Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemilik bengkel perlu pamer senarai nama mekanik dan sijil kelayakan sejak 1 Julai lepas – Menteri KPDN

    Pemilik bengkel perlu pamer senarai nama mekanik dan sijil kelayakan sejak 1 Julai lepas – Menteri KPDN

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan bahawa pemilik bengkel kenderaan kini perlu mempamerkan senarai nama mekanik yang bekerja dan juga kelayakan sijil kemahiran masing-masing di kawasan yang mudah dilihat oleh pelanggan di premis mereka, lapor Bernama.

    Menurutnya syarat itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas, dan langkah ini diambil bagi membolehkan pengguna mendapat maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.

    Beliau turut menambah bahawa langkah ini juga akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.

    “Selain itu, kriteria lain ialah pengusaha perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula. Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka,” kata menteri berkenaan.

    Beliau juga memberitahu bahawa pindaan peraturan juga mengkehendaki pengusaha menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula.

    Mengulas lanjut, Salahuddin berkata pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama, namun penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.

    “Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.

    “Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri NDY dan QCQ dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Negeri Sembilan, NDY, telah pun dibuka bidaan sejak 15 Julai 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 19 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 20 Julai 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QCQ, bidaannya pula bakal dibuka mulai 22 Julai ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 26 Julai 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 27 Julai 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Polis Perak tawarkan 50% diskaun saman trafik terpilih pada 16 Julai 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh

    Polis Perak tawarkan 50% diskaun saman trafik terpilih pada 16 Julai 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh

    Sempena dengan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023, Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada Ahad ini, 16 Julai. Program berkenaan akan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, dari jam 8.30 pagi hingga 3 petang.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Ipoh atau daerah sekitarnya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Honda WR-V 2023 – Pakej aksesori, kit Modulo

    Honda WR-V 2023 – Pakej aksesori, kit Modulo

    Semalam Honda WR-V 2023 telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan ia ditawarkan dengan empat varian, bermula model asas 1.5 S (RM89,900), diikuti varian pertengahan 1.5 E (RM95,900), 1.5 V (RM99,900) dan model spesifikasi tertinggi 1.5 RS (RM107,900).

    SUV kompak ini menerima enjin yang sama seperti Honda City dan varian asas HR-V Grade S iaitu unit L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan.

    Seperti model Honda lain yang diperkenalkan di pasaran tempatan, WR-V turut ditampilkan dengan pilihan kit badan Modulo dan ia boleh dipadankan untuk kesemua varian. Jadi, tidak kira varian yang mana jadi pilihan, pelanggan boleh ‘menghensemkan’ lagi imej WR-V dengan padanan kit badan Modulo ini.

    Honda WR-V 2023 – Pakej aksesori, kit Modulo

    Pakej Modulo terdiri daripada di bawah spoiler, hadapan, belakang dan sisi SUV kompak ini, termasuk kemasan paip ekzos. Pek komponen ini ditawarkan pada harga RM3,175.

    Terdapat tiga pakej yang ditawarkan, yang terdiri daripada kelengkapan kosmetik dan utiliti. Pakej Urban 1.0 (RM954, ditawarkan untuk semua varian) ditambahkan dengan pelindung pintu, pelekat tingkap (untuk C-pillar), kemasan pemijak belakang dan pelindung panel belakang untuk melindungi sudut kemasan bahagian but.

    Honda WR-V 2023 – Pakej aksesori, kit Modulo

    Turut ditawarkan ialah pakej urban (RM1,116) yang terdiri daripada set Urban dengan menambah satu kelengkap iaitu kemasan pemijak hadapan (atau scuff plate, jika anda mahu). Ia ditawarkan untuk varian S,E dan V. Bagi varian RS, ia telah pun sedia ada scuff plate hadapan secara standard.

    Aksesori terakhir dipanggil Utility (RM1,052), dan ia merangkumi penutup pelindung pemegang pintu, alas kargo belakang dan organiser untuk but, penutup kereta dan lapisan filem keselamatan reflektif (digunakan pada panel menghadap ke belakang pintu bahagian dalam).

    Selain itu, ia juga menawarkan pakej Protection (RM3,007), untuk salutan bahagian tingkap dan badan kereta serta turut diberikan set lock nuts untuk tayar.

    GALERI: Honda WR-V 1.5 RS

    GALERI: Honda WR-V 1.5 V

     
     
  • VIDEO: Honda WR-V 2023 di Malaysia — dari RM90k

    VIDEO: Honda WR-V 2023  di Malaysia — dari RM90k

    Honda Malaysia baru saja melancarkan model terbaru WR-V untuk pasaran Malaysia. Ia sebuah SUV kecil, yang diposisikan penawarannya di bawah HR-V. Dengan kehadiran WR-V, Honda melengkapkan barisan penawaran SUV-nya untuk pasaran tempatan bagi segmen A yang sebelum ini kosong.

    Ada empat varian ditawarkan: varian paling asas 1.5 S dijual pada harga RM89,900; 1.5 E berharga RM95,900; 1.5 V pula berharga RM99,900; dan varian paling lengkap 1.5 RS pula ditawarkan pada harga RM107,900. Semua harga ini ialah harga atas jalan dan tidak termasuk insuran. Jika diperhatikan julat harga berkenaan, ia agak bertindih dengan model sedan/hatchback Honda City.

