Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ops Selamat 21 catat 1,203 kemalangan, 14 kematian

    Ops Selamat 21 catat 1,203 kemalangan, 14 kematian

    Ops Selamat 21 yang dimulakan minggu lalu sempena cuti Tahun Baru Cina setakat semalam telah mencatatkan 1,203 kemalangan dan 14 kematian. Ini menurut sumber Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM.

    Statistik sepanjang tempoh itu juga menunjukkan sebanyak 1,480 kenderaan telah terlibat dalam kemalangan yang direkodkan. Ops Selamat 21 bermula pada Khamis minggu lalu dan berakhir hari ini.

    Jalan Persekutuan mencatatkan peratusan kemalangan maut tertinggi dengan 36%, atau lima kes, sementara jalan negeri dengan 29% atau empat kes. Lebuhraya pula menyumbang sebanyak 14% atau dia kes kemalangan maut, sementara jalan bandar dengan tujuh peratus atau satu kes — jalan-jalan lain pula menyaksikan 14% atau dua kes lagi.

    JSPT juga dibantu oleh penggunaan Unit Dron bagi pemantauan udara di tiga zon, iaitu di Utara, Selatan dan Timur. Pihak polis juga bekerjasama dengan rakan strategik seperti PLUS Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Bombo dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

     
     
  • Pengeluaran 10 model Daihatsu, Toyota dan Subaru di kilang Kyushu Oita disambung kembali 26 Februari

    Pengeluaran 10 model Daihatsu, Toyota dan Subaru di kilang Kyushu Oita disambung kembali 26 Februari

    Susulan daripada penghentian sementara pengeluaran kenderaan Daihatsu akibat daripada skandal ujian keselamatan di Jepun, keadaan kini semakin baik bagi pengeluar itu apabila pengeluaran dan penghantaran 10 lagi model yang dipasang di kilang Oita Kyushu akan disambung bermula 26 Februari ini.

    Daihatsu menyatakan, kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun telah memberi pengesahan bahawa model-model tersebut kini mematuhi Akta Kenderaan Pengangkutan Jalan negara itu.

    Pengeluaran 10 model Daihatsu, Toyota dan Subaru di kilang Kyushu Oita disambung kembali 26 Februari

    Berikut adalah model daripada tiga jenama yang dikeluarkan di kilang Oita Kyushu Daihatsu, yang akan kembali dikeluarkan dan dihantar kepada pelanggan:

    Daihatsu:

    • Mira eS
    • Hijet Truck
    • Hijet Cargo
    • Atrai

    Toyota:

    • Pixis Epoch
    • Pixis Truck
    • Pixis Van

    Subaru:

    • Pleo Plus
    • Sambar Truck
    • Sambar Van

    “Sebagai sebuah syarikat penyedia kenderaan ringan, yang merupakan pengangkutan orang ramai, kami akan terus mendekatkan diri kepada kehidupan pelanggan dan memenuhi kepentingan sosial kami. Berkenaan ini, kami akan mengambil langkah yang sepatutnya, seperti melakukan ujian dengan kehadiran pihak yang berkuasa terhadapan pensijilan, mengikut segala petunjuk daripada MLIT,” kata Daihatsu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Motosikal langgar cermin sisi kereta guna Smartlane di Rawang – polis minta individu terlibat buat laporan

    Polis daerah Gombak telah mengeluarkan kenyataan berhubung satu video tular di media sosial yang menunjukkan sebuah kereta yang dipandu di lorong kecemasan yang telah diwartakan sebagai Smartlane, dilanggar oleh sebuah motosikal sehingga menyebabkan kerosakan pada cermin sisi.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Gombak Superitenden Abang Kaderi Bin Abang Wasli, hasil siasatan awal kejadian itu disahkan berlaku di Rawang iaitu di KM 437.2 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara.

    “Kejadian berlaku semasa sebuah motokar dipandu di lorong kecemasan. Semasa sampai di tempat kejadian telah datang sebuah motosikal dari arah belakang dipercayai telah melanggar cermin sisi kanan motokar. Motosikal tersebut tidak berhenti sejurus kemalangan berlaku lalu beredar dari tempat kejadian. Motorkar tersebut didapati menggunakan Smartlane yang telah diaktifkan semasa kejadian berlaku,” kata Abang Kaderi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Walau bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengenalpasti nombor pendaftaran kereta dan juga motosikal yang terlibat dalam insiden ini menerusi video tersebut. Oleh itu polis meminta pemandu kereta dan juga penunggang motosikal yang terlibat dalam insiden ini untuk tampil membuat laporan polis. Dalam kenyataan yang sama, kes ini disahkan disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59.

