Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GrabCar beroperasi di Johor Bahru mulai 7 April

    GrabCar-JB-April-7-01

    Bagi sesiapa yang berada di Johor Bahru dan inginkan pilihan teksi persendirian yang boleh ditempah menerusi aplikasi dalam talian, GrabCar telah mengumumkan perkhidmatan mereka di sekitar bandar berkenaan mulai 7 April ini.

    “Johor Bahru kini sedang pesat berkembang dan kami lihat ini sebagai salah satu jalan untuk memperkenalkan perkhidmatan kami sebagai pengangkutan alternatif mampu milik kepada orang ramai di sekitar Johor Bahru,” ujar Jaygan Fu, Pengurus Grab Malaysia.

    Fu turut berkongsi, pihaknya akan menambah elemen baharu yang akan didapati di JB. Ia termasuklah perkhidmatan pelanggan 24/7 (untuk pemandu dan penumpang), butang kecemasan PDRM, perkongsian lokasi bagi membenarkan ahli keluarga dan rakan mengetahui lokasi penumpang.

    GrabCar-JB-April-7-02

    “Sebagai tambahan, GrabCar juga akan memperkenalkan polisi insurans untuk penumpang dan pemandu, di samping itu, kami juga akan memperkenalkan pemandu wanita sebagai inisiatif keselamatan penumpang dan pemandu,” jelas Fu.

    GrabCar beroperasi secara asas tambang-tetap, dan ini membolehkan penumpang mengetahui tambang mereka sebelum menaiki kenderaan terbabit. Malah penumpang juga mempunyai pilihan cara pembayaran sama ada secara tunai ataupun kad debit/kredit.

     
     
  • Mitsubishi Outlander serba baharu dilancarkan untuk Malaysia esok – CBU dari Jepun, 2.4L, 4WD, RM167k

    MIt_outlander

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) tekah mengumumkan SUV Mitsubishi Outlander serba baharu akan dilancarkan ke pasaran tempatan pada 7 April 2016 ini iaitu esok. SUV tujuh-tempat duduk ini telah pun berada di semua bilik pameran Mitsubishi seluruh negara.

    Harga pengenalan yang ditawarkan bagi Outlander serba baharu ini ialah RM166,720 bagi Semenanjung Malaysia dan RM168,488 untuk Sabah/Sarawak. Harga-harga tersebut (tanpa insurans, termasuk GST) adalah untuk tempahan dan pendaftaran sebelum 31 Mei 2016 ini. Malah SUV ini turut didatangkan dengan pakej waranti selama lima tahun atau 100,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

    Ia didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Merah Metalik, Putih Mutiara dan Kelabu Metalik. Outlander ini juga akan dipertontonkan di pusat membeli-belah Mid Valley dari 20 hingga 24 April ini jam 10 pagi hingga 10 malam.

    Mitsubishi Outlander Review 61

    Outlander serba baharu ini didatangkan dengan varian 4WD, kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dipadankan dengan enjin petrol 2.4 liter Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control (MIVEC) yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 169 hp pada 6,000 rpm dan kuasa tork maksimum 222 Nm pada 4,100 rpm.

    Kuasa dari enjin dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear automatik CVT dan sistem pacuan empat-roda Mitsubishi Multi-Select. Sistem tersebut membolehkan pemandu memilih tiga mod pemanduan iaitu 4WD ECO, 4WD Auto, dan 4WD lock. Gandingan enjin dan sistem transmisi ini mampu membuatkan Outlander 2016 ini mencapai kecekapan bahan api 12.8 km/l jika mod 4WD Eco dipilih.

    Ia turut menampilkan elemen premium termasuk lampu hadapan LED berserta lampu nyalaan siang LED bina dalam, bumbung matahari, pintu tailgate kuasa elektronik dan roda aloi 18-inci dua-tona yang dibaluti tayar bersaiz 225/55R18.

    Pada bahagian dalam pula, ditampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, dan suis kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan di bahagian tengah papan pemuka. Suis kawalan sistem infotainmen, telefon dan kawalan kelajuan turut dilengkapi pada roda stereng Outlander serba baharu ini.

    Outlander Msia Cabin

    Bagi pengendalian yang lebih sporty, pedal penukar gear turut ditampilkan. Kesemua tempat duduk dibaluti kulit rona hitam. Tiada sistem brek parkir elektronik ditampilkan pada model ini, Outlander masih lagi menggunakan tuil brek tangan konvensional.

    Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan semua ciri terkini termasuk tujuh beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC),Kawalan Aktif Mula Terjahan (ASTC) Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS beserta EBD dan Bantuan Brek (BA). SUV ini juga dilengkapi sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka kunci pintu dan menghidupkan enjin dengan butang penghidup tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

    Outlander baharu ini mempunyai ruang kargo yang agak besar iaitu berkapasiti 1,608 liter (setelah tempat duduk barisan ketiga dilipat) dan jarak pusingan sehingga 5.3 meter.

    Bagi Outlander ini, MMM mensasarkan jualan sebanyak 100 unit sebulan dan kini telah menerima lebih 200 tempahan sejak pra-tonton untuk pihak media pada akhir Februari lalu.

     
     
  • SPYSHOT: Daihatsu Move dengan Smart Assist II – Kenari baharu bakal dilengkapi sistem brek AEB?

    Daihatsu-Move-Perodua-Kenari-Malaysia-01_BM

    Daihatsu Move yang dijumpai semalam, nampaknya dijumpai sekali lagi hari ini. Kali ini gambar K-Car tersebut dihantar oleh pembaca Wong Han Yu. Ini memberikan petunjuk yang kuat kemungkinan Perodua sedang membina Perodua Kenari generasi baharu, memandangkan Kenari sebelum ini dibina berasaskan Daihatsu Move L900 generasi kedua.

