Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MOT sedang teliti cadangan pelaksanaan had laju 30 km/j dan 50 km/j di beberapa lokasi di seluruh negara

    MOT sedang teliti cadangan pelaksanaan had laju 30 km/j dan 50 km/j di beberapa lokasi di seluruh negara

    Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti secara lebih mendalam cadangan melaksanakan had laju 30 km/j dikenakan di kawasan perumahan, bandar serta kampung untuk tujuan keselamatan, dan 50 km/j bagi zon lain. Perkara ini disahkan oleh Menteri MOT Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang berkata, pihaknya akan memanggil pemain industri berkaitan untuk berbincang mengenai cadangan tersebut memerlukan perbincangan dan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dicapai, laporan Bernama.

    “Saya ada dengar cadangan itu. Saya akan panggil semua (pemain industri) untuk mengadakan perbincangan kerana ia melibatkan stakeholders. Kedua, ada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga yang telah usulkan supaya kita dapat kurangkan kadar had laju di Malaysia ini.

    “Tetapi kita lihat di Malaysia ini punca kemalangan sebenarnya mempunyai pelbagai faktor dan bukan sahaja berdasarkan kepada kelajuan. Pihak saya akan mengimbangi semua faktor dan melihat dari segi semua sudut bagi mencari jalan yang terbaik,” katanya.

    Tambah beliau, kelajuan yang dikatakan daripada 50 km/j kepada 30 km/j itu sudah pastinya mendapat reaksi yang bercampur.

    MOT sedang teliti cadangan pelaksanaan had laju 30 km/j dan 50 km/j di beberapa lokasi di seluruh negara

    Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dikatakan sedang berusaha untuk memperkenalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota Kuala Lumpur tidak lama lagi.

    Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Datuk Suret Singh, kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit melibatkan dalam mengenalpasti jalan raya di mana had laju tersebut boleh diperkenalkan sebagai langkah keselamatan. Selain itu, ia juga melibatkan perkongsian data kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kesalahan trafik.

    Malah sebelum ini, MIROS turut mencadangkan had laju standard 30 km/j untuk kawasan bandar, desa dan kediaman sebagai sebahagian daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2021-2030. Cadangan had laju 30 km/j di kawasan-kawasan seperti dinyatakan itu adalah juga sebahagian daripada kempen “Street for Life” di bawah Minggu Keselamatan Jalanraya Global PBB ke-6 (UNGRSW), yang menyasarkan untuk pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

     
     
  • Semua stesen LRT, MRT, Monorel di KL ditutup esok jam 7 pagi-3 petang atas permintaan polis – Rapid KL

    Semua stesen LRT, MRT, Monorel di KL ditutup esok jam 7 pagi-3 petang atas permintaan polis – Rapid KL

    Rapid KL telah mengesahkan semua stesen LRT, MRT dan Monorel di ibu kota Kuala Lumpur akan ditutup esok (22 Januari) dari jam 7 pagi hingga 3 petang. Ia adalah “atas nasihat PDRM untuk keselamatan awam”.

    Ini berikutan ada pihak yang mahu menganjurkan protes di sekitar KL bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap dan SPRM dirombak.

    Menurut pengumuman Rapid KL, bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, tren tidak akan berhenti di stesen Pudu, Hang Tuah, Plaza Rakyat, Masjid Jamek, Bandaraya dan Sultan Ismail. Manakala untuk LRT Laluan Kelana Jaya, tren tidak akan berhenti di stesen Pasar Seni, Dang Wangi, Masjid Jamek dan Kg Baru.

    Bagi MRT pula, stesen di Pasar Seni, Bukit Bintang dan Merdeka akan ditutup. Manakala semua stesen Monorel pula akan ditutup dari jam 7 pagi hingga 3 petang esok. Lain-lain stesen yang tidak disebut akan dibuka seperti biasa. Jadi, jika esok anda hendak ke mana-mana dengan menggunakan perkhidmatan LRT, dan MRT, sila rancang perjalanan anda sebaik mungkin dan kekal selamat.

     
     
  • VTL Malaysia-S’pura dibuka semula, namun kuota tiket perjalanan vaksinasi darat & udara dipotong separuh

    VTL Malaysia-S’pura dibuka semula, namun kuota tiket perjalanan vaksinasi darat & udara dipotong separuh

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura yang sebelum ini dihentikan sementara pada 23 Disember lalu, kini secara rasmi dibuka semula hari ini, efektif untuk laluan darat dan udara. Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

    Menurut KKM, keputusan tersebut diambil berdasarkan penilaian risiko terkini situasi penularan Covid-19 di kedua-dua negara. Oleh itu, penjualan tiket bas dan juga penerbangan kini sudahpun mula dibuka, tetapi buat masa sekarang (21 Januari) kuota tiket yang dijual dikurangkan kepada 50% atau separuh daripada kapasiti bas dan pesawat yang digunakan.

    Namun untuk Pengembara VTL yang telah pun membeli tiket perjalanan untuk tarikh selepas 20 Januari sebelum pengumuman penghentian sementara tersebut (23 Disember) kini boleh meneruskan perjalanan mereka dengan kuota lama. Menurut KKM, garis masa berkenaan kenaikan kuota jualan tiket ini akan dibuat berdasarkan penilaian risiko yang sentiasa dijalankan dari masa ke masa berdasarkan situasi Covid-19 di kedua-dua negara.

    Pengembara-pengembara VTL ini perlu mengambil ujian kendiri pantas RTK-Ag sebanyak tiga kali, iaitu pada hari kedua, keempat dan keenam setelah berada di Malaysia. Mereka turut perlu melakukan ujian pantas RTK-Ag yang dijalankan secara professional pada hari ketiga dan kelima setelah tiba di Malaysia.

