Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Projek ECRL: Kemajuan keseluruhan capai 81.07% setakat Mac 2025, operasi percubaan pada Jun 2026

    Projek ECRL: Kemajuan keseluruhan capai 81.07% setakat Mac 2025, operasi percubaan pada Jun 2026

    Keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan jarak 665 km dari Kota Bharu ke Gombak kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 81.07% setakat Mac 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

    Tambahnya, proses pembinaan berada pada tahap terbaik dan mengikut jadual yang ditetapkan. Manakala kemajuan projek di Terengganu sudah mencapai 90%, Kelantan mencatatkan 88.68% siap, dan Pahang pula merekodkan kemajuan 86%, laporan Bernama.

    “Dengan perkembangan projek ini, ia membolehkan ECRL memulakan operasi pada Januari 2027 sebagaimana jadual asal yang ditetapkan. Untuk operasi percubaan akan dilakukan pada Jun tahun depan dan beberapa keretapi penumpang akan tiba tahun ini,” katanya yang turut berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan dan perkembangan projek itu memberi motivasi kepada pihaknya.

    Projek ECRL: Kemajuan keseluruhan capai 81.07% setakat Mac 2025, operasi percubaan pada Jun 2026

    Jelas beliau, kerajaan Kelantan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu, khususnya dalam menyelesaikan isu berkaitan pengambilan tanah serta kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Laluan jajaran di Kelantan sejauh 43 km telah mencapai 88.86% kemajuan kerja, menyumbang secara signifikan kepada kemajuan keseluruhan projek. Proses ujian dan pentauliahan dijangka bermula pada Jun 2026.

    “Kerja-kerja pemasangan landasan juga menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan ketara dicapai di Kelantan, Terengganu serta sebahagian negeri Pahang melibatkan jajaran sejauh 400 km dari Tunjong, Kota Bharu ke Maran di Pahang,” katanya.

    Projek ECRL: Kemajuan keseluruhan capai 81.07% setakat Mac 2025, operasi percubaan pada Jun 2026

    Darwis turut berkata pembinaan dua stesen ECRL di Kelantan iaitu di Tunjong serta Pasir Puteh turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan dengan masing-masing mencapai 69% dan 68% kemajuan kerja yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.

    Projek ECRL sejauh 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak diyakini akan disiapkan mengikut jadual pada Dis 2026 dan beroperasi bermula Jan 2027.

     
     
  • MATTA Fair 2025, 18-20 April di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair 2025, 18-20 April di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair kini kembali dan akan berlangsung hujung minggu ini dari 18 hingga 20 April 2025. Seperti tahun lalu, ia juga diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Inilah peluang untuk anda yang mencari pakej percutian dan pelancongan dengan harga yang lebih berpatutan.

    Jangan risau bab kesesakan lalu lintas dan masalah parkir, gunakan saja kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak Rapid KL. Anda boleh menaiki bas perantara percuma untuk ke MITEC yang disediakan dari jam 8 pagi sehingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut.

    Kekerapan ketibaan bas adalah setiap lima hingga 10 minit namun tertakluk kepada keadaan trafik. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah di KL Sentral (Hentian Bas Balai Pelepasan ERL KLIA) dan juga hentian bas di Sunway Putra Mall (bertentangan PWTC).

    Untuk terus memberi insentif kepada penggunaan bas percuma ini, penganjur pameran Malaysian Association of Tour & Travel Agents turut menawarkan hadiah menarik. Untuk menyertai, anda hanya perlu imbas kod QR di tempat menunggu atau dalam bas dan ikut arahan yang diberikan. Selamat berlibur di MATTA Fair 2025!

     
     
  • Neta tukar hutang kepada ekuiti dengan 134 pembekal

    Neta tukar hutang kepada ekuiti dengan 134 pembekal

    Media China mendakwa ketika ini Neta yang sedang berhadapan dengan masalah kewangan akan menawarkan pertukaran hutang kepada ekuiti terhadap 134 pembekal utamanya dengan nilai melebihi RMB2 bilion (RM1.2 bilion) supaya pengeluaran boleh diteruskan, lapor CnEVPost.

    Neta menawarkan untuk menukar 70% daripada tuntutan pembekalknya kepada ekuiti di dalam syarikat induknya Hozon Auto. Sementara baki 30% lagi akan dilayan sebagai hutang tanpa faedah yang akan dibayar semula dalam tempoh 15 bulan bermula Mei nanti, lapor media Jiemian. Menurut sebuah lagi media, Yicai, CATL dan Gotion High-tech merupakan antara pembekal utama yang sudah menyatakan persetujuan.

