Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Mustang secara rasminya dilancarkan di Malaysia – 2.3L EcoBoost RM489k, 5.0L GT V8 RM599k

    Ford-Mustangs-2

    Ikon kereta American Muscle yang kini diberikan taraf kereta global dan sedang hangat dalam pasaran kereta sport seluruh dunia – Ford Mustang 2016, secara rasminya telah menembusi pasaran Malaysia. Ia dibawa khas oleh pengedar rasmi Ford iaitu Sime Darby Auto Connexion (SDAC), di mana Malaysia merupakan salah sebuah pasaran dalam Asia yang dipilih untuk menerima kereta ikonik dari Amerika ini.

    Seperti yang dijangka sebelum ini, Mustang generasi-keenam untuk pasaran Malaysia hadir dengan bentuk badan Fastback dan boleh dipilih dalam dua varian iaitu Mustang 2.3L EcoBoost dan juga Mustang GT 5.0L V8. Kedua-duanya diberikan spesifikasi Premium dengan tambahan Performance Pack sebagai standard.

    Kuasa yang dihasilkan pada enjin-enjin Mustang spesifikasi Malaysia ini adalah hampir sama dengan spesifikasi yang dijual di Eropah, di mana ia agak berbeza dengan model yang dipasarkan di Amerika Utara.

    Enjin V8 5.0 liter spesifikasi Malaysia menghasilkan kuasa 416 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 530 Nm pada takat 4,250 rpm (model pasaran Amerika menghasilkan kuasa 435 hp/542 Nm). Manakala enjin 2.3 liter EcoBoost empat siinder sebaris menghasilkan kuasa 317 PS pada takat 5,500 rpm dan tork 432 Nm pada takat 3,000 rpm (kuasa untuk spesifikasi Amerika ialah 310 hp/434 Nm).

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan kotak gear ZF 6R80 enam-kelajuan automatik SelectShift, dengan penukar gear. Semasa prebiu yang dilakukan di Publika tahun lalu, tidak dinyatakan sama ada SDAC akan membawa masuk model yang dilengkapi dengan kotak gear manual Getrag MT-82 enam-kelajuan atau tidak, dan nampaknya setakat ini memang tiada.

    Kedua-dua varian didatangkan standard dengan lampu hadapan HID beserta lampu signatur, lampu belakang LED, lampu nyalaan siang, diffuser belakang, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua zon, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, fungsi MyKey, upholstery balutan kulit, tempat duduk hadapan dengan kawalan suhu (pemanas/penyejuk) serta boleh dilaras dengan bantuan kuasa enam-hala.

    Turut hadir sebagai ciri standard termasuk penggilap cermin automatik, lampu hadapan automatik, ekzos keluli tahan karat dua tip (tip untuk 5.0 GT digilap), scuff plates berlampu, sistem infotainmen SYNC 2 dengan skrin sesentuh LCD lapan-inci dengan kamera undur serta hubungan Bluetooth dan USB.

    Spesifikasi Premium yang disertakan merangkumi suis pilihan mod pemanduan (Normal, Sport+, Track, Snow/Wet) yang diletakkan di konsol tengah. Tiada kawalan talaan penyerap hentak untuk mod-mod tersebut tetapi ia melibatkan talaan pada unit janakuasa dan perkara lain yang berkaitan casis.

    Sistem keselamatan yang didatangkan secara standard termasuk Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), cagak ISOFIX, sistem pemantau tekanan angin tayar, beg udara sisi tempat duduk dan langsir serta beg udara bahagian lutut untuk bahagian hadapan.

    Sembilan unit pembesar suara dibekalkan (iaitu set midline, tingkat taraf dari sistem asas yang hanya dilengkapi enam pembesar suara dan datang dengan skrin 4.2 inci). Logo Shaker pada konsol tengah pada kereta di dalam gambar (varian 2.3L EcoBoost berwarna merah dan 5.0 GT berwarna kuning) bukanlah peralatan dari pek Equipment Group 201A (yang menawarkan sistem audio Shaker Pro dengan 12 pembesar suara beserta unit amplifier) kerana tiada ciri Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dan cross-traffic alert dibekalkan untuk Mustang pasaran Malaysia.

    Performace Pack yang disertakan pada model 5.0 liter GT merangkumi roda aloi sepuluh jejari berkembar kemasan Ebony Black berdiameter 19-inci dan juga nisbah gear akhir 3.55:1, angkup brek hadapan enam-silinder Brembo dengan cakera berliang 380×34 mm, splitter hadapan, spring hadapan baharu dan juga talaan cesi unik.

    Agak menghairankan, kedua-dua varian tidak dinyatakan dilengkapi dengan Gauge Pack (merangkumi meter tambahan untuk bacaan tekanan minyak pelincir dan tekanan boost pada konsol tengah), yang mana sepatutnya diletakkan di bahagian tengah tiga liang penghawa dingin seperti yang dilihat pada kereta spesifikasi Malaysia. Gauge Pack ini sebenarnya adalah sebahagian dari kemasan spesifikasi Performance Pack.

    Performance Pack untuk varian 2.3 liter EcoBoost pula menampilkan roda aloi sepuluh jejari berkembar kemasan Ebony Black berdiameter 19-inci (roda asal 18-inci) dan juga nisbah akhir standard 3.15 pada LSD ditukar kepada 3.55.

    Pek tersebut juga merangkumi tingkat taraf sistem brek varian 2.3L kepada cakera berliang hadapan 352 x 32 mm (dengan angkup tetap aluminium empat-silnder) dan 330 x 25 mm cakera berliang belakang (dengan angkup terapung logam silinder tunggal 45 mm).

    Lima warna ditawarkan untuk kedua-dua varian iaitu Race Red, Oxford White, Shadow Black, Deep Impact Blue dan Magnetic. Hanya varian 5.0L GT menerima warna istimewa Triple Yellow Tri-Coat.

    Jun tahun lalu, SDAC telah mengeluarkan harga jangkaan untuk kedua-dua varian yang lebih rendah iaitu RM435k-RM450k untuk 2.3 litre EcoBoost dan RM550k-RM565k untuk 5.0 litre V8. Ford Mustang 2.3L EcoBoost dijual pada harga RM488,888, manakala model 5.0L GT V8 pula dijual pada harga RM598,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    GALERI: Ford Mustang 5.0L GT V8

    GALERI: Ford Mustang 2.3L EcoBoost

     
     
  • MRT: Penutupan sementara Lebuhraya Cheras-Kajang mulai 3 hingga 4 Jun ini berlangsung selama 6 jam

    13240618_1158732670824799_3046574493822247103_n

    MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan sementara di Lebuhraya Cheras-Kajang yang melibatkan laluan KM13.2-KM14.2 (arah Kajang) dan KM15.4-KM14.2 (arah KL) dari 3 Jun hingga 4 Jun 2016. Ia melibatkan penutupan sepenuhnya selama enam jam dari jam 11 malam (3 Jun) hingga 5 pagi (4 Jun).

    Penutupan jalan ini melibatkan pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur dan Kajang, disebabkan pemasangan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen MRT Sri Raya.

    Sepanjang penutupan ini, pengguna jalan raya yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kajang akan dilencongkan ke susur Exit 703 (TELEKOM Intercharge) sebelum keluar semula ke Lebuhraya Cheras-Kajang menerusi Jalan Hulu Langat.

    Manakala pengguna jalan raya yang datang dari Kajang menuju ke Kuala Lumpur akan ke Exit 703 (TELEKOM Interchange) sebelum kembali ke Lebuhraya Cheras-Kajang menerusi Jalan Hulu Langat.

    Bagi pengguna jalan raya yang datang dari Taman Kota Cheras menuju ke Kajang dan Kuala Lumpur tidak akan dilencongkan. Begitu juga dengan pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur menuju ke Taman Kota Cheras juga tidak terjejas dengan penutupan ini.

     
     
  • Mercedes-Benz Hap Seng Star Balakong Proven Exclusivity Centre dilancarkan – peluang miliki kereta Mercedes-Benz terpakai dengan harga yang berbaloi

    Hap Seng Star Balakong Proven Exclusivity Centre 1

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan Hap Seng Star Balakong Proven Exclusive Centre, pagi ini. Proven Exclusivity merupakan program yang ditawarkan kepada peminat jenama ini untuk memiliki model terpakai kenderaan Mercedes-Benz dengan harga pasaran yang berbaloi dan kereta yang masih dalam keadaan sempurna. Ia telah pun diperkenalkan sejak tahun 2009 lalu.

    Kenderaan di bawah program Proven Exclusivity ini adalah eksklusif daripada pengedar rasmi MBM. Di mana ia perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan termasuklah usia kenderaan tidak boleh melebihi enam tahun, perbatuan tidak melebihi 125,000 km, tiada kerosakan pada struktur kerangka, penggunaan alat ganti tulen dan diselenggara sepenuhnya oleh pusat servis MBM bertauliah.

    Bagi mengekalkan standard dan kualiti terbaik yang telah ditetapkan oleh Mercedes-Benz, semua kenderaan di bawah program ini akan menjalani sembilan peringkat pemeriksaan yang melibatkan sejumlah 215-markah penuh oleh juruteknik berpengalaman sebelum menerima pengesahan ‘Proven Exclusivity’. Pemeriksaan ini meliputi sejarah kenderaan, keadaan semasa luaran dan dalaman, enjin, casis dan juga aspek keselamatan.

    Malahan kenderaan di bawah program ini juga didatangkan dengan waranti lanjutan terhad selama 12-bulan tanpa had perbatuan selain waranti pengeluar jika ia masih sedia ada.

    Bercakap dalam majlis pelancarannya, Timbalan Presiden Pemasaran dan Jualan MBM Mark Raine, berkata, “Dengan adanya Proven Exclusivity ini mampu memberikan peluang kepada para pelanggan untuk memiliki kenderaan Mercedes-Benz tanpa berkompromi tentang kualiti, keselamatan dan pengalaman pemanduan. Malah program ini juga boleh didapati di semua pengedar Mercedes-Benz di seluruh Malaysia.”

    Sempena dengan pelancaran Proven Exclusive Centre ini, Hap Seng Star Balakong turut akan menganjurkan satu karnival mengenainya mulai 3 hingga 12 Jun ini.

     
     
  • Kiosk Chatime, Llaollao dan Gindaco kini dibuka kedai-kedai Shell Select terpilih seluruh Malaysia

    Shell-Select-store-Taman-Connaught-1_BM

    Bertempat di stesen minyak Shell Taman Connaught, Cheras, Shell Malaysia hari ini mengumumkan secara rasmi kerjasama mereka bersama Loob Holding yang membawa pembukaan kiosk Chatime, Llaollao dan Gindaco di kedai-kedai Shell Select terpilih seluruh negara.

    Langkah ini adalah lanjutan dari usaha Shell Malaysia sebelum ini yang mengumumkan program transformasi tiga tahun Welcome to Shell yang mensasarkan agar dapat memberi hospitaliti terbaik buat pengguna jalan raya.

    Kini pengguna Shell akan dapat menikmati Chatime iaitu minuman terkemuka dari Taiwan, yogurt asli Llaollao dari Sepanyol dan Gindaco iaitu takoyaki premium dari Jepun ketika singgah mengisi minyak di stesen Shell. Setakat ini Kiosk Chatime telah pun beroperasi di 11 kedai Shell Select terpilih.

    “Kami gembira untuk mengumumkan kerjasama bersama Loob Holding, kerana pihak Shell Malaysia dan Loob Holding berpegang pada nilai yang sama iaitu meningkatkan kepuasan dan pengalaman pelanggan. Sebagai rakan yang dipercayai oleh warga Malaysia sepanjang 125 tahun ini, kami berharap supaya stesen-stesen kami menjadi pusat komuniti tempatan untuk mengisi minyak, berehat dan beredar dengan tahap kegembiraan yang lebih tinggi berbanding waktu mereka sampai.” Kata Ben Mahmud, Ketua Jabatan Pemasaran Runcit Shell Malaysia.

    Shell-Select-store-Taman-Connaught-2_BM

    Pengarah Urusan Loob Holding Bryan Loo berkata beliau teruja dengan peluang untuk memperkenalkan jenama-jenama F&B premium kepada pengguna-pengguna melalui kedai-kedai Shell Select.

    “Sasaran kami adalah untuk melancarkan 100 kedai di Shell Selelct sebelum hujung tahun 2018. Kami akan melancarkan sebanyak 30 kedai sebelum hujung tahun ini. Selain di Taman Connaught, kedai-kedai kami telah mula beroperasi di sepuluh Shell Select yang lain di KL, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Johor.

    Menerusi program transformasi ini, kedai-kedai Shell Select bukan sahaja dilengkapi dengan “food oasis”, Ia juga akan dilengkapi dengan ruang makan yang sangat selesa, Wi-Fi percuma serta stesen pengecas peralatan elektronik. Untuk pelanggan yang beragama Islam, surau baharu yang bukan sahaja bersih malah cantik dan selesa juga disediakan untuk mereka beribadah.

     
     
  • Toyota Alphard and Vellfire 2016 dibuka tempahan – RM420k-RM520k untuk Alphard, RM355k untuk Vellfire

    006 Fortuner OT Leaflet R4

    UMW Toyota Motor telah pun mengumumkan tempahan bagi Toyota Alphard dan Vellfire 2016 sudah pun mula dibuka untuk tempahan Malaysia. Bagi Alphard 3.5, ia dijual pada harga RM419,900, manakala Alphard 3.5 Executive Lounge pula RM519,900.

    Toyota Vellfire 2.5 2016 pula ditawarkan pada harga RM355,000. Semuanya adalah harga atas jalan termasuk GST dan insurans. Pembelian model-model ini turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun dan tanpa perbatuan terhad.

    Kedua-dua varian Alphard serba baharu ini dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 DOHC dengan Dual VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 271 PS pada 6,200 rpm dan tork 340 Nm pada 4,700 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter.

    Manakala Vellfire pula dilengkapi enjin 2.5 liter 16V DOHC dengan Dual VVT-i bersama padanan transmisi CVT. Ia berkeupaya menghasilkan kuasa sehingga 180 PS pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm.

    Alphard dan Vellfire berkongsi ukuran tinggi dan lebar yang sama iaitu 1,850 mm (lebar) dan 1,895 mm (tinggi). Namun Vellfire memiliki kepanjangan sebanyak lebih 13 mm berbanding Alphard iaitu 4,930 mm (4,917 mm bagi Alphard).

    Klik untuk besarkan imej

    Kedua-dua MPV serba mewah ini juga berkongsi elemen yang sama bagi rekaan luaran, termasuk lampu utama LED dengan pelarasan automatik dan lampu selekoh, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, bumbung matahari dan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar 235/50 R18.

    Malah rekaan di dalam kabin juga agak mirip. Alphard 3.5 Executive Lounge dilengkapi dengan roda stereng teleskopik empat-jejari balutan kulit VIP wood grain (brown wood grain bagi Alphard 3.5). Kedua-duanya turut dilengkapi dengan butang kawalan bagi audio, telefon bimbit dan pengesan suara. Namun Vellfire hanya dilengkapi dengan roda stereng teleskopik empat-jejari balutan kulit black wood grain dengan kawalan audio sahaja.

    Selain itu, kedua-dua model turut dilengkapi dengan meter Optitron, paparan pelbagai-maklumat (MID) 4.2-inci TFT, kawalan kelajuan, dan kemasukan pintar dengan sistem penghidup enjin. Elemen tambahan bagi Alphard 3.5 Executive Lounge ialah Electro Multi Vision.

    Bagi Alphard 3.5 Executive Lounge ditampilkan dengan sistem audio DVD lapan-inci dengan navigasi serta sistem bunyi JBL bersama 17-speaker. Manakala Alphard 3.5 dan Vellfire hanya dilengkapi sistem audio DVD-AVN tujuh-inci dengan lapan-speaker.

    Tempat duduk balutan kulit semi-aniline dengan pilihan warna kuning cair atau hitam buat Alphard 3.5 Executive Lounge. Malah turut didatangkan dengan tempat duduk VIP untuk barisan kedua dengan Ottoman. Manakala tempat duduk balutan kulit berwarna kuning cair untuk Alphard dan hitam untuk Vellfire.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua model turut dilengkapi dengan ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), pengesan parkir dan tujuh beg udara.

    Untuk warna luaran, ia ditawarkan dengan pilihan Putih Mutiara Mewah, Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam bagi Alphard. Manakala Vellfire pula, Burning Black (keunguan), Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam.

     
     
  • Harga Toyota Sienta 2016 diumumkan – dari RM93k

    Toyota_Sienta-2

    Setelah dipamerkan di My Auto Fest 2016 dua minggu lalu, UMW Toyota kini secara rasmi mengumumkan harga dan spesifikasi untuk MPV Toyota Sienta 2016. Dua varian ditawarkan iaitu varian asas Spec G dijual pada harga RM92,900 dan varian tertinggi Spec V berharga RM99,900. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Enam warna ditawarkan iaitu Orange Metallic, Quartz Brown Metallic, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black dan Super White II.

    Kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

    Spec G dan Spec V dibezakan hanya dengan ciri-ciri dan aksesori yang dilengkapkan. Untuk varian asas G, ia dipadankan dengan lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi auto on/off, lampu belakang LED biasa, penggilap cermin tanpa fungsi pemasa, pintu gelangsar dengan motor elektrik hanya untuk sebelah kiri, roda aloi berdiameter 15-inci, balutan fabrik berwarna hitam, unit pemain audio utama 2-DIN tanpa skrin sesentuh (dengan pemain CD, MP3, sambungan USB serta Bluetooth) dan paparan meter kombinasi biasa dengan paparan MID mono.

    2916-Toyota-Sienta-Price-List_BM

    Toyota turut menawarkan pilihan opsyen untuk varian G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40.

    Varian tertinggi V pula hadir dengan lampu hadapan projektor Bi-LED dengan fungsi auto on/off, lampu belakang dengan lampu penunjuk LED, penggilap cermin dengan fungsi pemasa, kedua-dua pintu gelangsar dengan motor elektrik, roda aloi berdiameter 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik (hanya manual untuk Spec G), balutan fabrik berwarna perang, perakam video digital, sistem hiburan dilengkapi skrin sesentuh 6.8-inci (dengan fungsi pemain DVD, MP3, kawalan menggunakan suara, sambungan USB serta Bluetooth), paparan meter kombinasi Optitron dengan paparan MID TFT berwarna, roda stereng tiga jejari pelbagai fungsi dengan balutan kulit, kamera undur dan filem penapis haba keselamatan premium. Sistem DVD-AVN dilengkapi sistem navigasi dan kamera undur (RM3,169) turut ditawarkan sebagai pilihan opsyen untuk varian V.

    Sementara itu, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, liang penghawa dingin belakang, tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh lipat 50:50 dan enam unit pembesar suara dibekalkan secara standard untuk kedua-dua varian.

    Begitu juga dengan sistem keselamatan, Toyota tidak berkompromi untuk membekalkan kedua-dua varian Sienta dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC) serta dua cagak ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

     
     
  • Volvo XC90 T8 Twin Engine dilancarkan di M’sia – RM403,888 untuk unit pemasangan tempatan

    Volvo XC90 CKD 6

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah melancarkan versi pemasangan tempatan (CKD) bagi Volvo XC90. Daripada segi spesifikasinya, SUV plug-in hybrid ini tidak berbeza dengan versi yang diimport. Walau bagaimana, apa yang menariknya, harganya telah diturunkan sedikit kerana ia adalah pemasangan tempatan.

    Jika versi import dijual pada harga RM453,888, untuk XC90 CKD ini pula berharga RM403,888 (harga atas jalan tanpa insurans) iaitu kurang RM50,000. Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun, tanpa perbatuan terhad dan bantuan tepi jalan Volvo On Call percuma selama lima-tahun.

    XC90 ini tampil dengan barisan rekaan Inscription dari varian tertinggi T8 Twin Engine. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan lampu nyalaan siang “Thor’s Hammer” LED yang menjadi signatur Volvo selain lampu utamanya dan juga LED Active Bending Lights dan Active High Beam Control.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda 10-jejari berwarna perak potongan-berlian bersaiz 20-inci yang dibaluti tayar 275/45, lampu brek adaptif LED, tip ekzos berkembar dan pintu tailgate berkuasa dengan operasi bebas-tangan.

    Volvo XC90 CKD 5

    Tidak seperti yang ditawarkan bagi versi CBU dengan pilihan sebanyak 11 warna, bagi XC90 CKD ini hanya menampilkan lima pilihan warna iaitu Ice White, Onyx Black, Saville Grey, Twilight Bronze dan Bright Silver.

