Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Teaser Toyota Vios 2023 disiar oleh Sean Lee; bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia Jumaat ini

    Teaser Toyota Vios 2023 disiar oleh Sean Lee; bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia Jumaat ini

    Baru semalam Toyota mendedahkan teaser tanpa sebarang foto bagi Toyota Vios generasi baharu, dan pelancarannya bakal di buat pada Jumaat ini. Dan terkini, pelakon lelaki tempatan, Sean Lee baru sahaja menyiarkan beberapa foto teaser di laman Instagramnya menunjukkan dia sedang menjalani sesi penggambaran iklan bagi sedan segmen-B berkenaan.

    Vios generasi keempat ini mula didedahkan untuk peringkat global di Thailand pada Ogos tahun lalu. Di negara berkenaan, Vios dikenali sebagai Yaris Ativ dan menggunakan enjin 1.2L bagi membolehkan ia dikelaskan sebagai kereta Eco Thai. Dan spesifikasi yang paling hampir dengan pasaran Malaysia sudah hampir pasti adalah Vios pasaran Indonesia. Model berkenaan dilancarkan di negara tersebut pada Oktober 2022, dan ia menerima enjin 1.5 liter.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Toyota Vios generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) iaitu platform yang berkait rapat dengan Perodua Ativa, Alza 2022 dan Axia 2023, bagi menggantikan platform model generasi ketiga yang telah digunakan sejak 2013.

    Ia menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,410 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dan jarak roda sejauh 2,620 mm. Jadi berbanding model sebelumnya, Vios generasi baharu menampilkan panjang keseluruhan yang hampir sama, tetapi 10 mm lebih lebar dan 5 mm lebih rendah. Manakala jarak rodanya pula adalah 70 mm lebih panjang yang tentunya memberi gambaran bahawa bahagian kabinnya dapat dihasilkan lebih luas.

    Apa yang menarik, Vios generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 2NR-FE Dual VVT-i sebaliknya digantikan dengan enjin 2NR-VE, iaitu enjin yang sama boleh ditemui pada perut Perodua Alza 2022 dan juga Perodua Myvi facelift 2022.

    Enjin 1.5L Dual VVT-i tersebut menghasilkan kuasa 105 hp (106 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Angka-angka ini adalah seiras dengan kuasa yang ditala pada Alza, serta 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi, juga 1 PS/2 Nm kurang berkuasa dari model generasi sebelumnya

    Dalam kabin lebih perincian dilihat turut dikongsi bersama model-model Perodua seperti panel paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 7.0-inci dan juga roda stereng yang sama seperti pada Ativa, Alza dan Axia 2023.

    Di Indonesia, Vios masih ditawarkan dalam versi kotak gear manual lima kelajuan, manakala model dengan transmisi automatik diberikan kotak gear CVT. Ia dijual pada harga bermula Rp 314,900,000 (RM96k) hingga Rp 368,400,000 (RM112k).

    Buat masa sekarang Toyota Vios generasi sedia ada di Malaysia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM 74,623.00 untuk model paling asas 1.5J hingga RM 95,284.00 untuk varian paling tinggi dan sporty Vios GR-Sport.

    Menerusi model-model dari Perodua, platform DNGA ini sudah terbukti menawarkan produk bukan sahaja memberikan pemanduan, pengendalian dan sistem keselamatan lebih baik, tetapi ia turut sekali dengan harga yang lebih premium. Adakah anda rasa harga Vios generasi baharu ini akan turut meningkat?

    GALERI: Toyota Vios generasi keempat pasaran Indonesia

     
     
  • Kerja baikpulih struktur jejambat stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya ambil masa 7 bulan – Loke

    Kerja baikpulih struktur jejambat stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya ambil masa 7 bulan – Loke

    Nampak gayanya pengguna LRT Laluan Ampang terpaksa kekal bersabar dengan perkhabaran terkini mengenai kerja-kerja baikpulih struktur jejambat LRT Masjid Jamek-Bandaraya yang dijangka mengambil masa selama tujuh bulan untuk disiapkan, iaitu pada September 2023.

    Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sidang media di Parlimen pagi tadi. Beliau berkata, “Kerja-kerja baikpulih tersebut akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan kepada struktur yang terjejas menimbulkan risiko keselamatan yang amat serius,” katanya seperti dilaporkan oleh The Vibes.

    Prasarana dalam kenyataan medianya pula berkata, hasil siasatan menunjukkan bahawa kerosakan kepada tiga struktur viaduct dan pier telah diakibatkan oleh “ground movement” yang dipercayai daripada kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan.

