Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini; kini capai 98.9% siap

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini; kini capai 98.9% siap

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, pihaknya akan memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini. Buat setakat ini, katanya, status kemajuan pembinaan projek berkenaan telah mencapai 98.91%.

    “Sedikit lagi yang perlu dibuat perubahan kepada reka bentuk kerana (ada beberapa) masalah tanah di lokasi yang terlibat. Itulah yang boleh dikatakan mengapa kita belum mencapai 100% lagi (ketika ini),” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Pada Disember lalu, Nanta mengeluarkan kenyataan bahawa jajaran bagi Sarawak ini dijangka boleh dbuka sepenuhnya kepada orang awam sebelum tahun 2024.

    Pada masa itu, projek lebuhraya terbabit telah mencapai kemajuan sebanyak 98%. Buat masa ini sebanyak 19 daripada 25 seksyen projek lebuh raya itu siap sepenuhnya dan sudah dibuka kepada orang awam.

    LPB Sarawak merangkumi 11 pakej WPC (pakej projek) dengan satu pakej kerja iaitu jajaran Telok Melano ke Semantan sepanjang 33 km. Di mana jajaran Kuching ke Teluk Melano ditandakan sebagai KM 0.0 kerana Telok Melano merupakan lokasi paling hujung di barat daya Sarawak.

    Lebuhraya sepanjang 786.41 km dengan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion ini juga mempunyai tiga Hentian Rehat Dan Rawat dan lima hentian sebelah. Projek LPB Sarawak ini dilancarkan pada tahun 2015, dengan pembinaannya bermula di Telok Melano dan berakhir di Jalan Pujut 7 Link, Miri.

     
     
  • Kerajaan mahu wujudkan semula operasi perkhidmatan tren ekspres di luar musim perayaan

    Kerajaan mahu wujudkan semula operasi perkhidmatan tren ekspres di luar musim perayaan

    Kementerian Pengangkutan berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan perkhidmatan kereta api ekspres antara negeri beroperasi secara tetap, bukan hanya semasa musim perayaan. Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau akan membincangkan aspek perkara itu dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM), laporan MalayMail.

    “Kereta api ekspres bukanlah sesuatu yang baharu. Perkhidmatan tren elektrik (ETS) mempunyainya (semasa musim perayaan), di mana ia hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur,” katanya.

    Tambahnya, inisiatif itu yang memendekkan masa perjalanan iaitu hanya dua jam berbanding waktu perjalanan biasa 2 jam 40 minit bagaimanapun hanya boleh dilaksanakan selepas projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) yang sedang berlangsung, selesai dijangka akhir Mac ini.

    Kerajaan mahu wujudkan semula operasi perkhidmatan tren ekspres di luar musim perayaan

    Loke berkata matlamatnya adalah untuk membolehkan KTM menyediakan sekurang-kurangnya satu atau dua perkhidmatan kereta api ekspres setiap hari. “Ini akan sangat membantu mereka yang tinggal di Ipoh dan pergi ke KL untuk tujuan kerja. Mereka lebih suka perjalanan harian dan ramai yang tidak mahu bermalam di tempat lain, tidak kira di KL atau Pulau Pinang, kerana mereka mahu menjimatkan kos dan bersama keluarga,” jelasnya.

    Beliau menambah, perjalanan harian boleh dilakukan dengan perkhidmatan kereta api ekspres memandangkan jarak antara negeri di Semenanjung Malaysia tidak jauh. “Jadi jika sistem perkhidmatan pengangkutan awam kita dapat menyokong usaha ini, sudah pasti ia akan membantu ramai orang dan menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

    Bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, KTM menjalankan operasi empat tren ETS tambahan setiap hari dari 7 hingga 13 Februari antara KL Sentral dan Ipoh. Loke berkata bahawa semua tiket untuk tren tambahan, yang mana dua daripadanya adalah perkhidmatan kereta api ekspres, telah habis dijual.

     
     
  • Kenderaan berat dengan muatan berlebihan antara penyumbang kemalangan jalan raya – Loke

    Kenderaan berat dengan muatan berlebihan antara penyumbang kemalangan jalan raya – Loke

    Kemalangan jalan raya yang membabitkan kenderaan berat kian membimbangkan. Kelmarin, dua individu maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk lori di persimpangan lampu isyarat Medan Masria susur ke Lebuhraya Grand Saga. Kemalangan itu berpunca daripada lori terbabit disyaki mengalami masalah brek dan melanggar empat kenderaan di hadapannya sebelum terbabas

    Pada 2 Februari lalu, tiga pemandu trak ATM dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 7.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Gurun, Kedah. Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga anggota tentera terbabit memberhentikan trak masing-masing di laluan kecemasan selepas salah sebuah trak terbabit mengalami kerosakan.

    Sehari selepas itu, dua lelaki maut dengan satu daripadanya ditemui dalam keadaan berkecai dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kereta di KM 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di laluan antara Gopeng ke Simpang Pulai. Difahamkan, mangsa masing-masing ialah pemandu lori gula pasir dan pemandu lori muatan logam yang meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kenderaan berat dengan muatan berlebihan adalah satu masalah besar dan antara penyumbang kemalangan jalan raya. Katanya, masalah berat muatan berlebihan perlu diatasi dengan tindakan tegas menerusi penguatkuasaan dan ia juga satu masalah yang berlanjutan sekian lama dan perlu ditangani segera, laporan Harian Metro.

    “Jadi lebih muatan ini adalah satu masalah yang perlu kita tangani secara bersepadu dan penguatkuasaan akan ditambah,” katanya sambil menambah penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjalan seperti biasa malah operasi khas sentiasa dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar dan efisien.

