Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Daihatsu Ayla 2023 didedah di Indonesia – 2-beg udara, lampu & bampar serupa Axia, enjin 1.2 liter

    Daihatsu Ayla 2023 didedah di Indonesia – 2-beg udara, lampu & bampar serupa Axia, enjin 1.2 liter

    Selepas Toyota Agya didedahkan pada 13 Februari di Indonesia, diikuti pelancaran rasmi Perodua Axia 2023 di Malaysia pada 14 Februari, satu lagi kembar untuk hatchback segmen-A ini iaitu Daihatsu Ayla pula muncul di Indonesia pada 15 Februari 2021.

    Apa yang menarik, Ayla nampaknya menggunakan bampar dan juga lampu yang sama seperti Axia, tidak seperti Agya yang diberikan muka yang lebih tersendiri. Apa yang berbeza, Ayla diberikan elemen gril yang berbeza. Perician luaran lain antara Ayla dan Axia juga nampak sama, kecuali reflektor tambahan pada pintu tailgate belakang dan juga set rim dalam kemasan hitam diberikan pada Ayla.

    Menurut Perodua ketika pelancaran Axia Selasa lalu, projek pembangunan untuk model generasi baharu ini diketuai oleh Perodua, dan mungkin ini menjadi sebab mengapa rupa luaran antara Axia dan Ayla kali ini adalah sama, tidak seperti model generasi sebelum ini yang mengunakan bampar berbeza.

    Begitu juga pada sebelah dalam, Ayla menggunakan asas papan pemuka yang sama dengan Axia. Selain dari logo jenama, apa yang membezakan antara Ayla dan Axia adalah pada panel kawalan pendingin untuk varian lebih tinggi – panel digital pada Ayla tidak diberikan fungsi memori tetapan dengan dua slot seperti pada Axia.

    Axia, Agya dan Ayla diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang bukan sahaja memberikan prestasi pemanduan dan juga keselesaan lebih baik, malah menampilkan saiz yang lebih besar dari sebelum ini.

    Varian lebih tinggi Daihatsu Ayla generasi kedua ini masih menggunakan enjin dengan sesaran 1.2 liter bagi membolehkan ia berada dalam kelas Low Cost Green Car (LCGC) di negara tersebut. Namun sama seperti Agya, enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-VE sebelum ini telah digantikan dengan enjin generasi baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder yang kini digunakan varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

    Daihatsu Ayla 2023 didedah di Indonesia – 2-beg udara, lampu & bampar serupa Axia, enjin 1.2 liter

    Enjin tersebut masih menghasilkan 88 PS sama seperti 3NR-VE, namun tork yang dihasilkan sedikit tinggi iaitu 112 Nm. Menurut Astra Daihatsu Motor (ADM), enjin baharu berkenaan memberikan penggunaan bahan api lebih baik serta pecutan 15% lebih cepat berbanding enjin lama.

    Media-media Indonesia turut mendedahkan bahawa Ayla 2023 ini masih ditawarkan dalam versi 1.0 liter. Namun enjin 1KR-DE tanpa sistem VVT-i sebelum ini telah digantikan dengan enjin 1KR-VE yang lebih moden, diberikan sistem VVT-i sama seperti Axia, menghasilkan 67 PS (66 hp) dan tork maksima 89 Nm.

    Untuk perincian pula, Ayla menerima skrin infotainmen 14-inci, lampu hadapan reflektor LED, pakej Astra Daihatsu Styling (ADS), sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin. Tidak dinyatakan bahawa ia diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya seperti Axia atau tidak.

    Daihatsu Ayla 2023 didedah di Indonesia – 2-beg udara, lampu & bampar serupa Axia, enjin 1.2 liter

    Bagi sistem keselamatan, kelengkapan yang dinyatakan untuk Ayla ini termasuk dua beg udara, pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, bantuan mula mendaki dan juga sistem kestabilan elektronik (VSC).

    Sebagai perbandingan, varian teringgi Axia AV di Malaysia datang dengan enam-beg udara, bersama sistem bantuan pemandu ASA 3.0 yang terdiri dari amaran pelanggaran hadapan bersama brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, sistem pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    Sama seperti Agya, ADM masih belum mengumumkan berapa harga untuk Daihatsu Ayla pasaran Indonesia ini. Bagi spesifikasi, Axia dan Ayla masing-masing ada kekurangan dan kelebihan. Namun dari segi rupa, yang mana anda rasa lebih cantik?

     
     
  • Multi Lane Fast Flow (MLFF) di M’sia tidak lama lagi — kutipan tol tanpa perlu berhentikan kenderaan

    Multi Lane Fast Flow (MLFF) di M’sia tidak lama lagi — kutipan tol tanpa perlu berhentikan kenderaan

    Sejak 2009 kita sudah mendengar tentang Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebagai cara untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia adalah sistem kutipan tol yang tidak memerlukan kenderaan untuk lalu dengan perlahan atau berhenti di plaza tol.