    Dan, bukan hanya harga antara dua model ini yang ada persama, tetapi sistem janaan kuasa juga sama. Honda WR-V 2023 menggunakan unit L15ZF 1.5 liter (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Ini digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang memacu roda depan.

    Dari segi dimensi pula, WR-V sangat mirip dengan saiz Perodua Ativa, dengan ukuran 4,060 mm panjang, lebar 1,780 mm, tingggi 1,608 mm (varian S hanya 1,576 mm) dan jarak roda sejauh 2,485 mm.
    Berbanding Ativa, WR-V ini 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah dengan jarak antara roda yang juga 40 mm lebih pendek.

    Tetapi, dari sudut enjin dan janaan kuasanya, Honda WR-V 2023 mengatasi janaan kuasa Ativa, yang hanya digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder yang hanya menghasilkan sebanyak 97 hp dan tork 140 Nm.

    Banyak lagi perkara yang perlu anda tahu berkaitan Honda WR-V 2023 ini. Untuk memudahkan semua, kami sentuh secara ringkas perkara-perkara yang ada dan tak ada pada WR-V ini. Semoga bermanfaat.

     
     
  • Caterham Project V buat penampilan pertama – EV sports berkuasa 272 PS, RWD, laju maksimum 230 km/j

    Caterham Project V buat penampilan pertama – EV sports berkuasa 272 PS, RWD, laju maksimum 230 km/j

    Pengeluar kereta sports dari United Kingdom, iaitu Caterham telah memperkenalkan sebuah model konsep baru yang dipanggil sebagai Project V. Ia adalah sebuah kereta coupe dua tempat duduk, yang menggunakan rekaan Anthony Janarelly, dan dibuat oleh Italdesign.

    Mencatat berat cuma 1,190 kg, kereta ini menggunakan casis komposit gentian karbon dan aluminium, sementara panel badan pula dariada bahan komposit. Ukurannya adalah 4,255 mm panjang, 1,893 mm lebar, 1,226 mm tinggi dan jarak roda 2,581 mm.

    Menggerakkan Project V adalah motor permanent magnet synchronous 272 PS/400 V, yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 55 kWh. Jarak gerak maksimumnya adalah 400 km, dan boleh dicas 20-80% dalam masa 15 minit menggunakan pengecas DC 150 kW. Daripada aspek prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 230 km/j.

    Memegang rodanya adalah suspensi double wishbone di hadapan dan belakang, dengan geometri yang boleh dilaras, sementara stereng pula mengguakan kuasa elektrik dan cakera brek datang bersama angkup prestasi tinggi. Rim berlainan saiz digunakan, iaitu 19 inci di hadapan, dan 20 inci di belakang, dan dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4S, masing-masing bersaiz 235/35R19 dan 285/30R20.

    Informasi penting kereta dipaparkan pada panel instrumen digital di hadapan pemandu, manakala unit infotainmen boleh disambungkan kepada telefon pintar dengan fungsi mirroring. Tiga mod pemanduan disediakan, iaitu Normal, Sport dan Sprint, dengan masing-masing mempunyai karekter maklum balas pecutan serta kuasa stereng yang berbeza.

    Menurut Caterham, dengan ujian yang sudah dijalankan, Project V berkemungkinan dapat diperkenalkan dalam versi produksi pada hujung tahun 2025 atau awal tahun 2026, dengan harga yang disasarkan bermula dari 80,000 pound (RM475,320).

     
     
  • Hyundai Exter dilancar di India – SUV kompak dengan enjin 1.2L, transmisi 5MT atau 5AMT, dari RM33k

    Hyundai Exter dilancar di India – SUV kompak dengan enjin 1.2L, transmisi 5MT atau 5AMT, dari RM33k

    Selepas dipertonton buat pertama kali Mei lalu, Hyundai Exter akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran India, sebagai SUV paling murah jenama itu. Ditawarkan dalam lima varian iaitu EX, S, SX, SX (O) dan SX (O) Connect, model ini dijual pada harga bermula 599,900 rupee (RM33k) sehingga 999,990 rupee (RM55k).

    Jika melihat kepada segmennya, Exter ini boleh dikira agak kompak dengan ukuran panjang 3,815 mm, lebar 1,710 mm, tinggi 1,631 mm dan jarak roda 2,450 mm. Ia datang dalam pilihan dua enjin, bermula dengan petrol empat silinder NA 1.2 liter Kappa berkuasa 83 PS (82 hp atau 61 kW) pada 6,000 rpm dan tork 113.8 Nm pada 4,000 rpm, dihantar kepada roda hadapan.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi sama ada manual atau automatik lima kelajuan, untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan. Enjin kedua adalah unit 1.2 liter yang boleh menggunakan bahan api petrol ataupun gas asli mampat (CNG). Kuasa enjin ini bagaimanapun adalah sedikit kurang, iaitu 69 PS (68 hp atau 50.5 kW) dan tork 95.2 Nm, dan cuma datang dengan transmisi manual lima kelajuan.

