Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Hampir RM600 juta dibelanjakan untuk selenggara jalan di Sabah pada tahun 2015 – Joseph Pairin

    SabahRoad_2

    Menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung semalam, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata sejumlah RM591.7 juta dibelanjakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan semua jalan raya di Sabah tahun lepas.

    Katanya terdapat empat syarikat konsesi dipertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Sabah dan masing-masing membelanjakan RM289.8 juta, RM160 juta, RM86.5 juta dan RM55.4 juta untuk menjalankan penyelenggaraan jalan negeri dan jalan persekutuan meliputi kerja-kerja rutin, kecemasan dan berkala, laporan Bernama.

    “Pada keseluruhannya, prestasi syarikat-syarikat konsesi dilantik dan kerja-kerja berkeutamaan berdasarkan bajet diluluskan adalah memuaskan dan mematuhi spesifikasi,” katanya.

    Ia adalah bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Bujang (BN-Sindumin) dalam sesi soal jawab pada sidang DUN di sini yang ingin tahu berapa syarikat dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Sabah dan jumlah wang dibelanjakan oleh syarikat terbabit pada tahun lepas.

     
     
  • Gambar rasmi pertama Renault Koleos 2016 didedah sebelum kemunculan sulungnya minggu hadapan

    2016-renault-koleos-first-pic-1_BM

    Selepas video teaser SUV terbaharu ini disiarkan, Renault telah mendedahkan secara rasmi imej Renault Koleos 2016. SUV segmen-D tersebut yang sebelum ini dikhabarkan akan digelar Renault Maxthon, akan melakukan kemunculan sulungnya untuk peringkat global di Beijing International Auto Exhibition yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

    Seperti dilaporkan sebelum ini, Koleos yang berada pada kelas yang lebih tinggi daripada Captur dan Kadjar dalam barisan SUV Renault, akan menghadapi saingan dari Mitsubishi Outlander, Hyundai Santa Fe dan Kia Sorento. Koleos baharu ini dibina berasaskan platform Common Module Family Architecture (CMF-CD) yang dihasilkan menerusi Pakatan Renault-Nissan – yang juga digunakan sebagai asas binaan Nissan X-Trail terkini. Beberapa laporan mengatakan Koleos akan diproduksi di Korea Selatan.

    Perincian rasmi model ini masih lagi belum dikeluarkan selain dari kenyataan media dari Renault yang menyebut Koleos akan menawarkan “kebolehan pada setiap permukaan jalan dalam masa yang sama memastikan pemanduan, pengendalian dan stabiliti yang terbaik.” Selain dari sekeping gambar rasmi yang disiarkan oleh Renault, terdapat juga dua keping gambar SUV segmen-D tersebut yang telah bocor di alam maya, memberikan gambaran yang jelas bahagian belakangnya.

    Pada bahagian hadapan, Koleos diberikan gril yang garang dengan motif jaluran melintang beserta logo Renault yang diletakkan pada bahagian tengah. Lampu hadapan berbentuk-C yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED seperti yang ditunjukkan pada video teaser tempoh hari juga ditampilkan. Pada bahagian belakang pula, Koleos dilengkapi dengan sepasang lampu belakang yang digabungkan bersama lampu pada pintu belakang direka hampir bersambung antara kedua-duanya serta dua unit tip ekzos yang ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang.

    Imej bahagian dalaman Koleos belum lagi disebarkan disebarkan, tetapi telah dinyatakan dalam laporan sebelum ini, SUV ini akan hanya menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk. Ini telah disahkan oleh CEO Renault, Thierry Bollore yang menyatakan Koleos tujuh-tempat duduk mungkin akan diperkenalkan untuk peringkat seterusnya.

     
     
  • Honda perkenal ARC Line di Thailand – sel aliran pertama di dunia untuk pemasangan kenderaan

    Honda-ARC-Line-Thailand-1_BM

    Honda telah membina barisan pengeluaran besar-besaran automotif pertama di dunia yang membabitkan produksi dengan sistem sel aliran. Sistem yang digelar barisan Assembly Revolution Cell (ARC) tersebut telah pun diperkenalkan pada kilang Honda Prachinburi baharu terletak di Thailand, yang telah pun beroperasi pada Mac 2016. Honda Civic generasi ke-10 telah dihasilkan di kilang tersebut.

