Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Iriz dibuka tempahan di Indonesia – hanya 1.3 standard, di bawah RM67k, dilancarkan 18 Feb ini

    Proton Iriz dibuka tempahan di Indonesia – hanya 1.3 standard, di bawah RM67k, dilancarkan 18 Feb ini

    Sudah hampir dua tahun Proton merencana untuk membawa masuk model Iriz ke pasaran Indonesia, baru kini ia dapat direalisasikan. Malah tempahan bagi Iriz telah pun dibuka dan dijangka dilancarkan pada 18 Februari ini, menurut Auto Bild Indonesia.

    Walau bagaimana pun, hanya satu varian sahaja yang akan ditawarkan buat masa ini iaitu model standard 1.3 yang dijanakan oleh enjin 1.3 liter VVT dengan kuasa 94 hp pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT. Ia dijangka akan dijual di bawah Rp 200 juta (RM66,700), dan bersaing dengan Perodua Myvi (dengan logo Daihatsu Sirion di sana), yang berharga dari Rp 162.5 juta (RM54,200).

    Menjelaskan tentang ketiadaan model varian tertinggi 1.6 liter untuk pasaran di sana, ketua serantau bagi Proton ASEAN International (bahagian jualan) Shahidin Sahamid berkata, “Kami melihat skim cukai di Indonedia, di mana kenderaan dengan kapasiti enjin melebihi 1.5 liter melibatkan cukai yang lebih tinggi. Justeru kami melancarkan model 1.3 liter terlebih dahulu.”

    Model spesifikasi Indonesia ini lebih seiras dengan yang dipasarkan di sini, didatangkan dengan lampu utama projektor, roda 14-inci, lampu belakang LED, pemegang pintu dan perumah cermin sisi berwarna hitam. Di dalamnya, ia juga dipadankan dengan tempat duduk balutan fabrik dan unit utama dua-DIN bersama sambungan Bluetooth. Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD bersama bantuan brek dan kawalan kestabilan, yang tidak ditawarkan oleh model pesaingnya di sana.

    GALERI : Proton Iriz 1.3 standard MT

     
     
  • Suzuki Ertiga Diesel dilancar di Indonesia – enjin 1.3 liter disokong sistem hibrid ringkas, harga RM73,296

    Suzuki Ertiga Diesel dilancar di Indonesia – enjin 1.3 liter disokong sistem hibrid ringkas, harga RM73,296

    Suzuki Ertiga Diesel akhirnya dilancarkan di Indonesia, dengan harga 219,500,000 rupiah, bersamaan RM73,296. MPV ini, yang diimport untuk pasaran Indonesia dari India akan menyertai Ertiga standard yang dijual pada harga antara 184,000,000 rupiah (RM61,442) dan Ertiga Dreza berharga 217,900,000 rupiah (RM72,762).

    Di bawah hud Ertiga Diesel terdapat enjin 1.3 liter D13A empat silinder turbodiesel DDiS yang menyediakan 89 hp pada 4,000 rpm dan 200 Nm tork pada 1,750 rpm. Enjin suntikan terus ini dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan seperti yang dilaporkan sebelum ini, ia juga disambung bersama sistem Smart Hybrid Vehicle (SHVS) oleh Suzuki sendiri.

    Tetapan hibrid ringkas ini menampilkan Integrated Starter Generator (ISG), menggantikan alternator dan bateri 12V 70 Ah yang lebih besar. ISG ini bertindak memberikan keupayaan penjanaan semula kuasa brek untuk mengecas semula bateri, memberikan bantuan kepada enjin semasa baru mula memecut, serta menyokong sistem start/stop semasa berhenti. Suzuki mendakwa Ertiga Diesel boleh mencatat penggunaan bahan api 22.6 km/l, berdasarkan kajian Balai TMP (Termodinamika Motor dan Propulsi).

    Dari aspek penggayaan, Ertiga Diesel kelihatan hampir sama seperti versi petrol (selain Dreza), tetapi mempunyai tambahan kemasan seperti krom di gril, lampu kabus, cermin sisi yang boleh dilipat secara elektronik, lencana hibrid dan rim aloi.

    Di dalam, pembeli akan mendapat tempat duduk fabrik dengan corak yang berlainan, cermin pandang belakang larasan manual untuk dimalapkan, pendingin hawa dengan fungsi anti kabus di belakang, penunjuk gear, roda stereng dan tombol gear berwarna beige, dan sistem audio standard.

    Di Malaysia, Ertiga hanya boleh didapati dalam versi yang dipacu enjin K14B 1.4 liter petrol N/A, dan pelanggan boleh memilih varian Executive (MT dan AT) atau Executive Plus (AT sahaja). Jika anda berharap versi diesel ini akan datang ke Malaysia, Proton telah memberitahu, ia tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini.

    “Kami masih belum ada perancangan untuk membawa Ertiga Diesel ke Malaysia. Kami mempunyai sasaran jualan 1,500 unit kenderaan ini, dan ia adalah satu jumlah yang berpatutan untuknya, dan boleh dilaksanakan model sedia ada ini,” kata bekas ketua pegawai eksekutif Proton Edar, Rohime Shafie.

