Setelah sekian lama 990 SMT tidak mempunyai penyambung generasi, KTM akhirnya memperkenalkan sebuah model baru penggantinya, dipanggil sebagai 890 SMT 2023. Nama SMT tersebut bermaksud Supermoto Tourer dan model ini dianggap sebagai sebuah model gabungan antara motosikal adventure dan streetfighter,
Menggunakan asas daripada model naked 890 Duke R, 890 SMT juga menggunakan enjin sama, iaitu unit dua silinder selari 899 cc LC8c bersama transmisi enam kelajuan, tetapi kuasanya direndahkan sedikit menjadi 105 hp pada 8,000 rpm dan tork 100 Nm pada 6,500 rpm.
Suspensi lebih tinggi, dengan jarak gerak 180 mm (hadapan dan belakang) digunakan pada 890 SMT, dan ia terdiri daripada fork WP 43 mm dengan pelarasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock WP dengan pelarasan lantunan dan prabeban spring di belakang.
Tetapan suspensi ini, apabila digabungkan bersama rim 17 inci hadapan dan belakang menghasilkan tinggi tempat duduk 860 mm, sementara jarak dari tanah pula adalah 227 mm. Berat keseluruhan model ini adalah 194 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 15.8 liter.
Tiga mod tunggangan disediakan secara standard pada 890 SMT, iaitu Rain, Street dan Sport, manakala mod Track disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem elektronik lain yang dapat membantu penunggang adalah termasuk Cornering ABS dengan mod Supermoto serta sistem kawalan cengkaman Motorcycle Traction Control (MTC). Quickshifter dan cruise control disediakan sebagai pilihan tambahan.
Sempena jenama Chery yang akan kembali ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini, khalayak akan dapat mendekati model SUV Omoda 5 dan dan Tiggo 8 Pro ketika ia dipertontonkan bulan depan, sebelum dilancarkan secara rasmi pada Jun/Julai nanti.
Tiggo 8 Pro akan hadir dalam versi Max yang baru saja dijual di China, sementara Omoda 5 versi elektrik yang baru saja dipertontonkan di Shanghai akan tiba di Malaysia hujung tahun nanti. Jadi, model dengan enjin biasa yang akan tiba dahulu di sini, dan model EV akan memanfaatkan pengecualian cukai dan di bawa masuk dalam bentuk CBU.
Tidak ketinggalan, model plug-in hybrid juga ada dalam perancangan, dengan dua varian telah disahkan untuk pasaran Malaysia. Yang dimaksudkan ialah model Tiggo 7 Pro PHEV lima-tempat duduk dan Tiggo 8 Pro PHEV. Nama untuk pasaran tempatan belum diketahui, tetapi ia dijangka sampai di sini awal tahun depan.
Dengan unit enjin yang sama dengan Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro — masing-masing dengan unit 1.5T dan 2.0T — versi PHEV ini akan dipasang di sini di kilang Inokom, Kulim. Kilang tersebut akan menjadi yang pertama di dunia memasang model CKD terkini Tiggo Pro Max dalam pemanduan sebelah kanan.
Sistem janaan e+ PHEV Kunpeng oleh Chery menggabungkan enjin 1.5 liter turbo (154 hp/230 Nm) dengan transmisi hibrid (DHT), bateri 19.27 kWh dan dua motor untuk menghasilkan 241 hp/510 Nm. Bagi Tigo 8 PHEV, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.0 saat dengan jarak elektrik 100 km, dan jarak keseluruhan mampu dicapai ialah 950 km.
Chery memaklumkan unit PHEV ini ada sembilan mod operasi — elektrik motor tunggal, elektrik dua motor, mode series dan extended, pacuan langsung enjin dan pacuan selari. Empat mod lagi berkaitan dengan janaan semula tenaga — mod parkir dan caj, memandu dan caj, janaan semula tenaga brek motor tunggal dan janaan semula kuasa brek dua motor. PHEV ini bagaimanapun akan beroperasi sama sahaja dengan kenderaan PHEV yang lain, cuma nama yang diberikan sahaja berbeza.