    Beliau berkata mulai suku ketiga tahun lepas penguatkuasaan giat dijalankan dan terus meningkat sejak beberapa bulan ini dengan jumlah saman yang dikeluarkan bertambah terutama kepada pengusaha kenderaan perdagangan.

    Isu mengenai trend kemalangan yang membabit kenderaan berat juga menjadi kebimbangan Plus Malaysia Berhad (PLUS). Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, ia bukan sahaja pada musim perayaan malah pada setiap masa memandangkan peningkatannya yang semakin serius dan membimbangkan.

    Menurutnya, kematian akibat kemalangan yang membabitkan kenderaan berat telah menyumbang sebanyak 10% daripada keseluruhan rekod kematian di sepanjang lebuhraya tersebut pada tahun lalu.

    “Rekod PLUS menunjukkan 12% daripada keseluruhan jumlah kenderaan berat di lebuh raya adalah melebihi muatan yang dibenarkan sehingga menjangkau 24 tan per gandar berbanding 12 tan yang dibenarkan. Ini amatlah berisiko tinggi dan akan menyebabkan peningkatan insiden dan kemalangan akibat kerosakan brek dan tayar dan sebagainya,” katanya.

    Tambahnya, kemalangan seperti ini juga menyebabkan kesesakan teruk dan menyukarkan serta mengganggu perjalanan pengguna yang lain. “Kerosakan dan kemalangan kenderaan berat memerlukan tempoh panjang untuk diuruskan kerana ia tidak mudah untuk dialihkan dan memerlukan penggunaan jentera berat dan sebagainya,” katanya.

    Walau pun penguatkuasaan giat dilakukan termasuk mengeluarkan sejumlah saman yang besar, namun jika pihak pengusaha syarikat pengangkutan dan juga pemandu lori tidak menitikberatkan soal keselamatan, termasuk keadaan kenderaan sama ada selamat dipandu atau pun tidak, nampak gayanya isu kemalangan yang melibatkan kenderaan berat akan terus menjadi kebimbangan kita semua. Bagaikan tidak selamat berada di jalan raya, waima kita mengamalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • Alami warisan 97 tahun bagi teknologi keselamatan di Volvo Safety Driving Experience pada 2-3 Mac 2024

    Alami warisan 97 tahun bagi teknologi keselamatan di Volvo Safety Driving Experience pada 2-3 Mac 2024

    Jika bercakap tentang keselamatan kenderaan, suka atau tidak jenama yang akan meniti di bibir ialah Volvo Cars. Syarikat Sweden ini sudah mempunyai warisan sepanjang 97 tahun, yang memperlihatkan mereka berada jauh di hadapan bagi teknologi pelindungan dan penghindaran kemalangan.

    Inovasi syarikat yang berpangkalan di Gothenburg ini termasuklah ciri yang sering kita ambil mudah kini, iaitu tali keledar tiga-poin — yang telah dijadikan ciri standard untuk semua kenderaan Volvo Cars sejak 1959 — serta ciri beg udara tirai dan Sistem Makluman Titik Buta (BLIS). Ada matlamat besar di sebalik semua ini: pada tahun 2007, Volvo Cars umumkan sasaran mereka untuk mencapai sifar kecederaan atau kematian melibatkan mana-mana kereta baru keluarannya menjelang 2020. Janji ini jugalah yang masih terus dipegang.

    Menjadi teras kepada usaha Volvo Cars untuk menjadikan pemanduan lebih selamat diterajui oleh usaha seperti Pusat Keselamatan Kenderaan Volvo, yang merupakan sebuah makmal canggih berkaitan kemalangan yang dibuka sejak tahun 2000. Kemudahan dengan pelbagai kemampuan fungsi ini membolehkan jurutera syarikat itu untuk mencipta semula pelbagai situasi trafik dan kemalangan, menjalankan ujian yang melangkaui keperluan peraturan semasa. Secara purata, makmal kemalangan ini sekurang-kurangnya sebuah kereta Volvo setiap hari untuk tujuan ini.

    Antara faktor penting lain pula ialah Volvo tidak menghadkan inovasi keselamatan terkini yang ditawarkan hanya untuk model paling mahalnya sahaja. Banyak ciri canggih itu turut ditawarkan kepada barisan model lain yang lebih murah dalam masa yang singkat. Sebagai contoh, ciri Pilot Assist, sebuah teknologi pemanduan semi-autonomous Volvo Cars, turut dipasang sebagai standard untuk semua model Volvo Cars semasa.

    Pada masa hadapan, Volvo Cars akan turut boleh memaklumkan sekiranya anda tidak menggunakannya secara optimum dan dalam cara terbaik. Sistem Pemahaman Pemandu yang melibatkan dua kamera boleh mengesan sekiranya pemandu terganggu, mengantuk atau mabuk. Jika perlu, kenderaan akan memberikan amaran kepada pemandu, atau berhenti di bahu jalan dengan cara selamat. Teknologi pemantauan kabin oleh Volvo Cars turut diperluaskan kepada penumpang juga melalui Penderia Penumpang, yang menggunakan radar untuk mengesan sekiranya ada kanak-kanak atau haiwan peliharaan yang ditinggalkan terkunci dalam kereta, dan memaklumkan pemandu bagi menghindari kejadian kematian dalam kenderaan kerata tertinggal.

    Tetapi komitmen Volvo Cars terhadap keselamatan tidak hanya terhad kepada kenderaan keluarannya sahaja. Volvo Cars turut dikenali kerana berkongsi data kemalangan menyeluruh — yang dikumpulkan sejak 1970an, yang boleh membantu menghindarkan kecederaan dan kematian — dengan seluruh industri.

