Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • LITRAK umum sistem bayaran secara elektronik sepenuhnya di SPRINT Mac ini, LDP Sept 2016

    LDP_Toll_EXTRA

    Kumpulan LITRAK telah mengumumkan Lebuhraya SPRINT akan beroperasi secara elektronik (ETC) sepenuhnya mulai 2 Mac ini 12 tengahari, diikuti dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada September 2016.

    Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi LITRAK, Shah Rizal Mohamed Fawzi, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Litrak untuk melancarkan perjalanan pengguna di samping mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia juga seiring dengan usaha kerajaan untuk memastikan semua plaza tol menggunakan 100 peratus sistem bayaran tol secara elektronik menjelang 2018.

    Beliau turut menambah, hasil daripada kajian yang dijalankan, jangka masa transaksi yang diambil oleh pengguna yang membuat bayaran menerusi kad Touch ‘n Go adalah enam saat (550 kenderaan per jam) dan bagi yang menggunakan SmartTag pula tiga saat (1000 kenderaan per jam). Manakala jangka masa yang diambil sekiranya melakukan traksaksi pembayaran secara tunai ialah 15 saat (400 kenderaan per jam).

    “Peratus penembusan penggunaan ETC di SPRINT telah meningkat secara drastik daripada 65% ke 80% sejak 2012 hingga 2015. Manakala di LDP pula, ia meningkat daripada 59% ke 73%. Lebih ramai pengguna memilih ETC kerana ia lebih mudah dan pantas,” ujarnya lagi dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tengahari ini.

    LDP mempunyai empat plaza tol iaitu Penchala, Petaling Jaya, Puchong Barat dan Puchong Selatan, manakala plaza tol Sprint terletak di Penchala, Damansara dan Kerinchi.

    Di SPRINT, bagi Kelas 1, pengguna lebuhraya berkenaan perlu membayar RM2 di plaza tol Damansara dan RM2.50 di plaza tol Pantai di Kerinchi Link. Manakala kadar tol baharu bagi Kelas 1 di plaza tol Plaza Bukit Kiara pula (Penchala Link) ialah RM3.

    Bagi LDP pula, kadar tol baharu bagi Kenderaan Kelas 1 ialah RM2.10, Kenderaan Kelas 2 (RM4.20), Kenderaan Kelas 3 (RM6.30), Teksi (RM1) dan bas pula kekal hanya RM1.

     
     
  • Proton Saga 2016 – lakaran imaginasi digital berdasarkan model semasa yang diperkemaskini

    Saga_rendered_BM

    Ternyata 2016 merupakan tahun yang cukup sibuk bagi Proton. Bukan setakat satu model kereta yang bakal dilancarkan tahun ini, malah ada empat lagi model baharu. Salah satunya ialah Proton Saga 2016, iaitu pengganti bagi model paling popular buatan pengeluar kereta nasional ini. Sementara menantikan detik pelancaran itu, Mohd Taufik telah menghasilkan rendered atau lakaran imaginasi digital bagi Saga 2016 ini.

    Seperti mana yang pernah dilihat menerusi foto spyshot, ia jelas menunjukkan rekaannya berdasarkan model sedia ada tetapi telah disemak semula. Bentuk bonet dan grilnya masih dikekalkan, tetapi kelihatan bar krom Iriz di atasnya. Malah lampu utamanya turut dibentuk semula, melunjur ke atas dan seakan memiliki sedikit imbasan beberapa model Peugeot.

    Saga_rendered_BM_2

    Taufik turut menambah sedikit kelainan pada Saga 2016 dengan meletakkan gril bawah trapezoidal seperti Iriz bersama corong udara berkembar. Pada bahagian belakang pula, kelihatan bentuk cermin yang direka bentuk semula dengan tiang-C, dengan lampu belakang yang menyertai kepingan plat nombor krom serta peresap belakang.

    Daripada sudut teknikalnya, ia dikatakan masih belum diperkatakan, namun Saga 2016 ini mungkin akan dipadankan dengan enjin 1.3 liter VVT sama seperti Iriz dengan padanan kotak gear sama ada CVT atau manual lima-kelajuan. Proton juga bakal memperkenalkan enjin aspirasi-natural 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder yang akan memulakan produksi pada akhir 2017, manakala enjin 1.0 liter pengecas turbo pula juga akan diperkenalkan.

    SPYSHOT: Proton Saga 2016

     
     
  • Ferrari California T terima pakej Handling Speciale

    Ferrari-California-T-Handling-Speciale-02

    Maranello telah mengumumkan pakej pengendalian terbaharu bagi Ferrari California T. Pakej pilihan ini dinamakan sebagai Handling Speciale (HS), yang memberikan penambah baikan bagi kawalan kenderaan, F1-Trac logic yang disemak semula, sistem ekzos baharu dan beberapa penambahan estetik bagi 2+2 convertible. Pakej HS ini bakal dipamerkan di Geneva Motor Show 2016.

