Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perkhidmatan feri dan bas Rapid Penang percuma di Pulau Pinang pada 24-26 Jan sempena Thaipusam

    Perkhidmatan feri dan bas Rapid Penang percuma di Pulau Pinang pada 24-26 Jan sempena Thaipusam

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan bahawa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) bakal menawarkan perkhidmatan feri percuma bermula 12.01 tengah malam pada 24 Januari hingga 2 pagi pada 26 Januari 2024 bagi memudahkan perjalanan penganut agama Hindu ketika meraikan sambutan perayaan Thaipusam.

    Katanya, penggunaan perkhidmatan feri, yang buat kali pertama akan beroperasi 24 jam, diharapkan dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bahagian pulau, laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, perkhidmatan Bas Rapid Penang juga akan ditawarkan secara percuma pada 24 Januari ini, dari jam 2 petang hingga 1 pagi pada 25 Januari dan kemudian bersambung secara percuma dari jam 5.30 pagi hingga 1 pagi keesokan harinya.

    Perkhidmatan feri dan bas Rapid Penang percuma di Pulau Pinang pada 24-26 Jan sempena Thaipusam

    “Selepas penumpang feri tiba di terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda, ada bas Rapid Penang yang turut memberikan perkhidmatan percuma kepada mereka. Bas ini akan berhenti di tempat-tempat mereka sembahyang dengan destinasi akhir di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani,” katanya.

    Menurutnya, inisiatif itu dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan masalah kesesakan trafik pada musim perayaan.

    “Kita juga akan mengumumkan dari semasa ke semasa perkhidmatan percuma yang disediakan untuk perayaan utama lain,” katanya.

     
     
  • Lorong tengah, kanan di KM7.55 arah Perai Jambatan Pulau Pinang ditutup 20-21 Jan, 10 malam-8 pagi

    Lorong tengah, kanan di  KM7.55 arah Perai Jambatan Pulau Pinang ditutup 20-21 Jan, 10 malam-8 pagi

    PLUS Berhad (PLUS) mengumumkan, penutupan lorong tengah dan lorong kanan serta lencongan laluan kenderaan akan dilaksanakan bagi kerja-kerja kecemasan pembaikan penyambung jambatan di KM7.55 arah Perai (timur), Jambatan Pulau Pinang.

    “Kerja dijangka bermula pada 20 sehingga 21 Januari 2024, 10 malam sehingga 8 pagi. Justeru, pengguna lebuh raya bagi laluan tersebut dinasihatkan supaya merancang perjalanan susulan penutupan lorong sepanjang tempoh tersebut,” kata PLUS mnerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

     
     
  • Harga minyak 18-24 Jan – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 18-24 Jan – Semuanya masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 18 hingga 24 Januari 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Lebuhraya WCE: Persimpangan Beruas-Taiping Selatan dijangka dibuka sebelum Aidilfitri – MB Perak

    Lebuhraya WCE: Persimpangan Beruas-Taiping Selatan dijangka dibuka sebelum Aidilfitri – MB Perak

    Jajaran Seksyen 11 Persimpangan Beruas-Taiping Selatan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka dibuka dengan rasmi pada suku tahun pertama iaitu sebelum Aidilfitri tahun ini.

    Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerja-kerja pembinaan di seksyen ini sedang berada dalam fasa akhir sebelum dibuka untuk kegunaan orang awam. Pada awalnya, pihaknya menjangkakan laluan ni boleh dibuka pada penghujung Disember lalu namun berlalu sedikit kelewatan, laporan Harian Metro.

    “WCE sudah siap 98% pada 1 Disember dan kini memasuki tahap pemeriksaan, pemantauan dan sijil dari pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM). Dijangka terdapat dua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di dua-dua arah akan dibina di Seksyen 11 ini.

    “Sekiranya dibuka kelak kerajaan dijangka akan memberi ‘tol percuma’ kepada pengguna selama sebulan dan kita yakin WCE dapat dibuka sepenuhnya Aidilfitri ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke projek WCE di Changkat Jering pagi tadi.

    Seksyen 11 ini merupakan pelengkap kepada jajaran Lebuhraya WCE di bahagian laluan negeri Perak dengan jaraknya di antara kedua-dua persimpangan adalah 35.5 km.

    Sehingga kini, lima daripada keseluruhan 11 seksyen pembinaan lebuh raya ini telah dibuka kepada trafik iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Bukit Raja-Assam Jawa) di Selangor manakala Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Kg. Lekir-Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Changkat Cermin-Beruas) di Perak.

    “Lebuh raya ini amat penting bagi Negeri Perak untuk memperluaskan jaringan pengangkutan, bukan sahaja antara pekan dan daerah, tetapi juga keterhubungan Perak dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi – bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang.

    “Laluan ini juga menjadi pemangkin kepada perancangan Perak untuk menghidupkan lagi pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran pantai barat. Ia mengubah landskap pelancongan Perak dengan memudahkan akses ke destinasi-destinasi strategik yang seiring dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024. Insha-Allah,” kongsinya menerusi Facebook rasminya.