    Kerja baikpulih struktur jejambat stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya ambil masa 7 bulan – Loke

    Seperti yang telah dinyatakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 27 Januari 2023, kerja-kerja tersebut telah mula dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].

    “Pihak Prasarana kini dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja baikpulih yang akan dimulakan pada awal bulan Mac dan dijangka akan mengambil masa sehingga tujuh bulan. Tempoh ini merangkumi dua bulan untuk kerja-kerja baikpulih sementara (temporary works) bagi mengukuhkan struktur dan lima bulan untuk kerja-kerja baikpulih secara menyeluruh,” katanya.

    Tambahnya, “Prasarana akan sebaik mungkin mengambil langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada para pengguna. Apabila perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya, pengguna Laluan Ampang/Sri Petaling akan mempunyai alternatif untuk ke pusat bandar melalui stesen-stesen pertukaran seperti Chan Sow Lin, Titiwangsa dan Sg Besi.”

    Pada mulanya, awal bulan ini, Loke berkata, kerja pembaikan yang dilaksanakan oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan perunding yang dilantik dijangka selesai dalam tempoh dua minggu. Namun, jangkaan tersebut ternyata tidak dapat direalisasikan memandangkan ia melibatkan kerosakan yang agak serius.

    Walau bagaimana pun, sepanjang tempoh baikpulih tersebut, stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya tidak ditutup cuma laluan menghubungkan kedua-duanya sahaja disekat. Buat masa ini pengguna LRT menggunakan bas perantara yang disediakan secara percuma bagi menghubungkan kedua-dua stesen berkenaan.

    Pada 27 Januari lalu, akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak.

     
     
  • Perbandingan saiz Perodua Axia 2023 vs. yang lama, Myvi dan Proton Iriz — mana lagi sesuai?

    Perbandingan saiz Perodua Axia 2023 vs. yang lama, Myvi dan Proton Iriz — mana lagi sesuai?

    Dengan penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Perodua Axia generasi kedua menjadi kereta yang lebih besar dari segi saiz berbanding model lamanya. Jika anda ingin tahu berapa besar Axia 2023 ini berbanding model hatchback dari satu segmen di atasnya, itulah yang ingin kami tampilkan, dengan membawakan Perodua Myvi dan Proton Iriz sekali ke dalam perbandingan ini.

    Sekadar makluman, Axia 2023 memiliki ukuran dimensi 3,760 mm panjang, 1,665 mm lebar dan 1,505 mm tinggi, menjadikannya 115 mm lebih panjang dan 45 mm lebih lebar berbanding Axia lama, dengan ketinggian berkurang 5 mm.

    Ini juga melibatkan peningkatan kapasiti ruang barangan sebanyak lima liter, dengan kelebihan susunan ruang kabin juga menjadi lebih baik. Bagaimanapun, badan yang lebih besar ini menyebabkan beratnya juga bertambah, dengan berat model baru ini bermula dari titik penawaran paling lengkap bagi model lama.

    Perbandingan saiz Perodua Axia 2023 vs. yang lama, Myvi dan Proton Iriz — mana lagi sesuai?

    Dari sudut dimensi luaran, Myvi sudah tentu kereta yang lebih besar berbanding Axia. Dengan ukuran 3,895 mm panjang dan 1,735 mm lebar, ia 135 mm lebih panjang dan 70 mm lebih lebar berbanding “adik”nya.

    Tetapi, Axia 2023 tetap ada kelebihan dari segi jarak antara rodanya, dengan tambahan 25 mm berbanding ukuran sama pada Myvi dengan 2,500 mm — ruang dalaman Axia juga tidak perlu dipertikaikan lagi, memang sejak dulu ia luas. Myvi menawarkan ruang barangan yang 12 liter lagi lebih berbanding Axia 2023 yang hanya ada 277 liter. Dengan kapasiti enjin yang lebih besar dan ciri lain, Myvi juga 120 kg lebih berat.

    Bagi Iriz, ia lebih panjang daripada Myvi dengan 3,945 mm, lebih tinggi dengan 1,554 mm serta jarak antara roda juga lebih panjang dengan 2,555 mm. Tetapi kelebarannya kurang dengan 1,722 mm. Walau dengan ukuran ini, ruang but Iriz lebih kecil berbanding kedua-dua model hatchback Perodua ini. Permulaan beratnya juga adalah lebih 180 kg berbanding Myvi.

