Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Imej paten Honda Civic 2017 bayangan versi produksi

    Honda-Civic-Hatchback-patent-1-e1458109816837

    Di Geneva Motor Show 2016 lalu, Honda telah memperkenalkan Civic Hatchback prototaip, iaitu prebiu bagi model generasi akan datang Civic di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Susulan itu, imej paten bagi model generasi ke-10 (dalam bentuk produksi) pula tersebar di Internet.

    Honda juga telah mengumumkan Civic Hatchback serba baharu ini memiliki ukuran 4,600 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,450 mm tinggi. Di mana ia 130 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah berbanding Civic generasi kini iaitu siri-FK bagi Eropah. Walau bagaimana pun pembuat kereta ini tidak mendedahkan saiz jarak rodanya tetapi kemungkinan ia lebih kurang sama dengan versi sedan iaitu 2,700 mm.

    Honda-Civic-Hatchback-patent-2-e1458109848265

    Melalui imej paten ini, banyak mendedahkan rekaannya termasuklah profile kereta, bahagian belakang yang lebih maskular, elemen spoiler belakang, corong yang lebih besar dan lampu belakang berbentuk-C.

    Walau bagaimana pun, ini bukanlah semakan secara terus dari kereta biasa. Sebaliknya, ia tampil dengan rekaan yang kurang agresif, termasuk padanan roda yang lebih kecil. Rekaan model di dalam imej paten ini juga menampakkan padanan lampu utama projektor, dan mungkin LED akan ditawarkan sebagai pilihan bagi model produksi.

    Selain itu, lampu kabus hadapan kelihatan telah direka semula dan diposisikan, sementara paip ekzos (kemungkinan paip tunggal) disertakan, tidak seperti model konsep yang diletakkan dengan paip berkembar. Pada bahagian bumbungnya, kelihatan antera sirip jerung.

    Malah rekaan ini juga lebih konsisten dengan spyshot Honda Civic Hatchback prototaip yang pernah dikesan ketika melakukan ujian. Sama seperti Civic Type berdasarkan Civic siri-FK, model baharu yang pasti hot ini dijangka akan diperkenalkan dengan Civic hatch generasi ke-10, jika benarlah spyshot yang sebelum ini dikesan memberikan sebarang petunjuk atau pun bayangan mengenai kehadiran model ini.

    Honda telah mengesahkan Civic Hatcback generasi ke-10 ini dengan spesifikasi standard akan masuk ke pasaran Eropah pada awal 2017 dijana enjin petrol VTEC Turbo 1.0 liter (127 hp/200 Nm) dan enjin petrol VTEC Turbo 1.5 liter (201 hp/260 Nm). Seperti juga untuk pasaran Civic sedan di Amerika Syarikat, ia berkemungkinan akan dilengkapi sama ada dengan kotak gear CVT auto atau manual enam-kelajuan.



    GALERI: Honda Civic Hatchback Prototaip

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45 facelift diperkenalkan dengan enjin lebih berkuasa dan penambahan ciri baharu

    cla-amg-0008-e1458093324103_BM

    Berikutan pengenalan facelift terbaharu pada model Mercedes-Benz CLA-Class, siri paling berkuasa dalam barisan model tersebut – Mercedes-AMG CLA 45 4Matic turut diperkenalkan. Dikeluarkan dalam varian Coupe dan Shooting Brake, versi berprestasi tinggi dalam CLA-Class ini menerima bukan sahaja rupa baharu, ia turut tampil dengan kuasa dan prestasi tambahan.

    Masih lagi menggunakan enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo, tetapi enjin tersebut telah diolah semula dan mengekstrak kuasa keseluruhan 381 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 475 Nm pada bermula 2,250 rpm hingga 5,000 rpm, dimana enjin tersebut telah diperkenalkan buat pertama kali pada model pre-facelift CLA 45 pasaran Eropah. Kesemua kuasa dari enjin tersebut dialirkan ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan empat roda 4Matic dan juga kotak gear klac berkembar AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan dengan nisbah gear yang ditala semula dengan nisbah yang lebih pendek.

    Gabungan kesemua sistem talaan baharu ini membolehkan model Coupe memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat, lebih pantas 0.4 saat berbanding model sebelum ini. Sementara varian Shooting Brake pula mencatatkan masa 4.3 saat. Kelajuan maksima yang boleh dicapai untuk kedua-dua varian ini pula adalah 250 km/j. Penggunaan bahan api untuk CLA 45 terbaharu ini dicatatkan pada 6.9 l/100 km, manakala kadar pembuangan gas CO2 pula dicatatkan pada 162 g/km.

    Pakej AMG Dynamic Plus masih lagi dilengkapkan pada model ini (diperkenalkan buat pertama kali pada September 2015), di mana ia merangkumi unit LSD mekanikal pada bahagian gandar hadapan bersama suspensi sport AMG Ride Control yang menampilkan penyerap hentak boleh-laras secara adaptif dalam dua peringkat. CLA 45 terbaharu ini ditambah dengan sistem AMG Dynamic Select yang membolehkan karekter dan mod transmisi berubah mengikut pilihan pemandu dengan hanya memutarkan suis yang terletak dibelakang tuil gear.