    Jika dilaksanakan dengan betul, MLFF mampu menjadi penyelesaian kepada masalah tersebut — mungkin akan berkurangan kes kenderaan tersangkut ketika ingin membayar tol. Dalam perkembangan terbaru, nampak gayanya sedikit masa lagi pelaksanaan sistem berkenaan akan menjadi kenyataan di Malaysia.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan menerusi Twitter bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua 32 konsesi lebuhraya berserta pemain industri dan juga pihak berkepentingan yang berkaitan lain tentang rancangan pelaksanaan MLFF di negara ini.

    “Keseluruhannya, semua pemain industri mengalu-alukan langkah ke arah pelaksanaan MLFF, dengan beberapa perincian sedang diperhalusi untuk memastikan sistem berkenaan akan menyediakan servis terbaik kepada pengguna,” ujarnya.

    Walaupun tiada garis masa dinyatakan untuk itu, Menteri Kerja Raya sebelum ini, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Oktober tahun lalu yang sistem kutipan tol baru akan diperkenalkan pada 2025. Kita akan lihat
    adakah sasaran ini mampu dipenuhi oleh kerajaan semasa.

    Tidak dapat dipastikan ketika ini bagaimana sistem MLFF ini akan berfungsi di Malaysia — sama ada pengguna perlu membeli peranti khusus untuk bayar tol masih belum diketahui. Untuk tidak perlu perlahankan kenderaan atau berhenti bayar tol memang perkara yang bagus, tetapi adakah ia memerlukan peranti lain?

     
     
  • Kos selenggara Axia 2023 vs Axia 2019 — model baru D-CVT lebih murah diservis berbanding 4AT lama

    Kos selenggara Axia 2023 vs Axia 2019 — model baru D-CVT lebih murah diservis berbanding 4AT lama

    Antara perubahan utama untuk Perodua Axia D74A 2023 adalah penggunaan transmisi Dual Mode CVT (D-CVT), yang menggantikan transmisi automatik empat-kelajuan sebelum ini. D-CVT pertama kali digunakan untuk Ativa, dan selepas itu turut dimanfaatkan oleh Myvi dan Alza. Boleh baca lanjut tentangnya di sini.

    Walaupun transmisi baru untuk Axia, enjin yang digunakan pula masih sama: 1KR-VE 1.0 liter NA tiga-silinder petrol, yang menjana sebanyak 67 hp dan 91 Nm tork. Dengan gandingan ini, penggunaan minyak bertambah baik — Perodua mendakwa varian G dan X boleh mencapai 25.3 km/l, sementara SE dan AV boleh memberikan 27.4 km/l dengan bantuan ciri Eco Idle.

    Angka berkenaan adalah mengikut Malaysian Driving Cycle (MDC), yang mengikut keadaan pemanduan tempatan. Dengan kitaran NEDC, ia berikan 23.3 km/l, dan ini juga masih lebih baik berbanding Axia sebelum ini dengan 21.6 km/l.

    Kos selenggara Axia 2023 vs Axia 2019 — model baru D-CVT lebih murah diservis berbanding 4AT lama

    Peralihan kepada D-CVT ini juga memberi perubahan kepada jadual penyelenggaraan Axia, jadi dalam artikel ini, kami meneliti kos yang terlibat. Ringkasnya, Axia 2023 kini lebih murah untuk diselenggara dalam tempoh lima-tahun atau 100,000 km, dengan jumlah keseluruhan yang terlibat RM2,779.95 — ini RM81.35 lebih murah berbanding Axia 4AT sebelum ini.

    Jika pergi lebih terperinci, kedua-dua versi Axia dengan D-CVT/4AT ini berkongsi penukaran alatan penyelenggaraan yang sama, jadi tiada perubahan untuk harga alatan yg terlibat. Enjin yang kekal sama ini juga masih memerlukan penukaran lima palam pencucuh dan dua penapis udara bagi tempoh lima tahun.

    Bagaimanapun, D-CVT memerlukan penukaran minyaknya hanya sekali pada takat lima-tahun/100,000 km, kurang satu daripada 4AT — harga untuk ini juga lebih murah. Tetapi, Axia 2023 memerlukan penukaran penapis kabin yang lebih kerap — lima kali bagi tempoh lima tahun berbanding hanya tiga kali sebelum ini.

    Kos selenggara Axia 2023 vs Axia 2019 — model baru D-CVT lebih murah diservis berbanding 4AT lama

    Jadual selenggara Perodua Axia D-CVT — klik untuk besarkan

    Perodua tidak menyenaraikan barangan untuk Pro Care bagi Axia 2023, yang ditawarkan untuk model lama Axia. Servis berkenaa, yang ditawarkan sebagai pilihan, termasuklah penukaran tambahan bagi bendalir brek dan penapis udara; jajaran, imbangan dan pusingan tayar; serta satu servis menyeluruh untuk sistem pendingin. Dengan semua servis ini, sejumlah RM659 ditambah untuk bil keseluruhan Axia lama sepanjang lima tahun, untuk mencecah harga RM3,520.30.

