Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 8-14 Februari – Tiada perubahan

    Harga minyak 8-14 Februari – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 8 hingga 14 Februari 2024, tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • GWM Tank 300 bakal tiba di Malaysia – enjin 2.0L turbo

    GWM Tank 300 bakal tiba di Malaysia – enjin 2.0L turbo

    Dalam satu muatan media sosial yang mengumumkan pengeluaran unit ke 300,000 GWM Tank 300 di China, GWM Malaysia turut mengumumkan model tersebut juga akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.

    Di China, Tank 300 dijual dalam dua varian, iaitu yang menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo biasa, ataupun hibrid ringkas (enjin sama dengan tambahan sistem elektrikal 48 volt). Ia mula diperkenalkan pada tahun 2023, bersama Tank 400 dan Tank 500 yang menerima penggerak plug-in hybrid.

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin Tank 300 adalah 227 PS dan tork 387 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan empat roda dengan beberapa mod.

    Dalam versi pemanduan sebelah kanan di Australia, antara kelengkapan yang diberi pada Tank 300 adalah seperti rim 17 inci, dua skrin 12.3 inci untuk panel instrumen dan infotainmen, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dua soket pengecas 12V, lampu suasana serta soket pengecas USB.

    Varian yang lebih tinggi pula mendapat rim 18 inci, tempat duduk balutan kulit Nappa, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan penyejuk, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi mengurut, pengecas telefon tanpa wayar, sistem bunyi sembilan pembesar suara Infinity serta lampu suasana dengan pilihan lebih banyak warna.

    GALERI: GWM Tank 300 di Auto Shanghai 2023

     
     
  • Polis pantau 18 lokasi hotspot, 46 lokasi blackspot di semua lebuhraya dalam Op Selamat 21 pada 8-13 Feb

    Polis pantau 18 lokasi hotspot, 46 lokasi blackspot di semua lebuhraya dalam Op Selamat 21 pada 8-13 Feb

    Sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal disambut hujung minggu ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau dan mempertingkatkan pengawasan di 18 lokasi hotspot dan 46 lokasi blackspot di lebuh raya seluruh negara sempena Op Selamat 21 bermula esok (8 Februari) hingga 13 Februari 2024.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan dan perkhidmatan menyeluruh (total enforcement and services) dalam penugasan operasi berkenaan, laporan Berita Harian.

    “Kita melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas dan memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada masyarakat. Sepanjang Op Selamat kali ini, seramai 6,559 pegawai dan anggota akan ditugaskan di lapangan bagi melancarkan aliran trafik.

    “Ada juga pegawai dan anggota ditempatkan di lokasi hotspot yang sering kali berlaku kesesakan dan kawasan blackspot iaitu lokasi kerap berlaku kemalangan selain mengenal pasti 407 lokasi hotspot serta 76 blackspot di negeri dan daerah,”katanya.

    Dalam masa yang sama, PDRM juga melaksanakan pencegahan kes jenayah terhadap harta benda dan kediaman yang ditinggalkan orang ramai sepanjang tempoh musim perayaan itu dengan mengisi borang menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) 2.0.

    Katanya, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan rakan kolaborasi strategik PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

    Polis pantau 18 lokasi hotspot, 46 lokasi blackspot di semua lebuhraya dalam Op Selamat 21 pada 8-13 Feb

    Selain itu, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti melalui petugas Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Unit Dron PDRM turut terlibat dalam operasi tersebut. Malahan PDRM juga akan menempatkan Emergency Response Team (ERT) di beberapa lokasi strategik.

    “Kita menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya bermula esok kerana orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena cuti perayaan dan cuti sekolah. Orang ramai dinasihati agar merancang perjalanan serta membuat persediaan awal sebelum pulang ke kampung.

    “Mereka juga perlu memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta dapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan selain memandu dengan kelajuan yang dibenarkan serta mematuhi arahan papan tanda,” katanya.

     
     
  • Lotus Eletre S 2024 di M’sia — SUV EV harga RM700k

    Lotus Eletre S 2024 di M’sia — SUV EV harga RM700k

    Dah pernah tengok depan mata bagaimana agaknya rupa SUV keluaran Lotus? Yang sedang anda lihat ini ialah Lotus Eletre S, sebuah SUV elektrik sulung daripada pengeluar ini, dan telahpun dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada April tahun lalu. Ini ada arah tuju baru bagi Lotus — di bawah pemilikan Geely — yang sebelum ini lebih sinonim dengan penghasilan kereta sport yang kecil dan ringan.

