Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KTM tambah perkhidmatan komuter bagi Padang Besar-Butterworth-Padang Besar sempena Aidilfitri

    ktm-komuter-2

    KTM Berhad telah mengeluarkan kenyataan mengenai pertambahan perkhidmatan KTM Komuter pada hujung minggu bagi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar. Ia akan ditambah sebanyak 20 perkhidmatan sehari dari 1 Julai hingga 10 Julai ini sempena Hari Raya Aidilfitri. Kini terdapat 14 perkhidmatan KTM Komuter pada hujung minggu.

    Menurut KTM Berhad, enam perkhidmatan tambahan itu melibatkan, masing-masing tiga bagi laluan Padang Besar-Butterworth dan Butterworth-Padang Besar, laporan Bernama.

    Bagi laluan Padang Besar-Butterworth, ia berlepas pada 10 pagi, 3 petang, dan 5.40 petang manakala bagi laluan Butterworth-Padang Besar, ia berlepas pada 6.35 pagi, 12 tengah hari dan 2 petang.

    Dalam masa yang sama, KTM Berhad turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan dan membeli tiket dua hala bagi mengelak kesesakan di kaunter tiket.

     
     
  • JPJ terima 11,683 tempahan nombor pendaftaran siri F

    Putrajaya-F-No-Plate

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan nombor pendaftaran siri F iaitu bagi Putrajaya, telah menerima sebanyak 11,683 tempahan. Nombor pendaftaran siri F ini dibuka untuk tempahan pada 1 Jun lepas dan ditutup pada 12.00 tengah hari pada 14 Jun.

    Menurut JPJ lagi, orang ramai yang telah mengemukakan tempahan nombor pendaftaran tersebut boleh mula menyemak keputusan tempahan pada hari ini iaitu 1 Julai 2016, laporan Bernama.

    Di mana notis keputusan akan dipamerkan di Pejabat JPJ Cawangan Putrajaya dan Bahagian Pelesenan Kenderaan, Aras 3, Ibu Pejabat JPJ Malaysia, Putrajaya serta semua Ibu Pejabat JPJ Negeri. Bagi yang memenangi bidaan nombor pendaftaran berkenaan juga boleh membuat baki pembayaran di mana-mana pejabat JPJ Negeri atau cawangan yang melaksanakan urusan pendaftaran kenderaan.

    Menurut JPJ, jumlah tempahan siri F itu merupakan jumlah kedua tertinggi tempahan nombor pendaftaran selepas siri WWW yang dikeluarkan oleh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2012.

    JPJ turut berkata orang ramai yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran semasa siri F yang tidak ditempah, juga boleh berbuat demikian di mana-mana Pejabat JPJ Negeri mulai 3 Julai bagi negeri-negeri yang bekerja pada hari Ahad dan 4 Julai bagi negeri-negeri lain.

     
     
  • Lebuhraya Senai-Desaru menawarkan 10% diskaun tol pada 6 Julai ini selama 24 jam sempena Aidilfitri

    E22-Senai-Desaru

    Bagi yang ingin ke Johor sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau pun sekadar bercuti, Senai-Desaru Expressway Bhd (SDEB) telah mengumumkan tawaran diskaun tol sehingga 10% kepada semua kenderaan yang menggunakan Lebuhraya E22 (Senai-Desaru) pada Hari Raya ini. Ia adalah bagi semua pengguna lebuhraya berkenaan, tanpa mengira sama ada mereka menggunakan bayaran tunai atau sistem elektronik ETC.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SDEB berkata bagaimanapun pihaknya menggalakkan pemandu menggunakan lorong ETC untuk melancarkan lagi perjalanan mereka.

    Diskaun itu ditawarkan mulai jam 6 pagi pada 6 Julai sehingga 6 pagi 7 Julai 2016. Ia adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat SDEB.

