Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    Satu lagi sub-jenama dari Chery iaitu iCaur sudahpun dilancarkan secara rasmi ke Malaysia ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 bulan lalu. Masih belum ada modelnya yang dilancarkan di sini, namun ketika itu tiga model utamanya iaitu iCaur 03, 03T dan juga V23 ada dipamerkan untuk dilihat oleh orang ramai.

    Dari dua model tersebut, iCaur Malaysia telah mengesahkan bahawa model 03 akan dilancarkan terlebih dahulu iaitu pada suku ketiga tahun ini. Dan sebelum ia dilancarkan, kami telah diberi peluang untuk melihat model ini diluar dari dewan pameran.

    Di China jenama ini dikenali sebagai iCar, manakala pada pasaran-pasaran eksport tertentu termasuk Malaysia yang berhadapan dengan masalah pendaftaran tanda dagang, ia dikenali sebagai iCaur. Jenama ini wujud dengan kerjasama antara Chery dan Zhimi Technology (juga dikenali sebagai Smartmi) iaitu anak syarikat pengeluar peralatan elektronik iaitu Xiaomi.

    iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    Dua varian 03 akan dijual di Malaysia iaitu 03 2WD yang bakal dijual pada harga RM145,000, dan varian iWD dijual pada harga RM155,000. Kami menerima varian paling tinggi iaitu iWD untuk tatapan anda kali ini.

    Sebelum kita pergi jauh, perlu penulis jelaskan bahawa iCaur 03 ini adalah sebuah SUV yang digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya (EV) yang didakwa dihasilkan dengan kebolehan meredah laluan off-road dengan baik. Bagi varian 2WD, ia menerima motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang dan memacu roda belakang berkuasa 184 PS dan tork 220 Nm.

    Manakala varian iWD ini pula, satu lagi motor elektrik tambahan berkuasa 95 PS dan tork 165 Nm diletakkan pada gandar hadapan bagi memacu roda hadapan. Mengapa ia digelar iWD dan bukan AWD? iCaur menyatakan ini kerana kuasa antara gandar hadapan dan belakang akan menggerakkan tayar secara pintar (intelligent) bagi mendapatkan cengkaman terbaik berdasarkan keadaan permukaan jalan dan mod yang dipilih.

    iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    Secara keseluruhan SUV ini dibekalkan dengan kuasa 279 PS dan tork maksima 385 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 150 km/j. Kuasa untuk menggerakkan kedua-dua motor elektrik berkenaan diterima dari bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 69.8 kWjm yang memberikan jarak gerak sejauh 418 km dengan satu cas penuh dalam kitaran ujian NEDC.

    Manakala untuk mengecas, pengecasan pantas DC 80 kW membolehkan bateri dipenuhkan dari 30%-80% dalam masa 30 minit. Ia juga menyokong pengecas AC pada kadar 6.6 kW serta sistem vehicle-to-load (V2L) untuk memberi kuasa pada peralatan elektrik lain pada kadar 3.3 kW.

    Dengan gaya luaran yang direka berkotak seakan model-model SUV off-road ikonik seperti Land Rover Defender, iCaur ini nampak seperti sebuah SUV yang besar, namun sebenarnya ia adalah SUV dalam kelas segmen-B seperti Honda HR-V. Panjangnya adalah 4,406 mm bersama lebar 1,910 mm, tinggi 1,715 mm dan jarak roda sejauh 2,715 mm.

    Rupa berkotak SUV ini diselarikan dengan perincian-perincian lasak seperti bampar hadapan dan belakang seakan ‘disangkut’ pada casis ladder frame, pelindung-pelindung badan pada semua ruang roda, rel bumbung, kotak kargo yang disangkut pada pintu tailgate belakang seakan tayar gantian yang digantung pada SUV klasik, dan rim aloi 19-inci bersama tayar 225/55R19, tetapi diadun dengan bentuk lampu hadapan dan belakang berkotak yang nampak futuristik.

    Namun iCaur 03 ini masih diasaskan dari kerangka badan monocoque yang menampilkan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan suspensi bebas jenis multilink di belakang.

    Dalam kabin sekali lagi inspirasi dari Land Rover Defender diterapkan pada SUV ini, terutamanya pada bahagian papan pemuka yang juga direka berkotak. Namun elemen minimalis agak dititik beratkan kerana tiada sebarang suis atau butang kawalan ditempatkan pada papan pemuka tersebut.

    Selain dari suis-suis kawalan maya yang boleh digunakan menerusi skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci di tengah papan pemuka, kawalan untuk sistem penghawa dingin dan audio sebenarnya boleh dibuat menerusi suis fizikal yang ditempatkan pada roda stereng. Manakala suis lampu isyarat kecemasan pula diletakkan pada bumbung (berhampiran cermin pandang belakang) bagi mengekalkan rupa ringkas pada papan pemuka.

