Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan bakal meningkatkan kadar cukai perkhidmatan dari 6% ketika ini kepada 8% bermula 1 Mac nanti. Ada beberapa kategori yang dikecualikan daripada kadar baru ini, termasuk F&B dan telekomunikasi, tetapi secara umumnya pengguna akan membayar lebih selepas peningkatan ini dilaksanakan.

    Telah dijangka yang perkhidmatan berkaitan kenderaan dan baik pulih tidak tergolong dalam kategori yang terkecuali itu, maka kos penyelenggaraan kenderaan akan naik bermula 1 Mac ini. Ambil maklum bahawa cukai perkhidmatan dalam kes ini hanya terpakai untuk caj pekerja/buruh dan bukan ke atas alat ganti kenderaan.

    Namun ada satu lagi perkara yang bakal menyaksikan pengguna kenderaan terpaksa membayar lebih selepas ini ialah untuk insurans kenderaan. Belum ada apa-apa yang diberi penekanan terhadap perkara ini, tetapi segmen berkenaan akan menyaksikan peningkatan 2% akan dikenakan ke atasnya, sama seperti semua insurans atau takaful perniagaan-kepada-pelanggan umum lainnya, tidak termasuk insurans kesihatan atau takaful kesihatan.

    Adakah ini akan melibatkan peningkatan yang tinggi? Tidak juga, dan ia bergantung kepada pelindungan atau berapa yang perlu anda bayar untuk premium tersebut. Cukai perkhidmatan untuk insurans kenderaan dicaj berdasarkan jumlah premium yang dibayar — ini bermakna ia akan dikira berdasarkan jumlah selepas NCD, sekiranya ada.

    Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Sebagai contoh, lihat sebuah Honda CR-V 2023 dengan jumlah diinsuranskan sebanyak RM96,200 misalnya, cukai perkhidmatan yang dikenakan adalah RM102.84 ke atas premium yang menelan kos RM1,713.97 (selepas tolak NCD 55%). Itu pada kadar 6%. Sekiranya premium berkenaan dikenakan cukai perkhidmatan 8%, maka jumlah cukainya adalah RM137.12, tambahan sebanyak RM34.27.

    Satu lagi contoh adalah untuk sebuah Range Rover Sport, yang ketika ini melibatkan kos insurans RM5,997 (selepas 38.33% NCD). Cukai perkhidmatan yang terlibat ialah RM359.82, dan ini akan naik menjadi RM479.77 jika dikenakan kadar 8%, melibatkan kenaikan sebanyak RM119.95. Untuk kos servis pula, peningkatan yang mungkin terlibat tidaklah terlalu drastik (melainkan caj buruh kenderaan anda memang tinggi, misalnya untuk kenderaan mewah dan mahal).

    Bagi pelaksanaan kadar cukai perkhidmatan yang baru ini, pengguna mungkin akan membayar lebih tinggi untuk insurans kenderaan sedia ada mereka jika perlindungan sedia ada mereka itu masih sah dan melepasi tarikh selepas 1 Mac nanti. Ini jika apa yang dinyatakan oleh FAQ Zurich Malaysia itu betul.

    FAQ berkenaan menyatakan, cukai berkenaan akan dikenakan sebahagiannya ke atas polisi sedia ada, yang mana polisi dengan tempoh perlindungan dari Julai 2023 hingga Jun 2024 bakal menyaksikan perlindungan dari 1 Mac hingga hujung Jun 2024 itu akan dikenakan kenaikan cukai perkhidmatan tersebut.

    Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Tidak diketahui adakah sama ada ini akan dilaksanakan oleh semua syarikat penyedia insurans, tetapi nampaknya begitulah situasinya. MSIG juga membuat hantaran di laman Facebook-nya dengan pemerhatian ini:

    “MSIG berhak mengutip cukai perkhidmatan yang belum dikenakan untuk polisi yang diproses sebelum 1 Mac 2024 yang mana tempoh insuransnya melangkaui tarikh 1 Mac 2024. Anda wajib membayar cukai yang terpakai termasuk (tetapi tidak hanya terhad kepada) cukai perkhidmatan dan duti stem yang dikenakan oleh pihak berkuasa cukai kerajaan Malaysia berkaitan polisi kami.”

    Jika ini kesnya, bagaimana agaknya pemegang polisi akan membayar untuk pelarasan ini? Kami telah ajukan pertanyaan ini kepada PIAM, dan akan berkongsi maklum balas mereka kelak.

