Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda 2 2016 di M’sia – lampu utama LED, RM91k

    Mazda_2_LED_Thailand-2

    Nampak gayanya Mazda 2 2016 tidak menanti masa yang lama untuk tiba di pasaran tempatan. Malah dengan senarai elemen yang dipertingkatkan, pastinya kehadirannya dinanti-nantikan kerana kepercayaan terhadap model ini yang dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang optimum. Walau bagaimana pun, harganya juga ada perubahan, bagi kedua-dua hatchback dan sedan.

    Bagi model facelift ini, akhirnya ia menerima padanan lampu utama LED (dengan lampu nyalaan siang LED), memberikan Mazda 2 2016 ini beranjak ke aras yang lebih tinggi kerana menampilkan elemen yang sedang ‘in’ pada masa kini. Selain itu, lampu utama ini juga menampilkan larasan automatik dengan fungsi ‘on-off’, tetapi bukan Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS).

    Peningkatan elemen ini lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan pada model bagi pasaran Thai, di mana Mazda 2 diperkenalkan dengan lampu utama LED ketika dipamerkan di Thai Motor Expo 2015. Manakala bagi lampu belakangnya pula, ia masih mengekalkan lampu jenis mentol dan rodanya juga masih kekal iaitu aloi 16-inci yang dibaluti tayar 185/60R16.

    Selain lampu utama LED, semuanya masih kekal seperti mana model terdahulu. Ini termasuklah enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat-silinder suntikan-terus, dengan keupayaan menyalurkan kuasa sehingga 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 148 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Klik untuk besarkan imej

    Pada bahagian kabinnya, ia masih kekal dengan tempat duduk balutan kulit, kawalan suhu zon tunggal automatik, tempat duduk larasan manual, pedal penukar gear dan skrin paparan. Bagi hiburan, ia juga didatangkan dengan sistem MZD Connect dengan enam-speaker, skrin sesentuh tujuh-inci dan butang/tombol Commander Control. Sistem ini juga boleh dipertingkatkan dengan fungsi navigasi dengan kos pilihan (RM1,270).

    Bagi harganya, Mazda 2 (sedan dan hatchback) kini bermula pada RM90,766.30, lebih RM5,300 berbanding model terdahulu (RM85,466.30). Walau bagaimana pun, harga ini ditawarkan bagi cat 2s iaitu Snowflake White Peark, Aluminium Metallic dan Metropolitan Grey.

    Jika inginkan warna signatur iaitu Soul Red, pertambahan kos sebanyak RM530 akan dikenakan. Harga yang diberikan ini adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan termasuk dengan waranti tiga-tahun (100,000 lm) dan penyelenggaran percuma (60,000 km), yang mana tiba terlebih dahulu. Mazda 2 adalah model yang diimport sepenuhnya dari Thailand (CBU).

    Bermaz turut menawarkan senarai pilihan aksesori termasuk ‘sports kit’ yang terdiri daripada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan spoiler belakang, dengan kos tambahan RM2,300 untuk sedan dan RM2,370 bagi hatchback. Selain itu, kos tambahan lain melibatkan paip ekzos (RM70), boot tray (RM130) dan plat keluli tahan karat dengan pencahayaan LED (RM275).

    GALERI: Mazda 2 di Thailand Motor Expo 2015

     
     
  • Ford Focus 1.5L EcoBoost sarat dengan teknologi bantuan pemanduan yang terkini dan efisien

    C346 Focus FL Sedan MY-2

    Pada hari pelancaran Ford Focus 1.5L Ecoboost baharu tempoh hari, pihak media diberi peluang untuk memandu uji kereta ini dalam sesi uji pandu dalam format pertandingan ala ‘Amazing Race’ sekitar Sunway Damansara, Bandar Sunway, Serdang sehingga ke Putrajaya. Penulis diberi peluang untuk memandu Focus EcoBoost ini dalam varian Titanium+ Sedan.

    Apa yang ingin diketengahkan pada sesi pemanduan ringkas ini adalah penggunaan ciri-ciri elektronik terbaharu pada Focus ini iaitu sistem infotaimen SYNC2, sistem Active Park Assist (kedudukan sisi dan mengundur), dan sistem Active City Stop. Papan pemuka Focus baharu ini tampil lebih ringkas. Perubahan yang utama pada bahagian ini adalah unit infotainmen SYNC2 Ford yang membolehkan ia dikawal dengan hanya kawalan suara ringkas.

    Kami dapat menguji sistem ini di mana sebuah telefon pintar dihubungkan pada sistem ini dan segala arahan pertandingan dihantar ke telefon tersebut dan ia dapat dibaca melalui skrin SYNC2 dan semuanya dikawal hanya dengan kawalan suara tanpa menyentuh skrin atau apa-apa butang. Skrin juga diletakkan pada posisi yang sesuai dan agak mudah dilihat pada kebanyakkan sudut. Penyambungan Bluetooth, AUX dan SD Card adalah didatangkan standard untuk memainkan media pilihan pemandu.

    Selain itu, fungsi sistem Active Park Assist turut diuji, yang membolehkan kereta ini diparkir pada kedudukan sisi secara automatik (pemandu hanya perlu mengawal pedal pendikit, tombol gear dan pedal brek), fungsi sistem Active Park Assist untuk model baharu ini juga boleh digunakan pada parkir mengundur serta dipadankan dengan sistem Active City Stop.

