Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia anjur promosi CNY untuk Feb ini – rebat hingga RM30k, City, Civic, Accord, WR-V, HR-V

    Honda Malaysia anjur promosi CNY untuk Feb ini – rebat hingga RM30k, City, Civic, Accord, WR-V, HR-V

    Sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina (Chinese New Year – CNY) yang bakal disambut hujung minggu depan, sudah pasti banyak promosi jualan sedang berlangsung sana sini. Bukan setakat jualan murah di pusat membeli-belah, syarikat kereta juga mengambil kesempatan yang sama untuk memberikan rebat bagi model kenderaannya.

    Honda Malaysia juga tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan promosi ‘Reunite In Prosperity’ untuk sepanjang Februari 2024 ini dengan menawarkan rebat sehingga RM30,000. Anda boleh memilih sama ada mahukan stok kereta buatan tahun 2023 atau pun yang terkini, tahun ini. Kedua-duanya tetap diberikan diskaun, tetapi sudah pasti model buatan tahun 2023 diberikan diskaun yang lebih gempak. Semuanya model CKD tersenarai dalam promosi ini, kecuali SUV CR-V 2024 yang baru-baru ini dilancarkan.

    Untul model buatan tahun 2023, ia melibatkan Accord (HM memutuskan untuk tidak menawarkan model baharu, dan sedan segmen-D CKD telah pun ditamatkan) menerima penawaran diskaun tertinggi sehingga RM30,000. Manakala Civic pula menerima diskaun dari RM2,500 untuk varian RS hingga RM3,500 untuk E dan V. Manakala Civic Hybrid RS pula dengan diskaun cecah RM5,000.

    Klik untuk besarkan

    Barisan City Hatchback pula ditawarkan dengan diskaun RM4,000, sementara insentif untuk City Sedan pula dari RM3,500 (S, RS) hingga RM5,500 (E). Manakala barisan HR-V dan WR-V pula dengan diskaun RM3,000, dan RM4,000 untuk varian Hybrid RS.

    Jika anda berminat untuk model buatan tahun 2024, diskaun sebanyak RM1,000 untuk kesemua varian bagi City hatchback, Civic dan WR-V, dan RM1,500 bagi HR-V RS. Manakala diskaun RM1,000 untuk City Sedan varian S, E dan Hybrid RS atau RM1,500 bagi V dan RS. Seperti yang dimaklumkan pada awal, tiada insentif diberikan untuk CR-V generasi ke-enam yang baru dilancarkan.

     
     
  • BYD mendahului carta jualan EV di Malaysia pada 2023

    BYD mendahului carta jualan EV di Malaysia pada 2023

    Sime Darby Beyond Auto (SDBA), pengedar eksklusif BYD di Malaysia, meraikan pencapaian tahun 2023 yang cemerlang dengan jenama dari China ini telah muncul sebagai peneraju pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia. Sekali gus memperlihatkan populariti BYD yang tiada tandingan, seiring dengan minat yang semakin bertambah dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengguna pakai kaedah pengangkutan lestari.

    Menyambut ketibaan tahun 2024, baru-baru ini SDBA telah menganjurkan acara sambutan Tahun Baharu Cina gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mendapat sambutan luar biasa, dengan lebih 660 tempahan diterima pada hujung minggu bagi model BYD ATTO 3 dan BYD DOLPHIN. Menerusi acara berkenaan juga, BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun diperkenalkan dan dijual pada harga RM173,800.

    Sejajar dengan kejayaan ini, SDBA melancarkan siri promosi menarik, tawaran eksklusif dan kempen hebat dengan kadar faedah 0%. Inisiatif ini dirangka untuk mengekalkan momentum dan memberikan nilai yang tiada tandingan kepada pemandu Malaysia yang mahu beralih kepada EV.

    BYD mendahului carta jualan EV di Malaysia pada 2023

    Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, Sime Darby Motors, berkata, “Pencapaian kami mencatatkan jualan EV tertinggi pada 2023 mencerminkan sokongan dan kepercayaan kukuh yang diberikan oleh pengguna Malaysia terhadap BYD. Rangkaian sokongan lepas jualan kami yang menyeluruh di seluruh negara ialah pembeza penting kejayaan kita. Kami teruja untuk menyediakan perkhidmatan luar biasa dan penjagaan teknikal kepada semua pemilik BYD dan selanjutnya.”

    SDBA juga telah pun membuka pra-tempahan bagi BYD SEAL bermula 19 Januari lalu. Bagi pembeli yang berminat, akan dikenakan bayaran tempahan sebanyak RM1,000 yang dimasukkan sekali ke dalam harga keseluruhan kenderaan. Malaysia mendapat Seal dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance, tetapi harga sebenarnya masih belum diumum. Dijangkakan Seal akan dijual bermula harga sekitar RM180k untuk varian Dynamic, dengan Premium ER mungkin sekitar RM200k dan Performance sekitar RM220k.