Bila model ini sampai di Malaysia nanti, ia akan mengisi penawaran yang agak unik dalam pasaran kerana SUV PHEV jarang ada — segmen SUV di sini umumnya datang dengan enjin biasa. Rekaannya bagaimanapun nampak menarik, dan senarak kelengkapan dan teknologi tentunya banyak. Maka, harga dan jaminan akan memainkan peranan yang penting juga.
Minggu lalu, kami telah memaparkan SUV Omoda 5 EV yang turut mengambil bahagian dalam Auto Shanghai 2023. Kami turut memaklumkan bahawa Omoda 5 ini bakal tiba di pasaran Malaysia pada akhir tahun ini. Namun tika itu, tidak banyak info yang dapat kami kongsikan bersama anda.
Kini, kami mempunyai beberapa info mengenai Omoda 5 EV selepas menghadiri program Omoda & Jaecoo (O&J) yang dianjurkan oleh Chery di ibu pejabatnya yang terletak di Wuhu, China. O&J merupakan sub-jenama bagi Chery Group, yang diwujudkan setelah Chery mendapat tempat di pasaran arus perdana. Omoda disasarkan untuk golongan muda, manakala sub-jenama baharu Jeacoo pula lebih kepada mereka yang gemarkan gaya hidup yang lebih sofistikated. Untuk pasaran Malaysia, kita akan menerima Omoda 5 dengan logo Chery, namun di beberapa pasaran lain, ia diberikan lencana Omoda sendiri.
Omoda 5 EV ini diberikan bateri berkapasiti 61 kWh yang menjanakan 221 hp (165 kW) untuk motornya. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia mampu dilakukan dalam 7.8 saat, dan Chery mendakwa penjimatan kuasanya ialah 15 kWh bagi setiap 100 km. Untuk pengecasan pantas DC, Chery berkata ia mengambil masa sekitar 35 minit untuk mencapai status pengecasan (SOC) dari 0-80%. Manakala jarak pacuan elektrik yang boleh dicapai adalah sekitar 450 km bagi setiap pengecasan penuh, tetapi tidak dipastikan adakah ia mengikut kitaran NEDC atau WLTP.
Angka ini sepadan dengan kaji seluduk yang Chery Malaysia edarkan pada Julai 2022, di mana ia menyebut, output bagi EV ini ialag 150 kW (204 PS) dan tork 400 Nm, bateri 64 kWh dan jarak pacuan 450 km mengikut WLTP. Turut disebut ialah pengecas pantas DC dengan SOV 0-80% sekitar 40 minit dan pengecas AC pula lebih kurang lima jam.
Omoda 5 EV ini mengadaptasikan SUV segmen-B janaan-enjin pembakaran dalaman (ICE), dan baterinya ditempatkan di bawah lantai. Berbanding Omoda 5 versi ICE, EV ini memiliki wajah yang sangat berbeza. Tidak diberikan gril gril depan yang besar dan tanpa bingkai, EV ini tampil dengan imej lebih bersih, dengan muncung tertutup yang lebih konvensional. Ia juga diberikan roda aero dua-tona.
Di dalamnya, model yang dipamerkan di Shanghai ini memiliki skim warna yang sangat menarik dengan biru sebagai rona utama, bersama jahitan kuning sebagai kontras dan kemasan kayu pucat. Steringnya juga diberikan logo Omoda, dan papan pemukanya lebih moden yang bersambung dengan skrin dan slot telefon bimbit bersudut masih dikekalkan. Tuil gear pada versi ICE telah disingkirkan.