     
     
  • Kerajaan pertimbangkan siling bagi harga bahan api

    Kerajaan pertimbangkan siling bagi harga bahan api

    Kerajaan mengesahkan penetapan siling antara pilihan yang sedang dipertimbangkan untuk menangani isu harga minyak meningkat, laporan Bernama

    Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di beberapa negara maju, kerajaan akan membiarkan harga minyak terapung, dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

    “Apabila kami (kerajaan) telah membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada mereka (penggiat industri minyak dan gas) mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, kami menyerahkannya kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga perlu berhati-hati sama ada dasar itu menjadi masalah kepada mereka yang tinggal di luar bandar. “Kami bimbang penggiat industri akan lebih memberi tumpuan untuk mendapatkan hasil daripada pengguna di bandar, dan tidak mahu melakukan perkara yang sama kepada mereka yang di luar bandar. Kami perlu berhati-hati mengenai ini juga,” katanya.

    Mengenai pengenalan semula subsidi bahan api, Johari berkata, ia tidak baik kepada ekonomi Malaysia dan tidak mampan. “Kami sedar mengenai harga minyak. Kami akan memantaunya. Jika ia terus meningkat dan jika ada pendapatan tambahan, saya rasa kerajaan boleh mempertimbangkan bentuk bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah, tetapi bukan golongan berada,” katanya dan mengesahkan kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme.

    Kerajaan pertimbangkan siling bagi harga bahan api

    “Bagaimanapun, buat masa ini tiada formula lagi, tetapi kerajaan telah memutuskan bahawa ia tidak boleh mengembalikan dasar ini (subsidi),” katanya.

    Johari berkata kerajaan mengambil kira kos sara hidup dan mengenal pasti tekanan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Menurut Laporan Ekonomi 2015/2016, kumpulan B40 terdiri daripada isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

    Beliau berkata jika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak mencukupi, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meningkatkannya bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. “Bagaimanapun, jika harga minyak merosot pada masa akan datang, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. Ini adalah pembolehubah dan formula yang kerajaan perlu ambil,” katanya.

    Katanya dari segi harga minyak, negara lain berkongsi nasib yang sama. “Kami tidak dapat mengawal harga, dan apabila harga meningkat, harga minyak Malaysia alami kenaikan yang sama,” katanya.

     
     
  • Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Audi telah memperkenalkan RS3 Sportback baru, yang kini menyertai versi sedan yang ditampilkan semasa Paris Motor Show 2016. Model ini akan akan muncul di khalayak ramai buat pertama kali semasa Geneva Motor Show bulan depan, dan pelancaran untuk jualannya akan berlaku pada bulan Ogos nanti.

    Ia dikuasakan oleh enjin sama seperti RS3 Sedan, iaitu unit 2.5 liter TFSI lima silinder, dengan kuasa sebanyak 400 hp (33 hp lebih berbanding model sebelum ini) dan 480 Nm tork pada 1,700 hingga 5,850 rpm. Untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, RS3 Sportback hanya memerlukan 4.1 saat dan kelajuan maksimumnya adalah 250 km/j (boleh dijadikan 280 km/j jika diminta).

    Audi menyatakan bahawa enjin ini adalah 26 kg lebih ringan, hasil daripada pelbagai peningkatan termasuk penggunaan crankcase aluminium. Enjin ini juga menggunakan sistem dual injection pada bahagian intake manifold seterusnya ke dalam ruang pembakaran, manakala sistem valvelift berada pada manifold ekzos.

    Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Digabungkan padanya adalah transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan Audi S Tronic, yang menyampaikan kuasa kepada sistem pacuan empat roda Quattro. Di dalamnya terdapat klac multi-plate untuk membahagikan tork secara berasingan kepada dua gandar yang ada.

    Sistem pacuan ini juga bekerja bersama sistem kawalan dinamik kenderaan, yang boleh mengubah tindak balas stereng, S Tronic, pengurusan enjin, flap ekzos boleh laras dan suspensi RS Sport Plus (pilihan tambahan) dengan kawalan penyerap boleh laras.

    Pemandu disediakan dengan tiga mod pemanduan – Comfort, Auto dan Dynamic. Seperti juga versi sedan, ciri ESC kenderaan ini diubah untuk memasukkan kawalan tork boleh pilih untuk setiap tayar dan mod sport yang membolehkan kenderaan membuat drift, pada model RS.

    Ubah suai casis yang dilakukan pula termasuk tetapan suspensi 25 mm lebih rendah berbanding A3 dan jarak di antara roda hadapan lebih lebar 20 mm, disertakan dengan lengkung roda yang lebar untuk memuatkan rim 19 inci (dengan tayar 235/35) dan brek cakera 310 mm (pilihan brek gentian seramik turut disediakan).

    Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Selain semua ini, RS3 juga boleh dibezakan berbanding A3 biasa dengan melihat kepada gril jenis Singleframe yang digunakan, bersama honeycomb berwarna hitam berkilat, logo Quattro di bahagian bawah dan ruang salur udara lebih besar. Pada bahagian belakang, terdapat pula spoiler bumbung RS, diffuser pada bampar dan sistem ekzos RS dengan muncung yang lebih besar. Lampu LED datang secara standard manakala lampu LED Matrix disediakan sebagai pilihan.

    Di dalam, anda akan disambut dengan suasana gelap, menampilkan tempat duduk yang dibalut kulit Nappa (boleh dinaik taraf kepada tempat duduk sport RS), roda stereng RS yang rata di bahagian bawah, kokpit virtual, serta skrin RS.

    Barangan lain yang boleh didapati adalah termasuk Audi MMI Navigation Plus dengan sistem sesentuh MMI, sambungan LTE, Apple CarPlay dan Android Auto, Audi Phone Box, sistem bunyi Bang & Olufsen 705-watt serta pelbagai sistem bantuan pemandu.