    Berita tentang masalah Neta ini pertama kali terdedah pada November 2024, dan menurut media 21jingji, Neta telah berjumpa dengan beberapa pembekal di ibupejabatnya di Shanghai pada 19 Mac untuk membincangkan penukaran hutang kepada pegangan dalam syarikat, kerana pelabur yang berpotensi mahukan Neta untuk mengurangkan hutangnya sebelum mereka sanggup membuat pelaburan baru.

    Neta tukar hutang kepada ekuiti dengan 134 pembekal

    Beban kewangan Neta ketika ini mencecah RMB10 bilion (RM6 bilion), hampir dua pertiga daripadanya adalah hutang kepada pembekal, menurut 21jingji. Walaupun Neta menyerahkan 152,073 kenderaan pada 2022 (+118% bagi tempoh sama tahunan), jualan kemudiannya melemah bagi tempoh dua tahun lalu, dan syarikat itu berhenti menerbitkan serahan bulanannya sejak Oktober 2024, lapor CnEVPost.

    Neta bagaimanapun ikut serta dalam Pameran Permotoran Bangkok 2025, dan mengumumkan matlamatnya untuk menjual lebih 10,000 unit tahun ini di Thailand. Pada 22 Mac, Neta mendapatkan sejumlah 10 bilion baht (RM1.3 bilion) kredit daripada Nissan Leasing (Thailand). Akhbar The Nation melaporkan pada hujung Mac bahawa Neta berjanji akan menyambung pengeluaran di Thailand pada Jun selepas menyelesaikan hutangnya terhadap pembekal dan pengedar.

    Sementara itu, The Business Times melaporkan awal bulan ini bahawa bilik pameran tunggal Neta di Singapura telah ditutup selepas hanya tiga bulan dan empat unit kenderaan sahaja yang didaftarkan, merujuk data daripada Land Transport Authority.

     
     
  • Continental UltraContact UX7 didedah untuk Malaysia — tayar SUV dalam saiz 15 hingga 22 inci, dijual Q2

    Continental UltraContact UX7 didedah untuk Malaysia — tayar SUV dalam saiz 15 hingga 22 inci, dijual Q2

    Continental Tyres telah memperkenalkan tayar baru UltraContact UX7 untuk pasaran tempatan. Ditawarkan dalam saiz 15 inci hingga 22 inci, tayar untuk SUV ini boleh dibeli bermula suku kedua ini melalui cawangan jenama Continental dan kedai rasmi di Shopee, TnG dan Lazada.

    “Pasaran SUV telah menyaksikan pertumbuhan besar bagi tahun-tahun kebelakangan ini dan kami menjangkakan corak ini akan berterusan di kebanyakan pasaran. Dengan UltraContact UX7, Continental Tyres berada dalam kedudukan terbaik untuk memperluas capaian pelanggan. Ia tidak hanya akan memenuhi keperluan kenderaan SUV, tetapi juga kenderaan untuk mobiliti urban serta perjalanan jauh,” jelas Ketua Perniagaan Tayar Kawasan Continental APAC, Dalibor Kalina.

    Rekaan UltraContact UX7 memberi tumpuan kepada keselamatan, ketahanan dan kesenyapan. Ciri X-Force Macroblock yang ada padanya memaksimumkan sentuhan dengan permukaan untuk kendalian yang stabil, sementara Adaptive Diamond Compound yang digunakan memanfaatkan formula dengan silika yang memperkaya perubahan tenaga kinetik kepada hana pada tahap optimum; memendekkan jarak brek ketika basah dan kering.

    Walaupun kebanyakan pemandu SUV kini lebih banyak memandu di dalam bandar, namun binaan Robust360 pada
    UltraContact UX7 akan mempersiapkan mereka untuk laluan yang lebih mencabar sekiranya diperlukan. Ia terdiri daripada besi yang diperkukuh yang menguatkan tayar untuk menyerap hentakan daripada jalan, memperkaya pengekalan bentuk dan kestabilan arah.

    Rekaan rangka yang lebih kukuh mengurangkan risiko kerosakan tayar, sementara rantai polimer Diamond Compound membentuk rangkaian yang terjalin kental, yang memperbaiki prestasi kehausan tayar untuk mengelakkan ia terkoyak dan berlubang dengan mudah.

    Tayar ini juga senyap. Ia memanfaatkan corak bunyak yang dipotong tepat serta teknologi Noisebreaker 3.0 yang memecah gelombang bunyi untuk mengelak kebisingan daripada masuk ke dalam kabin.

     
     
  • Polis Pahang beri 50% diskaun saman trafik pada 23-30 April di semua kaunter termasuk IPK, JPJ Kuantan

    Polis Pahang beri 50% diskaun saman trafik pada 23-30 April di semua kaunter termasuk IPK, JPJ Kuantan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Pahang telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 23 hingga 30 April 2025. Ia adalah sempeba dengan sambutan peringatan Hari Polis ke-218 Peringkat Kontijen Pahang.