    Mengapa kami mengatakan sedemikian? Pertama, trade plate pada Move tersebut adalah milik Perodua. Trade plate yang sama sebelum ini dilihat digunakan pada sebuah Daihatsu Ayla, kemudiannya dijelmakan kepada Perodua Axia yang dilancarkan tidak lama selepas itu.

    Gambar yang lebih jelas diterima hari ini menyaksikan Move tersebut dilengkapi dengan roda aloi lapan-jejari, membolehkan kita mengenal pasti ia adalah dari varian asas Custom tanpa bantuan pengecas turbo, berlainan dari varian tertinggi Custom “Hyper” dan Custom RS turbo yang dilengkapi dengan roda aloi dua ton. Jadi, Move ini dijana dengan enjin tiga silinder berkapasiti 658 cc tertakluk dibawah undang-undang Kei Car Jepun, tanpa bantuan turbo, menghasilkan 52 ps pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 60 Nm pada takat 5,200 rpm.

    Dilihat bersebelahan dengan Toyota Innova di sebelahnya, Move kelihatan sangat kecil. Sekali lagi, ia tertakluk pada undang-undang Kei Car Jepun, yang memerlukan ia direka dengan ukuran panjang maksima 3.4 meter dan lebar maksima 1.48 meter. Dimensi Move juga menunjukkan ketinggiannya ialah 1,630 mm, jauh dari tinggi yang dibenarkan iaitu dua meter.

    Daihatsu-Move-Perodua-Kenari-Malaysia-02_BM

    Walaupun bersaiz kecil, Move Custom tersebut dilihat sarat dengan ciri-ciri terkini antaranya lampu hadapan dan belakang LED, sistem kunci pintar dan yang paling menarik ialah sistem bantuan pemanduan Smart Assist II. Sebuah konsol besar dapat dilihat pada bahagian bawah cermin pandang belakang, yang kelihatan membawa sebuah kamera menghadap kehadapan, dan sebuah penderia radar kelihatan pada gril bahagian bawah.

    Semua kelengkapan tersebut, termasuk penderia undur, menyediakan Move dengan beberapa ciri keselamatan, termasuk sistem amaran dan brek kecemasan automatik (AEB), amaran keluar laluan, false start prevention (untuk mengelakkan kemalangan akibat kekeliruan pedal) dan vehicle start warning untuk memberikan isyarat kepada pemandu apabila kenderaan hadapan sudah mula berjalan ketika berhenti di lampu isyarat. Kesemua ciri ini adalah opsyenal di Jepun, tetapi model asas Custom yang dijumpai ini dilengkapi kesemuanya.

    Adakah Perodua sedang membangunkan sistem AEB untuk kereta-kereta mereka? Ia mungkin kedengaran mustahil sekarang, tetapi kerajaan sedang dalam perancangan untuk mengezetkan implementasi sistem brek kecemasan automatik dan sistem amaran keluar laluan menjelang tahun 2020. Jadi memang ada kemungkinan jika Perodua sedang membangunkan sistem berkenaan untuk menghadapi undang-undang baharu tersebut kelak.

    GALERI: Daihatsu Move Custom RS di GIIAS 2015

     
     
  • Subaru Forester 2016 mula dibuka tempahan – RM144k

    2016-Subaru-Forester-Malaysia-price-1

    Tempahan bagi Subaru Forester 2016 kini telah pun dibuka, menurut Motor Image Malaysia. Crossover yang menerima suntikan kesegaran ini, ditawarkan dengan dua varian pemasangan tempatan (CKD) dan satunya diimport dari Jepun (CBU), yang membuat penampilan di Bangkok Motor Show baru-baru ini.

    Malah Pengarah Eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan, telah mendedahkan dua varian CKD itu – 2.0i dan 2.0i-P ditawarkan pada harga masing-masing RM144,160 dan RM153,700.

    Bagi pilihan CBU pula, varian XT pengecas turbo berharga RM210,940. Harga tersebut termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan cukai jalan. Kami juga diberitahu terdapat diskaun istimewa sebanyak RM3,000 akan ditawarkan apabila Forester 2016 ini dilancarkan di Malaysia pada 14 April ini.

    XT (kiri), 2.0i (kanan)

    Bagi Forester baharu ini, varian 2.0i dan 2.0i-P dijanakan oleh enjin 2.0 liter FB20 empat-silinder DOHC boxer aspirasi-natural (150 PS pada 6,200 rpm dan 198 Nm at 4,200 rpm). Manakala enjin XT (FA20) pula adalah pengecas turbo dan suntikan-terus dengan hamburan kuasa 241 PS pada 5,600 rpm dan 350 Nm pada 2,400 hingga 3,600 rpm.

    Kedua-dua enjin turut dipadankan dengan Lineratronic CVT, dengan pilihan turbo menerima modifikasi khas bagi mendapatkan output yang lebih tinggi. Antara elemen baharu yang ditampilkan pada penjana kuasa ini ialah X-Mode, yang boleh digunakan bagi laluan off-road.

    Secara visual, hanya varian 2.0i menerima bampar baharu seperti mana yang pernah kelihatan di Tokyo pada tahun lalu. Manakala varian 2.0i-P dan XT pula tampil dengan bampar yang sama rekaan dengan model pra-facelift XT. Walau bagaimana pun, varian-varian baharu ini dipadankan dengan gril, lampu belakang, lampu utama dan rim aloi baharu.