    “Dengan kehadiran BYD SEAL yang amat dinanti-nantikan, SDBA kekal komited untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia dan yakin ini akan mengukuhkan lagi kedudukan BYD sebagai pemimpin dalam sektor automotif negara yang kian berubah,” sambung Jeffrey.

    GALERI: BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun di Malaysia

    GALERI: BYD Dolphin Premium Extended Range di Malaysia

    GALERI: BYD Seal dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Kanak-kanak 5 tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta ibunya di Hospital Shah Alam

    Kanak-kanak 5 tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta ibunya di Hospital Shah Alam

    Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam pada 30 Januari lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan kira-kira jam 8.01 malam. Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah taska yang berdekatan kira-kira 2 petang.

    “Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya pada 6 petang. Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman.

    Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka semasa pulang dari sekolah atau taska terutamanya yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang. Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996,” katanya.

    Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.

    Insiden seperti ini banyak terjadi di negara kita, pernah mendapat perhatian menteri yang berusaha mencari solusi untuk mengelakkan ia berulang. Ya, kita tidak berada di tempat ibubapa kanak-kanak berkenaan ketika insiden tersebut berlaku, elakkan mencemuh mereka kerana tiada siapa yang mahu perkara sebegini berlaku. Namun, tolonglah…carilah jalan untuk mengelakkannya, ini termasuklah meletakkan beg tangan/kerja di tempat duduk belakang agar anda tidak terlupa si kecil. Atau pun, sila lekatkan nota atau sticker pada stereng untuk membuatkan anda peka anak anda berada di tempat duduk belakang.

    Juga sebagai masyarakat yang prihatin, jika anda terlihat kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa orang dewasa, tolonglah hubungi pihak berkuasa seperti polis secepat mungkin untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan. Itu sebabnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri menyuarakan agar penggunaan cermin gelap diharamkan kerana ia mungkin antara punca orang ramai tidak menyedari ada kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

     
     
  • Bagaimana nak jual kereta dan dapatkan harga terbaik

    Bagaimana nak jual kereta dan dapatkan harga terbaik

    Jika anda ingin membeli kereta baru, kemungkinan juga anda ada kereta semasa yang ingin ditukar atau dinaik taraf. Biasanya kereta sedia ada itu akan dijual, dan hasil daripada jualan tersebut akan digunakan untuk menampung sebahagian harga kereta baru berkenaan, atau paling tidak untuk dijadikan bayaran pendahuluan.

    Dan, kalaupun kita mampu untuk memiliki dua kereta, ruang parkir pula tidak mencukupi. Maka, dalam situasi ini, ada keperluan untuk menjual kereta sedia ada tersebut.

    Cara paling biasa dilakukan adalah untuk bertanya kepada pengedar kereta baru yang ingin dibeli itu tentang berapa harga yang boleh diberikan untuk kereta sedia ada tersebut. Tetapi, selalunya kadar atau harga yang diberikan bukanlah yang memberikan nilai terbaik untuk kereta anda.

    Satu cara bagaimana untuk mendapatkan harga terbaik untuk kereta yang ingin anda jual adalah melalui perkhidmatan seperti Carro (dikenali sebagai myTukar sebelum ini).

    Bagaimana untuk menjual kereta anda pada harga bidaan

    • Serah perincian anda melalui borang ini. Anda boleh membuat tarikh dan masa temujanji untuk pusat pemeriksaan Carro.
    • Hadir untuk pemeriksaan. Ini akan mengambil masa 30-45 minit sahaja dan proses ini percuma.
    • Jika kereta anda layak untuk tawaran serta-merta, anda akan diberikan tawaran itu. Jika anda bersetuju, terima.
    • Jika anda ingin cuba dapatkan tawaran lebih tinggi, anda boleh serahkan kereta untuk bidaan.
    • Ini bermakna gambar kereta anda dan laporan pemeriksaannya akan diberikan kepada pembida untuk membida dalam sesi secara langsung. Proses ini juga percuma.
    • Selesai bidaan, anda akan ditawarkan harga tertinggi bidaan tersebut.
    • Jika anda bersetuju dengan harga itu, anda boleh menerima tawaran tersebut.
    • Bersedia untuk menyerahkan kereta anda dan anda akan dibayar dalam tempoh 24 jam. Mengikut pengalaman kami, penjual dibayar kurang dari dua jam selepas menyerahkan kenderaan.

    Pengalaman kami juga lancar dan mudah. Tiada kertas kerja yang perlu dilakukan. Pemilik hanya perlu mengesahkan No. KP dengan cap jari, itu sahaja.

    Adakah semua khidmat bidaan sama kerana pembida terdiri daripada pengedar yang sama dalam pasaran?

    Kami mendapatkan keputusan yang menarik selepas mencuba menjual Golf GTI Mk7 pada Mac 2023 lalu.

