Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • 20 jenama terlaris Mac 2025 — Perodua teratas, Proton kedua; Mercedes-Benz atasi BMW, Jaecoo kelima

    20 jenama terlaris Mac 2025 — Perodua teratas, Proton kedua; Mercedes-Benz atasi BMW, Jaecoo kelima

    Berdasarkan jenama, Perodua mendahului yang lain bagi jumlah pendaftaran kenderaan sepanjang bulan Mac 2025 dengan mencatatkan 30,464 unit, merujuk kepada data yang keluarkan oleh JPJ.

    Tempat kedua pula adalah milik Proton dengan 13,471 unit kenderaan didaftarkan, yang juga mencatatkan kenaikan berbanding Februari dengan pendaftaran 11,068 unit. Sementara itu, Toyota pula memperlihatkan jumlah yang melepasi 7,000 unit — berbanding angka Januari dan Februarinya — pertama kali dengan mencatat 10,768 unit bagi bulan lalu.

    Berada di kedudukan keempat ialah Honda dengan 9,606 unit, dengan tempat kelima milik Jaecoo dengan pendaftaran 1,777 unit. Mitsubishi menduduki tempat keenam dengan 1,331 unit pendaftaran, dan diikuti oleh jenama EV BYD di tempat ketujuh dengan 1,020 unit.

    Chery dan Mercedes-Benz tidak berada terlalu jauh di tempat kelapan dan kesembilan, masing-masing dengan angka 936 unit dan 923 unit. Di tempat ke-10 ialah Mazda dengan 837 unit.

    Di bawah angka 700 unit ada BMW di tempat ke-11 dengan 678 unit dan Nissan di tempat ke-12 dengan 667 unit. Ini diikuti oleh Isuzu dengan 585 unit di tempat ke-13, Lexus dengan 474 unit di tempat ke-14, dan Ford dengan 428 unit di tempat ke-15.

    Lima kedudukan paling bawah pula dihuni oleh GWM dengan 398 unit (ke-16), Porsche dengan 281 unit (ke-17), MG dengan 233 unit (ke-18), Mini dengan 206 unit (ke-19) dan Denza dengan 204 unit (ke-20).

     
     
  • Toyota GR Yaris 2026 dilancarkan di Jepun – talaan semula pada kotak gear 8AT, kit badan lebih agresif

    Toyota GR Yaris 2026 dilancarkan di Jepun – talaan semula pada kotak gear 8AT, kit badan lebih agresif

    Kita baru sahaja menerima GR Yaris facelift yang dilancarkan pada Januari lalu. Namun di Jepun, jentera rali jalan raya tersebut sudahpun diperkenalkan dalam versi satu lagi tingkat taraf untuk tahun 2026. Kali ini, model tersebut datang dengan talaan yang lebih diperhalusi, serta ditawarkan dengan pilihan kit badan yang lebih agresif.

    Antara talaan semula utama yang dibuat adalah terhadap varian yang menggunakan kotak gear automatik lapan-kelajuan GR Direct Automatic Transmission (GR-DAT). Ketika diperkenalkan tahun, kotak gear yang dibangunkan sendiri oleh Gazoo Racing ini sudahpun menampilkan kebolehan “menukar gear seakan pemandu profesional”. Talaan terbaharu yang diberikan untuk versi 2026 menambahbaik kawalan pemilihan gear tersebut bagi memberikan respon lebih baik ketika sesi pemanduan sporty.

    Perubahan tersebut termasuk meluaskan lagi kadar putaran enjin yang membenarkan penukaran dari gear dua ke gear satu, sama ada dalam mod automatik atau menggunakan pedal penukar gear. Kadar pendam pedal penukar gear juga dikurangkan, manakala “rasa terus” ketika menukar gear secara manual menghampiri garis merah bacaan rpm dalam mod Sport juga telah ditambah baik.

    Toyota GR Yaris 2026 dilancarkan di Jepun – talaan semula pada kotak gear 8AT, kit badan lebih agresif

    Sekiranya anda menggunakan mod auto, tukaran ke gear tinggi kini dilambatkan ketika dipandu laju menaiki bukit bagi membolehkan enjin sentiasa menghasilkan kuasa tertinggi. Namun tiada sebarang perubahan dibuat pada enjin. GR Yaris 2025 ini masih menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelum ini, menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Pembeli juga masih boleh memilih varian yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Sistem pacuan semua roda GR Four juga tidak diusik; mod Normal memberikan agihan tork 60:40 antara gandar hadapan dan belakang; mod Gravel memberikan agihan tork 50:50; manakala mod Track akan memberikan agihan tork bervariasi berdasarkan situasi antara 60:40 sehingga 30:70.

    Manakala untuk casis, Toyota telah menukar set bolt yang mengikat komponen-komponen suspensi GR Yaris ini dengan lebih tegar. Walaupun perubahan tersebut dilihat kecil, kesannya agak besar kerana ia telah menambahbaik respon stereng, kestabilan laluan lurus dan “rasa bersatu dengan kereta”. Malah dengan penukaran set bolt ini, Toyota perlu membuat talaan semula terhadap penyerap hentak GR Yaris ini agar ini ia memberikan kawalan badan dan keselesaan yang lebih baik.

