black, Snowflake White Pearl, Machine Gray, Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Polymetal Gray dan Platinum Quartz. Bagi setiap pembelian SUV ini, ia didatangkan dengan waranti pengilang lima-tahun, 100,000 km, dengan pakej penyelenggaran percuma untuk tempoh dan perbatuan yang sama.

    GALERI: Mazda CX-5 2.0 High Facelift 2024 di Malaysia

    GALERI: Mazda CX-5 2.5T Facelift 2024 di Malaysia

    GALERI: Foto rasmi Mazda CX-5 Facelift 2024

     
     
  • Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

    Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

    Toyota hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan bahawa anak syarikatnya yang ditugaskan bagi membangunkan enjin-enjin diesel bagi kegunaan automobil iaitu Toyota Industries Corporation (TICO) didapati terlibat dalam penyelewengan ujian pensijilan emisi bagi beberapa enjin yang dihasilkan syarikat tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penyelewengan itu dikesan oleh jawatankuasa siasatan khas yang diwujudkan bagi menyiasat kemungkinan penyelewengan pensijilan berkaitan dengan pensijilan emisi domestik yang tidak menepati peraturan.

    Syarikat itu menyatakan bahawa menerusi siasatan yang dibuat, jawatankuasa itu mendapati bahawa penyelewengan berlaku semasa ujian output kuasa kuda untuk pensijilan tiga model enjin diesel untuk automobil yang telah dibina oleh TICO bagi digunakan pada model-model Toyota.

    TICO dikesan menggunakan kotak komputer enjin (ECU) yang dengan berbeza dalam ujian penghasilan kuasa kuda berbanding yang dilengkapkan pada model produksi sebenar yang dijual dalam pasaran. Ia dibuat bagi memastikan enjin berkenaan menghasilkan nilai-nilai yang diukur nampak lebih lancar dan kurang variasi ketika ujian prestasi tersebut dijalankan.

    Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

    Toyota mengesahkan bahawa 10 model kenderaannya terjejas kerana menggunakan enjin-enjin yang terlibat dalam penyelewengan tersebut secara global iaitu enjin 1GD, 2GD dan F33A, di mana enam daripada model itu dijual pada pasaran domestik Jepun.

    Enjin 1GD 2.8 liter merupakan enjin yang digunakan pada Land Cruiser Prado yang dibuat bermula Ogos 2020, HiAce/GranAce/Bongo Brawny bermula 2017 dan Hino Dyna/Dutro bermula Mei 2021, dan juga Hilux yang dibuat di Thailand serta Fortuner yang dibuat di Indonesia bermula Mei 2020.

    Enjin 2GD 2.4 liter pula merupakan enjin yang digunakan pada Toyota Hilux yang dipasang di Thailand dan Toyota Innova yang dipasang di India bermula Mei 2020. Manakala enjin F33A 3.3 liter V6 pula adalah enjin yang dipasang pada Land Cruiser 300 dan LX 500d yang dipasang oleh Toyota Auto Body.

    Berdasarkan hasil siasatan yang dibuat, TICO telah mengambil keputusan bagi menangguhkan sementara penghantaran enjin-enjin yang terjejas, serta turut menghentikan sementara penghantaran kenderaan-kenderaan yang menggunakan enjin-enjin tersebut.

    Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

    Manakala bagi enjin-enjin yang sudahpun digunakan dalam kenderaan yang telah dijual, Toyota menyatakan bahawa pihaknya telah melakukan penilaian semula terhadap enjin-enjin yang diproduksi di kilang, serta mengesahkan enjin-enjin dan model-model yang terjejas masih lagi mencapai standard penghasilan prestasi yang ditetapkan. Oleh itu pemilik-pemilik kenderaan berkenaan masih boleh terus menggunakannya tanpa masalah.

    “Walau bagaimanapun, kami amat memohon maaf kepada pelanggan kami yang telah memberikan sokongan terhadap kenderaan yang terjejas dan menunggu untuk masa yang lama, dan juga kepada semua pihak berkepentingan yang lain atas kesulitan dan kegusaran yang besar yang telah timbul disebabkan oleh perkara ini,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa ia akan memberikan penerangan yang lebih terperinci kepada pihak berkuasa serta segera meneruskan langkah-langkah yang sesuai, termasuk menjalankan ujian di hadapan saksi, sekiranya perlu berbuat demikian.