    2016-Subaru-Forester-2.0i-P-18

    Di bahagian dalamnya, kabin (foto 2.0i-P) kini lebih berada dalam kelas yang tinggi, termasuk dengan penampilkan kulit upholstery, paparan berwarna TFT LCD baharu, unit utama double-DIN dengan skrin sesentuh, roda stereng baharu dan tempat duduk berkuasa. Pada sesetengah kawasan pasaran, Forester juga menerima tambahan material kalis bunyi dan cermin yang lebih tebal bagi membantu meningkatkan lagi NVH kenderaan.

    Bagi aspek keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai serta bahagian lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka pengukuhan berbentuk-lingkaran, dan ABS (dengan EBD dan BA). Kit keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

    Apabila Subaru Forester dilancarkan disini, sekali gus akan memberikan persaingan pada Honda CR-V, Mazda CX-5, Nissan X-Trail dan Mitsubishi Outlander. Namun model mana yang lebih menarik perhatian anda?

     
     
  • MINI Clubman F54 – bakal dilancarkan di Malaysia?

    MINI Malaysia telah menyiarkan video di saluran YouTube mereka, bertajuk “Hit Chaser”. Video tersebut memaparkan kisah John O, penyanyi utama band tempatan Paperplane Pursuit, yang berjaya menempatkan lagu mereka di carta Billboard.

    Walaupun dengan jalan cerita yang mengkagumkan, video tersebut tidak langsung mengundang apa-apa yang menarik perhatian peminat automatif. Sehinggalah dihujung video tersebut diakhiri dengan ayat “Presented by the new MINI Clubman,” yang boleh disimpulkan sebagai petunjuk MINI generasi F54 versi wagon sedang dalam perjalanannya untuk menembusi pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Diperkenalkan kepada dunia Jun tahun lalu, MINI Clubman terbaharu telah menggugurkan rekaan ‘suicide door‘ di bahagian kanan seperti yang terdapat pada generasi R55 dan digantikan dengan pintu bukaan konvensional pada kedua-dua belah. Ini menjadikan MINI Clubman F54 sebagai sebuah wagon enam-pintu, jika anda mengira dua buah pintu di bahagian kargo belakang sebagai unit yang berbeza.

    MINI Clubman baharu ini juga lebih besar dan lebar berbanding model sebelumnya, diukur 4,253 mm panjang dan 1,800 mm lebar (R55, 3,945 mm panjang dan 1,685 mm lebar). Ia juga berketinggian 1,441 mm dengan jarak roda sepanjang 2,670 mm.

    Pilihan enjin dijangka akan menyerupai hatchback F55/F56, di mana varian Cooper dibekalkan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 136 hp/220 Nm, manakala varian Cooper S pula dilengkapi enjin empat silinder turbo MINI TwinPower 2.0 liter petrol berkuasa 192 hp/280 Nm. MINI One Clubman pula dibekalkan enjin tiga-silinder yang dikurangkan kuasa, menjana 102 hp/180 Nm.

    Enjin Cooper S dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan Steptronic automatik keluaran Aisin. Kotak gear tersebut juga boleh dijumpai dalam versi kedudukan menegak pada model BMW 2 Series (MINI pacuan hadapan, manakala 2 Series pacuan belakang) Active Tourer dan Gran Tourer, serta BMW X1 baharu. Enjin tiga-silinder pula akan dilengkapi dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Untuk keselamatan, MINI Clubman dilengkapi dengan beg udara hadapan, sisi, dan tingkap, cagak Isofix dan juga sistem ESP. Sistem bantuan pemanduan juga disertakan yang terdiri dari paparan Head-Up, Bantuan Parkir, kamera undur, kawalan kelajuan aktif, amaran pelanggaran dan pejalan kaki dengan fungsi bantuan brek awalan, bantuan lampu tinggi dan juga pengesan tanda jalan.

    Opsyen lain yang ditawarkan termasuklah lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, penghawa dingin dua zon, bumbung panorama kaca berkuasa elektrik, dan juga sistem alarm yang dilengkapi lampu status LED merah pada antena sirip yu.

     
     
  • VIDEO: Toyota menjelaskan sebab utama mereka kembali ke gelanggang WRC selepas 18 tahun

    The road makes the car.

    We are looking for different types of roads all over the world.There is no limit to making ever-better cars.So we are coming back to the WRC road.#Car#Vehicle#TOYOTA#WRC?Rally

    Posted by Toyota Global on Wednesday, March 30, 2016

    Sebuah video telah dimuat naik di laman facebook Toyota, merakamkan Presiden Toyota, Akio Toyoda atau nama penanya Morizo “bercakap dengan jalan” dan menjelaskan mengapa Toyota mengambil keputusan untuk kembali semula ke pentas Kejohanan Rali Dunia (WRC) setelah jenama tersebut mengundurkan diri pada tahun 1999.

    “Jalan yang akan menghasilkan kereta. Kami sedang mencari pelbagai jenis jalan di seluruh dunia. Tiada batasan untuk menghasilkan kereta yang lebih baik,” kata Morizo. Bersama dengan juara WRC empat kali, Tommi Makinen, Morizo memandu sendiri kereta rali Toyota 86.

    Ini diikuti oleh highlight Cabaran Rali TRD yang dilangsungkan merentasi Jepun dan Australia. Video berkenaan kemudiannya menunjukkan Toyota 86 diuji di atas pelbagai permukaan jalan, termasuk jalan batu kerikil, basah, dan kering. Toyoda kemudiannya menjelaskan, “Sekali lagi, saya rasa berkomunikasi dengan jalan adalah sangat mendalam. Ia menyentuh perasaan.”