    Hyundai Exter dilancar di India – SUV kompak dengan enjin 1.2L, transmisi 5MT atau 5AMT, dari RM33k

    Suspensi Exter datang dalam tetapan MacPherson untuk hadapan dan torsion beam di belakang, sementara stereng pula menggunakan sistem kuasa elektrik dan brek terdiri daripada cakera di hadapan dan dram di belakang. Saiz rim adalah antara 14 hingga 15 inci, bergantung kepada varian.

    Untuk kelengkapan, varian SX (O) Connect paling tinggi datang dengan lampu utama projector halogen, DRL LED, lampu belakang LED, rim 15 inci, balutan tempat duduk gabungan kulit dan fabrik, panel instrumen digital, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci (sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), bumbung suria boleh buka, sistem kunci pintar, pengecas telefon tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong di belakang, dua kamera dashcam serta kotak barangan yang disejukkan.

    Semua varian Exter dilengkapi dengan enam beg udara, amaran tali pinggang (semua tempat duduk), auto-lock dengan pengesan kelajuan dan cagak ISOFIX, manakala ESC, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, kamera undur dan pemerhati tekanan angin tayar diberikan pada varian tertentu.

    Warna utama yang digunakan untuk bahagian dalam adalah hitam, tetapi ia mempunyai beberapa tema dengan perbezaan pada kemasannya. Pilihan pertama adalah Cosmic Blue, yang dipadankan bersama bahagian luar yang menggunakan warna sama (bumbung hitam boleh dipilih). Seterusnya adalah Light Sage, dengan pilihan warna luar Ranger Khaki atau Atlas White, dan akhir sekali adalah Silver, yang boleh dipadankan dengan warna luar Starry Night, Fiery Red, Atlas White atau Titan Grey.

     
     
  • Tesla setuju jadikan M’sia sebagai pusat penting pengeluar EV di rantau ini – buka HQ di Cyberjaya

    Tesla setuju jadikan M’sia sebagai pusat penting pengeluar EV di rantau ini – buka HQ di Cyberjaya

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan Tesla Inc bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluar kereta elektrik (EV) di rantau ini.

    Menerusi mesyuarat secara maya yang berlangsung pagi tadi, katanya, pengasas dan CEO SpaceX yang juga merupakan CEO Tesla, Elon Musk turut bersetuju untuk membuka ibu pejabat (HQ) Tesla di Cyberjaya.

    “Ini adalah hal yang menyakinkan kepada pemacuan ekonomi negara. Justeru, dengan kemasukan Tesla ke Malaysia, ia akan memacu ekosistem EV negara. Saya memberi jaminan kepada Musk. Saya meminta Menteri Pelaburan, Perdangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya memberi ruang dan perhatian untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.

    Tesla setuju jadikan M’sia sebagai pusat penting pengeluar EV di rantau ini – buka HQ di Cyberjaya

    Dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh Zafrul dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Anwar turut mengucapkan tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Musk di Selangor pada tahun ini.

    “Malaysia akan terus memperkasa komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050. Malahan Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem yang komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya lagi menerusi laman Facebook rasminya.

    Selain itu, perbincangan turut membabitkan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

    “Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” tambah Anwar.

    Tesla setuju jadikan M’sia sebagai pusat penting pengeluar EV di rantau ini – buka HQ di Cyberjaya

    Terdahulu, Tesla mengesahkan bakal melancarkan jenamanya secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini. Pada Mac 2023 pula, Zafrul mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.

    Pada Mac 2023 pula, beliau mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.

    Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Tesla Malaysia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dan sekurang-kurangnya 30% (15 unit) daripada pengecas ini perlu terbuka untuk kegunaan umum, termasuk EV dari jenama lain.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS!

    Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS!

    Selepas beberapa teaser disiarkan, akhirnya model prestasi elektrik penuh pertama dari divisi perlumbaan dan prestasi Hyundai iaitu Hyundai N kini didedahkan secara rasmi – memperkenalkan, Hyundai Ioniq 5 N! Model ini didedahkan ketika berlangsungnya Goodwood Festival of Speed 2023 di UK, dan menyaksikan buat pertama kali pengeluar automotif Korea Selatan ini menyertai festival sukan permotoran bersejarah yang ikonik tersebut.

    Menurut Hyundai, walaupun ini merupakan model EV, ia tetap dibina berasaskan tiga falsafah utama Hyundai N iaitu nakal di selekoh, kebolehan di litar lumba, dan kereta sport yang boleh digunakan setiap hari. Kesemua aspek tersebut dihasilkan menerusi teknologi yang dipelajari Hyundai N dalam sukan permotoran sebenar dan unit-unit prototaip ‘makmal bergerak‘ sebelum ini.

    Seperti namanya, Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard. Dari sebelah luar, anda boleh lihat Ioniq 5 N ini nampak lebih gagah dari model biasa kerana badannya 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah. Perubahan ini bukan kerana mahukan aspek estetik semata-mata, ia sebenarnya terhasil kerana model ini memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.

    Muka Ioniq 5 ini nampak lebih agresif dengan bampar hadapan yang diberikan liang ambilan udara besar, menampilkan tirai dan sayap udara berfungsi untuk memberikan aliran udara kepada sistem penyejuk, dan juga lips spoiler lebar yang diletakkan pada bahagian bawah bampar.

