Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Isi minyak dengan Caltex Rewards Raya GOyang-GOyang, dapatkan pulangan tunai RM8 di TnG eWallet hingga 30 April

    Isi minyak dengan Caltex Rewards Raya GOyang-GOyang, dapatkan pulangan tunai RM8 di TnG eWallet hingga 30 April

    Nikmati lebih penjimatan di musim perayaan Hari Raya Aidilfitri jika anda mengisi minyak di Caltex — ini kerana Caltex Rewards Raya GOyang-GOyang menawarkan pulangan tunai dengan setiap pembelian bahan api kenderaan anda.

    Sebaik sahaja mendaftar sebagai ahli Caltex Rewards, anda hanya perlu log masuk ke aplikasi Touch ‘n Go eWallet, klik ikon GOyang di laman utama, dan goyangkan peranti pintar anda dan baucar pulangan tunai Caltex RM8 akan tertera.

    Untuk menggunakannya, imbas kod QR keahlian Caltex Rewards anda atau masukkan nombor telefon bimbit di kaunter pembayaran, dengan pembelian bahan api minimum RM40 di mana-mana stesen Caltex di seluruh negara. Lakukan transaksi anda dengan fungsi Bayar dalam Touch ‘n Go eWallet melalui terminal Smart Payment. Selepas transaksi selesai, anda akan menerima pulangan tunai RM8 untuk sekali sahaja dalam Touch ‘n Go eWallet.

    Pastikan anda memanfaatkan baucar pulangan tunai RM8 ini semasa perjalanan anda di sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri kerana tawaran ini sah sehingga 30 April 2025. Sudah bersedia untuk menikmati penjimatan bagi pembelian bahan api kenderaan anda dengan Caltex Rewards dan Touch ‘n Go eWallet? Klik di sini untuk maklumat lanjut.

    *Tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
  • Spanco beri sumbangan 55 unit Yamaha Ego Avantiz kepada mangsa kebocoran gas di Putra Heights

    Spanco beri sumbangan 55 unit Yamaha Ego Avantiz kepada mangsa kebocoran gas di Putra Heights

    Spanco Sdn Bhd menjadi satu lagi syarikat yang tampil memberikan bantuan kepada mangsa kebocoran gas di Putra Heights baru-baru ini, dengan menyumbangkan 55 buah skuter Yamaha Ego Avantiz. Ini adalah bagi membantu meringangkan beban mangsa dan memulihkan semula keupayaan mobiliti mereka

    Satu majlis penyerahan diadakan di Stesen LRT Putra Heights dan turut dihadiri menteri pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, ketua pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly, ketua pegawai eksekutif Spanco Sdn Bhd, Datuk Azman Haji Idris, dan ketua pegawai operasi Spanco Sdn Bhd, Shaheeran Jalalludin.

    Turut terlibat dalam inisiatif Spanco ini adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang memudahkan proses pendaftaran kesemua motosikal tersebut dan menyumbangkan topi keledar percuma kepada setiap penerima skuter tersebut.

    Semua skuter sumbangan Spanco ini menggunakan nombor pendaftara siri MADANI, dan ia diberitahu sudah didaftarkan di atas nama penerima. Melihat kepada muatan yang dibuat oleh Loke, Hong Leong Yamaha Motor turut terlibat dengan memberi diskaun sebanyak RM800 bagi setiap sebuah skuter, yang dibeli oleh Spanco untuk sumbangan ini.

     
     
  • Bentley Continental GT, GTC, Flying Spur 2025 diperkenal – enjin PHEV 4.0L berkuasa 680 PS, 930 Nm

    Bentley Continental GT, GTC, Flying Spur 2025 diperkenal – enjin PHEV 4.0L berkuasa 680 PS, 930 Nm

    Bentley memperkenalkan model Continental GT, Continental GTC dan Flying Spur 2025, bersama dengan versi Azure, yang menggunakan enjin plug-in hybrid petrol-elektrik 4.0 liter V8 twin turbo berkuasa 680 PS dan tork 930 Nm.

    Ketiga-tiganya dipanggil sebagai High Performance Hybrid model, terletak di bawah barisan model Ultra Performance Hybrid yang menggunakan nama Speed dan Mulliner, termasuk Continental GT Speed, GTC Speed dan Flying Spur Speed, dengan kuasa 782 PS dan 1,000 Nm, datang daripada enjin petrol 4.0L V8 biturbo.

    Bentley memberitahu, tiga model baru ini mengatasi prestasi model GT Speed generasi sebelum ini, dengan Continental GT secara khususnya mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan Flying Spur 3.9 saat.

    Bentley Continental GT, GTC, Flying Spur 2025 diperkenal – enjin PHEV 4.0L berkuasa 680 PS, 930 Nm

    Memandangkan model baru ini menggunakan versi enjin yang sama dengan model Speed, ia boleh bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sehingga 85 km untuk Continental GT dan 82 km untuk Continental GTC. Ini adalah hasil daripada penggunaan bateri 25.9 kWh pada binaan elektrikal 400 volt kenderaan tersebut.

    Pakej Bentley Active Chassis diberikan pada model baru ini, dengan termasuk sistem Dynamic Ride, Rear Wheel Steering dan LSD kawalan elektronik yang boleh dipilih dalam mod Comfort, Bentley dan Sport.

    Model asas Continental GT dan GTC menggunakan gril matriks berwarna hitam kilat, dengan keliling serta bar tengah yang berwarna krom, sementara gril bawah menggunakan warna hitam matte dan splitter warna hitam kilat. Lampu hadapan mendapat inspirasi daripada potongan kristal dan mempunyai nyalaan sambutan animasi khas.

    Versi Azure bagi setiap model baru ini menggunakan rekaan yang lebih tradisional, dengan terdapat gril bersama jalur menegak yang berwarna krom. Rim menggunakan unit 22 inci yang berwarna perak, dan sebagai pelengkap, lencana Azure diletakkan pada fender hadapan.

    Sudah tentu, sebagai sebuah Bentley, semua model ini boleh diubah suai mengikut kehendak pelanggan, dengan pelbagai pilihan kemasan, balutan, bahan dan warna yang disediakan untuk bahagian dalamnya.

     
     
  • Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

    Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

    Hari secara rasmi SUV Flagship EV dengan tiga baris tempat duduk Volvo EX90 telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Namun untuk mereka yang masih lagi rasa tidak praktikal untuk bergantung sepenuhnya kepada kuasa elektrik, ini dia, Volvo Cars Malaysia (VCM) turut membawakan model kemaskini untuk SUV XC90 sedia ada iaitu Volvo XC90 facelift 2025.

    Untuk pasaran Malaysia, VCM menawarkan XC90 facelift ini dalam dua varian bermula dengan XC90 Ultra B5 Mild Hybrid yang dijual pada harga RM418,888, diikuti varian tertinggi XC90 Ultra T8 PHEV berharga RM434,888. Semua angka yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Model ini membuat kemunculan sulung globalnya pada September tahun lalu, di mana Volvo telah merombak semula rupa SUV yang sudah lebih 10-tahun dalam pasaran ini agar ia terus relevan untuk bersaing dengan pencabar-pencabar lebih terkini.

    Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

    Perubahan ketara diberikan pada bahagian hadapan di mana fender sisi, penutup bonet, lampu utama gril dan bampar kssemuanya menerima komponen baharu. Ia menerima inspirasi rekaan dari model EV penuh Volvo seperti EX90 dan EX30, menampilkan lampu hadapan dengan bentuk ‘Tukul-Thor’ yang lebih jelas.

    Lampu berkenaan direka ‘tertusuk’ terus pada gril hadapan yang tiada lagi unsur klasik Volvo seperti rekaan jail bar atau egg crate sebelum ini, sebaliknya diberikan elemen garisan silang-menyilang yang dipisahkan menerusi palang dan logo ‘Iron Mark’ jenama automotif Sweden itu.

    Manakala untuk bampar, rekaannya menampilkan sepasang liang udara yang direka menegak, membolehkan liang ambilan udara tengah dihasilkan lebih lebar. Bonet dan juga fender hadapan juga direka semula bagi disesuaikan dengan muka baharu ini. Walau bagaimanapun, rupa bahagian sisi dan belakang masih lagi nampak sama seperti versi facelift sebelumnya. Penyegaran yang dibuat adalah menerusi rekaan baharu pada set rim dan juga lampu belakang yang nampak lebih gelap.

    Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

    Varian asas Ultra B5 menerima enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 250 PS dan tork maksima 360 Nm dan juga sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dan juga sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

    Manakala untuk varian Ultra T8, enjin turbo tersebut ditambah dengan supercharger bagi menghasilkan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. Ia masih memacu semua roda, namun gandar belakang digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 145 PS/309 Nm, yang bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda, malah menjadikan kuasa keseluruhan SUV ini berjumlah 455 PS.

    Walau bagaimanapun, kuasa tersebut sebenarnya berkurangan dari versi sebelumnya yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 462 PS/709 Nm. Oleh itu pecutan 0-100 km/j juga sedikit lambat dengan catatan 5.4 saat berbanding 5.3 saat sebelum ini.

    Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

    Untuk motor elektrik pada gandar belakang, ia dibekalkan kuasa menerusi bateri berkapasiti 18.8 kWj, membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak sehingga 77 km. Ia juga boleh dicas semula seperti model EV sebenar – dengan pengecas AC 6.4 kW, cas penuh mengambil masa sehingga tiga jam.

    Perbezaan antara kedua-dua model ini nampaknya hanya dibezakan dengan unit rangkaian kuasa sahaja, dan perincian lain adalah sama untuk Ultra B5 dan Ultra T8 pasaran Malaysia ini. Oleh itu kedua-duanya diberikan sistem suspensi udara aktif dan juga rim aloi lima-jejari kemasan Black Diamond-cut berdiameter 20-inci, dibalut dengan tayar 275/45R20.

    Pada sebelah dalam, XC90 facelift ini turut menerima papan pemuka baharu, namun ia dilihat masih menampilkan susunan yang sama seperti model sebelumnya seperti skrin dan liang pendingin hawa yang direka menegak bersama suis kawalan ringkas di bawahnya.

    Tombol gear kristal Orrefors juga masih diberikan, tetapi diberikan rekaan konsol terowong dan roda stereng berbeza. Beberapa perubahan lain turut dibuat untuk memberikan tingkat taraf praktikaliti menerusi maklum balas pengguna model sebelumnya. Ia termasuk pemegang cawan pada konsol terowong yang lebih kecil, pengecas tanpa wayar dipindahkan ke bahagian hadapan, perapi-perapi dalaman bertekstur kini diperbuat dari bahan kitar semula dan juga lampu suasana kabin yang dipertingkat.

    Antara perincian yang dibekalkan standard untuk kedua-dua varian pasaran Malaysia ini termasuk upholsteri kulit Nappa, paparan head-up, skrin bersaiz 11.2-inci untuk sistem infotainmen lengkap dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang diberikan antara muka yang sama seperti EX90 yang beroperasi dengan beroperasi dengan OS Android Automotive dengan servis Google percuma selama lima tahun, sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity dengan 19-pembesar suara serta larasan teknologi Dirac Unison Tuning dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Kedua-duanya juga menerima tempat duduk hadapan larasan elektrik empat-hala untuk lumbar lengkap dengan fungsi memori dan juga pengalir udara, perehat badan dan perehat kepala tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan bantuan kuasa, serta pintu tailgate yang boleh dioperasikan tanpa sentuhan tangan.

    Untuk keselamatan pula XC90 facelift pasaran Malaysia ini diberikan tujuh-beg udara, kamera pemantau 360 darjah, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti sistem pengelak dan mitigasi pelanggaran, pengelak dengan putaran stereng untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan skuter, pengelak dan amaran pelanggaran belakang, sistem informasi titik buta dengan bantuan stereng, bantuan kekal lorong, amaran lintasan trafik belakang dengan brek kelajuan rendah, bantuan berhenti kecemasan dan banyak lagi.

    Sebanyak empat warna badan ditawarkan untuk Volvo EX90 pasaran Malaysia ini iaitu Onyx Black, Denim Blue, Crystal White dan Vapour Grey. Namun hanya satu tema kabin diberikan iaitu hitam Charcoal digandingkan bersama kemasan kelabu Grey Ash.

    Kedua-duanya juga diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Manakala untuk varian Ultra T8, bateri untuk sistem PHEV diberikan perlidungan waranti selama lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
  • Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Selepas tempahannya dibuka bulan lalu, hari ini secara rasmi SUV paling besar dalam barisan model EV Volvo iaitu Volvo EX90 dilancarkan ke pasaran Malaysia. Model ini ditawarkan hanya dalam satu varian yang dikenali sebagai EX90 Ultra Twin, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM442,888.

    Setiap pembelian model ini disertakan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbatuan dan juga servis percuma selama lima-tahun.

    Buat permulaan, EX90 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu untuk unit-unit terawal. Selepas ini ia akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan oleh kilang Volvo Shah Alam.

    Volvo EX90 Ultra Twin pasaran Malaysia ini menampilkan konfigurasi enam-tempat duduk dan berkongsi hampir keseluruhan spesifikasi dengan varian tertinggi EX90 pasaran Thailand iaitu Twin Motor Performance Ultra enam-tempat duduk. Di sana EX90 turut dijual dalam dua lagi varian lebih rendah iaitu Twin Motor Performance Ultra tujuh-tempat duduk dan juga Twin Motor Plus yang dibekalkan dengan kuasa yang lebih rendah.

    Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Oleh itu varian Ultra Twin yang ditawarkan di Malaysia ini dibekalkan dengan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, yang menghasilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Varian tunggal pasaran Malaysia ini (malah sebenarnya untuk semua varian EX90) dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan SUV tersebut bergerak sejauh 623 km berdasarkan ujian WLTP satu cas bateri penuh.

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW/16A menggunakan Wallbox tiga-fasa bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Wallbox fasa-tunggal 7.4 kW/32A juga boleh digunakan, tetapi ia memerlukan masa sehingga 15 jam untuk dipenuhkan.

    Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit. Manakala dengan sistem DC 50 kW pula, kadar cas yang sama dapat dipenuhkan dalam masa 92 minit. Model pasaran Malaysia ini juga datang standard dengan sistem suspensi udara adaptif

    Walaupun EX90 ini boleh dianggap sebagai penawaran versi EV untuk SUV XC90 yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman, ia sebenarnya dibangunkan menerusi platform evolusi SPA2 Volvo yang khas untuk dijadikan asas sebuah EV, berbanding XC90 yang menggunakan plaftorm SPA.

    Model elektrik penuh ini dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar.

    Sebagai model elektrik penuh, rupa muka EX90 ini adalah lebih mirip dengan EX30 tetapi dalam skala lebih besar – menampilkan lampu hadapan LED piksel berdefinasi tinggi yang direka dengan bentuk signatur ‘Tukul Thor’, logo dan palang ‘iron mark’ tanpa gril utama, serta diberikan ruang frunk pada bonet hadapan dengan kapasiti simpanan 37 liter.

    Ia juga menampilkan bahagian sisi yang nampak lebih ‘bersih’ kerana diberikan pembuka pintu yang disorokkan. Namun imej ‘kembar’ XC90 ditampilkan pada bentuk cermin-cermin tingkap sisi yang nampak seiras seperti model PHEV berkenaan. Manakala di belakang, EX90 turut tampil dengan bahasa rekaan EV Volvo iaitu diberikan lampu belakang berbentuk-C sama seperti EX30.

    Seperti yang disebut tadi EX90 varian tunggal untuk pasaran Malaysia ini menampilkan kelengkapan yang hampir sama dengan EX90 varian tertinggi di Thailand. Ia termasuk bumbung kaca panaromik, lampu tinggi aktif, serta set rim aloi 21-inci, lebih besar dari versi pasaran Thai yang hanya datang dengan rim 20-inci (ada pasaran yang diberikan pilihan sehingga 22-inci).

    Manakala dalam kabin, ia diberikan paparan instrumen digital 9-inci, skrin infotainmen potret 14.5-inci (beroperasi dengan OS Android Automotive dengan servis Google percuma selama lima tahun, bersama sambungan Apple CarPlay tanpa wayar), sistem pendingin hawa empat-zon dan suspensi udara dengan penyerap hentap adaptif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan serta sistem bunyi 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

    VCM memberikan EX90 pasaran Malaysia ini dengan upholsteri kabin menggunakan material kulit sebenar, kemasan-kemasan kayu (didakwa kayu sebenar dari sumber yang dibenarkan) dalam kemasan perang cerah yang tidak digilap serta menampilkan pencahayaan bagi memberikan perasaan yang selesa.

    Menerusi EX90 ini juga Volvo buat pertama kali menawarkan sistem pintu yang ditutup secara ‘lembut’. Ia juga turut diberikan cermin hadapan jenis double glazing, manakala larasan posisi roda stereng boleh dibuat secara elektronik pada skrin utama.

    Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Beberapa konsep rekaan minalis dari EX30 turut dibawa ke EX90 ini. Antaranya papan pemuka dengan panel instrumen tanpa perumah, hanya dua suis tingkap kuasa pada sebelah pemandu (perlu menekan butang belakang terlebih dahulu untuk mengoperasikan cermin belakang).

    Namun walaupun papan pemuka dan juga konsol tengah EX90 nampak ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal, ia masih mempunyai tuil gear ‘PRND’ dan kawalan pengelap cermin serta lampu pada konsol stereng, dan juga tombol putar kawalan audio di sebelah pemegang cawan bagi memastikan kawalan-kawalan penting masih dapat dibuat dengan mudah tanpa bergantung pada skrin.

    SUV tujuh-tempat duduk ini menyediakan ruang kargo pada but dengan kapasiti 310 liter. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat (dengan nisbah 50:50) atau dibangunkan semula hanya dengan menekan butang pada panel sisi bagi memberikan ruang kargo tambahan lebih besar. Sekiranya ada barang besar dan berat mahu diletakkan pada ruang tersebut, juga terdapat suis pada panel sisi berkenaan untuk merendahkan suspensi udara EX90 ini bagi memudahkan kerja.

    Jika anda ragu-ragu sama ada barang yang anda mahu masukkan ke dalam SUV ini muat atau tidak, tidak perlu rujuk pada buku manual kerana ukuran dan anggaran barang apa yang boleh muat (Will it fit) telah ‘dicetak’ terus pada panel plastik kemasan but belakang tersebut. Dan seperti biasa, tempat duduk barisan tengah EX90 ini telah dibekalkan dengan tempat duduk ‘booster’ bina dalam bagi membolehkan tali pinggang keledar memberikan ‘ikatan’ sesuai dan lebih selamat untuk kanak-kanak.

    Volvo menobatkan EX90 ini sebagai model paling selamat pernah dibinanya. Jadi ia diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang beroperasi menggunakan lima radar, lapan kamera, dua kamera dalam kabin, dan 16-penderia ultrasonic. Manakala satu ‘benjolan’ yang boleh dilihat pada bahagian hadapan bumbung SUV ini pula sebenarnya adalah penderia LIDAR, yang buat masa sekarang hanya digunakan untuk memahami keadaan pemanduan di Malaysia, sebelum boleh digunakan untuk sistem pemanduan autonomi selepas ini.

    Antara fungsi ADAS yang diberikan termasuk sistem pengelak dan mitigasi pelanggaran, mitigasi dari hadapan dengan brek, pengelak dengan putaran stereng untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan skuter, pengelak dan amaran pelanggaran belakang, brek automatik di persimpangan, sistem informasi titik buta dengan bantuan stereng, bantuan kekal lorong, amaran lintasan trafik belakang dengan brek kelajuan rendah, amaran buka pintu dan banyak lagi.

    EX90 ini juga menerima fungsi Driver Understanding System, di mana sistem ini akan memantau keadaan pemandu. Ia akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya dikesan tidak berada dalam keadaan yang baik untuk memandu.

    Radar yang digunakan pada SUV ini juga turut boleh mengesan penumpang dalam kereta bagi memastikan tiada kanak-kanak atau binatang peliharaan tertinggal selepas pemandu meninggalkan kereta menerusi fungsi Occupant Sensing. Sistem ini juga akan terus mengoperasikan penghawa dingin selagi mengesan ada penumpamg di dalam kabin, bagi memastikan sekiranya ada kanak-kanak yang tertinggal tidak mengalami strok haba atau hipotermia.

    Sebanyak empat warna badan ditawarkan untuk Volvo EX90 pasaran Malaysia ini iaitu Onyx Black, Sand Dune, Crystal White dan Vapour Grey. Kesemua pilihan warna badan ini boleh dipadankan dengan tema kabin hitam Charcoal Nordico atau Cardamom Nordico yang lebih cerah.

