Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • IIMS 2016: SUV Toyota Rush 7 TRD Sportivo Ultimo

    Toyota_Rush-2_BM

    Toyota turut melancarkan dua varian baharu dalam barisan model Rush semasa Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016 iaitu Toyota Rush TRD Sportivo 7 dan juga Toyota Rush 7 TRD Sportivo Ultimo.

    Dua varian baharu SUV ini dilengkapi dengan tujuh tempat duduk tiga baris, mungkin dikeluarkan oleh PT Toyota-Astra Motor untuk menyaingi SUV tujuh-tempat duduk yang telah dilancarkan oleh Honda iaitu Honda BR-V. Varian asas Rush G masih lagi kekal dengan lima-tempat duduk.

    Rush TRD Sportivo 7 datang dengan satu baris tempat duduk tambahan di belakang lengkap dengan dua set tali keledar dan pemegang tangan. Pada bahagian luaran, ia dilengkapi dengan kit aero TRD Sportivo dan pelekat pada bahagian sisi.

    Varian Sportivo Ultimo seperti yang ditunjukkan dalam gambar adalah varian tertinggi dalam barisan model Rush. Ia ditambah dengan jalur merah pada gril hadapan, pelekat pada sarung tayar gantian dibelakang, roda aloi TRD Sportivo rekaan baharu dan juga lencana-lencana Ultimo. Warna Nebula Blue yang menyerlah seperti yang ditampilkan ini adalah ekslusif untuk Ultimo.

    Ciri yang paling menarik pada Ultimo ini adalah suspensi TRD Sportivo yang dibekalkan. Suspensi tersebut dibina oleh pihak TRD Indonesia dengan kerjasama jurutera Toyota-Astra Motor, direka untuk disesuaikan pada permukaan jalan, cuaca, dan penggunaan di Indonesia. Pakej suspensi yang terdiri daripada penyerap hentak dan spring tersebut menjadikan Rush TRD Spotivo Ultimo ini 200 mm lebih tinggi dan lebih selesa dari varian lain.

    Harga bermula daripada Rp.245.85 juta (RM73,574) untuk TRD Sportivo manual hingga Rp.262.45 juta (RM78,534) untuk TRD Sportivo Ultimo automatik. Toyota Rush facelift telah pun dilancarkan di Malaysia April tahun lalu.

     
     
  • Kerajaan lulus pinjaman mudah kepada Proton berjumlah RM1.5 bilion, pasukan pemantau ditubuhkan

    Mustapa

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed, telah mengeluarkan kenyataan, hari ini kerajaan telah meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion.

    Di mana sebahagian besar daripada pinjaman itu adalah untuk membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen kepadanya, laporan Bernama.

    Walau bagaimanapun, beberapa syarat turut dikenakan kepada Proton untuk memulihkan perniagaan, katanya.

    “Antara syaratnya, Proton perlu meyakinkan kerajaan mengenai model perniagaan baharunya supaya perniagaan berdaya maju dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Secara khususnya, Mustapa berkata Proton antara lain perlu mewujudkan pelan penstrukturan semula syarikat itu serta menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

    Selain itu, Proton juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa, katanya.

    Beliau berkata, sebuah pasukan petugas yang diketuai oleh Ketua Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi ini berjaya.

    “Pasukan ini akan mempunyai tiga wakil, masing-masing dari sektor swasta dan sektor awam. Wakil kerajaan ialah bagi mewakili Kementerian Kewangan, Miti dan Unit Perancang Ekonomi manakala wakil sektor swasta akan dikenalpasti secepat mungkin,” katanya.

    Mustapa berkata selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lepas, mengenal pasti kelemahan serta langkah untuk mengatasinya.

    Beliau berkata industri automotif adalah sebuah industri yang strategik, dengan Proton mempunyai 12,000 orang pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 orang bekerja dengan syarikat vendor yang bergantung kepada Proton.

    “Keputusan Kabinet pada hari ini adalah juga bagi mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan Proton,” katanya.

     
     
  • Panggilan semula model diesel Volkswagen di Eropah yang bermula sejak Januari lalu kini ditangguhkan

    Volkswagen Jetta CKD 14

    Panggilan semula untuk model berkuasa diesel oleh pihak Volkswagen di Eropah telah ditangguhkan. Ini berkemungkinan kerana dakwaan penggunaan bahan api pada enjin yang telah ditala semula semasa panggilan semula berkenaan menjadi lebih tinggi dari sebelum ini, lapor Automotive News.

    Panggilan semula tersebut bermula pada Januari lalu dimulakan dengan model Volkswagen Amarok yang dikuasakan dengan enjin diesel 2.0 liter. Talaan semula yang dilakukan semasa proses panggilan semula itu adalah untuk membuatkan enjin terbabit patuh pada undang-undang pencemaran alam. Proses tersebut juga dijalankan di seluruh Eropah dan meliputi kenderaan dari jenama Volkswagen, Audi, Skoda dan Seat.