    Jadi secara keseluruhan, kesemua pengembara VTL ini perlu melakukan lima ujian RTK-Ag; tiga secara kendiri dan dua lagi di fasiliti.

     
     
  • Toyota Altis GR Sport terima kemaskini di Thailand — wajah baru, hibrid, Toyota Safety Sense standard

    Toyota Altis GR Sport terima kemaskini di Thailand — wajah baru, hibrid, Toyota Safety Sense standard

    Toyota Motor Thailand telah memperkenalkan versi terbaru Corolla Altis GR Sport, yang telah menerima rekaan semula dan kini lebih mirip model di pasaran Taiwan — dalam pendekatan yang sama dengan Corolla Cross GR Sport. Lebih menarik, varian dengan penampilan agresif ini juga ditawarkan dalam versi hibrid serta dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense sebagai standard.

    Luarannya, bodykit biasa telah digantikan dengan bampar baru dengan gril lebih lebar, serta bukaan menegak hiasan di bucunya dan jalur hitam berkilat yang memberikan kesan penampilan lebih lebar. Skirting sisi yang lebih menawan serta skirting belakang yang lebih ringkas dengan rekaan diffuser bersepadu turut dihadirkan. Rim 17-inci biasa pula datang dalam dua tona warna.

    Di dalam, penampilan GR Sport kekal sama seperti sebelum ini, dengan kemasan merah pada pemegang pintu dan kerusi balutan kulit, serta jahitan merah dan cetak-timbul GR pada perehat kepala. Butang penghidup enjin GR, head-up display baru serta penghadang matahari manual untuk cermin belakang telah ditambah, manakala paparan instrumen digital tujuh-inci pada model hibrid kini ditawarkan secara standard bagi semua Corolla ALtis, kecuali varian asas 1.6G.

    Toyota Altis GR Sport terima kemaskini di Thailand — wajah baru, hibrid, Toyota Safety Sense standard

    Sama seperti model di Taiwan, pasaran Thailand juga datang dengan suspensi yang dipertingkatkan terdiri daripada gegelung, penyerap hentak dan palang anti-olengan baru yang lebih tegap. Dari sudut keselamatan, kedua-dua varian petrol dan hybrid GR Sport datang dengan ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan membetulkan lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi automatik.

    Varian petrol terus menggunakan unit enjin 2ZR-FXE 1.8 liter NA Dual VVT-i empat-silinder, menghasilkan 140 PS pada 6,000 rpm dan 177 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi CVT dengan tujuh nisbah maya dan paddle shifter di sterengnya.

    Toyota Altis GR Sport terima kemaskini di Thailand — wajah baru, hibrid, Toyota Safety Sense standard

    Baru untuk GR Sport ialah sistem janaan kuasa hibrid yang menggabungkan enjin sama dengan kitaran Atkinson (menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm pada 3,600 rpm) dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm dan bateri nickel-metal hydrate untuk memberikan output keseluruhan 122 PS. Toyota mendakwa penggunaan minyak model ini pada kadar 23.3 km per liter.

    GR Sport Hybrid ini menggantikan varian paling tinggi Corolla Altis sebelum ini, HV Premium Safety, dan dijual pada harga 1,114,000 baht (RM141,100). Varian 1.8 GR Sport pula lebih mahal
    60,000 baht (RM7,600) dan kini dijual pada harga 1,059,000 baht (RM134,100).

     
     
  • Peugeot 2008 2022 dilancarkan di Malaysia – CKD; 1.2L turbo dengan 130 hp/230 Nm, AEB; dari RM127k

    Peugeot 2008 2022 dilancarkan di Malaysia – CKD; 1.2L turbo dengan 130 hp/230 Nm, AEB; dari RM127k

    Petang ini, Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAuto), selaku pengedar baharu Peugeot di Malaysia, telah pun melancarkan model 2008 serba baharu untuk pasaran tempatan. SUV segmen-B generasi kedua ini hanya ditawarkan dengan kemasan tunggal Allure, yang dijual pada harga RM126,753 (atas jalan tanpa insurans) dengan 100% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

    Menurut BAuto, 2008 2022 yang dipasang di kilang Stellantis di Gurun, Kedah, telah menjalani ujian kualiti dan ketahanan sejauh 200,000 km di Malaysia dengan mengikut kepelbagaian iklim dan landskap alam sekitar. Malahan ia turut dieksport ke pasaran negara jiran iaitu Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina dan Myanmar.

    Sama seperti versi Thailand, 2008 2022 untuk Malaysia turut diberikan enjin 1.2 liter PureTech turbo tiga-silinder petrol sebagai penjana kuasa tunggal yang ditawarkan, dengan kuasa 130 hp pada takat 5,500 rpm dan tork 230 Nm pada takat 1,750 rpm. Ia adalah lebih 20 hp dan 25 Nm berbanding model lama.

    Tidak seperti kebanyakan pasaran negara lain yang telah diberikan transmisi automatik lapan-kelajuan baharu, 2008 versi Malaysia yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD) masih menerima kotak gear lama iaitu transmisi automatik enam-kelajuan dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Peugeot 2008 2022 dilancarkan di Malaysia – CKD; 1.2L turbo dengan 130 hp/230 Nm, AEB; dari RM127k

    Padanan enjin dan kotak gear berkenaan membolehkan SUV ini dipacu sehingga mencapai kelajuan maksimum 199 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 4.5 liter bagi setiap 100 km mengikut standard NEDC.

    Walau bagaimana pun, buat pertama kalinya, ia diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport. Bagi dimensinya, ia berukuran 4,300 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,605 mm. SUV ini memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) mencecah 174 mm.

    Untuk bahagian luarannya, 2008 ini diberikan gril radiator krom, teknologi pencahayaan LED penuh dengan iluminasi signitur tiga-cakaran yang merupakan ikonik bagi Peugeot untuk lampu belakang dan hadapan. Selain itu, ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED, bilah pengelap cermin automatik dengan penderia hujan.