    Dari segi harga, Axia 2023 mengenakan harga lebih tinggi berbanding model lamanya disebabkan saiz lebih besar dan kelengkapan lebih banyak. Varian paling asas 1.0 G kini lebih hampir dengan harga varian 1.0 GXtra dahulu yang datang dengan VSC sebagai standard.

    Axia bahkan lebih mahal daripada Myvi melalui varian 1.0 AV (RM49,500), yang RM1,000 lebih mahal berbanding Myvi 1.3 G dengan Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang dijual RM48,500. Bagaimanapun, PSDA pada Myvi ini tidak menyertakan ciri peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, sensor parkir depan dan kamera undur, yang semuanya diberikan kepada Axia AV — anda bagaimanapun akan mendapat enjin 1.3 liter dengan Myvi berbanding enjin 1.0 liter pada tahapan penawaran berkenaan.

    Iriz pula dijual antara RM42,800 dan RM57,300, menjadikannya lebih mampu milik berbanding Myvi. Bagaimanapun, semua varian Iriz tidak ditawarkan dengan sistem keselamatan aktif seperti AEB, begitu juga dengan kereta Perodua dari varian yang dinyatakan tadi.

    Iriz sebari dengan Myvi dari segi kestabilan kawalan serta hadir dengan minimum empat beg udara untuk varian rendah, dan enam beg udara untuk varian tinggi. Bagi Axia, anda hanya akan mendapat enam beg udara dan PSDA dengan varian paling tinggi 1.0 AV sahaja, dengan semua varian lain datang dengan dua beg udara dan VSC.

    Dengan semua maklumat ini, hatchback Malaysia mana yang anda rasakan paling berbaloi untuk dibeli?

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua siap 95% – Prasarana

    MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua siap 95% – Prasarana

    Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) telah mengesahkan persiapan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa Dua sudah melebihi 95% dan sedang melakukan ujian terakhir pada hujung bulan ini.

    Menuurut Presiden dan CEO Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah, persiapan dan ujian sedang giat dijalankan oleh pegawai dan jurutera MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), kontraktor dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    “Pihak berkenaan sedang memantau dan memastikan ujian itu melepasi garis panduan yang disediakan dan Insya-Allah dapat beroperasi Mac ini, tetapi tarikh akan diumumkan oleh kerajaan (Kementerian Pengangkutan),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua siap 95% – Prasarana

    Pada hujung Disember lalu, MRT Corp berkata MRT Laluan Putrajaya Fasa Kedua ini bakal beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023. Ia melibatkan seksyen sepanjang 38.7 km bagi jajaran Fasa Kedua ini, yang mempunyai 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

    Fasa pertama MRT dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu di Jalan Ipoh telah mula beroperasi sejak 16 Jun tahun ini. Stesen antara dua lokasi itu termasuklah Kampung Selamat dan Sungai Buloh, sebelum ini dari jajaran MRT Kajang.

    Dari sana, tren menghala selari dengan MRR2 ke Kepong, menyusur Jalan Kepong dan Jalan Ipoh. Stesen yang terlibat di sepanjang laluan ini ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kg Batu.

     
     
  • Puspakom lanjut operasi – dibuka Sabtu ini, 25 Feb

    Puspakom lanjut operasi – dibuka Sabtu ini, 25 Feb

    Puspakom mengumumkan bakal membuka beberapa cawangannya pada Sabtu ini, 25 Februari 2023. Lanjutan operasi ini hanya melibatkan cawangan terpilih di seluruh negara, beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Setakat ini, sebanyak 17 cawangan Puspakom yang terlibat dengan lanjutan operasi ini, seperti mana yang disenaraikan di bawah. Untuk pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan di cawangan terbabit, perlulah membuat temujanji secara dalam talian menerusi MyPuspakom terlebih dahulu – tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Cheras
    • Petaling Jaya
    • Shah Alam
    • Padang Jawa

    Utara

    • Alor Setar
    • Mak Mandin (Penang)
    • Gopeng (Perak)

    Selatan

    • Alor Gajah (Melaka)
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Kluang
    • Pasir Gudang

    Pantai Timur

    • Kuantan
    • Kota Bharu

    Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kuching
     
     
  • Polis laksana Op Khas untuk kesan kesalahan nombor pendaftaran motosikal, penunggang tiada lesen

    Polis laksana Op Khas untuk kesan kesalahan nombor pendaftaran motosikal, penunggang tiada lesen

    Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah mengumumkan sebanyak 285 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran yang yang dilaksanakan berhampiran Dataran kemerdekaan, Shah Alam pada 18 Februari lalu.

