Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis akan panggil pemandu kenderaan yang biarkan kanak-kanak keluarkan kepala melalui sunroof

    Polis akan panggil pemandu kenderaan yang biarkan kanak-kanak keluarkan kepala melalui sunroof

    Selepas menerima laporan mengenai penularan video yang memaparkan dua kanak-kanak mengeluarkan kepala menerusi bumbung suria (sunroof) sebuah kenderaan yang sedang bergerak dipercayai di Persiaran Putra Perdana, Putra Height, Polis Subang Jaya mengesahkan pemandu kenderaan berkenaan akan dipanggil untuk beri keterangan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, hasil siasatan awal rakaman percakapan pengadu yang merupakan Penolong Ketua Balai Polis Putra Height telah melihat satu video berdurasi 29 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di X. Di mana video tersebut yang dirakamkan menerusi dashcam kenderaan di belakang semasa kejadian, memaparkan dua orang kanak-kanak kelihatan mengeluarkan kepala dan separuh badan menerusi sunroof.

    “Semakan mendapati pemilik kenderaan tersebut merupakan seorang warga tempatan beralamat di sekitar kawasan Putra Height. Suspek akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 (kecuaian terhadap kanak-kanak).

    “Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali. Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 0378627100 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Tahukah anda, dengan membiarkan kanak-kanak berbuat sebegini, ia boleh mengundang bahaya terhadap dirinya? Walau pun melalui jalan yang tidak sibuk, kita sendiri tidak tahu apakah bahaya yang menanti di hadapan. Malahan tindakan ini memang menyalahi undang-undang jalan raya. Sebelum insiden yang tidak diingini berlaku, maka, tolonglah bertindak bijak.

     
     
  • GWM Ora 07 EV, Haval H6 HEV dan Tank 300 SUV muncul dalam teaser sempena Tahun Baru Cina

    GWM Ora 07 EV, Haval H6 HEV dan Tank 300 SUV muncul dalam teaser sempena Tahun Baru Cina

    GWM Malaysia baru-baru ini menyiarkan satu ucapan selamat sempena Tahun Baru Cina di laman media sosial, tetapi ada perkara lain yang lebih menarik perhatian. Gambar yang digunakan bukan sahaja menampakkan model Ora Good Cat yang sudah sedia dijual, tetapi juga tiga lagi model lain.

    Ia adalah Ora 07, GWM Tank dan Haval H6 HEV. Ora adalah satu jenama bawah GWM yang digunakan untuk EV manakala Haval adalah jenama bawah kategori SUV (walaupun begitu masih ada SUV yang masih menggunakan jenama GWM sahaja). Seperti yang dilaporkan sebelum ini, tiga model ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Ora 07 sebenarnya adalah ‘adik-beradik’ kepada Good Cat, dan juga dikenali sebagai Lightning Cat atau Grand Cat di negara lain. Melihat keadaan di Thailand, model ini dijual pada harga bermula 1.299 juta baht (RM174,648) untuk varian asas Long Range dan 1.499 juta baht (RM201,655) untuk Performance.

    Kedua-duanya menggunakan bateri ternary lithium 83.5 kWj yang sama tetapi Model Long Range menerima hanya satu motor elektrik berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, manakala model Performance pula dibekalkan dengan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan tork maksima 680 Nm. Jarak geraknya adalah masing-masing 640 km dan 550 km.

    Bagi GWM Tank 300 pula, di China, ia dijual dalam dua varian, iaitu yang menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo biasa, ataupun hibrid ringkas 48 volt (enjin sama dengan tambahan sistem elektrikal 48 volt). Kuasa enjin itu sahaja adalah 227 PS dan tork 387 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan empat roda dengan beberapa mod.

    Akhir sekali untuk H6 HEV, ia adalah sebuah crossover moden yang dipacu oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 167 hp dan tork 285 Nm, digabungkan bersama sistem hibrid series-parallel FWD dan kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan.

    GALERI: GWM Ora 07

    GALERI: Haval H6 HEV yang dipertonton di Malaysia

    GALERI: GWM Tank 300 di Auto Shanghai 2023

     
     
  • Harga minyak 15-21 Februari – Masih dikekalkan

    Harga minyak 15-21 Februari – Masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 15 hingga 21 Februari 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Projek LRT Penang — jajaran laluan mungkin diubah selepas Kementerian Pengangkutan ambil alih

    Projek LRT Penang — jajaran laluan mungkin diubah selepas Kementerian Pengangkutan ambil alih

    Akan ada beberapa perubahan dilakukan terhadap cadangan projek light rail transit (LRT) di Pulau Pinang yang bernilai sekitar RM10 bilion, seperti yang diumumkan sebelum ini, jelas Ketua Menteri Chow Kon Yeow memetik laporan The Vibes.