     
     
  • UMW Toyota umum kempen panggil balik melibatkan Toyota Prius dan Lexus CT200h kerana masalah beg udara tirai dan charcoal canister tangki minyak

    prius-fl-malaysia

    Susulan panggilan balik oleh Toyota Motor Corporation (TMC) seluruh dunia bagi beberapa model Toyota dan Lexus akibat masalah beg udara tirai dan charcoal canister tangki minyak, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) turut mengumumkan perkara yang sama melibatkan Toyota Prius dan Lexus CT200h bagi pasaran Malaysia.

    Kempen Servis Istimewa (SSC) atau panggilan pertama melibatkan isu beg udara tirai yang membabitkan lebih dari 3,500 unit Prius buatan antara April 2009 dan April 2012 serta 1,700 unit CT200h buatan antara Disember 2010 dan April 2012.

    Bagi kedua-dua model kenderaan berkenaan, beg udara tirai ini terletak di sisi kiri dan kanan rel bumbung, di mana inflator bagi beg udara tersebut mengandungi gas termampat dalam satu kebuk dan ia dikimpal bersama. Beberapa inflator dikesan mempunyai satu keretakan kecil dalam kawasan yang dipateri. Jika serpihan tersebut bertebaran, beg udara tersebut boleh pecah dan inflator itu boleh terkeluar dari beg udara yang boleh menyebabkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang di dalam kenderaan.

    Kempen SSC ini sangat diperlukan bagi memasang bracket pada inflator beg udara tirai ini bagi menghalang kebuk inflator bertebaran keluar ke kabin. Kerja-kerja pemasangan ini hanya mengambil masa kira-kira antara dua hingga ke empat jam, tertakluk pada jadual di pusat servis.

    fuel_suction_plate

    Manakala panggilan kedua pula melibatkan 6,000 unit model Prius (tahun buatan April 2009 dan November 2013) dan 3,000 unit CT200h (Disember 2010 dan Disember 2013). Ia adalah membabitkan charcoal canister pada tangki minyak. Di mana canister atau balang digunakan untuk mencegah emisi dari tangki minyak dilepaskan ke udara. Ada kemungkinan terdapat rekahan pada bahagian tepi saluran balang ini.

    Jika ia benar terjadi, rekahan tersebut boleh menjadi lebih besar dan menyebabkan tangki minyak bocor apabila minyak diisi penuh. Malah minyak atau wap minyak tersebut boleh mencetuskan percikan seterusnya mendatangkan risiko kebakaran pada kereta terbabit.

    SSC ini bertujuan untuk memastikan charcoal canister pada tangki minyak diganti baharu. Proses penggantian ini mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga jam, juga bergantung pada jadual di pusat servis.

    Semua pemilik kenderaan terbabit akan menerima notis pemberitahuan oleh UMWT dan segala kos penukaran alat ganti dan kos buruh adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini sendiri.

    Bagi pemilik yang tidak menerima sebarang notis atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, sila hubungi talian bebas berikut – 1800-8-TOYOTA (869682) / 1800-8-LEXUS (53987). Atau pun terus berkunjung ke mana-mana pusat servis Toyota atau Lexus untuk bantuan.

     
     
  • Toyota panggil balik lebih 2.98 juta kereta Toyota dan Lexus kerana masalah charcoal canister tangki minyak

    prius-fl-malaysia

    Toyota telah mengumumkan kempen panggil balik di seluruh dunia yang melibatkan lebih 2.98 juta kereta Toyota dan Lexus kerana mengalami masalah tangki minyak. Model yang terlibat ialah Corolla, Auris, Prius, SAI, Rukus, CT200h, HS250h buatan antara tahun 2006 hingga 2015.

    Isu ini adalah disebabkan charcoal canister pada tangki minyak. Di mana canister atau balang digunakan untuk mencegah emisi dari tangki minyak dilepaskan ke udara. Ada kemungkinan terdapat rekahan pada bahagian tepi saluran balang ini.

    Jika ia benar terjadi, rekahan tersebut boleh menjadi lebih besar dan menyebabkan tangki minyak bocor apabila minyak diisi penuh. Malah minyak atau wap minyak tersebut boleh mencetuskan percikan seterusnya mendatangkan risiko kebakaran pada kereta terbabit.

    fuel_suction_plate

    Panggilan balik ini sangat penting bagi memastikan charcoal canister pada tangki minyak diganti baharu.