    Pada akhir video ini, Toyoda menjelaskan mengapa syarikatnya mengambil keputusan untuk kembali semula ke kancah WRC – “Untuk menghasilkan kereta yang lebih baik, untuk memberikan senyuman kepada lebih ramai orang – kami kembali semula ke pentas WRC. Rali diadakan di atas jalan sebenar yang digunakan oleh masyarakat, kereta rali juga dibina berasaskan kereta sebenar yang dijual di pasaran,” kata beliau, dan menambah “Kami akan sentiasa berkomunikasi dengan jalan untuk membina kemahiran kami dalam penghasilan kereta yang lebih bagus.”

    Toyota mengesahkan kemasukan semula mereka dalam kejuaraan WRC pada 2017 dan akan mempertaruhkan jentera Yaris WRC. Kereta rali tersebut dikuasakan dengan enjin 1.6 liter turbo pancitan bahan api terus berkuasa lebih dari 300 hp. Sementara itu, Autosport melaporkan Yaris WRC akan memulakan program ujiannya bermula bulan ini.

    GALERI: Toyota Yaris WRC

     
     
  • Jejambat Lebuhraya Bayan Lepas dibuka hari ini

    Jejambat Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) dibuka kepada pengguna hari ini yang dilihat mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Batu Maung dan Sungai Nibong.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembukaan struktur bertingkat empat lorong berkembar bernilai RM337 juta itu menepati jadual dan merupakan sebahagian daripada inisiatif penguraian trafik di kawasan berkenaan, laporan Bernama.

    Mengenai perkembangan pembinaan Lebuhraya Bayan Lepas (BLE), beliau berkata, “Pembinaan BLE yang bermula pada 1 April 2014 kini 99% siap dengan baki satu peratus membabitkan beberapa kerja kecil bagi laluan basikal dan kerja landskap.”

    Katanya lagi, BLE terbahagi kepada dua komponen iaitu struktur bertingkat (atas) berukuran 3.2 kilometer manakala laluan searas (bawah) sepanjang 4.2 kilometer.

    Di mana lebuhraya itu mampu menampung jumlah trafik harian sehingga 70,000 kenderaan pada tahap perkhidmatan (LOS-Level of Service) A di laluan bertingkat dan LOS C di laluan searas.

    “Bagi tahap LOS A, setiap lorong terdapat tujuh kenderaan per kilometer, manakala bagi LOS C, 11 hingga 16 kenderaan per kilometer,” kata Fadillah.

    Menurut beliau, sepanjang laluan itu terdapat tiga persimpangan iaitu Hilir Sungai Kluang, Lebuhraya Kampung Jawa dan Jalan Kampung Jawa.

    Katanya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, laluan BLE dilengkapi dengan lampu jalan LED, sistem saliran, laluan basikal, jejambat basikal dan pembahagi jalan.

     
     
  • Toyota Malaysia anjur promosi hebat Wow Deal sepanjang April ini – peluang mendapat rebat tunai sehingga RM4k, servis percuma selama lima tahun

    Toyota_deal_1

    Toyota Malaysia telah menawarkan promosi hebat ‘Wow Deals’ khas untuk pelanggannya yang membeli mana-mana model terpilih dari sekarang hingga 30 April 2016. Ia turut termasuk dengan waranti lima tahun yang baru diperkenalkan, pelanggan juga berpeluang menerima rebat tunai sehingga RM4,000, aksesori percuma dan pakej servis percuma dalam tempoh waktu yang terhad.

    Menambahkan lagi keseronokan, kuiz ‘beli dan menang’ juga telah bermula sekarang hingga 31 Mei 2016. Cara untuk menyertainya mudah, anda hanya perlu memandu uji dan membeli mana-mana model Toyota sepanjang tempoh tersebut dan berpeluang memenangi sama ada Toyota Corolla Altis 1.8G atau Vios TRD Sportivo, yang kedua-duanya tampik dengan pek ‘Rekaan Sporty’. Malah baucer membeli-belah bernilai RM500 juga boleh direbut bagi mereka yang memandu uji.

    Walau bagaimana pun, ganjaran ini bergantung pada pemilihan model dan varian. Sebagai contoh, mereka yang membeli Vios berpeluang menerima rebat tunai sehingga RN4,000 dan aksesori percuma bernilai sehingga RM6,000. Sementara bagi yang membeli Corolla Altis pula berpeluang menerima rebat sehingga RM3,000 dan aksesori percuma sehingga RM7,200.

    Bagi Camry Hybrid pula, rebat tunai sebanyak RM2,000 menanti pembelinya. Selain itu, pakej penyelenggaran berkala selama lima tahun secara percuma juga ditawarkan untuk pembelian Vios, Corolla Altis dan Camry Hybrid.

    Toyota Malaysia turut menawarkan rebat tunai bernilai RM2,000 dan aksesori percuma sehingga RM3,100 untuk pembeli Toyota Innova 2.0E. Namun pembelian Innova 2.0G tidak mendapat rebat tunai tetapi menerima aksesori percuma bernilai RM6,900. Avanza pula hadir dengan rebat tunai sebanyak RM1,000 untuk semua varian. Selain itu, Fortuner turut menawarkan aksesori percuma bernilai RM2,100.

    Walau bagaimana pun, model Hilux baharu tidak tersenarai dalam promosi ini – memandangkan ia sedang menanti waktu untuk dilancarkan. Program ganjaran ini juga boleh didapati bagi semua pembelian menerusi acara siri jelajah Toyota WOW di semua lokasi penganjurannya.

