Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bajet 2024 bakal dibentangkan oleh PMX merangkap Menteri Kewangan pada 13 Oktober ini jam 4 petang

    Bajet 2024 bakal dibentangkan oleh PMX merangkap Menteri Kewangan pada 13 Oktober ini jam 4 petang

    Bajet 2024 bakal dibentangkan pada Jumaat, 13 Oktober jam 4 petang oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) yang juga mrangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seperti edisi bajet sebelum ini, kami akan berkongsi pembentangan beliau bagi perkara yang berkaitan dengan automotif dan sektor pengangkutan.

    Kalau mengikut pembentangan Bajet 2023, yang asalnya dibentangkan kerajaan terdahulu, yang kemudiannya dikemaskinikan oleh PMX, ia membawakan isu mengenai lanjutan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan sehingga 31 Disember 2027, atau pun dua tahun dilanjutkan dari rancangan asal iaitu 31 Disember 2025.

    Turut dibentangkan ialah pengecualian cukai import bagi komponen yang digunakan dalam pemasangan tempatan EV di Malaysia, yang turut dilanjutkan ke dua tahun iaitu sehingga 31 Disember 2027 berbanding perancangan asalnya iaitu hujung 2025.

    Turut diteruskan mengikut Bajet 2023 ialah pengecualian cukai pendapatan 100% untuk tahun penilaian dari 2023 hingga 2032, untuk pengeluar kelengkapan pengecas EV. Di mana para pengeluar juga akan ditawarkan Elaun Cukai Pelaburan 100% untuk tempoh lima tahun.

    Bajet 2023 juga mengumumkan kerajaan menyerap kos ujian lesen B2 motosikal, PSV bas dan e-hailing, pas langganan pengangkutan awam My50, projek rangkaian jalan raya, , tarif elektrik yang dikekalkan (tiada kos tambahan untuk pengecasan EV di rumah), infrastruktur lampu jalan, pengurangan kos pembinaan MRT3 dan naik taraf lapangan terbang.

     
     
  • Mazda 6 2023 kini di Malaysia – RM180k-RM241k, sedan & wagon Touring, 20th Anniversary Edition

    Mazda 6 2023 kini di Malaysia – RM180k-RM241k, sedan & wagon Touring, 20th Anniversary Edition

    Walaupun pasaran sedan segmen-D Jepun agak ‘sendu’ ditelah populariti SUV, Bermaz Motor masih lagi menawarkan Mazda 6 dalam barisan model Mazda di Malaysia, dan hari ini syarikat tersebut mengumumkan bahawa versi kemaskini Mazda 6 2023 sudahpun mula dijual dan boleh ditempah.

    Mazda 6 yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini ditawarkan bukan sahaja hanya dalam badan sedan, malah ia turut hadir dengan badan wagon Touring, serta datang dengan dua pilihan enjin di mana kesemua konfigurasi ini diatur dalam tiga varian.

    Bagi model asas, Bermaz menawarkan Mazda 6 2.0L dalam badan sedan yang dijual pada harga bermula RM180,359.00. Manakala untuk varian pertengahan, ia hanya hadir dalam versi wagon iaitu Mazda 6 2.5L Touring yang dijual pada harga RM230,848.00. Dan varian tertinggi untuk pasaran Malaysia adalah sebuah sedan versi edisi istimewa iaitu Mazda 6 2.5L High Plus “20th Anniversay Edition” dijual pada harga RM240,848.

    Mazda 6 2023 kini di Malaysia – RM180k-RM241k, sedan & wagon Touring, 20th Anniversary Edition

    Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian diberikan perlindungan waranti pengeluar serta servis penyelenggaraan percuma (termasuk kos upah, alat ganti dan minyak pelincir) selama lima-tahun atau 100,000 km yang mana sampai dahulu.

    Model kemaskini ini masih menampilkan rupa luaran dan dalaman yang sama seperti sebelum ini, namun model varian tertinggi dengan lencana 20th Anniversay Edition yang diberikan beberapa perincian istimewa sempena meraikan ulangtahun ke-20 sedan ini selepas model generasi pertamanya diperkenalkan pada tahun 2002.

    Bagi model asas Mazda 6 2.0L Sedan, ia menerima kelengkapan standard seperti lampu hadapan automatik LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kombinasi belakang LED, gril hadapan kemasan hitam berkilat, dan rim aloi 17-inci dengan tayar 225/55R17.

    Mazda 6 2.0L Sedan (atas) dan Mazda 6 2.5L Touring (bawah)

    Untuk Mazda 6 2.5L Touring pula, ia menerima rim aloi lebih besar iaitu 19-inci dalam kemasan hitam berkilat dengan tayar 225/45R19. Dan sebagai model wagon, ia juga datang standard dengan rel bumbung, spoiler bumbung dan juga pengelap cermin belakang.

    Manakala bagi model Mazda 6 2.5L High Plus 20th Anniversay Edition, ia datang dengan gril hadapan dalam kemasan Gunmetal dan juga lencana “20th Anniversary” pada kedua-dua fender hadapan. Model ini masih diberikan rim aloi 19-inci, tetapi ia tampil dalam kemasan Bright Metallic.

    Untuk bahagian kabin pula, semua varian Mazda 6 2023 diberikan perincian standard seperti roda stereng dan tombol gear balutan kulit, penegcas telefon pintar tanpa wayar Qi, sistem penghawa dingin dua-zon dengan liang kabin belakang dan tempat duduk hadapan larasan elektrik (10-hala dengan slot memori untuk pemandu, 6-hala untuk penumpang).