    Terdapat kemungkinan ia juga melibatkan model Toyota dan Lexus yang dijual di Malaysia dan kami sedang menantikan pihak UMW Toyota Motor mengeluarkan kenyataan khas mengenainya. Walau bagaimana pun, kempen panggil balik ini adalah berbeza dengan kempen panggil balik bagi beg udara tirai yang kami siarkan sebentar tadi.

     
     
  • Shell Malaysia anjur acara amal pada 1 hingga 3 Julai ini bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik

    Shell - Terima Kasih (2)

    Pastinya ramai yang sudah merancang untuk pulang ke kampung bersempena Hari Raya Aidilfitri yang akan berkunjung tiba. Perjalanan kali ini pastinya akan memberi lebih berkat kepada kanak-kanak yang memerlukan, di mana bersempena Aidilfitri tahun ini, Shell akan mendermakan RM0.01 untuk setiap satu liter bahan api yang diisi di mana-mana stesen Shell di seluruh negara pada 1, 2 dan 3 Julai ini. Sumbangan akan disalurkan untuk memperbaiki dan mengubah taraf kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di seluruh negara.

    Ini merupakan tahun kedua Shell menganjurkan kempen amal ini. Pada tahun 2015, Shell telah mengumpulkan dana untuk lima organisasi dalam memberi tumpuan untuk meningkatkan taraf kebajikan kanak-kanak. Di mana pertubuhan-pertubuhan ini dapat menyediakan program pendidikan tambahan, mengubahsuai kemudahan, dan menaik taraf peralatan pejabat.

    “Tahun ini Shell ingin meneruskan perjalanan dalam memperkasakan kanak-kanak untuk membina masa depan yang lebih baik, dengan memberi mereka peluang untuk mencungkil bakat dan merebut peluang untuk mencapai potensi yang tertinggi. Berdasarkan peningkatan taraf kehidupan kesan daripada program ini pada tahun lepas, kami lebih komited untuk meneruskan lagi usaha ini dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengisi minyak semasa perjalanan pulang ke kampung mereka.

    “Bersama-sama dengan rakan kongsi dan pelanggan-pelanggan kami, kami berharap untuk menjadikannya lebih besar dan lebih baik pada tahun ini” kata Datuk Azman Ismail Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd.

    shell charity drive balk kampung

    Apatah lagi 2016 merupakan tahun yang amat penting bagi Shell kerana syarikat ini akan menyambut ulang tahun yang ke-125 di Malaysia pada tahun ini, dan acara amal ini merupakan titik permulaan bagi sambutan ulang tahun ini.

    Berkongsi inspirasi di sebalik program ini, Datuk Azman turut berkata, “Shell telah berada di Malaysia selama 125 tahun dalam memberi kesan pada kehidupan dan juga perkembangan negara. Kami mengembara bersama Malaysia dan juga rakyatnya. Kami percaya dalam memberi inspirasi kepada kemajuan yang berterusan dan menyediakan peluang untuk hari esok yang lebih baik. Tiada cara yang lebih baik untuk meraikan mercu tanda ini daripada menyumbang semula kepada masyarakat kita!”

    Dengan sokongan dari para pelanggan dan juga rakan kongsi, Shell akan menyalurkan sumbangan kepada enam rumah kebajikan pada tahun ini iaitu Persatuan Dyslexia Malaysia, Pusat Harian Kanak-Kanak Spastik Bandar Ipoh, Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor Bahru, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Rumah Putera Dan Puteri Harapan), Seri Mengasih Centre Sabah dan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak.

    Tambahan pula dengan harapan untuk menambah lagi dana kutipan, ahli Bonuslink juga boleh menukar mata ganjaran mereka kepada sumbangan melalui kempen amal pada tahun ini. Pemegang kad BonusLink boleh menyumbang sebanyak RM1.00 untuk setiap 100 mata ganjaran untuk terus membantu dalam kutipan dana kepada organisasi–organisasi ini.

