Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki Hayabusa 25th Anniversary Edition diperkenal

    Suzuki Hayabusa 25th Anniversary Edition diperkenal

    Di Eropah, Suzuki telah memperkenalkan Hayabusa 25th Anniversary Edition sebagai menyambut ulang tahun ke-25 model tersebut dalam pasaran. Ia masih lagi menggunakan asas sama sepeti Hayabusa generasi ketiga biasa, tetapi diberi kemasan istimewa.

    Sebagai permulaan, model sambutan ulang tahun ini menggunakan warna Glass Blaze Orange/Glass Sparkle Black dan kemudiannya beberapa bahagian seperti brek cakera mendapat kemasan gold-anodized untuk memberikan sedikit kontras.

    Terus dari kilang, model ini datang dengan tempat duduk tunggal yang sudah menjadi tanda unik Hayabusa, dan kemudiannya diletakkan dengan logo serta lencana ulang tahun pada tepi ekzos serta atas tangki. Suzuki bagaimanapun tidak menyatakan sama ada model ini akan dikeluarkan dalam jumlah terhad ataupun tidak.

    Ciri teknikal Hayabusa 25th Anniversary Edition masih tidak berubah dan sama seperti Hayabusa biasa, bermula dengan enjin empat silinder DOHC 1,340 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 190 PS pada 9,700 rpm dan tork 150 Nm pada 7,000 rpm.

    Pakej kuasa ini kemudiannya digabungkan dengan kelengkapan berspesifikasi tinggi seperti brek Brembo Stylema berkembar di hadapan dan suspensi Kayaba boleh laras sepenuhnya, serta pelbagai sistem elektronik termasuk Motion Track Antilock Brake System (MT-ABS), Suzuki Drive Mode Selector Alpha (SDMS-a), Power Mode Selector (PW), Engine Brake Control System (EB), Motion Track Traction Control System (TC), Anti-lift Control System (LF), Launch Control System (LC) dan quickshifter.

     
     
  • Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    Bagi anda yang merancang untuk ke acara gaya hidup permotoran tahunan, Art of Speed (AOS) 2023 yang akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), Selangor pada 29 hingga 30 Julai ini, ini ada bonus buat anda – penganjur acara tersebut iaitu Art Of Speed Malaysia (AOSM) hari ini mengumumkan bahawa pengunjung berpeluang untuk menang dua hadiah utama bagi cabutan bertuah iaitu sebuah kereta klasik JDM Toyota Celica Liftback 1979 dan juga sebuah motosikal elektrik Honda Dax e:!

    Untuk berpeluang memenangi Toyota Celica berkenaan, pengunjung perlu berbelanja lebih dari RM100 dalam satu resit dari mana-mana vendor rasmi AOS dalam Dewan A, B, C dan D (termasuk vendor-vendor makanan di Food Park) bagi mendapatkan satu tiket cabutan bertuah.

    Toyota Celica tersebut kini sedang direstorasi sepenuhnya oleh AOS yang merangkumi kerja-kerja baikpulih bahagian mekanikal, bahagian dalaman dan juga badan termasuk diberikan cat baharu. Rupa sebenar Celica itu akan didedahkan ketika berlangsungnya AOS nanti.

    Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    Manakala untuk memenangi motosikal elektrik Honda DAX e: pula, ia hanya dibuka untuk pengunjung-pengunjung yang membeli tiket AOS atau SoundCircus Festival (SCF) secara atas talian menerusi laman web rasmi Art of Speed Malaysia.

    Honda DAX e: ini merupakan motosikal elektrik yang diinspirasikan dari motosikal mini klasik Honda DAX (seangkatan dengan Honda Monkey), dan buat masa sekarang ia hanya dijual di pasaran China. Anda tidak memerlukan cukai jalan mahupun lesen untuk menunggang motosikal ini kerana ia diklasifikasikan sebagai EB (Basikal Elektrik) kerana turut mempunyai pedal untuk mengayuh dengan kelajuan maksimum di bawah 25 km/j.

    Untuk kedua-dua hari AOS 2023 berlangsung, ia akan mula dibuka bermula 10 pagi dan berakhir pada 7 malam. Pas hujung minggu AOS 2023 boleh diperolehi di pintu hadapan ketika acara ini berlangsung dan juga secara atas talian dengan harga RM35.00. Manakala bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan juga pemegang pas OKU, masuk secara percuma.

    Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    AOSM turut akan menjual pas Speed Lane untuk AOS 2023 yang berharga RM60.00. Bagi pembeli pas Speed Lane ini, anda akan dibenarkan masuk lebih awal iaitu pada pukul 9 pagi, dan ia sah untuk kedua-dua hari. Kombo SoundCircus Festival + Weekend Pass pula akan mula dijual secara atas talian dengan harga RM135.

    AOS 2023 dengan tema “Raikan Beza Mu” kali ini disifatkan sebagai edisi yang paling besar bakal diadakan sejak acara pertama yang dilangsungkan pada 2012. Ini kerana AOS 2023 bakal menggunakan kesemua Dewan A, Dewan B (sebelum ini merupakan bangunan yang digunakan oleh Universiti Perdana), Dewan C dan Dewan D di MAEPS, serta sebahagian kawasan sekitarnya.

    Ini menjadikan AOS 2023 bakal dilangsungkan di dalam ruang tertutup seluas 350,000 kaki persegi dan ruang luar seluas 8.6 ekar! Bukan sahaja semakin besar, malah penganjur turut menjanjikan bahawa AOS 2023 bakal menjadi edisi terbaik yang pernah diadakan.

    Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    Antara pengisian baharu yang bakal ditampilkan pada AOS 2023 ini adalah Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally”. Acara ini akan diadakan kawasan terbuka yang dikhaskan sepenuhnya untuk penunggang dan peminat motosikal serta bakal menghidangkan pertunjukan aksi motosikal yang dipersembahkan oleh penunggang profesional, serta tunggangan mega dan perhimpunan pelbagai kumpulan motosikal dari seluruh Malaysia dan dari sekitar rantau ini.