    Barisan sistem ARC ini adalah berbeza dari sistem barisan pemasangan konvensional, dan ia menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam kecekapan pengeluaran. Pada sistem barisan konvensional, setiap pekerja produksi hanya akan bertanggungjawab dalam satu proses pemasangan komponen pada badan kenderaan yang diletakkan pada konveyor yang bergerak.

    Berlainan pada produksi sel, seorang pekerja pengeluaran akan bertanggungjawab untuk proses pemasangan yang lebih luas. Dalam sistem barisan ARC Honda, empat pekerja pemasangan ditempatkan pada sebuah unit ARC – iaitu sebuah unit konveyor yang membawa sebuah badan kenderaan bersama set lengkap komponen yang akan dipasang pada badan tersebut.

    Honda-ARC-Line-Thailand-2_BM

    Pekerja produksi berkenaan akan memasang kenderaan terbabit yang bergerak sekali bersama barisan pemasangan. Dengan sistem ini, ia akan mengurangkan apa-apa pergerakan sampingan pada pekerja produksi. Contohnya, memilih komponen yang betul yang diperlukan untuk kenderaan seterusnya yang dibawa oleh konveyor dan memasangnya sambil berjalan bersama badan kenderaan itu.

    Walaupun pergerakan pemasangan tersebut tidak perlu, ia tidak boleh dielakkan dalam barisan pemasangan konvensional, ini merupakan sebab utama sistem barisan ARC ini diperkenalkan. Setiap seorang daripada empat pekerja produksi tersebut juga akan bertangggung jawab memasang beberapa komponen pada badan kenderaan pada satu masa, ia memberikan mereka pengetahuan produksi dan kemahiran yang lebih luas berbanding hanya memasang satu komponen.

    Honda menjangkakan sistem barisan ARC ini akan memberikan kesan positif pada pembangunan kemahiran para pekerja produksi di mana mereka mampu untuk memberikan maklum balas dari kumpulan produksi kepada kumpulan pembangunan pada masa akan datang.

     
     
  • Teaser kit Sport Line dari Wald untuk Toyota Prius

    Toyota-Prius-Wald-Sport-Line-kit-04_BM

    Syarikat penala kereta dari Jepun, Wald, menyiarkan imej teaser baharu kit badan Sport Line untuk Toyota Prius generasi-keempat. Setelah beberapa imej teaser disiarkan sebelum ini, kini imej baharu kit tersebut ditampilkan dalam warna putih pula.

    Tidak banyak perubahan daripada kit yang telah disiarkan sebelum ini, tetapi bampar hadapan yang telah direka semula tersebut menampilkan gril hadapan dengan kemasan matte dan juga menempatkan sepasang liang udara. Sementara itu pada bahagian splitter hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan spoiler belakang adalah kekal sama seperti sebelum ini.

    Ada beberapa lagi kelainan yang ditampilkan pada bahagian hadapan, di mana gril hadapan kini diapit dengan jalur berwarna merah. Kemasan pada cermin sisi juga tampil dengan warna merah, serta jaluran merah lain yang dapat disaksikan pada bahagian bawah pintu serta di sekililing rim.

    Kit dari Wald ini adalah terhad pada penampilan luaran sahaja tanpa melibatkan apa-apa talaan untuk prestasi enjin. Jadi kereta ini masih dikuasakan dengan enjin petrol standard 1.8 liter kitaran-Atkinson VVT-i empat-silinder berkuasa 97 hp/142 Nm digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 71 hp dan 163 Nm.

    GALERI: Toyota Prius 2016 di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • Pulau Pinang memperketatkan lagi penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan ruang parkir OKU

    SONY DSC

    Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan lebih bertegas terhadap individu normal yang menggunakan lot parkir untuk orang kurang upaya (OKU). Mulai Mei ini, hanya kenderaan yang memiliki pelekat OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau perbandaran tempatan sahaja yang akan dibenarkan memarkir di petak parkir tersebut. Sehingga kini terdapat 53 petak parkir OKU di pulau berkenaan, laporan The Star.