    Menurut JSPT Pahang, pemberian diskaun saman trafik terpilih itu ditawarkan di seluruh kaunter saman trafik dalam negeri Pahang termasuk IPK Pahang dan JPJ Kuantan, dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, kecuali pada Sabtu dan Ahad.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di negeri Pahang, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Mazda MX-5 generasi baru sah guna enjin SkyActiv-Z 2.5L NA, tiada hibrid dan ada kotak gear manual

    Mazda MX-5 generasi baru sah guna enjin SkyActiv-Z 2.5L NA, tiada hibrid dan ada kotak gear manual

    Tidak seperti kebanyakkan model yang semakin membesar dari generasi ke generasi – lihat sahaja evolusi Porsche 911 dan MINI – perkara ini tidak terjadi kepada Mazda MX-5. Sejak dari pengenalan model generasi pertama sehingga keempat yang masih dijual kini, Mazda MX-5 masih dihasilkan dalam saiz yang lebih kurang sama.

    Bukan hanya kekal dengan saiz yang sama, malah MX-5 juga kekal wujud dengan resipi sama iaitu menggunakan enjin empat-silinder sebaris tanpa sebarang induksi paksaan (turbo atau supercharger), pacuan roda belakang dan penawaran kotak gear manual.

    Model generasi sedia ada dengan kod casis ND kini sudahpun berada 11-tahun dalam pasaran, jadi sudah banyak kedengaran khabar angin tentang pembangunan model generasi seterusnya. Bagi terus kekal relevan dengan piawaian emisi terkini, ada yang mengatakan MX-5 bakal menampilkan teknologi elektrifikasi sama ada bakal dijana unit rangkaian kuasa hibrid atau elektrik sepenuhnya. Dan ada juga yang mengatakan model konsep Iconic SP dengan enjin rotary dan motor elektrik yang didedahkan di Tokyo pada Oktober 2023 merupakan prebiu kepada MX-5 generasi baharu.

    Mazda MX-5 generasi baru sah guna enjin SkyActiv-Z 2.5L NA, tiada hibrid dan ada kotak gear manual

    Namun semua ini telah dinafikan oleh beberapa pegawai kanan Mazda dalam laporan Road & Track, di mana mereka mengesahkan bahawa model generasi kelima MX-5 kini dalam peringkat perancangan, dan model berkenaan akan mengekalkan resipi asal dengan enjin petrol sepenuhnya, tanpa induksi paksaan (naturally aspirated atau NA), tiada sistem elektrifikasi, ringan serta menawarkan kotak gear manual.

    “Apa yang ditakrifkan sebagai MX-5?” tanya ketua pegawai teknikal Mazda Ryuichi Umeshita. “Saya akan jawab perkara yang paling penting adalah ia ringan, dan perkara kedua paling penting juga adalah ringan. Ini kuncinya – apa jua masa depan MX-5, ia haruslah ringan.”

    Manakala pengurus besar rekaan Mazda Masashi Nakayama yang mengetuai pasukan pereka untuk MX-5 generasi sedia ada memberitahu bahawa beliau sendiri enggan menghasilkan model berkenaan sebagai roadster yang lebih besar walaupun ada yang memintanya berbuat demikian.

    “Ketika saya mula membuat rekaan model generasi keempat ini, ada permintaan dari Amerika Syarikat untuk menghasilkan kereta yang lebih besar dan tingkatkan kuasanya,” kata Nakayama dan menyambung “Saya kata, adakah anda benar-benar mahu sebuah Harley-Davidson?”

    Mazda MX-5 generasi baru sah guna enjin SkyActiv-Z 2.5L NA, tiada hibrid dan ada kotak gear manual

    Tambahnya lagi dalam menghasilkan blueprint untuk MX-5 generasi seterusnya, “Kami cenderung untuk memilih yang mana komponen lebih murah, lebih ringan dan lebih kecil. Dengan itu, kami boleh elakkan kereta tersebut untuk jadi terlebih besar. Apabila kami membuat penilaian MX-5 generasi seterusnya, kami mempertimbangkan untuk menjadikan beratnya kurang dari satu tan, dan panjang kurang dari empat meter.”

    Jadi model generasi baharu kelak turut bakal mengekalkan saiz yang lebih kurang sama dengan model generasi sedia ada yang menampilkan panjang 3,915 mm, dan berat untuk varian paling ringan iaitu dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear manual hanya mencecah 1,010 kg.