    Ia turut diberikan lampu kabus belakang jenis mentol, rel bumbung hitam berkilat, pemegang pintu krom dan hitam, spoiler belakang dan roda aloi Black Onyx & Diamond Cut 17-inci dibaluti tayar bersaiz 215/60 R17 yang menambahkan gaya sporty SUV ini. Bukan itu sahaja, ia turut diberikan kemasukan tanpa kunci pintar dengan fungsi Auto-Unlock dan Walk Away Lock, penderia parkir hadapan dan belakang, dan cermin sisi boleh lipat larasan elektronik dengan fungsi haba.

    Peugeot 2008 2022 dilancarkan di Malaysia – CKD; 1.2L turbo dengan 130 hp/230 Nm, AEB; dari RM127k

    Di dalamnya, ia diberikan kluster instrumen digital “tiga-dimensi” 10-inci secara standard dengan rekaan i-Cockpit. Selain itu, ia juga diberikan butang penghidup enjin, cruise control, roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dua-jejari berdiameter-kecil, bersama paparan skrin sesentuh tujuh-inci freestanding dengan sokongan Apple CarPlay dan buat pertama kalinya ia diberikan ketersambungan Android Auto.

    Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan larasan manual enam-hala, tempat duduk kulit dengan rona hitam, sistem kawalan suhu automatik zon-tunggal, suis brek parkir elektronik dengan penahan brek auto dan skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem infotainmen dengan kawalan suara.

    Kelengkapan lain termasuk enam-pembesar suara, kemasan pemuka ala gentian karbon, port pengecas USB-A, pencahayaan ambien, dua pemegang cawan pada konsol tengah serta perehat tangan di tengah dengan jahitan kontras.

    Bagi sistem keselamatan, 2008 serba baharu ini dilengkapi dengan bantuan pemandu termaju, seperti brek kecemasan sendiri berasaskan kamera (digelar Brek Keselamatan Aktif), bantuan kekal lorong aktif, amaran perhatian pemandu, sistem pemantauan titik buta, dan bantuan lampu tinggi.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan kamera pandangan belakang 180 darjah Visiopark 1, enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Anti-Skid Regulation (ASR), Bantuan Mula Mendaki (HSS), Amaran Pemakaian Tali Pinggang Keledar, dan cagak ISOFIX.

    Barisan 2008 baharu ini ditawarkan dengan empat warna pilihan iaitu Amazonite Grey, Pearl White, Nera Black dan warna eksklusif Orange Fusion. Dengan harga bermula RM126,753, ia turut didatangkan dengan waranti penyelenggaraan servis percuma selama tiga-tahun/60,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) dengan waranti pengilangan standard lima-tahun, dengan tempoh perlindungan sehingga lima tahun atau had perbatuan sehingga 100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian penuh Peugeot 2008 2022, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Foto rasmi Peugeot 2008 2022

     
     
  • Puspakom anjur pemeriksaan kenderaan secara sukarela percuma mulai 21-31 Jan sempena CNY

    Puspakom anjur pemeriksaan kenderaan secara sukarela percuma mulai 21-31 Jan sempena CNY

    Puspakom sedang menganjurkan menganjurkan kempen #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela atau Voluntary Vehicle Inspection (VVI) dengan menawarkan pemeriksaan kenderaan percuma kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan persendirian bermula 21 hingga 31 Januari 2022. Ia adalah sempena dengan perayaan Tahun Baru Cina yang menjelang tiba.

    Menurut Puspakom, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan pemeriksaan percuma ini boleh membuat temujanji menerusi laman web rasmi Puspakom (www.mypuspakom.com.my). Perkhidmatan ini ditawarkan di semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara, kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan kepada kenderaan komersial berat sahaja, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    “Sebagai pilihan, orang ramai juga boleh mendapatkan pemeriksaan percuma ini secara walk-in di Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang dan ditempatkan di Lotus Ampang (22 Jan), Seng Cars World, Sungai Long (23 Jan), Wisma DRB-HICOM, Shah Alam (26 Jan), Lotus Ara Damansara (29 Jan) dan RnR Degkil (Arah Selatan), Lebuhraya Plus (30 Jan),” kata Puspakom menerusi kenyataan yang dihantar.

    VVI melibatkan 25 item pemeriksaan termasuk brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan lain-lain lagi.

    Puspakom anjur pemeriksaan kenderaan secara sukarela percuma mulai 21-31 Jan sempena CNY

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakim Mohammed Shukor Ismail berkata, kempen ini merupakan tanggungjawab korporat Puspakom bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan kenderaan khususnya ketika musim perayaan.

    ”Tahun lepas kempen ini hanya ditawarkan di pusat pemeriksaan Puspakom sahaja. Tetapi pada tahun ini, kempen tersebut juga ditawarkan kembali melalui Unit pemeriksaan bergerak Puspakom. Orang ramai disarankan untuk merebut peluang ini bagi mendapatkan pemeriksaan secara percuma demi memastikan kenderaan anda selamat dipandu, khususnya kepada mereka yang akan memandu pulang ke kampung halaman pada Tahun Baru Cina ini,” kata Shukor.

    Tambah beliau, perkhidmatan ini percuma demi kepentingan pengguna jalan raya di Malaysia di musim perayaan, di mana bilangan kenderaan menggunakan jalan raya meningkat. Fi lazim bagi Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini adalah RM50 bagi sebuah kenderaan persendirian.

    Seperti biasa, orang ramai yang hadir ke pusat pemeriksaan Puspakom atau Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom untuk pemeriksaan kenderaan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelindung muka dan mengimbas MySejahtera.