Menurut Chery Malaysia, Omoda 5 EV ini bakal tiba di negara ini, dengan pengenalannya dirancang bakal dilaksanakan pada hujung 2023. SUV elektrik ini akan memasuki pasaran kita sebagai model CBU dari China, mengambil manfaat dari pemberian insentif bebas-cukai oleh kerajaan Malaysia bagi EV yang dimport. Ia berlawanan dengan Omoda versi ICE yang akan dipasang di sini (CKD), yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Untuk persaingannya, kami menjangkakan ia bakal ‘berlawan’ dengan Ora Good Cat dan BYD Atto 3. Bagi Ora Good Cat, ia ditawarkan pada harga dari RM139,800 untuk 47.8 kWh Pro (jarak pacuan 400 km NEDC) hingga RM169,800 untuk 63.1 kWh Ultra (500 km, NEDC). Sementara itu, BYD Atto 3 pula dijual pada harga dari RM149,800 untuk 49.92 kWh Standard Range (410 km, NEDC) hingga RM167,800 untuk 60.48 kWh Extended Range (480 km, NEDC).
Apa pendapat anda mengenai imej yang diperagakan oleh Omoda 5 EV ini, dan jika dibandingkan dengan versi ICE yang memiliki muncung lebih menyerlah? Selain spesifikasi tekninal, Omoda 5 EV juga memiliki gaya yang lebih ranggi, lebih kurang seperti Atto 3, berbanding Ora yang lebih comel dan lebih sesuai untuk pemandu wanita.
Berikutan isu tular mengenai penjualan nombor pendaftaran dan penggunaan logo JPJeBID melalui platform Tiktok, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menegaskan bahawa akaun media sosial berkenaan adalah palsu.
“JPJ mengambil berat mengenai isu tular ini dan untuk makluman, jabatan tidak mempunyai akaun Tiktok @jpjebidofficial serta mengeluarkan apa-apa risalah berhubung penjualan nombor pendaftaran seperti di akaun tersebut.
“Penggunaan logo rasmi Jabatan tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan dan jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan logo rasmi jabatan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan diminta untuk menghubungi JPJ berdekatan bagi memperoleh maklumat yang lebih tepat. “JPJ sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya demi kesejahteraan orang awam khususnya pengguna jalan raya,” sambungnya lagi.
Selamat Hari Raya Aidilfitri semua pembaca paultan.org! Bersempena dengan hari yang mulia ini, kami bersama dengan Honda Malaysia telah menyediakan satu drama pendek menggambarkan antara senario yang kerap berlaku apabila berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara.
Dalam pada semua seronok menyambut lebaran, mereka yang masih belum berumah tangga biasanya tidak dapat lari daripada soalan berkenaan pasangan. “Bila nak kahwin?” “Mana teman wanita?” “Seorang lagi tahun ni?”
Itulah yang terjadi pada Jo sewaktu saudara dan rakan-rakan datang untuk beraya di rumah beliau. Semua mereka teringin untuk berjumpa pasangan Jo tetapi teman wanita beliau, Janice masih belum mempunyai keberanian untuk datang menyambut Hari Raya bersama.
Walaubagaimanapun, ada kejutan yang berlaku. Untuk mengetahuinya, saksikan sendiri video yang telah kami sediakan ini.
Dalam masa sama, kami juga ingin mengingatkan anda supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya. Pastikan semuanya tersedia untuk perjalanan yang lancar dan juga menggembirakan. Pasangkan lagu raya dan nikmati perjalanan anda. Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami dan Honda Malaysia!
Honda Civic Type R kini secara rasmi dinobatkan semula sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) produksi terpantas di litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife! Takhta berkenaan diserahkan semula ke Civic Type R selepas model generasi terbaharu FL5 mencatatkan masa 7 minit 44.881 pada litar sepanjang 20.832 km berkenaan 24 Mac lalu.
Bagi mencatatkan rekod terbaharu ini, Honda menggunakan versi produksi sebenar FL5. Tiada sebarang ubahsuai dibuat kecuali tayar standard Michelin Pilot Sport 4 S digantikan dengan tayar opsyen (ditawarkan pada pasaran seperti Amerika Syarikat) Michelin Pilot Sport Cup 2 Connect yang dihasilkan lebih fokus untuk kegunaan dalam litar.
Civic Type R FL5 ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam bentuk badan hatchback. Ia menerima kejuruteraan semula pada casis dengan diberikan suspensi lebih baik, badan lebih lebar bersama kit aero lebih agresif dan pelbagai lagi.