     
     
  • Porsche diputuskan tidak bersalah di mahkamah atas dakwaan cuai dan menyebabkan kematian Paul Walker

    paul walker fnf screengrab

    Hakim telah memutuskan Porsche tidak bersalah menyebabkan kematian dalam satu nahas jalan raya membabitkan pelakon Fast & Furious, Paul Walker, lapor Associated Press. Kekurangan bukti yang difailkan oleh Kristine Rodas – isteri kepada Roger Rodas, pemandu Porsche Carrera GT yang terlibat dalam kemalangan tersebut – merupakan sebab utama dakwaannya terhadap Porsche gagal untuk dibuktikan.

    Tidak cukup bukti untuk membuktikan dakwaan kematian suami Rodas adalah disebabkan Carrera GT tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan yang mencukupi, perintah hakim daerah, Philip S. Gutierrez. Tiada juga bukti yang menunjukkan sistem suspensi kereta berkenaan gagal untuk berfungsi sebelum kemalangan itu berlaku, jelas Gutierrez.

    Kristine Rodas mendakwa dalam tuntutan beliau, kereta tersebut sepatutnya dilengkapi dengan roll cage dan sel bahan api. “Plaintif menyediakan bukti yang tidak kompeten untuk menyatakan kematian Rodas adalah disebabkan oleh apa-apa kecuaian dari pihak defenden,” tulis hakim berkenaan. Mark Geragos, peguam kepada Kristine Rodas walau bagaimanapun berkata, rayuan akan dikemukakan atas keputusan tersebut.

    Di sudut lain, Gutierrez turut menyalahkan tindakan Rodas yang bersandarkan pada analisa kesan tayar yang diambil sebulan setengah selepas kemalangan itu berlaku, berbanding pada gambar yang diambil oleh para penyiasat ditempat kejadian tersebut.

    Porsche Carrera GT

    Walau bagaimanapun, pihak mahkamah tidak boleh mengaitkan keputusan ini dengan dua kes lagi yang difailkan oleh ayah dan anak perempuan Paul Walker terhadap Porsche. Kedua-dua kes berkenaan masih lagi tertangguh di Mahkamah Tinggi Los Angeles.

    Porsche telah menafikan apa-apa kesalahan pada rekabentuk, pengeluaran atau pemasaran Carrera GT. Syarikat tersebut walau bagaimanapun telah mencabar tuntutan yang difailkan oleh anak perempuan Walker (Meadow Walker), dan menyatakan kereta tersebut telah diubahsuai dan tidak diselenggara dengan betul yang menyumbang kepada sebab kemalangan itu berlaku. Para jurutera dari Porsche turut membantu penyiasatan, dengan mentasir kerosakan pada kereta tersebut.

    Penyiasatan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Sheriff Daerah Los Angeles dan Peronda Lebuhraya California menyimpulkan kelajuan adalah punca kemalangan itu, dan bukannya masalah mekanikal. Semua kes yang diketengahkan menentang Porsche memberi hujah menyatakan Carrera GT tersebut dipandu pada kelajuan yang lebih perlahan, iaitu sekitar 100-115 km/h, berbanding 130-150 km/j yang dilaporkan oleh pihak penyiasat.

     
     
  • Kejara dan AWAS mungkin tangguh hingga Ogos ini?

    Klik untuk besarkan imej

    Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Kejara mungkin tidak akan dilaksanakan bulan hadapan seperti yang dijangka. Kemungkinan besar sistem penguatkuasaan itu akan dilaksanakan pada Ogos ini iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri.

    “Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru sahaja memperoleh maklumbalas dari orang awam berkaitan Kejara pada akhir Mac lalu. Langkah seterusnya ialah untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Dewan Rakyat selepas Menteri Pengangkutan memuktamadkan perincian terakhir itu,” ujar sumber yang memberitahu The Sun.

    Sumber tersebut turut memberitahu penangguhan itu termasuk perbincangan lanjut di Dewan Negara. Baru-baru ini Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan dijadualkan akan dibentangkan di Parlimen pada Mei ini.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, perkara ini akan dibentangkan pada April (bulan ini) dan pelaksanaannya akan bermula bulan hadapan. Namun nampak gayanya ia terpaksa ditangguhkan lagi.

     
     
  • Sikap pentingkan diri masyarakat Malaysia penyebab kemalangan motosikal yang membabitkan kematian

    Motorcycles

    Menurut ketua polis trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain, sikap pentingkan diri di kalangan masyarakat Malaysia merupakan penyumbang utama berlakunya kemalangan trafik pada tahun 2015, di mana dalam sesetengah kes, melibatkan kehilangan nyawa.

    Mohd Nadzri menjelaskan dari Januari 2015 hingga Disember 2015, sejumlah 11,519 kemalangan membabitkan motosikal telah dilaporkan. Daripada jumlah keseluruhan, 177 kes melibatkan kematian. Beliau berkata kesalahan trafik biasanya dilakukan oleh penunggang penghantar surat dan penghantar makanan, yang melakukan pusingan-U di tempat yang tidak dibenarkan dan menunggang berlawanan arah.

    “Apa yang memeranjatkan kami adalah sikap pentingkan diri masyarakat Malaysia. Tidak banyak bezanya masa yang diambil jika mereka membuat pusingan-U di tempat yang dibenarkan. Mereka seolah-olah tidak memperdulikan keselamatan pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang lain. Ia nampak seperti kesalahan kecil tetapi kami memperoleh banyak laporan kemalangan maut disebabkan membuat pusingan-U di tempat yang tidak dibenarkan,” ujar beliau kepada The Sun.

