Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Touareg 2024 – pendaftaran minat untuk Malaysia dibuka, R-Line 3.0L V6 340 PS, CKD?

    Volkswagen Touareg 2024 – pendaftaran minat untuk Malaysia dibuka, R-Line 3.0L V6 340 PS, CKD?

    Pernah dilihat di Malaysia tanpa sebarang pelekat samaran beberapa bulan lalu, Volkswagen Touareg generasi terbaru nampaknya tidak lama lagi akan dilancar untuk pasaran. Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sudah mula mengeluarkan teaser di media sosial, dan pendaftaran minat (ROI) untuk SUV ini juga sudah dibuka.

    Berdasarkan informasi yang tersedia dalam laman ROI tersebut. Touareg baru ini akan ditawarkan dalam versi R-Line, yang menggunakan enjin petrol V6 3.0 liter TSI. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan tork 450 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Antara kelengkapan yang dimasukkan dalam senarai adalah seperti lampu utama IQ.Light HD Matrix, suspensi udara automatik serta sistem bunyi Dynaudio Consequence 730 watt. Untuk sistem bantuan pemandu, ia diberitahu datang dengan pakej IQ.Drive yang termasuk penglihatan malam (night vision).

    Touareg terbaru ini adalah model generasi ketiga yang sudah diberikan facelift, ditunjukkan kali pertama kepada awam Mei tahun lalu. Di Malaysia kita memang ada mendapat Touareg generasi pertama dan kedua, tetapi model generasi ketiga tidak masuk.

    Antara perubahan visual yang datang dengan model facelift ini adalah seperti bentuk gril baru. lampu LED dengan DRL berbentuk L, jalur lampu di hadapan dan belakang, serta bukaan udara bahagian bawah bampar yang lebih besar. Bahagian dalam kebanyakannya adalah sama seperti model sebelum facelift, tetapi sistem infotainmen dipertingkat dengan termasuk Innovision Cockpit.

    Buat masa sekarang, kita masih belum mengetahui berapa harga Touareg baru ini dan adakah ia akan dipasang di dalam negara (CKD). Kalau dilihat pada model yang ditemui atas jalan sebelum ini, ia menggunakan plet perdagangan dari Pahang dan mungkin keluar dari kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Bersama kita tunggu pengumuman rasmi daripada VPCM nanti.

     
     
  • Audi Malaysia ada perancangan pasang model CKD

    Audi Malaysia ada perancangan pasang model CKD

    Pengedar Audi di Malaysia, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) ada perancangan untuk menawarkan barisan model pemasangan tempatan (CKD) di sini. Ketika ini syarikat itu membawa masuk model-model CBU untuk ditawarkan di Malaysia.

    “Kami mempunyai perancangan untuk beralih ke arah CKD. Ini kerana, harganya juga lebih kompetitif berbanding CBU, dan ia membantu untuk kami lebih mudah mendekati pelanggan dari segi harga dan dapat memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan,” ujar Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev selepas pengenalan dua model terbaru jenama itu di sini, EV Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron.

    Perancangan untuk jenama Audi memulakan operasi CKD di negara ini pernah muncul sebelum ini lagi, melalui pengedarnya yang terdahulu, Volkswagen Group Malaysia yang turut mensasarkan untuk mulakan pemasangan CKD dalam tempoh dua tahun dalam rancangannya yang diumumkan pada 2016. Namun rancangan itu masih belum menjadi kenyataan.

    Walaupun belum ada sebarang pengesahan tentang tempoh dan model mana yang akan dibikin CKD di sini, ia mungkin akan dilakukan di Pekan, Pahang di mana model jenama terkaitnya, Volkswagen turut di pasang — antaranya bagi model terkini Golf R dan Golf GTI.

    Bagi Volkswagen, model lain yang mungkin akan mengikut jejak yang sama ialah Touareg facelift, memandangkan SUV berkenaan pernah dilihat menggunakan plat perdagangan Pahang, dan dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.

     
     
  • BYD Seal kini dibuka untuk tempahan awal di Malaysia – varian Dynamic, Premium dan Performance

    BYD Seal kini dibuka untuk tempahan awal di Malaysia – varian Dynamic, Premium dan Performance

    Selepas banyak teaser dikeluarkan, BYD Seal akhirnya dibuka untuk tempahan awal di Malaysia. Melihat kepada borang tempahan dalam talian yang dikeluarkan oleh BYD, dinyatakan secara jelas bahawa bayaran tempahan RM1,000 yang dibuat akan dimasukkan sekali ke dalam harga keseluruhan kenderaan. Malaysia mendapat Seal dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance, tetapi harga sebenarnya masih belum diumum.

    Bagi model permulaan Dynamic, ia menggunakan tetapan satu motor yang memacu roda belakang, dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Bateri lithium-iron phospate (LFP) Blade 61.4 kWh padanya boleh memberikan jarak gerak sehingga 510 km mengikut kitaran NEDC dan jika mengikut WLTP, ia berada pada sekitar 460 km.

    Varian Premium juga menggunakan tetapan satu motor serta pacuan roda belakang sama, tetapi mempunyai kuasa dan kapasiti bateri yang lebih tinggi. Motor elektriknya mampu menghasilkan kuasa 313 PS (230 kW) dan 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Dengan menggunakan bateri LFP 82.5 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak 650 km mengikut NEDC dan 570 km mengikut WLTP.