    Toyota GR Yaris 2026 dilancarkan di Jepun – talaan semula pada kotak gear 8AT, kit badan lebih agresif

    Sistem stereng kuasa elektrik juga diberikan talaan semula bagi memberikan rasa yang lebih linear. Talaan ini dibuat menerusi input yang diberikan oleh pelumba pasukan Super GT Rookie Racing dan Super Formula, Kazuya Oshima.

    Talaan ini dihasilkan berbeza untuk dua varian, iaitu varian RZ High Performance yang fokus untuk kegunaan litar serta diberikan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang, serta varian RZ biasa untuk dipandu lebih pada jalan raya.

    Pilihan brek tangan menegak yang sebelum ini hanya diberikan pada varian RC yang lazimnya dijelmakan sebagai kereta rali sebenar, kini turut ditawarkan untuk semua varian. Manakala varian dengan kota gear automatik kini menerima perehat kaki yang lebih besar. Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense juga kini adalah standard untuk semua varian, termasuk varian RC.

    Kalau anda GR Yaris ini masih tidak cukup garang dari segi penampilan, Toyota kini turut menawarkan kit badan baharu yang digelar Aero Performance Package, iaitu versi produksi untuk prototaip Aero Package yang didedah di Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu.

    Kit yang direka dari pengetahuan Gazoo Racing ketika berlumba tersebut merangkumi bonet aluminium hadapan berliang, liang pada fender hadapan bagi membebaskan golakan udara dalam ruang roda, spoiler bumbung belakang lebih besar dengan sudut sayap yang boleh dilaras, liang udara bampar belakang untuk mengurangkan seretan udara, alas bawah tangki petrol untuk mengurangkan daya angkatan di belakang, yang disepadankan dengan spoiler bawah bampar hadapan.

    Di Jepun, GR Yaris 2026 ini akan dijual pada harga bermula 4,480,000 yen (RM138,800) untuk varian RZ, manakala varian RZ High Performance pula dijual harga 4,980,000 yen (RM154,300). Pelanggan yang mahukan kotak gear automatik pula perlu menambah sebanyak 350,000 yen (RM10,800). Manakala Aero Performance Package pula dijangka untuk ditawarkan seawal pada musim luruh tahun ini.

     
     
  • Honda Vario 2025 dapat warna baharu – dari RM10,198

    Honda Vario 2025 dapat warna baharu – dari RM10,198

    Honda Vario 160, yang pertama kali dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2022 kini diberikan tiga pilihan warna baru untuk menyegarkannya dalam pasaran. Bagi yang berwarna kuning, ia dijual pada harga RM10,198, manakala warna Silver dan Matte Red dijual pada harga RM10,498.

    Kedua-dua harga ini masih tidak berubah seperti Vario 160 yang diperkenal pada tahun lepas, dengan yang berwarna matte itu dikenali sebagai versi SE. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Bahagian lain pada skuter ini masih sama seperti sebelum ini, dengan penggeraknya terdiri daripada enjin satu silinder penyejukan cecair 157 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Dalam keadaan standard, Vario 160 datang dengan sistem ABS, tetapi hanya single-channel untuk brek cakera hadapan, sementara brek cakera belakang tidak disambungkan dengan sistem tersebut. Rim menggunakan unit 14 inci, dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan unit LED, dan kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk sistem kunci pintar, soket pengecas USB Type A, ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter, panel instrumen digital dan tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter.

     
     
  • BYD Atto 3 Ultra 2025 — pakej tawaran dilanjutkan kepada 3,000 tempahan terawal; harga dari RM119k

    BYD Atto 3 Ultra 2025 — pakej tawaran dilanjutkan kepada 3,000 tempahan terawal; harga dari RM119k

    BYD Atto 3 Ultra (sebelum ini dikenali sebagai varian Extended Premium) yang dilancarkan bulan lalu menyaksikan tawaran rebat tunai RM5,000 diberikan bagi harga 123,000 yang dikenakan, menjadikan harganya serendah RM118,800 dan menyamai harga bagi Proton eMas 7 Premium.

    Kini, pakej tawaran BYD Atto 3 Ultra telah dilanjutkan lagi kepada 2,000 lagi tempahan terawal, sebagai tambahan kepada 1,000 tempahan yang diumumkan sebelum ini, menjadikan keseluruhannya untuk 3,000 tempahan bagi SUV elektrik tersebut.

    Lanjutan tawaran yang diberikan ini sama seperti yang diberikan untuk 1,000 tempahan terawal tersebut, yang terdiri daripada rebat tunai RM5,000 dan pakej servis lapan-tahun bernilai RM4,888, serta kabel pengecas Type 2 bernilai RM1,796, adapter vehicle-to-load (V2L) bernilai RM988 dan pengecas dinding bernilai RM3,288.

    BYD Atto 3 Ultra 2025 — pakej tawaran dilanjutkan kepada 3,000 tempahan terawal; harga dari RM119k

    Atto 3 diberikan jaminan enam-tahun/150,000 km dan jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk sistem pacuan (160,000 km untuk bateri).

    Atto 3 Ultra masih menggunakan sebuah motor di depan yang menghasilkan 204 PS (150 kW) dan 310 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. SUV ini juga kekal didatangkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 60.48 kWh dengan jarak 420 km WLTP.

    Kereta ini menyokong pengecasan pantas DC 88 kW, membolehkan bateri dicas dari 10%-80% dalam masa 40 minit. Bagi pengecasan AC, input maksimum sama seperti sebelum ini dengan 7 kW yang memerlukan sembilan jam 42 minit untuk cas penuh.