    AOS 2023 juga bakal menjadi ‘syurga’ kepada peminat Hot Wheels kerana keseluruhan Dewan B hanya akan dipenuhi ‘kereta kecil’ berkenaan menerusi pelbagai acara yang akan dilangsungkan. Antaranya adalah penganjuran Hot Wheels Collector Convention Rasmi Pertama di rantau Asia Tenggara, pameran-pameran diorama, sesi beramah mesra dengan pereka Hot Wheels dari Amerika Syarikat dan pelbagai lagi.

    Untuk model Proton Saga yang bakal dihasilkan oleh Hot Wheels sempena ulang tahun ke-40 Mattel Malaysia, versi prototaipnya turut akan dipamerkan di Dewan B ini. AOSM turut mengesahkan bahawa Mattel Malaysia akan mendedahkan edisi istimewa Saga berkenaan yang hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit sahaja. Walau bagaimanapun, ia hanya akan dijual bersama versi mainline Saga berkenaan bermula tahun hadapan.

    Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    Pada AOS 2023 ini juga akan menyaksikan pertandingan Hot Wheels Legends Tour 2023 akan diadakan di Malaysia secara realiti buat pertama kali selepas ia dilangsungkan secara maya untuk edisi-edisi sebelum ini akibat kekangan pandemik Covid-19.

    Pusingan kelayakan akan diadakan di AOS 2023 dengan pertandingan yang akan berlangsung pada hari Ahad. Ia akan menampilkan juri-juri tempatan dan antarabangsa untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia – kereta yang menang di peringkat global kelak bakal dijadikan sebagai kereta Hot Wheels skala 1/64 dan akan dijual ke seluruh dunia.

    Antara acara lain yang akan berlangsung sepanjang AOS 2023 ini termasuk Pesta NEAT oleh No Equal (Dewan C) yang akan mempamerkan kereta-kereta lumba sebenar dari pasukan-pasukan lumba tempatan, perkhemahan dan gaya hidup outdoor Off The Grid (Dewan C), Hail Vintage (Dewan D), Kustom & Koffee Talk (Dewan A), Show & Shine (Dewan A) dan pelbagai lagi.

    Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    Bagi pemenang Best of Show untuk Show & Shine tahun ini bakal dibawa ke lawatan The 31st Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2023 nanti di Jepun.

    AOSM akan menyediakan Food Park di keseluruhan ruang bawah Dewan D. Untuk anda yang mencari barang-barang restorasi atau ubahsuai motosikal dan kereta lama, AOS 2023 masih akan menampilkan pelbagai vendor yang akan memenuhi Automotive Flea Market.

    Pelbagai jenama motosikal termasuk Ducati, Royal Alloy, Italjet, Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Harley-Davidson dan lain-lain turut akan ke AOS 2023 di Test Ride Zone bagi membolehkan pengunjung menunggang uji model-model motosikal baharu.

    Art of Speed 2023 tawar Toyota Celica Liftback TA40 1979 & Honda DAX e: untuk pengunjung bertuah

    Seperti biasa, tetamu-tetamu jemputan dari luar turut akan dibawa, antaranya Shige Suganuma, Emi Suganuma, “Sunny” Yano dan Michi “NATQQ” dari Mooneyes, Jepun; Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters, Jepun; Vondutch dari Indonesia, Ya Seat dari Thailand dan ramai lagi. Acara persembahan muzik SoundCircus Festival turut akan dilangsungkan pada AOS 2023 ini.

    “Sejak penubuhannya, Art of Speed Malaysia telah berjaya menjadi pelopor perhimpunan besar bukan sahaja untuk peminat motosikal dan kereta, tetapi juga pengamal seni, pemuzik, pengumpul dan seumpamanya, dan terus mendominasi dalam acara tahunan yang berskala besar,” kata Pengarah Festival AOSM Asep Ahmad Iskandar.

    “Pada tahun ini, AOSM akan meraikan ulang tahun ke-12 pertunjukan tahunannya, bagi menyemarakkan lagi semangat peminat yang bersemangat tinggi, kami persembahkan sebuah acara yang rugi untuk dilepaskan oleh semua,” tambahnya lagi.

     
     
  • Perodua MyEV dalam render berdasarkan model konsep EM-O — Myvi generasi baru versi elektrik

    Perodua MyEV dalam render berdasarkan model konsep EM-O — Myvi generasi baru versi elektrik

    Mei lalu, Perodua mempamerkan rekaan konsep Electric Motion Online (EM-O) dalam bentuk model skala ketika Malaysia Autoshow 2023, sekaligus memberi petunjuk kepada model EV masa hadapan syarikat itu. Ada juga yang menyatakan rekabentuk berkenaan merupakan petunjuk juga kepada Myvi generasi baru nanti.

    Selari dengan itu, dalam hasil terbarunya, Theophilus Chin telah membayangkan model konsep EV Perodua itu sebagai sebuah kereta produksi yang sudah bersedia untuk dipasarkan. Di sini, ia di namakan MyEV. Garis dari model EM-O jelas dikekalkan, dan diberikan rekaan gril dan bampar yang lebih konvensional.

    Di belakang, jalur lampunya juga masih dikekalkan, disertai rekaan lampu yang lebih besar dan rekaan bampar konvensional. Bahagian tingkap pula sedikit lebih kecil, disebabkan garis badannya yang lebih tinggi dalam rekaan ini.

    Perodua MyEV dalam render berdasarkan model konsep EM-O — Myvi generasi baru versi elektrik

    Model konsep EM-O memang menggunakan asas Myvi. Spesifikasi asas yang diberikan ketika ini menunjukkan ukuran yang terlibat ialah 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,515 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,500 mm — ini sama seperti ukuran Myvi.