    Polis turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini turut tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Mazlan Bin Mohd Arifin di talian 012-4551413 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VMB dan PRE bakal dibuka untuk bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bakal bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dariWP Kuala Lumpur, VMB bakal dibuka bidaan mulai 11 Februari ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 15 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 16 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRE, dibuka bidaan pada 14 Februari 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 18 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 19 Februari 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Jualan EV di UK lembab – aktor Mr. Bean, Rowan Atkinson dipersalahkan oleh aktivis alam sekitar

    Jualan EV di UK lembab – aktor Mr. Bean, Rowan Atkinson dipersalahkan oleh aktivis alam sekitar

    Badan pemikir alam sekitar dari United Kingdom, Green Alliance menyalahkan aktor inggeris yang popular dengan watak Mr. Bean iaitu Rowan Atkinson sebagai salah satu sebab mengapa jualan kenderaan elektrik penuh (EV) di negara berkenaan lembab tahun lalu.

    Menurut laporan Sky News, perkara itu disebut oleh Green Alliance ketika berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa alam sekitar dan perubahan iklim di House of Lords awal minggu ini. Green Alliance mendakwa bahawa ulasan yang dibuat oleh Atkinson dalam akhbar The Guardian pada 3 Jun 2023 telah menyebabkan peralihan pengguna terhadap EV di UK menjadi perlahan.

    Dalam ulasan yang dimaksudkan, Atkinson menulis bahawa “permotoran elektrik nampaknya bukan penawar untuk alam sekitar seperti yang didakwa.” Dalam penulisan yang sama beliau turut mengulas tentang kesan alam sekitar terhadap produksi EV, bahan api alternatif, kitaran hayat kereta serta menyifatkan “bulan madu kita dengan kereta elektrik akan berakhir.”

    Seminggu selepas itu The Guardian telah menyiarkan satu lagi artikel yang ditulis oleh Simon Evans, timbalan editor dan editor polisi senior portal berita iklim Carbon Brief, yang membalas dan menafikan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Atkinson dalam artikelnya.

    Jualan EV di UK lembab – aktor Mr. Bean, Rowan Atkinson dipersalahkan oleh aktivis alam sekitar

    Dalam mesyuarat itu, Green Alliance berkongsi pandangannya mengenai halangan utama yang dihadapi kerajaan UK dalam usahanya untuk menghentikan penjualan kereta petrol dan diesel secara berperingkat menjelang 2035, dan mendakwa, “salah satu artikel yang paling merosakkan ialah ulasan yang ditulis oleh Rowan Atkinson dalam The Guardian yang telah dinafikan secara terang-terangan.”

    “Malangnya, semakan fakta yang didedahkan tidak mencapai khalayak yang sama dengan dakwaan palsu asal, menekankan keperluan untuk memastikan standard editorial yang tinggi di sekitar peralihan sifar bersih,” tambahnya. Antara isu yang dikemukakan oleh badan pemikir itu termasuk bilangan tempat mengecas EV yang tidak mencukupi, harga EV yang tinggi dan “kurangannya penjelasan dan mesej yang konsisten daripada kerajaan.”

    Tahun lalu kerajaan UK mengumumkan bahawa larangan penjualan kereta petrol dan diesel baharu akan ditangguhkan ke 2035. Ia mendakwa perubahan itu adalah “pendekatan yang lebih pragmatik, berkadar dan realistik” yang “meringankan beban golongan pekerja.”

     
     
  • Slip pembaharuan lesen memandu JPJ tidak sah untuk negara luar – RM20 untuk kad, soalan lazim lain di sini

    Slip pembaharuan lesen memandu JPJ tidak sah untuk negara luar – RM20 untuk kad, soalan lazim lain di sini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan senarai soalan lazim (FAQ) yang berkenaan dengan slip pembaharuan lesen memandu (LMM) baru yang diperkenalkan di Malaysia. Slip ini dikeluarkan untuk mereka yang masih lagi mahukan salinan fizikal dan bukan sekadar membaharuinya secara digital sahaja (akan terpapar dalam aplikasi MyJPJ).