     
     
  • MBPJ laksana zon parkir 2 jam di Seksyen 14 pula

    MBPJ laksana zon parkir 2 jam di Seksyen 14 pula

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengembangkan lagi pelaksanaan sistem zon parkir dua jam di sekitar jajahannya, dan selepas diperkenalkan di SS21 (Damansara Uptown) sebelum ini, kini tiba giliran Seksyen 14 pula.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MBPJ berkata petak parkir dua jam kini terdapat di dua lokasi baharu iaitu di Jalan 14/14 and Jalan 14/20 di Seksyen 14 dan Jalan SS21/37, Jalan SS21/39, Jalan SS21/35, Jalan SS21/58, Jalan SS21/60, Jalan SS21/62, Jalan SS21/1A dan Jalan SS21/56B di Damansara Uptown. Jumlah petak parkir dua jam untuk kedua-dua lokasi tidak pula diperkatakan.

    Parkir di petak jingga akan dikenakan kadar caj 60 sen untuk setiap 30 minit, dan maksimum hanya dua jam sahaja. Ia dilaksanakan dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat. Manakala untuk hujung minggu dan cuti umum, ia adalah percuma. Pembayaran hanya boleg dibuat menerusi aplikasi Smart Selangor Parking dan anda perlu memilih parkir dua jam dan kadarnya adalah berbeza.

    Sistem petak parkir dua jam kendalian MBPJ mula dilaksanakan di Seksyen 52, yang lebih dikenali sebagai PJ State atau PJ Old Town, pada Mac tahun lalu, dengan 50 petak parkir digazetkan untuk sistem berkenaan.

    Zon parkir dua jam ini juga telah dilaksanakan di Subang Jaya dan Shah Alam oleh majlis perbandaran masing-masing. Ia dilaksanakan bagi mengelak petak parkir di kawasan komersil yang sibuk ‘dibolot’ oleh sesetengah pemandu dalam tempoh waktu yang lama, selain memberikan peluang kepada pengguna lain yang mempunyai urusan jangka masa singkat (kurang dua jam) parkir kenderaan di situ.

    Jika anda sudah memarkir di situ dalam tempoh dua jam, anda perlu keluar dari petak parkir berkenaan dan hanya boleh kembali parkir di zon yang sama dalam tempoh sejam selepas slot masa asal tamat.

     
     
  • Perodua Kancil EV – berapa anda sanggup bayar untuk kereta elektrik kecil dan ringkas seperti ini?

    Perodua Kancil EV – berapa anda sanggup bayar untuk kereta elektrik kecil dan ringkas seperti ini?

    Sebuah kereta, kalau betul-betul mahu diterima ramai, satu ciri pentingnya adalah mampu milik. Di Malaysia, kalau kita cerita berkenaan ini, memang tiada yang boleh melawan Perodua Kancil, tambahan lagi ia kecil dan serba mudah.

    Penggantinya sekarang adalah Perodua Axia E, yang dijual pada harga RM22,000 dan menjadi kereta baru paling murah di Malaysia sejak dilancarkan pada Jun tahun lepas. Tapi, bagaimana pula jika Perodua mengeluarkan model elektrik penuh berkonsep sama, dan menghidupkan kembali nama Kancil?

    Itulah yang cuba digambarkan oleh Theophilus Chin melalui hasil lukisan digital terbaru ini yang mengambil inspirasi serta ciri rekaan daripada model konsep Daihatsu seperti Daihatsu me:MO Concept, Osanpo Concept dan Mira Tocot.

    Perodua Kancil EV – berapa anda sanggup bayar untuk kereta elektrik kecil dan ringkas seperti ini?

    Bampar dan kemasan plastik hitam, seperti me:MO dan Osanpo digunakan pada ‘Kancil EV’ ini memberi gambaran terdapat varian asas yang plastiknya tidak dicat. Muka hadapan, lampu serta bonet datang daripada Osanpo manakala fender dan lengkuk roda pula daripada me:MO.

    Bermula daripada model Osanpo yang tidak mempunyai bumbung, Theo kemudiannya menambah bahagian atas daripada Tocot, dan ia dijadikan lebih mesra dengan keseluruhan badan dengan garisan yang lebih bulat dan melengkung.

    Hasil akhirnya boleh dikatakan agak comel dan unik. Tapi bagi anda, adakah kereta elektrik ini akan mudah diterima ramai, apatah lagi bila diletakkan dengan nama Kancil?

     
     
  • Toyota Hilux facelift 2024 diperkenal – enjin 2.8L diesel turbo dengan sistem hibrid ringkas 48V, rupa berubah

    Toyota Hilux facelift 2024 diperkenal – enjin 2.8L diesel turbo dengan sistem hibrid ringkas 48V, rupa berubah

    Toyota telah mendedahkan Hilux facelift 2024, yang selain diberikan beberapa perubahan pada penampilannya, turut diberikan enjin hibrid ringkas untuk varian 4×4 Double Cab tertentu di Australia. Menurut Toyota Australia, enjin dengan sistem 48 volt ini membantu kelancaran serta penggunaan bahan api antara 6-10% bergantung kepada varian.

