Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • smart #1 kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran RM200k-RM250k, ada varian prestasi Brabus

    smart #1 kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran RM200k-RM250k, ada varian prestasi Brabus

    Akhirnya, EV pertama dari jenama smart yang dihasilkan bersama Mercedes-Benz dan Geely, smart #1 kini sudah boleh ditempah untuk pasaran Malaysia. Seperti yang diketahui sebelum ini, jenama smart masuk semula ke pasaran tempatan dengan pembentukan smart Malaysia yang diuruskan oleh anak syarikat Proton, Proton New Energy Technology (Pro-Net).

    Pengumuman pembukaan tempahan ini dibuat sempena pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang dipertingkatkan antara smart & Proton yang berlangsung di Nanning, China, hari ini. Acara tersebut dihadiri oleh CEO Proton Dr Li Chunrong, naib CEO Proton, Roslan Abdullah dan juga delegasi Malaysia termasuk wakil dari MITI dan MDEC.

    Ini juga bermaksud Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang menawarkan model-model EV terbaharu keluaran smart bermula dengan smart #1.

    “Kami berbangga berada di barisan hadapan untuk ketibaan jenama smart di rantau ASEAN, setelah smart Automobile mengumumkan majlis penyampaian kereta pertama untuk smart #1 di Malaysia. Pencapaian ini bermakna smart Malaysia kini bersedia untuk bermula dengan penghantaran kenderaan kepada pelanggan pada suku keempat tahun 2023 dengan 9 pengedar kami yang sudah bersiap sedia untuk menyambut mereka,” kata CEO smart Malaysia, Zhang Qiang.

    “Kami juga teruja untuk mengumumkan program manfaat #1 Early Bird, yang akan memberi ganjaran kepada pelanggan yang merebut peluang ini untuk menjadi antara pemilik pertama smart #1. Sedang kami membuka jalan bagi pasaran EV di rantau ini, kami ingin menjemput anda semua bersama-sama menyertai kami dalam keseronokan perjalanan ke arah mobiliti pintar dan mampan,” tambahnya lagi.

    Tiga varian smart #1 akan terus diperkenalkan di Malaysia ketika pelancarannya nanti iaitu versi Pro, Premium dan juga versi prestasi smart #1 Brabus. Harga untuk ketiga-tiga varian ini masih belum dimuktamadkan, namun smart Malaysia sudahpun memberikan harga anggaran atas jalan tanpa insuran bermula RM200,000 untuk varian paling asas hingga RM250k untuk versi paling mahal.

    smart juga mengesahkan beberapa perincian yang akan ditawarkan pada varian Pro, Premium dan Brabus. Bagi smart #1 Pro, ia disahkan akan menerima rim aloi 19-inci yang direka dengan daya seretan rendah, Bumbung Halo Panoramik serta dibekalkan dengan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 49 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 315 km dalam kitaran WLTP.

    Ia datang dengan pilihan warna badan Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green, bersama upholsteri dalaman dengan tema After Dark.

    Manakala smart #1 Premium pula ditingkat taraf dengan lampu hadapan CyberSparksLED + Matrix, Gril Hadapan Bercahaya, dan juga Bateri lithium nikel mangan kobalt oksida (NMC) 66kWj yang memberikan jarak gera sejauh 440 km dalam kitaran WLTP. Model ini akan digerakkan dengan hanya satu motor elektrik berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork maksima 343 Nm yang memacu gandar belakang.

    smart #1 kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran RM200k-RM250k, ada varian prestasi Brabus

    Selain lima warna asal yang ditawarkan pada model Pro, smart #1 Premium ditawarkan dengan warna badan Atom Grey – Matte dan Lumen Yellow. Manakala dalam kabin, varian ini menerima tema hitam putih Dark Matter. Pembeli boleh memilih opsyen bumbung berwarna Eclipse Black Roof kecuali pilihan warna Atom Grey-Matte.

    Bagi versi prestasi smart #1 Brabus pula, ia menerima dua motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan 428 PS (315 kW) dan tork maksima 543 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, jarak gerak sejauh 400 km serta “menawarkan pengendalian dan cengkaman luar biasa” dakwa smart.

    Versi dengan rupa lebih garang ini boleh dipilih dengan tujuh kombinasi warna badan berbeza. Sekiranya pembeli memilih warna bumbung Radiant Red, ia boleh digandingkan dengan warna badan Atom Grey–Matte, Meta Black dan Cyber Silver.

    Manakala pembeli yang mahukan pilihan warna bunbung hitam, ia boleh digandingkan dengan warna badan Digital White, Laser Red dan Cyber Silver. Satu-satunya pilihan monotone untuk varian Brabus ini hanya ditawarkan untuk Atom Grey-Matte. Versi ini juga menerima perincian dalaman istimewa dari Brabus.

    Tempahan untuk ketiga-tiga varian smart #1 ini boleh dibuat menerusi aplikasi pintar Hello (Google Play Store, Apple App Store, Huawei AppGallery) yang dikendalikan oleh smart Malaysia. Untuk memuktamadkan tempahan ini, anda perlu membuat bayaran tempahan sebanyak RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.

    Istimewa untuk 501 pelanggan terawal yang menempah EV ini menerusi aplikasi Hello smart, smart Malaysia turut akan memberikan kredit pengecasan bernilai RM1,001 melalui aplikasi tersebut. Kredit pengecasan ini akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas smart #1 dihantar kepada mereka.