    Kami hantar kereta ini untuk pemeriksaan di dua khidmat bidaan berbeza pada hari yang sama. Membandingkan hasil daripada dua khidmat bidaan berbeza ini, kami memperolah dua bidaan tertinggi yang berbeza juga — RM76,200 dan RM79,900.

    Jika kami hanya melakukan ini melalui satu khidmat bidaan sahaja, kami akan kerugian RM3,700.

    Apa yang perlu dibawa untuk menjual kereta?

    Anda perlukan semua dokumen di bawah:

    • Salinan asli Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC). Ini apa yang biasanya dipanggil geran. Jika telah hilang, anda boleh cetak semula menggunakan Kad Pengenalan di Kiosk JPJ dan bayar menggunakan kad debit. Kos yang dikenakan ialah RM50 di Kiosk JPJ.
    • Kunci simpanan.

    Dan sekiranya pinjaman kereta anda telah langsai:

    • Surat pelangsaian pinjaman.
    • Borang pengesahan langsai pinjaman.

    Bagaimana jika kereta saya masih ada baki pinjaman? Masih boleh dijual?

    Jika kereta anda masih ada baki pinjaman, tiada masalah untuk menggunakan khidmat bidaan seperti Carro.

    Jika jumlah baki adalah lebih tinggi daripada harga yang ditawarkan, anda boleh bayar perbezaan itu kepada bank.

    Jika jumlah baki kurang daripada harga yang ditawarkan, myTukar akan selesaikan jumlah yang terlibat itu dengan bank dan serahkan bakinya kepada anda.

    Bagaimana saya nak jual kereta yang didaftarkan atas nama syarikat saya?

    Masih boleh gunakan khidmat bidaan untuk menjual kereta yang berada atas nama syarikat.

    Anda hanya perlukan dokumen tambahan berikut. Anda boleh minta contoh daripada Carro.

    • Borang Pendaftaran Perniagaan 49 & 9
    • Salinan Kad Pengenalan Pengarah-pengarah
    • Invois tunai (jika ada)
    • Surat ketetapan JPJ (dengan logo syarikat)
    • Surat Kebenaran/Pelupusan (dengan logo syarikat)
     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

    GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

    Selain GAC GS3 Emzoom dan Aion Y Plus, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) turut mempertontonkan GAC Emkoo selaku model akan datang yang direncanakan untuk pasaran tempatan. Ia menampilkan rekaan futuristik yang menawan, misalnya melalui rekaan gril Borderless V-Shape yang elegan.

    Dibangun menggunakan platform Global Platform Modular Architecture (GPMA), rekaan lampu utamanya juga unik, LED penuh yang dikenali sebagai “Eyes of Revelation”. Ini dilengkapkan lagi dengan rekaan bahagian belakangnya serta garis badan yang tajam, menunjukkan imej yang segar dan ingin menakluk.

    GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

    Tidak banyak perincian rasmi yang dikongsi setakat ini. Namun, dari segi ukuran, Emkoo merupakan SUV besar dalam segmen C, bakal bersaing misalnya dengan model seperti Proton X70. Dimensinya adalah seperti berikut — 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm.

    Ini menjadikannya 270 mm lebih panjang, 51 mm lebih lebar dan 70 mm lebih tinggi berbanding GS3 Emzoom, dengan jarak antara rodanya juga 100 mm lebih panjang.

    Jika dibandingkan dengan Proton X70, model Emkoo ini 161 mm lebih panjang dan 70 mm lebih lebar, dengan jarak antara roda yang juga 70 mm lebih panjang. Ia bahkan hanya 11 mm lebih pendek berbanding Honda CR-V generasi keenam yang baru dilancarkan di sini. Emkoo bagaimanapun 35 mm lebih lebar dan 49 mm lebih panjang jarak antara rodanya berbanding CR-V.

    GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

    Di dalam, GAC Emkoo menampilkan kabin yang sarat dengan teknologi digital. Kluster instrumen dengan penampilan separa apungan misalnya menyuntik elemen moden dan canggih. Di pasaran China, Emkoo ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter turbocas petrol, serta 2.0 liter hibrid.

    Malaysia mungkin akan menerima kapasiti enjin kecil berkenaan, dengan janaan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm tork dari 1,400 hingga 4,500 rpm — penggunaan minyaknya didakwa mampu capai 6.8 liter per 100 km (WLTP). Ini mungkin digandingkan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan. Unit yang ditunjuk ini bagaimanpun ialah versi CBU dan tidak menggambarkan unit sebenar yang akan dijual di Malaysia kelak. Perincian dan pengesahan lanjut berkaitan versi pasaran tempatan akan diumumkan nanti.