    Memasuki ruang dalamannya, ia dipadankan dengan tempat duduk upholstery balutan kulit Nappa dengan skim warna hitam (putih bagi CBU), roda stereng tiga-jejari pelbagai-fungsi, tombol gear kristal oleh pembuat kristal terkemuka Sweden Orrefors, butang penghidup enjin potongan-berlian dan tombol kawalan suara.

    Pada papan pemukanya juga ditampilkan paparan skrin sentuhan sembilan-inci yang disambungkan pada sistem audio Sensus Connect High terkini Volvo. Sistem kawalan ini menampilkan hampir kesemua ciri di dalam kenderaan termasuk sistem kawalan suhu empat-zon, navigasi, WiFi hotspot, panel instrumen Paparan Digital Adaptif dan kamera pandangan-sekeliling.

    Selain itu, bagi pemain audio, XC90 menerima sistem bunyi 10-speaker 330-watt, sambungan Bluetooth, USB, atau AUX. Di samping turut menampilkan mod yang lebih terkini termasuk Android dan Apple.

    Volvo XC90 CKD 32

    Menampilkan keselesaan yang optimum, Volvo turut memadankan tempat duduk yang lebih langsing bagi menawarkan perlindungan tulang belakang yang lebih baik sekiranya berlaku kemalangan. Manakala barisan kedua pula boleh dikehadapan dan kebelakang bagi memberikan ruang kaki dan kapasiti ruang kargo yang lebih. Malah turut menampilkan kusyen peninggi bagi kanak-kanak di bahagian tengah.

    Bagi barisan ketiga, ia juga dikatakan sesuai untuk penumpang dewasa setinggi 170sm serta mampu dikonfigurasi mengikut posisi. XC90 ini menampilkan 436 liter bagi ruang bonet dan sekiranya barisan ketiga dibaringkan, ia boleh meningkat sehingga 1,183 liter. Dan jika barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, ruang kargo mampu mencapai sehingga 2,426 liter.

    SUV plug-in hybrid ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter T8 Twin Engine empat-silinder dan pengecas turbo Drive-E serta motor elektrik. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Enjin pembakaran ini mampu menjanakan kuasa sehingga 320 hp dan tork 400 Nm, dengan kuasa yang disalurkan pada roda hadapan.

    Sementara motor elektrik (87 hp/240 Nm) pula menyalurkan kuasa ke roda belakang. Jumlah keseluruhan kuasa yang dihamburkan mencecah 407 hp dan tork 640 Nm dan, kedua-dua unit pacuan tersebut adalah sistem pacuan semua-roda.

    Bagi prestasinya, penjana kuasa plug-in hybrid ini memacukan SUV seberat 2,343 kg dari 0-100 km/j hanya 5.6 saat, manakala kelajuan maksimum yang boleh dicatatkan ialah 230 km/j. Gabungan penggunaan bahan apinya didakya hanya 2.1 liter bagi setiap 100 km (47.6 km per liter) dan jika kenderaan dipacu dengan kuasa elektrik sepenuhnya, ia mampu mencapai sejauh 43 km (mengikut ujian European NEDC).

    Menggunakan pacuan elektrik sepenuhnya, ia juga menampilkan mod pemanduan menerusi sistem kawalan Sensus. Mod lain pula ialah hibrid, mod kuasa dan AWD.

    Kuasa yang disalurkan untuk motor elektrik didatangkan dari bateri lithium-ion 9.2 kWh. Bateri ini boleh dicas dengan menggunakan soket biasa di rumah, dan hanya mengambil masa selama 3.5 jam untuk penuh (dengan punca kuasa standard di Malaysia, 240 V, 13 amps). Kuasa juga boleh dicas apabila kenderaan dibrek.

    XC90 merupakan model pertama berasaskan Scalable Product Architecture (SPA) terbaharu dari Volvo, di mana baterinya dipasang di antara terowong tengah untuk meminimakan keupayaannya jika terlibat dengan kemalangan. Selain itu, ia turut menampilkan sistem Four-C Active Chassis (suspensi udara empat-sudut) sebagai standard.

    Volvo XC90 CKD 56

    Bagi aspek keselematannya, ia didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kelajuan Adaptif, Keselamatan Bandar dengan Amaran Pelanggaran Hadapan dan Pengesan Penunggang Basikal dan Pejalan Kaki dengan Brek Auto Sepenuhnya, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Kestabilan Olengan dan Bantuan Mendaki Bukit.

    Teknologi keselamatan bertaraf dunia ini turut menampilkan pakej perlindungan off-road, sistem Bantuan Parkir dan juga sistem bunyi yang boleh mengesan sekiranya kenderaan anda ditunda atau dijek.

    Paling membanggakan, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang memproduksikan XC90 di luar Sweden, iaitu di kilang Volvo yang terletak di Shah Alam. Malah teknologi terkini plug-in hybrid bagi SUV ini dibangunkan di Malaysia.

     
     
  • Paris larang kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 masuk ke bandar tersebut bermula 1 Julai ini

    Zoe-n-Leaf-in-Paris

    Dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran dalam bandar semasa minggu bekerja, Bandar Paris telah mengeluarkan larangan untuk kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 dan motosikal yang dibuat sebelum tahun 1999 untuk memasuki bandar tersebut dari hari Isnin hingga Jumaat. Langkah ini sebenarnya merupakan langkah susulan pada Julai 2015 sebelum ini yang melarang kenderaan yang menghasilkan pencemaran berat seperti bas, koc dan kenderaan berat didaftarkan sebelum tahun 2001 dari masuk ke bandar tersebut.

    Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Le Monde, larangan tersebut diumumkan menerusi Datuk Bandar Paris dan Groupement des autorités responsables de transport (GART) yang mewakili pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Kementerian Persekitaran Perancis dan bakal dikuatkuasakan 1 Julai ini.

    Selain dari melarang kenderaan lama masuk ke jalan-jalan di bandar, kenderaan-kenderaan lain turut perlu menggunakan sistem pengkelasan dengan melekatkan pelekat di cermin hadapan menunjukkan tahap pencemaran kenderaan tersebut. Enam pelekat kelas akan dikeluarkan untuk membolehkan sesebuah kenderaan tersebut memasuki bandar Paris, manakala kenderaan yang diklasifikasikan sebagai dilarang masuk tidak akan memperolehi apa-apa pelekat.

    Kenderaan yang dilarang masuk ke bandar tetapi dikesan melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan bermula 1 Oktober nanti dengan saman yang bernilai 35 euro (RM162) untuk peringkat permulaan, dan meningkat kepada 68 euro (RM314) untuk kenderaan penumpang dan 135 euro (RM624) untuk trak bermula tahun 2017 kelak.

    Walaupun langkah tersebut bertujuan untuk mengurangkan tahap pencemaran dalam pusat bandar Paris, sebahagian pengguna jalan raya tidak bersetuju dengan langkah tersebut, kerana ia bakal memberikan kesan kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli kereta baharu tetapi masih memerlukan kenderaan untuk bekerja.

     
     
  • Proton Preve dilancarkan di Chile dalam tiga varian

    Proton-Preve-Chile-Launch_BM

    Sebelum ini kami melaporkan Proton akan kembali semula ke pasaran Chile dengan eksport permulaan dimulakan oleh Preve. Sekarang, sedan segmen-C tersebut secara rasminya telah dilancarkan di negara Amerika Selatan berkenaan oleh Andes Motor, subsidiari oleh Kaufmann Group.

    Tiga varian Preve versi pemanduan sebelah kiri ditawarkan untuk pasaran Chile iaitu Standard, Executive dan Premium. Varian Standard dan Executive dibekalkan dengan enjin Campro 1.6 liter IAFM+ berkuasa 107 hp dan tork 150 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Varian Premium pula dijana oleh enjin Campro CFE 1.6 liter Turbo berkuasa 138 hp dan tork 205 Nm, dipadankan bersama kotak gear CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya. Proton dan Andes mendakwa, “DNA Lotus” adalah jelas dalam dinamik pemanduan Preve.

    “Dengan Andes Motor, pengedar bas, trak dan kereta mewah terbesar di Chile, bersama jaringan pengedar yang besar menyediakan jualan dan servis selepas jualan sebagai rakan kongsi kami, kami optimistik dengan kemasukan semula ke pasaran Chile akan berjaya,” kata Datuk Ahmad Fuaad Kenali, CEO baharu Proton.

    proton-showroom-chile_BM

    “Kami teruja untuk menerima kereta Proton kembali ke pasaran Chile selepas eksport terakhirnya ke negara kami pada tahun 1998 yang lalu. Kami percaya kerjasama ini akan lebih kukuh untuk kedua-dua jenama, membolehkan Andes Motor mula bertapak untuk menembusi pasaran kereta penumpang biasa dan membolehkan Proton meneroka pasaran yang besar. Langkah yang dimulakan dengan pengenalan Proton Preve melambangkan permulaan yang bagus untuk kedua-dua syarikat,” kata Alexander Kohler, CEO Anded Motor.

    “Preve merupakan salah satu sedan Proton yang dinamik menawarkan produk dilengkapi prestasi, keselesaan, penggayaan, kualiti pembinaan dan memudahkan dengan penarafan standard keselamatan lima-bintang. Sebagai tambahan, kami juga memandang kehadapan ketibaan Proton Exora dan Proton Saga ke Chile pada masa terdekat,” tambah Kohler.

    Pernah dilaporkan sebelum ini Proton bercadang untuk memasuki pasaran tersebut sejak perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani antara Malaysia dan Chile pada Februari 2012, memberikan syarikat tersebut pengecualian duti import sebanyak 6%. Proton telah menghantar sejumlah 50 unit Preve ke San Antonio Mac lalu, di mana kumpulan pertama dari 1,000 unit yang diharapkan akan terjual di Chile tahun ini.

     
     
  • Biodiesel B10 kini menggantikan diesel B7 di semua stesen minyak seluruh negara bermula hari ini

    biodiesel1

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengumumkan peralihan penggunaan diesel B7 kepada biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum), bermula Jun ini di semua stesen minyak seluruh negara.

    Kementerian tersebut berkata kerajaan telah berhubung dengan badan perwakilan seperti Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA), Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bersama syarikat petroleum dan pengeluar biodiesel sebelum ianya diimplementasikan. Walau bagaimanapun, ia tidak menyatakan bagaimana badan-badan tersebut meluluskan program ini.