    Kenderaan yang diparkir di petak parkir OKU dan tidak memaparkan pelekat yang sah akan dikompaun sebanyak RM100, ujar ahli majlis MBPP Chris Lee Chun Kit. Beliau berkata jika tidak mempunyai pelekat yang sah iaitu yang dikeluarkan oleh JPJ mahu pun perbandaran tempatan, mestilah mempamerkan kad perakuan OKU pada bahagian papan pemuka kenderaan mereka.

    Lee berkata sejumlah 689 pelekat OKU telah dikeluarkan setakat ini, iaitu 152 untuk pemandu kurang upada dan 537 kepada penjaga mereka. “Walau bagaimana pun memang terdapat pelekat palsu dijual di pasaran, namun pegawai penguatkuasa kami memiliki kepakaran untuk mengesannya,” ujarnya lagi.

    Beliau turut menjelaskan langkah mengetatkan penguatkuasaan ini diperlukan bagi memberikan mesej yang jelas kepada masyarakat supaya tidak menyalahgunakan ruang parkir untuk OKU ini. Lee turut berkata setakat ini nisbah ruang parkir berkenaan hanya 7.69%, dan walau pun jumlahnya kecil namun ia tetap disalahgunakan. Beliau juga berkata sebanyak 51 kompaun telah dikeluarkan dari Januari hingga April tahun ini.

    Lee turut menggesa supaya penjaga kepada OKU meletakkan kenderaan di parkir biasa sekiranya tidak membawa OKU bersama supaya ruang parkir khas itu dapat digunakan oleh orang yang benar-benar layak. “Saya juga berharap semua pusat membeli-belah dan pertubuhan swasta turut mengetatkan pengguatkuasaan terhadap ruang parkir OKU agar ia tidak disalahguna,” tambahnya lagi.

     
     
  • Toyota menjadi pengeluar pertama di dunia guna hos getah biosintetik mesra alam dalam kenderaannya

    20160421_01_01_en_BM

    Mulai bulan hadapan, Toyota akan menggunakan material biohydrin, iaitu produk getah biosintetik yang baharu dibina, untuk hos-hos pada enjin serta sistem-sistem lain dalam kenderaan keluaran mereka. Setelah ia digunakan kelak, Toyota akan menjadi pengeluar pertama di dunia yang berbuat demikian, dan juga merupakan langkah penting dalam mencapai sasaran pemeliharaan alam sekitar yang dirangka oleh mereka sendiri pada Oktober 2015.

    Getah biohydrin ini menggunakan bio-meterial yang diperolehi dari tumbuhan berbanding epichlorohydrin yang biasanya menggunakan kompaun epoksi. Seperti diketahui, tumbuhan menyerap karbon dioksida dari atmosfera. Dengan menggunakan bahan bio-material sedemikian, ia mampu untuk mengurangkan pencemaran karbon sekitar 20% dalam hayat kitaran material berbanding penggunaan getah hydrin konvensional berasaskan petroleum.

    Getah mesra-alam ini dibina oleh Toyota dengan kerjasama Zeon Corporation dan juga Sumitomo Riko Co., Ltd., dan kenderaan keluaran Toyota pertama yang akan menggunakan hos pengesanan vakum dari getah biohydrin ini akan diproduksi pada bulan Mei, dengan penggunaannya kepada semua kenderaan yang dibuat oleh Toyota di Jepun dijangka akan bermula pada akhir tahun ini.

    Menurut Toyota, hos pada enjin dan sistem pemanduan memerlukan tahap kalis minyak dan suhu panas yang tinggi. Produksi getah biohydrin menggunakan pelbagai teknologi kompaun untuk menyatukan material yang diperolehi dari tumbuhan dan material yang berasaskan petroleum pada tahap molekul.

    Menerusi teknologi-teknologi ini, getah biohydrin mampu untuk memberikan tahap kalis minyak, kalis suhu tinggi, dan ketahanan yang diperlukan pada hos pengesanan vakum pada enjin dan sistem pemanduan. Pada masa hadapan, Toyota bercadang untuk mengembangkan penggunaan biohydrin ini kepada komponen getah berprestasi tinggi yang lain, seperti hos brek dan hos sistem penyampaian bahan api.