    Selain itu SUV ini juga menerima perincian seperti paparan instrumen digital dengan skrin 9.2-inci, sistem audio Infinity dengan 12-pembesar suara, bumbung suria panaromik, pengecas telefon pintar tanpa wayar, butang pembuka pintu, tempat duduk hadapan larasan kuasa, port pengecas USB-A dan USB-C di hadapan dan belakang, dan pelbagai lagi.

    Untuk keselamatan, SUV ini dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2.5 yang menampilkan fungsi seperti bantuan kekal lorong, cruise control adaptif, bantuan kesesakan trafik dan pelbagai lagi. Ia juga datang dengan kamera pemantau 540-darjah yang memberikan visual ‘lutsinar’ di bawah lantai.

    Namun kami difahamkan unit yang diberikan kepada kami ini masih lagi dalam bentuk pra-produksi bagi pasaran Malaysia. Untuk spesifikasi sebenar kita masih perlu menunggu sehingga ia dilancarkan secara rasmi di sini kelak.

     
     
  • Penyelarasan semula subsidi RON95 akan buka jalan kepada cukai karbon untuk industri pada 2026

    Penyelarasan semula subsidi RON95 akan buka jalan kepada cukai karbon untuk industri pada 2026

    Penyelarasan semula subsidi petrol RON 95 akan menjadi keutamaan bagi kerajaan bagi tahun ini sebelum cukai karbon diperkenalkan pada 2026 nanti, jelas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Diumumkan pertama kali dalam Belanjawan 2025, cukai karbon bukan cukai jalan yang berasaskan CO2 seperti di negara lain, sebaliknya disasarkan terhadap logam dan besi, dan industri tenaga, dengan pendapatan dari situ akan digunakan untuk mendanai kajian dan program teknologi mesra alam, lapor The Sun.

    Beliau juga maklum bahawa Malaysia perlu terlebih dahulu mendepani masalah subsidi minyak, terutama yang melibatkan sektor tenaga, sebelum melaksanakan cukai karbon. “Ketika kita melakukan peralihan ini, perlulah dipastikan tiada kesan yang tidak dikehendaki berada dalam sistem kita. Sebagai contoh, Malaysia belum melaksanakan cukai karbon sebagai sebahagian daripada kerangka dasarnya. Walaupun dijadualkan untuk dilaksanakan pada 2026, ada langkah yang lebih penting perlu diambil,” jelasnya.

    “Satu masalah utama ialah ketidakseimbangan yang berlaku dalam sistem, terutamanya terhadap subsidi yang disediakan untuk sektor tenaga. Matlamat utamanya kini ialah untuk mula mengurangkan semua subsidi ini. Tidak masuk akal untuk mengenakan cukai di satu sisi, tetapi pada masa yang sama di sisi yang lain tetap memberikan subsidi petrol, diesel atau bahan api lain,” tambahnya.

    Penyelarasan semula subsidi RON95 akan buka jalan kepada cukai karbon untuk industri pada 2026

    Beliau juga menekankan bahawa penyelarasan semula subsidi adalah langkah kritikal ke arah mewujudkan asas yang kukuh bagi membangunkan kelestarian kaedah dan kerangka dasarnya. “Untuk itu, kita boleh jangkakan pengenalan kaedah berstruktur, termasuk kerangka tindakan iklim, alat pengukuran yang mantap, dan juga pelaksanaan cukai karbon untuk menyokong semua inisiatif ini,” jelas beliau.

    “Jika kita mahukan peralihan ini memberi kesan berterusan, keseluruhan sistem perlu memberi maklum balas. Ia tidak boleh dipacu oleh pengumuman yang terpisah atau polisi berasingan. Cabaran untuk kerajaan adalah untuk merangka semuanya bersekali agar ia selari dan berkesan,” tambahnya.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan semula subsidi petrol RON 95 akan diteruskan seperti yang telah dirancang, dan menambah bahawa ia tidak akan memberi kesan kepada 85%-95% penduduk.

     
     
  • Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Minggu lalu, Stellantis Malaysia umumkan kemaskini dan peningkatan yang dilakukan terhadap model Leapmotor C10 bagi tahun 2025, yang pertama kali dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Oktober 2024. Lebih menarik, model SUV elektrik berkenaan juga diberikan harga jualan baru yang lebih rendah, iaitu RM125,000 termasuk insurans daripada harga asalnya, RM159,000 — harga pengenalan ketika dilancarkan pula ialah RM149,000 hingga Oktober 2024 tahun lalu.

    Jadi, apa peningkatan dan kemaskini yang dilakukan terhadap Leapmotor C10? Antara yang utama ialah pengecas AC-nya kini dengan kapasiti kuasa 11 kW, menggantikan versi 6.6 kW sebelum ini. Ini menjadikan tempoh pengecasan lebih pendek, daripada enam jam kepada empat jam. Untuk pengecasan DC pula masih sama; 84 kW yang boleh mengecas bateri LFP 69.9 kWh dari 30%-80% dalam masa 30 minit.

    Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Untuk kelengkapan lain, model C10 2025 kini turut datang sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta kit pam angin automatik untuk tayar. Turut ditambah ialah penutup ruang barangan belakang (tonneau cover) — kapasiti ruang simpanan belakang ialah 435 liter dengan tempat duduk belakang ditegakkan, dan boleh menjadi sehingga 1,410 liter jika tempat duduk dilipat. Ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan (frunk) menyediakan 32 liter ruang.

    Bahagian dalam C10 2025 pula menampilkan kemasan balutan hitam, menggantikan warna Midnight Aurora bagi varian dengan warna luaran Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey. Bagi model berwarna Glazed Green pula, upholsteri kini hadir dalam warna Camel Brown menggantikan Criollo Brown. Bahan balutannya masih menggunakan tekstil silikon Oeko-Tex.

    Untuk sistem hiburan, Leapmotor C10 2025 mengekalkan panel instrumen bersaiz 10.25-inci dengan resolusi 1920 x 720, serta skrin tengah bersaiz 14.6 inci berdefinisi tinggi dengan resolusi 2560 x 1440. Sistem audio pula terdiri daripada 12-pembesar suara berkuasa 840 watt dengan bunyi keliling, lengkap dengan fungsi navigasi satelit, Wi-Fi dan Bluetooth.

    Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Sistem penggerak Leapmotor C10 ini tidak berubah, masih menggunakan tetapan motor tunggal yang menghasilkan 218 PS dan 320 Nm untuk memacu roda belakang. Kenderaan ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

    Leapmotor C10 2025 dijual dengan harga bermula RM125,000 dan hadir bersama jaminan selama enam-tahun atau 150,000 km (terdiri daripada jaminan pengeluar empat tahun dan jaminan lanjutan dua tahun), serta jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
  • Xpeng G7 EV SUV diperkenal di China – lebih panjang dari G6, pemanduan autonomous Tahap 3, 702 km

    Xpeng G7 EV SUV diperkenal di China – lebih panjang dari G6, pemanduan autonomous Tahap 3, 702 km

    Model baru Xpeng G7 EV SUV kini dibuka untuk tempahan awal di China, bermula pada harga 235,800 yuan (anggaran RM139,000), seperti yang dilaporkan oleh Car News China, yang turut menyiarkan beberapa gambar model tersebut.

    Xpeng G7 dibina sebagai SUV elektrik segmen D dan lebih panjang berbanding model Xpeng G6, sekaligus menjadi pesaing utama kepada Tesla Model Y dan Zeekr 7X. Ia berukuran 4,892 mm panjang (+139 mm berbanding G6), 1,925 mm lebar (+5 mm), 1,655 mm tinggi (+5 mm) dan jarak roda yang kekal pada 2,890 mm – sama seperti G6.

    Dari aspek teknologi pemanduan sendiri, G7 dilengkapi sistem pemanduan autonomous Tahap 3 dipanggil XNGP (eXtreme Navigation Guided Pilot), yang berasaskan sepenuhnya kepada kamera tanpa penggunaan LiDAR. Terdapat dua varian ditawarkan, Max dan Ultra dengan varian tertinggi Ultra dilengkapi tiga cip Turing AI yang menurut Xpeng, mampu menghasilkan lebih 2,200 TOPS kuasa pengkomputeran, bersamaan dengan sembilan cip Nvidia Orin-X.

    Xpeng G7 EV SUV diperkenal di China – lebih panjang dari G6, pemanduan autonomous Tahap 3, 702 km

    Satu lagi ciri menarik ialah sistem AR-HUD (paparan maklumat realiti tambahan) yang dibangunkan bersama Huawei. Sistem ini menampilkan paparan 87 inci yang menyokong navigasi AR, panduan di persimpangan kompleks serta arahan pertukaran lorong secara dinamik, lengkap dengan algoritma penstabilan imej, pembetulan herotan dan pampasan kelewatan.

    Untuk sistem kuasa, G7 dilengkapi motor elektrik belakang berkuasa 296 PS. Ia dipadankan dengan pilihan dua bateri – 68.5 kWh memberi jarak pemanduan sehingga 602 km (jika guna rim 18 inci) atau 577 km (rim 20 inci) dan 80.8 kWh yang mampu memberi jarak sehingga 702 km (rim 18 inci) atau 677 km (rim 20 inci). Semua angka ini berdasarkan piawaian CLTC.

    Melihat kepada rekaan luarannya, G7 menampilkan jalur lampu hadapan penuh seperti Tesla Model Y versi Juniper, tetapi dalam tiga bahagian berasingan dengan lampu utama diletakkan dalam ruang potongan khas di bawah jalur tersebut. Bahagian bawah gril boleh dibuka untuk penyejukan atau ditutup bagi meningkatkan aerodinamik, sementara ciri tambahan lain adalah termasuk pintu tanpa bingkai dengan fungsi soft-close, pemegang pintu rata, lampu belakang penuh lebar berbentuk trapezoid serta ruang simpanan depan (frunk).