     
     
  • Subaru WRX S4 STI Sport# 2024 dilancar di Jepun – CVT, 500 unit, terima talaan casis dan penggayaan

    Subaru WRX S4 STI Sport# 2024 dilancar di Jepun – CVT, 500 unit, terima talaan casis dan penggayaan

    Subaru telah pun melancarkan model edisi terhad WRX S4 STI Sport# di Jepun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu. Tapi anda jangan keliru, kerana Subaru kekal dengan keputusannya untuk tidak menghasilkan model STI sebenar bagi WRX generasi baharu tersebut, manakala varian yang dilancarkan ini hanyalah versi ‘STI Sport’ yang diasaskan dari varian WRX S4 JDM.

    Untuk lebih spesifik, model ini menggunakan varian WRX S4 STI Sport R EX sebagai asas, dan diberikan beberapa tingkat taraf pada suspensi, kit penggayaan istimewa serta dihasilkan hanya 500 unit. Bagi memilih pelanggan yang layak untuk membeli kereta yang dikeluarkan dalam jumlah terhad ini, Subaru telahpu membuka pendaftaran loteri di mana ia akan dicabut pada 28 Januari 2024.

    Untuk mereka yang bertuah dipilih sebagai pembeli kelak, Subaru WRX S4 STI Sport# ini akan dijual pada harga asas 6.237 juta yen (sekitar RM199k) tidak termasuk cukai.

    Subaru WRX S4 STI Sport# 2024 dilancar di Jepun – CVT, 500 unit, terima talaan casis dan penggayaan

    Berbanding model asasnya, WRX S4 STI Sport# ini menerima talaan casis yang menampilkan strut bar STI asli yang dipasang pada suspensi hadapan dan juga bar untuk menambahkan lagi ketegaran kerangka badan pada bahagian belakang. Ia juga menerima rim aloi forged 19-inci dari BBS yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 5 secara standard bagi membantu memberikan pengendalian lebih baik.

    Model edisi terhad ini juga nampak lebih garang pada sebelah luar dengan pemadanan kit penggayaan yang terdiri dari gril hadapan baharu, lip spoiler, cermin sisi dan juga antena bumbung kesemuanya dalam kemasan hitam. Lencana chery blossom STI juga ditampal pada gril hadapan dan penutup but di belakang bagi menandakan ia adalah model lebih istimewa dari versi biasa.

    Manakala pada sebelah kabin, WRX S4 STI Sport# ini dilengkapi dengan sepasang tempat duduk bucket Recaro pada sebelah hadapan secara standard serta kemasan-kemasan yang dibalut Ultrasued dan serlahan-serlahan berwarna perak.

    Walau bagaimanapun, tiada sebarang penambahan kuasa diberikan pada WRX S4 STI Sport# ini. Ia masih dijana enjin boxer empat silinder FA24F 2.4 liter turbo berkuasa 275 PS dan tork maksima 350 Nm.

    Ia juga hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, tetapi menerima penyejuk minyak bagi memastikan suhu minyak kotak gear tersebut dapat dikekalkan ketika sesi pemanduan lebih lasak. Dan sudah tentu, ia turut menerima sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive Subaru.

     
     
  • GVT, anak syarikat GoAuto Group jalin kerjasama dengan Yutong Bus untuk CKD bas EV, EEV di M’sia

    GVT, anak syarikat GoAuto Group jalin kerjasama dengan Yutong Bus untuk CKD bas EV, EEV di M’sia

    GVT, yang merupakan sebuah anak syarikat GOAuto Group telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Yutong Bus dari China, untuk memasang (CKD) dan mengedarkan bas elektrik EEV dan EV di Malaysia.

    Perjanjian tersebut ditandatangani oleh pengarah eksekutif GVT, Wan Ahmad Wan Omar, dan pengurus rantau Asia Pasifik Yutong, Michael Lu pada Februari 2023. Melalui kerjasama ini, GVT akan mempunyai 14 model bas EEV dan EV daripada Yutong dalam portfolio produknya. Syarikat itu turut memberitahu mereka sudah menerima tempahan rasmi sebanyak 40 unit untuk bas EEV.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, GVT memberitahu, pemasangan bas Yutong akan dibuat di kilang NexV Manufacturing yang sekarang sedang dibina di Kawasan Perindustrian Chembong, Negeri Sembilan. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kilang NexV Manufacturing itu adalah satu kerjasama antara Careplus Group dan GoAuto Group, dengan oeprasi yang akan bermula pada Q1 2025.

    Bas Yutong direka dengan pelbagai kemudahan dan boleh memecut 0-30 km/j dalam masa 10 saat. Ia menggunakan bateri daripada CATL dan dipadankan bersama sistem Yutong Electric & Battery Safety Standard (YESS), serta RECTRL Intelligent Electric Drive System yang dapat membantu mengurangkan penggunaan kuasa dan menjaga jangka hayat bateri.

     
     
  • Mitsubishi Triton versi baru ditemui di Malaysia – tambahan panel badan, grafik khas, bakal dilancar?

    Mitsubishi Triton versi baru ditemui di Malaysia – tambahan panel badan, grafik khas, bakal dilancar?