    Seperti biasa, ada lagi kos lain selain daripada penyelenggaraan berjadual di pusat servis. Memandangkan Axia 2023 menggunakan saiz rim yang sama, kos penukaran tayar juga tidak akan berbeza jauh, bergantung kepada jenama dan jenis tayar yang dipilih.

    Ini juga sama untuk brek, dengan kedua-dua versi Axia masih kekal dengan brek cakera di depan dan brek dram di belakang. Satu aspek yang mungkin Axia 2023 akan memberi lebih penjimatan ialah kos bahan api, yang tentunya akan lebih rendah kerana ia menggunakan kurang minyak berbanding model lama disebabkan D-CVT itu; walaupun ini masih bergantung kepada cara pemanduan masing-masing.

    Untuk harga, Axia 2023 lebih mahal berbanding model lamanya, dengan julat harga antara RM38,600 hingga RM49,500. Sementara Axia facelift 2019 sebelum ini bermula dari RM24,090, walaupun itu sebenarnya untuk model manual paling asas Standard E (yang selalu terima jolokan kereta sekolah memandu).

    Kos selenggara Axia 2023 vs Axia 2019 — model baru D-CVT lebih murah diservis berbanding 4AT lama

    Jadual selenggara Perodua Axia 4AT 2019 — klik untuk besarkan

    Varian paling rendah ini tidak dilengkapi kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman, yang ketika itu turut tidak diberikan untuk satu varian lebih atas, Standard G (RM33,490). Pelanggan yang mahukan ciri keselamtan ini perlu memilih GXtra (RM34,990) ke atas. Axia 2019 paling tinggi dijual pada harga RM43,190 untuk varian Advance.

    Harga jualan yang lebih tinggi bagi Axia 2023 juga akan membezakan kos insuran, yang akan jadi lebih tinggi kerana nilai kenderaan juga naik. Ini akan memberi kesan kepada pembeli kereta pertama kali yang akan bermula dengan 0% NCD, walaupun peratusan itu akan naik pada tahun-tahun kedepan.

    Inilah maklumat kos penyelenggaraan bagi Axia 2023 dengan D-CVT yang lebih murah berbanding model lamanya dengan 4AT, bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km. Jika dibandingkan dnegan perbezaan kos selenggara melibatkan Myvi, Ativa, Alza dan Aruz, Axia 2023 ini yang paling murah kosnya, walaupun ketika dibandingkan dengan Bezza 2020 dengan enjin 1.0 liter yang sama dan 4AT.

     
     
  • Perodua Axia Style 2023 – ada yang minat?

    Perodua Axia Style 2023 – ada yang minat?

    Sebelum didedahkan sepenuhnya minggu lalu, ramai yang menjangkakan Perodua Axia 2023 akan diberikan penggayaan dengan pengaruh dari model konsep Perodua X-Concept, iaitu hatchback kompak yang nampak seperti SUV. Namun jangkaan tersebut tidak tepat.

    Tetapi bagaimana agaknya rupa Axia generasi baharu ini sekiranya diberikan penggayaan psedo-SUV seperti model generasi pertama dalam varian Axia Style sebelum ini? Tak payah anda bayangkan, ini dia hasil digital Perodua Axia Style 2023 yang telahpun dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin!

    Theo membawa semua kit Axia Style generasi pertama yang diperkenalkan pada 2019 untuk versi 2023 ini. Ia termasuk overfender untuk semua ruang roda, skid plate di bawah bampar hadapan dan belakang, panel bawah bendul sisi yang berfungsi sebagai pelindung badan, rel bumbung dan juga bumbung berwarna hitam.

    Perodua Axia Style 2023 – ada yang minat?

    Theo juga memberikan warna badan Sunrise Orange iaitu warna hero untuk Axia Style 2019 pada model 2023 ini, bersama rim lima-jejari berkembar juga diinspirasikan model generasi sebelumnya.

    Dengan gambaran yang dihasilkan oleh Theo ini, adakah anda rasa Perodua patut hadir dengan varian Style bagi model baharu ini? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen di bawah atau pada laman sosial kami.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Feb – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 16-22 Feb – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 16 hingga 22 Februari 2023,
    harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu kelapan tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Ford rancang untuk kurangkan 3,800 pekerja di Eropah bagi penjimatan kos dan memacu produksi EV

    Ford rancang untuk kurangkan 3,800 pekerja di Eropah bagi penjimatan kos dan memacu produksi EV

    Ford dilaporkan merancang untuk mengurangkan sejumlah 3,800 pekerjaan di benua Eropah, berbanding 3,200 pekerja yang diumumkan pada awal tahun ini. Keputusan ini dibuat bagi mengurangkan kos pengeluaran yang dikatakan kian meningkat. Malah Ford juga dikatakan perlu mengurangkan pengeluaran kereta janaan petrol dan diesel serta menumpukan perhatian terhadap produksi kenderaan elektrik (EV).