    Cadangan output elektrikalnya juga menyamai Myvi; 95 PS dan 121 Nm tork, dengan 0-100 km/j dalam 10 saat dan laju maksimum 160 km/j. Bateri 50 kWh memberi jarak perjalanan sejauh 300-350 km kepada EMO, dan dengan pengecasan DC — sehingga 300 kW seperti dinyatakan Perodua ketika itu — hanya memerlukan 20 minit untuk mencapai kadar 80% SoC.

    Perodua juga memaklumkan yang model sebenar bagi konsep EMO ini akan dibangunkan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan, dan akan turut mempamerkan rekaan dalamannya sekali. Adakah rekaan itu nanti ada persamaan dengan bayangan rekaan yang ditunjukkan ini?

     
     
  • Harley-Davidson X440 dilancar secara rasmi di India – enjin satu silinder 440 cc, enam gear, harga dari RM13k

    Harley-Davidson X440 dilancar secara rasmi di India – enjin satu silinder 440 cc, enam gear, harga dari RM13k

    Setelah banyak kali teaser dikeluarkan, model kapasiti rendah terbaru Harley-Davidson yang dibangunkan dengan kerjasama Hero Motocorp, iaitu X440 akhirnya dilancarkan untuk pasaran India. Ia ditawarkan dalam tiga versi, dengan harga antara 229,000 rupee (RM13,029) hingga 269,000 rupee (RM15,305).

    Projek pembangunan motosikal ini bermula tiga tahun lepas dan ia melibatkan bukan sahaja jurutera dan pakar Hero Motocorp di India, tetapi juga wakil Harley-Davidson di Milwaukee, Amerika Syarikat dan Jerman. Setelah siap, ia diuji secara menyeluruh untuk memastikan ia bukan setakat tahan lasak, tetapi juga memberikan rasa tunggangan Harley-Davidson sebenar.

    Pada rangka motosikal ini terletak enjin satu silinder 440 cc air-oil cooled dengan sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 27 hp pada 6,000 rpm dan tork 38 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan dikatakan dapat memberi kadar penggunaan bahan api sekitar 35 km/l apabila diuji melalui kitaran WMTC.

    Rim motosikal ini datang dalam saiz berbeza, iaitu 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dan masing-masing dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork USD KYB 43 mm dan dua penyerap hentak dengan tabung gas dan pelarasan pra beban.

    Memastikan X440 boleh berhenti dengan baik adalah sistem brek cakera di hadapan (320 mm) dan belakang (240 mm), dengan angkup daripada Bybre serta sistem ABS dual-channel yang diberikan secara standard. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 190.5 kg (sedia bergerak) dan ia menyediakan tinggi tempat duduk 805 mm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada X440 adalah termasuk tangki bahan api 13.5 liter, pengecas USB, semua lampu jenis LED serta panel paparan TFT 3.5 inci (sambungan Bluetooth hanya untuk varian paling tinggi). Antara tiga varian yang ditawarkan, perbezaannya boleh dilihat pada jenis rim (spoked atau aluminium) serta warna yang digunakan.

     
     
  • Yamaha Ego Gear tiba dalam warna baru – RM5,998

    Yamaha Ego Gear tiba dalam warna baru – RM5,998

    Sudah berada dalam pasaran hampir dua tahun selepas dilancarkan pada November 2021, Yamaha Ego Gear diberikan kemas kini dengan penampilan baru yang terdiri daripada tiga warna iaitu biru, hijau dan kuning. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha (HLYM) adalah RM5,998, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding harga RM5,418 sebelum ini.

    Ego Gear adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC 125 cc, bersama padanan transmisi automatik, untuk menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm. Menambah lagi kecekapan penggunaan bahan apinya, enjin ini didatangkan bersama sistem Start and Stop yang menggunakan Smart Motor Generator.

    Walaupun adalah sebuah skuter kecil, Ego Gear didatangkan dengan lampu hadapan jenis LED, lampu kecemasan serta soket pengecas USB yang mudah diakses untuk kemudahan pengguna. Panel meter pula masih menggunakan unit analog biasa.

    Sistem brek skuter ini menggunakan gabungan unit cakera di hadapan dan dram di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Rim bersaiz 14 inci dan dibalut tayar 70/90 di hadapan dan 90/80 di belakang.

    Perincian lain Ego Gear adalah termasuk tangki bahan api 4.2 liter, berat 95 kg dan tinggi tempat duduk 750 mm. Setiap pembelian Ego Gear datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • VPCM perkenalkan Pakej Jaminan Volkswagen untuk Golf GTI, Arteon – waranti tambahan, servis percuma

    VPCM perkenalkan Pakej Jaminan Volkswagen untuk Golf GTI, Arteon – waranti tambahan, servis percuma

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) untuk semua model yang dilengkapi dengan IQ.Drive, yang buat masa ini ada pada Golf GTI dan Arteon R-Line 4Motion.

    Dengan VAP, pemiliknya diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun dan perbatuan tanpa had yang termasuk pakej penyelenggaran tiga-tahun/45,000 km. Ini merupakan alternatif kepada waranti standard dua-tahun yang diberikan untuk semua kereta yang dihantar dari 3 Julai 2023. Bantuan tepi jalan lima-tahun masih diberikan, sama ada dengan atau tanpa VAP.

    “Kami tetap komited sepenuhnya dalam memberikan pelanggan kami dengan penawaran produk terbaik yang memenuhi keperluan mereka. Dengan VAP, pelanggan boleh terus beraya yakin bahawa kami telah melindungi mereka,” kata Pengarah Urusan baharu VPCM Denyu Bostandzhiev.