    Beberapa hari lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengeluarkan teaser yang memberitahu tentang kedatangan Triton edisi istimewa, bersama ayat “sesuatu yang berlainan akan tiba.” Tidak banyak informasi dalam teaser tersebut, tetapi kita boleh melihat gambar sebuah trak pikap dalam gelap, dan ia nampaknya masih menggunakan asas daripada Triton yang berada dalam pasaran sekarang dan bukannya model generasi terbaru.

    Semasa di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini, kami telah terserempak dengan Triton yang menyerupai gambar dalam teaser tersebut berada di hadapan sebuah pusat pameran Mitsubishi dan ia mungkin adalah model baru yang dimaksudkan oleh MMM.

    Anda boleh lihat, corak pelekat pada bahagian tepi dan belakang Triton ini adalah sama seperti dalam gambar teaser dan begitu juga dengan aksesori lain seperti sports bar, pemegang pintu dan cermin sisi hitam serta rim hitam yang dibalut tayar tebal.

    Mitsubishi Triton versi baru ditemui di Malaysia – tambahan panel badan, grafik khas, bakal dilancar?

    Di sekeliling lengkuk roda juga terdapat kemasan hitam dan ia nampak sama seperti yang digunakan pada Triton Phantom Plus. Untuk peningkatan lain, kita perlu menunggu maklumat lanjut daripada MMM sendiri.

    Meskipun begitu, kita boleh menjangkakan bahagian hadapan varian baru Triton ini tidak akan berubah banyak. Apabila gambar teaser tersebut diterangkan, kita boleh melihat penampilan sama seperti Triton Athlete, dan datang dengan kemasan bawah bampar yang sama.

    MMM menyiarkan teaser ini pada 10 Januari lalu, tetapi bila sebenarnya ia akan diperkenalkan masih belum diberitahu. Mungkin juga ini adalah edisi terakhir sebelum Triton generasi baru memasuki pasaran negara kita.

     
     
  • Kilang Proton di Tanjung Malim terima kunjungan duta Uzbekistan – perbincangan kerjasama turut diadakan

    Kilang Proton di Tanjung Malim terima kunjungan duta Uzbekistan – perbincangan kerjasama turut diadakan

    Baru-baru ini, kilang Proton di Tanjung Malim, Perak telah dikunjungi oleh Tuan Yang Terutama Karomidin Gadoev, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, dengan tujuan lawatan adalah untuk meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan.

    Rombongan tersebut dialu-alukan oleh Roslan Abdullah selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Tengku Zainudin Tengku Jafar, Ketua Pengurusan Kawal Selia, DRB-HICOM bersama ahli kanan pengurusan kanan Proton yang lain.

    “Malaysia merupakan rakan jangka panjang dan boleh dipercayai bagi Uzbekistan, kerana kita dihubungkan oleh hubungan perdagangan dan budaya berkurun lamanya, persahabatan, dan keakraban rohani. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan ekonomi dua hala antara Uzbekistan dan Malaysia semakin berkembang,” kata Karomidin selepas sesi lawatan kilang Tanjung Malim itu.

    Tambahnya, “Pada masa ini, 36 syarikat Malaysia berjaya beroperasi di Uzbekistan, dan terdapat satu syarikat Uzbekistan di Malaysia. Menjelang akhir 2024 tiga syarikat Malaysia akan memulakan aktiviti mereka di negara kita dan pada masa ini, rundingan dengan beberapa pemain industri Malaysia untuk mewujudkan projek pelaburan bersama sedang berjalan dengan lancar.”

    Beliau turut berkata terdapat potensi besar yang belum diterokai antara Uzbekistan dan Malaysia dari segi hubungan ekonomi dua hala, dan perbincangan telah diadakan semasa lawatannya mengenai prospek kerjasama bersama dalam industri automotif yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

    “Proton sentiasa mencari rakan kongsi untuk meluaskan jangkauan kami. Oleh itu, kami berterima kasih atas kunjungan Duta Besar Uzbekistan dan delegasinya dan berharap akan ada beberapa perkembangan positif untuk dilaporkan pada masa hadapan,” kata Roslan pula.

     
     
  • EV Perodua dijadual diproduksi pada akhir 2025, prototaip ‘D01D’ dibina bersama jenama luar – Zafrul

    EV Perodua dijadual diproduksi pada akhir 2025, prototaip ‘D01D’ dibina bersama jenama luar – Zafrul

    Bayangan digital ‘Perodua MyEV’ berdasarkan model konsep EMO

    Sebelum ini Proton telahpun mengesahkan bahawa model elektrik sepenuhnya (EV) jenama berkenaan bakal diperkenalkan seawal 2025. Bagaimana dengan satu lagi pengeluar automotif tempatan, Perodua? Setakat ini masih ada petunjuk jelas dikeluarkan oleh jenama yang berpusat di Rawang itu, namun apa yang diumumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini nampaknya telah ‘membongkar’ rancangan EV Perodua tersebut.

