Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Renault Megane Sport Tourer 2016 bakal dibongkar pada 22 Feb ini – enam varian enjin termasuk versi GT

    megane sport tourer_BM

    Renault telah mendedahkan imej pengenalan untuk Megane Sport Tourer 2016 yang akan ditampilkan secara penuh pada 22 Februari ini.

    Awal minggu ini, difahamkan Renault bercadang untuk membuat kemunculan perdana Geneva kedua dan dijangkakan ia adalah Megane Sport Tourer setelah pengeluar dari Perancis tersebut menyatakan ia sebuah model kompak yang akan menyertai Scenic baru dalam pasaran. Renault juga mendedahkan imej pengenalan baharu kereta tersebut di Twitter yang membayangkan ia sebuah wagon.

    Sebelum ini Renault dilihat beberapa kali menguji prototaip dengan penyamaran yang ektensif tetapi rupa bentuk wagon yang menarik itu tidak dapat disorokkan.

    Renault Megane hatchback serba baharu belum lagi dilancarkan di Malaysia. Dengan rupa bentuk yang lebih menarik daripada Megane generasi sebelum ini, kereta tersebut mempunyai ruang kargo berkapasiti 434-liter. Jika ia direka dengan bentuk wagon, tentunya ia akan menjadi lebih besar.

    Megane hatchback baharu dikuasakan dengan enam varian enjin iaitu tiga enjin petrol, dan tiga lagi enjin turbodiesel termasuk versi GT dengan enjin berkuasa 205 hp dan kotak gear enam-kelajuan klac berkembar. Jadi, jika Renault bercadang untuk memproduksi Sport Tourer ini dengan versi GT, ia bukan sahaja boleh menjadi sebuah wagon keluarga yang sangat boleh diharap, ia juga akan menjadi sebuah kereta yang amat mengujakan.

    Selepas pendedahan dalam talian ini, Renault Megane Sport Tourer 2016 serba baharu akan menerima pengenalan kepada umum pada 1 Mac di Geneva Motor Show 2016

     
     
  • W205 Mercedes-Benz C180, C300 menjadi pilihan untuk dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi?

    W205_Mercedes-Benz_C_250_AMG_Line_Malaysia_04-e1444232888453

    Di Malaysia, model sedia ada bagi W205 Mercedes-Benz C-Class ditawarkan dengan tiga varian unit pemasangan tempatan iaitu C 200 Avantgarde, C 200 Exclusive and C 250 AMG Line (tidak termasuk AMG C 63 S). Walau bagaimana pun, difahamkan barisan W205 Mercedes-Benz C-Class itu akan diperluaskan lagi dengan prtambahan dua varian iaitu C 180 dan C 300 AMG Line.

    Perkara ini sempat dirisik ketika menghadiri majlis pelancaran semula Cycle & Bintang Carriage Petaling Jaya Autohaus, dengan temubual secara eksklusif bersama Mark Raine, Timbalan Presiden, Jualan & Pemasaran Kereta Penumpang, Mercedes-Benz Malaysia.

    Ketika ditanya adakah kemungkinan varian asas C 180 akan dimasukkan dalam barisan C-Class, Raine berkata, “Kami turut meninjau pasaran, dan melihat produk apa yang sesuai untuk pasaran Malaysia, dan akan melihat apa yang boleh diperluaskan, iaitu produk pemasangan tempatan, dan mungkin salah satunya ialah C 180.”

    Berkenaan dengan C 300, yang mana memenuhi varian tertinggi dalam spektrum C-Class, beliau berkata, “Kami masih menelitinya.”

    W205_Mercedes-Benz_C_250_AMG_Line_Malaysia_05

    Dengan adanya varian baharu ini, Mercedes-Benz Malaysia akan mempunyai barisan C-Class yang lebih luas untuk menyaingi BMW 3 Series. BMW Malaysia kini hanya menawarkan empat varian iaitu
    318i Luxury, 320i Sport, 330i M Sport and 320d M Sport.

    Secara ringkasnya, C 180 didatangkan dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo suntikan-terus empat-silinder dengan 156 hp dan 250 Nm, dipadankan dengan 7G-Tronic Plus tujuh-kelajuan. Model ini diletakkan di bawah C 200 yang memiliki kapasiti enjin lebih besar iaitu 2.0 liter twin-scroll turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan 184 hp/300 Nm. Varian baharu ini dilihat mampu menyaingi BMW 318i Luxury (136 hp/220 Nm).

    Sementara C 300 pula menerima penambahbaikan dari versi C 200 dan C 250 iaitu enjin 2.0 liter pengecas turbo dengan 241 hp dan 370 Nm. Ia boleh bersaing dengan BMW 300i M Sport (252 hp/350 Nm). Enjin itu turut digabungkan dengan 7G-Tronic Plus tujuh-kelajuan dengan kuasa disalurkan ke roda belakang.

    Buat setakat ini, tiada perincian lanjut diberikan. Kena tunggu pengesahan selanjutnya dari MBM.

     
     
  • Honda Accord 2016 facelift dilancarkan di Thailand

    Honda-Accord-Facelift-Thailand-12_BM

    Honda Accord 2016 facelift telah dilancarkan di Thailand. Ada beberapa perubahan estetik kecil dilakukan pada bahagian hadapan dan belakang, serta beberapa ciri baharu agar Accord ini sentiasa segar dalam pasaran sedan segmen-D untuk bersaing dengan Toyota Camry dan Nissan Teana.