    Cara untuk menggunakan sistem Park Assist ini agak ringkas. Anda hanya perlu menekan suis Park Assist di sisi tombol gear, hidupkan isyarat membelok (sama ada kiri atau kanan bergantung posisi tempat parkir), pandu kereta dengan perlahan melalui ruang parkir sehingga sistem mengesan ruang tersebut, seterusnya kereta akan diparkir secara automatik dan arahan kawalan pada pedal dan tombol gear diberikan melalui skrin SYNC2. Sistem ini berfungsi dengan agak tepat dan juga cepat.

    C346 Focus FL Sedan MY-9

    Sistem Active City Stop pada Focus ini juga sangat efektif. Jika kereta dipandu ‘merayap’ di bawah 20km/j contohnya sedang mencari rumah untuk disewa, ia akan terhenti sendiri jika pemandu tidak menyedari ada halangan di hadapan contohnya kanak-kanak yang melintas atau kenderaan hadapan berhenti secara mengejut.

    Boleh disimpulkan, dengan harga yang ditawarkan, prestasi Ford Focus 1.5L EcoBoost ini agak berbaloi secara keseluruhan. Ia bukan sahaja memberikan prestasi enjin yang mengujakan, ia juga dibekalkan dengan ciri-ciri yang tidak ada pada sedan atau hatchback sekelas dengannya seperti sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dan juga ciri-ciri lain.

    Kami akan mengulas lebih lanjut mengenai Focus baharu ini selepas diberi peluang memandu uji sepenuhnya.

    GALERI: Ford Focus Mk3 facelift, Titanium+ sedan

     
     
  • Kelab Serena S-Hybrid lawat kilang pemasangan Chong Motor Assemblies di Serendah

    01 Serena S-Hybrid Owner Group Serendah Plant Visitation_Group Photo

    Baru-baru ini Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah menganjurkan satu lawatan eksklusif untuk melihat proses pemasangan kenderaannya di kemudahan kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Serendah. Lawatan itu melibatkan seramai 73 orang ahli kelab Nissan Serena S-Hybrid Owners Group.

    Ahli-ahli kelab Serena S-Hybrid Owners Group berpeluang melihat saluran pemasangan Serena S-Hybrid dan kenderaan-kenderaan Nissan yang lain. Bukan itu sahaja, mereka boleh mengetahui tentang program latihan pekerja baharu. Selain pengalaman merasai sendiri persekitaran kerja secara langsung.

    “Kami berbesar hati untuk menawarkan peluang ini kepada ahli Nissan Serena S-Hybrid Owners Group untuk mengetahui bagaimana kenderaan Nissan dipasang dan dikilangkan mengikut standard kualiti paling tinggi, selari dengan Nissan Production Way yang dihasilkan oleh Nissan Motor Company Ltd. Kami mahu ahli kelab Nissan Serena S-Hybrid Owners Group berasa bangga dan menjadi sebahagian daripada keluarga Nissan,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng.

    03 Serena S-Hybrid Owner Group_Speech by Dato' Dr Ang Boon Beng

    Ditubuhkan pada tahun 2007, TCMA Serendah ialah kilang kedua milik Tan Chong. Ia mempunyai empat kemudahan utama iaitu bahagian badan, cat, pemasangan dan logistik. Buat masa sekarang, kenderaan yang dipasang di kilang ini ialah Almera, Grand Livina, X-Gear, NV200, Teana, Serena S-Hybrid dan X-Trail.

    Serena S-Hybrid padat dengan inovasi, keselesaan, fleksibiliti ruang yang tiada tandingan dan penjimatan bahan api mendahului kelasnya. Di samping penampilan yang bergaya dan dinamik. Nissan Serena S-Hybrid mula diperkenalkan di Malaysia sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun pada tahun 2013. Ia memulakan proses pemasangan tempatan pada tahun 2014. MPV ini ditawarkan di pasaran tempatan dalam dua varian iaitu Premium Highway Star dan Highway Star.

     
     
  • Honda Civic 2016 dilancarkan di Thailand – 1.8 i-VTEC dan 1.5 VTEC Turbo, dari RM101k hingga RM139k

    2016-civic-01

    Akhirnya model yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Ops bukan di negara kita, tetiba ia telah diperkenalkan di Thailand terlebih dahulu. Honda Civic 2016 serba baharu, telah pun dilancarkan hari ini di Thai dengan perubahan rekaan yang baharu dan segar, serta ditambah pula dengan enjin pengecas turbo baharu dan pelbagai teknologi terkini. Malah ini merupakan kereta pertama yang dibina di kilang Honda yang baharu di Prachinburi.

    Harga bermula 869,000 baht (RM100,800) untuk model asas 1.8 E, manakala 1.8 EL pula 959,000 baht (RM111,200), 1,099,000 baht (RM127,500) untuk Turbo dan 1,199,000 baht (RM139,100) bagi varian tertinggi Turbo RS.

    Tidak seperti di Amerika Syarikat, enjin asas di Thailand ialah 1.8 liter i-VTEC empat-silinder dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Malah di sana juga ada pilihan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan kuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,700 dan 5,500 rpm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan Transmisi boleh laras berterusan (CVT), bermakna selamat tinggal untuk kotak gear auto lima-kelajuan yang lama.