    Disebabkan itu juga, projek berkenaan berkemungkinan besar tidak akan dimulakan tahun ini disebabkan ada keperluan untuk menjalankan kajian dan penilaian lanjut, serta masukan pandangan daripada beberapa pihak berkepentingan yang terlibat.

    Asalnya, projek LRT di Pulau Pinang ini direncanakan akan menghubungkan Komtar dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di bahagian selatan pulau itu. Ini kemudiannya dilanjutkan ke kawasan Tanjung Bungah yang terletak di utara pulau. Manakala cadangan sambungan laluan bawah tanah di Georgetown pula telah dibatalkan.

    Projek LRT Penang — jajaran laluan mungkin diubah selepas Kementerian Pengangkutan ambil alih

    Laluan yang mungkin menggantikannya adalah jambatan antara pulau dan tanah besar, bagi membolehkan LRT tersebut merentang kawasan antara Georgetown dan Butterworth. Ini akan melibatkan sambungan laluan terus ke Penang Sentral, yang menjadi hab utama bagi bas ekspres, perkhidmatan e-hailing, dan tren KTMB bagi kawasan Utara tanah air.

    Sebelum ini, projek berkenaan dikendalikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan pelantikan SRS Consortium sebagai peruncing sebelum projek itu diambil alih oleh MRT Corp.

    Chow juga berharap agar pertimbangan terhadap projek ini boleh dimulakan segera, memandangkan ada banyak hal berkaitan teknikal dan kewangan yang perlu dikaji sebelum ia mula berjalan. “Kertas cadangan kabinet perlu dibentangkan sekarang untuk mendapatkan kelulusan dan panduan bagi langkah seterusnya,” ujar Chow.

     
     
  • Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Badan penala rasmi kenderaan komersil Ford Eropah yang dikendalikan oleh Pasukan Rali Dunia Ford iaitu M-Sport Road Technology (MS-RT) telah pun memperkenalkan trak pikap Ford Ranger MS RT 2024. Menurut Ford, model talaan istimewa ini bukan sahaja menampilkan rupa lebih garang “dengan penggayaan maskulin diispirasikan dari sukan permotoran”, malah turut menerima peningkatan prestasi bagi menjadikan ia “sebuah trak jalan raya terhebat”.

    Model istimewa ini dijana oleh enjin turbodiesel Ecoblue 3.0 liter V6 yang dikongsi dengan model Ranger Wildtrak dan Platinum pasaran Eropah, menghasilkan kuasa 240 PS dan tork maksima 600 Nm. Jadi model ini dibekalkan kuasa lebih rendah tetapi dengan tork lebih tinggi berbanding Ranger Raptor pasaran Eropah yang dijana enjin petrol turbo 3.0 liter V6, diberi talaan kuasa kuasa 288 PS dan tork maksima 491 Nm. Bagi yang belum mengetahui, Ranger Raptor V6 pasaran Eropah sememangnya menerima kuasa lebih rendah kerana kekangan undang-undang emisi di sana.

    Enjin Ecoblue V6 berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dan juga sistem pacuan empat roda sepenuh masa e4WD baharu yang turut dikongsi bersama varian-varian Ranger yang lain. Tiada angka prestasi diumumkan, dan Ford hanya menyatakan Ranger MS RT ini masih mengekalkan kebolehan mengangkat beban seberat satu tan bersama kapasiti menunda 3,500 kg.

    Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Untuk bahagian luaran, Ranger MS RT ini menerima rekaan yang didakwa diinspirasikan dari “jentera perlumbaan Ranger yang berlumba di Asia” – tidak dinyatakan dengan jelas perlumbaan yang mana, tetapi berkemungkinan jentera pasukan Ford Thailand yang berlumba dalam Super Pickup Thailand Super Series.

    Tiada unsur off-road diberikan pada bahagian muka, tetapi ia direka lebih mirip seperti jentera litar di mana Ranger MS RT ini menampilkan gril hadapan sarang lebah, bampar hadapan lebih labuh yang direka bersama splitter pada liang ambilan udara setiap sisi.

    Badan Ranger MS RT ini juga lebih lebar dari Ranger biasa menerusi keempat-empat fender yang sememangnya 82 mm lebih lebar dari Ranger biasa, bukan seperti trak pikap lain yang biasanya hanya ditambah dengan overfender. Ia juga nampak lebih rendah menerusi set skirt sisi yang tebal dan juga bampar belakang yang menerima kemasan diffuser pada bahagian bawah.