    Keseluruhan pengeluar automotif di Malaysia sebaliknya tidak bersetuju dengan langkah ini. Mercedes-Benz Malaysia sebelum ini mempersoalkan kesesuaian biodiesel B10 untuk kenderaan keluaran mereka, tetapi selepas itu menyatakan biodiesel B10 tidak menimbulkan sebarang masalah pada enjin-enjin mereka. BMW, Toyota, Isuzu dan Volkswagen secara tegas tidak bersetuju dengan implementasi B10 tersebut.

    Sejak Disember 2014, adunan biodiesel di Malaysia terdiri dari 7% minyak kelapa sawit metil ester dan 93% diesel petroleum atau B7. Biodiesel B10 akan dibekalkan oleh Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), yang dianggotai oleh 22 ahli seluruh negara.

    Menurut KPPK, implementasi program B10 untuk sektor pengangkutan dan program B7 untuk sektor industri dijangka akan menyumbang penggunaan tahunan 709,000 tan minyak kelapa sawit mentah dalam negara.

     
     
  • Diesel Shell FuelSave Euro 5 – kini di 85 lokasi

    Shell-Euro-5-diesel-850x501_BM

    Shell Malaysia telah mengumumkan diesel FuelSave Euro 5 mereka kini boleh didapati di lebih 85 stesen mereka di seluruh semenanjung Malaysia. Selepas diesel tersebut boleh didapati luar dari negeri Johor pada Disember tahun lalu, apabila lima stesen di luar negeri tersebut mula menawarkan diesel yang sama, senarai lokasi yang menawarkan FuelSave Euro 5 kini semakin bertambah.

    Syarikat berkenaan mengatakan langkah yang diambil ini adalah sebahagian dari pelan pengembangan pasaran diesel FuelSave Euro 5 ini kepada sekurang-kurangnya 100 stesen di seluruh negara. Pelan tersebut juga turut merangkumi untuk menawarkan diesel Euro 5 ini agar ia boleh didapati di jalan-jalan yang menghubungkan Johor ke Pulau Pinang dan juga ke Pantai Timur di Terengganu.

    Shell mengatakan diesel FuelSave Euro 5 ini menawarkan ciri Ramuan Kecekapan Aktif, yang direka untuk meningkatkan kecekapan enjin dan ekonomi penggunaan bahan api. Ia juga turut mengandungi detergen khas yang direka untuk menjaga keadaan enjin dengan menolong mengelakkan terbinanya deposit di bahagian pemancit bahan api. Seperti diesel Euro 5 yang lain, ia mengandungi kandungan sulfur yang kurang iaitu hanya 10 bahagian untuk setiap juta (ppm) berbanding 500 ppm pada diesel Euro 2M sedia ada.

    Untuk senarai penuh stesen yang sekarang ini menawarkan diesel Shell FuelSave Euro 5 di seluruh semenanjung Malaysia, sila lawati www.shell.com.my/dieseleuro5.

     
     
  • Apollo Tyres secara rasminya beroperasi di Malaysia

    Apollo Tyres Malaysia 1

    Selepas bertapak di Thailand dan Indonesia, Apollo Tyres mengumumkan pembukaan pejabat operasinya di Malaysia. Setelah hab jualan dan pengedarannya dibuka di Bangkok untuk rantau ASEAN, pembuat tayar berkenaan kini memfokuskan untuk melebarkan pasarannya ke rantau tersebut.

    Jenama tayar dari India ini mensasarkan bahagian pasaran lebih besar dalam pasaran tayar gantian di Malaysia yang kapasiti tahunannya dicatatkan pada 580,000 unit untuk radial trak dan bas serta 9.5 juta unit untuk tayar kereta penumpang biasa. Apollo kini sedang membina pasukan lengkap jualan dan servisnya untuk pelanggan di Malaysia.

    Apollo hadir dengan siri Endurance yang dibuat khas untuk kegunaan trak dan bas yang menurut syarikat berkenaan telah pun diterima dengan baik oleh pelanggan di Malaysia. Begitu juga dengan siri tayar untuk kereta penumpang biasa yang mampu untuk memenuhi permintaan hampir 90% pasaran tayar dalam Malaysia, dimana setakat ini ia adalah salah satu pasaran terbesar dalam rantau ASEAN.

    “Dengan kewujudan pejabat urusan kami di sini, dan sebagai sebuah entiti yang sah, dalam masa yang sama untuk memacu perkembangan keuntungan dalam pasaran ini, ia juga akan mendekatkan kami kepada pelanggan di Malaysia dan membantu kami memenuhi permintaan mereka kepada semua spektrum penggunaan,” kata Presiden Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Apollo Tyres Ltd, Satish Sharma.

     
     
  • Ferrari 458 MM Speciale didedahkan – lebih ekstrem

    Ferrari-458-MM-Speciale-2-e1464760638834

    Ferrari telah pun mendedahkan kehadiran Ferrari 458 MM Speciale di dalam barisan modelnya. Ia merupakan penciptaan ‘One-Off’ terkini oleh jabatan rekaan dalaman Ferrari Styling Centre.