    Peningkatan pengendalian ini dilakukan menerusi penentu ukuran khusus pada bahagian mod Sport. Dengan pek ini, California T turut menerima pelarasan peredam baharu dengan gegelung yang dimodifikasi. Set gegelung hadapan juga lebih keras sebanyak 16% dan belakang pula 19%.

    Mod Sport juga telah dipertingkatkan dengan penaiktarafan peredam SCM3 magnetorheological, yang menambah kelajuan pada respons peredam serta meningkatkan lagi keupayaannya. Selain itu, F1-Trac logic turut memberikan kuasa pendikit yang lebih baik terutamanya di selekoh dan permukaan jalan yang beralun.

    Selain itu, gear-shift logic pada mod Sport, kedua-duanya automatik dan manual, juga telah dimodifikasi. Pertukaran gear California T juga lebih pantas dan sporty. Pek HS ini juga didatangkan dengan sistem ekzos baharu dengan silencers, menampilkan dua paip dengan rekaan geometri baharu.

    Ferrari-California-T-Handling-Speciale-01

    Ekzos ini dibangunkan bersama-sama perisian kawalan kotak gear dan enjin. Ia juga memberikan respons yang lebih pantas dan menambah baik bunyi dan volume. Ferrari berkata sistem ekzos baharu ini juga memberikan pemanduan yang lebih menguja dalam semua tahap kelajuan.

    Sebagai peningkatan kosmetik, pakej HS ini juga didatangkan dengan gril hadapan baharu dengan warna Grigio Ferro Met dan peresap belakang dengan warna yang sama serta paip ekzos berwarna hitam pekat. Pada bahagian dalamnya, plak khas yang menandakan pakej HS ini turut ditampilkan.

    Selain itu, angka prestasinya masih kekal sama. California T menampilkan enjin 3.9 liter V8 pengecas turbo yang mampu menghasilkan 560 hp dan tork 755 Nm. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.6 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 316 km/j.

    GALERI: Ferrari California T di Malaysia

     
     
  • VEP bantu selesaikan masalah kenderaan negara jiran tidak bayar saman dan isu kereta klon – KP JPJ

    JPJ_Roadblock10

    Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang bakal dilaksanakan mulai Mei ini dilihat mampu membantu menyelesaikan masalah kenderaan dari negara jiran yang tidak membayar saman.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad, ketika ini kenderaan dari Singapura yang masuk ke Malaysia tidak mempunyai rekod, laporan Bernama.

    “Sekarang ini kereta dari Singapura yang masuk ke Malaysia tidak ada rekod sebab itu kereta Singapura yang melakukan kesalahan apabila mereka berada di Semenanjung, bebas tidak bayar saman dan boleh keluar masuk ke negara kita.

    “Jadi apabila kita laksanakan VEP nanti semua kereta yang melakukan kesalahan di negara kita dia tidak boleh balik sehingga urusan saman itu dibayar,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Katanya lagi, selain mengenal pasti kenderaan negara jiran yang tidak membayar saman, sistem VEP itu nanti akan turut membantu JPJ mengawal dan menangani sindiket kereta klon.

    Katanya tahun lalu pihaknya menyita 760 kereta klon namun percaya masih banyak kenderaan berkenaan berada dan digunakan di negara ini.

    “Apabila sistem VEP dilaksanakan nanti semua kenderaan dari Singapura yang masuk ke negara ini perlu didaftarkan, isu kereta klon akan dapat dikawal dan menangani sindiket kereta klon di negara ini,” katanya.

    Ismail berkata kebanyakan pemilik kenderaan klon mengetahui bahawa kereta yang dibeli itu adalah kereta klon.

    Beliau berkata urusniaga membeli kereta klon biasanya dijalan secara tunai memandangkan tiada institusi kewangan yang memberi pinjaman memandangkan kenderaan berkenaan tiada sebarang dokumen. Seterusnya menegaskan memiliki kenderaan klon merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

     
     
  • Peugeot 308 THP Active – berharga RM119,888

    Peugeot_308_THP_Active-1

    Sebelum ini, harga jangkaannya ialah RM120,888, namun kini Nasim Sdn Bhd telah mengesahkan harga rasmi bagi Peugeot 308 THP Active ialah RM119,888, iaitu RM17,000 lebih murah berbanding varian 308 THP yang berharga RM136,888.

    Seperti kebiasaannya, kenderaan yang harganya lebih murah pasti ada perubahan pada elemen yang ditampilkan. Sebagai contoh, lampu utama reflektor yang menjadi pilihan berbanding LED, dan juga ia tidak disertakan dengan pengesan parkir hadapan. Malah bampar hadapan juga telah direka semula untuk menempatkan lampu nyalaan siang LED.

    Berbanding model biasa 308 THP yang dipadankan dengan rim aloi “Sapphire” 18-inci, 308 THP Active memilih rim “Rubis” dengan saiz yang lebih kecil iaitu 17-inci. Jika model sebelum ini turut mempunyai roda aloi sebagai simpanan, tapi bagi Active, ia sekadar roda keluli biasa sahaja.

