Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Panggilan semula Yamaha YZF-R25 2014-2016 kerana masalah pam minyak pelincir dan plat tekanan klac

    Yamaha_R25_02

    Yamaha Motor Corporation telah mengeluarkan notis panggilan semula bernombor 3824 untuk Yamaha YZF-R25s yang diproduksi antara 6 Oktober 2014 hingga 23 Mei 2016 kerana masalah pada pam minyak pelincir (oil pump) dan plat tekanan klac (clutch pressure plate). Panggilan semula ini turut melibatkan beberapa model Yamaha yang lain iaitu YZF-R3A, MT-320, YZF-R25A dan MT-250.

    Tiga isu berasingan dinyatakan dalam notis panggilan semula berkenaan. Pertama, masalah pam minyak pelincir yang mungkin gagal berfungsi pada kelajuan enjin tinggi, menyebabkan tekanan dan penghantaran minyak pelincir jatuh seterusnya menyebabkan suhu enjin naik melampau.

    Masalah kedua pula berkenaan galas (bearing) di dalam plat tekanan klac yang mungkin rosak semasa operasi berulang. Ini akan menyebabkan klac tersekat dan gear tidak boleh ditukar.

    Masalah ketiga, berkenaan hos sistem brek hadapan yang bergeser dengan radiator ketika motosikal sedang ditunggang, mungkin boleh menyebabkan hos tersebut rosak dan bocor. Masalah ini bukan hanya membabitkan YZF-R25, ia turut melibatkan model-model lain yang disenaraikan tadi.

    Untuk masalah pertama, pam minyak pelincir dan gear pelahunya (idler gear) akan ditukar. Manakala untuk masalah kedua pula, galas di dalam plat tekanan klac akan diperiksa dan ditukar jika perlu. Untuk masalah ketiga, laluan hos brek berkenaan akan diubah, dan pengapit hos tambahan akan dipasang.

    Kami sedang berhubung dengan Hong Leong Yamaha Malaysia untuk mengesahkan isu ini, dan akan menyiarkan jawapannya secepat mungkin setelah ia diterima.

     
     
  • Naza Kia tawar promosi hebat sempena Raya

    5 STAR RAYA BONUS WITH NAZA KIA MALAYSIA

    Seperti kebiasannya menjelang musim perayaan, kebanyakan pengeluar mahu pun pengedar kenderaan akan mengadakan jualan promosi khas dengan menawarkan pelbagai kempen menarik. Sempena Hari Raya yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi, Naza Kia turut mengambil kesempatan menawarkan promosi hebat bagi modelnya, Bagi Cerato KX, ia ditawarkan dengan harga dari RM79,000 bagi jangka masa terhad dan terhad untuk 100 unit sahaja.

    Manakala, bagi Rio K2 Sedan,Cerato K3 dan Optima K5 pula, ia didatangkan dengan waranti lima tahun, lima tahun penyelenggaran percuma, lima tahun nilai cukai jalan, lima tahun pelan perlindungan Kia Cares percuma, dan duit raya sehingga RM10,000.

    Bagi bonus Raya untuk model-model yang disebut termasuk promosi untuk Cerato KX ini hanya terhad sehingga 5 Julai 2016. Anda boleh menghubungi Ejen Jualan Sah di CarBase.my untuk menempah pandu uji.

    GALERI: Kia Rio Sedan di Malaysia

    GALERI: Kia Cerato KX

    GALERI: Kia Cerato 1.6

    GALERI: Kia Optima K5

     
     
  • Lego Creator Volkswagen Beetle lengkap dengan para bumbung, bakul berkelah dan papan luncur

    2016-Lego-Creator-Volkswagen-Beetle-10252-10-e1465970887784_BM

    Selepas memperkenal Lego Technic Porsche 911 GT3 RS awal bulan ini, Lego kini memperkenalkan pula set siri Creator #10252 Volkswagen Beetle. Set berkenaan mengandungi 1,167 bongkah dan ia tidak serumit set siri Technic Porsche sebelum ini.