    BYD Atto 3 Ultra 2025 — pakej tawaran dilanjutkan kepada 3,000 tempahan terawal; harga dari RM119k

    Selain pengurangan harga yang diberikan, tidak banyak perbezaan bagi model 2025 ini. Sama seperti versi terakhir sebelum ini, Atto 3 Ultra menerima rim aloi 18-inci bagi varian tertinggi, dengan pilihan warna yang tinggal hanya Ski White, Harbour Grey dan Cosmos Black – tiada lagi warna Surf Blue.

    Di dalam, kabin Atto 3 kini dalam warna hitam sepenuhnya, tiada lagi skim warna biru/putih. Kemasan jahitan merah dulu telah diganti dengan warna kuning, manakala “tali gitar” di panel pintu kini dalam warna hitam. Kerusi depan kini juga berliang, yang tidak ditawarkan untuk model semasa.

    Kelengkapan standard lain kekal sama. Ini termasuklah lampu utama LED adaptif, landasan bumbung, sistem tanpa kunci dengan kad kunci NFC, butang Push Start, pendingin zon tunggal automatik, kerusi depan larasan enam-arah untuk pemandu dan empat-arah untuk penumpang depan, balutan kemasan kulit buatan, sunroof kaca panoramik, cermin sisi dengan pemanas, sistem tunjuk arah, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem kamera 360-darjah.

    Aspek keselamatan melibatkan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, serta sistem bantuan pemandu yang sama seperti model tahun lalu. Ini termasuklah ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perlanggaran belakang dan amaran buka pintu.

     
     
  • Modenas Elegan 250 EX facelift 2025 – RM17,780

    Modenas Elegan 250 EX facelift 2025 – RM17,780

    Modenas memperkenalkan Elegan 250 EX facelift, yang diberikan beberapa peningkatan dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Deep Blue dan Plain Grey. Ia dijual pada harga RM17,780, menyaksikan sedikit peningkatan berbanding RM16,997 pada tahun 2023, dan datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Selain dua warna baru, peningkatan lain yang dibuat pada skuter ini adalah penghadang angin hadapan gelap yang lebih sporty, lampu penunjuk arah LED, serta penggunaan logo baru Modenas pada beberapa bahagian termasuk pada meter, tempat kunci, fender belakang serta penghadang angin hadapan.

    Lain daripada itu, skuter ini masih sama seperti model yang dilancarkan pada tahun 2023, bermula dengan enjin, iaitu unit satu silinder 249.1 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dengan penarafan emisi Euro 4, mampu menghasilkan 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm, dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT serta sistem tali sawat.

    Rim bersaiz 14 inci di hadapan, dengan tayar 120/80 dan 13 inci di belakang dengan tayar 150/70 digunakan pada Elegan 250 EX, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Kedua-dua brek hadapan dan belakang juga adalah jenis cakera dan ia dilengkapi dengan sistem ABS dual-channel.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB, meter gabungan analog dan digital dengan pelbagai informasi termasuk waktu servis, lampu hadapan jenis projector, lampu belakang LED serta ruang simpanan luas di bawah tempat duduk. Berat keseluruhan Elegan 250 EX adalah 195 kg.

     
     
  • 20 kereta terlaris Mac 2025 — Bezza, Axia, Myvi, Saga, Alza 5 teratas; Vios atasi S70, HR-V atasi X50

    20 kereta terlaris Mac 2025 — Bezza, Axia, Myvi, Saga, Alza 5 teratas; Vios atasi S70, HR-V atasi X50

    Data pendaftaran kenderaan oleh JPJ bagi bulan Mac 2025 menunjukkan corak jualan dan pendaftaran kenderaan kembali kepada corak kebiasaannya, paling tidak untuk kedudukan 20 kereta paling laris.

    Perodua Bezza mengukuhkan lagi kedudukan pertamanya dengan mencatatkan pendaftaran sebanyak 8,517 unit bagi Mac, dengan jumlah semasa YTD 23,335 unit. Ini diikuti oleh Axia (7,031 unit, dan YTD 21,223) dan kemudiannya Myvi dengan 6,593 unit (YTD 18,183 unit) — model pelopor tiga teratas yang tidak asing lagi. Proton Saga pula berada di kedudukan keempat dengan 5,891 unit dan YTD 15,364 unit — walaupun Proton mendakwa menjual sebanyak 6,000 unit, itu termasuk jualan eksport.

    Ini diikuti oleh Honda City dengan 3,541 unit bagi kedua-dua sedan dan hatchback, mengatasi Perodua Ativa (3,154 unit), Toyota Vios (2,360 unit) dan Proton S70 (2,119 unit) — S70 kembali mengatasi Civic untuk bulan Mac.

    Sementara itu, Honda HR-V dengan 2,676 unit terus mengatasi Proton X50 (1,795 unit) dan Toyota Corolla Cross (1,486 unit), manakala Honda CR-V dengan 1,077 unit tipis mengatasi model China Jaecoo J7 (1,068 unit). J7 bagaimanapun mengatasi YTD-nya — 2,706 unit vs 2,399 unit.

    Toyota Hilux kekal menjadi satu-satunya trak pikap yang berjaya menembusi kedudukan 20 terlaris ini dengan pendaftaran sebanyak 1,745 unit sepanjang Mac, manakala Mitsubishi Xpander juga dalam senarai dengan 949 unit.