    Varian paling atas bagi sedan EV ini adalah Performance, yang datang dengan tetapan dua motor dan pacuan AWD, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS (390 kW) dan tork 670 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.8 saat. Ia menggunakan bateri 82.5 kWh sama seperti varian Premium, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 580 km (NEDC) atau 520 km (WLTP).

    Untuk pengecasan, Seal Dynamic boleh menerima AC Type 2 sehingga 7 kW (0-100% dalam masa 8.6 jam) dan DC CCS2 sehingga 110 kW. Premium dan Performance juga boleh dicas menggunakan AC 7 kW (15.2 jam untuk penuh), tetapi DC meningkat sehingga 150 kW, membolehkan baterinya naik dari 10-80% dalam masa 37 minit.

    Beberapa warna disediakan untuk Seal ini, dengan varian Dynamic terdiri daripada pilihan Cosmos Black atau Aurora White, sementara warna Atlantis Grey disediakan pada dua varian teratas. Warna Arctic Blue pula disediakan khas untuk varian Performance.

    GALERI: BYD Seal yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Auto Bavaria Balakong dilancarkan – berkonsep Retail.NEXT; ganti cawangan Sungai Besi

    Auto Bavaria Balakong dilancarkan – berkonsep Retail.NEXT; ganti cawangan Sungai Besi

    BMW Group Malaysia dan Auto Bavaria, rangkaian pusat pengedaran BMW bertauliah yang terbesar di Malaysia juga telah melancarkan bilik pameran canggih mereka yang terbaharu, dibina menerusi konsep Retail.NEXT yang berpaksikan pelanggan di kawasan perbandaran Balakong. Bilik pameran baharu ini juga adalah bagi menggantikan Auto Bavaria Sungai Besi.

    Fasiliti yang telah beroperasi sepenuhnya turut menjadi antara bilik pameran BMW Group yang terbesar di dalam negara dan yang pertama di Lembah Klang dengan membawakan konsep rekaan dan perkhidmatan inovatif yang disebut sebagai Retail.NEXT.

    Dengan ruang seluas 240,057 kaki persegi, Auto Bavaria Balakong menyediakan suasana kelas pertama yang mencerminkan pengalaman pemilikan premium menerusi bahasa rekaan moden serta latar hadapannya yang merangkumi sebuah taman dan teres luar. Ruang konsultasi pelanggan serba interaktif dilengkapi dengan alatan niaga digital yang inovatif terletak di lokasi-lokasi strategik merentasi bilik pameran tersebut.

    Bilik pameran ini juga menampilkan Grand Klasse Lounge dengan wajah baharu, termasuk ruang penyerahan yang menambah sentuhan kemewahan dan eksklusiviti. Ia juga menampilkan pelbagai fasiliti berpaksikan gaya hidup termasuk BMW Café dan ruang singgah, memberikan para pelanggan akses kepada ruang bertaraf premium untuk bersantai semasa berkunjung ke sini.

    Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkata, “Kami berasa amat teruja untuk membuka tirai bilik pameran BMW yang antara terbesar di Malaysia untuk sesi previu yang eksklusif ini bersama warga media, menandakan satu titik sejarah yang signifikan dalam komitmen kami untuk membawakan pengalaman automotif yang cemerlang buat para pelanggan. Konsep pusat pengedaran Retail.NEXT ini menyulam unsur fizikal-digital dengan estetika moden dan juga persekitaran yang menarik.

    “Segala aspek bilik pameran Auto Bavaria Balakong telah dirumus dengan terperinci bagi menaik taraf pengalaman melihat dan membeli, menggandingkan ciri-ciri kemewahan dan kelestarian di setiap sudut. Kami berazam untuk bukan sahaja menyediakan barisan kenderaan premium, tapi juga dengan konsistennya menaik taraf kemewahan pengalaman kepenggunaan buat para pelanggan kami, menjanjikan perkhidmatan pascajualan yang komprehensif, mewujudkan sebuah suasana bertaraf premium yang pastinya melengkapi pengalaman pemilikan para pelanggan.”

    Auto Bavaria Balakong ini mempamerkan pelbagai model kenderaan daripada BMW Group termasuk model-model BMW dan BMW i, di samping kenderaan daripada portfolio MINI, BMW dan BMW Premium Selection. Bilik pameran ini terletak di Jalan Tengah, Cheras Selatan 118 dan waktu operasi dari jam 8 pagi-5 petang untuk hari Isnin-Jumaat, 8 pagi-5.30 petang pada Sabtu dan 10 pagi-5 petang setiap Ahad.

     
     
  • Toyota Veloz dan Avanza di Filipina dipanggil semula kerana masalah kimpalan rasuk hentaman sisi pintu

    Toyota Veloz dan Avanza di Filipina dipanggil semula kerana masalah kimpalan rasuk hentaman sisi pintu

    Jabatan Perdangangan dan Industri (DTI) Filipina telah mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 2,756 MPV tujuh-tempat duduk Toyota Avanza dan juga varian lebih mewahnya iaitu Toyota Veloz yang dijual di pasaran tersebut, berhubung masalah kimpalan yang dikesan terjadi di bahagian rasuk hentaman sisi yang terletak di dalam pintu depan sebelah kanan.