     
     
  • GAC Aion Y Plus dipertonton di Malaysia — SUV EV, guna bateri 63.2 kWh, beri jarak hingga 430 km

    GAC Aion Y Plus dipertonton di Malaysia — SUV EV, guna bateri 63.2 kWh, beri jarak hingga 430 km

    Pada awal Januari, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA), sebuah anak syarikat milik penuh Warisan TC Holdings milik Tan Chong (pengedar Nissan di Malaysia) telah dilantik selaku pengedar model EV bagi Aion, sebuah anak syarikat yang mengeluarkan EV bagi jenama GAC Group dari China (GAC Aion New Energy Automobile).

    Selain mempertontonkan model GAC GS3 Emzoom dan juga GAC Emkoo untuk pasaran tempatan, WTCA hari ini turut mempertontonkan model EV SUV Aion Y Plus. Ini merupakan model EV pertama di bawah pengedaran syarikat berkenaan di Malaysia dan dijangka akan mula dijual di sini pada separuh pertama 2024.

    GAC Aion Y Plus dipertonton di Malaysia — SUV EV, guna bateri 63.2 kWh, beri jarak hingga 430 km

    Aion Y Plus menggunakan bateri Magazine oleh GAC Aion sendiri, yang menggunakan Magazine Battery Safety Technology yang setakat ini belum merekodkan sebarang kejadian kebakaran atau letupan. Ini menjadikannya bateri yang paling selamat di dunia ketika ini, dengan menetapkan standard baru bagi prestasi keselamatan dalam EV.

    Untuk Aion Y Plus, bateri lithium-ion phosphate (LFP) “Magazine” yang digunakan berkapasiti 63.2 kWh dengan output maksimum 150 kW. Ini memberikan jarak perjalanan sejauh 490 km (NEDC) atau 430 (WLTP) untuk model terbabit. Model ini memanfaatkan rekaan platform GAC AION Electric Platform (AEP2.0), yang boleh menampung kenderaan dengan jarak antara roda sehingga 2,750 mm, dengan lantai rata untuk penumpang belakang.

    GAC Aion Y Plus dipertonton di Malaysia — SUV EV, guna bateri 63.2 kWh, beri jarak hingga 430 km

    Kerusi depan Aion Y Plus juga boleh direbahkan hingga rata, menyediakan ruang rata dengan kelebaran 1.8 meter untuk diubah dan dimanfaatkan oleh pelanggan. Ruang kaki penumpang belakang juga sangat luas, dengan ukuran sehingga 1,022 mm tersedia.

    Selain itu, Aion Y Plus mempunyai rekaan luaran yang menarik: lampu utama Angel’s Wing mempunyai tujuh jalur lampu melintang, memberikannya tampilan dijalanan yang berbeza. Ia juga bakal hadir dengan tujuh pilihan warna termasuk Glamour Black dan Youthful Green.

     
     
  • GAC GS3 Emzoom 2024 dibuka untuk tempahan — 1.5T, model CKD tiba April; dijangka bawah RM130k

    GAC GS3 Emzoom 2024 dibuka untuk tempahan — 1.5T, model CKD tiba April; dijangka bawah RM130k

    Warisan Tan Chong Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) yang merupakan anak syarikat milik penuh Warisan TC Holdings Bhd hari ini membuka tempahan bagi model SUV kompak GAC GS3 Emzoom dengan yuran RM1,000. Pelanggan bagi 100 tempahan pertama itu juga akan dijemput untuk acara khasnya kelak.

    GAC GS3 Emzoom untuk pasaran Malaysia ditawarkan dalam dua varian, Exclusive dan Premium-R. Harga anggaran model ini pula dijangka berada di bawah RM130,000. Empat pilihan warna ditawarkan — Ivory White, Starlight Silver, Lake Blue dan Graphene Grey. Bagaimanapun, unit yang ditunjuk hari ini merupakan unit CBU, dengan model CKD dijangka masuk pasaran pada April nanti.

    GAC GS3 Emzoom 2024 dibuka untuk tempahan — 1.5T, model CKD tiba April; dijangka bawah RM130k

    Dibangun menggunakan platform GPMA pengeluarnya, GS3 Emzoom mempunyai ukuran 4,410 mm panjang, 1,850 mm lebar dan jarak antara roda 2,650 mm. Model ini akan bersaing dalam segmen B SUV, dengan model seperti Proton X50 dan Honda HR-V. Saiz GS3 Emzoom juga sedikit lebih besar berbanding pesaing yang dinyatakan ini.

    GAC GS3 Emzoom menampilkan rekaan menyerlah, diwakili oleh rekaan gril Mecha Wing, lampu utama LED Laser Eye Split serta lampu belakang Light Dart yang membantu memberikan penampilan yang menawan futuristik bagi SUV ini. Ini ditambah dengan spoiler belakang untuk menjadikannya lebih garang. Pemegang pintunya juga datang dengan rekaan tersembunyi, serta tombol gear kristal yang memberi perhatian terhadap perincian.