    Dengan penangguhan ini, gelombang fasa kedua panggilan semula tersebut yang akan membabitkan 160,000 unit Volkswagen Passat tidak dapat dijalankan. Jurucakap dari Volkswagen telah mengesahkan penangguhan tersebut. Walau bagaimanapun, dakwaan yang mengatakan penggunaan bahan api meningkat setelah perisian pada sistem enjin tersebut ditukar adalah spekulasi semata-mata.

    Menurut jurucakap itu lagi, pemeriksaan masih lagi sedang berjalan sama ada perubahan yang dilakukan tersebut telah mengubah atau tidak penggunaan bahan api dan yang paling penting – emisi C02. “Kami jamin penggunaan bahan api dan emisi C02 adalah sama seperti sebelum ianya diubah,” jelas jurucakap terbabit.

    diesel-pix-wm

    Sementara itu, jurucakap terbabit turut menerangkan keputusan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Persekutuan Jerman (KBA) yang mahu juruteknik Volkswagen digantikan dengan juruteknik bebas dipertengahan proses panggilan semula tersebut juga menyumbang kepada penangguhan ini. Ini untuk memastikan ketepatan semasa proses ujian, jelas beliau.

    Panggilan semula berikutnya akan membabitkan model Passat dan 90,000 unit Audi A4, A5 dan Skoda Superb, kesemuanya dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter, dan akan diikuiti panggilan semula untuk Skoda selepas itu. Lebih kurang 2.5 juta unit kenderaan dengan enjin diesel Euro 5 2.0-, 1.6-, dan 1.2- liter di Jerman yang terbabit dengan panggilan semula ini.

    Kesemua enjin 2.0 liter dan 1.2 liter akan menerima perisian kotak komputer baharu yang akan ditukar dalam masa setengah jam untuk sebuah kenderaan. Untuk enjin diesel 1.6 liter pula, perisian baharu tersebut turut disertakan dengan sekeping jaring untuk menyelia semula kemasukan udara. Proses tersebut akan mengambil masa kurang dari sejam.

    Panggilan semula ini akan disambung semula ke 27 negeri dibawah Kesatuan Eropah sebaik sahaja menerima kelulusan dari KBA. Volkswagen mensasarkan untuk membuat 13 peringkat sesi panggilan semula tahun ini, menurut jurucakap itu lagi.

     
     
  • VIDEO: Nissan GT-R catat rekod drift terlaju di dunia – 304. 96 km/j, dengan GT-R pacuan belakang 1,380 hp!

    Berapa kelajuan paling laju pernah anda pandu di jalan lurus dan apa perasaan anda ketika mencapai kelajuan tersebut?

    Nissan telah menyiarkan video mereka mencatatkan Rekod Dunia Guinness terbaharu – Sebuah Nissan GT-R yang dipandu pada kelajuan lebih 300 km/j, dalam keadaan menggelangsar!

    Nissan GT-R 2016 yang digunakan untuk mencatatkan rekod drift dengan kelajuan 304.96 km/j dan sudut drift 30 darjah ini telah ditala dengan bantuan pakar dari Nismo. Ia dipandu oleh Masato Kawabata, juara kejohanan D1 Grand Prix di Jepun, yang turut memandu GT-R berkuasa lebih dari 1000 hp dalam siri kejuaraan tersebut.

    Nissan-GT-R-world-record-fastest-ever-drift-3-e1460079871222_BM

    GT-R tersebut dikatakan dijana oleh enjin 4.0 liter berkuasa 1,380 hp yang spesifikasi ubahsuainya tidak diperincikan pada video tersebut. Tidak seperti GT-R versi produksi yang memacu ke-empat-empat roda menerusi sistem pacuan empat roda Attesa E-TS Pro, GT-R ini hanya memacu kedua belah tayar belakang sepenuhnya.

    Tidak dinyatakan enjin apa yang digunakan pada jentera ini. Tetapi boleh dijangkakan ia masih menggunakan enjin VR38DETT V6 asal GT-R, dengan kit stroker GR40 Greddy Trust yang menaikkan kapasiti asal 3.8 liter enjin tersebut menjadi 4.0 liter, sama seperti jentera GT-R Greddy 35RX yang dipandu Kawabata dalam kejohanan D1GP.

    Untuk memastikan keselamatan, rekod ini dibuat oleh Kawabata dan GT-R di kawasan tertutup iaitu landasan kapal terbang sepanjang tiga kilometer, Lapangan Terbang Antarabangsa Fujairah yang terletak di UAE.

     
     
  • AES kutip saman bernilai RM96 juta sejak 2012

    AES_Camera

    Sebanyak RM96 juta telah dikutip dari pesalah trafik yang dikesan menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak ia mula dikuatkuasa pada September 2012, ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Jumlah tersebut adalah dari 2,034,264 saman yang dikeluarkan tetapi hanya 85% sahaja yang telah dibayar, laporan The Star.

