Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri JWV dan QDA bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JWV, telah dibuka bidaan mulai 8 Februari 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 12 Februari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 13 Februari 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QDA, bidaannya pula bakal dibuka mulai 9 Februari dan akan berakhir jam 10 malam pada 13 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Februari 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • TnG eWallet caj 1% jika tambah nilai dari kad kredit bermula 23 Feb — percuma dari DuitNow, kad debit

    TnG eWallet caj 1% jika tambah nilai dari kad kredit bermula 23 Feb — percuma dari DuitNow, kad debit

    Touch n Go secara rasminya telah mengumumkan pengenalan caj 1% bagi tambah nilai eWallet melalui kad kredit, dengan caj berkenaan akan dikenakan berdasarkan jumlah tambah nilai yang dilakukan. Tambah nilai kredit melalui pindahan DuitNow dan kad debit bagaimanapun tidak dikenakan sebarang caj.

    “Langkah ini adalah bagi mengelakkan pindahan daripada baki kad kredit ke akaun bank serta bagi menampung kos tinggi yang terlibat bagi tambah nilai melalui kad kredit yang selama ini ditanggung oleh TNGD sejak pengenalannya. Pengguna digalakkan menggunakan pindahan bank melalui DuitNow yang melibatkan proses yang sama seperti pindahan wang antara akaun bank,” jelas satu kenyataan daripada syarikat itu seperti yang dilapor The Star.

    “Sebagai institusi kewangan terbesar yang melayani lebih daripada 20 juta pengguna dengan pengesahan e-KYC, kami perlu mencari keseimbangan yang tepat antara kemudahan, sekuriti dan tanggungan kos jangka panjang syarikat,” jelas CEO Touch n Go Digital, Alan Ni.

    Untuk menambah nilai eWallet, pengguna pertama sekali perlu masuk ke dalam aplikasi atau laman web bank mereka, kemudian pilih “Bank Lain” dan selepas itu, pilih pula “Touch n Go eWallet”. Nombor akaun yang digunakan untuk pindahan ini ialah nombor akaun pindahan DuitNow eWallet, yang boleh diperoleh dalam laman tambah nilai aplikasi eWallet pengguna.

    Apa-apa jumlah dari RM1 boleh dimasukkan untuk pindahan ke eWallet, dan ini sama saja dengan cara pindahan wang bank. Penerima kemudiannya boleh dimasukkan ke dalam senarai Favourite, dan pengulangan transaksi boleh ditetapkan.

     
     
  • Volkswagen Arteon, Golf Mk8 dan Passat dari 2019-2024 dipanggil semula di M’sia — hindar kebakaran

    Volkswagen Malaysia telah membuat panggilan balik terhadap model Arteon, Passat B8 dan Golf Mk8 keluaran tahun 2019 hingga 2024 bagi kempen berkaitan lapik pelindung haba yang digunakan.

    Syarikat itu menjelaskan, alas pelindung haba berkenaan tidak dipasang dengan betul ketika pengeluarannya disebabkan spesifikasi yang tidak tepat. Ini berkemungkinan menyebabkan kecederaan teruk. Pemasangan pada kedudukan tidak betul pelindung haba berkenaan boleh menyebabkan bahagian penyambung ke tangki minyak brek mencair. Minyak brek berkenaan kemudiannya boleh bocor dan menyebabkan kenderaan terbakar.

    Jika lampu amaran brek kereta anda menyala, itu menandakan tahap minyak brek sudah terlalu rendah. Bahkan tanpa lampu amaran itu pun, pemilik bagi model yang dinyatakan ini diminta untuk membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan dan menempah jadual servis melalui aplikasi Volkswagen Care segera.

    Sekiranya bahagian penyambung yang dinyatakan itu telah terkesan dan berubah bentuk dari yang asal, maka silinder utama brek akan ditukar. Tiada sebarang kos yang akan dikenakan terhadap pelanggan untuk servis ini, dan ia memerlukan masa sehingga dua jam untuk diselesaikan.

    Tiada sebarang kes kebarakan kenderaan yang berpunca daripada alas pelindung haba berkenaan di Malaysia setakat ini, tetapi pemilik yang terlibat perlu bertindak sekarang. Periksa sama ada kenderaan anda terksesan atau tidak, dan hebahkan perkara ini kepada orang di sekeliling anda yang mungkin terkesan.

     
     
  • BMW 4 Series Coupe G22, Convertible G23 facelift 2024 – enjin diesel dan petrol hibrid, hingga 374 hp

    BMW 4 Series Coupe G22, Convertible G23 facelift 2024 – enjin diesel dan petrol hibrid, hingga 374 hp

    BMW memperkenalkan versi facelift bagi BMW 4 Series Coupe G22 dan 4 Series Convertible G23, bersama juga versi prestasinya, M4 Coupe dan Convertible. Perubahan yang dibuat antaranya melibatkan penampilan, kelengkapan dalam, perisian serta barisan enjin petrol dan dieselnya.