    Manakala pada pintu tailgate bed belakang pula ditambah dengan ducktail spoiler bagi melengkapkan rupanya. Ford menyatakan rekaan kit pengayaan ini dioptimakan menerusi simulasi komputer bagi memberikan keseimbangan aerodinamik keseluruhan serta kestabilan kelajuan tinggi yang lebih baik.

    Logo-logo MS RT dilekat pada gril hadapan dan pintu bed belakang, dan kemasan Agate Black diberikan pada penutup cermin sisi serta pembuka pintu. MS RT turut menawarkan opsyen Decal Pack yang akan memberikan pelekat grafik badan yang diinspirasikan dari kereta rali.

    Bagi disesuaikan dengan kit badan yang lebih lebar dan labuh tersebut, Ranger MS RT menerima rim rekaan istimewa berdiameter 21-inci yang dibalut dengan tayar berprofil rendah bersaiz 175/45R21 – didakwa sebagai set roda paling besar pernah ditawarkan pada Ranger. Rim kemasan Diamond Cut tersebut juga membolehkan jarak trek roda Ranger MS RT ini 40 mm lebih lebar untuk setiap sisi, seterusnya memberikan cengkaman roda lebih baik serta kestabilan lebih tinggi.

    Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Ranger MS RT ini juga diberikan talaan suspensi unik di mana ia menampilkan penyerap hentak hadapan yang lebih keras, talaan semula dibuat pada suspensi belakang, serta badan yang kini 40 mm lebih rendah berbanding Ranger standard.

    Ford menyatakan dengan talaan baharu ini, ia bukan sahaja memberikan rupa yang lebih agresif, pengendalian yang lebih tepat dan kestabilan ketika mengambil selekoh lebih baik, malah tahap keseimbangan antara keselesaan dan prestasi juga ditahap yang ideal. Walau bagaimanapun pilihan untuk tingkat taraf suspensi ini dijangka hanya ditawarkan bermula September 2024.

    Pada bahagian dalaman pula Ranger MS RT ini menerima tempat duduk hadapan yang direka semula, didakwa menampilkan sokongan sisi yang lebih baik dan perehat belakang badan yang lebih selesa. Ia dibalut dengan dengan kulit sintetik mesra alam digandingkan bersama sued, menampilkan jahitan benang biru serta logo MS-RT.

    Manakala pemandu pula menerima roda stereng MS RT bersama penunjuk kedudukan pukul 12 berwarna biru, dan masih diberikan fungsi pemanas. Sistem infotainmen Ford SYNC 4A dengan skrin sesentuh 12-inci dan sistem pendingin hawa automatik dua-zon merupakan antara perincian standard yang diberikan pada Ranger MS RT ini.

    Bagi sistem keselamatan pula, trak pikap ini diberikan penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, cruise control adaptif pintar dan juga pengehad kelajuan pintar.

    “Jika Ranger Raptor merupakan trak pikap off-road terhebat, Ranger MS RT pula adalah trak jalan raya terhebat. Ia berlainan dari apa yang selalu kita tengok dalam segmen ini di Eropah, tetapi ia menampilkan dinamik pemanduan lebih seperti kereta dan kapasiti menunda dan mengangkut yang tidak berubah, kami percaya ia akan menawarkan pilihan baharu yang menarik pelanggan pikap,” kata Hans Schep, pengurus besar Ford Pro Eropah.

    Lima warna badan ditawarkan ketika pelancaran model ini iaitu Conquer Grey, Frozen White, Metallic Moondust Silver, Metallic Carbonised Grey dan Metallic Agate Black. Namun bermula April nanti, satu lagi warna akan ditawarkan untuk Ranger ini iaitu MS RT Blue.

     
     
  • Gaduh di Lebuhraya PLUS sebab halang guna lorong kecemasan, pemandu Singapura didenda RM5,500

    Gaduh di Lebuhraya PLUS sebab halang guna lorong kecemasan, pemandu Singapura didenda RM5,500

    Seorang lelaki warga Singapura didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Muar selepas didapati bersalah terbabit dalam pergaduhan menggunakan tongkat kayu di KM139.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Pagoh pada 10 Februari lalu.

    Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas Soh Kian Hui mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, laporan Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, pemandu teksi di Singapura itu didakwa dengan niat memecahkan cermin Toyota Fortuner milik Khairul Husni Shah Jamil hingga menyebabkan kerugian RM2,502.35. Hukuman bagi kesalahan itu ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak memecah cermin kereta mangsa menggunakan tongkat kerana tidak berpuas hati apabila kenderaannya dihalang daripada menggunakan laluan kecemasan. Tertuduh berjaya ditahan di Genting Highlands jam 3.30 pagi pada 12 Februari lalu.