    “Berdasarkan analisa yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kadar kematian di 14 kawasan yang cenderung dengan kemalangan menunjukkan penurunan dari 19 hingga 12 kes dalam tempoh lapan bulan pertama selepas AES diimplementasikan,” ujarnya secara bertulis bagi menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan).

    Hee bertanya pada kementerian terbabit tentang jumlah saman yang dikutip sejak pelaksanaan AES dan jumlah saman yang telah dibayar.

    Menurut kajian Miros, secara purata, kadar pematuhan di kalangan pengguna jalan raya bagi had laju di enam lokasi AES bertambah dari 63% menjadi 91%.

    Liow turut menjawab secara bertulis bagi memberikan maklumbalas atas pertanyaan yang dikemukakan oleh Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru), yang ingin mengetahui tentang sistem demirit Kejara. Menurut Liow, sebanyak 4,000 lesen telah digantung oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah sistem berkenaan antara tahun 2005 dan 2011.

     
     
  • IIMS 2016: Honda CR-Z facelift turut dipamerkan

    Honda_CR-Z-2_BM

    Setelah dilancarkan di Indonesia bulan lalu, Honda CR-Z facelift kini dipamerkan di Indonesia International Auto Show (IIMS) 2016, yang sedang berlangsung sekarang di JIExpo, Kemayoran. Ini sebenanya facelift kali kedua untuk CR-Z dimana pengumumannya dibuat pada bulan Ogos tahun lalu. Manakala facelift pertama kereta hibrid sport ini telah ditampilkan buat pertama kali untuk peringkat global juga ketika IIMS berlangsung pada tahun 2012, dan hanya dilancarkan di Malaysia pada awal 2013.

    CR-Z terbaharu di Indonesia ini kelihatan sama seperti yang terdapat di Jepun, dan dilengkapi banyak ciri-ciri menarik. Ia kini tampil dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sambungan HDMI dan dua port USB, lampu hadapan LED baharu yang kini turut dilengkapi lampu nyalaan siang LED, kamera undur paparan pelbagai sudut dan unit audio utama dengan skrin sesentuh.

    Terdapat juga brek parkir elektronik dengan suisnya terletak di belakang tuil gear. Ini merupakan perubahan terbesar ditampilkan pada CR-Z baharu, di mana rekaan brek parkir tersebut dapat memberikan ruang yang lebih besar pada ruang storan konsol tengah dan juga perehat tangan dengan ketiadaan tuil brek tangan. Balutan pada tempat duduk, roda stereng dan tuil gear disulam dengan benang oren. Tempat duduk serta kemasan pintu juga diberikan adunan warna hitam-oren.

    Pada bahagian luaran, facelift terbaharu ini diberikan nafas baharu pada bahagian hidung dan bampar hadapan, bersama lampu hadapan baharu LED. Bampar belakang juga turut direka semula menampilkan rekaan diffuser untuk diserasikan dengan rekaan lip pada bampar hadapan. Kini rupa pada bahagian hadapan dan belakang kelihatan lebih melengkung berbanding sebelum ini. Roda aloi 17-inci baharu dua ton dengan motif bilah juga turut dibekalkan pada CR-Z bagi melengkapkan rupa keseluruhan yang lebih segar.

    Tiada perubahan yang dapat disaksikan dari segi prestasi. Enjin 1.5 liter i-VTEC dengan bantuan motor elektrik IMA masih lagi kekal menghasilkan kuasa keseluruhan 136 PS dan tork 190 Nm. Motor elektrik dibekalkan kuasa menerusi bateri lithium-ion 144-volt, 18.8 kW. Untuk pasaran Indonesia, tiada kotak gear manual enam-kelajuan disediakan, sebaliknya hanya dibekalkan dengan kotak gear CVT bersama penukar gear.

    Honda CR-Z facelift ini dijual pada harag Rp. 535 juta (RM159,981) di Indonesia dengan empat pilihan warna iaitu Milano Red (seperti dalam gambar), Premium White Pearl, Hellios Yellow Pearl II dan Smart Black.

    GALERI: Honda CR-Z facelift di Tokyo 2015

     
     
  • IIMS 2016: Honda Civic baharu dilancarkan, hanya varian 1.5L Turbo yang ditawarkan

    Honda_Civic_Turbo-2

    Selepas Thailand, kini giliran Indonesia pula yang menerima kehadiran Honda Civic baharu, dan sedan penuh kacak ini telah pun diperkenalkan petang semalam di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016. Namun tidak seperti di Thailand, Civic generasi ke-10 yang diperkenalkan di Indonesia hanya ditawarkan dengan satu varian iaitu 1.5L Turbo. Tiada varian 1.8L NA diperkenalkan.

    Civic Turbo ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan kuasa 173 PS dan tork 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm. Enjin Euro 4 DOHC 16-injap empat-silinder ini dipadankan dengan kotak gear automatik Earth Dreams Technology CVT dengan pedal penukar gear di belakang roda stereng. Ia turut dilengkapi dengan suspensi hadapan topang MacPherson, dan belakang multi-links. Turut menggunakan rim 17-inci dua-tona yang dibaluti tayar 215/50, seperti mana di pasaran Thailand.