    Menurut Tengku Zafrul yang dibuat menerusi hantaran di laman X.com, Perodua telah pun dilantik sebagai peneraju pengeluaran EV mampu milik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Untuk itu, Perodua kini sudahpun bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa bagi menghasilkan prototaip EV mampu milik berkenaan, manakala model produksi sebenarnya akan mula dikilangkan bermula akhir 2025 nanti!

    Jadi model apa yang bakal dihasilkan oleh Perodua sebagai EV mampu milik ini? Menerusi sedikit carian yang kami buat di laman LinkedIn, salah satu profil pembekal Perodua sudah menyenaraikan satu kod model baharu yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu dikenali sebagai ‘D010D’.

    EV Perodua dijadual diproduksi pada akhir 2025, prototaip ‘D01D’ dibina bersama jenama luar – Zafrul

    Bayangan digital ‘Perodua MyEV’ berdasarkan model konsep EMO

    Model tersebut dijangka merupakan model generasi baharu bagi Perodua Myvi, dan angka ’01’ dalam kod berkenaan berkemungkinan bermaksud ia adalah model EV pertama dari Perodua.

    Buat masa sekarang rakan kerjasama Perodua iaitu Daihatsu masih belum ada lagi sebarang model yang dijana unit rangkaian elektrik sepenuhnya. Jadi projek pembangunan EV mampu milik ini mungkin diterajui oleh Perodua kerana permintaan segera tersebut adalah untuk pasaran Malaysia.

    Sebelum ini Astra Daihatsu Motor di Indonesia ada menghasilkan model konsep EV berasaskan model produksi sedia ada iaitu hatchback segmen-A Ayla EV dan van Vision-F (menggunakan asas Gran Max), namun ia jelas hanya kekal sebagai model konsep tanpa rancangan untuk di bawa ke barisan produksi.

    Model skala kecil Perodua EMO Concept yang didedahkan pada Mei 2023

    Berdasarkan kemampuan Perodua untuk melancarkan satu model baharu setiap tahun, ia sudahpun mempunyai tiga model baharu untuk dilancarkan sehingga 2026 nanti. Tahun ini Perodua mungkin akan melancarkan model hibrid pertamanya menerusi SUV segmen-B penuh yang kini hanya dikenali dengan kod D66B, diikuti dengan model generasi baharu Bezza pada 2025, serta EV pertamanya pada 2026.

    Mei tahun lalu Perodua telahpun menunjukkan model skala kecil bagi model konsep EV yang diberi nama Electric Motion Online (EMO), di mana versi skala penuh dijangka akan membuat kemunculan sulungnya pada KLIMS 2024 yang bakal berlangsung Disember nanti.

    Menerusi spesifikasi yang disiarkan, model EMO Concept berkenaan menampilkan dimensi yang hampir sama seperti Perodua Myvi generasi ketiga. Model konsep itu dirancang untuk dilengkapi bateri berkapasiti 50 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 350 km dengan satu cas penuh.

     
     
  • Lebuhraya Pulau Indah ‘dinobatkan’ sebagai salah satu jalan paling rosak teruk di Malaysia – JKR

    Lebuhraya Pulau Indah ‘dinobatkan’ sebagai salah satu jalan paling rosak teruk di Malaysia – JKR

    Kalau di Sabah memang terkenal dengan keadaan jalan yang mendukacitakan, di Semenanjung juga tidak kurangnya, walau pun tidaklah ‘sedahsyat’ di Negeri Di Bawah Bayu. Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan, Lebuhraya Pulau Indah yang terletak di Klang, Selangor merupakan salah satu jalan yang paling rosak teruk di negara ini.

    Disebabkan ia menjadi laluan utama kepada kenderaan berat melebihi muatan yang berulang alik ke Pelabuhan Klang (Westport) menyebabkan keadaan jalan di situ menyedihkan. Dua lagi lokasi dikenal pasti turut terjejas teruk akibat masalah yang sama adalah Jalan Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Jalan Aring 8-Jeneris di Kelantan.

    Sebagai maklumbalas terhadap isu ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan Jalan Persekutuan yang memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi adalah laluan menuju ke pelabuhan atau dilalui kenderaan membawa muatan sumber asli, contohnya dari kuari dan kawasan pembalakan dengan keseluruhan direkodkan sepanjang 156.06 km.

    “Setiap jalan raya direka bentuk mengikut jangka hayat tertentu. Bagi jalan berisi padu trafik rendah seperti jalan luar bandar, jangka hayat reka bentuk kebiasaannya mengambil kira sehingga 10 tahun. Bagi jalan raya berisi padu trafik sederhana atau tinggi, jangka hayat reka bentuk adalah sehingga 20 tahun,” katanya kepada akhbar berkenaan.

    Lebuhraya Pulau Indah ‘dinobatkan’ sebagai salah satu jalan paling rosak teruk di Malaysia – JKR

    Tambah JKR, jika kenderaan membawa muatan melebihi 10% daripada berat dengan muatan (BDM) melalui jalan berkenaan, ia boleh mneyebabkan jangka hayat jalan terbabit menurun sehingga 50% daripada jangka hayat asal.