    SUV ini memanfaatkan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa sebanyak 605 hp dan 710 Nm tork. Ini membolehkannya memecut dari kedudukan 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan mencapai laju maksimum 258 km/j. Dalam kitaran WLTP, Eletre S memberikan jarak sejauh 600 km daripada bateri berkapasiti 112 kW yang digunakan.

    Lotus Eletre S 2024 di M’sia — SUV EV harga RM700k

    Dibangun menggunakan platform dan senibina elektrik 800-volt juga membolehkan Eletre untuk menerima pengecasan pantas DC pada kadar sehingga 350 kW. Ini membolehkan baterinya dicas dari 10-80% dalam masa hanya 20 minit.

    Sudah tentu, Lotus Eletre ini lari jauh daripada Lotus yang pernah dikenali dulu. Ia kini menampilkan rekaan yang agak radikal yang diambil daripada hypercar elektrik Lotus Evija serta diterapkan dengan sentuhan futuristik yang minimalis. Lima-tempat duduk adalah konfigurasi standard, dan boleh dipilih untuk dihadirkan dalam konfigurasi empat-tempat duduk juga. Teras dalam ruang kabinnya antara lain terdiri daripada skrin sentuh OLED 15.1-inci.

    Lotus Eletre S 2024 di M’sia — SUV EV harga RM700k

    Varian S ini memberikan tingkat kemasan yang lebih tinggi berbanding varian asas yang biasa. Ini termasuklah spoiler belakang aktif, rim 22-inci aloi, tutup pintu senyap serta sistem audio KED Reference Audio 2,160-watt dengan 23-pembesar suara. Ia juga lengkap dengan sistem bantuan pemandu yang canggih, dengan bateri bagi penderia lidar yang didakwa mampu membolehkan pemanduan autonomous Tahap 4 melalui kemaskini akan datang nanti.

    Lotus Eleltre S dijual pada harga RM698,000 atas jalan tidak termasuk insurans, dan ini belum termasuk pilihan lain yang lebih mahal. SUV EV Lotus yang sulung ini adakah cukup menarik?

     
     
  • Mitsubishi Xforce di Malaysia – SUV segmen B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross bakal dilancar?

    Mitsubishi Xforce di Malaysia – SUV segmen B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross bakal dilancar?

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) nampaknya tidak lama lagi akan memperkenalkan sebuah SUV segmen B baru apabila Xforce sudah ditemui atas jalan di Malaysia. Ia dijangka mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh ASX sejak penjualannya dihentikan beberapa tahun dulu oleh MMM.

    Walaupun penuh dengan pelekat samaran, kita masih bleh mengenali Xforce ini melalui lekuk pada panel di atas lengkung roda belakang, serta bentuk T pada lampu belakang, yang unik untuk model tersebut. Turut boleh dilihat adalah rim 18 inci dua tona, yang menunjukkan ini adalah model varian tinggi.

    Xforce dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Oleh itu, ia mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V (4,385 mm x 1,790 mm x 1,590 mm) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm X 1,825 mm x 1,620 mm).

    Mitsubishi Xforce di Malaysia – SUV segmen B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross bakal dilancar?

    Kalau dilihat kepada standard SUV Mitsubishi, Xforce boleh dianggap moden kerana datang dengan lampu LED penuh, paparan instrumen digital, skrin sesentuh infotainmen sehingga 12.3-inci Smartphone-Link Display Audio serta sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha.

    Untuk bahagian keselamatan pula, Xforce ini boleh datang dengan enam-beg udara serta pelbagai sistem bantuan pemanduan maju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif, Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCM), lampu Tinggi Automatik (AHB), Pemberitahu Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN), Amaran Titik Buta bersama Bantuan Tukar Lorong serta sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Namun bagi enjin, ia hanya seperti model SUV segmen-B aras mula (contohnya Perodua Ativa dan Honda WR-V) kerana hadir cuma dengan unit NA 1.5 liter. Enjin yang dimaksudkan adalah unit 4A91 1.5L DOHC Mivec yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, menghasilkan kuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Transmisi adalah unit CVT dan ia menggunakan pacuan dua roda hadapan.