    Untuk itu, Volvo Cars telah mewujudkan usaha Kenedaraan Setara Untuk Semua (EVA), dengan menerbitkan kajian kemalangan dalam bentuk perpustakaan digital untuk dimuat turun sesiapa sahaja. Ini termasuklah untuk dimanfaat oleh pengeluar lain — sama seperti ketika Volvo Cars membatalkan hak paten bagi tali keledar tiga-poin yang dihasilkannya pada 1959.

    Hari ini, semua model Volvo menikmati kelebihan dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan yang menyeluruh, yang telah dibangunkan sejak berdekat lalu. Untuk mengalami semua ciri ini dalam persekitaran yang terkawal dan selesa, Volvo Car Malaysia akan mengadakan sesi Volvo Safety Driving Experience pada 2 dan 3 Mac 2024, yang mana peserta berpeluang menguji sendiri barisan kenderaan elektrik bateri dan plug-in hybrid jenama ini.

    Untuk mendaftar dan tahu lebih lanjut tentang Volvo Safety Driving Experience, layari laman web rasmi Volvo Car Malaysia.

    Tempat terhad, dan penyertaan adalah berdasarkan siapa yang mendaftar dahulu. Jadi, bertindak segera!

     
     
  • UMW Toyota jenama bukan nasional No. 1 bagi 2023

    UMW Toyota jenama bukan nasional No. 1 bagi 2023

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengakhiri tahun 2023 sebagai pengeluar kenderaan bukan-nasional nombor satu di sini bagi tahun ketiga berturut-turut. Tahun lalum syarikat itu menjual sebanyak 108,107 unit kenderaan Toyota dan Lexus, angka tertinggi setakat ini. Momentum berkenaan diteruskan pada Januari 2024, dengan jualan sebanyak 6,276 unit bagi kedua-dua jenama itu bulan lalu.

    Jenama Toyota juga menguasi 32% daripada pasaran kenderaan penumpang bukan-nasional pada 2023 dengan jualan 75,337 unit. Ini di belakang Honda dalam segmen pasaran yang sama, serta di kedudukan keempat keseluruhannya. Bagi segmen SUV bukan-nasional, Toyota mendakwa syarikat itu menjual 22,533 unit atau 19.6% perkongsian.

    Bukan satu kejutan bagi segmen trak pikap, yang mana Hilux terus mendahulu dengan 27,447 unit pada 2023, bersamaan dengan 47.2% perkongsian. Begitu juga dengan segmen van panel, dengan jualannya mencecah 3,424 pendaftaran dan perkongsian 100% dalam pasaran — kerana tiada persaingan lain.

    UMW Toyota jenama bukan nasional No. 1 bagi 2023

    “Kejayaan kami adalah cerminan kepada kesungguhan untuk memberikan kenderaan berkualiti tinggi dan pengalaman pemilikan yang menyenangkan untuk pelanggan. Kami sangat hargai penerimaan positif daripada pasaran dan pelanggan, bagi barisan model kami yang pelbagai. Kami akan terus memberi tumpuan terhadap inovasi mobiliti,” jelas Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Selain jualan, bulan lalu juga menyaksikan berakhirnya Toyota Eco Youth Programme (TEY) bagi tahun 2023/2024. Dianjurkan oleh UMWT dan Kementerian Pendidikan, TEY membawakan kesan pendidikan alam sekitar kepada generasi muda. Sejak 2001, penganjurannya telah melibatkan 506 sekolah dan 2,690 pelajar.

     
     
  • Audi Q7 2024 diperkenal – pencahayaan boleh atur, petrol, diesel V6; SQ7 dapat 4.0L V8 507 PS/770 Nm

    Audi Q7 2024 diperkenal – pencahayaan boleh atur,  petrol, diesel V6; SQ7 dapat 4.0L V8 507 PS/770 Nm

    Audi Q7 telah pun menerima versi facelift kedua untuk generasi semasa, selepas dinaiktaraf pada 2019. Terkini, pengeluar kereta dari Jerman ini telah pun memperkenalkan SUV tiga barisan tempat duduk yang ditampilkan dengan perubahan terkini.

    Kelengkapan pencahayaan bagi Q7 terkini ini menerima lapisan lebih gelap untuk lampu utama, dengan teknologi HD matrix HD, sementara lampu belakang pula dengan unit digital OLED baharu. Lampu hadapan dan lampu belakang baharu ini boleh diaturkan (programmable), di mana ia membenarkan pengguna untuk memilih antara empat pilihan pencahayaan yang ditawarkan menerusi paparan antara muka MMI.

    Q7 facelift 2024 ini juga menerima lima rekaan untuk roda, berukuran dari 20- hingga 22-inci. Seperti sebelum ini, suspensi udara adaptif turut diberikan secara standard, sementara rear-wheel steer ditawarkan secara pilihan (standard untuk SQ7). Juga diberikan remote park assist plus, di mana pengguna boleh memberikan arahan menerusi telefon pintar untuk mengawal pergerakan Q7 dalam ruang yang sempit.

    Penjana kuasa yang ditawarkan untuk Q7 facelift 2024 ini termasuklah dua enjin diesel dan satu enjin petrol untuk barisan Q7 biasa. Ia bermula dengan 45 TDI quattro bersama padanan enjin 3.0L turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa 231 PS dan 500 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.1 saat, dan kelajuan maksimum cecah 226 km/j.

    Ia turut disertai oleh 50 TDI quattro, yang menampilkan enjin dipertingkatkan dengan kuasa 241 PS dan 600 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 241 km/j. Kedua-dua penjana kuasa diesel ini turut disertai oleh varian 55 TFSI yang ditampilkan dengan enjin 3.0L pengecas turbo petrol V6 dengan hamburan kuasa 340 PS dan 500 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.6 saat dan kelajuan maksimum dihadkan hingga 250 km/j.

