Kereta Tesla

  • Supercharger Tesla di Pavilion mula beroperasi — RM1.25 per kWh, RM4 seminit jika biar kenderaan?

    Supercharger Tesla di Pavilion mula beroperasi — RM1.25 per kWh, RM4 seminit jika biar kenderaan?

    Ada makluman yang menyatakan bahawa Tesla Supercharger di Pavilion Kuala Lumpur kini sudah beroperasi. Sebuah tangkap layar tentang lokasi berkenaan di dalam aplikasi telah dimuat naik ke MyEVOC Facebook Group hari ini, dengan petunjuk tujuh daripada lapan stesen ada tersedia, dan sudah tentu ada diantaranya merupakan pengecas Tesla berkenaan.

    Bayaran dibuat kepada Tesla melalui kad kredit/debit yang didaftarkan dalam aplikasi. Kadar yang dikenakan bagi Supercharger Pavilion Kuala Lumpur adalah RM1.25 per kWh dengan yuran membiar kenderaan ialah RM4 seminit. Ketika ini, ruang berkenaan hanyalah untuk kenderaan Tesla sahaja. Untuk masa hadapan, akan ada ruang pengecasan sama yang terbuka untuk digunakan oleh EV dari jenama lain — selari dengan keperluan yang digariskan oleh MITI di dalam program BEV Global Leaders.

    Ini bermakna, sekiranya telah selesai mengecas dan pengguna membiarkan kenderaan mereka diparkir di situ, mereka akan dikenakan bayaran RM4 seminit kerana tidak mengosongkan pengecas. Jika pengguna mematikan sambungan dan mengalih kereta dalam tempoh lima minit selepas tempoh pengecasan tamat, yuran membiarkan kenderaan itu akan dibatalkan.

    Supercharger Tesla di Pavilion mula beroperasi — RM1.25 per kWh, RM4 seminit jika biar kenderaan?

    Walaupun kadar bayaran membiarkan kenderaan ini baik untuk mengelakkan salah guna ruang dan kemudahan untuk pengguna lain, tetap belum ada cara untuk mendenda mana-mana kenderaan Tesla yang diparkir di ruang supercharger itu tanpa ada apa-apa sambungan pengecasan.

    Kemudahan tersebut dimaklumkan mempunyai kuasa maksimum 250 kW, namun tentunya bukan semua lapan ruang itu mampu memberikan 250 kW dalam masa yang sama. Kapasiti pengecasan kenderaan Tesla juga tidak mampu menampung 250 kW itu untuk tempoh yang lama, dan dengan kadar bayaran adalah berdasarkan kWh dan bukannya masa, kuasa maksimum tidak memberi kesan kepada pengecasan.

    Selain Pavilion Kuala Lumpur, lokasi lain yang telah dikenal pasti untuk Tesla Supercharger sebelum ini termasuklah lima di Lembah Klang; Dengkil dan Petaling Jaya di Selangor, dan Bukit Jalil serta dua lagi lokasi di KL. Dua lagi akan berada di kawasan Utara — Ipoh dan Perai — sementara di Selatan juga akan ada dua — di Negeri Sembilan dan Iskandar Puteri.

     
     
  • Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Motors hari ini juga turut memperkenalkan Model Y, sebuah SUV saiz sederhana yang akan dijual secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dalam tiga tahap spesifikasi sama seperti yang didedahkan dalam konfigutor atas taliannya minggu lalu.

    Tiga varian Tesla Model Y yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

    • Tesla Model Y Standard Range RWD – RM199,000
    • Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
    • Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

    Standard Range RWD datang dengan jaminan lapan-tahun/160-000 km untuk bateri dan sistem pacuan, sementara Long Range AWD dan Performance AWD datang dengan jaminan lapan-tahun/192,000 km untuk bateri dan sistem pacuan. Semua harga termasuk SST. Pesanan dalam talian, dengan yuran RM1,000 yang tidak akan dikembalikan, mula dibuka minggu lalu.