    Menurut laporan Reuters, jumlah terbabit melibatkan 2,300 pekerja di kilang pengeluarannya di Cologne dan Aachen di Jerman serta 1,300 lagi di Britain.

    Pengeluar kereta terbabit berkata, pengurangan pekerja kebanyakannya membabitkan jabatan pengeluaran dan pentadbiran di Cologne dalam tempoh tiga tahun akan datang. Buat masa ini, terdapat kira-kira 14,000 orang bekerja untuk Ford di Cologne dan lebih kurang 200 pekerja di pusat penyelidikannya di Aachen.

    Pada tahun lalu, Ford telah menjual sebanyak 516,614 unit kenderaan penumpang di Eropah – meliputi 4.6% perkongsian pasaran, menurut Persatuan Automotif Eropah (ACEA). Berkenaan dengan EV, syarikat ini merancang untuk meningkatkan jualannya di benua berkenaan, dengan sasaran lebih 600,000 unit menjelang tahun 2026.

    Ford turut mempunyai rancangan untuk memperkenalkan tujuh model EV menjelang tahun 2024 dan memperuntukkan sekitar $50 bilion untuk pengeluaran barisan elektrifikasi.

     
     
  • TnG akan keluarkan 3.5j kad pada 2023 untuk penuhi permintaan – lebih 30% berbanding 2.68j pada 2022

    TnG akan keluarkan 3.5j kad pada 2023 untuk penuhi permintaan – lebih 30% berbanding 2.68j pada 2022

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan bahawa Touch ‘n Go (TnG) akan meningkatkan pengeluaran kad pada 2023 iaitu sebanyak 3.5 juta unit, meningkat lebih 30% berbanding 2.68 juta unit yang dikeluarkan pada tahun lepas. Ia susulan perbincangan antara kementerian terbabit dengan syarikat TnG untuk meningkatkan perkhidmatan susulan terdapat isu kad ini hasil respons orang ramai.

    Menurut kementerian terbabit, penambahan pengeluaran bilangan kad pada tahun ini diharap mampu memenuhi permintaan yang tinggi, terutamanya melibatkan kad Enhanced Touch ‘n Go yang sering kehabisan stok. Untuk pengetahuan, kad dengan fungsi NFC ini membolehkan pengguna untuk menambah nilai menerusi telefon pintar yang dilengkapi ciri NFC dan aplikasi TnG eWallet, bermakna ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja secara dalam talian.

    Selain itu, KPDN turut berkata isu kekeliruan notifikasi tamat tempoh pada kad terbabit juga diatasi dengan menghantar e-mel makluman pra-peringatan (sebulan sebelum luput) pada pengguna. Malah notifikasi juga akan dihantar menerusi aplikasi e-wallet. Dan pada setiap kad juga akan dicetak semakan tarikh.

    Mengenai isu pemulangan dan bayaran balik baki kad, TnG juga diarah supaya mempercepatkan proses berkenaan setelah melakukan siasatan, dan pengesahan untuk meluluskan pembayaran balik itu.

    Dalam masa yang sama, KPDN turut mengarahkan agar TnG menurunkan iklan jualan kad tidak berdaftar dengan menghantar notis rasmi kepada platform e-dagang yang terlibat. Notis rasmi juga harus dihantar kepada pengendali syarikat minyak, peruncitan dan pengedar sah supaya kad dijual pada harga yang ditetapkan dan kawalan penjualan secara satu kad untuk satu pelanggan.

     
     
  • VIDEO: Perodua Axia D74A 2023 — Perbandingan spesifikasi varian X, G, SE dan AV; mana lagi berbaloi?

    VIDEO: Perodua Axia D74A 2023 — Perbandingan spesifikasi varian X, G, SE dan AV; mana lagi berbaloi?

    Perodua Axia D74A 2023 yang baru lancarkan semalam ditawarkan dalam empat varian: G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Ia masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — enjin dan transmisinya sama untuk semua varian

    Bagaimanapun, kebarangkaliannya adalah, jika anda merujuk kepada material pemasaran atau ulasan video pelancaran yang ada, hampir semuanya akan menunjukkan penawaran yang ada pada varian paling tinggi, AV. Tetapi, realitinya tak semua orang yang ingin membeli Axia akan mampu memilih model dari varian yang paling tinggi ini.

    Jadi, untuk itu, kami sediakan video ini untuk membantu anda untuk mengetahui perincian penawaran spesifikasi bagi setiap varian dengan perbandingan setiap satunya. Sekadar sebagai contoh, varian paling asal misalnya tidak didatangkan dengan lampu depan LED seperti varian X dan ke atas. Dan, perbezaan harga antara varian G dan X adalah terlalu nipis jika mengambil kira pertambahan kelengkapan yang diberikan untuk X.