     
     
  • Jetour Malaysia kerjasama dengan Berjaya Assembly untuk CKD, eksport ke ASEAN, Oceania, Timur Tengah

    Jetour Malaysia kerjasama dengan Berjaya Assembly untuk CKD, eksport ke ASEAN, Oceania, Timur Tengah

    Semasa pelancaran Dashing hari ini, kita diberitahu bahawa Jetour Malaysia akan melakukan pemasangan tempatan (CKD) bermula bulan hadapan, dan rakan kongsi yang terlibat adalah Berjaya Assembly Sdn Bhd, pemilik kilang yang sebelum ini dikenali sebagai Oriental Assemblers di Johor yang pernah memasang antaranya model Chery, Changan, Dongfeng, Honda dan Hyundai.

    Bagi Dashing, 100 unit pertama untuk pelanggan diimport sepenuhnya (CBU), dan akan diteruskan dengan unit CKD selepas itu. Perjanjian persefahaman turut ditandatangani antara timbalan presiden Jetour Auto, Ke Chuandeng dengan pengasas Kumpulan Berjaya dan penasihat utama pemegang saham kumpulan Berjaya Asset Bhd, Tan Sri Datuk Seri Vincent Tan Chee Yioun hari ini.

    Dalam kenyataan akhbar Jetour Malaysia tertulis, “kerjasama ini juga merangkumi prinsip pembuatan pintar yang selaras dengan Industri 4.0 iaitu menyepadukan teknologi digital seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet pelbagai Benda (IoT) dan robotik ke dalam proses pembuatan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan fleksibiliti.”

    Seperti yang boleh dilihat melalui slaid pembentangan di atas, Jetour Malaysia mempunyai perancangan untuk pelaburan bahagian pengeluaran, kajian dan penyelidikan (R&D) serta jaringan berjumlah masing-masing RM560 juta, RM216 juta dan RM65 juta, ditambah dengan penciptaan lebih 3,200 peluang pekerjaan dan kadar lokalisasi pengeluaran lebih 40%.

    Syarikat ini juga meletakkan sasaran eksport dari Malaysia ke negara ASEAN, Oceania dan Timur Tengah, selain menjadikan Malaysia sebagai hab R&D Asia Pasifik (APAC), dengan input daripada Jetour Indonesia, Jetour Thailand dan Jetour Australia.

     
     
  • Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Dalam pengumuman berkenaan prestasi jualan bagi bulan Mac dan juga suku pertama 2025 yang dikeluarkan pagi ini, CEO Proton Edar Roslan Abdullah mengesahkan bahawa syarikatnya bakal melancarkan beberapa model baharu pada suku kedua tahun ini.

    “Menjelang suku kedua tahun 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baru yang akan menawarkan pelbagai tawaran menarik. Namun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang terbaik kepada pelanggan kami,” kata Roslan yang juga menyandang jawatan naib CEO Proton.

    Pembayang model-model baharu yang akan dilancarkan oleh Proton tahun ini telah diumumkan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong pada Januari lalu. Menurutnya Proton akan melancarkan sekurang-kurangnya tiga model tahun ini iaitu sebuah model yang meggunakan platfrom AMA, sebuah model tingkat taraf bagi model siri-X atau siri-S sedia ada, dan sebuah model yang berasaskan platform GMA.

    Bagi model-model yang mungkin dilancarkan pada suku kedua ini, ia berkemungkinan besar adalah Saga baharu yang diasaskan dari platform AMA dan juga versi facelift untuk SUV segmen-B Proton X50. Manakala model baharu berdasarkan platform GMA pula merupakan model elektrifikasi yang hanya akan muncul selepas kilang EV Proton di Tanjong Malim siap lewat tahun ini. Malah kedua-dua Saga dan X50 facelift berkenaan kini dilihat sedang giat diuji oleh Proton di atas jalan raya awam.

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Untuk Saga, ramai yang masih keliru sama ada ia adalah model generasi baharu atau model tingkat taraf versi generasi sedia ada. Namun kami difahamkan platform AMA yang maksudkan oleh Proton sebelum ini merupakan platform yang diasaskan dari platform model-model sedia ada Proton yang dibangunkan secara tempatan, kemudian ditingkat taraf dari pelbagai aspek bagi ia terus relevan dengan standard keselamatan dan prestasi model-model terkini.

    Jadi kami jangkakan ia adalah Saga baharu berdasarkan platform AMA, tetapi masih menggunakan kerangka asas badan Saga generasi sedia ada. Malah sekiranya anda melihat dengan teliti unit-unit prototaip ujian berkenaan, ia bakal menampilkan perubahan rupa yang agak ketara berbanding model sedia ada.

    Antara perbezaan tersebut termasuk lampu hadapan baharu, penutup bonet hadapan yang nampak lebih ‘bulat’ pada bahagian atas lampu, dan juga lampu belakang juga dengan rupa yang berbeza. Gril hadapan Saga baharu ini mungkin akan tampil dengan dua versi. Varian lebih tinggi akan menerima gril hadapan dengan rekaan signatur terbaharu pin krom yang diinspirasikan dari kain songket, manakala satu lagi versi masih menggunakan corak infinite weave sama seperti model sedia ada.

    Malah turut dapat dilihat Saga baharu ini dipadankan dengan kamera untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada cermin hadapan, membayangkan ia sekurang-kurangnya akan ada sistem amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Ketika dilihat diuji di Cameron Highland baru-baru ini, Saga berkenaan turut diuji bersama sebuah Perodua Myvi. Jadi tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely bagi menggantikkan enjin Campro yang sudah pun dihentikan pembangunannya, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.

    Beralih kepada X50 facelift, berdasarkan gambar-gambar prototaip ujian yang ditemui mendedahkan Proton menggunakan penampilan luaran yang disadur dari Geely Binyue L yang diperkenalkan di China tahun lalu.

    Ia meliputi bahagian muka menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis bersama rekaan bampar yang diberikan gril sepenuhnya memenuhi apron. Unit-unit prototaip ujian itu juga dilihat sudah diberikan gril Proton juga dengan rekaan pin krom, dan nampaknya ia turut menampilkan elemen busur panah baharu.

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Manakala di belakang, kedudukan perumah nombor pendaftaran versi facelift ini adalah lebih rendah, dan menerusi sedikit bahagian reflektor yang diletakkan melintang pada bampar, mengesahkan bahawa X50 facelift ini menggunakan bampar belakang yang sama seperti Geely Binyue L, yang turut menampilkan lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

    Walau bagaimanapun, X50 facelift akan ini tampil dengan dua versi berbeza iaitu versi dengan spoiler belakang kecil dan spoiler belakang lebih besar. Bagi varian yang menerima spoiler kecil, ia menggunakan komponen yang sama seperti dipadankan pada Binyue L. Manakala bagi varian spoiler lebih besar, ia nampaknya diambil dari Geely Binyue Cool yang nampak lebih agresif.

    Sekiranya Proton ‘menyalin’ sepenuhnya Binyue L untuk menghasilkan X50 facelift ini, ia mungkin turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin baharu 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Enjin ini menjana 180 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, atau 3 PS/35 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada X50 sedia ada.

    GALERI: Spyshot Proton Saga 2025

    GALERI: Spyshot Proton X50 facelift 2025

     
     
  • Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Selain pelancaran model Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition, pengedarnya, Bermaz Auto Sdn Bhd turut membuka tempahan bagi model biasa Mazda MX-5 2025 untuk pasaran tempatan. Di tawarkan dalam dua pilihan transmisi.

