Peringkat akhir Anugerah Kereta Tahunan Eropah (ECOTY) 2022 bakal berlangsung tidak lama lagi, dengan 39 model kenderaan yang disenaraikan dalam peringkat separuh akhir, kini telah disenaraipendekkan ke tujuh finalis sahaja. Daripada jumlah itu, juri dari 23 buah negara akan mengundi di peringkat akhir tahun hadapan, sebelum pemenang utamanya diumumkan pada 28 Februari 2022.
Di antara model kereta yang disenaraipendekkan itu termasuklah Peugeot 308 generasi ketiga, yang diperkenalkan pada Mac lalu dan merupakan finalis tunggal yang bukan model elektrik sepenuhnya. Ketika dilancarkan, 308 boleh ditawarkan dengan dua versi enjin plug-in hybrid dengan kuasa keseluruhan masing-masing berjumlah 180 PS (178 hp) dan 225 PS (222 hp).
Manakala enam lagi model kereta yang menjadi finalis untuk peringkat akhir, semuanya ditawarkan dengan penjana kuasa elektrik-sepenuhnya, iaitu Hyundai Ioniq 5, Cupra Born, Ford Mustang Mach-E, Kia EV6, Skoda Enyaq iV dan Renault Megane E-Tech.
Kesemua model EV terbabit menewaskan calon finalis pada peringkat sebelum ini termasuklah Audi e-tron GT/RS e-tron GT dan Q4 e-tron/Q4 e-tron Sportback, BMW iX dan i4, Mercedes-Benz EQS, Tesla Model Y dan Volkswagen ID.4. Sementara itu, 308 turut mengetepikan pencabar terdekatnya termasuk Honda HR-V, McLaren Artura, Toyota Yaris Cross dan Lexus NX.
Pemenang bagi Kereta Tahunan Eropah 2021 iaitu Toyota Yaris setelah berjaya menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Fiat 500 dan Cupra Formentor.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.