    Walaupun begitu, Mitsubishi memberitahu Xforce masih mempunyai kemampuan pemanduan lasak dan hadir dengan teknologi kawalan empat roda yang pertama untuk sebuah Mitsubishi yang hanya menggunakan pacuan dua roda. Teknologi ini menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.

    Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik.

    Walaupun mungkin akan diperkenalkan tahun ini, kami menjangkakan Xforce hanya akan tiba pada penghujung tahun dan MMM akan memberi laluan terlebih dahulu kepada Triton baru dan Xpander facelift.

    GALERI: Mitsubishi Xforce pasaran Indonesia

     
     
  • Data jualan trak pikap di Malaysia 2023 – Hilux masih di atas; Triton, D-Max, Ranger bersaing sengit

    Data jualan trak pikap di Malaysia 2023 – Hilux masih di atas; Triton, D-Max, Ranger bersaing sengit

    Pasaran trak pikap di Malaysia menunjukkan sedikit peningkatan jumlah jualan dengan 58,600 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan pada tahun 2023, naik 1.54% berbanding 57,710 unit yang dicatat pada tahun 2022. Jumlah ini bagaimanapun masih kecil berbanding jumlah keseluruhan kenderaan penumpang yang dijual (799,731 unit).

    Sekali lagi, Toyota Hilux menjadi trak pikap paling laris dalam pasaran dengan jualan 27,447 unit, bersamaan peningkatan 0.92% berbanding tahun 2022. Walaupun jualan tinggi, perkongsian pasaran Hilux bagaimanapun turun kepada 46.8% berbanding 47.1% pada tahun 2022.

    Berada di tempat kedua adalah Mitsubishi Triton, dengan jualan 9,812 unit. Model generasi kedua yang ada sekarang dijangka akan diganti dengan model generasi ketiga pada tahun 2024 dan bagi tahun akhir ia berada dalam pasaran, jualannya meningkat 1.19% dan perkongsian pasaran dicatat pada 16.7% (turun 0.1% berbanding tahun 2022).

    Data jualan trak pikap di Malaysia 2023 – Hilux masih di atas; Triton, D-Max, Ranger bersaing sengit

    Melengkapkan kedudukan atas podium adalah Isuzu D-Max dengan jualan terbaik pernah dicatat, iaitu 9,650 unit (naik 4.77% berbanding 2022) dan perkongsian pasaran menjadi 16.5% (naik 0.5% berbanding 2022). Di bawahnya barulah muncul Ford Ranger dengan catatan jualan 8,699 unit.

    Seperti yang boleh dilihat melalui data di atas, pasaran trak pikap sangat kompetitif tahun lepas, dengan hanya beberapa ratus unit memisahkan kedudukan antara tempat kedua hingga tempat keempat. Nissan Navara mencatat penurunan jualan yang banyak, sehingga 46.09% dengan hanya 2,366 unit berjaya dijual. Keadaan sama turut berlaku pada Mazda BT-50, dengan jualan cuma 189 unit dan turun 31.27% berbanding tahun 2022.

     
     
  • Tol percuma pada 8-9 Feb sempena CNY- kenderaan Kelas 1; semua plaza tol kecuali di BSI, Tg Kupang

    Tol percuma pada 8-9 Feb sempena CNY- kenderaan Kelas 1; semua plaza tol kecuali di BSI, Tg Kupang

    Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi ini telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 (persendirian) sahaja pada 8 dan 9 Februari 2024 sempena perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) kali ini. Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam pada 8 Februari 2024 (Jumaat) dan akan berakhir jam 11.59 malam pada 9 Februari 2024 (Sabtu).

    Walau bagaimana pun, menurut Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Linkedua, Johor.

    “Sebagai tanda prihatin serta sama-sama berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, kerajaan telah bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya. Pemberian tol percuma ini melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.

    Tol percuma pada 8-9 Feb sempena CNY- kenderaan Kelas 1; semua plaza tol kecuali di BSI, Tg Kupang

    “Bagi pengguna jalan raya yang bakal memulakan perjalanan sepanjang musim perayaan ini, semoga selamat sampai ke destinasi dan rancanglah perjalanan anda dengan sewajarnya,” kata Alexander menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini, beliau turut berharap pengguna lebuhraya dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya. Anda juga disarankan mengikut cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuhraya termasuk untuk Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

    Anda juga dinasihati memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet mencukupi walau pun melalui lebuhraya dalam tempoh pemberian tol percuma ini. Jangan lupa dapatkan rehat secukupnya dan pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang selamat untuk dipandu. Sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Selamat bercuti!

     
     
  • Melaka tumpu lapan lokasi panas kerap berlaku kemalangan sepanjang Tahun Baharu Cina – Exco

    Melaka tumpu lapan lokasi panas kerap berlaku kemalangan sepanjang Tahun Baharu Cina – Exco

    Kerajaan Melaka bakal memberikan tumpuan terhadap lapan lokasi panas (hot spot) yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri ini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 10-11 Februari 2024.

    Menurut Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Op Tahun Baharu Cina itu akan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sepanjang tempoh musim perayaan ini, laporan Bernama.

    Lapan lokasi panas tersebut ialah Leboh AMJ, Jalan Masjid Tanah, Jalan Sungai Udang, Jalan Umbai, Jalan Tehel-Bemban, Jalan Merlimau-Jasin, Jalan Gepam-Bemban dan Jalan Lubok China-Hutan Percha.

    “Kami tidak hanya fokus lapan hot spot itu sahaja tetapi semua lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan punca kemalangan di seluruh Melaka dan suka saya tegaskan operasi yang dilakukan termasuk sekatan jalan raya bukan bertujuan mencari kesalahan pengguna tetapi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan di jalan raya.

    Melaka tumpu lapan lokasi panas kerap berlaku kemalangan sepanjang Tahun Baharu Cina – Exco

    “Ini penting memandangkan kami menjangkakan hampir dua juta kenderaan akan berada di jalan raya seluruh Melaka sepanjang empat hari perayaan tersebut,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan TBC 2024 Japerun Ayer Keroh di Bukit Beruang.

    Dalam majlis berkenaan, kempen penukaran topi keledar lama kepada topi keledar baharu yang selamat dan mempunyai kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) turut dianjurkan.

    Katanya, penukaran topi keledar serta Op Tahun Baharu Cina tersebut adalah antara usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya terutama melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di musim perayaan.

    “Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama untuk memastikan setiap individu mengamalkan budaya selamat termasuklah menggunakan peralatan keselamatan seperti baju pantul cahaya dan topi keledar,” katanya.

     
     
  • Lori terbalik di Lebuhraya PLUS arah Utara di Tapah-Gopeng — laluan bertentangan dibuka, sesak 10 km

    Kepada yang mungkin sedang berada dalam perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS, sila ambil perhatian. Sebuah kemalangan telah berlaku antara sebuah lori tangki dan lori trailer pagi ini, di KM319.6 arah Utara antara Tapah dan Gopeng. Ini merupakan laluan dua lorong, dan setakat 3.35 pm, semua lorong arah Utara ini ditutup kepada trafik.

    Lorong arah bertentangan telah diaktifkan (KM318.7 hingga KM320.6) dengan satu lorong arah Selatan digunakan untuk trafik arah Utara, serta lorong kemasan arah Selatan juga digunakan untuk aliran utama trafik. Walaupun begitu, PLUS melaporkan kesesakan sejauh 10 km arah Utara, dan 9 km sesak arah Selatan. Semua ini setakat 3.35 pm tadi.

    Operasi besar sedang dijalankan untuk mengalih dua lori berkenaan, sejak kejadian yang berlaku jam 7 pagi tadi. Jika anda sedang bergerak ke laluan arah sekitar itu, adalah lebih baik untuk menghindar lebuhraya berkenaan buat sementara waktu dan gunakan jalan alternatif lain.

     
     
  • Auto Bavaria, Hertz Malaysia tawarkan sewaan BMW iX RM550 sehari — pengenalan kerjasama yang dimeterai

    Auto Bavaria, Hertz Malaysia tawarkan sewaan BMW iX RM550 sehari — pengenalan kerjasama yang dimeterai

    Sime Darby Auto Bavaria telah mengumumkan kerjasama dengan Sime Darby Rent-A-Car (SDRAC)-Hertz Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan sewa kereta elektrik.