    Yang dimaksudkan ialah enjin petrol SkyActiv-G 2.0L NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) pada 7,000 rpm dan 205 Nm. Membezakan kedua-dua penawaran tersebut ialah sistem transmisinya — automatik enam-kelajuan atau manual enam-kelajuan.

    Mazda MX-5 RF 2025 dijual dengan dengan harga bermula RM294,154 (RF Manual) dan RM296,733 (RF Auto). Pilihan warna yang diberikan untuknya terdiri daripada Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black, dan tambahan terbaru Aero Gray. Warna Zircon Sand Metallic pula digugurkan.

    Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Bagi varian manual 2.0L, ia kini dilengkapi ciri DSC-TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan symmetric LSD (Limited Slip Differential) — untuk pemanduan yang lebih mengujakan serta menambah kestabilan. Sistem Electronic Power Assisted Steering (EPAS) juga telah diperkemas untuk memberikan lebih ketepatan dan respon cekap, dengan mengurangkan geseran di rak stereng sebanyak 5%.

    Sama seperti model “35th Anniversary”, varian biasa MX-5 2025 ini turut menerima peningkatan dan kemaskini yang sama berbanding versi sebelumnya. Antara yang dimaksudkan ialah ciri Apple CarPlay tanpa wayar untuk semua gred varian.

    Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Beberapa pembaharuan lain termasuklah rekaan lampu utama kini dengan pancaran lampu rendah circular, DRL yang lebih matang serta lampu belakang dengan lensa melengkung — semuanya memberi kesan pancaran yang unik dan menawan, dengan semua lampunya LED. Bampar belakang kini lengkap dengan reflektor dan lampu kabus.

    Semua varian Mazda MX-5 terbaru juga menampilkan rekaan kluster meter baru yang memudahkan lagi pembacaan dengan warna dial lebih gelap. Cermin pandang belakangnya anti-silau dan tanpa bingkai, sementara sistem infotainmen kini dengan skrin 8.8-inci dengan ciri kawalan suara, slot pengecasan USB-C serta kamera undur definisi tinggi.

    Semua kenderaan baru Mazda diberikan jaminan pengeluar selama lima-tahun serta penyelenggaraan percuma lima-tahun atau 100,000 km (yang mana dahulu) termasuk upah pekerja, alat ganti dan bendalir (kecuali Mazda BT50).

     
     
  • Jetour kembangkan rangkaian jualan dan servis di Malaysia – 30 pusat 3S dan 4S akan ditambah tahun ini

    Jetour kembangkan rangkaian jualan dan servis di Malaysia – 30 pusat 3S dan 4S akan ditambah tahun ini

    Bersama dengan pelancaran rasmi SUV Dashing hari ini, Jetour Auto Malaysia mengumumkan rancangan pengembangan rangkaian jualan dan servis mereka di dalam negara. Dalam tahun ini, 30 lagi pusat 3S dan 4S akan ditambah kepada 30 pusat jualan dan servis sedia ada sekarang.

    Rancangan ini dibuat untuk menguatkan lagi kehadiran jenama Jetour di Malaysia, dengan antara tempat yang dinyatakan adalah termasuk Selangor, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. Turut diberitahu, Jetour berjaya memperoleh inventori lengkap alat ganti, sambil memastikan sokongan selepas jualan yang cekap.

    Dashing yang dilancarkan hari ini disediakan dalam dua varian, iaitu Comfort pada harga RM109,800 dan Prime pada RM116,800 tidak termasuk insurans. SUV segmen C ini dipacu oleh enjin petrol empat-silinder 1.5 liter turbo berkemampuan 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm antara 1,750 ke 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan dan mempunyai tiga mod pemanduan.

    Untuk 100 pembeli terawal, mereka akan menerima Dashing yang diimport (CBU) dari China, dan kemudiannya akan diikuti oleh unit pemasangan tempatan yang akan bermula pada bulan lima ini. Jaminan enjin 10 tahun/1,000,000 km, jaminan kenderaan tujuh tahun/150,000 km dan servis percuma lima kali diberikan untuk Dashing.

    GALERI: Jetour Dashing dipertonton di Malaysia

     
     
  • Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    Selepas dipertontonkan sewaktu Malaysia Autoshow tahun lalu, Jetour Dashing kini dilancarkan secara rasmi untuk jualan, dalam dua varian iaitu Comfort dan Prime. Harganya masing-masing adalah RM109,800 dan RM116,800, bersama jaminan enjin 10 tahun/1,000,000 km, jaminan kenderaan tujuh tahun/150,000 km dan servis percuma lima kali. Untuk 500 pelanggan utama, mereka akan diberi rebat tunai RM2,000

    Untuk tempoh awal ini, pembeli akan menerima SUV lima tempat duduk ini dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, sementara pemasangan tempatan akan dimulakan pada hujung bulan ini, dibuat oleh Berjaya Assembly.

    Dashing dibangunkan atas platform Kunlun, dengan saiz di antara Honda CR-V (4,691 mm panjang) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm panjang), mencatat ukuran 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.

    Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    Meskipun di negara luar terdapat banyak pilihan enjin untuk Dashing ini, model pasaran Malaysia cuma datang dengan satu enjin sahaja, iaitu unit petrol empat-silinder 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan dan mempunyai tiga mod pemanduan.

    Pada bahagian roda, varian asas Comfort datang dengan rim 18 inci yang dibalut tayar 235/60, sementara varian Prime menggunakan rim 19 inci dengan tayar 235/55. Lima warna badan ditawarkan untuk Dashing ini, iaitu Carbon Black, Khaki White, Aurora Green, Phantom Grey dan Hematite Red, sementara bahagian dalamnya pula menggunakan warna gabungan putih (bumbung) dan hitam/merah.

    Kelengkapan standard yang diberikan pada Dashing adalah termasuk lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang LED, pintu but bukaan kuasa, sistem kunci pintar, pemula enjin jarak jauh, balutan kulit dan tempat duduk pemandu larasan elektrik enam arah. Untuk pengetahuan, papan pemuka model Malaysia adalah berlainan berbanding model di China.

    Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    SUV ini juga datang dengan panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sesentuh 10.25 inci untuk infotainmen, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin hawa automatik dengan corong udara di belakang, pad pengecas 50W tanpa wayar, empat soket USB dan sistem audio empat pembesar suara.

    Melihat kepada sistem keselamatan dan bantuan pemandu, varian asas datang dengan cruise control, kamera undur, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemerhati tekanan angin tayar, cagak ISOFIX, amaran lebih had laju dan empat pengesan undur.

    Varian Prime kemudiannya dipertingkat lagi dengan bumbung panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat arah, lampu suasana, enam pembesar suara, cermin sisi boleh lipat automatik dan pengelap cermin dengan pengesan hujan.

    Selain daripada itu, sistem keselamatannya juga ditambah baik dengan sistem termasuk bantuan pemerhati parkir 360 darjah, Lane Change Assist, Blind Spot Monitoring, Lane Change Warning, Rear Cross Traffic Alert dan beg udara bidai.