     
     
  • Toyota Prius dan Lexus CT 200h dipanggil semula kerana masalah modul beg udara tirai

    05-Prius-Exteriorb1

    Toyota telah mengumumkan panggilan semula terhadap Toyota Prius, Prius Plug-in Hybrid dan Lexus CT 200h kerana masalah pada modul beg udara tirai.

    Secara spesifik, panggilan semula ini melibatkan Prius yang dibuat pada 2010, 2011 dan 2012, Prius Plug-In Hybrid yang dibuat pada 2011 dan 2012 serta Lexus CT 200h.

    Beg udara bahagian tirai untuk bahagian pemandu dan penumpang pada rel bumbung mempunyai inflator beg udara terdiri dari dua kebuk yang dikimpal bersama. Keretakkan kecil mungkin berlaku dibahagian yang dikimpal pada kebuk berkenaan, dan ia semakin membesar dari masa ke masa, berkemungkinan akhirnya akan memisahkan inflator tersebut. Keadaan ini telah diperhatikan pada kenderaan yang diletakkan dan ditinggalkan untuk tempoh masa yang lama.

    Apabila inflator berkenaan terpisah, beg udara perlindungan tirai akan mengembung pada sebahagian sahaja dan pada keadaan-keadaan tertentu, kedua-dua bahagian pada inflator mungkin boleh masuk kebahagian dalaman kereta, berkemungkinan akan menyebabkan kecederaan kepada penumpang dalam kenderaan jika ia berlaku.

    Panggilan semula ini akan melibatkan pemasangan pendakap pengukukuhan pada inflator beg udara tirai berkenaan. Pendakap pengukuhan ini direka untuk mengelakkan kebuk inflator dari masuk ke bahagian dalaman kenderaan jika ia terpisah.

    UMW Toyota telah mengesahkan ada kereta untuk pasaran Malaysia terlibat dalam panggilan semula ini dan mereka dalam proses mengeluarkan kenyataan, dan dijangka akan dikeluarkan hari ini.

    Kami akan memberikan perkembangan isu ini jika kami menerima sebarang informasi terkini.

     
     
  • Proton tidak merancang untuk membangunkan model wagon buat masa ini, tumpu model sedia ada – sumber

    13517637_10205833386428218_6675654982331502527_o

    Sejak semalam tersebar viral di laman media sosial Facebook mengenai foto model wagon yang dimuat naik oleh Zainul Azraai. Pelbagai respons dari orang ramai berkenaan dengan model wagon yang nampaknya menggunakan Saga sebagai platformnya.

    Kebanyakan di antara mereka memberikan pendapat ia wajar untuk dibangunkan jika berbentuk wagon. Namun jika ia dilahirkan sebagai MPV, ramai yang mengatakan saiznya yang kecil (berbanding Exora) dan ia nampak tidak bersesuaian.

    Kami cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dari Proton sendiri. Menurut sumber dalaman Proton, model prototaip wagon ini adalah sebagai kajian permulaan, namun buat masa ini, ia tidak ada dalam perancangan untuk dibangunkan.

    “Proton sudah memiliki terlampau banyak model, jadi kena merasionalisasikannnya. Lagi pun Proton tidak pernah membuat sebarang pengumuman untuk varian ini (wagon),” ujar sumber terbabit.

    Jadi nampak gayanya, model ‘Saga wagon’ ini sekadar di peringkat kajian permulaan sahaja, dan Proton ternyata tiada perancangan untuk membangunkannya. Lagi pun pastinya Proton sedang sibuk dengan persiapan untuk model baharu bagi Persona, Saga dan MPV-B (Ertiga), yang telah disahkan bakal dilancarkan pada tahun ini.

    Apa pendapat anda, adakah model wagon ini patut berada dalam senarai model yang bakal dibangunkan oleh Proton? Kongsikan bersama kami.

     
     
  • Pemandu teksi Pulau Pinang lancar protes terhadap Uber dan GrabCar- pendapatan makin berkurangan

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 1

    Foto : Pemandu teksi KL yang protes pada tahun lalu

    Seramai 200 pemandu teksi di Pulau Pinang telah melancarkan protes menentang perkhidmatan Uber dan GrabCar di negeri berkenaan. Protes tersebut telah berlangsung selama empat jam iaitu bermula 10 pagi tadi.