    Ini akan membolehkan pemilik untuk “menikmati pengalaman pengecasan yang lancar melalui aplikasi dan ciri terkini yang mengintegrasikan lebih daripada 70% lokasi stesen pengecasan awam sedia ada,” kata smart Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    smart Malaysia turut mendakwa bahawa aplikasi Hello smart ini sebagai “aplikasi EV bersepadu pertama di Malaysia, direka untuk meningkatkan kemudahan dan memperkayakan gaya hidup keseluruhan pengguna, serta mengubah pengalaman pemilikan.”

    smart #1 ini pernah di prebiu untuk media sebelum ini dan ia turut telah dipertontonkan pada acara EV Expo 2023 Julai lalu. Lebih perincian berkenaan smart #1 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: smart #1 Pro

    GALERI: smart #1 Premium

    GALERI: smart #1 Brabus

    GALERI: Brosur smart #1 pasaran Malaysia

    GALERI: Brosur smart #1 Brabus

    GALERI: smart #1 di Malaysia

     
     
  • Yamaha Exciter 155 VVA 2023 pasaran Vietnam – kembar Y16ZR dapat sedikit peningkatan

    Yamaha Exciter 155 VVA 2023 pasaran Vietnam – kembar Y16ZR dapat sedikit peningkatan

    Yamaha Exciter 155 VVA, yang merupakan kembar kepada Y16ZR pasaran Malaysia telah menerima beberapa peningkatan untuk pasaran Vietnam. Paling utama adalah pilihan warna, yang terdiri daripada merah, kuning dan kelabu matte.

    Beberapa panel plastik turut diubah, termasuk pada bahagian atas lampu (kini mempunyai lubang nipis), bahagian atas dada (dua jalur lubang udara) dan atas panel meter (mempunyai ukiran tulisan 155 VVA).

    Melihat kepada laporan media di Vietnam, model baru ini juga mendapat suspensi yang mempunyai jarak gerak lebih panjang, serta cakera brek hadapan yang lebih besar (267 mm). Model ini juga membawa pembaharuan angkup brek dua piston serta sistem ABS kepada Exciter 155 VVA pasaran Vietnam.

    Bahagian lain nampak seperti tidak berubah, termasuk enjin yang masih menggunakan unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Ciri-ciri lain Exciter 155 VVA kebanyakannya adalah sama denagn Y16ZR, termasuk lampu LED, panel meter digital LCD, tangki bahan api 5.4 liter serta rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

     
     
  • CelcomDigi jalin kerjasama dengan Yinson untuk pembangunan infrastruktur serta servis EV di M’sia

    CelcomDigi jalin kerjasama dengan Yinson untuk pembangunan infrastruktur serta servis EV di M’sia

    CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat infrastruktur tenaga dan teknologi global, Yinson Holdings Berhad untuk pembangunan infrastruktur dan servis kenderaan elektrik untuk pengguna Malaysia.

    Memorandum persefahaman kerjasama ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan sewaktu pameran EVM Asia 2023 sambil disaksikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.

    Melalui kerjasama ini, Yinson akan dapat memanfaatkan rangkaian 4G LTE dan 5G CelcomDigi, untuk memberi kuasa kepada sistem ketersambungan pengendali tempat mengecas terbesar negara, chargEV serta rangkaian eMobility rydeEV dan drivEV.

    CelcomDigi jalin kerjasama dengan Yinson untuk pembangunan infrastruktur serta servis EV di M’sia

    Sebagai tambahan, kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama untuk meneroka cara inovatif baru yang dapat membenarkan pelanggan terus berhubung sambil menikmati akses harian yang lebih mudah untuk servis yang mesra alam dan berteknologi seperti motosikal elektrik, kenderaan elektrik lain, stesen pengecas serta integrasi infrastruktur solar.

    “Bersama-sama, kami harap dapat meletakkan solusi pengangkutan yang bersih dan berintegrasi kepada pengguna Malaysia, sambil meletakkan kita semakin hampir untuk mencapai sasaran yang diletakkan oleh kerajaan,” kata Yuan.

     
     
  • Unit rangkaian kuasa Hyundai Ioniq 6 dinamakan sebagai 10 enjin dan sistem pendorong terbaik dunia

    Unit rangkaian kuasa Hyundai Ioniq 6 dinamakan sebagai 10 enjin dan sistem pendorong terbaik dunia

    Hyundai mengumumkan bahawa sistem penggerak pada sedan elektrik penuh (EV) Ioniq 6 dinamakan sebagai salah satu unit rangkaian kuasa dalam senarai 10 Enjin dan Sistem Penggerak Terbaik Dunia Wards 2023. Anugerah tahunan ini diberikan oleh WardsAuto dan ia mengiktiraf unit rangkaian kuasa terkini yang menarik sama ada baharu atau yang dipertingkat.

    Hyundai Ioniq 6 dibina berasaskan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) dengan asas sistem elektrikal 800-volt. Platform yang dihasilkan seakan papan selaju itu membolehkan ia digerakkan dengan dua motor elektrik (masing-masing pada gandar hadapan dan belakang), ruang dalaman boleh direka lebih luas dan juga prestasi yang dapat dioptimakan, menurut Hyundai.

    Tahun lalu SUV EV Hyundai Ioniq 5 yang dibina menggunakan platform dan unit rangkaian kuasa yang sama juga tersenarai dalam 10 Enjin dan Sistem Penggerak Terbaik Dunia Wards 2022. Sehingga kini Hyundai telah menerima sebanyak 16 anugerah yang sama dari Wards sejak ia diperkenalkan pada 1995.

    Unit rangkaian kuasa Hyundai Ioniq 6 dinamakan sebagai 10 enjin dan sistem pendorong terbaik dunia

    Ini merupakan tahun ke-29 anugerah 10 Enjin dan Sistem Penggerak Terbaik Dunia Wards berlangsung, dan menerima sejumlah 32 penyertaan.

    Menurut ketua Editor WardsAuto Bob Gritzinger, antara sebab mengapa unit rangkaian kuasa Hyundai Ioniq 6 ini dipilih untuk masuk dalam senarai kerana ia “memberikan pecutan yang ekstrem tak kira pada mana-mana kelajuan, digandingkan dengan kadar efisien yang cemerlang.”

    “Mod Eco selesa untuk kegunaan harian, tetapi mod Sport mengubah kereta ini menjadi kapal roket. Ini jelas menjadikan ia berada pada kedudukan atas untuk unit rangkaian kuasa bateri elektrik dan layak untuk tahun kedua dalam senarai kami, kali ini dalam Ioniq 6,” tambahnya lagi.