    Mazda 6 2023 kini di Malaysia – RM180k-RM241k, sedan & wagon Touring, 20th Anniversary Edition

    Bagi sistem infotainmen, semua varian juga dilengkapi dengan skrin sesentuh kapasitif berdiri sendiri lapan-inci dengan hubungan Apple CarPlay tanpa wayar. Bagi model 2.0L sedan, skrin tersebut dihubungkan kepada sistem bunyi standard dengan enam-pembesar suara.

    Manakala model 2.5L Touring dan High Plus 20th Anniversay Edition, ia dipadankan dengan sistem bunyi Bose menampilkan 11-pembesar suara serta fungsi paparan kamera pemantau 360 darjah pada skrin.

    Ketiga-tiga varian Mazda 6 ini menerima upholsteri kulit, tetapi ia dibezakan dengan kemasan dimana model asas diberikan kulit berwarna hitam, model wagon dengan kulit kemasan Burgundy, sementara model isitimewa 2.5L High Plus pula datang dengan kulit berwarna Tan yang nampak lebih mewah dan lengkap dengan logo “20th Anniversay Edition” yang dicop pada perehat kepala tempat duduk hadapan.

    Paparan head-up berwarna dan juga bumbung suria hanya diberikan pada dua varian tertinggi dengan enjin 2.5L, sementara model sedan 2.0L dan wagon 2.5L Touring menerima paparan pelbagai info dengan skrin 4.6-inci pada panel instrumen dan juga cermin pandang belakang auto-malap.

    Istimewa untuk model 2.5L High Plus 20th Anniversay Edition pula, ia diberikan paparan instrumen diigital dengan skrin TFT berwarna 7-inci, tempat duduk hadapan dengan liang udara, cermin pandang belakang auto-malap tanpa kerangka, kesemua lampu kabin menggunakan LED dan pelindung matahari untuk cermin tingkap belakang.

    Juga tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa. Model dengan asas hadir dengan enjin SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder NA berkuasa 162 HP pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Dua varian tertinggi pula menerima enjin SkyActiv-G 2.5 liter yang menghasilkan 192 HP pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 258 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Kesemua varian Mazda 6 ini menerima kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive dengan mod manual bagi menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Model dengan enjin 2.0L berupaya mencapai kelajuan maksima 205 km/j, manakala varian dengan enjin 2.5L menampilkan kelajuan maksima berbeza dimana versi sedan mampu mencapai 223 km/j dan wagon hanya 218 km/j.

    Sistem start/stop enjin pada kelajuan melahu serta sistem bantuan kestabilan ketika mengambil selekoh Mazda G-Vectoring Control Plus juga adalah standard untuk kesemua varian Mazda 6 2023 pasaran Malaysia ini.

    Mazda memberikan fungsi keselamatan asas yang sama untuk semua varian Mazda 6, dengan perincian seperti enam-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, bantuan mula mendaki, brek parkir elektrik dengan auto-hold, sistem kestabilan elektronik dan kawalan traction, isyarat berenti kecemasan, cagak isofix pada tempat duduk belakang dan pelbagai lagi.

    Namun hanya model dengan enjin 2.5L diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) i-Activsense. Sistem berkenaan menampilkan fungsi seperti sistem brek kecemasan automatik (SBS) untuk hadapan dan belakang, Mazda Radar Cruise Control (MRCC) bersama sistem Stop & Go dan Cruising & Traffic Support (CTS) dan pelbagai lagi.

    Mazda 6 2023 kini di Malaysia – RM180k-RM241k, sedan & wagon Touring, 20th Anniversary Edition

    Mazda 6 2023 ini terus ditawarkan dalam warna Arctic White, Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Gray, Sonic Silver, Soul Red Crystal dan Polymetal Gray seperti sebelum ini. Ia juga boleh dipilih dalam tiga warna baharu iaitu Platinum Quartz dan Rhodium White Premium, sementara model 20th Anniversay Edition turut ditawarkan dalam warna istimewa Artisan Red Premium.

    Menurut Mazda, warna Artisan Red Premium tersebut dihasilkan menerusi teknologi cat unik Takuminuri (warna artisan) yang dibangunkan sendiri. Ia dihasilkan menerusi teknologi yang menghasilkan kemasan akhir cat yang jitu, berkualiti tinggi dan disembur dengan tangan oleh pekerja berkemahiran.

    “Gabungan warna, sorotan, lorek dan kedalaman, lebih menyerlahkan kecantikan dan kualiti bentuk badan yang dinamik yang ditunjukkan dalam ketiga-tiga lapisan ini. Artisan Red Premium menyerlahkan kekuatan dan kecantikan yang menggambarkan merah telus berbutir halus yang bersinar terang dengan rona dominan menghasilkan kedalaman yang kaya dan memberikan kontras yang tinggi,” kata Mazda dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Jika anda mahu melihat Mazda 6 20th Anniversary Edition ini dengan lebih dekat, ia kini sedang dipamerkan di Bermaz Auto Showcase yang berlangsung bermula hari ini sehingga 15 Oktober 2023 di Oval Concourse, 1 Utama Shopping Centre. Ia dibuka bermula 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

    GALERI: Mazda 6 20th Anniversary Edition 2023

    GALERI: Gambar rasmi Mazda 6 2023

     
     
  • Dua lorong di Lebuhraya PLUS di Pulau Pinang bakal ditutup pada 15 Okt 2023 hingga 31 Mac 2024

    Dua lorong di Lebuhraya PLUS di Pulau Pinang bakal ditutup pada 15 Okt 2023 hingga 31 Mac 2024

    Klik untuk besarkan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan lorong kanan di Line N (CH 0.6 – CH 1.4) dan Line M (CH 0.9 – CH 1.9) bagi kedua-dua hala di Lebuhraya Utara-Selatan bakal ditutup mulai 15 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan di persimpangan Bayan Lepas – Georgetown oleh IJM Corporation Berhad.