     
     
  • Nissan Tiida (Pulsar) baharu diperkenalkan di China

    Nissan-Tiida-teaser-images-05

    Beberapa foto Nissan Tiida (Pulsar) baharu iaitu versi facelift telah pun didedahkan. Model hatchback ini dijangka akan membuat penampilan rasmi di Beijing Auto Show yang akan bermula 25 April in.

    Menerusi bahagian hadapannya, Tiida telah menaik taraf rekaan Nissan, dengan menampilkan grill hadapan V-motion yang lebih bergaya. Di bahagian dalamnya pula, ia kelihatan lebih kompak dan bergaya dengan kekemasan krom. Malah keseluruhan papan pemuka dan panel pintunya pula dibaluti material kulit lembut dengan jahitan putih.

    Bukan itu saha, butang penghidup enjin pula diletakkan di bawah kawalan suhu dua-zon dan unit utama skrin sesentuh juga kelihatan lebih ringkas dan kurang butang kawalan. Manakala kluster instrumen pula tampil dengan rekaan hitam dan putih, sementara paparan berwarna pula terletak di antara speedometer. Selain itu, Tiida baharu ini juga bakal ditampilkan dengan amaran titik buta (BSW).

    Mengikut laporan dari China, Tiida versi tempatan ini akan dilengkapi dengan enjin 1.6 liter aspirasi-natural dengan keupayaan kuasa 126 hp, dipadankan dengan transmisi CVT. Malah set enjin 1.2 liter dan 1.6 liter pengecas turbo juga dilaporkan akan tiba kemudian.

    GALERI: Nissan Pulsar DIG Turbo di Bangkok Motor Show 2014

     
     
  • ETCM umum pemenang kempen Nissan Drive to Prosperity sempena perayaan Tahun Baru Cina

    2016-nissan-drive-to-prosperity-winners-013_BM

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM), pengedar sah jenama Nissan di Malaysia menutup kempen Drive to Prosperity mereka hari ini dengan acara penyampaian hadiah di siri jelajah Nissan, yang bertempat di pusat membeli-belah One Utama. Kempen tersebut yang bersempena perayaan Tahun Baru Cina lalu diadakan dengan kerjasama Sharp-Roxy Sales & Service Malaysia Sdn Bhd (SRSSC), pengedar sah barangan jenama SHARP di Malaysia.

    Nissan Drive to Prosperity memberikan peluang kepada mereka yang membeli kenderaan baharu Nissan pada bulan Januari dan Februari lalu untuk memenangi perkakasan elektrik jenama SHARP yang bernilai sehingga RM13,888.

    “Bagi pihak ETCM, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan berterima kasih kerana memilih Nissan sebagai kenderaan pilihan anda. Kami di ETCM berbesar hati kerana dapat membuatkan para pelanggan tersenyum. Bukan hanya dengan menawarkan kenderaan yang mereka suka, malah memberi peluang kepada pemenang bertuah ini memenangi pelbagai peralatan elektrik,” kata Tan Meng Keng, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM.

    2016-nissan-drive-to-prosperity-winners-015_BM

    Untuk bulan Januari, Tan Kok How yang membeli Nissan NP300 Navara dipilih sebagai pemenang hadiah utama berupa perkakasan elektrik rumah jenama SHARP yang bernilai RM13,888. Chew Kian Lam pula dipilih sebagai pemenang tempat kedua membawa pulang perkasasan elektrik rumah yang bernilai RM10,888 setelah membeli Nissan Serena S-Hybrid. Manakala Badariyah Bt Hussien pula menerima hadiah perkakasan elektrik rumah bernilai RM8,888 dengan pembelian Nissan X-Trail baharu. 10 lagi pemenang hadiah saguhati turut diumumkan dengan masing-masing menerima barangan elektrik bernilai RM3,888 setiap seorang.

    Manakala untuk bulan Februari pula, Sandara Dass yang membeli Nissan Almera membawa pulang hadiah utama barangan elektrik SHARP bernilai RM13,888. Izyan Ayuni yang membeli Nissan Grand Livina pula membawa pulang hadiah tempat kedua yang berupa barangan elektrik bernilai RM10,888. Hadiah tempat ketiga pula dimenangi oleh Yong Jack-Son yang membawa pulang barangan elektrik bernilai RM8,888 setelah membeli Nissan Serena baharu.