    Unit rangkaian kuasa Hyundai Ioniq 6 dinamakan sebagai 10 enjin dan sistem pendorong terbaik dunia

    Manakala pengarah pembangunan unit penggerak elektrik Hyundai America Technical Center Inc, Byungho Lee pula menyifatkan kejayaan untuk menggondol anugerah ini untuk dua tahun berturut-turut merupakan pencapaian yang luar biasa.

    “Anugerah berprestij ini mengiktiraf kejuruteraan luar biasa Ioniq 6 yang dicapai dengan Platform E-GMP. Seni binanya yang inovatif membolehkan pengecasan lebih pantas, jarak pemanduan lebih jauh dan dinamik pengendalian yang unggul untuk meningkatkan pengalaman kenderaan elektrik ke tahap yang baharu,” tambah Lee.

    Senarai penuh pemenang yang tersenarai dalam 10 Enjin dan Sistem Penggerak Terbaik Dunia Wards 2023 adalah seperti berikut:

  • BMW M2 – 3.0L petrol turbo enam-silinder
  • Chevrolet Corvette Z06 – 5.5L V8
  • Dodge Hornet R/T – 1.3L petro turbo empat-silinder PHEV
  • Ford Mustang Dark Horse – 5.0L V8
  • Honda Accord Hybrid – 2.0L empat-silinder hibrid
  • Hyundai Ioniq 6 – Elektrik
  • Lucid Air – Elektrik
  • Mercedes-Benz AMG C43 – 2.0L petrol empat-silinder
  • Nissan Ariya – Elektrik
  • Toyota Prius Prime – 2.0L empat-silinder PHEV
  • Unit rangkaian kuasa Hyundai Ioniq 6 dinamakan sebagai 10 enjin dan sistem pendorong terbaik dunia

    Ini hanya satu dari pelbagai anugerah yang telah diterima oleh Ioniq 6. Sebelum ini sedan EV tersebut juga diiktiraf sebagai pemenang World Car of the Year 2023, World Electric Vehicle of the Year 2023 dan World Car Design of the Year 2023.

    Hyundai Ioniq 6 baru sahaja rasmi masuk ke Malaysia pada Julai lalu. Ketika dilancarkan ia ditawarkan dalam dua varian, dijual pada harga bermula RM289,888 untuk model asas Max RWD yang hanya digerakkan dengan satu motor elektrik, diikuti varian Max AWD berharga RM319,888 yang menerima dua motor elektrik.

    Namun minggu lalu Hyundai Malaysia mengumumkan bahawa dua lagi varian tambahan diperkenalkan untuk Ioniq 6 di sini, iaitu Ioniq 6 Lite RWD dan Plus RWD. Ia dijual pada harga yang lebih rendah iaitu masing-masing RM219,888 dan RM249,888, tetapi menerima motor tunggal berkuasa lebih rendah dan bateri dengan kapasiti lebih kecil.

    GALERI: Hyundai Ioniq 6 Max AWD 2023

    GALERI: Hyundai Ioniq 6 Max RWD 2023

    GALERI: Pilihan warna Hyundai Ioniq 6 2023 pasaran Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri SJB dan DEV bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan dan Sabah dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SJB, mula dibuka bidaan pada 24 September 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 28 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 29 September 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DEV, bakal dibuka bidaan mulai 28 September 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 2 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 3 Oktober 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • BYD Atto 3 – crossover EV cecah 500k unit diproduksi dalam masa 19 bulan selepas dilancarkan di China

    BYD Atto 3 – crossover EV cecah 500k unit diproduksi dalam masa 19 bulan selepas dilancarkan di China

    BYD telah meraih satu lagi sejarah baharu apabila berjaya memproduksi sebanyak 500,000 unit Atto 3 di kilang pemasangannya di Hefei, China. Di mana dalam masa 19 bulan sahaja selepas crossover elektrik ini dilancarkan di China iaitu pada Februari tahun lalu. Ini bermakna sekitar 26,000 unit diproduksi setiap bulan.

    Atto 3 merupakan model pertama bagi BYD untuk pasaran global dan kenderaan tenaga baharu (NEV) ini menerima sambutan yang menggalakkan di banyak negara. Menurut BYD, Atto 3 merupakan NEV paling laris jualannya di Singapura, New Zealand, Thailand dan Sweden.

    Dibangun dengan e-Platform 3.0 dari syarikat pengeluar kenderaan China ini, Atto 3 dilancarkan di Malaysia pada Disember 2023 dan ditawarkan dengan dua varian. Standard Range menawarkan jarak EV hingga 410 km (NEDC, WLTP 345 km) dan berharga RM150,430 atas jalan tanpa insurans. Sementara model tertinggi Extended Range pula mampu memberikan jarak EV hingga 480 km (NEDC, WLTP 420 km) dan berharga RM168, 430. Pada Julai lalu, ‘adiknya’ Dolphin pula menyertai pasaran bagi BYD di Malaysia.

    Pada 2022, BYD menamatkan produksi bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk memberikan fokus terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV) dan plug-in hybrid (PHEVs). Tahun lalu juga menyaksikan syarikat ini merekodkan jualan lebih tiga kali ganda hingga mencecah 1.86 juta unit bagi NEV.

     
     
  • Kerajaan terus fokus bangunkan sektor EV – MITI

    Kerajaan terus fokus bangunkan sektor EV – MITI

    Bagi memastikan kenderaan elektrik (EV) makin diterima di Malaysia, kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus fokus untuk membangunkan sektor EV yang juga subsektor berimpak tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

    Menurut Timbalan MITI Liew Chin Tong, dasar-dasar berkaitan EV akan disemak setiap beberapa bulan untuk menyokong pertumbuhan subsektor ini, laporan Bernama.

    “Sektor EV ini adalah sektor baharu. Kita akan ada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai pemilikan EV yang di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia serta usaha mempromosikan penggunaan EV.

    Sebelum ini, Chin Tong berkata NIMP 2030 disasar untuk memberi impak yang tinggi kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya bagi sektor pembuatan. Di mana melalui NIMP 2030, nilai tambah sektor pembuatan dijangka meningkat kepada RM587.5 bilion pada tahun 2030, berdasarkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.5 peratus termasuk sumbangan subsektor berimpak tinggi daripada elektrik dan elektronik, kimia dan EV.