     
     
  • Imej Tata Tigor disiarkan, bakal muncul Mac ini

    Imej Tata Tigor disiarkan, bakal muncul Mac ini

    Pengeluar automotif dari India, Tata, telah mendedahkan imej teaser untuk model lima pintu terbaharunya yang bakal dlancarkan Mac ini di negara berkenaan, digelar Tata Tigor. Imej berupa lukisan lakaran ini disiarkan oleh IndianAutoBlog, dan menurut mereka Tigor merupakan versi sedan Tata Tiago, iaitu hatchback segmen A yang bersaing dengan Honda Amaze (Brio) di India.

    Namun, Tigor menampilkan bahagian belakang yang agak unik berbanding pesaingnya dengan menampilkan but belakang 420 liter seperti sedan dengan tiang-C yang landai seperti fastback, serta pintu tailgate yang boleh dibuka seperti hatchback. Menurut Tata, mereka menggelar rekaan ini sebagai ‘Styleback’ lima-pintu.

    Seperti juga Tiago, Tigor bakal dijana dengan dua pilihan enjin iaitu enjin petrol 1.2 liter Revotron dan juga enjin diesel 1.05 liter Revotorq. Transmisi manual lima kelajuan akan dilengkapkan secara standard, manakala transmisi automatik dengan mod manual lima-kelajuan bakal ditawarkan secara opsyen semasa dilancarkan atau kemudian dalam tahun ini juga.

     
     
  • Malaysia telah dimaklumkan berhubung pemansuhan cakera cukai jalan kenderaan Singapura – LTA

    Malaysia telah dimaklumkan berhubung pemansuhan cakera cukai jalan kenderaan Singapura – LTA

    Malaysia telah dimaklumkan berhubung pemansuhan cakera cukai jalan bagi kenderaan Singapura bermula 15 Februari 2017, ujar pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, LTA memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia juga telah dimaklumkan yang pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura tidak lagi perlu memaparkan cakera cukai jalan tersebut pada cermin depan kenderaan mereka.

    Di mana pihak berkuasa Malaysia boleh memeriksa kesahihan cukai jalan sesebuah kenderaan menerusi laman sesawang One.Motoring.

    Bagaimanapun, LTA menasihati pemandu yang mahu memasuki Malaysia agar membawa bersama cetakan cukai jalan kenderaan masing-masing. Pemilik kenderaan juga harus pastikan sijil insurans permotoran yang sah sentiasa disimpan di dalam kenderaan mereka.

    LTA mengumumkan langkah itu pada Ogos tahun lepas sebagai sebahagian proses penyelarasan. Malah pihak terbabit juga turut mengingatkan bahawa penggunaan kenderaan yang memiliki tunggakan cukai jalan adalah satu kesalahan di Singapura dan boleh dikenakan denda maksimum S$2,000.

     
     
  • Jumlah kemalangan jalan raya semasa Tahun Baharu Cina meningkat, kes kematian berkurang – PDRM

    Jumlah kemalangan jalan raya semasa Tahun Baharu Cina meningkat, kes kematian berkurang – PDRM

    Sepanjang 10 hari Op Selamat ke-10 sempena dengan Tahun Baharu Cina yang dilancarkan sejak 21 Januari lalu, telah mencatatkan penurunan hampir lapan peratus bagi jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya berbanding tahun lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, peratusan itu membabitkan 257 kematian berbanding 279 kematian yang direkodkan pada perayaan sama pada 2016. Bilangan kemalangan maut pula susut 10 peratus kepada 235 kes berbanding 261 kes dalam tempoh sama, laporan Bernama.

    “Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan itu ialah peningkatan penguatkuasaan dan pemantauan aliran trafik,” katanya kepada pihak media baru-baru ini.

    Bagaimanapun, Noor Rashid berkata, pada keseluruhannya kes kemalangan jalan raya meningkat sebanyak lima peratus daripada 19,572 kes semasa perayaan tahun lepas kepada 20,752 kes pada perayaan kali ini.

     
     
  • Mercedes-Benz E300 didedah harganya – RM459k

    Mercedes-Benz E300 didedah harganya – RM459k

    Mercedes-Benz Malaysia telah mendedahkan harga bagi model W213, iaitu sekitar RM458,888 (harga atas jalan, tanpa insurans). Ini melengkapkan lagi harga bagi semua barisan E-Class, termasuk E 250 Exclusive, E 250 Avantgarde dan E 200 Avantgarde (yang telah didedahkan lenih awal).

    E 300 memiliki kuasa 241 hp (245 PS) dan tork 370 Nm dari enjin petrol M 274 DE 20 AL 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic torque-converter sembilan-kelajuan dengan pedal penukar gear Direct Select, yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.

    Penjana kuasa ini membolehkan E 300 dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.3 saat, dan ia turut didatangkan dengan lima mod operasi pilihan (Comfort, Eco, Sport, Sport+ serta Individual) menerusi suis Dynamic Select. Bagi meminimakan penggunaakn bahan api, enjin ini turut dilengkapi dengan fungsi ECO start/stop.

    Elemen standard pada model E 300 ini termasuklah rim aloi ringan lima jejari-berkembar AMG 19-inci, Keyless-GO, akses but bebas-tangan, kamera 360-sudut, lampu utama Multibeam LED, bumbung panoramik, pengecas telefon bimbit tanpa wayar dan material kulit Artico yang membaluti papan pemuka dan paparan utama.