    Setiausaha Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang Mohamad Shahimi Hadzri berkata pihaknya menggesa agar kerajaan Persekutuan dan Kabinet supaya mempertimbangkan agar perkhidmatan Uber dan GrabCar diharamkan, laporan The Star.

    “Pihak Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan keadaan kami apabila pendapatan kami kian berkurangan sejak adanya Uber dan GrabCar. Sebelum ini, kami mampu mendapat lebih RM200 sehari, tapi kini hendak dapat RM50 sehari pun sukar. Teksi harus dibayar sewa. Jadi bagaimana kami hendak bertahan jika terpaksa berhadapan dengan perkara ini?” soalnya kepada pihak media ketika protes yang berlangsung di Esplanade ini.

    Beliau turut menambah, jika Sabah boleh mengharamkan Uber dan GrabCar, Pulau Pinang dan seluruh negeri di Malaysia patut berbuat perkara yang sama.

     
     
  • Proton sediakan pemeriksaan percuma bagi pemilik kenderaannya di 10 stesen Petronas terpilih

    Proton Iriz Petronas Primax Edition 4

    Selari dengan tradisi sambutan perayaan Hari Raya, Proton sekali lagi menyediakan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma kepada pelanggan-pelanggannya di stesen-stesen Petronas yang terpilih. Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan PETRONAS bersempena kempen PETRONAS “Coffee Break”.

    Pemeriksaan keselamatan percuma ini sah dari 2 hingga 4 Julai 2016, dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Selaras dengan kempen Petronas “Coffee Break” yang telah diperluaskan ke lebih banyak stesen-stesen PETRONAS, wakil-wakil Proton akan ditempatkan di 10 stesen yang berbeza di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan.

    “Pada 2015, kami hanya berada di lima buah Stesen Petronas untuk inisiatif kesedaran keselamatan oleh PROTON dan disebabkan peningkatan kadar kesedaran di kalangan pemilik Proton, kami berupaya untuk menambahkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan ini ke tujuh buah Stesen Petronas semasa musim perayaan Tahun Baru Cina Februari lalu.

    “Kami bersyukur di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kerana Petronas kini mengembangkan capaian kami kepada 10 buah Stesen PETRONAS untuk musim perayaan ini, supaya kami dapat menyediakan pemeriksaan keselamatan percuma kepada lebih ramai orang, terutama mereka yang menggunakan lebuh raya utama untuk perjalanan pulang ke kampung,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

    Pemeriksaan keselamatan 20 mata ini termasuk pemeriksaan ke atas sistem brek, suspensi, tayar, bateri, bilah pengelap cermin, tali sawat, lampu dan paras cecair seperti minyak enjin, bendalir brek, bahan pendingin dan bilah pengilap cermin. Bagi memeriahkan lagi sambutan ini, pemilik Proton juga akan dibekalkan dengan beg cenderahati yang diisi kuih-muih dan air mineral sebagai tanda penghargaan di atas sokongan yang diberikan.

    Proton_Petronas

    Pelanggan boleh singgah di pusat-pusat yang terletak di Stesen Petronas seperti di bawah:

    Kawasan Pusat Bandar
    – Stesen Petronas NKVE Subang, Selangor
    – Stesen Petronas Penchala Link, Selangor (arah Damansara)

    Kawasan Utara
    – Stesen Petronas Taman Nilam Sari, Sungai Petani, Kedah
    – Stesen Petronas Bandar Anak Bukit, Alor Setar, Kedah
    – Stesen Petronas Tok Kangar, Juru, Penang

    Kawasan Selatan
    – Stesen Petronas Air Keroh 3, Peringgit, Melaka
    – Stesen Petronas Bakri 2, Muar, Johor

    Kawasan Pantai Timur
    – Stesen Petronas Bentong R & R, Bentong, Pahang
    – Stesen Petronas Gambang Arah Timur, Kuantan, Pahang
    – Stesen Petronas Taman Guchil Jaya, Kuala Krai, Kelantan