    Perlu diingat slip pembaharuan LMM ini tidak menggantikan kad plastik yang kita ada sebelum ini. Sebaliknya, ia digunakan sebagai dokumen sokongan yang perlu anda kemukakan kepada pihak berkuasa bersama kad lesen memandu plastik tersebut apabila diminta. Jika anda memilih cuma untuk melakukan pembaharuan digital (e-LLM), anda cuma perlu tunjukkan paparan dalam aplikasi MyJPJ.

    Slip pembaharuan LMM ini disediakan untuk semua pemegang lesen memandu Malaysia yang sah, dan boleh didapati di kaunter JPJ ataupun ejen seperti Pos Malaysia dan MyEG. Anda juga boleh memperbaharui LMM melalui laman mySIKAP, tetapi perlu ingat untuk menandakan pilihan slip pembaharuan.

    Slip pembaharuan lesen memandu JPJ tidak sah untuk negara luar – RM20 untuk kad, soalan lazim lain di sini

    Tiada bayaran tambahan jika anda mahukan slip ini, kerana kosnya sudah dimasukkan sekali dalam jumlah yang anda bayar untuk pembaharuan LMM. Walaubagaimanapun, jika slip tersebut hilang atau rosak, anda perlu membayar RM20 untuk mendapatkan salinan baru. Perlu diketahui juga, slip pembaharuan LMM ini tidak melibatkan lesen vokasional dan cuma untuk lesen memandu kompeten (CDL) sahaja.

    Informasi yang boleh dilihat pada slip pembaharuan LMM ini adalah termasuk, nama, nombor kad pengenalan, kelas lesen, tarikh tamat tempoh serta nombor siri lesen memandu. Semua informasi ini dikemas kini secara terus dalam sistem JPJ dan terpapar di dalam aplikasi MyJPJ.

    JPJ turut menyatakan dengan jelas bahawa slip pembaharuan LMM ini hanya boleh digunakan di Malaysia dan tidak sah di negara luar. Jika anda mahu memandu di negara lain, anda perlu pergi ke kaunter JPJ untuk mendapatkan kad fizikal dan bayar RM20. Sama juga dengan e-LLM, ia tidak boleh digunakan di negara luar dan anda perlu mendapatkan kad fizikal dari JPJ.

    Untuk mendapatkannya, anda perlu mengemukakan bukti atau dokumen sokongan untuk urusan luar negara tersebut, seperti tiket perjalanan, surat tawaran, passport atau dokumen lain. Ada negara tertentu juga memerlukan permit memandu antarabangsa (IDP), yang mana kalau anda memerlukannya, terdapat bayaran tambahan lain.

     
     
  • PDRM terima Honda Civic FE dalam flit kenderaan – kuasa VTEC Turbo 1.5L kini sertai pasukan rondaan

    PDRM terima Honda Civic FE dalam flit kenderaan – kuasa VTEC Turbo 1.5L kini sertai pasukan rondaan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menerima Honda Civic generasi terkini sebagai sebahagian daripada flit kenderaan rondaannya. Imej antara unit terbaharu Civic tersebut telah pun dimuat naik oleh satu hantaran yang dibuat oleh laman Facebook Cawangan MPV Kajang baru-baru ini.

    Menurut hantaran tersebut, cawangan itu telah menerima lima buah Honda Civic FE berkenaan yang dibekalkan oleh Spanco. Berbanding kereta peronda polis Civic FC sebelum ini yang hanya dari varian yang menggunakan enjin 1.8 liter i-VTEC, model unit terbaharu ini sudah pun menerima enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    PDRM terima Honda Civic FE dalam flit kenderaan – kuasa VTEC Turbo 1.5L kini sertai pasukan rondaan

    Ini kerana untuk model generasi FE ini, Honda Malaysia tidak lagi menawarkan enjin 1.8 liter i-VTEC, dan varian paling asas Civic kini turut hanya dijana dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 182 PS dan tork maksima 240 Nm, berbanding 141 PS dan tork maksima 174 Nm pada enjin 1.8L NA sebelum ini.

    PDRM mula menggunakan Honda Civic dalam flit kenderaan peronda mereka sejak Jun 2020 dengan menerima 425 unit Civic FC 1.8S juga dibekalkan oleh Spanco.