    Ini termasuk kesalahan melibatkan lesen memandu, dan sebanyak 94 saman telah dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran. Selain itu, sebanyak 312 buah kenderaan dan 341 orang individu telah diperiksa dalam operasi bersepadu tersebut.

    Selain itu, hasil operasi khas ini juga sebanyak 81 buah motosikal pelbagai jenis telah disita di bawah Seksyen 64 (1) APJ1987 kerana tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan pelbagai kesalahan lain.

    “BSPT IPD Shah Alam akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar semua pengguna kekal selamat semasa berada di atas jalan raya. BSPT IPD Shah Alam juga menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi peraturan jalanraya yang telah ditetapkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh IPD Shah Alam.

    Operasi bersepadu ini merupakan sebahagian daripada Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran yang dilaksanakan serentak di seluruh negara setelah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerima banyak rungutan dari pelbagai pihak dalam kalangan masyarakat mengenai ketidakpatuhan rakyat berkaitan undang-undang dan peraturan jalan raya.

     
     
  • Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Ramai di antara kita suka berfikiran stereotaip bagi mengaitkan mereka yang memandu kenderaan-kenderaan tertentu sering melakukan perkara-perkara bodoh di atas jalan raya. Pemikiran-pemikiran sedemikian biasanya terhasil dari persepsi dan mungkin tidak tepat.

    Jadi bagi mengetahui kebenaran dakwaan-dakwaan ini, laman Scrap Car Comparison dari United Kingdom telah melakukan kajian terhadap 2,000 pemandu British dengan membuat ujian kecerdasan otak (IQ).

    Hasil keputusan ujian berkenaan kemudiannya akan membentuk statistik bukan sahaja untuk menunjukkan pemandu jenama mana yang paling pintar atau paling kurang pintar dari 22 jenama kenderaan, malah kedudukan bedasarkan jenis unit rangkaian kuasa, warna kenderaan dan juga subset personalisasi pada kenderaan juga dikelaskan untuk memberikan rumusan.

    Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Hasilnya, pemandu-pemandu Skoda dilihat adalah yang paling pintar dengan mendapat purata ujian IQ sebanyak 99 markah. Ia diikuti Suzuki dengan markah purata 98.09, Peugeot (97.79), Mini (97.41) dan Mazda (95.91). Dan tiga kumpulan pemandu yang mendapat purata markah paling rendah adalah BMW (91.68), Fiat (90.14), dan paling teruk adalah Land Rover dengan 88.58 markah.

    Ujian ini juga menunjukkan bahawa pemandu kenderaan dengan enjin petrol mempunyai IQ paling tinggi iaitu purata 94.35, berbanding pemandu kereta hibrid (93.89) dan diesel (92.91). Kereta elektrik penuh (EV) walaupun ia kereta paling canggih buat masa sekarang, kadar IQ purata pemilik-pemiliknya adalah yang paling rendah iaitu hanya 90.19.

    Manakala untuk warna badan, pemilik kereta berwarna putih adalah yang paling pintar dengan markah purata 95.71, diikuti kelabu (94.97) dan merah (94.88). Antara tujuh warna yang dibandingkan ini, pemilik kereta berwarna hijau adalah yang paling rendah markah purata ujian IQ dengan hanya 88.43.

    Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Akhir sekali, ujian ini juga mendapati bahawa pemilik-pemilik yang menggunakan nombor pendaftaran istimewa turut menunjukkan markah ujian IQ yang lebih rendah berbanding mereka yang menggunakan nombor plat biasa.

    Ok, penulis sendiri tak pernah pakai BMW, Fiat atau Land Rover, kereta yang ada sekarang guna enjin petrol penuh, warna putih dan merah, serta tak pernah beli nombor plat mahal di JPJ. Phew. Anda pula bagaimana?

     
     
  • BAJET 2023: MOT harap peruntukan lebih tinggi diberikan untuk tambah baik pengangkutan awam

    BAJET 2023: MOT harap peruntukan lebih tinggi diberikan untuk tambah baik pengangkutan awam

    Menerusi pembentangan Bajet 2023 yang bakal diumumkan pada Jumaat ini, 24 Februari 2023, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengharapkan peruntukan yang tinggi bakal diberikan untuk tujuan penambahbaikan pengangkutan awam.

    Menteri MOT Anthony Loke berkata, pihaknya akan mengoptimumkan dan memastikan pengurusan yang baik peruntukan yang akan diterima nanti bagi memastikan keselesaan rakyat terutamanya mereka yang bergantung kepada perkhidmatan berkenaan, laporan Bernama.