    Gaduh di Lebuhraya PLUS sebab halang guna lorong kecemasan, pemandu Singapura didenda RM5,500

    Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandang kesalahan dilakukan tertuduh sangat serius. Hujahnya, kejadian itu berlaku di lokasi berbahaya dan boleh mencetuskan perkara tidak diingini terhada pengguna lebuh raya. Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan mengarahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayarnya.

    Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pada waktu kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum ternampak Mitsubishi Lancer dipandu tertuduh menggunakan laluan kecemasan.

    Di mana ia telah mencetuskan pertengkaran mulut dan tertuduh mengetuk cermin kenderaan mangsa sebelum beredar. Video hasil rakaman dash cam pengguna jalan raya berhubung insiden ini telah pun tular dan tindakan warga Singapura tersebut mendapat kecaman netizen yang mahukan hukuman setimpal dikenakan terhadap pesalah.

     
     
  • BYD Seal U – SUV EV dengan bateri 87 kWh, jarak gerak 500 km; dua varian, dari RM215k di Eropah

    BYD Seal U – SUV EV dengan bateri 87 kWh, jarak gerak 500 km; dua varian, dari RM215k di Eropah

    Pengeluar kereta China, BYD, telah mengembangkan lagi penawaran produknya untuk Eropah dengan model Seal U, SUV elektrik sepenuhnya yang bakal berada di pasaran sana tidak lama lagi, dengan kehadiran dengan dua varian.

    Nama Seal ini memang agak familiar kerana ia diambil dari model sedan keluarannya, yang dijangka akan dilancarkan di Malaysia bulan ini, disasarkan untuk bersaing dengan BMW i4 dan Tesla Model 3.

    Diposisikan di bawah BYD Tang dalam barisan produk kenderaan penumpang, BYD Seal U ini berukuran 4,785 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,668 mm tinggi dengan jarak roda 2,765 mm, menawarkan 552 liter untuk kapasiti penyimpanan barangan dengan posisi tempat duduk normal, atau 1,440 mm dengan tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.

    Dua varian yang ditawarkan iaitu Comfort yang menawarkan bateri 71.8 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 420 km mengikut protokol ujian WLTP, dan Design yang hadir dengan bateri 87 kWh dengan jarak gerak hingga 500 km (WLTP).

    BYD Seal U – SUV EV dengan bateri 87 kWh, jarak gerak 500 km; dua varian, dari RM215k di Eropah

    Spesifikasi bagi kedua-dua bateri tersebut iaitu unit BYD Blade lithium iron phosphate (LFP), dengan menyalurkan kuasa sebanyak 217 PS/330 Nm ke roda hadapan, mampu memberikan kelajuan maksimum hingga 175 km/j. Pekali seretan bagi Seal U ini mencecah 0.32 Cd.

    Pengecasan bagi Seal U menggunakan AC sehingga 11 kW, manakala dengan pengecas DC pula mencecah 115 kW bagi varian Comfort, dan sehingga 140 kW untuk Design. Tahap pengecasan antara 30% hingga 80%, dengan pengecas pantas DC untuk varian Comfort dan Design masing-masing sekitar 27 minit dan 28 minit.

    Seal U juga memiliki fungsi sebagai vehicle-to-load (V2L), membolehkan bateri dicas untuk digunakan bagi menjanakan kuasa bagi peranti isi rumah, yang dicas terus dari kenderaan.

    Selain itu, Seal U dipadankan dengan roda aloi 19-inci yang dibaluti tayar 235/50R19, sementara suspensinya dikendalikan oleh topang MacPherson di bahagian hadapan dan larasan multi-link di belakang. Struktur kerangkanya pula dihasilkan dengan keluli ketahanan tinggi, dan struktur panel honeycomb pula membantu melindungi pek bateri SUV ini, ujar BYD.

    BYD Seal U – SUV EV dengan bateri 87 kWh, jarak gerak 500 km; dua varian, dari RM215k di Eropah

    Pencahayaan untuk SUV ini diberikan unit LED sepenuhnya, dan lampu utama adaptif disertakan sekali dengan bantuan lampu tinggi. Selain itu, ia diberikan sistem kamera 360-darjah.

    Kelengkapan dalaman bagi Seal U ini termasuk Intelligent Cockpit System yang menampilkan skrin berputar secara elektronik berukuran sama ada 12.8- atau 15.6-inci, bergantung pada varian, membolehkan paparan dalam orientasi landskap atau pun potret. Untuk pemandu, diberikan paparan instrumen LCD 12.3-inci.

    Bagi Intelligent Cockpit System, ia menyokong sambungan data 4G, penstreman muzik Spotify dan juga navigasi Here, serta ketersepaduan telefon pintar dengan Apple CarPlay atau Android Auto dan arahan suara dengan sapaan ‘Hi BYD’.