    Untuk menangani isu ini, Mohd Nadzri berkata pihak polis akan mengambil beberapa langkah, termasuk menjalankan ‘Ops Roda’ hampir setiap hari. “Kami mempunyai pasukan yang menjalankan operasi setiap hari. Pada waktu siang kami akan menjalankan ‘Ops Roda’, dan pada malam hari, biasanya kami akan menjalankan operasi lain seperti ‘Ops Mabuk’ dan ‘Ops Speeding’,” tambah beliau.

    PDRM_OPS_PELAJAR2

    Pelajar sekolah turut tidak terlepas dari pandangan pihak polis di mana mereka menjalankan operasi istimewa diberi nama ‘Ops Didik’ di sekolah-sekolah. Operasi tersebut mensasarkan golongan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen yang sah.

    “Ia agak memeranjatkan apabila menyaksikan ibu bapa membenarkan anak mereka menunggang sendiri motosikal ke sekolah tanpa lesen. Sebahagian daripada mereka ditangkap adalah pelajar di bawah umur dalam lingkungan 13- hingga 15-tahun. Pada saya, ia masih tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak mereka. Ia bermula dari rumah,” kata Mohd Nadzri.

    Dalam operasi selama empat hari yang diadakan di sekolah-sekolah tahun lalu, sejumlah 274 saman telah dikeluarkan kepada pelajar sekolah kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik sementara 74 buah motorsikal telah disita, tambah beliau.

     
     
  • Pembinaan jalan raya di Sabah pada masa depan akan ambil kira faktor gempa bumi – Musa Aman

    SabahRoad_2

    Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah mengeluarkan kenyataan bahawa pembinaan semua jalan raya di Sabah pada masa depan akan mengambil kira faktor dan risiko gempa bumi.

    Katanya, agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengkaji pengalaman serta berkongsi idea dan teknologi dengan negara yang biasa dilanda gempa bumi bagi diaplikasikan dalam pembinaan jalan raya di negeri ini pada masa depan, laporan Bernama.

    “Sebab itu, kita menjemput pakar-pakar dari negara-negara yang biasa dilanda gempa bumi seperti Taiwan, Jepun dan lain-lain kerana kita ingin mengetahui bagaimana cara-cara dan apa teknologi yang diguna pakai di negara berkenaan dalam pembinaan jalan raya mereka.

    “Jurutera kita juga sudah mempelajari teknologi (yang berkaitan dengan gempa bumi) tetapi kita juga mahu berkongsi dan mendapatkan lebih banyak idea dengan negara yang pernah megalami gempa bumi ini,” katanya kepada pemberita.

     
     
  • VIDEO: Ciri-ciri pada Honda Civic 2016 ditonjolkan

    Ketika kita sedang menunggu saat untuk Honda Civic 2016 dilancarkan di Malaysia, Honda Thailand kini sedang giat mempromosikan kereta tersebut dengan menyiarkan beberapa video menunjukkan ciri-ciri dan teknologi pada sedan segmen-C berkenaan, yang kini sudah pun mula dijual di pasaran Thai.

    Model yang membintangi siri video ini adalah dari varian tertinggi dalam barisan Civic pasaran Thai iaitu Turbo RS, dikuasakan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo menjana 173 hp dan tork maksima 220 Nm bermula 1,700 hingga 5,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear CVT.

    Prestasi hasil gabungan teknologi VTEC dan pengecas turbo sebenarnya sudah cukup komersial untuk menaikkan nama Civic baharu ini, tetapi apa yang mahu ditonjolkan disini ialah ciri-ciri sampingan padanya yang boleh membuatkan ia sukar ditandingi dalam pasarannya. Untuk permulaan, anda boleh menghidupkan enjin ini dari luar kereta menggunakan butang pada alat kawalan kunci pintar, sambil menghayati bentuk badan kereta ini.

    Melangkah masuk kedalam kabin, pemandu akan dihidangkan dengan skrin TFT LCD (digelar sebagai Driver Information Interface) yang memberikan pelbagai informasi bukan sahaja takometer dan meter kelajuan digital, ia juga turut memberikan informasi berkenaan sistem infotaimen dan sistem komputer perjalanan pada satu tempat. Jadi sebagai pemandu, mata anda hanya perlu digerakkan sedikit kebawah ketika memandu untuk memperolehi segala maklumat tersebut tanpa menggerakkan kepala.

    Untuk sistem infotaimen pula, sistem Advanced Display Audio Civic dilengkapi dengan skrin sesentuh tujuh-inci yang turut dilengkapi aplikasi Apple Carplay dan Siri Eyes Free. Gabungan sistem dan aplikasi ini membolehkan anda menggunakan skrin tersebut untuk mengawal fungsi-fungsi pada telefon pintar, yang pastinya menyenangkan apabila anda mahu memainkan muzik dari telefon dan juga penggunaan alat hands-free.

    Fungsi sistem Honda LaneWatch turut diperkenalkan, tetapi ia hanya dilengkapi pada varian Turbo RS. Sistem ini membantu pemandu memberikan gambaran yang lebih jelas, termasuk bahagian yang tidak boleh dilihat pada cermin sisi sebelah kiri, tanpa memusingkan kepala kearah tersebut. Dengan hanya menekan suis pada tuil isyarat, visual dari kamera yang diletakkan dibawah cermin sisi sebelah kiri akan terus dipaparkan pada skrin sesentuh sistem infotaimen.