    Selain itu, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) EV akan bermula pada awal tahun 2024.

    Kerajaan terus fokus bangunkan sektor EV – MITI

    Chin Tong berkata pembangunan bakat teknologi EV telah menjadi satu fokus kerajaan, yang mana Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan telah diminta memberi perhatian pada ketersediaan pusat pengajian tinggi dalam melahirkan bakat EV.

    “Susulan itu, Universiti Teknologi Malaysia telah dilantik sebagai ahli Pasukan Petugas EV Kebangsaan (NEVTF) bagi menyelaras kepakaran penyelidikan dan pembangunan bakat berkaitan teknologi EV dalam kalangan universiti-universiti tempatan,” katanya.

    Tambahnya, Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body telah membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan berkaitan EV untuk kegunaan bidang TVET.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat hari ini.

     
     
  • Toyota Yaris kemaskini 2023 kini di Malaysia – hingga RM4.7k lebih mahal, RM88k-RM92k, skrin kini 9-inci

    Toyota Yaris kemaskini 2023 kini di Malaysia – hingga RM4.7k lebih mahal, RM88k-RM92k, skrin kini 9-inci

    UMW Toyota Motor (UMWT) sekali lagi memberikan kemaskini terhadap hatchback segmen-B Toyota Yaris untuk pasaran tempatan. Beberapa perincian telah ditingkat taraf untuk kemaskini kali ini selepas pilihan varian Yaris dikecilkan dari tiga kepada hanya dua pada kemaskini Mei lalu.

    Bermula 18 September, Yaris akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM88,000 untuk varian 1.5E dan RM91,600 untuk varian 1.5G. Oleh itu berbanding sebelum ini, harga jualannya dilihat RM4,700 lebih mahal untuk versi 1.5E dan RM4,000 lebih tinggi untuk model 1.5G.

    Dengan harga baharu ini, kedua-dua varian Yaris kini menerima skrin untuk sistem infotainmen Display Audio yang lebih besar bersaiz sembilan-inci, berbanding hanya tujuh-inci sebelum ini. Ia juga datang dengan dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan sama seperti kemaskini awal tahun ini, Yaris turut sudah dibekalkan dengan port USB Type A di hadapan dan dua pengecas USB Type C di belakang.

    Toyota Yaris kemaskini 2023 kini di Malaysia – hingga RM4.7k lebih mahal, RM88k-RM92k, skrin kini 9-inci

    Juga sama dengan kemaskini sebelum ini kedua-dua Yaris ini juga menerima corak tempat duduk baharu, serta datang standard dengan kamera perakam digital (dashcam) hadapan yang diberikan fungsi untuk dihubungkan kepada telefon pintar. Istimewa untuk varian tertinggi Yaris G, pemandu akan turut menerima roda stereng yang dibalut dengan kulit lebih lembut, dan buat pertama kali menerima pedal penukar gear di belakang roda stereng berkenaan.

    Tiada penyegaran sebelah luar menggunakan muka baharu hammerhead seperti Yaris facelift pasaran Thailand diberikan pada kemaskini baharu ini. Kedua-dua varian masih datang dengan perincian seperti lampu hadapan LED bersama fungsi follow-me-home, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang halogen, cermin sisi auto-lipat, rim aloi 16-inci dan cermin hadapan akustik.

    Yaris E kekal diberikan pembuka pintu dengan warna badan, manakala Yaris G juga kekal dengan pembuka pintu dalam kemasan krom. Satu lagi perbezaan yang boleh dilihat, Yaris E hanya diberikan brek dram pada roda belakang, manakala Yaris G menerima brek cakera. Sejak kemaskini Mei lalu, Yaris 2023 kini datang standard dengan tag RFID.

    Jika anda masuk ke dalam kabin pula, sejak kemaskini bulan Mei dapat dilihat kedua-dua varian Yaris 2023 ini diberikan meter Optitron baharu yang menampilkan tema merah-hitam berbanding biru sebelum ini, sementara skrin pelbagai info 4.2-inci masih dikekalkan.

    Bagi pecahan perincian setiap varian, Yaris E dibekalkan dengan roda stereng dan tombol gear urethane, sistem pendingin hawa manual serta empat pembesar suara. Manakala Yaris G pula menerima roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, enam pembesar suara, cermin pandang belakang elektrokromik dan juga tambahan penderia parkir hadapan.

    Tiada perubahan juga diberikan pada aspek mekanikal. Kedua-dua varian Yaris 2023 ini masih dijana enjin Dual VVT-i 2NR-FE 1.5 liter empat silinder berkuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang diberikan mod manual menampilkan tujuh-kelajuan maya.

    Toyota Yaris kemaskini 2023 kini di Malaysia – hingga RM4.7k lebih mahal, RM88k-RM92k, skrin kini 9-inci

    Bagi perincian lain, kedua-dua varian ini masih mengekalkan ciri yang sama termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, mod pemanduan Sport dan Eco, scuff plate bernyala, Sistem Telematik Kenderaan (VTS), kunci automatik berdasarkan penderia kelajuan, tujuh-beg udara, penderia parkir belakang, VSC, Traction Control, sistem brek ABS dan EBD serta BA, dan bantuan mula mendaki.

    Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) juga masih diberikan pada kedua-dua varian Yaris 2023 ini menampilkan sistem seperti sistem pra-pelanggaran (PCS) dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan (LDA), pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang serta kamera pemantau panaromik 360-darjah.

    UMWT masih menawarkan ciri opsyen dan aksesori asli untuk Yaris 2023 ini, antaranya dashcam belakang yang berharga RM380 dan pakej Aerokit berharga RM2,500. Terma untuk perlindungan waranti masih tidak berubah iaitu selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Mazda 3 2023 dinaikkan harga lebih RM6k untuk M’sia – dari RM149k; versi IPM dilancar tidak lama lagi?

    Mazda 3 2023 dinaikkan harga lebih RM6k untuk M’sia – dari RM149k; versi IPM dilancar tidak lama lagi?