    Reka bentuk dalaman G7 mengekalkan konsep minimalis. Ia dilengkapi skrin sesentuh utama bersaiz 15.6 inci, dua pad pengecas telefon tanpa wayar, tempat duduk kulit Nappa dengan fungsi ventilasi, pemanas dan urutan, bumbung panoramik, lampu suasana dengan 256 pilihan warna, 20 pembesar suara dan cermin pandang belakang digital.

    Menariknya, penumpang belakang turut mendapat skrin kawalan penyaman udara bersaiz 8 inci dan meja lipat dengan pemegang tablet bermagnet yang dipasang di belakang tempat duduk penumpang hadapan. Dengan semua ciri canggih ini, adakah anda ingin melihat Xpeng G7 dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

     
     
  • Honda Super EV Concept akan diperkenal di Goodwood – petunjuk kepada EV segmen A produksi

    Honda Super EV Concept akan diperkenal di Goodwood – petunjuk kepada EV segmen A produksi

    Super EV Concept

    Honda memberi kejutan dengan memperkenalkan Super EV Concept, sebuah model konsep yang akan dipertontonkan di Goodwood Festival of Speed dari 10 hingga 13 Julai ini. Model elektrik (EV) ini merupakan petanda awal kepada sebuah hatchback elektrik segmen A versi produksi dan akan berada di hujung spektrum yang bertentangan dengan 0 SUV.

    Rekaan Super EV Concept dilihat banyak mengambil inspirasi daripada model Honda e yang kini telah dihentikan pengeluarannya. Prototaip yang diuji di United Kingdom sebelum pameran menunjukkan beberapa elemen rekaan menarik seperti panel hadapan berbentuk bujur dengan lampu utama bulat dan soket pengecas, bonet jenis clamshell, fender yang menonjol, serta garis bahu yang naik ke atas menuju ke tiang-C yang tebal. Tidak seperti kebanyakan model moden lain, pemegang pintu pada Super EV menggunakan penarik biasa dan bukannya jenis tersembunyi.

    Meskipun maklumat teknikal belum didedahkan sepenuhnya, jarak perjalanan dijangka antara 300 hingga 400 km – satu peningkatan ketara berbanding jarak maksimum 220 km pada Honda e. Ini juga meletakkan Super EV seiring dengan pesaing seperti Fiat 500e, namun dengan kelebihan rekaan badan lima pintu yang lebih praktikal. Honda turut menyatakan bahawa Super EV akan menawarkan pengalaman pemanduan yang “mengujakan dan mendebarkan,” menunjukkan kemungkinan penggunaan motor belakang, seperti pada model Honda e.

    Super EV Concept akan menyertai acara mendaki bukit ikonik di Goodwood bersama beberapa model prototaip lain termasuk Honda Prelude baru dan Civic Type R Ultimate Edition. Type R edisi khas ini, yang baru sahaja diumumkan awal bulan ini, merupakan penghormatan terakhir kepada nama ikonik itu di Eropah berikutan peraturan emisi yang semakin ketat.

     
     
  • Siri plat khas ‘M_M’ dan ‘VIPS’ yang masih berbaki dibuka untuk jualan melalui portal MySikap – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan baki jualan untuk Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ‘M_M’ dan ‘VIPS’ sedang dibuka menerusi portal MySikap.

    Baki jualan NPI atau siri plat khas ‘M_M’ mula dibuka sejak 16 Jun 2025. Ia mempunyai prefiks M (hadapan) dan sufiks M (belakang) yang membawa maksud Malaysia Merdeka. Siri khas ini bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-66 iaitu pada tahun 2023.

    Bagi baki siri khas ‘VIPS’ yang dibuka pada 10 Jun lalu, ia membawa maksud ‘Visit Impressive Perlis State’ dan dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun pemerintahan ke-25 Jubli Perak Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis. Ia juga adalah salah satu inisiatif mempromosikan ‘Tahun Melawat Perlis 2024-2025’.

    Untuk mendapat siri khas ‘M_M’ atau ‘VIPS’ ini, anda perlu mendaftar akaun di MySikap, namun bagi pengguna sedia ada, anda boleh log masuk ID anda dan kemudian pergi ke Menu ‘Kenderaan’. Seterusnya, klik pada Menu ‘Tempahan Nombor Pendaftaran’ dan pilih ‘Nombor Pendaftaran Istimewa’.

    Klik untuk besarkan

    Kemudian, klik pula bahagian ‘Siri dan Nombor’ untuk memilih baki nombor plat khas A_A ini. Senarai baki nombor boleh dilihat menerusi paparan ‘Nombor Pendaftaran Yang Ingin Dibeli’.

    Selepas anda membuat pilihan nombor yang berkenan, anda boleh terus ke bahagian pembayaran dan menggunakan transaksi tanpa tunai sama ada menggunakan kad debit/kredit atau pun pembankan dalam talian. Selesai sahaja membuat pembayaran, jangan lupa cetak resit pembayaran.