    GAC GS3 Emzoom 2024 dibuka untuk tempahan — 1.5T, model CKD tiba April; dijangka bawah RM130k

    Model ini menggunakan enjin 1.5T GDI generasi ketiga yang didakwa lebih berkuasa dan cekap tenaga. Janaan kuasanya ialah 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400 rpm. Kadar penggunaan minyaknya pula 5.9l/100 km. Ruang dalamannya juga luas, menampilkan kemasan dua-tona dan tampak premium.

    Versi CKD model ini juga akan mula dikeluarkan pada suku kedua 2024 di kilang pemasangan Tan Chong (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur. Bilik pameran pertama GAC juga dijangka akan dibuka di Petaling Jaya pada penghujung Februari 2024. Ini akan diikuti oleh pembukaan lima lagi bilik pameran yang terletak di lokasi strategik di Glenmarie, Cyberjaya, Seremban, Johor Bahru dan Pulau Pinang pada separuh pertama tahun ini.

     
     
  • Daihatsu akan sambung penghantaran 2 model, 10 lagi diluluskan – pengeluaran utama bersambung 1 Mac

    Daihatsu akan sambung penghantaran 2 model, 10 lagi diluluskan – pengeluaran utama bersambung 1 Mac

    Daihatsu yang sekarang ini tidak mengeluarkan sebarang kenderaan akibat daripada skandal ujian keselamatan di Jepun telah membuat pengumuman bersedia untuk menyambung kembali penghantaran domestik beberapa model selepas diberikan kelulusan oleh kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun.

    Perintah halangan penghantaran 10 model yang dikeluarkan oleh Daihatsu telah ditarik kembali oleh MLIT selepas semuanya disahkan mematuhi tahap yang ditetapkan oleh Akta Kenderaan Pengangkutan Jalan negara itu. Model yang dimaksudkan adalah Daihatsu Mira e:s, Atrai, Hijet Cargo dan trak Hijet, Subaru Pleo Plus, van Sambar dan trak Sambar serta Toyota Pixis Epoch, van Pixis dan Pixis.

    Kelulusan juga telah diberi untuk menyambung kembali pengeluaran dan penghantaran Toyota Probox, yang dibuat oleh Daihatsu untuk Toyota. Pengeluaran Probox yang dibuat di kilang Daihatsu di Oyamazaki, Kyoto dirancang bermula kembali pada 12 Februari. Kilang ini juga mengeluarkan van Mazda Familia, yang juga akan dikeluarkan semula.

    Daihatsu akan sambung penghantaran 2 model, 10 lagi diluluskan – pengeluaran utama bersambung 1 Mac

    Sementara itu, pengeluaran untuk model lain seperti dalam senarai di atas, yang dipasang di tiga lagi kilang Daihatsu, iaitu Kilang Shiga (Ryuo) No.2, Kilang Oita Daihatsu Kyushu No.1/No.2 dan Kilang Copen Ikeda masih lagi digantung sehingga hujung bulan Februari, dengan rancangan untuk kembali beroperasi pada 1 Mac.

    Daihatsu memberitahu, pada masa hadapan mereka akan mengambil segala langkah yang perlu seperti melakukan ujian dengan kehadiran pihak yang berkuasa terhadapan pensijilan, mengikut segala petunjuk daripada MLIT.

    Sebelum ini juga Daihatsu dilaporkan akan mengalami kerugian sehingga lebih dari 100 bilion yen (RM3.2 bilion) kerana operasi produksi yang terpaksa dihentikan, dan juga kos yang perlu ditanggung untuk memberikan pampasan kepada pembekal yang terlibat.

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro dijumpai di Malaysia – pesaing Proton X70 dengan enjin 1.6 turbo, kuasa 197 hp

    Chery Tiggo 7 Pro dijumpai di Malaysia – pesaing Proton X70 dengan enjin 1.6 turbo, kuasa 197 hp

    Pasaran SUV yang sangat kompetitif di negara ini nampaknya akan menerima pesaing baru apabila pembaca kami, Billy Fong menghantar gambar Chery Tiggo 7 Pro yang dijumpai di Malaysia ini. Ia adalah unit pemanduan sebelah kanan, dan mungkin menggunakan spesifikasi yang akan dilancar untuk pasaran kita. Sama seperti Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang sudah dilancar, Tiggo 7 Pro ini juga akan dipasang di Kulim, Kedah.

    Awal bulan ini Chery Malaysia telah mengumumkan secara rasmi Tiggo 7 Pro akan diperkenalkan kepada pasaran tahun ini, atau lebih spesifik lagi selepas Omoda E5 pada bulan Mac. Selain pengesahan ini, laman kumpulan Tiggo 7 Pro di dalam Facebook juga dilihat sudah diaktifkan semula.