    Kesemua enjin enam-silinder bagi barisan Q7 facelift 2024 ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, dan disepadukan dengan sistem mild-hybrid 48-voltan dengan bateri lithium-ion dan belt-alternator starter yang membolehkan enjin ‘dimatikan’ sehingga 40 saat, antara 55 dan 160 km/j.

    Kemaskini bagi infotainmen untuk barisan Q7 facelift 2024 ini termasuklah penggunaan terus menerusi aplikasi seperti Spotify atau Amazon Music, sementara gedung dalam talian menawarkan beberapa pilihan lain bagi MIB 3 iaitu kit infotainmen modular generasi ketiga.

    Audi Q7 2024 diperkenal – pencahayaan boleh atur,  petrol, diesel V6; SQ7 dapat 4.0L V8 507 PS/770 Nm

    Selain itu, SUV ini juga diberikan paparan instrumen pemandu yang dinaiktaraf bagi sistem bantuan pemanduan, di mana kokpit maya Audi kinu menunjukkan amaran menukar lorong, pengguna jalan raya yang lain (trak, kereta dan motosikal), amaran jarak, bantuan persimpangan, dan informasi lampu isyarat secara dalam talian dalam definisi tinggi.

    Barisan Q7 facelift biasa ini turut disertai oleh varian yang lebih padu iaitu SQ7, yang menampilkan enjin 4.0 liter V8 biturbo petrol dengan hamburan kuasa 507 PS dan tork 770 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum dihadkan hingga 250 km/j.

    Bagi imejnya, ia ada sedikit perbezaan dengan Q7 biasa, di mana SQ7 diberikan sentuhan wajah yang lebih garang dengan perumah cermin luaran ala-aluminium, gril Singleframe dengan spoiler hadapan dan diffuser belakang yang direka semula; turut ditawarkan dengan pakej optik Black dan Black Plus.

    Seperti sebelum ini, SQ7 juga menerima penyahaktifan silinder untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan senibina elektrikal 48-voltan yang menyokong electromechanical active roll stabilisation (eAWS) untuk mengurangkan olengan badan sewaktu melalui selekoh.

    SQ7 facelift 2024 diberikan roda aloi 20-inci dengan balutan tayar 285/45 secara standard, sementara unit yang lebih besar berukuran 21- hingga 22-inci turut ditawarkan sebagai pilihan. Cakera brek untuk SQ7 2024 berukuran 400 mm di hadapan dan 350 mm untuk belakang, dengan kaliper berwarna hitam secara standard atau merah sebagai pilihan.

    Di Eropah, Audi Q7 facelift 2024 dijual pada harga bermula 79,300 euros (RM406,641) untuk 45 TDI quattro, sementara 55 TFSI quattro janaan petrol berharga bermula 82,500 euros (RM423,050). Sementara untuk SQ7 facelift ditawarkan pada harga bermula 112,000 euros (RM574,322).

    Audi Q7 facelift 2024

    Audi SQ7 facelift 2024

     
     
  • BYD Yuan Up didedah di China – EV lebih kecil berbanding Atto 3, jarak gerak sehingga 401 km

    BYD Yuan Up didedah di China – EV lebih kecil berbanding Atto 3, jarak gerak sehingga 401 km

    BYD telah mendedahkan Yuan Up, sebuah SUV elektrik penuh yang dibina atas e-Platform 3.0 sama seperti Dolphin, Atto 3 (juga dikenali sebagai Yuan Plus) dan Seal. Model ini dijangka mula dijual di China Mac ini, pada harga bermula sekitar 100,000 yuan (RM66,975).

    Berkenaan saiz, Yuan Up mencatat ukuran panjang 4,310 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,675 mm dan jarak roda 2,620 mm. Ini menjadikan ia lebih kecil berbanding Atto 3, yang mencatat panjang 4,455 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,615 mm dan jarak roda 2,720 mm. Untuk memberi gambaran lebih lagi, Yuan Up ini sedikit lebih besar berbanding Hyundai Kona dan Mazda CX-3.

    Menurut CarNewsChina, Yuan Up datang dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) yang disediakan dalam dua kapasiti iaitu 32 kWh dan 45.1 kWh, menyediakan jarak gerak masing-masing 301 km dan 401 km. Turut disediakan adalah dua pilihan motor elektrik iaitu yang berkuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) atau 177 PS (174 hp atau 130 kW).

    BYD Yuan Up didedah di China – EV lebih kecil berbanding Atto 3, jarak gerak sehingga 401 km

    Daripada aspek rekaan, EV terbaru daripada BYD ini menerapkan konsep Dragon Face yang juga digunakan pada Song L. Antara ciri utamanya adalah bampar yang mempunyai rekaan pelindung bawah menonjol, lampu utama nipis dengan DRL bersepadu serta bukaan udara tepi yang tersembunyi.

    Kita juga boleh melihat sedikit inspirasi profail daripada smart #1, tetapi dengan lekuk yang lebih jelas serta kemasan tepi pintu yang lebih tebal. Lampu belakang menampilkan rekaan hampir seperti Dolphin, sementara kemasan bawahnya mengikut rekaan seperti di hadapan.

    Di dalam anda akan menemui roda stereng berbentuk D serta panel instrumen digital 8.8 inci, manakala sistem infotainmen menggunakan skrin sesentuh 12.8 inci di tengah papan pemuka. Sama seperti Atto 3, skrin infotainmen ini boleh dipusing jika anda mahukan paparan menegak ataupun mendatar. Turut kelihatan adalah head-up display, yang mungkin disediakan untuk varian lebih tinggi.

    Kelengkapan lain di dalam kabin adalah seperti tempat duduk hadapan larasan kuasa, tempat duduk balutan kulit tiruan dengan liang udara, pad pengecas tanpa wayar serta tombol gear kristal. Butang kawalan tidak banyak, kecuali masih ada di konsol tengah untuk beberapa fungsi. Kenderaan ini juga datang dengan bumbung suria besar.