    Semasa pelancaran, varian petrol yang diperkenalkan untuk 4 Series Coupe facelift adalah 420i 184 hp/300 Nm, 430i xDrive 245 hp/400 Nm dan M440i xDrive 374 hp/500 Nm, manakala varian diesel pula terdiri daripada 420d dan 420d xDrive 190 hp/400 Nm, 430d xDrive 286 hp/650 Nm dan M440d xDrive 340 hp/700 Nm.

    Semua enjin 420i dan 430i model ini mendapat sistem hibrid ringkas starter-generator 48V berkuasa 11 hp dan dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic.

    Untuk penampilan luar, peningkatan yang dibuat untuk 4 Series Coupé dan Convertible adalah termasuk lampu hadapan, yang kini datang dengan DRL baru, sementara lampu belakang pula boleh dipilih dengan gaya pencahayaan seperti M4 CSL.

    Kedua-dua model facelift ini juga boleh dipilih dengan pakej M Sport, yang memberikan kemasan diffuser hitam berkilat, serta muncung ekzos berdiameter 100 mm untuk semua model enjin empat silinder. Beberapa pilihan rim 19 inci disediakan, termasuk dengan warna hitam penuh ataupun dua tona.

    Pergi pula kepaa versi M Performance, kemasan yang sebelum ini berwarna Cerium Grey kini diubah kepada hitam berkilat, dan menurut BMW, ia memberikan kesinambungan rupa yang lebih kuat kepada model M4 apabila dilihat dari hadapan.

    Peningkatan lain untuk versi M Performance adalah termasuk cermin sisi M yang diberikan secara terus. Pakej M Carbon disediakan sebagai pilihan tambahan, dan ini memberikan pelindung cermin sisi serta kemasan pada bukaan udara CFRP (plastik yang diperkuat dengan gentian karbon). Model Coupe juga boleh didapatkan dengan lip spoiler belakang Gurney serta diffuser belakang gentian karbon.

    Bahagian dalam turut menerima peningkatan untuk model facelift ini, dengan yang utama adalah BMW Curved Display dengan iDrive QuickSelect, dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5. Padanya, pengguna boleh menambah Augmented View pada sistem navigasi BMW Maps, sebagai pilihan tambahan.

    Di hadapan tempat duduk pemandu terdapat roda stereng dengan bentuk rata di bahagian bawah, bersama pedal penukar gear dan butang berlampu. Pilihan baru yang diberi adalah termasuk kaca CraftedClarity untuk bahagian kawalan seperti butang penukar gear. Balutan tempat duduk kini disediakan dengan pilihan fabrik M Performtex untuk Coupe dan kulit Vernasca untuk Convertible.

    GALERI: BMW 4 Series Coupe facelift G22

    GALERI: BMW 4 Series Convertible facelift G23

     
     
  • Proton S70 – 1,442 unit diserahkan kepada pelanggan pada Januari 2024, eksport ke Brunei bermula

    Proton S70 – 1,442 unit diserahkan kepada pelanggan pada Januari 2024, eksport ke Brunei bermula

    Proton mendedahkan pada bulan pertama 2024 ini, 1,442 unit S70 telah diserahkan kepada pelanggan. Tempahan pula kini mencecah lebih 8,000 unit, dan menurut Proton, ia “menunjukkan maklum balas kuat dan positif daripada pelanggan.”

    Jumlah ini turut dikira sekali dengan 15 unit yang dihantar ke Brunei. Sekali lagi, Brunei menjadi pasaran eksport pertama model baru Proton dan unit ini dihantar lebih awal sebelum ia dilancarkan secara rasmi di negara itu hujung bulan ini.

    S70 dilancarkan di negara kita 28 November lalu, tetapi kelibatnya di atas jalan tidak banyak boleh dilihat. Semasa pembentangan prestasi perniagaan Januari lalu, pengeluar tempatan itu mendedahkan 109 unit sudah didaftarkan pada tahun 2023, tetapi itu mungkin hanya unit pandu uji untuk pengedar dan Proton mengaku penghantaran kepada pelanggan masih belum bermula.

    Proton S70 – 1,442 unit diserahkan kepada pelanggan pada Januari 2024, eksport ke Brunei bermula

    Wakil kami mengajukan soalan berkenaan perkara ini semasa sesi pandu uji S70 dan timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah mendedahkan terdapat dua sebab kenapa penghantaran kepada pelanggan tertunda. Pertama adalah demi memastikan kualitinya, sementara kedua adalah untuk mendaftarkannya pada tahun 2024 atas sebab nilai jualan balik (RV). Untuk alasan pertama, dua aspek disebut, iaitu alat ganti dan proses.