    Sebelum ini, Chery dikatakan akan membawa versi plug-in hybrid bagi Tiggo 7 Pro, tetapi semasa pembentangan rancangan perniagaan yang dibuat awal bulan ini, ia didedahkan cuma dengan enjin pembakaran dalaman dan tiada bantuan motor elektrik. Enjin yang disebutkan adalah unit empat silinder turbo 1.6 liter yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 197 hp dan tork 290 Nm.

    Chery Tiggo 7 Pro dijumpai di Malaysia – pesaing Proton X70 dengan enjin 1.6 turbo, kuasa 197 hp

    Chery Tiggo 7 Pro juga akan mengikuti model Chery lain yang diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, yang datang dengan pelbagai kelengkapan. Antara yang diketahui adalah rim 18 inci, pakej ADAS dengan 17 fungsi, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik serta tempat duduk dengan liang udara.

    Turut disediakan adalah kamera ‘540 darjah’, sistem audio Sony lapan pembesar suara serta dua skrin 24.6 inci. Untuk skrin itu, ia adalah dua unit yang menggabungkan skrin infotainmen tengah dengan panel instrumen digital hadapan pemandu, seperti yang digunakan pada Mercedes-Benz.

    Tiggo 7 Pro sepatutnya adalah model segmen C lima tempat duduk, yang mengisi ruang antara Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro. Ia mempunyai ukuran badan 113 mm lebih panjang dan 32 mm lebih lebar berbanding Omoda 5, sementara panjang 4,513 mm yang dicatat adalah hampir sama seperti Proton X70 (4,519 mm).

    GALERI: Chery Tiggo 7 Pro PHEV 2023 di China

     
     
  • Harga minyak 1-7 Februari – Semuanya masih kekal

    Harga minyak 1-7 Februari – Semuanya masih kekal

    Bagi minggu pertama Februari 2024 untuk tempoh 1 hingga 7 Februari, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya- ujian percubaan akhir 1-16 Feb; tren ditambah, kekerapan dipertingkat

    Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya- ujian percubaan akhir 1-16 Feb; tren ditambah, kekerapan dipertingkat

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah mengumumkan bahawa bermula esok (1 Februari 2024) hingga 16 Februari ini, pihaknya akan melaksanakan operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya sebagai persediaan untuk pembukaan operasi penuh.

    “Dengan perubahan ke atas pengoperasian ini, para penumpang tidak perlu lagi turun di Stesen Hang Tuah bagi tujuan mendapatkan tren perantara untuk ke Stesen Masjid Jamek. Namun penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Selain itu, tambahnya, bilangan tren juga bakal ditambah dan kekerapan tren pada waktu puncak juga akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi daerah pusat perniagaan dan 7 minit luar daerah pusat perniagaan.

    Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya- ujian percubaan akhir 1-16 Feb; tren ditambah, kekerapan dipertingkat

    “Pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk Bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa, pembukaan penuh laluan ini dijangka akan dilaksanakan pada penghujung Februari 2024.

    “Kerja-kerja membaik pulih struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya yang telah selesai sepenuhnya tersebut turut melibatkan penukaran beberapa komponen landasan di sekitar kawasan yang terlibat. Ia adalah usaha berterusan pihak Rapid Rail dalam memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang,” kata Rapid Rail lagi.

    Dalam masa yang sama, Rapid Rail juga berharap dengan pembukaan semula laluan ini kelak, ia akan dapat mengembalikan keselesaan pengguna dan jumlah penumpang akan dapat ditingkatkan kerana penumpang tidak perlu lagi menukar tren atau menggunakan khidmat bas perantara.

    Laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup semenjak 27 Januari 2023 susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

     
     
  • Proton Arena baharu – trak pikap asas daripada S70?

    Proton Arena baharu – trak pikap asas daripada S70?

    Hujung tahun lepas Proton melancarkan S70, iaitu sebuah model sedan baru dan diterima baik dengan 1,200 tempahan diterima waktu pelancaran. Bagaimana pula jika ada yang mahu sesuatu hampir sama, tetapi dengan ciri lebih lasak? Ini dia bayangan daripada Theophilus Chin, yang mengambil inspirasi daripada kewujudan Arena sebelum ini, dan dibuat menggunakan asas daripada S70.

    Pergi ke belakang yang menjadi bahagian unik model ini, Theo telah mengambil pintu ruang barangan dan lampu daripada trak pikao Geely Radar RD6. Sudah tentu, lencananya ditukar kepada Proton Arena dan di bawah bampar belakang terdapat kemasan seakan diffuser.

    Jika pada Radar RD6 panel tepi ruang kargonya mempunyai lekuk jelas pada lengkung tayarnya, Arena ini pula dijadikan lebih licin dan menyamai garis badan S70 dari depan. Mengikut Arena sebelum ini, hasil lukisan digital Theo juga menggunakan tetapan dua pintu, single-cab.

    Proton Arena baharu – trak pikap asas daripada S70?