    Bermaz Motor telah memuatnaik senarai harga yang dikemaskini untuk Mazda 3 di Malaysia, efektif sejak 1 September menggantikan senarai sebelum ini yang diumumkan pada 1 Julai 2022. Kemaskini harga ini dikatakan dibuat menjelang pelancaran model segmen-C tersebut tidak lama lagi.

    Seperti sebelum ini, Mazda 3 akan ditawarkan bagi versi sedan dan hatchback (atau juga dirujuk sebagai Liftback), dengan tiga varian bagi setiapnya. Varian sedan termasuk Mid, High dan High Plus, sementara hatchback pula dengan Mid, High Plus dan Ignite Edition. Kelengkapan standard juga sama untuk setiap versi.

    Bagi harganya, Mazda 3 2023 didapati mengalami kenaikan harga antara RM5,000 dan RM6,000. Ini merupakan senarai harga atas jalan yang dikemaskinikan itu, tanpa insurans, berserta dengan berapa banyak kenaikan harganya berbanding sebelum ini:

    • Mazda 3 1.5L Mid Sedan/Hatchback 2023 – RM149,320 (+RM6,000)
    • Mazda 3 2.0L High Sedan 2023 – RM156,059 (+RM5,000)
    • Mazda 3 2.0L High Plus Sedan/Hatchback 2023 – RM166,059 (+RM5,000)
    • Mazda 3 2.0L Ignite Edition Hatchback 2023 – RM175,059 (+RM5,000)

    Mazda 3 2023 dinaikkan harga lebih RM6k untuk M’sia – dari RM149k; versi IPM dilancar tidak lama lagi?

    Buat setakat ini, tiada makluman rasmi bilakah Mazda 3 IPM (kod dalaman untuk kemaskini minor modelnya) akan dilancarkan di sini, namun sewaktu artikel ini ditulis, risalah spesifikasi bertarikh 17 Februari 2022 masih kekal pada laman web Mazda tempatan. Walau bagaimanapun, pengedarnya di sini telah menyatakan perubahan berikut akan dibuat pada Mazda 3:

    • Port USB-C akan menggantikan USB-A (semua varian)
    • Paparan infotainmen 10.25 inci ditambah (untuk varian High ke atas)
    • Pad pengecasan tanpa wayar Qi ditambah (untuk varian High Plus ke atas)
    • Sokongan Apple CarPlay tanpa wayar ditambah (untuk varian High Plus ke atas)
    • Mazda Radar Cruise Control (MRCC) kini didarangkan dengan fungsi stop & go (untuk varian High Plus ke atas)
    • Sistem suara Bose dengan 12-pembesar suara ditambah (untuk Ignite Edition sahaja

    Mazda 3 mungkin akan mengekalkan barisan enjin SkyActiv-G yang digunakan, dalam versi 1.5 liter yang menjana 118 hp pada 6,000 rpm dan 153 Nm tork pada 4,000 rpm dan juga unit 2.0 liter yang menghasilkan 162 hp pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm. Kedua-duanya digandingkan bersama tranmsisi automatik SkyActive-Drive enam-kelajuan, pacuan roda depan.

    Mazda 3 2023 dinaikkan harga lebih RM6k untuk M’sia – dari RM149k; versi IPM dilancar tidak lama lagi?

     
     
  • Vespa GTV 300 tiba di pasaran Malaysia – RM35,900

    Vespa GTV 300 tiba di pasaran Malaysia – RM35,900

    Satu lagi model Vespa siri 300, iaitu GTV 300 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, pada harga RM35,900 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu Beige Sabbia Glossy dan Grey Titanio Glossy.

    GTV 300 baru ini diperkenalkan kepada dunia pertama kali semasa EICMA tahun lepas dan boleh dianggap sebagai GTS yang lebih sporty, dan membawa rekaan tersendiri seperti lampu yang terletak di atas fender hadapan, tempat duduk tunggal serta rim lima cabang baru.

    Selain daripada itu, GTV 300 juga mendapat kemasan berwarna hitam termasuk pada tepi panel badan besinya, keliling lampu, cermin sisi serta besi pemegang belakang. Dengan setiap pembelian juga, pemilik akan menerima dua pelindung angin hadapan (warna badan dan warna oren) serta penutup tempat duduk belakang.

    Menggerakkan GTV 300 adalah enjin HPE satu silinder empat strok 278 cc dengan sistem suntikan bahan api dan tetapan SOHC, mampu menghasilkan kuasa 24 hp pada 8,250 rpm dan tork 26 Nm pada 5,250 rpm. Transmisi adalah unit CVT.

    Sebagai sebuah model yang terletak tinggi dalam barisan produk Vespa (tidak termasuk model keluaran khas), GTV 300 datang dengan pelbagai kelengkapan berteknologi termasuk sistem tanpa kunci, panel meter digital yang boleh disambung kepada telefon pintar (aksesori tambahan), soket pengecas USB, kawalan cengkaman ASR serta ABS dual-channel.

    Rim GTV 300 terdiri daripada unit 12 inci hadapan dan belakang, manakala sistem brek pula kedua-duanya (hadapan dan belakang) menggunakan tetapan cakera bersaiz 220 mm. Tinggi tempat duduk GTV 300 adalah 790 mm sementara tangki bahan apinya berkapasiti 8.5 liter.

     
     
  • Foton iBlue EV 2023 kini di Malaysia – van EV bermula RM200k, jarak gerak 195 km, bateri 50.23 kWj, 116 PS

    Foton iBlue EV 2023 kini di Malaysia – van EV bermula RM200k, jarak gerak 195 km, bateri  50.23 kWj, 116 PS

    Van janaan elektrik sepenuhnya (EV) Foton iBlue kini sudahpun berada di pasaran Malaysia menerusi pengedarnya di sini, Berjaya China Motor (BCM). Ia boleh dipilih dalam dua varian iaitu panel van dijual pada harga atas jalan tanppa insuran RM200,035, diikuti penawaran versi semi-panel dijual pada harga RM207,035.