     
     
  • Data jualan kenderaan premium Malaysia 2023 – BMW, Mercedes-Benz masih di atas tetapi jualan menurun

    Data jualan kenderaan premium Malaysia 2023 – BMW, Mercedes-Benz masih di atas tetapi jualan menurun

    Setakat ini kita sudah melihat, data jualan kenderaan penumpang 2023 secara keseluruhan dan juga yang dipecahkan kepada jenama serta trak pikap. Sekarang, kita tengok pula kepada segmen kenderaan premium. Di sini ia agak menarik kerana meskipun jualan dalam segmen ini terus naik, jenama yang mengaut hasil besar bukan jenama biasa.

    Secara keseluruhan, 29,213 kenderaan premium dijual di Malaysia pada tahun 2023 (tidak termasuk Tesla, Audi dan smart), dan ini adalah 1,060 unit lebih tinggi berbanding tahun lepas. Seperti biasa, sebahagian besar daripada jumlah itu dikaut oleh BMW dan Mercedes-Benz – masing-masing 41% dan 31.4% daripada jualan keseluruhan.

    Walaubagaimanapun, jualan BMW sebenarnya adalah mendatar sahaja kerana 11,973 unit yang dicatat pada tahun 2023 sebenarnya cuma kurang tiga unit sahaja berbanding tahun 2022. Mercedes-Benz pula menjual 568 unit lebih rendah berbanding tahun 2022, dengan catatan keseluruhan 9,163 unit (turun 5.8%). Volvo yang berada tangga ketiga juga turun 15.6%, atau 498 unit, dengan mencatat jualan 2,696 unit pada tahun 2023.

    Data jualan kenderaan premium Malaysia 2023 – BMW, Mercedes-Benz masih di atas tetapi jualan menurun

    Nampaknya pelanggan segmen ini telah beralih kepada jenama berbeza seperti Lexus. Cabang kenderaan mewah Toyota ini mencatat peningkatan jualan hampir satu kali ganda, iaitu 1,901 unit berbanding 993 unit pada tahun 2022. MINI pula mencatat peningkatan 49%, dengan jualan 1,808 unit kenderaan.

    Kejutan besar dibuat oleh Porsche, di mana jualannya meningkat 70.5%, kepada 1,526 unit sementara Land Rover pula menyaksikan penurunan jualan sehingga 42.4%, dengan jualan cuma 76 unit pada tahun 2023. Jaguar dan Lotus pula masing-masing menjual 37 unit dan 33 unit kenderaan.

     
     
  • Honda City Hatchback facelift diperkenal di Thailand – varian bertambah, VTEC Turbo dan e:HEV, dari RM80k

    Honda City Hatchback facelift diperkenal di Thailand – varian bertambah, VTEC Turbo dan e:HEV, dari RM80k

    Tiga tahun selepas diperkenalkan kali pertama, Honda City Hatchback kini diberikan facelift di Thailand. Ia menerima sedikit perubahan kosmetik dan kelengkapan baru, dengan kebanyakannya sama seperti yang diterima oleh City sedan baru-baru ini.

    Di negara itu, City Hatchback kini ditawarkan dalam lima varian (sebelum ini cuma empat). Paling asas adalah S+ berharga 599,000 baht (RM80,120), diikuti SV at 679,000 baht (RM90,820) dan seterusnya RS 749,000 baht (RM100,183).

    Tiga varian ini dipacu oleh enjin petrol tiga silinder VTEC turbo 1.0 liter yang boleh menerima gasohol dan mampu menghasilkan kuasa 122 PS (121 hp atau 90 kW) pada 5,500 rpm dan tork 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm – transmisi CVT menghantar kuasa kepada roda hadapan.

    Dua varian berikutnya mendapat sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD), yang menggunakan satu motor elektrik 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm untuk memacu roda hadapan. Bateri lithium ion yang digunakan mendapat kuasa daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter DOHC i-VTEC yang boleh menghasilkan 98 PS (97 hp or 72 kW) and 127 Nm, serta motor elektrik bersepadu yang bertindak sebagai generator dan starter.

    Varian hibrid pertama adalah penambahan baru yang dipanggil sebagai e:HEV SV, dijual pada harga 729,000 baht (RM97,531), dan disertai e:HEV RS yang harganya dikurangkan 50,000 baht (RM6,683), menjadi 799,000 baht (RM106,787).

    Berkenaan perubahan gaya, City Hatchback mengikut versi sedannya, dengan mendapat kemasan krom nipis di bahagian atas gril, serta kemasan baru untuk bahagian dalam gril tersebut. Bampar hadapan untuk varian bukan RS juga diubah sedikit, manakala versi RS menerima bampar yang lebih agresif.

    Honda City Hatchback facelift diperkenal di Thailand – varian bertambah, VTEC Turbo dan e:HEV, dari RM80k

    Untuk bampar belakang, varian bukan RS kini mendapat kemasan hitam di bahagian bawah bamparnya, manakala varian RS mendapat elemen seperti diffuser, bersama cermin sisi hitam dan lencana khas untuknya.

    Varian RS juga mendapat dua warna eksklusif iaitu Brilliant Sporty Blue Metallic (dengan bumbung hitam) dan Ignite Red Metallic. Warna lain yang ditawarkan adalah Tafetta White (S+ sahaja), Platinum White Pearl (e:HEV RS, e:HEV SV, RS dan SV sahaja), Crystal Black Pearl, Meteoroid Gray Metallic dan Sonic Gray Pearl.

    Seperti yang kita lihat pada City sedan, bahagian dalam City Hatchback juga tidak banyak berubah. Namun masih ada sedikit bahagian diusik, seperti soket pengecas yang ditukar kepada unit USB-C (e:HEV sahaja), dan terdapat poket kecil di bahagian belakang tempat duduk hadapan (e:HEV sahaja).