    Perubahan terbesar yang dapat disaksikan ialah pada bahagian hadapan, di mana gril Accord ini direka dengan gaya terbaharu Honda, menampilkan bar lebih tebal bersalut krom. Hujung bar krom tersebut telah dibenamkan bersama lampu hadapan dengan sistem LED untuk varian spesifikasi tertinggi. Lampu utama LED tersebut digandingkan bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED yang baharu dan lampu kabus juga dari jenis LED. Bahagian belakang yang direka semula secara ringan juga menampilkan rekaan krom bar dibenamkan pada lampu belakang utama. Lampu tersebut menempatkan tiga tiub LED seiring dengan trend terkini.

    Papan pemuka Accord yang menampilkan skrin tengah dua tingkat masih lagi kekal tidak berubah. Tetapi beberapa trim yang telah berubah dengan gabungan kemasan kayu dan perak/hitam pekat.

    Ciri-ciri baharu yang terdapat untuk pasaran Thailand termasuk penghidup enjin kawalan jauh yang membolehkan pemandu menghidupkan enjin dan penghawa dingin menggunakan butang pada kunci kereta, skrin MID 7.7-inci, skrin audio sesentuh 7-inci dengan Apple Carplay, Mirrorlink untuk telefon pintar dan Wifi hotspot.

    Tidak ada perubahan pada sistem mekanikal Accord ini dapat disaksikan. Ia hadir dengan dua varian iaitu enjin R20 I-VTEC SOHC (155 hp/190 Nm) dan K24 DOHC Earth Dreams (174 hp/225 Nm). Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear torque converter lima-kelajuan automatik.

    Honda-Accord-Facelift-Thailand-09_BM

    Harga jualan bermula 1.385 juta baht (RM162,690) untuk model asas 2.0 E, hingga 1.445 juta baht (RM169,738) untuk model 2.0 EL. Varian 2.4 EL pula boleh dibeli dengan harga 1.635 juta bath (RM192,097). Empat warna untuk dipilih iaitu putih mutiara, perak, kelabu dan hitam – di mana dua warna yang cerah akan dipadankan dengan warna hitam pada bahagian dalaman. Manakala warna kelabu dan hitam akan dipadankan dengan bahagian dalaman yang berwarna beige.

    Honda ada menjual Accord versi Hybrid di Thailand di mana versi facelift model tersebut akan diperkenalkan tidak lama lagi bersama teknologi Honda Sensing yang akan dipadankan pada sistem teknologi keselamatannya.

    GALERI: Honda Accord facelift 2016

     
     
  • Nissan mulakan pemasangan tempatan di Myanmar

    tcie-vietnam-07

    Tan Chong Motor (TCM) yang mengendalikan jenama Nissan di Myanmar telah mengumumkan kilang pemasangan tempatan di negara berkenaan akan beroperasi pada tahun ini. Ia bakal memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Almera (atau turut dikenali sebagai Sunny di pasaran negara berkenaan) di kilang TCM sedia ada sebelum akan berpindah ke kilang baharu yang terletak di bahagian utara Yangon yang mempunyai keluasan sehingga 50 ekar.

    Kilang baharu ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018, bakal mempunyai sehingga 300 tenaga kerja dan mampu memasang sehingga 10,000 unit bagi produksi sepenuhnya. Sebelum beroperasi, seramai 200 pekerja dilatih terlebih dahulu di kilang TCM di Malaysia bagi meningkatkan pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan.

    nissan-myanmar

    Nissan dan Tan Chong juga akan meningkatkan dan mengembangkan keseluruhan rangkaian perniagaan di republik berkenaan. Jualan di Myanmar bermula pada tahun 2013 dengan model sedia ada di negara berkenaan termasuk X-Trail, Teana (Altima), Navara dan NV350 Urvan, serta produksi tempatan akan memasukkan Almera dalam barisannya.

    Pada November tahun lalu, Tan Chong Motor (Myanmar) dan Nissan telah menandatangani perjanjian pengedaran selama lima tahun. Pada bulan yang sama, TCM turut mengumumkan akan mengembangkan pasaran di Myanmar dengan jumlah perlaburan sebanyak US$50 juta (RM211 juta) untuk tempoh tiga tahun akan datang.

     
     
  • Kia Optima Plug-in Hybrid 2016 dipamerkan di Geneva

    Kia Optima Plug-in Hybrid - Exterior 11

    Optima Plug-in Hybrid serba baharu, kenderaan elektrik plug-in hybrid pertama dari Kia, bakal melakukan penampilan perdana di Geneva Motor Show 2016 pada awal Mac ini. Penjana kuasa plug-in hybrid baharu ini lebih inovatif dan bakal menjadi kunci tambahan bagi barisan Optima segmen-D dengan sasaran sebagai kenderaan rendah-emisi.