    “Justeru, pengguna lebuh raya bagi laluan tersebut dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka susulan penutupan lorong sepanjang tempoh tersebut.

    “Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit yang dikeluarkan oleh pihak IJM,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Mazda 3 IPM 2023 kini di Malaysia — tiada lagi enjin 1.5L; skrin 10.25-inci, Bose, USB-C; dari RM156k

    Mazda 3 IPM 2023 kini di Malaysia — tiada lagi enjin 1.5L; skrin 10.25-inci, Bose, USB-C; dari RM156k

    Bermaz Motor telah mengumumkan pengenalan Mazda 3 dengan kemaskini untuk tahun 2023, yang datang dengan senarai kelengkapan yang dipertingkat dan pilihan varian yang dikurangkan. Masih ada versi sedan dan hatchback, dan semuanya dibawa dari Jepun (CBU).

    Kini ada empat varian ditawarkan, termasuk High dan High Plus untuk sedan. Untuk hatchback pula, pilihan yang ada ialah High Plus dan Ignite Edition. Harga juga ada kenaikan sedikit seperti yang disenaraikan ini (atas jalan tidak termasuk insurans):

    • 2023 Mazda 3 2.0L High Sedan – RM156,059 (+RM5,000)
    • 2023 Mazda 3 2.0L High Plus Sedan/Hatchback – RM166,059 (+RM5,000)
    • 2023 Mazda 3 2.0L Ignite Edition Hatchback – RM175,059 (+RM5,000)

    Mazda 3 IPM 2023 kini di Malaysia — tiada lagi enjin 1.5L; skrin 10.25-inci, Bose, USB-C; dari RM156k

    Varian yang digugurkan ialah Mid, yang sebelum ini ditawarkan untuk kedua-dua bentuk badan tersebut. Maka, kini tiada lagi Mazda 3 dengan enjin 1.5L, kerana satu-satunya varian yang menawarkan itu telah digugurkan. Kini, enjin yang ada untuk Mazda 3 hanyalah Skyactiv-G 2.0 liter NA empat-silinder sebaris yang menjana sebanyak 162 hp pada 6,000rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi Skyactiv-Drive enam-kelajuan automatik dengan Shift Mode manual — untuk semua varian.

    Beza antara sedan dan hatchback ini, walaupun hadir dengan sistem janaan yang sama ialah sedan datang dengan laju maksimum yang lebih tinggi (216 km/j berbanding 210 km/j untuk hatchback) dan kadar penggunaan minyak yang sedikit lebih baik (6.2L/100 km berbanding 6.3L/100 km). Sistem ini juga datang dengan teknologi Start/Stop dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).

    Memandangkan ini model IPM (kod dalaman untuk model tahun yang diberi kemaskini), rekaannya sebahagian besar kekal sama. Bahagian yang diberikan kemaskini adalah seperti berikut:

    • USB-C menggantikan USB-A (semua varian)
    • Paparan infotainmen 10.25-inci (semua varian)
    • Pengecas tanpa wayar Qi ditambah (dari High Plus ke atas)
    • Apple CarPlay tanpa wayar ditambah (High Plus ke atas)
    • Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi Start/Stop (High Plus ke atas)
    • Cruising & Traffic Support (CTS) ditambah (High Plus ke atas; sudah ada pada Ignite Edition tahun lalu)
    • Sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara (Ignite Edition sahaja)

    Mazda 3 IPM 2023 kini di Malaysia — tiada lagi enjin 1.5L; skrin 10.25-inci, Bose, USB-C; dari RM156k

    Kelengkapan bagi varian pula, 2.0L High Sedan datang dengan rim aloi 16-inci (dengan tayar 205/60), lampu utama LED automatik, DRL bulb, lampu belakang LED, sensor pengilap cermin, sistem tanpa kunci dan penghidup enjin, empat sensor parkir di belakang, brek parkir elektronik (dengan auto hold), paparan kluster instrumen tujuh-inci, head-up display, kawalan pendingin dua-zon (dengan corong belakang), kerusi pemandu dengan larasan 10-arah dan fungsi memori serta balutan kulit hitam.

    Ada juga skrin 10-25-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple Carplay dengan wayar serta sistem audio lapan-pembesar suara. Tujuh beg udara adalah ciri standard, sama seperti kamera undur dan sistem pasif yang lain termasuk ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman, lampu isyarat berhenti kecemasan, bantuan mula mendaki, kunci pintu automatik (dengan fungsi Walk-Away), Isofix dan pengingat tali keledar.

    Varian High Plus pula menerima tambahan seperti pencahayaan khusus untuk lampu depan dan belakang, DRL LED, rim 18-inci aloi (tayar 215/45), empat sensor parkir, sokongan Apple Carplay tanpa wayar dan pengecas tanpa wayar. Varian ini juga datang dengan ciri Mazda i-Activsense, yang terdiri dariada ciri Adaptive Front-lighting System (AFS), High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Front Cross Traffic Alert (FCTA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keep Assist System (LAS), Driver Attention Alert (DAA), Smart Brake Support (SBS – depan dan belakang), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dan Cruising & Traffic Support (CTS).

    Bagi Ignite Edition, ia menerima rim 18-inci dan cermin sisi hitam, kamera 360-darjah, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, balutan kulir burgundy dan peninjau pemandu bagi sistem DAA. Jaminan lima-tahun, atau 100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma diberikan dengan pembelian Mazda 3 ini. Tujuh warna diberi sebagai pilihan: Soul Red Crystal, Machine Grey, Polymetal Grey, Platinum Quartz, Deep Crystal Blue, Jet Black dan Snowflake White Pearl.