    “Sekiranya kenderaan itu membawa muatan melebihi 20% daripada BDM dibenarkan, jangka hayat jalan raya akan menurun sehingga 100% daripada jangka hayat asal sekali gus menyebabkan kerosakan berlaku dalam tempoh singkat.

    “Ini bermakna jika jalan raya yang direka bentuk dengan jangka hayat 10 tahun dilalui dengan kerap oleh kenderaan bermuatan melebihi 10% daripada BDM, ia hanya akan dapat bertahan untuk lima tahun sahaja. Apabila kenderaan membawa muatan melebihi BDM dibenarkan, jalan akan cepat rosak dan kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan lebih awal dari tempoh sepatutnya,” katanya.

    Menurutnya, sehingga kini JKR mempunyai kerja pembaikan Jalan Persekutuan tertunggak membabitkan kos berjumlah RM3.2 bilion. Di mana ia membabitkan kerja pembaikan panjang keseluruhan 3,821 km dan dianggarkan meningkat kepada RM4.3 bilion dengan mengambil kira kadar harga semasa.

    Lebuhraya Pulau Indah ‘dinobatkan’ sebagai salah satu jalan paling rosak teruk di Malaysia – JKR

    Jelas JKR, kerosakan jalan raya terbahagi kepada dua kategori iaitu kerosakan fungsi dan kerosakan struktur. Di mana dari segi kos pembaikan, kerosakan struktur memerlukan kos lebih tinggi berbanding kerosakan fungsi.

    “Pertambahan beban gandar melebihi had beban muatan dibenarkan akan mempercepatkan kadar kemerosotan kapasiti struktur secara berlipat ganda. Apabila situasi sebegitu berlaku, kapasiti struktur jalan terjejas akan mula mengurangkan jangka hayat reka bentuk kerosakan jalan berlaku dengan lebih awal.

    “Jika penyelenggaraan tidak dilaksanakan pada waktu sepatutnya, keadaan struktur pavemen akan merosot dengan lebih teruk menyebabkan kaedah pembaikan menjadi lebih mahal dan membuatkan kos penyelenggaraan berganda secara keseluruhan,” katanya.

     
     
  • Audi SQ8 e-tron, Sportback e-tron dilancar — 3 motor elektrik, hingga 471 km, 503 PS/973 Nm; dari RM520k

    Audi SQ8 e-tron, Sportback e-tron dilancar — 3 motor elektrik, hingga 471 km, 503 PS/973 Nm; dari RM520k

    Pengedar kenderaan Audi di Malaysia, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini memperkenalkan dua lagi model berprestasi tinggi elektrik e-tron untuk pasaran tempatan — Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron — dengan masing-masing dijual pada harga RM519,990 dan RM529,990.

    Audi SQ8 e-tron/SQ8 Sportback e-tron menjadi model flagship tambahan terbaru bagi jenama ini selepas Q8 e-tron, dan menjadi model EV pertama yang dipacu oleh tiga motor elektrik. Yang membezakan kedua-dua model ini adalah reka bentuk luarannya, serta jarak perjalanan yang diberikan. Dari sudut aerodinamik, model EV ini masing-masing hadir dengan bacaan Cd 0.24 dan 0.27.

    Di luar, ciri rekaan EV Audi terserlah di hadapan, dengan gril Singleframe dengan lampu serta lampu utama Digital Matrix LED. Lampu canggih ini mempunyai sekitar 1.3 juta cermin mikro yang boleh disudutkan secara berasingan sehingga 5,000 kali sesaat, membolehkan limpahan cahayanya sentiasa berubah untuk mengoptimumkan penglihatan pemandu. Rekaan bamparnya juga lebar dan sporty, dan di belakang ia dilengkapi dengan bukaan udara dinamik dan lampu LED.

    Audi SQ8 e-tron, Sportback e-tron dilancar — 3 motor elektrik, hingga 471 km, 503 PS/973 Nm; dari RM520k

    Audi SQ8 e-tron/SQ8 Sportback e-tron menjadi model EV pertama di sini yang memanfaatkan tiga motor elektrik berasingan gerak (asynchronous): dua daripadanya ada di gandar belakang untuk menggerakkan rodanya secara berasingan, dengan agihan tork yang berbeza mengikut keperluan. Bergantung kepada keadaan pemanduan yang berbeza, tetapan ini akan memberikan kawalan cekap seperti yang sinonim dengan kecekapan pacuan quattro Audi.

    Sebuah lagi motor berada di gandar depan dengan janaan 124 kW. Dua motor di gandar belakang pula masing-masing menjana kuasa sebanyak 98 kW secara berasingan. Model ini turut hadir dengan mod Boost, yang menjadikan motor depan dilonjakkan kuasa sehingga 157 kW, sementara dua motor di belakang masing-masing sehingga 138 kW.

    Secara keseluruhannya, model ini menghasilkan kuasa sehingga 433 kW, namun dihadkan kepada 370 kW dengan gandingan pek bateri 114 kWh. Janaan kuasa ini diterjemahkan kepada 503 PS dan 973 Nm. Ini membolehkan model tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dengan laju maksimum 210 km/j.