    Hanya perbezaan yang kelihatan pada model Civic Turbo spesifikasi Indonesia ini ialah paip ekzos berkembar. Namun tiada perubahan pada sistem ekzos dan bentangannya – paip yang direka tidak ‘kelihatan’ – dan PT Honda Prospect Motor juga turut mendatangkan pemijak muffler untuk gaya yang lebih sporty.

    Juga, selain loga “RS” yang digunakan di Thailand, Civic Indonesia juga turut menempatkan logo “VTEC Turbo” pada bahagian belakang. Pilihan sayap belakang Modulo juga kelihatan lebih pendek dan lebih halus. Tiada gril hitam ditampilkan.

    Honda_Civic_Turbo-11

    Civic Turbo di sini juga didatangkan dengan elemen standard termasuk lampu utama LED dan lampu nyalaan siang LED, penghawa dingin zon-tunggal (dua-zone di Thai), lapan-cara pelarasan berkuasa tempat duduk pemandu (tambah empat-cara pelarasan berkuasa bagi tempat duduk penumpang hadapan di Thai), kawalan penghidup enjin, lampu dan bilah pengilap cermin auto, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kamera undur, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik dan enam beg udara.

    Bagi unit utama skrin sesentuh, dengan saiz tujuh-inci, juga berbeza dengan unit Civic Thai. Ia juga menampilkan sistem berasaskan Android, dengan sambungan MirrorLink untuk telefon bimbit pintar. Sistem itu juga memiliki smabungan USB, HDMI dan Bluetooth, termasuk navigasi.

    Ditawarkan dengan lima pilihan warna dengan kekemasan dalaman semua berwarna hitam, Honda Civic Turbo baharu ini diletakkan pada harga Rp. 475 million (RM141,502) di Indonesia. Aksesori Modulo, termasuk kit badan juga turut ditawarkan. Negara Asia seterusnya yang bakal menerima kehadiran model ini sudah pasti ialah Malaysia.

    GALERI: Honda Civic Turbo RS di Bangkok Motor Show 2016

     
     
  • Ganti Tambak Johor tidak selesai masalah – Singapura

    johor causeway jam bernama pix

    Pertengahan Mac lalu, Sultan Johor menggesa pelbagai pihak yang berkepentingan agar mempertimbangkan idea bagi menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan.

    Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berharap rakyat Johor dan Singapura dapat sama-sama memberikan idea bagaimana untuk memperbaiki laluan trafik di Tambak Johor sepanjang 1,056 meter itu.

    Hasil maklumbalas dari pihak jirannya, kata mereka, Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura mempunyai kapasiti yang mencukupi dan tidak akan digantikan.

    Memetik Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata kedua-dua kerajaan telah menjalankan kajian bersama dan membuat unjuran masing-masing untuk mencapai kesimpulan, laporan Bernama dan Channel NewsAsia.

    “Tambak itu sebenarnya mempunyai kapasiti yang mencukupi. Menggantikan Tambak bukan penyelesaian,” kata beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Bekalan semalam.

    Katanya lagi, kedua-dua negara sedang berusaha untuk menangani kesesakan di sempadan.

    Dr Balakrishnan juga berkata kedua-dua kerajaan sedang berusaha untuk menambahbaik kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

    Justeru, kemajuan telah dicapai bagi merealisasikan Sistem Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Rapip Johor Bahru-Singapura.

    Kira-kira 430,000 pengguna menggunakan pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas setiap hari semasa musim perayaan.

     
     
  • Lexus Malaysia umum kereta sport Lexus LC 500, LC 500h bakal mendarat di Malaysia pada tahun 2017

    2016-lexus-lc-coupe-to-malaysia-1_BM

    Percaya atau tidak, Lexus Malaysia telah mengesahkan mereka akan membawa Lexus LC yang menggiurkan ke pasaran Malaysia. Pengumuman berkenaan kedua-dua varian iaitu LC 500 dan LC 500h yang akan mula mendarat di Malaysia pada tahun 2017 itu dibuat di laman sesawang rasmi mereka.

    Kereta sport dua-pintu empat-tempat duduk LC 500 muncul buat pertama kali pada New York International Motor Show awal tahun ini dengan rekaan yang sangat agresif. Ia dilengkapi dengan enjin 5.0 liter tanpa induksi paksaan V8 menghasilkan 467 hp dan tork maksima 527 Nm.

    Enjin tersebut juga turut menjana Lexus RC F dan juga GS F. Kuasa dari enjin berkenaan membolehkan LC 500 memecut dari sifar hingga 100 km/h dalam masa hanya 4.5 saat. Ia dipadankan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik torque converter, pertama seumpanya dalam segmen kereta mewah.