    2016-civic-13

    Civic baharu ini juga diberikan penggayaan yang lebih segar termasuk menampilkan elemen standard termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan rim aloi 16-inci. Bagi 1.8 EL pula terdapat lampu kabus dan pemegang pintu krom. Manakala varian Turbo pula menerima roda 17-inci dan dua ekzos, sementara bagi RS pula dipadankan dengan lampu utama LED sepenuhnya, lampu kabus LED, bampar hadapan yang lebih sporty dan gril (dengan bar hitam pekat bersambung dengan lampu utama) dan spoiler belakang.

    Di bahagian dalamnya, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin adalah standard, bersama Kawalan Penghidup Enjin yang juga ada pada Accord facelift. Turut dilengkapi dengan penghawa dingin automatik, roda stereng pelbagai fungsi, brek parkir elektronik, paparan tengah lima-inci dan sambungan Bluetooth.

    Bagi varian 1.8 EL, ada pertambahan elemen termasuk kawalan kelajuan, lampu utama automatik, Walk Away Auto Lock (yang boleh mengesan kunci bergerak jauh dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik), tempat duduk pemandu berkuasa dengan pelarasan lapan-cara, kulit upholstery, paparan instrumen LCD TFT, sistem hiburan skrin sesentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free, sistem bunyi lapan-speaker dan kamera undur.

    2016-civic-04

    Bagi model Turbo pula, ia menerima bilah pengilap cermin automatik, tempat duduk penumpang hadapan berkuasa dengan empat-cara pelarasan dan kawalan suhu dua zon. Manakala untuk Turbo RS pula, elemen tambahan yang ditampilkan ialah cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear di belakang roda stereng dan pedal aloi.

    Kit keselamatan standard pula termasuk dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki. Hanya model Turbo RS menerima enam beg udara, pengingatan pemakaian tali pinggang penumpang hadapan dan Honda Lane Watch.

     
     
  • Proton Perdana 2016 – spesifikasi rasmi didedahkan

    Perdana-Brochure-1

    Apabila Proton Edar telah mendedahkan spesifikasi rasmi Perdana 2016 menerusi laman webnya, ini menandakan tarikh pelancaran model premium ini kian hampir. Di mana kini Proton Edar telah giat memulakan rangka promosi bagi Perdana 2016 ini dan menerusi spesifikasi yang dipaparkan ini adalah bagi varian Perdana 2.4 Premium.

    Seperti mana yang pernah disiarkan sebelum ini, Perdana 2016 masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z I-VTEC aci sesondol berkembar untuk varian 2.4L (177 hp/222 Nm) dan R20A I-VTEC aci sesondol tunggal untuk varian 2.0L (154 hp/189 Nm).

    Perdana 2016 ini memiliki ukuran 5,020 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,475 mm tinggi dan jarak roda pula 2,800 mm. Tangki bahan apinya pula berkapasiti 70 liter.

    Screen Shot 2016-03-11 at 6.54.29 PM

    Menerusi spesifikasi ini, Perdana 2.4L Premium dilengkapi dengan lampu utama projektor xenon (projektor halogen untuk model 2.0L) turut disertakan dengan lampu nyalaan siang LED. Ia juga dihiasi dengan kit badan termasuk skirt sisi dan spoiler di bahagian belakang. Malah menurut pemerhatian kami semasa menghadiri majlis pra-tonton model ini, lampu belakang juga dipertingkatkan dengan penggunaan lampu jenis LED.

    Ia juga dilengkapi dengan Bantuan Parkir termasuk pengesan di bahagian hadapan dan belakang. Selain itu, aspek keselamatan yang ditampilkan pada Perdana 2016 ini, pastinya bersama ABS dan EBD serta Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

    Screen Shot 2016-03-11 at 6.55.31 PM

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bahagian kabinnya tidak banyak berbeza dengan apa yang ditampilkan pada Honda Accord. Ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear dan kawalan kelajuan pada roda stereng, sistem hiburan dan navigasi GPS, penghawa dingin dua-zon, kamera undur, dan tempat duduk larasan kuasa dengan lapan-cara untuk pemandu.

    Proton turut mengesahkan, model ini tidak disertakan dengan sistem kemasukan kunci pintar untuk kedua-dua varian. Manakala kemasan dalaman ditawarkan dengan dua warna berbeza mengikut varian iaitu beige untuk model 2.4L dan hitam untuk model 2.0L. Kesemua tempat duduk juga dibaluti dengan kulit penuh, manakala untuk trim model 2.4L menerima kekemasan kayuan dan model asas 2.0L hanya dipadankan dengan trim berwarna perak.

    Ia juga bakal ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold.

    Perdana 2016 ini juga telah pun mula dibuka tempahan sejak 16 Februari lalu dengan harga jangkaan antara RM100k hingga RM150k. Kami akan membawakan perkembangan lanjut mengenainya dari semasa ke semasa.

    GALERI: Pra-prebiu Proton Perdana 2016

    GALERI: Proton Perdana 2016 hasil rendered

     
     
  • BMW Motorrad 2016 umum senarai harga di Malaysia – turun untuk sesetengah model sehingga RM6.5k

    Screen Shot 2016-03-11 at 5.40.47 PM

    Auto Bavaria selaku pengedar sah bagi BMW Motorrad Malaysia telah mengumumkan senarai harga baharu efektif 1 Mac 2016 menerusi laman Fecebook rasmi mereka. Menerusi senarai tersebut, beberapa model motosikal BMW dilihat mengalami perubahan harga, iaitu lebih murah berbanding sebelum ini.