Model generasi baharu ini masih menerima enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahalu, namun ditala semula bagi menghasilkan kuasa 330 PS (326 hp) pada 6,500 rpm dan 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm – 10 PS (10 hp) dan 20 Nm lebih berkuasa dari FK8.
Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima injap aktif pada sistem ekzos yang memberikan operasi lebih baik pada Active Sound Control.
Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.
Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.
Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j.
“Kepada peminat Civic Type R kami di seluruh dunia: Di bawah konsep ‘Ultimate SPORT 2.0,’ kami membangunkan Civic Type R serba baharu dengan semangat ‘melampaui pencapaian masa lalu’ dan berusaha untuk menghasilkan kereta sport FWD yang sebenar dengan memperhalusi ‘nilai penting’ dan ‘daya tarikan emosi’ unik hanya untuk Type R kami” kata Ketua Pembangunan Civic Type R, Hideki Kakinuma.
“Sejak jualannya bermula di Jepun pada September 2022, kami telah menerima banyak maklum balas pelanggan dari seluruh dunia yang penuh dengan kekaguman dan kegembiraan, jauh melebihi jangkaan kami. Bagaimanapun, kami masih mempunyai satu lagi misi yang perlu dipenuhi, iaitu untuk merampas semula gelaran sebagai kereta FWD terpantas di dunia dengan catatan masa pusingan Nürburgring.
“Enam tahun selepas rekod pusingan dibuat oleh Civic Type R (FK8) generasi sebelumnya, kami mencapai dimensi baharu ini hasil daripada semua keghairahan yang kami curahkan dan semua kemajuan yang kami lakukan untuk model Type R ini. Akhirnya, hasrat kami untuk berkongsi tajuk ini dengan semua peminat Type R di seluruh dunia menjadi kenyataan.
“Kami amat berharap semua pemilik semasa dan bakal pemilik Type R akan menikmati dan menyukai kenderaan mereka dengan kebanggaan yang kami kongsikan dengan anda,” tambah Kakinuma-san.
Rekod yang dibuat oleh Civic Type R FL5 ini mungkin adalah rekod mutlak untuk model petrol penuh FWD produksi terpantas di litar berkenaan. Ini kerana Renault tidak lagi akan menghasilkan Megane R.S selepas produksinya tamat pada penghujung tahun ini dan ia akan digantikan dengan model berkuasa elektrik sepenuhnya (EV).
Seperti yang diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini, Honda Civic Type R FL5 turut akan dilancarkan di sini tahun ini. Melihat trend harga jualannya yang sememangnya lebih mahal dari model FK8 untuk setiap negara yang sudah dipasarkan, FL5 juga dijangka akan dijual lebih mahal di sini.
Namun ia mungkin tidak semahal di Indonesia (Rp 1,399,000,000 atau sekitar RM412k) dan Thailand (3,990,000 baht atau sekitar RM520k). Kita boleh ambil Toyota GR Corolla sebagai perbandingan – hot-hatch Toyota ini dilancarkan di Thailand pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500k), namun apabila ia tiba di Malaysia, UMW Toyota menjualnya pada harga RM355k. Jadi mungkin Honda Civic Type R ini akan dijual di Malaysia pada harga sekitar RM350k-RM360k?
Di Auto Shanghai 2023, Great Wall Motor (GWM) mempamerkan beberapa model kenderaan tenaga baru (NEV); di bawah jenama Haval, ada dua model yang terlibat — dengan kod nama A07 dan B07.
Pertama kali ditampilkan ialah B07 atau Xialong Max menggunakan platform LEMON GWM dengan ukuran dimensi 4,758 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,725 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,800 mm. B07 adalah sebuah SUV yang saiznya lebih besar daripada Honda CR-V terkini, yang mempunyai ukuran 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, 1,681 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,700 mm.