     
     
  • Perjanjian kerajaan dengan Spanco rugikan Malaysia, siasatan menyeluruh perlu dilakukan — Anwar

    Perjanjian kerajaan dengan Spanco rugikan Malaysia, siasatan menyeluruh perlu dilakukan — Anwar

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited untuk melawan rasuah berhubung skandal tender pengurusan armada kenderaan kerajaan melibatkan Spanco. Dalam sebuah laporan NST, Anwar memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan dan tindakan tegas akan diambil oleh penguatkuasa terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

    “Kelihatan seperti semua orang berdiam diri, tidak peduli dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan. Sesetengah pihak mungkin akan menyifatkan ini sebagai dendam politik, tetapi semua orang terlibat dalam menggunakan kemudahan Spanco. Saya sudah lama menyuarakan kritikan terhadap masalah ini sejak menjawat Menteri Kewangan dahulu lagi. Saya mengesan ada keraguan dalam kontrak berkenaan, yang memudaratkan negara dan merugikan penjawat awam,” ujarnya.

    Spanco ditubuhkan pada 1988 dan diberikan perjanjian konsesi selama 25 tahun pada 1993 untuk menyediakan dan memajak kenderaan dengan servis penyelenggaraan penuh untuk kerajaan. Pada penghujung Disember 2018, perjanjian tersebut telah tamat dan kerajaan membuka tender pada Februari 2019 untuk kontrak membekal, menyelenggara dan menguruskan armada kenderaan rasmi kerajaan bagi tempoh 15 tahun ke depan.

    Dalam tempoh senggang itu, Spanco diberikan dua lagi lanjutan dengan tempoh enam bulan setiap satu untuk meneruskan pengurusan kenderaan tersebut sehingga hujung tahun itu, dengan lanjutan ketika diberikan sehingga Jun 2020.

    Perjanjian kerajaan dengan Spanco rugikan Malaysia, siasatan menyeluruh perlu dilakukan — Anwar

    Menurut pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan, konsortium Naza-Berjaya dilantik oleh kerajaan untuk menguruskan konsesi armada tersebut oleh pemerintahan sebelumnya melalui sepucuk surat niat (LoI) yang dikeluarkan pada 2019. Setahun kemudian, Kementerian Kewangan mengumumkan pihaknya telah melantik konsesi baru untuk menguruskan armada kenderaan kerajaan tetapi tidak dinyatakan syarikat mana — dipercayai konsortium Naza-Berjaya telah memenangi tender berkenaan.

    Kemudian, pada Julai 2023, Tan memaklumkan LoI yang diterima Naza-Berjaya telah dibatalkan secara tidak adil sebelum pengumuman penganugerahan dibuat. Sebuah saman telah difailkan terhadap Kementerian Kewangan dan Spanco, dengan Tan mendakwa kontrak itu diberikan kepada Spanco walaupun konsortiumnya telah memenangi bidaan dengan tawaran RM700 juta lebih murah berbanding Spanco. Beliau juga meminta SPRM untuk menyiasat perkara ini.

    Januari tahun ini, SPRM telah menyerbu kediaoan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah berkaitan pengurusan dan pembelian armada kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki awal minggu ini mengumumkan individu yang terlibat dalam keputusan pemberian kontrak kepada Spanco itu akan dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

     
     
  • Kenderaan menteri ekori ambulans: Nga Kor Ming sedia bekerjasama, polis rakam keterangan pemandu

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan isu kenderaan rasmi menteri yang dinaikinya dikatakan mengekori rapat ambulans yang dalam mod kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan pada 3 Februari lalu.

    Menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasminya, beliau berkata, “Saya telah dimaklumkan laporan media berkaitan insiden kononnya kereta rasmi saya mengekori sebuah ambulans pada 3 Februari 2024 di Lebuhraya PLUS. Menurut laporan media yang ditularkan, kejadian ini berlaku ketika kemalangan jalanraya yang melibatkan tujuh buah kenderaan dan telah mengakibatkan berlakunya kesesakan jalan.

    “Untuk makluman semua, hakikatnya perkara ini berlaku sewaktu saya sedang dalam perjalanan untuk menghadiri program rasmi di Ipoh, pemandu kenderaan rasmi saya telah sedar bahawa terdapat sebuah ambulans swasta mengekori kenderaan saya untuk ke lokasi kemalangan. Oleh itu, bagi memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan, pemandu saya telah memberi laluan kepada ambulans tersebut.”