    Kempen ini adalah sebahagian daripada kempen keselamatan berterusan di seluruh negara di mana pemilik Proton boleh membawa kereta mereka ke mana-mana pusat servis Proton untuk pemeriksaan keselamatan percuma Proton percaya kempen keselamatan ini mampu membantu untuk mewujudkan kesedaran kepada pelanggan dan pengguna jalan raya terhadap kepentingan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan, dan menyediakan peluang untuk mendidik dan meningkatkan keselamatan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

     
     
  • Tindakan tegas jika salah guna parkir OKU – MBPP

    oku-parking-lot-abused

    Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan tegas terhadap 243 pemandu normal yang memarkir kenderaan mereka di petak parkir yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU) antara Januari hingga Mei lalu.

    Menurut Ahli Majlis MBPP Chriss Lee, sebanyak 220 pesalah telah disabitkan dengan saman trafik bernilai RM100 setiap seorang, manakala sembilan kenderaan telah ditunda dan 14 lagi telah dikunci tayarnya, laporan The Star.

    Beliau berkata, pemilik kenderaan yang ditunda turut dikehendaki membayar RM100 untuk kos tunda, manakala bagi mereka yang tayar kenderaannya dikunci, perlu membayar RM50 untuk membuka kunci tersebut.

    Lee juga berkata pihak penguatkuasa kini sedang mencari penguatkuasaan yang standard bagi sesiapa yang memarkir di petak parkir OKU ini tanpa pelekat kebenaran khas.

    “Malah orang ramai juga boleh terus menghubungi kami sekiranya mereka terlihat mana-mana pemilik kenderaan tanpa pelekat OKU memarkir di petak parkir OKU. Kita akan segera bertindak berdasarkan laporan tersebut,” ujarnya sambil menambah MBPP telah menyediakan 54 parkir lot OKU dan akan menambahnya dari semasa ke semasa.

    “Jika boleh, kita ingin menunda semua kereta tersebut tetapi kita memiliki jumlah trak tunda yang terhad,” kata Lee sewaktu ditemui pihak media selepas majlis pelancanran kempen mesra-OKU oleh majlis perbandaran berkenaan di George Town Ahad lalu.

    MBPP turut menyeru agar penunggang motosikal juga tidak meletakkan motosikal masing-masing dalam jarak kurang lima kaki dari parkir dan laluan yang dikhaskan untuk OKU bagi mengelakkan lagi kesukaran pergerakan golongan ini.

     
     
  • CEO Takata akan meletakkan jawatan berikutan skandal beg udara setelah ‘rejim baharu’ ditemui

    Takata Honda NSX

    Selepas skandal global inflator beg udara telah menjejaskan banyak pengeluar kenderaan serta menyebabkan kematian, dan kematian terbaharu yang dilaporkan di Malaysia minggu lalu, CEO Takata Corp Shigehisa Takada masih lagi belum melepaskan jawatannya. Beliau hanya akan meletakkan jawatan tersebut setelah “rejim pentadbiran baharu” ditemui, lapor Reuters.

    Takada disifatkan dalam laporan sebagai pendiam, gemar membaca dan kontras kepada sifatnya yang suka berkawan, mengambil alih jawatan dari ayahnya yang sebelum ini yang mengetuai syarikat serta merupakan ahli keluarga pertama yang mengambil tanggungjawab terhadap orang awam. Beliau meminta maaf atas skandal tersebut tahun lalu, tetapi turut mempertahankan produk syarikatnya.

    “Saya berpegang kepada perkara ini. Peranan saya adalah untuk memastikan syarikat tidak beralih kearah yang tidak betul sehingga baton bertukar tangan,” jelas Takada semasa mesyuarat tahunan pemegang saham, di mana beliau dipersalahkan kerana gagal untuk menangani krisis berkenaan dengan berkesan. Dikatakan Takada yang pemalu dan janggal, meminta maaf atas tindakan yang tidak berkesan berkenaan. Suara beliau juga agak sukar untuk didengar ketika menjawab soalan. Takada yang merupakan generasi ketiga dalam keluarga yang telah mengetuai syarikat berkenaan dan memulakan tugasnya sejak tahun 2011.