    Mazda 3 IPM 2023

     
     
  • BYD buka pusat terbaru 3S di Alor Star, 1S di Kuching

    BYD buka pusat terbaru 3S di Alor Star, 1S di Kuching

    BYD Malaysia memperluaskan lagi rangkaian perniagaannya dengan pembukaan dua lagi cawangan di negara ini, menjadikannya 12 bilik pameran setakat ini, dan akan membuka lebih banyak lagi.

    Satu daripadanya ialah pusat 3S di Alor Setar, Kedah. Dikendalikan oleh Hong Thai Motor Trading, kemudahan terbaru ini mempunyai lima ruang servis dan diselenggarakan oleh tiga pegawa khidmat pelanggan yang bertauliah.

    Terletak di Kawasan Perusahaan Mergong II, pusat 3S ini dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang. Untuk tujuan servis, waktu operasinya adalah dari 8 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Sabtu.

    “Kami sangat teruja untuk melihat lebih banyak bilik pameran di seluruh Malaysia. Kami berharap melalui perluasan rangkaian ini, semua orang di Malaysia lebih mudah untuk mencuba teknologi EV BYD, serta menerima layanan lepas jualan dan servis yang berkualiti,” ujar Pengarah Urusan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors (SDM) Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau. SDM merupakan rakan niaga tempatan BYD.

    BYD buka pusat terbaru 3S di Alor Star, 1S di Kuching

    Selain itu, di Sarawak pula, Regas EV Auto baru-baru ini juga turut membuka bilik pameran berkonsepkan pusat beli-belah di City One Megamall, Kuching. Terletak di tingkat bawah dengan keluasan 3,000 kaki persegi, bilik pameran 1S itu mempamerkan Atto 3 dan Dolphin untuk umum. Waktu operasinya mengikut waktu beli-belah berkenaan, dari 10 pagi hingga 10 malam. Untuk urusan lepas jualan, ada sebuah pusat servis terletak di seberang jalan di sepanjang Jalan Tun Jugah.

    “Dengan pembukaan bilik pameran di Kuching, yang pertama di Malaysia Timur ini, kami semakin hampir untuk mencapai matlamat untuk menjadikan produk dan teknologi kami mudah diakses oleh semua. Melalui teknologi pelopor dalam industri EV, kami mensasarkan untuk memberi definisi baru terhadap pengangkutan di rantau ini, mengurangkan emisi dan mempergiat pemapanan. Kami alu-alukan warga di Malaysia Timur ini untuk mengalami sendiri produk BYD,” ujar Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.

     
     
  • UMW Toyota jual 9,228 unit pada September 2023

    UMW Toyota jual 9,228 unit pada September 2023

    UMW Toyota Motor (UMWT) menjual sebanyak 9,228 unit kenderaan sepanjang September 2023, termasuk 208 unit kenderaan Lexus. Dengan ini, jumlah jualan semasa tahun ini (YTD) syarikat itu berada pada 76,511 unit. Ini berbanding dengan sejumlah 70,872 unit yang dicapai bagi tempoh sama tahun lalu, melibatkan peningkatan sebanyak 8%.

    Bulan lalu, UMWT memperkenalkan Yaris ‘IMP’ yang dipertingkatkan dengan ciri baru antaranya seperti head unit dengan skrin sentuh 9-inci dan pengecas tanpa wayar. Ditawarkan untuk varian E dan G, hatchback 1.5L dalam segmen B itu telah menyaksikan jualan sebanyak 60,300 unit sejak model generasi tersebut diperkenalkan pada 2019 — disasarkan untuk pembeli dari Generasi Z, dengan harga jualan bermula dari RM88,000.

    Syarikat itu juga baru saja memperkenalkan aplikasi Toyota MY yang menggabungkan ciri dari aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven di dalam satu aplikasi terbaru ini. Kini, pemilik boleh memeriksa maklumat kenderaan, membuat temujanji servis, meminta bantuan tepi jalan 24Seven dan mencari cawangan Toyota terdekat dari satu sumber yang sama. Aplikasi ini boleh dimuat turun dari App Store untuk iOS atau Google Play untuk Android.

     
     
  • Kicks on Wheels : intepretasi kasut sukan terhadap kereta dari Remus, pemilik Motorsport Playground

    Kicks on Wheels : intepretasi kasut sukan terhadap kereta dari Remus, pemilik Motorsport Playground

    Motorsport Playground merupakan nama yang tidak asing dalam dunia sukan permotoran tempatan. Syarikat yang bertapak di Bandar Sunway, Petaling Jaya berkenaan telah menghasilkan grafik badan bukan sahaja untuk kereta-kereta lumba tempatan, malah pemiliknya, Remus “Supremus” Chang telah menjelajah ke seluruh dunia bagi menyediakan livery perlumbaan pelbagai kereta-kereta lumba GT, termasuk yang berlumba di Le Mans 24 Jam.

    Malah Remus turut pernah membalut badan kereta-kereta peribadi milik personaliti terkenal antarabangsa seperti superstar Hong Kong Jackie Chan dan Aaron Kwok, dan juga pelumba-pelumba terkenal termasuk pemandu F1 Jarno Trulli dan Carlos Sainz Jr.