    Model yang direplikakan oleh Lego ini mewakili VW Beetle dari era “flower power” dengan warna badan keseluruhan azure blue dan dilengkapi para bumbung, bakul berkelah serta papan luncur. Bumbungnya boleh dibuka untuk mempamerkan bahagian dalaman berwarna beige, tempat duduk yang boleh bergerak, roda stereng dan papan pemuka.

    Tayar gantian turut boleh ditemui dalam but hadapan, manakala enjin empat silinder bentangan boxer turut boleh dijumpai pada bonet belakang. Set VW Beetle ini dikelaskan sebagai set ‘expert‘ dalam siri Creator. Ia juga dilengkapi dengan set pelekat nombor pendaftaran beberapa negara berbeza dan set pelekat “surfing” untuk melengkapkan rupa paras Beetle ini.

    Kemaskini lain yang dapat dilihat termasuk bongkah berbentuk istimewa bagi memberikan rupa yang lebih menyerupai dapra hadapan dan belakang Beetle, berbanding set pada tahun 2008 yang lebih berkotak. Cermin hadapan baharu juga kini lebih menyerupai cermin hadapan rata VW Beetle sebenar, dan logo ‘VW’ khas pada bahagian hadapan.

    Diinspirasikan VW Beetle sebenar, Lego berusaha keras untuk memastikan model ini menyerupai kereta sebenar, termasuk beberapa bahagian yang tidak boleh dijumpai pada set Lego lain. Dijual pada harga USD99.00 (RM410), set Lego Creator Volkswagen Beetle ini boleh ditempah atas talian menerusi laman web Lego bermula Ogos 2016.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Serena generasi seterusnya dilihat sedang diuji – bahagian dalaman turut didedahkan

    Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Nissan Serena generasi berikutnya dilihat diuji diatas jalan raya. Ujian kali ini nampaknya Nissan sedang menguji MPV tersebut dalam keadaan panas berbanding sebelum ini ia dilihat diuji dalam cuaca sejuk dan bersalji.

    Rekaan keseluruhan Serena yang menampilkan konsep Van masih lagi dilihat pada model generasi baharu ini walaupun dilitupi pelekat penyamaran pada keseluruhan badan. Bahagian hadapan menyaksikan ia dilengkapi dengan gril satu bar, berbanding sebelum ini dilihat menggunakan gril dua bar. Walau bagaimanapun, unit yang menggunakan gril dua bar tersebut dilihat diuji bersama dengan unit baharu ini, mungkin kedua-duanya merupakan varian yang berbeza.

    Perbezaan turut dilihat pada gril bahagian bawah pada bampar dimana unit yang mendahului menerima gril pelbagai jalur dan unit di belakang menerima gril bawah dengan hanya satu bar merentanginya. Kedua-duanya dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan baharu bersama hud hadapan yang direka semula untuk disesuaikan dengan bentuk lampu. Lampu belakang juga telah ditukar dengan sepasang unit yang lebih besar.

    Bahagian dalaman Serena ini juga didedahkan buat pertama kali. Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bentangan papan pemuka telah diberi sentuhan semula. Bahagian atas papan pemuka kini direka lebih panjang tetapi dilengkapi dengan paparan instrumen baharu yang lebih pendek, diikuti dengan upholstery balutan kulit yang bakal memberikan sentuhan yang lebih premium.

    Liang penghawa dingin tengah kini mengapit unit infotainmen. Bahagian tengah papan pemuka juga diserlahkan dengan kemasan perak disekelilingnya dan turut menempatkan suis kawalan penghawa dingin, tuil penukar gear dan brek parkir elektronik.

    Ia juga dilengkapi dengan roda stereng empat jejari rata dibawah, pelbagai fungsi baharu dan ruang storan yang direka semula di hadapannya. Butang penghidup enjin, pintu gelangsar belakang berkuasa dan mod pemanduan ‘Eco’ turut kelihatan. Ruang storan pada bahagian penumpang hadapan turut dibesarkan dan dilengkapi punca kuasa yang lebih mudah dicapai.

    Perehat kepala turut kelihatan pada bahagian tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang, berkemungkinan Serena generasi berikutnya ini menawarkan tempat duduk ketiga pada bahagian hadapan.