    Motosikal siri ‘adventure’, terutamanya R1200GS Adventure, dilihat mengalami perubahan harga yang paling besar iaitu sebanyak RM6,500 dengan harga sebelum ini RM121,400, kini hanya RM114,900. Sementara perubahan paling kecil pula melibatkan model F800GS iaitu penurunan sebanyak 4.6% menjadi RM61,900. Manakala motosikal berkuasa tinggi S1000RR pula turun sebanyak RM4,000 menjadi RM104,900.

    BMW-Motorrad-Pricelist-2016

    Sementara itu, R1200RT sport-tourer mengalami penurunan harga sebanyak RM5,000 dan kini berharga RM123,900. Walau bagaimana pun, bagi S1000R pula, harganya hanya menyusut sedikit sebanyak 4% iaitu kini RM88,300. S1000R juga pernah diumumkan berharga RM84,900 dalam tempoh masa yang terhad iaitu pada Oktober lalu sahaja.

    Tidak disenaraikan ialah K1300RS sports-tourer dan K1300R roadster, di mana kedua-dua model tersebut telah ditamatkan pengeluarannya beberapa tahun yang lalu. Turut tidak berada dalam senarai harga tersebut ialah C600 Sport dan skuter C650GT.

     
     
  • Honda Clarity Fuel Cell mula dijual di Jepun

    4151028_008H

    Honda telah memulakan jualan bagi kenderaan Clarity Fuel Cell di Jepun. Ia merupakan pengganti kepada FCX Clarity, kenderaan yang dijanakan oleh hidrogen yang diperkenalkan pada tahun 2007. Clarity Fuel Cell ini melakukan penampilan perdana di Tokyo Motor Show 2015 pada Oktober lalu.

    Clarity merupakan kenderaan sell sepenuhnya (FCV) jenis sedan lima-penumpang pertama di dunia. Mengadaptasikan teknologi Honda sepenuhnya, komponen bagi sel bahan apinya telah dikurangkan sebanyak 33% berbanding dengan model sebelumnya. Namun ia mampu menghamburkan kuasa maksimum melebihi 100kW dan kuasa ketumpatan sebanyak 3.1 kW per liter. Di mana ia telah ditambah baik sehingga 60%.

    Tangki hidrogen ketahanan tinggi bagi Clarity Fuel Cell ini ialah 70MPa. Manakala storan tenaga bagi FCV ini menggunakan bateri Lithium-ion.

    Clarity Fuel Cell hanya mengambil masa selama 3 minit untuk pengisian semula bahan api dan mampu pergi sejauh melebihi 700 km bagi satu tangki penuh.

    Penjana kuasa sel bahan api ini juga diperbuat dengan lebih kompak, sama seperti enjin V6. Malah ia boleh disimpan di bawah hud model sedan ini dan ia seumpamanya yang pertama di dunia. Sekali gus membuktikan satu lagi pencapaian cemerlang oleh Honda Motor Co., Ltd.

    Bentangan bagi penjana kuasa ini membolehkan Clarity Fuel Cell mampu membawa lima penumpang dewasa dalam satu masa.

    Sebagai tambahan, dengan gabungan penjana kuasa luaran mudah alih iaitu Power Exporter 9000, Clarity Fuel Cell boleh dianggap sebagai “loji kuasa pada roda” bagi menghasilkan dan menyalurkan kuasa elektrik apabila diperlukan termasuklah dalam keadaan kecemasan seperti bencana alam dan sebagainya.

    Clarity Fuel Cell akan dijual pada harga 7.66 juta Yen (RM276, 343) dan untuk tahun pertama ini ia diproduksikan dengan skala yang kecil sahaja iaitu sebanyak 200 unit. Honda akan menantikan respons daripada pelanggan berkenaan kenderaan ini dan jika ia mendapat sambutan, bilangan model yang akan diproduksi bakal ditambah. Ia diproduksi di Production Supervisory Unit & Powertrain Production Supervisory Unit yang terletak di Takanezawa-machi, Tochigi.

    GALERI: Honda Clarity Fuel Cell di Tokyo 2015

     
     
  • Honda NSX Type-R – bakal dibina dengan konsep MR?

    Honda-NSX-TMS-40_BM

    Seperti yang dilaporkan Autocar UK, Ketua pembangunan dinamik NSX Nick Robinson berkata Honda berkemungkinan akan menghasilkan Honda NSX Type-R pada masa akan datang. Walaupun belum diberi lampu hijau, tetapi ada “keinginan besar” dari Honda sendiri untuk menghasilkan kereta tersebut. Honda hadir dengan NSX baharu sebagai satu usaha untuk kembali semula membina kereta-kereta sports tulen, dan menjadikan NSX sebagai permulaan untuk membina kereta yang lebih hebat. Justeru, pembinaan NSX Type-R merupakan “langkah pertama yang logik”.

    Menurut Nick lagi, untuk mengurangkan berat keseluruhan versi Type-R tersebut, ia mungkin tidak disertakan dengan motor elektrik 72 hp dibahagian hadapan serta bateri yang berkaitan, menjadikan kereta tersebut sebuah Supercar enjin tengah berpacuan belakang (Mid-Engine Rear wheel drive atau MR), seperti NSX terdahulu. Ini merupakan langkah pertama untuk mengurangkan beratus kilogram berat keseluruhan NSX yang sekarang ini mencecah 1,725 kg.