    Audi SQ8 e-tron, Sportback e-tron dilancar — 3 motor elektrik, hingga 471 km, 503 PS/973 Nm; dari RM520k

    EV ini mempunyai kemampuan pengecasan sehingga 170 kW untuk DC — SoC dari 10%-80% boleh dicapai dalam masa hanya 31 minit. Bagi jarak pula, mengikut kitaran WLTP akan memberikan 471 km jarak bagi SQ8 e-tron Sportback, sementara SQ8 e-tron dengan 458km.

    Model ini juga boleh dicas dengan pengecas Wallbox AC di rumah, dan memerlukan masa selama 9 jam 15 minit hingga 11 jam 30 minit, bergantung kepada jenis bekalan elektrik — dengan kapasiti pengecas dalamannya mampu menyokong sehingga 22 kW. Status dan keperluan pengecasannya boleh disemak melalui Audi Multi Media Interface (Audi MMI).

    Audi SQ8 e-tron menggunakan platform MEB Evo dengan tetapan suspensi udara adaptif sport untuk bahagian depan dan belakang. Ini membolehkan ketinggiannya dilaraskan sehingga 76 mm. Dalam keadaan jalan baik seperti di lebuhraya, model ini boleh direndahkan sebanyak 26 mm untuk menjadikannya lebih aerodinamik. Dalam keadaan jalan tidak rata pula, jarak kelegaan tanahnya boleh dilaraskan dari 35 mm hingga 50 mm. Agihan berat untuk setiap gandarnya juga sama dengan 50:50.

    Di dalam, antara lain model ini dilengkapi dengan kemasan S, tempat duduk balutan kulit Valcona, papan pemuka dengan kemasan aluminium dan gentian karbon serta pakej lampu suasana dan lampu pintu LED. Kawalan sistem pendingin pula disediakan untuk empat zon.

    Selebihnya, pendekatan moden Audi Virtual Cockpit menghiasi ruang dalamannya — dengan head-up display dan dua paparan MMI yang disudutkan kepada penglihatan pemandu. Ia juga menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi sistem bunyi, ia menggunakan sistem Bang & Olufsen dengan 16-pembesar suara dengan kapasiti 705 watt. Ruang kabinnya juga memanfaatkan bahan kitar semula.

    Aspek keselamatan, Audi SQ8 e-tron lengkap antaranya dengan ciri canggih seperti kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan membelok serta amaran lintasan trafik di depan dan belakang. Ciri keselamatan standard yang lain termasuk beg udara SRS, Isofix untuk kanak-kanak, peninjau tekanan tayar, serta pakej Park Assist.

    SQ8 e-tron hadir dengan tujuh pilihan warna — Magnet Gray, Ultra Blue, Chronos Gray, Mythos Black, Plasma Blue, Daytona Gray dan putih Glacier White. Kedua-dua model ini juga diberi pilihan untuk Audi Assurance Package (AAP) dengan tambahan kos RM13,000 untuk lanjutan jaminan sehingga lima-tahun dan servis berjadual selama tiga tahun pertama, begitu juga bantuan tepi jalan percuma untuk lima-tahun pertama. Jaminan bateri pula berasingan, selama lapan tahun dan jarak perbatuan 160,000 km.

    Audi SQ8 e-tron 2024

    Audi SQ8 Sportback e-tron 2024

     
     
  • Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Tahun lalu Suzuki telah mendedahkan model prototaip bagi Swift generasi keempat di Japan Mobility Show yang berlangsung pada Oktober, kemudian model produksi sebenarnya dilancarkan di sana pada Disember 2023. Ketika diperkenalkan, model serba baharu ini ditawarkan dengan enjin 1.2L NA dengan sistem hibrid ringkas yang digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Namun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu, Suzuki mendedahkan pula Swift hybrid berkenaan dalam versi kotak gear manual lima-kelajuan. Difahamkan model ini mula dijual di Jepun bermula hari ini, iaitu pada 17 Januari 2024.

    Model generasi baharu ini masih diasaskan dari platform Heartect dengan dimensi hampir sama dengan model generasi ketiga iaitu panjang 3,860 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,500 mm dan jarak roda sejauh 2,540 mm. Walau bagaimanapun platform tersebut telah diperkuatkan dengan penggunaan plat logam berketegaran tinggi serta perekat struktur yang lebih banyak bagi memberikan pengendalian dan keselesaan lebih baik.

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Selain itu, Suzuki turut memberikan material sesekat dan juga perekat penebat pada cantuman-cantuman badan bagi memberikan kabin yang lebih senyap. Sekali tengok Swift generasi keempat ini mungkin nampak hampir sama seperti model generasi sebelumnya. Namun jika diperhatikan dengan teliti ia sebenarnya menerima perubahan rupa yang agak besar.

    Lampu hadapan (bersama lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-J) model konsep 2024 ini diletakkan lebih rendah dari sebelum ini. Penutup bonet kini direka seakan kulit kerang, dan mewujudkan garis sisi badan yang bercantum dengan lampu belakang. Manakala gril hadapan dan perumah lampu kabus juga lebih kecil dari Swift generasi sedia ada, membolehkan satu lagi ‘mulut’ liang udara diberikan pada bahagian bawah bampar hadapan.