    Lexus LC 500h Geneva 2

    Varian yang lebih mesra alam, Lexus LC 500h yang tampil buat pertama kali pada Geneva Motor Show pula dijana oleh sistem Multi Stage Hybrid Lexus. Unit janakuasa tersebut menggabungkan enjin 3.5 liter V6 digabungkan dengan dua motor elektrik serta bateri litium-ion 44.6 kW. Kuasa dari unit ini akan dihantar ke roda belakang menerusi sistem transmisi unik menggabungkan sebuah kotak gear CVT dan sebuah lagi kotak gear automatik empat-kelajuan torque converter. LC 500 h dikatakan mampu untuk memecut dari 0-100km/j dalam masa dibawah lima saat.

    Bagaimana dan mengapa LC 500h menggunakan dua kotak gear telah dijelaskan sebelum ini. Secara asasnya, jurutera Lexus mahu menghilangkan rubber band feel yang terdapat pada sistem transmisi CVT, seterusnya memberikan sensasi pemanduan berprestasi tinggi sebenar.

    Setakat ini tiada lagi spesifikasi, varian mahupun harga dibuat oleh pihak Lexus Malaysia. Jadi, teruskan mengikuti paultan.org untuk mengetahui apa-apa berita baharu berkenaan Lexus LC ini.

    GALERI: Lexus LC 500


    GALERI: Lexus LC 500h

     
     
  • Honda Winner 150 2016 dilancarkan di Vietnam

    2016-Honda-Winner-150-e1460019478121_BM

    Honda Vietnam secara rasminya telah melancarkan kapchai terbaharunya, Honda Winner 150 semasa Vietnam Motorcycle Show berlangsung. Model serba baharu ini dijadualkan akan diproduksi di Vietnam, mensasarkan pasaran motosikal kecil di Vietnam yang disifatkan sangat kompetitif.

    Diura-urakan turut akan dipasarkan ke Indonesia tidak lama lagi dengan nama Supra 150X, Winner 150 pasaran Vietnam menggunakan rekaan yang sama serta enjin 150 cc silinder tunggal, dengan sistem pancitan bahan api elektronik serta sistem penyejuk cecair. Enjin tersebut berupaya menjana 15.4 hp pada takat 9,000 rpm dan tork maksima 13.5 Nm pada takat 6,500 rpm. Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

    Asas rekaan Winner 150 tidak lari daripada trend terkini rekabentuk motosikal Honda menampilkan rekaan yang tajam dan bersegi. Kapchai ini juga dilengkapi dengan lampu hadapan LED. Dengan berat keseluruhan 122 kg, Winner 150 dibekalkan dengan tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter serta dilengkapi brek cakera pada bahagian hadapan dan belakang.

    Tiada lagi pengumuman rasmi berkenaan harga motosikal ini dibuat oleh Honda Vietnam, tetapi Honda Winner 150 dijadualkan masuk ke pasaran Vietnam pada Jun 2016. Kapchai ini juga akan hadir dengan pilihan dua varian dan empat warna iaitu Standard dengan warna merah sport/hitam atau hitam/putih dan Advanced dengan warna biru matte atau hitam matte.

     
     
  • IIMS 2016: Honda Brio Satya facelift, tampil varian RS

    Honda_Brio-2_BM

    Lagi berita langsung dari Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016, Honda Indonesia telah melancarkan Honda Brio Satya facelift ketika acara tersebut sedang berlangsung. Ia tidaklah begitu memeranjatkan kerana untuk pasaran India, Honda Amaze (nama Satya di India) versi facelift telah pun dilancarkan di sana awal bulan ini.

    Hatchback kecil lima-pintu ini diberikan muka yang lebih comel dari sebelum ini dengan rekaan baharu pada bampar dan gril hadapan. Bahagian belakang Brio ini masih kelihatan sama kecuali rekaan baharu yang di buat pada lampu belakang. Brio juga kini dilengkapi dengan roda aloi 14-inci baharu, manakala untuk varian RS yang hanya diperkenalkan bermula versi facelift ini, ia turut dilengkapi dengan skirt sisi, lampu hadapan projektor dengan lampu nyalaan siang LED, cermin sisi boleh-lipat berkuasa dengan lampu isyarat membelok LED, kemasan kaca bahagian belakang dan juga lencana RS, selain dari roda aloi bersaiz 15-inci.

    Beralih ke bahagian dalaman, Brio menerima rupa kabin baharu sepenuhnya. Papan pemuka kelihatan lebih segar dengan rekaan seiras Honda Jazz, yang menampilkan rupa yang lebih kontemporari dan premium. Turut kelihatan panel kawalan penghawa dingin digital diletakkan ditempat sepatutnya dan juga butang mod ECON.