    Model ini turut dipadankan dengan pek bateri lithium-polymer 9.8 kWh dan motor elektrik 50 kW yang terbaik berbanding model Optima Hybrid sebelum ini, yang membolehkan ia dipandu hingga 54 km dengan mod elektrik sifar-emisi sahaja sebelum enjin 2.0 liter GDI mengambil alih. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 156 PS dan tork 189 Nm. Dengan gabungan penjana kuasa ini, ia mampu menghasilkan jumlah kuasa keseluruhan sehingga 205 PS pada 6,000 rpm dan tork 375 Nm bermula 2,300 rpm.

    Kuasa ini turut disalurkan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Ia mampu membuatkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam tempoh masa 9.4 saat iaitu lebih 0.6 saat berbanding Optima Hybrid. Malah pasukan pembangunan Kia turut menyasarkan hasil gabungan emisi CO2 sekitar 37 g/km, yang memberikan penjimatan lebih efisien pada pemiliknya.

    Biar pun dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti tinggi yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, namun Optima Plug-in Hybrid masih mempunyai ruang kargo berkapaiti 307-liter. Manakala tangki bahan apinya turut dikecilkan berbanding Optima Hybrid sedia ada iaitu dari 65-liter ke 55-liter.

    Kia Optima Plug-in Hybrid - Exterior 12

    Daripada sudut profil luaran, Optima Plug-in Hybrid masih mampu dikenali sebagai kenderaan Kia dan model Optima, biar pun ia banyak mengadaptasikan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi aerodinamiknya. Kia juga telah merekabentuk gril penutup udara aktif baharu, sekali gus mengurangkan daya seretan sekitar 0.25 Cd (0.27 cD bagi Optima sedan). Bahagian bampar hadapan dan belakang turut diprofilkan bagi membolehkan aliran udara mampu mengalir ke seluruh badan.

    Ia turut didatangkan dengan hiasan krom khas bersama kekemasan biru metalik pada bampar belakang, sekeliling gril dan gerbang roda, termasuk logo ‘EcoPlugin’. Port pengecasan pula terletak di bahagian sayap hadapan sebelah pemandu.

    Manakala bahagian dalamannya, turut dipertingkatkan dengan rekaan yang lebih inovatif. Paparan kluster instrumen baharu turut ditampilkan bagi menyalurkan informasi mengenai keadaan kereta dan penjana kuasa termasuk status bateri, perincian pemanduan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan fungsi navigasi audio-visual (AVN) terkini, dengan sistem hiburan skrin sesentuh 8.0-inci dan radio digital DAB. Malah AVN turut berfungsi menyalurkan maklumat berhubung tahap EV terkini dan lokasi stesen pengecasan berhampiran.

    Optima Plug-in Hybrid juga menjadi model Kia pertama yang dilengkapi dengan Android Auto™ yang bekerjasama dengan telefon pintar yang dijanakan oleh Android 5.0 (Lollipop) atau lebih, dan Apple CarPlay™ untuk iPhone 5 atau pun yang terkini. Kedua-dua sistem ini turut menampilkan fungsi kawalan suara dan membolehkan pemandu berkomunikasi menerusi telefon pintar tanpa memegang gajet tersebut.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem hiburan bersama skrin sesentuh dan sistem audio enam-speaker sebagai standard atau pun opsyen sistem audio Harman Kardon QuantumLogic™ Premium Sound 590-watt dengan 10-speaker, amplifier tambahan, teknologi penstoran Clari-Fi MP3 dan teknologo bunyi sekeliling QuantumLogic. Kia turut menampilkan pengecas tanpa wayar yang terletak di bahagian konsol tengah.

    Optima Plug-in Hybrid turut menampilkan dua elemen teknologi untuk menyimpan dan menjana kuasa bateri menerusi fungsi pembrekan jana semula dan Coasting Guide Control (CGC) baharu. Ia turut dilengkapi dengan alat tambahan pemanas, sistem penghawa dingin dan aliran udara (HVAC).

    Bagi meningkatkan aspek keselamatannya, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara sebagai standard, selain Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Kelajuan Pintar Tambahan (SCC), Brek Kecemasan Bebas (AEB), Sistem Bantuan Laluan (LKAS), Fungsi Informasi Had Kelajuan (SLIF), Pengesan Titik Buta (BSC) dan Kepekaan Trafik Melintas Di belakang (RCTA).

    Kia Optima Plug-in Hybrid - Exterior 6

    Untuk pengendalian yang lebih mantap, suspensi Optima Plug-in Hybrid ini turut dilengkapi dengan casis yang lebih ringan tetapi kekal tegar bagi mengasingkan getaran dan hentakan akibat permukaan jalan yang teruk. Malah suspensinya juga telah ditala semula bagi memberikan keselesaan pemanduan yang lebih jitu. Selain itu, pelarasan bagi pegas, peredam dan penyeimbangan turut ditala khas.

    Kia turut menampilkan sistem stereng-berkuasa motor elektrik (C-MDPS) bagi kawalan yang lebih jitu, dan cakera brek yang lebih bsar di belakang berdiameter 300 mm untuk memastikan prestasi brek lebih baik.

    Kia Optima Plug-in Hybrid 2016 ini dipasang di kilang KIa di Hwasung, Korea Selatan dan Kia merencanakan model ini akan memasuki pasaran Eropah pada suku ke-empat 2016.