    VPCM perkenalkan Pakej Jaminan Volkswagen untuk Golf GTI, Arteon – waranti tambahan, servis percuma

    Beliau menambah, “Lebih-lebih lagi, pasukan juruteknik mahir kami memastikan kenderaan pelanggan diperiksa dengan teliti dan alat ganti yang memerlukan penggantian akan diganti. Penting juga untuk ambil perhatian bahawa kami hanya menggunakan alat ganti tulen bagi memastikan kebolehpercayaan dan prestasi berterusan kenderaan.”

    Bergantung pada model terpilih, VAP bernilai dari RM8,000 hingga RM10,000. Buat masa ini, Golf GTI dijual pada harga atas jalan RM246,012 tanpa insurans. Sementara Arteon R-Line 4Motion pula berharga RM301,012. Semua harga ini tidak berubah dari sebelum dan termasuk VAP, jadi jika pembeli tidak mahu waranti tambahan ini, harganya dikurangkan.

     
     
  • Perodua Kancil EV dalam lakaran Saharudin Design

    Perodua Kancil EV dalam lakaran Saharudin Design

    Pernah membayangkan bagaimana rupanya kalau Perodua Kancil yang kompak dan kecil dijelmakan dalam penampilan kereta elektrik? Dalam satu hantaran media sosial terbarunya, Saharudin Design berkongsi lakaran digitalnya yang membayangkan sebuah Kancil EV berkenaan.

    Rekaan berkenaan asalnya hanyalah kandungan yang digunakan untuk bengkel lakaran digital bersama pelajar UiTM. Melalui beberapa imej yang ada ini, Saharudin menunjukkan bagaimana wajah depan dan sisi kereta EV tersebut, yang dibayangkan juga menjadi sebuah EV Rahmah yang paling mampu milik oleh pengguna di Malaysia — disebabkan itulah Perodua Kancil yang dipilih sebagai asasnya.

    Menurut Saharudin, ilham Kancil EV datang daripada Perodua Kancil lama versi terawal, yang kemudiannya diterapkan dengan imej retro yang mirip kepada pendekatan rekaan Honda E, sebuah lagi kereta kompak EV moden yang ada di pasaran Jepun.

    Perodua Kancil EV dalam lakaran Saharudin Design

    Yang dapat dilihat, rekaannya ringkas tetapi menarik, cenderung minimal dengan garis badan yang lurus dan bentuk umum berkotak yang tetap menampilkan gaya elegannya. Wajah depan di bahagian hidungnya tegak, yang dalam sekali pandang, membuatkan Kancil EV ini kelihatan seperti minivan.

    Lampu petak di dua sudutnya hadir juga dengan jalur bentuk C di dalamnya, dihubungkan dengan satu jalur krom nipis dengan logo Perodua di tengah. Bahagian bampar juga sama ringkas, dengan perincian ada lampu kabus, dan bahagian bawah bampar dengan lip hitam yang tertutup.

    Perbezaan warna yang ditampilkan ini adalah untuk membezakan antara versi EV biasa (kelabu) dan juga EV Sport (merah). Bahagian depan versi Sport misalnya menempatkan rekaan seperti liang udara tak juah dari lampu kirinya, serta dengan perincian ruang lampu kabus yang berlainan, serta bahagian lip bawah dengan bukaan udara di pinggirnya.

    Perodua Kancil EV dalam lakaran Saharudin Design

    Kancil EV ini walaup nampak sporty, tetap mengekalkan praktikaliti dengan rekaan empat pintu. Sesuai dengan pendekatan rekaan moden yang minimalis untuk imej EV, cermin sisi dan pemegang pintunya diberikan rekaan yang kecil dan tirus sahaja. Ia juga diberikan penampilan dwi-tona warna badan, dengan bumbung hitam.

    Rasa-rasa rekaan ini betul boleh dijadikan kenyataan sebagai EV Rahmah untuk ramai warga Malaysia? Sebelum ini, Saharudin Design juga pernah menghasilkan rekaan untuk sebuah lagi EV Sport Sedan yang dibayangkan menjadi EV sport pertama Malaysia.

     
     
  • Mini Karnival sempena ulang tahun ke-38 Proton Saga akan berlangsung di Ibu Pejabat Proton 9 Julai ini

    Mini Karnival sempena ulang tahun ke-38 Proton Saga akan berlangsung di Ibu Pejabat Proton 9 Julai ini

    Sedar tak sedar, 9 Julai ini genap 38-tahun usia kereta nasional pertama Malaysia, Proton Saga selepas unit pertama model generasi pertamanya keluar dari kilangnya di Shah Alam pada 9 Julai 1985, dan dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed (ketika itu Perdana Menteri ke-4 dan juga pengasas Proton) pada 1 September 1985.

    Jadi untuk meraikan sambutan ulang tahun berkenaan, Proton akan mengadakan Mini Karnival Ulang Tahun ke-38 Saga bertempat di Ibu Pejabatnya iaitu Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) yang terletak berhampiran susur keluar persimpangan Hicom Lebuhraya Shah Alam (KESAS) pada hari Ahad ini – jatuh tepat pada 9 Julai.

    Bagi pemilik-pemilik Saga tidak kira dari mana-mana generasi atau varian, satu perhimpunan turut akan diadakan pada hari berkenaan. Sekiranya anda berminat untuk menyertai perhimpunan ini, anda boleh berhubung dengan Allan Cham untuk mendaftar menerusi aplikasi Whatapps pada PAUTAN INI, dan sertakan maklumat seperti nama, model kereta, tahun pengilangan, nombor pebdaftaran kenderaan dan nombor telefon.

    Proton R3 turut akan menyertai karnival ini dengan membawa kereta lumba Proton Saga yang digunakan dalam perlumbaan Sepang 1000KM (S1K), bukan hanya untuk dipamerkan, malah sesi ‘Taxi Ride’ turut akan dibuat di mana anda berpeluang duduk di tempat duduk penumpang dan dipandu oleh pelumba R3 iaitu James Veerapan.