     
     
  • PLUS buka semula 19 lorong SmartTag di 16 plaza tol sebelum 25 Jan; baki 24 lorong diaktifkan pada 19 Feb

    PLUS buka semula 19 lorong SmartTag di 16 plaza tol sebelum 25 Jan; baki 24 lorong diaktifkan pada 19 Feb

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengenalpasti beberapa plaza tol di mana lorong SmartTag yang sebelum ini ditutup akan diaktifkan semula ekoran rungutan dari pelanggan SmartTAG dan pengurusan trafik. Di mana menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, sebanyak 19 lorong SmartTag di 16 buah plaza tol akan dibuka semula sebelum 25 Januari ini. Manakala baki 24 lorong SmartTAG di 18 buah plaza tol juga akan kembali beroperasi pada 19 Februari 2022.

    “PLUS juga komited untuk mengambil segala pendekatan perlu dalam mengoptimumkan prestasi sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol. Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza-plaza tol dengan jumlah trafik yang tinggi bagi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

    “Sebagai tambahan, lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik dalam meningkatkan kadar pengesanan yang lebih tinggi ketika melalui lorong RFID,”kata kenyataan yang dikeluarkan oleh PLUS.

    PLUS buka semula 19 lorong SmartTag di 16 plaza tol sebelum 25 Jan; baki 24 lorong diaktifkan pada 19 Feb

    Selain itu, PLUS juga telah menempatkan pembantu khidmat pelanggan di semua 158 lorong RFID di semua 74 plaza tol untuk memberi bantuan kepada pelanggan RFID yang menghadapi masalah dengan menggunakan Peranti Pengesan Mudah Alih.

    PLUS turut menambah, terdapat 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di lebuhraya PLUS dan 35 lagi lokasi berada di luar lebuh raya. Senarai penuh Pusat Pemasangan boleh didapati di laman sesawang https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

    “Pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuhraya PLUS akan menerima kupon Touch N Go dari pembantu Khidmat Pelanggan kami dan pelanggan boleh terus ke pusat Pusat Pemasangan Tag RFID yang terdekat untuk pemeriksaan. Jika tag didapati rosak, pihak Touch N Go akan menggantikan tag tersebut secara percuma. PLUS akan terus bekerjasama dengan Touch N Go untuk meningkatkan bilangan pusat pemasangan RFID bagi memastikan pemasangan tag yang betul oleh ejen pemasangan yang terlatih,” jelasnya.

    Projek RFID ini adalah selaras dengan pelan tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Kementerian Kerja Raya ke arah eko-sistem lebuh raya bebas kesesakan iaitu Sistem Aliran Tol Tanpa Henti (MLFF). Transaksi pembayaran tol dengan RFID telah wujud bersama dengan pilihan pembayaran SmartTAG dan Touch ‘n Go dikebanyakan rangkaian lebuh raya bertol sistem terbuka sejak 2018 dengan lebih 1.5 juta pelanggan RFID sedia ada.

    PLUS buka semula 19 lorong SmartTag di 16 plaza tol sebelum 25 Jan; baki 24 lorong diaktifkan pada 19 Feb

    Pada 15 Januari 2022, PLUS memperkenalkan sistem ini secara menyeluruh di sepanjang lebuh raya kendaliannya sebagai pilihan pembayaran tambahan kepada pelanggan. Walau bagaimana pun, semasa hari pertama pelaksanaan RFID Perintis Awam ke-2 sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Juru ke Skudai, berlaku kesesakan teruk di beberapa plaza tol yang berpunca apabila pengguna ‘tersangkut’ di hadapan palang tol di lorong RFID sehingga memaksa mereka untuk mengundurkan kenderaan dan menukar ke lorong TNG atau SmartTAG.

    Perkara ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang inginkan PLUS terus mengekalkan lorong SmartTag dan Touch ‘n Go (TNG) sebagai pilihan kepada pengguna lebuhraya sebagai transaksi pembayaran tol.

    “Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong RFID Dan selebihnya ‘Touch n’ Go’ dan SmartTag. Kita tak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID mudahkan jalan, mereka boleh tukar,” kata beliau.

    Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut mengarahkan agar PLUS mengekalkan lorong SmartTag dan TNG . Selain itu, LLM turut menggesa agar PLUS memastikan prestasi sistem RFID dipertingkatkan bagi mengelakkan kesesakan trafik di plaza tol dan harus lebih banyak menyalurkan informasi sistem RFID menerusi saluran media untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran pengguna (terhadap sistem RFID).

     
     
  • Hanya 274 kereta elektrik terjual di M’sia pada 2021, dijangka naik tahun ini dengan pengecualian cukai

    Hanya 274 kereta elektrik terjual di M’sia pada 2021, dijangka naik tahun ini dengan pengecualian cukai

    Ketika sidang media pembentangan prestasi tahunan industri automotif untuk tahun 2021 yang diadakan secara maya oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam, presidennya Datuk Aishah Ahmad mendedahkan bahawa hanya sejumlah 274 kereta elektrik penuh (EV) terjual dalam pasaran tempatan sepanjang tahun lalu.

    Namun jumlah yang dicatatkan tersebut adalah hanya untuk kereta-kereta yang dijual oleh ahli AAM, iaitu model-model yang dijual baharu oleh pengedar-pengedar rasmi untuk pengeluar, tidak termasuk EV yang dijual oleh pengimport persendirian/pengedar kereta recond.

    Jumlah berkenaan dilihat sangat kecil kerana jumlah keseluruhan volum industri berkenaan (jumlah keseluruhan jualan) adalah sebanyak 508,911 unit. Namun jumlah jualan untuk EV dijangka akan meningkat dengan banyak tahun ini berikutan pengumuman kerajaan untuk mengecualikan cukai dan duti terhadap EV yang telah pun diumumkan dalam Bajet 2022 sebelum ini, yang dibuat untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan lebih mesra alam tersebut.