    Menurut notis berkenaan, sejumlah 1,285 Avanza dan 1,471 Veloz yang terlibat dalam panggilan semula ini, di mana kesemuanya diproduksi bermula 3 November sehingga 24 November 2022.

    Notis itu juga menyebut kimpalan yang tidak dibuat dengan betul pada rasuk hentaman sisi berkenaan berkemungkinan boleh menyebabkan kekuatannya ketika pelanggaran sisi berkurangan, dan dalam situasi paling buruk ia mungkin boleh menyebabkan kecederaan teruk kepada penumpang kerana rasuk tersebut tidak berfungsi seperti sepatutnya.

    Toyota Veloz dan Avanza di Filipina dipanggil semula kerana masalah kimpalan rasuk hentaman sisi pintu

    Untuk memperbaiki masalah berkenaan, Toyota akan memasang pendakap tambahan penguat dan memberikan kimpalan tambahan pada komponen yang terjejas tersebut. Segala pembaikkan untuk panggilan semula ini adalah percuma dan pemilik-pemilik Avanza serta Veloz yang terjejas perlu membawa kenderaan mereka ke pusat servis Toyota terdekat.

    Walau bagaimanapun tiada sebarang pengumuman dari Toyota bagi mengesahkan sama ada panggilan semula ini berkaitan dengan dengan skandal penyelewengan ujian keselamatan Daihatsu yang dikesan tahun lalu atau tidak. Filipina menerima stok Avanza dan Veloz yang diimport dari Indonesia.

    Disember lalu Astra Daihatsu Motor di Indonesia diberikan lampu hijau dari kerajaan republik berkenaan untuk meneruskan penyerahan kenderaan kepada pelanggan setelah pihak berkuasa mengesahkan keselamatan kenderaan-kenderaan yang diproduksi oleh Daihatsu di negara tersebut.

     
     
  • Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

    Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

    Biasa kita dengar tentang situasi seperti ini: “Ada penunggang motosikal langgar kereta saya dan terus lari. Saya ada rakaman semuanya, patutkan saya buat laporan polis?” Dan jawapan yang kerap juga didengar: “Tak payahlah. Buat laporan pun tak ada guna, polis tak akan ambil tindakan.”

    Kemalangan atau perlanggaran antara kereta dan motosikal selalu terjadi. Dan dalam keadaan ini, jika berkaitan tuntutan insurans sesudahnya, situasi lebih janggal lagi yang menanti — adalah hampir mustahil untuk membuat tuntutan tersebut daripada insurans penunggang motosikal tersebut. Dalam beberapa kes, selepas laporan dibuat, syarikat insurans pula tidak bersungguh untuk meneruskan tuntutan berkenaan.

    Ini meletakkan pemandu kereta yang keretanya mungkin mengalami kerosakan itu rugi dari segi No Claims Discount (NCD) insuransnya sendiri. Melihat kepada kos gantian komponen-komponen bagi kereta moden ketika ini — misalnya, pernah tahu harga untuk gantikan cermin sisi sebuah kereta baru Proton kini? — kebanyakan pemandu mungkin tidak akan menggunakan duit sendiri untuk menggantikannya.

    Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

    Mengapa keadaannya seperti ini? Untuk tahu lebih lanjut, kami bertanyakan kepada pemain industri insurans dan beberapa bengkel yang arif perihal tuntutan insurans ini bagi kedua-dua kenderaan dua dan empat roda, serta bercakap dengan wakil dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM.

    “Dalam situasi kemalangan seperti ini, polis hanya menentukan punca dan tanggungjawab serta kerosakan yang terlibat. Kami tidak menentukan siapa yang memfailkan tuntutan insurans terhada siapa, dan bukan kami yang tentukan pampasan yang terlibat. Itu urusan syarikat insurans dan mahkamah,” ujar wakil JSPT tersebut.

    “Namun, jika kemalangan itu melibatkan kecederaan atau kematian, maka kes berkenaan akan dilayan dengan lebih serius dan kerja-kerja siasatan akan lebih menyeluruh,” tambahnya. “Tentang kenapa syarikat insurans tidak mengejar tuntutan dari pihak penunggang motosikal, itu perlu ditanyakan kepada mereka,” jelasnya lagi.

    Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

    Berhubung pula dengan individu dari industri insurans yang meminta identitinya tidak didedahkan, ini jawapannya: “Bukannya kami tidak mahu membuat tuntutan, tetapi prosesnya itu hampir mustahil.” Menyebut beberapa contoh kes yang pernah dikendalikan, beliau memaklumkan bahawa agak normal sebenarnya untuk syarikat insurans gagal menjejaki orang atau alamat yang diberikan untuk melakukan tuntutan itu.

    “Selain itu, ada masalah seperti penunggang yang tiada lesen atau cukai jalan, yang secara automatik menjadikan polisi insurans penunggang terbatal secara automatik, atau mereka bahkan memang tak ada insurans sama sekali,” jelasnya. Ditanya apa yang boleh dilakukan oleh pihak yang masih ingin menuntut, beliau menyatakan ada pilihan untuk memfailkan saman tuntutan, tetapi itu akan mengambil masa yang lama.