    Tambah beliau, memandangkan keadaan jalan raya yang sesak, pemandunya terpaksa mengekori ambulan tersebut sementara mencari ruang untuk meneruskan perjalanan ke Ipoh setelah kereta ambulans sudah beredar.

    Kenderaan menteri ekori ambulans: Nga Kor Ming sedia bekerjasama, polis rakam keterangan pemandu

    “Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah berniat untuk melanggari undang-undang dan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang. Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak yang berkuasa dan bersedia untuk membayar kompaun kesalahan bagi pemandu saya sekiranya beliau didapati bersalah,” tambahnya.

    Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sudah merakam keterangan pemandu kenderaan menteri terbabit. Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu memandu kenderaan terbabit ketika kejadian, dengan menteri turut ada bersama berikutan mereka dalam perjalanan ke Rumah Pangsa Jalan Silang di Ipoh.

    Mohd Yusri berkata, selain pemandu itu, pihaknya turut akan memanggil beberapa saksi awam bagi membantu siasatan, serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) PLUS dan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ambulans. Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

     
     
  • Polis KL kesan 50 lokasi sesak, 11 lokasi kemalangan — 140 pegawai digerakkan untuk Op Selamat 21

    Polis KL kesan 50 lokasi sesak, 11 lokasi kemalangan — 140 pegawai digerakkan untuk Op Selamat 21

    Polis Kuala Lumpur telah mengenal pasti 50 lokasi panas dengan aliran trafik tinggi serta 11 titik hitam kawasan angka kemalangan tinggi di sekitar ibu kota, lapor New Straits Times. Untuk itu, 140 pegawai polis trafik akan digerakkan dalam Op Selamat 21 sempena cuti Tahun Baru Cina tahun ini.

    Kawasan panas yang dimaksudkan adalah termasuk Jalan Tun Razak dari Bulatan Pahang, Jalan Cheras/Jalan Ikan Ayu, Jalan Kampung Kerinchi/Bangsar South dan Jalan Sultan Ismail/Jalan Bukit Bintang. Sementara kawasan kemalangan tinggi pula melibatkan Jalan Loke Yew, Jalan Ipoh, Jalan Cheras and Jalan Kuching. Ini menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

    Ketua Polis Kuala Lumpur turut menasihatkan orang ramai agar mengikut jadual cadangan perjalanan yang dikeluarkan oleh konsesi lebuh raya, serta amalkan pemanduan berhemah ketika balik kampung.

    “Orang awam juga perlukan rehat yang secukupnya dan memastikan kenderaa mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Jangan jadikan musim perayaan ini sebuah berita duka; tiada apa yang perlu dikejar, pastikan sampai ke destinasi dengan selamat,” ujar Allaudeen.

    Selain itu, JPJ juga telah mengeluarkan larangan penggunaan jalan bagi kenderaan berat dari jalanraya, pada 8-9 Februari dan juga 12-13 Februari.

     
     
  • Toyota Corolla Cross 2024 – 1.8L petrol, hibrid; pemuka digital, CarPlay, Android Auto tanpa wayar

    Toyota Corolla Cross 2024 – 1.8L petrol, hibrid; pemuka digital, CarPlay, Android Auto tanpa wayar

    Toyota Corolla Cross facelift telah pun diperkenalkan di Thailand dengan kehadiran empat varian, selepas tiga tahun ia membuat penampilan peringkat global.

    Untuk pasaran Thai, empat varian ditawarkan, dengan satunya versi enjin pembakaran dalaman (ICE) dan tiga varian hibrid; 1.8L Sport Plus dengan harga 999,000 THB (RM133,093), HEV Premium berharga 1,094,000 THB (RM145,749), HEV Premium Luxury pula berharga 1,204,000 THB (RM160,404) dan 1,254,000 THB (RM167,065) untuk HEV GR Sport.

    Peningkatan visual bagi Corolla Cross ini hampir sama dengan pasaran lain, termasuk melibatkan lampu utama LED penuh yang direka semula, seperti yang ditampilkan pada model pasaran Jepun dan Eropah. Ternyata penampilannya kini lenih agresif.

    Selain itu, wajahnya pula diberi suntikan lebih segar dengan menampilkan gril atas yang lebih nipis dengan paten honeycomb di bawah, disepadukan ke seksyen tengah, corong yang disambung ke lampu kabus hingga ke seksyen bawah.