    Peugeot_308_THP_Active-2

    Pada bahagian dalamnya, 308 THP Active menampilkan tempat duduk balutan fabrik, berbanding Alcantara iaitu pilihan yang lebih mahal, serta fungsi urut juga telah ditiadakan. Namun bernasib baik kerana masih terdapat beberapa elemen yang telah dikekalkan termasuk skrin paparan sesentuh 9.7-inci dan sistem audio 3D Arkamys enam speaker.

    Malah prestasi model ini juga tidak berubah, masih dijanakan oleh enjin 1.6 liter twin-scroll pengecas turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 hp dan tork 240 Nm. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersumber Aisin.

    Sebagai keselamatam, 308 THP Active turut ditawarkan dengan enam beg udara dan program kestabilan elektronik (ESP) sebagai standard. Walau bagaimana pun, kawalan kelajuan dinamik, amaran pelanggaran kecemasan dan sistem brek pelanggaran kecemasan telah ditiadakan.

    Terdapat lima warna ditawarkan termasuklah Rouge Red, Mocha Brown, Artense Grey dan Nera Black. Varian mampu milik 308 THP ini telah pun berada di bilik pameran Peugeot sejak Disember lalu dan tempahannya juga sudah dibuka.

     
     
  • Tesla Model S 85 hanya satu cas penuh bagi perjalanan KL-Kedah; diuji GreenTech Malaysia

    Tesla-Kedah-drive-5_BM

    Baru-baru ini, Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) menganjurkan program pemanduan yang membabitkan dua unit Tesla Model S 85 dari Bangi menuju ke Kulim, Kedah. Perjalanan sehala itu hanya melibatkan satu cas penuh, ujar CEO GreenTech Malaysia Ahmad Hadri Haris kepada paultan.org.

    Perjalanan itu bermula jam 5 pagi pada 13 Januari lalu, dengan model S 85 berwarna Midnight Silver bertolak dari Bangi dengan satu cas penuh, bersama bacaan kapasiti bateri dalam lingkungan 491 km. Dengan merentasi Lebuhraya Utara-Selatan, jentera terbabit dipacu mengikut had laju menggunakan kawalan jelajah (cruise control) yang turut bergantung pada keadaan lalu lintas.

    Dalam jam 8.30 pagi, jentera ini sampai di kawasan R&R Sg Perak, dengan baki kapasiti bateri dalam lingkungan 212 km. Beberapa minit sebelum jam 11 pagi, S 85 ini selamat sampai di kilang First Solar, Kulim Hi-Tech Park, selepas menempuhi perjalanan sejauh 383 km, dengan kapasiti bateri masih berbaki 53 km.

    Ringkas mengenai First Solar, ia merupakan pengeluar American photovoltaic (PV) iaitu panel lapisan solar, yang mempunyai kilang pemasangan di Kulim Hi-Tech Park, dengan bilangan tenaga kerja seramai 4,000 orang di seluruh Malaysia.

    Perumah Pengecas Tesla telah dipasang secara sementara di First Solar untuk mengecas Model S, dengan punca kuasanya dijanakan dari tenaga solar yang disediakan oleh syarikat terbabut, dengan kos sifar, ujar Hadri. Mampu menyalurkan 32A pada fasa-tunggal 240 voltan, yang membolehkan bateri dicas pada kadar 41 kWh, dengan cas sepenuhnya selesai lebih kurang jam 10 malam, kapasiti bateri dalam lingkungan 494 km.

    Tesla-Kedah-drive-4-BM

    Pada 14 Januari lalu, satu sesi demostrasi telah dilakukan di First Solar, di mana jentera terbabit menuju ke Pulau Pinang pula, yang kemudiannya dicas sepanjang malam dengan menggunakan soket tiga-pin (13A, 240V), memberikan kadar pengecasan sehingga 10 kWh. Keesokannya harinya, S 85 ini meneruskan perjalanan dari Pulau Pinang ke Serdang, Kedah, di mana Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir melancarkan sistem solar PV 12 kW dari First Solar di masjid. Malah beliau turut berbesar hati untuk melihat lebih dekat S 85 dan memandu ujinya buat seketika.

    Kemudian jentera ini dicas sepanjang malam di First Solar, sekali lagi menggunakkan Perumah Pengecas Tesla sementara, yang mampu mencapai kapasiti dalam lingkungan 497 km. Perjalanan pulang ke KL pada 16 Januari pula membabitkan jarak perjalanan sejauh 390 km, dan ketika Tesla ini sampai di pejabat GreenTech, kapasiti bateri masih berbaki 18 km, dengan penggunaan tenaga dari bateri dalam lingkungan 187 Wh/km.

    Hadri berkata, jumlah keseluruhan jarak perjalanan sejauh 1,267 km tanpa sebarang kos, jentera ini telah dicas sebanyak dua kali menerusi perumah pengecas Tesla dengan saluran kuasa dari tenaga solar dan kemudian sekali lagi dicas menggunakan soket tiga-pin dari kuasa janaan TNB. Lebih penting lagi, ia telah menunjukkan S 85 ini mempunyai keupayaan penggunaan tenaga yang lebih tahan lama, meletakkannya sebagai antara EV yang paling berkuasa dalam kelasnya.