    Sistem 48 volt pada Hilux 2024 ini menurut Toyota terdiri daripada motor generator, bateri 48 volt serta converter DC-DC, membolehkan ia dilengkapi dengan sistem start-stop serta menambah baik pemanduan dan penggunaan bahan api, sementara pada masa mengurangkan bunyi, gegaran serta kekasaran. Varian yang menggunakan enjin hibrid ini juga akan mendapat sistem Multi-Terrain Select secara standard.

    Perincian yang didedahkan sebelum ini oleh Toyota menyatakan sistem hibrid tersebut menyumbang kuasa sebanyak 16 PS dan tork 65 Nm melalui starter-generator, dan dipadankan bersama enjin diesel yang berkuasa 204 PS pada 3,400 rpm dan tork 500 Nm antara 1,600-2,800 rpm.

    Toyota Hilux facelift 2024 diperkenal – enjin 2.8L diesel turbo dengan sistem hibrid ringkas 48V, rupa berubah

    Berkenaan rupa, Hilux 2024 mendapat gril baru yang mempunyai kemasan honeycomb di dalamnya, dan bersambung dengan bampar baru yang lengkap dengan kemasan seperti diffuser di hadapan serta kemasan hitam menegak yang jelas pada perumah lampu kabus di tepi. Di Australia, Hilux plug-in hybrid ini akan mula memasuki pasaran pada bulan Mac.

    Sementara itu di negara kita, Hilux paling baru dikemas kini pada tahun 2023 dengan menerima versi GR Sport yang menggunakan enjin diesel turbo 2.8 liter yang lebih berkuasa (+20 PS dan +50 Nm) berbanding sebelumnya (keseluruhan 224 PS dan 550 Nm).

    Walaubagaimanapun, Hilux GR Sport kita tidak sama seperti Hilux GR Sport Australia kerana di sana, ia dipertingkat lagi dengan penampilan yang lebih agresif, kedudukan lebih garang dengan jarak roda kiri dan kanan yang lebih lebar serta suspensi yang dinaik taraf.

    GALERI: Toyota Hilux Hybrid 2024

     
     
  • Johor rancang guna turapan blok konkrit terutamanya di Pasir Gudang bagi atasi kerosakan jalan – MB

    Johor rancang guna turapan blok konkrit terutamanya di Pasir Gudang bagi atasi kerosakan jalan – MB

    Bagi mengatasi kerosakan jalan akibat dilalui kenderaan berat, Kerajaan Johor merancang untuk menggunakan turapan blok jenis konkrit terutamanya di sekitar Pasir Gudang.

    Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turapan jalan menggunakan kaedah berkenaan terbukti lebih efisien untuk menampung kenderaan berat seperti lori kontena.

    “Pasir Gudang adalah antara kawasan yang sering saya mendapat aduan tentang keadaan jalan raya yang tidak selamat digunakan. Menerusi lawatan ini, saya telah mencadangkan untuk menggunakan turapan blok jenis konkrit terutamanya dipersimpangan jalan kerana ia terbukti lebih efisien untuk menampung kenderaan berat seperti lori kontena.

    “Saya juga memohon agar satu mesyuarat penyelarasan serta koordinasi semula pelan penyelenggaraan ini diperincikan semula bagi meneliti kaedah yang lebih baik dan efisien untuk penyelenggaraan jalan tersebut,” katanya menerusi Facebook rasminya.

    Akhir tahun lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pernah merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar campur tangan dalam masalah jalan yang teruk di daerah berkenaan. Beliau inginkan perkara itu boleh diselesaikan dan dapat menyelamatkan banyak nyawa dari terkorban akibat keadaan jalan raya yang terlalu teruk.

    Lebuhraya Pasir Gudang merupakan antara jalan yang paling penting untuk penduduk Pasir Gudang serta Johor Bahru secara amnya. Jalan berkenaan kebanyakkannya digunakan oleh penduduk di Bandaraya berkenaan untuk ke tempat kerja yang terletak di kawasan perindustrian yang berada di sekitarnya.

    Namun disebabkan ia juga merupakan laluan utama yang digunakan oleh kebanyakkan kenderaan berat untuk logistik ke kilang-kilang dan pelabuhan, permukaan Lebuhraya Pasir Gudang sentiasa dalam keadaan teruk, dan ia kini semakin membimbangkan.