    Takada berkata perincian pertukaran pentadbiran baharu akan ditentukan oleh jawatankuasa pihak ketiga yang ditugaskan untuk melihat semula rombakan penstrukturan semula syarikat berkenaan. Jawatankuasa tersebut telah membawa penglibatan bank pelaburan Lazard, dikatakan akan mewujudkan pembaharuan pada tadbir urus dan menyelesaikan isu kos yang diperlukan untuk panggilan semula.

    Honda airbag

    Takata yang merupakan pembekal terbesar di dunia untuk peralatan keselamtan kenderaan, sedang mencari bantuan kewangan bagi membantu merombak semula perniagaannya serta menggalas beban kos yang ditanggung. Lebih dari 30 pelabur berpotensi menzahirkan minat mereka, dan penyelesaiannya dijangka akan dapat dicapai November ini, menurut laporan.

    Syarikat berkenaan mencatatkan kerugian tahunan ketiga dalam empat tahun kewangan kebelakangan ini, dengan bahagian yang turun sehingga 90% sejak awal 2014. Takata bermula sebagai pembuat tekstil pada tahun 1933, sedang bergelut untuk menggantikan kesemua unit inflator yang terjejas dan telah dipasang pada sekitar 100 juta kenderaan.

    Kos untuk memanggil semula yang ditanggung oleh Takata adalah lebih rendah kerana pengeluar kenderaan telah menanggung kebanyakkan kos setakat ini. Jika hanya Takata yang menanggung kesemua kos berkenaan secara bersendirian, ia akan menelan kos lebih dari US$10 bilion, berdasarkan kiraan kasar US$100 untuk menukar setiap unit inflator tersebut. Syarikat berkenaan juga bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang kerajaan Amerika Syarikat.

    Adakah kereta anda turut dilengkapi dengan beg udara keluaran Takata? Klik pautan ini untuk menyemak. Ambil tindakan secepat mungkin sekiranya kenderaan anda didapati terlibat dengan panggilan semula.

     
     
  • Nissan Note Black Edition muncul dengan kit ekstra

    nissan-note-black-edition-e1467016865443

    Nissan telah memberikan imej yang sedikit berbeza bagi model Note untuk pasaran Eropah, dinamakan sebagai Note Black Edition. Ia tampil dengan beberapa kemasan luaran berwarna hitam yang merupakan sebahagian dari Pek Penggayaan Dinamik termasuk tambahan spoiler bumbung berwarna hitam. Malah ia juga dipadankan dengan roda hitam bersaiz 16-inci.

    Black Edition merupakan model yang berasaskan spesifikasi pertengahan, dengan Acenta, yang boleh dispesifikkan dengan pilihan warna dan elemen tambahan. Kos tambahan juga dikenakan seandainya pelanggan ingin mendapatkan sistem infotainmen skrin sentuh NissanConnect, kawalan akses i-Key serta Auto Pack yang terdiri dari lampu utama automatik, lampu kabus, pengesan hujan dan penghawa dingin automatik.

    nissan-note-black-edition-1-e1467024539430

    Bagi pasaran Eropah, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter turbodiesel (90 hp) dan petrol 1.2 liter dengan kuasa sama ada 80 hp atau 98 hp. Malah enjin petrol yang lebih berkuasa akan dipadankan dengan transmisi CVT dengan kos tambahan, selain pilihan kotak gear manual yang standard bagi Nissan Note.

    Nissan Note Black Edition telah pun dibuka tempahan dengan unit yang terhad tetapi tidak dinyatakan jumlahnya. Di Malaysia, Nissan Note telah dikesan diuji dengan menggunakan ‘trade plate’ dan ETCM juga pernah mempertontonkannya di KLIMS13, namun sehingga kini tiada perkembangan bilakah ia bakal diperkenalkan di negara kita.