    Juga terdapat ‘sayap’ yang diletakkan pada bahagian bawah skirt sisi. Manakala di belakang ia diberikan spoiler bumbung lebih besar bersama lampu brek ketiga berbentuk segi-tiga, dan bampar belakang juga nampak lain dari versi biasa dengan diffuser yang sangat menonjol bersama reflektor dengan corak seakan chequered flag. Hyundai turut memberikan pengelap cermin belakang untuk model N ini (tiada pada model biasa).

    10 warna badan ditawarkan untuk model ini iaitu Performance Blue Matte, Performance Blue, Abyss Black Pearl, Cyber Gray Metallic, Ecotronic Gray Matte, Ecotronic Gray , Atlas White Matte, Atlas White, Gravity Gold Matte dan Soultronic Orange Pearl. Ia disertai dengan serlahan-serlahan hitam serta jalur-jalur warna oren yang kelihatan seperti merah.

    Bagi melengkapkan rupanya, model N penuh ini menerima rim forged aluminium 21-inci berbanding pilihan rim aloi 19- dan 20-inci pada model biasa, dan dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero bersaiz 275/35R21. Brek-brek gergasi juga kelihatan disebalik set rim besar tersebut di mana bahagian hadapan diberikan cakera bersaiz 400 mm dan angkup empat-omboh, dan di belakang dibekalkan dengan cakera 360 mm dan angkup omboh tunggal.

    Ini antara perincian yang boleh nampak dengan mata kasar. Disebaliknya pula, kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang.

    Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS!

    Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.

    Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

    Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS!

    Tork yang diberi untuk memacu gandar hadapan dan belakang adalah sentiasa bervariasi bergantung pada keaadaan dan ia dikawal oleh N Torque Distribution yang boleh dilaras sehingga 11 tahap. e-LSD turut dipadankan pada gandar belakang bagi mengoptimakan prestasi dan kawalan ketika mengambil selekoh.

    Pedal pendikit dan pedal brek pada Ioniq 5 N ini juga diambil perhatian dengan dipadankan N Pedal. Sistem ini dihasilkan bagi membolehkan pemandu merasai pengendalian yang responsif seperti jentera rali Hyundai i20 N WRC, menggunakan perisian pintar yang direka bagi memberikan turn-in ke selekoh yang lebih pantas serta tahap sensitif pedal pendikit yang lebih baik.

    Sistem ini juga bekerjasama dengan sistem regenerative braking pada Ioniq 5 N ini dimana ia dapat memindahkan berat ketika kereta menyah pecut, seterusnya membolehkan ia masuk ke selekoh dengan lebih tajam.

    Pengetahuan dari SS rali juga memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N ini. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan aksi clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

    Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS!

    Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, Ioniq 5 N turut dilengkapi dengan sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT – dan ia kedengaran jelas dalam video rasmi pendedahannya ini!

    Menurut Hyundai, sistem ini dibangunkan bukan hanya untuk memberikan sensasi pemanduan seperti kereta sport dengan enjin pembakaran dalaman biasa, malah ia turut akan memberikan tindak balas dan juga kawalan lebih tepat kepada pemandu.

    Bagi menghasilkan N Active Sound ini, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang!

    Untuk tema bunyi Evolution pula akan memberikan bunyi elektrik yang diinspirasikan dari bunyi model konsep RN22e dan N 2025 Vision Gran Turismo Concept. Manakala bagi Supersonic, ia menghasilkan bunyi seakan jet pejuang yang akan memberikan “sensasi pemanduan seperti juruterbang jet pejuang”, dakwa Hyundai. Kesemua tema bunyi ini boleh dilaras sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan selera masing-masing.

    Untuk N e-Shift pula, ia akan berfungsi secara integrasi dengan N Active Sound. Rasa seakan tukaran gear kotak gear DCT tersebut dihasilkan dengan kawalan terhadap kuasa tork motor elektrik Ioniq 5 N ini. Hyundai menyatakan sistem ini direka bagi membolehkan pemandu menggunakan teknik memandu laju kereta dengan enjin pembakaran dalaman pada Ioniq 5 N ini, dan ia rasa lebih seperti sebuah kereta dengan enjin petrol berbanding EV.

    Tidak cukup dengan itu, Ioniq 5 N turut menerima sistem N Launch Control untuk anda ‘berlepas’ seperti roket dan disediakan dalam tiga tahap cengkaman berbeza. Sekiranya anda memandu di litar, fungsi Track SOC (state of charge) akan membantu anda mengira kadar penggunaan kuasa untuk setiap pusingan lap.

    Jika anda mahu memandu di litar dengan lama, fungsi N race boleh digunakan dan dalam dua mod; mod Endurance akan mengawal kadar kuasa bagi membolehkan anda memandu dengan jarak lebih jauh dalam litar, manakala mod Sprint akan mengutamkan penghasilan kuasa lebih besar tetapi dengan jarak gerak lebih pendek.

    Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS!