     
     
  • 20 model EV terlaris bagi Mac 2025 — Proton eMas 7 kekal teratas, Denza D9 atasi Zeekr 009, Tesla jatuh

    20 model EV terlaris bagi Mac 2025 — Proton eMas 7 kekal teratas, Denza D9 atasi Zeekr 009, Tesla jatuh

    JPJ telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan bagi bulan Mac 2025. Proton eMas 7 masih mengekalkan kedudukan teratas sebagai EV paling laris setakat ini, di sini. Dengan sejumlah 737 unit terjual sepanjang Mac 2025, ia menjadi satu-satunya EV yang jualannya melepasi empat angka bagi 2025, dengan jumlah jualan setakat ini sebanyak 1,738 unit.

    Di tempat kedua pula ialah BYD Sealion 7 dengan 303 unit terjual sepanjang bulan (dengan 841 unit YTD setakat ini), diikuti oleh barisan model BYD yang lain. MPV M6 pula menyaksikan jumlah yang meyakinkan dengan 281 unit terjual (YTD 537 unit), sementara bagi BYD Atto 3 mencatatkan sedikit peningkatan dengan 258 unit terjual (YTD 404).

    20 model EV terlaris bagi Mac 2025 — Proton eMas 7 kekal teratas, Denza D9 atasi Zeekr 009, Tesla jatuh

    Model pendatang baru, Denza D9 — yang juga merupakan sub-jenama BYD — mencatatkan angka memberangsangkan dengan 204 unit terjual bulan lalu, membolehkannya mengatasi pesaingnya, Zeekr 009 (151 unit bulan lalu — YTD 238 unit vs 235 unit).

    Tesla Model 3 pula jatuh ke tangga ke-8 dengan hanya 138 unit didaftarkan, dengan YTD sebanyak 518 unit. Model Y pula jauh di tangga ke-17 bagi Mac, dengan hanya 33 unit terjual dan YTD di tempat ke-13 dengan 108 unit. Serahan model Juniper pula masih belum bermula.

    20 model EV terlaris bagi Mac 2025 — Proton eMas 7 kekal teratas, Denza D9 atasi Zeekr 009, Tesla jatuh

    Model EV lainnya menyaksikan corak mendatar. Porsche menyaksikan dua modelnya, Taycan dan Macan memasuki kedudukan 20 paling laris, sementara MG Cyberster menyandang tangga ke-20 dengan 25 unit berjaya didaftarkan sepanjang Mac.

     
     
  • Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupe 2025 di M’sia — CKD, 519 PS plug-in hybrid, 90 km EV; RM728k

    Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupe 2025 di M’sia — CKD, 519 PS <em>plug-in hybrid</em>, 90 km EV; RM728k

    Diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada Januari lalu, turut dipamerkan ketika sambutan 15 Tahun Porsche Malaysia dan pelancaran Porsche 911 Carrera 2025 ialah model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupe 2025 CKD. SUV ini dijual dengan harga RM728,000, tetapi belum termasuk yuran atas jalan dan pilihan serta insurans lainnya.

    Ini merupakan model CKD Porsche yang kedua yang dijual di sini, dan menjadi model pertama Porsche dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV) yang dipasang di kilang Sime Darby Motor di Kulim, Kedah. Ia juga menjadi model pertama Porsche pemasangan di Malaysia yang akan dieksport ke Thailand.

    Dengan garis bumbung rendah ala coupe dan sistem janaan PHEV, model ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat dan mencapai laju maksimum 263 km/j. Kuasa dijana oleh enjin 3.0 liter turbocas V6 petrol dengan kuasa sebanyak 353 PS (349 hp atau 260 kW) dan 500 Nm tork.

    Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupe 2025 di M’sia — CKD, 519 PS <em>plug-in hybrid</em>, 90 km EV; RM728k

    Enjin berkenaan turut dibantu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan 176 PS (174 hp atau 130 kW) dan 460 Nm, memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 519 PS (512 hp atau 382 kW) dan 750 Nm. Unit bateri untuk motor elektrik ini pula berkapasiti 25.9 kWh (21.8 kWh bersih), membolehkan pacuan elektrik sepenuhnya sehingga 90 km mengikut kitaran WLTP.

    Antara kelengkapan yang disertakan sebagai ciri standard ialah suspensi udara adaptif bersama Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan teknologi dua-kebuk dan dua injap.

    Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupe 2025 di M’sia — CKD, 519 PS <em>plug-in hybrid</em>, 90 km EV; RM728k

    Ciri yang ada termasuklah lampu utama LED Matrix berdefinisi tinggi (32,000 pixel sebelah), stereng GT Sport, pakej Sport Chrono (termasuk jam Porsche Design di papan pemuka), sistem bunyi premium Bose, kawalan pendingin empat zon dengan Ioniser, kerusi depan larasan 14-arah dengan fungsi memori, tirai larasan elektrik untuk tingkap sisi di belakang, paparan kluster instrumen melengkung 12-6-inci dan juga skrin sentuh 12.3-inci infotainmen dengan Porsche Communication Management (PCM).

    Pembeli juga boleh memilih untuk kemasan balutan dalaman hitam atau Bordeaux Red, dengan lencana Porsche di perehat kepala. Rim Cayenne S Design 20-inci adalah standard, sementara pilihan warna terdiri daripada Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic dan Dolomite Silver Metallic.