    Menurut CEO Kia Motors Eropah, Michael Cole, “Jualan hibrid biasanya berlipat kali ganda di Eropah sejak lima tahun kebelakangan ini, dan turut menjangkakan jualannya mampu mencecah 700,000 unit menjelang tahun 2020. Kehadiran Optima Plug-in Hybrid bakal memenuhi permintaan kenderaan emisi-rendah, sekali gus mampu merealisasikan sasaran global kami.

     
     
  • Mercedes-Benz Cycle & Carriage Autohaus Petaling Jaya penampilan baharu dilancarkan secara rasmi

    Mercedes-Benz-Malaysia-CCB-PJ-Autohaus-1

    Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd, bersama pengedar sahnya, Cycle & Carriage Bintang Berhad (CCB), kini secara rasmi merasmikan semula CCB Autohaus serba baharu di Petaling Jaya.

    Sehingga kini sejumlah RM43 juta telah dilaburkan di CCB Autohaus Petaling Jaya (CCB PJ), di mana RM7 juta dilaburkan hanya untuk menaik taraf bilik pameran yang menampilkan imej korporat (CI) Mercedes-Benz yang baharu untuk memberikan pengalaman yang lebih menakjubkan kepada pelanggan.

    Autohaus serba baharu ini terletak di Lot 19, Jalan 51A/219, Off Federal Highway, Petaling Jaya, merupakan Autohaus terbesar CCB yang turut menampilkan pusat prestasi AMG terletak di tingkat satu. Satu lagi ciri unik Autohaus PJ ini ialah rekabentuk terbaharu Wall Star jenama Mercedes-Benz.

    Untuk keselesaan pelanggan, ruang lounge untuk pengunjung telah dibesarkan. Bilik pameran yang berkonsep ‘I-Showroom’ ini dilengkapi dengan skrin sesentuh digital untuk pelanggan mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan produk Mercedes-Benz serta proses pembelian. CCB PJ ini turut dibina berdasarkan garis panduan ekstensif Sistem Persembahan Mercedes-Benz II (MPS II).

    Dibina dengan keluasan 150,210 kaki persegi, CCB PJ menempatkan 21 kereta untuk dipamerkan dan diuruskan oleh 36 staf jualan dan 79 staf selepas jualan. Pusat servis CCB PJ ini pula mampu untuk menampung 40 buah kereta untuk diservis dan kerja pembaikkan lain pada satu-satu masa.

    Menurut CEO CCB Dato’ Wong Kin Foo, Autohaus Georgetown yang baharu dipertingkat akan diperkenalkan minggu hadapan, diikuti dengan bilik pameran Jalan Tun Razak yang dipindahkan ke lokasi lebih strategik di TREC KL pada hujung Februari. Dalam pertengahan tahun ini pula CCB akan membuka Autohaus ke-12 yang terletak di Cheras untuk menampung keperluan pelanggan di selatan Lembah Klang.

    Dengan dedikasi untuk memenuhi kepuasan pelanggan, CCB akan terus melabur dengan sejumlah RM30 juta untuk dua tahun seterusnya bagi menaik taraf Autohaus di Alor Setar, Bukit Tengah, Juru, Ipoh, Mutiara Damansara, dan Johor Bahru.

     
     
  • Enam unit kenderaan klon bernilai RM500k dirampas

    polis_trafik_BM

    Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur telah menjalankan satu operasi khas pada jam 1 pagi malam semalam di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan berjaya merampas enam kenderaan klon pelbagai jenis bernilai kira-kira setengah juta ringgit.

    Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain berkata operasi dijalankan hasil risikan serta intipan sejak seminggu lalu, dan ketika operasi dijalankan, sepasang suami isteri yang terlibat dalam urusan jual beli kenderaan klon turut ditahan, laporan Bernama.

    “Pasangan suami isteri berumur 47 dan 30 tahun itu berada di lokasi berkenaan dipercayai untuk urusan jual beli dengan pelanggan mereka. Pemeriksaan ke atas kereta jenis Volvo S80 yang dinaiki suspek mendapati ia adalah kenderaan klon.

    “Selepas soal siasat dibuat, polis berjaya menemui lima lagi kenderaan klon yang diletakkan di tingkat lima dan enam tempat letak kereta di TBS,” katanya.

    Kereta_Klon_PTBM

    Enam kenderaan yang dirampas adalah Volvo S80, Jaguar X-Type, Audi A4, Mini Cooper, Toyota Vios dan Toyota Wish.

    Mohd Nadzri berkata siasatan awal mendapati kenderaan klon dijual dengan harga serendah RM4,500 mengikut jenis kereta.

    “Sindiket ini juga menggunakan tempat letak kereta awam sebagai tempat meletakkan kenderaan klon mereka. Ini bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.

    Beliau berkata kenderaan terbabit dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Singapura melalui Tambak Johor untuk pasaran di Lembah Klang.

    “Kenderaan klon ini menggunakan cukai jalan dan nombor pendaftaran kereta yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika kereta klon adalah Toyota Vios, mereka akan menggunakan cukai jalan kereta Vios juga pada kenderaan klon itu,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

     
     
  • Jaguar F-Type SVR 2016 – 567 hp, 700 Nm, 321 km/j

    2016-Jaguar-F-Type-SVR-52-e1455677215994_BM

    Kewujudan Jaguar F-Type SVR Coupe 2016 telah diketahui sebelum ini, tetapi satu-satunya perincian yang diberikan oleh Jaguar adalah jentera ini boleh mencapai kelajuan maksima 321 km/j. Jaguar kini telah mengesahkan, sebelum kemunculan sulungnya pada Geneva Motor Show, F-Type SVR ini yang hadir dalam bentuk badan coupe dan convertible akan dijana oleh enjin V8 Supercharged 5.0-liter berkuasa 567 hp dan tork maksima 700 Nm.