    Mod-mod dalam litar ini bergantung kepada sistem penyejukkan bateri istimewa Ioniq 5 N. Ia ini diberikan pakej radiator N dengan bahagian penyejukan yang lebih besar serta menerima penyejuk minyak dan penyejuk bateri serta menerima perisian seperti N Battery Preconditioning dan N Race bagi menyelia dan mengurus kelengkapan-kelengkapan tersebut.

    Ioniq 5 N ini juga diberikan sistem regenerative braking digelar N-Brake Regen yang bukan sahaja membolehkan kuasa kinetik ditukarkan kepada kuasa elektrik ketika membrek, malah ia juga membantu memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Menurut Hyundai sistem pada Ioniq 5 N ini direka khas bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa nyah pecut maksima 0.6 G, iaitu yang paling besar pernah ditawarkan dalam industri.

    Sistem N-Brake Regen tersebut masih berfungsi walaupun ABS sedang aktif dengan memberikan kuasa nyah pecut maksima 0.2 G. Manakala untuk sistem brek konvensional, cakera berdiameter 400 mm yang dibekalkan pada model ini menampilkan material ringan dan direka bagi memaksimakan aliran udara.

    Hyundai Ioniq 5 N – EV prestasi ada bunyi enjin & tukaran gear maya, AWD inspirasi WRC, 650 PS!

    Ioniq 5 N ini menerima bateri litihium -ion 84-kWj baharu yang dikawal oleh unit inverter dua-peringkat. Jarak gerak untuk model ini masih belum diumum, namun bateri berkenaan boleh dipenuhkan dari 10-80% dalam masa hanya 18-minit menerusi pengecas pantas DC 180 kW. Ia masih menampilkan fungsi V2L (vehicle-to-load) bagi membolehkan kuasa elektriknya digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik yang lain.

    Untuk kabin, Ioniq 5 N ini menerima roda stereng rekaan baharu dengan logo N serta butang-butang mod pemanduan serta mod N Grin Boost. Ia juga diberikan konsol tengah berbeza yang dipanjang bahagian bawah supaya lebih kuat, serta meneriam pelapik untuk sokongan lutut.

    Ia juga diberikan tempat duduk bucket yang direka 20 mm lebih rendah dari biasa dan ‘memeluk’ badan pemandu ketika meredah selekoh dengan laju. Motif-motif rekaan chequered flag juga boleh dilihat pada bahagian dalaman ini seperti pada scuff plate, pedal aloi dan juga perehat kaki.

     
     
  • Nissan Almera FL 2024 dilancarkan di Filipina – 1.0L turbo petrol dalam tiga varian, RM70k-RM96k

    Nissan Almera FL 2024 dilancarkan di Filipina – 1.0L turbo petrol dalam tiga varian, RM70k-RM96k

    Nissan Almera facelift 2023 pasaran Thailand

    Nissan Almera facelift 2024 telah pun dilancarkan di Filipina, selepas model ini diperkenalkan di pasaran Thailand pada Mei lalu. Terdapat tiga varian ditawarkan di negara itu iaitu 1.0 EL Turbo manual berharga PHP 839,000 (RM69,975), 1.0 VE Turbo CVT berharga PHP 1,059,000 (RM88,323) dan 1.0 VL Turbo CVT berharga PHP 1,149,000 (RM95,797), laporan Autoindustriya.

    Ketiga-tiganya diberikan enjin yang sama iaitu 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa 100 PS pada 5,000 rpm dan tork 152 Nm dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm. Ia turut digandingkan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan untuk varian asas atau Xtronic CVT untuk dua lagi varian.

    Bagi kelengkapan ciri keselamatan untuk Almera 2024 di Filipina, ia ditampilkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, bantuan brek, kawalan dinamik kenderaan (kawalan kestabilan), cagak Isofix dan bantuan mula mendaki.

    Turut diberikan sistem bantuan yang merangkumi amaran titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran ketibaan lorong, bantuan lampu tinggi, paparan pandangan sekeliling (kamera 360-darjah) dan brek kecemasan autonomous. Sebagai tambahan, varian tertinggi VL diberikan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Nissan Almera facelift 2023 pasaran Thailand

    Varian asas EL turut diberikan meter instrumen analog dan paparan pelbagai-informasi kecil, sementara VE dan VL pula menerima panel kombinasi digital dan analog dengan paparan pelbagai-informasi tujuh-inci. Untuk infotainmen, varian VE dan VL turut diberikan unit skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto bersama ketersambungan USB. Sementara itu, varian EL pula menerima unit utama double-DIN dengan ketersambungan Bluetooth, USB dan auxiliary audio.

    Almera facelift 2024 di Filipina turut ditampilkan dengan kelengkapan Nissan Connect Services, yang boleh boleh digunakan bersama peranti mobil Apple iOS dan Android.

    Ia membolehkan pemiliknya untuk mengawal terus dengan kenderaan dan menerima isyarat kecurian. laporan kondisi kenderaan, fungsi kawalan start/stop enjin, pengingatan penyelenggaran, pengaktifan pencahayaan, kepekaan kelajuan, pengesan kenderaan MyCar Finder dan notifikasi pelanggaran automatik serta butang panggilan kecemasan SOS sekiranya pemandu perlu menghubungi perkhidmatan kecemasan bila berlaku kemalangan.