    “Bukan sahaja pengangkutan awam di Semenanjung tetapi juga di Sarawak dan Sabah yang kita juga ada perkhidmatan udara yang perlu kita berikan untuk kawasan-kawasan luar bandar.

    “Kita juga mengharapkan untuk memberikan perkhidmatan bas di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak yang juga merupakan permintaan kita supaya mendapat peruntukan tambahan untuk memulakan satu sistem bas henti-henti yang lebih baik dan efisien di Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi program wawancara Naratif Khas terbitan RTM bertajuk ‘Transformasi Pengangkutan Negara’.

    Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan kerjasama daripada kerajaan negeri terutamanya bagi negeri yang mempunyai kerjasama sedia ada dengan kerajaan Persekutuan dalam konteks penyediaan pengangkutan awam.

    “Dalam aspek pengangkutan ini kita tidak melihat kepada perbezaan politik. Kita mesti menawarkan perkhidmatan yang baik kepada rakyat kerana ini bersangkut dengan mutu kehidupan rakyat kerana apa yang penting kita nak perkasakan pengangkutan awam supaya rakyat dapat hidup dengan lebih selesa,” katanya.

     
     
  • AD: Beli KTM 200 Duke dan RC 200 sebelum 31 Mac, nikmati penyelenggaraan berjadual percuma setahun!

    AD: Beli KTM 200 Duke dan RC 200 sebelum 31 Mac, nikmati penyelenggaraan berjadual percuma setahun!

    Kebanyakan peminat motosikal pasti sangat kenal model sport KTM 200 Duke dan juga KTM RC 200. KTM Malaysia kini menawarkan harga jualan asas bagi dua model berkenaan, masing-masing dengan RM13,888 atau RM284 sebulan* bagi 200 Duke dan RM15,888 atau RM310 sebulan* bagi RC 200.

    Walaupun dilahirkan dari sebuah jenama Austria yang sinonim dengan naluri perlumbaan, kedua-dua model 200 Duke dan RC 200 ini cukup ringan dan mudah dikendalikan, menjadikannya sangat sesuai kepada penunggang baru.

    Kelompok ini mungkin baru ingin memulakan perjalanan mereka untuk mengenali motosikal, bagi mereka yang mahu beralih kepada motosikal KTM pertama dari moped atau kapcai, serta untuk mereka yang mahukan jentera ringan, kompak dan mudah ditunggang di kawasan urban. Bagi RC 200 pula, model sportbike ini juga akan memberi manfaat kepada peminat litar lumba.

    Prestasi dan kelincahan menjadi taruhan utama model motosikal KTM seperti 200 Duke dan RC 200 ini, dan untuk menjadikannya lebih menarik, KTM Malaysia mengadakan promosi bagi kedua-duanya.

    Sah dari sekarang hingga 31 Mac 2023, kedua-dua naked bike 200 Duke dan sport bike RC 200 ini akan dijual dengan penyelenggaraan percuma bernilai RM1,237 untuk setahun! Dengan ini, barangan yang diliput di dalam penyelenggaraan percuma setahun itu termasuklah minyak enjin dan penapis minyak, penapis udara, shim dan upah buruh, serta empat servis berjadual atau sehingga 15,000 km, yang mana dahulu.

    200 Duke menggabungkan kuasa dengan kendalian responsif, dengan kelebihan enjin ultra-kompak silinder tunggal empat-lejangnya yang menghasilkan 26 hp menerusi transmisi enam-kelajuan nisbah rapat, yang memberikan kadar penggunaan rendah sebanyak 35 km per liter. Ini disertai juga oleh casis yang terdiri daripada kerangka split-steel trellis serta fork terbalik WP yang ringan dan berprestasi. Semua ini memberikan alatan dan kualiti tunggangan kelas dunia bagi motosikal naked segmen di bawah 200 cc ini.

    AD: Beli KTM 200 Duke dan RC 200 sebelum 31 Mac, nikmati penyelenggaraan berjadual percuma setahun!

    Daya membrek pula oleh angkup Bybre, yang datangnya dari pakar peralatan brek Brembo, bersama dengan ABS dua-saluran oleh Bosch, memastikan keselamatan penunggang ketika keadaan jalan tidak menentu. Jika penunggang membawa jentera ini ke litar dan bersedia untuk berlumba, sistem brek 200 Duke juga menampilkan mod Supermoto.