    Sebagai tambahan, harga untuk tambahan ciri yang boleh dilakukan juga diumumkan:

    • Warna hitam, perak dan biru – RM5,000
    • Warna merah multi-coat – RM10,000
    • Ruang dalaman hitam/putih – RM5,000
    • Rim 20-inci Induction – RM10,000
    • Enhanced Autopilot – RM16,000
    • Ciri Self Driving penuh – RM32,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Pelanggan boleh mendekati semua varian Model Y ini di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 31 Oktober nanti. Pameran berkenaan dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh tiga bulan ini. Serahan pertama bagi Model Y untuk pelanggan di Malaysia pula dijangka dilakukan bermula awal 2024.

    Tesla Model Y ini bersaing dengan model SUV pengeluar lain seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC, dan untuk model EV pula seperti BMW iX1, Mercedes-Benz EQB, Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6. Untuk pasaran Malaysia, Model Y hanya hadir dalam versi lima-tempat duduk dua-baris.

    Tesla belum mendedahkan kapasiti kWh bateri kenderaannya, sebaliknya menyatakan itu dari jarak perjalanan. Untuk tempoh pengecasan, dengan kadar 250 kW, jarak 120 km boleh dicapai dalam masa hanya lima minit dengan Tesla Supercharger. Kelompok Supercharger pertama di Malaysia sudah dipasang di Pavilion Kuala Lumpur melibatkan lapan ruangan, dan akan beroperasi dalam masa terdekat.

    Berikut apa yang boleh dijangkakan daripada tiga varian Model Y ini:

    Tesla Model Y Standard Range RWD – RM199,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Model Y – RWD (rim Gemini). Model paling asas untuk pasaran Malaysia ialah Model Y Standard Range RWD. Kuasa disaluran dari motor elektrik tunggal, dan bateri menggunkan jenis LFP, memberikan jarak 455 km (kitaran WLTP). Prestasinya melibatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 217 km/j. Kelengkapan standardnya termasuk rim Gemini 19-inci, dengan pilihan rim Induction 20-inci turut ditawarkan dengan tambahan RM10,000.

    Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Model Y – Long Range AWD (Induction wheels). Varian yang dilengkapi dua motor elektrik di setiap gandarnya. Jenis bateri yang digunakan ialah NMC, dengan jarak perjalanan 533 km (WLTP). Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5 saat, tetapi laju maksimum sama 217 km/j. Accceleration Boost yang mengurangkan pecutan itu menjadi 4.5 saat, boleh dipilih dengan tambahan kos — boleh dibeli melalui aplikasi selepas pelanggan mendapat kenderaan tersebut, bukan ketika membuat tempahan.

    Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Model Y – Performance AWD (rim Uberturbine). Varian Model Y yang paling lengkap, yang turut menggunakan bateri jenis NMC, tetapi berkurangan jarak perjalanannya menjadi 514 km (WLTP). Ia boleh mencecah 100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Ia antaranya lengkap dengan rim Uberturbine, brek prestasi, spoiler gentian karbon, pedal aluminium dan suspesi rendah.

    Pilihan ruang dalaman

    Untuk ruang kabin, ketiga-tiga varian menerima material kulit vegan hitam (boleh dinaik taraf kepada B&W dengan kos RM5,000), bumbung kaca panoramik, paparan tengah 15-inci, dua pengecas tanpa wayar dan empat USB Type-C.

    Juga menjadi kelengkapan standard ialah sistem audio premium dengan 13-pembesar suara dengan subwoofer dan dua amplifier, kerusi depan larasan kuasa, kerusi dengan pemanas, pemanas stereng dan sistem pendingin dengan penapis HEPA dan Bioweapon Defence Mode. Ruang barangan yang tersedia di but belakang ialah 854 liter dan 117 liter di ruang bonet depan.

    Lima warna disediakan untuk Tesla Model Y — Solid Black, Pearl White Multi-Coat, Midnight Silver Metallic, Deep Blue Metallic dan Red Multi-Coat. Pearl White satu-satunya warna yang sudah termasuk dalam harga jualannya, dengan pilihan warna lain melibatkan kos tambahan RM5,000; warna merah pula perlukan tambahan RM10,000.