    Namun ketika pandemik Covid-19 melanda, sama seperti kita semua, Remus tidak boleh ke mana-mana. Ketika ‘mati kutu’ duduk di rumah, satu idea tercetus untuk menggabungkan minatnya terhadap seni ke atas badan kereta dan juga sebagai penggila kasut sukan (sneakers). Dan hasilnya telah didedahkan ketika berlangsungnya acara Sneakerlah 2023 di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 7 dan 8 Oktober lalu.

    Ini dia pameran Kicks on Wheels, di mana karya yang dicetuskan ketika pandemik berkenaan didedahkan kepada orang awam. Dalam pameran ini Remus mempamerkan lima buah kereta dengan grafik badan seakan kasut. Beberapa lukisan kanvas kereta juga dengan inspirasi rekaan kasut yang dihasilkan Remus sendiri turut dibuka untuk dijual menerusi pameran ini.

    Lima buah kereta yang dipamerkan tersebut adalah Toyota GR Yaris, Renault Megane RS 250, Porsche 911 generasi 964, Porsche 911 Turbo generasi 997 dan juga Mitsubishi Lancer Evo VIII. Kesemua kereta-kereta ini menerima tema grafik berdasarkan kasut-kasut tertentu.

    Toyota GR Yaris Nike Air Jordan 1

    Untuk Toyota GR Yaris, ia terlebih dahulu menerima ‘kacukan’ kit badan dari beberapa jenama terkenal seperti spoiler belakang, bampar belakang dan splitter udara sisi hadapan dari Tom’s (siri Type TK), spoiler bawah bampar hadapan dan skirt sisi dari GR Parts, dan juga kit fender lebih lebar dari Varis.

    Selepas itu ia menerima grafik badan merah-putih-hitam yang menyerupai kasut Nike Air Jordan 1. Grafik tersebut termasuk logo Nike besar pada kedua-dua sisi, logo Air Jordan pada tiang-C dan juga corak dot pada penutup bonet enjin yang menyerupai lubang-lubang liang pada bahagian hadapan kasut sebenar.

    Penampilan GR Yaris Nike Air Jordan 1 ini dilengkapkan dengan pemadanan rim Advan GT berwarna hitam dan dibalut dengan tayar Nankang Sportnex CR-S.

    Renault Megane RS250 Cup Asics Gel Lyte III Teh Tarik

    Asas projek ini bukannya Megane RS250 biasa, sebaliknya Remus menggunakan Renault Megane RS250 Cup Special Edition yang dihasilkan hanya 10 unit. Jadi tema kasut yang diadaptasi pada Megane ini juga bukan biasa-biasa kerana ia dijelmakan sebagai kasut istimewa Asics Gel Lyte III Teh Tarik.

    Segala jahitan, liang, tulisan serta warna teh tarik yang sama pada kasut berkenaan dipindahkan ke badan Megane ini. Dan yang paling menarik, ia turut menerima jalur Asics yang timbul pada sebelah sisi kanan dan juga tab tarik yang dilekat pada bahagian hampir dengan spoiler bumbung seperti Asics Gel Lyte III Teh Tarik sebenar.

    Dan pada bahagian bumbung, ia menampilkan logo Asics bersama gegelung “lebihan teh tarik dari gelas” seperti yang lazimnya tertinggal di meja-meja restoran mamak di Malaysia.

    Porsche 911 Turbo 997 Puma Clyde

    Dari segi grafik, 911 Turbo 997 ini menampilkan grafik yang ringkas kerana ia diasaskan dari rekabentuk sneaker klasik Puma iaitu Puma Clyde.

    Jadi ia hanya menampilkan jalur sisi ikonik kasut sukan Puma berwarna kuning, dan ia ditambah dengan jalur tengah dari penutup but hadapan hingga ke bumbung.

    Dan sebagai pengasas kepada 911 Rebels, Remus memadan rak bumbung pada 911 Puma ini yang lengkap bersama basikal BMX Kuwahara di atasnya.

    Porsche 911 RWB 964 Jordan 5 Retro Supreme Desert Camo

    Tengok kit badan sahaja sudah tahu bahawa Porsche 911 964 ini bukan biasa-biasa, dan ia adalah unit sebenar yang mendapat sentuhan pemilik Rauh-Welt Begriff (RWB), Akira Nakai dari Jepun.

    Mungkin dengan rupa yang begitu sarat dengan fender yang lebar, spoiler gergasi di belakang dan juga dua pengecas turbo yang sengaja didedahkan, Remus memberikan rupa seakan kasut Jordan 5 Retro Supreme Desert Camo pada Porsche RWB ini.

    Sama seperti kasut yang diinspirasikan, badan 911 ini turut menerima komoflaj padang pasir. Peincian lain seperti nombor 94 pada bahagian sisi, serta tapak dengan warna hitam-kelabu-merah turut diadaptasikan dari kasut ke kereta berkenaan.

    Mitsubishi Lancer Evo VIII Selipar Tat Sing

    Selipar Tat Sing merupakan selipar yang digeruni dalam permainan “baling selipar” ketika zaman kanak-kanak penulis dulu. Selipar ini mempunyai berat yang baik membolehkan ia dibaling tepat pada sasaran. Dan yang paling sadis, dengan ketumpatan getah yang padu pada selipar ini, ia memberikan kesan kesakitan yang juga padu sekiranya balingan pihak lawan terkena pada mana-mana bahagian badan kita.

    Sehinggakan ada kumpulan yang mengharamkan terus penggunaan selipar Tat Sing ini untuk permainan baling selipar kerana kesan sampingan yang bakal diterima jika menggunakannya. Jadi nampaknya memang kena betul imej jahat selipar Tat Sing ini diterapkan pada sebuah Lancer Evo!