    Hanya 274 kereta elektrik terjual di M’sia pada 2021, dijangka naik tahun ini dengan pengecualian cukai

    “Untuk 2022, ia akan lebih tinggi kerana lebih banyak syarikat yang akan membawa masuk EV kerana diberikan pengecualian cukai. Kami tidak ada peratusannya tetapi ia akan lebih banyak,” kata Aishah.

    “Untuk EV, selepas kerajaan mengumumkan pengecualian duti eksais, duti import dan cukai jualan, ia telah menarik minat yang banyak terhadap EV dan membawa masuk EV. Kerajaan sendiri, setakat yang saya tahu, mereka kini sedang membuat polisi bagi memastikan akan ada lebih banyak produksi EV di Malaysia. Ia merupakan urus niaga yang baik untuk mengutamakan EV buat masa sekarang,” tambah beliau lagi.

    Matlamat utama kerajaan adalah untuk menggalakkan pengeluar-pengeluar kenderaan agar mewujudkan pusat operasi EV mereka dalam negara, dan Aishah menyatakan bahawa langkah pengecualian cukai berkenaan telah menyebabkan mereka duduk dan mengambil perhatian.

    Hanya 274 kereta elektrik terjual di M’sia pada 2021, dijangka naik tahun ini dengan pengecualian cukai

    “Mengenai dasar (berkenaan), hakikatnya selepas mereka mengumumkan pengecualian cukai untuk EV ia telah merangsang minat OEM untuk datang dan melabur di Malaysia. Terdapat banyak soalan dan permintaan daripada banyak syarikat untuk datang dan melabur dalam EV di Malaysia. Saya diberitahu bahawa kerajaan sangat serius dalam memastikan bahawa EV akan menjadi jenis kenderaan masa depan yang akan diimplementasi di Malaysia,” katanya.

    “Kami berpendapat bahawa insentif untuk EV CBU selama dua tahun adalah satu jangka masa yang singkat, dan kami akan meminta kerajaan untuk mempertimbangkan untuk melanjutkannya dalam beberapa bentuk atau yang lain. Tetapi ia adalah permulaan yang baik. Untuk operasi CKD, terdapat beberapa ahli yang sudah bercakap mengenai pengeluaran EV dalam bentuk CKD di Malaysia,” tambah Aishah lagi.

     
     
  • Jualan SUV di Malaysia meningkat 43% pada 2021 — kenderaan penumpang biasa turun hampir 20%

    Jualan SUV di Malaysia meningkat 43% pada 2021 — kenderaan penumpang biasa turun hampir 20%

    Satu corak pasaran yang semakin berkembang di Malaysia adalah peningkatan jualan SUV dan 4×4. Daripada keseluruhan 508,911 unit kenderaan terjual tahun lalu, 136,497 unit daripadanya terdiri daripada SUV/4×4, mewakili peningkatan 43% berbanding 95,477 unit yang terjual pada 2020 — ini berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Sebagai perbandingan, kereta penumpang biasa menunjukkan penurunan hampir satu per lima, atau 19.7% kepada 282,155 unit tahun lalu, turun daripada 351,198 unit yang dijual sepanjang 2020. Ini adalah daripada keseluruhan 452,663 unit kenderaan penumpang, yang telah mencatatkan penurunan 5.9% daripada 480,971 unit pada 2020.

    Bahkan, SUV dan 4×4 menjadi satu-satunya segmen kenderaan penumpang yang mencatatkan peningkatan tahun lalu. Jualan van bertingkap turun 11.8% kepada 901 unit tahun lalu daripada 1,021 unit pada 2020. Sementara MPV mencatatkan penurunan 0.5% kepada 33,110 unit tahun lalu berbanding 33,275 unit terjual pada 2020.

    Jualan SUV di Malaysia meningkat 43% pada 2021 — kenderaan penumpang biasa turun hampir 20%

    Proton X50 menjadi model SUV keluaran syarikat nasional terlaris serta menjadi SUV paling popular di Malaysia dengan jualan 28,774 unit terjual setakat minggu pertama tahun ini, meletakkannya di belakang Proton Saga sebagai model paling popular Proton.

    SUV Proton X70 pula mencatatkan jualan 16,375 unit, menjadikannya SUV segmen C paling laris di negara ini tahun lalu. Proton menjual 45,149 unit SUV pada 2021, menyumbang hampir 40% daripada jualan keseluruhan 11,708 unit tahun lalu di Malaysia dan juga pasaran luar.

    Walaupun Perodua masih mengekalkan kedudukannya di depan bagi tahun 2021, bagi SUV, model Ativa syarikat itu yang mencatatkan angka 26,847 unit tetap berada di belakang Proton X50 dengan 28,774 unit. Sementara itu, jualan Aruz menyumbang sebanyak 15,313 unit tahun lalu. Daripada jualan keseluruhan Perodua 190,291 unit tahun lalu, Ativa dan Arus menyumbang 22% daripada jualannya.

     
     
  • MAA sasar jual 600k unit bagi 2022, +17.9% dari 2021

    MAA sasar jual 600k unit bagi 2022, +17.9% dari 2021

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini memaklumkan bahawa jualan kenderaan yang dicatatkan sepanjang 2021 adalah 508,911 unit. Angka itu 20,603 unit atau 4% berkurang berbanding 2020. Ini tahun kedua berturut-turut Malaysia mencatatkan penurunan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV).

    Bagaimanapun, MAA meletakkan sasaran 600k unit bagi tahun 2022 ini, meliputi 91,089 unit atau 17.9% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Peningkatan semula ini akan diterajui oleh kenderaan penumpang — MAA meramalkan daripada jumlah itu, 540k adalah kereta penumpang (naik 87,337 unit, +19.3%) dan 60k lagi adalah kenderaan perdagangan (naik 3,752 unit, +6.7%).