    GALERI: Tesla Model S 85

     
     
  • SPYSHOT: Proton Perdana 2016 hampiri produksi

    Perdana_Spy_BM_3

    Proton Perdana 2016 semakin menanti detik pelancarannya, membuak-buakkan lagi perasaan tidak sabar untuk melihatnya selepas 11 tahun menanti. Sementara detik tersebut, kami masih banyak menerima foto spyshot model ini, terkini kiriman Mohd Nizam Mohd Razak, Akmal Latip dan Huzaifah Azman.

    Walau pun masih dilitupi penyamaran sepenuhnya, namun bentuk asasnya masih boleh kelihatan, yang menampakkan perbezaan berbanding model Honda Accord generasi ke-lapan yang pernah digunakan sebelum ini. Pertambahan panjangnya iaitu Perdana lebih panjang sebanyak 150 mm berbanding Accord, memberikan perbezaan yang lebih jelas.

    Foto sebelum ini kelihatan memberikan bayangan Perdana 2016 telah diberi rekaan semula pada bahagian hadapan, dipadankan dengan lampu utama projektor bersama lampu nyalaan siang LED, garisan bumbung yang lebih panjang menampakkan ciri lebih elegan serta lampu belakang LED berbentuk-C bersama ekzos berkembar. Malah bahagian kabinnya juga dijangka mempunyai banyak perubahan termasuk padanan warna baharu beige (berbanding hitam pada ruang dalaman Accord).

    Bakal diproduksikan di Kilang Pengeluaran Sederhana Proton di Shah Alam, Perdana 2016 ini dijangka bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini, dengan mengekalkan enjin Honda 2.0 liter i-VTEC (154 hp/189 Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177 hp/222 Nm) dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

    Model penambah baikannya pula dijangka diperkenalkan pada akhir 2016 di mana Perdana bakal menerima enjin baharu iaitu NE01 2.0 liter empat-silinder, berdasarkan model enjin Petronas E01 yang dibeli oleh pengeluar kereta nasional ini pada tahun 2012. Enjin ini dijangka didatangkan dengan pancitan bahan api secara terus (GDi) dan pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo (TGDI).

    Malah Proton juga sedang mempertimbangkan enjin baharu 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan terus bahan api TGDI, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp dan tork 250 Nm. Mana-mana pun penjana kuasa yang dipilih, ia tetap akan dipadankan dengan transmisi CVT baharu yang bakal diperkenalkan sebelum akhir tahun 2017.

    GALERI: Pra-pengenalan Proton Perdana 2016

    GALERI: Proton Perdana 2016 rendered

     
     
  • Proton SUV rendered berdasarkan Suzuki Vitara

    proton-vitara-theo-1_BM

    Selepas menghasilkan lakaran digital (rendered) “Proton Ertiga” iaitu model Suzuki Ertiga dengan logo Proton, mendorong Theophilus Chin untuk menghasilkan “Proton Vitara” pula, iaitu SUV Suzuki Vitara dengan transformasi bersama logo Proton. Di mana Theo mengimaginasikan gril Preve pada “Proton Vitara” ini, tidak seperti mana imej asal Suzuki Grand Vitara yang pernah diperkenalkan di Paris pada tahun 2014 lalu (atau turut dikenali sebagai Escudo bagi pasaran domestik).

    Setakat ini Proton tidak pernah ada model SUV walau pun pengeluar kereta nasional ini pernah menghasilkan model konsep SUV pada tahun 2010 dan model konsep Iriz Active yang mengikut acuan VW Cross Polo dan Hyundai i20 Active.

    Setakat ini, cuma disahkan Suzuki Ertiga dipilih sebagai model kerjasama pertama antara Proton-Suzuki. Menurut laporan berita dari Indonesia yang memetik kenyataan Suzuki Indomobil Sales (SIS) berkata Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016.

    proton-vitara-theo-2_BM

    Laporan tersebut turut menyebut SIS akan mengeksport sebanyak 1,500 unit Ertiga kepada Proton setiap bulan, iaitu menyamai 18,000 unit setahun, seganda daripada jumlah eksport Suzuki Indonesia sendiri iaitu dari Rp 2 trilion ke Rp 4 trilion. Produksi bagi kit komponen terurai untuk Malaysia ini akan dimulakan pada Mei ini di kilang SIS yang terletak di Cikarang. Proton turut mengumumkan model kerjasama Proton-Suzuki ini akan memasuki pasaran sebelum 2016 berakhir.