    “Sudah tentu mereka boleh memfailkan tuntutan, tetapi itu bermaksud anda perlu mengeluarkan duit untuk peguam, dan kemudian meluangkan masa untuk ke mahkamah dan sebagainya,” jelasnya. “Kemudian akan ada masalah untuk mengesan mereka yang terlibat, dan memastikan mereka hadir ke mahkamah sebelum memperoleh keputusan penghakiman. Terakhir, ada juga masalah untuk mendapatkan semula wang anda.”

    Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

    Ini situasi sekiranya saman itu dibuat ke atas orang yang tidak berkemampuan secara kewangan. Dalam banyak kes, syarikat insurans akan menasihatkan pihak yang menuntut itu supaya membuat tuntutan terhadap polisi, walaupun dengan penalti untuk kehilangan NCD.

    Ada sumber industri turut memaklumkan bahawa polis dan mahkamah akan lebih menyebelahi penunggang motosikal dalam kes kemalangan, disebabkan mereka datang dari segmen kenderaan yang dilihat “kekurangan” oleh masyarakat berbanding kereta. Ini tentulah hanya sentimen, dan tidak dapat disahkan secara tuntas, sebaliknya hanya sebagai tanggapan luaran, yang mungkin ada kebenarannya.

    Dalam keadaan seperti yang diungkapkan ini, cara yang paling mudah untuk mendapatkan tuntutan insurans dalam kes perlanggaran melibatkan kereta dan motosikal adalah dengan menggunakan insurans pemandu kereta itu sendiri (dan kehilangan kelebihan NCD), dan bukannya dari pihak penunggang motosikal.

     
     
  • BMW X5 xDrive50e M Sport 2024 dipertontonkan di Malaysia – CKD; 489 hp/700 Nm, gerak elektrik 110 km

    BMW X5 xDrive50e M Sport 2024 dipertontonkan di Malaysia – CKD; 489 hp/700 Nm, gerak elektrik 110 km

    Membuka tirai untuk tahun 2024, BMW Malaysia telah mengumumkan jentera Sports Activity Vehicle (SAV) plug-in hybrid (PHEV), BMW X5 xDrive50e, kini dipasang di negara ini. Ia telah dipertontonkan dalam majlis pengumuman prestasi jualan BMW 2023 di Auto Bavaria Balakong pagi ini. Hadir dengan pakej M Sport secara standard, BMW X5 xDrive50e baharu diberikan kemaskini yang signifikan dari segi prestasi dan efiensi, menyalurkan lebih banyak kuasa dengan jarak operasi elektrik yang lebih tinggi, tanpa mengetepikan keterampilannya yang elegan dan moden.

    Bagi sudut dinamik pemanduan, BMW X5 xDrive50e M baharu dikuasai enjin petrol 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 308 hp pada 5,000 rpm dan tork 450 Nm pada 1,750 rpm. Ia jua digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 194 hp dan tork 280 Nm yang dijanakan bateri lithium-ion berkapasiti 25.7 kWh. Bersama dengan sistem output mencecah 489 hp rpm iaitu 96 hp lebih tinggi berbanding model terdahulu, juga dengan tork yang lebih tinggi kini berjumlah 700 Nm.

    Sekaligus membantu SAV PHEV ini mampu dipecut dalam masa 4.8 saat bagi 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 250 km/j. Ia turut dibekalkan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda (AWD).

    Dengan motor elektrik yang dinaiktaraf, X5 xDrive50e M baharu ini mampu bergerak dengan pacuan elektrik sejauh 110 km (mengikut kitaran WLTP). Di samping penambahbaikan sebanyak 7.4 kW bagi aspek pengecasan, jentera ini hanya mengambil masa sekitar 4.5 jam untuk mencecah status 0-100% dengan menggunakan pengecas AC Type 2.

    BMW X5 xDrive50e M baharu ini yang didatangkan dengan pakej M Sport secara standard, turut menerima kemaskini gril kidney dengan pencahayaan BMW Iconic Glow LED bersama rekaan baharu lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) bersama rekaan X yang bergaya. Melengkapkan lagi gayanya, ia juga diberikan roda aloi ringan V-Spoke 915 M Bi-colour bersaiz 21-inci.

    Untuk bahagian kabinnya, BMW X5 xDrive50e M Sport ditampilkan dengan BMW Curved Display 14.9-inci bersama kluster paparan digital penuh yang sedia untuk diakses oleh pemandu, kini turut memuatkan BMW Operating System 8.5. Ia termasuk BMW Live Cockpit Professional dan panel instrumen BMW yang menyokong pelbagai kaedah interaksi di antara pengguna dan kenderaan ini, iaitu melalui iDrive Controller, suara, sentuhan atau dengan menggunakan Gesture Control.

    Selain itu, ia juga diberikan Light Bar dengan struktur permukaan berhablur, serta sistem bunyi keliling Harman Kardon yang turut didatangkan secara standard. Konsol sentral di dalam BMW X5 xDrive50e M Sport baharu juga kini menampilkan tata atur baharu serta butang fungsi sentuh tambahan, dan penukaran gear kini dibuat dengan suis jumpelang (rocker switch).

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan meliputi BMW Comfort Access, Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional. Ciri keselamatan lain termasuk lapan beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan, sistem info titik buta, Isofix, sistem brek kecemasan, bantuan kekal lorong, dan amaran pelanggaran.

    Untuk warna luarannya, BMW X5 xDrive50e M Sport hadir dengan pilihan Black Sapphire, Manhattan Green, Mineral White, dan Skyscraper Grey. Manakala pilihan bagi upholsteri dalaman dengan pilihan kulit Merino warna hitam dan Tartufo.

    Setakat ini, BMW Malaysia masih belum mendedahkan harganya dan tarikh pelancaran untuk pasaran tempatan. Jika ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi SAV PHEV ini, sila klik Carbase.my.

     
     
  • BMW M’sia catat jualan 15,012 unit bagi 2023, naik 3.8% – masih jenama premium No.1 di negara ini

    BMW M’sia catat jualan 15,012 unit bagi 2023, naik 3.8% – masih jenama premium No.1 di negara ini

    BMW Group Malaysia telah mencatatkan kejayaan yang besar bagi tahun 2023 dengan merekodkan jualan 15,012 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad, iaitu naik sebanyak 3.8% berbanding tahun 2022. Sekaligus memperkukuhkan kedudukan syarikat ini sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia untuk tahun ke-empat berturut-turut. Kejayaan ini turut diraikan dengan ulang tahun ke-20 BMW Group Malaysia bertapak di negara ini.

    Untuk rekod jualan tahun lalu, jenama BMW telah berjaya menyerahkan sekitar 11,699 unit kenderaan mewah bertaraf premium kepada para pelanggannya, namun jumlah tersebut turun 1.3% berbanding tahun 2022. Manakala bagi MINI pula, ia merekodkan peningkatan sebanyak 41.9% dengan 1,750 kenderaan yang berjaya diserahkan. BMW Motorrad pula menyaksikan kenaikan sebanyak 13.4% dengan 1,563 unit motosikal yang diserahkan. Berbanding prestasi yang dicatatkan pada tahun 2022 dengan penghantaran sebanyak 14,466 unit.

    Syarikat ini juga terus memperkukuhkan kedudukan sebagai pembekal kenderan elektrik (EV) nombor satu di pasaran tempatan apabila berjaya menyerahkan sejumlah 3,600 unit EV, dengan model i7 terjual sekitar 600 unit, manakala 1,100 unit pula adalah model iX dengan xDrive40 menjadi varian yang paling popular.

    Sementara itu, barisan M termasuk M4, M3 dan M2 menyaksikan lebih 500 unit penghantaran tahun lalu.Model SUV dari barisan X pula menyumbang lebih 4,000 unit, diikuti dengan model 3 Series sekitar 2,600 unit dan 5 Series pula melebihi 800 unit.

    Pierre Jalady selaku Naib Presiden, Ketua MINI Rantau Asia, Eropah Timur, Timur Tengah, Afrika di BMW Group berkata, “Tiada cara yang lebih baik untuk BMW Group meniti ulang tahunnya yang ke-20 di Malaysia, yakni menerusi kejayaan yang begitu cemerlang disumbang oleh barisan kenderaan kita dalam pasaran automotif premium tempatan.

    “Kita dapat menyaksikan model-model kenderaan BMW i mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, khususnya melalui perungkaian BMW iX1, BMW iX, BMW i7, MINI Electric dan jentera elektrik yang sulung dalam arena Mobiliti Urban, BMW CE 04.”

    Selain jualan tempatan, BMW Group Malaysia turut memperkukuhkan sektor eksport, dengan tahun lalu menyaksikan sejumlah 2,800 unit kenderaan telah dieskport ke pasaran luar termasuk Filipina dan Thailand, menjadikan syarikat ini sebagai pengeksport kenderaan premium teratas di Malaysia.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 – foto awalan disiar di Amerika Syarikat, seiras Civic RS Prototype di Jepun

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 – foto awalan disiar di Amerika Syarikat, seiras Civic RS Prototype di Jepun

    2025 Honda Civic Hybrid

    Honda telah pun mendedahkan rupa sebenar versi facelift untuk Honda Civic generasi ke-11 yang bakal dilancarkan di Amerika Syarikat pada musim panas tahun ini. Imej berkenaan disiarkan menerusi pengumuman perancangan perniagaan 2024 jenama itu di pasaran negara tersebut.

    Foto awalan ini mendedahkan bahagian hadapan Civic yang disegarkan tersebut menampilkan rupa hampir sepenuhnya sama dengan muka Civic RS Prototype pasaran Jepun yang muncul di Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu.

    Gril hadapan model facelift ini diberikan elemen sarang lebah bersama kerangka yang dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar. Elemen sarang lebah yang sama turut dibawa ke gril bampar di bawah yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model sedia ada.

    Berbanding Civic RS Prototype yang dihasilkan dari badan hatchback, model facelift 2025 yang didedahkan di AS ini masih tampil dalam badan sedan. Secara asasnya bahagian belakang masih nampak sama seperti model sedia ada, tetapi diberikan perubahan pada bahagian grafik lampu.

    Honda turut mengumumkan pasaran Amerika Syarikat akan menerima Civic dengan unit rangkaian kuasa hibrid menerusi versi facelift 2025 ini. Buat masa sekarang Civic hanya ditawarkan dalam versi petrol sepenuhnya di sana, dengan pilihan sama ada 1.5 liter turbo dan 2.0 liter NA.

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 – foto awalan disiar di Amerika Syarikat, seiras Civic RS Prototype di Jepun

    2025 Honda Civic Hybrid

    Model hibrid tersebut dijangka akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid dua motor elektrik intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti Civic Hybrid e:HEV pasaran lain termasuk Malaysia. Unit tersebut menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

    Enjin berkenaan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm. Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol, dan sebab itulah ia masih diberikan transmisi E-CVT.

    Honda Amerika Syarikat menyatakan ia mensasarkan 40% dari jumlah keseluruhan Civic kelak adalah terdiri dari varian hibrid ini selepas ia dilancarkan nanti. Dalam kenyataan yang sama ia turut mengumumkan Civic turut bakal ditawarkan dalam versi hatchback di sana selepas ini, berbanding hanya versi sedan buat masa sekarang.

    Sekiranya Civic facelift ini dilancarkan di Amerika Syarikat sekitar suku ketiga tahun ini, ia mungkin akan tiba ke pasaran ASEAN termasuk Malaysia bermula tahun hadapan. Dari segi rupa yang mana anda rasa lebih cantik? Model sedia ada atau facelift ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

    GALERI: Honda Civic RS Prototype yang didedahkan di Tokyo Auto Salon 2024

     
     
  • Mazda Spirit Racing dilancar bersama dua model konsep – kemunculan semula Mazdaspeed?

    Mazda Spirit Racing dilancar bersama dua model konsep – kemunculan semula Mazdaspeed?

    Semasa Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu, Mazda telah melancarkan Mazda Spirit Racing, iaitu satu jenama baru yang akan memberi lebih fokus kepada prestasi. Bagi peminat jenama ini, ia boleh dilihat seakan kemunculan semula bagi Mazdaspeed.

    Bersama pelancaran jenama itu, Mazda turut membawa dua model konsep yang memberi gambaran kepada keistimewaan Mazda Spirit Racing dan akan diperkenalkan kepada pasaran. Ia antaranya diberitahu mendapat inspirasi daripada penglibatan Mazda dalam siri perlumbaan Super Taikyu di Jepun.

    Satu daripada model konsep tersebut menggunakan asas daripada MX-5 dan dipanggil sebagai Mazda Spirit Racing RS. Ia menampilkan cat warna kelabu berkilat, dengan jalur yang bermula dari tengah bonet hingga ke but belakang.

    Penambahan lain yang dibuat antaranya termasuk pelekat Mazda Spirit Racing pada badannya, kit aerodinamik, brek lebih besar, kedudukan lebih rendah, rim dan tayar baru serta tetapan suspensi yang ditala semula. Pada bahagian dalam, kereta konsep ini mendapat tempat duduk Recaro dengan logo dan tulisan Mazda Spirit Racing, tali pinggang jenis lumba serta roda stereng Alcantara.

    Untuk model konsep yang satu lagi, ia dipanggil sebagai Mazda Spirit Racing 3 dan menerima peningkatan sama seperti model berasaskan MX-5 tadi, tetapi splitter hadapannya mempunyai bentuk yang berbeza serta dilengkapi sayap besar di belakang. Seperkara lagi yang boleh anda lihat, logo serta lencana Mazda Spirit Racing diletakkan di banyak bahagian dua kenderaan ini, termasuk rim serta but belakangnya.

    Sementara semua peningkatan ini sedap untuk dipandang, Mazda tidak menyatakan sebarang peningkatan yang berkenaan dengan enjin. Mereka cuma memberitahu, ia sekarang “masih di bawah pembangaunan, dengan sasaran menjadi kenderaan yang seronok dipandu, dari dalam bandar hinggalah ke dalam litar.”

     
     
  • Hyundai Mobis tunjuk Mobion, kereta dengan e-Corner System – tayar boleh belok, pusing secara berasingan

    Hyundai Mobis tunjuk Mobion, kereta dengan e-Corner System – tayar boleh belok, pusing secara berasingan

    Hyundai Mobis, iaitu cabang bahagian alat ganti dan perisian Hyundai Motor Group telah mendedahkan sebuah kenderaan demonstrasi yang dipanggil sebagai Mobion. Ia menggunakan asas daripada Hyundai Ioniq 5, dan dipasang dengan teknologi e-Corner System yang membolehkan keempat-empat tayarnya berpusing dan dipacu secara berasingan.

    Sistem ini menggunakan motor pemacu di dalam roda, yang menggabungkan fungsi penggerak, stereng serta suspensi pada setiap roda, seterusnya membolehkan ia membuat pergerakan seperti ke tepi dan ke arah penjuru, yang tidak dapat dilakukan oleh kenderaan menggunakan sistem pacuan dan suspensi biasa.

    Menurut Hyundai Mobis, mereka juga telah berjaya melakukan ujian atas jalan untuk sistem ini. “Mobion memberi gambaran kepada teknologi teras Hyundai Mobis, yang mana ia sudah bersedia untuk pengeluaran massa, kata ketua bahagian kejuruteraan maju Mobis, Lee Seung-Hwan.