    Untuk bacaan lanjut, anda juga boleh merujuk artikel berkaitan hal yang sama di sini. Harapnya ini dapat menjadi panduan kepada mereka yang berminat untuk membeli Axia, tetapi tak tahu varian mana yang perlu dipilih. Jadi, anda rasa varian mana satu yang lebih berbaloi dengan harga yang dikenakan?

    Perodua Axia G 2023

     
     
  • Mercedes-Benz EQS500 4Matic CKD tiba di Malaysia – jarak gerak 696 km, kuasa 443 hp, harga RM648,888

    Mercedes-Benz EQS500 4Matic CKD tiba di Malaysia – jarak gerak 696 km, kuasa 443 hp, harga RM648,888

    Setelah pengumumannya dibuat Disember lalu, kini model elektrik CKD pertama Mercedes-Benz, iaitu EQS 500 4MATIC dikeluarkan secara rasmi di kilang Pekan, Pahang. Model ini menggantikan EQS 450+ AMG Line import penuh (CBU) yang dilancarkan Julai lalu.

    Melalui pengeluaran tempatan ini, meskipun EQS 500 mempunyai kuasa lebih tinggi, harganya menjadi lebih rendah, iaitu RM648,888 tidak termasuk insurans, berbanding RM698,888 bagi EQS 450+ sebelum ini.

    Bateri sama dengan EQS 450+, iaitu unit lithium ion 396 volt dengan kapasiti 107.8 kWh masih lagi digunakan pada EQS 500 ini, tetapi kuasanya telah ditingkatkan untuk menjadi 449 PS (443 hp atau 330 kW) dan tork 855 Nm, berbanding 333 PS (329 hp atau 245 kW) dan tork 568 Nm bagi EQS 450+. Model baru 500 ini sekarang boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat dan mencatat kelajuan maksimum 210 km/j.

    Disebabkan penggunaan bateri yang sama, waktu mengecas semula EQS 500 juga adalah sama dengan EQS 450+, iaitu 10 jam (10-100%) apabila menggunakan AC Type 2 sehingga 11 kW, dan 31 minit (10-80%) apabila menggunakan pengecas pantas DC CCS2 sehingga 200 kW.

    Jarak gerak EQS 500 ini bagaimanapun telah menjadi kurang sedikit (kerana bateri sama, tetapi kuasa lebih), iaitu 696 km sekali cas penuh, mengikut tetapan WLTP, berbanding 782 km yang dapat dicatat oleh EQS 450+ sebelum ini.

    Berkenaan spesifikasi, hampir semua kelengkapan pada EQS 450+ ada pada EQS 500 ini, termasuk suspensi udara Airmatic dengan pilihan serapan, rear axle steering (sehingga 10 darjah) serta pilihan mod Dynamic Select.

    Bagaimanapun, kit AMG Line pada model CBU sebelum ini telah ditukar kepada Electric Art Line, yang memberikan lebih banyak kemasan krom, serta rim 20 inci lima cabang yang menggantikan unit AMG 21 inci pada EQS 450+ sebelum ini.

    Selain daripada itu, kelengkapan lain masih lagi sama. Pakej Electric Art Line seperti 450+ terus digunakan pada bahagian dalam EQS 500, tetapi warna balutan kulit Nappa padanya telah ditukar kepada hitam/kelabu berbanding hitam/Balao pada model CBU.

    Panel paparan MBUX Hyperscreen berukuran 141 cm terus digunakan, dan ia terdiri daripada gabungan tiga skrin berlainan iaitu panel instrumen 12.3 inci, skrin sesentuh OLED 17.7 inci di tengah dan satu lagi skrin sesentuh OLED 12.3 inci di hadapan penumpang hadapan.

    Di bahagian lain, model ini datang dengan tempat duduk Comfort, dengan unit di hadapan boleh dilaras secara elektrik dan dilengkapi fungsi pemanas, liang udara serta memori. Di belakang, Rear Seat Package Plus menyediakan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik, penyandar kepala mewah (juga ada di hadapan), panel kawalan suhu serta peletak tangan. Turut disediakan di belakang adalah pengecas tanpa wayar dan tablet MBUX.

    Dalam keadaan standard, EQS 500 datang dengan Driving Assistance Plus Package (termasuk AEB), Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist (pemanduan semi-autonomous), Pre-Safe, Evasive Manoeuvre Support, Active Parking Assist, Parking Package dengan kamera 360 darjah dan perlindungan kenderaan Urban Guard vehicle protection.