    Bahagian hadapan sama sahaja seperti S70, dan ini mengikut konsep Arena sebelum ini yang menggunakan bahagian hadapan sama seperti Wira. Secara teorinya, jika asas dah sama, enjin juga mestilah sama kan?

    Jika begitu, Arena ini mungkin boleh dipacu oleh enjin tiga silinder 1.5L port-injected berkuasa 150 PS dan 226 Nm, bersama padanan transmisi klac berkembar, sama seperti S70 pasaran Malaysia.

     
     
  • BMW kekal sebagai jenama kenderaan premium nombor satu di dunia – 2.25 juta kenderaan terjual

    BMW kekal sebagai jenama kenderaan premium nombor satu di dunia – 2.25 juta kenderaan terjual

    BMW nampak seperti tidak berbuat salah meskipun muncul dengan beberapa rekaan yang kontroversi sejak baru-baru ini kerana masih berjaya mencatat jualan kenderaan premium paling tinggi di dunia buat kali ketiga berturut-turut, dengan jumlah jualan 2,253,835 kenderaan pada tahun 2023.

    Seperti yang dilaporkan oleh Automotive News Europe, jumlah ini bersamaan peningkatan 7.3% berbanding tahun 2022, membenarkan BMW mengatasi Mercedes-Benz sekali lagi. Kenderaan elektrik jenama itu juga menyaksikan penerimaan lebih baik, dengan peningkatan jualan sehingga 92%, bersamaan 330,956 unit.

    BMW memberitahu, ia menjangka permintaan EV akan terus naik dan meletakkan sasaran menjual setengah juta kenderaan elektrik penuh tahun ini. Secara keseluruhannya, BMW Group menjual 2,555,341 buah kenderaan tahun lepas (naik 6.5%), termasuk daripada MINI dan Rolls-Royce yang berada di bawahnya.

    BMW kekal sebagai jenama kenderaan premium nombor satu di dunia – 2.25 juta kenderaan terjual

    Sementara itu, jualan Mercedes-Benz tidak banyak berubah, iaitu 2,043,800 unit, disebabkan oleh kekurangan komponen sistem hibrid ringkas 48 volt serta masalah bekalan lain. Jualan EV mereka juga gagal menyaingi jumlah yang dicatat oleh BMW, tetapi masih meningkat 73% kepada 222,600 unit. Jualan keseluruhan kumpulan syarikat termasuk van dan model jenama smart juga naik 1.5%, kepada 2,491,600 unit.

    Tempat ketiga dirangkul oleh Audi, yang mencatat jualan 1,895,240 buah kenderaan – 17% lebih tinggi berbanding 2022. Daripada jumlah ini, 178,000 adalah EV, dan menunjukkan peningkatan 51%. Di bawah Audi, barulah muncul Tesla dengan catatan jualan 1,808,581 unit (naik 38%) dan kemudiannya diikuti Lexus dengan jumlah jualan 824,258 unit (naik 32%).

     
     
  • Toyota kekal jenama automotif terlaris di dunia buat 4 tahun berturut-turut – 11.2 j unit terjual pada 2023

    Toyota kekal jenama automotif terlaris di dunia buat 4 tahun berturut-turut – 11.2 j unit terjual pada 2023

    Toyota mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan terlaris di dunia buat empat tahun berturut-turut termasuk mencipta rekod baharu dengan berjaya menjual sejumlah 11.2 juta unit kenderaan pada tahun lalu. Syarikat ini melaporkan peningkatan 7.2% jualan kumpulan global tahun lalu, termasuk unit trak, Hino Motors dan pembuat kereta kecil, Daihatsu, dibantu oleh jualan tertinggi luar negara sebanyak 8.9 juta kenderaan.

    Manakala Volkswagen Group di tangga kedua dengan peningkatan sebanyak 12% mencecah 9.2 juta unit kenderaan, diikuti oleh Hyundai-Kia di tangga ketiga dengan 7.3 unit kenderaan terjual, naik 6.7% berbanding tahun sebelumnya.

    Jualan kenderaan syarikat induk Toyota sahaja, termasuk jenama Lexus, mencatatkan rekod baharu 10.3 juta unit pada 2023. Syarikat itu mengaitkan prestasi cemerlangnya, kepada permintaan kukuh di setiap rantau serta pengurangan kekurangan semikonduktor, laporan AFP.

    Bagi kenderaan Toyota dan Lexus, jumlah jualan globalnya mencecah 10.3 juta unit. Walau bagaimanapun, penurunan jualan pula dihadapi oleh salah satu jenama di bawahnya, Daihatsu yang kini isu skandal ujian keselamatan sedang hangat diperkatakan, ditambah pula dengan keputusan untuk menutup penutupan pengeluaran sehingga pertengahan Februari dijangka tidak akan memperbaiki keadaan tahun ini. Manakala jualan bagi jenama Hino, pengeluar bagi trak dan bas juga menyusut hampir 10%.