    Semua ciri-ciri ini adalah sebahagian dari spesifikasi Civic pasaran Thai. Adakah ia akan turut dilengkapi untuk Civic pasaran Malaysia? Ini akan hanya diketahui semasa pelancarannya disini nanti, yang dijangkakan akan berlangsung setelah “Civic terbaik pernah dibina” ini dilancarkan di Indonesia dan Filipina.

    GALERI: Honda Civic 2016 Spesifikasi Thai

     
     
  • Tun Mahathir jelaskan sebab beliau keluar dari Proton

    Proton Tun Mahathir Interview 3

    Perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusi Proton menjadi isu terhangat sejak kebelakangan ini. Ramai yang memberikan pendapat, sama ada sudut positif mahu pun negatif. Ini termasuklah dari beberapa menteri sendiri, antaranya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berkata Tun Dr Mahathir perlu menjawab mengapa syarikat automotif tempatan itu dilanda masalah kewangan yang serius walaupun berbilion wang rakyat sudah dibelanjakan terhadapnya.

    Selain itu, presiden Persatuan Pengedar Proton Edar (PEDA) Armin Baniaz Pahamin, turut memberikan pendapatnya menerusi entri di laman blognya, Stay Tuned. Beliau berkata, kemelut yang melanda Proton bukanlah berpunca daripada Tun Mahathir, malah ia telah berlarutan sejak sekian lama iaitu ketika Proton di bawah seliaan Khazanah Nasional.

    Kiri dan kanan, depan dan belakang, orang bercerita tentang isu ini. Namun tuan empunya badan sendiri, iaitu Tun Mahathir tidak berkata apa-apa mengenainya. Sehinggalah malam tadi, beliau memuat naik entri baharu di laman blognya, chedet.cc, menjelaskan sebab-sebab keputusan tersebut dibuat. Beliau memberikan gambaran tentang dirinya sebagai persona non grata (seseorang yang tidak diundang) dengan kerajaan, yang dilihat sebagai boleh menjejaskan masa depan Proton.

    Tun Mahathir turut berkongsi wawasannya untuk menjernihkan semula suasana termasuk pandangannya berkaitan kewangan Proton serta hal-hal berkaitan, antaranya pemberian geran, cukai dan insentif lain. Menurut beliau, “Proton telah membayar Kerajaan lebih daripada apa yang dibantu oleh Kerajaan terhadap Proton.”

    Malah bekas pengerusi Proton itu turut menggambarkan betapa pentingnya Proton yang banyak memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sama ada secara langsung atau tidak langsung (vendor). Beliau turut memberikan perincian mengenai kepayahan Proton untuk memasuki pasaran asing, disebabkan pelbagai tarif dan sekatan bukan-tarif yang ditetapkan di atas sana.

    Menerusi catatannya, ia turut memberikan respons daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada tarikh 1 April 2016, Mustapha berkata, model perniagaan sedia ada Proton tidak mampan dan kerajaan akan membuat pertimbangan sebelum memberikan lebih banyak bantuan.

    Berikut merupakan kenyataan daripada blog Tun Mahathir:

    Saya rasa saya berhutang penjelasan untuk anda semua tentang mengapa saya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton.

    Saya tidak disingkirkan oleh pengurusan Proton atau pemiliknya. Saya menentukan (keputusan ini) bersendirian, demi Proton saya harus meninggalkan. Lantarannya saya tiada dendam terhadap Proton ataupun saya mahukannya gagal selepas saya pergi.

    Ini kerana nampaknya Proton akan berhadapan kesusahan dengan Kerajaan, dan untuk sebab yang tidak diketahui, jualan kereta-kereta Proton telah jatuh menjunam.

    Saya tahu saya persona non grata dengan Kerajaan. Saya tidak mahu untuk menjadi punca ketidakupayaan Proton pulih disebabkan oleh kehadiran saya.

    Saya sebenarnya mahu melihat Proton pulih dan melakukan dengan baik.

    Jadi, tolonglah, pemilik-pemilik Proton dan pembeli, jangan kerana saya tidak lagi pengerusi, anda tidak menyokong Proton. Tolonglah teruskan menyokong Proton.

    Proton mempunyai banyak idea terbaik untuk memperkenalkan model baharu dengan kualiti yang bagus. Bulan ini, Perdana baharu bakal dilancarkan. Tahun ini juga, Persona dan Saga baharu akan dilancarkan.

    Proton tidak boleh mengharapkan apa jua bantuan daripada Kerajaan.

    Hanya pemilik dan penggemar Proton sahaja yang boleh membantu Proton. Jadi, tolonglah membantu Proton, pengeluar kereta nasional anda.

    1. Saya tidak lagi Pengerusi Proton. Bagaimanapun saya rasa keperluan untuk menyatakan fakta.

    2. Pertama, Proton kini menjadi milik persendian selepas ia dibeli pada harga RM5.50 sesaham (harga asalnya RM2.95 tetapi bidaan menjadikan harganya tinggi), sebahagian besarnya dari Khazanah dan beberapa pemegang saham lain. Khazanah sepatutnya memegang saham untuk Bumiputra tetapi sekarang mewakili Kerajaan. Proton bukan GLC (Government Linked Company/Syarikat Berkaitan Kerajaan).

    3. Dasar Kerajaan dahulunya, adalah untuk menggalakkan (penggunaan) kandungan tempatan. Semua kereta yang diperbuat atau dipasang di Malaysia berhak mendapat rebat bagi duti eksais berdasarkan peratusan kandungan tempatan yang digunakan. Kebanyakan kereta-kereta asing yang dipasang di Malaysia mempunyai 30-40% kandungan tempatan. Proton mempunyai hampir 90% kandungan tempatan. Lantaran itu, rebat untuk Proton adalah lebih tinggi. Ia bukan satu keistimewaan untuk Proton sahaja. Semua kereta tempatan dan asing menikmati keistimewaan ini. Kandungan tempatan meningkatkan kos mengeluarkan kereta. Ini adalah kerana elaun pemotongan oleh syarikat asing selalunya lebih rendah dari kos komponen tempatan.