    Honda_Brio-23_BM

    Varian E dan S dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN, manakala untuk varian RS ia diganti dengan skrin sesentuh bersaiz 6.2 inci. Kesemua varian kecuali varian asas S menerima butang kawalan audio di jejari sebelah kanan roda stereng. Satya E dan S dilengkapi dengan kemasan dalaman kabin berwarna hitam dengan tempat duduk berwarna beige. Sementara untuk varian RS, ia hadir dengan kabin berwarna hitam sepenuhnya dengan sulaman benang oren, serta warna badan eksklusif Passion Red Pearl yang kelihatan hampir seperti oren.

    Prestasi kereta kecil ini turut diberi nafas baharu. Enjin 1.2 liter empat silinder SOHC i-VTEC masih lagi kekal, tetapi kuasanya telah dipertingkat – daripada 88 PS/ 109 Nm pada model terdahulu, meningkat kepada 90 PS/ 110 Nm pada versi baharu ini. Enjin yang diberi penarafan Euro 4 tersebut dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada CVT automatik Earth Dream Technology baharu ataupun kotak gear lima-kelajuan manual. Brio diklasifikasikan sebagai “Mobil Hijau Murah” (LCGC) di Indonesia.

    Honda Brio facelift dijual pada harga bermula Rp. 129.6 juta (RM38,397) untuk Satya manual hingga Rp. 174.7 juta (RM51,733) untuk varian RS CVT. Pilihan aksesori dari Modulo juga disediakan yang terdiri daripada visor pintu, kemasan tip ekzos, kemasan krom pada pembuka pintu, kemasan menyala pada side-step serta kemasan krom pada cermin sisi.

    GALERI: Honda Brio facelift di IIMS 2016

    GALERI: Honda Brio RS di IIMS 2016

     
     
  • Perodua mula eksport Myvi dan Alza ke Brunei

    AAJ_8978 (v2)

    Sebagai langkah untuk mengembangkan lagi rangkaian eksportnya, Perodua mengeksport sejumlah 310 unit model Myvi 1.5E dan Alza 1.5SE ke Brunei pada tahun ini.

    “Ini merupakan langkah yang besar untuk Perodua memperkukuhkan lagi jenama di rantau ini sekali gus menjadi pemain industri pasaran auto di peringkat Asia pada tahun akan datang,” ujar CEO dan Presiden Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Sambungnya lagi, “Kami percaya dengan adanya permintaan di sana bagi model-model ini sekali gus membuktikan penerimaan terhadap kenderaan kompak semakin berkembang.”

    “Myvi 1.5E dan Alza 1.5SE melakukan penampilan perdana di Brunei Motoring BM iaitu pertunjukan automotif di negara tersebut yang berlangsung hari ini. Malah harganya juga akan didedahkan tidak lama lagi,” ujar Pengarah Urusan GHK Motors Sdn Bhd Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin. GHK Motors adalah salah satu pengedar rasmi Perodua di Brunei.

    Kedua-dua model ini telah pun dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Brunei, Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh, Datuk (Dr) Aminar dan Kurinami Takamasa selaku Pengarah Eksekutif Perodua.

    Brunei yang mempunyai populasi seramai 417,784 penduduk menurut Bank Dunia dengan jumlah keseluruhan industri bagi kenderaan pada tahun 2015 ialah 14,243 unit.

    Buat masa ini, Perodua telah mengeksport model kenderaannya di lima buah negara iaitu Singapura, Mauritius, Brunei, Sri Lanka dan Fiji. Malah Perodua turut mengeksport Myvi ke Indonesia tetapi sebagai Daihatsu Sirion (dengan logo Daihatsu).

     
     
  • Teksi akan pupus sekiranya aplikasi perkongsian kenderaan atas talian tidak diharamkan – PERS1M

    Malaysia-Taxi-02

    Naib pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain memberi amaran teksi akan pupus sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak menyelesaikan masalah berkenaan aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar secepat mungkin, lapor The Sun Daily.

    Beliau memberi amaran tersebut berikutan jumlah pemandu teksi meninggalkan industri tersebut yang semakin meningkat kerana sumber pendapatan mereka berkurangan. “Saya telah diberitahu semasa perbincangan tertutup dengan syarikat-syarikat teksi yang mendakwa mempunyai beberapa unit teksi yang tidak lagi digunakan kerana pemandu mereka meninggalkan industri ini. Jika ini beterusan, perkhidmatan teksi akan mati tidak lama lagi,” kata Kamarudin.

    Dengan itu, Kamarudin menggesa agar aplikasi terbabit diharamkan sepenuhnya kerana situasi ini. Beliau juga menyatakan adalah tidak adil kerana lesen pemandu teksi boleh digantung sekiranya mereka melanggar undang-undang yang terkandung dalam Akta Pengangkutan Jalan, manakala pemandu Uber dan GrabCar tidak akan dikenakan dengan apa-apa tindakan sekiranya membuat kesalahan yang sama.

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 6

    Kamarudin turut mengeluh berkenaan pengeluaran lesen teksi baharu yang dihentikan untuk mengelakkan ia menjadi terlalu banyak seperti yang dinyatakan oleh pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar pada tahun 2013. “Jika Uber dan GrabCar diberikan lesen, apa yang akan terjadi?” soal Kamarudin.