    GALERI: Nissan Almera N18 facelift 2023 pasaran Thailand

     
     
  • LEKAS turut jadi ‘trek lumba haram’ pilihan mat rempit

    LEKAS turut jadi ‘trek lumba haram’ pilihan mat rempit

    Bukan setakat Lebuhraya PLUS yang menjadi pilihan untuk dijadikan ‘trek lumba haram’, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) turut popular di kalangan mat rempit. Ia menjadi lokasi untuk kumpulan mat rempit terutamanya pada hujung minggu untuk berlumba dan mempamerkan aksi berbahaya.

    Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, sepanjang tahun 2023 sahaja, dua kes kemalangan maut membabitkan kumpulan penunggang motosikal direkodkan di laluan berkenaan, laporan Harian Metro.

    “Selain laluan Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), Lebuhraya LEKAS antara lokasi yang dikesan menjadi pilihan kumpulan ‘mat rempit’. Lebuhraya LEKAS yang melalui negeri ini bermula dari KM 13.7 hingga KM 43.

    “Bagi tempoh Januari hingga 11 Julai 2023, sebanyak 127 kemalangan dilaporkan dengan dua daripadanya membabitkan ‘mat rempit’. Kedua-duanya adalah kemalangan maut dengan masing-masing meragut satu nyawa,” katanya.

    Beliau menambah, bagi mengekang aktiviti jalanan, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis termasuk mengadakan pelbagai operasi penguatkuasaan.

    “Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 11 operasi dijalankan terutama Op Cegah Samseng Jalanan di laluan itu. Sebanyak 444 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan penunggang motosikal.

    LEKAS turut jadi ‘trek lumba haram’ pilihan mat rempit

    “Manakala sebanyak 20 motosikal disita daripada operasi berkenaan dengan seorang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Katanya lagi, penunggang motosikal yang menunggang dan memotong secara ‘zig-zag’ yang didapati melanggar undang-undang di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu, jika disabitkan kesalahan, pemandu atau penunggang boleh dipenjara sehingga lima tahun serta dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000. Jika pemandu adalah pemegang lesen memandu percubaan (P), lesen boleh dibatalkan.

    “Bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda minimum RM10,000, maksimum RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut meminta semua pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati dan patuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.

    “Saya juga menggesa ibu bapa supaya memantau aktiviti anak masing-masing terutama yang menggunakan motosikal kerana kebanyakan yang terbabit dengan mat rempit ini terdiri daripada remaja berusia 16 tahun hingga awal 20-an,” tambahnya.

    Pada 10 Julai lalu, akibat melakukan pelbagai aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di LEKAS, sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang daripadanya maut di tempat kejadian.

     
     
  • Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Jenama kereta elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla bakal muncul secara rasmi di Malaysia dengan perasmian yang akan dibuat pada 20 Julai nanti. Namun nampaknya anda yang berminat untuk membeli model pertama Tesla yang akan dilancarkan di sini iaitu Model Y sudahpun boleh membuat tempahan dan harganya juga telah didedahkan di konfigurator Tesla untuk pasaran Malaysia.

    Apa yang mengejutkan, Tesla Model Y menampilkan harga yang cukup kompetitif; model asas Tesla Model Y RWD dijual pada harga bermula RM199,000, diikuti Tesla Model Y Long Range AWD dijual pada harga RM246,000 dan varian tertinggi Tesla Model Y Performance AWD akan dijual pada harga RM288,000!

    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Ia sudahpun boleh ditempah dengan bayaran deposit RM1,000 (tidak boleh dikembalikan), dan penghantaran terawal akan bermula awal 2024. Menerusi konfigurator tersebut anda boleh membuat tingkat taraf dengan tambahan bayaran seperti berikut:

    Warna Hitam, Perak dan Biru – RM5,000
    Warna Merah dengan pelbagai lapisan – RM10,000
    Dalaman berwarna Hitam/Putih – RM5,000
    Rim Induction 20-inci – RM10,000
    Sistem Autopilot dipertingkat – RM16,000
    Pemanduan Sendiri Sepenuhnya – RM32,000

    Tesla Model Y merupakan SUV kompak dengan saiz seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC. Manakala saingan terusnya dalam segmen EV adalah model seperti BMW iX3 dan juga Mercedes-Benz EQC. Buat masa sekarang Tesla masih belum mendedahkan kapasiti bateri untuk Model Y pasaran Malaysia ini, namun apa yang pasti Model Y menggunakan asas sistem elektrik 400V.

    Tesla Model Y RWD – RM199,000

    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Tesla Model Y RWD dengan rim Gemini 19-inci

    Ia adalah model paling mampu milik ditawarkan oleh Tesla di Malaysia, datang standard dengan rim 19-inci Gemini tetapi pembeli boleh memilih rim 20-inci Induction. Model ini hanya diberikan satu motor elektrik untuk memacu roda belakang dengan kebolehan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.9 saat serta jarak gerak 455 km (WLTP) dengan sekali cas penuh.

    Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Tesla Model Y Long Range AWD dengan dengan rim Induction 20-inci

    Sama seperti Model Y RWD, varian ini turut hadir standard dengan rim Gemini, dan boleh dipilih dengan rim Induction. Ia diberikan dua motor elektrik masing-masing memacu roda hadapan dan belakang, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 217 km/j serta menampilkan jarak gerak 533 km.