    Tak cukup dengan itu, pemandu rali dan stuntman Faidzal Alang turut akan hadir ke Mini Karnival ini untuk membuat persembahan memandu Proton Saga hanya dengan dua tayar ala-persembahan Russ Swift ketika Proton mempromosikan Proton Saga Knight dahulu.

    Proton turut akan menyediakan ruang pameran untuk anda mempelajari sejarah dan evolusi Saga sejak ia dilancarkan sehingga model terkininya yang dijual di bilik pameran. Gerai jualan cenderamata asli jenama Proton juga akan dibuka ketika Mini Karnival ini berlangsung.

    Untuk anda yang membawa keluarga, Mini Karnival ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan “Kira untuk Menang” yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan juga persembahan “Proton Kids Got Talent”. Pelbagai gerai jualan makanan juga akan dibuka di karnival ini bagi memudahkan anda mengisi perut dan membasahkan tekak.

    Diingatkan Mini Karnival Ulangtahun ke-38 ini bukan hanya untuk pemilik Saga, sebaliknya ia dibuka untuk semua orang awam dan masuk adalah percuma. Acara ini akan bermula seawal 7 pagi dan akan berakhir pada pukul 7 petang. Tak tahu macam mana nak pergi ke CoE Proton? Klik PAUTAN INI bagi mendapatkan bantuan navigasi aplikasi Waze.

     
     
  • OP Lancar sempena Aidiladha 2023 catat 7,644 kes kemalangan jalan raya dengan 85 kematian – JSPT

    OP Lancar sempena Aidiladha 2023 catat 7,644 kes kemalangan jalan raya dengan 85 kematian  – JSPT

    OP Lancar yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sempena Hari Raya Aidiladha 2023 telah merekodkan 7,644 kes kemalangan di seluruh negara bagi tempoh 28 Jun hingga 2 Julai lalu.

    Menurut Pengarah JSPT Datuk Seri Mat Kasim Karim, ia turut mencatatkan seramai 85 individu meninggal dunia dalam 79 kemalangan jalan raya bagi tempoh yang sama, laporan Harian Metro.

    “Daripada 79 kemalangan maut direkodkan, motosikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 56 kemalangan dengan 57 individu maut membabitkan 55 penunggang serta dua pembonceng. Bagi kereta pula, sebanyak 14 kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh itu dengan 19 mangsa maut membabitkan 10 pemandu serta sembilan penumpang,” katanya.

    OP Lancar sempena Aidiladha 2023 catat 7,644 kes kemalangan jalan raya dengan 85 kematian  – JSPT

    Beliau turut berkata, tiga kemalangan maut dilaporkan membabitkan tiga pejalan kaki sepanjang tempoh berkenaan.

    “Selain itu, terdapat dua kemalangan maut direkodkan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dengan dua pemandu dilaporkan meninggal dunia. Dua kemalangan maut direkodkan membabitkan penunggang basikal, manakala masing-masing satu kes dicatatkan bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) serta van dengan dua penumpang dilaporkan meninggal dunia,” tambahnya.

    OP Lancar sempena Aidiladha kali ini berperanan memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah seperti jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran.

     
     
  • Program MyPSV 2023 dilancarkan – peruntukan RM2j, kuota 4,000 calon untuk lesen e-hailing, teksi dan bas

    Program MyPSV 2023 dilancarkan – peruntukan RM2j, kuota 4,000 calon untuk lesen e-hailing, teksi dan bas

    Program MyPSV peringkat kebangsaan untuk tahun 2023 telah pun dilancarkan semalam oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berlangsung di Batang Kali, Selangor. Ia merupakan inisiatif Kerajaan untuk memberi manfaat kepada 4,000 orang calon yang terdiri daripada golongan B40 di seluruh negara bagi mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle – PSV).

    Dengan peruntukan sebanyak RM2 juta merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM 190 untuk setiap calon PSV e-hailing/teksi manakala RM2,590 untuk setiap calon PSV bas. Di mana menerusi program MyPSV 2023 ini, kerajaan menyediakan kuota untuk 3,500 orang untuk PSV e-hailing/teksi dan 500 orang bagi PSV bas.

    “Saya harap initiatif-initiatif MoT dapat memudahcarakan para peserta gig ekonomi meningkatkan pendapatan serta memenuhi permintaan e-hailing, bas tempatan dan bas express yang tinggi di Lembah Klang,” kata Loke.

    Program MyPSV merupakan komitmen dan usaha cakna Kerajaan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig seterusnya menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam serta pelancongan di negara ini.

    Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan untuk memudahkan perniagaan e-hailing, had usia kereta untuk perkhidmatan terbabit telah dinaikkan dari 10 tahun hingga ke 15 tahun. Selain itu, ujian teori PSV dan GDL juga dimansuhkan di mana para calon hanya perlu hadir dan lengkapkan khusus teori sahaja.

     
     
  • JPJ eBid: QS_S sedang dibuka bidaan

    JPJ eBid: QS_S sedang dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Sarawak, QS_S, telah pun dibuka bidaan sejak 2 Julai lalu. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 6 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 7 Julai 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Alphard 2.4 Turbo dan Vellfire 2.5L 2023 – harga untuk pasaran M’sia terdedah, RM438k-RM538k?

    Toyota Alphard 2.4 Turbo dan Vellfire 2.5L 2023 – harga untuk pasaran M’sia terdedah, RM438k-RM538k?

    Pengedar kenderaan Toyota di Malaysia nampaknya sudah mula menyiarkan senarai harga untuk Toyota Alphard dan Vellfire 2023 yang baru sahaja didedahkan kepada dunia bulan lepas. Walaupun begitu, UMW Toyota Motor (UMWT) sendiri masih belum mengesahkan sama ada model ini akan dibawa ke Malaysia (dan bila akan dilancarkan).