    Sementara itu presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyatakan kegagalan SPAD membuat keputusan telah membawa ketidakselesaan terhadap pemandu-pemandu teksi. “Isu Uber dan GrabCar ini sudah berlanjutan lebih dari setahun, dan kami telah menerima banyak aduan dari pemandu teksi yang mana punca pendapatan mereka telah berkurangan,” kata beliau.

    Berdasarkan situasi ini, beliau menekankan ketika NGO tersebut berhadapan dengan masalah ini, presiden akan menggesa pihak SPAD untuk mengambil tindakan segera seperti memperkenalkan undang-undang yang komprehensif. Beliau juga menekankan pemandu Uber dan GrabCar tidak perlu untuk melalui proses mendapatkan pengesahan dan lesen yang sukar, dan ini amat tidak adil kepada pemandu teksi.

    KL06_181115_PEMANDU_TEKSI

    “Adakah pemandu Uber dan GrabCar mempunyai lesen? Adakah mereka cukup sihat untuk memandu? Adakah mereka mempunyai rekod jenayah? Kita tidak tahu kerana ini tidak termasuk dalam syarat kelayakan,” kata beliau. Beliau mendakwa ini adalah risiko yang merbahaya untuk pengguna jika mereka terlibat dalam kemalangan dan kebertanggungjawaban pemandunya tidak sebaik pemandu teksi.

    Presiden PPIM itu juga mengakui, pengguna sentiasa mencari harga yang termurah dan sebab itulah pemandu teksi bermasalah dengan fakta tersebut. Beliau mencadangkan agar pemandu Uber dan GrabCar membentuk satu syarikat di mana mereka akan mempunyai syer yang sama untuk beroperasi secara sah.

    Beliau juga turut berkata ini hanya sebahagian kecil impak dari apa yang akan melanda setelah Perjanjian Kerjasama Trans-Pacific (TPPA) dilaksanakan sepenuhnya menyaksikan syarikat-syarikat besar akan menghapuskan pesaing-pesaing tempatan.

     
     
  • IIMS 2016: Toyota Sienta dilancarkan di Indonesia

    IIMS-Toyota-Sienta-5_BM

    MPV Toyota serba baharu yang kemunculannya di Asia Tenggara amat dinantikan – Toyota Sienta baru sahaja dilancarkan di Indonesia sebentar tadi. Pelancaran tersebut diadakan di Jakarta International Expo (JIExpo) Kemayoran sempena Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016 yang sedang berlangsung sekarang.

    Diproduksi di kilang baharu PT Toyota Manufucturing Indonesia yang terletak di Karawang, Jawa Barat, ia akan dieksport ke pasaran ASEAN, bermaksud ia turut akan mendarat ke pasaran Malaysia kelak. Dengan ukuran 4,235 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,675 mm tinggi, ia adalah 5 mm lebih panjang dan 55 mm lebih tinggi dari Perodua Alza. Walaupun dengan dimensi yang hampir sama, ketinggian Sienta mungkin faktor utama menampakkannya lebih besar dari Alza. Sienta juga diukur 20 mm lebih panjang tetapi 40 mm lebih rendah berbanding pesaingnya dari Jepun – Honda Freed.

    Apa yang menarik, rekaan yang agak ‘funky‘ dikekalkan untuk pasaran rantau ini seiras dengan rekaan yang dijual di Jepun. Lampu hadapannya direka seperti ‘disikat’ kebelakang, berhubung dengan gril hadapan yang besar menerusi kemasan berbentuk-J yang turut menempatkan perumah lampu kabus.

    Toyota_Sienta-14_BM

    Beralih ke bahagian sisi, pintu belakang MPV ini direka dengan bentuk-lengkok di bahagian belakang, memberikan rupa seperti pintu bukaan biasa, tetapi sebenarnya ia adalah pintu jenis ‘sliding’ (seperti pintu van). Rekaan tersebut juga menjadikan jarak landasan pintu belakang menjadi lebih pendek dan kelihatan seperti garisan kemasan, dibantu dengan rekaan kemasan berbentuk-U yang terletak pada bahagian bawah pintu tersebut. Lampu LED belakang turut dihubungkan pada kemasan landasan pintu dan bampar berbentuk-U seiring dengan rekaan di bahagian hadapan.

    Begitu juga pada bahagian dalaman, motif rekaan beralun turut mendominasi bahagian kabin. Papan pemuka direka dengan rekaan dua-tingkat. Bahagian tingkat atas diletakkan dengan corong pendingin hawa, unit utama pemain audio 2-DIN, dan juga paparan instrumen seperti rekaan pada Peugeot 208. Manakala untuk bahagian tingkat bawah pula diletakkan suis kawalan penghawa dingin dan tuil penukar gear yang kelihatan seperti rekaan pada Perodua Alza. Walau bagaimanapun, tempat duduk untuk model pasaran ASEAN ini nampaknya berbeza daripada tempat duduk Sienta pasaran Jepun.