    Ia juga dilengkapi dengan kokpit skrin yang lebar secara standard dalam pakej elemen, termasuk dua skrin 12.3-inci, setiap satunya dengan resolusi 1,920 x 720 piksel. Kokpit digital ini juga didatangkan dengan tiga rekaan skrin iaitu Classic, Sport dan Progressive.

    Bagi hiburan, ia dikendalikan oleh sistem COMAND online dengan sambungan Apple CarPlay dan Androin Auto, Touch Control sentuhan-sensitif pada roda stereng dan kawalan konsol tengah. Bersama sistem ini, turut dipadakan dengan sistem bunyi sekeliling Burmester bersama 13-pembesar suara dan sembilan saluran untuk amplifier.

    Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai model ini E 300, sila layari CarBase.my.

    GALERI: W213 Mercedes-Benz E 300 AMG Line

     
     
  • Toyota Prius Plug-in Hybrid diperkenal – lebih banyak teknologi maju, jarak pergerakan mod EV berganda

    Toyota Prius Plug-in Hybrid diperkenal – lebih banyak teknologi maju, jarak pergerakan mod EV berganda

    Model baru Toyota Prius Plug-in Hybrid kini sudah berada di Eropah, dan informasi lengkap berserta gambarnya telah pun dikeluarkan. Pengenalan ini adalah sebahagian daripada langkah Toyota untuk mencapai sasaran mengurangkan pengeluaran karbon semua model sehingga 90 peratus menjelang tahun 2050, melalui model hibrid, plug-in hybrid, elektrik (EV) dan fuel cell. Prius Plug-in Hybrid (dikenali sebagai PHV atau Prius Prime di AS), dilengkapi pelbagai teknologi baru dan jarak pergerakannya bertambah satu kali ganda.

    Toyota menyatakan bahawa peningkatan jarak gerak EV dari 25 km asalnya untuk Prius PHV kepada lebih 50 km adalah hasil daripada pembaikan teknologi dalam tiga aspek utama: pembangunan optimum bateri, peningkatan prestasi pemanduan EV dan menjadikan pakej keseluruhan kenderaan lebih cekap.

    Di bawah ruang simpanan belakang kenderaan ini terdapat bateri lithium-ion dengan kapasiti yang digandakan daripada 4.4 kepada 8.8 kWh. Walaubagaimanapun, saiz bateri tersebut hanya meningkat 66 peratus – daripada 87 menjadi 145 liter – dan pada 120 kg, ia hanya 50 peratus lebih berat daripada bateri lama.

    Kuasa EV juga meningkat sebanyak 83 peratus hasil penggunaan Dual Motor Drive System. Satu gear sehala baru yang kompak diletakkan dalam transaxle, membolehkan generator sistem hibrid untuk bertindak sebagai motor elektrik kedua. Ini mendorong kepada lebih kuasa EV untuk pecutan lebih baik, dengan kelajuan maksimum 135 km/j. Kekerapan enjin hidup juga berkurang, dakwa Toyota.

    Toyota Prius Plug-in Hybrid diperkenal – lebih banyak teknologi maju, jarak pergerakan mod EV berganda

    Dengan jumlah kuasa 90 kW (121 hp), Prius PHV baru ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 11.1 saat, dan boleh memecut sehingga kelajuan 162 km/j. Penggunaan bahan api purata kenderaan ini terletak pada 1.0 liter bagi setiap 100 km manakala pengeluaran CO2 pula hanya 22 g/km.

    Satu lagi faktor utama yang dapat mengurangkan penggunaan enjin dalam mod EV adalah pam haba suntikan gas pertama di dunia yang memberi kuasa kepada pendingin hawa. Ia akan memanaskan kabin apabila suhu di luar mencecah sehingga serendah -10 celsius tanpa menghidupkan enjin. Pam ini dikatakan lebih cekap berbanding pemanasan enjin atau pemanas elektrik berkuasa tinggi, dan ia bertindak cekap memanaskan bahagian dalam kenderaan menggunakan haba yang diserap dari udara luar. Mekanisme suntikan gas dilekatkan pada sistem pam haba ini dan memastikan prestasi pemanasan dijamin walaupun suhu di luar rendah.

    Sebagai tambahan, semasa mengecas, satu sistem pemanasan bateri baru akan memanaskan sel kepada suhu yang optimum untuk ia beroperasi, walaupun sehingga keadaan di luar sejuk mencapai -20 celsius. Ini mengurangkan kesan cuaca sejuk kepada jarak gerak EV, dengan kesemua kuasa boleh digunakan sejak mula.

    Berkenaan pengecasan, kuasa mengecas maksimum telah ditingkatkan daripada 2 kepada 3.3 kW, dan bateri itu sendiri boleh dicas sehingga penuh 65 peratus lebih cepat; dalam masa hanya dua jam menggunakan penyambung Type II Mode III Mennekes, dan tiga jam sepuluh minit menggunakan soket rumah biasa. Proses mengecas ini kini boleh diprogram setiap minggu pada turutan hari-demi-hari, dan termasuk kemudahan yang boleh mengecas secara serentak dan menyejuk/memanas kabin lebih awal.

    Toyota Prius Plug-in Hybrid diperkenal – lebih banyak teknologi maju, jarak pergerakan mod EV berganda

    Empat mod penyampaian kuasa disediakan untuk mengawal transmisi E-CVT pada kenderaan ini iaitu HV Mode, EV Mode, EV City dan Battery Charge Mode (baru).