    Di Indonesia, Ertiga diletakkan di bawah segmen MPV-Bawahan dan bersaing dengan Toyota Avanza dan Honda Mobilio. MPV tujuh tempat duduk ini dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 N,. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    GALERI: Versi rendered Suzuki Ertiga berlogo Proton

    GALERI: Suzuki Vitara di Paris 2014

    GALERI: Suzuki Escudo di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • Proton lancar kempen “It’s in the drive” hingga 31 Mac

    Pandu Uji & Menang

    Hujung minggu lalu, PROTON Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, PROTON Edar Sdn Bhd (“PROTON Edar”) pertama kalinya melancarkan kempen “It’s in the drive” kepada semua rakyat Malaysia beserta Peraduan ‘Pandu Uji & Menang’. Ia merupakan titik permulaan kepada siri penjelajahan satu Malaysia oleh PROTON Edar yang melibatkan beberapa lokasi tumpuan utama serta pusat beli-belah di negara ini dari 23 Januari sehingga 31 Mac 2016.

    Pemenang yang terpilih bagi peraduan yang berlangsung akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah mingguan seperti TV LCD 42”, barangan elektronik seperti telefon bimbit dan iPad mini bernilai lebih kurang RM150,000 kesemuanya. Pada penghujung peraduan ini, seorang pemenang yang dipilih akan membawa pulang hadiah utama berupa sebuah Proton Suprima S 1.6 premium.

    test drive

    “Kempen ini adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang bagaimana kereta-kereta Proton telah berkembang maju berbanding model terdahulu kami sejak keluaran Proton Saga yang pertama. Salah satu cara untuk merasai perbezaan ini ialah dengan memandu uji sendiri kereta Proton dan pada masa yang sama berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah yang menarik,” ulas Dato ‘Abdul Harith Abdullah, CEO Proton.

    Ia telah pun memulakan siri penjelajahannya pada hujung minggu lalu di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Sebagai permulaan, kempen ini menawarkan kadar faedah 2.8% bagi semua kereta Proton dan skim graduan khas dengan ansuran bulanan bermula dari RM258 sebulan. Bagi ganjaran kesetiaan pula, rebat sehingga RM3,000 ditawarkan kepada semua pemilik Proton yang ingin menggantikan atau membeli sebuah lagi kereta Proton. Ini merupakan tawaran pertukaran yang hebat untuk semua pemilik kereta Proton di mana mereka boleh menukar kereta lama mereka kepada kereta Proton yang baharu dengan rebat sebanyak RM100 bagi setiap tahun usia kereta mereka. Selain itu, diskaun sehingga RM6,200 bagi model 2015 yang terpilih juga disediakan.

    Pada kempen pelancaran ini, sesi pemanduan berhemah turut dijalankan di mana pelanggan akan diperlihatkan dengan kemahiran pemanduan yang betul untuk mencegah dari berlakunya kemalangan atau perlanggaran, mengenalpasti ancaman dan bahaya serta bagaimana untuk bertindak dalam keadaan kecemasan.

    suprima s grand prize

    Sebagai sebahagian daripada kempen keselamatan Tahun Baru Cina yang sedang berlangsung, pemilik kereta Proton juga digalakkan untuk menghantar kereta mereka bagi pemeriksaan keselamatan 30 mata percuma. Pemilik turut berpeluang mendapatkan harga istimewa untuk pakej perkhidmatan bagi pemeriksaan berjadual mereka di samping diskaun 30% ke atas semua barangan Proton sepanjang tempoh kempen ini diadakan.

    Penduduk Malaysia dengan kad pengenalan atau pasport dan lesen memandu yang sah layak mengambil bahagian bagi peraduan “Pandu Uji & Menang”. Peraduan ini akan dibahagikan kepada dua kriteria kelayakan. Pertama, pelanggan boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran PROTON di seluruh negara dan pandu uji mana-mana model Proton, isi borang pandu uji, jawab beberapa soalan mudah dan peserta akan berpeluang untuk memenangi hadiah mingguan. Bagi hadiah utama pula, pelanggan yang telah menempah kereta mereka semasa kempen ini dijalankan akan berpeluang untuk memenangi sebuah kereta Suprima S.

    Untuk maklumat lanjut mengenai kempen “It’s in the Drive”, peraduan “Pandu Uji & Menang” dan model Suprima S, kunjungi bilik pameran PROTON atau lawati www.proton.com.

     
     
  • Suzuki Ertiga berlogo Proton, 3 versi rendered

    Proton-Ertiga-facelift-01

    Setelah sahih Proton akan rebadged model Ertiga dari Suzuki, kami telah meminta Theophilus Chin untuk menghasilkan rekaan ‘rendering’ bagi “Proton Ertiga” ini. Pastinya model ini tidak akan digelar Ertiga, namun mungkin Proton akan memberikan sedikit sentuhan yang berlainan buat imej MPV ini. Jadi manalah tahu rekaan ini boleh dijadikan idea yang dijangkakan.

    Theo telah memberikan tiga set Ertiga dengan logo Proton – pertama berdasarkan Ertiga versi original yang diperkenalkan pada tahun 2012, keduanya mengikut versi facelift yang diperkenalkan sewaktu Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2015 pada Ogos 2015 dan ketiga pula versi model Ertiga Dreza, yang memiliki imej berbeza daripada model standard.

    Malah Theo turut menghasilkan rekaan bagi papan pemuka dengan logo Proton pada tengah roda stereng. Adakah Proton bakal mengekalkan rekaan yang ringkas atau pun tampil dengan ‘wajah Proton’?