     
     
  • Lebuhraya AKLEH, sebahagian SUKE ditutup jam 5 petang pada 3 Feb-2 pagi pada 4 Feb untuk ASIHM

    Lebuhraya AKLEH, sebahagian SUKE ditutup jam 5 petang pada 3 Feb-2 pagi pada 4 Feb untuk ASIHM

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) telah memaklumkan bahawa Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan ditutup sementara bagi kelancaran acara larian As International Half Marathon (ASIHM) 2024 pada hujung minggu ini.

    Bagi Lebuhraya AKLEH, ia melibatkan keseluruhan jajaran dan hanya sebahagian sahaja untuk SUKE yang akan ditutup mulai jam 5 petang pada 3 Februari ini sehingga jam 2 pagi pada keesokan harinya (4 Februari). Untuk SUKE, semua susur keluar dan masuk bermula selepas Exit 1907 (Persimpangan Tasik Tambahan) sehingga Ext 1914 (Persimpangan Bukit Antarabangsa) bagi kedua-dua arah yang terlibat dengan penutupan sementara dalam tempoh tersebut.

    “Sila rancang perjalanan anda. Sebarang kesulitan adalah dikesali dan kerjasama semua amatlah dihargai.
    Untuk sebarang maklumat lanjut, aduan atau maklum balas, sila hubungi Hotline PROLINTAS di 1-800–22-8888,” kata Prolintas menerusi kenyataan yang dikongsikan.

     
     
  • JPJ eBid: SJD dan DEY akan dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SJD, bakal dibuka bidaan mulai 9 Februari 2024 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 13 Februari. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan pula, DEY, bidaannya akan dibuka pada 12 Februari 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Februari ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 rasmi dijual pada harga RM69,988

    Yamaha Tenere 700 rasmi dijual pada harga RM69,988

    Selepas Tenere 700 dipertontonkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada bulan September tahun lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengeluarkan harga cadangan rasmi untuk motosikal adventure tersebut, iaitu RM69,988 tidak termasuk insurans.

    Model pemasangan tempatan (CKD) ini adalah versi terbaru yang dilengkapi dengan skrin TFT-LCD lima inci, yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect Yamaha dan pilihan dua tema paparan iaitu Explorer dan Street.

    Kemudiannya, penunggang model ini juga boleh menggunakan pilihan tiga mod iaitu On, Rear Off dan ABS Off untuk sistem ABS, manakala penukar gear pula sudah tersedia untuk dipadankan bersama quickshifter (pilihan tambahan).

    Untuk enjin, unit yang digunakan masih lagi sama seperti model yang diperkenalkan sejak lebih empat tahun lepas, iaitu unit dua silinder selari DOHC 689 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 73.4 PS pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 16 liter.

    Memberikan kelebihan penggunaan offroad pada model ini adalah padanan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, serta suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork USD 43 mm dengan jarak gerak 210 mm (World Raid mempunyai jarak gerak 230 mm), dan monoshock dengan jarak gerak 200 mm di belakang. Berat keseluruhan Tenere 700 adalah 205 kg.

    GALERI: Yamaha Tenere 700

     
     
  • Proton S70 – penghantaran tertunda demi memastikan kualiti tinggi, pendaftaran pada 2023 akan jejas nilai

    Proton S70 – penghantaran tertunda demi memastikan kualiti tinggi, pendaftaran pada 2023 akan jejas nilai

    Meskipun sudah lebih dua bulan Proton S70 dilancarkan untuk pasaran, kelibatnya di atas jalan jarang sekali dapat dilihat. Semasa pembentangan prestasi perniagaan Januari lalu, pengeluar tempatan itu mendedahkan 109 unit sudah didaftarkan pada tahun 2023, tetapi itu mungkin hanya unit pandu uji untuk pengedar dan Proton mengaku penghantaran kepada pelanggan masih belum bermula.

    Wakil kami mengajukan soalan berkenaan perkara ini semasa sesi pandu uji S70 dan timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah mendedahkan terdapat dua sebab kenapa penghantaran kepada pelanggan tertunda. Pertama adalah demi memastikan kualitinya, sementara kedua adalah untuk mendaftarkannya pada tahun 2024 atas sebab nilai jualan balik (RV). Untuk alasan pertama, dua aspek disebut, iaitu alat ganti dan proses.

    “Pengeluaran tidak perlahan, tetapi apa yang kami cuba jaga adalah memastikan kualitinya, kerana ini adalah model baru bagi kami, dan kami perlu memastikan kematangan kualiti alat ganti serta proses – kematangan pemasangan. Stok sedang dikeluarkan, tetapi kami memeriksa secara terperinci demi memastikan kami tidak berhadapan dengan masalah sama seperti waktu kami terlalu bersemangat untuk menghantar kenderaan kepada pasaran sebelum ini,” kata Roslan.