     
     
  • Tren alternatif ke Putra Heights bermula 30 Jun ini

    prasarana-lrt-kj27-glenmarie

    Dengan pembukaan laluan sambungan LRT Kelana Jaya esok (30 Jun), penumpang boleh menggunakan laluan berkenaan untuk ke Putra Heights dari Gombak.

    Sebelum pelancaran tren KLAV yang ditangguhkan sehingga Januari 2017, tren laluan Kelana Jaya akan melalui stesen Ara Damansara semasa waktu puncak pagi dan petang antara 7 pagi hingga 9 pagi, dan 5 petang hingga 7 petang, bagi menangani penumpang yang berulang-alik ke pusat bandar semasa waktu puncak.

    “Penumpang dari pusat bandar Kuala Lumpur yang menghala ke Putra Heights perlu turun di stesen Ara Damansara untuk meneruskan perjalanan mereka, bergantung kepada haluan perjalanan mereka.

    “Kami mengharapkan pelanggan faham dan terus memberikan sokongan terhadap kesulitan ini sementara perkhidmatan KLAV baharu mula beroperasi.

    “Kami akan meletakkan papan tanda serta membuat pengumuman di platform kami dan di dalam tren untuk membantu pelanggan kami meneruskan perjalanan,” kata CEO Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohamed Amin.

    Ahmad Nizam menambah tren sementara yang melalui Ara Damansara dan Gombak akan mengekalkan laluannya atau menunggu sekitar tiga minit, dan kerana perjalanan alternatif ini, perjalanan antara Ara Damansara dan Putra Heights akan menjadi dua kali.

    Pembukaan laluan LRT tambahan ini akan dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak petang esok. Walau bagaimanapun operasinya akan bermula pada 6 pagi.

     
     
  • Pesalah yang menggunakan lorong kecemasan akan diambil tindakan sejurus bukti diterima – JPJ

    traffic-jam-bernama-2

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk V. Valluvan Veloo berkata jabatannya akan mengambil tindakan segera sejurus menerima bukti bergambar atau video mereka yang menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuhraya, lapor The Star.

    Menurut beliau lagi, JPJ tidak akan menangguhkan tindakan berkenaan kerana pegawai khas telah ditugaskan untuk menangani aduan sedemikian secara atas talian.

    Beliau menjelaskan semua kenderaan bukan kecemasan adalah dilarang untuk menggunakan lorong kecemasan, termasuk motosikal. “Tetapi kami mahu bukti untuk kereta dan lori kerana mereka lebih berbahaya,” kata beliau.

    weststar ambulance

    Setakat ini, JPJ telah menerima maklum balas yang menggalakan dari orang ramai selepas diumumkan bukti bergambar dan video diterima untuk mendakwa penyalah guna lorong kecemasan.

    “Kami telah menjumpai inisiatif yang sangat efektif memandangkan pegawai penguatkuasa kami tidak boleh berada di mana-mana dan di setiap tempat,” kata beliau, dan menambah sebanyak 1,300 gambar kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan telah dihantar sejak 22 Mei lalu.

    Aduan akan disalurkan ke ibu pejabat JPJ di mana pegawai akan memberikan maklum balas pada setiap aduan berkenaan. “Kami akan memantau secara berterusan dan apabila kami telah mendapat cukup bukti, kami akan mendakwa pesalah ke mahkamah,” kata beliau.

    MEX-Highway-01

    Walau bagaimanapun, beliau menyatakan hanya penumpang dibenarkan untuk mengambil gambar, dan pemandu tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Jadi, jika anda mahu mengambil gambar penyalah guna lorong kecemasan di lebuhraya, kamera dashcam merupakan alat yang terbaik.

    Pihak polis turut memburu mereka yang menyalahgunakan lorong kecemasan, terutamanya ketika waktu puncak balik kampung. Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata lorong berkenaan adalah untuk kegunaan hal kecemasan sahaja.

    “Pengguna jalan raya yang memandu di lorong kecemasan tidak faham yang mereka sebenarnya sedang menghalang petugas dari sampai ke lokasi (kecemasan) secepat mungkin. Kami akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menggunakan lorong kecemasan dengan saman maksimum RM300,” tambah beliau.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025