    HV Mode menggabungkan penyampaian kuasa enjin dan motor elektrik secara cekap, membenarkan Prius untuk beroperasi sebagai kenderaan hibrid biasa. EV Mode menggunakan kuasa elektrik daripada bateri untuk memacu kenderaan dan hanya menghidupkan enjin apabila pendikit dibuka luas atau pada kelajuan tinggi. Ia menggabungkan EV City Mode, yang mengurangkan kuasa maksimum, dan hanya menghidupkan enjin apabila pedal minyak ditekan habis.

    Battery Charge Mode pula boleh diaktifkan dengan menekan terus beberapa saat suis HV/EV Mode. Ia menggunakan kuasa enjin untuk menjana elektrik untuk mengecas bateri semasa memandu dalam HV Mode. Sebagai tambahan, dalam tiga mod tersebut, terdapat tiga lagi mod yang boleh dipilih iaitu Normal, Power dan Eco.

    Mod Power mengubah tindak balas penyampaian kuasa, meningkatkannya untuk pecutan lebih baik dan lebih kepuasan. Dalam mod ini, satu sistem bantuan yang dinamakan Driver’s Mind D Logic (DMD) diaktifkan. Menggunakan sistem Driver’s Monitoring Index (DMI), yang memerhati pergerakan G-force kenderaan untuk memahami tingkah laku pemandu, DMD akan bertindak terhadap kemahuan pemandu; untuk tindak balas lebih sporty, melaras prestasi engine braking dan tindak balas pendikit.

    Toyota Prius Plug-in Hybrid diperkenal – lebih banyak teknologi maju, jarak pergerakan mod EV berganda

    Satu ciri menarik yang menambah kecekapan kenderaan ini adalah bumbung solar. Teknologi bumbung ini pertama kali didedahkan pada model konsep Auris HSD pada tahun 2010 dan kini berjaya dibangunkan dan diletakkan pada Prius PHV baru. Kuasa yang didapati daripada unit solar atas bumbung kenderaan ini digunakan untuk menghasilkan elektrik dan mengecas bateri hibrid.

    Apabila kenderaan ini diletakkan tidak bergerak (dan tidak disambung pada soket pengecas), bumbung solar akan memainkan peranan mengecas bateri perantaraan solar, dan apabila ia penuh, akan menyampaikan kuasa kepada bateri utama. Semasa memandu, sistem solar ini akan mengecas bateri tambahan 12 volt yang ada.

    Bergantung kepada keadaan cuaca, sistem pengecasan solar boleh meningkatkan jarak pemanduan EV Prius PHV sehingga 5 km sehari, bersamaan sekitar 1,000 km panduan elektrik penuh untuk satu tahun.

    Seperti juga Prius Hybrid, model PHV ini dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) bagi mendapatkan pusat graviti lebih rendah, posisi memandu yang lebih menyenangkan dan kawalan lebih tepat dan responsif, dengan kurang olengan. Stabiliser bar di hadapan juga turut membantu.

    Badan kenderaan ini juga 60 peratus lebih tegap, hasil peningkatan penggunaan besi berketahanan tinggi dan pelekat struktur, sambungan lebih keras antara cow panel dan tiang hadapan, tambahan besi pengukuh pada struktur bawah tiang tengah dan sambungan panel, penguat cross-member bahagian dalam lantai belakang, dan penggunaan berterusan bebibir untuk menguatkan sambungan antara pelbagai elemen struktur.

    Hasilnya adalah kendalian lebih baik tanpa menggunakan tetapan suspensi yang keras, dan menurut Toyota, ia adalah melebihi jangkaan bagi sebuah kenderaan Eco. Model ini walaubagaimanapun mendapat tetapan suspensi khas untuk modelnya.

    Toyota juga mendakwa sistem plug-in ini lebih senyap berbanding Prius standard dan antara langkah yang diambil untuk memperbaiki NVH Prius PHV adalah pengedap bunyi di tepi bonet, pembahagi fender urethane, kaca akustik pada tingkap tepi hadapan, dan pengedap bunyi di bahagian dalam perumah tayar belakang.

    Toyota Prius Plug-in Hybrid diperkenal – lebih banyak teknologi maju, jarak pergerakan mod EV berganda

    Keselesaan dan kesenyapan kabin telah ditingkatkan lagi dengan penggunaan bahan urethane pada lapik bumbung dan lapik lantai, serta bahan kedap bunyi pada A-pillar, deck dan trim pintu belakang.

    Seperti juga Prius biasa, kenderaan ini boleh dikenali dengan mudah. Antara beza gayanya adalah terdapat bahan akrilik 3D pada gril, serta unit lampu utama dengan 4 LED kompak dan nipis yang berteknologi adaptif baru. Pada bahagian bawah gril hadapan juga terdapat shutter aktif. Rim 15 inci pada model PHV ini juga adalah lain, di mana ia memberikan lebih penyejukan.

    Pada bahagian belakang, terdapat cermin dengan dua gelembung, yang seterusnya bersambung dengan lengkungan spoiler. Kemudian, terdapat lampu belakang LED yang unik bagi model ini. Tujuh warna ditawarkan untuk model ini termasuk satu yang khas untuknya – Spirited Aqua metalik.

    Di dalam, ia hampir sama seperti Prius generasi keempat, tetapi terdapat skrin informasi dan hiburan lapan inci dengan grafik yang diperbaharui. Meter 4.2 inci bagi pemandu pula kini menampilkan grafik khas untuk PHV. Ruang simpanan telah dinaikkan 160 mm bagi menempatkan bateri sistem plug-in hybrid yang lebih besar. Ruang yang boleh digunakan adalah 360 liter.