    Proton S70 – penghantaran tertunda demi memastikan kualiti tinggi, pendaftaran pada 2023 akan jejas nilai

    “Kami sudah menerima pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini dan kami tidak akan berbuat kesilapan yang sama, tetapi kami akan meningkatkan penghantaran bermula bulan ini,” tambah beliau tanpa merujuk kepada nama mana-mana model.

    “Kami melancarkannya pada 28 November, dan sudah tentu, ada pelanggan yang mahukan kenderaan mereka pada bulan Disember, tetapi akhirnya bila kereta itu diserahkan atau didaftarkan pada 2023, apabila masuk ke tahun 2024, meskipun untuk satu hari, nilai pasarannya akan terkesan. Selepas itu, isu nilai jualan balik akan datang kembali dalam masa tiga tahun, empat tahun atau lima tahun, hanya kerana beberapa hari,” jelas Roslan.

    “Kami telah berhubung dengan pengedar kami untuk berkomunikasi dengan pelanggan kami. Tapi untuk bulan ini, kami sedang meningkatkan penghantaran. Pengeluaran adalah stabil, tetapi kami memeriksa secara teliti, memastikan (kualiti) kualiti dan alat gantinya, kerana beberapa alat ganti unik model ini baru dibuat oleh vendor tempatan, jadi ini adalah sesuatu yang perlu kami ambil perhatian lebih berkenaan pemeriksaan,” kata Roslan.

    Proton S70 – penghantaran tertunda demi memastikan kualiti tinggi, pendaftaran pada 2023 akan jejas nilai

    Proton S70 dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship and Flagship X. Varian permulaan Executive dijual pada harga RM73,800, manakala Premium RM79,800 dan Flagship RM89,800. Jika anda mahukan bumbung suria, perakam video dan warna hitam eksklusif Quartz Black, ia hanya disediakan pada varian Flagship X yang dijual pada harga RM94,800.

    Semua varian S70 dipacu oleh enjin tiga silinder turbo 1.5 liter, bersama padanan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 226 Nm. Ini adalah pakej enjin serta transmisi yang sama seperti X50 bukan Flagship.

     
     
  • Mitsubishi Xpander Hybrid, Xpander Cross Hybrid diperkenal – e-motor 116 PS/255 Nm, 7 mod pacuan

    Mitsubishi Xpander Hybrid, Xpander Cross Hybrid diperkenal – e-motor 116 PS/255 Nm, 7 mod pacuan

    Mitsubishi Xpander HEV dan Xpander Cross HEV telah pun diperkenalkan di pasaran Thailand, membawakan gandingan versi elektrifikasi dengan kapasiti tujuh-tempat duduk.

    Dimensi luaran bagi Xpander HEV dan Xpander Cross HEV adalah sama dengan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), walau bagaimana pun Xpander Cross HEV lebih lebar 40 mm berbanding Xpander HEV, manakala overhang hadapannya juga 5 mm lebih panjang dan overhang belakang pula 5 mm lebih pendek. Namun Xpander HEV dan Xpander Cross HEV memiliki angka ground clearance yang sama iaitu 205 mm, di mana ia antara kurang 15-20 mm berbanding Xpander facelift yang diperkenalkan pada Ogos 2022.

    Sebagai antara varian Xpander facelift, Xpander HEV juga menggunakan wajah hadapan Dynamic Shield, namun untuk versi hibrid, terdapat serlahan biru pada hujung bawah bampar hadapan, serta diberikan roda aloi kemasan-machine dua-tona. Sama dengan rupa hadapan Xpander Cross HEV, ia diberikan roda aloi dengan serlahan biru tetapi dengan rekaan yang berlainan.

    Mitsubishi Xpander Cross HEV 2024

    Kedua-dua Xpander HEV dan Xpander Cross HEV diberikan penjana kuasa hibrid elektrik-petrol, digabungkan bersama enjin 1.6 liter MIVEC naturally-aspirated dengan generator, transaxle, unit kawalan pacuan elektrik dan bateri lithium-ion.

    Enjin pembakarannya adalah dengan unit 4A92 1,590 cc empat-silinder sebaris petrol dengan nisbah mampatan 14:1, mampu menghasilkan 95 PS pada 5,100 rpm dan tork 134 Nm pada 4,500 rpm. Motor pacuan elektrik pula mampu menghamburkan kuasa maksimum hingga 116 PS dan tork 255 Nm, dipacukan ke roda hadapan.

    Tujuh mod pacuan ditampilkan untuk Xpander HEV dan Xpander Cross HEV iaitu Charge, EV, Wet, Gravel, Tarmac dan Mud. Selain itu, ia juga diberikan Active Yaw Control ciptaan Mitsubishi sendiri untuk kedua-dua model ini.