    Dibina atas kekuatan asas F-Type yang diakui oleh media permotoran dan orang ramai, SVR telah menaiktaraf segalanya ke tahap terbaik termasuk casis, unit kuasa, dan aerodinamik aktif. Para jurutera Jaguar Special Vehicle Operation bekerjasama dengan Project 7 untuk menghasilkan F-Type SVR yang lebih ringan, lebih lincah dan lebih laju tanpa menjejaskan kebolehan kereta ini sebagai kenderaan harian.

    Hasilnya F-Type SVR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat sahaja dan boleh mencapai kelajuan maksima 321 km/j untuk coupe, manakala untuk versi convertible ia sedikit perlahan iaitu 314 km/j. “Objektif kami adalah untuk mengambil semua aspek yang disukai pelanggan berkenaan F-Type – prestasi, pengendalian, bunyi, rekabentuk – dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi. Inilah yang F-Type SVR dapat lakukan: ia sebuah supercar berkelajuan 321 km/j yang boleh dipandu setiap masa,” kata John Edwards, pengarah urusan Jaguar Land Rover Special Operations.

    Ada beberapa perubahan dibuat untuk mengangkat SVR ke satu tahap prestasi supercar yang lebih tinggi. Ini termasuklah ruang kemasukan udara yang lebih besar pada bampar hadapan bersama penyejuk udara kemasukan yang diolah dan sirip bonet yang direka semula. Ini digabungkan dengan penambahbaikan pada sistem penyejuk dan kecekapan sistem penghantaran kuasa. Sistem ekzos titanium dan Inconel baharu yang lebih ringan mengurangkan back-pressure serta mengurangkan berat sebanyak 16 kg. Dengan menggunakan Inconel sebagai menggantikan logam tahan karat, ketebalan dinding tiub ekzos dapat dikurangkan sehingga separuh iaitu hanya 0.6 mm.

    Bersama dengan injap titanium aktif pada penyenyap belakang,F-Type SVR 2016 menampilkan bunyi ekzos yang lebih tersendiri terhasil dari empat corong paip ekzos. Prestasi enjin yang dipertingkat ini dihantar ke keempat-empat tayar menerusi kotak gear lapan-kelajuan Quickshift yang ditala semula dan sistem pacuan empat roda Jaguar Intelligent Driveline Dynamics (IDD).

    Perubahan yang dilakukan pada sistem IDD dan penambahbaikan pada unit karbeda aktif elektronik (EAD) pada bahagian belakang memberikan pengagihan tork yang optimum antara kedua belah roda belakang serta antara roda belakang dan hadapan. Digabungkan dengan sistem Kawalan Penstabilan Dinamik (DSC) SVR, cengkaman dan dinamik pemanduan dioptimakan untuk semua jenis keadaan jalan dan cuaca, menambahbaik kebolehan kereta tersebut untuk dipandu setiap hari.

    Suspensi jenis double wishbone pada depan dan belakang serta injap di dalam penyerap hentak boleh-ubah setiap masa yang telah ditala, bersama perisian sistem Dinamik Adaptif yang juga turut ditala semula memberikan keselesaan pada kelajuan rendah dan pengendalian jitu pada kelajuan tinggi. Berbanding dengan F-Type R AWD, SVR ini 25 kg lebih ringan, dan boleh diringankan lagi sehingga 50 kg dengan pemasangan peralatan opsyen tambahan seperti sistem brek Matrix Karbon Seramik dan bumbung serat-karbon.

    Aerodinamik aktif adalah sebahagian daripada pakej prestasi SVR, dengan sayap belakang serat-karbon yang akan terangkat apabila kelajuan mencecah 96 km/j dan 112 km/j untuk varian convertible dan coupe. Sayap tersebut juga akan terangkat secara automatik ketika pemandu menekan butang mod Dynamic. Ketinggian bahagian hadapan ditarik kebawah menerusi penggunaan sirip pada wheelarch liners, dan tray bawah lantai yang terletak di bawah suspensi belakang mempercepatkan pengaliran udara, merendahkan tekanan dan menarik kereta ini ke bawah.

    Jaguar tidak lupa untuk menaik taraf pada bahagian dalaman F-Type SVR 2016. Tempat duduk berprestasi tinggi SVR Performance balutan kulit dipasang untuk pemandu dan penumpang, dan boleh dipilih dalam tiga warna. Sistem infotainmen InControl Touch menampilkan skrin sesentuh bersaiz lapan-inci digandingkan dengan sistem audio surround Meridian berkuasa 380 watt. Jika anda memilih untuk memasang sistem InControl Touch Plus, kuasa sistem ini akan diinjakkan kepada 770 watt.

    Tempahan telah mula diambil oleh pihak Jaguar untuk F-Type SVR 2016. Untuk varian coupe, ia dijual dengan harga 110,000 pound sterling (RM663,000). Manakala untuk varian covertible ia berharga 115,485 pound sterling (RM696,000). Penghantaran supercar harian berkelajuan 321 km/j ini dijangka bermula pertengahan 2016.

    GALERI: Jaguar F-Type SVR 2016

     
     
  • Pengguna transmisi manual ‘gila’- Jeremy Clarkson

    jeremy-clarkson-top-gear_BM

    Kebanyakan ‘kaki kereta’ bersetuju tidak ada sistem transmisi lain yang paling mengujakan ketika memandu selain bermain dengan pedal klac dan tuil gear sistem transmisi manual tradisional, sejajar dengan terma “real men use three pedals”. Tetapi tidak untuk bekas pengacara program televisyen automotif Top Gear, Jeremy Clarkson berhubung posting terbaharunya di Sun Motors.

    Jeremy mempersoalkan mengapa orang masih mempertimbangkan untuk memilih transmisi manual sekarang, seolah-olah mereka yang membeli kereta bertransmisi manual berkata, “Saya tak perlukan televisyen dengan alat kawalan jauh. Saya masih lagi boleh berjalan dengan sempurna untuk menukar siaran.”

    Beliau menambah lagi, “Mereka yang masih mahu membeli kereta bertransmisi manual adalah dari jenis memilih untuk tidak membeli mesin basuh dan lebih suka membasuh baju di sungai yang terdekat.” Beliau merujuk lebih dari 70% daripada semua kereta yang telah terjual di Britain adalah bertransmisi manual, dengan itu lebih 70% daripada pemilik kereta di Britain adalah ‘gila’.

    Fiesta-ST-comparo-4_BM

    Sudah tentu Jeremy bukan mencari kontroversi. Beliau mengakui kotak gear manual adalah jawapannya jika anda memandu di litar lumba. Walau bagaimana pun, dengan kebanyakan kereta menghabiskan masanya di dalam persekitaran bandar, beliau menggambarkan transmisi manual merupakan sesuatu yang menjengkelkan.

    Transmisi automatik terkini adalah lebh efisien dan efektif berbanding sebelum ini, di mana kebanyakannya mampu menukar gear lebih laju daripada manusia biasa. Sebahagian pengeluar telah menghentikan penggunaan kotak gear manual termasuk Ferrari dan Lamborghini.

    Jadi apa pendapat anda berhubung perkara ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.

     
     
  • Pelumba Indonesia Rio Haryanto bakal menyertai Manor Racing dalam F1 dengan tajaan RM60 juta?

    Rio_F1

    Terdapat perkhabaran pasukan Formula One dari Britain, Manor Racing, telah melepaskan pelumba Will Stevens, dan bakal menggantikannya dengan pelumba dari Indonesia, Rio Haryanto. Malah Haryanto turut dikatakan akan membawa bersama wang sebanyak 10 juta pound sterling (RM60 juta) hasil tajaan syarikat minyak nasional Indonesia, Pertamina.

    Memetik laporan The Telegraph, Stevens yang mengalami prestasi kurang memberangsangkan sepanjang musim lalu, juga telah mengumumkan pengundurannya dari pasukan terbabit dan mahu mencari peluang baharu di Amerika Syarikat. Haryanto, 23, menyertai pasukan Campos Racing pada tahun lalu, dan telah menyertai GP2 dan menghabiskan pusingan keempat dengan mendapat tempat pertama sebanyak dua kali.

    Ini menjadikan Haryanto sebagai pelumba Indonesia pertama dalam Formula One selepas mendapat superlicense setelah berjaya dalam ujian pemanduan 300 km di Silverstone pada tahun lalu. Jejak langkah yang agak jauh berbanding pelumba Malaysia, Jazeman Jaafar, yang menyertai siri Blancpain dan mengalami kesukaran untuk mendapatkan tajaan sehingga perancangannya menyertai Formula tergendala sehingga tahun 2016.

     
     
  • Mitsubishi Lancer 2004-2006 dipanggil balik – isu pengepam beg udara penumpang, 895 unit terlibat

    2006-mitsubishi-lancer-jt

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), telah mengumumkan panggilan balik (recalled) bagi sejumlah 895 unit Mitsubishi Lancer yang diproduksi dari September 2004 hingga April 2006. Ini disebabkan pengepam beg udara pada tempat duduk penumpang didapati bermasalah. Di mana ia boleh mengeluarkan serpihan besi sekiranya beg udara tersebut meletup yang boleh mengakibatkan kecederaan pada penumpang.

    “MMM mengambil inisiatif ini untuk memastikan keselamatan para pelanggan diberi keutamaan dan berasa sesal dengan perkara ini. Pengepam beg udara yang didapati bersalah itu akan digantikan dengan komponen baharu,” ujar Yang Won-Chul, CEO MMM.

    MMM akan menghantar surat pemberitahuan kepada semua pemilik Mitsubishi yang terlibat dan kos penggantian ini akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini.

     
     
  • Lotus Elise Cup 250 – paling laju, 200 unit setahun

    lotus-elise-cup-250-01

    Ringan dan paling laju. Itulah yang dipertaruhkan buat model baharu Lotus Elise Cup 250. Dengan penyingkiran berat sebanyak 21 kg dari model Elise terdahulu, kini Elise Cup 250 menambah lagi kuasanya sebanyak 26 hp. Kini ia hanya seberat 931 kg, Elise Cup 250 boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 248 km/j dengan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 4.3 saat. Secara tidak langsung merekodkan Elise Cup 250 sebagai model Elise yang paling laju.

