
Selepas menawarkan dua model EV dalam kelas segmen-B iaitu MG4 EV dan MG ZS EV, SAIC Motor Malaysia hari ini mendedahkan sebuah lagi SUV EV dengan jenama MG yang lebih besar – ini dia, MG S5 EV didedahkan kepada umum buat pertama kali di Malaysia.
Model ini masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, namun SAIC Motor sudahpun mengumumkan harga anggaran bagi MG S5 EV ini iaitu bermula RM115,000. Ia bakal ditawarkan dalam dua varian yang menerima konfigurasi motor elektrik yang sama, dibezakan oleh spesifikasi bateri dan jarak gerak.
Walaupun ia dikelaskan sebagai SUV segmen-B, saiz MG S5 ini sebenarnya sudah menghampiri model-model segmen-C. Dengan pengenalan model ini, SAIC Motor akan menghentikan penawaran model MG ZS, dan MG S5 ini akan memberikan cabaran terus kepada Proton eMas 7 dan juga BYD Atto 3.

MG S5 ini menampilkan ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, serta jarak roda sejauh 2,730 mm. Jadi berbanding BYD Atto 3, MG S5 ini adalah 21 mm lebih panjang, jarak roda 10 mm lebih jauh tetapi 26 mm kurang lebar berbanding BYD Atto 3.
Kedua-dua varian MG S5 pasaran Malaysia ini menerima hanya sebuah motor yang diletakkan pada bahagian belakang bagi memacu roda belakang, menghasilkan kuasa 170 PS dan tork maksima 250 Nm. Rekod pecutan 0-100 km/j belum lagi dinyatakan, namun MG Malaysia memberitahu bahawa ia dapat dicapai sekitar 8 saat.
Seperti dinyatakan tadi, kedua-dua varian dibezakan dengan kapasiti bateri, di mana varian asas menerima bateri LFP 49kWj bagi memberikan jarak gerak 340 km dalam kitaran WLTP, manakala varian tertinggi diberikan bateri LFP 62 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 430 km.

Gandar belakang yang menempatkan motor elektrik berkenaan menggunakan konfigurasi suspensi bebas jenis 5-link. Ini menurut MG, akan memberikan pemanduan yang sporty dalam masa yang sama masih mengekalkan keselesaan SUV ini. Maklumat awal yang turut diberikan, SUV ini diberikan pengecas AC 6.6 kW dan pengecas pantas DC 150kW.
Dari segi rekaan luaran, MG S5 ini tampil lebih matang berbanding MG4. Ia menampilkan lampu nyalaan siang pada bahagian atas dengan grafik inspirasi dari bendera perlumbaan, manakala lampu utama diletakkan pada bampar. Lampu belakang pula diberikan rekaan tajam dan merentasi sepenuhnya pintu tailgate belakang.
Untuk kabin, S5 menerima papan pemuka ringkas dan juga suis putar tukaran PRND dan roda stereng berbentuk oblong sama seperti MG4. Namun ia masih menampilkan lebih banyak suis fizikal pada papan pemuka bagi melaras sistem penghawa dingin dan juga bunyi audio yang terletak di bawah skrin utama – dimana perincian ini tidak diberikan pada model pasaran China.
Beberapa perincian telah disahkan akan diberikan pada model pasaran Malaysia ini. Secara standard kedua-dua varian akan menerima kelengkapan termasuk skrin infotainmen utama bersaiz 12.8-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga sistem V2L.
Manakala varian tertinggi akan menerima perincian tambahan seperti rim aloi 18-inci, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa, upholsteri tempat duduk kombinasi kulit dan fabrik berliang berwarna gelap dengan logo MG tersembunyi pada jalur tengah, stereng kulit dengan pemanas, tempat duduk pemandu larasan elektrik dan sistem audio premium dengan 6 pembesar suara.
Bagi sistem keselamatan pula kedua-dua varian diberikan tujuh-beg udara dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh. Manakala varian tertinggi akan menerima tambahan kamera pandangan sekeliling 360 darjah. Lima warna badan ditawarkan untuk MG S5 EV pasaran Malaysia ini iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte.