Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Malaysia naik taraf 75% jalan menjelang 2020 – laporan

    Bad-road-2

    Malaysia telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan keselamatan bagi majoriti 144,000 km jalan di negara ini bagi memenuhi standard antarabangsa menjelang tahun 2020, menurut laporan The Sun dan The Star.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lebih banyak langkah perlu diambil untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Di mana kadar kemalangan meningkat dari 476,196 kes pada 2014 ke 489,606 kes tahun lalu, dengan jumlah kematian meningkat dari 6,674 pada 2014 ke 6,706 tahun lalu.

    Menurutnya, kemalangan ini telah menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak RM8.63 bilion pada tahun lalu, di mana laporan sebelum ini menyebut jumlah itu termasuk bagi kos perubatan, insurans dan pembaikian kenderaan.

    Liow menambah, pihak kementerian sedang mencari penyelesaian bagi meningkatkan penarafan jalan raya di bawah Program Penilaian Jalan Antarabangsa (IRAP), sebuah badan bukan-berasaskan keuntungan yang menilai tahap keselamatan jalan raya di lebih 70 negara, lebih kurang seperti program penilaian kenderaan bagi keselamatan kenderaan yang dijual di pasaran.

    “Kementerian saya bekerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk meningkatkan 75% standard infrastruktur jalan raya di Malaysia pada sekurang-kurangnya tahap tiga-bintang menerusi rangkaian jalan raya menjelang tahun 2020.

    Program ini mendakwa setiap jalan yang hanya mendapat satu bintang, tahap potensi untuk berlaku kecederaan dan kematian akibat kemalangan di jalan tersebut boleh dikurangkan separuh dari jumlah sebelumnya. Walau bagaimana pun, Liow berkata tidak ada gunanya jika membuat jalan yang lebih bagus seandainya sikap pemandu sendiri tidak berubah. Malah IRAP boleh menurunkan tahap jalan tersebut dari empat-bintang ke satu-bintang jika pengguna jalan raya masih mengamalkan sikap tidak berhemah di jalan raya.

    Liow turut berkata IRAP akan membantu untuk mengutamakan jalan yang patut diperbaiki
    “dengan menilai kos dan faedah bagi setiap pelaburan”. Sambil menambah, ASEAN IRAP akan dilancarkan pada tahun 2018.

     
     
  • Honda CBR150R 2016 dilancarkan di Indonesia – RM10,178, enjin kekal sama, hanya suntikan kosmetik

    All-New-Honda-CBR-150-R-2016-Indonesia-BM

    Pada 14 Februari lalu, Honda CBR150R 2016 telah pun dilancarkan di Indonesia oleh pelumba dari Honda MotoGP Racing Team iaitu Dani Pedrosa dan Marc Marquez, di Litar Lumba Sentul, Kabupaten Bogor, Jawa Barat. Imej yang ditonjolkan oleh CBR150R 2016 ternyata lebih berbeza berbanding generasi terdahulu CBR150R.

    Walau pun masih menggunakan enjin 150 cc silinder-tunggal yang sama seperti model sedia ada, namun CBR150R 2016 ini ada perbezaannya, menurut Toshiyuki Inuma, Pengarah Presiden Honda Indonesia. Beberapa perubahan yang disenaraikan termasuklah casis yang ringan dengan penyejuk-cecair bagi mengoptimakan pengendalian dan pergerakan.

    Honda telah memanjangkan bahagian swingarm sebanyak 13 mm, bagi mempertingkatkan daya kestabilannya. Enjin suntikan-terus bahan api ini dipasang pada sudut kecerunan 40-darjah, bagi memberikan beratnya lebih ke depan. Dengan 11.3 ke satu nisbah mampatan, CBR150R 2016 ini kini mampu menghamburkan sehingga 18.2 hp dan tork 12.6 Nm di mana kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan.

    Modifikasi kosmestik telah pun dilakukan pada CBR150R 2016 ini, dengan tempat duduk belakangnya lebih pendek dan tinggi, memberikan imej yang lebih sporty. Malah fairing hadapannya juga sedikit rendah dan kluster insutrumen LCD digital terletak di bahagian kokpit. Lampu utamanya kini ditampilkan dengan unit LED, sama seperti lampu isyaratnya.

    Honda CBR150R 2016 dijual pada harga bermula 32.5 juta rupiah (RM10,178) dan versi edisi MotoGP pula berharga 33.3 juta rupiah (RM10,302). Terdapat dalam empat pilihan warna iaitu Revolution White, Nitro Black, Racing Red dan warna rasmi Repsol bagi MotoGP.

     
     
  • GoCar – sewa Iriz, Myvi atau Almera ikut jam atau hari

    gocar-1_BM

    Mayflower Acme Tours, subsidiari bagi Warisan TC Holdings mengumumkan bahawa ia telah memperoleh kepentingan majoriti bagi meneruskan operasi GoCar, yang ditubuhkan pada Mac tahun lalu. Pengambilalihan ini menandakan kemasukan Mayflower dalam perniagaan perkhidmatan perkongsian kereta.

    Syarikat ini juga menambah, GoCar memberikan penyelesaian pengangkutan dapat tempoh yang singkat, membenarkan ahlinya menyewa kereta sama ada ikut jam atau hari melalui platform pandu-sendiri, dengan akses menerusi laman web syarikat atau aplikasi dalam talian.

    Sejak dilancarkan, GoCar telah menerima lebih 5,000 jam tempahan untuk keretanya di Cyberjaya, Mont Kiara, Mid Valley dan Bangsar. Perkhidmatan ini masih beroperasi di bawah nama dan jenama yang sama, dan kini mempunyai tiga model kenderaan yang ditawarkan iaitu Proton Iriz, Perodua Myvi dan Nissan Almera.

    go-car-2_BM

    Kadar sewa bagi Myvi adalah yang paling murah, iaitu kadar masa puncak (dari jam 8 pagi hingga 8 malam) hanya RM15.90 per jam. Manakala kadar bukan waktu puncak (dari 9 malam hingga 7 pagi) ialah RM11.90 per jam, dan kadar untuk sewaan 24-jam pula ialah RM159 mengikut penggunaan harian.

    Kadar bagi Iriz pula ialah RM16.90 (waktu puncak) dan RM11.90 (bukan waktu puncak) per jam, dan RM169 sehari. Manakala bagi Almera pula RM19.90 (waktu puncak) dan RM16.90 (bukan waktu puncak) per jam, dan RM209 sehari.

    Mayflower turut memaklumkan, GoCar telah dianugerahkan geran CIP 500 bernilai RM500,000 oleh Cradle Fund, di mana ia bakal digunakan untuk membolehkan perkhidmatan perkongsian kereta ini dapat berkembang ke pasaran baharu dan meningkatkan lagi jangkauan pemasaran.

     
     
  • Toyota C-HR crossover akan diproduksi di Turki

    Toyota_CHR_PTBM_1

    Toyota telah mendedahkan model C-HR yang sebelum ini diperkenalkan sebagai model konsep akan ‘dilahirkan’ dalam versi produksi dan dipasang di kilang Toyota yang terletak di Sakarya, Turki.

    Model Crossover ini akan dihasilkan dalam bentuk terakhir bakal dipertontonkan di Geneva Motor Show pada 1 Mac ini. Walau bagaimana pun, Toyota masih merahsiakan lagi spesifikasi teknikalnya, tetapi kemungkinan besar elemennya banyak diadaptasi dari model terkini Prius. Malah model produksi C-HR (kemungkinan bakal diberi nama lain) juga akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang baharu dibangunkan, sama seperti model terkini Prius.

    Ini merupakan model Toyota yang ke-lapan dipasang di Eropah, selepas AYGO, Yaris, Auris, Corolla, Verso, Camry, dan Avensis. Toyota turut menyebut, akan memproduksikan enjin hibrid bagi crossover di UK dan kilang tersebut terletak di Deeside, Wales. Toyota turut berkata, C-HR yang diproduksi di Turki itu akan dijual bagi pasaran benua Eropah termasuk beberapa negara lain yang berhampiran.

    Toyota_CHR_PTBM_8

    Bagi model konsepnya, ia memilih hibrid sepenuhnya sebagai penjana kuasa bersama enjin petrol, yang dikatakan mampu memberikan penjimatan haba lebih dari 40%. Malah turut menggunakan motor elektrik baharu serta bateri yang lebih ringan dan kompak.

    Walau pun membawakan imej yang kelihatan funky, namun masih ada elemen praktikal yang cuba dipertaruhkan termasuklah penambahan pintu belakangnya. Difahamkan pereka Toyota telah menginspirasikan bentuk berlian sewaktu menghasilkan rekaan model konsepnya.

     
     
  • JPJ Terengganu sita 250 unit kereta klon

    JPJ_Roadblock10

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengambil kira alasan menjadi mangsa penipuan penjual kenderaan klon dan akan akan mengambil tindakan tegas terhadap para pemiliknya.

    Perkara ini sekali lagi ditegaskan oleh Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata hanya segelintir yang menjadi mangsa manakala selebihnya menyedari walaupun ia kereta klon namun tetap membelinya kerana dijual dengan harga lebih murah berbanding kereta asli.

    “Kebanyakan pemilik kenderaan klon tahu mereka bakal berdepan tindakan oleh pihak berkuasa namun kerana keinginan menyebabkan mereka tidak mempedulikan implikasi undang-undang yang bakal dihadapi.

    “Menerusi tindakan penguatkuasaan tahun lalu sehingga semalam, JPJ Terengganu telah menyita lebih 250 kereta palsu atau klon di seluruh negeri,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata, kebanyakan kenderaan klon yang disita ialah kenderaan yang dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran.

    12507599_10153860734242421_5230988317682297466_n

    “Ia ditawar dengan harga berbeza mengikut jenis kenderaan dari sekitar RM12,000 (seunit) berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM100,000,” katanya.

    Katanya, antara kenderaan mewah yang menjadi pilihan pembeli ialah Toyota Wish, Honda, Subaru, BMW dan Mercedes-Benz.

    “JPJ mempunyai kepakaran untuk mengesan kenderaan klon kerana sindiket menjual kenderaan klon biasanya akan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan jenis sama yang sah yang digunakan di negara ini selain menggunakan cukai jalan tidak sah,” katanya.

    “Apabila maklumat dalam sistem JPJ berbeza dengan maklumat yang terdapat pada kenderaan itu, kita akan menyita kenderaan itu di bawah Seksyen 64 (1) dan seterusnya mengeluarkan saman di bawah seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan penjual kereta klon dan perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk langkah keselamatan.

    Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Fortuner kelihatan di Shah Alam!

    TOYOTA-FORTUNER-SHAH-ALAM-0004

    Baru-baru ini, UMW Toyota telah mengesahkan bakal memperkenalkan tiga model baharu di pasaran Malaysia bagi tahun ini. Model tersebut ialah Toyota Hilux, Alphard dan Vellfire. Walau pun tidak menyatakan mengenai Fortuner (atau Innova). Walau bagaimana pun, terima kasih kepada Hakimin Zahid, yang berjaya merakamkan foto Toyota Fortuner baharu di Shah Alam, memberi petanda SUV ini bakal menjengah pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Walau pun belum ada kepastian, adakah unit yang diuji ini turut akan dipadankan dengan enjin baharu siri-GD turbodiesel atau pun 2.7 liter Dual VVT-i empat-silinder baharu (2TR-FE).

    Model Fortuner sebelum ini dipadankan dengan enjin berkapasiti 2.4 liter (1GD-FTV) dan 2.8 liter (2GD-FTV), yang mampu menyalurkan kuasa masing-masing 150 hp/400 Nm dan 177 hp/450 Nm. Manakala enjin yang dijanakan oleh petrol boleh menghasilkan kuasa sehingga 166 hp dan tork 245 Nm.

    Manakala model semasa Fortuner di Malaysia pula hadir dengan enjin petrol 2.7 liter atau 2.5 liter turbodiesel, namun kami berharapkan enjin baharu yang lebih variasi akan diumumkan masa pelancarannya, walau pun sukar untuk memperoleh kedua-dua enjin GD.

    Di Thailand, pilihan enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan (sebelum ini hanya empat-kelajuan) dengan pacuan dua- dan empat-roda. Untuk pasaran kita, varian 4WD paling digemari.

    Jika dilihat pada foto ini, agar sukar untuk mengesahkan adakah lampu utama yang lebih langsing akan dipadankan bersama LED walau pun sebahagian lampu nyalaan siang LED kelihatan. Walau bagaimana pun, elemen yang lebih jelas kelihatan ialah rim aloi bersaiz 18-inci, pelekat pada badan dan pelindung pintu.

    Walau pun foto kabinnya tiada, namun difahamkan Fortuner baharu ini akan menerima sentuhan rekaan yang lebih sofistikated berbanding dengan Hilux.

    Selain itu, elemen lain yang diwar-warkan termasuklah kluster instrumen Optitron seperti Camry dengan paparan LCD pelbagai-info TFT bersaiz besar, paparan infotaimen tujuh-inci, tempat duduk pelarasan elektrik dan penghawa dingin automatik. Selain itu, kena sama-sama nantikan sebarang perkembangan selanjutnya dari masa ke masa.

     
     
  • AES dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kejara lebih berkesan berbanding kadar saman tinggi – Liow

    AES_Camera

    Berikutan cadangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menaikkan kadar saman, ia mendapat respons daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berpendapat, penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah cara yang lebih berkesan berbanding mengenakan kadar saman tinggi untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini lebih berhemah, menurut laporan Bernama.

    Katanya lagi, jumlah sama ada kadar saman tinggi atau rendah adalah suatu yang subjektif buat setiap rakyat Malaysia bergantung kepada jumlah pendapatan dan taraf kewangan mereka.

    PDRM-2

    “Bagi saya, Kejara dan AES merupakan penguatkuasaan yang lebih efektif berbanding saman sahaja. Sistem ini juga akan gantung lesen pengguna tidak kira sesiapa, jika dia lakukan kesalahan berkali-kali, kalau mata sampai tahap lesennya digantung maka ia suatu kaedah lebih berkesan,” ujarnya.

    “KDN dan pihak polis mempunyai cara lain untuk mendidik pengguna jalan raya, begitu juga dengan kami iaitu melalui Kejara dan AES, namun kita sentiasa bekerjasama dengan mereka dalam usaha ini,” katanya.

    Liow turut berkata kementeriannya sentiasa mengalu-alukan pelbagai inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjaga keselamatan jalan raya antaranya menaik taraf unit trafik kepada sebuah jabatan.

     
     
  • UMW Toyota rai CNY dengan promosi istimewa – rebat tunai RM4k bagi Vios, Hilux dan RM3k untuk Altis

    Toyota Promotion Feb 2016 onwards CNY 2

    Sempena dengan Tahun Baru Cina (CNY) yang diraikan bulan ini, UMW Toyota Motor menganjurkan promosi istimewa di kesemua bilik pameran Toyota di seluruh negara. Bagi yang membeli model baharu Vios, Corolla Altis atau Hilux dari sekarang sehingga 31 Mac 2016, bakal menerima rebat tunai dan aksesori tambahan secara percuma.

    Untuk yang membeli model Vios baharu, tawaran rebat tunai sehingga RM4,000 atau kadar faedah 1.8% bakal ditawarkan termasuk aksesori percuma bernilai sehingga RM6,600. Manakala pembeli Corolla Altis baharu pula berpeluang menerima rebat tunai sehingga RM3,000 dengan aksesori percuma bernilai sehingga RM7,200. Bagi Hilux pula, ditawarkan dengan rebat tunai sehingga RM3,000 dan aksesori percuma sehingga RM5,200. Tertakluk pada terma dan syarat.

    Toyota Promotion Feb 2016 onwards CNY

    Bukan itu sahaja, ‘Pertandingan Beli & Menang’ turut dianjurkan sehingga 31 Mei 2016, di mana setiap pelanggan yang membeli model baharu Toyota sepanjang tempoh promosi, berpeluang memenangi model baharu Toyota Vios TRD Sportivo atau Toyota Corolla Altis 1.8G dengan rekaan sporty.

    Manakala bagi ‘Pertandingan Pandu Uji dan Menang’ bermula sekarang sehingga 31 Mei 2016 pula, sebanyak 200 pemenang bertuah yang memandu uji model Toyota berpeluang memenangi baucer membeli-belah bernilai RM500. Bagi yang menjual kenderaan milik sedia ada dan dinilai oleh Topmark, turut berpeluang menerima hadiah percuma (tertakluk pada terma dan syarat).

    Pada 20 dan 21 Februari 2016 ini, semua bilik pameran Toyota juga bakal menganjurkan Chinese New Year Showroom Weekender iaitu aktiviti pandu uji dan pelbagai lagi acara menarik bagi meraikan sambutan CNY. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Toyota berhampiran.

     
     
  • BMW M760i xDrive 2017 dengan ledakan kuasa 600 hp

    BMW M760Li xDrive

    Dijangka bakal melakukan penampilan perdana di Geneva Motor Show 2016 bulan hadapan, BMW M760i xDrive 2017 tampil dengan pakej penggayaan penuh aerodinamik termasuk bahagian hadapan yang nampak lebih agresif dan spoiler belakang yang membuatkan imejnya lebih garang. Model ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos sport, kekemasan Cerium Grey dan rim aloi eksklusif 20-inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport.

    Rekaan dalamannya tidaklah begitu menonjol tetapi perekanya telah memberikan sentuhan istimewa termasuk roda stereng tiga-jejari, pedal keluli tahan karat dan plat ambang pintu iluminasi. Malah ia turut menampilkan konsol tengah yang unik dengan kekemasan hitam berkilat dan logo V12.

    M760i xDrive 2017 dijanakan oleh enjin 6.6-liter M Performance TwinPower Turbo V12 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 600 hp dan puncak tork 800 Nm. Ia juga disambungkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda dengan tumpuan kuasa lebih pada roda belakang berbanding hadapan. Gabungan penjana kuasa ini membolehkan M760i xDrive 2017 dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 250 km/j.

    Untuk mengekalkan kawalan pengendaliannya, barisan juruteranya telah menala semula suspensi udara dan sistem Active Comfort Drive dengan teknologi Road Preview. Sedan mewah ini juga mempunyai sistem Integral Active Steering supaya dapat memantapkan lagi pergerakannya.

    M760i xDrive ini bakal mula dipasarkan di Amerika Syarikat awal tahun hadapan dan harganya hanya akan diumumkan menjelang pelancarannya.

     
     
  • BMW i8 Protonic Red Edition bakal muncul di Geneva

    BMW_i8_Protonic_Red_Edition_BM_01

    Sementara menantikan detik debaran Geneva Motor Show 2016, BMW telah mengumumkan perancangan untuk menjadikan pertunjukan automotif antarabangsa itu sebagai pentas mempertontonkan model baharu i8 Protonic Red Edition.

    Walau pun belum bersedia mendedahkan perincian penuh dan menyebarkan banyak foto, namun BMW telah mengesahkan model ini ditampilkan dengan luaran unik Protonic Red termasuk sentuhan metalik Frozen Grey. Model ini juga bakal dilengkapi dengan rim aloi jejari-W 20-inci yang dicat dengan warna aluminium pekat dan Orbit Grey metalik.

    Keunikan gayanya turut diserlahkan menerusi rekaan dalaman dengan kehadiran jahitan kontras merah, kekemasan gentian karbon dan sulaman “i8” pada perehat kepala. Ia juga menampilkan plat ambang pintu “Protonic Red Edition”, pemegang pintu gentian karbon dan tali pinggang keledar berwarna kelabu. Ciri lain yang dipersembahkan termasuklah perincian seramik hitam pada pemilih gear dan karpet lantai istimewa dengan jahitan tepi kulit dan jahitan kontra merah.

    Seperti model standard, i8 Protonic Red Edition ini turut memilih penjana kuasa plug-in hybrid dengan gabungan enjin 1.5 liter TwinPower Turbo tiga-silinder, motor elektrik (131 hp) dan pek bateri lithium-ion. Gabungan itu mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 362 hp dan puncak tork 570 Nm yang membolehkan i8 dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 249 km/j.

    BMW i8 Protonic Red Edition ini bakal memasuki produksi pada Julai dan ia hanya boleh didapati dalam tempoh masa yang terhad. BMW akan mewar-warkan perincian lanjut mengenainya kelak.

     
     
  • Honda Accord 2016 bakal diperkenalkan di Thailand

    Untungnya Thailand kerana bakal menerima kemasukan Honda Accord 2016 pada 25 Februari ini. Honda Thailand telah pun menyebarkan video menerusi laman Youtube, menunjukkan beberapa sudut model facelift Accord terutamanya pembaharuan yang dibuat pada bahagian luarannya.

    Paling menjadi perhatian ialah lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang, dengan bahagian hadapan yang diberi penambahbaikan. Malah ia juga dilengkapi dengan gril hadapan yang lebih mantap, lampu kabus dan lampu belakang baharu. Rekaan rimnya pula sedikit sama dengan model sedia ada Accord 2.4L.

    Namun, video tersebut tidak menunjukkan bahagian dalamannya, cuma pastinya terdapat perubahan dan penambahan elemen, termasuk sistem hiburan dan instrumen baharu. Malahan, Accord 2016 ini juga dikatakan telah dimantapkan prestasi pemanduannya dengan peredam baharu, sistem stereng berkuasa elektrik yang ditala semula dan menggunakan material alumnium pada bonet kereta.

    2016-honda-accord-facelift-1_BM

    Untuk pilihan enjin, model bagi pasaran Amerika Utara ditampilkan dengan 2.4 liter Earth Dreams empat-silinder (185 hp) dan 3.5 liter V6 (278 hp), dengan padanan transmisi CVT atau manual enam-kelajuan, serta automatik enam-kelajuan. Bagi Accord 2016 versi Thailand pula, masih tiada kesahihan mengenai spesifikasinya.

    Malah Accord 2016 versi USA juga dipenuhi dengan pelbagai sistem keselamatan (Honda Sensing) termasuk Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Sistem Brek Tebatan Pelanggaran (CMBS), Amaran Penukaran Laluan (LDW), dan Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW). Namun tidak dipastikan sama ada ia ada pada Accord 2016 versi Thailand mahu pun tidak.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Perdana 2016 hampir mirip kabin Honda Accord – kekemasan kayuan, beige

    2016-Proton-Perdana-BM-04

    Kali ini, foto spyshot yang kami terima dari pembaca Daniel Soon, bukan sahaja lebih jelas menampakkan susuk badan Proton Perdana 2016 ini, malah ‘membongkarkan’ bahagian kokpit terutama papan pemukanya. Ternyata bahagian kokpitnya hampir mirip dengan rekaan Honda Accord generasi sebelum ini.

    Ia menampilkan roda stereng tiga jejari dengan butang kawalan, bersama skrin paparan (mungkin bagi sistem audio bersama navigasi) dengan bentangan papan pemuka yang agak ringkas bersama warna hitam pekat.

    Bukan itu sahaja, padanan kekemasan kayuan turut jadi pilihan pada bahagian konsol tengah dan panel pintu. Warna kuning langsat (beige) turut menjadi pilihan bagi balutan kulit tempat duduk serta permukaan pintu. Malahan masih mengaplikasikan brek tangan seperti model yang lain serta mempunyai dua tempat letak cawan di bahagian konsol tengah.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Perdana 2016 ini turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu isyarat yang diletakkan pada sudut kluster lampu utama, serta lampu belakang LED.

    Perdana 2016 ini bakal diproduksikan di Kilang Pengeluaran Sederhana Proton di Shah Alam. Ia dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Walau pun cuba ‘lari sedikit’ dari terus dibayangi imej Honda Accord, namun Perdana 2016 ini masih mengekalkan enjin Honda 2.0 liter i-VTEC (154 hp/189 Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177 hp/222 Nm) dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

    Baru-baru ini, Proton turut mengesahkan model penambah baik Perdana ini dijangka diperkenalkan pada akhir 2017 di mana ia bakal menerima enjin baharu iaitu NE01 2.0 liter empat-silinder, berdasarkan model enjin Petronas E01 yang dibeli oleh pengeluar kereta nasional ini pada tahun 2012.

    GALERI: Pra-pengenalan Proton Perdana 2016

    GALERI: Proton Perdana 2016 rendered

     
     
  • Kia Niro Hybrid 2017 diperkenalkan di Chicago

    2017 Niro

    Kia turut mengambil kesempatan memperkenalkan Niro 2017 di Chicago Auto Show 2016 yang sedang berlangsung.

    Diletakkan di bawah segmen-B, SUV crossover ini digambarkan sebagai kenderaan hibrid tanpa kompromi, tampil dengan gril yang lebih langsung, spoiler belakang, rel bumbung, lapisan plastik pada badan, dan rim aloi 18-inci.

    Manakala bagi bahagian kabinnya, ia menampilkan roda stereng tiga-jejari, kekemasan putih berkilat dengan sentuhan metalik. Niro turut menampilkan butang penghidup enjin, kluster instrumen berteknologi tinggi, dan sistem hiburan UVO3 dengan paparan tujuh-inci, termasuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Kejuruteraan pembangunan Niro 2017 juga menumpukan pada pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) supaya boleh memberikan keselesaan sebaik mungkin. Sebahagian daripada inisiatifnya, Niro 2017 dilengkapi dengan lapisan kaca akustik, pemegang enjin yang direka khas dan aci pacu pelengkap (driveshaft) sama-panjang.

    Niro 2017 memilih penjana kuasa Kappa 1.6 liter GDI suntikan-terus bahan api dengan padanan motor elektrik berkuasa 43 hp, dengan bateri polimer lithium-ion 1.56 kWh yang terpasang di bawah tempat duduk belakang, untuk kuasa yang diperlukan ke motor daya tarikan.

    2017 Niro

    Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi dual-klac enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dengan sistem gabungan kuasa sehingga 148 PS dan 264 Nm. Sistem hibrid elektrik-petrol pada Niro ini juga sama seperti yang ada pada Hyundai Ioniq hybrid.

    Bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih optimum, Niro 2017 turut dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Eco, termasuklah Panduan Perlahan yang secara efektif akan memaklumkan pada pemandu bila kenderaan harus diperlahankan dan dibrek.

    Malah ia turut menampilkan sistem Kawalan Tenaga Ramalan dengan menggunakan sistem navigasi dan kawalan kelajuan untuk “perubahan topografi pada jalan dan menguruskan aliran tenaga, masa yang sesuai untuk menukar bateri dan masa yang terbaik untuk menggunakan storan tenaga bagi penjimatan yang optimum”.

     
     
  • Hyundai Santa Fe dan Santa Fe Sport 2017 – dipertingkatkan gaya dan teknologi

    2017 Santa Fe

    Hyundai telah pun memperkenalkan model facelift bagi Santa Fe yang membuat penampilan perdana di Chicago Auto Show 2016 yang sedang berlangsung. Ia tampil dengan rekaan yang lebih segar dan didatangkan lebih banyak teknologi terkini.

    Kedua-dua varian Santa Fe dan Santa Fe Sport 2017 ini telah diberikan suntikan yang lebih segar bagi menyerlahkan lagi penggayaannya termasuk padanan gril hadapan yang kelihatan lebih mantap, lampu nyalaan siang LED baharu, lampu utama dan lampu belakang yang diberi penambahbaikan, ekzos berkembar dan panel jumpelang (rocker) baharu dengan kekemasan perak.

    Hyundai turut menambah lebih banyak teknologi terutamanya bagi pilihan sistem hiburan dengan sambungan terkini termasuk menampilkan sistem audio dengan paparan LCD berwarna lima-inci, paparan skrin sesentuh tujuh-inci dengan Android Auto™ bagi Santa Fe Sport, sistem navigasi dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama Android Auto™, audio premium Infinity®, QuantumLogic® Surround dan Teknologi Penyimpanan Muzik Clari-Fi™ serta Hyundai Blue Link® dan port USB untuk barisan ketiga (kedua-duanya standard untuk Santa Fe).

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan tempat duduk penumpang dengan pelarasan ketinggian secara elektronik, pemegang cawan untuk barisan kedua (model terhad Santa Fe), kawalan kemasukan tanpa kunci, sistem telefon pintar dengan Bluetooth, butang kawalan audio pada roda stereng, kekemasan dalaman kayuan dan ruang konsol tengah yang direka semula.

    Malah turut memantapkan lagi sistem keselamatan yang lebih jitu termasuk Kawalan Kelajuan Pintar, Amaran Penukaran Lorong, Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki dan set lampu adaptif dengan Bantuan Lampu Tinggi. Ia turut menampilkan kamera pandang belakang, dan cermin sisi dengan paparan titik buta.

    Elemen lain yang turut ditambah ialah pemilihan Mod Pemanduan dengan tiga pelarasan iaitu Sport, Eco dan Normal. Malah Hyundai turut menawarkan model Santa Fe dengan versi pacuan roda-hadapan dan semua-roda.

    2017 Santa Fe Sport

    Santa Fe 2017 ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter dengan kuasa 185 hp dan 2.0 liter pengecas turbo (245 hp) bagi Santa Fe Sport, dengan Santa Fe tujuh-tempat duduk pula dipadankan dengan enjin 3.3 liter V6 (290 hp). Kesemua model digabungkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Hyundai turut menawarkan pilihan baharu Blue Link bagi sambungan keselamatan dan diagnostik yang menampilkan Kawalan Menghidup Enjin dengan Kawalan Suhu, Pelindungan Kecurian Kenderaan dan Kawalan membuka/Mengunci Pintu.

    Harga yang ditawarkan bermula $25,350 (RM105,529) untuk model 2.4L FWD Sport dan $30,800 (RM128,217) bagi FWD Santa Fe SE.

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2017


    GALERI: Hyundai Santa Fe Sport 2017

     
     
  • Johor negeri pertama guna ANPR di pintu masuk negara – bakal diperluaskan menjelang Jun ini

    bkk-ratchaprasong-dt-1

    Johor akan menjadi negeri pertama yang menggunakan peranti pengimbas nombor plat kenderaan atau ‘Automated Numbers Plate Recognition’ (ANPR) untuk mengesan pemilik kenderaan yang memiliki waran tangkap dan saman trafik tertunggak.

    Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan Assistant Komisioner Sulaiman Salleh, peranti tersebut akan di pasang di Tambak Johor pada minggu hadapan dan boleh mengesan pesalah trafik yang berhenti di pusat pemeriksaan tersebut.

    JBS (Johor Bahru Selatan) turut menerima tiga peranti, salah satunya dipasang secara tetap di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) bangunan Sultan Iskandar, menurut laporan The Star.

    “Manakala lagi dua peranti digunakan ketika melakukan operasi khas,” ujar Sulaiman.

    Pesalah trafik pertama yang ditangkap menerusi peranti ANPR adalah pemandu kereta yang sepatutnya sudah dilupuskan dengan plat pendaftaran palsu. Ia dikesan dalam operasi yang berlangsung semalam.

    PDRM_1

    ASP Sulaiman turut berkata, kamera pada peranti tersebut akan terus disambungkan ke tablet yang mengandungi pengkalan data pesalah trafik. Peranti tersebut akan memberi isyarat pada pegawai trafik yang bertugas sekiranya terdapat kenderaan yang dikesan menerusi pengkalan data terbabit.

    “Peranti ANPR akan digunakan untuk kenderaan pendaftaran tempatan atau pun luar, akan digunakan oleh polis daerah dan dipasang di semua pintu masuk negara menjelang awal Jun ini. Malah sistemnya akan disambungkan ke rekod Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan kenderaan yang dicuri atau pun kenderaan tidak berdaftar mahu pun individu yang dikehendaki polis,” tambahnya lagi.

    Dalam masa yang sama, ASP Sulaiman turut berkata pengeluaran saman trafik juga boleh dilakukan dengan menggunakan Sistem Bayaran Kompaun Dalam Talian (MCOPS).

    “Peranti MCOPS lebih kurang macam pencetak mini yang boleh digunakan di mana-mana secara lebih mudah dan mempunyai aplikasi mobiliti khas, pegawai yang bertugas boleh memasukkan data pesalah trafik bagi mengeluarkan saman secara serta-merta. Malah ia juga boleh mencetak gambar kenderaan terbabit sebagi bukti kesalahan trafik,” ujarnya lagi sambil menasihati pesalah trafik supaya menyelesaikan saman tertunggak secepat yang mungkin.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 25, 2024