    Motor elektrik dibahagian belakang yang juga bertindak sebagai alternator, motor penghidup, roda tenaga, serta membantu respon enjin V6 3.5 liter twin-turbo pada tahap low end akan dikekalkan. Namun ia bakal memberikan pengurangan berat yang agak banyak memandangkan berat untuk sistem hibrid NSX ini sahaja mencecah 150 kg.

    Lebih banyak lagi berat yang akan dikurangkan melalui penggunaan material yang lebih ringan. Sistem aerodinamik aktif yang asalnya dipasang pada NSX standard juga akan mungkin akan dilengkapi pada model Type-R. “Kami adalah Honda, jadi kos adalah diambil kira [untuk kereta biasa], tetapi untuk keluaran terhad? apa salahnya?” ujar Robinson.

    Honda-NSX-TMS-48_BM

    NSX standard juga boleh dipandu dengan hanya pacuan belakang, dakwa Robinson dimana jika ia dalam mod ‘maintenance‘, sistem ABS dan kesemua bantuan motor elektrik akan dimatikan. Pengendalian dan sistem stereng telah ditala untuk berfungsi bersama sistem pacuan semua roda, jadi ia akan terasa ganjil dalam mod ini. “Ia adalah jentera Drift“, tambah beliau.

    Sebenarnya, NSX baharu pacuan belakang sudah pun mengambil bahagian dalam perlumbaan tahunan Pikes Peak Hill Climb tahun ini, dipandu adik Nick sendiri iaitu James Robinson. Agak berbeza dari model yang hampir standard dipandu Nick dalam acara yang sama, versi yang diubahsuai secara drastik tersebut membuang sepenuhnya sistem hibrid NSX.

    Enjin V6 tersebut juga dilengkapkan dengan Superchager untuk membantu tork pada tahap low end. Dengan dikuasakan dua pendesak induksi (Supercharger dan Turbo), enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa lebih dari enjin V6 500 hp sedia ada.

    Versi roadster untuk NSX biasa turut disahkan akan diproduksi selepas model coupe, dengan sedikit penalti pada ketegaran keseluruhan badan kereta. Versi coupe turut hadir dengan opsyen bumbung gentian karbon, yang mengurangkan berat sebanyak 5 kg tetapi tidak menjejaskan ketegaran keseluruhan kereta. “Saya masih tidak yakin dengan versi convertible, tetapi ia tidak mustahil,” ujar Robinson.

    GALERI: Honda NSX di Tokyo 2015

     
     
  • Tambang pengangkutan awam tidak ditentukan oleh harga minyak, tetapi oleh GST, premium insuran yang tinggi dan tukaran wang asing – Pengerusi SPAD

    Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kadar tambang untuk pengangkutan awam darat seperti bas atau teksi tidak ditentukan oleh harga minyak dunia, walaupun harga komoditi tersebut menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, menurut Bernama.

    Beliau berkata ini adalah kerana kos petrol atau diesel hanya menyumbang sebanyak 10% dari kos keseluruhan operasi syarikat yang menyediakan servis pengangkutan awam. Tambah beliau lagi, kos penjagaan kenderaan-kenderaan tersebut adalah lebih mempengaruhi tambang perkhidmatan.

    “Ada elemen lain yang mempengaruhi kos operasi syarikat pengendali ketika ini seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap alat ganti kenderaan,” kata Syed Hamid. “Selain itu, syarikat juga berdepan kenaikan premium insurans dan kadar tukaran wang yang tidak menentu,” jelas beliau lagi.

    Syed Hamid juga mendakwa walaupun pengguna merungut berikutan kenaikan tambang pengangkutan awam darat, mereka juga mengakui kualiti servis-servis berkenaan juga sedang meningkat naik sekarang.

     
     
  • PSA Peugeot Citroen terbitkan hasil ujian penggunaan bahan api dunia nyata untuk tiga model diesel mereka

    PSA-Peugeot-Citroen-real-world-fuel-consumption-1-e1457663701115_BM

    Di dalam dunia automotif yang hangat dengan skandal diesel Volkswagen, dan kerajaan jepun yang tidak berpuas hati dengan hasil ujian makmal beberapa pengeluar yang tidak selari dengan penggunaan sebenar dunia nyata, PSA Peugeot Citroen menjalankan ujian penggunan di dunia sebenar terhadap model janaan diesel mereka. Ujian tersebut dijalankan dan ditunjukkan hasilnya kepada dunia untuk membuktikan ketelusan PSA Peugeot Citroen dalam isu ini, dan ia merupakan pengeluar pertama di dunia melakukan perkara sedemikian.

    Hasil ujian yang diterbitkan tersebut bukan sahaja hasil ujian yang dijalankan oleh pihak PSA Peugeot Citroen semata-mata, bahkan turut disertai oleh dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu pihak Transport & Environment (T&E) dan juga France Nature Environment (FNE). Hasil kesemua ujian ini diaudit oleh pihak Bureau Veritas. Tiga kereta yang diuji iaitu Peugeot 308, Citroen C4 Grand Picasso dan DS3, di mana kesemua kereta ini dikuasakan dengan enjin diesel 1.6 liter BlueHDi 120 dan dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual.

    Ujian yang dilakukan keatas kereta-kereta terbabit dilakukan di bawah protokol yang dibuat bersama NGO T&E. Ia termasuk memandu kereta-kereta tersebut di jalan raya umum berdekatan Paris (25.5 km bandar, 39.7 bandar padat, dan 31.1 km lebuh raya) dan dengan keadaan pemanduan seharian sebenar.