    Dalam menetapkan angka 600k tersebut, MAA mempertimbangkan faktor mikro seperti pertumbuhan semula ekonomi global selepas pandemik, serta ramalan pertumbuhan GDP 5.5% hingga 6.5% oleh kerajaan untuk 2022, yang dirancakkan oleh perbelanjaan dalam Belanjawan 2022 serta ekonomi yang semakin pulih.

    MAA sasar jual 600k unit bagi 2022, +17.9% dari 2021

    Perbelanjanaan pengguna juga dijangka meningkat selari dengan pemulihan ekonomi, ditambah pula dengan kadar faedah yang rendah. Dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Kewangan November lalu, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan tetapan Overnight Policy Rate (OPR) pada kadar 1.75%, dan ini boleh membantu jadi pemangkin kepada perbelanjaan domestik termasuk untuk pembelian kereta baru.

    Pengecualian SST bagi kenderaan penumpang juga telah dilanjutkan tiga kali, dan kini bakal berakhir 30 Jun 2022. MAA menjelaskan ahlinya akan menggiatkan pengeluaran dan serahan untuk memenuhi permintaan dan tempahan tertunggak. Begitu juga dengan bebas cukai untuk model baru termasuk EV dijangka akan terus mengekalkan permintaan pembeli. MAA juga menjangkakan promosi rancak bakal dilakukan oleh ahlinya untuk meraih dan meningkatkan semula perkongsian pasaran.

    Kekangan yang mungkin memberi kesan pula tentunya keadaan gangguan berkaitan pandemik serta masalah bekalan. Contohnya termasuklah gelombang baru jangkitan Covid-19, kekurangan cip semikonduktor, kos pengangkutan meningkat serta situasi politik Malaysia yang bercelaru. Semua ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, serta jualan kenderaan baru.

     
     
  • Mad Mike akan hasilkan Mazda 3 dengan enjin rotary empat rotor, 1200 hp untuk ke perlumbaan Pikes Peak

    Mad Mike akan hasilkan Mazda 3 dengan enjin rotary empat rotor, 1200 hp untuk ke perlumbaan Pikes Peak

    Mazda pernah dilihat mempatenkan rekaan enjin wankel rotary dengan pengecas turbo generasi baharu. Malah baru-baru ini jenama dari Hiroshima berkenaan dikesan memfailkan paten sebuah kereta sport pacuan belakang yang dijana enjin ikonik tanpa omboh berkenaan, dengan bantuan sistem hibrid.

    Namun dalam dunia sebenar, memang agak mustahil untuk Mazda hasilkan semula kereta sport dengan enjin wankel rotary bagi menggantikan legasi kereta sport RX mereka selepas produksi RX-8 ditamatkan pada 2012. Ini kerana untuk menghasilkan sebuah enjin rotary yang mematuhi undang-undang pencemaran bukannya mudah, lagi-lagi dengan penetapan regulasi baharu yang begitu ketat di Eropah.

    Jadi drifter yang terkenal dengan pelbagai binaan kereta drift Mazda yang dijana oleh enjin wankel rotary dari New Zealand, ‘Mad Mike’ Whiddett, menunggu untuk Mazda menghasilkan sebuah jentara baharu yang dijana enjin rotary adalah seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Oleh itu beliau sendiri akan membangunkan sebuah Mazda generasi terkini yang disumbat oleh enjin wankel rotary.

    Seperti yang anda boleh lihat pada illustrasi di atas, ini dia Mazda 3 hatchback yang bakal disumbat enjin rotary! Illustrasi ini disiarkan sendiri oleh Mad Mike di laman Instagram miliknya. Menurut beliau jentera ini akan tampil diperlumbaan ‘panjat bukit’ terulung yang diadakan di Amerika Syarikat iaitu Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) sempena edisi ke-100 yang akan dilangsungkan tahun ini.

    Seperti jentera-jentera drift Mad Mike yang lain, Mazda 3 Hatchback ini akan menerima enjin rotary dengan empat buah rotor, disasarkan akan menjana sekitar 1,200 hp. Mad Mike turut menyatakan bahawa keempat-empat pintu Mazda 3 berkenaan akan kekal boleh dibuka, serta diberikan empat tempat duduk termasuk dua kerusi di kabin belakang.

    Dari iilustrasi tersebut dapat dilihat bahawa Mazda 3 berkenaan diberi kit badan lebar Pandem Rocket Bunny dari Tra Kyoto, bersama sayap GT bersaiz gergasi di bahagian belakang. Ia juga direndahkan serapat yang mungkin dengan permukaan jalan, dipadankan bersama set rim yang lebar.

    Empat muncung ekzos dan empat unit rotor pada enjin kelihatan keluar dari penutup hud hadapan. Dan seperti biasa, jentera baharu Mad Mike ini turut diberikan livery perlumbaan dengan grafik penaja utamanya, Red Bull.

    “Race to Clouds” PPIHC tahun ini akan dilangsungkan pada 26 Jun 2022. Ia merupakan perlumbaan paling lama pernah diadakan di Amerika Syarikat, dengan bermula pada tahun 1916. Pelumba perlu mendaki jalan bukit sejauh 20 km untuk menuju ke puncak tertinggi pada bahagian selatan pergunungan Rocky di Colorado dengan mencatatkan masa terpantas untuk memenangi perlumbaan.

    Setiap tahun PPIHC akan menarik ramai pelumba dan kereta lumba dari seluruh dunia, yang datang dari pelbagai latar belakang disiplin perlumbaan. Kesemua pelumba dan kereta mereka perlu menghabiskan 156-selekoh bermula pada ketinggian 9,390 kaki sehingga puncak Pikes Peak dengan ketinggian 14,115 kaki.