     
     
  • BMW panggil semula lebih 210k unit SUV keluarannya di Amerika berhubung masalah ISOFIX dan aci pacu

    2014_F25_BMW_X3_M_Sport_LCI

    Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) telah mengumumkan BMW akan akan memanggil semula sejumlah 210,161 unit SUV X3, X4, X5 dan X6 yang telah dijual di Amerika Syarikat atas dua masalah berasingan iaitu masalah pada cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dan masalah pada aci pacu (driveshaft).

    Kempen panggilan pertama melibatkan sejumlah 188,668 unit BMW X3 sDrive28i, xDrive28i dan xDrive35i tahun 2011-2017, BMW X3 xDrive28d tahun 2015-2017 dan BMW xDrrive28i tahun 2015-2017. Bar bahagian bawah cagak ISOFIX pada model-model yang terlibat ini mungkin mengalami kerosakan apabila menggunakan tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, dan boleh meningkatkan risiko kecederaan pada kanak-kanak jika berlakunya kemalangan.

    Pemilik yang terlibat akan diberitahu, dan pengedar akan memperbaiki masalah berkenaan dengan mengimpal bar cagak sebelah bawah berkenaan dengan badan kereta untuk memperkuatkannya. Tiada sebarang kos dikenakan dan panggilan semula tersebut akan berjalan bermula 12 Julai ini.

    P90045797

    Sementara itu, BMW turut memanggil semula sejumlah 21,493 unit BMW X5 xDrive35i, xDrive35d dan xDrive50i, BMW X5 M, BMW X6 xDrive50i, BMW X6 Active Hybrid dan BMW X6 M tahun 2011 berhubung sambungan CV pada aci pacu bahagian hadapan yang mungkin tidak benar-benar kedap, membolehkan air dan kotoran lain masuk kedalamnya menyebabkan kerosakan pada unit aci pacu tersebut.

    Kerosakan berkenaan akan menyebabkan roda hadapan tidak dapat dipacu, menjejaskan cengkaman kenderaan dan mungkin boleh merosakkan komponen lain jika kenderaan tersebut terus dipandu. Kedua-dua masalah ini meningkatkan risiko kemalangan. Seperti juga panggilan semula sebelum ini, BMW akan memberitahu pemilik terlibat dan pengedar akan menukar unit aci pacu baharu tanpa sebarang caj. Panggilan semula ini akan berjalan bermula 1 Julai.

     
     
  • Toyota dinobatkan sebagai jenama kereta paling berharga di dunia oleh Forbes, tewaskan BMW

    2016-GMS_Toyota-C-HR_07-e1456830734756

    Setiap tahun, Forbes akan menyenaraikan jenama paling berharga di dunia dari syarikat berteraskan teknologi hingga ke farmaseutikal dan banyak lagi. Untuk edisi 2016, buat pertama kalinya senarai berkenaan disertai oleh jenama pembuat automotif.

    Lima tangga teratas senarai berkenaan dihuni oleh Apple, Google, Microsoft, Coca-Cola dan Facebook. Apa yang menarik, tangga keenam pada senarai tersebut diberikan kepada Toyota, menjadikan jenama automotif dari Jepun itu sebagai jenama pembuat kereta paling berharga untuk tahun ini.

    Turut dilihat dalam senarai tersebut ialah BMW (#14), Mercedes-Benz (#20), Honda (#23), Ford (#35), Audi (#36), Chevrolet (#59), Lexus (#63), Porsche (#67), Nissan (#70), Hyundai (#71), dan Volkswagen (#77). Secara keseluruhan, 12 jenama pembuat kereta disenaraikan dalam senarai 100 teratas.

     
     
  • Kerajaan dan DBKL tidak akan membayar sebarang pampasan untuk mangsa banjir kilat bulan lalu

    Malaysia-Flash-Flood-2016

    Kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan sekali lagi tidak akan memberikan sebarang pampasan kepada mangsa banjir kilat di sekitar Lembah Klang bulan lalu. Ini kerana banjir tersebut merupakan “bencana alam,” lapor The Sun Daily.

    “Kami tidak menimbangkan untuk memberikan pampasan kepada pemilik rumah dan kenderaan yang terjejas dalam banjir berkenaan kerana jumlah hujan yang turun pada hari tersebut adalah luar biasa, tidak dijangka, dan dikelaskan sebagai ‘bencana alam’,” kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan.