    Evo seperti yang kita ketahui merupakan jentera yang lahir dari Kejohanan Rali Dunia (WRC). Dengan enjin turbo dan sistem pacuan semua roda, Evo boleh dikatakan sentiasa laju dan lincah tak kira di atas permukaan jalan apa sekalipun.

    Bagi Lancer Evo VIII Selipar Tat Sing ini, ia diberikan warna badan putih sama seperti selipar legenda berkenaan. Ia kemudiannya diberikan grafik seperti getah pemegang kaki berwarna biru bermula pada bahagian atas logo tiga berlian di hadapan dan terus ke bahagian sisi pintu.

    Spoiler hadapan, skirt sisi dan diffuser belakang yang diperbuat dari gentian karbon dibiarkan hitam tanpa cat bersama grafik bucu segi tiga diatasnya seakan bahagian tapak sebenar selipar Tat Sing.

    Dari kelima-lima kereta yang diinspirasikan dari kasut (dan selipar) ini, mana satu anda rasa paling menarik? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di media sosial kami.

     
     
  • Tesla Supercharger di Sunway Pyramid, empat unit

    Tesla Supercharger di Sunway Pyramid, empat unit

    Selepas pembukaan stesen Tesla Supercharger di Iskandar Puteri, Johor, kini tambahan terbaru siap dipasang di Sunway Pyramid. Ia terdiri daripada empat pengecas dan terletak di pintu masuk utama pusat beli-belah tersebut.

    Kelihatan masih ditutup untuk pengguna, Tesla Supercharger di Sunway Pyramid ini akan dibuka untuk operasi rasmi dalam masa terdekat, seperti yang tertera di papan tanda yang diletakkan di lokasi. Sama seperti Tesla Supercharger yang lain, ia nanti terhad untuk kegunaan kenderaan Tesla sahaja — juga ditandai dengan jelas di setiap ruang yang tersedia itu.

    Harga bayaran yang akan dikenakan untuk Tesla Supercharger V3 di Sunway Pyramid ini belum didedahkan. Bagaimanapun, kadar yang dikenakan di Iskandar Puteri ialah RM1.25 bagi setiap kWh, yang merupakan kadar sama dengan di Pavilion KL. Dua lokasi tersebut juga mengenakan yuran denda RM4 seminit jika kenderaan dibiar di ruang berkenaan selepas selesai pengecasan.

    Tesla Supercharger di Sunway Pyramid, empat unit

    Sebelum ini juga kelihatan ada barisan Tesla Destination Charger di tingkat B1 tempat letak kereta yang akan menampung keperluan Tesla Experience Centre yang akan dibuka di Pavilion Damansara Heights yang juga baru dibuka.

    Versi V3 bagi Tesla Supercharger menyediakan output pengecasan sehingga 250 kW, yang membolehkan model seperti Tesla Model Y Performance menerima jarak sehingga 270 km hanya dengan 15 minit pengecasan.

    Minggu lalu juga Tesla Malaysia telah melancarkan ibu pejabatnya di Cyberjaya, yang turut menempatkan lapan stesen Supercharger dan 12 pengecas Wall COnnector, walaupun ia hanya untuk kegunaan dalaman sahaja.

     
     
  • Rapid KL lanjutkan percubaan laluan bas 451 bagi Kajang-Bangi-Putrajaya sehingga 31 Disember 2023

    Rapid KL lanjutkan percubaan laluan bas 451 bagi Kajang-Bangi-Putrajaya sehingga 31 Disember 2023

    Rapid KL telah mengumumkan percubaan laluan bas 451 bagi Kajang-Bangi-Putrajaya dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023. Percubaan laluan bas 451 itu telah pun bermula sejak 3 Julai lalu dan sepatutnya berakhir pada 30 September. Laluan dengan hentian terhad itu adalah dari Kajang dan Bangi menuju ke Putrajaya, dengan kadar tambang hanya RM1 bagi perjalanan sehala.

    Laluan ini seperti perkhidmatan bas Skip Stop Xpress yang menghubungkan LRT Ampang ke Ampang Park dan KLCC, di mana laluan tersebut kini dikekalkan. Bas 451 bergerak dari MRT Kajang ke Putrajaya Sentral pada waktu pagi dengan empat waktu ketibaan – 6.30, 7.00, 7.30, 8.00 – dan kembali ke Kajang dari Putrajaya pada waktu petang, juga dengan empat ketibaan – 4.30, 5.00, 5.30, 6.00.

    Laluan dari MRT Kajang akan berhenti di Hentian Kajang, Kompleks PKNS Bangi, Kompleks Parcel E (Barat), Kompleks Kerajaan Parcel D, Kementerian Kewangan, Istana Kehakiman (Utara) dan Kementerian Belia & Sukan sebelum sampai di Putrajaya Sentral.

    Klik untuk besarkan

    Selepas bergerak dari Putrajaya Sentral, pada waktu petang, bas berkenaan akan berhenti di Kementerian Pertanian, Perbadanan Putrajaya (Utara), Perbendaharaan 2 (Utara), Kompleks Parcel E (Barat), Kompleks Kerajaan Parcel D, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi dan Hentian Kajang sebelum berakhir di MRT Kajang.

    Laluan dengan hentian terhad ini akan membawa penumpang dari Kajang dan Bangi terus ke Putrajaya, dan disasarkan untuk pekerja sektor kerajaan yang tidak menetap di kota pentadbiran itu. Tambang bagi setiap perjalanan hanya RM1, bermakna kos pengangkutan sekitar RM2 sehari, tetapi sebelum mengambil kira kos ke perhentian bas. Ia sangat menjimatkan jika laluan itu sesuai dengan perjalanan anda. Lanjutan percubaan laluan ini mungkin dibuat berdasarkan penerimaan yang baik di kalangan pengguna perkhidmatan bas tersebut.