     
     
  • PANDU UJI: Suzuki Swift Sport imej biasa, prestasi penuh teruja – layak jadi hot hatch paling kompetitif?

    PANDU UJI: Suzuki Swift Sport imej biasa, prestasi penuh teruja – layak jadi hot hatch paling kompetitif?

    Pada tahun 2016, Suzuki Malaysia Automobile yang memasang hatchback segmen-B Suzuki Swift di kilang Hicom Automotive Manufacturers Pekan, Pahang telah menutup operasinya setelah menandatangani MoU bersama Proton dan DRB-Hicom. Sejak itu, Suzuki sudah tidak lagi beroperasi di negara ini dan kesemua pusat 3S/4S Suzuki telah diambilalih sepenuhnya oleh Proton.

    Namun pada April 2021, jenama Jepun berkenaan kembali ke pasaran Malaysia dan diuruskan oleh Naza Eastern Motors. Dengan Kerjasama baharu itu, Suzuki telah melancarkan model yang agak high end iaitu Suzuki Swift Sport generasi ketiga pada bulan yang sama dan Suzuki Jimny pula tiba di sini pada September lalu.

    Kehadiran semula Swift Sport ZC33S ke pasaran Malaysia bagai memberikan peluang kepada penggemar jentera ini untuk memilikinya. Walau pun sedari dulu, ia tidaklah begitu popular, namun ada keistimewaan model ini masih menjadi dambaan. Terutamanya, ia ditawarkan dengan harga yang masih pada tahap mampu milik. Swift Sport yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,900 termasuk pengecualian SST 50% untuk kereta CBU (sehingga hujung Jun 2022). Ia didatangkan dengan waranti pengeluar selama tiga-tahun/100,000 km.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia 2021 — TIV 508,911 unit, turun 20k berbanding 2020, kurang 95k unit dari 2019

    Jualan kenderaan di Malaysia 2021 — TIV 508,911 unit, turun 20k berbanding 2020, kurang 95k unit dari 2019

    Sepanjang 2021, sebanyak 508,911 unit kenderaan telah dijual di Malaysia. Dan angka itu melepasi sasaran 500k unit yang diletakkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) selepas dinilai semula dan diumumkan Julai tahun lalu. Sasaran awal jumlah keseluruhan industri (TIV) yang ditetapkan pada awal 2021 adalah 570,000 unit.

    Dibandingkan dengan jualan pada 2020 yang mencatatkan 529,514 unit, apa yang direkodkan pada 2021 itu berkurang sebanyak 20,603 unit, melibatkan penurunan 4%. Ini menandakan penurunan jualan bagi dua tahun berturut-turut di Malaysia, dengan jualan pada 2020 juga turun 12.4% berbanding 604,281 unit yang dicatatkan pada 2019.

    Bagaimanapun, melihat kepada perkembangan dua tahun yang sukar ini akibat pandemik, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad tetap menyifatkan ini satu pencapaian yang membanggakan oleh pengeluar. “Penguncupan yang lebih kecil bagi TIV pada 2021 itu juga disumbang oleh pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk mengimbangi antara keselamatan nyawa dan pekerjaan supaya tidak melumpuhkan ekonomi domestik,” ujar beliau.

    Jualan kenderaan di Malaysia 2021 — TIV 508,911 unit, turun 20k berbanding 2020, kurang 95k unit dari 2019

    Jualan pada separuh kedua tahun lalu pula dibantu oleh kelonggaran perintah kawalan pergerakan dan pembukaan semula sektor ekonomi. “Ini membantu meningkatkan keyakinan perniagaan yang menyumbang kepada jualan lebih baik, termasuk kenderaan perdagangan yang sangat diperlukan untuk menggerakkan perniagaan,” tambah beliau, yang turut memaklumkan pengecualian cukai sangat membantu mengekalkan permintaan terhadap kenderaan penumpang baru.

    “MAA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tempoh pengecualian cukai berkenaan. Bukan hanya sekali, bahkan hingga tiga kali, yang terakhir hingga 30 Jun 2022. Kami sangat berbesar hati di atas setiap sokongan yang diberikan terhadap industri ini untuk memastikan kelangsungannya,” ujar beliau.

    Bagi jumlah keseluruhan 2021 pula, kenderaan penumpang menyumbang sebanyak 452,663 unit (turun 28,308 unit, -5.9%), sementara kenderaan perdagangan 56,248 unit didaftarkan (naik 7,705 units, +15.9%). Dalam separuh pertama 2021, jualan naik ke tahap 64,875 unit pada Mac, sebeluk Covid-19 tiba dan merudum kepada jumlah 1,921 unit pada Jun. Ia kemudian naik kembali dan tertinggi pada Disember 2021, dengan angka 65,184 unit.

     
     
  • Proton lancar barangan gaya hidup R3 – boleh didapati di Lifestyle Boutique CoE serta pengedar terpilih

    Proton lancar barangan gaya hidup R3 – boleh didapati di Lifestyle Boutique CoE serta pengedar terpilih

    Selain dari minyak enjin premium R3 yang dilancarkan pagi tadi, Proton turut melancarkan pelbagai lagi barangan gaya hidup dengan jenama sayap perlumbaan rasminya itu. Kini, barangan-barangan jenama R3 ini akan dipasarkan oleh Proton Global Service (PGS), iaitu subsidiari penuh Proton Edar, yang diwujudkan dengan matlamat agar Proton “hadir lebih kerap di sisi peminatnya”.

    Sejak ditubuhkan pada 2003, R3 (singkatan dari Race.Rally.Research) telah mencapai pelbagai kemenangan dalam perlumbaan peringkat domestik dan juga antarabangsa. Antaranya termasuk lima gelaran juara dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K), malah Proton Motorsport juga telah mencatatkan lapan gelaran juara dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik FIA (APRC).