     
     
  • TNB peruntukkan RM90j bina stesen pengecas DC untuk EV di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun

    TNB peruntukkan RM90j bina stesen pengecas DC untuk EV di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun

    Bagi membina kemudahan stesen pengecas pantas (DC) untuk kenderaan elektrik (EV) di seluruh Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukan sejumlah RM90 juta dalam tempoh dua tahun.

    Menurut Pengarah Program Pejabat Pengurusan Projek Kenderaan Elektrik TNB, Mohd Junaizee Mohd Noor, antara yang terkini, TNB membina tiga stesen pengecas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh di Melaka, Tapah di Perak dan Paka di Terengganu.

    “Kita sasar untuk membina tujuh lagi stesen pengecas DC di Malaysia sehingga akhir tahun ini di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Insya-Allah, hujung tahun ini TNB akan memiliki 10 stesen pengecas DC EV di sepanjang lebuh raya,” katanya kepada Bernama.

    Beliau turut berkata, TNB juga dalam perancangan membina stesen pengecas DC EV di jalan raya utama. Selain terus komited dalam memupuk keyakinan pengguna EV untuk perjalanan jarak jauh dan tidak ragu-ragu apabila berdepan masalah kehabisan bateri di lebuh raya.

    “Dengan adanya stesen pengecas DC ini, kita mahu kurangkan kebimbangan dan pada masa sama menggalakkan penggunaan EV pada masa akan datang,” katanya.

    TNB peruntukkan RM90j bina stesen pengecas DC untuk EV di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun

    Berkenaan dengan cabaran yang terpaksa dihadapi TNB dan penyedia perkhidmatan pengecasan EV di Malaysia, beliau berkata antara kekangannya adalah kelulusan yang perlu diterima daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelbagai bentuk dan jenis stesen pengecasan.

    “Setiap PBT mempunyai peraturan tersendiri dan ia harus diselaraskan dalam masa terdekat bagi memastikan masalah ini dapat diatasi. Saya harap dengan penyelarasan di seluruh negara, tempoh bagi kelululusan daripada PBT boleh disingkatkan sehingga kepada dua bulan sekurang-kurangnya,” katanya.

    Selain daripada masalah membabitkan PBT, TNB turut menghadapi masalah seperti ruang atau tempat untuk pemasangan stesen berkenaan. Oleh itu, Mohd Junaizee berkata TNB terbuka untuk menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan yang berminat untuk menyediakan tempat manakala TNB pula akan menyalurkan tenaga elektrik.

    Beliau berkata, TNB berpandangan selain kekurangan infrastruktur, industri EV juga dihimpit masalah kemampuan mampu milik kenderaan EV, kekurangan mekanik, polisi mesra EV dan subsidi minyak yang tinggi.

    TNB turut bekerjasama dengan beberapa pihak lain termasuk PLUS Berhad, Gamuda Land, Sime Darby Motors Malaysia dan DHL dalam usaha membangunkan rangkaian pengecasan di kawasan terpilih.

     
     
  • Aplikasi MyJPJ, portal JPJ diperkukuhkan ciri keselamatan selepas terima respons pengguna


    Klik untuk besarkan imej

    Sejak Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkenalkan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM atau digital roadtax) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang dipaparkan melalui aplikasi MyJPJ dan Portal Awam JPJ mulai 10 Februari 2023, memang banyak respons pengguna yang diterima oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Rata-ratanya berhubung dengan masalah untuk mendapatkan TAC bagi mendaftar akaun baharu pada aplikasi berkenaan.

    “Pandangan dan kritikan dari media sosial dan rakan-rakan media amat dihargai untuk membantu penambahbaikan dan pengukuhan user interface pada aplikasi MyJPJ dan portal awam JPJ. Selaras dengan perkembangan ini, JPJ telah melaksanakan beberapa langkah bagi menambahbaik ciri-ciri keselamatan dan mesra pengguna,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Langkah pertama ialah memperkenalkan sekuriti peringkat ketiga dengan menggunakan lapan aksara terakhir yang tertera di belakang lesen memandu untuk pendaftaran JPJeID secara dalam talian. Ini merupakan penambahan kepada dua peringkat sekuriti sedia ada iaitu “kata laluan” dan “kod TAC”.

    Aplikasi MyJPJ, portal JPJ diperkukuhkan ciri keselamatan selepas terima respons pengguna

    Manakala langkah kedua pula ialah menambah fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui lapan aksara terakhir lesen memandu. Menurut JPJ, ini adalah penyelesaian kepada isu “telah mendaftar” disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun di portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem JPJ.

    Untuk langkah ketiga pula melibatkan penambahan fungsi ‘Penetapan Semula E-mel’ bagi pengguna yang terlupa e-mel yang digunakan atau perlu mengemaskini e-mel secara dalam talian dengan tambahan lapan aksara lesen memandu.

    “Penambahbaikan ciri-ciri keselamatan ini dapat diakses oleh pengguna secara berperingkat mengikut sistem operasi telefon (Android, IOS dan Huawei) mulai 15 Februari 2023. Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber Aplikasi MyJPJ terjamin,” katanya lagi.