    ETCM juga turut mengumumkan kempen Liga Juara-Juara UEFA yang sedang dijalankan dilanjutkan sehingga akhir bulan ini. Dengan itu, pelanggan yang membeli kereta baharu Nissan dalam bulan April masih lagi berpeluang untuk memenangi pengalaman menonton perlawanan akhir liga tersebut di Milan, Itali yang ditaja sepenuhnya oleh pihak ETCM.

     
     
  • Pusat 3S Volkswagen Semenyih dilancarkan

    Volkswagen-Semenyih-3S-Centre-9

    Pagi ini berlangsungnya pelancaran Pusat 3S Volkswagen Semenyih oleh Volkswagen Malaysia dan HICOM Auto Sdn Bhd. Ini merupakan cawangan pertama bagi jenama ini di daerah Semenyih.

    Dibina dengan pelaburan asal berjumlah RM10.7 juta oleh HICOM Auto Sdn. Bhd., pusat 3S ini dilihat berupaya memenuhi keperluan pelanggan di kawasan utara Lembah Klang, selain dari Semenyih, Kajang, Balakong, Putrajaya serta Nilai.

    Memiliki keluasan keseluruhan 34,030 kaki persegi, bilik pameran Pusat 3S Volkswagen Semenyih mampu mempamerkan lapan buah kenderaan, dan mempunyai sebuah lounge untuk pelanggan termasuk pelbagai kemudahan seperti komputer untuk kegunaan pelanggan dan sebuah bar kafe. Manakala pusat servis pula menyediakan 11 ruang penyelenggaraan yang dikendalikan oleh 12 orang kakitangan selepas jualan yang berpengalaman dan terlatih.

    Volkswagen-Semenyih-3S-Centre-6

    Sebagai satu bonus tambahan, pelanggan yang membeli sebuah Volkswagen daripada Volkswagen Semenyih akan menerima sekeping Kad Elit DRB-HICOM. Ia merupakan kad kesetiaan multi jenama yang bertujuan menyediakan bantuan dan manfaat eksklusif kepada semua ahlinya menerusi penebusan produk dan perkhidmatan serta diskaun.

    Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller, “Ini ialah bilik pameran keempat yang dilancarkan dalam suku pertama tahun 2016. Ia adalah sebahagian daripada langkah untuk menjadikan pelanggan sebagai keutamaan kami. Volkswagen Malaysia akan terus bekerjama rapat dengan rakan-rakan pengedar demi memastikan penambahbaikan yang konsisten, bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang memuaskan.”

    Photo 4

    Ketua Pegawai Operasi Automotive Distribution and Defence, DRB-HICOM Berhad, Dato’ Abdul Harith Abdullah berkata, “Kami yakin dengan kolaborasi di antara Volkswagen dan DRB-HICOM yang menyaksikan dua jenama utama ini bekerjasama untuk terus membuka jalan demi mendapatkan faedah bersama dalam jangka masa panjang. Menerusi pelaburan ini, kami komited untuk menyedia dan meningkatkan pengalaman pemilikan secara keseluruhannya kepada pelanggan. ”

    Pusat 3S Volkswagen Semenyih dibuka dari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8:30am hingga 7:00pm. Sementara pada hujung minggu dan cuti umum, bilik pamerannya dibuka dari pukul 10:00am hingga 5:00pm.
    Perkhidmatan selepas jualan pula beroperasi dari Isnin hingga Sabru bermula jam 8.30am hingga 5:30pm. Malah turut menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar kenderaan boleh diuruskan untuk pelanggan yang membuat temu janji lebih awal.

     
     
  • Harga petrol naik bukan disebabkan subsidi mansuh

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 016

    Tindakan kerajaan melaksanakan pemansuhan petrol RON95 sejak Disember 2014 bukanlah penyebab utama kenaikan harga bahan api tersebut.

    Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berdasarkan harga bahan api itu pada Januari 2015 sebanyak RM1.90 seliter selepas subsidi dimansuh dan diapungkan mengikut harga pasaran dan mencecah paras lebih rendah pada masa ini, laporan Bernama.

    “Sewaktu kita melaksanakan langkah ini, harga RON95 pada Januari 2015 adalah RM1.90 seliter berbanding dengan RM1.70 sen seliter pada hari ini.

    “Malah, harganya pernah mencecah paras terendah RM1.60 seliter. Oleh itu, harga minyak RON95 seliter sekarang adalah lebih rendah berbanding dengan harga terdahulu,” katanya.

    Jelasnya lagi, pemansuhan subsidi bahan bakar berkenaan sejak 2014 juga dapat membantu kerajaan menjimatkan berbilion ringgit.

    “Pada 2013 misalnya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM29 bilion bagi tujuan subsidi RON95, RON97 serta diesel,” katanya.

    Selain itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memainkan peranan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia.

    Bagi bulan April 2016, harga RON95 meningkat sebanyak 10 sen menjadi RM1.70 seliter berbanding Mac lalu iaitu RM1.60 seliter.

     
     
  • Peminjam PTPTN sukar dapat pinjaman kenderaan

    Proton showroom

    Bagi lepasan graduan yang agak liat membayar Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didapati agak sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank. Ini termasuklah pinjaman pembiayaan kenderaan atau pun ingin memohon kad kredit.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh The Sun, peminjam PTPTN secara automatiknya akan berada dalam pangkalan data CCRIS (Credit Central Reference Information System). Di mana institusi kewangan akan menggunakan pangkalan data tersebut untuk menyemak status individu yang ingin membuat permohonan pinjaman.

    Jika didapati rekod pinjaman tidak ‘bersih’ atau pun banyak tertunggak jumlah yang perlu dibayar, maka kebarangkalian untuk memohon pinjaman pembiayaan kenderaan oleh lepasan graduan ini tidak diluluskan oleh pihak bank.

    Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN , Mastura Mohd Khalid memberitahu The Sun kadar bayaran rendah bagi pinjaman PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS, di mana jika terdapat kes tunggakan, ia membolehkan si peminjam akan disenaraihitamkan di dalam pangkalan data tersebut.

    2015_Perodua_Myvi_Facelift_Premium_X_vs_Advance_-01

    Kebanyakan lepasan graduan yang ingin membeli kenderaan pertama mereka, pihak Proton dan Perodua turut menawarkan harga kenderaan yang lebih mampu milik dan berpatutan. Namun disebabkan isu ini, kesukaran untuk permohonan pembiayaan kenderaan yang sukar diluluskan jika terdapat masalah pembayaran balik pinjaman PTPTN, membuatkan hasrat untuk memiliki kenderaan sendiri terbantut.

    Malah terdapat jurujual kenderaan turut memberitahu, memang ramai lepasan graduan yang tidak berjaya dalam pemohonan pinjaman ini. Walau pun pada slip gajinya tercatat jumlah gaji yang melayakkannya membeli kenderaan, namun apabila pegawai bank menyemak CCRIS, didapati pemohon tidak membuat bayaran balik PTPTN dan ada yang banyak tertunggak.

    Apakah pendapat anda mengenai perkara ini? Adakan anda merasakan tindakan CCRIS ini agak ‘keras’ dan tidak sepatutnya dilakukan pada lepasan graduan? Atau mereka sepatutnya menjelaskan bayaran PTPTN seperti yang dijadualkan sebelum membuat pinjamaan pembiayaan kenderaan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • Mitsubishi akui memanipulasi ujian bahan api

    mitsubishi-ek-wagon

    Satu lagi skandal terbongkar, kali ini melibatkan angka penggunaan bahan api. Mitsubishi Motors Corporation (MMC), mengakui telah memanipulasi data ujian penggunaan bahan api pada empat model kereta mini ketika mempersembahkan pencapaian angka penjimatan bahan apinya.

    Semalam syarikat berkenaan telah mengumumkan menerusi kenyataan rasmi bahawa ujian penggunaan bahan api telah ‘diubah’ ketika mengendalikan ujian terhadap Mitsubishi eK Wagon dan eK Space serta Nissan Dayz dan Dayz Roox, yang dibangunkan dan dibekalkan kepada Nissan sejak Jun 2013.