    Rekaan lampu hadapan baharu bagi versi Corolla Cross yang dipasarkan di negara lain turut menampilkan lampu membelok sequential. Ciri lain yang dibrikan termasuk bumbung suria panoramik dan tailgate kuasa dengan pengesan tendangan. Lampu belakang diberikan rekaan baharu bersama unit LED.

    Varian HEV Premium dan ke atas menerima roda aloi dua-tona 18-inci dengan tayar 225/50R18, sementara GR Sport pula dengan saiz roda yang sama, tetapi rekaan roda aloi yang berbeza.

    Toyota Corolla Cross 2024 – 1.8L petrol, hibrid; pemuka digital, CarPlay, Android Auto tanpa wayar

    Dibangunkan dengan platform TNGA, Corolla Cross facelift ini masih menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu unit 2ZR-FE 1.8 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan 139 PS (140 hp)/172 Nm bagi varian 1.8 Sport Plus. Semantara tiga varian hibrid dengan versi enjin kitaran-Atkinson bersama dua motor elektrik dan bateri nickel-metal hydride yang mampu memberikan keseluruhan kuasa mencecah 122 PS.

    Untuk kelengkapan keselamatan aktif, varian asas 1.8 Sport Plus menerima pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang (RCTA), sementara varian HEV Luxury diberikan sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi pre-collision AEB, all-speed dynamic radar cruise control dengan fungsi stop and go, lane departure warning, lane tracing assist dan lampu tinggi automatik. Bagi HEV Premium Luxury dan HEV GR Sport, ditambah dengan fungsi brek sokongan parkir.

    Lain-lain ciri keselamatan aktif termasuk kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki dan pemantauan tekanan tayar, serta tujuh beg udara.

    Kelengkapan dalaman turut diberikan peningkatan, temasuklah kini ia menerima brek parkir elektrik, menggantikan ciri mekanikal kendalian kaki yang ada pada model pre-facelift, sekaligus menambah fungsi penahan brek automatik. Selain itu, instrmentasi pemandu bagi varian HEV Premium kini dipertingkatkan dengan paparan digital-penuh 12.3-inci, dan kesemua varian juga menerima unit skrin sesentuh 10.1-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Upholstery bagi Corolla Cross facelift kini ditawarkan dalam rona hitam atau Dark Rose (merah). Pencahayaan kabin juga menerima unit LED, dan dua varian tertinggi diberikan pengecas peranti tanpa wayar dan juga bumbung suria panoramik.

    Di Thailand, Toyota Corolla Cross 2024 ditawarkan dengan pilihan warna Celestile Gray Metallic, Metal Stream Metallic, Platinum White Pearl, Attitude Black Mica dengan tambahan Cement Gray Metallic bagi luaran. Manakala varian tertinggi HEV GR Sport diberikan pilihan Platinum White Pearl dengan bumbung hitam, Red Mica Metallic dengan bumbung hitam dan Attitude Black Mica.

     
     
  • Proton R3 mungkin kembali berlumba dalam Sepang 1000KM dengan S70 sedikit masa lagi – Roslan

    Proton R3 mungkin kembali berlumba dalam Sepang 1000KM dengan S70 sedikit masa lagi – Roslan

    Perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) sememangnya sudah menjadi lapangan Proton bagi menunjukkan kemampuan divisi talaan dan perlumbaan rasminya iaitu Proton R3 untuk menunjukkan kehebatan mereka. Sejak perlumbaan itu diadakan bermula pada tahun 2009, Proton R3 telah pun berjaya merangkul sebanyak lima gelaran juara.

    Namun selepas kejuaraan terakhir dirangkul pada 2019 dengan Proton Iriz, pasukan Proton R3 dilihat senyap terus bukan sahaja dari S1K, malah tidak lagi berlumba dalam mana-mana perlumbaan. Apa sudah jadi?

    Menurut timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah dalam laporan The Sun, pasukan tersebut tidak lagi berlumba kerana ia tidak ada lagi model yang sesuai untuk dijadikan kereta lumba. Sejak akhir-akhir ini Proton dilihat hanya menumpukan perhatian pada model-model SUV siri X. Namun Roslan menyatakan, dengan adanya sedan segmen-C Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada hujung tahun lalu, R3 mungkin akan berlumba kembali menggunakan model tersebut!