B07 yang mirip model H6 tetapi dalam saiz lebih besar hadir dengan rekaan gril tanpa bingkai dan corak mesh di bawah lencana Haval. Lampu utama pula bersegi, dengan DRL yang jelas kelihatan. Di belakang, lampunya menyeluruh. Bukaan udara hiasan dengan kemasan krom juga ada menghiasi kawasan apron bawah di bampar belakang.
Di dalam, B07 sarat teknologi. Ini termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh infotainmen 12.3-inci dan paparan depan penumpang. Sebuah head up display 10-inci juga ada tersedia untuk pemandu. Haval turut menyatakan terdapat 32 ruang simpanan dalam kabin, termasuk satu di bawah konsol tengah. Ada juga dua platform untuk mengecas telefon, satu daripadanya dengan ciri tanpa wayar sehingga 50 watt. Terdapat sistem bantuan pemandu maju untuk B07, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, peninjau perhatian pemandu dan banyak lagi.
Sistem janaan pula baru dan dikenali sebagai Hi4 (Hybrid intelligent 4WD). Sistem plug-in hybrid yang ada menawarkan kecekapan tenaga sebanyak 41.5% dan memberikan 462 PS (456 hp atau 340 kW). Dua tetapan ditawarkan untuk model ini: yang pertama dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol kitaran Atkinson yang menjana 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 135 Nm tork.
Kedua, enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan kitaran Miller dengan janaan puncak 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 240 Nm. Kedua-duanya digandingkan dengan dua elektrik motor, dengan yang didepan membekalkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) yang diletakkan di antara enjin dan Direct Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan.
Motor kedua pula diletak di belakang dengan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 350 Nm untuk melengkapi sistem pacuan semua roda. Ini disertakan juga dengan Torque Vectoring Control (iVTC) pula mengawal agihan tork antara dua gandar berkenaan dengan sembilan mod pemanduan.
Kuasa untuk motor elektrik dibekalkan oleh bateri dalam dua pilihan kapasiti — 19.94 kWh dan 27.5 kWh — dengan jarak elektrik 100 km. Dalam tetapan tertinggi, output sistem keseluruhan B07 ialah 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan 585 Nm.
Bagi A07 atau turut dikenali dengan nama Xiaolong, ia sebuah SUV yang lebih kecil dengan ukuran 4,600 mm panjang, 1,877 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak antara roda 2,710 mm — menjadikannya pengganti H6 yang paling hampir.
Rekaannya luarannya lebih menonjol dengan imej EV — ia sebetulnya sebuah model plug-in hybrid seperti yang dinyatakan pada lencana DHT-PHEV yang tertera di belakang. Sistem ini menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 101 PS (99 hp atau 74 kW), sebuah motor elektrik dan pek bateri sama ada dengan unit 9.41 kWh (jarak 45 km, WLTP) atau 19.27 kWh (96 km).
Di dalam, A07 menampilkan kurang skrin paparan berbanding B07, dengan hanya ada dua di papan pemukanya. Konsol tengah tetap dengan rekaan dua lapisan dan dilengkapi ciri pemanduan autonomous Tahap 2.
Ini ada sedikit berita dari Chery bersempena dengan Auto Shanghai 2023. Setakat ini kita sudah tahu Omoda 5 akan dilancarkan pada bulan Jun, tapi nampaknya SUV itu juga akan disertai oleh Chery Tiggo 8 Pro semasa majlis pengenalannya. Kedua-dua model ini akan dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah yang akan menjadi kilang pertama di dalam dunia yang memasang model ini secara CKD, dalam versi pemandu sebelah kanan.
Tiggo 8 Pro sebenarnya sudah dipertontonkan di Malaysia Oktober tahun lalu, tetapi kereta CKD sebenar yang akan dijual nanti adalah versi yang dipertingkat, dan wakil kami yang berada Wuhu, China telah terserempak dengannya. SUV tiga baris tempat duduk ini menampilkan gril “galaksi” baru dengan bahagian dalam yang lebih menyerlah serta lambang Chery yang menyala. Bahagian belakang mempunyai jalur lampu LED penuh serta lampu brek berbentuk T, manakala rim pula bersaiz 19 inci.