    Pada September 2023, JPJ mengumumkan pihaknya berjaya meraih kutipan sebanyak RM20, 091, 970 untuk ‘M_M’ yang dibuka bidaan menerusi JPJ eBid dan berdasarkan rekod, M1M merupakan NPI yang menerima bidaan tertinggi iaitu mencecah RM622,000. Diikuti dengan M5M yang menerima bidaan bernilai RM500,000 dan M8M dengan harga RM450,000. Manakala M9M pula dibida dengan harga RM402,004, dan M6M pula bernilai RM350,000.

     
     
  • Peugeot e-208 GTi didedahkan – hot-hatch EV 280 hp/345 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat, 350 km WLTP

    Peugeot e-208 GTi didedahkan – hot-hatch EV 280 hp/345 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat, 350 km WLTP

    Seperti yang diumumkan Mei lalu, kini secara rasmi Peugeot telah mendedahkan penerus legasi untuk hot-hatch dengan lencana GTi – ini dia Peugeot e-208 GTi, iaitu GTi pertama Peugeot yang diasaskan dari model elektrik penuh (EV)!

    Seperti yang disebut, model generasi baharu ini diasaskan dari hatchback kompak Peugeot e-208. Ia masih menggunakan hanya satu motor elektrik bagi memacu roda hadapan, namun berbanding versi biasa di mana motor berkenaan hanya menghasilkan 154 hp, versi GTI ini dibekalkan dengan kuasa 280 hp dan tork maksima 345 Nm, dan ia datang standard dengan unit LSD.

    Ini membolehkan Peugeot e-208 GTi ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, atau 0.8 saat lebih pantas dari Peugeot 208 GTi generasi pertama dengan enjin 1.6 liter turbo. Namun ia hanya mampu mencatatkan kelajuan maksimum 180 km/j berbanding 230 km/j berbanding 208 GTi terdahulu.

    Peugeot e-208 GTi didedahkan – hot-hatch EV 280 hp/345 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat, 350 km WLTP

    Motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri CATL berkapasiti 54 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 350 km/j untuk satu cas penuh menerusi ujian WLTP. Walaupun ia dibekalkan oleh CATL, pek bateri ini telah menerima perisian yang dibangunkan oleh Peugeot bersama kereta lumba Le Mans Hyper (LMH) 9X8 dalam perlumbaan World Endurance Championship (WEC), yang membantu dari segi pengurusan haba dan pemulihan tenaga.

    Untuk mengecas, sistem AC yang dibekalkan mampu menerima sehingga 7.4 kW bagi membolehkan cas dipenuhkan dalam masa empat jam 40 minit. Sistem ini juga mempunyai fungsi untuk mengehadkan pengecasan hanya pada 80%. Pengecas pantas DC juga boleh digunakan dengan kemampuan sehingga 100 kW yanh membolehkan cas dari 20%-80% dipenuhkan dalam masa tak sampai 30 minit.

    Sama seperti model-model Peugeot lain, e-208 GTi ini juga menerima perancang perjalanan bina dalam yang dihubungkan kepada sistem navigasi bagi memudahkan anda merancang perjalanan terutamanya merancang dan mencari stesen pengecas. Sistem vehicle-to-load (V2L) juga diberikan bagi membolehkan kuasa bateri digunakan untuk mengoperasikan pelbagai peralatan elektrik lain.

    Peugeot e-208 GTi didedahkan – hot-hatch EV 280 hp/345 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat, 350 km WLTP

    Pada sebelah luar, model dengan lencana GTi ini nampak lebih garang menerusi pemadanan spoiler bawah bampar yang lebih agresif, spoiler belakang lebih besar dan juga diffuser bawah bumper belakang yang lebih menonjol serta disepadukan dengan lampu kabus.

    Namun rupa lebih ‘jahat’ ini bukan hanya terserlah menerusi kit penggayaan, ia turut disumbang menerusi trek roda hadapan yang dihasilkan 56 mm lebih lebar dan trek roda belakang juga 27 mm lebih lebar, bersama suspensi yang ditala bagi memberikan badan hot-hatch ini 30 mm lebih rendah. Suspensi berkenaan turut dibantu bump stops hidraulik khas yang direka hanya untuk e-208 GTi ini.

    Stance yang agresif pada e-208 GTi ini juga ditonjolkan lagi menerusi pemadanan set rim 18-inci dengan rekaan diinspirasikan dari rim ikonik Peugeot 205 GTi era 80’an dahulu, serta dibalut dengan tayar berprestasi Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 215/40R18.

    Untuk brek pula pada bahagian hadapan ia menerima cakera lebih besar berdiameter 355 mm. bersama angkup brek empat omboh, namun di belakang ia masih menerima sistem brek yang sama seperti e-208 biasa.

    Inspirasi dari model 205 GTi juga boleh dilihat pada sebelah kabin di mana model ini menerima balutan Alcantara pada tempat duduk dan stereng dalam kemasan merah dan hitam, dan juga karpet kaki berwarna merah.