     
     
  • Proton Saga MC3 dilihat diuji dengan lampu hadapan dilitupi pelekat penyamaran – bakal guna lampu LED?

    Proton Saga MC3 dilihat diuji dengan lampu hadapan dilitupi pelekat penyamaran – bakal guna lampu LED?

    Jika sebelum ini unit prototaip Proton Saga MC3 dilihat mengenakan lampu hadapan ujian, kemudian ada juga unit yang jelas menggunakan lampu halogen, kini ada satu lagi versi prototaip muncul diuji di atas jalan raya iaitu lampu hadapannya hampir dilitupi terus dengan pelekat penyamaran.

    Unit berkenaan dijumpai oleh pengguna Facebook Syafiq Ismail yang kemudiannya memuatnaik gambar tersebut di paultan.org Automotive/Car discussion Facebook group. Jadi ada kemungkinan ini adalah varian tertinggi untuk Saga MC3 kelak yang bakal menerima lampu hadapan jenis LED penuh.

    Sehingga kini Saga tidak pernah hadir dengan lampu hadapan LED, berbanding saingan terdekatnya iaitu Perodua Bezza yang telah pun menerima perincian tersebut untuk semua varian termasuk varian paling asas menerusi versi facelift yang dilancarkan pada 2020.

    Unit prototaip Saga yang ditemui dalam pelbagai versi gril dan lampu hadapan berlainan sebelum ini

    Mungkin ramai yang masih keliru sama ada Saga baharu ini adalah model generasi baharu atau model tingkat taraf versi generasi sedia ada. Namun kami difahamkan platform AMA yang maksudkan oleh Proton sebelum ini merupakan platform yang diasaskan dari platform model-model sedia ada Proton yang dibangunkan secara tempatan, kemudian ditingkat taraf dari pelbagai aspek bagi ia terus relevan dengan standard keselamatan dan prestasi model-model terkini.

    Jadi kami jangkakan ia adalah Saga baharu berdasarkan platform AMA, tetapi masih menggunakan kerangka asas badan Saga generasi sedia ada. Malah sekiranya anda melihat dengan teliti unit-unit prototaip ujian berkenaan, ia bakal menampilkan perubahan rupa yang agak ketara berbanding model sekarang.

    Antara perbezaan tersebut termasuk lampu hadapan baharu, penutup bonet hadapan yang nampak lebih ‘bulat’ pada bahagian atas lampu, dan juga lampu belakang juga dengan rupa yang berbeza. Gril hadapan Saga baharu ini mungkin akan tampil dengan dua versi. Varian lebih tinggi akan menerima gril hadapan dengan rekaan signatur terbaharu pin krom yang diinspirasikan dari kain songket, manakala satu lagi versi masih menggunakan corak infinite weave sama seperti model sebelumnya.

    Proton Saga MC3 dilihat diuji dengan lampu hadapan dilitupi pelekat penyamaran – bakal guna lampu LED?

    Malah turut dapat dilihat Saga baharu ini dipadankan dengan kamera untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada cermin hadapan, membayangkan ia sekurang-kurangnya akan ada sistem amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

    Ketika dilihat diuji di Cameron Highland baru-baru ini, Saga berkenaan turut diuji bersama sebuah Perodua Myvi. Oleh itu tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely bagi menggantikkan enjin Campro yang sudah pun dihentikan pembangunannya, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.

    Jadi mungkin ada perubahan besar yang akan diberikan kepada Saga baharu kelak, walaupun buat masa sekarang Saga ini masih dirujuk sebagai model ‘Minor Change’ (MC) untuk kali ketiga. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh naib CEO Proton Roslan Abdullah baru-baru ini, Saga ini mungkin akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini, iaitu selewat-lewatnya pada bulan Jun nanti.

     
     
  • Caterham guna enjin syarikat kerjasama Geely-Renault untuk perlumbaan Caterham Academy bermula 2026

    Caterham guna enjin syarikat kerjasama Geely-Renault untuk perlumbaan Caterham Academy bermula 2026

    Pembuat kereta sport dari British, Caterham telah memilih Horse Powertrain untuk membekalkan enjin bagi kereta-kereta Caterham 7 yang berlumba dalam siri kejohanan ‘one make’ Caterham Academy di United Kingdom bermula musim 2026.

    Horse Powertrain merupakan syarikat yang membekalkan unit rangkaian kuasa termasuk enjin, kotak gear dan sistem hibrid yang terbentuk dari kerjasama Geely dan Renault. Untuk Caterham Academy, Horse Powertrain akan membekalkan enjin HR13 1.3 liter empat silinder turbo berkuasa 132 PS dan tork maksima 176 Nm.

    Enjin berkenaan adalah enjin yang sama pada model produksi Mercedes-Benz A-Class generasi sedia ada, dan ia diproduksi di kilang Valladolid Motores milik Horse Powertrain yang terletak di Sepanyol.

    Menurut Horse Powertrain, enjin HR13 ini menggunakan kepala silinder berbentuk-delta bagi mengurangkan berat dan menjimatkan ruang, pusat graviti lebih rendah serta memberikan pengurusan haba yang lebih baik. Manifold ekzos pada enjin ini juga dibina sekali bersama kepala enjin berkenaan bagi memberikan respon putaran enjin yang lebih cepat serta mampu memberikan tork pada kelajuan yang sangat rendah.