    Oleh itu, penumpang, beban barangan, keadaan permukaan jalan, dan penggunaan penghawa dingin semuanya memainkan peranan untuk mendapatkan data penggunaan bahan api. Berdasarkan projek Emisi Pemanduan Sebenar (RDE) oleh Kesatuan Eropah (EU), protokol mengukur penggunaan bahan api adalah dengan menggunakan Sistem Pengukuran Emisi Mudah-alih (PEMS) yang dipasang pada kenderaan (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar).

    Menurut PSA Peugeot Citroen, pengiraan yang dikira melalui ujian tersebut boleh dibandingkan dengan pengiraan yang dilakukan oleh pelanggan (dihimpunkan daripada tinjauan bebas pelanggan). Oleh itu, syarikat tersebut menyimpulkan prosedur ujian tersebut mewakili pemandu tipikal.

    Keputusan ujian penggunaan bahan api yang dijalankan di bawah protokol adalah seperti berikut : Peugeot 308 (5.0 l/100 km), Citroen C4 Grand Picasso (5.6 l/100 km) dan DS3 (4.9 l/100 km). Sementara itu, penggunaan bahan api yang dikira berdasarkan tinjaun pengguna ialah: Peugeot 308 (5.0/5.1 l/100 km). Citroen C4 Grand Picasso (5.5/5.7 l/100 km) dan DS3 (5.1/5.3 l/100 km).

    Merujuk kepada brosur yang diterbitkan, Peugeot 308 didakwa mempunyai kadar penggunaan bahan api (campuran untuk pemanduan bandar dan bandar padat) 3.2 l/100 km. Sementara itu Citroen Picasso didakwa mampu untuk mencapai bacaan penggunaan bahan api 3.6 l/100 km, manakala brosur DS3 tertulis ia mampu mencapai bacaan penggunaan bahan api 3.6 l/100km.

     
     
  • Subaru Impreza 2017 bakal buat penampilan sulung hujung bulan ini di New York International Auto Show

    2017-Subaru-Impreza-teaser_BM

    Selepas mempamerkan dua kereta konsep berkaitan, Hatchback lima-pintu di Tokyo dan Sedan di L.A, Fuji Heavy Industri mengumumkan Subaru Impreza 2017 akan membuat penampilan sulung di New York International Auto Show 2016 yang bakal berlangsung hujung bulan ini. Impreza generasi terbaharu ini akan ditampilkan pada 23 Mac iaitu lebih kurang dua minggu dari sekarang.

    Satu imej pendedahan awalan ditampilkan untuk versi produksi kereta tersebut, memberikan gambaran awal rupa bentuk bahagian hadapannya. Ia masih berpenampilan seperti sebuah Subaru yang tipikal, dan tidak menampilkan rekaan yang sangat agresif seperti yang ditunjukkan pada model konsepnya.

    Kereta ini dibina berasaskan platform Subaru Global Platform yang baharu, menampilkan pelbagai kejuruteraan baharu yang diterapkan dengan peningkatan ketegaran badan sekitar 70% hingga 100%, aspek NVH dan juga keselamatan. Platform tersebut bakal digunakan untuk pembangunan kereta-kereta baharu Subaru selepas ini bermula dengan model Impreza 2017.

    GALERI: Subaru Impreza Sedan Concept


    GALLERY: Subaru Impreza 5-Door Concept

     
     
  • Pemandu kurang upaya makin sukar dapat ruang parkir kerana lambakan pelekat palsu di pasaran

    SONY DSC

    Gejala lambakan pelekat parkir palsu di pasaran, membuatkan pemandu-pemandu kurang upaya kecewa kerana ia membuatkan mereka sukar mendapatkan ruang parkir di tempat awam, laporan The Star.

    Akhbar berbahasa Inggeris tempatan itu melaporkan ahli Persatuan Orang Kurang Upaya Damai telah membuat aduan, ramai pemandu normal dengan pelekat parkir palsu tersebut telah mengambil tempat letak kereta orang kurang upaya di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, termasuklah di pusat membeli-belah dan kawasan umum lain.

    Pelekat parkir palsu ini dijual secara terbuka di kebanyakan kedai perkakasan dengan harga antara RM7 dan RM20 setiap satu.

    Sebenarnya, pelekat-pelekat tulen hanya boleh diperoleh dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas satu taksiran keadaan si pemohon, ujar presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Damai V.Murugeswaran.

    “Kami berasa sedih kerana kurangnya penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan. Di mana sepatutnya pemandu normal yang tidak bertanggungjawab ini harus dikenakan denda yang tinggi kerana menggunakan ruang parkir khas bagi orang kurang upaya ini,” ujarnya.

    handicap-oku-abuse-parking-lot

    Sambungnya lagi, “Kami berharap agak pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan untuk memperkenalkan satu sistem khas seperti mana yang dilaksanakan di Jerman dan beberapa buah negara lain di mana terdapat satu mesin yang akan menghantar foto kenderaan tanpa pelekat yang sah secara terus ke pihak polis atau penguatkuasa tempatan.”

    The Star juga telah membuat tinjauan dan mendapati beberapa kedai perkakasan telah menjual pelekat khas orang kurang upaya ini kepada awam, walau pun hakikatnya ia sepatutnya hanya dikeluarkan oleh pihak JPJ sahaja. Di mana ia bukannya boleh dibeli sewenang-wenangnya di kedai-kedai sedemikian.