    Bahagian kemasan hitam pada tiang-C hatchback ini yang memberikan kesan seakan bumbung terapung kini lebih besar. Lampu belakang, pintu tailgate dan bampar belakang semuanya direka semula, tetapi masih nampak ada kaitan dengan model generasi ketiga.

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Perubahan total turut dilihat dibuat pada sebelah dalam di mana ia diberikan skrin yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah atas papan pemuka. Liang penghawa dingin tengah yang sebelum ini bulat telah direka leper dan dipindahkan ke bawah skrin.

    Tiada lagi suis putar untuk kawalan pendigin hawa, dan ia kini telah diganti dengan suis togol dan butang-butang. Rekaan roda stereng juga berbeza terutama pada bahagian suis-suis kawalan yang kini nampak lebih banyak. Suzuki nampaknya tidak memberikan paparan instrumen digital pada model generasi baharu ini, namun rekaan papan meternya jelas berbeza serta diberikan skrin pelbagai info di bahagian tengah.

    Bagi pasaran Jepun, Swift ditawarkan dalam tiga gred varian iaitu MZ, MX dan XG. Ketiga-tiganya menerima enjin petrol yang sama iaitu unit Z12E 1.2 liter tiga-silinder NA menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 108 Nm. Manakala sistem hibrid ringkas hanya diberikan pada varian MZ dan MX, menampilkan motor elektrik kecil WA06D berkuasa 3.1 PS/60 Nm yang digerakkan oleh bateri 3-Ah.

    Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

    Varian XG dan MZ hanya dipadankan dengan kotak gear CVT, manakala pembeli varian MX pula boleh memilih sama ada mahukan kotak gear CVT atau manual. Semua varian Swift pasaran Jepun ini ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda.

    Model JDM generasi baharu ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif, sokongan kekal lorong, amaran dan pengelak keluar lorong, pemberitahu kereta hadapan bergerak, pembaca papan tanda trafik, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, pemantau pemandu, brek kecemasan automatik dan lain-lain.

    Suzuki Swift 2024 ini dijual di Jepun pada harga bermula 1.727 juta yen (RM55,285) sehingga 2.332 juta yen (RM74,652) tanpa sebarang perincian opsyen.

     
     
  • JPJ eBid: Siri CEW dan QM_P bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Pahang, CEW, telah dibuka bidaan mulai esok, 20 Januari 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 24 Januari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 25 Januari 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QM_P, bidaannya pula bakal dibuka mulai 25 Januari dan akan berakhir jam 10 malam pada 29 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Januari 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    Bagi tahun 2023, Malaysia mencatatkan rekad baru angka jualan kenderaan secara keseluruhannya dengan mencapai TIV 799,731 unit. Angka ini 11% lebih tinggi berbanding tahun 2022 yang menyaksikan sebanyak 721,177 unit terjual, yang ketika itu juga merupakan rekod baru.

    Ini adakah kesan pemulihan akibat tempoh pandemik Covid-19, yang telah membuatkan angka jualan kenderaan turun banyak bagi tahun 2020-2021. Ini kali kedua TIV melebihi angka 700,000 unit. Begitu juga dengan pengeluaran keseluruhan, yang naik 10% kepada 774,600 unit, juga rekod tertinggi yang pernah dicapai.

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), pertumbuhan ini didorong antara lain oleh segmen kenderaan penumpang, dengan keadaan ekonomi domestik yang kukuh serta persekitaran sosio-ekonomi yang stabil. Selain itu, faktor besar yang lain juga serahan ketika tempoh pengecualian SST yang perlu diselesaikan sebelum 31 Mac 2023.

    Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    Selain itu, pelancaran banyak model baru termasuk EV dengan pakej harga yang menarik (bebas cukai untuk unit CBU) serta rantaian bekalan industri yang semakin bertambah baik akibat gangguan bekalan ketika Covid dahulu.

    Mengikut pecahan, kenderaan penumpang menyumbang kepada pertumbuhan ini, dengan angka 719,160 unit terjual yang mewakili peningkatan 12%, dan menyumbang kepada 89.9% keseluruhannya. MPV menjadi jenis kenderaan yang catat pertumbuhan paling ketara dengan 27.6% — ini tentulah disumbangkan oleh model generasi kedua Perodua Alza tahun lalu. Kereta penumpang pula meningkat sebanyak 11.2% dan SUV pula 9.7%. Trak pikap pula mencatatkan peningkatan 1.5%.

    Bagi jenama nasional, gabungan Proton dan Perodua berhasil menjual sebanyak 481,300 unit pada 2023, mewakili 66.9% perkongsian pasaran bagi kenderaan penumpang. Ini naik daripada 65.1% pada 2022. Bagi jenama bukan nasional pula, perkongsian pasarannya adalah 33.1%: pertumbuhan 6% berbanding 224,112 unit pada 2022 kepada 237,860 unit tahun lalu.