    Sementara itu di Jepun, satu lagi model konsep berasaskan Ioniq 5, iaitu Ioniq 5 N NPX1 Concept telah didedahkan sewaktu Tokyo Auto Salon 2024, dengan dilengkapi pelbagai aksesori N Performance yang akan dikeluarkan untuk pasaran dan dijual menjelang hujung tahun ini.

     
     
  • Lebuhraya Guthrie bakal sediakan pengecas EV di R&R Elmina – dua unit DC 60 kW oleh ChargEV

    Lebuhraya Guthrie bakal sediakan pengecas EV di R&R Elmina – dua unit DC 60 kW oleh ChargEV

    Berita baik untuk pemilik kenderaan elektrik (EV) yang menggunakan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE). Prolintas telah mengumumkan kawasan rehat dan rawat (R&R) Elmina bakal dilengkapi dengan pengecas EV.

    Menurut syarikat konsesi GCE itu, sebanyak pengecas DC 60 kW akan disediakan, dan imej teaser yang dipaparkan menunjukkan dua petak pengecas EV, dan menerusi imej tersebut, terpapar logo ChargEV. Sebelum ini, pengecas DC 60 kW kendalian ChargEV mengenakan kadar bayaran sebanyak RM1.20 untuk setiap kWh, jadi kadar tersebut mungkin sama dengan apa yang akan ditawarkan di R&R Elmina itu.

    “Projek rintis ini khas untuk pengguna EV yang inginkan kemudahan pengecasan semasa dalam perjalanan. Kini anda boleh mengecas semula EV anda semasa anda berehat, menikmati makanan dan kemudahan di R&R bertaraf lima bintang kami. Kekal dicas dan kekal teruja!,” begitulah kapsyen yang dikongsikan oleh Prolintas.

     
     
  • Kerajaan sedang pertimbang kemungkinan laksana “lemon law” di Malaysia berikutan aduan pengguna

    Kerajaan sedang pertimbang kemungkinan laksana “lemon law” di Malaysia berikutan aduan pengguna

    Menurut laporan FMT, kerajaan sedang mempertimbang dan mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan lemon law di Malaysia. Perkara ini didedahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang menjelaskan analisa terhadap pelaksanaan undang-undang itu di negara lain perlu diteliti sebelum boleh disesuaikan di Malaysia.

    Beliau juga mengatakan bahawa kerajaan sedang meneliti idea lemon law tersebut susulan gesaan daripada Persatuang Pengguna Pulau Pinang (CAP) agar ia diperkenalkan sebagai jalan keluar kepada pengguna dalam kes-kes tertentu. Ini bukan kali pertama CAP menggesa kerajaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut: ini dilakukan sejak 2019.

    Perkara ini turut diberi perhatian oleh Menteri Perdagangan Domestik dan Hal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 2022, yang memaklumkan ada lebih daripada 1,000 kes melibatkan kenderaan baru dan terpakai yang di bawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dari Januari hingga Ogos dua tahun lalu.

    Lama sebelum ini pada 2014, Persatuan Piawaian Pengguna Malaysia dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) juga telah menggesa kerajaan untuk melaksanakan lemon law.

    Kerajaan sedang pertimbang kemungkinan laksana “lemon law” di Malaysia berikutan aduan pengguna

    Apa itu lemon law? Ia merupakan satu bentuk perlindungan kepada pengguna. Secara ringkas, ia meletakkan mana-mana kenderaan yang masih dalam tempoh jaminan yang dikesan mempunyai masalah atau kerosakan atau tidak selamat agar dibaik pulih sepenuhnya oleh pengeluar. Dalam situasi kenderaan itu tidak boleh dibaik pulih selepas beberapa percubaan dilakukan, pembeli berhak ditawarkan pulangan wang atau kenderaan ganti.

    Skop yang diliput oleh oleh lemon law ini bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan. Secara umumnya ia melibatkan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada fungsi dan keselamatan kenderaan. Negara seperti AS, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina telah melaksanakan undang-undang ini dalam bentuk yang tersendiri.

    Armizan juga mengeaskan yang Akta Perlindungan Pengguna 1999 Malaysia memang melindungi pengguna daripada kerosakan kenderaan. “Akta berkenaan melindungi pengguna dari beberapa sudut, walaupun ia bukanlah secara terang-terangan merupakan lemon law dan tidak menawarkan penyelesaian seperti pembelian semula kenderaan bagi kerosakan yang tidak boleh dibaiki. Ia menyediakan beberapa penyelesaian yang boleh diaplikasikan untuk masalah kenderaan bermasalah,” ujarnya.

    Gesaan terhadap pelaksanaan lemon law di Malaysia bukanlah baru. Namun, kes terbaru yang melibatkan sebuah Perodua Bezza yang mengalami kerosakan dalam tempoh lapan jam selepas diserahkan kepada pemiliknya telah menarik lebih banyak perhatian umum.