    Klik untuk besarkan

    Casis untuk Xpander HEV dan Xpander Cross HEV diberikan larasan yang agak sama, termasuk menampilkan topang MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang. Suspensi ini juga telah dipertingkatkan untuk memberikan pengendalian yang lebih selesa dan lancar, kata Mitsubishi.

    Manakala sistem brek pula dipadankan dengan cakera ventilated di hadapan dan cakera solid untuk belakang, serta didatangkan dengan roda aloi 17-inci dibaluti tayar berukuran 205/55R17.

    Untuk ruang dalam Xpander HEV dan Xpander Cross HEV telah diberikan ciri yang dinaiktaraf, dengan menerima panel instrumen LCD berwarna lapan-inci baharu bersama penukar transmisi elektronik. Manakala paparan skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci turut menerima bezel yang sedikit berlainan dan menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mitsubishi Xpander Hybrid, Xpander Cross Hybrid diperkenal – e-motor 116 PS/255 Nm, 7 mod pacuan

    Roda stereng juga direka semula, dengan memberikan ciri baharu kawalan pelbagai-fungsi. Manakala kawalan suhu pula diberikan kawalan digital, sama seperti Xpander facelift, dan turut menerima penapis zaraj PM2.5.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua Xpander HEV dan Xpander Cross HEV ini menerima ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan dengan pengunci pintu penderia-kelajuan. Sementara ciri keselamatan pasif merangkumi dua beg udara hadapan dan keluli ketahanan tinggi untuk binaan struktur kerangkanya.

    Bagi penawaran warna luaran, Xpander HEV diberikan pilihan White Diamond, Blade Silver, Graphite Gray dan Jet Black Mica. Sementara Xpander Cross HEV ditambah dengan satu lagi pilihan warna iaitu Green Bronze. Menjadikannya lima pilihan warna untuk pasaran Thailand. Di negara itu juga, Mitsubishi Xpander HEV ditawarkan pada harga 912,000 baht (RM121,597), manakala Xpander Cross HEV pula berharga 946,000 baht (RM126,130), menurut Headlight Magazine.

     
     
  • Mazda CX-70 diperkenal – SUV dua baris tempat duduk dengan enjin 3.3L turbo hibrid dan 2.5L NA PHEV

    Mazda CX-70 diperkenal – SUV dua baris tempat duduk dengan enjin 3.3L turbo hibrid dan 2.5L NA PHEV

    Selepas hampir satu tahun CX-90 dilancarkan untuk pasaran, Mazda kini memperkenalkan pula CX-70 di Amerika Syarikat (AS). Ia adalah model ketiga dalam barisan Large Product Group Mazda, dan yang kedua menggunakan platform enjin hadapan longitudinal Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dan pacuan berorientasikan roda belakang seperti CX-90.

    Penggayaan juga hampir seperti CX-90, tetapi dengan bampar hadapan yang dibentuk semula serta kemasan yang diwarnakan hitam, berbanding krom pada CX-90. Konsep sama (seperti CX-90) digunakan pada bahagian belakang, sementara rim pula datang dalam saiz 21 inci secara standard dan menggunakan rekaan baru.

    Sekali lagi sama seperti CX-90, CX-70 ini juga direka dari awal untuk menerima pakej penggerak elektrik, dengan dua penggerak diperkenalkan waktu pelancaran. Pertama adalah enjin hibrid ringkas enam silinder sebaris turbo petrol 3.3 liter e-Skyactiv G, dan kedua adalah plug-in hybrid 2.5 liter e-Skyactiv – kedua-duanya dipadankan bersama sistem pacuan semua roda.

    Mazda CX-70 diperkenal – SUV dua baris tempat duduk dengan enjin 3.3L turbo hibrid dan 2.5L NA PHEV

    Menurut laman Car and Driver, enjin 3.3 liter hibrid ringkas yang dinyatakan awal tadi ditawarkan untuk pasaran AS dalam dua talaan iaitu 280 hp untuk versi asas dan 340 hp untuk versi S. Versi yang lebih tinggi itu mempunyai kuasa sama seperti CX-90 yang diperkenalkan di negara itu tahun lepas dan dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan.

    Pilihan enjin kedua, iaitu unit plug-in hybrid 2.5 liter itu pula berkemungkinan adalah unit sama seperti yang digunakan pada CX-90 dan juga CX-60 pasaran Eropah. Pada dua model itu, enjin empat silinder petrol NA ini dipadankan bersama motor elektrik 136 PS, menghasilkan kuasa keseluruhan 327 PS dan tork 500 Nm.