    Loga Bala menjelaskan jumlah hujan yang turun pada hari berkenaan adalah luar biasa tinggi. Beliau berkata Jabatan Perparitan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWP) merekodkan jumlah hujan 106.5 mm turun dalam masa dua jam, di mana sistem perparitan bandaraya berkenaan hanya mampu menampung sejumlah 70 mm.

    Banjir kilat tersebut telah menyebabkan lebih dari 100 buah kenderaan tenggelam di pelbagai lokasi dalam bandar, yang bukan sahaja menyebabkan kerosakan, ia juga turut menyebabkan aliran trafik tidak bergerak untuk beberapa jam pada hari berkenaan. Sistem saliran yang teruk dipersalahkan atas kejadian banjir itu.

    Menurut Loga Bala, operasi pembersihan longkang di kawasan yang terjejas telah pun dilakukan tepat pada jadualnya, dan DBKL akan memulakan kerja-kerja tebatan banjir yang dianggarkan menelan belanja RM85 juta. Usaha berkenaan termasuk meningkat taraf sistem saliran sepanjang anak sungai Air Batu, sungai Pantai dan sungai Klang dengan memasang sistem paip pada kawasan yang terlibat untuk menangani air hujan yang turun lebih dari 70 mm di Jalan Pantai Baru.

    DBKL turut menasihati Universiti Malaya untuk menyelenggara tasik tadahan air banjir mereka yang dikesan berlumpur, menyebabkan ia tidak mampu untuk menampung lebih banyak air. Di Jalan Tuanku Abdul Halim pula, DBKL telah menukar paip armco dalam Taman Botani Perdana.

    Pembinaan tasik tadahan air banjir bersebelahan lokasi berkenaan turut dicadangkan, bersama pembentung tambahan merentasi Lebuhraya Sultan Iskandar di bawah Taman Botani Perdana.

     
     
  • No. pendaftaran ‘F 1’ terima bidaan hampir RM5 juta?

    W1A

    Selepas pengumuman nombor pendaftaran baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya nampaknya mencapai objektifnya dimana dapat disaksikan bidaan untuk nombor dan abjad unik untuk pendaftaran kenderaan tersebut telah memecahkan rekod nilai bidaan sebelum ini.

    Laporan dari The Sun Daily menyebut, selebriti tempatan dari Ipoh telah membida nombor pendaftaran ‘F 1’ dengan nilai hampir RM5 juta sebelum bidaan berkenaan ditutup semalam di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya. Menurut sumber berkenaan juga, nombor pendaftaran yang bermula dari ‘F 1’ hingga ‘F 7’ dibida dengan nilai minima bermula setengah juta ringgit setiap satu.

    Kerana menjadi rebutan dikalangan komuniti berbangsa Cina, nombor pendaftaran ‘F 8’ dilaporkan menerima bidaan permulaan pada nilai RM 1 juta manakala untuk ‘F 333’ dan ‘F 888’ menerima bidaan bernilai RM330,000 dan RM360,000. Nama-nama mereka yang berjaya membida nombor-nombor berkenaan akan diumumkan pada 30 Jun ini selepas persidangan jawatankuasa khas JPJ.

    Harga tertinggi yang pernah dibayar untuk nombor pendaftaran biasa Malaysia ialah RM748,000 untuk ‘W 1 N’ yang dibida oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang juga membida nombor ‘WWW 1’ dengan nilai RM520,000 pada tahun 2012. Pembeli nombor pendaftaran istimewa ‘PATRIOT 1’ pula dilaporkan membayar sejumlah RM1,308,000 untuk nombor pendaftaran tersebut.

     
     
  • Polestar tala Volvo XC90 T8 Twin Engine – 421 hp

    Volvo XC90 T8 Twin Engine with Polestar Performance Optimisation

    Volvo XC90 T8 Twin Engine with Polestar Performance Optimisation

    Selepas Volvo S90 dan V90, Polestar kini menumpukan perhatian mereka kepada sebuah lagi siri 90 Volvo iaitu XC90 T8 Twin Engine. SUV dari pembuat kereta Sweden berkenaan kini menerima pakej Pengoptimuman Prestasi Polestar, yang memperkenalkan tingkat taraf pada unit janakuasa.