     
     
  • Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 15-16 Feb 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh

    Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 15-16 Feb 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh

    Sempena dengan program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontijen Perak bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada 15 hingga 16 Februari 2023. Program berkenaan akan berlangsung di Perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Menurut JSPT Perak, hanya pembayaran secara tunai sahaja yang akan diterima untuk melangsaikan saman trafik terpilih ini.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

     
     
  • VIDEO: Perodua Axia D74A 2023 — RM38.6k-RM49.5k

    VIDEO: Perodua Axia D74A 2023 — RM38.6k-RM49.5k

    Perodua Axia D74A 2023 adalah model serba baru yang sudah jauh meninggalkan versi sebelumnya. Axia kini merupakan model ketiga yang dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) selepas SUV Ativa dan MPV Alza sebelum ini. Bagi Axia 2023, projek pembangunannya melibatkan belanja RM546 juta, dimulakan pada Oktober 2019 dan mengambil masa kira-kira 300,000 jam kerja, termasuk bantuan dari Daihatsu.

    Semua sekali ada empat varian ditawarkan: G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Perbezaan spesifikasi antara variannya boleh dirujuk secara terperinci di sini.

    Dengan platform maju dan terbaru ini, ada banyak kelebihan yang datang sekali. Antaranya, kita lihat dulu saiznya: Axia kini merupakan sebuah kereta yang lebih besar — lebih panjang, lebar dan rendah — berbanding sebelumnya. Axia 2023 mempunyai panjang 3,760 mm, lebih 115 mm berbanding yang sebelumnnya. Lebar pula model generasi baru ini ada tambahan 45 mm, menjadi 1,665 mm manakala tinggi pula 1,495 mm, berkurang 15 mm.

    Banyak lagi perkara yang perlu anda tahu tentang Axia 2023 ini memandangkan ia model serba baru bagi generasi kedua. Untuk itu, tonton video yang kami sediakan untuk tahu lebih lanjut. Harga Axia makin mahal, adakah penawarannya berbaloi?

    Perodua Axia AV 2023

     
     
  • Perodua Axia D74A 2023 — perbandingan spesifikasi antara varian G, X, SE, AV; RM38.6k hingga RM49.5k

    Perodua Axia D74A 2023 — perbandingan spesifikasi antara varian G, X, SE, AV; RM38.6k hingga RM49.5k

    Perodua Axia D74A 2023 generasi kedua akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini. Ia merupakan model serba baru yang sudah meninggalkan jauh versi sebelumnya dan menjadi model Perodua yang ketiga dibangun menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) selepas SUV Ativa dan MPV Alza sebelum ini. Boleh ikuti laporan pelancarannya di sini.

    Semua sekali ada empat varian diperkenalkan: G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Ia masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — unit sama digunakan pada Ativa, Alza dan juga Myvi semasa.

    Antara kelebihannya ialah, kadar penggunaan minyak Axia 2023 (varian AV) jika mengikut kitaran ujian MDC (Malaysia Driving Cycle) mampu memberikan sebanyak 27.4 km/l. Ini satu bacaan yang cukup jimat, mengambil kira ia memanfaatkan enjin petrol konsensional tanpa teknologi elektrifikasi. Bagi varian G dan X pula, bacaannya adalah 25.3 km/l.

    Namun, apa yang membezakan setiap varian ini? Apakah kelengkapan yang ada bagi setiap satu daripadanya, dan adakah itu berbaloi dengan harga yang diletakkan? Kami buat pecahan perbandingan spesifikasi seperti di bawah untuk mudahkan anda.

      Perodua Axia G 2023 — RM38,600
      Ciri standard:

      Mekanikal

    • Enjin 1.0L VVT-i tiga-silinder (1KR-VE)
    • 67 hp @ 6,000 rpm, 91 Nm @ 4,400 rpm
    • Penggunaan minyak 25.3 km/l MDC (23.3 km/l NEDC)
    • Transmisi automatik D-CVT
    • Tangki minyak 33-litre
    • Stereng kuasa elektrik (EPS)
    • Radius pusingan 4.5-meter
    • Brek tangan manual
    • Cakera brek berliang (depan), brek dram (belakang)
    • 3,760 mm panjang, 1,665 mm lebar, 1,495 mm tinggi, 2,525 mm jarak antara roda
    • Jarak kelegaan tanah 150 mm
    • Jaminan 5-tahun/150,000 km
    • Luaran

    • Lampu halogen
    • Cermin sisi warna badan larasan elektrik dengan lipatan manual
    • Rim aloi 14-inci dengan tayar 175/65 Toyo Proxes CR1
    • Dalaman