    Pakej bantuan pemandu pada CX-70 datang dengan ciri Cruising & Traffic Support (CTS) Unresponsive Driver Support, yang dipanggil oleh Mazda sebagai satu sistem kecemasan yang akan memperlahankan dan seterusnya memberhentikan kenderaan apabila pemandu tidak memberikan maklum balas kepada amaran yang dikeluarkan (contohnya jika pemandu tutup mata, terganggu atau tangan tidak memegang stereng).

    Bahagian dalam CX-70 nampak sama seperti CX-90, tetapi menggunakan tetapan dua baris tempat duduk, serta pilihan balutan kulit warna merah. CX-70 juga mendapat fungsi lipat tempat duduk belakang jarak jauh serta tambahan ruang letak barang di bawah lantai di bahagian belakang untuk barangan kecil.

    Bagi sistem infotainmen, CX-70 diangkat sebagai crossover Mazda pertama yang menggunakan integrasi Alexa untuk mengurangkan gangguan pada pemandu dan meningkatkan kemudahan penggunaan sistem tersebut. Sistem arahan suara membenarkan pemandu untuk membuat kawalan tanpa sentuhan bagi melaras suhu pendingin hawa, mengubah stesen radio atau mengawal peranti pintar rumah.

     
     
  • Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dijangka bermula suku kedua tahun ini – MB Pahang

    Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dijangka bermula suku kedua tahun ini – MB Pahang

    Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), yang dijangka bakal bermula pada suku kedua 2024, sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

    Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek tersebut akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi KLK, Anih Berhad, melibatkan jajaran bermula Plaza Tol Gombak hingga ke persimpangan Lingkaran Tengah Utama, Bentong, laporan Bernama.

    Di mana projek ini juga melibatkan pembinaan bagi satu lagi terowong, menaiktaraf bahu jalan dan menyediakan lampu jalan di sepanjang laluan untuk keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

    Tambahnya, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kesesakan lalu lintas di Lebuhraya KLK khususnya dari Plaza Tol Bentong ke Plaza Tol Gombak sepanjang 42km yang kerap berlaku pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.

    Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dijangka bermula suku kedua tahun ini – MB Pahang

    “Untuk itu, saya telah menghubungi Syarikat Anih Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk memberi taklimat dan membincangkan langkah menyelesaikan kesesakan itu pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri hari ini (semalam).

    “Bagi mengurangkan kesesakan, beberapa langkah telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan, daripada projek jangka panjang dan jangka pendek serta diharapkan dengan pelaksanaan projek-projek ini, kesesakan lalu lintas di Lebuhraya KLK dapat diatasi dan dikurangkan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebagai langkah jangka pendek, beliau berkata beberapa pendekatan telah dan akan diambil termasuk menjadualkan kerja-kerja penambahbaikan pada waktu bukan puncak dan melaksanakan pengasingan lorong di Plaza Tol Gombak (arah barat) mengikut destinasi (Batu Caves/Ampang) bagi mengurangkan isu ‘weaving’.

    Ini adalah tambahan kepada penyediaan dua lokasi tidal flow (KM55-59 arah timur dan KM60-56 arah barat), dengan pelaksanaannya tertakluk kepada pecahan ltrafik di kedua-dua belah arai mencapai nisbah trafik 70-30 (barat-timur) untuk mengelakkan kesesakan.

     
     
  • SST lebih tinggi, HVGT, subsidi minyak bersasar akan beri kesan kepada industri automotif, TIV 2024 turun

    SST lebih tinggi, HVGT, subsidi minyak bersasar akan beri kesan kepada industri automotif, TIV 2024 turun

    Maybank Investment Bank menjangkakan industri automotif Malaysia akan menerima kesan daripada peningkatan kadar cukai perkhidmatan dan pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi (HVGT) yang akan dilaksanakan masing-masing pada bulan Mac dan Mei ini.

    Dalam satu nota kajian, bank pelaburan tersebut menyatakan bahawa HVGT boleh memberikan impak kepada jualan kenderaan premium, sementara peningkatan kadar cukai perkhidmatan dari 6% ke 8% dijangka memberi tambahan kepada kos penyelenggaraan, servis serta baik pulih kenderaan, dan juga insurans, sekaligus meningkatkan kos pemilikan kenderaan – lapor Bernama.

    Satu faktor lagi yang akan memberi kesan kepada pemain industri adalah mekanisme subsidi bahan api bersasar, yang dijangka dilaksana sekitar separuh kedua tahun ini. Ia berkata, selepas TIV mencatat rekod pertumbuhan dua tahun berturut-turut, tahun ini ia dijangka hanya pada 650,000 unit, iaitu turun 19% berbanding jumlah yang dicatat pada tahun 2023.