     
     
  • Insiden pelajar UPSI: Lesen pemandu bas digantung, kemalangan bukan disebabkan masalah teknikal

    Insiden pelajar UPSI: Lesen pemandu bas digantung, kemalangan bukan disebabkan masalah teknikal

    Lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dengan kemalangan membabitkan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) telah digantung serta-merta. Kemalangan yang berlaku di Jalan Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak pada 9 Jun lalu telah menyebabkan 15 penuntut UPSI terkorban, dan 33 orang lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas berkenaan, serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza yang turut terbabit dalam insiden berkenaan.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tindakan ini diambil mengikut peruntukan Seksyen 56 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) susulan siasatan yang sedang dijalankan. “JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan,” kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Pada 11 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut mengumumkan semua permit syarikat pengendali bas berkenaan dibatalkan serta-merta berikutan pelanggaran beberapa syarat permit. Jelasnya, pemilik syarikat melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan pengendalinya tidak mengaktifkan GPS.

    Kelmarin, Loke turut memaklumkan bahawa kemalangan bas persiaran tersebut bukan disebabkan masalah mekanikal kenderaan itu. “Berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), keadaan fizikal brek bas berkenaan membabitkan ‘lining’ dan ‘drum’ bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan memuaskan.

    Insiden pelajar UPSI: Lesen pemandu bas digantung, kemalangan bukan disebabkan masalah teknikal

    “Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada ‘drum’ brek mahupun kenipisan pada ‘lining’ brek. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek itu yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Anthony berkata, berdasarkan pemeriksaan fizikal tayar pula mendapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Komponen bahagian stering dan suspensi secara menyeluruh dalam keadaan memuaskan. Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan. Justeru, kemungkinan besar kemalangan itu berlaku atas faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya,” katanya.

     
     
  • Jabatan Wilayah Persekutuan dan JPJ diminta uruskan isu kenderaan terbiar di KL dan Putrajaya – Menteri

    Jabatan Wilayah Persekutuan dan JPJ diminta uruskan isu kenderaan terbiar di KL dan Putrajaya – Menteri

    Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meneliti kelemahan undang-undang berkaitan pelupusan kenderaan terbiar di Kuala Lumpur dan Putrajaya, laporan Bernama.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, lebih 2,500 aduan awam berkaitan kenderaan terbiar diterima setiap tahun di Kuala Lumpur sahaja.

    “Namun begitu, kita berdepan dengan beberapa kekangan undang-undang, termasuk kenderaan terbiar di kawasan persendirian yang tidak boleh ditunda ke depoh pihak berkuasa tempatan, serta kenderaan yang telah lama berada di depoh tetapi belum dilupuskan akibat halangan perundangan,” katanya yang turut menambah bahawa satu penyelesaian menyeluruh perlu dirangka bersama oleh agensi-agensi berkaitan.

    Beliau turut menggalakkan pemilik yang ingin melupuskan kenderaan mereka untuk mengunjungi pusat rawatan automotif berlesen, dengan menyatakan bahawa pemilik akan menerima bayaran tunai berdasarkan keadaan kenderaan tersebut.

    Pada tahun lepas, kerajaan telah memperkenalkan e-Dereg, sebuah inisiatif dalam talian untuk memudahkan proses batal hak milik kenderaan, memudahkan pemilik yang ingin melupuskan kenderaan lama mereka untuk melakukannya melalui pusat rawatan automotif berlesen.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95 tetap diteruskan seperti dirancang, tak jejas sebahagian besar rakyat – PMX

    Subsidi bersasar RON95 tetap diteruskan seperti dirancang, tak jejas sebahagian besar rakyat – PMX

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat, laporan The Star.

    “Tiada isu untuk menaikkan harga petrol untuk majoriti besar sehingga 85% hingga 95% rakyat kita. Adakah kita akan melakukannya? Ya, kerana rasionalisasi subsidi adalah kritikal untuk negara kita. Kita mahu sumber yang mencukupi untuk membantu golongan miskin, meningkatkan kualiti pendidikan, dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik, termasuk kesihatan,” katanya.

    Beliau mengkritik pembangkang kerana mencipta naratif negatif mengenai rancangan kerajaan untuk RON95. “Apa sahaja yang dikatakan oleh pembangkang hanyalah gimik terdesak untuk menunjukkan bahawa rakyat sedang menghadapi kesusahan. Terdapat lebih banyak berita negatif daripada mereka apabila kita memerlukan berita yang menggalakkan untuk memacu ekonomi kita,” katanya.

    Kenyataan PM itu susulan kenaikan lebih 9% dalam harga minyak mentah global berikutan konflik Israel-Iran. Ditanya sama ada konflik dan peningkatan harga minyak mentah global akan menjejaskan ekonomi negara dan tabung kerajaan, beliau memberitahu pemberita ia tidak akan memberi kesan buruk buat masa ini.

    Subsidi bersasar RON95 tetap diteruskan seperti dirancang, tak jejas sebahagian besar rakyat – PMX

    “Buat masa ini, saya telah membincangkan perkara ini dengan setiausaha agung Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pemain terkemuka. Mereka memantau keadaan dengan sangat teliti, tetapi ia tidak semestinya memberi kesan buruk kepada industri dan mekanisme harga,” katanya.