    Suzuki Ertiga telah disahkan menjadi salah satu model yang bakal ditukar logonya (rebadged) ke Proton dengan kerjasama pengeluar kenderaan nasional tersebut dengan Suzuki. Menurut laporan berita dari Indonesia yang memetik kenyataan Suzuki Indomobil Sales (SIS) berkata Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016.

    SIS akan mengeksport sebanyak 1,500 unit Ertiga kepada Proton setiap bulan, iaitu menyamai 18,000 unit setahun, seganda daripada jumlah eksport Suzuki Indonesia sendiri iaitu dari Rp 2 trilion ke Rp 4 trilion. Produksi bagi kit komponen terurai untuk Malaysia ini akan dimulakan pada Mei ini di kilang SIS yang terletak di Cikarang. Proton turut mengumumkan model kerjasama Proton-Suzuki ini akan memasuki pasaran sebelum 2016 berakhir.

    Proton-Ertiga-Interior

    Pada masa ini, Suzuki mengeksport Ertiga dari Indonedia ke beberapa negara Asia termasuk Filipina, Thailand, Vietnam dan Brunei dalam versi CBU. Walau bagaimana pun, eksport ke empat pasaran berkenaan dianggarkan sebanyak 400 unit pada setiap bulan. Selain itu, Suzuki turut memproduksi Mazda VX-1 dan Ertiga (rebadged) untuk pasaran Indonesia.

    Suzuki Ertiga muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012, sebelum MPV tujuh tempat duduk itu diproduksi di Indonesia. Ia memiliki ukuran jarak roda 2,740 mm (Perodua Alza 2.750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 N,. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    GALERI : Suzuki Ertiga Facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan di Malaysia 2015 vs 2014 – siapa yang menang, siapa yang tewas tahun lalu

    Malaysia-TIV-2015-vs-2014

    Industri automotif Malaysia telah pun melalui cabaran yang getir pada tahun 2015. Ini termasuklah implementasi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kelemahan ringgit dalam pertukaran mata wang asing memberikan sumbangan pada faktor kelembapan tahun lalu. Walau bagaimana pun, data di atas menunjukkan yang kita masih berada pada tahap yang baik, dengan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tertinggi yang direkodkan.

    Seperti mana yang dilaporkan semalam, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan angka rasmi bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi 2015 yang ternyata sedikit tinggi iaitu 666,674 unit berbanding 666,487 unit pada tahun 2014.

    Tidak dinafikan, implementasi GST turut membuatkan sesetengah pembeli menangguh niat untuk membeli kenderaan baharu. Malah ada sesetengah jenama automotif juga terpaksa berhempas pulas untuk menawarkan diskaun dan promosi menarik bagi memastikan produk mereka terjual.

    Namun ada juga sesetengah jenama yang bernasib baik kerana dengan adanya perancangan yang penuh teliti, mereka mampu berkembang melebihi jangkaan, iaitu Mercedes-Benz Malaysia. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa jenama seperti Peugeot, Kia, Hyundai dan Mitsubishi mengalami penurunan jualan pada tahun lalu.

    Tahun lalu, menyaksikan kejayaan dua jenama kerana berjaya menduduki carta teratas bagi jualan kenderaan iaitu Perodua, dan Honda. Mengulangi sejarah kejayaan pada tahun 2014 (dengan 195,579 unit terjual), Axia dan Myvi menambahkan lagi kejayaan buat Perodua yang telah melonjakkan lagi rekod jualannya sehingga 9.1% (17,728 unit) pada tahun lalu.

    Begitu juga dengan Honda yang berjaya menduduki carta teratas bagi jenama bukan-nasional di negara ini dengan peningkatan jualan sebanyak 22.5% (17,407 unit) berbanding tahun 2014. Bukan suatu yang memeranjatkan kerana model HR-V, City dan Jazz begitu meledak di pasaran, sekali gus memberikan saingan yang cukup sengit kepada Toyota selaku pesaing paling rapatnya.

    Walau pun model Camry Hibrid dikecualikan cukai dan kemunculan model Camry yang dipertingkatkan, namun data menunjukkan rekod jualan Toyota sedikit menurun iaitu 8.1%, kurang daripada 8,275 unit berbanding tahun sebelumnya. Malah dengan rekod yang dicatatkan, meletakkan Toyota di belakang Honda dengan perbezaan sebanyak 1,142 unit iaitu 93,760 unit terjual pada tahun 2015.

    Mazda turut dilihat sebagai jenama yang turut memperoleh kejayaan pada tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 25.9% berbanding tahun sebelumnya. Ia merangkumi jualan sebanyak 14,325 unit pada tahun 2015, pastinya banyak disumbangkan dengan kehadiran Mazda 2 baharu dan model CX-5.

    Manakala jualan yang dicatatkan oleh Nissan turut meningkat sebanyak 1.9% (883 unit) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 47,235 unit. Model Nissan X-Trail dan Serena S-Hybrid antara penyumbang terbesar dalam rekod jualan Nissan ini.