    Menurut CEO Pusat Membeli-Belah Sunway, HC Chan, yang juga merupakan penasihat bagi Persatuan Pusat Membeli-Belah Malaysia, berkata, parkir khas untuk orang kurang upaya ini selalunya berdasarkan sistem kepercayaan. “Jika terdapat pelekat ini, pastinya pemandu boleh memarkir kenderaan di ruang khas yang disediakan. Namun jika pengawal keselamatan dapat mengesan pemandu normal yang memarkir di ruang tersebut, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

     
     
  • Volkswagen Golf 1.4 TSI tampil dengan ciri dan dua varian baharu, lebih mampu milik – bermula RM149k

    Volkswagen Golf Mk7 untuk pasaran Malaysia telah ditingkat taraf dengan sedikit pembaharuan. Kunjungan kami ke bilik pameran Volkswagen Glenmerie menyaksikan Golf varian 1.4 TSI telah dilengkapi beberapa ciri yang tidak terdapat padanya sebelum ini. Berdasarkan maklumat dari Penasihat Jualan Volkswagen di situ, Golf 1.4 TSI kini telah dibahagikan kepada dua trim iaitu varian asas Comfortline dan varian Highline yang menampilkan beberapa ciri tambahan.

    Varian Highline seperti di dalam gambar menampilkan roda aloi 17-inci “Madrid” dan lampu hadapan yang direka semula dengan lebih elemen krom (di tempat lampu nyalaa siang LED pada model lama). Pada bahagian belakang, sepasang lampu belakang baru dipadankan dengan rekaan seiras Golf R yang sememangnya nampak lebih garang.

    Ciri baharu yang dipadankan termasuk sistem kunci pintar KESSY yang menampilkan suis penghidup enjin tekan diletakkan pada konsol tengah (bersebelah tombol gear), dan juga tempat duduk hadapan baharu yang lebih sporty dibalut dengan fabrik bermotif “Mel Stripe”.

    Turut ditampilkan pada varian Highline ini ialah Bantuan Parkir untuk membantu pemandu memarkir kenderaan pada kedudukan sisi, dan Bantuan Rehat yang akan memberi amaran jika ia mengesan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk.

    Dengan semua kelengkapan terkini diterapkan, Golf 1.4 TSI Highline dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM159,888. Varian Comfortline dengan hanya kelengkapan asas (lampu hadapan dibekalkan dengan hanya lampu halogen) pula dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM149,888. Walaubagaimana pun, kedua-dua varian ini sebenarnya dijual pada harga yang lebih mampu milik berbanding Golf TSI terdahulu yang dijual pada harga RM163,888.

     
     
  • DBKL tarik 1,136 kenderaan buruk pada tahun 2015

    kedai-potong

    Sepanjang tahun 2015 lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menarik 1,136 kenderaan buruk yang ditinggalkan pemilik di kawasan parkir sekitar ibu kota.

    Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad jumlah itu meningkat berbanding 634 kenderaan pada tahun 2014 dan 415 pada 2013, laporan Bernama.

    Di mana sepanjang tempoh Januari dan Februari tahun ini sahaja, sebanyak 288 kenderaan buruk yang ditinggalkan berjaya dialihkan menerusi tinjauan harian dan operasi selepas menerima 196 aduan daripada orang ramai.

    Mohd Sauffi berkata kenderaan buruk yang ditinggalkan menjejaskan imej kawasan persekitaran selain mengundang kepada pembiakan nyamuk.

    Beliau berkata kebanyakan kawasan yang dikesan mempunyai kenderaan buruk terbiar ialah di kawasan perumahan awam dan pangsapuri sekitar Kepong dan Bukit Bintang. Di mana setiap aduan kenderaan buruk akan diambil tindakan awal dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk mengalihkan kenderaan mereka.

    “Sekiranya mempunyai pendaftaran nombor plat, kami akan mencari pemilik kenderaan itu dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia dan memberikan notis untuk mengalihkannya,” katanya.

    Katanya lagi, jika pemilik gagal mematuhi arahan notis itu, kenderaan mereka akan dihantar ke depoh simpanan DBKL Salak Selatan sebelum surat makluman diberi kepada pemilik untuk membuat tuntutan dalam tempoh sebulan. Malah pemilik kenderaan akan dikenakan caj tuntutan iaitu kos alihan oleh DBKL sebanyak RM100 dan kos penyimpanan di depoh sebanyak RM10 sehari.

    “Jika tiada tuntutan dalam masa sebulan selepas surat makluman dikeluarkan, maka kenderaan tersebut akan dilupuskan. Bagi rangka kenderaan dan kenderaan tanpa enjin yang tiada nombor plat, tindakan pelupusan dilakukan serta merta,” katanya.

     
     
  • W205 Mercedes-Benz C180 Avantgarde (RM229k) dan C300 AMG Line (RM308k) diperkenalkan di Malaysia

    Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan dua model pemasangan tempatan (CKD) bagi varian W205 C-Class iaitu Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line dan Mercedes-Benz C 300 AMG Line. Kedua-duanya akan menyertai barisan model sedia ada iaitu C 200 Avantgarde Line, C 200 Exclusive Line dan C 250 AMG Line.

    C 180 Avantgarde Line mengambil alih C 200 sebagai varian asas baharu yang dijual pada harga atas jalan RM228,888 (tanpa insurans), menyaksikan penurunan harga sehingga RM20k. Manakala C 300 AMG Line baharu pula menduduki posisi selepas C 250 AMG Line, dan ditawarkan pada harga RM307,888, dalam lingkungan RM20k lebih tinggi berbanding model terdahulu.