     
     
  • Iklan Nissan Navara Malaysia tampil Torreto palsu, babak perlumbaan Fairlady 280Z vs Toyota Celica

    Iklan Nissan Navara Malaysia tampil Torreto palsu, babak perlumbaan Fairlady 280Z vs Toyota Celica

    Nissan Malaysia baru sahaja menyiarkan iklan baharu untuk trak pikap Nissan Navara, yang menunjukkan kelebihan sistem bantuan pemanduan yang ada pada trak pikap berkenaan iaitu sistem amaran titik buta dan juga amaran ramalan pelanggaran.

    Apa yang menarik, iklan ini dihasilkan dengan tema seakan filem The Fast & Furious dan turut menampilkan watak Dominic Toretto palsu. Ia bermula dengan babak dua buah kereta lama sedang berlumba – bukan dari jenis American Muscle, sebalik antara Datsun Fairlady 280Z dan juga Toyota Celica generasi pertama.

    Kedua-dua kereta yang berlumba tersebut kemudiannya muncul dalam cermin sisi Nissan Navara yang dipandu oleh ‘Dom’ dan ia memberikan amaran berlampu dari sistem amaran titik buta. Dom dalam iklan ini nampaknya lebih matang dengan mengatakan “ish..bahaya ni” selepas menyaksikan aksi kedua-dua kereta yang sedang berlumba itu.

    Selepas berjaya memotong sebuah lori, kedua-dua kereta tersebut kemudiannya berlanggar sesama sendiri. Dengan sistem amaran ramalan pelanggaran yang ada pada Navara, ia berjaya menghentikan trak pikap tersebut dengan brek kecemasan automatik, seterusnya mengelakkan satu lagi kemalangan dari terjadi.

    Ketika lalu di tempat kejadian, Dom yang lebih waras ini sempat memberikan nasihat “jangan selalu tonton wayang” kepada kedua-dua pemandu yang berlumba tersebut.

    Sekali tengok, memang lucu iklan ni kan? Namun ia mempunyai mesej yang cukup baik tentang keselamatan jalan raya dan dalam masa yang sama dapat menunjukkan kelebihan sistem keselamtan yang ada pada Navara!

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ 2023 di M’sia – galeri penuh; Street Style Edition ditawarkan, dari RM528k

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ 2023 di M’sia – galeri penuh; Street Style Edition ditawarkan, dari RM528k

    Susukan ketibaan Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ facelift di pasaran Malaysia, kami berpeluang melihat sendiri model yang dinaiktaraf ini dan berkongsi galeri foto penuh buat pembaca yang dihormati. Harga yang ditawarkan untuk versi biasa bermula RM527,888 dan Street Style Edition turut ditawarkan dari RM557,888. Kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.

    Di bawah bonetnya, ia diberikan unit M139 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 421 PS pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm, menyalurkan pacuan ke semua empat roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan dwi-klac AMG Speedshift 8G. Larasan ini membolehkan CLA45S ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 270 km/j.

    Warna baharu telah menyertai barisan facelift ini iaitu Hyper Blue (seperti di dalam foto ini) dan Spectral Blue, semenyata rona Manufaktur Patagonia Red metallic dan Manufaktur Mountain Grey magno (seperti yang dipaparkan menerusi foto Street style Edition dalam galeri di bawah).

    CLA45S ini turut diberikan roda aloi ringan jejari-berkembar-lima AMG 19-inci dengan flange rim berkilat secara standard atau roda aloi tempaan AMG cross-spoke 19-inci dengan kos tambahan sebanyak RM1,000. Ia juga diberikan AMG Night Package dalam kemasan hitam berkilat untuk splitter hadapan, perumah cermin luaran, serta garisan jaluran belt dan tingkap berserta dengan corong ekzos krom hitam.

    Ciri piihan yang turut ditawarkan adalah AMG Night Package II, yang merangkumi gril radiator gelap spesifik-AMG dengan palang menegak, lencana pada bootlid dan wing dan tristar dalam krom hitam. Turut diberikan secara pilihan ialah penutup tangki minyak AMG. Manakala pakej AMG Aerodynamics pula diberikan secara standand, dan bagi AMG Aerodynamics Package Plus pula dikenakan kos tambahan.

    Street Style Edition pula ditampilkan dengan pelekat sisi dengan logo AMG dan paten AMG chequered-flag dan serlahan jingga terang. Selain itu, rim aloi tempaan cross-spoke 19-inci diberikan dengan rona matte black dan high-gloss machined flange, yang diberikan secara standard untuk Street Style Edition. Ia juga diberikan AMG Night Package I dan II, AMG Aerodynamics dan penutup tangki minyak AMG.

    Ruang dalaman Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ facelift; Street Style Edition (barisan bawah)

    Di dalamnya, CLA45S menerima roda stereng pelbagai-fungsi AMG Performance dengan kemasan kulit Nappa dan Microcut microfibre upholstery. Selain itu, ia turut diberikan tempat duduk hadapan AMG Performance dengan AMG Performance Seat Package Advanced, kemasan dalam kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut. Manakala tali pinggang keledar pula dengan kemasan kontras merah.

    Untuk varian Street Style Edition pula, ia menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dalam kemasan Artico hitam dan Microcut upholstery, bersama serlahan jingga terang dan label “CLA45S” juga dalam rona yang sama.

    Elemen kemasan dalaman pada Street Style Edition juga menampilkan paten yang sama dengan pelekat luaran, sementara panel instrumen pula dengan jahitan kontras jingga, kemasan ambang pintu dengan perkataan AMG, pencahayaan ambien dalaman dalam rona merah, spesifik untuk Street Style Edition.