    Tidak perlu diperkatakan lagi tentang kejayaan yang dicatatkan oleh Mercedes-Benz Malaysia kerana jenama ini telah mengungguli segmen kenderaan premium pada tahun lalu. Dengan rekod jualan sebanyak 11,034 unit pada tahun lalu, ia menyaksikan lonjakan yang begitu besar iaitu 54.7% berbanding prestasi pada tahun 2014. Manakala BMW pula berada di belakangnya dengan jualan keseluruhan sebanyak 7,515 unit pada 2015 (-3.8%), diikuti oleh Lexus dan Audi (yang jika dihitungkan kedua-duanya iaitu 2,101 + 1,592 = 3,693 unit) yang tidak mencapai setengah pun jualan daripada BMW.

    Malah tahun lalu turut menyaksikan prestasi yang begitu lemah berbanding tahun sebelumnya bagi model Volkswagen yang menyosot sebanyak 28.2%, hanya mampu terjual 6,405 unit pada tahun lalu, walau pun giat menawarkan pelbagai promosi jualan yang menarik.

    Perkara ini turut dirasai oleh Kia yang hanya mencatat jualan sebanyak 4,674 unit iaitu setengah daripada jumlah pada tahun sebelum ini. Manakala bagi Mitsubishi pula, walau pun model baharu Triton diperkenalkan, turut merosot sebanyak 22.7% iaitu hanya 10,992 unit yang terjual. Bagi Chevrolet dan Peugeot pula, jualannya merosot sebanyak masing-masing 46.9% dan 45.7%.

     
     
  • DBKL tawar diskaun saman sepanjang Feb ini

    Bernama-DBKL-saman

    Sempena dengan Hari Wilayah pada 1 Februari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan tawaran diskaun untuk semua saman kereta dan motosikal sepanjang Februari ini, laporan Malay Mail Online.

    DBKL berkata, saman yang dikenakan dari RM100 hingga RM300 akan dikurangkan ke kadar tetap RM50 dan RM30, bergantung pada saman asalnya.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz, inilah masa yang paling sesuai untuk menyelesaikan saman tertunggak. “Selepas ini, ia akan menjadi RM100 atau RM150, jadi selesaikannya sekarang,” ujarnya kepada pihak media semalam.

     
     
  • Proton bakal rebadge Suzuki Ertiga MPV – kit CKD didatangkan dari Indonesia, bermula Q2 2016

    GIIAS-Suzuki-Ertiga-Facelift-1_BM

    Suzuki Ertiga telah disahkan menjadi salah satu model yang bakal ditukar logonya (rebadged) ke Proton dengan kerjasama pengeluar kenderaan nasional tersebut dengan Suzuki. Menurut laporan berita dari Indonesia yang memetik kenyataan Suzuki Indomobil Sales (SIS) berkata Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016.

    “Ini merupakan hasil daripada kerjasama antara Suzuki dan Proton, di mana Osamu Suzuki (Presiden Suzuki Motor Corp, Jepun) umumkan tahun lalu,” ujar Timbalan Pengarah Urusan SIS, Davy Jeffry Tuilan memberitahu Kompas Otomotif semalam.

    Beliau menambah, SIS akan mengeksport sebanyak 1,500 unit Ertiga kepada Proton setiap bulan, iaitu menyamai 18,000 unit setahun, seganda daripada jumlah eksport Suzuki Indonesia sendiri iaitu dari Rp 2 trilion ke Rp 4 trilion. Produksi bagi kit komponen terurai untuk Malaysia ini akan dimulakan pada Mei ini di kilang SIS yang terletak di Cikarang. Proton turut mengumumkan model kerjasama Proton-Suzuki ini akan memasuki pasaran sebelum 2016 berakhir.

    GIIAS-Suzuki-Ertiga-Facelift-7_BM

    Pada masa ini, Suzuki mengeksport Ertiga dari Indonedia ke beberapa negara Asia termasuk Filipina, Thailand, Vietnam dan Brunei dalam versi CBU. Walau bagaimana pun, eksport ke empat pasaran berkenaan dianggarkan sebanyak 400 unit pada setiap bulan. Selain itu, Suzuki turut memproduksi Mazda VX-1 dan Ertiga (rebadged) untuk pasaran Indonesia.

    Suzuki Ertiga muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012, sebelum MPV tujuh tempat duduk itu diproduksi di Indonesia. Ia memiliki ukuran jarak roda 2,740 mm (Perodua Alza 2.750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 N,. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    Model Ertiga facelift telah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2015 pada Ogos 2015, dan pada Disember lalu, Suzuki telah memperkenalkan varian Ertiga Dreza dengan imej yang unik dan pertambahan elemen lain.

    GALERI : Suzuki Ertiga Facelift di GIIAS 2015

     
     
  • PLUS guna teknologi Turapan Anti-Gelincir di 10 laluan susur – kurangkan 50% risiko kemalangan sejak 2010

    PLUS_BM3

    Penggunaan teknologi Turapan Anti-Gelincir (Anti-Skid Pavement) di beberapa laluan susur di persimpangan bertingkat serta lain-lain lokasi di lebuh raya PLUS berjaya mengurangkan risiko kemalangan di kawasaan tersebut sebanyak 50%.