    “Pengeluaran tidak perlahan, tetapi apa yang kami cuba jaga adalah memastikan kualitinya, kerana ini adalah model baru bagi kami, dan kami perlu memastikan kematangan kualiti alat ganti serta proses – kematangan pemasangan. Stok sedang dikeluarkan, tetapi kami memeriksa secara terperinci demi memastikan kami tidak berhadapan dengan masalah sama seperti waktu kami terlalu bersemangat untuk menghantar kenderaan kepada pasaran sebelum ini,” kata Roslan.

    “Kami sudah menerima pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini dan kami tidak akan berbuat kesilapan yang sama, tetapi kami akan meningkatkan penghantaran bermula bulan ini,” tambah beliau tanpa merujuk kepada nama mana-mana model.

    Proton S70 – 1,442 unit diserahkan kepada pelanggan pada Januari 2024, eksport ke Brunei bermula

    “Kami melancarkannya pada 28 November, dan sudah tentu, ada pelanggan yang mahukan kenderaan mereka pada bulan Disember, tetapi akhirnya bila kereta itu diserahkan atau didaftarkan pada 2023, apabila masuk ke tahun 2024, meskipun untuk satu hari, nilai pasarannya akan terkesan. Selepas itu, isu nilai jualan balik akan datang kembali dalam masa tiga tahun, empat tahun atau lima tahun, hanya kerana beberapa hari,” jelas Roslan.

    “Kami telah berhubung dengan pengedar kami untuk berkomunikasi dengan pelanggan kami. Tapi untuk bulan ini, kami sedang meningkatkan penghantaran. Pengeluaran adalah stabil, tetapi kami memeriksa secara teliti, memastikan (kualiti) kualiti dan alat gantinya, kerana beberapa alat ganti unik model ini baru dibuat oleh vendor tempatan, jadi ini adalah sesuatu yang perlu kami ambil perhatian lebih berkenaan pemeriksaan,” kata Roslan.

    Proton S70 dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship and Flagship X. Varian permulaan Executive dijual pada harga RM73,800, manakala Premium RM79,800 dan Flagship RM89,800. Jika anda mahukan bumbung suria, perakam video dan warna hitam eksklusif Quartz Black, ia hanya disediakan pada varian Flagship X yang dijual pada harga RM94,800.

     
     
  • Proton jual 12,882 unit pada Januari 2024 – perkongsian pasaran 19.5%, Saga kekal model terlaris

    Proton jual 12,882 unit pada Januari 2024 – perkongsian pasaran 19.5%, Saga kekal model terlaris

    Proton telah mengumumkan rekod jualan bagi Januari 2024 mencecah 12,822 unit, menjadikannya ia sebagai bulan permulaan terbaik sejak tahun 2013. Angka berkenaan mewakili 1.3% kenaikan berbanding jualan pada Disember 2023 dan naik 10.3% dari tempoh yang sama tahun lalu.

    Malahan angka jualan tersebut turut mengekalkan kedudukan Proton di tangga kedua dalam keseluruhan jualan. Bagi perkongsian pasaran syarikat bagi bulan Januari dianggarkan sebanyak 19.5%, iaitu 3.3% lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya. Jumlah Volum Industri (TIV) pula dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6% berbanding bulan Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan tahun 2023.

    Daripada angka mengikut model spesifik, tidak hairan lagi bila mana Saga masih mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris Proton dengan berjaya terjual sebanyak 6,129 unit, mewakili hampir separuh daripada jumlah keseluruhan jualan bagi syarikat ini pada Januari lalu. Manakala X50 pula berada di tangga kedua, dengan 2,002 unit, dan masih kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia.

    Prestasi ketiga terbaik untuk Proton bulan lepas ialah Persona, dengan 1,846 unit terjual. Sementara itu, S70 baharu menduduki tempat keempat, dengan 1,442 unit terjual pada Januari lalu. Dengan 8,000 tempahan, dijangkakan S70 bakal terus mendaki kedudukan yang lebih baik dalam beberapa bulan akan datang. Model itu juga telah memasuki pasaran eksport pertamanya bulan lepas, dengan 15 unit dihantar ke Brunei menjelang pelancaran rasmi model tersebut di sana pada bulan ini.

    Proton jual 12,882 unit pada Januari 2024 – perkongsian pasaran 19.5%, Saga kekal model terlaris

    Bagi model Proton yang lain, jualan Iriz meningkat sebanyak 7% berbanding bulan sebelumnya, dengan 523 unit terjual, dan sebanyak 372 unit bagi X70 telah dihantar bulan lepas. Bagi X90, 365 unit telah dijual pada bulan Januari, dan Exora, walaupun telah dihentikan, terus menjadi pilihan pembeli, dengan 203 unit telah dihantar.

    “Proton teruja untuk memulakan tahun 2024 dengan utuh, diserlahkan lagi oleh penghantaran yang kukuh
    untuk model terbaharu kami, Proton S70. Sambutan yang menggalakkan mengesahkan bagaimana model kami menjadi pilihan pembeli yang mencari kenderaan inovatif. Oleh itu, kami berdedikasi sepenuhnya untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan manakala pasukan kami tetap bekerja dengan gigih untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya untuk memenuhi serta melebihi jangkaan pelanggan.