    • Kunci pintu automatik sensitif terhadap kelajuan
    • Kerusi fabrik
    • Kerusi belakang boleh lipat dengan perehat kepala “bantal”
    • Kerusi pemandu boleh laras ketinggian
    • Tingkap kuasa, auto naik/turun untuk pemandu sahaja
    • Larasan pendingin manual
    • Panel meter analog dengan paparan LCD multi-info 4.2-inci
    • Head unit tanpa skrin sentuh dengan USB/Bluetooth
    • Empat pembesar suara
    • Stereng urethane
    • Keselamatan

    • Dua beg udara
    • ASB, EBD, Brake Assist, Bantun mula mendaki, VSC
    • Sensor parkir belakang
    • Isofix
    • Perodua Axia X 2023 — RM40,000

      Tambahan:

      Luaran

    • Sistem tanpa kunci dengan sensor sentuh elektrostatik
    • Lampu automatik
    • Lampu LED dengan larasan tahap manual
    • Lampu posisi LED
    • Lampu “follo me home”
    • Tiang B hitam
    • Dalaman

    • Stereng larasan atas/bawah
    • Butang Push Start
    • Keselamatan

    • Sensor parkir di sudut depan
    • Perodua Axia SE 2023 — RM44,000

      Tambahan:

      Mekanikal

    • Eco Idle Start/Stop
    • Mod Power
    • Penggunaan minyak 27.4 km/l MDC
    • Luaran

    • Lampu DRL LED
    • Jalur krom di gril
    • Skirting depan
    • Skirting sisi
    • Spoiler belakang
    • Cermin sisi lipatan automatik dengan lampu isyarat
    • Filem penapis haba
    • Dalaman

    • Butang mod Power di stereng
    • Kerusi semi-bucket
    • Perehat kepala belakang terpisah
    • Kawalan pendingin digital dengan memori
    • Meter rev
    • Perodua Axia AV 2023 — RM49,500

      Tambahan:

      Luaran

    • Lampu tinggi automatik
    • Dalaman

    • Panel instrumen digital 7.0-inci dengan butang kawalan stereng
    • Head unit dengan skrin sentuh 9.0-inci dengan butang kawalan stereng
    • Kerusi balutan semi-kulit
    • Stereng balutan kulit
    • Keselamatan

    • Enam beg udara
    • Amaran dan penghindaran penukaran lorong
    • Peninjau titik buta
    • Amaran lintasan trafik di belakang
    • ASA 3.0 termasuk AEB
    • Kamera undur

    Perodua Axia AV 2023

    Perodua Axia SE 2023

    Perodua Axia X 2023 dengan GearUp

    Perodua Axia G 2023

     
     
  • Perodua Axia 2023 terima 20,100 tempahan termasuk 13,600 pelanggan setuju tukar ke model baharu

    Perodua Axia 2023 terima 20,100 tempahan termasuk 13,600 pelanggan setuju tukar ke model baharu

    Ternyata populariti Perodua Axia kian meledak, apabila hari ini model versi 2023 yang dilancarkan tampil dengan rekaan lebih ‘ngam ho’ dan beberapa peningkatan yang menarik perhatian.

    Sejak tempahannya dibuka pada 31 Januari lalu, Perodua memaklumkan bahawa sebanyak 6,500 tempahan telah diterima, Digabungkan dengan 13,600 unit dari tempahan pelanggan sedia ada (yang menempah Axia versi terdahulu tetapi belum menerimanya), menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 20,100 unit.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “Dengan pelancaran Perodua Axia serba baharu, fokus kami (untuk model baharu ini) terbahagi kepada dua iaitu memaksimumkan penghantaran kepada para pelanggan kami dan menukar tempahan Axia generasi sebelumnya kepada Axia serba baharu.

    “Sasaran 314,000 pendaftaran dan 330,000 pengeluaran kami secara keseluruhannya untuk tahun ini menggambarkan komitmen kami untuk memastikan tempahan anda dapat dihantar dalam masa yang terbaik tanpa menjejaskan kualiti,” katanya lagi.

    Beliau turut berkata, dijangkakan 2,900 pelanggan akan menerima kereta Axia baharu mereka dalam masa terdekat. Malahan pihaknya turut mensasarkan jualan sebanyak 5,700 unit sebulan bagi Axia serba baharu ini, menjadikan sasaran pengeluaran tahunan model itu melebihi 82,000 unit.

    “Kami amat bersyukur dan terdorong dengan sokongan yang ditunjukkan oleh para pelanggan kami – untuk model baharu ini serta untuk semua produk dan perkhidmatan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

    Perodua Axia 2023 ini dibarisi empat varian iaitu G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500.

    Bagi sistem janaannya pula, Axia 2023 masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Ura-ura enjin turbo yang bertiup sebelum ini tidak betul. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — unit sama digunakan pada Ativa, Alza dan juga Myvi semasa.

    Perodua Axia AV 2023

    Perodua Axia SE 2023

    Perodua Axia X 2023 dengan GearUp

    Perodua Axia G 2023

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025