    Pakej ini dimulakan dengan talaan enjin dimana unit T8 Twin Engine pada XC90 kini berkuasa 421 hp dan 680 Nm, peningkatan kuasa kuda kepada 14 hp dan tork 60 Nm. Menurut Polestar, XC90 kini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, 0.1 saat lebih pantas dari sebelum ini.

    Agak mengejutkan, walaupun menerima peningkatan dari segi prestasi, penggunaan bahan api pada XC90 kekal tidak berubah. SUV berkenaan menggunakan 2.1 liter petrol untuk 100 km perjalanan dan jarak menggunakan elektrik sepenuhnya sejauh 43 km, dimana kedua-dua bacaan tersebut berdasarkan kitaran NEDC Eropah. Polestar juga turut mendakwa XC90 T8 kini “mencapai tahap keseronakan memandu baharu” dengan peningkatan pada respon pendikit, tahanan pada penukaran gear, kelajuan dan ketepatan, begitu juga pada prestasi keseluruhan enjin.

    “Hanya selepas seminggu pengenalan pengoptimunan untuk S90 dan V90, kami mara lebih kehadapan dengan melancarkan pengoptimunan untuk XC90 T8 Twin Engine yang canggih dan mengujakan. Ini akan memberikan pelanggan yang mahukan tahap baharu untuk keseronokan memandu bersama XC90 mereka yang prestasinya mudah dan menarik untuk dipertingkatkan,” kata Niels Möller, CEO Polestar.

     
     
  • Lebuhraya baharu India ke Thai bakal menghubungkan terus laluan ke Malaysia tidak lama lagi

    Screen Shot 2016-06-13 at 8.52.51 PM

    Mungkin tidak lama lagi, anda boleh merencana road trip dari Malaysia menuju ke India! Sebelum ini, jarak perjalanan keseluruhan (ikut jalan darat) mencecah 5,585 km termasuk merentasi Thailand, Myanmar, Bangladesh sebelum tiba di India.

    Akhbar dalam talian, The Economic Times of India, melaporkan lebuhraya sepanjang 1,400 km sedang dibina dari negara tersebut dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2017. Lebuhraya tersebut dari Moreh yang terletak di bahagian Timur, India dan berakhir di Tamu, Myanmar.

    Kemudian ia disambungkan ke daerah Mae Sot di Thailand, seterusnya mampu dihubungkan terus ke utara Malaysia dengan memasuki Lebuhraya Bukit Kayu Hitam. Jarak antara Bukit Kayu Hitam ke Mae Sot hanyalah 1,500 km, menjadikan perjalanan darat dari sempadan Malaysia ke Moreh, India hanyalah sekitar 3,000 km sahaja.

    Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Duta India ke Thailand, Bhagwant Singh Bishnoi, sebanyak 73 jambatan di Myanmar yang dibina lebih tujuh dekad lalu semasa Perang Dunia Kedua, akan diubahsuai dengan dana dari kerajaan India untuk kenderaan merentasi kedua negara berkenaan dengan lebih selamat. Apabila kerja membaikpulih jambatan tersebut siap dalam tempoh 18 bulan, lebuhraya tersebut sudah boleh dibuka kepada laluan trafik yang merentasi tiga buah negara iaitu India, Myanmar dan Thailand (tanpa melalui Bangladesh).

     
     
  • Proton Perdana 2016 miliki potensi yang cerah bagi menembusi pasaran Argentina – laporan

    Proton_Perdana_24_Red_Ext_04

    Pelancaran Proton Perdana 2016 semalam turut menarik perhatian negara Argentina.

    Menurut Dutanya ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas, Perdana baharu ini dilihat memiliki peluang yang cerah untuk menembusi pasaran Argentina memandangkan negara tersebut secara perlahan-lahan membuka ekonominya di bawah kerajaan pimpinan baharu Presiden Mauricio Macri, laporan Bernama.

    Katanya lagi, Perdana merupakan sebuah kereta yang cantik dan memiliki harga yang berpatutan. Jadi ia mempunyai peluang yang cerah untuk diimport ke Argentina.