    Van ini dikenali sebagai View iBlue atau iBlue V6 pada sesetengah pasaran luar lain. Ia menampilkan ruang kargo belakang sehingga 7.1 meter padu. Dimensi penuh untuk van EV ini adalah seperti di bawah:

  • Panjang: 5,320 mm
  • Lebar: 1,695 mm
  • Tinggi: 1,990 mm
  • Jarak roda: 3,050 mm
  • Panjang bahagian kargo belakang: 3,480 mm
  • Lebar bahagian kargo belakang: 1,540 mm
  • Tinggi bahagian kargo belakang: 1,320 mm
  • Foton iBlue EV 2023 kini di Malaysia – van EV bermula RM200k, jarak gerak 195 km, bateri  50.23 kWj, 116 PS

    Untuk unit rangkaian kuasa, iBlue menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh CATL dengan kapasiti 50.23 kWj. Ini membolehkan van ini bergerak sejauh 235 km dalam kitaran ujian NEDC, atau 195 km mengikut kitaran ujian WLTP yang lebih ketat.

    Bateri tersebut boleh dicas semula menggunakan penegcas AC (penyambung Type 2); kadar cas 20-80% dapat dipenuhkan dalam masa lima jam, 20-100% pula dalam 8 jam. Ia juga menyokong pengecas pantas DC (penyambung CCS2) yang mengambil masa 0.67 jam bagi memenuhkan kadar 20-80%, dan hanya 1.33 jam untuk kadar 20-100%.

    Van ini hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik yang diletak pada gandar belakang bagi memacu roda belakang, berkuasa 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan tork maksima 290 Nm.

    Antara perincian lain yang turut dibekalkan termasuk sistem brek ABS bersama EBD, brek cakera hadapan dan dram di belakang, serta defroster pada cermin belakang. Van ini dilindungi dengan waranti pengeluar selama enam tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dulu.

    BCM turut memberikan sistem telemetik dengan langganan tiga tahun (bernilai RM3,000), pengecas dinding AC 7 kW berserta pemasangan dan waranti selama dua tahun (bernilai RM4,000) dan juga kredit untuk menggunakan pengecas awam bernilai RM1,000 dengan setiap pembelian van Foton iBlue ini.

    Van EV Foton Blue ini kini sudahpun digunakan oleh Pos Malaysia bagi penghantaran laluan terakhir, selain dari van EV DFSK EC35 EV. Pos Malaysia juga telah menerima 50 unit motosikal elektrik Modenas MEV-1 yang juga digunakan untuk tugas sama.

     
     
  • Bermaz buat panggilan semula beg udara Takata untuk Citroen & DS di Malaysia; C3, C4, DS3, DS4 dan DS5

    Bermaz buat panggilan semula beg udara Takata untuk Citroen & DS di Malaysia; C3, C4, DS3, DS4 dan DS5

    Penyedia servis selepas jualan untuk Citroen dan DS di Malaysia, Bermaz Auto Alliance (BAASB) telah mengeluarkan notis panggilan semula bagi model dari dua jenama Perancis berkenaan berhubung masalah beg udara keluaran Takata.

    Inisiatif ini merupakan sebahagian dari panggilan semula antarabangsa lanjutan yang dibuat, dan ia melibatkan model-model termasuk C3, C4, DS3, DS4 dan DS5 yang diproduksi bermula 2009 hingga 2017.

    Oleh kerana ia berkaitan dengan keselamatan, Bermaz sangat menggesa pemilik-pemilik yang terlibat untuk membawa kenderaan mereka menukar komponen yang terjejas, yang akan dibuat tanpa sebarang kos.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa pihaknya akan menghubungi pemilik-pemilik berkenaan dalam pelbagai cara termasuk surat, penghantaran kurier, email, sistem pesanan ringkas dan juga panggilan telefon.

    Jika anda memiliki model-model yang dinyatakan tetapi masih belum dihubungi oleh pihak Bermaz, anda boleh menghubungi sendiri syarikat tersebut menerusi talian bantuan pelanggan di 03-7627 8818 dan nyatakan nombor pengenalan (nombor VIN/nombor casis) kereta anda.

    Selain itu, anda juga boleh berhubung dengan Bermaz menerusi email di alamat [email protected] bagi membuat pengesahan ini.

    Menurut BAASB, kenderaan-kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula ini menggunakan beg udara Takata dengan inflator menggunakan bahan kimia yang mungkin merosot dari semasa ke semasa, terutamanya apabila terdedah kepada cuaca panas dan lembab.

    Ini akan menyebabkan inflator tersebut pecah ketika meledakkan beg udara, dan sisa logam dari perumahnya mungkin akan menyebabkan kecederaan serius atau kematian. Takata bukan hanya membekalkan beg udara ini untuk Citroen dan DS, dan ia turut melibatkan pengeluar-pengeluar utama lain. Kejadian yang menyebabkan kematian berhubung komponen ini sudah pun pernah dilaporkan, jadi jangan ambil mudah berkenaan panggilan semula ini.

     
     
  • BMW i7 xDrive60 M Sport 2023 di M’sia — 625 km jarak EV, dari RM707k; 158 unit terjual setakat 31 Ogos

    BMW i7 xDrive60 M Sport 2023 di M’sia — 625 km jarak EV, dari RM707k; 158 unit terjual setakat 31 Ogos

    Di pameran Forwardism by BMW yang berlangsung diperkarangan Mandarin Oriental Kuala Lumpur, turut dipamerkan dan diperkenalkan secara rasmi hari ini ialah model BMW i7 2023 dalam varian tunggalnya untuk pasaran Malaysia, xDrive60 M Sport. Ia dijual pada harga bermula dari RM707,250 atas jalan tidak termasuk insurans.

    Harga berkenaan adalah dengan jaminan standard untuk dua-tahun. Jika inginkan lanjutan tempoh jaminan dan pakej servis percuma, harganya naik menjadi RM729,800. Dengan lebih daripada 1,600 unit EV sudah berjaya dijual setakat Ogos 2023 oleh BMW Malaysia, i7 menyumbang hampir 10% daripada keseluruhan EV yang dijual oleh syarikat ini sepanjang 2023, dengan 158 unit terjual bagi tempoh lapan bulan pertama 2023.