    Akhir Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini. Buat masa ini, katanya, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.

    Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • Toyota Harrier 2027 – reka bentuk model generasi seterusnya dibayangkan, akan guna enjin 1.5L turbo

    Toyota Harrier 2027 – reka bentuk model generasi seterusnya dibayangkan, akan guna enjin 1.5L turbo

    Toyota Harrier generasi kelima dijangka akan dilancarkan pada tahun 2027, dengan laporan dari Best Car Web mengatakan, ia akan menggunakan enjin hibrid turbo 1.5 liter. Pereka digital terkenal, Theophilus Chin, turut berkongsi gambaran awal rupa bentuk SUV baharu ini, yang menggabungkan elemen daripada dua model SUV Toyota yang lebih kecil iaitu Toyota C-HR dan RAV4.

    Rekaan ini menggunakan model Harrier atau Venza sedia ada sebagai asas, tetapi ditambah dengan ciri-ciri moden daripada C-HR dan RAV4. Bahagian hadapan, terutama di bawah, mengambil inspirasi daripada RAV4 2026. Lampu hadapan pula direka lebih tajam, menyerupai lampu dari C-HR elektrik sepenuhnya (berasaskan platform e-TNGA). Di belakang, jalur lampu penuh dengan LED empat segmen juga kelihatan seperti yang digunakan pada C-HR.

    Dari tepi kenderaan kita boleh melihat terdapat permukaan badan yang lebih bersudut dan tajam berbanding Harrier generasi sekarang. Garisan pada badan kenderaan dibuat melintang serong dan bahagian bawah kelihatan seperti yang bentuk C-HR dan RAV4.

    Toyota Harrier 2027 – reka bentuk model generasi seterusnya dibayangkan, akan guna enjin 1.5L turbo

    Pintu but belakang juga seakan-akan diambil dari C-HR, dengan nombor plat diletakkan di bahagian tengah manakala ampar belakang menampilkan rekaan diffuser udara berkembar, juga seperti C-HR. Bahagian atasnya masih mengekalkan bentuk tingkap dari Harrier generasi keempat, dengan rekaan tanpa bingkai di belakang tiang-C. Sudut cermin belakang pula berada di tengah-tengah antara rekaan condong C-HR dan bentuk lebih tegak RAV4.

    Untuk makluman, Harrier generasi keempat sekarang ini, dengan kod XU80, pertama kali diperkenalkan pada April 2020. Ia dibina menggunakan platform GA-K daripada rangka kerja TNGA milik Toyota. Model ini juga memperkenalkan enjin Dynamic Force petrol dan hibrid petrol-elektrik, menggantikan enjin turbo 2.0 liter dari model terdahulu.

     
     
  • Zeekr Malaysia lantik Carro jadi pengedar terbaru — akan buka premis di Bangsar, P. Pinang dan Seremban

    Zeekr Malaysia lantik Carro jadi pengedar terbaru — akan buka premis di Bangsar, P. Pinang dan Seremban

    Zeeker Intelligent Technology (Malaysia) Sdn Bhd (Zeekr) hari ini dengan rasminya melantik Carro Retail Sdn Bhd sebagai pengedar terbaru bagi kenderaan jenama Zeekr di Malaysia. Pelantikan terbaru ini mencerminkan kesungguhan jenama itu untuk memastikan pelanggan memperoleh capaian mudah untuk memiliki kenderaan elektrik premium.

    Kerjasama ini akan meliputi pembukaan empat bilik pameran terbaru Zeekr serta tiga bengkel Carro Care untuk menyokong usaha-usaha jualan dan penyelenggaraan yang bakal digerakkan. Pemilihan Carro sebagai pengedar terbaru Zeekr antara lain didorong oleh ekosistem lengkap yang disediakan syarikat itu, termasuk pembiayaan, insurans, badan & cat dan servis penyelenggaraan yang disifatkan mampu memberi sokongan menyeluruh kepada pemilik.

    Malaysia merupakan pasaran kedua selepas Singapura bagi Carro untuk melebarkan sayapnya sebagai penjual kereta baru; Zeekr di Malaysia ketika ini memasarkan dua model, 009 dan X yang kini sudah boleh ditempah melalui laman Carro.

    “Respon positif yang kami terima daripada pasaran Malaysia sejak beberapa bulan lalu mencerminkan penerimaan yang semakin berkembang terhadap kenderaan elektrik premium Zeekr,” ujar Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, Alex Bao.

    “Momentum ini memperkukuhkan lagi komitmen kami untuk memperluas kehadiran di Malaysia, dan kerja sama dengan Carro ini menjadi penanda aras penting untuk tujuan itu untuk memperkukuh rangkaian jualan serta kemampuan servis lepas jualan kami untuk memberikan sokongan yang lebih baik kepada pelanggan. Ini juga penting ketika ini dalam usaha kami mempersiap pengenalan model import baru, Zeekr 7X,” tambahnya.