     
     
  • Lima jalan di KL ditutup pada 31 Jan sempena Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17

    Lima jalan di KL ditutup pada 31 Jan sempena Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17

    Sempena dengan Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Iskandar yang bakal berlangsung pada 31 Januari 2024 (Rabu ini), sebanyak lima jalan di sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat bermula jam 9.30 pagi hari berkenaan.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata laluan yang terlibat ialah Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.

    “Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang juga akan melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Sultan Abdul Halim,” katanya.

    Beliau turut menambah, semua laluan berkenaan akan ditutup sementara dan dibuka semula secara berperingkat selepas selesai istiadat.

    Lima jalan di KL ditutup pada 31 Jan sempena Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui jalan terbabit dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi,” katanya.

    Sultan Ibrahim bakal menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan tempoh pemerintahan esok.

    Sebelum ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengumumkan sebanyak tujuh laluan di ibu negara akan terbabit dengan penutupan penuh manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat esok (30 Januari 2024) sempena Istiadat Keberangkatan Balik Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Antara jalan yang terlibat ialah Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching ke arah Bulatan Dato’ Onn, Jalan Salahudin ke arah Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching/Jalan Sultan Ismail ke arah Bulatan Dato’ Onn dan Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato’ Onn. Info penuh mengenai penutupan jalan terbabit DI SINI.

     
     
  • Kawasaki Z900 dan Z900 SE ditawarkan dalam warna baru di Malaysia – 948 cc, harga RM45k dan RM56k

    Kawasaki Z900 dan Z900 SE ditawarkan dalam warna baru di Malaysia – 948 cc, harga RM45k dan RM56k

    Selepas hanya sekitar tujuh bulan Kawasaki Z900 dan Z900 SE dilancarkan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd, penampilannya kini diperbaharui dengan warna yang dipanggil sebagai Candy Persimmon Red/Ebony (tambahan kepada warna sedia ada) untuk Z900 dan Metallic Spark Black/Metallic Matte Graphenesteel Gray/Candy Lime Green (menggantikan warna sebelum ini) untuk Z900 SE.

    Warna baru untuk Z900 adalah jelas kerana anda boleh nampak lebih banyak warna merah digunakan, termasuk pada rim, kerangka serta panel badan, tetapi pada Z900 SE, warna baru itu cuma melibatkan perubahan pada bahagian kerangka, yang kini juga berwarna hijau. Harga tidak berubah, iaitu RM44,900 untuk Z900 dan RM55,900 untuk Z900 SE.

    Ciri teknikal kedua-dua versi Z900 yang dipasang di Gurun, Kedah ini kebanyakannya adalah sama, termasuk enjin, yang menggunakan unit empat silinder selari 948 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 125 hp pada 9,500 rpm dan tork 98.6 Nm pada 7,700 rpm.

    Kawasaki Z900 dan Z900 SE ditawarkan dalam warna baru di Malaysia – 948 cc, harga RM45k dan RM56k

    Walaubagaimanapun, Z900 SE ditambah dengan angkup brek hadapan Brembo M4.32 berkembar serta cakera floating 300 mm bagi menggantikan unit Nissin empat pot dan cakera 300 mm biasa Z900 standard. Sistem ABS diberikan standard pada kedua-dua versi Z900 ini.

    Kemudiannya, Z900 SE juga mendapat barangan suspensi Ohlins, yang terdiri daripada fork 41 mm boleh laras berwarna emas di hadapan, dan monoshock S46 boleh laras di belakang. Pada versi standard, kedua-dua fork dan monoshock masih boleh dilaras, tetapi adalah unit daripada jenama lain.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada kedua-dua Z900 ini adalah panel instrumen TFT-LCD yang boleh disambung kepada telefon pintar, sistem kawalan cengkaman, tiga pilihan mod tunggangan, tangki bahan api 17 liter serta semua lampu jenis LED. Berat keseluruhannya adalah 211 kg.

    GALERI: Kawasaki Z900 2023

    GALERI: Kawasaki Z900 SE 2023

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025