    Penutup but Carbon Fibre Reinforced Plastic (CFRP) – digunakan pertama kali di dunia untuk kenderaan produksi – turut boleh didapati pada PHV, untuk mengurangkan berat. Sebagai sebahagian daripada sistem Toyota Safety Sense yang dipertingkat, kereta ini dilengkapi dengan Pre-Collision Safety bersama pengesan pejalan kaki, dan Adaptive Cruise Control penuh.

     
     
  • Jeep Wrangler Rubicon Recon – lebih tangkas, lasak

    Jeep Wrangler Rubicon Recon – lebih tangkas, lasak

    Jeep Wrangler bukanlah sebuah model yang memerlukan pengenalan panjang. Kenderaan pacuan empat roda ini mempunyai sejarah dan tradisi yang cukup sinonim dengan kegunaan lasak dipelbagai permukaan. Di dalam lanjutan model terkini dikenali sebagai Rubicon Recon, ia dibangunkan untuk menjadi sebuah jentera off-road yang unggul, dengan spesifikasi khusus.

    Ia diasaskan daripada model Wrangler Rubicon, dan versi ini dilengkapi dengan pelbagai ciri untuk membolehkannya menggalas cabaran laluan yang lebih mencabar. Gandar (axle) bahagian depannya dipertingkat dengan penggunaan tiub yang diperkukuh dan tempaan hujung yang tahan lasak. Selain itu, turut menerima pengukuhan yang sama ialah pelindung differential depan dan belakang. Ia muat untuk digunakan dengan tayar sehingga saiz 35 inci.

    Model ini menggunakan sistem pacuan empat roda bukan sepenuh masa, dengan gandar depan dan belakang Dana 44 akan dikunci secara elektronik ketika diperlukan. Ia menerima pacuan kuasa melalui transfer case Rock-Trac dengan gear 4-Low pada nisbah 4:1. Mekanisme bagi differential locking Tru-Lok bagi bahagian depan dan belakang hadir dengan nisbah 4:1.

    Jeep Wrangler Rubicon Recon – lebih tangkas, lasak

    Rubicon Recon menggunakan transmisi manual enam-kelajuan. Kotak gear lima-kelajuan turut ditawarkan. Rim standard yang ditawarkan bersaiz 17 inci dengan cat Low Gloss Granite Crystal, menggunakan tayar off-road BF Goodrich KM 32 inci – ketinggian badannya juga dinaikkan setengah inci.

    Namun, sebagai pilihan, pengguna boleh memilih untuk menyertakan sekali bahagian hud Power Dome depan dan lanjutan bahagian fender. Bahagian luaran versi Recon juga mengenakan kemasan Low Gloss Granite Crystal pada bahagian lampu. Bampar off-road pula hadir dengan warna Low Gloss Black dengan warna merah sebagai gandingan. Bampar bahagian depan pula direka untuk mengambil kira pemasangan winch.

    Jeep Wrangler Rubicon Recon – lebih tangkas, lasak

    Selain itu, bumbung soft top Premium Sunrider adalah ciri standard. Walaupun begitu, bumbung biasa dengan warna badan juga ada ditawarkan. Sistem audionya menggunakan lapan pembesar suara, kerusi pula dari kulit dengan jahitan “Rubicon”.

    Papan pemuka menempatkan skrin paparan maklumat gandar, sway bar depan, transfer case dan tayar, manakala Electronic Vehicle Information Center (EVIC) memaparkan maklumat lain seperti tahap dan tekanan minyak. Bagi pasaran Amerika, model ini akan mula memasuki bilik pameran pada hujung Februari, ditawarkan dalam versi dua pintu dan juga empat pintu.

     
     
  • Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah didedahkan

    Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah didedahkan

    Hampir sebulan lalu, Toyota Yaris facelift terbaru dilancarkan untuk pasaran Jepun, dikenali dengan nama Vitz. Kini, Toyota mendedahkan pula perincian model berkenaan bagi pasaran Eropah. Diketuai oleh pereka dan jurutera Toyota yang berpusat di Perancis, kos memberikan pembaharuan bagi model berkenaan menelan belanja sehingga €90 juta; antaranya merangkumi 900 bahagian baru.

    Seperti yang pernah disaksikan sebelum ini, Yaris facelift diberikan penggayaan yang lebih agresif berbanding yang sebelumnya. Gril bahagian bawah dijadikan lebih lebar, disekeliling tempat lampu kabusnya juga direka semula, dengan kemasan krom. Ini termasuk lampu utama dari jenis projektor dan lampu nyalaan siang LED.

    Dari sisi, antara kelainan yang dapat dikesan ialah bahagian berwarna hitam atau krom di bawah pintu dan lampu belakang two-piece (LED bagi varian lebih tinggi). Bampar juga diberi sentuhan baru agar lebih sporty. Rekaan rim 15 juga menerima pembaharuan – penutup biasa bagi varian pertengahan dan rim aloi multi-spoke bagi yang lainnya. Rim 16 inci aloi pula digunakan bagi varian tertinggi.

    Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah didedahkan

    Kemasan dalam warna dwi-tona juga diperkenalkan. Ini diikuti dengan gril honeycomb hitam, spoiler belakang serta lampu LED di belakang. Warna baru yang ditawarkan ialah Hydro Blue dan Tokyo Red, dengan Glacier Pearl White dan Platinum Bronze menyusul kemudian.

    Di dalam, instrument cluster direka semula dengan kemasan krom, serta jarum analog berkembar dipaparkan pada skrin TFT LCD 4.2 inci; sebagai ciri standard bagi varian pertengahan ke atas. Corong udaranya juga diberikena rekaan baru, skrin tengah yang diperbaharui serta reka bentuk suis pada konsol tengah, semuanya diperkemaskan.