    Merujuk kepada senarai harga ini, Alphard dilihat akan ditawarkan dalam varian Executive Lounge, dengan enjin 2.4L turbo. Ini adalah berbeza dengan pasaran Jepun di mana Alphard cuma ditawarkan dengan pilihan enjin hibrid atau NA – kedua-duanya menggunakan enjin empat silinder 2.5 liter.

    Sementara itu, Vellfire dalam senarai harga yang tersebar ini pula dinyatakan mempunyai enjin 2.5L NA, tetapi tidak diberitahu sama ada unit hibrid ataupun NA. Di Jepun, Vellfire menggunakan enjin 2.4L turbo (sama seperti Lexus LM 500h) dengan sistem hibrid.

    Melihat lebih lanjut kepada pilihan enjin ini, versi hibrid menggunakan unit empat silinder Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter NA berkuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) pada 6,000 rpm dan tork 236 Nm dari 4,300 hingga 4,500 rpm. Ia digabungkan bersama sistem hibrid yang terdiri daripada motor elektrik 5NM berkuasa 182 PS (180 hp)/270, menghasilkan kuasa keseluruhan 250 PS (247 hp atau 184 kW). Transmisi menggunakan kotak gear CVT elektronik (E-CVT), dengan pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

    Bagi versi NA pula, ia menggunakan enjin empat silinder 2.5 liter 2AR-FE berkuasa 182 PS (180 hp) pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm, dipadankan bersama transmisi Super CVT-i. Pergi pula kepada enjin turbo, ia menggunakan unit 2.4 liter turbo berkuasa 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork maksima 430, bersama padanan transmisi Direct Shift lapan kelajuan.

    Beralih kepada perkara yang lebih penting bagi pengguna, iaitu harga, Alphard dilihat diletakkan dengan tanda RM538,000 tidak termasuk insurans sementara Vellfire pula RM100,000 lebih murah, iaitu RM438,000. Walaubagaimanapun ini cumalah harga jangkaan kerana masih belum disahkan oleh UMWT.

    Untuk warna, Alphard ditawarkan dalam warna hitam secara standard, sementara warna Platinum White Pearl, Precious Metal dan Precious Leo-Blond memerlukan tambahan bayaran RM1,000. Kemasan dalaman pula ditawarkan dalam warna Beige atau Black.

    Toyota Alphard 2.4 Turbo dan Vellfire 2.5L 2023 – harga untuk pasaran M’sia terdedah, RM438k-RM538k?

    Pergi kepada Vellfire, warna yang ditawarkan ada tiga, iaitu hitam, Platinum White Pearl dan Precious Metal (dua yang terakhir memerlukan bayaran tambahan RM1,000) – kemasan dalam cuma disediakan dalam warna hitam. Jaminan lima tahun tanpa had batuan diberikan secara standard.

    Bagi Alphard dan Vellfire generasi baru ini, platform Toyota New Global Architecture (TNGA), atau lebih spesifik ia menggunakan platfrom TNGA dari versi GA-K. Menurut Toyota, kerangka baharu untuk Alphard dan Vellfire ini menampilkan asas lurus serta pendakap berbentuk-V pada bahagian bawahnya bagi memberikan kadar ketegaran 50% lebih kuat berbanding model sebelumnya.

    Walaupun menggunakan asas sama, keduanya dapat dibezakan melalui kemasan luar. Alphard tampil dengan imej lebih eksklusif dan mewah, dengan gril bersaiz besar bersama elemen bersalut krom, diapit dengan lampu hadapan LED yang lebih tirus serta jalur lampu nyalaan siang di bawahnya yang kelihatan seperti sebahagian dari gril.

    Vellfire pula diberikan gril dengan elemen bar krom tebal yang disusun tebal melintang, dan juga lampu hadapan yang nampak lebih tebal. Ia juga menampilkan bampar dengan kemasan liang udara palsu bersaiz besar pada kedua-dua sisi. Kluster lampu belakang untuk kedua-dua model ini nampak sama, dibezakan dengan grafik LED di dalamnya.

    Berkenaan saiz, kedua-dua kembar MPV ini dilihat hampir sama seperti model generasi sebelumnya – ia lebih panjang dengan ukuran 4,995 mm, tetapi lebar dan jarak roda kekal masing-masing 1,850 mm dan 3,000 mm. Manakala tinggi untuk Alphard dan Vellfire 2023 ini adalah berbeza dari 1,935 mm dan 1,945 mm bergantung pada model dan varian.

    Untuk bahagian dalam, Alphard dan Vellfire 2023 berkongsi rekaan terkini yang sama. Papan pemukanya kini menampilkan rekaan lebih ringkas di mana butang-butang fizikal untuk kawalan pelbagai fungsi kini sudah diletakkan pada skrin utama sebagai suis digital.

    Di Jepun, Alphard didatangkan dalam dua varian iaitu Z dan Executive Lounge, manakala Vellfire pula ditawarkan dalam varian Z Premier dan Executive Lounge. Kesemua varian menampilkan enam-tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2, di mana baris kedua diberikan tempat duduk kapten dengan fungsi ottoman kawalan kuasa.

    Bagi varian Executive Lounge, tempat duduk kapten tersebut turut diberikan meja yang boleh dilipat serta fungsi pemanas dan aliran udara. Ia juga diberikan panel kawalan yang boleh dicabut untuk mengawal pemain media, pendingin udara dan juga pelindung cahaya matahari.

     
     
  • Proton sahkan SS11 akan dilancarkan tak lama lagi – sedan S50 bakal gugat kedudukan Vios dan City?

    Proton sahkan SS11 akan dilancarkan tak lama lagi – sedan S50 bakal gugat kedudukan Vios dan City?