    “Pada masa ini, ramai yang menganggarkan bahawa jualan automotif Malaysia akan menurun pada tahun 2024. Ini disebabkan faktor seperti kenaikan SST serta pengenalan cukai barangan mewah. Walau bagaimanapun, Proton kekal optimistik dengan permulaan yang kukuh kami untuk tahun ini akan menetapkan nada untuk 11 bulan yang akan datang kerana kami menyasarkan lebih banyak pertumbuhan jualan dengan fokus berterusan pada inovasi, kualiti dan khidmat pelanggan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

     
     
  • Toyota Corolla Cross facelift didedahkan di Thai pada 8 Feb – gril lebih nipis, lampu utama dari model JDM

    Toyota Corolla Cross facelift didedahkan di Thai pada 8 Feb – gril lebih nipis, lampu utama dari model JDM

    Kehadiran Toyota Corolla Cross ternyata menerima sambutan yang menggalakkan di kebanyakan negara yang memasarkannya termasuklah Malaysia. Terbaru, dikhabarkan versi facelift bagi SUV ini bakal didedahkan di Thailand pada 8 Februari ini.

    Mengikut beberapa teaser yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluarnya, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan termasuklah menampilkaan lampu utama LED penuh yang diadaptasikan dari model pasaran Jepun dan Eropah. Manakala lampu nyalaan siang (DRL) ala-kening telah diposisikan sedikit bawah, memberikan ruang untuk menempatkan indikator sequential.

    Jika anda jangkakan model versi Thai mungkin menerima sentuhan ala model Jepun dengan gril atas haksagon (Corolla Cross Hybrid di USA juga menerima sentuhan wajah sebegini), sayangnya, ia tidak menjadi realiti.

    Toyota Corolla Cross facelift didedahkan di Thai pada 8 Feb – gril lebih nipis, lampu utama dari model JDM

    Toyota Corolla Cross pasaran Jepun

    Mengikut foto teaser di atas, kelihatan gril atas yang lebih nipis disambungkan ke lampu utama. Manakala profil sisi (seperti yang dipaparkan menerusi video di bawah) kelihatannya bamparnya menonjol lebih ke bawah, sama seperti varian semasa ASEAN.

    Corolla Cross ini dijangka masih mengekalkan pilihan penjana kuasa yang sama iaitu unit 2ZR-FE 1.8 liter naturally-aspirataed empat-silinder dengan 139 PS/172 Nm yang dipacdankan dengan CVT, sementara model hibrid pula dengan versi enjin kitaran-Atkinson bersama dua motor elektrik dan bateri nickel-metal hydride yang mampu memberikan keseluruhan kuasa mencecah 122 PS.

     
     
  • Rapid KL lanjutkan ujian bas perantara untuk stesen MRT Metro Prima ke Selayang hingga 22 April 2024

    Rapid KL lanjutkan ujian bas perantara untuk stesen MRT Metro Prima ke Selayang hingga 22 April 2024

    Berita baik untuk mereka yang tinggal di Selayang. Rapid KL telah mengumumkan ujian bas perantara dari Stesen MRT Metro Prima ke Pusat Bandar Selayang telah dilanjutkan hingga 22 April 2024. Bas T152 yang bermula pada Oktober 2023 sepatutnya berakhir pada Januari lalu.

    Bas T152 ini dihubungkan terus dari stesen MRT Laluan Putrajaya di Metro Prima, Kepong menuju ke 99 Wonderland Park di Pusat Bandar Utara Selayang, dan melalui beberapa kawasan kepadatan tinggi. Antara perhentiannya ialah Residensi Fortune Perdana, Residensi Kepongmas, Taman Kepong Indah, Selayang Mall, Selayang Jaya, Taman Seri Melati, Flat Taman Wilayah Selayang dan Lakepark Residence.

    Selepas 99 Wonderland Park, bas berkenaan akan melewati kawasan yang sama, tetapi bertentangan arah. Ia juga akan berhenti di FRIM, Taman Daya dan Taman Usahawan Kepong sebelum kembali ke stesen MRT Metro Prima.

    Sebagai tambahan kepada lanjutan ujian ini, laluan T152 juga diperkembangkan ke beberapa kawasan termasuk Taman Intan Baiduri. Selain itu, ia juga akan berhenti di beberapa laluan baru termasuk Padang Taman Intan Baiduri, SMK St Mary KL, Flat Taman Intan Baiduri dan Taman Intan Baiduri (barat). Di mana bas itu akan ke kawasan berkenaan selepas Selayang Mall.

    Bas perantara ini beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam, dengan kekerapan 30 minit untuk waktu puncak dan 40 minit bagi luar waktu puncak. Tambangnya sekitar RM1 hingga RM1.50 sehala.