    Bagi pilihan upholstery, yang ditawarkan ialah fabrik hitam bagi model asas, fabrik hitam-kelabu dengan corak bagi varian pertengahan sementara varian tertinggi menerima skim warna dwi-tona dan sebahagian daripadanya dari material kulit.

    Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah didedahkan

    Tiada lagi enjin 1.3 liter empat-silinder. Ia digantikan dengan enjin 1.5 liter baru dengan teknologi Economy with Superior Thermal Efficiency (ESTEC). Direka untuk memenuhi piawaian Euro 6c serta keperluan homologasi Real Driving Emission (RDE), ia menampilkan ciri VVT-iE yang membolehkan peralihan antara kitaran Otto dan Atkinson.

    Selain itu, nisbah mampatan 13.5:1 turut digunakan (dicapai melalui rekaan kebuk pembakaran dan piston baru, membolehkan campuran minyak dan udara yang lebih berkesan berlaku). Begitu juga dengan kitaran semula gas ekzos yang disejukkan (EGR) dan manifold ekzos sejukan cecair. Hasilnya, janaan kuasa yang diperoleh ialah 111 PS and 136 Nm, pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas (11 saat berbanding 11.8 saat) serta kecekapan termal 38.5% dan penggunaan minyak yang dikurangkan sebanyak 12%.

    Model hibridnya juga dikekalkan, menggunakan enjin Prius C 1NZ-FXE 1.5 liter VVT-i yang menjana 74 PS/111 Nm serta motor elektrik dengan kuasa 61 PS/169 Nm untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 100 Nm. Beberapa peningkatan turut dilakukan, misalnya terhadap rekaan mounting enjin, driveshaft dan sub-kerangka depan baru, kotak sistem masukan udara baru serta penyenyap ekzos.

    Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah didedahkan

    Yaris facelift Eropah ini juga menerima penyerap hentak yang direka semula, dengan daya serapan yang dikurangkan untuk memberi lebih keselesaan tanpa mengorbankan aspek pengendalian. Stereng kuasa elektrik juga diberi peningkatan bagi mengurangkan rasa geseran dan menjadikannya lebih lancar.

    Dari segi keselamatan, semua model dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, termasuk ciri Pre-Collision System with Autonomous Emergency Braking, lampu tinggi automatik, Lane Departure Alert dan Road Sign Assist. Sebagai tambahan terbaru, tali keledar belakang hadir dengan ciri pre-tensioner. Tapak ISOFIX juga direka semula untuk memudahkan pengguna.

     
     
  • Honda Wave Dash FI edisi terhad – harga dari RM5,776

    Honda Wave Dash FI edisi terhad – harga dari RM5,776

    Boon Siew Honda kini memperkenalkan Honda Wave Dash FI edisi terhad untuk pasaran tempatan. Model yang dilancarkan secara rasmi pada Januari 2016 itu kini menerima beberapa kelainan dari penawaran versi terbaru ini.

    Antara yang diberi nafas baru ialah pilihan warna dan grafik yang digunakan pada badan motosikal tempil berbeza, penggunaan tayar tanpa tiub serta sport rim merah antara perkara yang memberi suntikan unik bagi model edisi terbaru model berkenaan.

    Model ini dijana oleh enjin 109 cc empat lejang dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan turut diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV). Dengan teknologi tersebut, ia bukan hanya meningkatkan prestasi, malah mencapai tahap penggunaan bahan api serendah 1.8l/100 km.

    Harganya? Honda Wave Dash Fi edisi terhad ini ditawarkan dalam dua varian; Siri S dengan brek cakera tunggal dijual pada harga RM5,775.94, manakala bagi Siri R dengan brek cakera berkembar pula pada harga RM 6,040.94. Harga yang dinyatakan ini adalah termasuk GST, dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km (yang mana dahulu) daripada pengeluar.

     
     
  • Ford Expedition 2018 – guna badan aluminium, 136 kg lebih ringan, dikuasakan enjin V6 3.5 liter EcoBoost

    Ford Expedition 2018 – guna badan aluminium, 136 kg lebih ringan, dikuasakan enjin V6 3.5 liter EcoBoost

    Ford baru memperkenalkan model Expedition 2018, SUV body-on-frame lapan tempat duduk baru yang diberikan pelbagai peningkatan berbanding model sebelum ini. Untuk Amerika Syarikat, Expedition ditawarkan dalam varian XLT, Limited dan Platinum.

    Dari aspek gaya, kereta ini nampak lebih segak, dengan pengaruh model F-150 pada bahagian lampu dan gril hadapan. Bonjolan di atas hud juga dipisahkan kepada dua, manakala bahagian bawah bampar melihatkan tambahan kemasan krom dan lampu kabus.

    Untuk bahagian belakang pula, terdapat lampu baru, penutup but yang direka semula bersama sistem tanpa sentuhan dan skid plate berwarna kelabu. Varian Platinum yang paling tinggi datang dengan rim 22 inci, manakala varian yang lebih rendah menggunakan rim bersaiz sehingga paling rendah 17 inci.

    Ford Expedition 2018 – guna badan aluminium, 136 kg lebih ringan, dikuasakan enjin V6 3.5 liter EcoBoost

    Kebanyakan bahagian badan Expedition baru ini menggunakan bahan aluminium, dan ia digabungkan dengan kerangka yang direka semula, menjadi lebih ringan dan tegap. Menurut Ford, Expedition baru ini 136 kg lebih ringan berbanding model sebelum ini yang digantikannya.