    Ketika majlis menandatangani kerjasama bersama Aapico sebentar tadi, CEO Proton Dr Li Chunrong ada menyatakan bahawa syarikatnya kini sedang membangunkan sebuah model sedan baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

    Dalam ucapan tersebut Dr Li merujuk sedan berkenaan dengan kod dalaman SS11. Sebelum ini Geely pernah menggunakan kod yang sama bagi merujuk sedan segmen-B baharunya untuk pasaran China, yang kemudiannya dikenali sebagai Geely Emgrand generasi keempat dan telah dilancarkan di sana pada 2021.

    Malah Proton juga telah beberapa kali dilihat menguji sebuah sedan yang mirip dengan Emgrand di atas jalan raya awam di Malaysia akhir-akhir ini. Malah dalam imej intipan terbaharu prototaip berkenaan, ia nampaknya sudah pun dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan serta mengenakan gril signatur infinite weave Proton.

    Proton sahkan SS11 akan dilancarkan tak lama lagi – sedan S50 bakal gugat kedudukan Vios dan City?

    Belum ada pengumuman rasmi dari Proton bahawa model ini akan digelar sebagai Proton S50. Namun SS11 ini kerap dirujuk sebagai S50 selepas Proton dilihat mendaftarkan nama tersebut di di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 2019.

    Di pasaran China dan Filipina, Emgrand dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder tanpa pengecas turbo, digandingkan dengan kotak gear CVT – perincian setara yang membolehkan ia bertanding dengan model seperti Vios dan City. Tetapi untuk pasaran Malaysia kelak, S50 dijangka bakal dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa digandingkan dengan kotak gear DCT tujuh kelajuan.

    Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

    Proton sahkan SS11 akan dilancarkan tak lama lagi – sedan S50 bakal gugat kedudukan Vios dan City?

    Geely SS11/Emgrand pasaran China

    Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

    Emgrand juga mempunyai kelebihan dari segi saiz berbanding model segmen-B lain. Ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

    Jadi ada kemungkinan S50 ini akan menjadi model yang menggantikan Preve – harga yang ditawarkan seperti model-model segmen-B Jepun, tetapi ia hadir dengan perincian seperti model segmen-C. Malah dalam imej-imej intipan sebelum ini juga S50 dilihat diberikan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter.

    Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, ini menunjukkan S50 mungkin bakal dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong. Sistem ini juga tidak ditawarkan pada Emgrand pasaran China dan Filipina.

    Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala sedan segmen-B Proton Persona yang masih ditawarkan di bilik pameran dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas.

     
     
  • Katsu Taguchi sertai Rifat Sungkar dan Chayapon Yotha dalam pasukan Mitsubishi Ralliart ke AXCR 2023

    Katsu Taguchi sertai Rifat Sungkar dan Chayapon Yotha dalam pasukan Mitsubishi Ralliart ke AXCR 2023

    Selain dari mendedahkan jentera baharu untuk menyertai Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini, pasukan Mitsubishi Ralliart turut mendedahkan barisan pemandunya yang dilihat sedikit berbeza dari tahun lalu.

    Juara AXCR 2022, Chayapon Yotha dari Thailand masih akan memandu untuk pasukan Mitsubishi Ralliart bagi edisi AXCR tahun ini, dibantu oleh juruarahnya juga dari Thailand iaitu Peerapong Sombutwong.

    Turut kekal adalah pemandu rali sensasi dari Indonesia iaitu Rifat Sungkar yang akan memandu sebuah lagi Triton T1 untuk memburu kejuaraan AXCR 2023. Rifat sekali lagi akan dibantu juruarah dari Thailand Chupong Chaiwan. Tahun lalu Rifat menamatkan AXCR 2022 dikedudukan kelima setelah berhadapan beberapa cabaran getir termasuk tayar Triton yang dipandunya pecah pada SS kedua, dan turut menyebabkan kerosakan pada casis.

    Katsu Taguchi sertai Rifat Sungkar dan Chayapon Yotha dalam pasukan Mitsubishi Ralliart ke AXCR 2023

    Manakala Sakchai Hantrakul dari Thailand yang memandu Triton T1 ketiga pasukan Mitsubishi Ralliart tahun lalu telah digugurkan, dan digantikan dengan pemandu Jepun, Katsuhiko Taguchi. Berumur 51 tahun, Katsu Taguchi merupakan pemandu berpengalaman dan telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk musim 1999 dan 2010, serta juara kategori Group N di Jepun pada 2007.

    Taguchi juga sangat berpengalaman dalam laluan SS di Asia Tenggara kerana selain memandu untuk pasukan rasmi Mitsubishi Ralliart, dia juga pernah memandu Proton Wira 4WD Evo III untuk pasukan Proton PERT dalam Kejohanan Rali Malaysia serta rali-rali antarabangsa lain pada era 90’an.

    Seperti sebelum ini, misi pasukan Mitsubishi Ralliart diketuai oleh pengarahnya iaitu bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka. Manakala tugas prinsipal pasukan dipikul oleh Chayut Yangpichit dari Tant Sport Thailand.

    Pembentukan pasukan juga masih sama di mana pasukan tersebut dimiliki oleh Tant Sport Thailand, dan bantuan teknikal diberikan oleh jurutera dari Mitsubishi Motors Japan. Namun jentera Triton T1 yang digunakan pada tahun lalu kini tidak lagi bertugas, tetapi digantikan dengan trak pikan Triton generasi baharu.

    Trak produksi berkenaan masih lagi belum didedahkan secara rasmi, dan hanya akan membuat kemunculan sulungnya pada 26 Julai ini. Jadi ini menunjukkan bahawa pembangunan trak produksi tersebut berjalan sekali dengan versi yang diubahsuai untuk perlumbaan ini.

    Model generasi baharu ini menggunakan platform baharu sepenuhnya yang tidak sama dengan model sedia ada. Platform berkenaan diasaskan dari casis ladder frame yang digunakan pada Nissan Navara (sekutu Mitsubishi di bawah Pakatan Renault Nissan Mitsubishi) tetapi telah menerima kejuruteraan semula dari jenama tiga berlian berkenaan menggunakan kepakarannya dalam menghasilkan kenderaan off-road.