    Penampilan terkini RC 200 turut memperkenalkan penghadang angin, lampu, pemegang, tangki minyak, pelana, kerangka dan roda yang baru. Fairing-nya diilhamkan oleh jentera lumba dalam Moto3, kategori di mana KTM turut bersaing, membawakan rekaan lebih aerodinamik sementara kawasan di sekitar lutut penunggan telah dibangunkan agar lebih nipis, serta pemijak kaki ringannya juga baru.

    Juga baru untuk RC 200 ialah pemetaan enjinnya kini memberikan penyampaian tork lebih baik, menjadikan tunggangan lebih lancar tetapi tangkas untuk kendalian maksimum. Kotak penapis udara yang lebih besar telah disediakan untuk membantu memanfaatkan aplikasi enjin, serta radiator melengkung dengan kipas untuk penyejukan.

    Komponen casis bagi RC 200 juga sangat berkualiti, terdiri daripda WP Apex Big Piston Fork di depan dan penyerap hentak WP Apex di belakang. Seperti pada 200 Duke, RC 200 turut menerima brek Bybre dan dibantu ciri ABS dua-saluran oelh Bosch, dan disertai mod Supermoto untuk dimanfaatkan oleh penunggang yang inginkan keseronokan perlumbaan.

    Lebih minyak boleh di bawa dengan RC 200 kerana tangkinya lebih besar, daripada 9.5 liter hingga 13.7 liter (termasuk 1.5 liter simpanan), membolehkan tunggangan yang lebih lama dengan satu tangki. Pemegangnya pula kini boleh dilaras, dengan 1.15 mm lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya dan boleh direndahkan sebanyak 2.1 mm mengikut kesesuaian pelumba.

    Tahu lebih lanjut tentang KTM Duke di sini, dan RC 200 di sini, serta kenali juga motosikal lain KTM melalui laman Facebook, Instagram dan YouTube.

    *Tertakluk terma dan syarat.

     
     
  • Beberapa jalan, persimpangan di PJ ditutup waktu petang untuk aliran kontra, 3 bulan mulai 1 Mac

    Beberapa jalan, persimpangan di PJ ditutup waktu petang untuk aliran kontra, 3 bulan mulai 1 Mac

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan beberapa jalan dan persimpangan akan ditutup selama dua jam 30 minit pada setiap petang mulai 1 Mac ini untuk aliran trafik kontra percubaan. Penutupan jalan berkenaan akan dilaksanakan pada jam 5 petang hingga 7.30 malam pada hari biasa (Isnin-Jumaat, kecuali cuti umum dan waktu hujan) dalam tempoh percubaan selama tiga bulan, laporan Selangor Journal.

    Menurut kenyatan media yang dikongsikan, jalan dan persimpangan yang terlibat ialah persimpangan Jalan Othman-Jalan Templer, persimpangan Jalan Gasing-Jalan Templer, persimpangan Jalan Templer-Jalan 6/29 dan Jalan Templer menghala Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).

    Beberapa jalan, persimpangan di PJ ditutup waktu petang untuk aliran kontra, 3 bulan mulai 1 Mac

    Justeru, pengguna jalan berkenaan yang datang dari arah Jalan Gasing menghala ke Jalan Othman atau kawasan Melayu perlukan menggunakan Jalan Changgai 6/22 atau Jalan Anak Gasing 6/5-Jalan Tinggi 6/12-Jalan Selangor. Bagi yang datang dari arah Jalan Othman ke Lebuhraya NPE, perlulah membuat pusingan-U di bulatan Assunta.

    MBPJ turut berkata pengguna jalan yang datang dari pusat bandar Petaling Jaya dan Seksyen 52/Lebuhraya Persekutuan bolehlah mengunakan laluan aliran trafik kontra ini. Apa pun semua pengguna jalan raya dinasihati agar memandu berhati-hati dan mengikut isyarat papan tanda di lokasi terbabit.

     
     
  • Perodua Axia 2023 dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Perodua Axia 2023 dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Perodua Axia pertama kali diuji di bawah ASEAN NCAP pada 2014, dan mencatatkan penarafan empat-bintang bagi kedua-dua kategori penilain Adult Occupant Protection (AOP) dan Child Occupant Protection (COP). Ketika itu, Axia 2014 mencatatkan 12.91 daripada 16.00 mata bagi AOP dan mencapai pematuhan 71% bagi COP.

    Bagaimana pula dengan Perodua Axia D74A 2023? Di bawah protokol penilaian ASEAN NCAP 2021-2023, kenderaan dinilai berdasarkan empat kategori yang terdiri daripada AOP dengan markah penuh 40 mata, sementara bagi COP, Safety Assist (SA) dan Motorcyclist Safety (MS) masing-masing menyumbang 20 mata penuh bagi setiap kategori.