    Jadi bagi membolehkan peminat-peminat pasukan R3 terus meraikan gelaran-gelaran berkenaan, Proton telah menghasilkan semula barangan-barangan gaya hidup dengan jenama R3. Buat permulaan, anda boleh mendapatkan barangan-barangan R3 seperti topi snapback (RM55), topi baseball (RM55) baju polo dry-fit (RM60), kemeja-T kolar bulat dalam dua rekaan berbeza (RM49) dan juga baju polo kolar zip dry-fit (RM55).

    Untuk kereta, masih lagi tiada sebarang peralatan prestasi mahupun aksesori ditawarkan seperti sebelum ini. Namun PGS telah memperkenalkan minyak pelincir premium jenama R3 yang boleh pelanggan gunakan ketika menservis kereta Proton mereka. Perincian berkenaan minyak enjin tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Proton lancar barangan gaya hidup R3 – boleh didapati di Lifestyle Boutique CoE serta pengedar terpilih

    Bagi pelanggan-pelanggan sekitar Subang, Shah Alam, mahupun bahagian-bahagian lain di Lembah Kelang, anda boleh mendapatkan barangan-barangan gaya hidup R3 ini menerusi outlet Lifestyle Boutique yang terletak di dalam bangunan Pusat Kecermelangan Proton (CoE). Selain dari barangan jenama R3, butik berkenaan turut menjual barangan lain dengan jenama Proton seperti payung, baju kemeja, kotak penyejuk dan lain-lain.

    Barangan-barangan ini turut dijual di seluruh negara menerusi pengedar-pengedar Proton yang terpilih seperti yang tertera di atas, atau anda boleh semak di laman sosial rasmi Proton Cars dan juga Proton Motorsport. Proton turut memberi bayangan bahawa banyak lagi barangan-barangan R3 akan diperkenalkan dalam masa beberapa bulan dari sekarang.

     
     
  • Proton perkenal minyak enjin premium R3 – dibangun bersama Petronas, dari RM158-RM208 untuk 4 liter

    Proton perkenal minyak enjin premium R3 – dibangun bersama Petronas, dari RM158-RM208 untuk 4 liter

    Race.Rally.Research atau R3 – ini adalah jenama sayap prestasi dan perlumbaan rasmi untuk Proton seperti badan-badan penala jenama lain seperti Mitsubishi Ralliart dan Nissan Motorsport International (NISMO), ditubuhkan pada 2003. Ketika ia mula-mula diperkenalkan dahulu, R3 bukan sahaja menghasilkan pelbagai peralatan prestasi untuk enjin, suspensi, kit aerodinamik dan sebagainya, malah mewakili nama Proton dalam perlumbaan-perlumbaan litar dan rali sama ada dalam peringkat domestik atau antarabangsa.

    Namun sejak akhir-akhir ini, tiada sebarang produk R3 yang boleh dibeli oleh peminatnya, malah perlumbaan yang disertai kini terhad hanya di litar Sepang seperti Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang S1000KM (S1K). Tetapi hari ini, Proton melakukan kejutan untuk mula menjual semula produk dengan jenama R3, dan ia dimulakan dengan penawaran minyak enjin premium R3.

    Menurut Proton, minyak enjin premium R3 baharu ini “direka khusus untuk melindungi enjin anda dan meningkatkan prestasi kereta anda”. Dua pilihan minyak enjin premium R3 ini ditawarkan untuk pengguna. Pertama adalah minyak enjin R3 P2 Semi-Synthetic SAE 10W-30 dengan penarafan API SN PLUS ILSAC GF-5. Manakala untuk pengguna yang mahukan lebih prestasi, anda ditawarkan dengan minyak enjin R3 P1 Fully-Synthetic SAE 5W-30 dengan penarafan API SP ILSAC GF-6A.

    Kedua-dua minyak enjin ini premium R3 ini dirumus secara khusus untuk kereta “agar dapat meningkatkan, memperkasa dan mengoptimumkan prestasi enjin,” dakwa Proton. Ia dibangunkan berdasarkan minyak asas Etro+ dari Petronas, dan direka dengan salutan penyejukan dinamik untuk mengurangkan haba yang berlebihan dan mengawal suhu, serta membantu mengelakkan kerosakkan pada komponen enjin serta kehilangan prestasi, tambah Proton lagi.

    Proton perkenal minyak enjin premium R3 – dibangun bersama Petronas, dari RM158-RM208 untuk 4 liter

    Minyak enjin ini dijual pada harga bermula RM158.00 untuk R3 P2 Semi-Synthetic 10W-30, dan RM208.00 untuk R3 P1 Fully-Synthetic 5W-30 – kedua-duanya dalam pek botol empat liter. Namun untuk masa terhad, kedua-dua minyak enjin premium R3 ini akan ditawarkan pada harga pengenalan masing-masing RM128 dan RM178 sehingga 30 April nanti.

    Bagi pelanggan-pelanggan sekitar Subang, Shah Alam, mahupun bahagian-bahagian lain di Lembah Kelang, anda boleh mendapatkan minyak enjin premium R3 ini menerusi outlet Lifestyle Boutique yang terletak di dalam bangunan Pusat Kecermelangan Proton (CoE). Selain dari minyak enjin, butik berkenaan turut menjual barangan gaya hidup R3 dan juga Proton seperti kemeja-T, topi, payung, baju kemeja, kotak penyejuk dan lain-lain.

    Barangan-barangan ini turut dijual di seluruh negara menerusi pengedar-pengedar Proton yang terpilih seperti yang tertera di atas anda, atau boleh semak di laman sosial rasmi Proton Cars dan juga Proton Motorsport. Proton turut memberi bayangan bahawa banyak lagi barangan-barangan R3 akan diperkenalkan dalam masa beberapa bulan dari sekarang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025