    Varian Sienta pasaran Indonesia dibahagikan kepada empat iaitu E, G, V dan Q. Kesemua varian ini dikuasaan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Ini berbeza daripada model pasaran Jepun yang dibekalkan dengan pilihan sama ada enjin 2NR-FKE 1.5 liter VVT-iE (abjad ‘K’ pada kod enjin bermaksud ia menggunakan teknologi kitaran Atkinson) berkuasa 109 hp/ 136 Nm, ataupun jana kuasa hibrid menggunakan enjin 1NZ-FXE 1.5 liter berkuasa 74 hp/111 Nm.

    Toyota_Sienta-27_BM

    Kuasa dari enjin akan dipacu roda hadapan menerusi pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi CVT automatik dengan mod tujuh-kelajuan. Model asas E hanya hadir dengan transmisi manual, manakala varian tertinggi Q hanya hadir dengan transmisi CVT.

    Varian asas E dilengkapi dengan lampu hadapan projektor halogen, roda besi 15-inci dengan penutup plastik, pintu sliding manual, penghawa dingin manual, unit pemain audio utama 2-DIN dengan sambungan USB, AUX, CD/MP3, dan juga kemasan dalaman berwarna putih dan beige sebagai ciri standard.

    Sienta G pula ditambah dengan lampu kabus, roda aloi, pintu sliding sebelah kiri elektrik, penderia parkir, sistem immobilser dan juga sistem infotaimen dilengkapi paparan skrin sesentuh 5.6-inci dengan sambungan Bluetooth, Miracast dan juga fungsi Air Gesture.

    Untuk varian V pula, ia dilengkapi dengan roda aloi 16-inci, penghawa dingin digital dengan penghembus udara berasingan untuk bahagian belakang (ciri ini tidak terdapat pada model JDM), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, dan juga pintu sliding berkuasa elektrik untuk kedua-dua belah. Varian tertinggi Q dengan harga yang paling mahal pula dilengkapi lampu hadapan LED dengan fungsi larasan-sendiri, paparan pelbagai info TFT LCD bersaiz 4.2-inci dan juga tempat duduk berwarna perang gelap.

    Untuk aspek keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD serta bantuan brek secara standard. Tidak seperti versi JDM, model pasaran Indonesia tidak dilengkapi dengan sistem kawalan stabiliti kenderaan (VSC) dan bantuan mula mendaki (HSA), serta pilihan beg udara sisi dan langsir tambahan. Ia juga tidak dilengkapi dengan pilihan sistem bantuan pemanduan Safety Sense C yang mempunyai ciri brek dengan Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), amaran keluar laluan (LDA), dan juga lampu tinggi automatik (AHB).

    GALERI: Toyota Seinta di IIMS 2016

     
     
  • Harga kenderaan dijangka turun pada 2018 – Azalina

    JB09_010815_AZALINA

    Harga kenderaan dijangka akan turun sebanyak 30% menjelang 2018, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Kata Azalina, penurunan harga kenderaan ini adalah secara berperingkat-peringkat iaitu dari 20%, laporan News Strait Times.

    “Terdapat pelbagai langkah yang dilakukan termasuk memberikan geran insentif bagi mengurangkan jumlah duti eksais kepada syarikat pengeluar kenderaan dan juga termasuk nilai-tambah bagi komponen automotif tempatan.

    “Insentif ini dilihat dapat memberikan kesan terhadap pengurangan harga jualan yang pernah direkodkan pada tahun 2013 iaitu sebanyak 3%, diikuti dengan 7% pada 2014 dan 2.7% pada 2015,” ujarnya.

    toll booth

    Berkenaan dengan kadar tol pula, Azalina memberitahu sejak tahun 2008, kerajaan telah berunding dengan syarikat konsesi lebuhraya untuk mengurangkan beban kadar tol yang ditanggung oleh pengguna. “Rundingan ini adalah bagi mencari mekanisme terbaik bagi mengurangkan kadar tol dengan situasi ‘menang-menang’ untuk semua pihak yang terlibat, termasuk kerajaan, konsesi, pelabur dan pengguna,” jelasnya.

    Katanya lagi, “Hasil rundingan tersebut, keputusan untuk menaikkan kadar tol lebuhraya ditangguhkan sejak lapan tahun yang lalu, dari 2008 hingga 14 Oktober 2015.”

    Ini turut melibatkan keputusan lain termasuklah menghapuskan kutipan tol dan penutupan lapan plaza tol di enam buah lebuhraya, mengurangkan kadar tol yang melibatkan tiga konsesi lebuhraya, menstruktur semula kadar tol di lebuhraya dan menyemak semula klausa dalam perjanjian konsesi, termasuk klausa semakan mekanisma tol.

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya janji kerajaan dalam Pilihanraya lalu untuk mengurangkan harga kereta dan mengurangkan kadar bayaran tol.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025