    Untuk kelengkapan, S+ datang dengan rim 15 inci (tayar 185/60), lampu utama halogen projector automatik, DRL LED, lampu belakang LED, kemasan dalam hitam dengan tempat duduk balutan fabrik, pengawal pendingin hawa manual, sistem masuk dan mula tanpa kunci, butang pemula enjin, skrin info MID 4.2 inci, head unit biasa, empat pembesar suara dan empat beg udara.

    Varian asas juga mendapat Honda Sensing secara standard, yang memberikan Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW), Auto High-Beam (AHB), Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lead Car Departure Notification System (LCDN).

    Naik ke varian SV, ia mendapat rim 15 inci dua tona, tempat duduk kulit, pendingin hawa automatik, kamera undur serta skrin Advanced Touch lapan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian RS pula ditambah baik lagi dengan rim 16 inci, lampu utama LED, roda stereng boleh laras naik turun dan hadapan belakang, pedal penukar gear di stereng, perehat tangan belakang, lapan pembesar suara, Honda Connect serta enam beg udara.

    Honda City Hatchback facelift diperkenal di Thailand – varian bertambah, VTEC Turbo dan e:HEV, dari RM80k

    Varian hibrid permulaan (e:HEV SV) mempunyak spesifikasi hampir sama seperti SV bukan hibrid, tetapi menerima beberapa peningkatan seperti rim 16 inci dua tona, corong pendingin hawa belakang, brek parkir elektronik, panel instrumen digital tujuh inci, soket pengecas USB-C serta fungsi Low-Speed Follow (LSF) untuk ACC.

    Varian e:HEV RS yang berada paling atas mendapat spesifikasi hampir sama seperti RS biasa, tetapi dinaik taraf dengan LSF untuk ACC, pengelap cermin automatik, corong pendingin hawa belakang, brek parkir elektronik, panel instrumen digital tujuh inci dengan rekaan khas RS, soket pengecas USB-C serta Honda LaneWatch. Seperti biasa, terdapat juga aksesori Modulo yang disediakan untuk pelanggan.

    Kami menjangkakan model facelift ini juga akan datang ke Malaysia, tetapi mungkin tanpa pilihan enjin VTEC Turbo 1.0L itu. Di Malaysia sekarang, varian bukan hibrid dipacu oleh enjin empat silinder NA 1.5 liter DOHC i-VTEC dengan 121 PS (119 hp atau 89 kW) dan 145 Nm.

     
     
  • Rebat RM5 untuk baharui lesen memandu digital, hingga 31 Dis – Caj RM20 untuk cetak slip fizikal

    Rebat RM5 untuk baharui lesen memandu digital, hingga 31 Dis – Caj RM20 untuk cetak slip fizikal

    Bulan lalu, Menteri Pengangkutan telah mengumumkan pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan boleh dilakukan menerusi aplikasi MyJpj bermula 1 Februari. Kini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan maklumat lebih perincian, termasuk bagaimana hendak mendapatkan rebat RM5 bagi pembaharuan lesen memandu secara dalam talian.

    Sah dari 1 Februari hingga 31 Disember tahun ini, rebat RM5 hanya akan diberikan kepada pemohon yang membuat permohonan/pembaharuan LMM Digital tanpa cetakan fizikal (e-LMM). Ia termasuk juga dengan permohonan bagi Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL), dan pembaharuan bagi CDL. Walau bagaimana pun, lesen vokasional dikecualikan daripada ‘promosi’ ini. Pemohon hanya boleh menikmati pemberian rebat e-LMM RM5 ini sekali sahaja sepanjang tempoh interim dilaksanakan.

    Rebat RM5 untuk baharui lesen memandu digital, hingga 31 Dis – Caj RM20 untuk cetak slip fizikal

    Cukai jalan baharu (kiri), slip lesen memandu (kanan)

    Bagi menggalakkan pengguna memilih perkhidmatan digital tersebut, rebat ini hanya diberikan kepada pemohon yang memilih permohonan/pembaharuan LMM Digital tanpa cetakan fizikal sahaja. Sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa, anda hanya perlu tunjukkan e-LMM menerusi paparan dalam aplikasi MyJPJ.

    Namun, jika mahukan fizikal Slip Pembaharuan LMM, anda akan dikenakan bayaran cetakan sebanyak RM20. Jika inginkannya, anda hanya perlu membawa bersama slip pembaharuan dan kad lesen yang telah tamat tempoh. Tapi, jika lesen memandu dan cukai jalan kini dah boleh ‘dilihat’ menerusi aplikasi, perlu lagi ke cetakan fizikal?

    Mungkin ada individu yang rasa lebih senang ada cetakan fizikal, atau mungkin lebih mudah ditunjukkan pada penguatkuasa sekiranya ditahan atau sebagainya, yelah kot la bateri telefon bimbit dah habis ke, atau telefon bimbit tertinggal ke atau rangkaian Internet terganggu ketika itu. Pun jangan risau, minta tolong saja penguatkuasa berkenaan untuk semak sendiri menerusi peranti yang dibekalkan kepadanya.

     
     
  • KPDN Johor giat laksana penguatkuasaan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing

    KPDN Johor giat laksana penguatkuasaan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing

    Walau pun kita masih terlihat menerusi perkongsian di media sosial ada lagi kenderaan pendaftaran asing yang mengisi petrol RON95 di negara kita terutamanya di Johor, jangan pula tuduh penguatkuasaan sekadar NATO (No Action Talk Only). Ini kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetap giat melaksanakan penguatkuasaan bagi menghalang perbuatan sedemikian daripada berulang atau pun makin kerap dilakukan.