    Lampu hadapan LED berprestasi tinggi didatangkan standard untuk CLA 45 berbanding hanya opsyen untuk varian lain dalam kelas CLA. Pada bahagian muka, CLA 45 menampilkan rekaan yang seiras dengan Mercedes-AMG A 45 facelift merangkumi bahagian apron hadapan, splitter dalaman berwarna kelabu titanium matte serta sirip hadapan berwarnan hitam kilat. Rekaan baharu pada gril hadapan juga kini diberi kemasan krom perak.

    Pada bahagian sisi, bentuk badan Coupe dan Shooting Brake tidak menampakkan apa-apa perubahan. Tetapi pembeli bakal diberikan dua jenis roda aloi rekaan terbaharu untuk dipilih. Pertama ialah roda aloi AMG 18-inci sepuluh jejari berwarna kelabu titanium dibaluti tayar bersaiz 235/40R18. Manakala pilihan kedua pula ialah roda aloi 19-inci AMG jejari bersilang dengan tayar bersaiz 235/35/R19 dan diberi dua pilihan warna iaitu hitam matte atau kelabu titanium.

    Pada bahagian belakang, diffuser telah direka semula dan menampilkan empat sirip menegak yang lebih menonjol. Rekaan pada spoiler belakang AMG juga mendapat nafas baharu. Perubahan pada bentuk rekaan keseluruhan kereta ini menurut Mercedes adalah untuk menambahbaikkan aerodinamik kereta ini seiring dengan prestasinya yang turut meningkat.

    Mercedes-AMG CLA 45 (C/X117), 2016

    Jika anda merasakan rupa paras asal kereta ini tidak cukup agresif, CLA 45 turut hadir dengan pakej kit badan AMG Aerodynamic yang merangkumi splitter hadapan yang lebih besar, flic tambahan, spoiler belakang hitam AMG dan spoiler tambahan pada liang udara di hadapan dan belakang.

    Pada bahagian dalaman, panel instrumen dibaluti dengan kulit Artico dan disulam dengan benang merah didatangkan sebagai standard. CLA 45 turut menampilkan skrin paparan infotainmen yang lebih kurus dan lebih besar bersaiz lapan-inci, dihubungkan kepada sistem audio standard 20 USB atau sistem COMAND Online yang boleh dipilih sebagai opsyen.

    Trim utama papan pemuka juga kini dilengkapi dengan rekaan bercetak matte diatas permukaan hitam berkilat, disediakan dalam warna merah/hitam sebagai standard, atau hitam/perak jika anda memilih pakej Exclusive.

    Pilihan pakej AMG Dinamica Cockpit turut diberikan, dengan bahan gentian mikro yang digunakan pada sebahagian elemen trim, dan juga roda stereng Performance. Emblem ikonik AMG turut dipadankan pada unit kunci kereta dan juga tuil penukar gear untuk menyerlahkan lagi imej AMG pada kereta ini.

     
     
  • Chevrolet Colorado konsep prebiu bagi facelift

    Chevrolet_BIMS-e1458117931940

    Chevrolet telah mengumumkan bakal mendedahkan dua model konsep di Bangkok International Motor Show 2016 yang berlangsung minggu hadapan. Malah ia turut memberikan bayangan bahawa model konsep ini merupakan arah baharu bagi barisan trak pikap jenama ini. Satu-satunya model pikap dari jenama ini yang dijual di Thailand ialah Chevrolet Colorado, dan kemungkinan besar model konsep ini adalah prebiu bagi model facelift.

    Menerusi satu imej misteri yang disebarkan, pikap penuh bergaya ini kelihatan lebih besar, dengan gerbang roda yang lebih lebar, ada snorkel, roof rack dan bonet yang kelihatan menonjol. Ia juga mungkin dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L dan lampu utama yang dibentuk semula.

    Selain lampu utama baharu, bahagian hudnya juga telah dibentukkan semula, bersama gril yang diprofilkan dan corong udara yang direndahkan sedikit.

    2017-Chevrolet-Colorado-spyshot-01

    Di Malaysia, Colorado yang ada di pasaran kini ditawarkan dengan enjin 2.5 liter Duramax turbodiesel dengan kuasa 161 hp dan 380 Nm. Selain itu, ia turut didatangkan dengan varian pertengahan 2.8 liter (180 hp/400 Nm) dan kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala varian tertinggi 2.8 LTZ 193 hp/500 Nm pula dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Manakala pasaran negara lain telah pun menerima versi 2.5 liter Duramax baharu dengan kuasa 163 hp dan tork 380 Nm, jadi mungkinkah enjin ini akan diperkenalkan di Malaysia bagi model facelift.

    Selain Colorado, Chevrolet juga dikatakan akan memperkenalkan model facelift Captiva. SUV tujuh-tempat duduk ini turut menerima beberapa peningkatan elemen termasuk bahagian hadapan dan belakang yang disemak semula, lampu nyalaan siang LED dan papan pemuka baharu. Malah ia juga didakwa sebagai kenderaan pertama di Thailand yang turut menawarkan sambungan Apple CarPlay.

    GALERI: Chevrolet Colorado Sport

     
     
  • Landasan berkembar KL-Pantai Timur dirancang

    KTM_ETS_Padang_Besar

    Menurut The Sun, landasan berkembar dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur dalam perancangan, di mana ia akan melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru dan Tumpat.

    CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata SPAD dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melancarkan latihan ‘pengesan pasaran’ bagi menentukan faedah pasaran dan mengumpul pendapat mengenai pembinaan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).

    “SPAD dan ECERDC dalam proses menganalisis beberapa jenis perbezaan perniagaan, model teknikal dan strategi perolehan serta alternatif bagi mengimplementasikan projek ECRL ini. Bagi kajian pasaran melalui Permintaan Informasi (RFI) telah direka bentuk sebagai satu perundingan pelaksanaan bagi mendapatkan pendapat industri dan maklum balas pasaran,” ujar Mohd Azharuddin.

    Beliau turut menambah RFI terbuka untuk syarikat dan konsortium yang berminat untuk menyertai projek ini bagi mereka bentuk landasan ECRL, pembinaan, operasi dan penyelenggaran termasuk rantaian bekalan. “Tarikh tutup permohonan bagi latihan RFI ini adalah pada 15 Mei ini sebelum jam 12 tengahari,” katanya lagi.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota C-HR di Turki; mungkin bakal diproduksi di China dan Thailand pada masa hadapan?

    Toyota-C-HR-Turkey-1_BM

    Model yang dikatakan bakal menggugat pasaran Honda HR-V, Toyota C-HR yang tampil buat pertama kali dalam bentuk produksi sebenar di Geneva Motor Show 2016 awal bulan ini, kini dilihat di Turki. Ketika dipamerkan di Geneva, C-HR diletakkan diatas platform tertutup, dimana tiada siapa pun yang dapat melihat kereta tersebut dalam jarak yang sangat dekat.

    Dua buah C-HR yang dijumpai di Turki ini menampilkan dua warna yang sama sekali berbeza dengan yang dipamerkan di Geneva tempoh hari (perak dan hitam). Kereta yang pertama berwarna merah dengan bumbung putih, dan sebuah lagi berwarna putih sepenuhnya. Kedua-dua buah kereta dilengkapi dengan set roda lebih kecil berbanding kereta yang dipamerkan di Geneva yang menggunakan set roda bersaiz 18-inci. Kereta yang berwarna putih juga dilihat tidak mempunyai lampu hadapan dan belakang LED sepenuhnya, sebaliknya hanya menggunakan lampu hadapan projektor dan lampu belakang dengan mentol konvensional.

    Toyota-C-HR-Turkey-4_BM

    Produksi C-HR bakal bermula di kilang Toyota di Sarkaya, Turki (dipercayai tempat gambar ini diambil) dan Kilang Toyota di Miyagi, Jepun bermula musim luruh ini. Walaubagaimana pun, ada laporan mengatakan produksi H-CR mungkin akan dikembangkan ke kilang di Tianjin dan Guangzhou, China, serta Thailand bermula 2018 – mungkin pada masa tersebut C-HR akan mula di pasarkan dalam pasaran ASEAN.

    Tiga unit janakuasa akan dilengkapi pada C-HR, termasuk versi hibrid yang kemungkinan akan diambil terus dari Prius baharu berkuasa 122 PS menggabungkan enjin petrol 1.8 liter dengan kecepakan haba maksimum 40%. Emisi karbon dioksida dinyatakan dibawah 90 gram setiap satu kilometer.

    Turut ditawarkan pada C-HR ialah enjin petrol 8NR-FTS 1.2 liter turbo empat silinder yang diperkenalkan pada Toyota Auris facelift, berkuasa 115 PS pada takat 5,200 rpm hingga 5,600 rpm dan tork maksima 185 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual CVT automatik, dimana untuk varian CVT pembeli boleh memilih sama ada dengan pacuan semua roda atau memacu roda hadapan sahaja.

    Untuk varian 2.0 liter, ia berkemungkinan besar menggunakan enjin 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder berkuasa 147 PS/187 Nm dan dipadankan dengan kotak gear CVT, sama seperti Corolla Altis terbaharu.

     
     
  • Brosur rasmi Toyota Hilux 2016 pasaran Malaysia didedahkan – dilengkapi tujuh beg udara, VSC, A-TRC


    Klik untuk besarkan imej

    Menjelang pelancaran Toyota Hilux 2016 yang akan datang, brosur rasmi untuk trak pikap tersebut telah didedahkan dan dihantar kepada kami oleh pembaca paultan.org Mohd Aizatenko.

    Pelancaran Toyota Hilux serba baharu ini dijangkakan akan berlangsung pada suku kedua tahun ini, di mana tempahannya sudah mula dibuka dengan harga bermula pada RM93k berdasarkan senarai harga jangkaan yang didapati dari pengedar sah Toyota. Pendedahan brosur ini juga boleh mengesahkan beberapa spesifikasi yang tertulis didalam senarai tersebut.

    Model single cab hanya hadir dengan varian 2.4 manual 4X4. Manakala untuk model double cab pembeli boleh memilih lima varian yang terdiri daripada 2.4 Standard manual 4×4, 2.4 manual 2×4, 2.4G manual 4×4, 2.4G automatik 4×4 dan 2.8G automatik 4×4. Brosur ini turut mendedahkan model-model transmisi automatik Hilux ini akan dibekalkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik Toyota yang baharu.


    Klik untuk besarkan imej

    Turut didedahkan menerusi brosur ini ialah penggunaan casis ladder frame yang direka semula dan juga ciri-ciri keselamatan yang dilengkapkan. Hanya spec tertinggi 2.8G automatik 4×4 dan 2.4G automatik 4×4 menerima Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC). Varian 2.8G juga menerima tujuh beg udara, sementara varian lain hanya menerima tiga beg udara. Lampu hadapan projektor LED (dengan lampu nyalaan siang LED) juga hanya dilengkapkan pada varian spesifikasi tinggi sahaja.

    Bagi mereka yang mahu melihat trak pikap ini dengan lebih jelas, anda boleh kunjungi karnival WOW Toyota yang sedang berlangsung di mana Toyota akan mempamerkan Hilux serba baharu ini.

     
     
  • Kilang baharu Prachin Buri bakal memproduksi 120,000 unit kenderaan setahun untuk Honda Thailand

    Honda-Civic-Thai-Grades_BM

    Honda Automobile Thailand melabur sebanyak 17.2 billion baht (RM2 billion) untuk kilang baharu mereka di Prachin Buri Rojana Industrial Park yang bakal beroperasi sepenuhnya bulan ini, lapor Bangkok Post. Kilang baharu tersebut memproduksi Honda Civic generasi ke-10 yang secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Thailand minggu lalu.

    Untuk permulaan, Civic 2016 serba baharu akan diproduksi pada kadar 60,000 unit setahun. Angka ini dibahagikan kepada tiga iaitu 20,000 unit siap dipasang akan dieksport, 20,000 unit dalam bentuk CKD juga untuk pasaran eksport, bakinya adalah untuk pasaran domestik Thai sendiri. Kilang Prachin Buri ini secara maksimum mampu menghasilkan sebanyak 120,000 unit kenderaan setahun, tetapi COO Honda Thailand Pitak Pruittisarikorn berkata, penggunaan sepenuhnya kilang ini adalah berdasarkan situasi pasaran domestik dan eksport.

    Dengan bermulanya operasi kilang baharu ini, produksi kapasiti keseluruhan Honda Thailand berjumlah 360,000 unit, menjadikan Thailand pangkalan produksi ke-empat terbesar Honda dalam dunia.

    Pada Februari 2013, Honda Jepun mengumumkan akan melabur hampir 20 billion baht (RM2.4 billion) untuk kilang baharu dan pembesaran kilang sedia ada di Ayutthaya untuk memenuhi permintaan yang tinggi oleh pasaran domestik dan eksport. Sejumlah 17.2 billion diperuntukkan untuk pembinaan kilang enjin dan pemasangan di Prachin Buri, di mana ia dibina sama seperti kilang Yorii Honda di Jepun. Selebihnya akan digunakan untuk proses tingkat taraf kilang Ayutthaya bagi membolehkan ia menghasilkan sejumlah 240,000 hingga 300,000 unit kenderaan setahun.

    Prestasi ini agak memberangsangkan untuk Thailand, tetapi Honda Thailand masih belum lagi mempunyai produksi trak pikap dan kereta mesra alam di mana Thailand merupakan hub untuk produksi kenderaan sedemikian. Kerajaan Thai bekerja keras untuk menjadikan negara itu sebagai hab produksi kereta hijau, dan Honda mungkin bersedia kearah itu. Presiden dan CEO Asian Honda Motor, Noriaki Abe berkata, Honda bersedia untuk memproduksi kereta hibrid dan plug-in hybrid di Thailand, seiring dengan rancangan kerajaan tersebut.

    Minggu lalu, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha bertemu dengan ketua-ketua dari Toyota, Isuzu, Nissan dan Honda, dan berkata kerajaannya akan menawarkan keistimewaan pelaburan yang lebih dan memberi sokongan penuh untuk pembiayaan, R&D, sumber manusia, dan infrastruktur dalam usaha mempromosi Thailand sebagai hab untuk kenderaan hibrid, elektrik dan hidrogen.

    4151028_009H_BM

    Beliau juga mengarahkan Kementerian Industri berkerjasama dengan kementerian Kewangan, Perdagangan, Tenaga Kerja, Sumber Asli dan Persekitaran dan Pengangkutan untuk menyediakan pelan terperinci membabitkan keistimewaan pelaburan, insentif cukai dan kelebihan lain untuk mengembangkan pelaburan dalam sektor automotif. Industri berkaitan turut diarahkan bersedia menyertai pelan pembangunan jangka masa panjang Thailand untuk lima hingga 20 tahun akan datang.

    Gen Prayut turut mengesahkan Thailand akan meneruskan sokongan terhadap produksi kereta mesra alam, tetapi mahu pemain dalam industri berkenaan untuk menggunakan teknologi yang lebih tinggi dan tenaga alternatif lain, termasuk biodiesel dan ethanol. Kerajaan Thai juga berikrar akan memberikan keistimewaan tambahan untuk trak pikap yang menggunakan biodiesel, dalam usaha menyokong B20. Beliau juga menggalakkan kesemua CEO dari jenama Jepun terbabit untuk melabur dalam membangunkan fasiliti produksi bateri di Thailand.

    Sebagai tindak balas berhubung isu ini, jenama-jenama dari Jepun terbabit berjanji untuk terus melabur di Thailand, juga untuk kenderaan masa hadapan jika kerajaan menyediakan polisi yang jelas. Mereka juga mahukan penjelasan berkenaan strategi semasa dan masa hadapan Thailand untuk menyokong pengeksportan kenderaan, terutamanya menerusi perjanjian perdangangan bebas (FTA). Thailand tidak termasuk dalam 12 negara yang menandatangani Perjanjian Kerjasama Trans-Pacific (TPPA) yang turut disertai Malaysia.

    GALERI: Honda Civic 2016, Spesifikasi Thailand

     
     
  • Mazda CX-4 dijual secara eksklusif di China – laporan

    mazda-cx4-china-this-4-660x366-1

    Mungkin ada yang akan kecewa dengan perkhabaran ini. Laporan CarAdvice menyatakan Mazda CX-4 hanya dijual secara eksklusif di China. Patutlah banyak foto spyshot dirakamkan di negara tersebut, malah ia juga akan membuat penampilan rasminya pada Beijing Motor Show 2016 tidak lama lagi.

    Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengurus Kanan Perhubungan Awam Mazda Australia, Karla Leach, seperti mana yang dilaporkan oleh portal pemotoran tersebut, “Kami melihat modal ini sebagai menepati cita rasa rakyat Australia. Namun sayangnya, buat masa ini, ia tidak akan dijual luar dari China,” katanya.

    Bagi CX-4 ini turut menerapkan rekaan berdasarkan falsafah Kodo iaitu Soul of Motion ciptaan Mazda sendiri termasuk menampilkan bonet hadapan yang panjang, lampu hadapan signatur Mazda, gril hadapan serta garisan yang menonjol pada bahagian sisi. SUV ini juga menampilkan lebih kemasan krom iaitu pada bahagian belakang yang menghubungkan kedua-dua belah lampu belakang dan juga pada bahagian rel bumbung.

    Ia juga dikatakan bakal dijana oleh enjin petrol SkyActiv-G 2.0 liter (155 hp/200 Nm) dan 2.5 liter (184 hp/250 Nm) serta enjin turbo diesel SkyActiv-D 2.2 liter. Kesemua enjin ini mungkin juga ditawarkan dengan kotak gear manual SkyActiv-MT enam-kelajuan atau transmisi automatik SkyActiv-Drive, dengan pilihan sama ada pacuan dua-roda di hadapan atau pun pacuan empat-roda.

    Perincian lanjutnya hanya akan didedahkan oleh Mazda ketika penampilan perdana CX-4 ini di Beijing Motor Show 2016 ini.

    GALERI: Spyshot Mazda CX-4

     
     
  • ETCM lancar Pusat 3S Nissan di Miri

    01 Miri 3S Centre_Exterior

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini secara rasminya melancarkan Pusat 3S Nissan di Miri yang merupakan pusat 3S yang ke-21 di Malaysia. Ia dirasmikan oleh Datuk Bandar Miri Lawrence Lai Yew Son dan diiringi oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng.

    Dengan pelaburan mencecah RM1 juta, ia merupakan pusat sehenti yang menawarkan pengalaman baru di Miri. Ia memudahkan pelanggan untuk memandu uji, membeli rangkaian model Nissan, melakukan penyelenggaran dan mendapatkan alat ganti di bawah satu bumbung.

    Pusat 3S ini memiliki keluasan binaan keseluruhan 18,648 kaki persegi. Bilik pamerannya mampu menempatkan sehingga enam buah kenderaan pada satu-satu masa. Manakala pusat servis pula mempunyai lima ruang penyelenggaraan dengan kapasiti servis sehingga 30 buah kenderaan sehari.

    Kemudahan ini turut dilengkapi dengan sebuah lounge dan bar minuman, bersama sambungan WiFi.
    Pusat 3S ini dikendalikan oleh 20 orang kakitangan jualan profesional bertauliah dan enam orang juruteknik terlatih.

    Datuk Dr Ang berkata, “Berpegang terhadap falsafah kami untuk menawarkan keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan, serta pengalaman pemilikan kenderaan Nissan yang lengkap di Miri, ETCM berbangga kerana dapat melabur di bandar yang berkembang pesat ini. Ini demi memastikan Nissan mudah diakses oleh para pelanggan di Miri.”

    Sehingga kini, ETCM mempunyai rangkaian 100 buah bilik pameran yang ekstensif melibatkan pengedar dan 60 bengkel Tan Chong Express Auto Service di seluruh negara.

     
     
  • Lotus Exige Sport 350 tiba di M’sia tidak lama lagi?

    Screen Shot 2016-03-15 at 4.05.31 PM

    Selepas memperkenalkan Lotus Evora 400 pada hujung Januari lalu, Lotus Malaysia dilihat mahu mengekalkan momentum perjalanan mereka di dalam industri ini dengan melancarkan model baharu. Terbaru, menerusi Facebook, Lotus Malaysia seakan memberikan petanda bakal memperkenalkan Exige Sport 350 baharu ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Lotus Exige Sport 350 pertama kalinya melakukan penampilan perdana pada Disember 2015, bagi menggantikan Exige S. Seperti mana Elise Sport dan Elise Sport 220, Exige turut menggunakan nama ‘Sport’ bagi model baharu ini.

    Nama bukan setakat satu-satunya perubahan yang dilakukan pada Exige Sport 350. Sebaliknya jentera ini juga 51 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya iaitu pada 1,125 kg. Ia didorong oleh penggunaan komponen yang ringan termasuk panel pintu but, bateri dan sebagainya.

    Exige Sport 350 dijanakan oleh enjin 3.5 liter supercharged V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 345 hp pada 7,000 rpm dan tork 400 Nm pada 4,500 rpm, sama seperti Exige S. Ia juga digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, dan Exige Sport 350 juga mampu mencatatkan masa 3.9 saat bagi pacuan dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum sehingga 274 km/j.

    Namun bagi sesiapa yang inginkan transmisi automatik enam-kelajuan (dengan pedal penukar gear), bagi pacuan 0-100 km/j hanya mengambil masa 3.8 saat. Walau bagaimana pun, kelajuan maksimumnya hanya boleh mencapai 261 km/j dan ia juga 5 kg lebih berat berbanding manual.

    Pengurangan beratnya juga telah memberikan peningkatan pada pengendaliannya. Malah ia juga diterapkan dengan peredam yang lebih teguh dan geometri yang disemak semula bagi penggayaan aerodinamik jentera ini (mampu menghasilkan 42 kg downforce pada 160 km/j) yang membolehkan Exige Sport 350 ini mencatat rekod pemanduan di litar Hethel sekitar 1 minit 29.8 saat, iaitu 2.5 saat lebih pantas berbanding model sebelum ini.

     
     
  • Mercedes-Benz A250 Motorsport Edition – RM257k

    Mercedes-Benz A-Klasse (W 176) 2015Mercedes-Benz A-Class (W 176) 2015

    Boleh dikatakan Mercedes-Benz merupakan jenama premium yang aktif melancarkan model baharu sejak kebelakangan ini. Apatah lagi selepas jenama ini mencatatkan jualan yang cukup memberangsangkan, malah mendahului segmennya, di pasaran tempatan. Beberapa hari lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan dua model pemasangan tempatan (CKD) bagi varian W205 C-Class iaitu Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line dan Mercedes-Benz C 300 AMG Line.

    Terbaru, Mercedes-Benz A 250 Motorsport Edition baharu pula menyusul di pasaran tempatan. Dijual pada harga atas jalan RM256,888 (tanpa insurans), varian istimewa ini didatangkan ke Malaysia dengan jumlah unit yang sangat terhad. Jadi sesiapa yang ingin memilikinya, cepat-cepatlah membuat tempahan.

    Pada dasarnya, A 250 Motorsport Edition memiliki pertambahan gaya dan elemen aerodinamik daripada varian W176 A 250 Sport, yang dijual pada harga RM238,888. Jadi pertambahan kos sebanyak RM18k adalah melibatkan elemen seperti skim warna hijau pada beberapa bahagian badan luaran seakan warna rasmi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula 1. Selain itu, pakej Aerodinamik termasuk menampilkan aero flics pada bahagian hadapan dan belakang serta sayap belakang yang besar.

    Bukan itu sahaja, rim aloi AMG pelbagai-jejari 19-inci turut ditampilkan, iaitu lebih besar daripada A 250 Sporty yang hanya 18-inci. Sebagai tambahan, Motorsport Edition juga menerima kit Night Package, yang menampilkan kekemasan belt-line hitam berkilat.

    Di bahagian kabinnya, A 250 Motorsport Edition menggantikan kekemasan AMG Line berwarna merah yang ada pada A 250 Sport pada warna hijau. Malah tempat duduk sport upholstery dengan material kulit pula berwarna hitam dengan gentian mikro Dinamica bersama jaluran hijau. Jahitan berwarna hijau mula diterapkan pada material kulit yang menutupi papan pemuka, roda stereng dan panel pintu.

    Selain itu, A 250 Motorsport Edition dengan varian A 250 Sport memiliki banyak persamaan antara satu sama lain. Pada bahagian luaranya, kedua-duanya ditampilkan dengan lampu utama LED Prestasi Tinggi, gril radiator berlian dengan kepingan krom dan penggayaan AMG Line. Manakala persamaan di bahagian kabin pula ialah kedua-duanya turut ditampilkan dengan sistem media Audio 20 CD, skrin paparan lapan-inci, kamera undur dan sistem Bantuan Parkir Aktif.

    Sama seperti A 250 Sport, A 250 Motorsport Edition turut dijanakan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 221 hp dan tork 350 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik klac-berkembar 7G-DCT yang dipertingkatkan, mampu memacu jentera ini dari 0-100 km/j dalam hanya 6.4 saat (sebelum ini 6.6 saat) dan kelajuan maksimum pula 240 km/j. Suspensi sport talaan-AMG juga turut ditampilkan.

    “Ia hanya boleh didapati dalam jumlah unit yang sangat terhad untuk memperingati kejayaan yang dicipta oleh pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula 1, malah Motorsport Edition yang sangat istimewa ini adalah bagi penggemar sukan lumba di Malaysia,” ujar Mark Raine, Timbalan Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang, Mercedes-Benz Malaysia.

    A 250 Motorsport Edition didatangkan dengan pilihan warna Cirrus White, Cosmos Black, Polar Silver dan Mountain Grey.

    Mercedes-Benz A 250 Motorsport Edition

     
     
  • RM1.5 bilion nilai saman dikutip sejak 2010

    10996312_1066973639979609_2410631953817822303_n

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan 28.4 juta saman trafik dengan nilai kompaun sebanyak RM1.6 bilion sepanjang tahun 2010 sehingga 2015.

    Kenyataan itu adalah bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Teresa Kok (DAP-Seputeh) dalam sidang Parlimen yang bertanyakan bilangan kompaun trafik yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 2010 dan bilangan kompaun yang masih belum dibayar oleh pemandu kereta, serta setakat mana peningkatan kompaun trafik dapat mencegah peningkatan kemalangan jalan raya.

    KDN menjawab, berdasarkan rekod Sistem Trafik Cops PDRM daripada jumlah itu, sebanyak 14.6 juta saman merupakan saman tertunggak dengan nilai RM1.5 bilion. Di mana sebanyak 13.8 juta saman pula telah dijelaskan bagi tempoh yang sama, laporan Bernama.

    Malah KDN turut bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan kadar kompaun jalan raya seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertujuan memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan berhemah semasa memandu.

    Kementerian itu turut menyatakan nilai kompaun maksimum tidak pernah dikaji sejak Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dikuatkuasakan 29 tahun lalu.

     
     
  • Proton tawar rebat tunai – untuk Saga, Persona, Preve, Suprima S dan Iriz, diskaun sehingga RM6.2k

    Proton-Cash-Rebate-Promo

    Dalam bulan ini sahaja, beberapa pengeluar kereta turut mengadakan kempen jualan dengan menawarkan pelbagai promosi hebat. Antaranya Honda dengan penjimatan sehingga RM8k untuk semua model, Volkswagen dengan jualan penghabisan stok ‘Drop Everyting’ (diskaun sehingga RM53k untuk model Passat, Jetta dan Polo hatch 2014/2015) dan Kia bersama kempen ‘K Surprise’ (bonus sehingga RM16k termasuk tiga tahun servis percuma untuk model sedan).

    Terbaru, Proton turut mengumumkan kempen jualan hebat bagi lima modelnya iaitu Saga, Persona, Preve, Suprima S dan Iriz. Bagi Saga, penjimatan sehingga RM2,500, Persona RM3,500, RM5,000 untuk Preve dan Suprima S serta RM6,200 bagi Iriz.

    Proton-Promo-Details

    Menurut Proton, tawaran rebat tunai ini adalah antara program Ganjaran Kesetiaan, di mana terdapat insentif tambahan sehingga RM3,000 bagi pelanggan Proton sedia ada yang ‘trade in’ kereta mereka dengan model baharu Proton,

    Walau bagaimana pun, Proton tidak mengulas lebih lanjut mengenai campuran rebat tersebut (contoh RM6,200 untuk Iriz + Ganjaran Kesetiaan RM3,000 = RM9,200), tetapi menerusi Program Kesetiaan 2015, pemiliki kenderaan Proton sedia ada yang ‘trade in’ kereta mereka akan menerima RM100 bagi setiap tahun mereka memiliki kereta tersebut.

    Pada Februari lalu, Proton telah mengumumkan penstrukturan harga kereta baharu yang rata-ratanya mengalami peningkatan harga antara RM312 hingga RM2,024, iaitu sehingga 4.6%. Senarai baharu harga kereta proton adalah seperti di bawah:

    Proton-2016-pricelist

     
     
  • Kempen Kia K Surprise Series tawar bonus sehingga RM15k, servis percuma tiga tahun, serta hadiah lain

    12660_K Series_Website Slider_1280Wx524hpx

    NAZA KIA Malaysia, pengedar rasmi kenderaan KIA di Malaysia melancarkan kempen terbaharu mereka – ‘K Suprise Series’ – untuk menarik pelanggan baru.