    Ketersambungan dengan Seal U diperluaskan ke telefon pintar penggunanya, dengan kawalan pelbagai fungsi kenderaan dari jauh melalui aplikasi mudah alih BYD seperti mengunci dan membuka kunci pintu, mengendalikan kawalan suhu, serta pemanasan dan pengudaraan tempat duduk, serta kerlipan lampu dan bunyi hon. Baki masa pengecasan dan julat yang tersedia juga boleh disemak melalui aplikasi, dan telefon yang sesuai yang boleh membuka kunci kenderaan melalui NFC.

    Kelengkapan ADAS juga disediakan untuk Seal U dengan diberikan empat unit radar dan satu kamera, menyokong fungsi seperti AEB, amaran pelanggaran hadapan, kawalan kelajuan adaptif, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang, bantuan menukar lroong, kawalan had kelajuan pintar, pengesan titik buta dan banyak lagi.

    Menurut laman web BYD Eropah, Seal U boleh ditawarkan dengan enam pilihan warna luaran, dan dua warna upholstery dalaman. Syarikat itu juga menyasarkan harga bagi Seal U bermula dari 42,000 euros (RM215,573).

     
     
  • Tesla Model Y 2024 pasaran M’sia dapat peningkatan

    Tesla Model Y 2024 pasaran M’sia dapat peningkatan

    Beberapa minggu lalu, kami diberikan kunci untuk Tesla Model Y Performance, dan ini adalah kali pertama kami dapat mendekati SUV elektrik tersebut dalam versi yang akan dijual kepada pelanggan. Sepanjang bersama dengannya, kami sedar ada beberapa perincian yang sebelum ini tiada pada kereta yang ditunjukkan semasa pelancaran dan juga versi Standard Range yang kami pinjam sebelum ini.

    Paling jelas adalah cermin pintu belakang serta cermin belakang yang lebih gelap berbanding cermin lain. Perubahan ini mungkin ada kaitan dengan penutup bahagian ruang simpanan belakang yang kini sudah tiada lagi – untuk mengelakkan orang luar nampak apa barangan yang ada di belakang.

    Juga berkaitan dengan cermin, semua cermin tepi SUV ini sekarang menggunakan jenis kaca berlapis (sebelum ini depan sahaja). Ciri ini diperkenalkan pada Model 3 Highland tahun lepas dan dapat mengurangkan bunyi angin dalam kereta. Akhir sekali, model yang kami dapat ini menggunakan kamera “Hardware 4” untuk sistem Autopilot.

    Ia boleh dikenali dengan melihat modul kamera yang lebih besar pada fender hadapan dan pintu but belakang, bersama dengan kanta kamera yang berwarna merah. Ini memberikan pandangan imej resolusi lebih tinggi pada pemerhati keadaan sekelilingnya, serta keseimbangan warna yang lebih menyamai keadaan sebenar.

    Mahu dikatakan juga, kereta yang kami dapat ini masih tidak dilengkapi peningkatan seperti yang diberikan pada model yang dipasarkan di China Oktober lalu (perubahan perincian di bahagian dalam seperti Model 3 Highland). Ini antaranya seperti lampu suasana boleh diubah oleh pemandu serta kemasan fabrik menggantikan kemasan kayu.

    Penggerak masih sama dan Model Y Performance mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, mencecah kelajuan maksimum 250 km/j dan mencapai jarak gerak 514 km mengikut kitaran WLTP. Peningkatan berkaitan prestasi yang ada pada kenderaan ini antaranya adalah rim “Überturbine” 21 inci, spoiler belakang gentian karbon, brek lebih besar dan suspensi lebih rendah. Harganya adalah RM289,700 tidak termasuk pendaftaran.

     
     
  • Bas Rapid KL untuk Alam Suria Puncak Perdana, Sunway Kayangan mulai 15 Feb – laluan 754 diselaras

    Bas Rapid KL untuk Alam Suria Puncak Perdana, Sunway Kayangan mulai 15 Feb – laluan 754 diselaras

    Berita baik untuk penduduk Alam Suria Puncak Perdana dan Sunway Kayangan. Dimaklumkan bahawa Rapid KL selaraskan semula laluan bagi bas 754 dan kini ia akan berhenti di dua lokasi tersebut.

    Mulai esok, 15 Februari, bas 754 yang bergerak dari Seksyen 13 Shah Alam menuju ke Puncak Perdana akan singgah di Alam Suria Puncak Perdana dan Sunway Kayangan. Perhentian baharu tersebut melibatkan Pangsapuri Sunway Sinar, Perumahan Sunway Kayangan, Villa Suria, Dewan Baiduri MBSA Sunway Alam Suria dan SK Puncak Perdana/Casa Suria.