    Model pengganti bagi Elise Cup 220, Cup 250 ini telah mengurangkan berat bateri lithium-ion sebanyak 10 kg, tempat duduk gentian karbon hanya seberat 6 kg dan rim aloi pula dikurangkan sebanyak 1.5 kg. Manakala Pek Karbon Aero (pemisah hadapan, sayap belakang, peresap belakang dan penambahan lantai sisi) telah dikurangkan beratnya sebanyak 10 kg. Jentera ini juga merupakan roadster pertama sebagai model standard dengan hard top sebagai pilihan.

    Dijanakan oleh enjin 1.8 liter supercharged bagi versi baharu, Elise Cup 250 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 243 hp pada 7,200 rpm dan tork 250 Nm antara 3,500 dan 5,500 rpm. Jentera ini pernah dipandu uji di trek Hethel dan mencatatkan masa 1 minit 34 saat, iaitu empat saat lebih pantas berbanding rekod yang pernah dicatatkan oleh Cup 220, sekali gus menjadikan Elise yang paling laju dalam barisannya. Apatah lagi ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, memantapkan lagi prestasinya.

    lotus-elise-cup-250-02

    Jentera ini turut dilengkapi dengan Pengurusan Prestasi Dinamik Lotus (DPM) yang menyalurkan mod Sport bagi menambahkan respons pendikit, mengurangkan cengkaman dan mengelakkan understeer serta membenarkan kawalan dipertingkatkan selepas sistem ini beroperasi. Ia turut ditampilkan dengan tayar hadapan 195/50 R16 (belakang 225/45 R17) bagi memberikan kawalan yang lebih tajam dan responsif, menurut Lotus.

    Cup 250 ini juga turut menggunakan suspensi ala sukan permotoran dan komponen brek dari Cup 220, termasuk palang anti-olengan hadapan boleh laras, peredam sport Bilstein dan lingkaran gegelung Eibach. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kaliper hadapan omboh-berkembar AP Racing dan omboh-tunggal Brembo bagi sistem ABS yang ditala khas dan tayar Yokohama AO48.

    Pada bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan suiz yang lebih besar bagi DPM, lampu utama dan lampu kabus belakang, yang dipasang bersama butang penghidup enjin baharu. Malah turut menampilkan Alcantara berwarna merah atau hitam sebagai standard, dengan Pek Kulit.

    Elise Cup 250 ini bakal dijual di pasaran utama kecuali Amerika Utara mulai April ini. Produksi untuk peringkat global terhad hanya 200 unit setahun sahaja.

     
     
  • Pinjaman sewa beli yang lama menyebabkan Proton hilang nilai untuk wang berbanding jenama import

    Proton-COE-press-conference-5_bm

    CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah mengakui pengeluar kereta nasional itu telah kehilangan kelebihan nilai untuk wang pada produknya berbanding jenama luar, akibat tempoh pinjaman yang dipanjangkan kepada sembilan tahun. Tempoh pinjaman yang lebih lama tersebut membolehkan pengguna membeli kereta yang lebih mahal.

    Harith memberitahu media semalam, semasa tempoh pinjaman yang lebih pendek sebelum ini, Proton mempunyai kelebihan yang besar dalam jualan – menjangkaui 60% dalam pasaran tempatan. Tetapi dengan kemampuan pengguna untuk membeli kereta yang lebih mahal sekarang, tambahan pula kegagalan untuk memenuhi pasaran segmen-B yang agak besar, Proton telah kehilangan kelebihan tersebut.

    “Kami hilang faktor nilai untuk wang tersebut kerana kemampuan untuk membeli kereta telah meluas,” kata beliau. “Kami gagal untuk menguasai segmen ini, dimana ia lebih tertumpu pada jenama.”

    Beliau juga turut kesal dengan orang ramai membeli kereta dari jenama lain walaupun dibekalkan dengan ciri keselamatan dan kelengkapan ditahap yang lebih rendah. “Kami perlu membuat analisa berkaitan hal ini. Kami telah memberikan yang terbaik dari segi prestasi, keselamatan dan kelengkapan. Enam beg udara, rating keselamatan lima-bintang dari ANCAP – semua ini sejak 2012. Kami telah melengkapkan segalanya dalam kereta kami,” katanya.

    proton-kuala-terengganu-061_BM

    Harith menambah kerana persepsi negatif terhadap Proton, pembeli tidak mahu cuba untuk memandu uji model Proton, jadi mereka tidak mengetahui sebenarnya kemampuan sebenar model terbaharu Proton seperti Preve, Suprima S dan Iriz. “Anda perlu memandu uji model-model ini, kerana ia telah terbukti, apabila anda memandu uji, peluang untuk memilih membeli Proton adalah tinggi,” kata beliau.