    Bagi menghasilkan kereta dengan berat lebih rendah iaitu di bawah satu tan akan menjadi lebih mencabar menurut Umeshita kerana ia perlu memenuhi piawaian keselamatan terkini yang ketat, namun sekurang-kurangnya ia tidak perlu lebih kuasa tambahan.

    “Nisbah kuasa-kepada-berat sedia ada sudah memadai. Kami tak fikir kami perlukan lebih kuasa untuk kereta ini, kerana kami sudahpun boleh menggunakan sepenuhnya dan menikmati kebolehan dan kapasiti enjin…jadi jawapan saya adalah kami tidak merancang untuk menambah lebih kuasa kepada kereta tersebut. Secara asasnya, ini adalah konsep yang mengekalkan ciri unik kereta ini,” jelas Umeshita.

    Mazda MX-5 generasi baru sah guna enjin SkyActiv-Z 2.5L NA, tiada hibrid dan ada kotak gear manual

    Beliau turut mengesahkan MX-5 baharu kelak akan menerima enjin SkyActiv generasi baharu yang akan dikenali sebagai enjin SkyActiv-Z. Enjin ini akan membuat kemunculan sulungnya menerusi SUV Mazda CX-5 generasi baharu yang bakal diperkenalkan pada akhir 2027, di mana ciri unik enjin ini adalah ia boleh mengekalkan kadar campuran udara dan bahan api sempurna dalam nisbah 14.7:1 (atau 1 lambda) pada setiap tahap rpm enjin.

    Enjin dengan pembakaran yang sangat cekap berkenaan dijangka membolehkan Mazda menghasilkan kenderaan yang melepasi piawaian emisi Euro 7 dan standard LEV IV di California tanpa menggunakan sebarang sistem hibrid elektrik.

    “Jika kami menuju ke Lambda:1, secara semula jadinya kuasa akan berkurangan,” kata Umeshita. “Tetapi untuk mengelakkannya, kami perlu memastikan kapasitinya adalah 2.5 liter. Jadi kuasanya adalah sangat baik, dan ekonomi bahan api juga akan sangat baik,” kata Umeshita yang turut mengesahkan enjin berkenaan juga akan menerima pilihan kotak gear manual.

    Mazda MX-5 generasi baru sah guna enjin SkyActiv-Z 2.5L NA, tiada hibrid dan ada kotak gear manual

    “Transmisi manual mempunyai rasa yang terus, rasa Jinba Ittai [iaitu slogan Mazda bagi membayangkan seperti hubungan bersatu antara kuda dan penunggangnya]. Ia merupakan pakej yang utama, sekurang-kurangnya untuk MX-5,” jelasnya.

    Umeshita menyatakan Mazda akan cuba mempertahankan MX-5 sebagai model dengan enjin pembakaran dalaman selama yang boleh, sehingga ia diharamkan di Eropah pada 2035, dan selepas itu model dengan unit rangkaian kuasa elektrik mungkin akan dipertimbangkan.

    “Jika semua enjin pembakaran dalaman diharamkan, selepas itu barulah kami tiada pilihan, dan sudah tentu, pasukan kejuruteraan kami kini sedang membuat kajian kedua-dua arah – [MX-5]EV bateri dan enjin pembakaran dalaman. Tapi apa jua kami buat, pilihan enjin pembakaran dalaman adalah lebih ringan,” katanya.

    Mazda MX-5 generasi baru sah guna enjin SkyActiv-Z 2.5L NA, tiada hibrid dan ada kotak gear manual

    Kewujudan MX-5 buat masa sekarang didorong oleh minat pegawai-pegawai atasan Mazda terhadap pemanduan sporty. Malah Umeshita dan CEO Mazda, Masahiro Moro sendiri kini berlumba dalam salah satu perlumbaan endurance di Jepun sebagai sebahagian pasukan lumba eksekutif syarikat itu.

    “Pada saya, memandu dalam kelajuan perlumbaan, anda boleh mewujudkan kemahiran bagi merasai dinamik kenderaan. Ini adalah penting buat kami,” kata Moro.

    “Anda perlu ada set kemahiran bagi membuat penilaian sendiri terhadap dinamik…saya bukan pemandu pakar, apa pun, kami memang ada orang yang lebih berkemahiran untuk melakukannya – tapi saya mahu menjadi sebahagian dari set kemahiran tersebut,” tambah bos besar Mazda itu lagi.

     
     
  • JPJ eBid: TDC dan PRS dibuka untuk bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu dan Pulau Pinang ini dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu, TDC sedang dibuka bidaan sejak 14 April. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 18 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 19 April 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRS, bakal dibuka bidaan mulai 26 April. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 30 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 1 Mei 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Rapid KL On-Demand kini tersedia di Puchong, Cheras – Zon Asia Jaya dijenamakan sebagai Zon PJ Sentral

    Rapid KL On-Demand kini tersedia di Puchong, Cheras – Zon Asia Jaya dijenamakan sebagai Zon PJ Sentral

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT memperkenalkan dua zon baharu dan satu zon sedia ada yang diperluaskan kawasan liputan bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula hari ini, 17 April 2025.