    Selain empat perhentian baharu itu, bas 754 juga akan melalui beberapa kawasan lain termasuk Monfort, TTDI, Space U8, Bukit Jelutong dan UITM Puncak Perdana. Anda boleh semak laluan penuh tersebut menerusi imej yang dikongsikan di atas.

     
     
  • JPJ eBid: JWW dan MDW akan dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWW, bakal dibuka bidaan mulai esok, 15 Februari 2024, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 19 Februari. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka pula, MDW, bidaannya akan dibuka pada 16 Februari 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 20 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Februari ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota

    Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota

    Susulan arahan pembetulan dari kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun berkenaan skandal penyelewengan ujian keselamatan yang dikesan dilakukan oleh Daihatsu sebelum ini, pemilik jenama kereta kompak berkenaan iaitu Toyota Motor Corporation (TMC) hari ini mengumumkan struktur baharu dalam kepimpinan Daihatsu Motor Co.Ltd (DMC).

    Dalam kenyataan tersebut, Pengerusi DMC iaitu Sunao Matsubayashi dan juga Presiden DMC sebelum ini iaitu Soichiro Okudaira tidak lagi memegang jawatan masing-masing. DMC kini akan diterajui oleh Presiden baharu iaitu Masahiro Inoue yang sebelum ini merupakan CEO Toyota Motor Corporation Wilayah Amerika Latin dan Caribbean.

    Inoue akan dibantu oleh naib presiden ekskutif baharu iaitu Masanori Kuwata, yang sebelum ini merupakan ketua bagi projek promosi elektrifikasi Lexus di Lexus International Co. Manakala jawatan pengarah bukan residen yang sebelum ini dipegang oleh Masahiro Yamamoto digantikan oleh Keiko Yanagi yang sebelum ini merupakan timbalan ketua pegawai di kumpulan Toyota Customer First Promotion.

    Walau bagaimanapun dua pegawai tinggi DMC iaitu Yusuke Takeda (ketua pegawai kumpulan jualan dan servis pelanggan) dan Toshinori Edamoto (ketua pegawai kumpulan pentadbiran korporat) masih kekal memegang jawatan masing-masing. Barisan kepimpinan baharu Daihatsu ini akan memulakan tugas mereka berkuatkuasa 1 Mac 2024.

    Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota

    “Mulai sekarang, di bawah struktur baharu, kami akan melaksanakan langkah-langkah yang menyeluruh untuk mencegah perkara sama dari berulang dan berusaha ke arah pemulihan masa depan Daihatsu. Toyota Motor Corporation (Toyota) juga akan terus menyokong Daihatsu baharu,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Beberapa objektif telah dirangka oleh Toyota dengan penstrukturan semula lembaga pengarah baharu Daihatsu ini. Antaranya untuk memperbaharui dan menghidupkan semula syarikat itu.

    “Kami percaya bahawa Daihatsu mesti kembali ke akar umbinya sebagai ‘syarikat mobiliti yang berpusat pada kenderaan kompak’ yang memberikan respon terus kepada keperluan pelanggannya dan memperkayakan kehidupan mereka, serta berazam sepenuhnya untuk dilahirkan semula sebagai sebuah syarikat baru,” tambah Toyota.

    Menurut Toyota lagi, isu skandal penyelewengan pensijilan keselamatan Daihatsu ini berpunca kerana beban kerja yang diterima oleh kakitangannya melebihi kapasiti mereka.

    “Untuk membina semula Daihatsu, kami percaya bahawa pihak pengurusan mesti pergi ke barisan hadapan, mendengar dengan teliti pendapat orang-orang di sana, dan mencipta sistem yang membolehkan pengurusan memulihkan kedaulatan di tempat kerja. Berdasarkan aspek ini, kami mempertimbangkan perkara yang perlu dilakukan dan membuat keputusan dari perspektif meletakkan orang yang betul di tempat yang betul.

    Skandal Daihatsu – Presiden dan Pengerusi letak jawatan, diganti beberapa ketua dari Toyota

    “Melangkah ke hadapan di bawah struktur baharu, sambil terus mengadakan dialog secara dalaman dalam Daihatsu dan dengan pihak berkepentingan, kami akan mempertimbangkan dan menentukan bentuk konkrit perniagaan masa depan Daihatsu dan struktur bermula daripada jawatan ketua pegawai ke bawah yang akan mempromosikannya. Selepas berbuat demikian, kami kemudiannya ingin menyediakan peluang pada tahun fiskal baharu untuk menerangkan struktur baharu dan hala tuju pengurusan Daihatsu,” jelas Toyota dalam kenyataan yang sama.