    Bagi meraikan kerjasama itu serta sambutan Tahun Baru Cina akan datang, pihak mereka memperkenalkan tawaran sewaan eksklusif untuk kereta elektrik BMW iX untuk mereka yang berminat untuk meneroka sisi premium bagi teknologi elektrifikasi untuk satu tempoh masa singat sebelum mengambil keputusan untuk beralih kepada EV. Sepanjang tempoh pengenalan ini, BMW iX akan disewakan pada kadar RM550 sehari atau RM5,500 sebulan.

    “Auto Bavaria komited untuk menerajui penggunaan EV di Malaysia. Kali ini, kami ingin memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba iX yang bergaya dengan teknologi EV canggih. Bersama Hertz Malaysia, kami mencipta satu ekosistem mapan bagi menyokong perkembangan penggunaan EV di sini,” ujar Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan.

    “Matlamat kami adalah untuk memberikan pengalaman elektrifikasi mewah kepada pelanggan Hertz Malaysia. Kerjasama ini tidak hanya memberikan peluang kepada pelanggan untuk merasakan pengalaman bersama BMW iX terbaru dengan penuh gaya, tetapi juga untuk membolehkan mereka meneroka pilihan sewaan lain, seperti khidmat pemandu, perjalanan dari/ke lapangan terbang serta permintaan khas untuk acara korporat dan persendirian,” jelas Pengarah Urusan SDRAC, Harun Mohd Joned.

    Pelanggan yang berminat untuk meneroka BMW iX melalui perkhidmatan sewaan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web SDRAC atau kunjungi cawangan Hertz Malaysia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

     
     
  • KINETA pasang 3,888 unit pengecas EV di M’sia — 35% perkongsian pasaran, sasar 5k unit pertengahan 2024

    KINETA pasang 3,888 unit pengecas EV di M’sia — 35% perkongsian pasaran, sasar 5k unit pertengahan 2024

    KINETA, sebuah anak syarikat milik penuh Sime Darby yang memberi tumpuan kepada pengecas EV, kini telah selesai memasang sebanyak 3,888 unit pengecas EV di Malaysia.

    Sempena pencapaian ini, syarikat itu menganjurkan kempen “Milestone Magic 3,888” untuk memberi habuan kepada pelanggan ke-3,888 berupa pakej pemasangan percuma bernilai RM1,388, baucar tunai bernilai RM1,500 serta peluang berkunjung ke ibupejabat KINETA.

    Pemenang bertuah itu ialah Reeza Amirul, seorang jurutera awam yang telah membeli BYD Atto 3, baru-baru ini. Untuk pengecas di rumahnya, Reeza memilih naik taraf kepada Wallbox Commander 2 22 kW, dengan ciri skrin 7.0-inci serta rekaan kompak yang elegan.

    KINETA mensasarkan angka pemasangan 5,000 unit — terdiri daripada pengecas AC untuk rumah serta DC untuk kegunaan umum — menjelang pertengahan 2024. Syarikat itu mempunyai perkongsian pasaran sebanyak 35% bagi penyelesaian pengecas EV pada 2023 di Malaysia.

    “Matlamat kami bukan hanya untuk terus memenuhi permintaan bagi pemasangan prasarana pengecasan EV, tetapi juga untuk melangkaui jangkaan pelanggan dalam memberikan penyelesaian terbaik. Kami cukup teruja dengan pertumbuhan industri pengecasan EV di Malaysia,” jelas Ketua Jualan KINETA, Melvin Chuah.

     
     
  • Perodua Bezza dengan inspirasi daripada Proton S70

    Perodua Bezza dengan inspirasi daripada Proton S70

    Setakat ini kita sudah tahu Perodua sedang membangunkan Bezza generasi kedua dan ramai yang tidak sabar untuk mengetahui bagaimana rupanya. Setakat ini masih belum ada gambar rasmi daripada Perodua tetapi orang luar sudah mula membuat bayangan sendiri termasuklah Theophilus Chin.

    Beliau sebenarnya sudah beberapa kali membuat lukisan digital Bezza baru ini, dan kali terakhir adalah pada Julai tahun lalu, menggunakan asas daripada Axia. Sekarang, ia dirujuk semula dengan perubahan besar di bahagian belakang.