    BMW i7 xDrive60 M Sport 2023 dilengkapi dengan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar — yang memberikan janaan keseluruhan 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan 795 Nm tork. Angka ini membolehkan ia mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat dan kelajuan maksimum dihadkan secara elekronik pada 240 km/j. Jarak perjalanan yang tersedia pula ialah 615 km dengan kitaran WLTP, serta bateri yang terletak di bahagian lantai kenderaan membekalkan kapasiti 105.7 kWh (101.7 kWh bersih).

    BMW i7 xDrive60 M Sport 2023 di M’sia — 625 km jarak EV, dari RM707k; 158 unit terjual setakat 31 Ogos

    Untuk pengecasan, i7 diberikan Combine Charging Unit (CCU) yang membenarkan pengecasan AC pada kadar sehingga 22 kW melalui sambungan Type 2, dan mencapai tahap penuh dalam masa 5.5 jam. Untuk pengecasan pantas DC pula, kadarnya sehingga 195 kW dengan sambungan CCS2, yang membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 34 minit sahaja. Ia juga datang dengan Integral Active Steering (stereng roda belakang) sebagai ciri standard.

    Kelengkapan lain yang turut diberikan untuk BMW i7 ini adalah pakej luaran M Sport bersama padanan bampar yang lebih agresif serta rim 21-inci M Aerodynamic Style 909 dalam kemasan Jet Black. Turut diberikan kemasan luaran Chromeline, penutupan pintu perlahan automatik, bumbung kaca panoramik Sky Lounge serta pencahayaan Iconic Glow pada “kidney grille” dan lampu kristal — serta ciri HBA untuk lampu hadapan juga.

    Di dalam, kabin penuh dengan balutan kulit BMW Individual Merino dalam warna Amarone, serta perincian kayu Fineline hitam dan kemasan kesan logam berkilat M, ciri kristal Crafted Clarity, BMW Interaction Bar, stereng M balutan kulit dan tempat duduk Executive Lounge berserta konsol khusus di belakang.

    BMW i7 xDrive60 M Sport 2023 di M’sia — 625 km jarak EV, dari RM707k; 158 unit terjual setakat 31 Ogos

    Bagi sistem infotainmen, BMW i7 menerima sistem BMW Live Cockpit Plus dengan paparan melengkung (kluster instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh di tengah bersaiz 14.9-inci) dan BMW Operating System 8. Sistem ini terdiri daripada Connected Package Professional, My Modes dan IconicSounds Electric sebagai tambahan kepada ciri media dan sambungan lainnya.

    Sistem audio pula dari jenama Bowers & Wilkins, juga dilengkapi Rear-seat Entertainment Professional dengan skrin BMW Theatre Screen 31.3-inci, pengecas telefon tanpa wayar, kawalan pendingin hawa empat-zon, lampu ambien komprehensif, pelindung matahari boleh laras dan tempat duduk balutan kulit Veganza (dengan liang udara).

    Model ini juga menerima pakej Driving Assistant Professional yang termasuk ciri AEB depan dan belakang, Lane Change Warning, Lane Departure Warning, Front/Rear Crossing Traffic Warning, Exit Warning, Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Speed Limit Info dengan Automatic Speed Limit Assist dan Evasion Assistant. Sistem bantuan pemandu tambahan juga ada dengan Parking Assistant Plus, yang lengkap dengan ciri seperti Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Lateral Parking Aid dan kameran keliling.

    BMW i7 xDrive60 M Sport 2023 di M’sia — 625 km jarak EV, dari RM707k; 158 unit terjual setakat 31 Ogos

    Pilihan dan gandingan warna BMW i7 sangat pelbagai, dengan pilihan tanpa tambahan kos terdiri daripada Oxide Grey, Brooklyn Grey, Mineral White, Sophisto Grey, Aventurine Red dan Black Sapphire. Dengan tambahan RM6,300, dua warna BMW Individual boleh dipilih — Tanzanite Blue dan Dravit Grey.

    Jika mahukan pilihan warna dua tona, tambahan RM50,000 membolehkan pelanggan memilih lapan warna dari BMW Individual. Empat pilihan tema pertama menggandingkan bahagian atas Black Sapphire dengan warna badan sama ada Oxide Grey, Aventurine Red, Tanzanite Blue atau Dravit Grey. Pilihan selebihnya pula, sama ada bahagian atas Oxide Grey dengan gabungan bahagian bawah sama ada Black Sapphire, Aventurine Red, Tanzanite Blue atau Dravit Grey.

    Material kulit Merino pula datang dalam warna hitam, putih, Amarone (merah) atau Tartufo (caramel). Setiap BMW i7 hadir dengan kabel pengecas AC awam, bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.

     
     
  • BMW tunjuk penyelesaian pengecasan mudah alih Charge Go menggunakan Proton Exora di Malaysia

    BMW tunjuk penyelesaian pengecasan mudah alih Charge Go menggunakan Proton Exora di Malaysia

    Turut diumumkan ketika pengenalan rasmi pameran Forwardism by BMW dan model i7 2023 di ibu negara hari ialah penyelesaian pengecasan Charge Go bagi memangkin peralihan dan membantu pengguna dalam proses adaptasi penggunaan EV di negara ini. Dengan kerja sama Gentari, ia merupakan penyelesaian kepada keperluan pengecasan EV bergerak.

    Charge Go merupakan penyelesaian pengecasan DC mudah alih — yang menggunakan Proton Exora sebagai kenderaan bergeraknya — untuk dimanfaatkan oleh pengguna yang memerlukannya, bila-bila masa dan di mana juga lokasinya. Akan ada empat unit kenderaan Charge Go yang beroperasi, dengan spesifikasi penuh pengecasan juga akan diumumkan nanti. Charge Go dijangka akan mula beroperasi menjelang hujung tahun ini.

    Ini juga sebahagian daripad usaha BMW untuk mewujudkan eko-sistem bagi kenderaan EV di sini, melibatkan kerjasama pelbagai pihak. Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, De Visser mengatakan: “Kami teruja untuk membawakan konsep kenderaan pengecas mudah alih ini yang telah direncanakan sejak awal tahun lagi bersama Gentari. Usaha sama yang kami jalin bersama pemain-pemain utama seperti mereka menekankan kepercayaan kami bahawa kerjasama yang mencakupi seluruh industri adalah sangat penting bagi memacu peralihan kepada EV pada masa hadapan.