    Sementara Dashing ini adalah model Jetour pertama yang memasuki pasaran Malaysia, ia kemudiannya akan diikuti oleh model lain termasuk SUV segmen D tujuh tempat duduk, yang dijangka tiba pada suku kedua tahun ini, dan SUV offroad T2 pada suku ketiga.

    Jetour turut mengumumkan bahawa rangkaian perkhidmatan mereka akan ditambah dengan 30 pusat 4S dan 3S yang akan dibuka pada tahun ini. Selain Kuala Lumpur, lokasi lain yang dipilih adalah termasuk Selangor, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

    GALERI: Jetour Dashing Comfort

    GALERI: Jetour Dashing Prime

     
     
  • Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    Proton hari ini mengumumkan bahawa kumpulannya (domestik, eksport, smart, Proton dan eMas) mencatatkan jualan sejumlah 13,918 unit kenderaan untuk bulan Mac 2025. Angka ini membolehkan kumpulan berkenaan mencatatkan kenaikan jualan sebanyak 23.9% berbanding Februari 2025, dan 9.6% lebih tinggi daripada bulan yang sama pada tahun 2024.

    Dengan Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 71,596 unit bulan lalu, jualan yang dicatatkan tersebut juga membolehkan kumpulan Proton menjangkakan pegangan pasaran sebanyak 19.4%.

    Prestasi ini membolehkan kumpulan Proton menutup suku pertama 2025 dengan jumlah jualan sebanyak 35,068 unit kenderaan, atau memperolehi bahagian pasaran sebanyak 18.9% berdasarkan jumlah volum industri (TIV) sebanyak
    184,652 unit.

    Antara faktor peningkatan ini sudah tentu disumbangkan oleh jenama EV Proton eMas yang masih belum wujud pada awal tahun lalu. Model pertama jenama tersebut iaitu eMas 7 terjual sebanyak 797 unit pada bulan lalu, menjadikan jualan keseluruhan untuk suku pertama tahun ini berjumlah 1,853 unit, membolehkan ia terus kekal memakai takhta EV paling laris di Malaysia untuk tiga bulan pertama tahun ini.

    Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    Untuk jenama Proton, dua modelnya masih kekal sebagai model paling laris dalam segmennya. Yang pertama adalah sedan segmen-C Proton S70 terjual sebanyak 2,125 unit sepanjang Mac 2025, naik sebanyak 77.5% berbanding bulan sebelumnya dan jumlah jualan kumulatif bagi tiga bulan pertama tahun ini telah pun mencecah 4,465 unit.

    Manakala yang kedua adalah SUV segmen-D Proton X90 yang berjaya dijual sebanyak 302 unit bulan lalu. Ini bermakna jumlah tersebut naik 73.6%, manakala jumlah jualan tahunan sehingga suku pertama tahun ini untuk X90 telah pun mencapai 679 unit.

    Walaupun sudah tidak menjuarai carta segmen, SUV segmen-C Proton X50 masih lagi menjadi model SUV paling laris dari Proton dengan 1,858 unit terjual pada bulan Mac dan jumlah jualan keseluruhan suku pertama 2025 mencecah sebanyak 5,117 unit.

    Bagi Proton X70 pula, jualannya dilihat meningkat sebanyak 11.9% berbanding Februari dengan 835 unit terjual pada bulan Mac. SUV segmen-C ini telah terjual sebanyak 2,158 unit untuk suku pertama 2025, naik 52% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Manakala model paling mampu milik dari Proton iaitu Saga masih menjadi model paling laris jenama itu dengan terjual sebanyak 6,154 unit pada Mac 2025 – meningkat sebanyak 22.5% dan melepasi paras 6,000 unit buat pertama kali untuk tahun ini.

    Kembar sedan dan hatchback segmen-B Proton Persona dan Proton Iriz, turut mencatatkan jualan bulanan tertinggi pada bulan Mac dengan masing-masing terjual sebanyak 1,482 unit dan 337.

    “Jualan bulanan Proton meningkat sebanyak 23.9% pada bulan Mac, mengatasi pertumbuhan TIV sebanyak 12%, sementara jumlah jualan juga meningkat sebanyak 9.6% berbanding bulan yang sama pada tahun 2024. Kami mengaitkan keputusan ini dengan promosi jualan agresif kami yang menawarkan nilai hebat kepada semua pembeli Proton, dan tahap perkhidmatan terbaik dalam kelasnya yang disampaikan oleh rangkaian pengedar 3S/4S di seluruh negara yang tiada tandingan,” kata Roslan Abdullah, CEO Proton Edar.

    Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    “Menjelang suku kedua tahun 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baru yang akan menawarkan pelbagai tawaran menarik. Namun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang terbaik kepada pelanggan kami,” tambahnya.

    Operasi eksport Proton juga terus berkembang pada suku pertama 2025, dengan jumlah eksport meningkat sebanyak 211% pada bulan Mac kepada 417 unit terjual berbanding Februari. Ini membolehkan jumlah jualan eksport kini 11.4% lebih tinggi berbanding suku pertama 2024, dengan Proton Saga menerajui penghantaran 410 unit ke pasaran luar negara pada tahun ini.

    Menurut Proton lagi, pengenalan jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton eMas juga bukan hanya membantu peningkatan jualan domestik, malah ia juga menambah jumlah eksport di mana eMas 7 telah dihantar ke Nepal dan Trinidad & Tobago yang menjadi penyumbang ketara kepada jualan eksport.

    “Eksport merupakan tonggak penting bagi strategi pertumbuhan Proton. Walaupun perjalanan untuk mencapai sasaran jangka panjang kita masih jauh, kita yakin pelaburan luar negara kita mula menunjukkan hasi yang positif dan penawaran model semasa serta masa depan, kita akan menarik minat pembeli di dalam dan luar negara,” tambah Roslan Abdullah.

     
     
  • Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Mazda MX-5 (atau Miata/Roadster di Jepun) memasuki ulang tahun pengeluarannya yang ke-35 tahun ini. Bersempena dengan itu, pengedarnya di Malaysia, Bermaz Auto Sdn Bhd hari ini memperkenalkan model edisi istimewa Mazda MX-5 35th Anniversary Edition untuk pasaran tempatan.

    MX-5 yang diperkenalkan ini adalah dari model generasi keempatnya yang mula diperkenalkan di sini pada September 2014, namun dari versi yang telah melalui tiga peringkat kemaskini (dikenali dengan kod nama ND3). Ia mula di jual di Jepun pada Februari lalu.

    Untuk pasaran Malaysia, model versi bumbung hard top yang ditawarkan (dikenali sebagai RF atau retractable fastback) yang dilengkapi kapasiti enjin petrol SkyActiv-G 2.0L NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) pada 7,000 rpm dan 205 Nm. Hanya 3,500 unit model ini akan dikeluarkan untuk seluruh dunia, dengan 1,000 unit daripadanya untuk pasaran Jepun. Malaysia ketika pelancarannya hanya diberikan empat unit.

    Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Mazda MX-5 35th Anniversary Edition ini datang dengan warna khusus, Artisan Red Premium Metallic, warna keempat yang memanfaatkan teknologi mengecat khas jenama ini yang dikenali sebagai Takuminuri. Menurut Mazda, ini kali pertama warna itu digunakan untuk MX-5 dan hanya khusus untuk model 35th Anniversary Edition.