    Bumbungnya ditarik lebih ke belakang, ruang berhampiran c-pillar diletakkan dengan cermin dan bahagian but masih lagi pendek. Kemudiannya, elemen Proton S70 dimasukkan ke bahagian belakang ini, termasuk lampu belakang serta bampar.

    Perodua Bezza dengan inspirasi daripada Proton S70

    Seperti yang dikatakan awal tadi, kita masih tidak tahu rupa sebenar Bezza generasi baru ini, tetapi apa yang pernah diberitahu oleh Naib Presiden Perodua Datuk Ahmad Suhaimi Hashim sebelum ini adalah ia masih lagi akan dibangunkan oleh Perodua sendiri, dan juga akan dijual dalam pasaran ASEAN yang lain menggunakan logo Daihatsu.

    Disebabkan itu, Perodua juga perlu memikirkan konsep rekaan yang boleh memuaskan hati bukan sahaja pengguna tempatan, tetapi juga negara luar, yang mana sebagaimana diketahui ramai, boleh jadi berbeza.

     
     
  • Yamaha TMax Tech Max 2024 – dua warna baru, RM75k

    Yamaha TMax Tech Max 2024 – dua warna baru, RM75k

    Yamaha TMax Tech Max, yang dilancarkan pertama kali untuk pasaran Malaysia pada Oktober tahun 2022 kini ditawarkan dalam dua warna baru bagi model tahun 2024, dipanggil sebagai Dark Magma dan Tech Black. Harganya masih sama, iaitu RM74,998 tidak termasuk insurans (harga cadangan pengeluar).

    Skuter ini dipacu oleh enjin dua silinder selari DOHC 562 cc yang dipadankan bersama transmisi CVT dengan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Senarai kelengkapan pada skuter ini agak panjang dan melibatkan pelbagai ciri canggih seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, sistem tanpa kunci, traction control, mod tunggangan, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk serta tongkat tengah anti kecurian (hanya boleh diturunkan apabila kunci pintar ditekan).

    Yamaha TMax Tech Max 2024 – dua warna baru, RM75k

    Di hadapan penunggang terdapat meter TFT tujuh inci berwarna penuh, yang selain memaparkan pelbagai informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide-Link untuk memberikan akses kepada panggilan, notifikasi, muzik serta navigasi.

    Perincian lain TMax Tech Max 2022 ini adalah rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, brek cakera 267 mm berkembar di hadapan dan cakera 282 mm di belakang, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, tangki bahan api 15 liter, berat 220 kg dan tinggi tempat duduk 800 mm.

    GALERI: Yamaha TMax Tech Max 2022


     
     
  • Data jualan kenderaan penumpang Malaysia 2023 mengikut jenis badan – 30% bahagian adalah SUV

    Data jualan kenderaan penumpang Malaysia 2023 mengikut jenis badan – 30% bahagian adalah SUV

    Minggu lalu kita telah melihat data jualan kenderaan di Malaysia untuk tahun 2023, dipecahkan mengikut jenama. Sebahagian besar daripada jumlah itu adalah kenderaan penumpang, tetapi kenderaan komersial juga termasuk dalam senarai. Sekarang, kami keluarkan trak pikap, lori dan van supaya anda boleh tahu bentuk badan macam mana yang menjadi pilihan ramai tahun lepas.

    Jumlah jualan kenderaan penumpang 719,160 unit yang ditunjukkan adalah termasuk 440,205 sedan, hatchback dan bentuk badan lain (wagon, coupe, convertible). Hampir 30% bahagiannya diambil oleh SUV, dengan 213,128 unit terjual tahun lepas manakala MPV cuma mencatat 10% ataupun 65,937 unit.

    Sebagai syarikat yang cuma menjual kenderaan penumpang, jualan Perodua dan Proton kekal tidak berubah pada masing-masing 330,325 dan 150,975 unit. Bagi kedua-dua pengeluar tempatan ini, bahagian besar jualan mereka masih terletak pada sedan dan hatchback.