    “Kami telah mengundur diri dari perlumbaan S1K sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana kami tidak mempunyai kereta yang boleh kami gunakan untuk berlumba. Dan kami tidak mahu berlumba hanya sekadar berlumba, tetapi dengan S70, ia mungkin dapat mengubah perkara ini,” kata Roslan.

    Proton R3 mungkin kembali berlumba dalam Sepang 1000KM dengan S70 sedikit masa lagi – Roslan

    Malah menurutnya lagi, S70 bukan hanya dirancang untuk membawa kembali pasukan R3 untuk berlumba di litar, malah ia juga dirancang untuk dihasilkan dalam versi produksi talaan prestasi R3 untuk dijual di bilik pameran.

    “Kami sedang berusaha untuk menghasilkan model S70 R3 dan kami turut mahu menggunakan model ini untuk kembali ke S1K. Walau bagaimanapun ini akan mengambil sedikit masa kerana kami perlu bekerjasama dengan banyak pemegang taruh bagi memastikan ia mempunyai nilai daya maju,” jelas Roslan.

    Beliau turut mengesahkan bahawa model produksi jalan raya S70 R3 berkenaan kelak bukan hanya akan menampilkan tingkat taraf dari segi kosmetik semata-mata seperti Saga R3, Iriz R3 dan X50 R3 sebelum ini, tetapi dijangka turut bakal menampilkan kuasa dan juga prestasi lebih baik dari versi S70 sedia ada, seperti model-model prestasi sebenar seperti Satria R3 dan Satria Neo R3 Lotus Racing yang dihasilkan ketika zaman keemasan pasukan tersebut. Perincian berkenaan model tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • KTM lancar sistem pembayaran terbuka – boleh guna kad debit/kredit, Apple/Samsung Pay untuk Komuter

    KTM lancar sistem pembayaran terbuka – boleh guna kad debit/kredit, Apple/Samsung Pay untuk Komuter

    Menteri pengangkutan, Anthony Loke semalam melancarkan sistem pembayaran terbuka (OPS) KTM dalam satu majlis di Ipoh. Sama seperti di plaza tol, OPS membenarkan pengguna membayar sama ada menggunakan kad kredit/debit, serta Apple Pay dan Samsung Pay. Aplikasi KITS KTM dan kad Touch n Go masih lagi boleh digunakan.

    OPS kini disediakan di lebih 80 stesen KTM dalam Lembah Kelang serta bahagian utama. Hanya sentuh kad pada palang kawalan automatik, dan urus niaga akan selesai dalam masa antara satu ke lima saat. Loke menjelaskan, OPS ini hanya disediakan untuk servis KTM Komuter sementara ETS tidak termasuk kerana ia memerlukan pembelian tiket dalam talian.

    Projek naik taraf OPS ini sudah bermula di Lembah Kelang sejak September 2022 lagi, dan lengkap pada hujung tahun lepas. “Kerja transformasi untuk sistem pembayaran terbuka ini sudah lengkap dalam masa lebih sedikit daripada satu tahun. KTMB mengeluarkan dana sendiri untuk projek ini dan tiada sebarang suntikan daripada kerajaan,” kata Loke.

     
     
  • Proton sah sedang teroka kemungkinan hasilkan S70 R3 – tampil kuasa lebih besar, bukan hanya kosmetik

    Proton sah sedang teroka kemungkinan hasilkan S70 R3 – tampil kuasa lebih besar, bukan hanya kosmetik

    Bayangan digital Proton S70 GT oleh Theophilus Chin

    Selepas Proton melancarkan X50 pada 2020, ramai yang berharap Proton menghasilkan versi prestasi dengan lencana R3 untuk SUV segmen-B tersebut kerana ia dipadankan sudahpun dengan enjin 1.5 liter turbo yang berpotensi untuk menghasilkan kuasa lebih besar. Ya, X50 R3 telah dilancarkan tahun lalu, namun seperti Saga R3 dan Iriz R3 sebelum itu, ia hanya menampilkan perubahan kosmetik semata-mata.

    Namun bagi sedan segmen-C S70 yang baru dilancarkan pada hujung tahun lalu, Proton mengesahkan bahawa versi prestasi sebenar dengan lencana sayap perlumbaan rasminya itu sedang diteroka, dan mempunyai potensi besar untuk ditawarkan dalam pasaran kelak.