    Ruang dalaman dengan warna tan/coklat cair kini hadir dengan bahagian perehat kepala yang dipertingkat dengan adanya lencanan ‘35th Anniversary’, sama seperti lencana khas ini di beberapa lagi tempat seperti di pelapik kaki. Sebagai pilihan, pelanggan boleh juga memilih kuncinya dalam warna Artisan Red Premium Metallic.

    Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Bagi varian Mazda MX-5 2025 biasa yang terbaru, ia kini juga hadir dengan ciri Apple CarPlay tanpa wayar untuk semua gred varian. Warna Zircon Sand Metallic pula sudah digugurkan. Beberapa pembaharuan lain termasuklah rekaan lampu utama kini dengan pancaran lampu rendah circular, DRL yang lebih matang serta lampu belakang dengan lensa melengkung — semuanya memberi kesan pancaran yang unik dan menawan, dengan semua lampunya LED. Bampar belakang kini lengkap dengan reflektor dan lampu kabus.

    Semua varian Mazda MX-5 terbaru juga menampilkan rekaan kluster meter baru yang memudahkan lagi pembacaan dengan warna dial lebih gelap. Cermin pandang belakangnya anti-silau dan tanpa bingkai, sementara sistem infotainmen kini dengan skrin 8.8-inci dengan ciri kawalan suara, slot pengecasan USB-C serta kamera undur definisi tinggi.

    Bagi varian manual 2.0L, ia kini dilengkapi ciri DSC-TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan symmetric LSD (Limited Slip Differential) — untuk pemanduan yang lebih mengujakan serta menambah kestabilan. Sistem Electronic Power Assisted Steering (EPAS) juga telah diperkemas untuk memberikan lebih ketepatan dan respon cekap, dengan mengurangkan geseran di rak stereng sebanyak 5%.

    Pilihan warna untuk Mazda MX-5 2025 varian biasa terdiri daripada Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black, dan tambahan terbaru Aero Gray. Mazda MX-5 RF kini dibuka untuk tempahan, dengan harga bermula RM294,154 (RF Manual) dan RM296,733 (RF Auto), sementara Mazda MX-5 35th Anniversary Edition dijual dengan harga RM316,154 (semua atas jalan belum termasuk insurans).

    Semua kenderaan baru Mazda diberikan jaminan pengeluar selama lima-tahun serta penyelenggaraan percuma lima-tahun atau 100,000 km (yang mana dahulu) termasuk upah pekerja, alat ganti dan bendalir (kecuali Mazda BT50).

     
     
  • Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Volvo Cars Malaysia (VCM) mengesahkan bahawa pasangan SUV Flagship siri 90 dalam versi EV iaitu EX90 dan juga versi PHEV XC90 facelift terbaharu akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 10 April 2025.

    “Temui Volvo paling selamat pernah dibina, atau terokai kereta elektrik yang datang dengan rancangan sandaran, bersedia untuk apa sahaja yang dihidangkan oleh kehidupan. Sertai kami pada 10 April untuk bertemu dengan Volvo EX90 dan adik beradik hibridnya, Volvo XC90 serba baharu,” kata VCM dalam satu hantaran laman sosial bagi memberitahu tarikh pelancaran kedua-dua model tersebut.

    Tempahan bagi kedua-duanya telah pun dibuka bulan lalu di mana pasangan EX90 dan XC90 ini dikenali sebagai 90/90 Flagship oleh VCM. Ia bakal dilancarkan serentak bagi membolehkan semua pelanggan membuat pilihan – sekiranya anda belum bersedia untuk memiliki sebuah EV penuh seperti EX90, anda masih boleh memilih model ‘separa EV’ Volvo XC90 T8 plug-in hybrid (PHEV).

    Dengan lebih fokus terhadap elektrifikasi, XC90 facelift 2025 pasaran Malaysia tidak lagi menampilkan varian asas B5 dengan sistem hibrid ringkas 48V, tetapi ia kini hanya ditawarkan dalam varian PHEV di mana bateri sistem hibrid tersebut boleh dicas seperti EV sebenar.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Jadi XC90 hanya ditawarkan dalam varian T8 AWD, dengan unit rangkaian kuasa menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder yang disuap pengecas turbo dan supercharger bagi menghasilkan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. Tidak cukup dengan itu, gandar belakang pula dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 145 PS/309 Nm, yang bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda, malah menjadikan kuasa keseluruhan SUV ini berjumlah 455 PS.

    Walau bagaimanapun, kuasa tersebut sebenarnya berkurangan dari versi sebelumnya yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 462 PS/709 Nm. Oleh itu pecutan 0-100 km/j juga sedikit lambat dengan catatan 5.4 saat berbanding 5.3 saat sebelum ini.

    Untuk motor elektrik pada gandar belakang, ia dibekalkan kuasa menerusi bateri berkapasiti 18.8 kWj, membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak antara 63 hingga 71 km. Ia juga boleh dicas semula seperti model EV sebenar – dengan pengecas AC 6.4 kW, cas penuh mengambil masa sehingga tiga jam.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Manakala untuk EX90, pasaran Malaysia hanya menerima satu varian iaitu versi paling berkuasa Twin Motor Performance, tidak seperti pasaran Thailand yang turut menerima varian lebih asas Twin Motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 408 PS (300 kW)/770 Nm.

    Bagi varian Twin Motor Performance yang ditawarkan di Malaysia ini, ia dibekalkan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, yang menghasilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Varian tunggal pasaran Malaysia ini (malah sebenarnya untuk semua varian EX90) dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan SUV tersebut bergerak sejauh 590 km berdasarkan ujian WLTP satu cas bateri penuh.

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Volvo EX90 ini dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar. Walaupun EX90 ini boleh dianggap sebagai penawaran versi EV untuk XC90, ia sebenarnya dibangunkan menerusi platform evolusi SPA2 Volvo yang khas untuk dijadikan asas sebuah EV, berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman yang menggunakan plaftorm SPA.

    Jadi rupa muka EX90 ini adalah lebih mirip dengan EX30 tetapi dalam skala lebih besar – menampilkan lampu hadapan LED piksel berdefinasi tinggi yang direka dengan bentuk signatur ‘Tukul Thor’, logo dan palang ‘iron mark’ tanpa gril utama, serta diberikan ruang frunk pada bonet hadapan dengan kapasiti simpanan 37 liter.

    Ia juga menampilkan bahagian sisi yang nampak lebih ‘bersih’ kerana diberikan pembuka pintu yang disorokkan. Namun imej ‘kembar’ XC90 ditampilkan pada bentuk cermin-cermin tingkat sisi yang nampak seiras seperti model PHEV berkenaan. Manakala di belakang, EX90 turut tampil dengan bahasa rekaan EV Volvo iaitu diberikan lampu belakang berbentuk-C sama seperti EX30.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    EX90 varian tunggal untuk pasaran Malaysia ini menampilkan kelengkapan yang hampir sama dengan EX90 varian tertinggi di Thailand. Ia termasuk bumbung kaca panaromik, lampu tinggi aktif, serta set rim aloi 21-inci, lebih besar dari versi pasaran Thai yang hanya datang dengan rim 20-inci (ada pasaran yang diberikan pilihan sehingga 22-inci).