    Data jualan kenderaan penumpang Malaysia 2023 mengikut jenis badan – 30% bahagian adalah SUV

    Satu yang boleh dilihat, Proton tidak lagi memegang takhta untuk jualan SUV. Ia sekarang dimiliki oleh Perodua, yang berjaya menjual 56,868 unit Ativa dan Aruz, berbanding 46,445 yang dicatat oleh Proton untuk jualan X50, X70 dan X90. Sementara pengeluaran Exora telah dihentikan dan cuma 4,473 unit dijual pada tahun lepas, Perodua pula berjaya menjual 37,776 unit Alza, sekaligus memberi sumbangan besar kepada syarikat.

    Selepas ditolak dengan jualan Hilux dan Hiace, Toyota jatuh ke tempat keempat (75,337 unit), di belakang Honda (80,027 unit). Jualan sedan/hatchback (44,213 unit) dan SUV (35,814) Honda adalah lebih banyak berbanding Toyota, tetapi Toyota berjaya menjual lebih MPV (6,911).

    Walaupun dengan catatan itu, Toyota masih tidak dapat mengatasi jualan MPV Mitsubishi, yang mencatat 11,907 unit, sebahagian besarnya datang daripada model Xpander. Terletak di atas lagi adalah Mazda, yang menjual 18,935 kenderaan penumpang, dengan 16,947 daripadanya adalah SUV.

    Nissan pula menjual lebih banyak MPV Serena (3,838 unit) berbanding Almera, Leaf dan X-Trail. Terletak paling bawah dalam senarai adalah Hyundai, yang menjual 1,033 unit MPV Staria dan Starex, sementara sedan dan SUV pula cuma 295 unit dan 179 unit.

    Bagi jenama premium, jualan SUV juga dilihat lebih banyak, bermula dengan BMW yang mencatat 6,288 unit SUV, diikuti 5,685 unit sedan, hatchback dan convertible. Sebaliknya bagi Mercedes-Benz, pelanggan masih memilih lebih kereta biasa (5,940 unit) berbanding SUV (3,223 unit).

     
     
  • Polis Selangor guna dron, helikopter pantau trafik sepanjang CNY – penguatkuasaan dipertingkat

    Polis Selangor guna dron, helikopter pantau trafik sepanjang CNY – penguatkuasaan dipertingkat

    Polis Selangor akan melaksanakan Op Lancar mulai 8 hingga 13 Februari di lima daerah di Selangor yang dijangka merekodkan kesesakan sempena Op Selamat 21 pada musim perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) ini.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, daerah yang terbabit adalah Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Serdang dan Klang Utara melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Plaza Tol Gombak, Jalan Kuala-Ipoh di Kilometer 30, Jalan Klang-Teluk Intan, Pekan Kuala Selangor ke Tanjung Karang dan Jalan Kuala Selangor- Rawang (lampu isyarat susur Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor).

    Selain itu, ia juga melibatkan Jalan Kuala Lumpur-Ipoh (lampu isyarat di Batang Kali) dan Klang -Teluk Intan di Pekan Kapar serta di Plaza Tol Sungai Besi di Serdang.

    Menurut Hussien, pihaknya juga akan menggunakan dron dan helikopter bagi memantau keadaan trafik di kawasan terbabit. Dalam masa yang sama, anggota polis juga akan memantau penguatkuasaan di kawasan utama untuk memastikan semua orang mematuhi undang-undang, laporan The Star.

    Polis Selangor guna dron, helikopter pantau trafik sepanjang CNY – penguatkuasaan dipertingkat

    “Kami akan memantau lalu lintas di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Gombak, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Jalan Kuala Selangor-Klang,” katanya sambil menambah 11 lokasi juga telah dikenal pasti oleh polis untuk operasi perangkap laju.

    Tambahnya, “Kita akan menumpukan usaha penguatkuasaan kepada enam kesalahan trafik iaitu memandu laju, melanggar lampu merah, salah guna lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.” Katanya lagi, Op Lancar akan dilaksanakan dengan kekuatan 61 pegawai kanan dan 432 anggota sepanjang operasi selama enam hari bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.

    Hussein turut menasihatkan pemandu supaya memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik dan selamat untuk digunakan, serta mematuhi had laju dan memandu dengan selamat. “Tahun lalu, kita merekodkan sebanyak 4,042 kemalangan sepanjang tempoh cuti perayaan berbanding 2,810 kemalangan pada tahun sebelumnya. Kami percaya punca utama peningkatan kemalangan adalah disebabkan kurangnya kesedaran keselamatan jalan raya,” jelasnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025