    Tesla Model Y Long Range 2023

    Tesla Model Y Performance 2023

    Tesla Model Y Standard Range 2023

     
     
  • Stesen Tesla Supercharger pertama di Malaysia siap di tempat parkir B1 Pavilion KL; sediakan 8 pengecas

    Stesen Tesla Supercharger pertama di Malaysia siap di tempat parkir B1 Pavilion KL; sediakan 8 pengecas

    Sebelum dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia esok, 20 Julai 2023, jenama kenderaan elektrik (EV) dari Amerika Syarikat, Tesla kini dilihat sudah bersedia dengan stesen pengecas Supercharger pertamanya dalam negara – ia dibina di pusat membeli-belah Pavilion Kuala Lumpur.

    Stesen yang terletak di tempat parkir aras B1 tersebut kini menyediakan lapan pengecas Supercharger yang nampak sudah bersedia untuk digunakan. Belum ada sebarang perincian rasmi dikeluarkan oleh Tesla Malaysia, namun stesen-stesen tersebut mungkin adalah dari versi V3 yang menawarkan pengecasan DC pantas sehingga 250 kW setiap satu.

    Ia belum lagi dibuka untuk digunakan hari ini, dan sebuah Tesla yang masih diselubung (mungkin Model Y) diletakkan di situ. Apa yang menarik, stesen pengecas berkenaan dengan jelas ditulis “hanya untuk kegunaan Tesla”, menunjukkan ia tidak boleh dikongsi dengan EV jenama lain.

    Stesen Tesla Supercharger pertama di Malaysia siap di tempat parkir B1 Pavilion KL; sediakan 8 pengecas

    Sebanyak 10 stesen pengecas Supercharger Tesla ini akan dibina untuk peringkat awal, dan stesen yang berada di Pavilion KL ini adalah salah satu daripadanya. Antara kawasan lain yang turut akan menerima stesen awalan ini adalah Lembah Klang (termasuk Petaling Jaya), Dengkil, Bukit Jalil dan dua lagi lokasi di KL. Tesla belum memperincikan secara spesifik lokasi-lokasi tersebut.

    Tesla turut merancang untuk memasang stesen Supercharger ini diluar Lembah Klang dan Selangor, antaranya di Ipoh, Perak dan Perai di Pulau Pinang bagi kawasan Utara Semenanjung Malaysia, serta dua akan dibina di Selatan iaitu di Negeri Sembilan dan Iskandar Putri, Johor.

    Lokasi-lokasi ini didedahkan apabila laman rasmi Tesla Malaysia dibuka Jumaat lalu, yang turut menyediakan konfigurator Tesla untuk anda menyemak harga kereta pilihan dan juga padanan ciri-ciri opsyen yang ditawarkan untuk pasaran tempatan.

    Buat masa sekarang Tesla Malaysia hanya menawarkan SUV EV Tesla Model Y pada konfigurator tersebut yang bakal dijual pada harga bermula RM199,000 untuk model asas Model Y RWD, diikuti RM246,000 untuk Model Y Long Range AWD dan RM288,000 untuk Model Y Performance AWD.

    Kesemua model yang telah keluar dalam konfigurator berkenaan sudahpun mula boleh ditempah. Sekali lagi diingatkan, Tesla secara rasmi akan masuk ke pasaran Malaysia esok, dan pastikan anda bersama kami laporan majlis pelancaran tersebut.

     
     
  • Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Jenama kereta elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla bakal muncul secara rasmi di Malaysia dengan perasmian yang akan dibuat pada 20 Julai nanti. Namun nampaknya anda yang berminat untuk membeli model pertama Tesla yang akan dilancarkan di sini iaitu Model Y sudahpun boleh membuat tempahan dan harganya juga telah didedahkan di konfigurator Tesla untuk pasaran Malaysia.

    Apa yang mengejutkan, Tesla Model Y menampilkan harga yang cukup kompetitif; model asas Tesla Model Y RWD dijual pada harga bermula RM199,000, diikuti Tesla Model Y Long Range AWD dijual pada harga RM246,000 dan varian tertinggi Tesla Model Y Performance AWD akan dijual pada harga RM288,000!