    Caterham guna enjin syarikat kerjasama Geely-Renault untuk perlumbaan Caterham Academy bermula 2026

    Enjin HR13 ini akan menggantikan enjin Ford Sigma 1.6 liter empat-silinder NA yang telah digunakan pada kereta lumba Caterham 7 untuk siri perlumnbaan tersebut sejak 2008. Siri perlumbaan Caterham Academy ini merupakan perlumbaan untuk pemandu kelas novis yang mula diwujudkan sejak 1995, disasarkan untuk menjadi perlumbaan pemula bagi mereka yang bercita-cita menjadi pemandu profesional. Sehingga kini siri tersebut telah menjadi salah satu siri perlumbaan paling berjaya di Britain dengan penyertaan melebihi 1,400 pelumba.

    “Adalah satu keistimewaan bagi kami untuk membekalkan enjin HR13 kami untuk Kejuaraan Caterham Academy 2026. Caterham ialah jenama ikonik dalam dunia automotif dan perlumbaan, dengan sejarah yang kaya dan ini adalah peluang unik untuk bekerjasama dalam misi mereka untuk mencari bakat perlumbaan generasi seterusnya dalam siri Akademi 2026,” kata CEO Horse Powertrain Matias Gianni.

    Satu lagi divisi pembangunan dan pembekal unit rangkaian kuasa yang ditubuhkan oleh Geely dan Volvo iaitu Aurobay kini turut telah bernaung di bawah Horse Powertrain. Aurobay merupakan pembekal enjin 2.0 liter bagi pasukan Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dalam TCR World Tour. Enjin yang sama turut dibekalkan kepada Kristoffersson Motorsport untuk Kejohanan Rallycross Dunia (WRX) sejak tahun lalu, di bawah pasukan yang dikenali sebagai Kristoffersson Motorsport-Horse Powertrain.

     
     
  • Jangan pandang ringan kesalahan nombor plat fancy, pesalah boleh didenda dan dipenjara – laporan

    Jangan pandang ringan kesalahan nombor plat <em>fancy</em>, pesalah boleh didenda dan dipenjara – laporan

    Laporan Buletin TV3 mendedahkan bahawa berdasarkan perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), penggunaan nombor plat fancy meningkat kepada 74,339 tahun lalu berbanding 56,093 pada 2023. Dari angka berkenaan Johor merekodkan angka tertinggi selama dua tahun berturut-turut.

    Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Ma Hassan dalam laporan tersebut, walaupun denda yang dikenakan agak tinggi dan berkemungkinan boleh dipenjara, masih ramai yang menggunakan nombor pendaftaran fancy yang tidak mengikut peraturan ini semata-mata mahukan kelainan.

    “Kalau ikutkan, nombor yang biasa harga dia antara RM 80-RM100 sahaja tetapi nombor fancy ni boleh mencecah RM200 ke RM300, bagi saya ini adalah sikap pemandu yang mana mereka rasa mereka nak kelainan” katanya.

    Lqporan ini turut menyebut bahawa pemilik kenderaan yang disabit kesalahan menggunakan nombor plat fancy berkenaan boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM250 atau denda tidak melebihi RM2000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya di bawah kaedah 6, kaedah kenderaan bermotor 1959.

    Manakala Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penggunaan nombor plat fancy menyukarkan pengecaman kenderaan sekiranya berlaku kemalangan atau jenayah.

    “Tugas sukar pada pihak kami pihak berkuasa untuk mengenalpasti kenderaan motosikal atau kenderaan yang lain terlibat dalam perlakuan jenayah jadi kita kena gunakan teknologi yang lainlah untuk mengesan atau memastikan nombor tu lebih jelas lebih senang kita lihat untuk menjejaki mereka,” ujarnya dalam laporan berkenaan.

     
     
  • Mazda 3 Concept dari divisi MazdaSport Bermaz – dipamerkan di 1 Utama, bakal jadi MS Edition baru?

    Mazda 3 Concept dari divisi MazdaSport Bermaz – dipamerkan di 1 Utama, bakal jadi MS Edition baru?

    Semalam pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz telah melancarkan versi terkini roadster ikonik iaitu Mazda MX-5 2025, bersama versi edisi terhad 35th Anniversary Edition yang hanya dihasilkan 3,500 unit untuk seluruh dunia, dan empat unit akan dibawa ke Malaysia.

    Model biasa dan edisi terhad MX-5 berkenaan akan terus dipamerkan di mana ia dilancarkan semalam iaitu di bahagian Oval pusat membeli-belah 1 Utama sehingga hari Ahad. Dan dalam masa yang sama, Bermaz turut mempamerkan sebuah Mazda 3 hatchback istimewa yang dikenali sebagai Mazda 3 Concept.

    Mazda 3 Concept ini merupakan prototaip dibina oleh Divisi MazdaSport Bermaz sendiri. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kereta ini “membayangkan semula semangat Mazda 3 Hatchback MS Edition asal yang dilancarkan pada 2016, mempertingkatkannya dengan evolusi rekaan yang menarik dan inovasi termaju tertumpu kepada pemandu.

    Mazda 3 Concept dari divisi MazdaSport Bermaz – dipamerkan di 1 Utama, bakal jadi MS Edition baru?