    Zon baharu tersebut adalah Terminal Puchong Utama – Puchong Prima yang menyediakan tiga buah van dan boleh ditempah menerusi aplikasi Trek Rides. Satu lagi zon baharu ialah MRT Bandar Tun Hussein Onn – Taman Desa Baiduri di Cheras, juga disediakan dengan tiga buag van dan tempahan boleh dilakukan menerusi aplikasi MOBI.

    Manakala bagi zon Asia Jaya yang sedia ada, ia dijenamakan sebagai zon PJ Sentral – Seksyen 7 & 17 dan merupakan penambahbaikan serta penggantian dari laluan T786B (LRT Asia Jaya – MRT Phileo Damansara) di mana kawasan liputan akan lebih meluas serta lebih banyak hentian yang disediakan bagi memberi lebih banyak pilihan hentian kepada para pengguna sedia ada dan menarik lebih ramai pengguna baharu dari kawasan sekitar untuk mencuba perkhidmatan ini.

    Rapid KL On-Demand kini tersedia di Puchong, Cheras – Zon Asia Jaya dijenamakan sebagai Zon PJ Sentral

    “Untuk semua zon terbabit, sejumlah 10 buah van akan digunakan dalam operasi harian. Penetapan jumlah van bagi setiap lokasi adalah berbeza mengikut kajian serta keperluan bagi kawasan tersebut,” ujar Ku Jamil Zakaria, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus.

    Sehingga bulan Mac 2025, perkhidmatan ini telah beroperasi di 37 buah zon sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk memberikan capaian perkhidmatan kepada para pengguna dan dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar, terutama sekali di perumahan yang tiada capaian perkhidmatan bas. Bagi bulan Mac sahaja kadar purata pengguna harian seramai 4,753 orang dicatatkan.

    Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan.

    Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Selepas Honda S7 yang dihasilkan oleh kerjasama Dongfeng Honda dilancarkan di China bulan lalu, kini satu lagi entiti kerjasama Honda di sana iaitu GAC Honda telah melancarkan kembar SUV EV berkenaan – ini dia Honda P7 secara rasmi juga telah dilancarkan di China.

    Kedua-dua model kembar ini sepatutnya dijual dengan jenama Honda Ye seperti model konsep yang didedahkan, namun tidak diketahui mengapa ia tidak digunakan untuk versi produksi ini. Sama seperti P7, Honda S7 ini ditawarkan dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang dijual pada harga bermula 199,900 yuan (sekitar RM120k), dan varian dua motor pacuan semua roda yang lebih berkuasa dijual pada harga 249,900 yuan (RM150k).

    Ia dihasilkan menggunakan platform Architecture W Honda dengan ukuran panjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm dan tinggi 1,625 mm, bersama jarak roda sejuh 2,930 mm. Jadi SUV EV Honda ini merupakan lawan terus kepada Tesla Model Y Juniper, di mana Honda P7 ini adalah 47 mm lebih pendek, namun jarak rodanya adalah 40 mm lebih panjang.

    Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Seperti yang disebut tadi, dua konfigurasi unit rangkaian kuasa ditawarkan pada Honda P7 ini yang sama seperti ditawarkan oleh Honda S7. Yang pertama adalah versi pacuan roda belakang menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp (200 kW) dan tork maksima 420 Nm. Ia dibekalkan dengan pek bateri NMC berkapasiti 89.8 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 650 km untuk satu cas penuh berdasarkan ujian CLTC.

    Manakala varian tertinggi diberikan dua motor elektrik dengan kebolehan pacuan semua roda, di mana satu lagi motor elektrik diletak pada gandar hadapan berkuasa 201 hp (150 kW) dan tork maksima 350 Nm. Secara keseluruhan Honda P7 AWD ini dibekalkan dengan kuasa 469 hp (350 kW) dan tork maksima 770 Nm.

    Walaupun hadir dengan kuasa lebih besar, bateri yang dibekalkan pada varian AWD ini masih sama iaitu 89.8 kWj. Jadi dengan satu cas penuhi hanya boleh bergerak sejauh 620 km dalam kitaran ujian CLTC. Manakala untuk mengecas, kedua-dua varian boleh menggunakan sistem AC dan juga sistem pengecas DC pantas.