    Jualan kenderaan di M’sia catat rekod pada 2023 dengan 799,731 unit, naik 11% — sasar 740k unit 2024

    EV juga catat peningkatan ketara, iaitu sebanyak 69%, daripada 22,619 unit pada 2022 kepada 38,055 unit tahun lalu — ini juga mengisi 5% daripada jumlah TIV. Daripada jumlah ini, 28,055 unit adalah kenderaan hibrid (termasuk mild-hybrid BSG), sementara 10,159 unit adalah kenderaan bateri elektrik.

    Ini membawa kepada pertumbuhan sebanyak 40% antara dua tahun berkenaan bagi kenderaan hibrid, sementara peningkatan 286% untuk EV yang pada 2022 hanya terjual 2,631 unit. Data bagi xEV ini bagaimanapun tidak termasuk kenderaan yang dijual oleh Tesla, kerana syarikat itu bukan ahli MAA.

    Bagi 2024, MAA mensasarkan jualan kenderaan xEV akan mencapai tahap 9%, yang mana 2% daripadanya adalah kenderaan EV, dari TIV. Sasaran TIV untuk 2024 juga diletakkan kepada 740,000 unit, dengan 74,000 unit daripadanya kenderaan hibrid, dan 14,800 unit untuk kenderaan elektrik.

     
     
  • Skandal Daihatsu: Kelulusan VTA Gran Max, Toyota Town Ace di Jepun ditarik balik; Perodua tak terlibat

    Skandal Daihatsu: Kelulusan VTA Gran Max, Toyota Town Ace di Jepun ditarik balik; Perodua tak terlibat

    Daihatsu Motor Co., Ltd. hari ini mengumumkan bahawa sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi trak pikap Gran Max yang dijual di pasaran Jepun kini telahpun ditarik balik oleh kerajaan negara itu susulan skandal penyelewengan prosedur ujian keselamatan yang dikesan dilakukan oleh syarikat berkenaan tahun lalu.

    Penarikan semula sijil VTA tersebut turut melibatkan dua lagi model yang direbadge berdasarkan model berkenaan yang dijual di Jepun iaitu trak pikap Toyota Town Ace dan juga Mazda Bongo. Daihatsu turut menyatakan bahawa ia tidak melibatkan versi van untuk ketiga-tiga model tersebut.

    Keputusan ini diambil berdasarkan laporan penyiasatan terbaharu berkenaan penyelewengan prosedur ketika proses pensijilan yang dibuat oleh panel bebas pihak ketiga yang melapor terus kepada kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun pada 20 Disember 2023.

    Bagi mengesahkan fakta dalam laporan berkenaan, Daihatsu telah menjalani siasatan MLIT yang dibuat di fasiliti syarikat tersebut selama beberapa hari berturut-turut. Langkah bagi menarik semula sijil VTA bagi kesemua model terlibat diambil setelah MLIT menemui pelanggaran prosedur yang terlalu serius, dan mengesahkan bahawa ini merupakan satu lagi penyelewengan prosedur yang baharu ditemui.

    Selain itu, Daihatsu juga menerima arahan pembetulan dari MLIT hari ini yang menggesa syarikat tersebut membuat pembaharuan asas kepada struktur korporat yang terlibat dalam penyelewengan prosedur berkenaan, yang menyebabkan pelanggaran undang-undang dan peraturan. Ini bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berlaku lagi.

    Skandal Daihatsu: Kelulusan VTA Gran Max, Toyota Town Ace di Jepun ditarik balik; Perodua tak terlibat

    Selain itu MLIT juga mengarahkan Daihatsu untuk segera menyerahkan notis bagi memanggil semula dua model pada pasaran Jepun iaitu Daihatsu Cast serta kembarnya Toyota Pixis Joy yang mungkin turut melanggar prosedur ketika proses pensijilan.

    “Kami memandang serius petunjuk dalam perintah pembetulan yang kami terima pada masa ini, dan di samping menjalankan semakan menyeluruh terhadap prosedur pensijilan kami, kami akan melaksanakan pembaharuan dari perspektif pengurusan, persekitaran dan budaya tempat kerja, serta MONODUKURI dan KOTODUKURI yang sesuaidengan pematuhan undang-undang yang ketat sebagai premis asas. Kami akan berusaha ke arah pemulihan syarikat dengan sokongan menyeluruh daripada Toyota Motor Corporation,” kata Daihatsu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Kami akan menyusun langkah untuk mencegah perkara ini dari berulang, menyerahkan laporan tentang langkah tersebut kepada MLIT dalam masa satu bulan dan melaporkan setiap suku tahun kepada MLIT mengenai status pelaksanaan langkah tersebut.

    “Berkenaan kes-kes tambahan penyelewengan prosedur yang ditemui, kami telah menjalankan pengesahan teknikal dan mengesahkan bahawa prestasi keselamatan dan alam sekitar memenuhi piawaian undang-undang, dan kami akan mengambil sebarang langkah yang perlu, seperti melakukan ujian dengan pihak berkuasa pensijilan yang hadir, mengikut dengan petunjuk daripada MLIT,” tambah syarikat itu lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025