    “Ini merupakan langkah yang mengujakan buat kami dalam membawakan lebih banyak penawaran automotif kepada pelanggan di Malaysia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Pasaran Antarabangsa di Carro, Fong Hon Sum. “Kita sedang melihat sebuah pasaran yang berkembang bagi kenderaan hibrid dan elektrik di Malaysia. Dengan perluasan pembangunan intrastruktur serta pengecualian cukai, kami bersedia untuk menyediakan semua perkhidmatan ini kepada pelanggan di Malaysia yang ingin beralih kepada EV,” tambahnya.

    Melalui kerjasama ini, pelanggan boleh menjangkakan capaian yang lebih mudah dan menyeluruh dalam sektor EV untuk jangka masa panjang, meliputi jaminan standard pengedar, serta capaian kepada servis lengkap Carro yang terdiri daripada pembiayaan, lepas jualan dan insurans melalui Genie Financial Services, Carro Care dan Coverro.

    Zeekr ketika ini mempunyai tiga bolik pameran, dikenali sebagai Zeekr Space, yang terletak di Petaling Jaya dan IOI Mall Puchong. Ada juga perancangan untuk membuka hingga empat bilik pameran Zeekr Space baru (di Juru Autocity, Lembah Klang dan Seremban) dan tiga bengkel rasmi Carro Care melalui kerja sama terbaru ini.

     
     
  • Roslan Abdullah dilantik sebagai COO GWM Malaysia

    Roslan Abdullah dilantik sebagai COO GWM Malaysia

    Roslan Abdullah kini dilantik sebagai ketua pegawai operasi (COO) bagi Great Wall Motor Malaysia. Beliau memegang jawatan berkenaan selepas meletakkan jawatan sebagai timbalan ketua pegawai kksekutif Proton awal bulan ini.

    Roslan menyertai Proton pada 1 Jun 2020 untuk memegang jawatan sebagai naib presiden jualan dan pemasaran di Proton serta CEO Proton Edar, sebelum dilantik sebagai timbalan ketua pegawai kksekutif Proton pada Januari 2022. Sebelum ini, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengurus besar di DRB-Hicom dari Jun 2019 hingga bulan ini.

    Beliau juga pernah bersama Honda Malaysia dari Disember 2012 hingga Jun 2019, dengan jawatan terakhir sebagai presiden dan COO. Beliau telah menghabiskan hampir tiga dekad dalam industri automotif berkhidmat dalam pelbagai peranan, termasuk dalam bidang kewangan, operasi dan jualan.

     
     
  • MBSA mahu belanja minyak percuma untuk 500 motosikal pada 17 Jun ini di Petronas Seksyen 15

    MBSA mahu belanja minyak percuma untuk 500 motosikal pada 17 Jun ini di Petronas Seksyen 15

    Berita baik untuk penunggang motosikal di sekitar Shah Alam. Pada 17 Jun ini (esok), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menganjurkan program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma. Ia akan berlangsung di Stesen Minyak Petronas Seksyen 15 mulai jam 11 pagi. Menurut MBSA, walau bagaimana pun, tawaran ini terhad untuk 500 buah motosikal terawal sahaja.

    Menurut penganjuran sebelum ini, MBSA berkata, inisiatif ini adalah usaha berterusan membantu komuniti di dalam kawasan pentadbiran MBSA dan sebagai salah satu program kemasyarakatan untuk merapatkan hubungan perpaduan, ukhwah silaturahim dengan masyarakat.

    Di mana mereka yang terpilih merupakan kumpulan sasaran seperti penghantar makanan, penjawat awam, pekerja industri, serta penuntut pusat pengajian tinggi di kawasan sekitar. Dan setiap penunggang motosikal menerima petrol percuma bernilai RM10.

     
     
  • Pekerja kedai cuci kereta warga asing parah setelah kereta pelanggan dipandu terjunam dari tingkat tiga

    Pekerja kedai cuci kereta warga asing parah setelah kereta pelanggan dipandu terjunam dari tingkat tiga

    Semalam tular kejadian sebuah kereta yang jatuh dari tempat parkir sebuah pangsapuri di Ibu Negara. Menurut laporan Bernama, kejadian itu sebenarnya terjadi di sebuah pangsapuri servis, di Jalan Klang Lama pada petang Ahad, 15 Jun 2025 apabila seorang pekerja sebuah kedai mencuci kereta memandu kereta pelanggan dan melanggar tembok sebelum terjunam dari tingkat tiga tempat letak kereta tersebut.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam laporan berkenaan, kejadian berlaku kira-kira 5.38 petang melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu lelaki warga Afghanistan berusia 23 tahun.

    “Siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika mahu meletakkan kenderaan milik pelanggan selepas dicuci.

    “Dia dipercayai tersilap menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu melanggar tembok dan terjatuh dari tingkat tiga sebelum menghempap dua kenderaan lain, iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diparkir di bawah bangunan terbabit,” kata Zamzuri ketika dihubungi Bernama malam tadi.

    Beliau mengesahkan bahawa kedua-dua pemilik kereta berkenaan tiada di dalam kenderaan terbabit ketika kejadian itu berlaku, manakala mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025