Walaupun bahagian luar sudah cukup menarik, Tiggo 8 Pro Max sebenarnya lebih menyerlah dengan bahagian dalamnya. Ia mendapat rekaan yang lebih kemas dan moden, dengan perincian yang hampir seperti yang digunakan oleh Mercedes-Benz, skrin bersambung, konsol tengah tinggi serta corong pendingin hawa seakan tersembunyi.
Roda stereng juga adalah baru, dengan terdapat tulisan Chery dan bukan setakat logo. Berkenaan logo, terdapat lencana Tiggo di beberapa bahagian termasuk tepi skrin tengah serta corong pendingin hawa belakang. Jumlah beg udara serta pembesar suara juga telah ditingkatkan.
Di China, Tiggo 8 Pro Max dijual dengan pilihan enjin 1.6T dan 2.0T, tetapi negara kita cuma akan menerima enjin 2.0T. Nama juga akan jadi berbeza di mana model ini nanti akan dipanggil cuma sebagai Tiggo 8 Pro untuk pasaran Malaysia, dan tidak mempunyai tambahan Max di belakangnya, seperti model China. Kita boleh jangkakan harganya berada sekitar harga Honda CR-V ataupun Mazda CX-8.
Wakil daripada Chery Malaysia juga ada memberitahu kami bahawa Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro versi PHEV sah akan tiba di Malaysia dan kita boleh menjangkakan pelancarannya awal tahun hadapan. Apa pandangan anda dengan Tiggo 8 Pro ini? Adakah ia lebih menarik berbanding Proton X90 atau Mazda CX-8?
Pengeluar kereta elektrik China, Neta, telah merancang untuk memasuki Malaysia bulan hadapan, dengan memperkenalkan crossover Neta V sebagai model pertamanya bagi pasaran sini, seperti yang dinyatakan sebelum ini melalui laman web Neta Malaysia. Perkara ini didedahkan oleh Intro Synergy, yang dilantik sebagai pengedar di negara ini.
Merupakan anak syarikat GoAuto Group, Intro Synergy berkata, ia telah menandatangani perjanjian lima tahun dengan Hozon New Energy Auto, dan bersama rakan kongsinya akan melabur sekitar RM300 juta untuk membangunkan rangkaian jualan dan selepas jualannya serta kilang pembuatan untuk pemasangan tempatan.
“Kami teruja untuk mengumumkan kerjasama kami dengan Neta, yang akan membolehkan kami membawa kenderaan elektrik inovatif kami pada harga yang berpatutan dan kompetitif kepada lebih ramai pelanggan di Malaysia. Kami berharap jenama ini akan diterima baik oleh orang ramai dan seterusnya meningkatkan penerimaan EV di negara ini,” kata pengerusi kumpulan GoAuto Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal.
Neta V dipertontonkan di Thailand awal bulan lepas. Crossover semua-elektrik ini diperkenalkan pada tahun 2020 dan menggunakan platform HPC yang sama digunakan untuk Neta U-II. Di Thailand, Neta V menampilkan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik di depan dengan janaan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 150 Nm tork.
Dengan jarak perjalanan 384 km mengikut standard NEDC (kadar WLTP biasanya 20% lebih rendah), model ini lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, dengan laju maksimum 101 km/j dan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat.
Untuk pengecasan, Neta V menerima input AC maksimum (Type 2) 6.6 kW, dengan satu cas penuh mengambil masa lapan jam. Turut ada pengecasan DC dengan maksimum 100 kW yang membekalkan bateri dari 30-80% dalam masa 30 minit. Sementara itu, output sistem vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW untuk kegunaan peranti luaran.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengenal pasti 23 lokasi hotspot yang kerap berlaku kemalangan jalan raya untuk dipantau menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 18 April lalu.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Kamarunzaman Ahmad berkata, antara lokasi tersebut ialah Lebuhraya Persekutuan, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dan Kilometer (KM) 9 hingga KM 16 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), laporan Utusan Malaysia.