    Honda P7 dan S7 ini boleh dibezakan menerusi perbezaan pada muka dan juga lampu belakang. Untuk P7 ini ia menggunakan muka dengan konsep rekaan sama seperti Prelude Concept, menampilkan lampu hadapan utama berbentuk-C bersama bahagian ‘gril’ yang mempunyai jalur LED menyala, dengan lampu nyalaan siang LED.

    Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Manakala pada bahagian belakang, konsep lampu berbentuk-C turut digunakan, dengan satu bar lampu menampilkan jalur LED di dalamnya yang merentagi penuh pintu tailgate belakang. Rekaan hadapan dan belakang P7 ini berbeza dengan Honda S7 yang menggunakan rekaan berbentuk-Y pada lampu.

    Namun pada bahagian dalaman, Honda P7 dan S7 menampilkan rekaan yang sama dan dipadankan dengan kelengkapan yang sama terdiri dari paparan instrumen digital dengan skrin 12.8-inci, skrin infotaimen utama dengan saiz 10.25-inci, skrin 10.25-inci untuk kawalan pendingin hawa, paparan head-up AR 41.9-inci dengan sistem bunyi Bose 16-pembesar suara.

    Honda P7 ini juga datang dengan perincian standard seperti fungsi sepenuhnya sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), menerusi sistem Honda Sensing.

     
     
  • Harga minyak 17-23 April 2025 — RON97 turun 10 sen jadi RM3.18/liter; diesel turun 10 sen jadi RM2.88/liter

    Harga minyak 17-23 April 2025 — RON97 turun 10 sen jadi RM3.18/liter; diesel turun 10 sen jadi RM2.88/liter

    Bagi minggu 17-23 April 2025, harga petrol RON 97 akan turun sebanyak 10 sen menjadi RM3.18 seliter berbanding minggu lalu, yang dijual dengan harga RM3.28 seliter. Dan, seperti biasa, harga petrol RON 95 pula kekal RM2.05 seliter buat masa ini.

    Harga runcit diesel juga menyaksikan penurunan 10 sen di Semenanjung Malaysia, menjadi RM2.88 seliter bagi diesel Euro 5 B10 dan B20. Sementara diesel Euro 5 B7 — yang dijual 20 sen lebih mahal — akan menjadi RM3.08 seliter bagi tempoh seminggu ke depan.

    Sementara harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada kadar RM2.15 seliter.

    Semua harga ini akan berkuatkuasa bermula 12 tengah malam ini hingga Rabu, 23 April ketika pengumuman baru dikemaskini.

     
     
  • Lexus ES generasi baharu akan didedah di Shanghai minggu depan – lebih sporty; ada versi PHEV dan EV?

    Lexus ES generasi baharu akan didedah di Shanghai minggu depan – lebih sporty; ada versi PHEV dan EV?

    Sedan mewah Lexus ES generasi sedia ada sudahpun berada sekitar tujuh-tahun dalam pasaran, selepas ia membuat kemunculan sulung pada Auto China 2018 yang berlangsung di Beijing. Jadi selepas dihasilkan dalam dua fasa facelift (2021 dan 2024) sudah masanya ia diganti – Lexus sudah mengumumkan bahawa model generasi baharu untuk ES akan mem buat kemunculan sulung globalnya juga di China, iaitu ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 pada 23 April ini.

    Sebelum didedahkan sepenuhnya, anda boleh membayangkan dahulu rupa sebenarnya kerana Lexus sudahpun menyiarkan beberapa imej teaser untuk model tersebut. Antaranya bayangan sisi yang menunjukkan bahawa ES kini menampilkan bentuk badan fastback yang lebih serius, dan juga lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang dengan gaya seperti SUV Lexus RZ generasi terkini.

    Sedikit biasan bahagian belakang turut ditunjukkan, mendedahkan bahawa sedan ini masih menerima lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup but seperti model facelfit 2024, namun ia kini menampilkan rekaan yang jauh lebih nipis .

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Lexus menyifatkan ES generasi baharu ini akan menjadi “model flagship global yang memperhalusi teknologi elektrifikasi termaju dan meneruskan evolusi seterusnya bagi aspek kesenyapan dan keselesaan pemanduannya.”

    Kenyataan ini seolah-olah ES akan diangkat sebagai sedan mewah global yang mungkin turut akan menggantikan sekali tempat Lexus LS yang lebih besar. Model berkenaan sudahpun dihentikan penjualannya di United Kingdom awal tahun ini kerana jumlah jualan yang rendah, tetapi ia masih dijual di beberapa pasaran lain.

    Malah dengan port pengecas yang kelihatan pada fender hadapan dalam imej teaser, serta perkataan ‘elektrifikasi’ yang disebut, Lexus ES generasi baharu ini dijangka akan menerima varian dengan sistem Plug-in Hybrid (PHEV) selain varian hibrid biasa, dan tak mustahil ia mungkin turut ada varian dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (EV).

