Selepas mengemaskini harga bagi Toyota Corolla dan Camry untuk pasaran Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) turut menyiarkan senarai harga untuk barisan modelnya yang lain.

Salah satunya ialah Corolla Cross, yang menyaksikan peningkatan harga mulai 3 Januari 2023. Bagi varian asas 1.8G, kini berharga RM130,400 (+RM2,097), diikuti dengan 1.8V berharga RM137,400 (+RM2,971) dan model spesifikasi penuh 1.8 Hybrid dengan harga RM142,000 (+RM2,009).

Model Fortuner turut terlibat dengan kenaikan harga sehingga RN5,000 bagi ketiga-tiga variannya, dengan 2.4 AT 4×4 kini berharga RM184,880, RM225,880 bagi 2.8 VRZ AT 4×4 dan harga varian tunggal petrol ini mencecah RM191,880.

Untuk Hilux pula, empat varian bagi trak pikap ini (2.4 Single Cab 4×4 MT, 2.4E 4×4 AT, 2.4V 4×4 AT dan 2.8 Rogue 4×4 AT) menyaksikan peningkatan harga sehingga RM3,000.

Sementara itu, varian 2.4E 4×4 MT yang menggantikan model terdahulu 2.4G MT 4×4 dinaikkan harga sebanyak RM2,000, kini menjadi RM112,880. Kenderaan komersil yang juga ditawarkan pada harga yang lebih mahal termasuklah van panel Hiace, naik sebanyak RM5,000 menjadi RM113,000. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Selain dari perubahan harga yang disebut ini termasuklah Corolla dan Camry, harga bagi model lain masih dikekalkan. Ini termasuklah model Vios, Yaris dan Veloz yang tiada perubahan harga.

Untuk Rush dan Harrier pula, menerusi paparan laman web Toyota Malaysia, kedua-dua SUV ini masih disenaraikan di dalam senarai harga 2022. Harrier telah ditambahbaik [ada bulan Oktober lalu, yang tika itu turut menerima kenaikan harga termasuklah pengenalan bagi varian baharu Luxurt SE.

Manakala, bagi Rush pula, kemaskini terakhir bagi harganya dilakukan ketika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berakhir pada 30 Jun 2022, di mana harga bagi varian 1.5G dan 1.5S naik masing-masing sebanyak RM4,686 dan RM5,115. Bagi MPV premium, Alphard dan Vellfire pula tidak tersenarai di laman web terbabit, sementara GR Yaris dan GR Supra masih disenaraikan tanpa harga.