“Kita dapat maklumat mengenai kawasan kerap kemalangan ini berdasarkan data daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain pemantauan, kita juga mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka melakukan kesalahan di bawah bidang undang-undang JPJ,” katanya.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan dilaksanakan hingga 27 April 2023 melibatkan 325 anggota anggota penguatkuasa JPJ negeri. Untuk Ops kali ini juga pihaknya akan memberi tumpuan kepada penunggang motosikal, antaranya yang berkaitan dengan lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan teknikal.
“Saya mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil gambar dan merakam video sekiranya mereka nampak ada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. Mereka boleh menghantar gambar dan video tersebut di talian hotline 03-55669442 atau emel [email protected],” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamarunzaman memaklumkan kenderaan membawa barangan seperti lori dan traktor tidak dibenarkan menggunakan jalan persekutuan dan negeri di dalam Selangor pada empat hari yang ditetapkan iaitu 20 hingga 21 April dan 24 hingga 25 April.
Bagi memberikan penjelasan yang lebih tepat mengenai penawaran kadar khas saman trafik RM50 seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri ANwar Ibrahim baru-baru ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik berkata, semua saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya layak menikmati kadar berkenaan kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana di luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, tawaran yang diumumkan oleh PM itu adalah berbeza dengan tawaran diskaun saman PDRM sehingga 60% sempena Peringatan Hari Polis ke-216 baru-baru ini.
Katanya, diskaun sempena Hari Polis sebelum ini mempunyai beberapa jenis saman yang tidak layak untuk diberikan diskaun pengurangan antaranya kes kemalangan, kesalahan tidak boleh kompaun, tidak patuhi isyarat lampu merah dan saman berstatus waran, laporan Harian Metro.
“Tetapi bagi Kadar Khas Bayaran Saman yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin, ia berbeza dan lebih berbaloi daripada diskaun 60%itu kerana orang awam hanya perlu bayar RM50 untuk satu saman.
“Orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara bermula 21 April hingga 21 Mei 2023,” katanya.
Tambah beliau lagi, PDRM juga tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuhraya utama mulai hari ini hingga 7 Mei 2023 sempena perayaan Aidilfitri. Tiga lebuhraya berkenaan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, LLM berkata, bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, pihaknya telag mengarahkan syarikat konsesi lebuhraya mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik tersebut. Ini termasuklah menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula semalam hingga 7 Mei ini.
Syarikat konsesi juga disarankan mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi pengguna lebuh raya utama berkenaan untuk membantu mereka merancang perjalanan, serta memaparkan maklumat trafik dan peringatan menambah nilai Touch n’ Go atau e-Wallet sebelum memulakan perjalanan di papan tanda elektronik (VMS).
Malahan syarikat konsesi juga diminta untuk membuka lorong tol tambahan di lokasi yang dikenalpasti mempunyai trafik tinggi, selain menempatkan petugas di plaza tol bagi membantu pengguna dalam memastikan kelancaran trafik semasa inisiatif tol percuma berkuat kuasa pada 19-21 April dan 24 April 2023.
“Bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma yang bermula hari ini hingga 21 April serta 24 April, kad Touch n’ Go atau SmartTAG perlu disentuh di plaza tol manakala pengguna Radio Frequency Identification (RFID) perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID,” kata LLM.
LLM juga memaklumkan akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) secukupnya bagi menangani sebarang insiden, selain menyediakan kemudahan tambahan di tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat sepanjang PLUS serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Bagi minggu bertarikh 20 hingga 26 April 2023, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-17 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.
Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan
Di Auto Shanghai 2023 ketika ini, antara model yang mendapat perhatian ialah Chery Omoda 5 EV. Ia versi elektrik bagi SUV Omoda 5, dan kini kelihatan seperti menghampiri peringkat akhir pengeluarannya. Lebih menarik, Omoda 5 EV ini juga akan masuk ke pasaran Malaysia, dengan pengenalannya dijangka berlangsung pada penghujung 2023.