    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Ia sudahpun boleh ditempah dengan bayaran deposit RM1,000 (tidak boleh dikembalikan), dan penghantaran terawal akan bermula awal 2024. Menerusi konfigurator tersebut anda boleh membuat tingkat taraf dengan tambahan bayaran seperti berikut:

    Warna Hitam, Perak dan Biru – RM5,000
    Warna Merah dengan pelbagai lapisan – RM10,000
    Dalaman berwarna Hitam/Putih – RM5,000
    Rim Induction 20-inci – RM10,000
    Sistem Autopilot dipertingkat – RM16,000
    Pemanduan Sendiri Sepenuhnya – RM32,000

    Tesla Model Y merupakan SUV kompak dengan saiz seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC. Manakala saingan terusnya dalam segmen EV adalah model seperti BMW iX3 dan juga Mercedes-Benz EQC. Buat masa sekarang Tesla masih belum mendedahkan kapasiti bateri untuk Model Y pasaran Malaysia ini, namun apa yang pasti Model Y menggunakan asas sistem elektrik 400V.

    Tesla Model Y RWD – RM199,000

    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Tesla Model Y RWD dengan rim Gemini 19-inci

    Ia adalah model paling mampu milik ditawarkan oleh Tesla di Malaysia, datang standard dengan rim 19-inci Gemini tetapi pembeli boleh memilih rim 20-inci Induction. Model ini hanya diberikan satu motor elektrik untuk memacu roda belakang dengan kebolehan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.9 saat serta jarak gerak 455 km (WLTP) dengan sekali cas penuh.

    Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Tesla Model Y Long Range AWD dengan dengan rim Induction 20-inci

    Sama seperti Model Y RWD, varian ini turut hadir standard dengan rim Gemini, dan boleh dipilih dengan rim Induction. Ia diberikan dua motor elektrik masing-masing memacu roda hadapan dan belakang, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 217 km/j serta menampilkan jarak gerak 533 km.

    Pembeli juga boleh membeli tingkat taraf Acceleration Boost bagi mendapatkan pecutan 0-100 km/j lebih pantas iaitu 4.5 saat. Namun harga untuk tingkat taraf ini belum diumumkan, dan ia hanya boleh dibeli menerusi aplikasi selepas pembeli menerima kereta, bukan ketika membuat tempahan.

    Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000
    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Tesla Model Y Performance AWD dengan dengan rim Uberturbine 21-inci

    Model paling mahal yang ditawarkan oleh Tesla Malaysia buat masa sekarang ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Jarak gerak untuk model ini adalah 514 km (WLTP), dan datang dengan perincian standard seperti rim Uberturbine 21-inci, brek prestasi, spoiler gentian karbon, pedal aloi aluminium dan suspensi lebih rendah.

    Untuk bahagian dalaman, ketiga-tiga varian ini diberikan upholsteri kulit vegan (boleh di tingkat taraf kepada hitam atau putih dengan bayaran RM5,000), bumbung kaca panaromik, skrin sesentuh utama 15-inci, dua pengecas tanpa wayar dan empat port USB Type C, sistem audio premium dengan 13-pembesar suara bersama subwoofer dan dua power amp, tempat duduk hadapan larasan elektrik, pemanas pada semua tempat duduk dan roda stereng, serta penghawa dingin dengan sistem penapis HEPA dan Bioweapon Defence Mode.

    Dalaman Tesla Model Y dengan upholsteri hitam (kiri) dan putih (kanan)

    Tesla Model Y ini juga tampil dengan ruang but seluas 854 liter di belakang, serta ruang simpan bonet hadapan dengan kapasiti 117 liter.

    Dengan dijual sendiri oleh Tesla Malaysia, sudah tentu ia dilindungi oleh waranti pengeluar yang sah. Tesla memberikan waranti standard selama empat tahun atau 80,000 km yang mana sampai dahulu. Ia juga diberikan waranti bateri dan unit pemanduan selama lapan tahun atau 160,000 km yang mana sampai dulu, dengan pengekalan minimum 70% kapasiti bateri sepanjang tempoh jaminan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 25, 2024