    Dimensi kenderaan ini juga turut berubah, dengan 101 mm ditambah kepada panjang keseluruhannya, sementara jarak roda pula 76 mm lebih panjang (3,098 mm). Untuk versi yang lebih panjang dipanggil Expedition Max (menggantikan EL), 25 mm lagi ditambah pada jarak keseluruhan, namun jarak roda masih sama (3,327 mm).

    Enjin yang memacu Expedition adalah unit 3.5 liter EcoBoost V6, dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan (sebelum ini enam kelajuan), sama seperti F-150 iaitu kenderaan asasnya. Ford masih belum mengeluarkan sebarang jumlah kuasa, tetapi ia boleh dijangka hampir sama seperti F-150 iaitu 375 hp dan 637 Nm tork. Model yang menggunakan pacuan empat roda pula akan mendapat limited-slip differential elektronik baru.

    Di dalam, Ford berjaya mewujudkan ruang untuk pengguna dan barangan yang lebih luas dengan mereka semula bahagian kabin. Antaranya, pemilih gear kini menggunakan tombol jenis pusing pada konsol tengah, dan terletak atas sedikit daripada tombol pemilih mod pemanduan, kawalan ciri pacuan empat roda dan brek tangan elektronik.

    Lapan tempat duduk di dalam Expedition juga boleh disandar dan dilipat kepada pelbagai kedudukan, memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna. Turut disediakan adalah sesuatu yang digelar oleh Ford sebagai ‘Advanced Cargo Manager’, di mana apabila bahagian lantai but diangkat, ia boleh dilipat menjadi satu almari untuk meletakkan barang.

    Perubahan lain turut diberikan pada bahagian termasuk papan pemuka, corong pendingin hawa, roda stereng dan panel meter. Expedition baru juga mendapat pelbagai sistem teknologi sambungan dan bantuan seperti pengecas tanpa wayar, sistem hiburan di belakang, sistem informasi dan hiburan SYNC 3, sistem bunyi B&O PLAY 12 pembesar suara dan bumbung panoramik yang luas.

     
     
  • SPYSHOT: Volvo XC40 diuji dengan kerangka produksi

    SPYSHOT: Volvo XC40 diuji dengan kerangka produksi

    Pertama kali dikesan melakukan ujian pada Oktober 2015 lalu, kini Volvo XC40 model akan datang dikesan sedang diuji dengan kerangka produksi. Ia dikesan sedang melakukan ujian dalam cuaca sejuk. Dibangunkan dengan Compact Modular Architecture binaan Volvo, XC40 ini akan menjadi model pertama siri-40 baharu, dan dijangka akan ditampilkan di Shanghai Motor Show April ini. Ia memiliki rekaan lebih kurang model konsep, hasil rekaan bagi model Volvo terkini.

    Walau bagaimana pun, model XC paling kecil dari Volvo ini tidak akan dipasarkan sehingga tahun 2018, menurut ketua penyelidik dan pembangunan Peter Mertens. Walau bagaimana pun, model crossover kompak disasarkan mampu merangsang jumlah jualan bagi pembuat kereta Sweeden ini. Pesaing Volvo termasuk Mercedes-Benz GLA dan BMW X1 ini dijangka dijual dari 30,000 euros (RM142,730).

    SPYSHOT: Volvo XC40 diuji dengan kerangka produksi

    XC40 baharu ini dijangka akan ditawarkan dengan enjin petrol dan diesel empat-silinder sedia ada, serta enjin petrol tiga-silinder baharu, yang dipadankan bersama motor elektrik dengan sistem kuasa keseluruhan sekitar 250 PS dan torque 400 Nm.

    Malah enjin tiga-silinder juga akan menampilkan unit entry-level tersendiri. Malah Volvo XC40 ini juga dijangka akan menampilkan penjana kuasa elektrik-sepenuhnya, dengan jarak keseluruhan yang dijangka sekitar 350 km. Varian EV sepenuhnya dijangka diperkenalkan seawal-awalnya tahun 2020.

    GALERI: Model Konsep XC40

     
     
  • SsangYong akan perkenal sistem tingkap sesentuh

    SsangYong akan perkenal sistem tingkap sesentuh

    SsangYong meletakkan sasaran untuk menjadi pengeluar pertama yang memperkenalkan sistem tingkap sesentuh pada kenderaan mereka. Perkara ini diberitahu kepada Autocar UK dan pengeluar dari Korea itu, yang juga kini dimiliki oleh syarikat Mahindra & Mahindra dari India menjangka teknologi baru ini akan menemui orang awam sebelum hujung tahun ini.

    Melalui sistem ini, pemandu dan penumpang kenderaan boleh membuka dan menutup tingkap kenderaan dengan hanya menyentuh cermin tersebut, namun ia masih perlu melalui beberapa proses sebelum tiba pada model produksi. Ia akan ditampilkan buat pertama kalinya pada model konsep terlebh dahulu.

    “Syarikat akan terus membangunkan produk generasi baru yang dapat memenuhi keperluan pelanggan, sambil menetapkan sesuatu yang baru untuk menggalakkan idea kreatif dan penyelidikan inovatif,” kata ketua pegawai eksekutif SsangYong, Choi Jong-sik.

    Syarikat lain yang menyatakan idea sama adalah Jaguar, di mana ia diumumkan tahun lalu, namun tidak diberitahu bila akan berada pada kenderaan produksi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025