     
     
  • ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Tahun Baharu Cina

    ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Tahun Baharu Cina

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi tempoh 8 hingga 12 Februari dan 17 hingga 18 Februari 2024 untuk kedua-dua lebuhraya berkenaan sempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut hujung minggu ini. Seperti musim perayaan yang lain, kebiasaannya lebuhraya utama di Semenanjung Malaysia bakal mengalami kesesakan luar biasa.

    Bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di lebuhraya berkenaan, para pengguna diminta untuk merancang perjalanan ke/dari Pantai Timur sewajarnya. Justeru, ANIH menyarankan agar pengguna lebuhrayanya merujuk TTA yang dikeluarkan ini bagi kelancaran perjalanan ke destinasi yang dituju.

    Bagi pengguna yang datang dari arah Selangor dan Kuala Lumpur yang menuju ke Pahang, anda disarankan melalui kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 6 pagi atau 5 petang. Bagi yang menuju ke Terengganu pula, disarankan memulakan perjalanan selepas jam 8 pagi atau 5 petang. Untuk yang menuju ke Kelantan pula, waktu memulakan perjalanan dicadangkan selepas jam 11 pagi atau selepas 7 malam. Cadangan waktu berkenaan untuk mereka yang bakal memulakan perjalanan antara 8 atau 9 Februari.

    ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Tahun Baharu Cina

    Manakala untuk mereka yang bakal menuju ke Kuala Lumpur dan Selangor pada tempoh 12, 17 hingga 18 Februari pula, jika bergerak dari Pahang, anda disarankan memulakan perjalanan selepas 6 pagi atau 7 malam. Untuk yang dari Terengganu pula, disarankan untuk memulakan perjalanan selepas 11 pagi atau 8 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan menggunakan kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 6 petang atau 11 malam.

    Bagi bas ekspres pula, waktu perjalanan yang dicadangkan untuk ke Pantai Timur dari Tol Gombak adalah 9.30 pagi hingga 12 tengahari dan 9.30 malam hingga 12 tengahmalam.

    Dalam masa yang sama, para pengguna dinasihati untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi bagi pembayaran kadar tol. Dan jangan lupa untuk periksa keadaan kenderaan anda terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Pastikan ia selamat dipandu. Selain terus memandu dengan berhemah, patuhi saranan papan tanda trafik, had kelajuan yang ditetapkan dan ikuti arahan petugas lebuhraya demi keselamatan semua.

     
     
  • Laluan Smartlane diaktifkan di antara Shah Alam-Subang di NKVE – Isnin-Jumaat, 6.30 pagi-9.30 pagi

    Laluan Smartlane diaktifkan di antara Shah Alam-Subang di NKVE – Isnin-Jumaat, 6.30 pagi-9.30 pagi

    Mulai hari ini (5 Feb 2024) PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan laluan Smartlane di laluan antara Shah Alam ke Subang (arah utara) iaitu KM11.20 hingga KM13.30, Lebuhraya NKVE. Di mana laluan Smartlane ini dilaksanakan pada waktu puncak, hari Isnin hingga Jumaat (kecuali hari kelepasan am) dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.

    Pengaktifan Smartlane merupakan inisiatif PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menambah kapasiti lorong sedia ada serta membantu melancar dan menyuraikan trafik.

    “Sila patuhi papan tanda trafik kami ketika melalui lokasi tersebut dan amalkan pemanduan berhemah seperti patuhi lorong secara konsisten dan elakkan kerap menukar lorong, patuhi had laju dan memberi kerjasama demi menjamin keselamatan kenderaan-kenderaan lain dan rancang penukaran lorong dengan berhati-hati apabila menghampiri penghujung laluan Smartlane,” kata PLUS.

    Sebelum ini, PLUS berkatam laluan SmartLane dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan di laluan terbabit pada waktu puncak sekiranya tiada sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.

     
     
  • Penyasaran semula subsidi diesel pada Q2 2024 hanya babitkan pengguna di Semenanjung – KPDN

    Penyasaran semula subsidi diesel pada Q2 2024 hanya babitkan pengguna di Semenanjung – KPDN

    Sejak semalam (1 Feb 2024) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mula melaksanakan Projek Rintis Skim Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) untuk pengguna di Semenanjung. Walau bagaimana pun, kata menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, setakat ini ia tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak selepas kerajaan persekutuan mengambil kira keperluan tinggi bahan api itu di kedua-dua negeri.

    “Semalam saya umum di Semenanjung bahawa kita mulakan SKDS 2.0 pada 1 Februari bagi menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan Sistem Fleet Card syarikat minyak untuk penyasaran semula subsidi diesel yang membabitkan enam syarikat perintis.