    Itulah yang diperkatakan oleh Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, di mana pihaknya tetap melakukan penguatkuasa secara berterusan. Sekali gus menjelaskan pihaknya “tidak tidur” dalam soal ketirisan minyak petrol bersubsidi itu, laporan Bernama

    “Penguatkuasa KPDN tidak tidur dalam soal ini, memang kami jalankan penguatkuasaan dan pemantauan secara 24 jam. Namun, kami tidak dapat nafikan perkara itu masih berlaku, sehingga terdapat rakaman video tular di media sosial.

    KPDN Johor giat laksana penguatkuasaan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing

    “(Jika berlaku) Saya berharap pengadu boleh sertakan maklumat berkenaan stesen minyak, lokasi dan masa kejadian,” katanya ketika mengulas mengenai penguatkuasaan pembelian petrol RON95 terhadap kenderaan berpendaftaran asing termasuk dari Singapura.

    Beliau turut turut menyeru pemilik stesen minyak agar bertanggungjawab dan memainkan peranan dengan menjadikan pekerja mereka sebagai mata serta telinga penguat kuasa.

    “Petugas yang ditempatkan di luar boleh menjadi mata dan telinga kepada stesen minyak berkenaan dengan memainkan peranan menghalang kenderaan asing daripada membuat pembelian minyak RON95. Ini penting, kerana sekiranya pemilik stesen minyak didapati cuai, sehingga menyebabkan perkara itu berlaku, mereka boleh dikenakan tindakan denda dan tutup premis sekiranya kesalahan terus berulang,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliu juga meminta orang ramai agar segera menyalurkan maklumat, sekiranya mengesan kenderaan asing menggunakan minyak subsidi itu di stesen minyak terlibat dan dinasihatkan agar mengelakkan daripada bersemuka dengan pemilik kenderaan tersebut, supaya tidak terlibat dalam sebarang pergaduhan.

     
     
  • Lebuhraya SUKE – Prolintas umum pembukaan semula Jalan Alam Damai-Taman Len Seng

    Lebuhraya SUKE – Prolintas umum pembukaan semula Jalan Alam Damai-Taman Len Seng

    Prolintas selaku syarikat konsesi bagi Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memaklumkan bahawa Jalan Alam Damai menghala ke Len Seng, dari Len Seng ke Alam Damai dan dari MRR2 ke Alam Damai telah pun dibuka semula untuk kegunaan orang awam.

    Jalan terbabit telah ditutup selama beberapa tahun untuk kelancaran pembinaan SUKE, dan berikutan projek lebuh raya itu telah pun siap dengan pembukaan persimpangan Alam Damai pada Oktober tahun lepas, dengan akses ke laluan tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Prolintas dan kini boleh digunakan sepenuhnya.

    Persimpangan Alam Damai dibina secara bertingkat sepanjang 1.5 kilometer ini menyediakan akses secara terus antara jajaran utama Lebuhraya SUKE dengan Jalan Alam Damai bagi memberikan kemudahan laluan alternatif kepada pengguna dari arah Sri Petaling dan Ulu Kelang untuk ke kawasan Alam Damai dan sebaliknya.

    Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE melibatkan jajaran sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.

    Ia merupakan laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya menggunakan MRR2 dan dapat memendekkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit, berbanding 75 minit sekiranya menggunakan laluan sedia ada.

    Selain itu, SUKE turut dihubungkan dengan KESAS (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE). Lebuhraya baru East Klang Valley Expressway (EKVE) juga akan bersambung dengan SUKE.

     
     
  • Pengurangan had laju diturunkan dari 90 km/j kepada 80 km/j di semua jalan persekutuan hingga 13 Feb

    Pengurangan had laju diturunkan dari 90 km/j kepada 80 km/j di semua jalan persekutuan hingga 13 Feb

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan pengurangan had laju dilaksanakan di semua Jalan Persekutuan di Malaysia berkuat kuasahari ini (8 Februari) hingga 13 Februari 2024 sempena perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini. Di mana had laju dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sepanjang tempoh yang dinyatakan.

    Menurut KKR lagi, pewartaan pengurangan had laju sementara itu ditetapkan sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan. Ini merupakan antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku pada musim perayaan.

    “Turut dimaklumkan, kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan supaya tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tarikh operasi, kecuali kerja kecemasan.

    “Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR untuk semua pihak bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan, terutama di Jalan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • PLUS aktifkan lorong SmartLane di 14 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan hingga 18 Feb sempena CNY

    PLUS aktifkan lorong SmartLane di 14 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan hingga 18 Feb sempena CNY

    Sempena dengan cuti perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah bersedia menguruskan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya kendaliannya. Ini termasuklah dalam memberi tumpuan kepada keselesaan pengguna, pengurusan trafik, pengagihan trafik dan komunikasi yang efisien.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi berkata, “Lebuh raya PLUS sering mencatatkan peningkatan trafik yang konsisten sehingga dua juta kenderaan sehari setiap kali musim perayaan. Oleh yang demikian, kami menjangkakan ia akan turut berlaku pada musim perayaan yang akan datang dan mungkin akan sedikit meningkat kepada 2.1 juta kenderaan sehari berdasarkan trend pergerakan kenderaan pada ketika ini.

    “Secara amnya, peningkatan jumlah kenderaan menyumbang kepada kebarangkalian berlakunya kesesakan terutamanya di lokasi-lokasi hot spot seperti Tapah-Gopeng, Simpang Pulai-Gopeng, Slim River-Sungkai, Rawang Selatan- Sungai Buaya, Lembah Beringin-Rawang, Juru-Sungai Dua-Bertam, Jambatan Pulau Pinang, Ipoh Utara-Changkat Jering, Jelapang-Terowong Menora-R&R Sungai Perak, Kuala Kangsar- R&R Sungai Perak, Senawang-Seremban, Ayer Keroh-Jasin, Sedenak-Senai Utara dan termasuklah di kawasan-kawasan rehat, hentian-hentian sebelah dan plaza-plaza tol.”