    SST lebih tinggi, HVGT, subsidi minyak bersasar akan beri kesan kepada industri automotif, TIV 2024 turun

    Nota kajian tersebut turut menyatakan terdapat dua kunci utama yang perlu dilihat tahun ini, iaitu meningkatkan trend terhadap penerimaan model perniagaan agensi serta mempercepatkan lagi peralihan kepada kenderaan elektrik (EV), seterusnya negara boleh muncul sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik untuk pelaburan terus dari luar (FDI) daripada pengeluar kenderaan global yang mencari tempat untuk menubuhkan ibu pejabat serantau atau hab EV mereka.

    Turut dinyatakan, kemasukan FDI dijangka memberikan impak positif jangka masa panjang kepada industri serta kontingen pada kedudukan pemain industri di dalam rangkaian bekalan. Walaupun begitu, ia menambah bahawa pemain tempatan dalam rangkaian pengeluaran dan pengedaran dijangka berhadapan saingan lebih kuat tahun ini dan akan memberikan impak kepada margin mereka.

     
     
  • Anggota PDRM akan pakai kamera di badan bermula Okt 2024 – wajib waktu bertugas, tiada fungsi padam

    Anggota PDRM akan pakai kamera di badan bermula Okt 2024 – wajib waktu bertugas, tiada fungsi padam

    Anggota polis Malaysia akan mula menggunakan kamera di badan (BWC) Oktober tahun ini. Ia diberitahu oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, yang berkata 7,648 unit BWC akan dibekalkan kepada PDRM secara berperingkat bermula September ini.

    “BWC ini kebanyakannya akan digunakan oleh anggota di dalam kenderaan peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) di bawah jabatan ini. Ia juga akan dibekalkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik,” kata beliau apabila dihubungi oleh The Star.

    Wan Hassan turut menambah, “Ia akan diletakkan di 157 ibu pejabat polis daerah dan 640 balai polis seluruh negara. Penggunaan BWC juga akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Oktober. Kami percaya ia akan dapat digunakan secara penuh oleh anggota MPV dan URB menjelang Mac tahun depan.”

    Anggota PDRM akan pakai kamera di badan bermula Okt 2024 – wajib waktu bertugas, tiada fungsi padam

    Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa penggunaan BWC akan dijadikan wajib, dan anggota bertugas yang tidak memakainya akan dikenakan tindakan disiplin. Kamera itu juga tidak akan mempunyai fungsi padam dan boleh merakam sehingga tempoh lapan jam.

    “penggunaan BWC akan memberi impak positif untuk menghalang tindakan salah laku dan isu berkaitan integriti di kalangan anggota polis dan pegawai. Kamera ini boleh merakam tindakan anggota polis di lapangan, termasuk sebarang salah laku,” kata Wan Hassan.

    Beliau juga memberitahu bahawa prosedur operasi standard (SOP) penggunaan BWC ini sedang dimuktamadkan dan ia penting bagi memastikan segala arahan adalah jelas dan pelaksanaannya dapat dipatuhi.

     
     
  • Petronas nafi perlumbaan F1 akan kembali ke Sepang

    Petronas nafi perlumbaan F1 akan kembali ke Sepang

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Petronas menafikan khabar angin bahawa perlumbaan Formula One akan kembali ke Malaysia. Ini adalah susulan daripada laporan agensi berita Reuters semalam yang menyatakan syarikat itu sedang merancang untuk membawa semula perlumbaan itu ke sini pada 2026.

    Agensi itu menyatakan tiga sumber dalaman yang tidak dinamakan berkata yang rancangan terbabit dibangkitkan dalam satu mesyuarat syarikat itu, awal minggu ini.

    “Petronas merujuk kepada laporan yang diterbitkan pada 31 Januari 2024 berkaitan kemungkinan kembalinya perlumbaan Formula One Grand Prix ke Sepang pada 2026. Kami ingin mengesahkan yang tiada perbincangan yang diadakan berkaitan hal tersebut,” jelas kenyataan itu.

    Malaysia pernah menganjurkan perlumbaan F1 di Sepang pada 1999, tetapi jualan tiket yang menurun dan kos penganjuran yang meningkat memaksa kerajaan persekutuan untuk membatalkan acar itu selepas 2017.

    Desas-desus mengenai kembalinya F1 ke Sepang sudah kedengaran sebelum ini. Pada 2022, spekulasi tentang kembalinya F1 ke sini berlegar di media sosial selepas laman Twitter rasmi SIC memberi gambaran terhadap kemungkinan tersebut. Namun khabar angin itu dinafikan.

    Kemudian, tahun lalu, Presiden Persatuan Sukar Permotoran Malaysia, Mokhzani Mahathir berkata ada kemungkinan untuk Malaysia penganjurkan F1 semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sekiranya ada pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025