    “Bagaimanapun, ini hanya membabitkan pengguna di Semenanjung dan tidak di Sabah dan Sarawak seperti diputuskan oleh kerajaan kerana penggunaan diesel yang tinggi di kedua-dua negeri. Setakat ini, kerajaan buat keputusan penyasaran semula subsidi diesel yang dijadual bermula pada suku kedua (Q2) tahun ini tidak membabitkan Sabah dan Sarawak,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Penyasaran semula subsidi diesel pada Q2 2024 hanya babitkan pengguna di Semenanjung – KPDN

    Walau bagaimana pun, tambahnya, KPDN akan membincangkan perkara itu dengan kerajaan kedua-dua negeri bermula dengan Sarawak pada 9 Februari ini sebelum meneruskan perbincangan dengan kerajaan Sabah pula.

    “Kerajaan negeri dan agensi penguatkuasaan perlu bersedia untuk melihat komponen atau segmen masyarakat yang boleh dicadangkan untuk dipertimbangkan penyasaran semua subsidi diesel sekiranya dilaksanakan di Sabah dan Sarawak kelak.

    “Kita bersedia lebih awal sekiranya kerajaan memutuskan diperluas ke Sabah dan Sarawak, sekurangnya-kurangnya kita boleh mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan mana-mana segmen masyarakat dengan penggunaan (diesel) tinggi, kita syorkan (subsidi) dengan mekanisme tertentu,” katanya.

    Penyasaran semula subsidi diesel pada Q2 2024 hanya babitkan pengguna di Semenanjung – KPDN

    Armizan berkata projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), akan diadakan selama dua bulan bermula semalam bagi menyediakan mekanisme penyasaran semula subsidi diesel, dijangka dilaksana pada suku kedua tahun ini di Semenanjung.

    Sehubungan itu, Armizan berkata kementeriannya juga memerlukan kerjasama daripada semua agensi penguatkuasaan termasuk kerajaan negeri untuk bersama-sama memperkemas mekanisme kawalan dan penguatkuasaan supaya aktiviti haram penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak dapat dikekang.

    “Tidak ada gunanya kita teruskan subsidi yang tinggi tetapi akhirnya subsidi itu mengalir keluar dan bukannya dinikmati oleh rakyat, golongan sasar tetapi diseludup di sempadan,” katanya.

     
     
  • Proton sahkan jaminan terkesan jika tambah sendiri Apple CarPlay, Android Auto ke IHU sedia ada

    Proton sahkan jaminan terkesan jika tambah sendiri Apple CarPlay, Android Auto ke IHU sedia ada

    Susulan daripada pengesahan Proton bahawa ciri Apple CarPlay dan Android Auto (AACP) akan mula ditawarkan dalam kenderaan keluaran syarikat itu bermula tahun ini, ada seperkara lagi yang penting untuk diambil perhatian oleh pemilik kenderaannya.

    Proton turut mengesahkan bahawa jika pengguna memasang sendiri fungsi AACP tersebut ke dalam sistem Atlas atau GKUI IHU, jaminan kenderaan mereka juga turut akan terkesan. “Jika mereka lakukan itu, ia adalah tanggungjawab mereka sepenuhnya,” jelas Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    Pemilik bagi model seperti X50 dan X70 mungkin tahu ada sebahagian daripada pemilik kereta itu memuatkan sendiri AACP ke dalam sistem infotainmen Atlas atau GKUI pada kenderaan mereka. Ini kerana ciri berkenaan tidak ditawarkan untuk mana-mana model Proton sebelum ini, bahkan untuk model X90 flagship sekali pun.

    Bagaimanapun, ciri berkenaan akan hadir dalam masa terdekat, bermula dengan X90 yang akan menerima kemaskini OTA. Menurut Proton, pengenalan AACP dalam kenderaan keluarannya akan mengikut “protokol”.

     
     
  • Proton sahkan Apple CarPlay, Android Auto tahun ini — X90 akan terima kemaskini OTA, bukan model lama

    Proton sahkan Apple CarPlay, Android Auto tahun ini — X90 akan terima kemaskini OTA, bukan model lama

    Menjadi persoalan yang sentiasa akan membayangi produk baru Proton adalah: “Bila ciri Apple CarPlay dan Android Auto (AACP) akan dihadirkan untuk kereta mereka?” Sebelum ini, memang ada pengesahan bahawa ciri berkenaan akan diperkenalkan, tetapi bila?

    Dalam sesi bersama media untuk pandu uji Proton S70 minggu ini, Ketua R&D Proton, Mohd Haizam memberikan jawapan jelas. “Kami sedang membangunkan AACP bersama pembekal kami, ACO Tech. Ia tiada pada Proton S70, kami akan buat untuk X90, tetapi untuk model yang akan datang, tak lama lagi,” ujarnya, yang turut memberi penekanan bahawa jika ciri itu dipasang sendiri oleh pengguna, maka jaminan untuk IHU akan terbatal.

    Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah pula menambah dan menjelaskan tentang masalah yang mereka hadapi berkaitan hal ini. Beliau menjelaskan, beberapa peranti sedia ada dalam kenderaan Proton ketika ini sedia untuk menerima AACP, tetapi “semuanya memerlukan lesen”.