    “Prototaip Mazda 3 Concept mewakili visi Bermaz untuk pengalaman Jinba-Ittai yang lebih dipersonalisasikan. Menerusi unit prototaip ini, ia menyerlahkan komitmen Bermaz terhadap inovasi dan peminat-peminat Mazda, dengan mengambil rekaan Kodo yang lebih berani untuk keterlibatan pemanduan yang lebih banyak,” tambah kenyataan itu lagi.

    Jadi jelas Mazda 3 Concept ini merupakan prototaip bagi model produksi Mazda 3 Hatchback MS Edition baharu yang bakal diasaskan dari model generasi terkini. Ia menerima kit badan dalam kemasan hitam berkilat terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan juga spoiler bumbung lebih besar.

    Kemudian badan Mazda 3 Concept ini turut menerima pelekat badan dengan grafik bonet hadapan kelabu seperti grafik model talaan Mazda Spirit Racing di Jepun, grafik dengan angka ‘3’ pada sisi dan belakang dan juga serlahan-serlahan merah.

    Mazda 3 Concept dari divisi MazdaSport Bermaz – dipamerkan di 1 Utama, bakal jadi MS Edition baru?

    Bagi melengkapkan rupa luaran Mazda 3 Concept ini, ia diberikan tip ekzos berkembar dengan diameter lebih besar bersama logo MS, serta set rim aloi Enkei Tuning SC22 berdiameter 18-inci dalam kemasan Matte Gunmetal.

    Beberapa tingkat taraf prestasi yang sukar untuk kita nampak pada bahagian luar juga telah diberikan pada hatchback ini. Antaranya pemadanan pad brek Endless Super Street S-Sports untuk memberikan prestasi membrek lebih baik serta mengurangkan kebarangkalian berlakunya brake fade, dan juga strut bar dengan logo MS yang mengikat bahagian atas antara kedua-dua suspensi hadapan, didakwa dapat “menambahbaik talaan casis dan suspensi untuk pemanduan yang lebih baik dan selesa”.

    Pengayaan lebih sporty turut diberikan pada sebelah dalam kabin. Paling menyerlah adalah bahagian tengah tempat duduk yang dibalut semula dengan fabrik sued bersama jalur merah dan logo MS pada bahagian perehat badan, serta bahagian atas roda stereng yang turut dibalut sued sama dan diberikan penanda tengah berwarna merah.

    Sekiranya model ini benar-benar dijadikan model produksi, kami jangkakan tidak akan ada penambahan kuasa akan diberikan. Buat masa sekarang Mazda 3 hatchback pasaran Malaysia tidak lagi ditawarkan dengan enjin 1.5 liter, manakala untuk versi 2.0 liter ia diberikan enjin petrol NA SkyActiv-G menghasilkan 163 hp dan tork maksima 213 Nm.

    Model asas Mazda 3 Hatchback ini juga buat sekarang adalah RM156k, jadi sudah tentu versi MS Edition ini kelak akan dijual lebih mahal. Apa pun sekiranya anda nak lihat Mazda 3 Concept ini depan mata, boleh la berkunjung ke jelajah Bermaz di 1 Utama yang berlangsung sehingga Ahad ini, dan kemudian akan bersambung ke Queensbay Mall Pulau Pinang bermula 16 hingga 20 April 2025.

    GALERI: Gambar rasmi Mazda 3 Concept 2025 dari MazdaSport Bermaz

     
     
  • Porsche 911 Carrera facelift 2025 di M’sia — Carrera dari RM1.43 juta, Carrera 4 GTS dari RM1.89 juta

    Porsche 911 Carrera <em>facelift</em> 2025 di M’sia — Carrera dari RM1.43 juta, Carrera 4 GTS dari RM1.89 juta

    Selepas diumumkan minggu lalu, Porsche 911 generasi 922 facelift kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia di TRX sempena meraikan 15 tahun jenama itu di sini

    Dua varian diperkenalkan, bermula dengan Porsche 911 Carrera paling asas dengan harga jualan RM1.43 juta. Versi ini dilengkapi dengan enjin boxer 3.0 liter turbo berkembar enam-silinder dan menjana sebanyak 394 PS dan 450 Nm — naik daripada 385 PS berbanding model lama 992.

    Kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik klac berkembar lapan-kelajuan, membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mencapai laju maksimum 294 km/j.

    Porsche 911 Carrera <em>facelift</em> 2025 di M’sia — Carrera dari RM1.43 juta, Carrera 4 GTS dari RM1.89 juta

    Antara kelengkapan yang diperharui bagi model facelift ini ialah lampu depan kini dengan fungsi HD matrix LED yang memancar sejumlah 32,000 titik cahaya, dengan pancaran lampu tinggi sejauh 600 meter. Di belakang, rekaan lampu diberikan sentuhan baru, serta kedudukan nombor plat dinaikkan sedikit kedudukannya di bampar belakang.

    Di dalam, 911 Carrera beralih kepada kluster instrumen 12.6-inci digital sepenuhnya dengan tujuh tataletak termasuk paparan klasik lima-tiub dengan tachometer di tengah seperti lazimnya yang terdapat pada panel instrumen Porsche.

    Versi facelift ini juga menggunakan butang penghidup sama seperti model Porsche yang lain dan tiada lagi menggunakan kunci untuk tujuan itu. Untuk infotainmen, ia kini memanfaatkan unit 10.9-inci, kini dengan sambungan fungsi Apple CarPlay, dengan aplikasi seperti Spotify dan Apple Music boleh digunakan tanpa sambungan ke telefon.