    Toyota turut sekali lagi memohon maaf kepada pelanggan, pembekal, pengedar, komuniti di sekitar kilang-kilang Daihatsu beroperasi, dan juga semua pemegang taruh yang terkesan kerana isu ini.

    Disebabkan skandal ini, Daihatsu terpaksa menghentikan operasi semua kilangnya bermula 20 Disember lalu sehingga penghujung Januari, dan kemudiannya ditangguh lagi sehingga bulan ini. Menerusi perkembangan terbaharu, MLIT baru sahaja meluluskan Daihatsu untuk memulakan semula operasinya bagi memproduksi 10 model pada 26 Februari ini.

    Skandal ini juga menyaksikan ada model Daihatsu yang telah ditarik semula sijil kelulusan jenis kenderaan (VTA), dan beberapa panggilan semula juga telah mula dibuat selepas beberapa masalah disahkan dikesan ketika siasatan ke atas beberapa penyelewengan maklumat yang dilakukan ketika proses pensijilan keselamatan model-model berkenaan.

     
     
  • Perodua ‘Nexis’ D66B dan Toyota Yaris Cross dijangka bakal dilancarkan di Malaysia April ini – penganalisa

    Perodua ‘Nexis’ D66B dan Toyota Yaris Cross dijangka bakal dilancarkan di Malaysia April ini – penganalisa

    Bayangan digital Perodua Nexis oleh Theophilus Chin

    Bahagian penyelidikan Kenanga Investment Bank, Kenanga Research menjangkakan bahawa kembar SUV segmen-B yang bakal dijual oleh dua jenama iaitu Toyota Yaris Cross dan juga Perodua yang kini hanya dikenali dengan kod pembangunan D66B bakal dilancarkan di Malaysia pada April ini.

    Perkara ini disebut oleh penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz dalam satu nota penyelidikan yang menyatakan bahawa Sime Darby Berhad bakal menguasai pasaran semua segmen automotif menerusi jenama Toyota untuk pasaran pertengahan, dan Perodua untuk pasaran mampu milik selepas pengambilalihan pegangan dalam UMW Holdings Bhd (UMW Holdings), berbanding hanya memegang pasaran lebih tinggi dengan jenama-jenama premium sebelum ini.

    “Sime Darby berkemungkinan mendapat manfaat daripada pelancaran baharu Perodua D66B dan Toyota Yaris Cross yang dijangka diperkenalkan menjelang April ini,” kata Wan Mustaqim dalam nota berkenaan dan dipetik oleh laporan Berita Harian.

    Walau bagaimanapun, sehingga kini Perodua dan Toyota masih belum memberikan sebarang perincian rasmi berkenaan SUV tersebut. Toyota Yaris Cross telah membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia pada Jun tahun lalu, dan ia merupakan SUV segmen-B yang dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), berbeza dari Yaris Cross pasaran Jepun dan Eropah yang dibina menggunakan platform TNGA.

    Perodua ‘Nexis’ D66B dan Toyota Yaris Cross dijangka bakal dilancarkan di Malaysia April ini – penganalisa

    Toyota Yaris Cross pasaran Thailand

    Di Indonesia, varian asas Yaris Cross ditawarkan dengan enjin 1.5L NA yang sama boleh ditemui pada Alza, Myvi dan Toyota Vios. Manakala bagi model tertinggi, SUV tersebut turut ditawarkan dalam versi 1.5L dengan sistem hibrid penuh. Manakala di Thailand, ia juga telah dilancarkan pada Oktober 2023 tetapi hanya ditawarkan dalam versi hibrid.

    Menerusi beberapa petunjuk, Yaris Cross juga merupakan asas kepada SUV D66B yang sedang dibangunkan oleh Perodua buat masa sekarang. Walaupun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi dari Perodua, SUV tersebut sudahpun mula digelar sebagai ‘Perodua Nexis‘ oleh pelbagai pihak kerana nama tersebut telah didaftarkan oleh Perodua di MyIPO.

    Berbanding Ativa yang dihasilkan dengan saiz hampir kepada segmen-A, D66B pula adalah SUV segmen-B penuh yang akan berhadapan dengan model seperti Honda HR-V, dan paling penting ia adalah jawapan Perodua kepada Proton X50. D66B ini juga dijangka bakal menjadi model hibrid pertama akan ditawarkan oleh Perodua, sejajar dengan sasaran Perodua sebelum ini yang mengumumkan bahawa model hibrid pertamanya akan muncul pada 2024.