    Axia 2023 menunjukkan prestasi cukup membanggakan di bawah protokol penilaian baru yang lebih ketat ini dengan mencapai penarafan 4-bintang ASEAN NCAP, dengan jumlah keseluruhan 73.55 mata. Melalui markah ini, Axia telah mencapai penafaran maksimum 5-bintang bagi tiga kategori yang terlibat: AOP dengan 32.06 mata, COP dengan 17.03 mata dan SA dengan 15.71 mata. Bagi MS, Axia 2023 mencapai penarafan 4-bintang dengan 8.75 mata.

    Perodua Axia 2023 didatangkan dengan dua beg udara bagi setiap varian kecuali bagi varian AV yang lengkap dengan enam beg udara. Kelengkapan keselamatan standardnya terdiri daripada kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS), sistem peringatan tali keledar (SBR) bagi bahagian penumpang depan dan belakang dan teknologi pelindungan pejalan kaki untuk semua varian.

    Axia 2023 juga turut dilengkapi dengan bantuan keselamatan aktif sebegai pilihan kepada semua variannya, termasuk ciri AEB City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Blind Spot Detection (BSD) bagi kedua-dua sisi kenderaan dan Auto High Beam (AHB).

    Perodua Axia D74A 2023 yang baru lancarkan itu ditawarkan dalam empat varian: G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Ia masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — enjin dan transmisinya sama untuk semua varian.

     
     
  • Cadangan insentif untuk EV di M’sia telah dihantar ke MoF, termasuk sambungan pengecualian cukai – MITI

    Cadangan insentif untuk EV di M’sia telah dihantar ke MoF, termasuk sambungan pengecualian cukai – MITI

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh The Star, cadangan rangsangan tambahan untuk kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dikatakan sudah dihantar kepada kementerian kewangan (MoF). Menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik berkata, cadangan ini termasuk dengan lanjutan pengecualian cukai untuk EV yang dijual dalam negara.

    “Kami telah menghantar cadangan, dan kami berharap kementerian kewangan akan dapat terus memberi sokongan kepada agenda EV,” kata Zafrul, yang juga hadir dalam perjumpaan National Electric Vehicle Task Force (NEVTF) di MITI.

    Pembentangan pertama Bajet 2023 menyaksikan pengumuman pengecualian cukai import dan duti eksais untuk EV import sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2024, di mana ia telah dilanjutkan dari tempoh tamat awalnya yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini, iaitu pada 31 Disember 2023.

    Cadangan insentif untuk EV di M’sia telah dihantar ke MoF, termasuk sambungan pengecualian cukai – MITI

    Pengarah urusan Volvo Car Malaysia berkata, pengecualian cukai yang ada sekarang ini telah membantu memberi rangsangan kepada perkembangan EV di pasaran Malaysia. “Sistem insentif sekarang dengan tiada cukai jualan untuk EV telah membantu pengeluar dan juga pembangunan (EV). Jadi, ini cukup untuk memacu elektrifikasi di Malaysia. Jika kita teruskan, kita berada di laluan yang betul,” kata Frump.

    Menurut Zafrul, jualan kenderaan elektrik dan hibrid menyumbang 2.77% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun 2022. “Laporan terkini untuk tahun 2022 yang kami terima menunjukkan jualan kenderaan EV dan hibrid meningkat banyak berbanding tahun sebelumnya. Untuk memastikan momentum ini berterusan, kami juga perlu memastikan ekosistem telah bersedia, termasuk stesen mengecas,” kata beliau.

     
     
  • Rapid KL lancar bas perantara T757 ke LRT Alam Megah, tempah tempat duduk dalam van via Kumpool

    Rapid KL telah pun melancarkan bas perantara T757 ke stesen LRT Alam Megah, Shah Alam, yang berkhidmat untuk kawasan industri dan penempatan penduduk di sekitar LRT Laluan Kelana Jaya.

    Kalau dilihat menerusi peta laluannya, bas perantara ini akan melalui beberapa lokasi perhentian termasuk di Flat Proton, SMK Seksyen 27, Seksyen 26, Telekom Malaysia Seksyen 27, Flat Taman Bunga Raya dan Flat Taman Bunga Negara.

    Tapi ini bukanlah bas perantara biasa, ia merupakan van yang dicat dengan warna merah jambu-putih yang tertulis perkataan bas perantara LRT. Ia dikendalikan secara kerjasama dengan Kumpool, yang menawarkan perkhidmatan shuttle atas-permintaan dengan mengumpulkan tempahan para penumpang dan melibatkan perjalanan berdasarkan laluan mengambil dan menurunkan semua penumpang dalam masa yang sama.