    Berasaskan model Ferrari 458 Speciale, 458 MM Speciale ini menggunakan casis dan gear 458 yang hardcore, malah turut menampilkan garisan sporty yang lebih ekstrem dan kesan ‘visor’ dengan tiang-A yang dicat dengan warna hitam, umpama model Ferrari GTO 1984. Ia juga mempunyai garisan bumbung yang lebih landai dan mengoptimakan kesan aerodinamik dengan tiang-C yang melunjur ke belakang.

    Selain itu, ia juga menampilkan jaluran hijau dan merah pada permukaan kerangka berwarna putih, umpama bendera Itali. Malah turut menampilkan bampar hadapan dan belakang dengan material gentian karbon.

    458 MM Speciale ini turut memiliki sauk udara baharu dan spoiler belakang, yang merupakan salah satu daripada elemen terpentingnya bagi pakej aerodinamik. Manakala lampu belakangnya mirip dengan model 488 GTB.

    Kerangka baharu ini turut menerima pelarasan baharu bagi penyejuk radiator. Ia turut menampilkan roda yang lebih unik, menyerlahkan lagi imejnya yang bersifat ekstrem.

    Pada bahagian dalamnya, turut menampilkan kekemasan kulit upholstery Cioccolato menjadi pilihan bersama jahitan putih, lingkaran sutera putih pada kawalan corong dan sistem audio yang dipertingkatkan.

    Walau bagaimana pun, Ferrari tidak mendedahkan perincian prestasinya. Namun memandangkan 458 MM Speciale berasaskan 458 Speciale, kemungkinan besar ia dijanakan oleh enjin 4.5 liter naturally-aspirated V8.

    Ia mampu menghamburkan output sehingga 605 PS dan tork puncak pada 540 Nm dengan kuasa yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi dua-klac tujuh-kelajuan. Sekali gus mampu mendorong jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 3.0 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan sehingga 325 km/j.

     
     
  • JPJ memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC)

    JPJ_VOC

    Mulai 1 Jun 2016, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC). Di mana ia dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa.

    Menurut JPJ, pengenalan VOC masih lagi merupakan suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengandungi butiran pemilik dan kenderaan. Walau bagaimana pun, bagi memudahkan urusan dengan JPJ, VOC yang diperkenalkan ini tidak lagi digunakan sebagai dokumen atau instrumen bagi urusan seperti Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan), Tukar Hak Milik atau Pindaan Maklumat.

    Di mana VOC tidak mengandungi cetakan rekod urusniaga seperti mana yang terdapat dalam RC. Justeru, semakan data hanya boleh dilakukan secara terus menerusi pangkalan data JPJ atau MySikap.

    Terdapat tiga fasa yang akan dilaksanakan, selain pengenalan VOC yang membabitkan Fasa 1 iaitu ia dikeluarkan kepada pemilik pendaftaran kenderaan dan pemilik baharu bagi proses tukar hak milik kenderaan.

    Manakala Fasa 2 yang bakal diimplementasi mulai 1 September 2016 iaitu VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang membuat pembaharuan cukai jalan dan pemilik yang membuat pindaan atau pembetulan maklumat kenderaan.

    Bagi Fasa 3 pula, ia bakal dilaksanakan mulai 1 Januari 2017, di mana VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang hadir ke JPJ (secara sukarela) bagi menggantikan Kad pendaftaran Kenderaan (RC).

    Dengan pelaksanaan VOC ini, JPJ mensasarkan, menjelang 1 Januari 2020 semua pemilik kenderaan berdaftar telah melaksanakan penggantian RC kepada VOC. Dalam masa yang sama, sistem penyampaian perkhidmatan melalui transaksi atas talian juga bakal diperluaskan serta dilaksanakan dengan lebih mudah dan pantas.

     
     
  • Sistem VEP bersedia untuk beroperasi – tempoh percubaan dari 1 Jun hingga 15 Julai ini

    johor causeway jam bernama pix

    Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang masuk ke negara ini melalui Singapura akan bermula dengan tempoh percubaan mulai hari ini sehingga 15 Julai depan. Ujian percubaan ini akan dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan sistem VEP ini berjalan lancar, laporan Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad berkata mulai tengah malam ini (1 Jun), kadar bagi caj VEP ditetapkan sebanyak RM20 mulai 16 Julai ini. Beliau menambah pendaftaran bagi VEP ini akan berlanjutan sehingga hujung tahun ini. Setakat ini, sebanyak 12,000 kenderaan Singapura telah mendaftar di bawah sistem VEP ini.

    Hasni turut menambah, JPJ akan menyediakan kaunter operasi 24 jam dalam tiga shif bagi memastikan sistem VEP berjalan lancar. Mana-mana pengguna yang memerlukan bantuan atau pun maklumat tambahan, boleh ke kaunter JPJ berkenaan.

    “Kami menjangkakan akan berlaku kesesakan pada masa hadapan cuma tidak akan seteruk sekarang. Dari maklumbalas yang kami peroleh, pengguna kenderaan dari Singapura tidak mempersoalkan VEP ini tetapi lebih bimbang mengenai kesesakan dan implementasinya sahaja,” ujarnya.

    VEP ini juga mampu mengesan kenderaan pendaftaran Singapuran yang menerima saman di negara ini tetapi belum menjelaskannya. Ini kerana jumlah kenderaan Singapura yang masih memiliki saman tertunggak berada pada kadar yang agak tinggi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025