Hal ini dikongsikan oleh pegawai Chery Malaysia yang ditemui di sana, yang menambah bahawa SUV EV berkenaan akan dibawa masuk sebagai unit CBU dari China. Ini berbeza daripada Omoda 5 enjin petrol yang dipasang di sini, dan akan dilancarkan tak lama lagi sebagai unit CKD.
Perincian rasmi tentang Omoda 5 EV masih samar-samar, tetapi pada Julai 2022, Chery Malaysia pernah mengeluarkan borang kaji selidik berkaitan Omoda 5 EV, menyatakan perincian seperti output 150 kW (204 PS) dan 400 Nm, dengan bateri 64 kWh dan jarak perjalanan WLTP sejauh 450 km. Turut disebut ialah pengecasan pantas DC dari 0-80% SOC dalam masa 40 minit dan pengecasan AC dalam masa lima jam.
Berbanding Omoda 5 versi biasa, model EV mempunyai wajah depan yang berbeza: tiada corak gril yang menonjol, yang digantikan dengan penampilan lebih ringkas yang tertutup. Omoda, sub-jenama Chery di China, nampak dieja dengan jelas di situ. Rim aero juga mengenakan penyudah dua-tona.
Di dalam, unit yang dipamerkan ini menunjukkan skim warna yang menarik dengan biru menjadi warna utamanya, dan kontras dengan jahitan kuning serta kemasan kayu yang nampak segar. Di setereng masih menampakkan nama Chery, serta papan pemuka moden disediakan dengan skrin besar dan slot telefon. Tiada tuil gear yang sama seperti model bukan EV-nya yang kelihatan.
Berapa agaknya harga Omoda 5 EV ini bila sampai di Malaysia nanti?
Honda telah membawa tiga model elektrik baru ke Auto Shanghai 2023, dengan dua daripadanya adalah prototaip, iaitu e:NP2 Prototype dan e:NS2 Prototype, sementara satu lagi merupakan model konsep, dipanggil sebagai e:N SUV.
Tema nama e:N untuk kenderaan elektrik penuh seperti yang mula diperkenalkan pada tahun 2021 melalui e:NS1 dan e:NP1 masih digunakan pada model baru ini dan kita boleh menjangkakan kesinambungan rekaan melaluinya, dengan masing-masing diubah sedikit supaya dapat dibezakan.
Menurut Honda, e:NP2 dan e:NS2 yang menggunakan rekaan ala fastback ini mendapat cermin belakang yang besar, digabungkan bersama utiliti cemerlang SUV serta bentuk kemas sedan, selain dapat menawarkan “kepuasan memandu unik yang membenarkan pemandu menikmati rasa kesatuan bersama kenderaan.”
Honda e:NP2 Prototype
Kedua-duanya juga akan mendapat ruang dalaman yang “menyampaikan rasa pintar dengan bentuk bulat yang kemas, tidak berselerak dan bersih, digabungkan bersama kelengkapan canggih seperti Honda Connect 4.0.”
Perincian kuasa, dimensi atau spesifikasi model-model ini masih belum didedahkan, tetapi Honda memberitahu, ia dirancang memasuki pasaran China awal tahun 2024. Menurut jangkaan kami, ia juga akan dibuat oleh Dongfeng Honda dan GAC Honda seperti e:NP1 dan NS1.
Honda e:NS2 Prototype
Bagi model konsep e:N SUV pula, kajian rekaan yang dibuat adalah berbeza berbanding model yang pernah ditunjukkan dengan nama sama pada tahun 2021 lalu. Sebagai contoh, muka hadapan N SUV sebelum ini telah diganti dengan rekaan yang lebih organik dan tradisional.
Model ini dijangka tiba di pasaran sebelum penghujung tahun 2024, dan akan menjadi model pertama yang menggunakan platform e:N Architecture W khas untuk model siri e:N RWD dan AWD yang lebih premium. Ia juga akan dipasang dengan sistem keselamatan serta bantuan pemandu terkini Honda dan juga teknologi Honda Connect kawalan AI.