    Untuk masa yang terhad, pembeli kereta baru akan menikmati bonus sehingga RM15,888 dan juga servis penyelengaraan percuma selama tiga tahun untuk model terpilih. Servis percuma selama tiga tahun atau bersamaan 60,000 km tersebut adalah termasuk kos buruh dan alat ganti (pelanggan perlu menepati jadual servis untuk terus menikmati promosi ini). Kempen ‘K Suprise Series’ ini akan meliputi pembelian model Rio Sedan, Cerato K3, dan juga Optima K5.

    Selain dari bonus pembelian, pelanggan yang memandu uji model Kia di bilik pameran juga bakal diberikan peluang untuk memenangi tiket perlawan bola sepak Euro 2016 di Perancis menerusi cabutan bertuah ‘Kia Lucky Drive to France‘. Setiap pelanggan yang memandu uji sebarang model Kia akan menerima kupon cabutan bertuah dan berkelayakan secara automatik untuk menyertai pertandingan ini. Kesemua pemenang akan diumumkan pada bulan Mei 2016.

     
     
  • NAP dan FTA mampu lonjakkan daya saing industri automotif di peringkat antarabangsa – Madani

    madani-wm-850x590

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Industri Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari, telah menyatakan bahawa Dasar Automotif Nasional (NAP 2015) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mampu mempertingkatkan lagi daya saing dalam sektor automotif Malaysia ke peringkat global.

    Menerusi ruangannya di New Straits Times, beliau berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang ditandatangani baru-baru ini membolehkan pengeluar kenderaan tempatan bersaing dalam skala global adalah topik yang banyak dibincangkan. Walau bagaimana pun, dengan adanya 30 juta populasi di Malaysia yang mewakili pasaran yang agak kecil, turut bergantung pada cara ia membangun dan memperluaskan industri automotif tempatan.

    “Adalah penting untuk merangkumkan perubahan yang sedang dibentuk di peringkat sejagat, dengan pasaran dunia lebih terbuka, pengguna akan lebih terkesan dan ini turut mempengaruhi kesan persekitaran pengeluaran,” ujarnya. Dengan itu, beliau turut berkata persaingan perlu dipertingkatkan dalam semua aspek termasuk sosial, ekonomi atau pentadbiran.

    Proton-LHD-Preve-to-Chile-8

    Mengenai topik bagi NAP 2014, Madani menjelaskan, semakan ketiga yang diumumkan adalah memfokuskan pada daya saing di peringat global termasuk keseluruhan eko-sistem di dalam industri automotif Malaysia, yang memacu kepada tiga perkara iaitu pelaburan insentif, pembangunan teknologi dan memperluaskan pasaran.

    “Ketiga-tiga perkara tersebut memiliki kebergantungan dengan kuasa-kuasa pasaran global untuk meningkatkan pemain-pemain automotif tempatan ke arah satu kuasa yang lebih besar di peringat global,” ujarnya. Beliau turut menjelaskan penambahan pelaburan dari pelaburan langsung asing (FDI), akan membenarkan pemain-pemain industri tempatan untuk menjadi satu kuasa lebih besar di peringkat global dengan menggunakan tenaga dan keupayaan tempatan.

    Bagi pembangunan teknologi pula, beliau berkata kemasukan teknologi yang jauh lebih cekap mampu direalisasikan apabila tenaga kerja tempatan mampu bekerjasama dengan pakar teknologi tersebut dari seluruh dunia. Sebagai memperluaskan lagi pasaran, Madani berkata ia boleh direalisasikan sekiranya “sekatan eksport dihapuskan” bagi memperluaskan lagi pasaran.

    E_Bus_2

    Berkenaan dengan topik Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), ia juga akan membawakan peluang bagi penyertaan di dalam ekonomi global, yang sangat diperlukan bagi pembangunan di dalam industri automotif Malaysia, jelas Madani. Beliau memberi contoh, bas elektrik buatan tempatan, yang dibangunkan atas usaha sama Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia adalah salah satu kesudahan yang baik.

    Selain itu, beliau turut memberikan contoh, “Sektor pembuatan komponen kenderaan Malaysia juga patut diberi perhatian dan telah diliberalisasikan sepenuhnya.” Hasilnya, nilai eksport telah berkembang dari RM1 bilion ke RM12 bilion pada tahun 2015. Dalam masa yang sama, beliau juga berkata, pihaknya telah memberikan sepenuhnya sokongan dan galakan kepada pemain industri tempatan untuk menyertai pasaran liberalisasi ini.

    Malah Madani turut menyarankan supaya industri automotif menyertai pasaran liberalisasi secara beransur-ansur dan melengkapkannya dengan program bagi meningkatkan daya saing di kalangan pemain industri tempatam. Terdapat enam pelan cadangan yang dilancarkan pada NAP 2014 laly, termasuk memberikan tumpuan terhadap pembangunan Kenderaan Jimat Tenaga (EEV).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025