    Bermula dengan varian asas baharu, C 180 menampilkan enjin 1.6 liter empat-silinder pengecas turbo dengan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan tork 250 Nm antara 1,200 dan 4,000 rpm, sama seperti A 200, tetapi ia digandingkan dengan 7G-Tronic auto (bukan 7G-DCT). Ia membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat sahaja, sedikit perlahan berbanding C 200 dengan 2.0 liter turbo (184 hp/300 Nm), yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat.

    Model baharu ini mempunyai persamaan dengan C 200 Avantgarde, di mana kedua-duanya menggunakan kit luaran yang sama. Ia menampilkan gril radiator dua-bar dengan Three-Pointed Star di tengah dan lampu utama LED Prestasi Tinggi, serta dua corong ekzos di belakang. Tetapi C 180 digandingkan dengan set roda yang lebih kecil iaitu roda aloi lima-jejari 17-inci (seperti foto di atas) berbanding 18-inci pada model C 200.

    Di dalamnya, rekaan Avantgarde Line cukup menonjol dan juga mempunyai persamaan antara C 180 dan C 200 Avantgarde. Walau bagaimana pun, jika dilihat pada risalah spesifikasi, ia hanya menampilkan zon-tunggal penghawa dingin dan tempat duduk hadapan tidak disertakan dengan fungsi memori. Dan pencahayaan ambien serta kamera undur tidak ditampilkan pada C 180 ini.

    Selain itu, ia kelihatan standard, sama seperti C 200 Avantgarde. Kekemasan asas hitam berkilat dibentangi pada bahagian tengah bersama kulit upholstery Artico, sistem hiburan Audio 20 CD (pra-pemasangan GPS Garmin Map) dengan skrin paparan tujuh-inci dan Mercedes-Benz Touchpad pada konsol tengah. Tiada kemasukan tanpa kunci (hanya penghidup enjin tanpa kunci), seperti model C 200.

    Manakala Mercedes-Benz C 300 AMG Line baharu ini lebih spesifik menyamai model C 250 AMG Line, tetapi dengan enjin bertalaan-tinggi, rim aloi lebih besar 19-inci, sistem ekzos sport dan sistem kawalan suhu automatik dengan tiga zon suhu. Ini menyebabkan ia lebih mahal sebanyak RM20k berbanding C 250.

    Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork 370 Nm antara 1,300 dan 4,000 rpm iaitu lebih 34 hp dan 20 Nm berbanding C 250 (211 hp/350 Nm). Jika C 250 boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.6 saat, C 300 pula hanya 5.9 saat, tetapi memiliki kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

    Kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi penukaran tork automatik 7G-Tronic tujuh-kelajuan, dan ia turut menerapkan bahagian luaran AMG Line termasuk dipadankan dengan suspensi sport, dengan jarak yang lebih rendah sebanyak 15 mm. Malah C 300 juga dilengkapi dengan sistem ekzos sport kawalan elektronik yang mampu menghasilkan bunyi ekzos yang lebih agresif hasil pelarasan injap pada alur paip dengan memilih mod Sport+ pada fungsi Dynamic Select.

    Selain dari logo rekaan khas, perbezaan lain antara C 300 dan C 250 ialah saiz rodanya. C 300 baharu dilengkapi dengan roda AMG pelbagai-jejari 19-inci, sementara C 250 pula lima-jejari 18-inci. Namun kedua-duanya memiliki persamaan identiti termasuk kit luaran AMG Line – bampar yang lebih sporty, skirt sisi dan cakera brek hadapan berliang.

    Lebih kurang sama seperti C 250, C 300 ini juga dipadankan dengan gril radiator dua-bar dengan Three-Pointed Star di tengah dan lampu utama LED Sistem Pencahayaan Pintar dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif. Model ini juga dipadankan dengan bumbung matahari.

    Bahagian dalaman C 300 AMG Line juga tidak banyak berbeza dengan C 250, ia dilengkapi dengan tempat duduk sport AMG Line, roda stereng leper di bawah dan papan pemuka dengan balutan kulit Artico. Malah kekemasan kayuan berwarna hitam juga menjadi hiasan pada bahagian tengan papan pemuka, serta turut menampilkan jam analog. Corong penghawa dingin juga dilingkari kekemasan krom dengan identiti AMG Line.

    Selain itu, ia turut menampilkan sistem hiburan COMAND Online (dengan navigasi), skrin paparan 8.4-inci dan touchpad pada konsol tengah. Malah ia didatangkan dengan 13-speaker, sistem bunyi sekeliling Burmester 590-watt sebagai standard. C 300 turut dilengkapi dengam Bantuan Parkir Aktif (sama seperti C 180), kamera undur, kemasukan tanpa kunci, kawalan penutup bonet belakang dan pakej wangian Air-Balance.

    Imbas kembali harga atas jalan (tanpa insurans) bagi model pemasangan tempatan varian W205 Mercedes-Benz C-Class di Malaysia adalah seperti berikut :

    Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line – RM228,888
    Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line – RM248,888
    Mercedes-Benz C 200 Exclusive Line – RM252,888
    Mercedes-Benz C 250 AMG Line – RM287,888
    Mercedes-Benz C 300 AMG Line – RM307,888

    GALERI: Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line

    GALLERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025