    GALERI: Toyota Yaris Cross pasaran Indonesia

     
     
  • Ops Selamat 21 catat 1,203 kemalangan, 14 kematian

    Ops Selamat 21 catat 1,203 kemalangan, 14 kematian

    Ops Selamat 21 yang dimulakan minggu lalu sempena cuti Tahun Baru Cina setakat semalam telah mencatatkan 1,203 kemalangan dan 14 kematian. Ini menurut sumber Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM.

    Statistik sepanjang tempoh itu juga menunjukkan sebanyak 1,480 kenderaan telah terlibat dalam kemalangan yang direkodkan. Ops Selamat 21 bermula pada Khamis minggu lalu dan berakhir hari ini.

    Jalan Persekutuan mencatatkan peratusan kemalangan maut tertinggi dengan 36%, atau lima kes, sementara jalan negeri dengan 29% atau empat kes. Lebuhraya pula menyumbang sebanyak 14% atau dia kes kemalangan maut, sementara jalan bandar dengan tujuh peratus atau satu kes — jalan-jalan lain pula menyaksikan 14% atau dua kes lagi.

    JSPT juga dibantu oleh penggunaan Unit Dron bagi pemantauan udara di tiga zon, iaitu di Utara, Selatan dan Timur. Pihak polis juga bekerjasama dengan rakan strategik seperti PLUS Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Bombo dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

     
     
  • Pengeluaran 10 model Daihatsu, Toyota dan Subaru di kilang Kyushu Oita disambung kembali 26 Februari

    Pengeluaran 10 model Daihatsu, Toyota dan Subaru di kilang Kyushu Oita disambung kembali 26 Februari

    Susulan daripada penghentian sementara pengeluaran kenderaan Daihatsu akibat daripada skandal ujian keselamatan di Jepun, keadaan kini semakin baik bagi pengeluar itu apabila pengeluaran dan penghantaran 10 lagi model yang dipasang di kilang Oita Kyushu akan disambung bermula 26 Februari ini.

    Daihatsu menyatakan, kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun telah memberi pengesahan bahawa model-model tersebut kini mematuhi Akta Kenderaan Pengangkutan Jalan negara itu.

    Pengeluaran 10 model Daihatsu, Toyota dan Subaru di kilang Kyushu Oita disambung kembali 26 Februari

    Berikut adalah model daripada tiga jenama yang dikeluarkan di kilang Oita Kyushu Daihatsu, yang akan kembali dikeluarkan dan dihantar kepada pelanggan:

    Daihatsu:

    • Mira eS
    • Hijet Truck
    • Hijet Cargo
    • Atrai

    Toyota:

    • Pixis Epoch
    • Pixis Truck
    • Pixis Van

    Subaru:

    • Pleo Plus
    • Sambar Truck
    • Sambar Van

    “Sebagai sebuah syarikat penyedia kenderaan ringan, yang merupakan pengangkutan orang ramai, kami akan terus mendekatkan diri kepada kehidupan pelanggan dan memenuhi kepentingan sosial kami. Berkenaan ini, kami akan mengambil langkah yang sepatutnya, seperti melakukan ujian dengan kehadiran pihak yang berkuasa terhadapan pensijilan, mengikut segala petunjuk daripada MLIT,” kata Daihatsu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Motosikal langgar cermin sisi kereta guna Smartlane di Rawang – polis minta individu terlibat buat laporan

    Polis daerah Gombak telah mengeluarkan kenyataan berhubung satu video tular di media sosial yang menunjukkan sebuah kereta yang dipandu di lorong kecemasan yang telah diwartakan sebagai Smartlane, dilanggar oleh sebuah motosikal sehingga menyebabkan kerosakan pada cermin sisi.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Gombak Superitenden Abang Kaderi Bin Abang Wasli, hasil siasatan awal kejadian itu disahkan berlaku di Rawang iaitu di KM 437.2 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara.

    “Kejadian berlaku semasa sebuah motokar dipandu di lorong kecemasan. Semasa sampai di tempat kejadian telah datang sebuah motosikal dari arah belakang dipercayai telah melanggar cermin sisi kanan motokar. Motosikal tersebut tidak berhenti sejurus kemalangan berlaku lalu beredar dari tempat kejadian. Motorkar tersebut didapati menggunakan Smartlane yang telah diaktifkan semasa kejadian berlaku,” kata Abang Kaderi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Walau bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengenalpasti nombor pendaftaran kereta dan juga motosikal yang terlibat dalam insiden ini menerusi video tersebut. Oleh itu polis meminta pemandu kereta dan juga penunggang motosikal yang terlibat dalam insiden ini untuk tampil membuat laporan polis. Dalam kenyataan yang sama, kes ini disahkan disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59.

    Polis turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini turut tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Mazlan Bin Mohd Arifin di talian 012-4551413 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025