    Porsche 911 Carrera <em>facelift</em> 2025 di M’sia — Carrera dari RM1.43 juta, Carrera 4 GTS dari RM1.89 juta

    Satu lagi varian prestasi yang diperkenalkan ialah Porsche 911 Carrera 4 GTS dengan harga RM1.89 juta, lengkap dengan enjin boxer 3.6 liter enam-silinder dengan elektrifikasi T-Hybrid (turbo elektronik) yang membolehkannya menjana sebanyak 540 PS and 610 Nm output. Ini menjadikan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.0 saat sahaja sementara laju maksimum 312 km/j.

    Tetap ini menggunakan pengecas turbo tunggal yang menggantikan unit berkembar pada GTS sebelum ini, serta motor elektrik yang terletak di antara kompresor dan roda turbin pengecas turbo untuk mempertingkat maklum balas pendikit dan prestasi keseluruhan.

    Turbo elektrik ini tidak lagi memerlukan penggunaan wastegate, dengan motor elektrik dalam pengecas turbonya bertindak sebagai generator, menghasilkan hingga 11 kW menggunakan aliran gas ekzos, sama seperti bagaimana sistem MGU-H bertindak di dalam jentera lumba moden.

    Turut melengkapi tetapan ini ialah sebuah motor elektrik yang terletak di dalam transmisi automatik klac berkembar PDK lapan-kelajuannya. Kedua-dua motor mendapatkan tenaganya dari sebuah bateri 400V, 1.9 kWh yang terletak di bahagian depan kereta. Janaan keseluruhannya mencapai 540 PS dan 610 Nm, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.0 saat dengan laju maksimum 312 km/j.

    Untuk casis, Carrera 4 GTS menampilkan stereng roda belakang sebagai ciri standard, dan kini 10 mm lebih rendah dengan sistem suspensi PASM yang disertakan. Untuk rim, model ini menggunakan sama ada rim 20-inci di depan dan 21-inci untuk roda belakang, dengan saiz tayar masing-masing 245/35ZR20 dan 315/30ZR21.

    Di Malaysia, Porsche 911 Carrera ditawarkan dalam gaya badan Coupé bermula dari RM1.43 juta, sementara Carrera 4 GTS ditawarkan dalam gaya badan Coupé dan Targa, dengan harga bermula RM1.89 juta.

    Porsche 911 Carrera 2025

     
     
  • Nombor pendaftaran isitmewa VIPS akan dijual melalui JPJ eBid 11-15 April ini – ‘Visit Impressive Perlis State’

    Nombor pendaftaran isitmewa VIPS akan dijual melalui JPJ eBid 11-15 April ini – ‘Visit Impressive Perlis State’

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pengeluaran satu lagi siri nombor pendaftaran istimewa (NPI) untuk orang awam, iaitu VIPS yang akan dijual secara bidaan melalui platform JPJ eBid bermula 11 hingga 15 April ini. Keputusan pemenang akan dibuat pada 16 April 2025.

    Siri NPI ini membawa maksud ‘Visit Impressive Perlis State’ dan dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun pemerintahan ke-25 Jubli Perak Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis. Ia juga adalah salah satu inisiatif mempromosikan ‘Tahun Melawat Perlis 2024-2025’.

    Seperti kebiasaan dalam paltform eBid, harga bidaan bagi siri VIPS ini akan bermula dengan RM300 untuk Nombor Semasa, RM500 untuk Nombor Popular, RM2,500 untuk Nombor Menarik, RM5,000 untuk Nombor Premium dan RM20,000 untuk Nombor Utama.

     
     
  • Isi minyak dengan Caltex Rewards Raya GOyang-GOyang, dapatkan pulangan tunai RM8 di TnG eWallet hingga 30 April

    Isi minyak dengan Caltex Rewards Raya GOyang-GOyang, dapatkan pulangan tunai RM8 di TnG eWallet hingga 30 April

    Nikmati lebih penjimatan di musim perayaan Hari Raya Aidilfitri jika anda mengisi minyak di Caltex — ini kerana Caltex Rewards Raya GOyang-GOyang menawarkan pulangan tunai dengan setiap pembelian bahan api kenderaan anda.

    Sebaik sahaja mendaftar sebagai ahli Caltex Rewards, anda hanya perlu log masuk ke aplikasi Touch ‘n Go eWallet, klik ikon GOyang di laman utama, dan goyangkan peranti pintar anda dan baucar pulangan tunai Caltex RM8 akan tertera.

    Untuk menggunakannya, imbas kod QR keahlian Caltex Rewards anda atau masukkan nombor telefon bimbit di kaunter pembayaran, dengan pembelian bahan api minimum RM40 di mana-mana stesen Caltex di seluruh negara. Lakukan transaksi anda dengan fungsi Bayar dalam Touch ‘n Go eWallet melalui terminal Smart Payment. Selepas transaksi selesai, anda akan menerima pulangan tunai RM8 untuk sekali sahaja dalam Touch ‘n Go eWallet.

    Pastikan anda memanfaatkan baucar pulangan tunai RM8 ini semasa perjalanan anda di sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri kerana tawaran ini sah sehingga 30 April 2025. Sudah bersedia untuk menikmati penjimatan bagi pembelian bahan api kenderaan anda dengan Caltex Rewards dan Touch ‘n Go eWallet? Klik di sini untuk maklumat lanjut.

    *Tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025