    Katsu Taguchi sertai Rifat Sungkar dan Chayapon Yotha dalam pasukan Mitsubishi Ralliart ke AXCR 2023

    Untuk berlumba dalam AXCR, model generasi baharu ini masih dibangunkan dengan undang-undang spesifikasi FIA Group T1 seperti model sebelumnya. Jadi bermakna ia masih berkongsi sejumlah besar komponen dan peralatan yang sama seperti model produksi, dan dibekalkan dengan beberapa peralatan perlumbaan.

    Mitsubishi masih belum mengumumkan spesifikasi enjin untuk Triton generasi baharu ini, namun untuk perlumbaan enjin tersebut dibangunkan bersama HKS. Bagi versi sebelum ini, enjin 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel yang digunakan untuk perlumbaan tersebut tidak menghasilkan sebarang kuasa tambahan, tetapi ia menerima sentuhan blueprinting dari HKS yang memberikan respon yang lebih baik.

    Selain itu Triton 2023 Group T1 ini juga menerima unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang, set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan, set rim aluminium aloi dari Work bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.

    Katsu Taguchi sertai Rifat Sungkar dan Chayapon Yotha dalam pasukan Mitsubishi Ralliart ke AXCR 2023

    Pasukan Mitsubishi Ralliart sudahpun menjalankan ujian ketahanan terhadap trak pikap tersebur dari 19 hingga 23 Jun lalu. Ujian yang dibuat di laluan off-road berhampiran Taman Negara Khao Yai, Thailand tersebut menghidangkan suasana dan keadaan yang menyerupai laluan yang akan digunakan di perlumbaan sebenar AXCR nanti.

    Dalam ujian selama lima hari serta dengan jarak 800 km berkenaan, bukan hanya ketahanannya diuji, malah pasukan Mitsubishi Ralliart turut dapat melakukan talaan muktamad yang akan digunakan dalam perlumbaan sebenar kelak.

    AXCR 2023 akan bermula pada 13 Ogos sehingga 19 Ogos nanti. Berbanding tahun lalu yang menyajikan laluan sekitar 1,700 km, tahun ini semua peserta harus menghabiskan pengembaraan dalam jarak sejauh 2,000 km.

    Sebanyak enam peringkat laluan perlu ditempuhi oleh kesemua pelumba yang bermula di Pattaya, Thailand, dan akan merentas Pachinburi, Surin, Ubonratchani seterusnya menuju ke sempadan Laos. Dua peringkat lagi akan dilangsungkan di Laos dan perlumbaan akan berakhir di Pakse juga di Laos.

     
     
  • Proton kerjasama dengan pembekal automotif terbesar Thailand, Aapico — libat pelaburan RM140 juta

    Proton kerjasama dengan pembekal automotif terbesar Thailand, Aapico — libat pelaburan RM140 juta

    Proton hari ini menjalin kerjasama dengan Aapico Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi anak syarikatnya, Advanced Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global) untuk pengeluaran alatan dan bahagian kenderaan. Aapico merupakan syarikat pembekal komponen dan alatan automotif terbesar di Thailand.

    Kerjasama ini menyaksikan Aapico mengambil alih 60 peratus pegangan dalam AVEE Global daripada Proton, yang akan mengekalkan 40 peratus pegangan dalam syarikat yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn Bhd.

    Perkembangan ini akan menyaksikan Aapico akan melaburkan sebanyak RM40 juta untuk kemudahan 20 ekar AVEE Global dengan perancangan untuk pengembangan dalam memenuhi keperluan pengeluaran kenderaan Proton dan industri automotif secara keseluruhannya. Pelaburan RM100 juta lagi dirancangkan pada 2024, untuk perluasan kilang dan pembelian mesin pengeluaran lainnya.

    Operasi kemudahan pengilangan yang terlibat akan mempergiat jumlah pengeluaran dengan produk baru turut ada dalam perancangan. Aapico akan berperanan untuk mengurus operasi dan memperkenalkan aplikasi teknologi baru untuk menghasilkan komponen yang lebih berkualiti, memperkemas pengeluaran dan cekap kos. Pembangunan sumber manusia dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerkaan juga menjadi sebahagian daripada perancangannya.

    Proton kerjasama dengan pembekal automotif terbesar Thailand, Aapico — libat pelaburan RM140 juta

    Melalui kerjasama ini, Proton akan memperkukuh impiannya untuk menjadi pengeluar kenderaan utama dalam pasaran automotif ASEAN. Dengan skala ekonomi yang dimiliki Aapico dan pelaburannya, serta teknologi sedia ada Proton dalam aspek hot press forming, Proton berharap mampu mencatatkan pertumbuhan lebih pesat di dalam pasaran automotif serantau.

    Kerjasama strategik Aapico-Proton merupakan usahasama kedia Aapico dalam sektor automotif Malaysia. Awal tahun ini, Aapico menandatangi perjanjian persefahaman dengan Purem, satu daripada pembekal sistem ekzos terbesar di dunia. Sebelum ini juga, Aapico bertapak di Malaysia melalui perniagaan pengedaran kenderaannya, yang mana syarikat itu memiliki dan menguruskan enam rangkaian pengedaran kenderaan, termasuk empat pengedar Proton.

    Aapico ditubuhkan oleh seorang warga Malaysia, Yeap Swee Chuan, dan menjadi pemegang saham terbesar syarikat itu dan bertindak selaku Presiden dan CEO Aapico. Aapico juga menjadi pembekal komponen automotif kepada semua syarikat pengeluar (OEM) di Thailand, termasuk Toyota, Isuzu, Honda, Nissan, Ford, Mitsubishi dan lain-lain. Pada 2022, Aapico mencatatkan pendapatan RM3.7 bilion dengan keuntungan RM240 juta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025