    Apa pun, perincian penuh hanya akan diketahui ketika model ini ditunjukkan sepenuhnya di China minggu hadapan.



     
     
  • MG Cyber X muncul dalam teaser – SUV EV besar yang akan buat penampilan di Auto Shanghai 2025

    MG Cyber X muncul dalam teaser – SUV EV besar yang akan buat penampilan di Auto Shanghai 2025

    MG menyiarkan teaser sebuah SUV besar berbadan petak, dipanggil sebagai Cyber X, yang akan membuat penampilan pertama semasa Auto Shanghai 2025 minggu hadapan. Melalui tiga gambar samar bahagian depan, tepi dan belakangnya, kita dapat melihat karekter lampu yang digunakan pada SUV ini.

    Di hadapan terdapat jalur LED penuh dari kiri ke kanan, logo MG bulat yang menyala, lengkuk roda lebar dengan bentuk berpetak serta bonet yang membonjol di bahagian tepi. Duduk tegap dengan badan yang berpetak, MG Cyber X ini nampak gagah seperti Land Rover Defender dan Toyota Land Cruiser.

    Menurut Autocar, Cyber X dibina atas platform elektrik E3 terkini daripada SAIC yang direka untuk pelbagai jenis kenderaan dari jenis kompak hinggalah sports. Platform ini menggunakan binaan cell-to-body, di mana baterinya menjadi penyumbang kepada ketegaran badan dan mengurangkan berat.

    Melihat kepada nama ‘Cyber’ yang digunakan, SUV ini mungkin bakal menjadi sebuah SUV yang terletak tinggi dalam pilihan modelnya, sama seperti Cyberster. Pada roadster itu, ia menggunakan tetapan dua motor dengan kuasa 544 PS/725 Nm, bateri 77 kWh dengan jarak gerak 444 km dan kemampuan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat.

    Di Malaysia, harganya adalah RM320k, dan dalam perkembangan terkini, MG baru sahaja mempertontonkan S5 EV, yang bakal menjadi pesaing kepada Proton eMas 7 dan BYD Atto 3.

     
     
  • Mitsubishi tangguh penghantaran ke AS sebab tariff

    Mitsubishi tangguh penghantaran ke AS sebab tariff

    Mitsubishi telah menangguhkan buat sementara waktu penghantaran kenderaan kepada pengedarnya di Amerika Syarikat sebagai kesan daripada tariff automotif 25% yang dikenakan oleh pemerintahan Trump, lapor Automotive News. “Kami menahan kenderaan di pelabuhan sehingga kami memperoleh kejelasan berkaitan tariff dan keputusan diambil untuk langkah seterusnya,” ujar seorang jurucakap.

    Ketika ini, pengedar jenama itu di AS mempunyai stok 20,245 kenderaan untuk dijual, yang bersamaan nilai dengan bekalan untuk 100 hari urusan perniagaan. Semua kenderaan ini tidak terkesan oleh tariff automotif yang diperkenalkan pada 3 April 2025.

    Bagaimanapun, insentif pelanggan untuk Outlander, model paling laris jenama itu di sana, akan dikurangkan dengan jangkaan peningkatan harga yang dijangka berlaku pada tahun ini. Menurut laporan itu, pembeli hanya akan menerima USD1,000 “rebat tunai” untuk SUV berkenaan berbanding USD1,500 ketika ini. Sebagai tambahan, kadar pembiayaan bagi pembeli yang layak telah naik hingga 4.99% daripada 2.99%. Semua kereta Mitsubishi yang dijual di AS dibuat di Jepun, yang terdedah dengan tariff Trump tersebut.

    Dengan langkah ini, Mitsubishi menyertai jenama lain seperti Lotus, Jaguar Land Rover, Volkswagen dan Audi yang menangguhkan penghantara kenderaa kepada pengedar. Dalam perkembangan lain, Volvo memberhentikan penjualan model S90 di AS kerana model berkenaan diimport dari China.

     
     
  • Kerajaan sedang pertimbang bina lorong khas untuk motosikal di lebuh raya baru di Malaysia — KKR

    Kerajaan sedang pertimbang bina lorong khas untuk motosikal di lebuh raya baru di Malaysia — KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mempertimbangkan penyediaan lorong motosikal bagi lebuh raya baru sebagai suatu usaha jangka panjang untuk menjadikan penggunaan motosikal selamat, lapor Bernama.