    Sebelum ini, Kumpool pernah menawarkan perkhidmatan tempahan van e-hailing di sekitar Johor Baharu sebelum ia turut ditawarkan di Lembah Klang (Subang Jaya dan Petaling Jaya).

    Pada Oktober tahun lalu, Rapid KL melancarkan laluan T250 dari LRT Wangsa Maju ke Setapak. Kadar tambangnya hanya RM1 bagi seorang penumpang untuk perkhidmatan van berkenaan, dan tempahannya dibuat menerusi aplikasi Kumpool.

     
     
  • Motosikal dari Malaysia perlu ikut standard emisi baru jika masuk Singapura – saman serta merta jika salah

    Motosikal dari Malaysia perlu ikut standard emisi baru jika masuk Singapura – saman serta merta jika salah

    Bermula 6 April ini, Singapura akan mula menguatkuasakan standard emisi baru bagi motosikal dan semua kenderaan jenis itu, termasuk yang didaftar di negara lain seperti Malaysia perlu mematuhinya. Bagi mereka yang berulang-alik kerja di Singapura dari Johor, ini adalah sesuatu yang perlu diambil penting.

    Menurut National Environment Agency (NEA) negara itu, semua motosikal di Singapura mestilah mematuhi tahap emisi karbon monoksida (CO) dan hydrocarbon (HC) yang telah ditetapkan, dan juga tahap pelepasan asap dan bunyi tertentu.

    Had CO baru yang ditetapkan adalah 4.5%, sementara untuk HC pula adalah 7,800 ppm untuk motosikal berenjin dua lejang, sementara enjin empat lejang 2,000 ppm. Ini adalah tambahan kepada tahap asap (tiada asap yang kelihatan) dan bunyi (99 dBA) yang dibenarkan.

    NEA memberitahu, ujian emisi akan dijalankan di pusat pemeriksaan kemasukan darat dan dikuatkuasakan oleh kerajaan Singapura. Sekiranya gagal mematuhi peraturan ini, penunggang akan dikenakan saman serta merta, dan jumlahnya adalah sama untuk kenderaan yang didaftar dalam Singapura ataupun luar.

     
     
  • Kerajaan belanja RM1.6 juta untuk kenderaan rasmi menteri dalam masa tiga tahun lepas – PM Anwar

    Kerajaan belanja RM1.6 juta untuk kenderaan rasmi menteri dalam masa tiga tahun lepas – PM Anwar

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh New Straits Times, perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa kerajaan membelanjakan sehingga RM1.6 juta untuk pajakan, penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi yang digunakan oleh menteri kabinet antara tahun 2020 hingga 2022.

    Beliau turut mendedahkan bahawa semasa di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, kos operasi barisan kenderaan ini, yang diambil daripada syarikat pengurusannya, iaitu Spanco, berjumlah RM672,000, sementara pada tahun 2021 dan 2022 ia mencatat masing-masing RM478,991.50 dan RM450,690.66.

    “Kos keseluruhan untuk menjaga dan membaiki kenderaan rasmi menteri kabinet ini adalah RM1,601,682.16,” kata Anwar dalam satu jawapan bertulis dalam Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Chong Zhemin (DAP-Kampar), yang bertanya tentang kos memelihara semua kenderaan rasmi menteri dari tahun 2020 hingga 2022.

    Kerajaan belanja RM1.6 juta untuk kenderaan rasmi menteri dalam masa tiga tahun lepas – PM Anwar

    Pada tahun 2020, menteri menggunakan Proton Perdana 2.4L Premium versi panjang sebagai kenderaan rasmi, dan kemudiannya diperbaharui dengan Toyota Vellfire 2.5L pada tahun 2021. Pada masa itu, kabinet Muhyiddin terdiri daripada 32 menteri dan 38 timbalan menteri.

    Hujung tahun 2021, menteri kewangan waktu itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melaporkan bahawa jumlah pajakan bulanan untuk setiap Vellfire adalah RM5,759, dengan RM4,852 daripadanya adalah untuk bayaran sewa dan RM908 untuk penyelenggaraan.

    Menjawab komen negatif semasa penukaran kepada Vellfire ini, Zafrul memberitahu bahawa sewa bulanan MPV itu adalah lebih rendah berbanding bayaran untuk Perdana 2.4L Premium, iaitu RM4,854.41 bagi setiap kenderaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025