    Menurut CEO PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, teknologi ini telah diaplikasikan sejak tahun 2010 lalu dan sehingga kini 10 lokasi telah pun diaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Buat setakat ini, lokasi terbabit ialah persimpangan Rawang, persimpangan Bangi, persimpangan Kajang, persimpangan Bertam, persimpangan USJ KM9.0, persimpangan Seafield KM5.4 (Ramp B), persimpangan Seafield KM5.4 (arah selatan), persimpangan Shah Alam (Ramp D), persimpangan Ayer Hitam KM80.22 dan persimpangan Yong Peng KM94.50.

    “Ia diperkenalkan di laluan yang kritikal dan sejak digunakan, kami berjaya mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan-kawasan terbabit sebanyak 50%,” ujar Fuad.

    Menurut Fuad, penggunaan bahan Turapan Anti-Gelincir tersebut meningkatkan lagi kadar geseran di antara permukaan jalan dan tayar kenderaan. Kadar geseran yang tinggi memberikan lebih cengkaman dan seterusnya mampu mengelakkan kenderaan tergelincir apabila mengambil selekoh di laluan susur teruta,anya ketika hujan.

    Beliau berkata demikian dalam satu taklimat kepada wakil-wakil media di Persimpangan Bertingkat Kajang hari ini.

    “Sehingga kini PLUS telah membelanjakan kiri-kira RM5.5 juta untuk mengaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Berdasarkan kajian dan rekod kami, teknologi dari Jerman ini boleh diyakini dan akan terus membantu mengurangkan jumlah kemalangan di lokasi-lokasi tertentu,” ujar Fuad.

    Turapan Anti-Gelincir ini merupakan sejenis lapisan khas ‘sealant coating’ untuk memperkuatkan lagi cengkaman antara agregat (batu baur) di atas permukaan jalan. Fuad berkata, lebih tinggi Nilai Anti Gelinciran (SRV) bagi material ini, ia akan membuatkan permukaan jalan lebih kesat.

    Tambah Fuad lagi, “Walau pun lapisan khas ini kelihatan berkilat seolah-olah terdapat tumpahan minyak dan licin. namun sebenarnya ia membantu menguatkan lagi kadar cengkaman dan mampu mengelakkan kenderaan tergelincir ketika melalui selekoh.”

    Ketika ditanya media, adakah turapan ini akan kekal, Fuad menjawab, “Setiap lima tahun kami perlu menurapnya semula, ini kerana percikan air mampu mengurangkan kesan geseran. Malah kami akan memantaunya dari masa ke masa bagi memastikan turapan ini berfungsi dengan baik. Jika terdapat rekahan pada bahagian turapan, biasanya kami akan menggunakan serbuk kayu untuk menutupinya terlebih dahulu sebelum menurapnya semula dengan teknologi ini.”

    Fuad turut berkata, teknologi ini juga mungkin akan diperluaskan di beberapa lokasi lain jika diperlukan. Tetapi PLUS juga mungkin akan menggunakan teknologi lain selain Turapan Anti-Gelincir ini. “Kena ikut kesesuaian keadaan, mungkin teknologi atau material lain akan digunakan,” ujarnya.

    Teknologi Turapan Anti-Gelincir ini turut digunakan secara meluas di Jerman, Jepun, Korea, Australia, Switzerland dan beberapa negara lain. Selain lebuh raya, ia turut digunakan pada permukaan jambatan dan landasan kapal terbang.

    Walau bagaimana pun, Fuad turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya amalkan pemanduan berhemah dan mengikut had kelajuan yang ditetapkan, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

     
     
  • Proton mampu akses pasaran secara lebih luas dengan TPPA, sekatan yang minimum – PEDA

    Proton_Iriz_002_BM

    Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang bakal ditandatangani oleh Malaysia tidak lama lagi turut memberikan keyakinan kepada Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA). TPPA yang turut disertai 12 negara dikatakan mampu menyediakan akses pasaran yang lebih luas untuk Proton.

    Menurut Presiden PEDA, Armin Baniaz Pahamin, jawatankuasa PEDA secara sebulat suara menyokong TPPA memandangkan kenderaan Proton boleh menembusi negara peserta secara bebas dengan sekatan yang minimum, laporan Bernama.

    “Pasaran tempatan sebenarnya akan mendapat manfaat melalui penetapan harga yang lebih kompetitif hasil daripada ekonomi bidangan yang dicapai,” katanya.

    Beliau berkata, tanpa TPPA, Proton akan berdepan sekatan import yang ketat ke atas kenderaanya.

    Ujarnya lagi, “Kami yakin TPPA akan meliberalkan sekatan ini dan ia akan menjadikan lebih mudah untuk mengekport kereta kita ke negara anggota berkenaan begitu juga bagi syarikat asing memasuki Malaysia.” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024