    Proton sahkan Apple CarPlay, Android Auto tahun ini — X90 akan terima kemaskini OTA, bukan model lama

    “Setiap kali sesebuah OEM keluarkan, ada lesen yang diperlukan. Lesen ini memerlukan kelulusan, dan sudah tentu akhirnya ia bergantung kepada berapa kos yang perlu dibayar untuk lesen tersebut. Tetapi, soal lesen ini sudah diselesaikan, kini kami bersedia untuk satu model (pengenalan AACP) bermula tahun ini,” jelasnya, dan pengenalan AACP itu akan mematuhi “protokol”.

    Ini bermaksud, model SUV X90 yang menjadi model flagship yang sudah mempunyai peranti yang bersedia untuk ciri AACP ini, akan menjadi model pertama yang menerima dan menawarkannya kepada pelanggan. Pelanggan akan menerima pengumuman rasmi berkaitan kemaskini OTA perisian dalam masa terdekat. Model baru Proton yang seterusnya pula akan dilengkapi dengan AACP terus dari kilang.

    Bagaimana dengan S70? Perantinya juga sedia untuk terima AACP, tetapi Proton ingin mendahulukan X90, kemudian baru disusuli sedan berkenaan yang akan menerima ciri itu. Bagaimana pula dengan model lebih lama Proton sebelum ini seperti X50 dan X70? Roslan menyatakan terdapat cabaran dari pelbagai aspek untuk menawarkan AACP bagi model lama. Umumnya, ia bergantung kepada peranti, kos dan juga perlesenan.

    “Saya tak akan sebutkan model mana, yang perantinya tidak boleh dinaik taraf untuk tujuan ini. Kalaupun kami mengemaskini perisiannya, cipnya tidak mampu menampung AACP. Oleh kerana asas IHU ini mengikut keperluan di China, mereka tidak begitu arif dengan AACP. Mereka menggunakan perisian sendiri.

    AACP on the Proton X90’s IHU, but it’s clearly a development build for now

    “Selain itu, ketika kami membawa masuk model berkenaan, kami terpaksa kekalkan cip sedia ada. Kemudian bila kami berbincang tentang cip ini sejak dua tahun lalu, kini baru ia stabil, tetapi kemudian agak sukar untuk mendapatcip berkenaan,” uja beliau, merujuk kepada kekurangan bekalan cip global yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, yang kini telah bertambah baik.

    Roslan juga menjelaskan, pelanggan akan membandingkan situasi berkenaan dengan mudahnya pembelian head unit yang menyokong AACP secara dalam talian, tetapi bagi Proton sebagai sebuah syarikat, ia perlu mematuhi peraturan dan syarat. “Bila beli dari Shopee, itu bukan dari OEM, dan tidak tertakluk oleh peraturan. Bagi OEM, kami perlu patut dan ikut peraturan,” tambahnya.

    Latar lanjut kepada perkembangan berkaitan kekangan Proton dengan AACP ini boleh dibaca di sini.

     
     
  • Honda Stylo 160 dilancar di Indonesia – skuter enjin 157 cc dengan kelengkapan premium, dari RM8.3k

    Honda Stylo 160 dilancar di Indonesia – skuter enjin 157 cc dengan kelengkapan premium, dari RM8.3k

    Di negara jiran, Indonesia, Honda telah memperkenalkan sebuah skuter baru yang dipanggil sebagai Stylo 160. Ia diangkat sebagai sebuah skuter premium bergaya dan ditawarkan dalam dua versi, iaitu CBS atau ABS, dengan harga masing-masing 27.55 juta rupiah (RM8,306) dan 30.425 juta rupiah (RM9,173).

    Beza antara dua versi ini seperti yang boleh diketahui melalui namanya adalah pada sistem brek, dengan versi ABS dilengkapi ABS one-channel pada cakera hadapannya (220 mm) dan brek belakang menggunakan tetapan cakera 220 mm. Versi CBS juga datang dengan brek cakera hadapan (tanpa ABS dan cakera 190 mm), tetapi brek belakang diubah kepada unit dram.

    Stylo 160 dipacu oleh enjin satu silinder empat strok 156.9 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan eSP+ sama seperti Vario 160 dan dipadankan bersama transmisi automatik V-Matic untuk menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan tork 13.8 Nm pada 7,000 rpm.

    Honda Stylo 160 dilancar di Indonesia – skuter enjin 157 cc dengan kelengkapan premium, dari RM8.3k

    Selain penampilan yang elegan, skuter ini juga menawarkan pelbagai kelengkapan yang dikatakan sebagai premium untuk kelasnya termasuk semua lampu jenis LED, sistem kunci pintar, pengecas USB, serta meter digital penuh yang boleh memaparkan pelbagai informasi penting termasuk tahap bateri dan waktu penggantian minyak.