    Pembeli juga boleh membeli tingkat taraf Acceleration Boost bagi mendapatkan pecutan 0-100 km/j lebih pantas iaitu 4.5 saat. Namun harga untuk tingkat taraf ini belum diumumkan, dan ia hanya boleh dibeli menerusi aplikasi selepas pembeli menerima kereta, bukan ketika membuat tempahan.

    Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000
    Kereta Tesla Model Y akan dijual bermula RM199k di Malaysia – boleh ditempah dengan bayaran RM1k

    Tesla Model Y Performance AWD dengan dengan rim Uberturbine 21-inci

    Model paling mahal yang ditawarkan oleh Tesla Malaysia buat masa sekarang ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Jarak gerak untuk model ini adalah 514 km (WLTP), dan datang dengan perincian standard seperti rim Uberturbine 21-inci, brek prestasi, spoiler gentian karbon, pedal aloi aluminium dan suspensi lebih rendah.

    Untuk bahagian dalaman, ketiga-tiga varian ini diberikan upholsteri kulit vegan (boleh di tingkat taraf kepada hitam atau putih dengan bayaran RM5,000), bumbung kaca panaromik, skrin sesentuh utama 15-inci, dua pengecas tanpa wayar dan empat port USB Type C, sistem audio premium dengan 13-pembesar suara bersama subwoofer dan dua power amp, tempat duduk hadapan larasan elektrik, pemanas pada semua tempat duduk dan roda stereng, serta penghawa dingin dengan sistem penapis HEPA dan Bioweapon Defence Mode.

    Dalaman Tesla Model Y dengan upholsteri hitam (kiri) dan putih (kanan)

    Tesla Model Y ini juga tampil dengan ruang but seluas 854 liter di belakang, serta ruang simpan bonet hadapan dengan kapasiti 117 liter.

    Dengan dijual sendiri oleh Tesla Malaysia, sudah tentu ia dilindungi oleh waranti pengeluar yang sah. Tesla memberikan waranti standard selama empat tahun atau 80,000 km yang mana sampai dahulu. Ia juga diberikan waranti bateri dan unit pemanduan selama lapan tahun atau 160,000 km yang mana sampai dulu, dengan pengekalan minimum 70% kapasiti bateri sepanjang tempoh jaminan.

     
     
  • Lebuhraya LDP laksana laluan kontra mulai 17 Julai selama 3 bulan; Isnin-Jumaat, 4.30 petang-8.30 malam

    Lebuhraya LDP laksana laluan kontra mulai 17 Julai selama 3 bulan; Isnin-Jumaat, 4.30 petang-8.30 malam

    Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (LITRAK) akan melaksanakan Kajian Laluan Kontra di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) mulai 17 Julai 2023 setiap Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti am) dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam selama tiga bulan.

    Menurut LITRAK, kajian laluan kontra dilaksanakan selaras dengan hasrat untuk mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak sebelah petang. Ia melibatkan dua lokasi iaitu bermula di KM 19.2 selepas Canopy A, Plaza Tol Petaling Jaya hingga KM 22 dari arah Bandar Sunway ke Putrajaya/ Shah Alam. Lokasi kedua pula bermula di KM 22 hingga KM 19.2 dari arah Puchong ke Petaling Jaya/Bandar Sunway.

    Klik untuk besarkan

    “Laluan kontra ini hanya untuk kenderaan ringan Kelas 1 atau pengguna kad Touch ‘n Go
    sahaja. Sehubungan dengan itu, kajian laluan kontra ini akan melibatkan penyaluran trafik di
    lokasi-lokasi yang dinyatakan. Ia adalah khusus dan terhad untuk pengguna LDP yang ingin ke Putrajaya/ Shah Alam sahaja.

    “Sepanjang tempoh pelaksanaan kajian laluan kontra ini, pengguna lebuh raya dari arah Puchong menghala ke Bandar Sunway/ Petaling Jaya dinasihatkan untuk menggunakan lorong kiri atau jalan alternatif,” kata LITRAK menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pelaksanaan kajian laluan kontra ini juga seiring dengan pelan tindakan strategik LITRAK bertepatan dengan hasrat mengurangkan kesesakan trafik kepada pengguna lebuh raya untuk pulang ke rumah.

     
     
  • smart #1 bakal membuat kemunculan sulung di Malaysia menerusi EVx 2023 pada 22-23 Julai di SCCC

    smart #1 bakal membuat kemunculan sulung di Malaysia menerusi EVx 2023 pada 22-23 Julai di SCCC

    Dalam masjlis menandatangani perjanjian antara Proton dan pengeluar kereta elektrik smart Automobile Company pada Ogos tahun lalu, telah diumumkan smart #1 bakal menjadi model pertama dari jenama berkenaan untuk dijual di sini, dan EV berkenaan akan diperkenalkan pada suku ke empat tahun ini.

    Awal tahun ini, model berkenaan dirancang untuk diperkenalkan pada suku ketiga dan kini kita telah pun memasuki kuarter berkenaan, dan sudah tibalah masanya untuk berbuat demikian.