     
     
  • Lynk & Co 07 E-MP ditunjuk dalam teaser – sedan PHEV platform CMA Evo, kuasa sehingga 593 PS

    Lynk & Co 07 E-MP ditunjuk dalam teaser – sedan PHEV platform CMA Evo, kuasa sehingga 593 PS

    Lynk & Co telah mengeluarkan gambar teaser rasmi untuk model 07 EM-P, yang akan menjadi sedan saiz sederhana pertama jenama tersebut. Dalam barisan model sedia ada mereka, syarikat kerjasama Geely dan Volvo ini juga mempunyai sedan kompak yang dipanggil 03, sementara model lain adalah SUV, iaitu 01, 02, 05, 06, 08, dan 09.

    Menurut laporan dari China, 07 EM-P akan dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) Evo Volvo, dan menampilkan penggerak plug-in hybrid (PHEV) yang boleh menghasilkan sehingga 593 PS (585 hp atau 436 kW).

    Platform ini juga turut digunakan pada SUV saiz sederhana 08 EM-P, yang datang dengan sistem PHEV dan menghasilkan kuasa sama seperti yang dijangka pada 07 EM-P. Pada 08 EM-P, penggeraknya terdiri daripada gabungan enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo bersama tiga motor elektrik.

    Lynk & Co 07 E-MP ditunjuk dalam teaser – sedan PHEV platform CMA Evo, kuasa sehingga 593 PS

    Daripada aspek rekaan, 07 EM-P menggunakan garis-garis melengkung yang beralun dan di sebalik pelekat samaran tersebut kita boleh melihat tanda-tanda yang diambil daripada model konsep The Next Day yang diperkenalkan pada tahun 2022, termasuk lampu utama yang bersepadu dengan bampar hadapan serta garis lampu DRL panjang bersebelahan garis bonet.

    Perincian lain yang boleh dilihat adalah bukaan udara bahagian bawah bampar yang besar, tiada gril tengah seperti kereta biasa, rim sporty serta pembuka pintu sama rata dengan badan. Buat masa sekarang masih belum ada gambar bahagian dalam dan kita perlu menunggu maklumat selanjutnya daripada Lynk & Co.

     
     
  • GWM Malaysia siar teaser Ora 07 – pencabar Tesla Model 3 dan BYD Seal bakal dilancar tak lama lagi

    GWM Malaysia siar <em>teaser</em> Ora 07 – pencabar Tesla Model 3 dan BYD Seal bakal dilancar tak lama lagi

    GWM Malaysia baru sahaja menyiarkan teaser bagi EV fastback yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi iaitu Ora 07. Ini merupakan model kedua sub-jenama Ora dari Great Wall Motors yang bakal dijual di sini selepas Ora Good Cat yang telah pun dilancarkan pada penghujung 2022.

    Di China, model ini dikenali sebagai Lightning Cat dan ia telahpun dilancarkan di Thailand pada awal bulan ini dengan nama Ora 07. Sebelum itu model ini telah pun dipertontonkan di Thailand pada Disember 2022, ketika itu dikenali sebagai Ora Grand Cat.

    Secara asasnya Ora 07 merupakan sedan empat-pintu dengan bahagian belakang yang direka landai membolehkan ia digelar sebagai fastback, dan seolah-olah sebuah Ora Good Cat yang ‘dipanjangkan’. Dengan rupa Good Cat itu sendiri ada inspirasi dari Volkswagen Beetle, Ora 07 ini kelihatan seperti Porsche Panamera dalam versi lebih mampu milik.

    Dengan dimensi panjang 4,871 mm, lebar 1,862 mm dan 1,500 mm tinggi, 07 sudah tentu akan berhadapan terus dengan sedan EV lain terutamanya Tesla Model 3 serta lawan senegara, BYD Seal yang juga akan dilancarkan di sini sedikit masa lagi.

    Di Thailand Ora 07 ini ditawarkan dalam dua varian iaitu model asas Long Range dijual pada harga 1.299 juta baht (RM174,648), dan varian lebih berkuasa dikenali sebagai Performance yang dijual pada harga 1.499 juta baht (RM201,655).

    Model Long Range menerima hanya satu motor elektrik berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 340 Nm yang diletak pada gandar hadapan bagi memacu kedua-dua roda hadapan, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 170 km/j. Manakala untuk model Performance pula, ia dibekalkan dengan dua motor elektrik yang masing-masing diletak pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda.

    Ini membolehkan Ora 07 Performance tersebut dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan tork maksima 680 Nm. Dengan kuasa lebih besar dan lebih cengkaman dari pacuan semua roda, Ora 07 ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua varian tersebut dibekalkan dengan bateri ternary lithium 83.5 kWj yang sama. Jadi model Long Range dengan hanya satu motor elektrik boleh bergerak sejauh 640 km (kitaran NEDC) dengan satu cas penuh, sementara model Performance dengan kuasa lebih besar hanya boleh dipandu sejauh 550 km dengan kapasiti bateri yang sama.

    Menerusi pengecas pantas DC, cas bateri Ora 07 ini boleh dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk membolehkan ia bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ bagi membekalkan kuasa kepada pelbagai peralatan elektrik.

    Tiada lagi sebarang petunjuk harga diumumkan oleh GWM Malaysia berkenaan model ini. Berdasarkan harga Good Cat di Malaysia sekitar 30% lebih mahal dari Thailand, mungkin 07 ini dijual pada harga bermula RM200k di sini?

    GALERI: Ora 07 pasaran Thailand

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025