    PLUS aktifkan lorong SmartLane di 14 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan hingga 18 Feb sempena CNY

    Oleh yang demikian, PLUS menempatkan seramai 450 anggota PLUSRonda untuk membuat lebih banyak rondaan di lebuh raya untuk memberi bantuan kepada pengguna lebuh raya selain 1,500 kakitangan di plaza tol dan memastikan semua 1,075 lorong beroperasi sepenuhnya. Seramai 2,100 kakitangan penyelenggaraan pula akan ditugaskan untuk memastikan kebersihan di semua kawasan rehat & rawat dan hentian sebelah terjaga demi keselesaan pengguna.

    Turut disediakan adalah tandas-tandas tambahan di 21 lokasi terpilih serta penyediaan 79 kawasan meletak kenderaan tambahan di beberapa lokasi terpilih di sepanjang lebuh raya.

    “PLUS juga memberi perhatian khusus terhadap aspek pengurusan trafik dan insiden yang lebih baik pada musim perayaan yang akan datang. Oleh itu, tiada penutupan lorong akan dilaksanakan sejak 5 Februari lalu hingga 16 Februari 2024 bersempena dengan musim perayaan kali ini.

    PLUS aktifkan lorong SmartLane di 14 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan hingga 18 Feb sempena CNY

    “Namun begitu, penutupan lorong terpaksa dilakukan dari masa ke masa sekiranya berlaku kemalangan serta kerja-kerja kecemasan dan kritikal yang berisiko kepada keselamatan pengguna lebuh raya yang perlu diselenggarakan,” tambah Datuk Ir Zakaria.

    Berikut merupakan senarai 14 lokasi yang terlibat dengan pengaktifan lorong SmartLane untuk melancarkan pergerakan trafik:

    PLUS aktifkan lorong SmartLane di 14 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan hingga 18 Feb sempena CNYPLUS aktifkan lorong SmartLane di 14 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan hingga 18 Feb sempena CNYPLUS aktifkan lorong SmartLane di 14 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan hingga 18 Feb sempena CNY

     
     
  • Kia Carnival 2024 dinaiktaraf di M’sia – roda 19-inci, BVM; 7-kerusi dari RM246k, 8-kerusi dari RM260k

    Kia Carnival 2024 dinaiktaraf di M’sia – roda 19-inci, BVM; 7-kerusi dari RM246k, 8-kerusi dari RM260k

    Dinamikjaya Motors, anak syarikat kepada Bermaz Auto, telah mengumumkan sedikit peningkatan untuk Kia Carnival bagi model tahun 2024. Walau bagaimana pun, ini bukanlah versi facelift bagi MPV generasi ke-empat yang didedahkan di peringkat global pada Oktober lalu. Jadi, ia mungkin versi pre-facelift untuk model semasa.

    Carnival masih kekal sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tetapi barisan variannya telah disemak semula dengan hanya menampilkan tiga pilihan berbanding empat sebelum ini. Varian yang paling mampu milik ialah 2.2D 11-Seater dengan harga atas jalan RM198,500 tanpa insurans, diikuti dengan 2.2D 8-Seater High berharga RM245,888 dan seterusnya 2.2D 7-Seater High berharga RM259,888.

    Pilihan warna luarannya juga telah dikurangkan satu, kini kekal dengan Astra Blue, Meteor Gray, Jet Black dan Snowflake White Pearl – dengan Sonic Silver yang digugurkan. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej servis.

    Untuk spesifik varian yang diberikan peningkatan, ia melibatkan 2.2D 8-Seater High dan 2.2D 7-Seater High, dengan kedua-duanya kini ditampilkan dengan roda aloi hitam 19-inci baharu, menggantikan unit 18-inci terdahulu, sementara dalamanya pula menerima upholstery tempat duduk kulit kelabu dan hitam.

    Kedua-dua varian High ini juga menerima sistem Blind-Spot View Monitor (BVM) baharu, di mana ia merupakan sistem pemantauan titik buta ciptaan Kia yang menunjukkan rakaman video dari kamera yang dipasang pada cermin sisi.

    Selain daripada itu, ciri bari varian High masih dikekalkan seperti sebelum ini, termasuklah enjin Smartstream 2.2 liter turbodiesel empat-silinder sebarus dengan hamburan kuasa 202 PS (199 hp) dan tork 440 Nm, yang dipadankan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan yang dipacu ke roda hadapan.

    Risalah spesifikasi Kia Carnival 2024; klik untuk besarkan

    Varian High agak mirip daripada segi imejnya, yang membezakannya hanya jumlah tempat duduk. Bagi 7-tempat duduk, ia memiliki bentangan 2-2-3 dengan dua kerusi kapten “Premium Relaxion” di barisan kedua. Manakala 8-tempat duduk pula dengan bangku pada barisan kedua bersama bentangan 2-3-3.

    Ciri kelengkapan standard termasuklah dwi lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, dwi bumbung suria kuasa, penderia hadapan dan belakang, kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci, kawalan suhu tiga-zon (dwi-zon di hadapan, zon tunggal di belakang), tirai suria untuk barisan kedua dan ketiga, larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan ventilasi untuk tempat duduk pemandu, sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta pad pengecas tanpa wayar.

    Sistem BVM yang kini diberikan untuk Carnival 2024 turut menyertai sistem bantuan pemandu sedia ada, termasuklah High Beam Assist, Blind-Spot Collision Warning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist (AEB) dengan sokongan belok simpang, Lane Following Assist dan Smart Cruise Control (ACC).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025