    Walau bagaimana pun, mengikut perjanjian, terma dan syarat bersama Honda, Perdana 2016 ini tidak akan dipasarkan ke pasaran luar dan hanya tertumpu pada Malaysia sahaja.

    Dalam sidang media sempena pelancaran model baharu segmen-D ini, Ketua Pegawai Operasi Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Kami menghormati permintaan dari Honda yang enggan membenarkan Perdana 2016 ini dieksport ke luar negara memandangkan kami menggunakan penjana kuasa dari mereka.

    “Namun untuk model Perdana yang dijangka dinaik taraf dengan menerima kehadiran enjin dan transmisi baharu yang sedang kami bangunkan, barulah ia dirancang akan dieksport ke negara luar. Enjin dan transmisi baharu ini dijangka akan siap pada akhir 2017 dan model Perdana (serta model-model lain Proton yang terlibat) yang dinaiktaraf kemungkinan besar akan diperkenalkan pada tahun 2018.”

     
     
  • Renault Clio 2017 diberi suntikan lebih segar

    2017-renault-clio

    Renault telah pun menyediakan model penambahbaikan (facelift) bagi Clio 2017 yang tampil dengan pelbagai elemen yang lebih segar. Malah ia juga ditampilkan dengan identiti baharu bagi jenama ini.

    Bahagian hadapannya diperkemaskinikan termasuk menampilkan gril yang direka semula dan lampu utama baharu dengan dilengkapi pencahayaan LED penuh. Malah sesetengah versi juga akan ditawarkan dengan lampu utama LED Pure Vision. Clio 2017 ini juga akan ditawarkan dengan empat warna badan baharu dan memiliki pemilihan tersendiri bagi roda baharu serta rekaan kekemasan yang lebih terkini.

    Bagi sudut mekanikalnya, Clio 2017 ini menerima juga akan menerima pilihan enjin diesel 1.5 liter dari siri dCi yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 110 hp dan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Malah bagi versi Clio TCe 120 pula, ia turut ditampilkan dengan transmisi manual baharu enam-kelajuan. Memberikan pilihan bagi enjin dan transmisi bagi Clio ini sebanyak 11 pilihan.

    Selain itu, sistem hiburan R&Go baharu juga akan ditawarkan dengan menyertai sistem Media Nav Evolution dan Renault R-Link. Malah sistem bunyi Bose turut tersenarai dalam pilihan.

    Bagi pasaran Eropah, Clio ini dibuka tempahan mulai musim panas dan bagi varian Initiale Paris yang lebih eksklusif juga turut ditawarkan. Ia hadir dengan warna eksklusif Givré Grey, kekemasan roda stereng dengan balutan sepenuhnya kulit Nappa, kekemasan kulit Nappa pada tuil gear, panel pintu yang lebih spesifik dan kekemasan papan pemuka, serta pilihan balutan kulit bagi tempat duduk sama ada berwarna hitam atau hitam-putih.

     
     
  • Proton mampu mengorak langkah lebih cemerlang selepas berakhirnya campur tangan Mahathir – Najib

    2016 Proton Perdana 2
    Proton dilihat mampu memulihkan kembali imejnya dan mengorak langkah lebih cemerlang selepas berakhirnya campur tangan politik Tun Dr Mahathir Mohamad dalam syarikat tersebut, ujar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Dalam majlis pelancaran Proton Perdana 2016 yang berlangsung pagi tadi, beliau berkata, akibat terlalu banyak campur tangan politik di dalam pengurusan strategik Proton hingga membabitkan pekerja dan model perniagaannya, syarikat tersebut dilihat kian goyah, laporan Bernama.

    “Saya dengan sukacitanya ingin menyatakan bahawa terdapat perubahan besar di peringkat atasan Proton. Era campur tangan politik Tun Mahathir sudah pun berakhir. Kita dapat lihat akibatnya awal tahun ini. Sebuah syarikat pengeluar, yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara, telah menghadapi keadaan yang amat menyulitkan,” katanya.

    Bagi menyelamatkan Proton, khususnya melindungi para pekerjanya serta menjaga pendapatan dan mata pencarian rakan kongsi perniagaan syarikat itu, pihak kerajaan terpaksa campur tangan dan bersetuju memberikan dana bantuan sejumlah RM1.5 bilion secara bersyarat.