    Terdapat lebih setengah juta kereta yang terlibat dan MMC berkata sehingga Mac tahun ini, sebanyak 157,000 unit eK Wagon dan eK Space telah terjual dan telah membekalkan sejumlah 468,000 unit Dayz dan Dayz Roox kepada Nissan. Mitsubishi juga berkata sejak pembangunan model-model tersebut dan bertanggungjawab mendapatkan pensijilan yang relevan untuk mereka, maka adalah perlu untuk mengendalikan ujian penggunaan bahan api.

    Nissan Dayz dan Dayz Roox

    Isu ini timbul apabila Nissan telah mengambil keputusan untuk melakukan sendiri penyelidikan bagi pembangunan generasi akan datang untuk kereta mininya, selain melakukan sendiri ujian penggunaan bahan api untuk rujukannya sendiri. Namun ia mendapati data yang diberikan sebelum ini tidak begitu bertepatan, lantas meminta MMC untuk menyemak semula hasil ujian tersebut.

    Berikutan permintaan itu, Mitsubishi telah melakukan siasatan dalaman dan mengeluarkan pengolahan data dan melihat hasil ujian tersebut agak tidak selari dengan apa yang sepatutnya. Walau bagaimana pun kaedah ujian tersebut turut digunakan oleh model-model lain yang dihasilkan bagi pasaran domestik Jepun.

    MMC turut berkata ia telah pun menghentikan serta-merta pengeluaran dan jualan model-model terbabit dan merancang untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar luar untuk melakukan siasatan ke atas perkara ini. Malah Nissan juga turut menghentikan jualan model-model yang terjejas dan akan berbincang dengan MMC berhubung dengan ganti rugi disebabkan isu ini.

     
     
  • Mohon kerajaan hentikan sementara perkhidmatan Uber dan GrabCar – Persatuan Teksi Shah Alam

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-1-850x637_BM

    Nampak gayanya isu perkhidmatan Uber dan GrabCar masih terus diperkatakan selagi pihak kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan.

    Semalam, Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Shah Alam telah mengadakan sidang media bagi memohon kerajaan menghentikan sementara perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar bagi memulihkan semula industri teksi di negara ini, laporan Bernama.

    Menurut setiausahanya Razali Sahran, langkah itu juga perlu supaya kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian dalam menangani lambakan perkhidmatan pengangkutan itu yang turut didakwa telah menjejaskan pendapatan 1,000 pemandu teksi di bandar raya ini.

    Malah beliau turut menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyusun beberapa program termasuk mempromosikan perkhidmatan teksi bagi meningkatkan semula industri teksi negara.

    Hujung Mac lalu, sekumpulan pemandu teksi berkumpul dan memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang sebagai menunjukkan protes menentang servis aplikasi pengangkutan seperti Uber dan GrabCar.

    Sehubungan itu, kerajaan sedang merangka pelbagai usaha bagi membolehkan perkhidmatan Uber dan GrabCar beroperasi pada platform yang sama dengan perkhidmatan teksi biasa.

    Malah SPAD juga akan melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk memperkenalkan aplikasi seperti yang digunakan oleh Uber dan GrabCar.

     
     
  • SPYSHOT: Honda CR-V 2017 – foto pertama diintip!

    2017_Honda_CR-V_2

    Satu perkhabaran menarik. Nah! Ini foto pertama bagi Honda CR-V 2017. Model generasi akan datang ini akan menggantikan model generasi ke-empat yang kini berada di pasaran, termasuk di Malaysia dan kebanyakan pasaran global.

    Kelihatannya prototaip ini menggunakan unit kerangka dan lampu produksi, memberikan lebih ‘pencerahan’ yang lebih jelas apa yang bakal kita terima tahun hadapan. Seperti yang dijangka, bahagian hadapannya masih menerapkan imej korporat terkini Honda, termasuk gril besar yang bersambung dengan lampu utama LED sepenuhnya, memberikan gambaran “Solid Wing Face” yang lebih jelas.

    Menerusi pandangan sisinya pula, badan berkontur dengan garis tingkap ke atas melepasi tiang-C. Dan pada bahagian belakangnya pula jelas CR-V generasi akan datang ini mengadaptasi gaya yang lebih mantap. Lampu belakangnya juga lebih menonjol, dengan lambang Honda yang masih kekal tegak diposisi yang sama.

    Dua paip ekzos bersaiz kecil juga kelihatan, lebih kurang sama dengan Honda Civic 2016 1.5 liter berkuasa turbo. Adakah ia memberikan isyarat kebarangkalian CR-V generasi akan datang ini turut dipadankan dengan enjin pengecas turbo juga? Jika ya, ternyata laporan sebelum ini yang mencadangkan agar CR-V 2017 dibina dengan menggunakan asas Civic terkini, dengan enjin yang dikecilkan.

    Terbongkarnya foto pertama bagi generasi akan datang SUV ini, nantikan susulan perkembangan mengenainya dari semasa ke semasa. Pasti ada lebih banyak perincian mengenainya akan terbongkar termasuk padanan penjana kuasanya. Adakah benar ia seperti Civic 2016 yang turut ditawarkan dengan kuasa turbo? Tunggu dan lihat!

     
     
  • SPYSHOT: Varian baharu Ford Focus ST versi dipertingkat dilihat sedang diuji di litar Nurburgring

    Ford-Focus-ST-Plus-5_BM

    Pengenalan pada model Ford Fiesta ST200 nampaknya agak memberangsangkan. Oleh itu, pihak Ford nampaknya akan melakukan perkara yang sama pada model yang lebih besar iaitu Ford Focus ST. Kemungkinan ini diperkuatkan lagi setelah jurugambar pengintip kami merakamkan gambar sebuah Ford Focus ST Mk3 facelift yang sedang di uji dilitar Nurburgring, Jerman.

    Kereta ini kelihatan tidak langsung ditampal dengan pelekat penyamaran, menyerlahkan terus keseluruhan badan yang berwarna putih serta dua jalur merah yang merentasi keseluruhan badan dari depan ke bahagian belakang. Ia juga dilihat dilengkapi dengan splitter pada kedua-dua sudut bampar hadapan dan juga roda aloi lima jejari berkembar yang berbeza dari varian ST standard.

    Ford Focus ST facelift telah berada dalam pasaran sejak Jun 2014, dan dikuasakan dengan enjin 2.0 liter EcoBoost berupaya menjana 250 hp/340 Nm (tork tambahan 10 Nm jika fungsi overboost digunakan), sama seperti varian Focus ST pre-facelift. Jumlah kuasa kuda tersebut adalah agak kecil jika dibandingkan dengan Ford Focus RS yang baharu sahaja dilancarkan baru-baru ini, di mana enjin 2.3 liter EcoBoost jentera tersebut mampu menjana sejumlah 350 PS dan tork maksima 440 Nm.

    Jika benar ST versi dipertingkat ini akan dilancarkan, ia turut akan dijangka mengekstrak lebih kuasa kuda dari enjin asalnya seperti yang berlaku pada Fiesta ST200, di mana ia mampu menjana 10% lebih kuasa dan 20% lebih tork berbanding Fiesta ST standard. Dalam kes Fiesta, pihak Ford menala semula enjin asal 1.6 liter EcoBoost tersebut bagi mendapatkan kuasa maksima 200 PS dan tork maksima 290 Nm, peningkatan sebanyak 15 PS dan 30 Nm tork dari jumlah asal.

    Peningkatan pada varian baru Focus ST ini dijangkakan tidak terlalu radikal iaitu tambahan kuasa kuda sekitar 25 ke 30 PS. Jadi ada kemungkinan varian tersebut akan dikenali sebagai Focus ST275 atau ST280, bergantung pada jumlah kuasa kuda tambahan yang akan diekstrak kelak.

    Juga jangkaan yang boleh dilakukan berdasarkan perubahan yang berlaku pada Fiesta, varian baru ini mungkin akan tampil dengan sedikit perubahan pada bahagian luaran, kemasan dalaman, roda aloi baharu, dan mungkin juga nisbah akhir pada kotak gear yang dikemaskini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025