    4. Kerajaan mendakwa telah menyediakan bantuan, pelbagai bentuk bantuan serta pencukaian kira-kira RM13.9 bilion dalam keseluruhannya.

    5. Kebanyakannya terdiri daripada cukai tetap. Rekod Proton adalah seperti berikut:
    (1) RM1,320 juta sebagai cukai insentif kepada Proton yang juga layak diperoleh bagi kereta bukan-nasional.
    (2) RM773.8 juta bagi Geran G&D, geran khas, pakej rangsangan, yang layak diperoleh bagi semua pengeluar automotif.
    (3) RM12,532.6 juta untuk insentif tempahan, juga layak diperoleh semua pemain industri automotif.
    Jumlah sumbangan Kerajaan dari 1985 – hingga ke tarikh berjumlah RM14,631.4 juta.

    Perincian (1), (2) and (3) dilampirkan.

    Jumlah sumbangan Proton kepada Kerajaan sejak 1985 keseluruhan berjumlah RM24,905 juta.
    Ini terdiri daripada:
    (i) Duti eksais dari 1985 ke atas – RM11,785 juta
    (ii) Cukai jualan dari 1985 ke atas – RM9,470 juta
    (iii) Cukai korporat dari 1985 ke atas – RM1,410 juta
    (iv) Duti import dari 1985 hingga 2008 – RM1,403 juta
    (v) GST dari 1 April 2015 – RM28 juta

    Jumlah keseluruhan: RM24,095 juta

    Ternyata, Proton telah membayar lebih kepada Kerajaan berbanding yang diberikan oleh Kerajaan kepada Proton.

    Suntikan modal oleh Kerajaan dalam dua buah dana berjumlah RM400 juta. Ini telah dibayar sepenuhnya. Di mana, Proton telah dibiayai sepenuhnya bagi kilang Tanjung Malim berjumlah RM1.8 bilion dari akaun-akaun syarikat, tapi yang mengejutkan sebenarnya dana dalaman Proton memiliki sejumlah RM4 bilion.

    6. Sebagai tambahan, Proton telah membuka peluang pekerjaan kepada 12,000 pekerja secara langsung dalam satu masa, dan lebih 250,000 secara tidak langsung. Proton juga telah mengurangkan pengaliran dana mungkin berjumlah lebih daripada RM100 bilion.

    7. Para vendor turut mendapat peluang pekerjaan dan ini mengurangkan pengaliran bagi dana.

    8. Kita boleh melupakan pembangunan keupayaan kejuruteraan sebagai dasar kita sekarang iaitu mahu menggalakkan import.

    9. Secara kebetulan, semua negara yang mengeksport kereta ke Malaysia melaksanakan tarif dan sekatan bukan-tarif, mengakibatkan pengecualian pengimportan Proton ke dalam negara mereka. Ini berbeza dengan dasar kita yang membenarkan kereta-kereta asing masuk Malaysia tanpa sekatan atau had minimum.

    10. Ia seharusnya dinyatakan bahawa Proton perlu bersaing dalam pasaran domestiknya sendiri terhadap jenama asing seperti Toyota (10 juta unit kereta setahun), pembuat-pembuat kereta Korea Selatan (lima juta buah kereta setahun), pembuat-pembuat kereta Jerman (enam juta buah kereta setahun) dan lain-lain.

    11. Syarikat ini masih mampu biarpun (mungkin) kehilangan kereta mereka di Malaysia dan mendapatkannya semula di pasaran lain. Selain skala ekonomi, Proton tidak memasuki pasaran asing kecuali di negara-negara miskin dengan Jumlah Keseluruhan Industri rendah.

    12. Hari ini Kerajaan sudah tidak ada harga diri dalam menghasilkan produk buatan nasional. Import lebih murah dan terdapat lebih ramai pengguna daripada pengeluar. Dalam sebuah demokrasi, jumlah diambil kira. Jadi menyenangkan dengan lebih banyak adalah lebih penting daripada keupayaan negara untuk membangunkannya.

     
     
  • Khairy mahu sektor swasta menaja sukan bermotor

    Khairy-Jamaluddin

    Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu lebih banyak syarikat swasta untuk menaja sukan bermotor dalam negara berikutan kos yang agak tinggi diperlukan untuk sukan tersebut.

    “Saya meminta lebih banyak sektor swasta tampil kehadapan kerana kos dalam sukan bermotor ini sangat tinggi,” kata beliau kepada Bernama.

    “Untuk pihak kementerian, kami akan memfokuskan program pembangunan bakat baru tetapi apabila mereka mencapai tahap tertentu dalam MotoGP, kami harap akan ada bantuan dari sektor swasta. Saya percaya pulangannya akan turut lumayan kelak,” ujar beliau apabila ditanya pembabitan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam sukan bermotor.

    Menurut Khairy, KBS telah bekerjasama dengan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk mengkoordinasi pembangunan sukan bermotor sejak tahun lalu dengan bantuan RM2 juta.

    Tambah beliau lagi, penunggang pasukan Drive M7 SIC Racing Team, Adam Norrodin, 17, yang berlumba dalam kategori Moto3 di Kejohanan MotoGP juga menerima tajaan dari KBS.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025