    Katanya, “Kerajaan terpaksa campur tangan kerana kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami. Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan kepada pekerja dan pembekal Malaysia. Kami akan selalu berjuang untuk memastikan tiada siapa yang tercicir.”

    Alami_Proton_-001

    Beliau turut menambah sekarang adalah masanya untuk mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlaku, serta melaksanakan langkah dan pembaharuan serius supaya Proton kembali berada di landasan betul untuk merealisasikan potensi sebenarnya sekali lagi.

    “Pengurusan baharu Proton juga memberitahu saya bahawa mereka yakin pelanggan bukan sahaja akan menyukai penampilan menawan Perdana, malah akan tertarik dengan pemanduannya.

    Biarlah kereta baharu ini dan pengurusan baharu Proton dihakimi melalui merit mereka.

    “Saya tahu, kita semua ingin melihat mereka berjaya meningkatkan jualan, menerajui inovasi dan memastikan syarikat ini mempunyai masa depan yang cerah dari segi produk dan kesejahteraan warganya yang begitu gigih bekerja,” kata perdana menteri.

    Pada 31 Mac lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PROTON, berkuatkuasa serta merta. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton. (Baca DI SINI sebab-sebab perletakan jawatan beliau).

     
     
  • Pemandu guna lorong kecemasan dalam insiden di Melaka bulan lalu bakal didakwa di Mahkamah

    traffic-jam-bernama-2

    Seramai 22 pemandu kenderaan yang dikenal pasti menggunakan lorong kecemasan semasa insiden di Kilometer 228 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Simpang Ampat, Alor Gajah bulan lalu bakal didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 18 Julai ini, lapor BH Online.

    Pendakwaan terhadap semua pemandu berusia lingkungan 20-an itu akan dilakukan setelah notis temu siasat diberikan kepada mereka pada 26 Mei lalu untuk melaporkan diri ke JPJ Melaka bagi membantu siasatan kata Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk V Valluvan.

    “Hanya 22 daripada 79 kenderaan yang dikesan menggunakan lorong kecemasan ketika kejadian hadir ke JPJ Melaka setakat ini selepas kita menghantar notis temu siasat.

    “Kita beri tempoh 21 hari hingga 21 Jun ini kepada mereka yang belum hadir. Jangan tunggu hingga tempoh itu berakhir kerana pihak JPJ mempunyai bukti kenderaan terbabit berada di Selangor dan Johor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil, selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu dua beradik yang maut dalam kejadian itu.

    Dalam insiden tersebut, seorang penunggang motosikal melanggar sebuah kereta yang diletakkan di laluan kecemasan Km228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya, dan sebuah lori berpusing setelah mengelak penunggang tersebut. Pasukan perubatan kecemasan pertama sepatutnya sampai ke tempat kejadian dalam masa 20 minit, tetapi terpaksa mengambil masa hampir sejam kerana halangan trafik tersebut.

     
     
  • Proton beri tempoh setahun cari rakan strategik

    2016 Proton Perdana press con 4

    Mengikut syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia selepas meluluskan dana berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton, antaranya ialah syarikat tersebut perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Dalam sidang media selepas pelancaran Proton Perdana 2016 pagi tadi, barisan tertinggi pengurusan Proton mengakui akan mengenal pasti secara rasmi rakan kongsi strategik bagi tujuan R&D. Malah perkara ini turut akan dipantau oleh pasukan petugas khas yang diketuai oleh CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala.

    Menurut CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali, pengeluar kereta nasional itu telah menetapkan tempoh selama satu tahun kepada syarikat mencari rakan kongsi strategik bagi kerjasama lebih mendalam. Dalam masa yang sama beliau tidak menafikan kemungkinan kerjasama itu termasuk memiliki ekuiti.

    Sebelum ini Proton pernah menjalinkan kerjasama dengan Mitsubishi dan Honda (termasuk bagi Perdana 2016 ini). Januari lalu, Proton telah memeterai perjanjian usahasama dengan Suzuki dan bakal memperkenalkan model kerjasama pertama di bawah jalinan tersebut pada Oktober tahun ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025