    Toyota kekal jenama automotif terlaris di dunia buat 4 tahun berturut-turut – 11.2 j unit terjual pada 2023

    Biarpun jualan model hibridnya meningkat sebanyak 31.4% kepada 3.4 juta unit tahun lepas, namun prestasi model elektrik tulennya masih ketinggalan berbanding pesaing. Pada 2023, Toyota hanya menjual sekitar 104,018 EV, jurang angka yang jauh berbanding 1.81 juta unit kenderaan yang dijual oleh Tesla dan 1.57 juta unit EV keluaran BYD.

    Bagaimana pun CEO Toyota Koji Sato berkata, menjelang tahun 2025, syarikatnya merancang untuk memiliki versi elektrik bagi kesemua model Toyota dan Lexus di peringkat global, dan mensasarkan jualan sebanyak 1.5 juta EV setahun menjelang 2026 dan 3.5 juta unit menjelang 2030.

    Walaupun tahun ini, Toyota dijangka mampu mendahului carta jualan sekali lagi, namun pastinya syarikat itu perlu mengelak isu lanjut seperti melibatkan enjin dieselnya baru-baru ini.

    Awal minggu ini, Toyota berkata ia menangguhkan penghantaran 10 model yang menggunakan enjin yang dikaitkan dengan penyelewengan ujian di firma gabungan Toyota Industries Corporation (TICO), yang membina rangkaian kuasa diesel untuknya. Syarikat itu berkata bahawa penggantungan penghantaran akan menjejaskan kira-kira 36,500 kenderaan Toyota yang dikeluarkan setiap bulan.

     
     
  • Sultan Ibrahim Iskandar berangkat keluar dari Istana Bukit Serene dengan menaiki Rolls-Royce Phantom VI

    Sultan Ibrahim Iskandar berangkat keluar dari Istana Bukit Serene dengan menaiki Rolls-Royce Phantom VI

    Hari ini merupakan satu lagi hari penuh bersejarah buat Malaysia di mana kita mendapat Yang DiPertuan Agong yang baharu. Kini giliran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. Upacara Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 dilangsungkan di Istana Negara pagi ini.

    Seawal jam 8 pagi, kelihatan Sultan Ibrahim berangkat keluar dari pintu utama Istana Bukit Serene, Johor Bahru, bersama konvoi Diraja ke Hangar DiRaja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), sebelum menaiki pesawat khas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

    Hasil rakaman lensa Bernama yang disiarkan menerusi laman media X, menariknya, Sultan Ibrahim memilih untuk menaiki limosin klasik Rolls-Royce Phantom VI berwarna biru gelap sebelum menaiki pesawat khas tersebut. Umum mengetahui, Sultan Ibrahim memang pencinta kenderaan termasuklah memiliki Mack truck.

    Merupakan model terdahulu bagi Rolls-Royce Phantom masa kini, Phantom VI dikeluarkan dari tahun 1968 hingga 1990, dan hanya sebanyak 374 unit sahaja yang dihasilkan sepanjang tempoh itu. Kemasan kerja bagi limosin klasik ini direka oleh Mulliner Park Ward, dan Phantom VI merupakan model terakhir Rolls-Royce yang menggunakan casis yang berasingan. Limosin klasik ini juga dipadankan dengan enjin 6.2 liter twin-carb V8, digandingan bersama kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Sultan Ibrahim Iskandar berangkat keluar dari Istana Bukit Serene dengan menaiki Rolls-Royce Phantom VI

    Pada tahun 1979, Phantom VI telah diberikan enjin yang lebih besar berkuasa 6,750 cc dan transmisi automatik tiga-kelajuan dengan torque converter, serta unit pendingin hawa hadapan dan belakang.

    Phanton VI sebenarnya banyak digunakan oleh orang kenamaan termasuk kerabat diRaja. Menurut Wikipedia, mendiang Ratu Elizaberh II juga mempunyai dua uni jentera ini, manakala Sultan Brunei, yang juga merupakan pencinta kenderaan turut memilikinya. Bagi keluarga kerabat Johor pula, memiliki dua unit Phanton VI, yang boleh disaksikan menerusi video ini di mana terdapat sebuat lagi Phanton VI menelusuri laluan yang sama di belakang kenderaan yang dinaiki oleh Sultan Ibrahim. Diikuti dengan kereta pengiring yang lain termasuk SUV QMC dan Audi A8.

    Sultan Ibrahim bersama rombongan telah pun selamat tiba di Pangkalan TUDM Subang sekitar jam 9.45 pagi, dan penulis yang berada kurang lima kilometer dari TUDM turut terdengar beberapa pesawat pejuang TUDM yang membuat penerbangan khas sejurus ketibaan YDPA baharu kita di sini. Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam. Daulat Tuanku!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025