    Walaupun penambahan lorong motosikal itu memerlukan pelaburan yang besar, adalah penting untuk memikirkan tentang kadar kemalangan motosikal yang semakin tinggi di negara ini, jelas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    “Kami ambil maklum tentang statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang menunjukkan banyak kehilangan nyawa di Malaysia melibatkan kemalangan motosikal, jadi ia penting untuk diberi perhatian. Pada masa hadapan, bila kita membangunkan lebuhraya baru, kita perlu mempertimbangkan lorong motosikal khusus,” ujar Nanta.

    Kementerian Kerja Raya sedang bekerjasama dengan pemain industri seperti PLUS Malaysia untuk mewujudkan kawasan teduh khas bagi penunggang motosikal untuk digunakan ketika cuaca buruk, terutama di lebuhraya bertingkat berikutan terhadnya struktur perluasan jalan di lebuh raya sedia ada, jelas beliau.

    “Ramai penunggang berhenti di bawah jambatan ketika hujan, atau di sepanjang lorong kecemasan. Banyak juga kejadian sudah berlaku, yang mana mereka tidak jelas dilihat oleh kenderaan lain ketika hujan, dan terjadinya kemalangan.”

     
     
  • Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia bertarung di Michelin Spa Francorchamps 12 Jam 2025 minggu ini

    Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia bertarung di Michelin Spa Francorchamps 12 Jam 2025 minggu ini

    Pasukan lumba Viper Niza Racing dari Malaysia bakal memulakan kempen perlumbaan endurance mereka di Eropah untuk tahun ini, bermula dengan perlumbaan Michelin Spa Francorchamps 12 Jam 2025 di Belgium hujung minggu ini, bermula 18 hingga 20 April.

    Perlumbaan yang begitu kompetitif ini bakal menyaksikan 40 jentera dari 10 pengeluar berbeza akan bertarung selama 12 jam di litar ikonik Belgium sejauh 7.004 km yang terkenal dengan selekoh laju Eau Rouge berkenaan. Pasukan Viper Niza Racing akan dibarisi tiga pemandu Malaysia iaitu Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh, yang akan mengendalikan jentera Mercedes-AMG GT3 Evo bagi bertanding dalam kelas GT3/AM, menentang jentera-jentera seperti Lamborghini Huracan GT3 Evo, Audi R8 LMS GT3 Evo II, Aston martin Vantage AMR GT3 Evo.

    Ini bukan kali pertama Viper Niza berlumba di Spa Francorchamps. Pasukan itu sebelum ini pernah berlumba dalam perlumbaan TCR SPA500 pada 2019, di mana jentera Seat Cupra TCR DSG Viper Niza yang dipandu oleh trio yang sama menjadi juara selepas menghabiskan 500 lap di litar tersebut.

    “Spa Francorchamps mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati kami – ia sememangnya litar yang sangat menakutkan kerana ciri-ciri kelajuan tinggi dan keadaan cuaca yang berubah-ubah, tetapi ia juga menjadi tempat kepada salah satu pencapaian terbaik kami dalam perlumbaan antarabangsa. Kembali dengan kereta kelas GT3 yang lebih berkuasa tahun ini sudah pasti akan memberikan cabaran tersendiri tetapi krew dan pemandu akan kekal fokus dan optimistik,” kata Douglas Khoo yang turut menggalas tugas prinsipal pasukan Viper Niza.

    “Pengalaman sebelum ini dalam perlumbaan endurance akan memberitahu kami bahawa matlamat paling utama adalah untuk menghabiskan perlumbaan, dan akan bertambah manis sekiranya kami dapat berdiri di atas podium.

    “2025 menandakan tahun ketiga kami bersaing dalam kelas GT3 menggunakan dua kereta yang sangat berbeza. Ia merupakan keluk pembelajaran yang curam dalam kelas perlumbaan yang sangat kompetitif, sudah tentu mengharungi insiden dan kekecewaan kami yang saksama, tetapi kami mencapai kemajuan yang baik. Pakej baharu untuk tahun 2025 lebih kompetitif, kami nampaknya akan menyesuaikan diri dengannya dengan lebih baik dan kami yakin bahawa ini akan membawa lebih banyak pencapaian,” tambah Khoo.

    Salah satu rahsia Viper Niza untuk memacu keyakinan dalam perlumbaan kali ini adalah kerana pasukan itu baru sahaja menang dalam kelas GT AM dan tempat kedua dalam kelas GT AM pada perlumbaan Motul Sepang 12 Jam baru-baru ini.

    Selepas Spa, cabaran Viper Niza akan diteruskan di perlumbaan Misano 12 Jam di Itali bermula 23 hingga 24 Mei, 12 Jam Paul Ricard di Perancis bermula 3-5 Julai; 24 Jam Barcelona in di Sepanyol bermula 26-28 September; dan Shanghai 8 jam pada Oktober.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025