    Pakej Bantuan Pemandu adalah ciri baharu yang diberikan untuk CLA45S facelift, merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, dan Active Brake Assist, bersama Active Parking Assist dengan kamera 360-darjah. Turut diberikan ialah Guard 360 Vehicle Protection Plus.

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ facelift 2023 di Malaysia

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ facelift 2023, Street Style Edition di Malaysia

     
     
  • Royal Enfield Himalayan 450 – gambar awal didedah

    Royal Enfield Himalayan 450 – gambar awal didedah

    Tidak lama lagi, Royal Enfield bakal memperkenalkan model baru Himalayan bagi meneruskan legasi Himalayan 411 yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2016. Gambar pertamanya sudah mula disiarkan melalui laman web serta media sosial, dan pengenalan rasmi diberitahu akan berlaku 7 November ini.

    Nama sebenar model Himalayan baru ini masih belum didedah, tetapi banyak media terutamanya di India memanggilnya sebagai 452/450 berdasarkan maklumat tersebar yang mengatakan ia akan menggunakan enjin berkapasiti 450 cc – lebih besar berbanding 411 cc yang digunakan sekarang.

    Tiada pengesahan berkenaan ciri teknikal yang dikeluarkan oleh Royal Enfield sendiri berkenaan Himalayan baru ini dan gambar yang didedah juga cuma ada satu, menampakkan keseluruhan bahagian depan dan kirinya, dengan latar belakang bukit bakau yang kami jangkakan mesti adalah di sekitar Himalaya.

    Bersama gambar itu, terdapat ayat “Himalayan baru adalah satu jelmaan kepada persekitarannya. Satu ruang besar dan mistik, yang sentiasa berubah, dan berubah dengan cepat. Satu-satunya perkara yang kekal pada Himalaya adalah perubahan.”

    Rupa yang ditunjukkan oleh Himalayan baru ini bagaimanapun menimbulkan kontroversi di media sosial kerana sudah kelihatan seperti motosikal pesaing, Hero XPulse dan tidak lagi unik seperti Himalayan 411 sekarang.

    Setakat yang dapat kita lihat dari gambar ini, Himalayan baru mempunyai tangki bujur yang lebih besar, rim spoked dengan saiz yang kelihatan seperti 19 atau 21 inci di hadapan, penghadang lumpur dua lapis, pemegang tangan tinggi, serta besi pelindung di tepi tangki.

     
     
  • Stesen Shell di R&R Gurun arah selatan di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 12 Okt untuk diselenggara

    Stesen Shell di R&R Gurun arah selatan di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 12 Okt untuk diselenggara

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memamklumkan bahawa Stesen Minyak Shell di kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Gurun (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup sementara mulai hari ini, 10 Oktober hingga 12 Oktober 2023. Penutupan ini disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan stesen minyak berkenaan.

    Untuk itu, bagi anda yang menggunakan lebuhraya berkenaan dari arah Perlis menuju ke selatan, PLUS menasihati agar anda merancang perjalanan sewajarnya. Seeloknya anda mengisi minyak kenderaan terlebih dahulu sebelum memasuki lebuhraya.

    Namun, menerusi laman web rasmi PLUS, ada juga pilihan stesen minyak yang lain untuk perjalanan menuju ke arah selatan iaitu stesen Petron yang terletak di R&R yang sama (KM81.0). Atau pun anda boleh mengisi minyak di Stesen Caltex di KM128.9 selepas Plaza Tol Sg Dua dan ada lagi dua stesen minyak iaitu Shell dan BHP di KM132.6 di persimpangan Sg Dua-Permatang Pauh.

     
     
  • PANDU UJI: Honda WR-V RS 2023 – sesedap mata memandang, pengendalian ‘chill’ & prestasi memadai

    PANDU UJI: Honda WR-V RS 2023 – sesedap mata memandang, pengendalian ‘chill’ & prestasi memadai

    Apabila Honda Malaysia mula menguar-uarkan perkhabaran bakal membawa masuk model baharu Honda WR-V ke pasaran tempatan, memang ramai yang teruja. Apatah lagi ia dikhabarkan sebagai pesaing kepada Perodua Ativa, SUV bersaiz kecil dengan harga ‘rakyat’ yang mampu milik.

    Pada 12 Jun lalu, tempahan WR-V mula dibuka, dan sebulan kemudian barulah ia dilancarkan secara rasmi dan ketika itu, adik kepada HR-V ini sudah pun menerima lebih kurang 2,500 unit tempahan. Ternyata kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap jenama Honda memang tidak mampu diganggu gugat. Bawa saja apa jua model mampu milik, pasti laku keras. Dua bulan selepas dilancarkan, hampir 7,000 tempahan telah diterima dan hampir separuh daripadanya telah pun dihantar kepada pelanggan.

    Untuk pasaran Malaysia, barisan WR-V 2023 (akronim yang diambil dari Winsome Runabout Vehicle) ini menawarkan empat varian iaitu S yang merupakan model paling asas, diikuti dengan E, V dan spesifikasi tertinggi RS (menjadi varian paling laris setakat ini. Ia dijual pada harga bermula RM90k hinggalah RM108k. Namun ada juga yang mempersoalkan harganya yang dikatakan jauh lebih mahal dari Ativa yang berharga dari RM63k hingga RM73k.

    Adakah penawaran yang ada pada WR-V ini lebih berbaloi, selain ia mampu meletakkan pemiliknya bangga menjadi sebahagian daripada ‘bangsa H’?

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025