    BMW tunjuk penyelesaian pengecasan mudah alih Charge Go menggunakan Proton Exora di Malaysia

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Shah Yang Razalli memaklumkan: “Pelancaran Charge Go bersama BMW merupakan satu lagi penyelesaian inovatif yang mencerminkan pendekatan yang memberikan tumpuan kepada pengguna oleh Gentari.

    “Penyelesaian pengecasan mudah alih ini lahir daripada usaha kolektif para pemain dalam industri tempatan, termasuk PKS, bagi memperkukuhkan ekosistem EV tempatan dalam keupayaannya untuk membangunkan penyelesaian sendiri dalam arena EV. Penyelesaian oleh Gentari ini adalah permulaan kepada banyak lagi usaha kami yang lain pada masa akan datang, dengan matlamat untuk melegakan fikiran pengguna serts menjadikan peralihan ke arah EV lebih mudah.”

    Selain itu, BMW Group Malaysia menjalinkan kerjasama dengan penyedia penelesaian pengecasan tempatan lain seperti ChargEV, JomCharge dan Gentari untuk menawarkan pakej pengecasan tanpa had eksklusif bagi pemilik EV BMW dan MINI di negara ini.

    BMW tunjuk penyelesaian pengecasan mudah alih Charge Go menggunakan Proton Exora di Malaysia

    Bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2023, 200 pemilik EV BMW dan MINI terawal yang membuat pendaftaran akan dapat membeli pakej berkenaan masing-masing dengan harga RM2,400 dan RM1,800 daripada mana-mana pembekal penyelesaian pengecasan tersebut. Pakej berkenaan menawarkan pengecasan tanpa had di semua kemudahan ChargEV atau JomCharge dan Gentari di seluruh negara bagi tempoh 12 bulan setelah diaktifkan, dan hanya boleh digunakan bagi kenderaan elektrik yang didaftarkan sahaja.

    Menerusi usahasama strategik BMW Group Malaysia dengan pembekal penyelesaian pengecasan tempatan yang utama, di samping jaringan wakil pengedar dan premis-premis rakan niaga di seluruh negara, BMW telah berjaya menyediakan lebih daripada 1,000 buah kemudahan pengecasan untuk dinikmati oleh pemilik EV di sini.

     
     
  • Harga Lotus naik di Malaysia – Hyper SUV EV Eletre naik sehingga RM50k, Emira naik sehingga RM83k

    Harga Lotus naik di Malaysia – Hyper SUV EV Eletre naik sehingga RM50k, Emira naik sehingga RM83k

    Lotus Cars Malaysia telahpun mengeluarkan harga kemaskini bagi dua modelnya yang dijual di sini iaitu Hyper SUV EV Lotus Eletre dan juga kereta sport terakhirnya dengan enjin pembakaran dalaman, Lotus Emira. Kemaskini harga ini menyaksikan kedua-dua model berkenaan kini lebih mahal, dan Lotus menyatakan ia tidak dapat dielakkan atas faktor nilai ringgit Malaysia berbanding matawang-matawang utama dunia akhir-akhir ini.

    Untuk Eletre yang dilancarkan dalam negara pada April lalu, ia kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM698,000 bagi model Eletre S, atau RM50,000 lebih mahal berbanding sebelum ini. Manakala untuk varian tertinggi Eletre R ia kini RM40,000 lebih mahal dengan harga jualan RM838,000.

    Walau bagaimanapun Lotus Cars Malaysia tidak mengumumkan harga bagi model asas Eletre kerana varian ini tidak ditawarkan sekurang-kurangnya sehingga 2025. Ketika dilancarkan tempoh hari, varian paling murah Eletre ini dijual pada harga RM578,000.

    Untuk Emira, ia masih lagi ditawarkan dalam versi First Edition. Dan seperti yang diumumkan baru-baru ini, Emira bukan hanya boleh dipilih dalam versi enjin V6 3.5 liter Supercharger sama ada dengan kotak gear manual atau automatik, malah pilihan bagi model dengan enjin turbo 2.0 liter empat-silinder sebaris dari Mercedes-AMG turut sudah boleh ditempah.

    Harga Lotus naik di Malaysia – Hyper SUV EV Eletre naik sehingga RM50k, Emira naik sehingga RM83k

    Di Semenanjung Malaysia, Emira V6 First Edition dengan kotak gear manual kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1.289 juta berbanding RM1,205,800 sebelum ini, manakala versi automatik pula adalah RM1.309 juta berbanding RM1,225,800 sebelum ini.

    Manakala di pulau bebas cukai Langkawi, Emira V6 manual dijual pada harga bermula RM529,000 (naik dari RM478,800) dan versi automatik pula dijual pada harga RM539,000, berbanding RM493,800 sebelum ini.

    Model dengan enjin 2.0L empat silinder Emira i4 First Edition yang baru sahaja diumum sudah boleh ditempah bulan lalu menampilkan harga yang masih sama iaitu RM1.095 juta di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di Langkawi. Namun istimewa bagi model yang diproduksi pada 2023, ia ditawarkan dengan harga pengenalan istimewa RM998,800 – unit-unit ini adalah terhad dan ia ditawarkan secara ‘siapa cepat dia dapat’.

    Senarai harga baharu untuk model-model Lotus di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Eletre: Tidak ditawarkan
  • Eletre S: RM698,000 (+RM50,000)
  • Eletre R: RM838,000 (+RM40,000)
  • Emira i4 First Edition: RM1.095 juta (Semenanjung Malaysia), RM509,000 (Langkawi)
  • Emira V6 First Edition manual: RM1.289 juta (+RM83,200; Semenanjung Malaysia), RM529,000 (+RM50,200; Langkawi)
  • Emira V6 First Edition automatik: RM1.309 juta (+RM83,200; Semenanjung Malaysia), RM539,000 (+RM45,200; Langkawi)
  •  
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025