    Menurut timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah dalam laporan The Sun, varian R3 untuk S70 itu berpotensi untuk dihasilkan bukan hanya menampilkan rupa yang lebih sporty, malah ia akan difokuskan bagi memberikan pakej prestasi yang komprehensif. Walau bagaimanapun Roslan masih belum memperincikan sebarang bentuk tingkat taraf yang akan ditampilkan pada model prestasi berkenaan.

    Proton S70 diasaskan dari platform BMA yang sama seperti X50. Buat sekarang kesemua empat varian yang ditawarkan pada model tersebut menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter tiga-silinder dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) berkuasa 150 PS/226 Nm dan digandingkan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Proton sah sedang teroka kemungkinan hasilkan S70 R3 – tampil kuasa lebih besar, bukan hanya kosmetik

    Bayangan digital Proton S70 GT oleh Theophilus Chin

    Jadi bagi S70 R3 kelak, Proton boleh menghasilkan versi prestasi dengan kuasa lebih besar dengan mudah menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.

    Tiada kerja R&D yang besar perlu dilakukan kerana enjin T-GDI tersebut berkongsi hampir keseluruhan komponen yang sama seperti enjin versi MPI, dan ia telahpun dipadankan pada model-model produksi sedia ada Proton seperti X50 Flagship dan juga X70 versi 1.5L T-GDI.

    Walaupun dengan pelbagai tingkat taraf yang diberikan, kami jangkakan S70 R3 ini kelak masih boleh dijual pada harga yang kompetitif. Buat masa sekarang, Proton S70 varian paling mahal iaitu varian Flagship X dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM94,800, atau sekitar RM30,000 lebih murah dari varian paling murah sedan segmen-C dari Honda iaitu Civic FE dalam varian 1.5L E.

    Jadi sekiranya Proton S70 R3 ini nanti diberikan pelbagai tingkat taraf yang bernilai RM30k menjadikan harga jualannya sekitar RM130,000, ia masih boleh dijual pada harga yang lebih murah berbanding pesaingnya yang lain. Untuk konteks, Honda Civic RS 1.5 Turbo dijual pada harga RM151,900 manakala Toyota Corolla GR Sport pula dijual pada harga RM152,800.

    Selain dari rancangan untuk menghasilkan model produksi jalan raya ini, Roslan turut mengesahkan bahawa pasukan lumba Proton R3 turut bakal kembali berlumba dengan Proton S70 dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM. Pasukan itu menyepi sejak 2019 dari menyertai sebarang perlumbaan kerana tiada lagi model yang sesuai untuk berlumba dan ia mungkin berubah dengan kehadiran S70 dalam pasaran. Lebih perincian berkenaan perkara ini boleh anda bada pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini; kini capai 98.9% siap

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini; kini capai 98.9% siap

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, pihaknya akan memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini. Buat setakat ini, katanya, status kemajuan pembinaan projek berkenaan telah mencapai 98.91%.

    “Sedikit lagi yang perlu dibuat perubahan kepada reka bentuk kerana (ada beberapa) masalah tanah di lokasi yang terlibat. Itulah yang boleh dikatakan mengapa kita belum mencapai 100% lagi (ketika ini),” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Pada Disember lalu, Nanta mengeluarkan kenyataan bahawa jajaran bagi Sarawak ini dijangka boleh dbuka sepenuhnya kepada orang awam sebelum tahun 2024.

    Pada masa itu, projek lebuhraya terbabit telah mencapai kemajuan sebanyak 98%. Buat masa ini sebanyak 19 daripada 25 seksyen projek lebuh raya itu siap sepenuhnya dan sudah dibuka kepada orang awam.

    LPB Sarawak merangkumi 11 pakej WPC (pakej projek) dengan satu pakej kerja iaitu jajaran Telok Melano ke Semantan sepanjang 33 km. Di mana jajaran Kuching ke Teluk Melano ditandakan sebagai KM 0.0 kerana Telok Melano merupakan lokasi paling hujung di barat daya Sarawak.

    Lebuhraya sepanjang 786.41 km dengan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion ini juga mempunyai tiga Hentian Rehat Dan Rawat dan lima hentian sebelah. Projek LPB Sarawak ini dilancarkan pada tahun 2015, dengan pembinaannya bermula di Telok Melano dan berakhir di Jalan Pujut 7 Link, Miri.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025