    Sentimen ini merupakan penggerak utama dibelakang kempen ‘ It’s in the Drive‘ Proton, menggalakkan orang ramai untuk memandu uji sendiri kereta baharu, berbanding hanya berpegang kepada perasaan prejudis yang dipendam sekian lama. Ini juga sebab mengapa Proton sekarang ini menganjurkan peraduan Pandu Uji dan Menang, yang mana setiap orang yang memandu uji Proton layak berpeluang memenangi hadiah, termasuk sebuah Suprima S jika mereka menempah kereta baharu.

    Harith berkata Proton bergelut di bawah Polisi Automotif Nasional (NAP), di mana tempoh pinjaman sewa-beli maksima ditambah dari lima tahun ke sembilan tahun. “Jika kerajaan atau Bank Negara membuat keputusan untuk memendekkan tempoh masa bayaran pinjaman maksimum ke lima tahun, anda boleh lihat perubahan drastik pada angka jumlah jualan kami. Saya agak yakin tentang perkara ini,” tambah beliau.

    “Saya berpendapat pinjaman sewa beli kereta tidak patut dipanjangkan sehingga sembilan tahun. Jika pembayaran dipanjangkan sebegitu lama, apabila anda membuat keputusan untuk menjual kereta selepas dua tahun, anda perlu membayar lebih kepada bank berbanding harga pasaran kereta tersebut sebelum dapat menukar kereta,” ujar beliau.

     
     
  • Suzuki Satria F150 2016 dilancarkan di Indonesia – 18.5 hp, 13.8 Nm, harga bermula RM6,763

    1422441_1123382811006900_2482443682945367185_n-e1455688217569

    Selepas pelancaran Honda CBR150R pada 14 Februari lalu, kini tibalah giliran Suzuki Satria F150 pula. Motosikal jenis kapchai ini dikatakan memiliki prestasi yang mengagumkan iaitu 18.5 hp dan tork 13.8 Nm, ibarat paling berkuasa dalam kelasnya.

    Satria F150 dilihat turut menampilkan sedikit peningkatan pada bahagian enjinnya untuk mendapatkan lebih kuasa. Sistem suntikan bahan api semburan-berkembar baharu menggunakan enam pengesan yang mampu menyalurkan bahan api secara lebih optimum dalam apa jua keadaan cuaca. Kadar pemampatannya juga dinaikkan iaitu dari 10.2:1 menjadi 11.5:1, secara tidak langsung memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

    Sudut injap juga kini lebih bersesuaian, dengan injap ekzos dan pengambilan udara yang lebih besar untuk mendapatkan kadar campuran udara-minyak masuk dan keluar lebih cepat, serta turut menampilkan badan injap pendikit yang lebih besar. Malah omboh diposisikan pada blok yang lebih ringan dan kecil, bagi menambahkan mekanikal enjin yang lebih efisien.

    Kapchai ini disasarkan pada golongan pelajar dan pekerja berusia muda, ia ditawarkan dengan dua versi iaitu gred standard dan gred tinggi. Bagi gred standard, harganya bermula pada 21.65 juta rupiah (RM6,763) dan menampilkan tiga pilihan warna. Sementara gred tinggi pula berharga dari 21.95 juta rupiah (RM6,863) dan ditawarkan dengan dua pilihan warna.

    Sebelum beristirahat, admin kasih TVC All New Satria F150.. Ssttt ada Aleix Espargaro naik Satria injeksi loh bro and sis… :)#AllNewSatriaF150 #NyalakanNyali #BeraniDiadu

    Posted by Suzuki Motor Indonesia on Tuesday, February 16, 2016

     
     
  • Mercedes-AMG GT naiktaraf turbo Stage 1 dari Renntech – kuasa meningkat ke 716 hp dan 889 Nm

    RENNtech-Mercedes-GT-S-1-PTBM

    Mercedes-AMG GT sememangnya sebuah jentera yang memang hangat kuasanya. Namun apabila ia menerima sentuhan Renntech bagi menala semula model tersebut, pasti ledakan kuasanya bertambah mengujakan. Bagi Renntech, proses talaan semula ini sangat menyeronokkan kerana kuasa yang dihasilkan cukup luar biasa

    Renntech telah melakukan modifikasi pada enjin 4.0 liter bi-turbo V8 bagi Mercedes-AMG GT dengan meningkatkan kit turbo bagi Stage 1 dengan roda pemampat yang lebih ringan, perumah pemampat yang baharu dan impeller yang lebih besar.

    RENNtech-Mercedes-GT-S-13-PTBM

    Ia turut disertakan dengan Pakej Prestasi R1 iaitu penapis udara aliran tinggi dan downpipe dari besi keluli tahan karat. Modifikasi ini turut melibatkan penaiktarafan ECU, yang meningkatkan kuasa sehingga 716 hp dan 889 Nm berbanding talaan Brabus sebanyak 600 hp dan 750 Nm. Peningkatan kuasa ini turut memberikan masa pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

    Bukan itu sahaja, Renntech turut membangunkan kit penambahbaikan suspensi yang menampilkan suspensi gegelung Renntech dan peredam OEM. Dengan pelarasan semula ketinggian, tinggi suspensi jentera ini menurun sebanyak 38 mm pada bahagian hadapan dan belakang.

    Sesuai dengan penambahan kuasa, kit turbo Stage 1 ditawarkan pada harga USD$11,880 (RM49,918), sementara kit suspensi pula USD$1,980 (RM8,320).

    GALERY: Mercedes-AMG GT S

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024