    Untuk memberi kemudahan kepada pengguna, Stylo 160 datang dengan dua poket barangan serta penyangkut di bahagian hadapannya (bawah pemegang), sementara di bawah tempat duduk juga terdapat sedikit ruang barangan, yang menjadi kecil kerana tangki minyak lima liter turut berada di tempat sama.

    Stylo 160 bergerak di atas rim 12 inci yang dibalut dengan tayar 110/90 di hadapan dan 130/80 di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada unit fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap di bahagian kiri untuk belakang.

     
     
  • Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan bakal meningkatkan kadar cukai perkhidmatan dari 6% ketika ini kepada 8% bermula 1 Mac nanti. Ada beberapa kategori yang dikecualikan daripada kadar baru ini, termasuk F&B dan telekomunikasi, tetapi secara umumnya pengguna akan membayar lebih selepas peningkatan ini dilaksanakan.

    Telah dijangka yang perkhidmatan berkaitan kenderaan dan baik pulih tidak tergolong dalam kategori yang terkecuali itu, maka kos penyelenggaraan kenderaan akan naik bermula 1 Mac ini. Ambil maklum bahawa cukai perkhidmatan dalam kes ini hanya terpakai untuk caj pekerja/buruh dan bukan ke atas alat ganti kenderaan.

    Namun ada satu lagi perkara yang bakal menyaksikan pengguna kenderaan terpaksa membayar lebih selepas ini ialah untuk insurans kenderaan. Belum ada apa-apa yang diberi penekanan terhadap perkara ini, tetapi segmen berkenaan akan menyaksikan peningkatan 2% akan dikenakan ke atasnya, sama seperti semua insurans atau takaful perniagaan-kepada-pelanggan umum lainnya, tidak termasuk insurans kesihatan atau takaful kesihatan.

    Adakah ini akan melibatkan peningkatan yang tinggi? Tidak juga, dan ia bergantung kepada pelindungan atau berapa yang perlu anda bayar untuk premium tersebut. Cukai perkhidmatan untuk insurans kenderaan dicaj berdasarkan jumlah premium yang dibayar — ini bermakna ia akan dikira berdasarkan jumlah selepas NCD, sekiranya ada.

    Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Sebagai contoh, lihat sebuah Honda CR-V 2023 dengan jumlah diinsuranskan sebanyak RM96,200 misalnya, cukai perkhidmatan yang dikenakan adalah RM102.84 ke atas premium yang menelan kos RM1,713.97 (selepas tolak NCD 55%). Itu pada kadar 6%. Sekiranya premium berkenaan dikenakan cukai perkhidmatan 8%, maka jumlah cukainya adalah RM137.12, tambahan sebanyak RM34.27.

    Satu lagi contoh adalah untuk sebuah Range Rover Sport, yang ketika ini melibatkan kos insurans RM5,997 (selepas 38.33% NCD). Cukai perkhidmatan yang terlibat ialah RM359.82, dan ini akan naik menjadi RM479.77 jika dikenakan kadar 8%, melibatkan kenaikan sebanyak RM119.95. Untuk kos servis pula, peningkatan yang mungkin terlibat tidaklah terlalu drastik (melainkan caj buruh kenderaan anda memang tinggi, misalnya untuk kenderaan mewah dan mahal).

    Bagi pelaksanaan kadar cukai perkhidmatan yang baru ini, pengguna mungkin akan membayar lebih tinggi untuk insurans kenderaan sedia ada mereka jika perlindungan sedia ada mereka itu masih sah dan melepasi tarikh selepas 1 Mac nanti. Ini jika apa yang dinyatakan oleh FAQ Zurich Malaysia itu betul.

    FAQ berkenaan menyatakan, cukai berkenaan akan dikenakan sebahagiannya ke atas polisi sedia ada, yang mana polisi dengan tempoh perlindungan dari Julai 2023 hingga Jun 2024 bakal menyaksikan perlindungan dari 1 Mac hingga hujung Jun 2024 itu akan dikenakan kenaikan cukai perkhidmatan tersebut.

    Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

    Tidak diketahui adakah sama ada ini akan dilaksanakan oleh semua syarikat penyedia insurans, tetapi nampaknya begitulah situasinya. MSIG juga membuat hantaran di laman Facebook-nya dengan pemerhatian ini:

    “MSIG berhak mengutip cukai perkhidmatan yang belum dikenakan untuk polisi yang diproses sebelum 1 Mac 2024 yang mana tempoh insuransnya melangkaui tarikh 1 Mac 2024. Anda wajib membayar cukai yang terpakai termasuk (tetapi tidak hanya terhad kepada) cukai perkhidmatan dan duti stem yang dikenakan oleh pihak berkuasa cukai kerajaan Malaysia berkaitan polisi kami.”

    Jika ini kesnya, bagaimana agaknya pemegang polisi akan membayar untuk pelarasan ini? Kami telah ajukan pertanyaan ini kepada PIAM, dan akan berkongsi maklum balas mereka kelak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025