Produksi Toyota Vios dihentikan di Indonesia; Bakal terima model generasi baharu selepas pasaran Thai?

Produksi Toyota Vios dihentikan di Indonesia; Bakal terima model generasi baharu selepas pasaran Thai?

Minggu lalu Toyota Thailand telah pun menyiarkan teaser untuk model generasi baharu Toyota Vios, dan diumumkan akan membuat kemunculan global sulungnya di negara berkenaan pada 9 hb Ogos ini. Selepas Thailand, ada kemungkinan Vios generasi keempat berkenaan akan dilancarkan pula di Indonesia dalam masa terdekat.

Ini berikutan tularnya satu video di Instagram yang dimuat naik oleh akaun mobilgue, memaparkan satu kerangka kosong Vios generasi ketiga versi facelift terakhir dalam sebuah kilang dengan kapsyen “bye Vios”. Turut kelihatan sekumpulan pekerja kilang yang mengucapkan “Terima kasih Vios telah menjadi bagian dari sejarah sukses TMMIN Plant 2!”, bersama plakad “Sayonara Vios”.

Boleh disimpulkan, video berkenaan diambil di kilang Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIM) yang terletak di Karawang, Jawa Barat.

Bagi Vios generasi baharu yang akan muncul di Thailand minggu hadapan, laporan-laporan sebelum ini menyebut bahawa ia akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan sebab itulah ia menggunakan kod projek D92A yang seiras dengan kod-kod projek model baharu dari Perodua. Malah berdasarkan petunjuk-petunjuk yang diumumkan oleh Perodua sebelum ini, tidak mustahil Vios D92A berkenaan turut mendapat sentuhan fasiliti R&D Perodua di Rawang.

Menerusi video teaser yang disiarkan minggu lalu, seperti yang dijangka sebelum ini, Vios D92A tersebut adalah versi produksi untuk model konsep Daihatsu DN-F Sedan, yang muncul di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017. Ia diserlahkan menerusi profil sisi Vios produksi ini yang menampilkan rekaan garis bumbung, tingkap sisi dan juga garis bahu seakan coupe diinspirasikan dari versi konsep berkenaan.

Manakala di belakang, lampu utama bagi model generasi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih nipis serta bersegi. Namun berbeza dengan model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang diberikan ruang nombor pendaftaran pada bampar, model produksi Vios ini nampaknya diberikan perumah nombor pendaftaran pada bahagian penutup but yang lebih tinggi.

Jadi Vios D92A ini juga adalah pelengkap kepada trio model konsep DN yang didedahkan oleh Daihatsu pada 2017, iaitu DN-Trec (dijelma sebagai SUV Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa), DN Multisix (dijelma sebagai MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza 2022).

Video pendek yang berdurasi hanya 15 saat ini juga sempat memberikan sebahagian rupa bahagian dalam Vios 2023 ini. Ia kini menerima papan pemuka yang jauh lebih minimalis seakan Honda Civic, dengan skrin berdiri sendiri pada bahagian tengah. Stereng yang diberikan pada Vios baharu ini juga nampaknya seiras dengan stereng Perodua Ativa AV/Perodua Alza AV 2022/Toyota Veloz 2022, menandakan ia menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

Perincian premium turut boleh dilihat pada kabin Vios generasi baharu ini dimana ia menerima balutan upholsteri kulit berwarna merah bukan hanya pada tempat duduk, malah pada sebahagian besar papan pemuka serta perehat tangan tengah serta banyak diberikan bahagian sentuhan lembut.

Dengan penghentian produksi Vios generasi ketiga ini, berkemungkinan besar pasaran Indonesia bakal menerima model generasi baharu sebelum berakhirnya tahun ini. Jadi tak mustahil pasaran Malaysia akan menerima model ini sekitar separa kedua tahun hadapan bukan?

GALERI: Teaser Toyota Vios 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required