    Menerusi posting di Facebook, smart Malaysia mendedahkan model berkenaan akan membuat kemunculan sulungnya menerusi acara Electric Vehicle Expo (EVx) 2023 yang bakal berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) pada 22-23 Julai ini.

    smart #1 bakal membuat kemunculan sulung di Malaysia menerusi EVx 2023 pada 22-23 Julai di SCCC

    Bagi yang berminat dengan #1, anda bukan setakat boleh mendaftar minat mereka, tetapi boleh terus melihat sendiri model ini di tapak pameran Hap Seng dalam acara berkenaan.

    #1 dijanakan oleh bateri 66 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak 440 km (kitaran WLTP) dan motor elektrik yang dipasang di belakang, kombinasi ini mampu menghasilkan kuasa hingga 272 PS (200 kW) dan tork 343 Nm. Secara standard, #1 didatangkan dengan pengecas onboard AC 7.4 kW, namun menerusi yang dipaparkan di media sosial pada awal bulan ini, smart Malaysia akan membekalkan #1 dengan pengecas onboard AC dengan keupayaan sehingga 22 kW.

    Model EV ini juga akan dijual dalam varian Brabus di mana ia menambah motor elektrik kedya pada bahagian hadapan untuk pacuan semua-roda dan keseluruhan kuasa yang terhasil mencecah 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan 543 Nm.

     
     
  • MPV EV Volvo dikesan di China – 7-tempat duduk, dijual di China suku ke-4 2023; kembar Zeekr 009?

    MPV EV Volvo dikesan di China – 7-tempat duduk, dijual di China suku ke-4 2023; kembar Zeekr 009?

    Apabila bercakap tentang Volvo, jenama automotif dari Sweden berkenaan sering dikaitkan dengan model-model wagon dan SUV yang cantik. Namun dalam era peralihan kepada kuasa janaan elektrik penuh ini, Volvo bakal tampil dengan model MPV pertamanya tidak lagi.

    Unit ujian MPV Volvo berkenaan telah pun dijumpai di China dan imej berkenaan disiarkan oleh CarNewsChina. Ia adalah MPV EV selari dengan halatuju Volvo yang kini hanya memperkenalkan model-model serba baharu dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh.

    Menurut CarNewsChina, model ini bakal membuat kemunculan sulungnya pada suku ketiga tahun ini, dan jualannya akan bermula pada suku keempat. Berdasarkan rupanya, MPV Volvo ini mungkin kembar kepada Zeekr 009, iaitu MPV keluaran satu lagi divisi EV premium Geely iaitu Zeekr.

    MPV EV Volvo dikesan di China – 7-tempat duduk, dijual di China suku ke-4 2023; kembar Zeekr 009?

    Dapat dilihat bentuk cermin hadapan, cermin suku pada tiang-A, cermin-cermin tingkap sisi serta garis bahu pada tiang-C MPV Volvo ini adalah seiras Zeekr 009. Manakala berdasarkan lampu hadapan yang direka seperti Volvo EX30 dan EX90, MPV ini mungkin akan menerima muka unik Volvo yang berbeza dari Zeekr 009.

    Zeekr 009 dihasilkan menerusi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely, iaitu platform yang dibangunkan khusus untuk EV yang akan digunakan untuk semua jenama di bawah kumpulan automotif tersebur. Antara model lain yang telah pun menggunakan platform berkenaan termasuk EV shooting brake Zeekr 001, crossover kompak smart #1, SUV berprestasi Lotus Eletre, trak pikap EV Radar RD6 dan pelbagai lagi.

    Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard dan Vellfire kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,995 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

    MPV EV Volvo dikesan di China – 7-tempat duduk, dijual di China suku ke-4 2023; kembar Zeekr 009?

    CarNewsChina turut melaporkan bahawa MPV Volvo ini akan menerima tujuh tempat duduk yang disusun dengan konfigurasi 2-2-3. Ia berbeza dengan Zeekr 009 kerana ia hanya diberikan enam tempat duduk dengan susunan 2-2-2 serta ditawarkan dengan opsyen VIP yang menampilkan tempat duduk kapten pada baris kedua.

    Maklumat sistem rangkaian kuasa untuk MPV Volvo ini juga belum terdedah. Untuk Zeekr 009, ia ditawarkan dalam dua varian berbeza iaitu Zeekr 009 WE dengan bateri 116 kWj dan juga Zeekr 009 ME yang menerima bateri 140 kWj.

    Kedua-dua varian tersebut menerima unit penggerak yang sama iaitu dua motor elektrik yang diletak masing-masing di gandar hadapan dan belakang menjadikannya MPV pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan 544 hp dan tork maksima 686 Nm. Ini membolehkan MPV bersaiz besar tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat.

    Kedua-dua varian itu juga menerima pek bateri litium-nikel-mangan-kobalt yang dibekalkan oleh CATL, membolehkan versi 116 kWj bergerak sejauh 702 km (mengikut kitaran CLTC), manakala model dengan bateri 140 kWj pula boleh bergerak sejauh 822 km dengan satu cas penuh. Perincian berkenaan pengecas tidak didedahkan, namun ada dinyatakan dengan pengecas pantas, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% hanya dalam 28 minit.

    GALERI: Zeekr 009 pasaran China

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025