    Manakala dalam kabin, ia diberikan paparan instrumen digital 9-inci, skrin infotainmen potret 14.5-inci (beroperasi dengan OS Android Automotive tetapi dengan sambungan Apple CarPlay tanpa wayar), sistem pendingin hawa empat-zon dan suspensi udara dengan penyerap hentap adaptif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan serta sistem bunyi 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

    VCM memberikan EX90 pasaran Malaysia ini dengan upholsteri kabin menggunakan material kulit sebenar berwarna hitam, kemasan-kemasan kayu (didakwa kayu sebenar dari sumber yang dibenarkan) dalam kemasan perang cerah yang tidak digilap serta menampilkan pencahayaan bagi memberikan perasaan yang selesa.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Menerusi EX90 ini juga Volvo buat pertama kali menawarkan sistem pintu yang ditutup secara ‘lembut’. Ia juga turut diberikan cermin hadapan jenis double glazing, manakala larasan posisi roda stereng boleh dibuat secara elektronik pada skrin utama.

    Beberapa konsep rekaan minimalis dari EX30 turut dibawa ke EX90 ini. Antaranya papan pemuka dengan panel instrumen tanpa perumah, hanya dua suis tingkap kuasa pada sebelah pemandu (perlu menekan butang belakang terlebih dahulu untuk mengoperasikan cermin belakang).

    Namun walaupun papan pemuka dan juga konsol tengah EX90 nampak ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal, ia masih mempunyai tuil gear ‘PRND’ dan kawalan pengelap cermin serta lampu pada konsol stereng, dan juga tombol putar kawalan audio di sebelah pemegang cawan bagi memastikan kawalan-kawalan penting masih dapat dibuat dengan mudah tanpa bergantung pada skrin.

    SUV tujuh-tempat duduk ini menyediakan ruang kargo pada but dengan kapasiti 310 liter. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat (dengan nisbah 50:50) atau dibangunkan semula hanya dengan menekan butang pada panel sisi bagi memberikan ruang kargo tambahan lebih besar. Sekiranya ada barang besar dan berat mahu diletakkan pada ruang tersebut, juga terdapat suis pada panel sisi berkenaan untuk merendahkan suspensi udara EX90 ini bagi memudahkan kerja.

    Jika anda ragu-ragu sama ada barang yang anda mahu masukkan ke dalam SUV ini muat atau tidak, tidak perlu rujuk pada buku manual kerana ukuran dan anggaran barang apa yang boleh muat (Will it fit) telah ‘dicetak’ terus pada panel plastik kemasan but belakang tersebut. Dan seperti biasa, tempat duduk barisan tengah EX90 ini telah dibekalkan dengan tempat duduk ‘booster’ bina dalam bagi membolehkan tali pinggang keledar memberikan ‘ikatan’ sesuai dan lebih selamat untuk kanak-kanak.

    Untuk keselamatan pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Volvo EX90 ini beroperasi menggunakan lima radar, lapan kamera, dua kamera dalam kabin, dan 16-penderia ultrasonic. Manakala satu ‘benjolan’ yang boleh dilihat pada bahagian hadapan bumbung SUV ini pula sebenarnya adalah penderia LIDAR, yang buat masa sekarang masih lagi belum digunakan.

    Belum ada harga rasmi bagi kedua-dua model ini, namun ketika tempahannya dibuka VCM menyatakan harga anggaran bagi EX90 dan XC90 PHEV pasaran Malaysia ini adalah RM450,000. Kami difahamkan EX90 akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, dan kemudian akan hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD) selepas itu yang akan dihasilkan oleh kilang Volvo di Shah Alam.

    GALERI: Volvo EX90 Malaysia

    GALERI: Volvo XC90 facelift di Bangkok International Motor Show 2025

     
     
  • General Motors dedah model konsep penyambung generasi Chevrolet Corvette hasil pasukan rekaan UK

    General Motors dedah model konsep penyambung generasi Chevrolet Corvette hasil pasukan rekaan UK

    Bersempena dengan pembukaan studio rekaan baru di Royal Leamington Spa, United Kingdom, General Motors (GM) telah mendedahkan satu model konsep yang dikatakan sebagai “kajian rekaan lanjut” bagi Chevrolet Corvette. Menurut GM, model yang dihasilkan oleh pasukan pereka di UK ini adalah satu daripada beberapa lagi model konsep Corvette yang akan didedahkan pada tahun ini.

    Daripada semua model konsep itu, ia akan membawa kepada satu kereta pameran yang juga akan ditunjukkan kepada orang ramai tahun ini dan menurut Autocar, ia berkemungkinan besar menjadi petunjuk kepada pengganti Corvette generasi kelapan yang ada sekarang.

    Model di dalam gambar ini mendapat banyak inspirasi daripada kereta lumba dengan terdapat pembahagi di bahagian tengah cermin hadapannya, yang bertindak sebagai sebahagian daripada struktur bumbungnya. Cerminnya pula melengkung sehingga ke tepi dan pintu terbuka ke atas menggunakan damper elektronik.

    Secara keseluruhannya, model konsep ini mencatat ukuran panjang 4,669 mm, lebar 2,178 mm wide dan tinggi 1,033 mm, manakala rim pula menggunakan unit 22 inci di hadapan dan 23 inci di belakang. Struktur badannya dibuat menggunakan proses Additive Manufacturing (AM) atau juga dikenali sebagai cetakan 3D.

    Menurut GM, di sebalik badannya terdapat tetapan suspensi jenis pushrod seperti kereta lumba, dan struktur bahagian bawah kenderaan disepadukan dengan teknologi bateri EV. Sistem pengurusan angin dan aerodinamik kereta ini dipanggil sebagai Aero Duality dan ia memberi fokus bukan sahaja kepada kecekapan pemanduan atas jalan biasa, tetapi juga dalam litar.

     
     
  • Yamaha Y16ZR ABS tiba dalam warna baru – RM11.4k

    Yamaha Y16ZR ABS tiba dalam warna baru – RM11.4k

    Dilancarkan di negara kita awal tahun lepas, Yamaha Y16ZR ABS kini disegarkan semula dengan pilihan warna baru bagi model tahun 2025, yang terdiri daripada Fiery Red, Desert Steel dan Emerald Pearl. Harga cadangan pengeluar masih lagi RM11,398 tidak termasuk insurans.

    Y16ZR digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA, serta padanan tranmisi enam gear dengan klac assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan tork 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

    Model ABS ini datang dengan sistem brek anti kunci one-channel (hadapan) dan turut menerima sedikit perubahan rekaan pada bahagian perumah lampu hadapannya serta panel depan yang menempatkan lampu siang (DRL), berbanding model sebelumnya. Berhampiran meter digital LCD motosikal ini juga anda boleh melihat terdapat panel getah yang ditambah.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tangki bahan api 5.4 liter, sistem kunci pintar serta soket pengecas 12V.

    Setiap pembelian diberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km dan pemilik akan menerima kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025